Pemikiran Melayu Zaman Nasionalisme: Dari Penghargaan Diri Kepada Pembinaan Bangsa

Jadi, kita melihat apa yang bermula lebih kurang 70 tahun sebelum ini, sebagai semangat untuk menghargai diri bangsa dan budaya Melayu akhirnya membawa kepada ideologi ketuanan. Ini sudah tentu berbeza sekali dengan apa yang telah diperjuangkan oleh Abdul Hadi Hasan pada tahun 1920-an dan juga Abdul Hadi Awang pada tahun 1980-an. Maka, dari satu Hadi ke satu Hadi yang lain, kita dapat melihat pertentangan terhadap Ketuanan Melayu.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat malam,

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Naratif Malaysia kerana sudi menjemput saya sekali lagi untuk berkongsi pandangan mengenai Pemikiran Melayu Zaman Nasionalisme: Dari Penghargaan Diri kepada Pembinaan Bangsa.

Permulaan: Zaman Nasionalisme di Negara Bekas Tanah Jajahan

Lazimnya, jika kita melihat penulisan Barat, seperti oleh Ernest Gellner dan sebagainya, zaman nasionalisme bermula pada pertengahan abad ke-19M. Namun, bagi saya, nasionalisme, terutama sekali di negara-negara membangun sekarang, tanah jajahan empayar-empayar yang ada dahulu di luar Amerika Latin, bermula lebih kurang pada awal abad ke-20M. Ia akibat daripada keruntuhan beberapa empayar yang wujud hingga akhir abad ke-19M yang membawa dan mencerminkan beberapa perubahan besar. Oleh itu, ‘zaman nasionalisme’ dalam perbincangan ini merujuk kepada abad ke-20M dan abad ke-21M.

Dalam syarahan ini, saya akan cuba menyampaikan dua hujah yang berkaitan. Pertama, maksud istilah ‘Melayu’ itu berbeza mengikut konteksnya. Misalnya, perbezaan penggunaannya di Malaysia dengan Indonesia, ataupun dengan Filipina. Tentunya terdapat juga serba sedikit perbezaan di Brunei dan Singapura. Namun, bagi saya, maksudnya di Malaysia itu lebih dekat dengan maksudnya di Brunei dan Singapura, mungkin akibat warisan penjajah British.

Kedua, yang jauh lebih penting, saya akan cuba menunjukkan bahawa pada peringkat awal nasionalisme Melayu, pemikir-pemikirnya bertujuan menegakkan maruah atau penghargaan diri orang Melayu pada zaman penjajahan British. Ini amat penting, terutama sekali bagi rakyat yang pernah dijajah. Bukan hanya dijajah, tetapi diberitahu bahawa mereka tidak mempunyai sejarah tersendiri yang boleh dibanggakan, bahawa sejarah mereka kononnya bermula dengan penjajahan yang mula memajukan mereka. Ini amat penting dalam konteks apa yang telah berlaku di tanah air.

Akan tetapi, lama-kelamaan, keadaan sudah tentu berubah. Apa yang kini dikatakan sebagai nasionalisme boleh dikaitkan dengan fenomena antarabangsa pada akhir abad ke-20M dan awal abad ke-21M, iaitu ‘ethno-populism’ atau ‘ethno-nationalism’ yang merupakan apa yang sering disebutkan perkauman, termasuk fahaman ‘ketuanan Melayu’, misalnya. (Saya pernah membincangkan soal etno-populisme ini dalam syarahan Naratif Malaysia yang lepas.)

Keruntuhan Empayar dan Kebangkitan Imperialisme Baru

Jadi, sekurang-kurangnya dua empayar telah runtuh pada akhir abad ke-19M, iaitu (i) Empayar Austria-Hungary yang berpusat di Vienna; dan (ii) Empayar Uthmaniyah yang berpusat di Istanbul. Vienna dan Istanbul menjadi pusat empayar lama, yang terletak tidak begitu jauh antara satu sama lain di Eropah Tenggara.

Apakah yang telah membawa kepada keruntuhan ini? Seperti kita sedia maklum, pada awal abad ke-19M, tercetus di Eropah Barat, khususnya di England, apa yang dikatakan ‘Revolusi Industri’. Revolusi Industri membawa kelebihan British daripada segi persaingan perdagangan. Mereka berupaya mengeluarkan barangan buatan dengan lebih murah. Ini membawa kepada fenomena ‘imperialisme perdagangan bebas’, yang mana mulai pertengahan abad ke-19M, pihak Inggeris membela konsep ‘perdagangan bebas’ kerana mempunyai kelebihan untuk bersaing; perdagangan bebas dibela kerana kekuatan industrinya. Kita mendapati slogan atau cogan kata demikian membawa kepada perdagangan bebas di Negeri-Negeri Selat (NNS), pada mulanya di Pulau Pinang, dan kemudiannya, di Singapura.

Apa yang dimajukan atas nama perdagangan bebas termasuklah perniagaan candu yang akhirnya melemahkan, malah meruntuhkan beberapa kesultanan. Buktinya dapat dilihat menerusi beberapa penulisan tentang keruntuhan kesultanan rantau ini. Tetapi, setelah pemberontakan tentera ‘sepoy’ terhadap pihak berkuasa British di India pada tahun 1857, Syarikat Hindia Timur atau East India Company terpaksa ditamatkan pada tahun 1858. Kesemuanya yang dahulunya dikuasai melalui syarikat itu dikuasai pula secara langsung atas nama Maharani Victoria.

Pada penghujung abad ke-19M, reaksi dalam kalangan umat Islam bukan datang dari Istanbul, iaitu pusat empayar Kesultanan Uthmaniyah, tetapi daripada pemikir baharu di dunia Islam, terutamanya oleh Syed Jamaluddin Al-Afghani. (Ada yang mempersoalkan asal-usul beliau, sama ada dari Afghanistan atau Parsi, tetapi soal itu tidak begitu penting bagi kita). Penulisan Syed Jamaluddin mengasah kemampuan umat Islam memahami imperalisme Barat untuk menentangnya. Syed Jamaluddin menulis dalam banyak bidang, termasuk implikasi pemikiran saintifik baru di Barat serta filsafat ‘rasionalis’ yang berkaitan. Beliau mempengaruhi Syeikh Muhammad Abduh, dan selanjutnya, golongan Kaum Muda di tanah air.

Apa yang jelas kelihatan ialah pemikiran bersifat anti penjajah dan anti imperialis, tetapi bukan pemikiran nasionalisme. Apabila William Roff mengatakan bahawa pemikirannya bersifat nasionalis, bolehlah dikatakan bahawa maksud nasionalisme yang dipakainya menekankan soal anti imperialisme atau anti penjajahan, bukan nasionalisme etnik.

Pada waktu itu, di Barat, beberapa pemikir telah mula mengemukakan pandangan yang menentang imperialisme termasuk ahli pemikir liberal berbangsa Inggeris bernama John Hobson. Penulisan Hobson dan beberapa pemikir lain mempengaruhi pemikiran Vladimir Ilyich Lenin. Apa yang dapat kita lihat adalah bahawasanya asal-usul penentangan mereka terhadap imperialisme itu berbeza kerana lebih bersifat ekonomi berbanding penulisan Syed Jamaluddin.

Jadi, Perang Dunia Pertama akhirnya membawa kepada keruntuhan dua empayar yang disebutkan tadi, iaitu Austria-Hungary dan Uthmaniyah. Pada waktu yang sama, imperialisme baharu melahirkan gelombang nasionalisme baharu. Dengan tamatnya dua empayar tersebut, kita dapat melihat kemunculan nasionalisme-nasionalisme Arab, Turki dan Yahudi. Lawrence of Arabia dan usahanya berjaya memupuk dan menyokong nasionalisme Arab. Di samping itu, muncul nasionalisme Turki yang dibawa oleh golongan Turki Muda. Selain itu, British memupuk nasionalisme Yahudi yang membawa kepada Zionisme dan pengisytiharan Lord Balfour untuk mewujudkan sebuah negara Yahudi di tanah Palestin.

Maka, keruntuhan empayar lama serta imperialisme baharu juga menghasilkan nasionalisme-nasionalisme Arab, Turki dan Yahudi di Asia Barat yang lebih bersifat nasionalisme etnik. Kemelut ini juga memupuk gerakan yang disifatkan sebagai gerakan nasionalis yang lain. Misalnya, di India, terdapat Gerakan Khilafat, yang menekankan perpaduan ummah, dan jelas bersifat anti-British, kerana ingin mengembalikan empayar Uthmaniyah yang dianggap mereka menyatupadukan ummat Islma. Maka, kita dapati bahawa perkembangan nasionalisme bukan atas satu jalan yang lurus, tetapi berliku-liku.

Selepas tamatnya Perang Dunia Pertama, perjumpaan ‘perdamaian’ diadakan di istana Versailles, sebelah selatan Paris. Istana itu dibina oleh ‘Raja Suria’ Louis ke-XIV. John Maynard Keynes seorang ahli ekonomi Inggeris yang mengikuti persidangan itu bagi pihak negaranya telah menulis suatu karangan komentar yang amat penting tentangnya. Beliau menganggap bahawa Perjanjian Versailles tidak akan kukuh dan kekal kerana tidak memberikan ‘jalan keluar’, terutama sekali bagi pihak Jerman. Beliau beranggapan meskipun Jerman telah kalah, penindasan berterusan terhadapnya akan membawa reaksi merbahaya. Ia membawa pula kepada gerakan Nazi di Jerman, fasisme di Itali dan pemerintahan tentera di Jepun. Ketiga-tiga Itali, Jerman dan Jepun semuanya berangan-angan menjadi imperialis untuk menguasai sumber bahan semula jadi yang dianggap penting untuk berkembang dari segi ekonomi. Mereka berniat menjadi penjajah, tetapi cita-cita mereka dikawal oleh penjajah-penjajah yang lebih awal. Ini mengakibatkan mereka berasa marah kepada kuasa-kuasa Barat yang lain.

Maruah dan Penghargaan Diri Melayu Sebelum Perang Dunia Kedua

Apakah pula yang sedang berlaku di tanah air? Di sini, Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), atau Sultan Idris Training College (SITC) ditubuhkan oleh British dengan tujuan tersurat untuk mengekalkan apa yang dikatakan masyarakat perkampungan Melayu yang bertani. Bagi British, pendidikan Bahasa Melayu bertujuan mendidik anak-anak Melayu untuk terus hidup secara ‘tradisional’ tetapi dengan kaedah yang lebih tersusun, bersih dan selesa. Pada permulaannya, sekolah hanya setakat darjah empat, kemudiannya sehingga darjah enam. Guru-gurunya dilatih di MPSI.

Di Tanjung Malim, guru mereka terdiri daripada beberapa orang pemuda Melayu yang berpendidikan Bahasa Inggeris yang dipilih untuk menjadi pensyarah kepada anak-anak muda Melayu yang bakal menjadi guru. Antara mereka, salah seorangnya bernama Abdul Hadi Hassan. Cikgu Hadi, yang lahir di Tengkera, Melaka, ialah lulusan Malacca High School yang dipilih untuk mengajar kursus Sejarah. Namun, Cikgu Hadi tidak senang dengan teks-teks Sejarah karangan British oleh R.J. Wilkinson dan R.O. Winstedt pada waktu itu. Beliau cuba mengarang teks alternatif yang bertajuk Sejarah Alam Melayu, yang merupakan sumbangan penulisan terbesar Cikgu Hadi.

Cikgu Hadi dikenali di seluruh Alam Melayu (British) melalui anak-anak murid yang telah kembali ke tempat masing-masing untuk mengajar. Sultan Kelantan pula telah memilih beliau untuk menjadi nazir sekolah di Kelantan. Cikgu Hadi telah ke Kelantan, tetapi atas sebab-sebab yang kurang jelas, beliau tidak lama di Kelantan dan akhirnya kembali ke Melaka, dan meninggal dunia pada usia yang agak muda, iaitu 41 tahun.

Anak murid emasnya bernama Harun Aminurrashid. Kemudian, Harun diambil MPSI untuk mengajar mata pelajaran Tawarikh atau Sejarah. Maka, yang menyambung kerja Hadi, meneruskan tugas mendidik, ialah Cikgu Harun yang berasal dari Singapura.

Pengaruh Harun amat penting sekali terhadap generasi muda, yang akhirnya mula mempunyai pandangan Melayu Se-Malaya yang turut merangkumi Singapura. Pandangan itu bermula diajar di MPSI. Sumbangan Hadi dan Harun itu amat penting dalam kemunculan dan perkembangan pemikiran yang sedemikian. Akibat pengaruh pendekatan serta tafsiran mereka terhadap sejarah, ramai guru yang bersemangat nasionalis Melayu anti-penjajah lahir dari didikan sejarah mereka di MPSI.

Pada masa itu, anak muda di KMM banyak membaca sumber-sumber luar, terutama sekali yang fasih membaca bahasa Inggeris, bahasa Arab dan sebagainya. Mereka yang hanya berpendidikan Melayu dipengaruhi penerbitan daripada Singapura yang tidak dianggap asing ketika itu, sedangkan penulisan dari Indonesia mempunyai pengaruh yang kuat. Pada tahun 1928, gerakan kemerdekaan Indonesia atau gerakan nasional rakyat Indonesia telah membuat keputusan yang amat penting. Mereka telah bersetuju bahawa Bahasa Melayu akan menjadi Bahasa Indonesia. Bukannya Bahasa Jawa yang digunakan oleh lebih daripada separuh rakyat Indonesia. Pilihan sengaja ini diputuskan atas dua sebab. Pertama, bahasa Melayulah telah lama menjadi bahasa perdagangan di rantau Nusantara yang diterima oleh semua kaum dan suku. Kedua, bahasa Jawa mempunyai tiga loghat yang mencerminkan darjat atau kasta masing-masing. Gerakan nasionalis Indonesiaa menolak masyarakat berdarjat dan berkasta. Itulah sebabnya mereka menolak apa yang diperjuangkan oleh Boedi Oetomo di Indonesia ketika itu untuk mengangkat budaya dan bahasa Jawa di Indisch Belanda, iaitu Indonesia kini.

Pengaruh anak murid sejarah ini terhadap sejarah nasionalisme tanah air kita yang anti-imperialis dan anti-penjajah harus diakui. Hal ini sudah tentu mempengaruhi kelahiran Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada tahun 1930-an. KMM dipimpin oleh Ibrahim Yaacob dan Mustapha Hussain yang merupakan timbalannya. Jadi, dari 8 Disember 1941 sehingga Februari 1942, Jepun berjaya menyerang tanah air dengan pesawat bomber, kereta kebal serta bilangan askar satu pertiga tentera British.

Jepun menjanjikan Asia Timur Raya kepada rakyat Asia Tenggara, tetapi ramai yang berketurunan Cina tidak percaya kerana sudah lama mendapat berita kekejaman tentera Jepun di tanah besar China. Seperti dijanjikan kepada Subhas Chandra Bose dan Soekarno, Jepun berjanji membawa kemerdekaan kepada seluruh Asia. Itulah janji pihak Jepun yang mana Ibrahim Yaacob turut ‘termakan’ dengannya.

