Kemeruduman Bola Sepak di Malaysia: Salah Warga?

Kita juga tahu bahawa warga merupakan antara penyumbang utama dana sesebuah pasukan. Tetapi dalam keadaan sebegini, apakah perkara ini dapat dijana? Tampaknya, jawapan untuk soalan tersebut begitu mudah untuk dijawab. Dan mungkin slogan ‘football without fans is nothing’ itu sangat tepat bidikannya, khususnya dalam konteks bola sepak tanah air. Kita hanya memiliki peminat (fans), tetapi tidak penyokong (supporters).

Bahagian pertama esei sebelum ini (Bola Sepak di Malaysia: Mencari Punca Kemeruduman, 18 Ogos 2020) diakhiri dengan satu soalan yang peri penting untuk kita dirungkai. Soalan tersebut mempertanyakan apakah episod kegagalan bola sepak tanah air perlu disandarkan sepenuhnya kepada institusi dan apakah penyokong bola sepak tanah air terlepas daripada bebanan tersebut? Untuk menjawap soalan ini, ada baiknya jika kita kembali untuk melihat dua konsep utama dalam aspek kepenyokongan iaitu peminat (fans) dan juga penyokong (supporters).

Di Eropah dan Amerika Selatan, penelitian mengenai kepenyokongan bukanlah asing. Ramai dalam kalangan sarjana sukan terkenal seperti Taylor (1971) Critcher (1979), Giulianotti (2002), dan Cronin (2014) berdebat antara satu sama lain, khususnya dalam meneliti perubahan serta perkembangan identiti kepenyokongan dari masa ke semasa. Namun begitu, dalam usaha mengkategorikan dua konsep utama seperti yang dinyatakan, penulis lebih cenderung untuk mengaplikasikan konsep yang dibangun oleh Giulianotti (2002).

Giulianotti memecahkan identiti kepenyokongan kepada empat iaitu penyokong (supporters), pengikut (followers), peminat (fans), dan juga flanuer. Namun begitu, rencana ini hanya mengulas dua daripada empat identiti yang terbentuk iaitu penyokong (supporters) dan peminat (fans).

Penyokong atau supporters dikategorikan sebagai kelompok kepenyokongan klasik. Lazimnya, setiap individu atau kelompok penonton yang digelarkan sebagai penyokong memiliki pertalian sejarah dan pertaruhan emosi antara dirinya dengan kawasan atau kelab. Bagi seorang penyokong, pertaruhan emosi merupakan satu pelaburan yang bernilai. Malah, adalah menjadi satu kewajiban untuk penyokong hadir ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan yang dianggap representasi kepada kawasan tersebut. Biasanya, penyokong merupakan anak jati yang dilahirkan dan dibesarkan di kawasan di mana kelab yang disokongnya itu tumbuh. Kelompok penyokong tidak memikirkan mengenai keputusan perlawanan, tetapi lebih cenderung untuk mengangkat solidariti dan budaya setempat sebagai taruhan.

Berbeza dengan kelompok penyokong, kelompok peminat atau fans dikategorikan sebagai kelompok kepenyokongan moden. Antara ciri-ciri kelompok peminat adalah seperti memiliki sikap solidariti yang sederhana, tidak memiliki hubungan peribadi terhadap kelab, menyokong kelab berdasarkan permintaan pasaran, dan menyokong kelab berdasarkan produk yang digunakan oleh kelab. Tidak seperti kelompok penyokong, kelompok peminat bukanlah individu atau komuniti yang menyatakan sokongan mereka atas kapasiti kelab, tetapi menyandarkan perkara tersebut atas kapasiti individu, jurulatih, kejayaan yang pernah diraih, serta mengikut trend semasa. Kecintaan kepada kelab tidak terbentuk secara organik, tetapi dibentuk berdasarkan konsumerisme produk yang dimiliki oleh kelab seperti jersi dan sebagainya. Maka disebabkan itulah sesebuah pasukan dikehendaki untuk mempamerkan aksi bertenaga agar kemenangan dapat diraih.

