Kuasa Bahasa yang Membentuk Kita

Di Malaysia, kebolehan seseorang untuk bertutur dalam beberapa jenis bahasa yang berbeza bukanlah sesuatu yang luar biasa. Walaupun tidak relevan untuk semua, kebanyakan rakyat Malaysia adalah bilingual. Percampuran bahasa sudah sebati dengan budaya kita – sangat sesuai dengan konsep rojak yang selalu digunapakai. Ini amat berbeza dengan banyak negara lain di mana rakyatnya adalah monoglot.

Dekat sepuluh tahun yang lepas, si tinggi lampai bermata biru yang entah bagaimana suka sangat berbual dengan aku tentang buku-buku yang kami perlu baca untuk kelas Postcolonial Literature, tanyakan aku soalan ini:

Do you dream in English or your mother tongue? 

Waktu itu aku masih muda, masih seorang pemalu yang tidak punya keyakinan diri yang tinggi. Memanglah, bayangkan selama empat tahun lebih menelaah sastera dunia dengan rakan-rakan sekelas yang semuanya memang dari Eropah. Yang semuanya belajar sejarah dunia dari sudut pandangan yang sama (berbeza dengan pandangan aku), semuanya berbahasa Inggeris dengan loghat dan dialek yang kalau aku cuba ikut memang nampak sangat buat-buat. Sememangnya, aku seorang sahaja yang bukan berkulit putih, tidak bermata hazel-biru-hijau-kelabu, tidak faham yang kalau seseorang itu tegur kau sewaktu berjalan dengan ‘you’re alright?’, dia maksudkan: ‘hei-aku-tegur-je-bukan-nak-borak!’- jadi tidak perlulah kau berhenti tengah jalan nak jawab soalan dia. Saat itu, aku seorang sahaja yang mengambil kursus English with Creative Writing di University of Greenwich yang datang dari timur. Jadi apabila si tinggi lampai bermata biru uturkan soalan itu pada aku, aku terpinga. 

Apakah kebolehan aku bertutur, memahami dan menulis bahasa Inggeris terlalu luar biasa untuk dia? Kenapa? Sebab bukan bahasa ibunda aku? Adakah kerana beberapa kali dia terdengar perbualan aku dengan mak dalam bahasa yang amat asing untuk dia membuatkan dia rasa janggal betapa cepatnya aku tukar gear dari M (Malay) to E (English)? 

Di Malaysia, kebolehan seseorang untuk bertutur dalam beberapa jenis bahasa yang berbeza bukanlah sesuatu yang luar biasa. Walaupun tidak relevan untuk semua, kebanyakan rakyat Malaysia adalah bilingual. Percampuran bahasa sudah sebati dengan budaya kita – sangat sesuai dengan konsep rojak yang selalu digunapakai. Ini amat berbeza dengan banyak negara lain di mana rakyatnya adalah monoglot. Di Jepun dan China contohnya. Termasuk juga untuk rakan-rakan sekelas aku di United Kingdom. 

Ini adalah sesuatu yang janggal bagi aku. Dunia telah melihat arus perkembangan yang membentuk hubungan transnasional dan ikatan globalisasi. Kemudahan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain telah membolehkan penghijrahan secara besar-besaran untuk pelbagai komuniti. Kota-kota besar di seluruh dunia kini menghunikan manusia yang berlatarbelakangkan ras, agama dan budaya yang berbeza. Seharusnya, kita juga lihat kepelbagaian bahasa di kota-kota ini tetapi realitinya, tidak. 

Sebaliknya, kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa yang ditekapkan dari dulu (dulu disini digunakan dengan konteks yang fleksibel) nampaknya terkesan. Dunia menolak kepelbagaian bahasa tetapi menerima (sama ada terpaksa atau tidak) kepelbagaian bahasa Inggeris. Contoh kepelbagaian ini seperti pidgin English yang digunakan di Afrika barat, Indian English, serta Singlish and Manglish yang digunakan di Singapura dan Malaysia. Bahasa Inggeris hidup, berubah-rubah untuk pemakainya dan walaupun pada asalnya digunakan untuk tujuan penindasan, kini dipakai sebagai tanda kekuasaan – lebih-lebih lagi untuk komuniti di mana bahasa Inggeris bukanlah bahasa utama. 

