Menilai Kembali Gagasan Negara Kebajikan

Mengapakah negara kebajikan yang mulai muncul dan bertambah jumlahnya di dunia seringkali dikaitkan dengan masalah kemiskinan yang juga bertambah, khususnya sepanjang abad ke 20 sehingga sekarang? Justeru itu, dalam situasi begini, maka sangat diperlukan kesejahteraan dan pengagihan rezeki. Ironisnya, terdapat pula bukti bahwa taraf hidup kita telah menjadi lebih baik daripada dahulu, sementara kemiskinan mutlak pula banyak sekali berkurangan.

Abdul Hadi Awang (2011). Konsep Asas Negara Berkebajikan. Kuala Lumpur: Lajnah Penerbitan Dewan Ulama PAS Pusat.

Buku Haji Abdul Hadi Awang merupakan batu petanda signifikan atau sekurang-kurangnya percubaan kehadapan untuk membantu kita keluar daripada krisis demi krisis ekonomi kapitalis neo-liberal sekarang.

Mengapakah negara kebajikan yang mulai muncul dan bertambah jumlahnya di dunia seringkali dikaitkan dengan masalah kemiskinan yang juga bertambah, khususnya sepanjang abad ke 20 sehingga sekarang? Justeru itu, dalam situasi begini, maka sangat diperlukan kesejahteraan dan pengagihan rezeki. Ironisnya, terdapat pula bukti bahwa taraf hidup kita telah menjadi lebih baik daripada dahulu, sementara kemiskinan mutlak pula banyak sekali berkurangan. Sekalipun taraf hidup menarik dan kemiskinan menurun, mengapakah keresahan para warga tentang ketaksamaan yang menular terus menerus?

Apakah mungkin ketaksamaan pengagihan rezeki, walaupun taraf kehidupan bertambah baik berbanding satu generasi lalu, hal tersebut telah melebarkan lagi jurang antara miskin dengan kaya. Di Dunia Ketiga perbezaan pendapatan didapati lebih lebar berbanding negeri-negeri kapitalis Barat. Di Malaysia hal tersebut adalah masalah utamanya.

Cara terbiasa menentukan pembahagian kekayaan negara adalah penggunaan teknik penyelidikan pekali Gini (Gini coefficient) yang jika berangka lebih tinggi membayangkan jurang ketaksamaan yang lebih lebar dari segi taburan kekayaan di dalam sesuatu negeri (yang diletak pada skala 0.00 – 1.00). Pekali Gini Malaysia adalah pada 0.39 (2019) yang dianggap petunjuk kelebaran jurang pendapatan, khususnya antara warga Malaysia 20 peratus teratas berbanding 40 peratus terbawah. Sementara di negeri maju pula bacaan pekali gininya antara 0.25 hingaa 0.35, yakni jurang ketaksamaan yang lebih kecil daripada angka di Malaysia.

Di Malaysia kerana kekhususan perjalanan sejarah kolonialnya, perbezaan pendapatan kebetulan jatuh di garisan kota-desa, antara kelas, antara Melayu dengan bukan-Melayu, dan juga antara wilayah timur-barat Malaysia. Kalau dikembangkan jurang tersebut lagi, maka perbezaan antara Muslim dan bukan Muslim juga menonjol. Perbezaan antara kelas atasan dengan bawahan paling nyata. Ternyata bahawa ras, kelas sosial, dan agama – ketiga-tiganya itu bertemu dititik sama. Ketaksamaan itu mengundang debat: sejauh manakah diizinkan kebebasan modal? Sejauh manakah pula peranan institusi negara (state)?. Di sinilah relevannya wacana tentang gagasan negara kebajikan dalam upaya mengatasi ketidakadilan ekonomi sosial.