Namun, Mustapha Hussain mempunyai pandangan berbeza. Beliau berada di Singapura setelah British menyerah diri. Walaupun orang kulit putih British dipenjarakan, misalnya di penjara Changi di Singapura, pihak Jepun ingin membunuh 400 orang askar Melayu yang cuba mempertahankan Singapura. Mustapha mencuba dan membela nasib dan berjaya menyelamatkan mereka. Namun, beliau tidak senang dengan sikap tentera Jepun, lalu kembali ke Gopeng, Perak, untuk mengerjakan tanah, bercucuk tanam demi menyarakan keluarganya. (Mustapha bukan terdidik di MPSI, tetapi di Maktab Pertanian di Serdang, dan merupakan sepupu Yusuf Ishak, penerbit Utusan Melayu, dan adiknya, Aziz Ishak, Menteri Pertanian yang kemudiannya ditahan pada zaman Konfrontasi dengan Indonesia. Setelah Dato’ Onn meletakkan jawatan sebagai ketua UMNO pada tahun 1951, beliau kalah kepada Tunku Abdul Rahman pada peringkat pencalonan dengan hanya satu undi).

Pentadbiran tentera Jepun zaman perang juga berbeza dengan pentadbiran British. Pentadbiran Jepun bukan hanya di Semenanjung, tetapi juga pulau Sumatera. Di kalangan rakyat pula, Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS), yang dipimpin Dr. Burhanuddin al-Helmy, telah mengeratkan hubungan dua hala seberang Selat Melaka. Sewaktu Penaklukan Jepun, negeri-negeri di utara Semenanjung ‘dikembalikan’ kepada Raja Siam, kerana negeri Thai bersubahat dengan Jepun pada zaman perang. (Raja Siam pada waktu itu mungkin kurang berpengaruh. Sebaliknya, yang berkuasa di negeri Thai ialah tentera yang telah menggulingkan kerajaan Pridi Banomyong, yang memimpin ‘revolusi demokratik’ tahun 1932 di Bangkok).

Nasionalisme Melayu Pasca Perang Dunia Kedua

Setelah Perang Dunia Kedua, Pentadbiran Tentera British, atau British Military Administration (BMA), dikenakan terhadap Semenanjung termasuk Singapura. Pentadbiran BMA ini ditentang oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dikenali umum sebagai Pekemam. Pekemam dari tahun 1945 lagi telah menentang penjajah British dan terus menuntut kemerdekaan.

Tuntutan kemerdekaan ini dianggap sebagai kesinambungan tuntutan merdeka KRIS pada penghujung Penaklukan Jepun. Tetapi kesinambungan antara Pekemam dengan janji-janji kosong pihak Jepun yang menjanjikan kemerdekaan tiada. Malah, beberapa pemimpin Pekemam pernah menentang Jepun sewaktu Perang sebelumnya. Ini amat penting diperingati kerana telah mempengaruhi apa yang berlaku selanjutnya.

Dalam Revolusi Indonesia (1945-1949) pula, apabila nasionalis Indonesia berkuasa, hampir semua kerajaan bersultan atau kesultanan yang wujud di pulau Sumatera telah dihapuskan. Tiada satu pun kesultanan di Sumatera yang masih berkuasa. Hal ini sudah tentu menakutkan raja-raja Melayu yang lain di Semenanjung. Ini suatu faktor yang mempengaruhi raja-raja Melayu bekerjasama dengan orang seperti Dato’ Onn Jaafar. Jangan lupa bahawa Dato’ Onn pernah menjadi Menteri Besar yang telah diusir keluar dan dilarang masuk Johor pada suatu waktu sebelumnya. Jadi, dalam konteks ini, apa yang telah berlaku di rantau ini telah banyak mempengaruhi perkembangan sejarah tanah air kita.

Maka, kemerdekaan mula dituntut pada tahun 1945 oleh Pekemam. Pada mulanya, Pekemam dipimpin oleh Mokhtaruddin Lasso, dan kemudiannya oleh Dr. Burhanuddin. UMNO dari penubuhannya pada tahun 1946, untuk menentang Malayan Union, sehingga tahun 1951 tidak pernah menuntut kemerdekaan.

Pada tahun 1947, pimpinan Pekemam dan semua sayapnya — sayap wanitanya, Angkatan Wanita Sedar (AWAS), sayap pemudanya, Angkatan Pemuda Insaf (API), sayap ulamanya, dan lain-lain lagi telah bekerjasama dalam satu gabungan yang dinamakan sebagai Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA). PUTERA telah bekerjasama dengan All Malayan Council of Joint Action (AMCJA), yang dipimpin oleh Malayan Democratic Union (MDU). Tokohnya Tan Cheng Lock, yang kemudiannya memimpin MCA, tetapi yang penting ialah peranan MDU ketika itu. Antara mereka yang cukup berpengaruh dalam MDU termasuklah setiausahanya Lim Kean Chye, yang masih hidup di Pulau Pinang dengan usia lebih daripada 100 tahun. Seorang tokoh MDU lain ialah Wan Abdul Hamid yang juga masih hidup dan seangkatan dengan Almarhum Ungku Aziz. Wan Hamid juga berasal dari Johor dan mereka pernah dibawa ke Jepun semasa anak bangsawan atau pembesar Melayu lain sewaktu Perang Dunia Kedua untuk dididik di Jepun.

Gabungan kerjasama PUTERA-AMCJA mula merangka Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947. Selain Dr. Burhanuddin, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan Ahmad Boestamam, atau nama sebenarnya, Abdullah Sani Bin Raja Kechil, merupakan tokoh PUTERA yang amat penting. Oleh itu, wujud kesinambungan konsep ‘bangsa Melayu’ dalam Perlembagaan Rakyat dan konsep ‘bangsa Malaysia’ dalam Wawasan 2020 yang ditulis oleh anakandanya, Rustam A. Sani.

Perlembagaan Rakyat memberi cabaran besar ertinya terhadap pemerintahan penjajah British ketika terpaksa menyerah kemerdekaan di Asia Selatan. Kesannya, pada awal tahun 1948, pihak British mula bertindak terhadap aktivis politik Melayu PUTERA, terutama sekali API. Dalam Testamen Politik API nya, Ahmad Boestamam menuntut ‘Merdeka Dengan Darah!’. Kemungkinan besar ini telah menakutkan pihak penjajah British, memandangkan Revolusi Indonesia yang telah bermula pada tahun 1945 dan akhirnya selesai dicapai pada tahun 1949.

Rentetan itu, lebih daripada 6,000 pemuda Melayu telah ditahan pada bulan Februari 1948. Ramai lagi telah melarikan diri dan sebahagian besar daripada mereka telah menyertai gerakan tentera gerila Rejimen ke-10, yang dipimpin Parti Komunis Malaya (PKM). Memoir Chin Peng mengakui kesilapan besar pada tahun 1948 kerana tidak cukup mengambil berat dan menentang dengan jauh lebih keras, penindasan terhadap aktivis anti-penjajah Melayu pada bulan Februari 1948. Maka, menurutnya lagi, pihak PKM tidak bersiap sedia ketika British mengisytiharkan Dharurat pada Jun 1948.

Persekutuan Tanah Melayu dibentuk pada 1947 akibat kompromi pihak penjajah British terhadap penentangan pimpinan UMNO terhadap Malayan Union. Maka, Persekutuan Tanah Melayu merupakan usaha memastikan kuasa British berterusan di sebalik raja-raja Melayu. Susunan demikian meneruskan mitos di merata-rata dalam empayar British, terutamanya di Afrika. Ini bermula dari tahun 1874 dengan Perjanjian Pangkor, yang mana kononnya, raja-raja Melayu terus bertakhta, tetapi sebaliknya, terus didalangi British. Secara rasmi, nasihat Residen dan Penasihat terpaksa diterima dalam semua hal kecuali yang berkaitan dengan agama Islam dan adat Melayu.

Para sejarawan Darurat setuju bahawa, antara tahun 1948 hingga 1951, pihak British tidak berjaya mengalahkan gerila pimpinan PKM. Hanya kemudian, mulai tahun 1951, barulah perubahan besar strateginya berjaya menyelamatkan kepentingan penjajah British. Perubahan-perubahan ini melibatkan beberapa reformasi. Parti Buruh berkuasa di Britain selepas perang sehingga tahun 1951 apabila mereka kalah kepada Winston Churchill. Walaupun Parti Buruh tidak berkuasa, beberapa reformasi telah dilaksanakan yang memberi gambaran bahawa mereka mempengaruhi reformasi sosial untuk ‘tawan hati dan minda’ rakyat.

Setelah gagal membuka UMNO kepada kaum lain demi menuntut kemerdekaan, Dato’ Onn Jaafar menubuhkan Independence of Malaya Party (Parti Kemerdekaan Malaya) yang berbilang kaum di kalangan golongan atasan untuk menuntut kemerdekaan. Setelah usahanya tidak berjaya, akhirnya, beliau mengetuai Rural Industrial Development Authority (RIDA), yang kemudiannya dijadikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai asas untuk terus berkempen. Di samping itu, Labour Party (Parti Buruh) of Malaya, Malayan Trades Union Council (MTUC), gerakan koperasi serta usaha lain diperkenalkan untuk membantu kaum petani. Akhirnya, FELDA ditubuhkan pada tahun 1956.

Revolusi Indonesia, yang akhirnya berjaya pada tahun 1949, mempunyai kesan besar. Di pulau Singapura. Misalnya, surat khabar paling berpengaruh di Semenenjung, iaitu Utusan Melayu diterbitkan. Ramai daripada mereka yang terlibat dengan Utusan juga terlibat dalam Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50). Suasana ini mempengaruhi filem-filem yang dibikin pada waktu itu, meskipun dimiliki oleh Shaw Brothers, Cathay Keris dan sebagainya. Beberapa filem awal P. Ramlee, seperti Antara Dua Darjat, mempunyai unsur-unsur kerakyatan. Hanya kemudian, beliau membikin filem Hang Tuah yang berbeza sekali dengan filem Hussain Hanif sebelum itu iaitu Hang Jebat. Jadi, pemikiran Melayu tahun 1950-an merupakan masa yang cukup bergelora daripada banyak segi.

Pembinaan Bangsa Pada Era Pasca Kemerdekaan

Selepas Merdeka, terdapat usaha memperkenalkan institusi baharu. Pada tahun 1961, telah berlaku sesuatu yang amat bersejarah, bukan hanya di rantau ini, malah pada peringkat dunia. Dalam peristiwa mogok Utusan Melayu, pekerja-pekerjanya telah mogok lebih daripada 100 hari kerana menentang UMNO yang telah mengambil alih syarikat penerbitan Utusan Melayu. Setahu saya, tidak pernah ada mogok begitu lama di dunia disebabkan kebebasan akhbar—bukan soal gaji dan sebagainya. Akhirnya, Ketua Pengarang Utusan Melayu Said Zahari telah dibuang negeri kerana lahir di Singapura. (Mulai Februari 1963, Said Zahari ditahan tanpa bicara di Singapura oleh pemerintahan Lee Kuan Yew sehingga tahun 1980!) Sebilangan besar daripada mereka telah kehilangan kerja kerana mogok itu gagal. Sebahagian besar telah masuk bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) termasuk Kamaludin Mohamad (Keris Mas), Usman Awang (Tongkat Warrant) dan lain-lain. Seperti ASAS 50 di Singapura, mereka ini telah memberi nafas baharu yang penting di Kuala Lumpur dan sebagainya, misalnya melalui PENA.

Dengan tertubuhnya kampus Universiti Malaya (UM) di Pantai, Kuala Lumpur, gerakan mahasiswa telah berkembang, terutama sekali pada pertengahan tahun-tahun 1960-an. Di kalangan mahasiswa Melayu, terdapat dua, tiga aliran yang menarik. Salah satu yang penting sejak dahulu lagi ialah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Ia telah bermula sebagai Persatuan Bahasa Melayu yang mula ditubuhkan di Singapura. Satu lagi cabang penting yang wujud ialah Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) yang pernah dipimpin oleh Arwah Kassim Ahmad. Kelab Sosialis, yang dahulunya ditubuhkan di Singapura, turut ditubuhkan di UM Kuala Lumpur.

Pada ketika tertentu, semuanya sealiran dan bekerjasama. Misalnya, bagi membela petani yang tidak bertanah, yang dipimpin Hamid Tuah. Pada peringkat itu, yang dapat dilihat di kalangan mahasiswa ialah sokongan terhadap cita-cita nasionalisme dengan erti kata yang luas. Di Singapura pada tahun 1950-an lagi, mahasiswa di Universiti Nanyang pernah menuntut supaya Bahasa Melayu diajar di universiti itu. Begitu juga, didapati mahasiswa bukan Melayu juga turut terlibat dengan beberapa kegiatan seperti Teluk Gong.

Perselisihan juga bermula daripada segi pemikiran. Di satu pihak, individu seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad mengutarakan bukunya, Dilema Melayu. Di pihak lain, Senu Abdul Rahman, Setiausaha Agung UMNO ketika itu, mengemukakan Revolusi Mental. Kedua-dua pihak dikritik tajam oleh Profesor Syed Hussein Alatas dalam bukunya, Mitos Peribumi Malas.

Pimpinan Tun Abdul Razak waktu itu menganggap masalah utama yang dihadapi mereka ialah cabaran perpaduan nasional. Ini membawa kepada penggubalan Rukunegara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). ‘Serampang dua mata’ DEB itu melibatkan pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Kedua-duanya dikatakan bertujuan mewujudkan keadaan atau suasana yang sesuai untuk mencapai perpaduan nasional dari kacamata masalah di Semenanjung Malaysia yang telah membawa kepada rusuhan kaum.

Mereka tidak begitu memikirkan soal Sabah dan Sarawak. Sebelum itu, Ketua Menteri Sarawak Stephen Kalong Ningkan telah menimbulkan cabaran besar terhadap kerajaan pusat. Pada tahun 1966, beliau tidak bersetuju menandatangani rang undang-undang yang dikemukakan untuk memberi kuasa terhadap ‘rak benua’ kepada Kuala Lumpur. Perisytiharan Darurat ketika itu dirujuk oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengisytiharkan Darurat awal tahun ini.

Pada tahun 1980-an pula, Tun Dr. Mahathir telah membawa idea dan dasar baharu seperti Dasar Pandang ke Timur dan Penerapan Nilai-Nilai Islam. Akan tetapi, merudumnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada waktu itu, dengan keluarnya Dato’ Asri Muda dan lain yang rapat dengannya. Akhirnya, yang tinggal hanya seorang Ahli Parlimen PAS, iaitu Tok Guru Nik Abdul Aziz selepas muktamar tahun 1982.

Tidak lama kemudian, pemimpin PAS angkatan muda, Haji Abdul Hadi Awang telah mengisytiharkan PAS menentang apa yang dikatakan assabiyah, yang ditakrifnya sebagai perkauman atau taksub kepada kaum atau suku. Takrif istilah assabiyah menurut Haji Hadi berbeza sekali dengan apa yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun, misalnya, yang lebih menekankan setiakawan atau persaudaraan sosial. Sama ada betul atau salah, penentangan Haji Hadi terhadap perkauman telah mempengaruhi PAS selama hampir tiga dasawarsa. Pendirian inilah yang membezakan PAS ketika itu daripada Angkatan Belia Islam (ABIM) misalnya. Pemimpin ABIM yang menggantikan Anwar Ibrahim, Siddiq Fadzil menekankan apa yang sekarang ini ditekankan oleh pihak UMNO dan PAS, iaitu kesesuaian keMelayuan dengan nilai-nilai Islam.

