‘Netflix dan Chill’ Sambil Berimaginasi Secara Sosiologi

Nazrin Zaidi telah menarik perhatian penulis kerana beliau telah mencadangkan untuk kita melihat semula peranan Netflix sebagai Modal Budaya, sebuah konsep yang dibangunkan oleh Pierre Bordeau (1973) yang bukan sahaja berperan sebagai entiti hiburan semata-mata. Di dalam makalah ini, izinkan saya menelusuri isu ini menerusi imaginasi sosiologikal dari C. Wright Mills.

Suasana di kuliah sosiologi apabila Miss Fatimah membincangkan isu LGBTQ dan diskriminasi.

“Okay, here is a scene from Netflix’s Queer Eye where Karamo and a white police officer was talking in the car about police brutality towards African Americans.”

Tiba-tiba video klip itu tidak mahu pula play, aduh! Teknologi tidak menyebelahi Miss Fatimah hari ini. Tidak Mengapa, the show must go on…

Alamak, sorry about this technological glitch guys, let me explain what the conversation was like. So basically, Karamo expressed to the police officer that he was terrified whenever he sees a policeman because of all the discrimination that he had gone through and also because of what the African Americans had to go through and is still going through right now. The policeman understood and seemed very sad. Then, suddenly he apologized on behalf of his profession and saying that they were indeed wrong to discriminate the African Americans, like Karamo. This white police guy, apologized.

Semua pelajar-pelajar terdiam membisu, tak pasti mereka faham ke tidak relevansi babak ini.

“Guys, this is huge, Queer Eye, this scene with Karamo, talking about police brutality is mind blowing. Why? Because it wasn’t planned and it showed a real open conversation about a very sensitive issue.”

Begitulah kisah seorang pensyarah dalam bidang komunikasi, dimana penulis seringkali mencadangkan kepada pelajar-pelajar komunikasi  untuk menonton secara bersiri atau “binge-watch” drama-drama serta filem-filem di Netflix. Bukanlah kerana penulis terlalu mengagung-agungkan budaya serta ideologi barat tetapi penulis berpendapat bahawa Netflix merupakan sebuah modal budaya yang penting untuk membuka minda dan menambahkan lagi modal budaya terangkum (embodied) individu dan seterusnya masyarakat. Ini adalah kerana, penulisan Saudara Nazrin Zaidi (Ogos, 2020) telah menarik perhatian penulis kerana beliau telah mencadangkan untuk kita melihat semula peranan Netflix sebagai Modal Budaya, sebuah konsep yang dibangunkan oleh Pierre Bordeau (1973) yang bukan sahaja berperan sebagai entiti hiburan semata-mata. Di dalam makalah ini, izinkan saya menelusuri isu ini dengan menyumbangkan konsep imaginasi sosiologikal dari C. Wright Mills (1959).

Seperti yang di pelopori oleh C. Wright Mills mengenai konsep imaginasi sosiologikal, beliau menekankan bahawa kita seharusnya memahami sesebuah masyarakat dengan membayangkan hubungkait antara masalah peribadi (personal troubles) dengan isu awam (public issues).  Kita tidak sepatutnya memisahkan kedua-dua faktor ini kerana ia akan mengakibatkan sebuah pemikiran yang dangkal dalam memahami situasi individu tersebut ataupun masalah sosial yang sedang melanda. Tentu sahaja terdapat lebih banyak cara-cara untuk kita mendalami sesuatu isu yang melanda masyarakat dan sebaiknya, seseorang itu patut membaca (buku, bukan google ataupun wikipedia ya, rakan-rakan sekalian) dengan lebih banyak serta mendalam. Namun begitu dalam era visual dan budaya baru Netflix and Chill, mungkin kita boleh menghiburkan diri dan juga mendalami isu-isu masyarakat dengan Netflix? Akan tetapi, Netflix turut terkesan dengan isu bahawa ianya sebuah Modal budaya yang tidak membawa kebaikan kepada nilai-nilai dan peradaban budaya Melayu dan Islam di Malaysia.

