Citra Politik Melayu: Menyelongkar Konservatisme di Malaysia

Sejauh mana citra politik Melayu ini akan bertahan dalam era revolusi maklumat? Masihkah politik Malaysia berkisarkan soal politik perkauman di masa hadapan? Atau berpindah kepada soal politik kelas? Apakah dominasi konservatisme bakal berakhir dan digantikan dengan progresivisme? Sampai bila retorik politik etnosentrisme akan membelenggu politik Malaysia?

“Berdasarkan gambaran konsep masyarakat pada zaman moden dan juga pada zaman pra-penjajahan, saya sebenarnya bertambah yakin bahawa ras dan etnisiti—kategori-kategori yang memberikan dampak penting terhadap cara hidup dan penterjemahan alam di sekeliling kita selama lebih dua abad—sering menimbulkan salah tafsir.”- Anthony Milner, The Malays (terj: 2019)

Melayu. Satu terma yang sering menimbulkan kesalahtafsiran.

Melayu, juga satu perkataan yang apabila diangkat dalam perbincangan pastinya akan membibitkan pandangan hangat tentang sifat Melayu, pandangan alam yang terkandung dalam pemikiran Melayu dan kebudayaan Melayu. Mungkin juga kerana Melayu dari segi populasinya sebagai etnik paling ramai dan dominan. Malahan, faktor pensejarahan juga telah membuktikan bahawa masyarakat Melayu sudah lama wujud mendiami Tanah Melayu, dengan merujuk kepada fasa kemegahan kewujudan empayar Kesultanan Melayu Melaka.

Memang, ini citra sejarah yang sering diagungkan oleh masyarakat Melayu sejak berabad lamanya sehingga ke fasa moden hari ini. Citra sejarah ini juga sering disalah tafsir bukan saja oleh bukan Melayu, masyarakat Melayu juga sendiri sering menyalah tafsir pensejarahan mereka. Kita tidak boleh salahkan Melayu tentang itu, itu sifat asal sebagai Melayu. Masyarakat Melayu sungguhnya kuat memegang pada tradisi dan waktu silam (baca: sejarah). Jika dipermainkan soal pensejarahan Melayu di Malaysia, pastinya akan ada kumpulan ultra-Melayu membangkitkan kehangatan mencetuskan rasa keterancaman terhadap kedudukan orang Melayu. Lebih menghangatkan dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang latar masyarakat bersifat rencam, soal kedudukan Melayu acap kali dilihat sebagai tajuk utama.

Namun, dalam kebanyakan inti perbincangan tentang masyarakat Melayu, yang paling dan sering dijadikan tumpuan adalah soal pegangan politik orang Melayu. Soal ini yang sering lagi disalah tafsir oleh pelbagai pihak. Banyak kajian dilakukan ahli sains politik berkisarkan tentang Melayu. Perihal politi (polity) dan budaya politik Melayu khususnya amalan penaung-dinaung (patron-client) dan jaluran feudalisme masih mencengkam kuat walaupun evolusi zaman mengubah aktor yang terlibat.

Jika ditelusuri sifat masyarakat Melayu di Malaysia, pegangan masyarakat Melayu agak cenderung ke arah “konservatif” dengan ciri kurang menyukai perubahan drastik, tradisi harus berkesinambungan dengan sejarah, keperluan utama menjaga kepentingan komuniti, pengekalan hierarki yang telah lama wujud dan mempertahankan autoriti. Itu jalur pegangan asas sebagai masyarakat yang berpegang pada faham konservatif dan pengamalannya dilihat kuat dalam masyarakat Melayu. Walaupun agak kontroversi memandangkan konservatif dilihat sebagai satu terma yang sering mengalami cemuhan atau tidak menyenangkan (pejorative), tetapi kita tidak boleh nafikan bahawa konservatif merupakan ideologi yang paling dominan melingkari kuat pemikiran kebanyakan pemimpin hebat dunia (Schumann 1978).

Persoalannya, apakah benar masyarakat Melayu itu konservatif? Salahkah masyarakat Melayu berpegang pada jalur ideologi konservatif? Ini inti yang sepatutnya diangkat dalam mewacanakan hubungan pengamalan konservatisme dalam masyarakat Melayu.

Melayu dan Konservatisme: Berpisah Tiada

Istilah konservatif sering kali dilihat dalam konotasi yang negatif, kolot, lapuk dan buruk. Secara ideologikal, sifatnya memang keras dan menyukarkan untuk penerimaan namun sering kali diperdebatkan baik dalam dunia akademik mahupun di ruang awam. Konservatif juga sering disalah ertikan sebagai pegangan ideologi yang jumud, mungkin kerana tumpuan konservatif banyak berkisarkan persoalan tentang penolakan terhadap perubahan.

Sebetulnya, konservatif tidak menolak perubahan, namun perubahan tersebut seharusnya tidak mengancam kelangsungan sesuatu kelompok majoriti ianya pasti diterima. Konservatisme juga meliputi soal nilai-nilai dominan dan dan pemikiran dasar yang memacu kepada pengorganisasian dan modus operandi dalam perlakuan politik. Ini dibuktikan dengan kajian awal menggunakan kerangka konservatisme di Malaysia oleh  Mohamad Abu Bakar (2000) melalui tulisannya di dalam Pemikir bertajuk, “Konservatisme dan Konflik: Isu ‘Kafir-Mengkafir dalam Politik Kepartian 1955-2000”.

Pegangan politik masyarakat Melayu sebetulnya digerakkan oleh kesatuan yang menggagaskan idea dan prinsip “nasionalis-konservatif” dan dijelmakan ke dalam bentuk gerakan nasionalis (Funston 1980). Prinsip ini dimanifestasikan melalui medium pembentukan parti politik yang bersifat kaum misalnya seperti kewujudan UMNO (United Malays National Organization) sebagai parti yang mengagaskan nasionalisme Melayu. UMNO dilihat sebagai sebuah parti politik yang mempunyai kecirian ke arah pegangan ideologi politik konservatif.

