Rupa Kelantan: Asimilasi Budaya Melayu dalam Minoriti Siam

Proses asimilasi, akulturasi dan adaptasi antara masyarakat Melayu dan Siam ini jelaskan hubungan antara kedua-dua komuniti ini terjalin baik. Sebarang halangan dan kekurangan diwujudkan melalui persefahaman agar tidak berlaku konflik. Asimilasi budaya dalam dua komuniti berbeza ini menjelaskan bahawa ruang integrasi dalam masyarakat Malaysia masih lagi ada.

Etnik Siam merupakan kumpulan minoriti dan dari sudut politik ia dikategorikan sebagai kaum bumiputera. Di Malaysia, etnik minoriti berjumlah 317 000 orang termasuklah etnik Siam (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2016). Jumlah komposisi masyarakat Siam di Kelantan pula dianggarkan 15 000 orang. Masyarakat Siam di Malaysia kebanyakannya tertumpu di beberapa negeri sahaja iaitu di Kedah, Kelantan, Perak dan sebahagian kecilnya di Terengganu. Orang Siam di Kelantan dipercayai berasal daripada Selatan Thai dan berpindah dari Thailand ke Kelantan sejak 600 tahun dahulu. Kehadiran kaum minoriti ini dibuktikan melalui penemuan imej Buddha lama di Wat Phikulthong Vararam dan tapak bangunan awal di Wat Chonprachumthatchanaran di Kampung Dalam, Tumpat, Kelantan.

Terdapat 30 buah perkampungan yang berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan telah dibuka oleh masyarakat Siam. Selain itu, terdapat 20 wat atau kuil besar sebagai pusat aktiviti keagamaan mereka. Kebanyakan penempatan mereka terletak dalam perkampungan orang Melayu.  Antara daerah tumpuan kaum Siam ialah Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Machang dan Pasir Putih. Majoriti masyarakat Siam menganuti ajaran agama Budha Theravada. Akomodasi agama yang diamalkan ini membolehkan kedua-dua kaum hidup dalam keadaan aman dan harmoni sejak sekian lama meskipun 94% penduduk Kelantan adalah Melayu Islam. Tolak ansur dan perhubungan yang erat antara kedua-dua kaum ini membuahkan kejayaan integrasi di Malaysia. 

Etnik minoriti boleh dianggap sebagai satu komuniti kecil yang berbeza dengan kumpulan majoriti. Perbezaan ini boleh dilihat dari beberapa aspek kehidupan mereka. Jeffcoate (1984) menghuraikan ciri-ciri kumpulan etnik minoriti berdasarkan kepada tiga elemen iaitu saiz kumpulan yang kecil, kurang mempunyai kuasa relatif dengan kumpulan lain dan konteks budaya yang terasing dengan masyarakat tempatan. Smolicz (1981) pula melihat kumpulan etnik berdasarkan penonjolan tema budaya. Budaya utama yang dikenal pasti ialah bahasa kemudian disulami dengan budaya lain seperti agama, politik dan struktur budaya. Wirth (1970) pula menjelaskan terdapat empat kategori kumpulan minoriti iaitu assimilationist (rela diintegrasikan dalam masyarakat dominan), secessionist (menuntut kemerdekaan politik daripada kumpulan dominan), militant (cuba mendominasi ke atas kumpulan etnik lain)dan pluralistic (cuba mengekalkan budaya sendiri tetapi pada masa yang sama akan melibatkan diri dalam institusi politik dan ekonomi sesebuah masyarakat). 

