Perihal Ummahatul Matalib

Tulisan ini adalah tentang sebuah konsep iaitu konsep “ummahatul matalib”, hasil pembacaan saya daripada sebuah buku yang dijudul-melayukan sebagai “Peringatan Buat Penuntut: Perihal Perkara Utama yang Dituntut”. Buku ini saya baca hasil daripada cadangan dan diskusi bersama dengan seorang rakan saya yang belajar di Mesir.

Tulisan ini adalah tentang sebuah konsep iaitu konsep “ummahatul matalib”, hasil pembacaan saya daripada sebuah buku yang dijudul-melayukan sebagai “Peringatan Buat Penuntut: Perihal Perkara Utama yang Dituntut”. Buku ini saya baca hasil daripada cadangan dan diskusi bersama dengan seorang rakan saya yang belajar di Mesir.

Buku ini ditulis oleh Ahmad Al-Syazuli, seorang ilmuan muslim yang dikhabarkan oleh rakan saya tersebut telah meninggal dunia pada tanggal 28 Julai 2020 dalam usia yang boleh dikatakan masih muda. Beliau sememangnya antara ilmuan yang dikenali menceburkan diri ke dalam bidang mantik, kalam dan maqulat (ilmu-ilmu akal). Buku ini adalah merupakan salah satu usaha beliau untuk mengasingkan secara khusus perbincangan berkaitan dengan tema ini yang sebenarnya digali daripada kitab-kitab klasik terutamanya daripada tradisi Islam yang boleh dijejaki semenjak kurun ke-10 Masihi menerusi kitab Al-Isharat wa al-Tanbihat karangan Ibnu Sina.

Konsep “ummahatul matalib” ini sememangnya merupakan hal yang masyhur dibincangkan dalam bidang disiplin ilmu mantik. Jika diterjemahkan, ia membawa maksud tuntutan-tuntutan utama. Sebagai seorang manusia yang secara fitrah kejadiannya punya keupayaan berfikir dan mencerap pengetahuan, konsep ini membincangkan tentang bentuk-bentuk pengetahuan dasar dan umum yang dituntut oleh jiwa manusia khususnya sebagai penuntut dan pengkaji ilmu. Oleh sebab itu, tuntutan-tuntutan utama ini apabila berjaya dipenuhi, mampu menghasilkan jawapan-jawapan yang membentuk pelbagai disiplin ilmu serta dalam masa yang sama mewujudkan ilmu yang sistematik dan jelas dari sudut ontologi dan epistimologinya.

Buku ini memulakan perbincangan dengan sebuah premis bahawa manusia itu dilahirkan dalam keadaan kosong daripada sebarang ilmu namun punya potensi untuk mendapatkan ilmu tersebut. Dengan potensi tersebut yang dilengkapi dengan himpunan alat yang berupa indera dan akal, maka manusia akan memulakan perjalanannya untuk berfikir dan mengumpul pengetahuan. Apabila seseorang terdetik untuk mengetahui tentang sesuatu, maka mustahil baginya berada dalam keadaan tidak tahu langsung tentang sesuatu tersebut dan juga mustahil baginya berada dalam keadaan mengetahui tentang sesuatu tersebut secara sempurna. Maka disebut di sini, titik mula seseorang ingin tahu tentang sesuatu adalah bilamana seseorang itu tadi telah tahu akan sesuatu tetapi tidak secara sempurna. Jiwa dan fikiran seseorang akan mencapai sesuatu yang tidak diketahui (dari satu segi) dalam keadaan telah diketahui sesuatu itu dari segi yang lain. Dia akan bermula dari segi yang telah diketahui untuk meneroka segi-segi lain yang masih belum diketahui untuk mencapai ilmu dan pengetahuan yang sempurna tentang sesuatu tersebut.

Perbincangan tentang konsep ummahatul matalib merangkumi beberapa tahap atau peringkat yang berbentuk soalan-soalan umum kerana bagi penulis, apabila seseorang mahu memulakan perjalanannya untuk mengumpul pengetahuan maka ianya akan bermula dengan pergulatan soalan-soalan yang memerlukan jawapan-jawapan yang mampu memuaskan fikiran dan jiwa seseorang tersebut. Dari sinilah, penulis melakukan analisis dengan menjelaskan setiap bentuk pengetahuan dengan perincian tahap-tahap soalan yang dilalui oleh jiwa manusia untuk menuntut pengetahuan. Tahap-tahap yang dibentangkan penulis menunjukkan bahawa yang terlebih penting kepada seorang penuntut ilmu adalah mempermasalahkan prosesnya yang terkandung peringkat dan turutan yang harus dipenuhi bagi mengumpul pengetahuan.

Perbincangan tentang tahap-tahap tersebut secara umum boleh dikelaskan kepada dua bab besar dalam ilmu mantik iaitu tasawwur (takrif) dan tasdiqi (hujah). Bab tasawwur adalah tentang pengetahuan manusia yang mengkehendaki kepada perupaan makna di akal dengan perupaan yang paling sempurna yang akal mampu sahaja. Manakala bab tasdiqi pula adalah tentang pengetahuan manusia yang berhajat kepada perupaan makna di akal namun dituruti dengan elemen penerimaan atau penolakan oleh jiwa manusia terhadap perkaitan antara dua makna tentang sesuatu ilmu tersebut.