Tulisan Muhammad Takiyuddin Ismail bertajuk, Konservatisme Dalam Politik UMNO (2011) dan UMNO dan Konservatisme (2012), menjustifikasikan UMNO sebagai sebuah parti politik yang berpegang pada nilai-nilai konservatif dengan melihat kepada pengukuhan konservatisme dalam pentadbiran Mahathir Mohamad (1981-2003) semasa menjawat posisi sebagai Perdana Menteri ke-4. Legasi konservatisme dalam UMNO diketengahkan juga sewaktu pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi (2003-2009) namun agendanya dilihat bertentangan dengan legasi Mahathirisme. Struktur UMNO juga dilihat sama seperti kewujudan Labour Democratic Party (LDP) di Jepun yang berpegang kepada jalur konservatif sebagai paksi kepada pengamalan dan pengangkatan imej sebagai sebuah parti politik yang dominan.

Perjuangan UMNO mengangkat soal kelangsungan dan kepentingan masyarakat Melayu. Ini ditandai dengan pencirian konservatisme mengaitkan masyarakat UMNO yang boleh dilihat sebagai sesuatu yang berkait rapat dengan masyarakat Melayu. Pencirian ini dimulai dengan kecenderungan konservatisme untuk menekankan pendekatan preskripsi dan prinsip pemautan memfokuskan kepada tradisi, waktu silam, duluan, konvensyen, peranan institusi, keharmonian, kelangsungan dan status quo. Pencirian ini begitu rapat dengan masyarakat Melayu yang mementingkan soal pemautan apabila mengaitkan kesinambungan antara era pra-kemerdekaan dengan pasca-kemerdekaan.

Kedua, konservatisme sangat mengutamakan kepentingan komuniti dan masyarakat melebihi individu. Ini dibuktikan ketika era pemerintahan Mahathir yang menekankan penerapan nilai konservatisme melalui aspek kawalan dan tekanan yang bertujuan untuk kestabilan politik pemerintah dalam menjaga kepentingan Melayu selain daripada peranan kelompok ultra-Melayu yang memperjuangkan perihal kelangsungan kedudukan Melayu.

Ketiga, penolakan terhadap usaha mencari kesamaan sosial. Ini dijelmakan dalam masyarakat Melayu dengan kewujudan kedudukan istimewa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dan kewujudan ini dipersoalkan yang kemudiannya mencetuskan tentangan kuat masyarakat Melayu terhadap bukan Melayu yang menyuarakan soal kesamarataan kedudukan.

Keempat, kepercayaan bahawa perubahan harus tetap diiktiraf dan diterima. Masyarakat Melayu percaya bahawa perubahan harus berlaku namun tidak secara drastik.Ini tanda bahawa mereka menerima perubahan namun harus beransur-ansur, tidak mengorbankan kepentingan pihak terdahulu serta harus mesra dengan masyarakat melayu itu sendiri. Buktinya, dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), masyarakat Melayu menerima perubahan kerajaan pemerintah apabila Barisan Nasional (BN) yang terpalit dengan kerosakan imej politik dijatuhkan dan digantikan dengan dengan Pakatan Harapan (PH).

Perikatan Nasional (PN): Kebangkitan Konservatisme?

Pasca PRU-14 memperlihatkan perubahan dalam latar politik di Malaysia. BN yang diketuai oleh UMNO pada akhirnya tumbang setelah hampir 60 tahun mendominasi gelanggang pilihan raya umum menjadikan Pakatan Harapan (PH) muncul sebagai pemerintah baru untuk negara Malaysia. “Reformasi” yang dianjurkan PH bukan lagi dilihat sebagai slogan, malahan ianya telah dijadikan sebagai agenda perubahan apabila pendekatan reformasi dilaksanakan untuk menstrukturkan kembali sistem kerajaan. Dengan laungan “Malaysia Baru” pastinya rakyat menginginkan berlakunya perubahan khususnya dari segi budaya, struktur dan institusi politik di Malaysia.

Walau bagaimanapun, soal keterancaman Melayu mula wujud di bawah pemerintahan PH apabila naratif “Melayu Malas”, “Melayu nak kena suap lagi” dibangkitkan kembali oleh Mahathir Mohammad yang ketika itu dilantik sebagai Perdana Menteri ke-7 Malaysia, ianya dilihat sebagai sesuatu yang mencetus kemarahan masyarakat Melayu.

Serangan-serangan dari wakil-wakil parti bukan Melayu seperti DAP yang mempersoalkan kedudukan Melayu dalam perlembagaan menjadikan situasi ini lebih hangat. Kesannya besar, euforia “Malaysia Baru” selepas setahun kemenangan PH semakin pudar. Laungan kelompok ultra-Melayu berkenaan naratif “kedudukan Melayu terancam di bawah PH” akhirnya menyebabkan masyarakat Melayu tidak melihat PH sebagai sosok yang mampu mewakili mereka.

Ditambah pula dengan projek penjenamaan semula UMNO dengan menawarkan tokoh-tokoh berimej bersih mereka seperti Mohammad Hassan atau Tok Mad mempengaruhi kecenderungan sokongan Melayu kepada UMNO. Pengukuhan juga dilihat melalui pembentukan Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dengan Parti Islam se-Malaysia (PAS) menjadikannya sebagai tapak permulaan ke arah kebangkitan konservatisme di dalam latar politik keMelayuan di Malaysia pasca PRU-14 (Norhayati Ismail 2019). Naratif seperti “tanah ini sejarahnya adalah Tanah Melayu” dan “orang Melayu berbesar hati menerima bangsa-bangsa lain untuk berkongsi nikmat, kemewahan, kemakmuran dalam negara ini” diungkit kembali yang menatijahkan sisi populis kelompok konservatif ini.