Sekitar tahun lepas, terdapat sebuah isu yang viral mengenai cadangan Ahmad Idham selaku Ketua Pengarah FINAS supaya kandungan Netflix ditapis oleh lembaga penapisan filem (LPF). Beliau juga mahu membangunkan sebuah platform strim yang diberi nama Aflix, di mana A itu merujuk kepada Adab. Beliau mahu mencipta sebuah platform dimana kandungan media yang selamat dari unsur-unsur, nilai-nilai dan ideologi barat yang kelihatan amat bertentangan dengan nilai-nilai islam dan budaya Melayu kita di Malaysia. Saya terfikir ada benarnya pendapat beliau kerana di dalam Netflix sememangnya bebas untuk para karyawan menceritakan kisah-kisah dan isu-isu mereka seperti isu LGBTQ, unsur seks dan anti-agama seperti drama siri, The Fab 5 Queer, sex education dan The Messiah.

Akan tetapi penulis merasakan terlalu banyak kisah-kisah, unsur-unsur yang mempunyai nilai kesejagatan yang boleh dilihat sebagai positif lebih-lebih lagi dalam memperkayakan modal budaya seseorang.

Contoh yang pertama dari negara German. Drama siri Dark (2017-2020) dan We are the Wave (2019)  bertemakan peranan belia dalam aktivisme untuk menyelamatkan dunia dan negara mereka dari kehancuran oleh ketamakan kapitalisme. Drama Dark begitu menarik kerana ia genre sci-fi di mana terciptanya produk sampingan akibat bahan-bahan kimia yang dicipta oleh sebuah syarikat nuklear yang besar yang membolehkan seseoarang itu mengembara ke zaman yang berbeza. Disebabkan bahan-bahan kimia itu juga, sebuah letupan nuklear telah (atau akan) mengakibatkan hari kiamat. Maka, mereka perlu mengembara dalam masa (time travel) untuk mengelakkan daripada hari kiamat tersebut. Drama ini begitu mendalam kerana ia membawakan konsep masa yang nonlinear dan sesiapa yang mengawal masa, dialah yang berkuasa seperti Tuhan, kerana Masa itu wujud dengan kewujudan Tuhan. Jangan risau, drama ini tiada kaitan dengan tema anti-tuhan! Drama We are the Wave pula mengisahkan keburukan kapitalisme terhadap mobiliti sosial  belia-belia di sana dan bagaimana kelantangan suara dan aktivisme anak-anak muda dipatahkan oleh “orang-orang tua” dan dibangungkan oleh “orang-orang muda”. Mereka telah membuat beberapa kekacauan berbentuk provokasi lalu dirakam dan dimuatnaik ke youtube. Disebabkan video mereka menjadi tular, sebuah gelombang besar berjaya dilalukan iaitu gelombang anak-anak muda dan peranan mereka untuk membuat perubahan sosial yang radikal. Seronok kan kalau unsur radikal ini dimasukkan? Ya, pergi lah tonton di Netflix sekarang!

Contoh yang kedua pula adalah dari Perancis. Drama siri The Forest (2017), The Mantis (2017) dan Marianne (2019), menunjukkan kepada penonton sebuah Perancis yang begitu berbeza dengan stereotaip Perancis yang gemar dicanangkan sebagai Kota Cinta (the city of love) dan symbol Eifel Tower yang cukup dibanggakan sebagaimana Malaysia berbangga dengan Menara kembar Petronas. Bila difikirkan kembali, dalam drama Perancis yang disenaraikan tadi, sememangnya tiada gambaran Eifel Tower, tetapi lebih banyak menggambarkan konteks luar bandar dimana manusia-manusia yang menghuninya, sebuah dunia yang diselebungi hutan pain dan pantai-pantai yang suram. Isu-isu yang dibawakan oleh watak-watak wanita khususnya membingkaikan kekuatan, kebiijaksanaan serta keberanian wanita dalam bidang kepakaran mereka seperti detektif, seorang pembunuh bersiri dan seorang penulis novel. Dalam drama-drama ini, tiada kemengganguan patriarki yang merimaskan dan hanya kekuatan wanita yang menjadi tunggak kisah-kisah ini. Penulis juga cukup terhibur apabila dapat bertutur dalam Bahasa Perancis akibat binge-watching drama-drama tersebut. Oui, benar sekali!