Strategi mewujudkan integrasi adalah dengan mewujudkan tapak integrasi. Justeru, Kelantan dilihat berjaya mewujudkan tapak integrasi melalui ruang pertemuan komuniti dan budaya. Proses integrasi antara kumpulan majoriti dan minoriti ini boleh dijelaskan melalui konsep asimilasi. Proses asimilasi yang berlaku dalam kalangan kaum minoriti Siam di Kelantan ini berlaku melalui pengamalan budaya seharian mereka. Asimilasi atau dalam bahasa Latin, assimilare yang bermaksud menjadi sama. Kamus Dewan edisi keempat mentakrifkan asimilasi sebagai pemaduan pelbagai jenis unsur menjadi satu iaitu dari kebudayaan yang berlainan menjadi satu kebudayaan. Shamsul Amri (2018) menjelaskan kejayaan proses asimilasi berlaku apabila kumpulan minoriti menerima dan menghayati unsur budaya utama kumpulan majoriti. Ini dapat dilihat apabila masyarakat Siam Kelantan bertutur dalam bahasa Melayu menggunakan dialek Kelantan. 

Selain tempoh interaksi yang lama, kejayaan proses asimilasi berlaku dengan adanya kesediaan daripada kaum minoriti untuk menyerap kepada kebudayaan etnik dominan. Kesediaan etnik dominan untuk menerima etnik minoriti juga menjadi elemen penting dalam menjayakan proses ini (Hamidah Abdul Rahman et.al 2009:12). Kesediaan masyarakat Melayu menerima minoriti Siam juga dapat dibuktikan dengan adanya kerjasama dalam pelbagai urusan dengan kaum minoriti Siam. Contohnya dalam urusan jual beli serta kawasan penempatan. Majoriti masyarakat Siam Kelantan tinggal bersama dalam perkampungan orang Melayu. 

Asimilasi Budaya Masyarakat Siam di Kelantan

Bahasa

Bahasa dialek merupakan bahasa yang berlainan dengan bahasa Melayu baku atau rasmi yang wajib dipelajari di sekolah-sekolah kebangsaan. Keunikan masyarakat di Kelantan sama ada Melayu, Cina, India mahupun kaum minoriti Siam serta Cina Peranakan adalah dari segi penggunaan bahasa pertuturan. Dalam perbualan harian, mereka akan “kecek Kelate” sesama mereka. Perkataan seperti ambo atau kawe (saya), ‘ghoyak’ (beritahu), ‘mu make gapo?’ (kamu makan apa?) dan ‘bakpo’ (kenapa) adalah sinonim dengan dialek masyarakat Kelantan. Masyarakat bukan Melayu juga boleh bertutur dengan lancar dan dapat menggunakan ‘loghat’ tersebut dengan pekat. Selain perbualan harian, masyarakat Siam juga menggunakan loghat Kelantan dalam unusur kesenian iaitu Menora (Baharin Hanapi et.al, 2011). Selain Menora, percampuran seni budaya etnik Siam dan Melayu boleh dilihat dalam persembahan Mok Yong.  

Mungkin ia dilihat pelik bagi masyarakat di negeri lain namun tidak bagi masyarakat Kelantan. Penggunaan dialek Kelantan ini adalah medium utama dalam menyatukan mereka. Apabila bertutur dengan ‘loghat’ tersebut, ia dapat mengeratkan rasa kekitaan dalam kalangan masyarakat di Kelantan. Ini turut diakui oleh wakil daripada masyarakat Siam iaitu Eh Chot. Menurutnya, masyarakat Siam dan Melayu di Kelantan hidup dengan keadaan saling melengkapi di antara satu sama lain. Jadi tidak timbul isu mengubah budaya bangsa sendiri. Ia juga sudah sebati dalam kehidupan masyarakat Siam sejak sekian lama

Walaupun mereka menggunakan bahasa dialek sebagai bahasa pertuturan harian, namun  bahasa ibunda tidak ditinggalkan begitu sahaja. Anak-anak muda turut berpeluang mempelajari bahasa ibunda mereka di bawah pengurusan Wat di mana kelas pembelajaran akan berlangsung setiap hujung minggu atau ketika cuti persekolahan. Wat juga memainkan peranan penting sebagai pusat pembangunan dan pendidikan serta menjadi asas kepada pembangunan sahsiah masyarakat Siam. Masyarakat Siam memandang tinggi terhadap peranan Wat sebagai pusat pengajaran agama dan pendidikan moral. 