Maka, dalam konteks ini, Dr Mahathir cuba berundur daripada penekanan DEB, terutama sekali matlamat pemilikan 30 peratus dari jumlah saham oleh kaum Bumiputera, dengan cara yang tidak kelihatan. Beliau telah melihat kesan-kesan sampingan yang tidak dijangka Tun Razak daripada pelaksanaan dasar itu. Maka, Rancangan Malaysia Kelima (RM5) pada tahun 1986 telah diketepikan tidak lama setelah diisytiharkan.

Mantan Setiausaha Politik Tun Razak dan rakan Mahathir, Tan Sri Abdullah Ahmad,  telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, atau Internal Security Act (ISA), pada tahun 1976 setelah Tun Razak meninggal dunia. Dollah Kok Lanas, yang dibebaskan pada tahun 1981 setelah Mahathir menjadi Perdana Menteri, telah membela cita-cita ‘Ketuanan Melayu’.

Maka, nasionalisme Melayu telah bermula sebagai fahaman untuk meningkatkan maruah dan harga diri orang Melayu melawan ketuanan penjajah British yang memandang rendah sambil menindas mereka. Akan tetapi, enam dasawarsa kemudian, nasionalisme Melayu telah dijadikan fahaman sebaliknya, iaitu ideologi ketuanan. Ini juga berbeza sekali dengan apa yang diperjuangkan Cikgu Hadi Hasan pada tahun 1920-an dan juga Haji Hadi Awang pada tahun 1980-an.

Kemudian, pada tahun 1991, konsep Wawasan 2020 dikemukakan oleh Mahathir Mohamad. Walaupun Mahathir Mohamad tidak berjaya dalam usahanya berundur daripada penekanan terhadap penyusunan semula DEB. Beliau mengemukakan cita-cita menjadikan Malaysia sebuah negara maju berasaskan industri dan bersatu sebagai Bangsa Malaysia. Dalam konteks ini, Menteri Besar Selangor Muhammad Muhd Taib, atau Mat Taib, telah mengemukakan konsep ‘Melayu Baru’. Melayu Barunya tidak lagi takut dengan bayang-bayangnya sendiri, tetapi cukup yakin diri. Walaupun ekonomi tumbuh pesat pada tahun 1970-an, dan juga pada awal dan pertengahan tahun 1990-an, pertumbuhan ekonomi agak lembab pada waktu lain. Walaupun zaman lebih mutakhir tidak disentuh, kisah fahaman nasionalisme Melayu tidak berubah secara mendalam setelah penghujung abad ke-20M, walaupun watak utama bertukar-tukar.

Pengertian Melayu Berbeza-beza

Maksud Melayu berubah mengikut konteksnya, bukan hanya mengikut tempat, misalnya maksud Melayu di Indonesia jelas berbeza, tetapi dari segi sejarah. Di Indonesia, Melayu salah satu suku yang terdapat di kepulauan Riau-Lingga dan di selatan Sumatera. Orang Melayu tidak sampai dua peratus daripada seluruh rakyat Indonesia, walaupun bahasanya diterima sebagai bahasa Nusantara, malah dijadikan Bahasa Indonesia. Mereka tidak menafikan perbezaan suku, budaya dan bahasa yang wujud. Rakyat Indonesia tidak menafikan orang Jawa, orang Sunda, orang Bugis, orang Melayu dan sebagainya.

Ini berbeza dengan apa yang berlaku di Filipina. Misalnya, pada penghujung abad ke-19M lagi, wira nasional Filipina, José Rizal mengakui dirinya sebagai seorang Melayu. Bagi Rizal, orang Filipina sebahagian daripada rumpun rakyat di rantau ini. Walaupun Rizal sendiri seorang mestizo Cina, tetapi yang penting baginya, beliau mengakui dirinya sebagai rakyat rantau ini. Malah, beliau sanggup berkorban membela kemerdekaan Filipina sehingga akhirnya dibunuh Sepanyol pada tahun 1896. Jelas daripada pendiriannya apa yang dimaksudkannya sebagai orang Melayu. Maka, di Filipina, soal menjadi seorang Melayu tiada kaitan langsung dengan agama.

Maka, maksud istilah Melayu bukan hanya berbeza mengikut tempat, bahkan juga mengikut zaman. Misalnya, pada tahun 1930-an, British telah memupuk konsep Melayu kerana sudah bimbang penentangan terhadap kuasa British akibat gelombang nasionalisme di seluruh Dunia Ketiga, terutama di tanah jajahan Eropah, ketika Kemelesetan Besar di mana pendapatan jatuh, pekerjaan berkurangan dan buruh dihalau balik ke India.

Oleh yang demikian, kita harus sedar tentang sejarah kita di rantau ini mengikut zaman. Ulasan pemikiran Melayu zaman nasionalisme mengingatkan kita bahawa nasionalisme dapat membebaskan kita daripada kongkongan sejarah ataupun menjadi sebahagian daripada rantaian yang terus membelenggukan kita. Nasionalisme maju atau progresif mampu bererti mendurhaka, yang membawa kemerdekaan. Ataupun menjadi belenggu budaya berasaskan mitos rekaan yang menyebabkan perpecahan yang membolehkan kuasa lain menguasai kita walaupun kononnya kita merdeka.

PERBINCANGAN DAN SOAL JAWAB

EHSAN SHAHWAHID: Terima kasih Prof. Jomo atas syarahan sebentar tadi yang mengulas dari sisi pra Malaysia lagi tentang nasionalisme Melayu, menelusuri sejarah dalam tempoh-tempoh yang penting, pandangan, idea dan peranan tokoh-tokoh utama dalam membincangkan topik nasionalisme Melayu serta kerelevanannya buat masa ini. Seterusnya, saya akan menjemput Pak Halim (Abdul Halim Ali) dan Dr. Muhaimin Sulam untuk memberikan ulasan. Silakan Pak Halim untuk memberikan ulasan.

ABDUL HALIM ALI: Terima kasih saudara Ehsan. Dalam syarahan ini, tokoh-tokoh yang dibicarakan tadi akan ditunjukkan signifikannya kepada judul yang kita sama-sama bicarakan pada malam ini. Bagi maksud tersebut, akan saya pakai perspektif ekstrapolasi iaitu menyimpul dan menaksir suatu informasi yang belum kita ketahui seperti nasionalisme tadi daripada informasi yang telah kita ketahui. Akan dipakai juga pendekatan interconnectedness yang terrnyata terdapat dalam bicara saudara Jomo tadi yang merentas ruang dan menjangkau waktu untuk maksud saya yang penting iaitu lineage atau turun-temurun atau ancestry antara satu kejadian sejarah dengan yang lain. Jadi, dari India ke Eropah itu ada interconnectedness dalam jangka masa yang jauh. Saya terkesan dengan pendekatan longue durée oleh saudara Jomo. Hal ini penting kerana saudara Jomo telah membuka jendela yang memungkinkan kita menanggapi satu conception of the whole yang sehingga kini kajian-kajian tentang nasionalisme itu terbahagi-bahagi dan terpecah-pecah. Sering dikatakan bahawa tidak mungkin diketahui dengan jelas ke manakah kita akan pergi dari sini? Tanpa terdahulu mengetahui dari manakah datangnya kita? Dan bagaimanakah kita sampai kepada titik sejarah kini?

Pada taksiran saya, saudara Jomo telah menyediakan satu peta untuk dipakai oleh para sarjana generasi baharu yang ada kaitan dengan Naratif Malaysia. Mereka itulah harapan kita untuk masa depan. Ringkasnya, diperlukan sarjana generasi muda ini satu jawapan yang baharu dan huraian baharu. Ringkasnya, diperlukan oleh mereka jawapan yang ‘cool’ kalau mengikut istilah generasi baharu. Jelasnya, mereka akan meneruskan upaya historical reconstruction kita, khususnya oleh generasi muda. Antara perkara yang dikemukakan yang saya anggap pokok, dikemukakan oleh saudara Jomo tadi ialah seorang watak Cikgu Abdul Hadi Hassan. Saya memilih watak ini bukan kerana individu, tetapi kerana signifikannya Cikgu Abdul Hadi Hassan dari SITC. Apabila kita menyebut Cikgu Abdul Hadi Hassan, sekurang-kurangnya akan timbul dalam benak saya pada saat ini sembilan perkara.

Pertama, adanya ‘zon budaya’ suatu istilah yang diciptakan oleh Fernand Braudel. ‘Zon budaya’ ini jelas dalam ideologi KMM dan PKMM, dalam penulisan Ibrahim Yaacob, Muhammad Yamin, Tan Malaka dan penulisan dalam risalah-risalah Rejimen ke-10. Apatah lagi dalam penulisan Burhanuddin al-Helmy yang disampaikan dalam Parlimen pada Mei 1962 dan kenyataan Boestamam ketika diinterogasi oleh Special Branch (SB). Beliau tidak pernah mengungkapkannya dalam Parlimen tetapi ada kenyataan bertulis yang terdapat dalam catatan SB. Kedua, apabila membicarakan tentang signifikannya Cikgu Abdul Hadi Hassan itu adalah pendekatan longue durée. Ertinya, tidak seperti sejarawan konvensional yang mementingkan kejadian atau event semata-mata. Cikgu Abdul Hadi Hassan telah mengambil jangka masa panjang sehingga 2,000 tahun. Apabila kita berbincang tentang Cikgu Abdul Hadi Hassan juga, kita akan kaitkan dengan pemikiran Annales School di Perancis yang memperkenalkan konsep ‘zon budaya’ dan longue durée tadi. Ertinya menghitung sejarah. Bagaimanakah menghitung sejarah? Adakah hari? Bulan? Tahun? Tidak kata mereka. Satu abad itu hanya setitis dalam lautan sejarah. Ketiga, apabila berbincang tentang Cikgu Abdul Hadi Hassan, kita juga membicarakan juga tentang konsep history of mentaliities yang dikemukakan oleh Fernand Braudel. Keempat, soal nasionalisme. Kelima, soal bahasa pemersatu yang dinyatakan oleh saudara Jomo tadi. Walaupun Bahasa Jawa itu majoriti dan terdapat 150 bahasa di Nusantara, maka dipilihnya hanya satu. Keenam, Cikgu Abdul Hadi itu apabila disebut beliau itu, teringat kita akan konsep mediterra iaitu konsep ‘antara nusa’ atau ‘antara tanah’. Apabila kita membincangkan tentang mediterra itu, kita kaitkan dengan perspektif interconnectedness di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS). IKMAS pada tahun 2019 telah menerbitkan dua jilid Connecting Oceans yang ada audiens pada malam ini ialah pengarang-pengarang dalam bab-bab tersebut. Apa yang saya anggap baik dalam dua jilid Connecting Oceans ini ialah pendekatan deep history. Dengan menolak superstructure, tetapi pergi kepada deep history, maka belasan Sains Sosial dipakai dalam dua jilid itu. Ketujuh, apabila kita membincangkan Cikgu Abdul Hadi Hassan dan soal nasionalisme itu tentang gagasan bangsa. Dalam gagasan bangsa itu, menurut Malcolm Cadwell, teks dan dokumen paling berpengaruh antara tahun 1920 hingga tahun 1926 ialah teks Joseph Stalin tentang “Apakah bangsa?”. Pada pendapat saya, konsepnya itu materialis. Melainkan dalam kriteria kelima mempunyai karakter psikologikal yang terbayang dalam Perlembagaan Rakyat dan konsep gagasan bangsa kita, lebih-lebih lagi dalam karya Rustam A. Sani. Kelapan, peranan agama itu penting bagi saya, tetapi jarang disebut kerana tidak mungkin mengetahui nasionalisme di sini tanpa dibarengkannya dengan agama kerana menurut Malcolm Caldwell juga, itu merupakan suatu kekuasaan sosial. Agama itu seperti kata Max Weber, bukan hanya soal peribadi antara Dia yang maha kudus, tetapi juga mempunyai fungsi masyarakat. Jadi, apa yang ditekankan oleh Malcolm Caldwell tadi, Islam itu sebagai kekuasaan sosial yang meratakan jalan untuk Nusantara ini menerima modenisasi dan untuk bahasa Melayu dijadikan satu alat pemersatu dalam pembinaan kebangsaan. Saya fikir antara agama dengan nasionalisme itu harus juga dibarengkannya dengan keadilan sosial—sosialisme. Sosialisme itu ada tiga sumbernya yang datang ke mari. Sumber pertama, dari Eropah dengan teori Marxismenya. Sumber kedua, seperti dinyatakan saudara Jomo tadi dari Timur Tengah dalam agenda reform mereka itu. Sumber ketiga, sosialisme primitif yang terdapat dalam masyarakat Nusantara seperti gotong-royong, tolong-menolong dan seperti diciptakan oleh Mas Marco Kartodikromo, ‘sama rata, sama rasa’. Itu adalah cerminan daripada Joyoboyo yang mengatakan masyarakat itu mengalamai tiga peringkat dari keemasan kepada penderitaan kemudian datangnya Ratu Adil. Siapakah Ratu Adil? Itu tidak tahu. Kita siapa? juga kita tidak tahu juga. Kesembilan, saya fikir apabila membincangkan tentang Cikgu Abdul Hadi Hassan, ia mengingatkan kita kepada Pramoedya Ananta Toer yang menulis bukunya Arus BalikArus Balik itu menunjukkan bagaimana ini yang menjadi argumen IKMAS bahawa Nusantara itu adalah satu peradaban maritim sehinggalah kuasa Barat ke mari, lalu arus tadi dibalikkan menjadi warga Nusantara ini ‘didaratkan’. Mendaratkan mereka menjadi orang darat. Saya fikir dengan saranan saudara Jomo dan apa yang dilaksanakan oleh IKMAS untuk menghuraikan konsep referential untuk generasi muda mengkaji nasionalisme ini, kita sudah ada asas untuk pergi ke hadapan. Golongan generasi lama ini, waktu dipinjamkan, tetapi generasi muda ini, waktu ini andalah yang punya. Itu bak kata P. Ramlee. Saya senang dengan sebutan P. Ramlee, alumni (Penang Free School) saudara Jomo di Pulau Pinang.