Romantisnya hubungan dwipihak antara UMNO-PAS ini telah menyumbang kepada penginstitusian nilai konservatisme dalam pakatan MN. Soal Melayu dan Islam menjadi nadi kepada penginstitusian ideologi konservatisme dalam MN. Penginstitusian ini diperkukuhkan lagi dengan krisis dalaman parti pemerintah ketika itu yang membawa kepada perpecahan PH. Perpecahan ini kemudiannya menyumbang kewujudan satu versi baru pakatan politik pasca MN dengan kemasukan BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) menyertai UMNO dan PAS, yakni Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yaasin sebagai penakhoda, dilantik  sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8. Pembentukan PN sebagai parti pemerintah baru menggantikan PH mencetus kehangatan apabila dilabel sebagai “kerajaan pintu belakang” dan plantikan sebagai pemerintah tidak melalui prosedur etika yang sah. Asas kewujudan BERSATU juga sebetulnya didirikan paksinya melalui penjiwaaan Melayu-konservatif dalam prinsip politik.

Kendatipun begitu, dengan perlantikan PN mengesahkan bahawa elemen konservatisme kembali diperkukuhkan selepas tapaknya dibina oleh pakatan MN. Dengan UMNO dan PAS yang sememangnya berpaksikan kepada konservatisme, ditambah dengan kehadiran BERSATU, parti yang juga berteraskan Bumiputra Melayu menyertai PN menjelaskan bahawa citra politik Melayu masih berkisarkan soal kepentingan dan kelangsungan Melayu.

Ini tidak menghairankan, sejak citra politik Melayu sudah wujud, pengguliran masyarakat Melayu dengan konservatisme sudah lama berlaku, disebabkan oleh perpecahan dan kegoyahan penginstitusian elemen ke-Melayuan dalam PH ianya menyumbang ke arah pengukuhan PN sebagai pelantar (platform) baru untuk mewakili suara masyarakat Melayu.   

Walau bagaimanapun, kerisauan turut melanda apabila potensi kelompok konservatisme untuk menjadi ekstrem adalah tinggi (Zin Mahmud 2019). Ini memandangkan retorik yang digunakan oleh kelompok ultra-konservatif Melayu dilihat hampir senada dengan kelompok rasisme, pelampau keagamaan, fasisme, populis kanan dan kelompok memperjuangkan politik identiti. Ini juga tanda bahawa konservatisme kembali bangkit melalui penjelmaan dalam bentuk PN.

Terbaru, dengan kehadiran PEJUANG sebagai parti baru berkisarkan Melayu dibentuk oleh Mahathir Mohamad menambahkan lagi kerancakan kebangkitan konservatif Melayu dalam politik Malaysia. Cuma, bezanya adalah PEJUANG dibentuk dalam barisan pembangkang menjustifikasikan bahawa konservatisme juga boleh digagaskan melalui imej pembangkang dan kepembangkangan.

Justeru, dalam konteks Malaysia, soal dominasi parti berasaskan etnik Melayu masih kuat, cuma persoalan yang harus dibangkitkan adalah, sejauh mana citra politik Melayu ini akan bertahan dalam era revolusi maklumat dan teknologi yang semakin pantas hari ini? Bagaimana dengan latar politik Malaysia pada masa hadapan, apakah masih berkisarkan soal politik perkauman? Atau berpindah kepada soal politik kelas? Apakah dominasi konservatisme bakal berakhir dan digantikan dengan progresivisme? Sampai bila retorik politik etnosentrisme akan membelenggu politik Malaysia?

Semua pertanyaan ini harus dibincangkan pada masa hadapan dalam usaha kita memperkukuhkan spektrum ideologi di Malaysia dari disalah tafsir dan membuang imej pejoratif terhadap citra politik konservatif masyarakat Melayu.


Rujukan:

Anthony Milner. 2019. The Malays. (terj: Izzudin Ramli, Melayu dan Kemelayuan: Menelusuri Sejarah Idea). Petaling Jaya: SIRD

Funston, J. 1980. Malay Politics in Malaysia: A Study of UMNO & PAS. Kuala Lumpur: Heinemann.

Malaysia Kini. 2020. Naratif “Melayu Malas” kesilapan PH, kata Anwar. 12 Jun. https://www.malaysiakini.com/news/529939

Muhammad Takiyuddin Ismail. 2011. Konservatisme dalam Politik UMNO. Jurnal Jebat. Vol 38 (1): 57-80.

Muhammad Takiyuddin Ismail. 2012. UMNO dan Konservatisme. Dlm. Haris Zuan & Rizal Hamdan. Wajah Baru Politik Malaysia. Petaling Jaya: SIRD.

Norhayati Ismail. Pakatan UMNO-PAS: Kebangkitan Konservatisme. 4 Apri.    www.sinarharian.my

Tanaka Mustafa. 2020. Jiwa Konservatif dalam PBBM. 28 Februari.             https://www.1media.my/2020/02/jiwa-konservatif-dalam-ppbm.html

Schumann, H. G. 1978. The Problem of Conservatism: Some Notes on Methodology. Journal of Contemporary History Vol 13(4).

Zin Mahmud. 2019. Kebimbangan Terhadap Fahaman dibawa UMNO-PAS. 19 Mac. www.freemalaysiatoday.com.

Populisme: Bangkit Kembali?

Sisi populis Mahathir bukanlah sesuatu yang baru. Bahkan justfikasi dikukuhkan melalui tulisan Khoo Boo Teik dalam “The Paradox of Mahathirism: An Intellectual Biography of Mahathir Mohamad” mengesahkan salah satu elemen utama keutuhan Mahathirisme adalah kewujudan populisme berasaskan nilai “kepimpinan melalui tauladan.”

Tahun 2016, satu tahun yang hangat diperkatakan apabila Donald Trump dicalonkan sebagai wakil Republikan untuk bertanding kerusi Presiden Amerika Syarikat. Trump dilihat sebagai seorang ahli politik yang memilik karakter tersendiri hasil daripada cetusan dirinya sebagai seorang kapitalis besar yang menerajui konglomerat Amerika Syarikat.