Akhirnya, sebuah drama dari Norway yang cukup saya suka iaitu Ragnarok (2019-2020) (tidak sama dengan filem Thor) yang mengisahkan isu personal seorang belia yang miskin, yatim, dan kelihatan seperti lemah tetapi amat baik hati. Rupa-rupanya, tanpa disedari dia mewarisi kuasa yang luar biasa dari Thor, tuhan lagenda orang Norse yang berkuasa untuk mengawal alam dan iklim. Kisah drama ini amat menarik sekali kerana penulis dapat mendalami masalah personal watak-watak seperti kemiskinan dan pencemaran alam dan juga isu publik (dan isu dunia) yang di ketengahkan iaitu isu perubahan iklim yang ditanggap sebagai amat membimbangkan oleh aktivis belia Greta Thunberg . Masalah besar yang dihadapi oleh watak-watak ini adalah disebabkan oleh sebuah syarikat kimia besar yang kapitalistik serta langsung tidak menghiraukan alam sekitar. Dan sudah semestinya, anak-anak muda harus bangkit melawan kuasa kapitalisme yang besar ini. Akhir sekali, drama ini begitu bijak dan kreatif dalm menyulam sejarah lagenda Norse mereka dan memberi relevansi serta nafas baru untuk menelusuri serta mengatasi masalah kapitalisme, pencemaran dan perubahan iklimi yang dihadapi pada zaman kini.

Kesimpulannya, penulis berpendapat Netflix adalah sebuah modal budaya yang patut diberi perhatian kerana terdapat banyak imaginasi sosiologikal yang dapat ditelusuri dalam drama-drama yang telah dikongsikan dari negara-negara lain. Secara tidak langsung, kita boleh memperkayakan lagi modal budaya masing-masing. Mungkin, penonton boleh ambil pelbagai iktibar dari masalah personal watak-watak yang mencetuskan perasaan simpati dan empati. Mungkin juga penonton boleh berdebat dan berdiskusi tentang isu-isu awam untuk kita memahami apa yang berlaku disekeliling kita. Apa yang pasti, Netflix telah menyumbang kepada fenomena baru sebagai sebuah Modal Budaya dan tidak patut di tepis serta ditapis kandungannya dengan melulu. Maka, marilah kita ber-Netflix dan chill sambil ber-imaginasi sosiologikal jua.


Rujukan

Vaynshteyn, G. (2020) Netflix’s Ragnarok Is Based On Norse Mythology — Here’s A Primer.

Pautan didapati dari https://www.refinery29.com/en-us/2020/02/9333645/what-is-ragnarok-netflix-based-on-norse-mythology

Aw, N. (2019). Finas confirms departure of CEO embroiled in Netflix censorship controversy.

Pautan didapati dari https://www.malaysiakini.com/news/503003

Mills, C. W. (1959) THE SOCIOLOGICAL IMAGINATION. Pautan didapati dari https://www.imprs-demogr.mpg.de/courses/01ws/TSI.pdf

Mallikarjuna, K (2018). The Realest Conversation about Police Brutality Happened on a Makeover Show. Pautan didapati dari https://www.tvguide.com/news/queer-eye-karamo-brown-police/

Media dan Penonton: Perspektif Pembangunan Psiko-Sosio

Dalam semua situasi ini, simbol memainkan peranan yang sangat penting, di mana media juga berperanan dalam mengajar atau mengetengahkan sesuatu simbol. Seterusnya simbol tersebut sudah terserap dalam budaya sebagai sesuatu yang popular dan akhirnya membentuk sikap kita.

Sebagai seorang pensyarah dalam bidang Psikologi Media, saya terpanggil untuk menulis tentang bagaimana jenis-jenis media tradisional elektronik seperti televisyen, filem dan media baru seperti Youtube dan media sosial mampu mempengaruhi sikap penonton yang merangkumi pemikiran, emosi serta kelakuan. Selain jenis medium yang digunakan, kandungan media juga mampu memberi impak dan pengaruh yang besar terhadap perspektif realiti penonton juga. Jadi, saya berasa sedikit risau apabila terdapat segelintir karyawan serta ahli politik yang berpendapat bahawa, apa-apa kandungan media tidak akan memberi kesan dalam mencorakkan sikap manusia serta mencorakkan perspektif realiti manusia. Mereka juga berasa yakin bahawa lakonan atau kandungan yang terdapat dalam drama atau filem tidak mungkin mampu mempengaruhi sikap penonton, kerana ia hanyalah lakonan semata-mata.