Sebagai kesimpulan, daripada ceramah saudara Jomo, konteks lunas kita pada malam ini ialah rekonstruksi memori sejarah. Tentunya huraian ceramah malam ini dapat menambah satu keinsafan, kesedaran umum agar naratif yang seadanya ditukar supaya dapat dipelajari daripada kejadian-kejadian sejarah tersebut bagi generasi yang mendatang. Sarjana generasi baharu perlu melestarikan cita-cita mereka tentang reworking, sekalipun tentang bahagian-bahagian sejarah lampau yang samar-samar, malah tidak benderang. Tetapi apabila menghadapi kegelapan, jangan berhenti. Teruskan berjalan. Kesimpulannya, kata bijaksana para ahli arkeologi yang sentiasa melalui terowong gelap begini, “…absence of evidence is no evidence of absence…”. Kadangkala kita menghadapi. Contohnya waktu mahu dimulakan sejarah di Palembang, Srivijaya. Mereka mencari batu bersurat tiada. Jadi, mereka bersabar. Kata mereka, “…ketiadaan batu bersurat bukan bukti ketiadaan batu bersurat…”, lalu kemudian dijumpakan satu prasasti di Sungai Musi, Kota Palembang. Jadi, Andaya pun boleh memulakan sejarahnya satu langkah ke belakang. Akhir sekali, saya terfikir seorang ahli fikir Jerman pada abad ke-19. Dia mengatakan manusia itu boleh mengukir sejarah sesuka mahunya tetapi dia menghadapi rintangan kerana sebelum ini sudah ada tulisan-tulisan yang mengekang mereka. Namun, dengan adanya upaya Naratif Malaysia, mungkin kita pecahkan kekangan itu dan memulakan satu rekonstruksi sejarah yang progresif. Terima kasih.

EHSAN SHAHWAHID: Terima kasih Pak Halim atas ulasan yang saya rasa begitu menarik sekali dan memberikan inspirasi. Saya teruskan dengan Dr. Muhaimin Sulam untuk memberikan ulasan terhadap syarahan Prof. Jomo sebentar tadi. Silakan.

MUHAIMIN SULAM: Terima kasih kepada Ehsan selaku moderator. Terima kasih kepada Prof. Jomo yang memulakan syarahan pada malam ini. Terima kasih juga kepada Pak Halim yang mengulas syarahan tersebut. Saya fikir, syarahan yang disampaikan oleh Prof. Jomo telah memberikan susur galur perkembangan nasionalisme dalam tempoh 100 tahun pada selepas Perang Dunia Pertama hingga mutakhir ini apabila wujudnya Muafakat Nasional. Bagaimana evolusi nasionalisme ini dinamik, berkembang sehinggalah makna nasionalisme itu berubah-ubah mengikut waktu, kelompok yang mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu.

Saya fikir antara sosok atau tokoh yang perlu diketengahkan pada perbincangan ini ialah Cikgu Abdul Hadi Hassan yang disebutkan oleh Prof. Jomo. Saya rasa watak atau sosok Cikgu Abdul Hadi Hassan ini tiada dalam lipatan sejarah tanah air. Cikgu Abdul Hadi Hassan ini memberikan peranan yang cukup besar bagaimana terbinanya makna Melayu itu sendiri. Walaupun Melayu itu satu bangsa yang sangat luas, tetapi pada tahun-tahun selepas Perang Dunia Pertama, Melayu dipecah-pecahkan dengan suku-suku seperti Banjar, Jawa, Orang Kelantan dan sebagainya sehingga apabila dilihat dalam kurun-kurun ke-20 sebelum itu, terjadi peperangan di antara negeri-negeri seperti Selangor menyerang Perak, Acheh menyerang Perak. Walaupun Melayu menyerang Melayu, walaupun mereka satu tetapi mereka tidak menunjukkan satu kesatuan. Saya rasa perjuangan idea dan pemikiran Cikgu Abdul Hadi Hassan memulakan revolusi pemikiran Orang Melayu untuk bersatu di bawah satu payung. Akhirnya, orang Melayu bersatu yang kemuncaknya pada tahun 1946 dengan penentangan terhadap Malayan Union.

Antara tokoh lain yang perlu kita kaitkan dengan perjuangan Cikgu Abdul Hadi Hassan ialah Cikgu Harun Aminurrashid dan Ibrahim Yaacob. Perlu juga kita kaitkan bahawa peranan Ibrahim Yaacob ialah anak murid Cikgu Abdul Hadi Hassan. Ibrahim Yaacob menubuhkan KMM menjadi satu parti yang membawa gagasan nasionalisme Melayu itu sendiri. Saya fikir, pengaruh Cikgu Abdul Hadi Hassan ini sangat besar terhadap KMM. Perlu juga kita kaitkan peranan Tan Malaka dan pemimpin-pemimpin politik Indonesia yang awal seperti Sutan Djenain yang mempunyai pengaruh besar terhadap perkembangan nasionalisme di Indonesia. Malangnya, watak-watak ini ‘ditenggelamkan’ kerana latar belakang mereka dikaitkan dengan komunis. Ia menyebabkan sejarah peranan mereka tenggelam. Walhal, jika kita lihat peranan Tan Malaka khususnya atau Sutan Djenain sendiri dalam mengemukakan idea nasionalisme ini sangat besar. Akhirnya, Sutan Djenain dianggap ancaman terhadap British. Semasa era darurat, beliau ditangkap oleh British dan dihantar ke Indonesia. Akhirnya, sejarah beliau habis setakat itu sahaja. Menariknya, idea Tan Malaka dan Sutan Djenain di Malaya atau Malaysia ini, beliau mengemukakan gerakan komunisme di Tanah Melayu ini mestilah berasingan daripada komunisme yang digerakkan oleh kaum Cina. Sutan Djenain hendakkan komunisme itu terasnya ialah Melayu itu sendiri. Ia merupakan suatu nasionalisme yang sangat padat dikemukakan oleh Sutan Djenain. Malangnya, idea Sutan Djenain ini tidak diterima kerana ada pergolakan dalaman antara Sutan Djenain dengan Rashid Maidin. Rashid Maidin dalam satu kenyataan akhbar menyebutkan Sutan Djenain tiada kaitan dengan PKM. Akhirnya, Rashid Maidin dan Abdullah C.D. menubuhkan Rejimen ke-10 sebagai sebuah pasukan bersenjata tetapi masih lagi dalam PKM.

Syarahan Prof. Jomo cukup jelas dari Cikgu Abdul Hadi Hassan sehingga tahun-tahun 1960-an dan 1970-an. Tahun-tahun 1970-an disebutkan juga tentang bagaimana nasionalisme ini bertentangan dengan Islam. Ia disebut sebagai asabiah. Takrif asabiah yang dibawakan oleh Abdul Hadi Awang pada 1980-an dalam PAS itu sendiri sehingga dalam Muktamar PAS menyebut tentang menentang asabiah. Maknanya, asabiah ini dilihat sebagai suatu yang bertentangan dengan Islam. Daripada situlah PAS memulakan untuk mengikis wajah PAS sebagai sebuah parti nasionalis yang diasaskan oleh Dato’ Asri Muda. Dato’ Asri Muda dilihat sebagai pro Melayu, nasionalis Islam. Pada zaman kepimpinan ulama, imej PAS sebagai sebuah parti nasionalis sememangnya dihapuskan. Walaupun ada suara daripada Ustaz Fadzil menyebut tentang keperluan Melayu dalam konteks politik di Malaysia, tetapi pengaruh Ustaz Hadi Awang sangat besar. Ia menyebabkan perjuangan nasionalisme ini bertentangan. Antara hujah yang disebutkan tentang asabiah itu ialah ‘menyokong atas nama kezaliman’. Kezaliman itu dikaitkan dengan UMNO yang mengekalkan undang-undang penjajah, antaranya ISA. Tafsiran-tafsiran ini menyebabkan PAS keluar sebagai sebuah parti yang cuba untuk membentuk rupa yang multiracial. Mereka mewujudkan jaringan dengan CCC iaitu masyarakat Cina, hubungan antara kaum. Di sinilah bermulanya penghakisan nasionalisme dalam politik Islam itu sendiri. Akhirnya, barangkali jika kita melihat yang terkini, PAS sudah mula kembali kepada trek awalnya iaitu dengan melihat suasana politik tanah air pada pasca PRU 2018. PAS mengambil jalur nasionalisme ini sebagai suatu modal untuk meraih sokongan. Saya fikir idea keterancaman Melayu atau Islam selama 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah memang cukup lumayan bagi sebuah parti politik untuk mendapatkan sokongan atau kuasa.

Saya kira pemikiran Melayu di zaman nasionalisme ini berubah-ubah. Saya fikir dalam apapun dalam pembinaan bangsa ini, kepentingan negara akan lebih dipentingkan berbanding kepentingan kelompok kita. Kepentingan kelompok itu pula lebih dipentingkan berbanding kepentingan peribadi. Saya fikir ini proses bagaimana kita bukan sahaja melalui sejarah yang disebutkan oleh Prof. Jomo dari Perang Dunia Pertama hingga sekarang. Bukan sekadar melalui peristiwa-peristiwa, tetapi yang paling penting bagaimana kita mengambil pengajaran daripada proses itu. Akhirnya, saya berfikiran bahawa nasionalisme masih suatu idea yang sangat relevan, tetapi ia bergantung bagaimana parti-parti politik atau kelompok-kelompok tertentu menafsir dan menakrifkan nasionalisme itu sebagai idea yang sangat kuat. Saya fikir itu sahaja yang boleh saya sampaikan. Saya kembalikan kepada saudara Ehsan.

EHSAN SHAHWAHID: Terima kasih Dr. Muhaimin atas ulasan syarahan Prof. Jomo sebentar tadi. Saya teruskan dengan soalan-soalan yang dikemukakan oleh para hadirin. Saya ingin kemukakan satu soalan yang dikemukakan oleh Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak. Soalannya sangat penting khususnya dalam melihat kaitan antara perbincangan kita tentang topik Melayu dan nasionalisme dengan satu aspek yang berkaitan dengan pendidikan, khususnya Falsafah Pendidikan Negara. Saya bacakan soalannya. Soalan – “…Adakah Falsafah Pendidikan Negara 1988, kemudian Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1996 memainkan peranan dalam memupuk nasionalisme melalui pendidikan?…”. Silakan Prof. Jomo untuk memberikan respons terhadap soalan ini terlebih dahulu.

JOMO: Terima kasih kepada Tan Sri Dzulkifli yang bertanya. Sebenarnya, saya kurang arif dalam soal ini. Beliau lebih banyak terlibat dalam soal falsafah pendidikan berbanding dengan saya. Tiada apa sangat yang ingin saya tekankan di sini. Akan tetapi, apa yang sedihnya di Malaysia, kita melihat perbahasan dasar pendidikan, apatah lagi falsafah pendidikan ini banyak hanya berkisar setakat bahasa pengantar. Boleh dikatakan aspek-aspek yang lebih mendalam, lebih tinggi, lebih murni jarang, malah seolah-olah tidak kelihatan. Apa sahaja falsafah yang diumumkan tidak begitu penting kerana dasar sedia ada berterusan sahaja. Sememangnya, terdapat perubahan dari semasa ke semasa, tetapi tidak begitu mendalam. Ini mungkin akibat tiadanya pendekatan nasionalisme yang cukup mendalam dan anti-imperialis. Misalnya, dalam menangani wabak COVID-19, pemerintah Malaysia seolah-olah tidak mahu pandang ke Timur tentang apa yang dilakukan di China, Jepun, Korea Selatan, Vietnam dan Laos, apatah lagi di Kerala, India. Sebaliknya, kita terus sentiasa merujuk ke Barat, terutama sekali ke Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK). Pada mulanya, Borris Johnson tidak mahu mengambil tindakan terhadap wabak COVID-19, kononnya sebagai sebahagian dari usaha mencapai ‘imuniti kawanan’ (herd immunity). Kemudiannya, pada 17 Mac 2020, kerajaannya menukar dasar setelah kajian Imperial College, London (ICL) menganggarkan sekitar dua peratus daripada penduduk UK kemungkinan besar menjadi mangsa wabak.

Selama ini, walaupun hanya enam peratus daripada anak murid sekolah Malaysia mempunyai alat untuk mengikuti pendidikan digital, dasar persekolahan tidak mengambil peduli nasib 94 peratus yang lain. Hanya pada pertengahan Februari, barulah kerajaan mengumumkan TV Pendidikan, iaitu DidikTV sedangkan selama beberapa dasawarsa pada penghujung abad ke-20M dan awal abad ini, pendidikan melalui radio dan televisyen merupakan kelaziman. Semacam diulas Paulo Freire, kita seolah-olah beranggapan bahawa lebih banyak kita muatkan dalam kurikulum, maka lebih baik. Sedangkan, pencapaian paling baik di dunia sudah lama diakui di negeri Finland yang kecil, dengan bahasanya tersendiri yang jauh daripada kebanyakan bahasa lain di dunia. Pukul rata, murid hadir di sekolah hanya empat jam sehari. Apa yang lebih penting ialah mengasah daya pemikiran dan kemahiran berfikir.

[Walaupun saya tidak dapat menjawab soalan Tan Sri Dzulkifli dengan mendalam, isu yang ditimbulkannya penting diberi perhatian]. Yang penting di Malaysia, kita masih belum mempunyai semangat nasionalisme seperti mana dicita-citakan pada tahun 1947 dengan Perlembagaan Rakyat dan dengan Wawasan 2020 yang ingin mewujudkan Bangsa Malaysia. Apa yang digelarkan nasionalisme di Malaysia merupakan jelmaan etnopopulisme.

EHSAN SHAHWAHID: Terima kasih Prof. Jomo. Saya teruskan kepada soalan berikutnya. Soalan daripada Syafiqah Sulaiman. Saya kira sebahagian syarahan tadi telahpun menyentuh tentang persoalan ini. Saya bacakan soalan yang mana mungkin Prof. Jomo mempunyai tambahan tentang soalan yang diberikan. Soalan – “…Pada masa kini kita sering mendengar ungkapan seperti ‘Melayu terancam’ digunakan oleh ahli politik Melayu lalu menakutkan sebahagian besar orang Melayu daripada bergerak ke hadapan dan mencapai ‘Bangsa Malaysia’ sebenar. Contohnya, bersetuju untuk menghapuskan ‘ketuanan Melayu’ dan menganggap semua bangsa adalah sama. Soalan pertama, adakah perkara ini sesuatu yang wajar ditakuti orang Melayu atau sebenarnya kita sudah perlu ‘move on’ dan menerima hakikat bahawa Malaysia kini sudah berbeza? Soalan kedua, adakah konsep nasionalisme mesti disempitkan kepada bangsa Melayu atau sebenarnya bolehkah kita mewujudkan konsep nasionalisme yang lebih luas iaitu nasionalisme Malaysia?…”. Silakan Prof.

JOMO: Secara ringkas, apa yang wujud atas nama nasionalisme itu, pada pandangan saya, merupakan etno-populisme yang berbentuk perkauman. Narendra Modi di India mencanangkan perkauman atau populisme Hindutva. Masyarakat Hindu dikatakan terancam orang Islam dan orang Kristian.