Aku lihat dengan mata sendiri beberapa kejadian di mana orang ramai sengaja buat-buat tidak faham bahasa Inggeris untuk mengelak dari masalah. Atau mereka gunakan bahasa ibunda sendiri untuk membuat perbincangan serius supaya orang sekeliling tidak masuk campur. Cara mereka mengolah penggunaan bahasa memperlihatkan cara mereka menggunakan kuasa mereka. Seakannya, mereka yang mendominasi keadaan – untuk memahami situasi itu atau tidak, untuk memberi kebenaran kepada sesiapa yang mereka rasa layak untuk mengambil bahagian dalam sesuatu perbualan itu atau tidak. Mereka seakan pemegang tali boneka, tuan sarkas yang mengatur persembahan. Mereka juga pelakon – bertukar identiti mengikut bahasa yang dipilih, yang sesuai untuk keadaan. Pemerhatian ini mengingatkan aku pada Foucault yang amat menitikberatkan hubungan kuasa dengan pengetahuan yang membentuk tingkah laku dan ucapan seseorang. 

Pengarah filem Itali, Federico Fellini pernah berkata, ‘a different language is a different vision of life.’  Selama beberapa tahun di sana, aku banyak bergelut dengan perasaan ‘tidak cukup bagus’ hanya kerana bahasa Inggeris bukanlah bahasa ibunda aku. Terlalu banyak perkataan baru yang aku harus belajar, tatabahasa yang aku perlu dalami – itu tak masuk lagi dengan accent yang kadang-kala susah untuk di fahami. Oleh kerana aku harus lebih belajar agar tidak ketinggalan, ini membuatkan aku lebih terbuka untuk mendalami dunia mereka. Lebih aku fahamkan slang mereka, lebih senang aku faham budaya anak muda di sana. Lebih banyak mendengar, lebih cepat aku sesuaikan diri. Lebih banyak aku bercakap, lebih mudah mereka memahami aku (dengan international accent aku – their words, not mine). 

Peliknya, apabila aku pulang ke tanah air, bahasa yang aku gunakan di sana, yang aku belajar seboleh mungkin untuk hilangkan keyakinan diri yang rendah telah membuatkan orang lihat aku sebagai seseorang yang menakutkan, atau lebih menyedihkan, seakan menunjuk-nunjuk. Aku cukup tepu dengan komen yang kalau tidak memperlekeh, terlalu mengagungkan penggunaan bahasa Inggeris aku.

Sebenarnya, ini juga merujuk kepada satu lagi fahaman Foucault yang mengatakan bahawa bahasa tidak mewakili pengalaman manusia secara telus dan berkecuali. Sebaliknya, ianya dipengaruhi oleh sejarah wacana yang khusus. Wacana-wacana ini sering bersaing antara satu sama lain, menawarkan beberapa versi realiti dan melayani kepentingan kuasa yang berbeza dan bertentangan. Di sana, bahasa Inggeris berkhidmat sebagai perantara juga pemangkin ketekunan aku. Di sini, bahasa Inggeris menampakkan jurang peluang untuk pendidikan. Di sana, bahasa ibunda aku membuatkan orang rasa janggal atau tercengang. Di sini, bahasa ibunda aku…sub-par. Dan menyedari ini memberikan aku kuasa untuk mengawal bagaimana dan bila aku harus gunakan kedua bahasa ini. Ini baru dua bahasa, bayangkan poliglot dan kuasa mereka…

Di sini izinkan aku jawab soalan si tinggi lampai sepuluh tahun dulu: Dalam apa bahasa pun mimpi-mimpi aku, “my world is so much more powerful because of it.”

3 thoughts on “Kuasa Bahasa yang Membentuk Kita”

  1. What an amazing thing to read. I never once wonder if I dream in English or Malay.. I dont even think language ever appear in my dream… Love this article, hope the author will write more 🙂

    Liked by 1 person

    1. Hi Siti,

      Terima kasih kerana membaca artikel ini. Maksud saya adalah bahasa Melayu saya tidak seberapa for me to use confidently in formal settings. Saya masih perlu banyak belajar, lebih-lebih lagi dengan penggunaan konsep dan tatabahasa. Sayangnya, saya tidak mendalami these knowledge dalam bahasa Melayu but I am learning and enjoying it.

      Liked by 1 person

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started