Bagi penonton yang media literate atau celik media, kemungkinan besar, mereka tidak akan dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif yang dipaparkan di media. Kerana itulah kanak-kanak kecil yang menonton rancangan kartun atau juga drama-drama cinta akan meniru lakonan watak-watak kegemaran mereka secara tidak sedar, kerana mereka adalah kanak-kanak yang belum matang pemikirannya. Tetapi bagaimana pula dengan penonton yang lebih matang dari kanak-kanak seperti remaja dan orang dewasa? Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak video Youtube yang sudah pun menjadi viral yang memaparkan perilaku yang tidak bermoral seperti buli, keganasan, seks, dan sebagainya. Dari manakah mereka mempelajari perilaku serta pemikiran yang seolah-olah membenarkan mereka untuk bebas serta tidak malu untuk melakukan semua ini? Adakah media tidak berperanan langsung dalam membentuk sikap dan perspektif realiti penonton?

Mungkin, para penonton, karyawan serta ahli-ahli politik tidak pernah tahu atau tidak mempercayai teori-teori atau kajian-kajian psikologi mengenai impak media terhadap pembentukan sikap penonton.  Albert Bandura telah mencipta sebuah teori yang dinamakan teori sosial kognitif. Teori ini mengesahkan bahawa manusia belajar dengan cara modeling atau meniru perilaku yang mereka saksikan.   Beliau juga telah mengkaji perilaku ganas dalam kalangan kanak-kanak yang menonton kandungan ganas dalam televisyen.  Hasil kajian eksperimental Albert Bandura telah mengesahkan bahawa manusia belajar dengan meniru kelakuan orang lain secara sedar dalam konteks sosial tertentu. Saya telah melihat sendiri kelakuan penonton dari usia 4 tahun sehingga usia 30 tahun meniru gaya percakapan dan gaya kelakuan watak-watak dalam filem-filem yang mempunyai unsur ganas dan bertemakan kehidupan gangster.  Seterusnya, teori ini juga menjelaskan bagaimana kelakuan kita terhasil daripada pemerhatian keadaan persekitaran yang terdiri daripada pemerhatian perilaku orang lain, interaksi sosial dan juga kandungan media.  Dalam semua situasi ini, simbol memainkan peranan yang sangat penting, di mana media juga berperanan dalam mengajar atau mengetengahkan sesuatu simbol.  Seterusnya simbol tersebut sudah terserap dalam budaya sebagai sesuatu yang popular dan akhirnya membentuk sikap kita.

Selain unsur ganas, terdapat juga unsur seks yang diadun bersama dengan tema cinta. Menurut ahli Psikologi Erik Erikson, pada peringkat umur remaja iaitu dari 12-20 tahun, mereka sedang mencari identiti diri sendiri serta mempunyai sifat ingin tahu yang amat tinggi mengenai cinta dan seks. Amat jarang sekali para remaja bertanya kepada guru atau ibu bapa masing-masing kerana malu dan tidak mahu kelihatan seperti seorang yang tidak bermoral, jauh sekali para remaja ini rajin untuk membaca buku-buku ilmiah mengenai seks dan cinta. Jadi jalan terakhir mereka adalah belajar  melalui media. Terdapat banyak filem dan drama yang telah diadaptasi oleh novel-novel cinta antarabangsa dan tempatan yang saya rasa tidak perlulah saya sebut satu persatu tajuk-tajuknya. Pengkaji media A.L Greene dan Carolyn Adams Price telah banyak membuat kajian tentang impak media terhadap remaja.

