Hijrah, Islam dan Naratif Malaysia

Kepentingan ‘Ijtihad’ ini juga ditekankan tokoh sosiologi agama Malaysia, Syed Husin Alatas. Beliau menjelaskan tanpa penerapan ‘Ijtihad’ secara aktif, keadaan masyarakat Muslim pada zaman ini seakan-akan “..tumbuh, tapi tiada berbuah..”, satu frasa perbandingan yang tepat dalam menjelaskan peningkatan populasi Muslim pada masa ini, namun gagal membangun masyarakat secara mapan, apatah lagi menjadi peneraju pembangunan kemanusiaan di peringkat global.

“Aku ada, selagi mana aku maju; tidak maju, maka Aku tiada..” – Muhammad Iqbal, dipetik menerusi Umer Chapra (2008)

Dengan Nama Allah, yang Maha Pengasih dan Penyayang; yang Maha Hidup, Membangun dan Memajukan.

Sekali lagi, aku ditugaskan untuk menulis, menulis pula pada hari meraikan Hijrah, tentang pembangunan Islam, untuk Naratif Malaysia. Ada apa dengan Hijrah? Dan apa pula kaitannya dengan wacana naratif pembangunan Islam di Malaysia?

‘Hijrah’ sebagai satu kisah perjalanan baginda Nabi SAW, bersama para sahabatnya dari Mekah ke Madinah sudah jadi modul wajib pembelajaran Islam dari pra-sekolah hinggalah ke pengajian ijazah, dalam kepelbagaian sesi usrah dan halaqah, juga dalam siri-siri kuliah di perkampungan dan kejiranan. Malah, peristiwa ini sudah jadi sambutan rasmi dari tahun ke tahun dengan perarakan, nyanyi-nyanyian, juga upacara penganugerahan. Peringatan berterusan ini tidak menghairankan mengambil kira kepentingan kisah perjalanan ini. Peri pentingnya peristiwa Hijrah inilah yang membawa kepada pembentukan awal komuniti Muslim, lalu membangun Ummah, yang kemudiannya turut menghasilkan kita antara komuniti-komuniti Muslim di seluruh dunia. Tanpa Hijrah, kita sebagai komuniti Muslim ini tidak ada. 

Namun, peristiwa Hijrah ini juga wajar difahami melangkaui pengertian perjalanan komuniti awal Muslim antara dua tempat suci, tetapi juga satu anjakan sosial dan psikologi; daripada kezaliman kepada keamanan; ketakutan kepada kebahagiaan; daripada kegelapan kepada cahaya. Malah, lebih dari itu, penghayatan fenomena Hijrah ini juga memungkinkan kita memahami satu prinsip penting mendasari sudut pandang kehidupan Islam, iaitu pergerakan (movement). Penghargaan terhadap prinsip ini memberi kesedaran betapa Islam menuntut para penganutnya untuk sentiasa dinamik, membangun, serta terus-menerus maju. 

Prinsip pergerakan dalam Islam ini dihuraikan oleh pujangga-filasuf Islam awal abad ke-20, Muhammad Iqbal (2013) dalam karya beliau “Rekonstruksi Pemikiran Agama dalam Islam.” Iqbal menegaskan betapa pentingnya buat seseorang Muslim itu untuk sedar bahawa kehidupan ini di tahap yang paling dasar adalah spiritual, atau dengan kata lain, pada setiap diri insan itu sedia adanya terkandung unsur kerohanian suci yang asalnya dari Tuhan, sepertimana firman Allah dalam Al-Qur’an (32:9) yang mengisahkan penyempurnaan penciptaan manusia: 

“Kemudian Dia menyempurnakan ciptaanNya dan ditiupkan ke dalam dia daripada ruhNya…”

Berdasarkan kesedaran kerohanian ini, kehidupan di dunia ini dihayati sebagai satu pergerakan aktif menuju realiti ideal, Tuhan, yang Maha Sempurna. Maka, kehidupan berteraskan iktikad Tauhid memerlukan seseorang itu hidup dalam satu proses pergerakan menuju kesempurnaan. Dengan penerapan prinsip pergerakan ini, tidak dapat tidak, kehidupan seseorang Muslim haruslah mengarah kepada kemajuan dan pembangunan, untuk diri sendiri, juga untuk masyarakat.