Perbezaan antara dua kelompok kepenyokongan ini jelas ditandai dengan penyataan sikap terhadap sesebuah pasukan. Di Malaysia, penggunaan frasa ‘peminat’ lebih merajai dada media berbanding frasa penyokong. Malah terkadang pengarang dan pengulas sukan tanah air sendiri menghadapi kekeliruan dalam meletakkan identiti kelompok kepenyokongan dan ia kemudiannya menjadi ikutan para warga. Perkara ini bukanlah sesuatu yang menghairankan memandangkan kajian mengenai kepenyokongan di Malaysia kurang mendapat tempat dalam kalangan ahli akademik mahupun pengamal media, selain ia merupakan cabang baharu dalam dunia akademik. Bahkan jika ditelusuri dengan lebih mendalam, kajian di Malaysia lebih tertumpu kepada aspek sains sukan, yang mana pada akhirnya, ia terarah kepada aspek keputusan akhir; iaitu jaya-tidaknya meraih gelaran.

Tetapi apakah kita tidak pernah mempersoalkan kenapa aspek sains sukan begitu serius ditekankan? Hal ini sebetulnya tidak hanya berkait tentang persoalan saintifik tetapi juga berkaitrapat dengan warga. Dengan penekanan sains sukan, warga percaya bahawa usaha tersebut mampu meningkatkan prestasi atlet untuk bersaing diperingkat yang lebih tinggi. Apabila bertanding diperingkat yang lebih tinggi, ia sekaligus akan membuka minat para warga untuk hadir memberi sokongan kepada atlet tersebut.

Jika kita mengikuti trend kepenyokongan di Malaysia khususnya dalam kancah perlawanan antarabangsa, kita akan mendapati bahawa sikap turun-naik kehadiran warga ke stadium bergantung kepada siapa lawan pasukan kebangsaan. Sebagai contoh, perlawanan menentang Indonesia dan Thailand baru-baru ini memperlihatkan duyunan warga turun untuk menyaksikan perlawanan. Duyunan kehadiran warga ini mungkin disebabkan suntikan media yang menyatakan bahawa perlawanan ini seolah-olah perebutan jaguh Asia Tenggara, selain daripada lipatan sejarah perlawanan antara kedua-dua negara yang disifatkan sebagai ‘rival’.

Alasan seperti ini boleh difahami. Tetapi, bagaimana pula dengan perlawanan antara pasukan kebangsaan dengan pasukan negara yang lebih kerdil seperti Maldives, Laos, Kemboja, dan Timor Leste yang mana kadar kehadiran warga tidak mencatatkan angka yang memberangsangkan seperti perlawanan yang digelar rival? Apakah kerana keputusannya sudahpun dijangka oleh warga?

Situasi ini juga sebenarnya tidak hanya berlaku diperingkat antarabangsa, tetapi juga turut berlaku di lapangan liga tempatan dan ia bukanlah perkara yang baharu lagi mengejutkan. Jika kita lihat 20 tahun belakangan ini, stadium-stadium yang berkapasiti 20,000 – 30,000 penonton lekang daripada kunjungan warga. Apakah perkara ini adalah disebabkan kurangnya kecintaan warga terhadap negeri? Tidak, ia bukanlah persoalan kecintaan kepada negeri, tetapi persoalan keputusan akhir.

Jika sesebuah pasukan negeri berada di papan atas dalam carta liga, atau mungkin, merupakan pesaing utama untuk merebut kejuaraan, senario tersebut mungkin berbeza. Lihat sahaja pasukan negeri yang berada di papas atas, warga yang berasal dari negeri tersebut sama-sama turun ke venue untuk menyatakan sokongan kepada negeri kelahirannya dan ia berbeza dengan pasukan negeri yang menghuni papan bawah liga. Tetapi apakah kedua-dua senario ini kekal?

Jawapannya adalah tidak. Mengapa?