Sekalipun dalam sejarah manusia sistem kapitalis membawa kemajuan berbanding sistem feudal sebelumnya, namun kerana pertimbangan asa sistem kapitalis adalah keuntungan maksimum melalui eksploitasi manusia ke atas manusia sendiri, maka para ahli fikir mulai mengungkapkan betapa perlunya sistem alternatif. Muamar Gadaffi pada kemuncak Perang Dingin tidak memilih sama ada kapitalisme atau komunisme, tetapi jalan alternatif ‘Teori Ketiga‘ yang mensintesiskan teori Islam dengan teori sosialisme. Sukarno juga mencari jalan alternnatif dengan menolak kapitalisme jati dan komunisme murni, lalu mengemukakan ideologi marhaenisme (yang juga memperkirakan gabungan kuasa-kuasa nasionalisme, agama dan sosialisme). Maududi pula menggabungkan Islam dengan demokrasi Barat yang dipanggilnya Theo-democracy (bukan theocracy semata) dan tidak menerima bulat-bulat demokrasi barat tanpa diserasikan dengan Islam atau theocracy tanpa dipadankan kepada kekhususan sesuatu masyarakat Muslim.

Pentingnya sistem alternatif menjadi nyata lagi setelah Ronald Reagan dan Margaret Thatcher mengisytiharkan pada awal 1980an bahawa sesungguhnya tiada sistem melainkan kapitalisme untuk seluruh dunia. Dengan pengisytiharan tersebut sewaktu runtuhnya Tembuk Berlin pada 1989, maka muncul ideologi ekonomi kapitalis baru yang dipanggil neo-liberalisme yang dikepalai Amerika Syarikat dengan dukungan luar biasa institusi-institusi IMF dan Bank Dunia. Neo-liberalisme adalah doktrin bahawa pasar menjadi segala-galannya; pasar adalah wahana kesejahteraan manusia, hinggakan institusi negara (state) sekalipun perlu ditertibkan olehnya. Yang tersempurna dan paling adil adalah pasar. Itulah inti doktrin tersebut.

Keresahan rakyat dengan ketaksamaan mula menampil di Amerika, Eropah dan Asia. Sejak September 2011, bermula di Manhattan Park, New York, tunjuk perasaan awam terjadi. Para demonstran mengambil tema ‘Kerasukan Korporat’ sebagai pemersatunya. Lama kelamaan ditransformasikan tema itu kepada kritik terhadap ketidakadilan sistem kapitalisme itu sendiri. Modal menjadi sasaran utama mereka dan dengan strategisnya pula membezakan masalah ketaksamaan itu dengan modal besar dan buat sementara waktu sasarannya belum lagi pemerintah. Protes tersebut telah menjalar ke ibu negara lain. Terakhir di Toronto, Mexico City, Buenos Aires, Paris, Rome, London, Athens, Hong Kong, Tokyo, Taipei, Manila, Seoul. Para demonstran mendakwa mereka “mewakili 99% warga yang dimannfaatkan oleh 1% yang terkaya”. Tentu sahaja peratusan tersebut satu metafora, namun terbayang disitu ketidakpuasaan, sekalipunn mereka warga negeri maju. Keresahan begini, malah diramalkan pemegang Hadiah Nobel ekonomi Joseph Stiglitz yang memerihalkan dekad 1990an itu “dekad ketamakan” dalam bukunya The Roaring 1990s.

Beberapa kajian menunjukkan bahawa pembangunan yang berasaskan keuntungann tanpa batas sesungguhnya mengakibatkan ketidakimbangan antara kebendaan (yang wajib untuk hidup) dengan keperluan rohani. Tertohoknya kerohanian daripada pembangunan mendorongkan Haji Abdul Hadi Awang mencuba menghidupkan kembali cita-cita para patriot terdahulu, seperti Burhanuddinn Helmi, Ahmad Boestamam dan lain-lainnyna. Abdul Hadi Awang telah memilih gagasan ‘negara berkebajikan’ (welfare state). Pemikiran beliau menghasilkan gagasan tentang suatu yang pokok untuk analisis selanjutnya, yakni sesuatu yang dianggap beliau mematuhi ajaran Islam sebagai alternatif kepada sistem seadanya di Malaysia. Lalu, diterbitkan bukunya Konsep Asas Negara Berkebajikan (2011).