Namun, penghujahan ideal prinsip-prinsip kemajuan Islam ini perlulah hadir bersama sudut pandang realiti, khususnya dalam memahami perkaitan agama dengan pembangunan masyarakat. Hal ini wajar ditekankan dengan pemahaman bahawasanya Islam ini bukan hanya melibatkan hal-hal keyakinan agama yang melangit, tetapi lebih penting manifestasi penghayatan agama yang membumi. Hanya melalui manifestasi keyakinan boleh terhasilnya pembuktian. Tanpa pembuktian, apa yang diyakini sebagai kebenaran itu sukar untuk dibezakan dengan angan-angan ilusi keagamaan atau sekadar sembang wacana falsafah golongan ilmuwan. Oleh itu, penghujahan tentang penekanan keagamaan Islam terhadap prinsip-prinsip kemajuan dan pembangunan masyarakat secara ideal tidak boleh berdiri sendiri, tetapi haruslah datang sama melalui penilaian empirikal.

Penilaian ini boleh diusahakan, antara lain dengan melihat trend pembangunan global dalam masyarakat majoriti Muslim pada masa ini menuju penghujung abad ke-21. Pew Research Center (2011) menjalankan kajian bertajuk “Masa Hadapan Populasi Muslim Global”, di mana pada tahun 2010, populasi Muslim berjumlah 1.2 bilion (74%) tinggal di 49 negara majoriti Muslim. Populasi Muslim di negara-negara majoriti Muslim ini dijangka meningkat kepada 1.7 bilion (78%) pada tahun 2030.  Satu lagi kajian Pew Research Center (2015) bertajuk “Masa Hadapan Agama-agama Dunia: Jangkaan Peningkatan Populasi 2010 – 2015” menunjukkan populasi Muslim di seluruh dunia sedang meningkat pantas, dua kali ganda berbanding peningkatan populasi global secara umum. Populasi Muslim dijangka terus meningkat daripada 23% (1.6 bilion) pada tahun 2010, kepada 30% (2.8 bilion) pada tahun 2050, serta berkemungkinan meningkat kepada 35% menuju penghujung abad ke-21, sekaligus menjadi komuniti agama global yang paling ramai di dunia.

Namun, kajian-kajian pembangunan global juga menunjukkan peningkatan populasi ini kebanyakannya berlaku di negara-negara Muslim yang ‘Kurang Maju (Less-developed countries)’. Berdasarkan dapatan kajian United Nation Development Programme (2019), Indeks Pembangunan Manusia (Human Development Index, HDI) menunjukkan hanya 24 negara-negara majoriti Muslim berada pada tahap HDI ‘Tinggi’ atau ‘Amat Tinggi’, sedangkan terdapat 25 negara majoriti Muslim lainnya berada pada tahap HDI ‘Sederhana’ atau ‘Rendah’.

Hal ini menunjukkan kebanyakan negara dan populasi Muslim masih berada dalam keadaan tidak membangun, menghadapi permasalahan kemiskinan, serta tahap pembangunan pendidikan dan kesihatan yang rendah. Tambahan pula, dalam kalangan negara-negara majoriti Muslim dengan tahap HDI yang tinggi, khususnya di negara-negara Timur Tengah menunjukkan kadar kesenjangan ekonomi yang tinggi. Tahap pembangunan masyarakat di negara-negara majoriti Muslim dapat diteliti dengan lebih meluas dengan melihat indeks-indeks utama pembangunan global lain seperti tahap keamanan global, demokrasi, kelestarian alam sekitar, kesetaraan jantina dan sebagainya, dengan rata-rata dapatan penilaian ini cenderung memperlihatkan permasalahan pembangunan yang serius di kebanyakan negara-negara majoriti Muslim. 