Kerana dalam situasi kala ini, yang mana jaringan digital semakin berkembang, berlaku pertentangan antara liga bola sepak tempatan dengan liga bola sepak luar negara, khususnya di England. Harus diakui bahawa benua Asia merupakan antara penggemar bola sepak Inggeris. Hasil daripada tinjauan YouGov yang merupakan sebuah agensi penyelidikan pasaran global, sejak pertukaran jadual waktu bermain mengikut waktu Asia – Asian Prime Time – peratusan penggemar Liga Perdana Inggeris meningkat sebanyak 51 peratus. Perkembangan ini tidak semena-mena telah mewujudkan kelompok kepenyokongan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris seperti The Kopites Malaysia, The Gunners Malaysia dan sebagainya.

Pertukaran jadual waktu bermain ini seakan-akan memberi sinar kepada penggemar bola sepak Inggeris kerana warga dapat menyaksikan perlawanan tersebut secara langsung lewat kaca televisyen setiap hujung minggu, iaitu pada hari Sabtu dan Ahad. Lazimnya, Liga Perdana Inggeris memulakan sepak mula seawal pukul 8.00 malam sehingga 1.30 pagi waktu Malaysia. Kemeriahan dan keraian ini dapat disaksikan dengan jelas sekiranya kita berkunjung ke restoran-restoran yang menyajikan skrin besar untuk tatapan pengunjung. Malah yang lebih mengiurkan, terdapatnya restoran-restoran yang diidentikkan dengan kelab Liga Inggeris, yang mana menjadi ‘melting port’ kepada para penggemar sesebuah kelab.

Pada satu sisi, ia dilihat sebagai satu anugerah kepada penggemar sukan bola sepak kerana dapat melampiaskan obses mereka terhadap sukan bola sepak yang berkualiti. Tetapi pada satu sisi yang lain pula, ia memberi tamparan hebat kepada liga bola sepak tempatan. Hal ini kerana jadual liga bola sepak tempatan juga tidak jauh berbeza dengan jadual liga perdana Inggeris. Ia menimbulkan kecelaruan terhadap warga, yang pada akhirnya, memilih untuk menyaksikan liga yang jauh di seberang lautan berbanding liga yang berada di depan mata. Keadaan ini sebenarnya tidak hanya berlaku di Malaysia, tetapi ia juga berlaku di negara-negara lain yang pasukan kebangsaan dan liga bola sepaknya kurang berseri.

Kita tahu, sukan bola sepak memerlukan peranan warga untuk memaknai sukan tersebut. Kita juga tahu bahawa warga merupakan antara penyumbang utama dana sesebuah pasukan. Tetapi dalam keadaan sebegini, apakah perkara ini dapat dijana? Tampaknya, jawapan untuk soalan tersebut begitu mudah untuk dijawab. Dan mungkin slogan ‘football without fans is nothing’ itu sangat tepat bidikannya, khususnya dalam konteks bola sepak tanah air.

Kita hanya memiliki peminat (fans), tetapi tidak penyokong (supporters).


Rujukan

Chris. J. 2016. The English Premier League rules Asia: here’s why. https://www.linkedin.com/pulse/english-premier-league-rules-asia-heres-why-chris-j-reed-black

Critcher, C., 1979. “Football since the war”. In J. Clarke, C. Critcher, and R. Johnson (eds.), Working class culture: Studies in history and theory, London: Hutchinson, pp. 161-184.

Cronin. M. 2014. Sport: A very short Introduction. Oxford University Press.

Giulianotti. R. 2002. Supporters, followers, fans, and flaneurs: A taxonomy of spectator identities in football. Journal of sport and social issues. Sage Publication, pp. 25-46.

Syafiq Aznan. 2019. Tiket perlawanan Malaysia-Indonesia hampir habis. https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/11/629292/tiket-perlawanan-malaysia-indonesia-hampir-habis [17 November 2019]

Taylor, I., 1971a. “Football mad: A speculative sociology of football hooliganism.” In E. Dunning (ed.), The sociology of sport: A selection of readings, London: Frank Cass, pp. 352 – 377.

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started