Miskin Bandar: Bak Desa Tanpa Mentari

Penduduk Desa Mentari adalah cerminan kepada realiti sebenar majoriti rakyat Malaysia kalangan B40 dan M40 yang mempunyai cabaran masing-masing. Jelas, jika tiada usaha pemerkayaan akan suara mereka yang sedia kurang didengari ini selama ini dalam pembentukan polisi yang holistik, kitaran hidup yang menzalimi mereka ini akan terus berlanjutan kepada generasi mendatang.

Kesenjangan sosioekonomi menjadi topik yang tidak pernah surut dan bertambah dinamik dalam “Malaysia kaya” ini. Perkara ini telah diulas panjang dan didokumentasikan, contohnya dalam buku “The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia” ditulis Dr Muhammed Abdul Khalid dan buku “Rich Malaysia, Poor Malaysians: Essays on Energy, Economy and Education” oleh penulis Anas Alam Faizli, masing-masing dikira pakar dalam perbahasan ekonomi di Malaysia. Itu pun belum diambil kira kesan langsung dan tidak langsung pasca-wabak pandemik COVID-19 kepada golongan terpinggir umumnya di Malaysia yang pada hemat kami tiada lagi analisis holistik berkenaannya.

Kali ini Merdeka Center dengan sokongan beberapa pemegang taruh daripada pelbagai latar belakang telah menganjurkan sebuah inisiatif “Program Zamalah Belia bagi Tema Transformasi Sosioekonomi dan Kesatuan Nasional” bagi peringkat Lembah Klang untuk memahami realiti rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan paling bawah dalam kelas ekonomi seperti B40. Pangsapuri Desa Mentari di Petaling Jaya menjadi kawasan kajian yang mewakili segmen miskin bandar untuk diselami realiti kehidupan mereka. Untuk rekod, pemerhatian kami tidak terhad kepada indikator Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang biasa dipakai tetapi kami cuba mengaplikasikan panduan Indeks Pembangunan Manusia (HDI) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) ketika mendekati golongan sasaran kami ini.

Utamanya, isu pendapatan isi rumah yang rendah menjadikan golongan kelas bawahan kekal terpinggir daripada komuniti lain yang mempunyai pendapatan isi rumah yang lebih baik. Golongan ini lebih tertumpu kepada isu kelangsungan hidup. Berbeza dengan kelas yang berpendapatan lebih tinggi, mereka mampu untuk memikirkan penambahbaikan kualiti hidup seperti menghadiri ke kelas tambahan dan pendidikan muzik bagi anak-anak. Hal ini menyebabkan berlakunya diskriminasi secara tidak langsung yang berterusan kepada golongan kelas bawahan kerana keterbatasan daripada segi kualiti hidup hasil jurang pendapatan yang jauh berbeza.

Selain daripada itu juga, mereka sedia terpinggir daripada akses kepada peluang pendidikan yang lebih berkualiti sekaligus pekerjaan lebih baik. Hal ini menyebabkan potensi dalam kalangan mereka ini tidak dapat digilap sepenuhnya. Maka dianggarkan kepompong kemiskinan ini akan terus diwarisi dan menghantui generasi seterusnya. Isu pengangguran dan kualiti hidup yang tidak baik direkodkan turut menyumbangkan kepada masalah sosial lain seperti jenayah pecah rumah, kecurian, penyalahgunaan dadah dan sebagainya. Perkara ini realiti yang pahit untuk ditelan sebenarnya.

Kebolehcapaian mereka kepada sistem sokongan kesihatan mental dan fizikal antara isu penting kalangan mereka yang tidak putus kunjung tiba. Faktor saiz unit pangsapuri yang kecil memberi kesan langsung kepada ketahanan kesihatan mental ketika berada di rumah khususnya bagi sebuah keluarga yang besar jumlah ahlinya. Ia turut dilaporkan media massa dan aduan diterima oleh badan kebajikan khusus ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan. Sering berlaku masalah sumbang mahram, penderaan fizikal serta mental oleh ahli keluarga termasuk keadaan keluarga yang porak-peranda hasil penceraian ibu bapa misalnya.

Bagi kebanyakan keluarga pula adalah akses terhad kepada bekalan air bersih dan air yang selamat diminum yang menyumbang kepada isu kesihatan fizikal seperti penyakit bawaan air. Isu kesihatan ini menghalang kepada kemandirian ahli komuniti ini untuk terus menambah baik kualiti hidup yang setaraf dengan komuniti lain yang lebih sihat. Tidak kurang juga dilaporkan masih ada yang terputus sejak sekian lama bekalan asasi ini. Ia tidak dapat diterima bagi sebuah negara maju seperti Malaysia.