Namun, bukan itu yang ingin dikongsikan, yang menjadi perhatian sekitar tahun tersebut adalah, kerancakan penggunaan dan pelabelan label “populis” dan “populisme” yang dibangkitkan naratifnya sewaktu kempen pemilihan Presiden Amerika Syarikat.

Dalam hal ini, Trump dilabel sebagai seorang yang populis dan cuba menerapkan faham populisme, meneruskan legasi kepopularan Le Pen di Perancis dan juga tokoh populis kiri (left-populist) yang hangat di Britain, Bernie Sanders. Terma populisme pasca period kempen tersebut telah menarik perhatian banyak pandangan umum dan ahli akademik apabila populisme mula dilihat sebagai satu bentuk feneomena sosial baru yang wujud dalam ruang awam politik khususnya di negara Eropah dan Amerika Syarikat. Tidak hairan jika dikatakan, populisme sebagai “buzzwords” politik yang paling popular digunakan pada abad ke-21.

Garapan populisme ini pula diperkukuhkan dengan lagi dengan terbitnya satu karya penting cetusan daripada bangkitnya label populis terhadap Trump yakni karya bertajuk What Is Populism? (2016), yang ditulis oleh seorang saintis politik, Jan-Werner Muller diterbitkan oleh Penerbit Universiti Philadelphia menghangatkan perkembangan naratif populisme dalam ruang demokrasi. Karya ini dilihat sebagai satu justifikasi mewartakan bahawa populisme mulai bangkit dan menguasai wacana ruang demokrasi. 

Ini kemudiannya dirancakkan lagi dengan terbitnya satu lagi karya akademik berkenaan populisme ditulis oleh, Cas Mudde dan Cristobal Rovira Kaltwasser bertajuk Populism: A Very Short Introduction (2016) terbitan Oxford University Press yang lebih bersifat akademik dengan pendefinisian populisme yang tersusun dan bersifat “full academics”. Dengan kemunculan karya-karya ini, menjustifikasikan bahawa naratif populisme mula diwacanakan kembali dalam ruang demokrasi, namun, larasnya agak berbeza berbanding era 1960-an dengan perkembangan teknologi merancakkan lagi medium penyebaran naratif ini.

Turut merancakkan lagi, perkembangan naratif populisme ini bukan saja tertumpu di peringkat rantau Eropah dan Amerika, bahkan gelombangnya kini cuba merasuki masyarakat yang begitu kuat diikat dengan kebudayaan Timur khususnya negara-negara sedang membangun di Asia Tenggara lebih-lebih lagi Malaysia pada 9 Mei 2018 yang berjaya mencipta perubahan sejarah politik.

Barisan Nasional (BN) yang telah mendominasi selama 60 tahun pemerintahan di Maaysia yang ketika itu diketuai Najib Razak dijatuhkan dari kerusi pemerintahan oleh pakatan politik antara Mahathir-Anwar yang membentuk Pakatan Harapan (PH). Pertentangan kedua-dua ini begitupun dilabel sebagai “the clash of populist leader” memandangkan kedua-duanya memiliki karisma yang menarik dan mampu untuk memobilisasi karakter pengikut dengan gaya retorika mempengaruhi dengan kemahiran artikulasi yang di tahap baik.

Awal Naratif Populisme

Walau bagaimanapun, karya Muller bukanlah karya terawal yang memerihalkan tentang populisme, bahkan dalam satu terbitan suntingan pada tahun 1969, Ghita Ionesco dan Ernest Gellner telah menulis dalam bahagian awal terbitan tersebut yang bertajuk, “A Spectre is Haunting the World: Populism”. Melalui tulisan tersebut, dua tokoh pemikir ini berpandangan bahawa populisme adalah satu gerakan yang tercetus akibat daripada sistem demokrasi yang bermasalah.

Ketakutan politik terhadap potensi dominasi kumpulan minoriti mendorong populisme dimanifestasikan ke dalam bentuk gerakan sosial yang mempunyai matlamat untuk menjaga kepentingan umum dan mewakili suara masyarakat terbanyak (baca: majoriti).

Ini didasarkan pula dengan keterkaitan populisme dengan wacana dekolonialisasi pada period akhir era 1960-an yang mengaitkannya dengan kewujudan ideologi baru selain daripada liberal-demokrasi dengan kelahiran pembangunan komunisme dalam bentuk aktor negara. Walau bagaimanapun, pandangan ini dilihat sebagai suatu pandangan yang bersifat radikal dan ditolak sebahagian besarnya dalam wacana akademik.

Pasca 1960-an di peringkat global, memperlihatkan naratif populisme mula mendapat tempat khususnya populisme dalam konteks nasionalis (populist nastionalist). Dengan kelahiran parti-parti nasionalis, naratif populisme dilihat sebagai medium utama dalam meraih sokongan dan pengikut yang setia. Kehadiran tulisan Ernesto Laclau dalam Towards A Theory of Populism pada tahun 1977 juga menambah kerancakan naratif populisme di peringkat global dan masih dirujuk sehingga kini.

Justeru, apakah dimaksudkan dengan populisme? Populisme secara asasnya menurut Cas Mudde, ianya merupakan satu konsep yang masih lagi bersifat di awangan yakni masih kabur. Namun, Mudde dengan merujuk kepada satu himpunan tulisan bertajuk Populism: Its Meaning and National Characteristics, berdasarkan kepada himpunan tulisan tersebut, Mudde menyifatkan bahawa populisme adalah satu bentuk ideologi yang dimanifestasikan ke dalam bentuk gerakan berpunca daripada sindrom demokrasi yang bermasalah. Dalam erti kata lain, kewujudan populisme adalah tindak balas kepada usaha untuk menjamin kedudukan majoriti dan kehendak umum.

Ada juga menyatakan bahawa populisme merupakan satu strategi mobilisasi politik yang menggunapakai gaya tipikal retorika politik dalam meraih sokongan pengikut. Retorika tersebut terbentuk melalui karakteristik mobilisasi merujuk kepada karismatik seorang pemimpin yang menggunakan gaya komunikasi bersifat seperti penggunaan bahasa yang langsung (direct language), membentuk deria kesamaan yang sama (common sense) dan bermatlamatkan usaha meruntuhkan rejim pemerintahan melalui slogan ciptaan, “elit yang menyeleweng harus dijatuhkan”.

