Membaca “Kembali Ke Pangkal Jalan”

Dalam lingkungan intelektual yang lebih bebas, perdebatan tentunya mendatangkan manfaat kepada perkembangan ilmu, termasuk ilmu agama. Kebebasan berfikir dan bersuara dalam rangka penyatuan para muslim dapat memajukan permikiran saintifik.

Nasir Hashim. 2019. Kembali Ke Pangkal Jalan – Sebuah Monolog. Kota Bharu: Kedai Hitam Putih

Pada 1973, Al-Marhum Syed Hussein Alatas berbahas dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) tentang pendermaan organ manusia. Setelah majlis tersebut dalam fatwanya mengharamkan hal ini, perbahasan berlangsung selama lima minggu antara 2 Ogos hingga 7 September tahun itu. Ternyata dalam perbahasan yang bebas itu tanpa ancaman daripada MUIS, terserlah sikap yang memperlecehkan daya dan upaya akal. Juga kerana sejarah dan sosiologi tidak dihormati, maka pentafsiran Al-Quran dan Hadis dilaksanakan secara sempit dan terpencar.

Namun, di balik peristiwa 1973 tersebut, muncul beberapa hal yang memanfaatkan masyarakat. Telah terlangsung dialog tentang soal agama. Fatwa MUIS diumumkan. Syed Hussein Alatas sebagai warga menjawab. MUIS kemudiannya menyiarkan balasannya. Kedua, muncul kebiasaan membahaskan masalah penting untuk kebaikan masyarakat. Ketiga, timbul sikap hati-hati lembaga seperti MUIS agar berfikir panjang sebelum mengeluarkan fatwa.

Tiga belas tahun kemudian pada 22 Mei 1986, Al-Marhum Kassim Ahmad menerbitkan Hadis: Satu Penilaian Semula. Sebulan setengah setelah itu, pada 7 Jun bukunya dilarang kerajaan tanpa sebarang perbahasan mengenainya. Jabatan Hal Ehwal Agama Pulau Pinang pada 4 Julai telah menuduh buku tersebut sebagai satu penyelewengan daripada akidah Islam.

Lalu, Jawatankuasa Fatwa itu meminta pihak berkuasa menahan pengedaran buku tersebut. Orang Islam diminta supaya memusnahkan karya Kassim Ahmad tersebut. Tidak cukup dengan langkah-langkah demikian, didesak pula Majlis Islam Pulau Pinang untuk mendakwa pengarangnya di Mahkamah Kadi Besar Negeri itu. Tiada keputusan tentang menjawab hujah Al-Marhum dibuat oleh lembaga itu.

Namun seperti peristiwa 1973, peristiwa 1986 juga mempunyai manfaatnya, suatu hikmah yang tidak diterancangkan. Kesan daripada semboyan ‘Kembali kepada Al-Quran’ telah menyedarkan ramai bahawa sebenarnya terdapat hadis palsu yang tersebar dalam masyarakat. Kedua, monopoli pengetahuan agama oleh ulama mulai terkikis dan kemudiannya terobek setelah peristiwa 1986. Ketiga, istilah ulama didefinisikan semula sebagai yang memiliki ilmu dan pengetahuan sepertimana ahli di bidang sains nutrisi.

Ertinya, akal mulai dihormati berkat upaya dua al-marhum itu. Keempat, telah terhasil enam penerbitan yang memperdebatkan persoalan asasi yang diutarakan oleh Kassim Ahmad. Sayangnya, sekalipun 33 tahun telahpun berlalu, JAKIM masih lagi tidak menghuraikan persoalan daripada buku yang diharamkannya itu. Hal ini berbeza dengan kisah MUIS pada 1973.

Rupanya, tiga dekad berlalu setelah peristiwa 1986, hadis palsu dikatakan masih lagi bermasalah di Malaysia. Baru-baru ini, seorang pengkaji hadis dalam tesisnya mengamati hal ini meskipun ulama sudah menyebutkannya sebagai palsu. Lalu, dinyatakan sarjana tersebut bahawa jika disandarkan kepada Nabi Muhammad, mereka ini telah melakukan pendustaan. ( Berita Harian , 22 Oktober 2019).

Di Iran, sekalipun agama di sana dikendalikan oleh sistem keimamannya yang rapi tetapi ulamanya turut mengalami sunnah Nabi yang dicemari dengan berbagai pentakwilan dengan cara menyisipkan hadis palsu ke dalamnya. Ancaman terbesar di sana adalah penyisipan hadis Israiliyyat yang mampu menghapuskan beberapa ayat al-Quran.