Begitu juga apa yang dicanang Donald Trump. Politik identiti dipermainkan supaya kaum berkenaan merasa terancam. Orang kulit putih menganggap diri mereka lebih berhak, kerana kononya lebih awal tiba di benua itu dan yang bertanggungjawab memajukan Amerika Syarikat. Mereka melupakan orang Asli atau pribumi Amerika Syarikat. Begitu juga di Afrika Selatan, apartheid diperkenalkan selepas Perang Dunia Kedua. Apartheid akibat perang antara Inggeris dengan Boer, yang kemudiannya dinamakan Afrikaner, iaitu keturunan Belanda yang telah kalah dalam perang Inggeris-Boer. Kaum Afrikaner merasa terancam dan ditindas Inggeris sejak kekalahan itu. Justeru itu, mereka merasa berhak menuntut dan mendapat bantuan istimewa. Sebenarnya, musuh mereka ialah Inggeris yang pernah mengalahkan mereka. Mereka tidak peduli sama ada menindas orang kulit hitam Afrika atau India atau kaum Melayu. Akhirnya, kedudukan terancam mereka menjadi alasan menindas orang lain yang digelarkan dasar apartheid.

Yang penting, mereka merasa fahaman mereka bersifat adil dan sah kerana mereka merasa terancam. Jadi, di India, Afrika Selatan atau mana-mana, sama ada di Afrika kini atau di rantau ini, terdapat banyak usaha menggemblingkan dan menggerakkan kaum-kaum tertentu dengan menggambarkan kaum itu terancam. Taktik ini amat berkesan dan dapat memanafaatkan pemimpin serta tokohnya dari segi faedah dan pengaruh. Ini telah pun berlaku di rata-rata, bukan hanya di India, Afrika Selatan, Amerika Syarikat dan Malaysia. Kadangkala, golongan lain yang bersaingan mengemukakan alternative narrative yang mempunyai ciri-ciri serupa walaupun bertujuan lain. Maka, satu jenis etnopopulisme melawan etnopopulisme lain.

Akibatnya, kita tidak ke mana-mana, manakala golongan lainlah yang untung. Sebenarnya, ini bukan cerita baharu. Dari zaman empayar dan imperialisme dahulu, ‘pecah dan perintah’ itu kaedah atau taktik lama.

Tahun ini dikatakan ulang tahun ke-500 Ferdinand Magellan mengelilingi dunia dan mendarat di Asia Tenggara, di Filipina. Apakah yang pernah dilakukannya? Diketahui Magellan antara tentera laut Portugis yang menyerang Maghribi di bawah pimpinan Putera Henrique, yang dikenali dalam buku sejarah Inggeris sebagai Henry the Navigator. Kemudian, dia menyertai serangan terhadap Nagapattinam di India Selatan, kerana kerajaannya tidak setuju menghalang orang Muslim dan Jahudi, seperti sedang berlaku di Eropah Barat mulai 1492M. Kemudian, beliau menyerang Melaka pada 1511M, juga atas arahan Alfonso de Albuquerque.

Serangan terakhirnya terhadap perkampungan di pulau Mactan, sebelah pulau Cebu di Filipina tengah, kononnya kerana tidak setuju membayar ufti, menerima raja Espanyol dan tuhan atau agamanya. Setelah dua perkampungan di Mactan dihapuskan atas arahan Magellan, Magellan sudah angkuh, merasa kebal dan menyatakan beliau sendiri mampu menanganinya tanpa sebarang bantuan askar dan senjata. Tetapi, seorang pemimpin setempat bernama Lapulapu, yang kebetulannya nama sejenis ikan garupa, bersiap sedia menghadapi serangan ketiganya. Pada waktu subuh, mereka berjaya melawan serangan Magellan, dan akhirnya, membunuh Magellan.

Akhirnya, Cikgu Harun, seorang ahli sejarah, menulis buku kanak-kanak yang bertujuan memupuk semangat maruah di kalangan generasi baharu melalui novelnya bertajuk Panglima Awang. Kisah hamba yang ditawan di Melaka pada tahun 1511M telah mengelilingi dunia bersama Magellan. Dengan kematian Magellan, hambanyalah yang menjadi orang pertama mengelilingi dunia. Walaupun kita tidak tahu nama asalnya, Cikgu Harun memberikannya nama Panglima Awang. Sekarang, ada ahli sejarah yang menyebut nama Panglima Awang seolah-olah kita tahu nama sebenarnya. Sebenarnya, kita tidak tahu. Maka, mitos menjadi sejarah. Sejarah menjadi mitos.

EHSAN SHAHWAHID: Baik Prof. Saya ingin membacakan soalan yang berikutnya yang saya kira mempunyai kaitan dengan kepakaran Prof. khususnya berkaitan ekonomi. Saya bacakan soalan daripada Abdul Muiz. Soalan – “…Adakah kebangkitan nasionalisme Melayu ini disebabkan kesenjangan ekonomi antara kaum atau dilihat lebih kepada mainan elit Melayu khususnya elemen kelas?…”. Berkaitan dengan soalan ini juga, mungkin Prof. dapat memberikan ulasan bagaimana wacana berkaitan ekonomi itu dibincangkan khususnya oleh para intelektual yang menekankan isu-isu ekonomi Melayu khususnya.

JOMO: Terima kasih. Ini soalan yang cukup penting. Malahan, kebetulannya, hari ini, saya telah membincangkannya dalam konteks memperingati Almarhum Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz. Dalam perbahasan pada tahun-tahun 1950-an dan seterusnya, terdapat banyak pandangan mengapa orang Melayu miskin.

Salah satu pandangan yang banyak diguna pakai di Barat adalah kerana orang Melayu malas. Pandangan ini dicabar oleh Arwah Profesor Syed Hussein Alatas. Sekarang, dipersetujui ramai pengkaji bahawa ramai orang miskin yang tidak cukup makan tidak berdaya bekerja kuat, dan oleh itu, kelihatan malas.

Ada pandangan lain bahawa produktiviti mereka rendah, yang juga lazim diterima di Barat. Produktiviti yang rendah juga akibat kemiskinan dan pemerasan, bukan hanya sebab kemiskinan. Punca pemerasan bukan satu, tetapi beberapa, yang saling berkaitan. Maka, misalnya, ketidaksamaan dan pemerasan juga mengakibatkan kemiskinan.

Bagi Prof. Clifton Wharton Jr, orang Melayu diperas ‘orang tengah’ yang mempunyai kedudukan monopoli dan monopsoni pada peringkat kampung. Seperti ditunjukkan Dr. Muhammad Ikmal Said misalnya, pengangkutan luar bandar sukar zaman itu, yang membolehkan pemerasan demikian berlaku. Apabila infrastruktur pengangkutan dan pemasaran bertambah baik setelah merdeka, pemerasan demikian berkurangan. Aziz Ishak, Menteri Pertanian pertama, menggalakkan koperasi atau syarikat kerjasama, antara lain untuk pemasaran.

Ungku Aziz pula menekankan pemerasan berkaitan dengan soal pemilikan dan pengerjaan tanah. Masalah kelaparan tanah timbul kerana tanah yang baik untuk pertanian banyak diambil British untuk perladangan. Kekurangan tanah di negeri-negeri utara Semenanjung — terutama sekali di negeri Kedah dan Kelantan, yang telah lama dikerjakan — akhirnya membawa kelaparan tanah. Usaha menerokai tanah oleh mereka yang kelaparan tanah banyak dipimpin Hamid Tuah. Soal tanah itu penting. Seperti ditunjukkan oleh Prof. Syed Husin Ali dan pengkaji lain, ada orang yang mempunyai banyak tanah, ada yang kekurangan tanah, ada yang tiada tanah dan sebagainya. Di samping itu, peranan kredit, iaitu pinjaman, juga penting. Ini ditunjukkan Arwah Dr Mokhzani Abdul Rahim dalam bukunya, Credit in a Malay Peasant Economy.

Pak Halim telah mengingatkan kita bahawa ada persamaan antara mereka yang sama-sama miskin pada satu masa dahulu. Terdapat juga banyak perbezaan di kalangan orang Melayu sekarang. Yang menjadi penting sekarang ialah perbezaan yang berkait dengan modal dan dasar, yang banyak dipengaruhi politik. Hubungan antara modal dan politik itu cukup jelas.

Bagi ramai rakyat Malaysia, modal dimiliki kaum tertentu, sedangkan dasar dikuasai demi kaum lain. Tetapi gambaran kasar ini amat mengelirukan. Satu-satunya kajian yang pernah dilakukan oleh seorang ahli ekonomi dari Universiti Oxford telah mendapati bahawa kurang daripada 5% dari ketaksamaan pendapatan tidak dapat dijelaskan oleh faktor selain kaum. Ini bermakna pendekatan perkauman hanya akan mempengaruhi bahagian amat kecil dari ketaksamaan yang wujud. Namun, rakyat Malaysia masih taqsub dengan pendekatan perkauman.

Maka, dasar ‘ketuanan Melayu’ mengikut Tan Sri Abdullah Ahmad atau Dolah Kok Lanas hanya akan menguntungkan ‘tuan-tuan modal Melayu’ kini yang dapat membolot isi lemak dasar perkauman. Tetapi sokongan rakyat jelata penting untuk membela dasar demikian. Sokongan politik dibiayai dengan tulang dan bulu dasar perkauman demikian. Jadi, soalan yang saudari timbulkan – “apakah tidak sesuai lagi pada zaman kita?” akan terus menguntungkan segelintir ‘tuan modal’. Ini juga akan melembabkan dasar ekonomi yang telah gagal memajukan ekonomi kita selama hampir suku abad. Selagi rakyat jelata terus dapat ditipu helah ‘tuan modal dan politik’ pembikinan dasar untuk kemajuan seluruh rakyat Mlaaysia akan terbantut.

EHSAN SHAHWAHID: Terima kasih Prof. Soalan ini pula datangnya daripada saudara Zulkipli Ghazali. Saya kira soalan ini juga menarik berkaitan modenisasi dan globalisasi terhadap nasionalisme. Soalan – Apakah pandangan Prof. tentang hubungan globalisasi dan modenisasi terhadap nasionalisme terutamanya untuk anak muda sekarang. Mungkin Prof. boleh berikan respons atas pertanyaan ini.

JOMO: Istilah patut digunakan dengan berhati-hati kerana apa yang dimaksudkan dengan ‘pemodenan’ atau ‘modenisasi’ bagi orang ramai berbeza dengan apa yang dimaksudkan oleh kebanyakan mereka yang mengajar sosiologi, misalnya sosiologi modenisasi. Modenisasi bagi orang ramai biasanya melibatkan penggunaan ilmu, apa yang boleh dianggap sebagai rasionaliti dalam pemikiran, kehidupan dan sebagainya. Inilah yang dianggap moden. Namun, dalam konteks itu, kita boleh menjadi moden dari banyak segi yang berlainan. Ada orang moden secara kapitalis.

Apa yang dianggap moden harus dipersoalkan, bukan diterima bulat-bulat. Apa yang dikatakan sebagai globalisasi itu adalah hubungan yang melintasi sempadan nasional yang dahulunya hanya dalam sesuatu masyarakat atau negeri/negara. Maka, globalisasi, yang melibatkan hubungan antarabangsa, ada aspek yang baik, dan ada juga yang memeras atau menindas.

Pada masa kini, hak cipta terhadap vaksin itu tidak boleh dipersoalkan dari segi undang-undang, kononnya. Walhal, hak cipta ialah sesuatu yang diperkenalkan hanya dalam suku abad kebelakangan ini. Oleh itu, konsep moden yang ada pada kita hari ini harus dipersoalkan. Malah, hak milik atau property sendiri sebenarnya sesuatu yang baru diperkenalkan, bukan sesuatu yang semulajadi. Pemikir Perancis Pierre-Joseph Proudhon menganggap hak milik sebagai rampasan yang disahkan.

Akibatnya, mereka yang memajukan vaksin baharu ini masing-masing bekerja secara bersendirian. Mereka tidak bekerjasama. Malah, mereka merahsiakan apa yang mereka temui. Mereka tidak mahu berkongsi. Syarikat China sesama China tidak berkongsi. Syarikat Amerika sesama Amerika juga tidak berkongsi kerana itulah punca kekayaan mereka. Bandingkanlah dengan apa yang berlaku dahulu sebelum wujudnya hak cipta. Apabila Jonas Salk menemui vaksin polio, beliau ditanya kenapa dia belum mendapatkan hak cipta terhadap vaksin itu. Katanya, vaksinnya ialah vaksin rakyat, untuk seluruh rakyat, bukan untuk dia, dan bukan untuk syarikat. Baginya, soal hak cipta semacam mengakui terdapat hak milik terhadap matahari. Hak cipta merupakan pembaharuan dewasa ini demi mengaut keuntungan, bukan untuk memajukan pemikiran atau pun penyelesaian.

Kerjasama dan persaudaraan antarabangsa merupakan sesuatu yang baik, yang juga boleh dianggap sebagai salah satu aspek globalisasi. Namun, apa yang dikatakan globalisasi sekarang lebih banyak berkait dengan usaha-usaha syarikat antarabangsa untuk mengaut keuntungan yang lebih. Dalam tempoh setahun yang lepas, zaman Covid-19, setengah syarikat gergasi antarabangsa semakin kaya. Bilionair baru di dunia bertambah kaya. Sepuluh individu terkaya di dunia telah menambah kekayaan mereka dalam setahun lepas sebanyak lebih daripada 30 peratus! Sebaliknya, lebih ramai yang bertambah miskin dan tidak cukup makan. Mungkin tidak ramai di Malaysia, tetapi di tempat lain, didapati inilah yang telah dan sedang berlaku.

Soal istilah ini boleh menyebabkan kesalah fahaman, malah perselisihan. Misalnya, apabila orang lain menggunakan istilah yang sama, tetapi dengan maksud yang lain. Sebagai contoh, apa yang dimaksudkan sebagai nasionalisme oleh William Roff . merangkumi maksud yang luas. Penentangan Kaum Muda terhadap penjajahan dan imperialisme oleh gerakan seIslam antarabangsa sebenarnya tidak bersifat nasionalis dengan erti kata terdapat konsep bangsa atau nasion tertentu yang diperjuangkan. Perjuangan pembesar-pembesar Melayu sebelum perang masih berasaskan negeri-negeri di Semenanjung yang sedia ada, dan tersusun sebagai Persatuan Melayu Selangor, Persatuan Melayu Johor, dan sebagainya. Malah, hanya KMM yang memajukan, malah membela wacana kebangsaan peringkat nasional. Pekemam pula bukan hanya merupakan kesinambungan dari KMM, tetapi mengemukakan konsep bangsa semacam Rizal yang tidak berasaskan keturunan, tetapi patriotisme, hubul watan. Ini berbeza sekali dengan apa yang diperjuangkan UMNO pada 1946M, malah sehingga sekarang.

EHSAN SHAHWAHID: Baiklah, sebelum kita akhiri siri syarahan ini, saya ingin menjemput Pak Halim dan Dr. Muhaimin untuk memberikan ulasan akhir kepada sebarang soalan-soalan yang dikemukakan sebentar tadi. Silakan terlebih dahulu Pak Halim.

ABDUL HALIM ALI: Mungkin daripada soalan-soalan yang ditimbulkan tadi, program Naratif Malaysia itu dapat diteruskan iaitu menimbulkan persoalan baharu dan mencari penghuraian baharu, kekangan-kekangan sejarah lama tadi cuba direkonstruksi. Itu harapan saya.

