Halatuju Profesionalisme Bola Sepak di Malaysia

Bermula musim bola sepak 2021, para peminat sukan bola sepak tempatan pastinya tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya, semacam apakah liga bola sepak tanah air? Pertanyaan dan penantian ini pastinya amat berasas kerana semua pasukan bola sepak yang mengambil bahagian dalam kancah liga bola sepak tempatan – Liga Super dan Liga Perdana – dikehendaki berdiri atas kapasiti pasukan profesional, sepertimana yang ditekankan oleh Malaysian Football League (MFL).

“One of the most radical changes which have taken place in football since the game was first brought into the prominence which it now enjoyed is professionalism” – Tony Collins, Sejarawan Sukan.

Bermula musim bola sepak 2021, para peminat sukan bola sepak tempatan pastinya tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya, semacam apakah liga bola sepak tanah air? Pertanyaan dan penantian ini pastinya amat berasas kerana semua pasukan bola sepak yang mengambil bahagian dalam kancah liga bola sepak tempatan – Liga Super dan Liga Perdana – dikehendaki berdiri atas kapasiti pasukan profesional, sepertimana yang ditekankan oleh Malaysian Football League (MFL). Peralihan pasukan ke arah profesionalisme ini banyak menimbulkan sangkaan yang bernada positif antaranya ia dapat meningkatkan liga bola sepak tempatan setaraf dengan liga bola sepak Asia lain seperti J-League (Jepun), K-League (Korea Selatan), dan Chinese Super League (China).

Tidak kurang juga yang melontarkan pandangan skeptik, disamping mempertanyakan apakah dengan pelaksanaan profesionalisme ini, ia dapat menjamin peningkatan kualiti liga bola sepak tempatan. Malah, ada juga beberapa pandangan yang menyatakan bahawa peralihan ini tidak memberi apa-apa yang signifikan terhadap perkembangan sukan bola sepak di Malaysia. Kesemua pandangan yang dilontarkan oleh masyarakat secara umum ini pastinya memiliki alasan-alasannya yang tertentu. Begitu juga dengan saya, sepanjang hampir sedekad ini menekuni dan memerhati – serta menulis kertas kerja – perkembangan sukan di Malaysia khususnya sukan yang paling popular dalam kalangan warga iaitu sukan bola sepak.

Jika ada individu yang mengikuti perkembangan bola sepak tempatan khususnya liga bola sepak Malaysia, pastinya mereka juga berkongsi persoalan yang sama dengan saya iaitu bukankah profesionalisme sudahpun diamalkan sejak pertengahan tahun 1990an? Lalu pada tahun hadapan, profesionalisme jenis bagaimana lagi yang hendak dilaksanakan? Soalan ini sebetulnya perlu diteliti dengan lebih lanjut dan mendalam.

Perdananya, kita hendak memiliki peta yang jelas, khususnya dalam memahami konsep profesionalisme. Secara umumnya, profesionalisme dalam konteks sukan adalah dibentuk oleh aktiviti komersialisme yang memberi penekanan kepada pemberian ganjaran kepada aktor sukan sama ada sebagai pemain, jurulatih, mahupun individu yang terlibat secara langsung dalam aktiviti sukan. Ganjaran tersebut tidak semestinya bersifat material – boleh dilihat, disentuh, dirasa – tetapi juga dalam bentuk non-material. Pemberian ganjaran tersebut adalah berdasarkan kemahiran, kepakaran, dan pengetahuannya mengenai sesebuah aktiviti sukan. Seperkara lagi yang boleh dikaitkan dalam perkara ini adalah melalui aspek pengurusan yang mana amalan profesionalisme menuntut sesebuah pasukan atau individu hendaklah berdiri atas kapasiti swasta, tanpa menerima campurtangan daripada autoriti seperti negara, negeri, mahupun badan yang berasosiasi dengan pihak pemerintah. Dengan kata lain, profesionalisme menuntut aktiviti penswastaan dan penjanaan kewangan secara kendiri tanpa bantuan daripada pemerintah.

Dalam lanskap dan sejarah bola sepak di Malaysia, sebetulnya elemen profesionalisme sudahpun bertapak pada pertengahan tahun 1990an. Ia diamalkan memandangkan pihak pengelola pertandingan bola sepak tempatan memikirkan bahawa perkara ini merupakan satu-satunya langkah terbaik untuk mengelakkan berlakunya gejala rasuah dan pengaturan perlawanan dan keputusan yang berlelusa pada ketika itu. Pada sisi yang lain pula, amalan profesionalisme ini juga membolehkan pasukan-pasukan tempatan layak untuk beraksi secara merit dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa seperti kejohanan Asian Champions League dan AFC Cup kerana asas utama untuk menyertai kejohanan tersebut adalah melalui amalan profesionalisme. Namun disebabkan kekangan-kekangan tertentu yang mengagalkan pelaksanaan professionalisme pada 1990an, maka usaha tersebut terbantut. Kendatipun, pelan ke arah profesionalisme kembali dihidupkan dengan kewujudan institusi baharu iaitu Malaysian Football League (MFL) yang berdiri atas kapasiti swasta dan berperanan sebagai badan induk pertandingan liga bola sepak.