Tiga puluh tiga tahun setelah peristiwa al-marhum Kassim Ahmad, pada 2019 terdapat satu usaha seorang saintis nutrisi yang menghidupkan kembali soal hadis. Beliau memakai kebijaksanaan peribahasa “Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan” sebagai tema bukunya; kiranya berbuat salah pada peringkat akhir maka hendaklah diusul kembali pada asalnya.

Dalam format monolog, pengarang mencuba memahami, lalu mengembangkan pengertiannya tentang ayat-ayat al-Quran dengan memakai sains, logik dan semangat Kitab itu. Lazimnya, sains bererti sistem pengaturan pengetahuan tentang sesuatu. Logik pula biasanya diertikan ilmu berfikir tentang sesuatu dengan memakai kaedah yang mementingkan cara sesuatu itu dilakukan dan bukan apakah yang dilakukan. Semangat al-Quran umumnya mempertanyakan apakah tujuan luhur mesej ini diturunkan.

Mungkin kerana ingin mengelakkan daripada debat yang tidak diperlukan, maka pengarang awal-awal lagi menyatakan bahawa hadis itu penting, tetapi hanya sebagai sumber sekunder. Bererti, ianya kurang penting daripada sesuatu yang lain. Buku itu mengemukakan saranan supaya apabila timbul tindakan dan tanggapan bercanggah dan meragukan, maka perselisihan itu dikesan, dikupas, dibincang lalu diperdebatkan.

Tiap penerbitan mengemukakan masalahnya. Yang dianggap masalah pokok oleh pengarangnya adalah bahawasanya al-Quran dikatakan telah dipinggirkan. Selain itu, warga yang taasub dengan pendapat ulama dan hadis sering menganggap bahawa ianya mengatasi al-Quran (sekurangnya-kurangnya di tingkat objektif). Bahawa tiadanya toleransi akan perbezaan pendapat dan berlainan kaedah penyelidikan masing-masing khususnya di kalangan agensi agama sehinggakan ada yang sudah sampai di titik autoritarianisme juga dipermasalahkannya.

Mungkin sebaiknya dalam hal demikian diutarakan hanya satu pokok persoalan sebagai fokus wacana, sementara persoalan lain dijadikan sekadar apitan sahaja.

Berhadapan krisis intelektual masyarakat, maka kelihatan pengarang berada di persimpangan jalan–maju, tetapi ke kanan atau ke kiri dalam dunia idea? Maju ke hadapan mungkin bermasalah kiranya di hadapannya itu ada ngarai yang dalam tanpa dasarnya; melainkan dia mundur setapak dan kemudiannya melompat kijang ke hadapan. Lalu, dipilih al-Quran sebagai pedomannya. Di dampinginya ialah sejarah kerasulan Nabi Muhammad dalam upaya beliau mengerti logik hadis sahih.

Monolog ketiga ini – Kembali Kepangkal Jalan (2019) dapat dimengertikan lagi jika dibaca monolog keduanya (2017) yang cuba mencari formula yang menurutnya mampu merumuskan fahaman tentang hidup ini. Monolog pertamanya (2016) Nasir Hashim, seorang saintis nutrisi memakai ilmu fizik yang terkini, iaitu fizik kuantum untuk dijadikan jambatan bagi menghubungkan ilmu dunia zahir dengan dunia batin. Sesungguhnya, ini adalah suatu percubaan baharu.

Daripada sejumlah 14 bab (yang dipanggilnya monolog), empat bab pertama memperlihatkan posisi intelektual pengarang, sambil menjadikan keempat-empat bab pertama itu sebagai pendahulu hujahnya yang terkandung di dalam sepuluh bab berikutnya. Ini termasuklah dilukisnya lanskap The Historical Muhammad. Pentingnya di sini ialah pendiriannya tentang al-Quran yang dikatakannya tidak memerlukan orang lain menokok mahupun menghapuskan ayatnya.

Antara sepuluh bab selebihnya, enam bab memberikan tumpuan kepada hadis. Hujah pengarang membantu dalam mentaksir dan menilai tentang keadaan yang banyak terdapatnya dalam hadis palsu di Malaysia, seperti yang dipaparkan oleh pengarang. Amat ironis, malah seperti kelucuan sejarah apabila ditunjukkan bahawa penghinaan terhadap Nabi Muhammad rupanya bersumberkan hadis juga.