Perbincangan ringkas di atas; melalui penghujahan ideal prinsip pembangunan Islam, kemudiannya penilaian pembangunan global masyarakat Muslim, memberikan gambaran seakan-akan terdapatnya pertentangan antara penghujahan ideal dengan keadaan realiti berkaitan Islam dan pembangunan masyarakat; atau setidak-tidaknya terdapat ‘gap’ yang luas antara aspirasi ideal Islam dengan keadaan realiti semasa masyarakat Muslim. Hal ini wajar dilihat sebagai satu permasalahan, apatah lagi mengambil kira peningkatan populasi global komuniti Muslim pada dekad-dekad yang akan datang hanya akan merumitkan lagi keadaan sekiranya kita terus gagal untuk menangani permasalahan asas berkaitan pembangunan masyarakat.

Oleh yang demikian, komuniti Muslim khususnya dalam kalangan pemimpin dan cendekiawan mestilah berusaha sebaik-baiknya mencari penyelesaian dan langkah-langkah intervensi, atau dengan kata lain keperluan untuk menghasilkan ‘Ijtihad’ baharu berkaitan pembangunan masyarakat. Penerapan Ijtihad ini diberikan penekanan oleh Iqbal sebagai asas kepada prinsip pergerakan dan kemajuan Islam dalam menghidupkan semangat keagamaan yang dinamik, kreatif dan progresif, serta telah menyumbang kepada perkembangan Ummah ke seluruh dunia pada abad-abad awal Islam. Namun, Iqbal menjelaskan kegagalan komuniti Muslim untuk menerapkan prinsip Ijtihad secara meluas sepanjang lima abad yang lalu telah membawa kepada kemunduran Ummah secara keseluruhannya.

Kepentingan menghidupkan prinsip ‘Ijtihad’ ini juga ditekankan tokoh sosiologi agama Malaysia, Syed Husin Alatas (1979) dalam karya beliau “Kita dengan Islam.” Beliau menjelaskan tanpa penerapan ‘Ijtihad’ secara aktif, keadaan masyarakat Muslim pada zaman ini seakan-akan “tumbuh, tapi tiada berbuah..”, satu frasa perbandingan yang tepat dalam menjelaskan peningkatan populasi Muslim pada masa ini, namun gagal membangun masyarakat secara mapan, apatah lagi menjadi peneraju pembangunan kemanusiaan di peringkat global.  

Justeru itu, Aku merasakan langkah-langkah awal ke arah membangun semula masyarakat Muslim haruslah bermula dengan penerapan ijtihad-ijtihad baharu. Penerapan ijtihad bukan hanya dalam erti kata klasik berkaitan peranan para ilmuwan perundangan Islam atau sekadar hal-hal dalam kerangka fiqh, tetapi wajar digalakkankan kepada semua ahli umat dalam semua hal penjanaan kreativiti, produktiviti dan pembangunan masyarakat. Keperluan ini tidak sukar difahami dengan kepekaan keadaan masyarakat masa kini dalam era ‘kemodenan lewat (late-modernity)’, di mana ahli-ahli masyarakat tidak lagi semudahnya dibentuk oleh autoriti melalui kerangka perundangan, mahupun lain-lain instrumen struktural, tetapi lebih cenderung digerakkan melalui kreativiti idea, pencerahan wacana, serta tindakan kolektif ahli-ahli masyarakat itu sendiri.