Makanan

Selain bahasa, asimilasi budaya Melayu dalam kalangan etnik Siam juga boleh dilihat dari segi amalan atau gaya pemakanan. Cara pemakanan juga sebati dengan juadah orang Melayu. Setiap pagi, menu sarapan seperti nasi bungkus dibeli di kedai orang Melayu. Nasi kerabu, nasi berlauk atau nasi dagang menjadi juadah biasa bagi kaum Siam. Setiap juadah dijamah menggunakan tangan di mana ia sama dengan orang Melayu menikmati hidangan mereka. 

Makanan tradisi Melayu seperti budu, sambal belacan dan jering juga menjadi hidangan utama di rumah-rumah etnik Siam di Kelantan. Namun begitu, terdapat sedikit olahan dilakukan oleh etnik Siam dari segi penyediaan makanan. Misalnya, resepi nasi Kerabu diolah dan dilakukan sedikit pengubahsuaian seperti menambah lada hitam yang dikisar. Ia bagi membangkitkan rasa yang sesuai dengan selera mereka.

Selain daripada nasi, orang Siam juga gemar menjadikan pulut sebagai hidangan yang menggantikan nasi. Cuma cara masakannya sahaja yang berbeza dengan cara orang Melayu. Pulut tersebut dimasak tanpa menggunakan santan seperti mana orang Melayu memasak pulut. Makanan Thai tidak banyak perbezaannya dengan makanan Melayu kerana mereka juga menggunakan rempah ratus dan herba dalam masakan mereka. Proses pengolahan pada juadah makanan ini menggambarkan proses akulturasi juga turut berlangsung dalam budaya seharian masyarakat Siam. 

Pakaian

Budaya pemakaian bagi masyarakat Siam tidak banyak perbezaannya dengan budaya pemakaian masyarakat Melayu Kelantan. Sama juga seperti masyarakat lain, masyarakat Siam turut mengalami proses urbanisasi dan berhijrah ke bandar untuk mencari peluang pekerjaaan. Budaya pemakaian mereka telah bergerak seiring dengan arus pemodenan. Mereka juga turut mengenakan busana moden atau memakai seluar jeans, t-shirt, kemeja, skirt dan lain-lain. Budaya pemakaian yang ingin dikongsi dalam perbincangan adalah budaya pemakaian bagi masyarakat Siam yang masih tinggal di kampung terutamanya golongan tua. 

Gaya pakaian harian masyarakat Siam yang tinggal di kampung kebanyakannya adalah sama dengan budaya pemakaian masyarakat Melayu. Golongan lelaki biasanya memakai kain pelikat atau kain sarung batik, bersemutar dan jarang memakai baju atau memakai baju singlet semasa berada di rumah. Jika hendak ke bandar atau tempat awam mereka akan memakai seluar pendek dan berbaju t-shirt biasa. Mereka memakai pakaian agak rasmi iaitu berkemeja atau memakai t-shirt berkolar apabila menghadiri majlis rasmi seperti majlis perkahwinan. 

Manakala golongan perempuan pula, biasanya mereka memilih untuk memakai kain sarung atau kain batik lepas bersama dengan baju t-shirt lengan pendek. Sekiranya hendak ke pekan atau bandar pula mereka akan memakai seluar pendek di bawah paras lutut atau seluar panjang bersama dengan baju kemeja lengan pendek. Ketika menghadiri majlis rasmi seperti majlis perkahwinan mereka selalunya memakai busana di bawah lutut. Pemakaian masyarakat Siam seakan sama dengan masyarakat Melayu Kelantan dikatakan sebagai proses asimilasi yang berlaku sesama mereka dalam tempoh masa yang lama. 