EHSAN SHAHWAHID: Terima kasih Pak Halim. Saya akan nyatakan itu kepada teman-teman Naratif Malaysia. Suatu amanah yang besar daripada Pak Halim. Kepada Dr. Muhaimin, mungkin ada kata-kata akhir sebelum kita tutup. Sama ada komen berdasarkan soalan-soalan atau pandangan daripada Prof. Jomo sendiri. Silakan Dr. Muhaimin.

MUHAIMIN SULAM: Saya fikir yang paling utama dalam perbincangan kita ialah kita menyedari proses pembinaan bangsa ini melalui tempoh yang sangat panjang. Perbincangan kita salah satunya untuk menyempurnakan pembinaan negara bangsa itu sendiri. Saya fikir program sebegini rupa harus dikembangkan dan diperbanyakkan supaya kita boleh mengemukakan idea yang konkrit dan boleh diterima masyarakat tentang bagaimana negara bangsa yang kita inginkan dan kita idamkan terbentuk. Terima kasih kepada Naratif Malaysia dan IKMAS.

EHSAN SHAHWAHID: Bagi menutup sesi perbincangan, saya ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi, khususnya kepada Prof. Jomo kerana meluangkan masa dalam memberikan perkongsian pandangan dan idea-idea penting berkaitan topik nasionalisme dan pemikiran Melayu. Terima kasih juga kepada Pak Halim dan Dr. Muhaimin, serta teman-teman yang turut serta.

RUJUKAN

Alatas, Syed Hussein. 1977. The Myth of the Lazy Native: Study of the Image of the Malays, Filipinos and Javanese from the 16th to the 20th Century and Its Function in the Ideology of Colonial Capitalism. Frank Cass, London.

Evers, Hans-Dieter, Abdul Rahman Embong, Rashila Ramli. 2019. Connecting Oceans: Malaysia as a Maritime Nation (Volume 1). Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Evers, Hans-Dieter, Abdul Rahman Embong, Rashila Ramli. 2019. Connecting Oceans: Malaysia as a Maritime Nation (Volume 2). Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Harun Aminurrashid. 1958. Panglima Awang. Pustaka Melayu, Singapura.

Jomo KS. 1983a. “Schooling for Disunity: Education in Colonial Malaya”. Jernal Pendidikan, 8 (1978-1983): 63-84.

Jomo KS. 1983b. “Sejarah Semenanjung Malaysia — Satu Pandangan Sains Sosial”. Ilmu Masyarakat, 1, Januari-Mac: 3-14.

Jomo KS, 1991. Masyarakat Malaysia: Cabaran Sosio-ekonomi. INSAN, Kuala Lumpur.

Keynes, J.M. 1919. The Economic Consequences of the Peace. Macmillan, London.

Mahathir Mohamad. 1970. The Malay Dilemma. Times Books International, Singapore.

Mokhzani Abdul Rahim. 2006. Credit in a Malay Peasant Economy. Arus Intelek, Kuala Lumpur.

Pramoedya Ananta Toer. 1985. Sang Pemula. Hasta Mitra, Jakarta.

Roff, W.R. 1967. The Origins of Malay Nationalism. University of Malaya Press, Kuala Lumpur.

Senu Abdul Rahman. 1971. Revolusi Mental. Penerbit Utusan Melayu, Kuala Lumpur.

Dr. Jomo KS merupakan Felo Akademi Sains Malaysia. Manakala teks ini merupakan transkripsi daripada Syarahan Naratif Malaysia 2/2021 yang beliau sampaikan pada 20 Februari 2021.

Populisme Perkauman di Malaysia: Suatu Persoalan

Konsep Melayu yang lebih luas bukan dikembangkan dalam kalangan pembesar, tetapi di Sultan Idris Training College (SITC). Seorang guru terawal di SITC ialah Cikgu Abdul Hadi Hassan. Baru-baru ini, anak beliau yang merupakah Pengarah Urusan pertama di Petronas, Datuk Rastam Hadi telah meninggal dunia. Beliau adik kepada seorang yang ternama iaitu Datuk Bandar Melaka sebelum ini iaitu Hasnol Abdul Hadi. Sebagai guru sejarah, beliau melahirkan beberapa anak murid, termasuklah Harun Aminurrashid.

Assalamualaikum wbt.

Terima kasih atas jemputan untuk saya bersama dengan kumpulan Naratif Malaysia (NM). Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk membicarakan istilah atau tajuk yang saya rasa amat penting dan kadangkala disalah fahami banyak pihak, termasuk mereka yang menggunakan istilah ini.

Istilah populisme perkauman ini ialah terjemahan saya daripada istilah Ethnopopulism. Sebenarnya istilah ini merupakan satu istilah dalam Bahasa Inggeris yang jarang dipakai. Mula diguna pakai dalam pertengahan tahun-tahun 1980-an, dalam konteks pasca rusuhan kaum di Sri Lanka pada tahun 1983. Saya tertarik dengan istilah ini kerana ia merangkumi beberapa istilah lain dan konsep lain yang saya rasa berguna untuk kita memahami beberapa perkembangan dewasa ini yang saya jelaskan sebagai populisme perkauman. Boleh dikatakan bahawa istilah etno populisme atau populisme perkauman ini merujuk kepada falsafah, fahaman, dan gerakan seperti juga populisme-populisme yang lain yang kononnya menyatukan sesuatu kaum. Apakah kaum itu berasaskan golongan tertentu sama ada dari segi apa yang dikatakan ethnie atau etnisiti, bangsa, suku bangsa, wilayah, agama, atau secs daripada agama? Ada juga yang lain. Misalnya pengikut raja, misalnya di Uganda ada pengikut raja. Mereka ada satu gerakan yang agak penting. Begitu juga setelah tamatnya kesultanan Uthmaniah pada awal abad ke-20, ada satu gerakan yang agak penting di India yang dipanggil gerakan khilafat yang ingin mengembalikan satu kesultanan Uthmaniah kerana mereka menganggap kesultanan Uthmaniah itu merupakan penjelmaan kepada penyatuan ummah bagi waktu itu lebih kurang satu abad yang lalu. Begitu juga kita dapati ada yang mendewakan orang-orang tertentu atau dewa tertentu sebagai kultus dan sebagainya.

Seperti juga kultus di sekitar Donald Trump pada hari ini. Sesetengah orang menganggap Donald Trump itu sesuatu yang cukup luar biasa, cukup hebat, Presiden Amerika Syarikat yang terbaik dan tidak sepatutnya dijatuhkan sama ada melalui pilihan raya mahupun cara yang lain. Sekiranya mendengat pengikut-pengikut Trump bahawa jika keputusan pilihan raya meyokong Trump, maka pilihan raya ialah keputusan yang sahih, manakala sekiranya kalah dalam pilihan raya, ia dengan sendirinya suatu bukti bahawa ia pilihan raya dengan keputusan yang tidak sah. Jadi, kita dapati bahawa gerakan atau fahaman sedemikian telah lama wujud dalam bentuk-bentuk yang berlainan.

Akan tetapi, ingin saya tarik perhatian terutama sekali tentang apa yang wujud di Semenanjung Malaysia dalam abad yang sudah. Namun, untuk memahaminya, kita perlu merenung apa yang telah berlaku sebelum itu. Misalnya, jika kita melihat dan memahami apa yang berlaku di Melaka, Kesultanan Melaka pada abad ke-15 dianggap mempunyai era atau epoch zaman gemilang. Tetapi, zaman kegemilangan itu bertentangan dengan apa yang difahami sebagai zaman kegemilangan Melayu sekarang. Misalnya, Sultan Melaka pernah memerintah melalui empat orang syahbandar. Kehebatan pelabuhan Melaka itu berasaskan keempat-empat syahbandar yang mempunyai hubungan erat dengan rantau Asia Tenggara kerana seorang Jawa yang dipilih, bukan Melayu, Jawa yang merupakan kerajaan yang terpenting dan terkuat pada waktu itu. Di kutub Asia Timur pula, Asia Timur Raya, seorang Cina dilantik sebagai Syahbandar. Bagi India dan kawasan persekitarannya, orang India yang mulanya dari Bengal, atau dianggap Bangladesh pada masa kini, kemudian seorang Tamil telah dilantik sebagai syahbandar. Di kawasan yang lebih Barat daripada itu, didapati bahawa syahbandar keempat ialah seorang Gujerati, merangkumi Afrika Timur dan kawasan Teluk Arab, Teluk Parsi, dan sebagainya. Jadi, kita dapati bahawa konsep pemerintahan yang baik dalam konteks Kesultanan Melaka itu berasaskan bahawa Melayu sahaja yang patut memerintah. Sedangkan, meski Parameswara telah memeluk Islam, orang bukan Islam juga dilibatkan dalam pemerintahan.

Sudah tentu zaman kegemilangan itu begitu hebat, tetapi lama kelamaan ia membibitkan unsur-unsur kemerosotan. Misalnya, ada sultan yang menghisap candu, jarang atau tidak kuat bekerja, dan sebagainya. Sesuatu yang cukup fleksibel kita dapati pada waktu itu ialah Islam pada zaman awal ialah Islam yang berasaskan masyarakat di darat banyak mempunyai undang-undang dan peraturan berkaitan dengan laut. Apabila Melaka menyediakan Undang-Undang Laut, meskipun ia memetik undang-undang Islam yang berkaitan perdagangan maritim, ia turut mempunyai banyak unsur-unsur baharu. Misalnya dengan apa yang dianggap sebagai orang Asli sekarang ialah Orang Laut. Orang Laut yang dianggap sebagai lanun itu pernah mengadakan kerjasama dengan pemerintahan Melaka dan menjaga ketenteraman pelayaran kapal-kapal yang menelusuri Selat Melaka. Maka, mereka itu boleh dikatakan sebagai coast guard pada zaman ini di Selat Melaka. Itu adalah antara faktor-faktor yang menjadikan Melaka penting dan baik. Malangnya, jika membaca sejarah-sejarah Melaka yang ada, jarang sekali kita membaca unsur-unsur pemerintahan semacam ini.

Kemudiannya, kita beralih kepada beberapa abad kemudian, kita dapati bahawa East India Company British datang ke rantau ini, terutama sekali ke Pulau Pinang, ia banyak sekali melakukan penipuan terhadap Sultan Kedah yang akhirnya bukan sahaja kehilangan Pulau Pinang, Seberang Perai dan Perlis yang dijadikan suatu negeri yang tersendiri dalam rantu ini iaitu Kedah dan Siam. Begitu juga kita dapati dengan sejarah Singapura. Bahawa mengikut Lee Kuan Yew, Singapura hanyalah pulau dengan beberapa perkampungan nelayan sebelum kedatangan Stamford Raffles pada tahun 1819. Jika kita lihat East India Company dengan Sultan Riau, kesultanan Riau sudah hilang kepulauan Riau dan Lingga. Tinggal hanya Singapura dan Johor. Sultan Riau amat berhati-hati dengan Stamford Raffles kerana hanya mengizinkannya untuk mendirikan sebuah kilang memproses rempah bagi tujuan eksport.

Akan tetapi, ia kononnya telah dijadikan asas untuk East India Company merampas seluruh Singapura. Didapati perkembangan awal itu penting, Sultan Riau enggan menyerahkan segalanya. Di pihak Inggeris pula, ia memainkan peranan dalam pertentangan antara Melayu-Riau dengan Bugis. Pada mulanya, Bugis dipergunakan oleh Belanda untuk mengalahkan Melayu-Riau, tetapi kemudian pada abad ke-19, Belanda membahagikan pula rantau ini antara Belanda dan Inggeris, setelah tamatnya Perang Napoleon. Napoleon telah menyerang dan menakluki Belanda dan stadtholder Belanda pada masa itu, William V melarikan diri ke England dan menjadi raja di England. Ia kemudian mengadakan perjanjian yang menatijahkan pemisahan rantau Semenanjung Tanah Melayu termasuk Singapura yang dikenali sebagai British Malaya itu, akhirnya terpisah dengan rantau yang menjadi jajahan takluk Belanda. Raffles itu sendiri tidak berminat dengan Singapura. Beliau berminat terhadap Jawa dan pernah mengarang satu buku yang agak tebal tentang sejarah Jawa, The History of Java. Ia bukan sahaja membicarakan sejarahnya, tetapi termasuk flora dan fauna, dan sebagainya. Jadi, apa yang ingin saya tekankan di sini, konsep Melayu sekarang kini ialah ciptaan dewasa ini, dalam abad ke-20. Apa yang dianggap Melayu pada waktu dahulu itu ditentang oleh British dan tidak dapat diperalatkan. Maka, dinaikkan seorang Bugis, namanya Daeng Abu Bakar, kemudiannya dinaikkan menjadi Maharaja Abu Bakar untuk mengelakkan satu kes di London dan dijadikan raja di Johor Bahru. Berbeza dengan di Johor Lama kerana sultan terakhirnya ialah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Jadi, kita boleh dapat anggapan orang terhadap sultan Johor Lama yang datang dari Melaka pada waktu itu.

Kita beralih kepada kedatangan British ke negeri-negeri Melayu yang lain. Kita dapati bahawa jika sultan atau raja Melayu itu sanggup bekerjasama, mereka akan memperkuat kedudukan raja. Akan tetapi, jika raja itu tidak ingin bekerjasama, mereka akan diketepikan atau dibuang negeri. Kita juga dapati setelah Perjanjian Pangkor antara Inggeris dan Sultan Perak, J.W.W. Birch dibunuh oleh seorang orang Asli yang bekerjasama dengan Maharajalela. Rentetan itu, sultan telah dibuang ke Pulau Andaman iaitu pulau yang dianggap sebagai pulau tahanan yang primitif pada waktu itu. Baru-baru ini, misalnya apabila gempa bumi berlaku pada tahun 2004, orang-orang di Pulau Andaman itu dikatakan sudah dapat meramalkan apa yang berlaku. Ia menjadi gambaran betapa eratnya hubungan mereka dengan alam semesta. Kembali kepada soal kemasukan British, kita dapati bahawa penentangan itu datang daripada golongan pembesar seperti Maharajalela di Perak, Datuk Bahaman di Pahang. Jadi, kita dapati sebabnya ialah status kuasa mereka dilemahkan, maka ia mencetuskan reaksi penentangan. Namun, dalam kalangan rakyat biasa, mereka tidak begitu terlibat kerana tiada isu, misalnya rampasan tanah. Hal ini kerana British telah belajar di tempat-tempat lain bahawa jika tanah peribumi dirampas, ia sudah tentu mencetuskan penentangan. Ia tidak berbuat demikian. Penentangan pembesar dilancarkan oleh Abdul Rahman Limbong di Terangganu, Tok Janggut di Kelantan, dan sebagainya. Tetapi, itu isu-isu lokal, bukan di peringkat negeri, apatah lagi di peringkat Semenanjung. Jadi, kita dapati juga ada penentangan dalam kalangan ulama kerana mereka tertekan dengan kedatangan British. Mereka juga banyak mengadakan penentangan pada peringkat awal. Cara British memerintah ialah ‘pecah dan perintah’ yang menjadi kelazimannya. Namun, apa yang kita lihat di sini, itu sahaja tidak mencukupi. Mereka juga memainkan peranan penaungan terhadap orang ramai. Kadangkala mereka memainkan peranan sebagai pelindung kepada musuh-musuh rakyat. Hal ini juga menjadi suatu fenomena di tanah jajahan lain. Contohnya, penjajahan Amerika Syarikat pada awal abad ke-20 di Filipina. Hubungan penjajah Sepanyol dengan masyarakat Filipina agak keras seperti menjadikan mereka orang Katolik. Hal ini berbeza dengan sikap Amerika Syarikat yang lebih fleksibel dan menganggap rakyat Filipina sebagai ‘the little brown brothers’. Jadi, kita mesti ingat bahawa ini berleluasa. Orang Melayu dan British bekerjasama kerana mereka menganggap penjajah melindungi diri mereka daripada ancaman-ancaman luar yang kemudiannya juga ancaman daripada orang Cina dan India.

