‘Arafah, Islam dan Naratif Malaysia

Tibanya hari ‘Arafah turut mengingatkan Aku yang berpeluang menjejak tanah ‘Arafah satu tahun yang lalu, di bawah langit biru dan terik matahari yang membakar tubuh saat berdiri menghadap Tuhan memohon pengampunan dan pengharapan. Tiba-tiba datang hujan ribut sebelum berlalu matahari senja sambil membawa bersama sejuta doa.

Dengan Nama Allah, yang Maha Pengasih dan Penyayang; Maha Mengetahui lagi Bijaksana; dan yang Maha Membangun dan Memajukan.

Aku ditugaskan untuk menulis, menulis pada hari ‘Arafah, menulis pula tentang pembangunan Islam, untuk Naratif Malaysia. Ada apa dengan ‘Arafah? Dan apa pula kaitannya dalam wacana naratif pembangunan Islam di Malaysia?

Keutamaan ‘Arafah itu sudah sering dijelaskan para agamawan, sampai butiran keutamaan tersebut menjadi ratib tepu golongan kebanyakan. Ini lebih ketara lagi pada hari-hari perayaan bila mana Takbir sering dijadikan laung-laungan, sahut-sahutan. Tapi seruan nama-nama Tuhan ini tak pula dapat kita rasakan besar. Suaranya tentu sahaja boleh ditinggikan sampai menggegar ke langit, tapi getarnya belum tentu sampai ke jiwa. Mungkin kerana sudah jadi kebiasaan, apa-apa seruan pun tatkala terserap sebagai budaya makanya seru kata-kata itu tak lagi membuah hasilnya. Lagi-lagi dalam era dunia masa ini, dengan arus pembangunan dan kemajuan yang penuh kesebokan, kebisingan dan keresahan. Hinggakan tidak jarang kita lupa bahawasanya kita ini manusia. Maka, dari tahun ke tahun, ‘Arafah bertandang membawa peringatan.

Penghayatan ‘Arafah itu wajar ditekankan sebagai satu kerukunan dalam Islam. Sebagaimana sabda baginda Nabi S.A.W, yang menekankan “Haji itu ‘Arafah!”[i]. Tanpa ‘Arafah, tiadalah Haji. Lazimnya, ‘Arafah dikenali sebagai satu tempat, juga satu hari. Dalam ruang-masa ini jemaah haji yang rata-ratanya pengembara dari serata pelusuk dunia berhenti atau Wuquf; berhimpun menghadap Tuhan, bertafakur bersama ayat-ayat suci, memohon pengampunan dan mengungkap kesyukuran untuk hal-hal yang masa lalu, mengadu resah-gelisah kehidupan masa ini, juga membentangkan hajat pengharapan untuk hari-hari yang mendatang. Malah, tidak hairan kita mendengar cakap dalam kalangan jemaah haji yang mengatakan semua hari-hari yang dilalui di dunia ini sudah terkandung di dalam ‘Arafah, begitu juga setiap wajah, setiap nama dan setiap nafas.

Mulianya hari ‘Arafah itu telah diriwayatkan dalam beberapa hadis Nabi SAW; merupakan antara hari-hari yang paling baik di sisi Tuhan, yang menjanjikan di atas segala permintaan para hambanya di ‘Arafah itu akan dijawabNya[ii]; serta Tuhan bermegah kepada para Malaikat di langit, lalu turun menyambut kehadiran himpunan manusia yang datang menghadapNya[iii].

‘Arafah juga merupakan tempat yang mengingatkan kita akan pertemuan Adam dan Hawa yang lama terpisah setelah turun dari alam syurga ke alam dunia. Pertemuan ini seterusnya melahirkan keluarga besar manusia beserta nilai kemanusiaan.

‘Arafah juga mengingatkan kepada Ibrahim, serta segala pengorbanannya. Apabila dipersoalkan kepada baginda Nabi SAW akan kewajaran Haji untuk keluar daripada Tanah Haram di Mekah, berbeza dengan kebiasaan Haji kaum Quraish pada waktu itu; Nabi SAW mengingatkan kepada tradisi Ibrahim’, untuk menuju ‘Arafah, Muzdalifah, Mina, dan seterusnya melontar di Jamrah dan juga ibadah korban. Dan di ‘Arafah juga, Nabi SAW menyampaikan Khutbah Wada’, seruan akhir baginda yang antara lain menekankan hak persaudaraan sesama Muslim, kesetaraan sesama manusia tanpa mengira bangsa, tuntutan keadilan dalam hubungan antara lelaki dengan wanita, juga tanggungjawab buat yang kuat untuk melindungi yang lemah. Dalam seruan akhir ini juga, baginda mengisytiharkan telah berakhirnya zaman kejahilan, juga turunnya wahyu bahawa agama ini telah disempurnakan.     