Maka, tanggungjawab meneroka permasalahan pembangunan ini mestilah digarap aktif oleh para ilmuwan dan pemimpin masyarakat lalu menawarkan penyelesaian. Peranan mereka sangat penting, terutamanya di Malaysia, antara negara majoriti Muslim dengan tahap pembangunan masyarakat yang relatifnya lebih baik berbanding yang lain. Persoalan-persoalan penting yang perlu ditanggapi secara kritikal dan konstruktif, antara lain, termasuklah; sejauhmana penerapan keagamaan masyarakat kita pada masa ini menjurus kepada realisasi potensi diri dan masyarakat?; sejauhmana penerapan unsur-unsur Islam dalam kerangka sistem moden masih dapat mengekalkan integriti keagamaan pada masa yang sama menjana pembangunan?; sejauhmana model pembangunan global, berserta indikator-indikator penilaiannya bertepatan dengan aspirasi pembangunan masyarakat kita?; Malah, penghasilan teori-teori pembangunan baharu wajar digalakkan dalam mencari penyelesaian permasalahan pembangunan menuju penghujung abad ke-21 ini.

Kewajipan Muslim dalam menggerakkan pembangunan masyarakat masa ini amatlah luas. Mengambil inspirasi Hijrah dan perjuangan baginda Nabi SAW dalam membangun komuniti awal Muslim, sewajarnya kita turut sama komited dalam membangun masyarakat di Malaysia, juga umat manusia keseluruhannya. Semoga dengan setiap akal fikir, degupan zikir dan laungan takbir dari hari ke hari, hadir bersama usaha menggerakkan pembangunan, seterusnya membuahkan kejayaan satu masa nanti.

Dengan akal-fikir jadi perisai dan rasa cinta jadi senjata,
Hai sang hamba Tuhan! Kepimpinan dunia ini selayaknya kau miliki..
Seru ‘Allah-u-Akbar’ menghapus segalanya melainkan Tuhan; Ianya api yang membara!
Sekiranya benar kau seorang Muslim, takdirmu ialah untuk mencapai apa yang dicitai
! – Muhammad Iqbal (1977)

Semoga rahmat Tuhan sentiasa bersama kita. Dan Allah yang Maha Tahu akan segalanya.


Rujukan

Al-Qur’an (32:9). Tafsir Message of the Qur’an. Terjemahan Muhammad Asad.

Dr. Syed Hussein Alatas. 1979. Kita dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah. Pustaka Nasional PTE LTD. Singapura

Muhammad Iqbal. 1997. Shikwa and Jawab-i-Shikwa. Oxford University Press. [Terjemahan penulis]

Muhammad Iqbal. 2013. The Reconstruction of Religious Thought in Islam. Stanford University Press. Stanford.

Muhammad Umer Chapra. 2008. The Islamic Vision of Development in the Light of Maqasid al-Shari’ah. The International Institute of Islamic Thought (IIIT), London. [Terjemahan penulis]

Pew Research Center. 2011. The Future of the Global Muslim Population.

Pew Research Center. 2015. The Future of World Religions: Population Growth Projections, 2010-2050.

United Nations Development Programme (UNDP), 2019. Human Development Report 2019

‘Arafah, Islam dan Naratif Malaysia

Tibanya hari ‘Arafah turut mengingatkan Aku yang berpeluang menjejak tanah ‘Arafah satu tahun yang lalu, di bawah langit biru dan terik matahari yang membakar tubuh saat berdiri menghadap Tuhan memohon pengampunan dan pengharapan. Tiba-tiba datang hujan ribut sebelum berlalu matahari senja sambil membawa bersama sejuta doa.

Dengan Nama Allah, yang Maha Pengasih dan Penyayang; Maha Mengetahui lagi Bijaksana; dan yang Maha Membangun dan Memajukan.

Aku ditugaskan untuk menulis, menulis pada hari ‘Arafah, menulis pula tentang pembangunan Islam, untuk Naratif Malaysia. Ada apa dengan ‘Arafah? Dan apa pula kaitannya dalam wacana naratif pembangunan Islam di Malaysia?