Tiga Pecahan Buku

Gagasan negara berkebajikan perlu dibezakan dengan konsep yang bersangkutan, iaitu ‘Kebajikan ihsan daripada negara’ (state welfare). Negara kebajikan atau negara kesejahteraan rakyat mempunyai sebagai dasarnya bahawa Institusi negara bertanggungjawab tentang kesejahteraan hidup para warganya. Perbezaan tersebut diungkapkan Abdul Hadi Awang dalam 20 baris, tetapi penekanannya lebih kepada fungsi “ber” dalam semantik bahasa Melayu.

Sekadar tiga muka surat membincangkan model-model dan konsep welfare state. Lalu, dikemukakan pengarang tiga model gagasan tersebut, yakni:

1) Model negara kebajikan jenis “unggul”

2) Model negara “kebajikan” jenis Amerika Syarikat, dan

3) Model negara kebajikan “perlindungan sosial” seperti yang ada di Eropah Barat dan juga negara-negara Skandinavia.

Pengarang kemudiannya dalam lapan baris menolak ketiga-tiga model tersebut kerana dikatakan tidak termasuk kata-kata kunci seperti “keberkatan” dan “rahmat” di dalamnya (m.s. 21), sesungguhnya itu adalah satu hal tragis yang menjadi sifat falsafah sekular Barat umumnya. Sememangnya pengarang benar dalam hal ini kerana model negara kebajikan seadanya di barat tidak mengimbangi manfaat material dengan keberkatan spiritual.

Umumnya, buku ini dapat dipecahkan tiga. Pertama tentang konsep negara berkebajikan; kedua mendefinisikan konsep kebajikan dari kaca mata Islam; sementara ketiga pula tentang kedudukan PAS serta upayanya memajukan gagasan negara kebajikan dalam rangka agenda politik parti tersebut vis-a-vis UMNO. Separuh buku ini menghujahkan asas-asas negara kebajikan berdasarkan Quran dan Hadis serta sejarah masyarakat-masyarakat Islam.

Sebaik-baiknya, buku ini mempunyai satu lagi pecahan yang merumuskan segala hujah yang diketengahkannya dalam tiga pecahan terdahulu. Seperti yang seadanya, seolah-olah tiada perkaitan signifikan antara teori Islam yang dikemukakan pengarang dengan keadaan konkrit masyarakat Malaysia. Tiada juga kritik terhadap inti kapitalisme, lebih-lebih lagi kapitalisme jenis neo-liberal yang mengakibatkan ketaksamaan ekonomi dan sosial, justeru, amat diperlukan negara berkebajikan sebagai alternatif. Sehubungan itu, lebih baik lagi jika ditunjukkan Abdul Hadi Awang bahawa sebahagian besar sistem ekonomi di Malaysia tidak direstui Islam, maka kerana itulah maka gagasan alternatif tersebut dikemukakannya. Malah, gagasan itu amat relevan di Malaysia kerana pekali Gininya tidak optimistik, seperti yang ditunjukkan statistik rasmi Malaysia, iaitu bacaan 0.44 pada skala 0.00 – 1.00.

Seperti yang seadanya, gagasan Abdul Hadi Awang dapat diberikan dua tafsiran. Tafsiran pertama, gagasan beliau mengusulkan supaya pemberian kebajikan diperluas dan diperdalam, tetapi mengekalkan sistem ekonomi kapitalis neoliberal dengan memohon jasa baik, ihsan dan juga restu pasar dalam mengagihkan kebajikan kepada para warga. Institusi negara yang dermawan itu sebagai penengah antara pasar dengan para warga. Yang diusulkannya itu sekadar ‘kebajikan sosial’ (social welfare) yang lebih efisien yang termasuk di dalamnya unsur spiritual, tetapi sistem ekonominya tetap sama dengan yang ada, yakni kapitalisme neo-liberal.