Namun, di sebalik keistimewaan sebagai tempat, hari, serta fadhilat kehadirannya; ‘Arafah juga wajar dihayati berdasarkan pengajaran lainnya. Ali Shariati mencatatkan dalam karya beliau The Hajj, bahawa ‘Arafah, serta unsur-unsur lain dalam ibadah Haji itu semuanya sarat dengan pengajaran kehidupan yang penting buat manusia dan kemanusian[iv].

Shariati, arkitek revolusi Iran, menghuraikan bahawa ‘Arafah itu termuat penghayatan ilmu dan pengetahuan, dan hanya dengan pengetahuan, maka kesedaran kemanusiaan boleh terhasil. Bahkan, kata nama ‘A-ra-fah’ itu sendiri mengusung makna perkenalan, pengetahuan dan kearifan, khususnya berkaitan hubungan antara manusia dengan penciptanya. Penghayatan ‘Arafah juga mengingatkan kepada penceritaan Al-Qur’an tentang penciptaan manusia dengan amanah sebagai khalifah di muka bumi datang dengan asas pengetahuan. Firman Allah, “Telah diajarkan kepada Adam nama-nama segala sesuatu…”, wajar mengingatkan kita bahawa ilmu dan pengetahuan itu merupakan pengajaran yang asal semuanya dari Tuhan[v].

Oleh yang demikian, mungkin boleh sahaja dirumuskan pengajaran penting berkenaan ‘Arafah di sebalik keistimewaan fadhilat kehadiran diri dalam satu ruang-masa, juga mengandungi pengajaran yang amat bermakna dalam menghargai nilai pengetahuan untuk manusia dan kemanusian, khususnya buat kita yang beragama Islam. Tanpa pengetahuan, kita tidak mungkin boleh benar-benar tahu dan sedar. Lantaran itu, Manusia diseru untuk hadir di ‘Arafah untuk menghayati pengetahuan sepenuhnya. Kerana hanya dengan ilmu pengetahuan, maka yang dicipta itu dapat dihubungkan dengan Pencipta, sama seperti makhluk dapat berhubungan dengan Tuhan.

Maka, seraya menginsafi hal ini, ‘Arafah mengajarkan kepada kita bahawa hanya dengan asas pengetahuanlah yang menempatkan diri kita di dunia sebagai manusia, sekaligus membawa penghayatan kemanusiaan. Malah, boleh dikatakan keseluruhan ibadah Haji itu mengajarkan tentang kehidupan dan kemanusian; kepentingan persaudaraan, keutamaan kasih sayang dan pengorbanan, serta perlawanan dengan unsur-unsur kejahatan. Pengajaran-pengajaran penting ini mengingatkan bahawasanya kehidupan ini secara keseluruhannya merupakan satu perjalanan hidup di dunia menuju Tuhan.

Perkongsian di atas mungkin menimbulkan persoalan tentang apa relevannya ‘Arafah dalam membincangkan pembangunan Islam di Malaysia? Apatah lagi, Islam sebagai agama telah kukuh bertapak dalam masyarakat di Malaysia untuk sekian lama, khususnya dalam kebudayaan Melayu. Tambahan pula, topik berkaitan Islam sudah menjadi lumrah dan sentiasa bermunculan setiap hari dalam wacana awam.

Namun, perkembangan di Malaysia akhir-akhir ini yang dilanda ketidak-tentuan politik dan kesukaran ekonomi serta kesenjangan sosial seakan-akan telah mempengaruhi wacana awam berkaitan Islam untuk cenderung didominasi unsur-unsur etno-sentrik yang ekstrim, serta naratif keagamaan populis yang mudah mengundang keresahan dalam masyarakat serba berkepelbagaian di Malaysia.

Lebih daripada itu, dinamika politik pada masa ini juga miring memgembur identiti Melayu-Islam hingga mudah mengumpan sentimen kebencian, bukan hanya terhadap kelompok berlainan kaum atau agama, malah sesama Muslim itu sendiri.