Tahap yang pertama adalah tuntutan daripada soalan “apa”. Ini adalah tahap yang paling asas apabila manusia mula melontarkan soalan kepada akal dan jiwa mereka untuk menuntut agar dihadirkan tasawwur makna bagi sesuatu kata nama, lafaz atau istilah. Tuntutan “apa” ini merangkumi dua hal iaitu tuntutan tasawwur makna secara umum dan tuntutan tasawwur makna secara terperinci. Bagi tasawwur makna secara umum, ianya diistilahkan oleh penulis sebagai takrif lafzi (takrif berdasarkan lafaz) atau takrif ismi (takrif berdasarkan kata nama). Sebagai contoh kita bertanya, “Apa itu durian?” Maka dijawabnya bahawa durian itu adalah sejenis buah-buahan. Namun, akal dan jiwa manusia tetap tidak berasa puas dengan jawapan seumpama itu yang kemudiannya menuntut kepada tuntutan di peringkat yang seterusnya iaitu tuntutan tasawwur makna secara terperinci yang diistilahkan oleh penulis sebagai “apa penjelas” atau “apa hakiki”.

Bagi peringkat ini, tuntutannya harus memenuhi dua sifat iaitu mencakupi makna yang terkandung dan membatasi yang selainnya dengan tujuan supaya mampu membezakan (makna) sesuatu daripada (makna-makna) selainnya di akal dengan pembezaan yang sempurna. Ianya merangkumi penjelasan tentang kandungan, sifat dan keadaan zatnya serta dihimpunkan juga perkara-perkara yang melaziminya yang bukan daripada hakikat zatnya. Mengambil soalan yang sama, “Apa itu durian?” Maka dijawab durian adalah sejenis buah-buahan yang berduri tajam, berkulit hijau, pokoknya tinggi, isinya manis kuning-kekuningan, akan luruh bila sudah masak dan boleh dimakan terus atau bersama pulut santan dan cendol. Tuntutan bagi soalan “apa” dilihat selari dengan tuntutan bagi soalan “yang mana” kerana ianya adalah untuk menghadirkan makna tentang sesuatu serta mampu membezakan sesuatu tersebut daripada sesuatu yang lain dengan pembezaan yang sempurna dan terperinci.

Tahap yang kedua pula adalah tuntutan daripada soalan “adakah”. Apabila akal dan jiwa manusia telah mencapai dan memahami pengetahuan tentang sesuatu, maka jiwanya akan menuju kepada peringkat yang seterusnya iaitu peringkat pembuktian (tasdiqi). Setelah mendapat pemahaman tentang sesuatu daripada tuntutan soalan “apa” tadi, maka jiwa manusia akan berusaha untuk menyingkap sesuatu yang baru menerusi soalan “adakah”. Penulis membahagikan tuntutan soalan “adakah” kepada dua bahagian iaitu “adakah ringkas” dan adakah ganda”. Tuntutan “adakah ringkas” adalah upaya untuk membuktikan kewujudan tentang sesuatu yang difahami tersebut iaitu dengan mensabitkan kewujudan atau menafikan kewujudan. Manakala tuntutan “adakah ganda” pula adalah upaya untuk membuktikan kewujudan kedua iaitu sifat atau keadaan bagi sesuatu selepas diandaikan wujudnya sesuatu yang pertama tersebut sebagai pemilik sifat atau keadaan (daripada soalan “adakah ringkas”). Sebagai contoh bagi soalan ‘adakah ringkas” adalah “Adakah durian itu wujud?” manakala bagi soalan “adakah ganda” pula adalah “Adakah durian yang wujud itu sifatnya berduri?”.

Tahap yang terakhir bagi konsep ummahatul matalib ini adalah tuntutan daripada soalan “kenapa”. Ianya adalah manifestasi daripada keghairahan manusia untuk mengetahui sebab setelah jelas di akal dan jiwa manusia perihal kewujudan sesuatu dan kewujudan sifat atau keadaan bagi sesuatu tersebut. Sebagai contoh kita bertanya “Kenapa durian sejenis buah yang berduri?” Hal ini adalah turutan daripada tuntutan soalan “adakah” tadi iaitu untuk menggali sebab kewujudan sesuatu (adakah ringkas) dan sebab dihukumkan sifat dan keadaan bagi sesuatu tersebut di dunia realiti (adakah ganda).

Sebagai kesimpulan, penulis mengakui bahawa konsep ummahatul matalib dalam bidang mantik ini tidak menjawab satu soalan pun daripada kesemua soalan yang dibentangkan tadi sebaliknya hanya memfokuskan kepada bagaimana cara menjawab dengan sebuah kerangka yang sistematik dan berperingkat. Hal ini kerana, untuk menjawab setiap soalan yang dikemukan secara tuntas sememangnya memerlukan ilmu-ilmu daripada bidang-bidang lain yang berkaitan. Walau bagaimanapun, ianya boleh dijadikan sebagai salah satu panduan buat para penuntut ilmu yang tidak mungkin berpisah daripada aktiviti berfikir serta dalam masa yang sama mempunyai keghairahan untuk mencapai kesempurnaan, dan tiada yang lebih sempurna daripada ilmu dan pengetahuan.

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started