Keutamaan ‘Arafah itu sudah sering dijelaskan para agamawan, sampai butiran keutamaan tersebut menjadi ratib tepu golongan kebanyakan. Ini lebih ketara lagi pada hari-hari perayaan bila mana Takbir sering dijadikan laung-laungan, sahut-sahutan. Tapi seruan nama-nama Tuhan ini tak pula dapat kita rasakan besar. Suaranya tentu sahaja boleh ditinggikan sampai menggegar ke langit, tapi getarnya belum tentu sampai ke jiwa. Mungkin kerana sudah jadi kebiasaan, apa-apa seruan pun tatkala terserap sebagai budaya makanya seru kata-kata itu tak lagi membuah hasilnya. Lagi-lagi dalam era dunia masa ini, dengan arus pembangunan dan kemajuan yang penuh kesebokan, kebisingan dan keresahan. Hinggakan tidak jarang kita lupa bahawasanya kita ini manusia. Maka, dari tahun ke tahun, ‘Arafah bertandang membawa peringatan.

Penghayatan ‘Arafah itu wajar ditekankan sebagai satu kerukunan dalam Islam. Sebagaimana sabda baginda Nabi S.A.W, yang menekankan “Haji itu ‘Arafah!”[i]. Tanpa ‘Arafah, tiadalah Haji. Lazimnya, ‘Arafah dikenali sebagai satu tempat, juga satu hari. Dalam ruang-masa ini jemaah haji yang rata-ratanya pengembara dari serata pelusuk dunia berhenti atau Wuquf; berhimpun menghadap Tuhan, bertafakur bersama ayat-ayat suci, memohon pengampunan dan mengungkap kesyukuran untuk hal-hal yang masa lalu, mengadu resah-gelisah kehidupan masa ini, juga membentangkan hajat pengharapan untuk hari-hari yang mendatang. Malah, tidak hairan kita mendengar cakap dalam kalangan jemaah haji yang mengatakan semua hari-hari yang dilalui di dunia ini sudah terkandung di dalam ‘Arafah, begitu juga setiap wajah, setiap nama dan setiap nafas.

Mulianya hari ‘Arafah itu telah diriwayatkan dalam beberapa hadis Nabi SAW; merupakan antara hari-hari yang paling baik di sisi Tuhan, yang menjanjikan di atas segala permintaan para hambanya di ‘Arafah itu akan dijawabNya[ii]; serta Tuhan bermegah kepada para Malaikat di langit, lalu turun menyambut kehadiran himpunan manusia yang datang menghadapNya[iii].

‘Arafah juga merupakan tempat yang mengingatkan kita akan pertemuan Adam dan Hawa yang lama terpisah setelah turun dari alam syurga ke alam dunia. Pertemuan ini seterusnya melahirkan keluarga besar manusia beserta nilai kemanusiaan.

‘Arafah juga mengingatkan kepada Ibrahim, serta segala pengorbanannya. Apabila dipersoalkan kepada baginda Nabi SAW akan kewajaran Haji untuk keluar daripada Tanah Haram di Mekah, berbeza dengan kebiasaan Haji kaum Quraish pada waktu itu; Nabi SAW mengingatkan kepada tradisi Ibrahim’, untuk menuju ‘Arafah, Muzdalifah, Mina, dan seterusnya melontar di Jamrah dan juga ibadah korban. Dan di ‘Arafah juga, Nabi SAW menyampaikan Khutbah Wada’, seruan akhir baginda yang antara lain menekankan hak persaudaraan sesama Muslim, kesetaraan sesama manusia tanpa mengira bangsa, tuntutan keadilan dalam hubungan antara lelaki dengan wanita, juga tanggungjawab buat yang kuat untuk melindungi yang lemah. Dalam seruan akhir ini juga, baginda mengisytiharkan telah berakhirnya zaman kejahilan, juga turunnya wahyu bahawa agama ini telah disempurnakan.     

Namun, di sebalik keistimewaan sebagai tempat, hari, serta fadhilat kehadirannya; ‘Arafah juga wajar dihayati berdasarkan pengajaran lainnya. Ali Shariati mencatatkan dalam karya beliau The Hajj, bahawa ‘Arafah, serta unsur-unsur lain dalam ibadah Haji itu semuanya sarat dengan pengajaran kehidupan yang penting buat manusia dan kemanusian[iv].