Mereka berpendapat bahawa selain mempunyai hubungan Perikatan yang  rapat dengan ibu-bapa, mereka akan lebih “rapat” dan terkesan dengan pelakon atau bintang kegemaran mereka dengan mewujudkan secondary attachment.  Secondary attachment atau Perikatan kedua hubungan terdiri daripada hubungan romantik dan hubungan identiti. Hubungan romantik berlaku di mana para remaja perempuan “jatuh cinta” dengan watak yang dimainkan oleh pelakon lalu mereka akan cuba mencari pasangan yang mempunyai perwatakan yang sama seperti pelakon tersebut atau lebih parah, cuba menjadi seperti watak yang diidamkan itu.  Dengan menonton filem atau drama yang bertemakan cinta ini, penonton remaja ini juga secara tidak langsung membuat pemerhatian dan belajar mengenai peranan masing-masing dalam sesebuah hubungan cinta.  Ia juga berperanan dalam melatih hubungan cinta remaja perempuan (dan juga remaja lelaki) dengan pasangan pilihan mereka kelak. Kerana itulah, ramai remaja (dan juga orang dewasa) mengalami pelbagai konflik dalam hubungan cinta mereka kerana realiti percintaan tidak seperti realiti yang dipamerkan oleh drama cinta. Cinta tidak semestinya ditunjukkan dengan cara yang tidak senonoh dan juga tidak masuk akal seperti adegan bercakap dengan bantal. Saya percaya karyawan kita lebih kreatif dalam memaparkan bait-bait cinta yang lebih ikhlas, lebih halus dan lebih berjiwa dan tidak perlu menunjukkan adegan sensual yang berlebihan.

Hubungan identiti pula lebih merangkumi perwatakan pekerjaan atau kelakuan watak kegemaran mereka. Contohnya, jika mereka menggemarkan watak rempit yang dimainkan oleh hero mereka, maka para remaja akan turut memainkan peranan yang sama dari segi sikap yang dibawa oleh watak tersebut. Jika mereka menggemarkan watak seorang doktor, peguam atau bintang realiti, maka mereka juga akan mengambil peduli tentang identiti yang dibawa oleh watak-watak ini. Dalam kebanyakan drama-drama Melayu kita, terlalu banyak stereotaip negatif yang ditunjukkan. Amat jarang sekali saya menonton sesebuah drama dengan watak yang mampu memberi inspirasi positif serta membina. Tidak salah untuk ‘berdrama swasta’ tetapi apakah salahnya untuk menyelitkan watak-watak wanita yang berwibawa serta watak lelaki yang mempunyai gaya kepimpinan yang tidak asyik mahu mendominasi wanita sahaja. Seringkali drama kita memaparkan watak-watak lelaki dengan identiti sebagai pengarah, boss, orang kaya dan lain-lain, tetapi apabila watak wanita tersebut merupakan big boss sebuah syarikat, wataknya seringkali kelihatan sebagai queen control atau diva yang melampau. Saya rasa ada kebenaranya di situ namun, adakah sikap diva itu sahaja yang benar? Drama yang baik haruslah seimbang dalam penyampaian nilai dan sikap yang dipamerkan di kaca televisyen. Sampai bilakah stereotaip seperti ini ditayangkan?

Selain daripada teori dari bidang psikologi, terdapat juga teori serta kajian-kajian media yang mengupas isu peranan media dan impak terhadap penonton. Menurut Professor George Gebner  yang juga merupakan ahli akademik pengajian media yang prolifik, dan pengasas teori kultivasi media, di mana sejak tahun 1970, beliau telah menjalankan banyak kajian analisis kandungan televisyen di Amerika .Hasil kajian-kajian yang beliau telah lakukan menyatakan kandungan media  mampu memberi kesan terhadap pemikiran serta emosi masyarakat kepada sesebuah isu atau kandungan media. Beliau meneruskan lagi dengan menyatakan menonton sesuatu yang ganas tidak semestinya menyebabkan penonton berlaku ganas, tetapi lebih memberi kesan terhadap emosi seperti ketakutan dan kerisauan kerana apa yang telah ditonton mempengaruhi perspektif mereka terhadap sesebuah realiti yang menakutkan. Saya amat faham tentang bagaimana isu-isu sensasi yang dipaparkan oleh media tradisional serta media sosial untuk  menarik minat penonton. Namun apa yang membimbangkan adalah tiada keseimbangan dalam tema-tema yang dibawa oleh filem atau drama. Media kita lebih mengikut arah aliran atau trend semata-mata, dan tidak pula berani dalam membincangkan isu-isu sosial secara kreatif dalam filem atau drama mereka.