MFL memperuntukkan setiap pasukan yang bertanding dalam kancah liga bola sepak tempatan perlu seratus peratus mengamalkan profesionalisme baik dari aspek pengurusan mahupun taraf pemain. Perkara ini bertujuan untuk memperbaharui lanskap sukan bola sepak tempatan agar lebih bersifat kompetetif dan teratur. Usaha yang dilakukan ini kelihatan murni dan satu keperluan yang mustahak. Oleh yang demikian, sekarang ini boleh dikatakan setiap pasukan yang akan menghadapi cabaran liga tempatan pada musim hadapan sedang mempersiapkan dan memperkukuhkan pasukan masing-masing agar cabaran liga tempatan semakin menarik dan lebih kompetetif. Antara langkah yang diambil adalah dengan menggaji pemain-pemain tempatan dan import yang memiliki kemahiran tinggi, berpengalaman, serta masak dalam asam garam sukan bola sepak.

Akan tetapi, prospek memajukan professionalisme, liga, dan industri bola sepak tempatan ternyata sangat mencabar, khususnya apabila ada persaingan dan perbandingan dengan liga bola sepak luar negara. Adakalanya perlawanan liga bola sepak luar negara yang dipancarkan secara langsung melalui kaca televisyen berlaku pada hari yang sama ketika liga tempatan turut berlangsung – yang mana kecenderungan para peminat bola sepak lebih terarah kepada siaran dari luar negara. Cabaran ini juga diakibatkan oleh kurangnya sokongan tajaan dan pelaburan daripada badan-badan swasta yang bertaraf tempatan, mahupun multinasional kerana melihat kecilnya pasaran bola sepak tempatan. Hal ini turut disukarkan lagi dengan anggapan kebiasaan bahawa mutu bola sepak tempatan jauh kurang memberangsangkan berbanding kualiti bola sepak luar negara. Bukankah cabaran-cabaran ini menghambat dan menyukarkan pelaksanaan profesionalisme bola sepak di Malaysia?

Sedangkan umumnya kita sudah sedia maklum bahawa era profesionalisme yang akan dihadapi memerlukan sokongan daripada banyak pihak, tidak hanya bergantung kepada penggemar bola sepak tanah air melalui sumber pendapatan utama pembelian tiket perlawanan dan barangan pasukan, tetapi juga daripada sokongan daripada pihak swasta yang menaruh minat terhadap perkembangan sukan bola sepak tanah air. Untuk menyelesaikan perkara ini, peri penting untuk melihat dan menyusun kembali perjalanan liga bola sepak tempatan agar profesionalisme sepenuhnya dapat dicapai, atau mungkin setidaknya menghampiri kemurnian profesionalisme.

Sepanjang fikiran saya, selain melihat kelibat dan enthusiasm masyarakat dalam kancah liga bola sepak tempatan, saya gariskan beberapa perkara yang mungkin – secara peribadi – saya lihat mampu memberi impak terhadap liga bola sepak tempatan.

Pertama adalah setiap pasukan hendaklah memperkukuhkan asas kepenyokongan pasukan terlebih dahulu. Perkara ini sebetulnya sangat mudah dilaksanakan, memandangkan kebanyakan pasukan yang bakal bertanding dalam liga tempatan merupakan pada asalnya bersifat kenegerian, tetapi menjenamakan semua kepada pasukan kelab. Oleh itu, tidak banyak perubahan kepada aspek kepenyokongan dapat dijangkakan kerana secara relatifnya, yang mengalami perubahan hanya status organisasi dan bukannya keseluruhan pasukan. Oleh kerana itu melalui pengukuhan asas kepenyokongan ia setidaknya akan sedikit sebanyak membantu dan memberi dukungan dari segi kewangan melalui pembelian tiket dan barangan pasukan, dan tidak terkecuali, dukungan moral dan semangat kesukanan.

Seterusnya, setiap pasukan yang beraksi dalam kancah liga bola sepak tempatan wajar melakukan usaha kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta, khususnya anak tempatan yang berasal daripada negeri masing-masing. Usaha ini memerlukan pembalikan antara satu sama lain. Dari aspek pasukan, ia setidaknya akan menerima ganjaran yang mungkin boleh membantu kewangan setiap pasukan manakala sebaliknya, syarikat berkenaan boleh memasarkan secara terus produk mereka melalui pengiklanan di stadium ataupun di media-media milik pasukan, disamping boleh mengurangkan cukai tahunan syarikat.

Dan yang terakhir sekali, yang mungkin begitu radikal dan mungkin ada yang akan menganggapnya sepele adalah penukaran jadual waktu bermain dalam liga bola sepak tempatan yang umumnya dilaksanakan pada hujung minggu – khususnya Liga Super dan sebahagian Liga Perdana – kepada hari lain pada hari bekerja. Penukaran ini pastinya kelihatan lucu dan kurang realistik, tetapi sebenarnya ia boleh dilaksanakan. Ia tidak tumpah sama pengorbanannya dengan masa yang kita peruntukkan untuk menyaksikan liga bola sepak luar negara – terutamanya Liga Eropah – yang lazimnya dijadualkan pada awal pagi.

Berdasarkan perkara-perkara di atas, diharapkan langkah ke arah professionalisme bola sepak tempatan pada 2021 dapat terus maju, serta menyumbang kepada para pemain, peminat serta mereka yang terlibat secara langsung dengan sukan bola sepak. Malah, turut membawa kepada pembangunan masyarakat secara keseluruhannya di Malaysia.  

Helmy Muhammad merupakan penyelidik mengenai sosiologi sukan. Manakala esei ini merupakan sebahagian daripada kempen penulisan Aspirasi Malaysia 2021 oleh Merdeka Center dan Naratif Malaysia untuk menggalakkan anak muda berkongsi idea dan pengharapan untuk masa hadapan Malaysia ke arah menghasilkan masyarakat yang lebih harmoni, maju dan sejahtera.

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started