Shariati, arkitek revolusi Iran, menghuraikan bahawa ‘Arafah itu termuat penghayatan ilmu dan pengetahuan, dan hanya dengan pengetahuan, maka kesedaran kemanusiaan boleh terhasil. Bahkan, kata nama ‘A-ra-fah’ itu sendiri mengusung makna perkenalan, pengetahuan dan kearifan, khususnya berkaitan hubungan antara manusia dengan penciptanya. Penghayatan ‘Arafah juga mengingatkan kepada penceritaan Al-Qur’an tentang penciptaan manusia dengan amanah sebagai khalifah di muka bumi datang dengan asas pengetahuan. Firman Allah, “Telah diajarkan kepada Adam nama-nama segala sesuatu…”, wajar mengingatkan kita bahawa ilmu dan pengetahuan itu merupakan pengajaran yang asal semuanya dari Tuhan[v].

Oleh yang demikian, mungkin boleh sahaja dirumuskan pengajaran penting berkenaan ‘Arafah di sebalik keistimewaan fadhilat kehadiran diri dalam satu ruang-masa, juga mengandungi pengajaran yang amat bermakna dalam menghargai nilai pengetahuan untuk manusia dan kemanusian, khususnya buat kita yang beragama Islam. Tanpa pengetahuan, kita tidak mungkin boleh benar-benar tahu dan sedar. Lantaran itu, Manusia diseru untuk hadir di ‘Arafah untuk menghayati pengetahuan sepenuhnya. Kerana hanya dengan ilmu pengetahuan, maka yang dicipta itu dapat dihubungkan dengan Pencipta, sama seperti makhluk dapat berhubungan dengan Tuhan.

Maka, seraya menginsafi hal ini, ‘Arafah mengajarkan kepada kita bahawa hanya dengan asas pengetahuanlah yang menempatkan diri kita di dunia sebagai manusia, sekaligus membawa penghayatan kemanusiaan. Malah, boleh dikatakan keseluruhan ibadah Haji itu mengajarkan tentang kehidupan dan kemanusian; kepentingan persaudaraan, keutamaan kasih sayang dan pengorbanan, serta perlawanan dengan unsur-unsur kejahatan. Pengajaran-pengajaran penting ini mengingatkan bahawasanya kehidupan ini secara keseluruhannya merupakan satu perjalanan hidup di dunia menuju Tuhan.

Perkongsian di atas mungkin menimbulkan persoalan tentang apa relevannya ‘Arafah dalam membincangkan pembangunan Islam di Malaysia? Apatah lagi, Islam sebagai agama telah kukuh bertapak dalam masyarakat di Malaysia untuk sekian lama, khususnya dalam kebudayaan Melayu. Tambahan pula, topik berkaitan Islam sudah menjadi lumrah dan sentiasa bermunculan setiap hari dalam wacana awam.

Namun, perkembangan di Malaysia akhir-akhir ini yang dilanda ketidak-tentuan politik dan kesukaran ekonomi serta kesenjangan sosial seakan-akan telah mempengaruhi wacana awam berkaitan Islam untuk cenderung didominasi unsur-unsur etno-sentrik yang ekstrim, serta naratif keagamaan populis yang mudah mengundang keresahan dalam masyarakat serba berkepelbagaian di Malaysia.

Lebih daripada itu, dinamika politik pada masa ini juga miring memgembur identiti Melayu-Islam hingga mudah mengumpan sentimen kebencian, bukan hanya terhadap kelompok berlainan kaum atau agama, malah sesama Muslim itu sendiri.

Justeru itu, mengingati ‘Arafah, mungkin mewajarkan kita untuk ‘wuquf’ atau berhenti sebentar memikirkan kembali keadaan semasa dalam masyarakat, dan ke mana halatuju wacana berkaitan pembangunan Islam di Malaysia pada masa ini. Oleh yang demikian, Aku merasakan ‘Arafah memberi beberapa pengajaran penting untuk kita sebagai Muslim dalam memacu pembangunan masyarakat di Malaysia.