Justeru itu, mengingati ‘Arafah, mungkin mewajarkan kita untuk ‘wuquf’ atau berhenti sebentar memikirkan kembali keadaan semasa dalam masyarakat, dan ke mana halatuju wacana berkaitan pembangunan Islam di Malaysia pada masa ini. Oleh yang demikian, Aku merasakan ‘Arafah memberi beberapa pengajaran penting untuk kita sebagai Muslim dalam memacu pembangunan masyarakat di Malaysia.

Pertamanya, ‘Arafah menekankan tentang kepentingan ilmu dan pengetahuan sebagai asas kepada pembangunan diri dan masyarakat. Kepentingan pengetahuan ini wajar difahami secara luas meliputi pengetahuan tentang diri, tentang masyarakat dan juga alam persekitaran secara keseluruhannya yang wajar dihayati secara rasional, empirikal dan juga spiritual melangkaui pemecahan bidang-bidang ilmu seperti kebiasaan pada masa ini.

Arafah, dengan ini, lantas mengingatkan kita bahawa segala ilmu ini asalnya dari Tuhan, serta kedudukan istimewa yang ada pada kita sebagai manusia itu asasnya kerana pengetahuan. Hanya dengan penguasaan ilmu kita dapat mengelakkan daripada terperangkap dalam sentimen permusuhan dan perpecahan. Ini termasuklah dalam hal-hal keagamaan, yang ada kalanya kerana terlalu ghairah, walhasilnya penerapan keagamaan itu kehilangan hikmah. 

Kedua, berasaskan kepentingan ilmu dan pengetahuan, ‘Arafah mengingatkan tentang bagaimana kita harus menempatkan diri di dunia, khususnya sebagai manusia ciptaan Tuhan. Kesedaran ini sewajarnya mengingatkan bahawa wujudnya diri kita ini sebenarnya melangkaui identiti setempat yang dibentuk oleh negara, masyarakat mahupun satu-satu zaman yang khusus; atau dengan kata lain, identiti diri itu tidak hanya tertakluk kepada pembentukan tempat-masa-persekitaran. Identiti diri sebagai seorang Islam antara lain memerlukan kita mengenang Adam, Ibrahim dan tentu sekali Muhammad SAW, di mana kita wajar menyedari identiti diri sebahagian daripada tradisi kemanusian yang lebih luas dan bersifat kebelakaan.

Oleh itu, sebarang penghujahan dalam mengukuhkan identiti berkaitan Islam, haruslah bertepatan dengan nilai-nilai kemanusiaan; saling rasa hormat, menghargai persaudaraan, keadilan dan kasih-sayang; dan bukan sekadar memperkasa identiti etno-agama secara sempit.

Ketiga, ‘Arafah wajar mengingatkan kita tentang kemajuan, kegemilangan dan kesempurnaan dalam kehidupan sebagai manusia dan masyarakat. Kejayaan yang dicapai komuniti awal Islam itu terhasil bukan hanya disebabkan keyakinan keagamaan, tetapi juga melibatkan kesabaran, pengorbanan dan juga kebersamaan usaha di tahap yang paling tinggi. Malah, seperti mana yang ditekankan oleh baginda Nabi SAW, kesempurnaan keagamaan yang perlu dicapai dalam membangun sesebuah masyarakat itu perlu datang bersama komitmen persaudaraan, keadilan, serta kasih sayang untuk semua ahli-ahli masyarakat.

Tibanya hari ‘Arafah turut mengingatkan Aku yang berpeluang menjejak tanah ‘Arafah satu tahun yang lalu, di bawah langit biru dan terik matahari yang membakar tubuh saat berdiri menghadap Tuhan memohon pengampunan dan pengharapan. Tiba-tiba datang hujan ribut sebelum berlalu matahari senja sambil membawa bersama sejuta doa. Tentu sekali disertakan juga doa maju sejahtera untuk Malaysia, umat Islam sedunia dan umat manusia keseluruhannya. Semoga rahmat Tuhan sentiasa bersama kita.

Dan Allah yang Maha Tahu akan segalanya.


[i] Sunan An-Nasa’i; Hadith 3016.

[ii] Sunan At-Tirmidhi; Hadith 3339.

[iii] Sahih Muslim; Hadith 1348.

[iv] Ali Shariati. 2003. The Hajj. Islamic Book Trust. Kuala Lumpur.

[v] Al-Qur’an (2:31)

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started