Boleh dikatakan, populisme ini dari segi akarnya adalah gerakan yang menentang kewujudan institusi yang mapan melalui pembinaan sentimen cetusan daripada retorika pemimpin tersebut. Jadi, melihat kepada preskripsi ini, timbul persoalan, bagaimana populisme bangkit di Malaysia pula?

Malaysia: Najib vs Mahathir

Kemunculan Najib Razak pada 2010 menggantikan Abdullah Ahmad Badawi mencetuskan paradigma baru dalam lanskap politik Malaysia. Ya sebetulnya, latar politik Malaysia lebih dilingkari dengan penguasaan ruang politik oleh dua figura besar politik Malaysia, yakni Mahathir dan Anwar Ibrahim. Lihat saja Pak Lah (panggilan untuk Abdullah Ahmad Badawi), walaupun berusaha menghakis pengaruh Mahathir dengan agenda “nyah-Mahathirisasi,” pada akhirnya cuma bertahan selama hampir 6 tahun untuk memerintah. Dengan turunnya Pak Lah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-5 waktu itu, sekaligus mendirikan Mahathirisme (legasi pemerintahan Mahathir) kekal melingkari ruang politik Malaysia.

Najib Razak dilantik menggantikan Pak Lah pada tahun 2010. Najib dikenali sebagai “mentee” kepada Mahathir. Namun, kebijakan Najib Razak adalah mendirikan agendanya sendiri dengan menggunakan jambatan “re-Mahathirisasi” bagi membangunkan jenama Najibnomics. Ya, jenama Najibnomics sememangnya berjaya membangkitkan sisi “populis” beliau dengan naratif ciptaan kumpulan “I Love PM” dan slogan atau produk “1 Malaysia” oleh kumpulan media beliau.

Sisi populis Najib Razak diketengahkan lagi melalui jenama Najibnomics ini yang didirikan dengan bebeberapa asas di dalamnya melalui Model Ekonomi Baru, Program Trasnformasi Kerajaan dan paling dikenali umum, produk 1 Malaysia beliau yakni Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M). Produk BR1M ini dijadikan asas retorika beliau dalam meraih sokongan rakyat dibantu karisma beliau sebagai “Bapa Transformasi” menjadikan debat BR1M sebagai bantuan sosial vs alat manipulasi pemerintah dibangkitkan. Tahun 2015, kepopularan Najib Razak mula dilihat goyah dengan pembongkaran skandal 1MDB yang mengegarkan landskap politik Malaysia dan dunia melabel beliau sebagai pemimpin kleptokrat.

Bermula dengan krisis skandal 1MDB ini, ianya telah memunculkan kembali figura dominan politik Malaysia, Mahathir Mohamad untuk kembali ke kancah lapangan politik Malaysia dengan mula menyuarakan kritikan terhadap kepimpinan Najib Razak. Kemunculan Mahathir ini ada asasnya, yakni, Mahathir melihat legasinya mula tercabar apabila Najib dilihat cuba meruntuhkan apa yang telah dilakukan beliau dan membina empayar politiknya sendiri. Konotasi, “elit yang korup” mula dibangunkan. Adapun dengan kembalinya Mahathir, perang sentimen mula dibangkitkan apabila nada-nada populisme untuk membina serangan sentimen terhadap penyelewengan pemerintahan Najib Razak terus berlaku.

Slogan-slogan seperti “negara kleptokrasi”, “1MDB punca negara berhutang”, “kepimpinan Najib cuba menjual negara kepada China”, “ekonomi negara dalam kemelesetan” antaranya, diwujudkan dalam usaha mencipta penentangan terhadap pimpinan Najib Razak yang korup. Sentimen “rakyat yang paling unggul” juga dibina oleh Mahathir sendiri dalam usaha menjustifikasikan tindakan beliau sebagai figura yang populis. Paling ketara simbol populisme dicipta Mahathir adalah membentuk pakatan politik dengan musuh tradisi beliau, Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang dan lain-lain dalam usaha merealisasikan sentimen penentangan kepada penyelewengan terhadap dana kerajaan yang dilakukan oleh Najib Razak.

Namun, sisi populis Mahathir bukanlah sesuatu yang baru bagi beliau, bahkan justfikasi dikukuhkan melalui tulisan Khoo Boo Teik dalam “The Paradox of Mahathirism: An Intellectual Biography of Mahathir Mohamad” mengesahkan salah satu elemen utama keutuhan Mahathirisme adalah kewujudan sisi populisme berasaskan nilai “kepimpinan melalui tauladan” (leadership by example) yang diperkenalkan olehnya. Ini melihat kepada tuntutan dari Mahathir sendiri sewaktu menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-4 yang sering kali mengangkat naratif politik bersifat “saya mengetahui apa yang rakyat rasakan” selari dengan preskripsi populisme yang terikat dengan kemurnian hak rakyat dijagai oleh seorang pemimpin yang berkarisma. Justeru, kedua-dua figura ini boleh dianggap sebagai figura populis dalam konteks Malaysia kesan daripada gelombang populisme yang berpunca daripada Eropah dan Amerika Syarikat.

Akhirnya, timbul satu pergulatan, apakah populisme di Malaysia ini berpaksikan kepada praktik ideologi atau ianya sekadar satu lagi amalan politik transaksional yang melingkari kuat gaya pemimpin dan ahli politik?

Manifesto Cendekiawan: Segarkan Kembali Aktivisme-Intelektualisme

Melakukan kesilapan kedua, bukanlah suatu pilihan. Sebaliknya, ini adalah tanggungjawab para cendekiawan muda yang bernaung di bawah gerakan baharu bernama Naratif Malaysia. Tanggungjawabnya adalah untuk merealisasikan manifesto yang tertunda: menerus tradisi intelektual, menanggap transformasi sosial!