Tafsiran Kedua daripada gagasan Abdul Hadi Awang memancarkan upayanya mencari ‘Kalan Ketiga’ yang difikirkan mampu mengatasi masalah ketaksamaan, yakni mencari suatu sintesis daripada tiga model atau variasi negara kebajikan yang terdapat di Barat. Tafsiran kedua ini belum nyata lagi pada peringkat ini kerana buku ini menurut pengarang hanya pratanda satu dokumen rasmi yang akan muncul.

Sekiranya tafsiran kedua itu menjadi kenyataan suatu hari, maka gagasan pengarang itu merupakan alternatif kepada sistem ekonomi global neo-liberal yang menjalar di Malaysia. Dlam konteks kontemporari, idea tersebut satu yang radikal, malah revolusioner relatif kapitalisme yang tak terhalang di Malaysia. Namun, sekiranya gagasan Abdul Hadi Awang itu sekadar bermaksud ‘kebajikan masyarakat’ (social welfare) yang lebih berperikemanusiaan, maka wawasan beliau semata-mata pembaikan penganugerahan ihsan negara kepada warganya yang memerlukannya, seperti yang seadanya di Malaysia iaitu upaya gagasan “tampal sulam”. Tentu sahaja, harapan umum adalah tafsiran kedua, iaitu satu upaya radikal yang melangkau sistem ekonomi seada yang telah mengakibatkan pengalaman ‘keterasingan’ di kalangan 40 peratus penduduk terbawah Malaysia yang lapan puluh peratus adalah Bumiputra, Melayu dan Islam. Sesungguhnya juga tafsiran kedua ini konsisten sekali dengan visi asal para patriot terdahulu yang berkeinginankan perubahan sosial ke arah masyarakat saksama (egalitarian).

Konsep Negara Kebajikan

Dalam pengertian ilmu sosial, konsep welfare state menjadikan tanggungjawab institusi negara (state) menjaminkan kesejahteraan hidup para warganya. Asas tersebut bertentangan amat dengan doktrin pasar bebas. Pendukung konsep welfare state menghujahkan bahawa kebajikan untuk warga tidak boleh diserahkan tanggungjawabnya kepada individu atau korporat. Malah tidak juga kepada komuniti tempatan. Institusi negara menjadi penanggung jawabnya.

Lazimnya, negara kebajikan melindungi warga daripada jatuh miskin melalui manfaat yang disalurkan pada ketika-ketika warga menganggur, memberikan elaun kekeluargaan, menyampaikan saraan bagi mereka yang berpendapatan rendah. Warga juga dibekalkan manfaat persaraan, dihulurkan perawatan perubatan penuh, disediakan pendidikan percuma dan dibina perumahan awam.

Kemudahan-kemudahan minimal disediakan dan diberikan negara agar warganya menyertai demokrasi dan menghayati kewargaann (citizenship) sepenuhnya. Campur tangan institusi negara (suatu yang ditentang sangat oleh ekonomi neo-liberal, khususnya) sesungguhnya amat diperlukan melalui dasar sosialnya. Itulah pendirian satu aliran pemikiran yang yakin bahawa intervensi negara sahaja yang mampu menyelesaikan konflik dalam masyarakat industri moden yang sifatnya ruwet dan kompleks. Bersendirian tanpa perlindungan institusi negara, maka mudah warga individu dimangsakan keadaan.

Sementara itu, satu aliran lain pula berpendapat bahawa negara kebajikan itu sendiri-sendirinya mengabsahkan (melegitimasikan) sistem kapitalis yang seada dengan hanya mengurangkan sisa jelik dan wajah huduh sistem tersebut itu. Malah dihujahkan oleh aliran ini bahawa dengan mengagihkan kebajikan kepada warga, maka menjadi mudah lagi institusi negara mengenakan pengawalan sosial ke atas para warganya. Sekalipun begitu, aliran pemikiran radikal ini mengakui manfaat yang terbit daripada negara kebajikan, sekalipun manfaat itu diagihkan dalam kerangka umum kapitalis kepada majoriti kelas bawahan masyarakat.