Kerana itulah, peranan media tradisional serta media baru penting terhadap pembangunan psiko-sosio penonton. Filem, drama dan juga animasi bukanlah sebuah komoditi semata-mata untuk mengaut keuntungan wang, prestij atau propaganda politik semata-mata. Filem, drama dan animasi juga berperanan penting untuk pembangunan psiko-sosio-rohani rakyat Malaysia yang cukup ketandusan nilai-nilai pembangunan tersebut. Menurut Joan Franz Cooney pencipta rancangan pendidikan kanak-kanak yang tersohor di Amerika “Sesame Street”, Education should be entertaining and entertainment should be educational – pendidikan sepatutnnya menghiburkan dan hiburan sepatutnya mendidik. Rancangan Sesame Street masih relevan sehingga kini, meskipun setelah 40 tahun lamanya.  Saya ingin mengambil contoh animasi Upin dan Ipin kerana ia merupakan rancangan kegemaran saya dan anak saya yang kini berusia tiga tahun.

Upin Dan Ipin, walaupun ianya sebuah animasi dan bukanlah drama, ia tetap menjadi tontonan umum lebih-lebih lagi oleh kanak-kanak (dan juga ibu bapa mereka). Ada satu episod yang amat menarik minat saya sebagai ibu dan juga ahli akademik. Episod tersebut bertajuk “Cari dan Simpan” yang berkisarkan tentang isu menabung dalam kalangan kanak-kanak dan juga isu meminta-minta wang. Apa yang menarik adalah watak Mail dan Kak Ros yang mencadangkan agar Upin dan Ipin menyimpan wang dan berniaga untuk mencari dan menabung hasil dapatan mereka. Animasi tersebut adalah contoh yang baik untuk menghiburkan penonton dan sekaligus mencadangkan kepada penonton tentang cara-cara menabung dan juga mendidik kita tentang nilai dan sikap kita terhadap wang. Saya yang sudah berumur ini, turut mempelajari sesuatu dengan melihat perilaku watak-watak animasi tersebut dan juga sikap yang ditunjukkan oleh mereka. Anak saya yang berusia tiga tahun kini sudah faham sedikit mengenai konsep tabung, dan juga suka simpan wang dalam poket yang disimbolkan olehnya sebagai “bank”.  Jika animasi kanak-kanak mampu memberi inspirasi dan kesan terhadap penonton, bagaimanapula peranan filem dan drama kita yang ditonton oleh umum?

Akhir kata, alam sastera dan seni kita yang ditayangkan di media adalah sebahagian daripada khazanah kebudayaan dan kecendiakawan yang telah dan akan mencorakkan identiti kita sebagai satu kelompok bangsa dan Negara. Menurut W.S. Rendra penyair Indonesia yang tersohor:

Fungsi kritik sosial-politik di dalam seni urusannya dengan kesadaran manusia, yang prosesnya lebih rumit. Pada dasarnya, fungsi kritik sosial-politik di dalam seni  adalah untuk menjaga standar akal sehat kolektif suatu bangsa. Ini merupakan imbangan penting disaat bangsa di bawah tindasan tirani, mengalami disintegrasi mental, disintegrasi moral, disintegrasi sosial dan disintegrasi budaya. 

Media kreatif  kita seharusnya mencetuskan minda penonton yang terdiri daripada anak-anak kecil, remaja, orang dewasa, ahli politik, ahli akademik dan seluruh masyarakat,  lalu membentuk sikap masyarakat yang lebih bertamadun serta celik media.

Rujukan:

Azhar Ibrahim (2014). Cendekiawan Melayu Penyuluh Emansipasi . Petaling Jaya: Strategic Information Research Development

Giles, D. (2003). Media Psychology. NewJersey: Lawrence Erlbaum Associates

Gikow, L. (2009). Sesame Street: A Celebration of 40 Years of Life on the Street. USA:Black Dog & Leventhal

Rendra (2001). Megatruh Yogyakarta :KEPEL Press

Greene, A.L & Adams-Price, C. (1990). Adolescents’ secondary attachment to celebrity figures in Giles, D. (2003)

Design a site like this with WordPress.com
Get started