Fakta Penjajah Malas

Usah dibicarakan mengenai ahli politik, yang memang lebih mudah terbuai dengan Barat, tetapi apa yang kita harapkan ialah semangat tempur intelektualisme daripada ahli akademik kita semua.

Oleh: Mak Kah Keong

Syed Hussein Alatas. 1977. The Myth of the Lazy Native: A study of the image of the Malays, Filipinos and Javanese from the 18th to the 20th Century and its function in the ideology of Colonial Capitalism. London: Routledge.

Tahun 1977, adalah tahun Syed Hussien Alatas. Pada tahun tersebut, “The Myth of The Lazy Native” diterbitkan oleh Routledge yang kemudian adikaryanya tersebut menerima pujian daripada Edward Said sebagai “revisionary history.”

Pada asasnya, buku ini sebuah kritikan terhadap ideologi kolonial yang menuduh masyarakat peribumi (Melayu, Jawa dan Filipina) malas. Walau bagaimanapun, Alatas tidak menangkis tuduhan ini dengan sanggahan biasa-biasa. Sebaliknya, sebagai ahli sosiologi, Syed Hussien merenung dan menyiasat tuduhan tersebut dengan menggunakan perspektif “kepenjajahan”. 

Bagi Alatas, tidak semua proses penjajahan melalui jalan keras: darah dan merah. Makanya, proses kolonialisme juga turut boleh dilakukan dengan cara yang lembut menerusi jarum-jarum halus penjajah. Jarum tersebut ialah: remehan terhadap kearifan tempatan, cemuhan terhadap tradisi berzaman.

Walaupun Indonesia, Filipina dan Malaysia (Malaya ketika itu) berdepan dengan bentuk penjajahan yang berbeza menerusi tiga penjajah yang juga berbeza; namun—dalam diam-diam—ketiga-tiga negara tersebut terpaksa mengakui keunggulan peradaban Barat. Natijahnya, tanpa disedari, masyarakat yang dijajah mengakui bahawa Barat adalah pentadbir yang lebih baik.

Sikap bawah sedar inilah, yang malangnya, dianggap sebagai barakah dari Barat. Dalam hal ini, ideologi kapitalisme yang dikumandangkan ibaratnya ‘pencerahan’ Barat untuk Timur. Bagi mengukuhkan lagi kehebatan kolonialisme ini, kaum peribumi digesa berusaha untuk berdiri sama tinggi dengan penjajah Barat. Justeru itu, mereka perlu menerima paradigma Barat sebagai piawai kepada kemajuan, kemakmuran malah kebahagian sekalipun.

Apa kesan dengan menerima paradigma Barat ini yang dianggap sebagai pembawa lantera buat dunia belahan Timur ini? Kesannya: merendahkan harga diri masyarakat Timur itu sendiri. Inilah yang pesanan terbesar yang dibawa oleh Alatas dalam “The Myth of The Lazy Native.”

Hemat Alatas, ideologi kapitalisme yang diusung oleh penjajah ini sebenarnya sedaya upaya mahu merendahkan kemampuan masyarakat Timur, sama ada daripada segi budaya, amalan, perwatakan dan termasuklah ukuran jasmani itu sendiri. Daripada minda hingga tubuh, semuanya menggunakan piawaian Barat. Ini adalah bukan sahaja penjajahan fizikal dan budaya, bahkan suatu penghinaan terhadap nilai kemanusiaan itu sendiri.

Alatas memang berang dengan jarum-jarum halus Barat yang meremeh dan mencemuh masyarakat bukan-Barat. Buktinya, Alatas memetik kembali ungkapan Geoffrey Gorer, ahli antropologi yang menyelidik mengenai orang Jawa:

saya tidak suka berada di antara penduduk yang tampak lebih kecil dan lebih lemah daripada saya, kecuali kalau mereka dari segi lain mempunyai keunggulan yang sama; saya tidak menyukai persahabatan seperti itu yang saya rasai sebagai kelemahan saya”

Jelas sekali, tubuh pun mahu dibaratkan.

Selain tubuh, cara hidup peribumi juga diperlekehkan—bagi perkukuhkan keyakinan bahawa masyarakat peribumi adalah tidak berupaya untuk berdiri sama tinggi dengan Barat. Dalam konteks ini, Alatas membicarakan mengenai suatu sikap yang bernama “malas.”

Malas, memang sikap negatif. Tetapi, adalah tidak tepat sekiranya mengunakan piawaian Barat untuk menilai tahap kemalasan masyarakat peribumi di Filipina, Indonesia dan Malaysia.

