Meneroka Ruang Untuk Generasi Jamak Bahasa

Bahasa menjadikan kita mampu berkomunikasi dengan lebih berkesan berbanding spesis-spesis lain di planet ini. Dengan proses komunikasi ini, kita mampu mengumpulkan kebijaksanaan massa sepanjang zaman-berzaman, lantas digabungjalinkan menjadi ilmu yang diperturunkan, direkod, diperbaiki, dikritik—lantas melalui proses-proses inilah, ilmu membenihkan tradisinya sendiri sebagai salah satu rupa wajah bagi kemanusiaan

Bahasa merupakan salah satu aspek terpenting yang mendefinisikan kita sebagai manusia rasional, malah menjadikan kita mampu berkomunikasi dengan lebih berkesan berbanding spesis-spesis lain di planet ini. Dengan proses komunikasi ini, kita mampu mengumpulkan kebijaksanaan massa sepanjang zaman-berzaman, lantas digabungjalinkan menjadi ilmu yang diperturunkan, direkod, diperbaiki, dikritik—lantas melalui proses-proses inilah, ilmu membenihkan tradisinya sendiri sebagai salah satu rupa wajah bagi kemanusiaan. Semua ilmu menggunakan sarana bahasa, dan tanpa bahasa, jangankan hendak berilmu, hendak membayangkan sesuatu bernama “ilmu” pun barangkali merupakan sesuatu yang mustahil.

Pada tahun 2018, salah satu aspirasi yang pernah disebut oleh mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang memiliki kemampuan jamak bahasa (multilingual). Maksudnya, rakyat Malaysia mampu bukan sahaja berbahasa Melayu dan Inggeris, tetapi bahasa-bahasa lain juga, sekurang-kurangnya bahasa ketiga. Pada pendapat saya, aspirasi ini sesuatu yang diperlukan atas beberapa sebab, iaitu antara lain pemupukan perpaduan, pemberdayaan intelektual, dan pemerkayaan tiap-tiap bahasa. Artikel ini bertujuan untuk melihat sebab-sebab ini satu-persatu, dan meninjau peluang yang ada dalam konteks Malaysia demi mencapai hasrat ini. Di Malaysia, kita punyai potensi yang besar untuk melahirkan generasi jamak bahasa, dan ia juga akan memberi manfaat yang banyak khususnya dalam kasus hubungan antara kaum.  

Pertama sekali, andaian yang melatari idea perpaduan di Malaysia adalah berpaksikan “toleransi” semata-mata, dan bukannya persefahaman yang sebenar dan utuh antara masyarakat berbilang kaum. Andaian toleransi ini bermaksud kita hanya “menerima” bahawa ada kumpulan yang berbahasa dan berbudaya lain bersama-sama kita dalam negara ini, dan penerimaan itu hanya sekadar basa-basi dan akhlak baik sahaja. Perkara ini tidak cukup jika kita mahu memupuk perpaduan yang berlandaskan persefahaman bersama. Apabila bahasa yang ducapkan berbeza mengikut kaum atau kelompok, gaya fikir antara kelompok-kelompok ini turut berbeza. Perkara ini dijelaskan melalui hipotesis Sapir-Whorf, bahawasanya cara manusia berfikir akan menjadi berbeza mengikut bahasa yang diucapkannya. Sebab itulah, jika kita meneliti citarasa estetika bangsa-bangsa berbeza di Malaysia, kita akan dapati banyak sekali perbezaan antara filem yang ditonton, lagu yang didengar, atau sastera yang dibaca antara kaum-kaum yang berbeza. Perkara ini bukanlah perkara remeh, tetapi merupakan manifestasi kepada gaya fikir, ideologi, malah pandangan alam sesuatu kelompok itu—seperti pemerhatian Syed Naquib al-Attas, “language reflects ontology.” Manusia harus difahami dengan bahasa yang digunakannya sendiri, bukannya menggunakan bahasa orang lain untuk memahami sesuatu kelompok sepertimana gaya analisis kaum orientalis yang telah banyak dikritik.

Sebab kedua mengapa pendidikan jamak bahasa penting adalah dari sudut pemberdayaan intelektual. Andaikan kita semua bersetuju dengan kepentingan membaca sastera, kita perlu mengembangkan ufuk sastera yang kita baca kepada bahasa-bahasa lain juga. Hal ini kerana, meskipun semua karya sastera menyentuh soal-soal universal kemanusiaan, pengkaryaannya dalam bahasa yang berbeza akan menggambarkan keuniversalan tadi dengan wajah yang khusus, yakni, dengan realiti yang tidak mampu diungkap melainkan dengan bahasa asal itu sendiri. Memang, kita ada karya terjemahan daripada pelbagai bahasa di pasaran, tetapi dalam proses penterjemahan, pasti ada sebahagian realiti dalam karya asal tercicir di tengah jalan, lalu realiti ini gagal digambarkan dalam versi terjemahan. Sebab itulah, jika kita melihat karya-karya agung kesusasteraan dunia seperti Genji Monogatari (“Kisah Genji”) oleh Murasaki Shikibu, Doctor Zhivago oleh Boris Pasternak, atau Kalilah wa Dimnah oleh Ibn Muqaffa‘, terdapat beberapa versi terjemahan berbeza dalam satu-satu bahasa tertentu. Setiap terjemahan baharu akan cuba mewajahkan realiti dalam karya asal dengan cara yang menurut penterjemahnya lebih baik. Namun akhirnya, pasti akan ada juga keterciciran dalam terjemahan itu. Atas sebab inilah, sesuatu karya itu lebih memuaskan dari sudut intelektual jika dibaca dalam bahasa asalnya.