Pertamanya, ‘Arafah menekankan tentang kepentingan ilmu dan pengetahuan sebagai asas kepada pembangunan diri dan masyarakat. Kepentingan pengetahuan ini wajar difahami secara luas meliputi pengetahuan tentang diri, tentang masyarakat dan juga alam persekitaran secara keseluruhannya yang wajar dihayati secara rasional, empirikal dan juga spiritual melangkaui pemecahan bidang-bidang ilmu seperti kebiasaan pada masa ini.

Arafah, dengan ini, lantas mengingatkan kita bahawa segala ilmu ini asalnya dari Tuhan, serta kedudukan istimewa yang ada pada kita sebagai manusia itu asasnya kerana pengetahuan. Hanya dengan penguasaan ilmu kita dapat mengelakkan daripada terperangkap dalam sentimen permusuhan dan perpecahan. Ini termasuklah dalam hal-hal keagamaan, yang ada kalanya kerana terlalu ghairah, walhasilnya penerapan keagamaan itu kehilangan hikmah. 

Kedua, berasaskan kepentingan ilmu dan pengetahuan, ‘Arafah mengingatkan tentang bagaimana kita harus menempatkan diri di dunia, khususnya sebagai manusia ciptaan Tuhan. Kesedaran ini sewajarnya mengingatkan bahawa wujudnya diri kita ini sebenarnya melangkaui identiti setempat yang dibentuk oleh negara, masyarakat mahupun satu-satu zaman yang khusus; atau dengan kata lain, identiti diri itu tidak hanya tertakluk kepada pembentukan tempat-masa-persekitaran. Identiti diri sebagai seorang Islam antara lain memerlukan kita mengenang Adam, Ibrahim dan tentu sekali Muhammad SAW, di mana kita wajar menyedari identiti diri sebahagian daripada tradisi kemanusian yang lebih luas dan bersifat kebelakaan.

Oleh itu, sebarang penghujahan dalam mengukuhkan identiti berkaitan Islam, haruslah bertepatan dengan nilai-nilai kemanusiaan; saling rasa hormat, menghargai persaudaraan, keadilan dan kasih-sayang; dan bukan sekadar memperkasa identiti etno-agama secara sempit.

Ketiga, ‘Arafah wajar mengingatkan kita tentang kemajuan, kegemilangan dan kesempurnaan dalam kehidupan sebagai manusia dan masyarakat. Kejayaan yang dicapai komuniti awal Islam itu terhasil bukan hanya disebabkan keyakinan keagamaan, tetapi juga melibatkan kesabaran, pengorbanan dan juga kebersamaan usaha di tahap yang paling tinggi. Malah, seperti mana yang ditekankan oleh baginda Nabi SAW, kesempurnaan keagamaan yang perlu dicapai dalam membangun sesebuah masyarakat itu perlu datang bersama komitmen persaudaraan, keadilan, serta kasih sayang untuk semua ahli-ahli masyarakat.

Tibanya hari ‘Arafah turut mengingatkan Aku yang berpeluang menjejak tanah ‘Arafah satu tahun yang lalu, di bawah langit biru dan terik matahari yang membakar tubuh saat berdiri menghadap Tuhan memohon pengampunan dan pengharapan. Tiba-tiba datang hujan ribut sebelum berlalu matahari senja sambil membawa bersama sejuta doa. Tentu sekali disertakan juga doa maju sejahtera untuk Malaysia, umat Islam sedunia dan umat manusia keseluruhannya. Semoga rahmat Tuhan sentiasa bersama kita.

Dan Allah yang Maha Tahu akan segalanya.


[i] Sunan An-Nasa’i; Hadith 3016.

[ii] Sunan At-Tirmidhi; Hadith 3339.

[iii] Sahih Muslim; Hadith 1348.

[iv] Ali Shariati. 2003. The Hajj. Islamic Book Trust. Kuala Lumpur.

[v] Al-Qur’an (2:31)

Design a site like this with WordPress.com
Get started