Kesimpulan

Walaupun budaya seharian masyarakat Siam berjaya diasimilasi dalam kebudayaan Melayu, namun asimilasi ini bukanlah asimilasi mutlak. Hal ini kerana penyatuan ini tidak melibatkan keseluruhan cara hidup. Masyarakat Siam masih lagi mempertahankan pegangan kepercayaan Buddha dan adat resam seperti ritual perkahwinan, kesenian dan kebudayaan termasuklah kepercayaan kepada kuasa magis bomoh. Hanya sebahagian sahaja budaya Melayu yang dipraktikkan dalam kehidupan seharian mereka. Bilangan masyarakat Siam yang sedikit tidak memberi pengaruh yang terlalu signifikan terhadap budaya masyarakat setempat. Demikian, masyarakat Melayu yang dominan lebih memberi pengaruh kepada masyarakat Siam di Kelantan (Teo Kok Seong, 2010).

Proses asimilasi, akulturasi dan adaptasi antara masyarakat Melayu dan Siam ini menjelaskan bahawa hubungan antara kedua-dua komuniti ini terjalin dengan baik. Sebarang halangan dan kekurangan diwujudkan melalui persefahaman agar tidak berlaku konflik terutamanya hal-hal yang melibatkan agama. Asimilasi budaya dalam dua komuniti berbeza ini menjelaskan bahawa ruang integrasi dalam masyarakat Malaysia masih lagi ada sekiranya dua pihak yang berlainan boleh mewujudkan persefahaman dan bersedia ke arah mempertahankan kehidupan yang harmonis. 


Rujukan

Baharin Ilias, Hanapi Dollah & Mohamad Nazri Ahmad. (2011). Tradisi Bercerita Siam Di       Kelantan: Satu Analisa Fungsi Cerita. Jurnal Melayu. Retrieved from http://ejournal.ukm.my/jmelayu/article/view/5029

Hamidah Abdul Rahman, Nordin Ahmad & Shah Rollah Abdul Wahab. (2009). Konsep-konsep           Asas Hubungan Etnik. Dlm Kassim Thukiman, Hamidah Abdul Rahman. 2009. Hubungan         Etnik di Malaysia: Perspektif Teori dan Praktik, Hlm 1-15. Johor: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia. 

Jeffcoate, R. (1984). Ethnic Minorities and Education. London: Harper & Row. 

Rosmalina Izwanita Mohamed, Lee Yok Fee, Sarjit Singh A/L Dasrshan Singh & Mohd. Fauzi Fadzil. (2018). Cabaran dan Usaha Pengekalan Identiti Etnik Bumiputera Siam. Mahawangsa 5 (1): 389-397 (2018). 

Shamsul Amri Baharuddin. (2018). Membina Tapak Integrasi di Malaysia: Sumbangan Siam        Kelantan. Pembentangan Siri Wacana Nasional, Warisan Siam Kelantan Sempena Memperingati Seri Neng Buah. UKM, Bangi. 

Smolicz, J.J. (1981). Culture, Ethnicity and Education: Multiculturalisme in a Plural Society.      Dalam World Yearbook of Education 1981: Education od Minorities (Megarry, J. Nisbet, S. & Hoyle, E.,eds.), hlm 17-36. London: Kogan Page. 

Tan Yao Sua. (1998). Politik dalam Pendidikan Vernakular Cina di Semenanjung Malaysia: Satu Perspektif Hubungan Etnik Majoriti-Minoriti. Jurnal Pendidik dan Pendidikan, Jilid 16, 1998/1999. 

______. Ogos 13, 2018. “Loghat Kelate Harmonikan kaum. Harian Metro. Retrieved 13 Ogos      2020 from https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/08/367680/loghat-kelate-harmonikan-kaum

Siti Haliza Yusop. Mac 13, 2018. Siam Kelantan Bukti Integrasi Unik Malaysia. Berita Harian.        Retrieved 13 Ogos 2020, from https://www.pressreader.com/malaysia/berita-harian- malaysia/20180313/282153586798989

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started