Hujah pengarang tentang logik hadis perlu direnungkan kerana kebiasaannya apabila seseorang ingin menghuraikan ayat al-Quran, kebiasaannya aalah dengan meminta pertolongan daripada sumber yang dianggapnya berautoriti agar huraian yang dimahukan itu tepat. Lalu, siapakah autoriti yang dicarikan itu? Biasanya yang dicarinya itu ialah ayat-ayat lain di dalam al-Quran, ataupun yang dirujuk kepada hadis. Yang diperihalkan dalam buku ini adalah pilihan sumber kedua tersebut.

Tentunya, memilih cara pertama itu, secara rasionalnya sangat menarik kerana al-Quran itu ‘cahaya benderang’ dan ‘pedoman’ serta penghurai segalanya. Lalu, menurut logik: Bagaimanakah satu cahaya lain boleh menjadi lebih terang daripada ‘Cahaya Benderang’? Selanjutnya, menurut logik juga, bagaimanakah ‘Pedoman’ Tuhan itu perlu dituntuni pedoman lain?

Bahawa hadis masih dijadikan dasar penghujahan kelihatan nyata dalam satu perbahasan yang berlangsung dengan penuh takzim sekali tentang agihan zakat baharu ini seputar persoalan–apakah untuk manusia atau manusia muslim? –di antara lima mufti dan seorang timbalan mufti. Di satu sisi, ternyata yang menjadi dasar hujah masing-masing, seperti yang dilaporkan media adalah hadis dan satu sirah. Hanya dua mufti sahaja yang memakai al-Quran, tetapi dimulakan dengan hadis dalam hujah masing-masing. (Sinar Harian , 2 dan 5 November 2019; Berita Harian , 2 November 2019).

Tentang saranan pembaikkan buku ini, dua hal mungkin dapat dipertimbangkan. Perbincangan monolog tujuh tentang ‘Hadis Allah dan Sunnah Allah yang mutlak’ mungkin memerlukan huraian lebih lanjut kerana hal itu menjadi asas perbincangan pengarang tentang hadis Nabi. Begitu jugalah halnya dengan monolog lapan tentang ‘Israk dan Mikraj’ kerana hal tersebut tidak begitu sentral kepada penghujahan buku ini.

Kedua, sebaiknya setiap bab (monolog) ini disertakan rumusannya. Rumusan tersebut apabila tercantum membuatkan buku ini menjadi lebih koheren dan elegan selain cantuman tersebut sebagai kesimpulan dan penutup. Penutup itu kemudiannya dijadikan ‘Jawapan’ kepada ‘Persoalan’ utama yang ditampilkan di permulaan buku.

Dalam konteks apakah dapat diletakkan ‘persoalan’ dan ‘jawapan’ Nasir Hashim (2019)? Mungkin bersama-sama persoalan-persoalan Syed Hussein Alatas (1973) dan Kassim Ahmad (1986) dapat dibincangkannya dalam konteks, kalau tidakpun persoalan kebersamaan mereka itu diletakkan berbarengan dengan Amman Message (2004).

Satu konferensi Islam internasional pada November, 2004 yang telah disertai dua ratus ulama dan pemimpin dari lima puluh negara mencapai persetujuan tentang tiga isu fundamental yang dipanggilnya ‘Mesej Tiga Perkara dari Amman’.

Pertama, diiktirafkan kesemua lapan Mazhab Suni, Syiah dan Islam Ibadhi. Juga diiktirafkan teologi Asyh’arisme, Sufisme, dan pemikiran salafi benar.

Kedua, berasaskan definisi tersebut, maka dilarang sama sekali mengkafirkan warga muslim.

Ketiga, berasaskan mathabib, maka dikemukakan prasyarat subjektif dan objektif sewaktu mengeluarkan fatwa agar dapat mengelakkan fatwa yang sifatnya jahil dan tidak sah, meskipun dibuat atas nama Islam.

Antara warga Malaysia yang menandatangani perisytiharan tersebut adalah Tun Abdullah Badawi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khairy Jamaluddin, dan Hashim Kamali. Kepada merekalah harus ditanyakan bilakah akan disegerakan pesanan tersebut.

Amman Message diwar-warkan Raja Abdullah Jordan pada 9 November, 2004.

Dalam lingkungan intelektual yang lebih bebas, perdebatan tentunya mendatangkan manfaat kepada perkembangan ilmu, termasuklah ilmu agama. Kebebasan berfikir dan bersuara dalam rangka penyatuan para muslim dapat memajukan permikiran saintifik supaya akhirnya dipohon agar diberikan petunjuk dan akal sihat oleh Allah SWT (Q, 39:18).

9 November 2019

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started