Oleh kerana sifat duaan negara kebajikan, iaitu pada satu sisi memihak pemilik modal, tetapi pada sisi lain pula, dalam hal-hal tertentu, institusi negara membela kelas-kelas bawahan, maka peradaban berterusan tentang bagaimana menyelesaikan sifat dualisme tersebut atau sekurang-kurangnya mengimbangi kepentingan modal dengan kesejahteraan rakyat dengan seadil-adilnya. Hal demikian seharusnya menjadi fokus debat di Malaysia, termasuk karya mendatang Abdul Hadi Awang.

Beberapa Kesimpulan Umum

Berpandukan pendirian sejarah gagasann negara kebajikan tersebut, maka buku Haji Abdul Hadi Awang merupakan batu petanda signifikan atau sekurang-kurangnya percubaan kehadapan untuk membantu kita keluar daripada krisis demi krisis ekonomi kapitalis neoliberal sekarang. Sehubungan itu, maka mungkin perlu dihuraikan lagi oleh Abdul Hadi Awang tentang pendiriannya yang kritikal terhadap kapitalisme bebas tanpa kawal. Juga apakah sifat institusi negara (state) yang menjadi impiannya. Sehubungan itu juga perlu dibezakan konsep-konsep ‘bangsa’ (nation), ‘negara’ (state) dan ‘kerajaan/pemerintah’ (government) yang walaupun saling keterikatan, tetap memerlukan analisis masing-masing agar kekeliruan terhindar dalam membicarakan gagasan negara kebajikan, khususnya konsep pemerintah yang bukan sama dengan konsep negara.

Ternyata pada ketika ini lembaga yang dapat menyanggah neo-liberalisme tersebut adalah lembaga negara (state), tapi negara yang dermawan rakyat dan berihsan, selain bijak bestari (enlightened) sifatnya. Sayangnya, hal tersebut, yakni sifat negara itu kurang ditegaskan Abdul Hadi Awang. Berhasilnya atau tidak wawasan negara kebajikan tergantung pula kepada definisi dan yang demikian sifat asasi negara yang diinginkan itu. Hal ini demikian kerana konsep negara itu berbagai, tetapi umumnya terbahagi tiga yang perlu diberi penghuraian lanjut.

Bahawa krisis ekonomi akan terus-terusan terjadi dan menyedari hakikat ini, maka para pemikir maju dari segala spektrum politik kiri seantero dunia sedang mencari alternatif. Ternyata yang menyatukan pemikiran mereka dari pelbagai aliran falsafah adalah penentangan bersaman mereka terhadap ekonomi neo-liberal yang begitu licik sekali berselindung di balik globalisasi. Ekonomi jennis itu juga pintar menyamar dengan memakai topeng gagasan hak asasi manusia, lalu menyimpulkan bahawa freedom itu hakikatnya adalah freedom of the market, dan juga kebebasan individu itu lebih penting daripada kebajikan komuniti.

Gagasan negara berkebajikan Abdul Hadi Awang itu pada intinya adalah ekspresi keinginan mendirikan masyarakat adil yang bersendikan keadilan dalam Islam dan inklusif sifatnya terhadap bukan Islam. Sekiranya gagasan tersebut dapat mensintesiskan tiga kuasa gerak historikal dalam masyarakat Malaysia, iaitu nasionalisme, agama dan keadilan sosial, maka dapat dirumuskan bahawa Abdul Hadu Awang adalah juga pelestari gagasan para pendiri bangsa dan tanah air.

Perintang besar kemunculan negara berkebajikan tentunya datang daripada pendukung dan pembela ekonomi neo-liberal kerana dasar doktrin ekonomi tersebut menghalang institusi negara memainkan peranan aktif dalam kehidupan ekonomi warganya. Malah peranan negara, menurut doktrin tersebut mestilah dibataskan kepada bidang-bidang hukum dan keteraturan serta penyediaan infrastruktur sahaja. Kebajikan ekonomi rakyat harus diserahkan kepada pasar, menurut neo-liberalisme, walaupun pasar tidak bertanggungjawab kepada sesiapapun melainkan lembaga pengarah masing-masing syarikat, sedangkan kerajaan/pemerintah berkehadapan pilihan raya dari masa ke masa. Pembela utama doktrin ekonomi liberal adalah Amerika Syarikat, sementara IMF dan Bank Dunia ayam jaguhnya, yang bersama-sama dengannya adalah adikuasa dunia pada masa ini.