Ketiga, biarpun salah satu cabaran yang bakal dihadapi berikutan pendidikan jamak bahasa ialah penggunaan kosa kata yang berbeza asal-usulnya secara sekali gus, justeru membuka ruang kepada bahasa rojak, kita juga perlu menilai peluang yang wujud daripada proses rojakmerojak ini. Dari sudut tatabahasa, sintaksis, dan struktur bahasa, kita punyai sistem yang utuh dalam bahasa-bahasa tertentu, tetapi penghijrahan kosa kata daripada satu bahasa ke satu bahasa yang lain merupakan proses tabii sejak zaman-berzaman. Kita telah menyaksikan banyak sekali manfaat yang diperoleh bahasa-bahasa tertentu, apabila kosa katanya menjadi lebih kaya akibat serapan atau gabungan dengan perkataan dari bahasa luar. Memang, keleluasaan bahasa rojak bakal memunculkan cabaran baru, tetapi pada masa yang sama, ia juga boleh memperkaya tiap-tiap bahasa yang ada di negara kita. Realiti akan berjaya diterjemah dengan lebih baik dalam ruang lingkup kata-kata dan ungkapan apabila sesuatu bahasa itu lebih kaya. Sebagai contoh, perkataan cincai yang bukan dari Bahasa Melayu telah pun masuk ke Kamus Dewan, begitu juga perkataan lepak yang telah masuk ke kamus Oxford menjadi perkataan Bahasa Inggeris. Jangan lupa juga perkataan sap-bun dalam Bahasa Hokkien Pulau Pinang, yang berasal dari sabun dalam Bahasa Melayu, yang sebelum itu datang dari Bahasa Arab.        

Daripada tiga noktah di atas, kita dapat melihat kepentingan mendidik rakyat Malaysia yang memiliki kemampuan jamak bahasa. Namun persoalannya, mampukah kita dengan kapasiti sistem pendidikan yang ada? Sebenarnya kita sudah dan sedang melakukannya, cuma usaha ini harus diperkembang dan dipertingkat lagi. Terdapat dua kekuatan penting yang perlu kita tingkatkan untuk merealisasikan hasrat ini. Pertama, sistem pendidikan jamak bahasa telah pun dijalankan di sekolah-sekolah Berasrama Penuh (SBP), apabila semua pelajar SBP yang memasuki Tingkatan Satu wajib mempelajari bahasa ketiga sama ada Bahasa Jepun, Perancis, Arab, Jerman, atau Mandarin. Justeru, kita tidak perlu berfikir dari awal, kerana modelnya sudah ada. Inilah peluang yang sudah kita miliki kini. Namun, kita harus fikirkan bagaimana caranya untuk mengembangkan sistem ini ke sekolah-sekolah yang bukan SBP.

Seterusnya, kita selalu berbangga dengan kepelbagaian bangsa yang ada di Malaysia, tetapi kita gagal menghargai hakikat ini sebagai satu lagi peluang untuk membangunkan pendidikan jamak bahasa. Hakikat ini perlu kita gunakan untuk membuka ruang supaya semua kaum di Malaysia mempelajari bahasa-bahasa kaum terbesar di negara kita, supaya persefahaman dapat dibina dengan lebih baik. Pada masa perdebatan tentang perpaduan menemui jalan buntu, kerana sepihak menyalahkan sekolah vernakular secara eksklusif, manakala sepihak lagi menyalahkan kerajaan dan mahu mengekalkan sekolah vernakular, saya fikir pokok permasalahannya bukan pada bangunan sekolah sahaja. Jika semua pelajar belajar di bawah satu bumbung pun, tetapi tanpa persefahaman yang sejati dalam bahasa sendiri, perpaduan tidak akan mampu dipupuk juga.

Memang, salah satu isu yang bakal timbul ialah perkara ini tidak semudah seperti yang disebut di sini. Isu seperti kapasiti tenaga pengajar, kemampuan pelajar, kemudahan sekolah, dan bermacam-macam lagi pasti timbul. Namun, masalah-masalah ini sebenarnya boleh diatasi jika kita benar-benar fokus untuk memperbaiki perpaduan di negara kita. Saya fikir, pendidikan jamak bahasa ialah salah satu jalan menuju wawasan ini.  

Hazman Baharom merupakan seorang pensyarah, penulis dan penterjemah. Manakala esei ini merupakan sebahagian daripada kempen penulisan Aspirasi Malaysia 2021 oleh Merdeka Center dan Naratif Malaysia untuk menggalakkan anak muda berkongsi idea dan pengharapan untuk masa hadapan Malaysia ke arah menghasilkan masyarakat yang lebih harmoni, maju dan sejahtera.

Design a site like this with WordPress.com
Get started