Di samping itu, kekangan daripada segi kelengkapan infrastruktur yang lengkap juga dapat diperhatikan dalam komuniti Desa Mentari ini. Ia telah memberi kesan langsung kepada kualiti kehidupan harian mereka. Isu seperti kerosakan lif yang sering berlaku juga menyukarkan pergerakan bagi golongan marginal seperti orang kelainan upaya (OKU) dan warga tua. Isu-isu sebegini sememangnya mendatangkan impak kepada mereka sungguhpun mereka telah menganggap kebiasaan ini sebagai sesuatu keadaan yang tidak begitu ketara. Kesukaran kehidupan penduduk di Desa Mentari terlihat disebabkan lemahnya kemudahan infrastruktur di blok kediaman mereka yang menjadikan penduduk tidak dapat untuk menjalankan aktiviti harian dengan baik.

Contoh yang timbul seperti  tiada akses kerusi roda dan juga ruang yang terhad untuk tempat letak kenderaan warga OKU. Tambahan, lif bangunan selalu  bermasalah dan tidak dibaiki menjadikan penduduk umumnya terpaksa bergantung kepada satu lif dan tangga sahaja. Senario ini amat memeritkan. Namun itu bukan alasan untuk mereka mengeluh, bahkan mereka telah menganggap ia sebagai kelaziman dan norma biasa bagi mereka sekaligus berjaya mengurus permasalahan ini dengan baik untuk meneruskan kehidupan seharian mereka yang serba kekurangan itu.

Sistem sokongan khususnya sokongan sosial juga antara isu yang mendesak untuk diketengahkan. Khususnya bagi ibu tunggal, mereka amat memerlukan sokongan sosial seperti tempat jagaan kanak-kanak atau TASKA untuk memastikan keselamatan anak-anak ketika ibu mereka berada di tempat kerja.  Tanpa kewujudan sokongan sosial yang lebih memudahkan warga ini, misi untuk mencari rezeki menjadi satu cabaran kepada pencari nafkah utama ini. Mereka terpaksa bergantung kepada jiran mereka untuk menjaga anak-anak mereka yang masih kecil bagi mereka tidak mempunyai kemampuan kewangan yang cukup atau sibuk bekerja di luar untuk memenuhi keperluan seisi keluarga. Sebilangan besar jiran-jiran yang menjaga anak-anak mereka biasanya adalah warga tua.

Bagi warga tua pula, mereka yang rata-rata tidak lagi bekerja terutamanya yang tinggal berseorangan atau bersama hanya pasangan mereka di rumah ini sepenuhnya bergantung kepada bantuan kewangan daripada anak-anak mereka yang bekerja di tempat lain, ihsan jiran-jiran sekitar dan skim bantuan kerajaan secara bulanan atau one-off untuk menampung keperluan asasi seharian mereka. Ini bukan perkara baharu bagi warga tua yang merupakan penduduk majoriti di kediaman kos rendah seperti ini.

Akhir kalam, bagi kami pendedahan dan pengamatan terhad ini hanya sebahagian kecil daripada kisah-kisah pergelutan kelas ekonomi rakyat Malaysia dalam memaknai kehidupan yang penuh onak dan duri yang sistemik ini. Penduduk Desa Mentari adalah cerminan kepada realiti sebenar majoriti rakyat Malaysia kalangan B40 dan M40 yang mempunyai cabaran masing-masing. Jelas, jika tiada usaha pemerkayaan akan suara mereka yang sedia kurang didengari ini selama ini dalam pembentukan polisi yang holistik, kitaran hidup yang menzalimi mereka ini akan terus berlanjutan kepada generasi mendatang.

Soalan untuk kita semua, apakah usaha kita untuk merubah realiti ini?

Esei ini ditulis secara bersama oleh Salami (juga editor), Al-Hafiz, Nash, Carinna dan Joey. Esei ini merupakan sebahagian daripada projek “Transformasi Sosioekonomi dan Kesatuan Nasional” anjuran Merdeka Center, Team Selangor, Naratif Malaysia, MyPJ, Gerakan Pembebasan Akademik, Persatuan Kenduri-Kendara Desa Mentari, Persatuan Kenduri-Kendara Blok 3 Kampung Lindungan dan Cultural Harmony Camp Youth.

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started