Sekitar kurun ke-18, berlakunya anjakan paradigma dalam pembangunan ilmu apabila bidang sains sosial diterima sebagai bidang baru yang bakal diajar di peringkat pengajian tinggi sekitar Eropah ketika itu. Pengiktirafan ini memerihalkan bahawa bidang sains sosial sudah diterima untuk dimasukkan ke dalam sistem sekaligus mengiktiraf bahawa ia sebahagian daripada korpus ilmu.

Dalam suatu pengantar bertajuk,“Malaysian Social Science: Yesterday, Today and Tomorrow?,” Clive Kessler (1974) menyatakan bahawa “pelonjakan akan bidang sains sosial adalah apabila diiktiraf dan dijustifikasikan sebagai kerangka intelektual (intellectual framework) dalam mendepani kedinamikan masyarakat”.

Tradisi ini kemudiannya berterusan mula mempengaruhi pembangunan pandangan sarwa bagi setiap kumpulan masyarakat di peringkat global, serantau mahupun tempatan. Pengaruh ini turut melimpah ke Tanah Melayu di mana sains sosial dilihat sebagai antara ilmu yang begitu banyak menyumbang kepada pembangunan masyarakat dari era pra merdeka sehingga ke era millenium Malaysia.

Atas garisan kesejarahan inilah, maka artikel ini sebetulnya bertujuan ditulis dengan semangat renung kembali, lebih-lebih apabila saya dijemput untuk turut serta sebagai peserta dalam projek “Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda Sains Sosial” baru-baru ini. Bengkel tersebut dianjurkan oleh pihak Naratif Malaysia (NM) bersama dengan IKMAS-UKM, Malaysia Reform Initiative (MARI), USAID dan Kedutaan Amerika Syarikat dengan tema bengkel “Sains Sosial Abad ke-21: Menerus Tradisi Intelektual, Menanggap Transformasi Sosial” disandarkan atas tema besar “Creating Think-Space for Political Narrative”.

Semangat Aktivisme-Intelektualisme

Sebagai seorang ahli akademik muda yang sedang berkhidmat dengan universiti awam di Malaysia, saya melihat perkembangan perubahan aktivisme-intelektualisme yang dibawa oleh NM boleh mempengaruhi senario sains sosial di Malaysia mutakhir ini. Tradisi yang telah ditinggalkan generasi awal wajar harus digali kembali memandangkan sains sosial bergulir daripada sejarah yang memiliki susur galurnya sendiri serta menyumbang kepada pembentukan karakter pembentukan dan perkembangan ilmu sains sosial di Malaysia.

Malangnya, realiti yang berlaku di Malaysia dewasa ini, terdapat muncul suara sumbang membangkitkan tentang kerelevanan bidang sains sosial sejurus selepas gelombang IR 4.0 mula meledak.

Benar, peredaran zaman berlaku, manakala masyarakat terus berkembang, tetapi jika dibiarkan bidang sains sosial ditekan dan tidak diberikan ruang, maka penulis merasakan bahawa sisi manusiawi manusia pastinya akan sedikit demi sedikit terhakis akibat lingkaran ganas gelombang modenisasi, faham kebendaan (materialism) dan konsumerisme yang mementingkan soal inovasi komersialisasi berbanding penghasilan inovasi konsep dan teori yang selama ini menjadi pelantar besar (major platform) untuk perkembangan sains sosial.

Justeru dengan adanya usaha dari pihak NM, saya yakin dan percaya ia berupaya mengisi ruang gerakan aktivisme-intelektualisme ke arah membangkitkan kembali budaya ilmu yang dilihat semakin gersang di kalangan masyarakat khususnya bagi anak muda.

Pengaruh ilmu kolonial

Walau bagaimanapun, perlu disedari bahawa perkembangan sains sosial di Malaysia hakikatnya tidak bersifat organik. Sebaliknya, ia sedikit sebanyak terbentuk hasil pengaruh dari luar. Peranan pihak kolonial Inggeris yang menapak lama di Tanah Melayu telah memediasikan banyak penghasilan penulisan berkisar masyarakat Melayu dan etnik lain sehingga ia menyumbang dan membentuk satu korpus ilmu yang digelar ilmu kolonial.

Melalui kehadiran korpus baru ini, satu bentuk “garis asal ilmu” (baseline knowledge) diwujudkan sebagai kerangka asas dalam mengembangkan ilmu sains sosial sehingga ke era moden Malaysia hari ini. Garis asal ilmu yang dibangunkan ini dijadikan sebagai asas kerangka dalam ilmu sains sosial yang memicu kepada perkembangan wacana kritis dalam menganalisis fenomena sosial di Malaysia.

Pembangunan sains sosial di Malaysia sebetulnya bukan didirikan atas sumbangan daripada pihak kolonial saja. Bahkan, lebih tepat lagi, ianya turut didirikan atas dua ruang utama.

Abdul Rahman Embong (1974) dalam makalah bertajuk, “Menoleh ke Belakang, Melangkah ke Hadapan: Sains Sosial di Malaysia”, menyifatkan dua ruang tersebut adalah merangkumi “ruang awam yang dicirikan oleh pemikiran sosial tempatan” dan “ruang pentadbiran penjajah yang menjanakan ilmu kolonial”. Demikian itu, frasa berkenaan dua ruang utama ini dilihat sebagai paling dominan dalam pensejarahan sains sosial di Malaysia.

Ditambah pula dengan kelahiran pemikir-pemikir sosial tempatan klasik seperti Abdullah Munshi (1796-1854), Syed Sheikh Syed Ahmad al-Hadi (1867-1934), Zainal Abidin Ahmad atau Za’ba (1895-1973), Abdul Hadi Haji Hassan (1900-1937) turut mempengaruhi perkembangan sains sosial di Malaysia. Ini belum dimuatkan sekali dengan kemunculan pemikir pascamerdeka seperti Syed Hussein al-Attas (1928-2007) yang menghasilkan magnum opus-nya, The Myth of Lazy Native, sebuah karya yang mengkritik para pemikir kolonial Tanah Melayu seperti Frank Swettenham, RO Winstedt, JM Gullick, LR Wheeler dan RJ Wilkinson.