Jika kita lihat apa yang sedang berlaku di negeri-negeri lain, misalnya di Indonesia. Pada awal abad ke-20, timbulnya Sarekat Islam yang ditubuhkan antaranya oleh seorang wartawan bernama Raden Mas Tirto Adhi Soerjo. Kenapakah dinamakan Sarekat Islam? Bagi mereka, Islam merangkumi seluruh Indonesia kerana masyarakat Islam di Indonesia merangkumi lebih daripada 95 peratus. Itu cara untuk mengatasi dan mengelakkan batasan-batasan suku kerana pada masa sehingga kini, majoriti rakyat Indonesia ialah orang Jawa. Jadi, lebih mudah untuk menyusun berdasarkan keJawaan tetapi ia ditolak kerana perlu ada satu asas yang lebih luas dan kukuh untuk menyatukan seluruh rakyat Indonesia atau Indische mengikut istilah Belanda, bagi menuntut kemerdekaan pada masa selanjutnya. Kita dapati keadaan ini berbeza sekali kerana ada satu badan yang sudah cukup aktif iaitu Budi Oetomo, tetapi menekankan betapa hebatnya budaya Jawa. Sehubungan itu, mereka menubuhkan Sarekat Islam. Kemudian, Sarekat Islam terpecah kepada dua iaitu (i) Sarekat Islam Putih, dan (ii) Sarekat Islam Merah. Sebelum perpecahan itu, kedua-dua puak ini boleh dikatakan dalam istilah abad ke-20 dan ke-21, bersayap kiri. Kita lihat misalnya, Haji Oemar Said Tjokroaminoto, bapa mertua pertama Sukarno, telah mengarang buku, Islam dan Sosialisme. Pandangan beliau tentang sosialisme banyak dipengaruhi oleh Parti Buruh Belanda dan sebagainya. Namun, bagi beliau, beliau memperjuangkan sosialisme kerana hanya dengan jalan itu cita-cita Islam dapat dicapai. Di pihak lain pula, ada Sarekat Islam Merah yang kemudiannya menubuhkan apa yang dikatakan sebagai Parti Komunis Indonesia (PKI). Maka, PKI itu asal-usulnya daripada Sarekat Islam. Antara orang yang terpengaruh ialah Yang DiPertuan PAS Ketiga iaitu Allahyarham Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Beliau pernah mengaji di Sumatera dan terpengaruh dengan Sarekat Islam Merah.

Begitu juga kita lihat pada tahun 1926, soal isu bahasa untuk seluruh Indonesia itu ditentukan. Pejuang-pejuang yang ingin satu bahasa untuk seluruh Indonesia telah memperjuangkan bahasa Melayu kerana bahasa itu ialah bahasa perdagangan. Jika kita baca Oliver W. Wolters, Early Indonesian Commerce: A Study of the Origins of Srīvijaya, seluruh rantau ini Bahasa Melayu lah yang menjadi bahasa perdagangan. Kita lihat Prof. Ahmat Adam pernah mengkaji asal-usul akhbar di Indonesia. Kebanyakannya diasaskan oleh orang Tionghua, tetapi bahasa yang digunakan dalam koran di Indonesia itu semuanya dalam bahasa Indonesia. Namun, orang Tionghua telah memainkan peranan penting dalam penyebaran penggunaan bahasa Indonesia sebagai bahasa penyatuan dari bahagian kedua abad ke-20 masihi lagi. Kajian itu telah dilaksanakan oleh Prof. Ahmat Adam ketika berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dahulu.

Apa yang menjadi penekanan di sini ialah: kita melihat kategori-kategori yang selama ini dianggap agak tetap apabila dilihat daripada segi sejarah ialah kategori-kategori yang berubah-ubah dan diciptakan, sebagai impak daripada gerakan dan evolusi perubahan dalam masyarakat. Jika kita ingin melihat apa yang menjadi perubahan besar yang berlaku di Semenanjung Tanah Melayu, bagi saya perubahan itu berlaku pada tahun 1930-an. Banyak faktor mendorong perubahan. Apa yang menjadi faktor utama bagi saya ialah kemelesetan besar yang memperlihatkan kejatuhan harga getah, timah, sekali gus mengakibatkan pelombong-pelombong bijih timah etnik Tionghua yang menggunakan proses mendulang kehilangan punca pendapatan. Hal ini tidak jauh bezanya dengan apa yang berlaku sekarang akibat pandemik Covid-19. Bagitu juga dengan orang India telah dibuang kerja dari ladang-ladang yang kebanyakan dimiliki British ketika itu. Ramai antara mereka termasuk yang lahir di sini telah dihantar balik ke India. Inilah yang menimbulkan gerakan nasionalis di India kerana kemarahan mereka atas nasib para pekerja yang seolah-olah dianggap sebagai ‘sucked oranges’. Tenaga mereka telah dihisap dan kemudiannya apabila tidak digunakan dihantar pulang semula ke India. Kajian yang dhasilkan oleh Prof. Kernial S. Sandhu misalnya mendapati pada peringkat awal pembukaan ladang-ladang getah dan sebagainya, lebih kurang satu per lima daripada tenaga buruh akan meninggal dunia setiap tahun. Maksudnya, dalam tempoh lima tahun, seluruh pekerja akan meninggal dunia. Oleh sebab itu, perlu kedatangan pekerja baharu dan sebagainya. Kebanyakannya dibawa dari India kerana lebih mudah dikawal oleh British dengan menggunakan orang India sebagai orang tengah daripada kasta yang lebih atas sebagai mandur, kangani, dan sebagainya. Prof. Wan Zawawi juga pernah membuat kajian di Kemaman, Terengganu mendapati pekerja di ladang bukan orang Terengganu. Kebanyakan orang Melayu tidak menjadi pekerja di ladang. Kebanyakan mereka itu dibawa dari India, dan ada juga dari China. Namun, di Johor terutama sekali, ada yang dibawa dari Jawa. Mereka dipandang rendah dan disebut sebagai ‘Jawa kontrak’. Mereka dipandang hina dalam kalangan Melayu di Johor. Apabila Othman Saat menjadi Menteri Besar Johor pada tahun 1982, semasa Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, ia suatu perkembangan baharu. Ini kerana pada sebelumya, lantikan Menteri Besar Johor adalah dalam kalangan orang keturunan Melayu-Riau atau maksudnya Melayu tulen. Sebenarnya, tidak juga sepenuhnya Melayu tulen kerana daripada segi keturunan Dato’ Onn Jaafar itu ibunya orang Caucasus, tetapi dianggap sebagai Melayu. Misalnya, pada suatu ketika apabila Dato’ Onn Jaafar tidak bersetuju dengan sultan, beliau dibuang negeri dari negeri Johor. Kemudiannya, beliaulah yang telah mempertahankan raja-raja Melayu yang bimbang dengan kedudukan mereka yang berkemungkinan dibuang sepertimana raja-raja di Sumatera. Di Sumatera, kira-kira 12 sultan telah kehilangan takhta kesultanan mereka.

Di sini kita melihat peranan raja itu telah perlahan-lahan digantikan. Salah satunya ialah penubuhan Malay Administrative Service (MAS) untuk orang Melayu, manakala Malayan Civil Service (MCS) untuk orang Inggeris. Mereka dalam MAS ini diambil dan dididik dalam bahasa Inggeris di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Ini peranan Kolej Melayu sebelum Perang Dunia Kedua. Bukan sembarangan orang yang boleh memasuki Kolej Melayu pada waktu itu. Pada waktu itu, sebahagian besar daripada golongan pembesar Melayu telah ‘dijinakkan’ dan dijadikan sebagai sebahagian daripada pemerintahan penjajah. Antara lain, kita dapat melihat mereka menubuhkan banyak persatuan-persatuan bersifat kenegerian seperti Persatuan Melayu Johor, Persatuan Melayu Selangor dan lain-lain. Konsep Melayu yang lebih luas bukan dikembangkan dalam kalangan pembesar, tetapi di Sultan Idris Training College (SITC). Seorang guru terawal di SITC ialah Cikgu Abdul Hadi Hassan. Baru-baru ini, anak beliau yang merupakah Pengarah Urusan pertama di Petronas, Datuk Rastam Hadi telah meninggal dunia. Beliau adik kepada seorang yang ternama iaitu Datuk Bandar Melaka sebelum ini iaitu Hasnol Abdul Hadi. Jadi, Abdul Hadi Hassan mengajar Sejarah. Antara anak muridnya ialah Harun Aminurrashid yang berasal dari Singapura. Beliau begitu kagum sekali dengan Abdul Hadi Hassan yang pada peringkat awal telah menulis dua jilid buku Alam Melayu dalam tulisan jawi yang kemudiannya selepas Perang Dunia Kedua diterbitkan dalam tiga jilid di Singapura, pada tahun 1950-an ke atas oleh Tiger Press dengan tajuk Sejarah Alam Melayu.

Kenapakah saya sebutkan hal ini? Ia kerana buku ini mewakili perspektif mengenai Melayu merangkumi seluruh Nusantara, bahkan meliputi seluruh Semenanjung. Sebelum itu belum ada yang menyeluruh, tetapi hanya tertumpu di Semenanjung. Jadi, konsep ini menjadi sangat penting dan dikembangkan. Abdul Hadi Hassan dipilih oleh Sultan Kelantan untuk dijadikan nazir. Setelah beberapa tahun, berlaku pelbagai masalah. Ada yang mengatakan bahawa beliau diracun, diserang ‘kapak kecil’, dan sebagainya. Beliau akhirnya menamatkan perkhidmatan di Kelantan dan pulang ke Melaka, meninggal dunia di sana dalam usia yang cukup muda lagi. Anak beliau Hasnol Abdul Hadi telah keluar sekolah untuk menyara kehidupan keluarganya. Harun Aminurrashid yang saya sebutkan tadi, menjelang kemerdekaan tanah air pada tahun 1957, beliau telah mengarang buku kanak-kanak berjudul Panglima Awang. Ia berdasarkan kisah seorang hamba kepada Magalhaes atau dikenali dalam Bahasa Inggeris sebagai Ferdinand Magellan. Magalhaes pernah datang pada tahun 1509, kemudian bersama Alfonso de Albuquerque untuk menyerang dan menakluk Melaka pada tahun 1511. Maka, dapat seorang yang dijadikan hamba. Tidak pasti sama ada dia dibeli atau menjadi tawanan perang. Dia dikatakan datang dari Sumatera dan dibawa oleh Magellan. Akhirnya, apabila Magellan mati dibunuh di pulau di Mactan, dekat Filipina, timbul surat wasiat mengenai hambanya yang bernama Enrique de Malacca atau Enrique de Moro, Moro maksudnya orang Islam. Dalam tulisan jawi, Melaka itu boleh dibaca sebagai Maluku. Jadi, ada dakwaan juga Enrique itu berasal dari Maluku. Sekarang ini, timbul banyak dakwaan-dakwaan menjelang tahun hadapan sempena 500 tahun kematian Magellan dan pelayaran pertama mengelilingi dunia. Banyak pihak cuba membuat klaim terhadap Enrique. Tiada siapa pun tahu nama sebenar Enrique. Maka, di pihak sini, dia dikenali sebagai Panglima Awang. Dalam hal ini, para sejarawan kita di Malaysia tidak tahu sama ada itu benar atau hanya rekaan semata-mata oleh penulis. Para sejarawan telah membincangkan mengenai Enrique ini dengan kepercayaan itulah Panglima Awang yang mana namanya diberikan oleh Harun Aminurrashid—tanpa kepastian yang jelas. Pada waktu itu, dia menyebutkan bahawa dia keturunan dari Hang Tuah. Sedangkan, Prof. Ahmat Adam pula menyatakan bahawa Hang Tuah tidak pernah wujud. Beliau mendakwa mungkin ada seorang yang bernama Hang Tuha yang kemungkinan dari China. Itu kontroversi yang saya sendiri tidak mahu sentuh sekarang. Apa yang penting ialah konsep-konsep, termasuk Melayu banyak berubah oleh kerana faktor politik dan sejarah. Oleh itu, di Indonesia, orang Melayu dianggap meliputi kurang daripada dua peratus daripada jumlah penduduk Indonesia. Namun, bahasa Melayu dianggap sebagai asas bahasa Indonesia. Di Filipina, José Rizal, seorang Katolik mengakui dirinya sebagai seorang Melayu. Bagi mereka, Melayu itu ialah orang di rantau ini. Ia tidak disamakan dengan Islam, konsep Riau dan sebagainya.

Oleh yang demikian, kita mendapati penggunaan istilah ini tiada suatu takrif yang tetap, ditulis pada batu bersurat atau sebagainya, sebaliknya konsep yang sentiasa digunakan. Ada satu buku yang ditulis oleh Cora Ming yang membicarakan konsep Melayu di tiga negeri yang saya sebutkan tadi, termasuk Singapura dan Brunei. Jadi, kita dapati bahawa ini semua mempengaruhi keadaan selepas Perang Dunia Kedua. Muncul beberapa gerakan untuk menuntut kemerdekaan seperti pelopornya Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan sayap pemudanya Angkatan Pemuda Insaf (API) dipimpin oleh Allahyarham Ahmad Boestamam, dan sayap wanitanya Angkatan Wanita Sedar (AWAS) oleh Aishah Ghani, kemudiannya Shamsiah Fakeh. Mereka bekerjasama dengan All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) dan menuntut Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947 yang mana konsep Melayu itu merangkumi semua orang yang mengakui diri mereka sebagai anak watan tanah air iaitu Malaya. Jadi, Melayu itu tidak berkait dengan soal keturunan, agama, dan sebagainya dalam konteks itu. Malah, dalam UMNO sendiri apabila ditubuhkan pada tahun 1946, ia adalah United Malays and Muslim National Organization kerana ada dalam kalangan mereka dari Pulau Pinang itu daripada Muslim League, parti politik pimpinan Muhammad Ali Jinnah yang turut menjadi ahli UMNO. Begitu juga keadaannya dengan Sardon Jubir pada masa dahulu, beliau berkempen dengan ucapan Bahasa Melayu di awal ucapan, selanjutnya dalam bahasa Jawa. Soalnya ialah Melayu bukan erti kata yang sempit. Ia suatu konsep yang sangat luas ketika itu.