Keterlibatan langsung NATO dalam kontra-revolusi Libya pada 2011 menjadi pelajaran untuk kita merancangkan negara kebajikan. Libya satu contoh negara kebajikan kerana manfaat berbagai yang dikecapi rakyatnya, seperti imbuhan daripada hasil minyaknya yang dibayar langsung kedalam akaun bank rakyatnya, hak milik kediaman, tidak dikenakan faedah pinjaman bank, pemberian tanah dan ternakan, pembekalan elektrik dan perkhidmatam perubatan percuma. Kadar celik huruf warga Libya mencecah 90 peratus selain pendapatan warganya hampir sama dengan Malaysia pada 2000 dan tentu sekali tertinggi di Afrika. Sistem negara berkebajikan diimbangi dengan sistem undang-undang yang berasaskan syariah.

Jadi antara negara-negara kebajikan yang kita tahu, Libya satu-satunya yang mengimbangi tuntutan materialisme dengan kewajipan spiritual. Namun, kerana menguasakan (empowering) rakyat kurang dilaksanakan, maka hal demikian menjadi cukup mudah kuasa-kuasa imperialis dan konsonya di Dunia Arab mengambil kesempatan melancarkan perubahan regim di situ.

Pelajaran terpenting daripada peristiwa Libya: Pembangunan material dan imbangan spiritual ternyata tidak mencukupi kerana semangat zaman (zeitgeist) abad ini bukan sekadar pilihan raya, tetapi pemberdayaan (empowerment) rakyat, yakni proses menguatkan daya para warga.

Agar istilah negara berkebajikan tidak menjadi kabur kerana sejarah negara jenis itu sudah lama wujud, selain konsep tentangnya yang beraneka ragam pula, mungkin kata ‘baharu’ boleh ditambah. Kata ‘baharu’ menunjukkan prinsip-prinsip asas negara kebajikan tidak ditinggalkan, tetapi dalam upaya memperbaiki konsep negara demikian, maka beberapa penyesuaian dan pembaharuan difikirkan perlu. ‘Negara Berkebajikan Baru’ dapat memancarkan perimbangan wajar antara keperluan material dengan tunntutan spiritual. Sebaiknya, dalam ertikata lama, negara berkebajikan itu sekular total sifatnya.

Selama sepuluh bulan sejak pertengahan Mac 2020, institusi negara (state) dimana-mana, termasuk Malaysia memperlihatkan dayanya dan upayanya mengaturkan semula masyarakat dan warganya. Daya dan upaya tersebut ternyata melawan prasangka. Malahh dogma ideologi neoliberal bahawa pasar adalah segala-galanya; bahawa institusi negara itu tidak efisien dan terlalu besar; bahawa institusi tersebut jangan sekali-kali menguruskan kehidupan ekonomi para warga, walau sebahagian pun. Malah kerana sejarah innstitusi itu sendiri, dirumuskan ideologi tersebut bahawa negara harus diterbitkan oleh pasar atas nama kelancaran ekonomi dan mempertahankan hak asasi warga, khususnya yang memiliki modal.

Pengalaman pandemik Covid-19 di Malaysia memperlihatkan petanda awal akan berubahnya imbangan antara tiga “jerangan” – pasar, negara, dan masyarakat. Tentunya, hal ini bererti dalam situasi demikian, peranan masyarakat dan negara akan bertambah, manakala pasar memainkan peranannya dibawah ketentuan masyarakat. Ringkasnya, ‘logik masyarakat’ seringkali mengatasi ‘logik ekonomi’ suatu pengalaman sosial baharu dalam keadaan “perang” kini.

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started