Bertitik-tolak daripada kesedaran ini, maka saya mengamati bahawa usaha kumpulan penyelidik muda NM ini tampaknya ingin memeta, merangka dan mengusahakan kembali perspektif sejarah jangka panjang (longue duree) dan pendekatan sejarah idea (history of ideas) dalam meneliti perkembangan sejarah ilmu sains sosial di Malaysia.

Paling utama, pembinaan legasi bukan saja berkisar dalam soal penerusan idea pemikir-pemikir sosial tempatan yang pernah wujud dalam korpus sains sosial. Malah, pembinaan tersebut merupakan satu keperluan untuk generasi terkini dalam membangunkan legasi sains sosial yang mandiri yang lebih cerdas dan cergas, tanpa menidakkan tradisi dan legasi dari generasi terdahulu.

Dengan bantuan dan panduan daripada tokoh pemikir besar gagasan sains sosial di Malaysia terutamanya Prof Emeritus Dr Abdul Rahman Embong sebagai tokoh rujukan utama beserta legasi pemikir sains sosial lain seperti Norani Othman, Abdul Halim Ali, Syed Husin Ali, Shamsul Amri Baharuddin, Ahmat Adam, Francis Loh Kok Wah, Cecelia Ng dan lain-lain, kumpulan penyelidik muda NM ini memberi harapan baharu sebagai pewaris tradisi aktivisme-intelektualisme di Malaysia.

Bagi merealisasikan usaha perkembangan sains sosial di Malaysia adalah penting untuk kita mengenal pasti beberapa cabaran utama yang meliputi soal perkembangan di peringkat global. Cabaran ini, secara umumnya, melibatkan pembentukan pandangan sarwa dan pengkaedahan terkini dalam kajian sains sosial.

Lebuh khusus lagi, cabaran utama bagi kumpulan penyelidik muda NM ini adalah bagaimana menjadikan sains sosial di Malaysia sesuai dengan perkembangan di peringkat global dan impaknya kepada Malaysia. Kesepakatan dicapai apabila enam mega trend utama dilihat sebagai sesuatu yang memberikan impak kepada perkembangan sains sosial di Malaysia yang melibatkan pertambahan kajian berkenaannya.

Dalam hal ini, sepertimana yang dibentangkan oleh Prof. Abdul Rahman, enam mega trend tersebut adalah pertentangan globalisasi Barat vs globalisasi oriental, impak revolusi maklumat dan digital, transisi urbanisasi dan bandaraya berdaya huni, ketaksamaan sosial dan proses precaritisation, transisi demokrasi serta musibah risiko dan dampak ke atas negara dan masyarakat memfokuskan kepada kewujudan pandemik global dan pengamalan norma baharu pasca pandemik.

Apa yang boleh dikatakan, melalui bengkel yang bertenaga ini, terdapat banyak idea dan naratif baru cuba diselongkar dan dibangunkan oleh para penyelidik muda NM. Naratif tersebut termasuklah meliputi soal pembangunan dan ketaksamaan, sosiologi, media, perkembangan demokrasi vs populisme dan perkaitan dengan pensejarahan, agama serta seni yang kesemua ini mempuyai pertalian dengan perkembangan mega trend yang dijelaskan.

Melawan Watak Tertawan

Bagi sebuah negara yang berstatus “pernah dijajah” oleh sebuah empayar kolonial, fenomena “watak tertawan” (captive mind) seperti diusulkan oleh Syed Hussein al-Attas tampaknya berberterusan meskipun kemerdekaan telah lama diperolehi.

Fenomena watak tertawan ini sangat berleluasa di dalam masyarakat bekas tanah jajahan lebih-lebih lagi di kalangan ahli sains sosial tempatan kita sekarang. Penyakit ini merupakan jelmaan daripada sikap dan sifat beberapa kelompok masyarakat yang cenderung mengambil jalan dengan mencedok tanpa mempersoalkan apa yang telah dihasilkan oleh orang lain terutamanya dari negara maju.

Selain itu, terdapat juga penafsiran sejarah yang bersifat superficial tanpa adanya penilaiannya kritis ke atasnya dan tidak berusaha mewujudkan sumbangan sendiri. Suka saya labelkan semua fenomena ini sebagai “Malay sunset syndrome.” Sindrom ini mendorong kita melihat apa yang datang dari Barat sebagai model penyelesaian sebarang kemelut di negara kita.

Memang, tidak dinafikan bahawa dominasi kerangka sains sosial dari Barat masih lagi utuh melingkari fahaman pemikir-pemikir sosial tempatan dewasa kini. Utuh lantaran kalangan ini masih mengagumi bulat-bulat apa yang datang dari Barat. Justeru itu, sudah menjadi tanggungjawab para pemikir sosial tempatan era kini untuk meruntuhkan pegangan cetusan mitos dibangunkan pihak kolonial.

Mitos ini barangkali berpunca dari sikap kita sendiri yang sebelum ini terlalu bergantung kuat dengan korpus daripada Barat. Kebergantungan ini turut disebabkan oleh ketidakupayaan kita menghasil dan membina korpus sains sosial kita sendiri. Adalah mustahak sains sosial mandiri, seperti yang menjadi tema utama “Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda Sains Sosial”,” diperkukuhkan untuk menanggapi fenomena ini dari terus menawan pemikiran generasi terkini atau masa depan.

Kumpulan penyelidik muda NM juga diletakkan harapan tinggi untuk menghasilkan karya yang lebih bersifat thereotically informed (paras teori) dan berbasiskan kepada kerangka wacana kritis (critical discourse). Harapan ini semakin tinggi dan berat memandangkan kebanyakan institusi pengajian awam tinggi hari ini banyak menumpukan kepada soal kaedah pengajaran dan pembelajaran. Bahkan, kebanyakan kajian para saintis sosial di Malaysia khususnya pasca 1990-an lebih bersifat empirikal dan dekskriptif.