Bagi Alatas, piawaian ini adalah cermin kepada kapitalisme kolonial yang mana bertujuan untuk merendah-rendahkan bangsa yang terjajah. Ini dilakukan dengan harapan, bangsa yang terjajah terkesan dengan perbezaan mulia/hina antara penjajah dengan mereka yang terjajah. Padahal, menurut Alatas, konteks “malas” masyarakat peribumi dengan konteks “malas Barat adalah sama sekali berbeza.

Misalnya, Alatas mempertikaikan tokoh intelektual dan birokrat Inggeris, Stamford Raffles. Bagi Alatas, Raffles mencirikan Melayu sebagai masyarakat pemalas. Kononnya, masyarakat Melayu akan merasa malas apabila tempayan mereka penuh dengan beras.

Tidak cukup dengan Raffles, Alatas turut membangkitkan kritikan Frank Swettenham yang mengutuk kemalasan Melayu. Swettenham memerihalkan orang Melayu sebagai orang yang benci untuk bekerja keras secara berterusan; baik dengan otak mahupun otot. Cemuh Swettenham lagi, orang Melayu tidak ada daya inisiatif, tidak berusaha lebih menyimpan serta mudah berasa cukup dan sederhana.

Pendek kata: Melayu dituduh malas oleh Raffles dan Swettenham—dua tokoh ‘pencerahan’ daripada Barat untuk Timur.

Untuk Alatas, dituduh malas adalah garisan akhir kesabarannya. Setelah Barat menjarah hasil mahsul Timur, mereka juga mahu menjarah seluruh makna hidup yang dikendong oleh masyarakat Timur.

Lantaran itu, Alatas membidas kembali dengan menyatakan bahawa konsep malas yang dikemukakan oleh ahli akademik kolonial adalah tidak tepat dengan konteks orang Melayu. Sebagai contoh berkenaan dengan pekerjaan. Melayu dikatakan malas kerana tidak terlalu mengikut hubungan antara kerja dan wang. Akan tetapi, bagi orang Melayu: biar kerja gembira walau hasilnya sederhana.

Justeru itu, ada muslihat di balik perihal malas yang dilemparkan kepada orang Melayu oleh ahli-ahli akademik kolonial ini. Muslihatnya: menerusi slogan peribumi malas maka pihak penjajah akan mengekalkan lessen besar mereka untuk meneruskan amalan penindasan dan ketidakadilan di negeri-negeri jajahan: kononnya, demi menyebar ketamadunan dan peradaban.

Lihat, bukan sekali, tetapi berkali-kali penipuan yang dilakukan oleh penjajah.

Inilah batasnya. Alatas enggan menerima segala konsep yang dibawa daripada Barat. Bagi Alatas lagi, penjajahlah yang malas. Mereka malas untuk memahami kehalusan dan kerumitan masyarakat yang dijajahnya.

Iktibar kita: menerima Barat mestilah menerima dengan penuh kritis dan sedar. Tanpa kedua-dua unsur ini—kritis dan sedar—maka selama-lamanya kita akan terus terjajah. Kalau tidak terjajah wilayah, kita terjajah budaya. Lebih parah, menjadi hamba kepada ‘kegelapan’ daripada Barat. Persoalannya: sejauh manakah ahli akademik kita bersikap kritis dan penuh sedar dengan pengetahuan moden daripada Barat?

Usah dibicarakan mengenai ahli politik, yang memang lebih mudah terbuai dengan Barat, tetapi apa yang kita harapkan ialah semangat tempur intelektualisme daripada ahli akademik kita semua

Alatas telahpun merintis jalannya. Bahkan, Alatas merintis dengan nyata sekali: bahawa kita mesti menjadi tuan di bumi sendiri—sama ada menerusi politik mahupun pengetahuan. Sekiranya ahli akademik (dengan minda tertawan) menerima apa sahaja yang datang daripada Barat, tanpa kritis dan sedar, maka nyatalah bahawa episod penjajahan di negara kita belum lagi berakhir.

Juang kemerdekaan (daripada penjajah) hanya terhenti tatkala kita mampu berdiri dengan kaki sendiri. Kemerdekaan yang dirangkul, tanpa sedar dan kritis, hanyalah penerusan suatu lagi bentuk penjajahan yang lain, yang kali ini lebih berseni tetapi tetap sahaja menyakitkan.

Mah Kah Keong merupakan alumnus daripada generasi pertama gerakan Diskopi

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started