Lebih menggusarkan lagi, bentuk ataupun kaedah penyelidikan sebegini begitu kuat melingkari kerangka pemikiran saintis sosial kini yang lebih menumpukan soal pengumpulan data dan terperangkap dengan sindrom “more of the same” dan kajian yang bersifat “saw dust”.

Kajian-kajian yang bersifat “paras teori” amat kurang dan jika ini berterusan, persoalan yang timbul: bagaimana kita mahu melahirkan penyelidik sains sosial yang begitu mementingkan kemandirian bidang ini? Mungkin ini dikatakan kesan daripada fenomena “jurang generasi” (generation gap) menyebabkan keterputusan legasi sekitar penghujung 1980-an membolehkan kelompok ‘statistical-empirical” melebarkan pengaruh dengan penekanan terhadap pengkaedahan bukan kepada isi pengkajian.

Sungguhpun begitu, kita tidak boleh salahkan penyelidik sains sosial muda hari ini juga. Barangkali hambatan ini berpunca daripada cabaran struktur dan institusi di negara kita pada hari ini. Cabaran paling utama khususnya bagi penyelidik sains sosial di Malaysia pasca 2000-an adalah memastikan kerelevanan bidang sains sosial di Malaysia. Ini berkait dengan soal penghasilan inovasi dan pengkaedahan baharu yang membawa kepada penekanan terhadap aspek kuantiti, bukan lagi soal kualiti penyelidikan yang dihasilkan.

Ini termasuklah penekanan yang berlebihan dalam memenuhi kehendak KPI (Key Performance Index) dan trajektori pasaran melalui pengkorporatan universiti (corporatization of university) yang didasarkan kepada ketergantungan institusi pengajian tinggi kita terhadap kerangka pendidikan dari Barat. Ini dibuktikan dengan penghasilan kajian dan graduan yang bersifat untuk memenuhi tuntutan pasaran.

Selain itu, pengejaran ranking universiti di peringkat dunia juga muncul sebagai cabaran utama untuk kelangsungan bidang sains sosial di Malaysia. Apabila ini berlaku, maka penumpuan hanya diberikan kepada kuantiti bukannya kepada penekanan terhadap kualiti penyelidikan ahli sains sosial itu sendiri.

Sains sosial mandiri

Mengambil kira beberapa cabaran dalam perkembangan sains sosial masa ini di Malaysia, maka sudah menjadi satu keperluan untuk diberikan penekanan kembali kepada pengukuhan orientasi sains sosial di Malaysia.

Di sini apa yang diusahakan oleh pihak NM membangunkan sekumpulan penyelidik muda dari pelbagai latar disiplin sains sosial harus dipuji dan disokong. Dengan cabaran terkini melalui perkembangan teknologi dan revolusi maklumat yang pantas, maka peranan kumpulan penyelidik muda NM ini semakin penting. Ini boleh dilakukan menerusi penghasilan karya-karya, buah fikir dan hasil kajian baru. Matlamat akhirnya, semua usaha ini adalah bertujuan untuk membina sains sosial mandiri yang bersifat saintifik, relevan serta kritis.

Pada pengamatan saya, kumpulan ini dibentuk dengan bervisikan penghasilan pemikiran yang berteraskan kepada kerangka wacana kritis (critical discourse). Sebelum ini, kerangka seperti ini kurang dijadikan sebagai intellectual framework dalam penghasilan kajian sosial. Menerusi kerangka ini, maka sekurang-kurangnya dapat membentuk kesedaran sejarah bagi generasi muda yang mengalami keterputusan legasi dari generasi sebelum ini. Naratif “sains sosial tidak bebas nilai” harus dibangkitkan kembali, agar pengisian kajian lebih tajam untuk menganalisa fenomena sosial.

Dalam masa yang sama, sama seperti saranan Prof. Abdul Rahman, aspek keserakanan (collegiality) wajar juga ditekankan untuk menjayakan agenda ini. Bagi saya, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kumpulan penyelidik muda NM ini sebagai perintis (pioneer) kepada penubuhan kumpulan pemikir muda saintis sosial di Malaysia era millennium.

Di samping itu, melalui bengkel yang dianjurkan oleh NM, kumpulan penyelidik muda NM ini diberikan ruang bagi menghasilkan sesuatu yang baru, yang asli dan menyumbang ke arah sains sosial mandiri berasaskan kepada aspek komitmen dan advokasi. Ianya juga sebagai refleksi kepada usaha mewujudkan pengembaraan kesarjanaan (scholarly journey) yang jelas serta berpaksikan kepada tradisi dan legasi dalam menanggapi transformasi sosial.

Apatah lagi, kalau diperhatikan betul-betul, soal pengembaraan kesarjanaan ini tidak kuat ditekankan di kalangan ahli sains sosial muda kini di IPTA/IPTS, mungkin kerana faktor penekanan capaian KPI daripada pihak pengurusan tertinggi institusi menjadikan setiap penghasilan kajian berteraskan “cukuplah sekadar mencapai KPI”. Saya gusar jika berterusan begini, kita mungkin bakal melahirkan generasi pemikir yang bersifat “jadong,” yang sekali gus menjadi batu penghalang kepada pembangunan kumpulan penyelidik muda. Lantaran itu, peranan kumpulan penyelidik muda NM ini adalah untuk tidak mengulangi kesilapan generasi lama dahulu.

Melakukan kesilapan kedua, bukanlah suatu pilihan. Sebaliknya, ini adalah tanggungjawab para cendekiawan muda yang bernaung di bawah gerakan baharu bernama Naratif Malaysia. Tanggungjawabnya adalah untuk merealisasikan manifesto yang tertunda: menerus tradisi intelektual, menanggap transformasi sosial!

Tulisan ini pertama kali diterbitkan di Malaysiakini pada 12 Ogos 2020.

Design a site like this with WordPress.com
Get started