Selain UMNO, MIC itu juga menjadi salah satu cabang untuk menuntut kemerdekaan India oleh Parti Kongres di India. Akan tetapi, kemudiannya apabila kita lihat buku Michael R. Stenson misalnya, konsep India yang pada awalnya luas telah disempitkan menjadi konsep Tamil yang mana sejak Tun V.T. Sambanthan menjadi pemimpin MIC pada tahun 1950-an, semua pemimpinnya boleh dikatakan semuanya orang Tamil dan Hindu. Begitu juga dengan MCA. Ia ditubuhkan oleh pihak British daripada kumpulan Kuomintang yang menentang komunis dan itu dijadikan asas MCA. Demikian juga dengan PAS. Pada asalnya, ia daripada UMNO. Jadi, kita dapati perkara ini adalah merupakan proses yang dinamik, terutamanya sejak tahun 1951, British telah menukar strateginya. Pada tahun 1948 hingga 1951, kumpulan-kumpulan tidak sehaluan telah ditekan secara ketenteraan pada zaman darurat. British bijak kerana mereka menangkap orang Melayu terlebih dahulu pada tahun 1948, pemuda-pemuda Melayu itu lebih 6,000 orang ditangkap dan dihumban ke dalam penjara. Mana-mana yang sempat meloloskan diri ke dalam hutan telah akhirnya dianggap sebagai komunis yang mana sebenarnya adalah daripada PKMM, kebanyakannya daripada API. Orang-orang yang menjadi mantan API ada dalam UMNO seperti Ghafar Baba dan sebagainya. Apa yang boleh kita lihat di sini, sejak tahun 1951, British mula memikirkan semula cara mereka. Bahawa mereka tidak boleh lagi menggunakan cara yang lama. Mereka mesti mempunyai satu pendekatan yang lebih fleksibel, dirujuk sebagai penaungan kolonial. Itu untuk menawan hati dan minda. Ia juga melibatkan Dato’ Onn Jaafar yang telah jatuh sebagai Yang Dipertua UMNO, beliau mengundur diri dan digantikan oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1951. Beliau diberikan tanggungjawab dalam Rural Industrial Development Authority (RIDA) yang kini Majlis Amanah Rakyat (MARA). Beliau turut digalakkan menubuhkan Independence Malaya Party (IMP) yang sebenarnya tidak menuntut merdeka dan pada masa awal itu, Labour Party of Malaya juga diizinkan oleh pihak British untuk menyalurkan penentangan terhadap pihak penjajah. MTUC ditubuhkan, gerakan koperasi dibenarkan. Aziz Ishak yang pernah menjadi Menteri Pertanian menjadi orang penting dalam koperasi. Suatu penemuan ilmu Sains Sosial oleh Wilson memberikan sumbangan penting kepada dasar kerajaan bahawa apa yang diperlukan oleh Malaya ialah petani yang memiliki tanah. Oleh kerana itu, FELDA telah ditubuhkan pada tahun 1956 dengan Tun Abdul Razak berperanan mengembangkannya dan kemudian memainkan peranan penting.

Setelah merdeka pada tahun 1957, kita mendapati bahawa mereka yang berhaluan kiri telah turut meneruskan kerjasama, sama ada melalui Parti Buruh atau Parti Rakyat Malaya yang ditubuhkan pada tahun 1955. Satu lagi ialah Parti Perhimpunan Kebangsaan. Aziz pernah menjadi Menteri dalam Kerajaan Perikatan telah dibuang daripada UMNO dan keluar menubuhkan parti. Mereka ini terlibat dalam apa yang dikatakan sebagai Front Sosialis. Namun, cadangan British untuk mewujudkan Malaysia, dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman dan disokong kuat oleh Lee Kuan Yew untuk menjaga dan menyatukan semua kepentingan British di rantau ini. Itu asal-usulnya. Apabila ia ditentang oleh Indonesia dan Filipina, dinamakan sebagai Konfrontasi oleh Dr. Subandrio, Menteri Luar Indonesia. Peristiwa ini dijadikan alasan untuk menangkap pemimpin-pemimpin yang dikatakan bersubahat dengan pihak Indonesia, khususnya Sukarno. Akhirnya, pihak Front Sosialis telah kalah teruk pada pilihan raya tahun 1964, berbanding tahun 1959 yang mana mereka agak berjaya. Sehubungan itu, berlaku kekosongan ruang yang berakibat daripada kekalahan dan kemeruduman golongan kiri ini. Lantas, kekosongan ini telah diisi dengan populisme perkauman yang bukan sahaja daripada pihak UMNO, MCA, dan MIC, tetapi juga penentangnya iaitu DAP. Maka, itulah perkembangan sejak tahun 1960-an. Malaysia boleh dikatakan terisi dengan politik populisme perkauman. Populisme perkauman itu suaranya, nadanya wujud di setiap zaman, tetapi perkembangannya yang terpenting di rantau ini boleh dirujuk ketika itu. Penggubalan dan pelaksanaan dasar-dasar dan penentangan terhadap dasar-dasar itu dipengaruhi politik populisme perkauman. Dasar Ekonomi Baru (DEB) misalnya. Terdapat penjelmaan daripada era kolonial British yang mana kita dapat melihat patronage politics dan politik wang tercetus khusus sejak tahun 1980-an apabila berlakunya persaingan antara Tengku Razaleigh Hamzah dengan Tun Dr. Mahathir. Ia kemudian mempunyai kesan-kesan sampingan lain.

Akan tetapi, salah satu cara untuk mendapatkan legitimasi adalah dengan menyebut bahawa segalanya atas nama pembangunan. Istilah pembangunan itu menjadi kata untuk menjelaskan segala-galanya. Perkara ini telah dikupas antaranya oleh Dr. Francis Loh Kok Wah dan orang-orang lain. Begitu juga dengan kebangkitan Islam pada tahun-tahun 1970-an dan selanjutnya, pelbagai harakah Islamiah disesuaikan dengan keadaan, tetapi bukan sahaja penyesuaian, malah menjadi proaktif. Kita selalunya menganggap sesuatu itu diperalatkan sahaja yang sebenarnya ia berupaya menjadi satu aktor yang tersendiri. Jika kita lihat perpecahan dalam UMNO pada zaman Ku Li, Musa Hitam, Anwar Ibrahim, dan sebagainya, semua ini juga boleh dilihat melalui kaca mata populisme yang berlainan. Saya ingin menekankan di sebalik populisme perkauman, terdapat juga populisme lain yang lebih progresif. Misalnya, di Amerika Syarikat terdapat apa yang kita panggil sebagai Freire populism yang mana di kawasan tengah Amerika Syarikat seperti Ohio dan sebagainya, ada yang bercucuk tanam sebagai kerja dan lain-lain pernah mewujudkan gerakan petani yang terlibat dalam gerakan ini. Begitu juga di tempat lain yang ada gerakan seumpamanya. Jadi, terdapat pelbagai populisme termasuk populisme nasionalis yang menyatupadukan beberapa buah negeri. Jika kita lihat hampir di seluruh dunia, populisme ialah jenis politik utama kerana semua pihak mengakui tanpa kerjasama antara golongan-golongan yang berlainan, sukar sekali untuk memegang kuasa dan terus memerintah. Maka, populisme itu menjadi asas pakatan politik di merata-rata. Kadangkala ia wujud dalam parti, dan adakalanya antara parti. Ia dipengaruhi keadaan-keadaan tertentu. Jadi, kita dapat melihat apa yang berlaku terhadap Pakatan Harapan (PH) dan kini Perikatan Nasional, semuanya terpaut dengan populisme-populisme. Ringkasnya, wujud populisme yang progresif dan regresif. Sekarang populisme yang menebal di Malaysia ialah Melayu Islam. Kononnya, Tanah Melayu tidak pernah dijajah kata Prof. Khoo Kay Kim dan sebagainya. Melayu yang terus berkuasa. Itu suatu mitos. Ia juga boleh berlaku di Afrika dalam kalangan para pembesar kerana pemerintahan British itu adalah secara tidak langsung, bukan secara langsung. Jadi, jangan kita tertipu dengan bentuk dan isi kerana ia tidak semestinya sama. Bentuk itu sudah tentu ada implikasinya. Ia tidak sama dengan apa yang wujud di bawahnya.

Pada pandangan saya, adalah penting untuk kita melihat konteks populisme perkauman di Malaysia sekarang daripada segi sejarah. Sekiranya kita tidak melihat daripada segi sejarah, mudah sekali kita terlupa bahawa istilah-istilah yang kita gunakan sekarang ialah istilah yang sering berubah-ubah dari satu zaman ke zaman lain, satu dasawarsa ke satu dasawarsa lain. Oleh itu, amat penting untuk kita mengenali sejarah kita sebelum kita mencari dan mencipta jalan ke hadapan. Maka, saya rasa adalah lebih baik saya tamatkan di sini untuk kita bertukar-tukar pandangan atau ada sesiapa yang ingin bertikam lidah. Sekian.

PERBINCANGAN

MUHAMMAD ARIFF ASYRUL ADNAN: Terima kasih atas kuliah atau syarahan yang mencerahkan. Saya tertarik dengan ulasan Prof. di bahagian hujung mengenai populisme dalam konteks Malaysia Baharu. Daripada segi konseptual, masih lagi ada pertikaman lidah antara sarjana yang membahaskan tentang populisme; sama ada populisme ini sebuah ideologi atau hanya proses sahaja; dan populisme itu sendiri sama ada wujud atau tidak. Perkara itu masih lagi dibahaskan. Apa yang menjadi persoalan bagi saya ialah populisme dalam konteks Asia Tenggara. Perbahasan populisme di Asia Tenggara ini adalah agak berbeza dengan perbahasan populisme di Barat. Daripada segi konseptual, populisme ini ialah pertelingkahan antara dua kumpulan manusia iaitu ‘the pure people’ (kumpulan yang murni) dan penentangannya terhadap segolongan lagi iaitu ‘elit yang korup’. Ia berkaitan dengan pemerintah yang melakukan penyelewengan di belakang rakyat. Ada beberapa penulisan yang menunjukkan bahawa dalam konteks Asia Tenggara ini, populisme berkisar tentang agama dan kaum. Apa yang Prof. telah bincangkan tadi amat berkait dengan populisme di Asia Tenggara. Soalan saya ialah bagaimanakah bentuk populisme di Asia Tenggara? Adakah ia berkisar tentang ideologi atau berkisar sekitar politik identiti sahaja?

DR. JOMO KWAME SUNDARAM: Tidak dinafikan bahawa agama telah memainkan peranan yang penting di Filipina, tetapi sebenarnya jika dilihat 50 tahun lalu, Moro National Liberation Front (MNLF) ditubuhkan kemudian berpecah kepada Moro Islamic Liberation Front (MILF). Namun, perpecahan itu sebenarnya adalah mengikut suku. Orang Suluk di Kesultanan Sulu masih berpegang kepada MNLF yang mana mereka telah menyerang Lahad Datu beberapa tahun sudah. Ada juga kesultanan pada masa dahulu di Maguindanao. Nama Mindanao itu asalnya Maguindanao. Kesultanan di Maguindanao ini sebenarnya kurang penting, tetapi bagi mengurangkan bantahan terhadap pembentukan Malaysia, Tunku Abdul Rahman telah bersetuju untuk membayar pencen pada setiap bulan kepada kerabat diraja di Maguindanao. Sebenarnya kerabat di Maguindanao ini tidaklah begitu penting seperti Suluk di Kepulauan Sulu. Satu lagi ialah Maranao di Marawi. Saya dahulu mengenali seorang pensyarah dari Universiti Malaya (UM) yang menyertai Abu Sayyaf, dia dibunuh di Marawi. Di sana, suku-suku itu mempunyai kepercayaan tersendiri. Misalnya, sebahagian besar daripada artifaknya atau barang hiasannya adalah berkaitan dengan buraq yang telah membawa Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Buraq itu atas sebab yang saya kurang pasti, tetapi amat diminati di kawasan Marawi. Maka, sebagaimana ditimbulkan oleh saudara tadi, faktor kaum itu penting. Namun, ada juga faktor-faktor lain. Faktor wilayah menjadi penting sehingga kini. Misalnya, semasa saya mengajar di UKM dahulu, setiap tahun, situasi paling tegang ialah perlawanan bola sepak antara Persatuan Anak Kelantan dan Persatuan Anak Johor. Mungkin sekarang telah berubah, tetapi semangat kenegerian itu sangat penting kerana masing-masing mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Misalnya, di Malaysia ramai yang menganggap anjing itu sebagai haiwan yang jijik dan tidak dapat diterima. Namun, daripada segi sejarah, bendera negeri Kelantan dahulu ada lukisan berbentuk seni khat mengenai anjing dalam surah al-Kahf iaitu anjing yang menjaga para pemuda dalam gua. Jadi, nilai-nilai ini ada buku yang disunting oleh Nik Aziz yang pernah mengajar di Jabatan Sejarah dan Fakulti Islam, UKM. Buku itu ialah karangan Nik Salleh seorang alim di Kelantan yang pernah membela anjing. Ada perselisihan antara adik-beradik raja pada tahun 1930-an yang telah ditulis oleh William R. Roff tentang soal anjing di Kelantan. Banyak perkara yang kita anggap telah muktamad tetapi sebenarnya banyak juga isu yang telah timbul. Saudara tadi ada membangkitkan soal agama. Jika dahulu, jika kita soal tentang Rohingya, ramai orang Islam di Malaysia akan bersimpati. Tetapi, dalam dua, tiga tahun kebelakangan ini, orang Rohingya dianggap sebagai kumpulan manusia yang paling jijik dan teruk sekali di Malaysia. Semuanya ialah pelarian palsu, jika kita mendengar propaganda UMNO dan PAS sekarang. Jadi, di manakah populisme Islam? Setakat manakah sempadan Islam itu? Sempadan Islam itu ialah kaum. Semasa ada perselisihan antara Bugis dan Melayu-Riau di Johor, orang Jawa menuntut hak mereka yang akhirnya Othman Saat menjadi isu, Melayu dan Bugis telah bersatu kerana tidak senang dengan kebangkitan orang Jawa. Oleh itu, dengan sendirinya kita melihat apa yang dikatakan sebagai Melayu berubah dari zaman ke zaman. Jika kita lihat banci pada tahun 1931, boleh dikatakan bahawa konsep Melayu hampir tiada. Ia akan takrif orang Kelantan, Bugis, Mandailing, orang Minang itu Minang yang mana? Minang Rawa atau Minang Kerinchi dan sebagainya. Cukup terperinci. Bersesuaian dengan kehendak zaman dan keinginan British untuk menguasai rakyat di sini, kategori-kategori banci juga berubah. Sekarang tidak lagi boleh tahu suku. Baru-baru ini, Datuk Seri Mustapha Moohamad membuat laporan mengenai masyarakat miskin di Sabah, berikutan pilihan raya negeri. Beliau tidak memberikan butiran. Rakyat di Sabah tertanya-tanya kerana tiada perincian. Mereka tahu nasib atau status Bumiputera itu tidak sama. Nasib istilah Bumiputera itu sendiri yang konon menafikan soal agama, turut dipersoalkan. Itulah asal-usul sebab-musabab rakyat di Sabah dan Sarawak tidak senang dengan politik perkauman di Semenanjung Malaysia atau mereka sebut sebagai Malaya. Malaya itu secara entiti politik tidak lagi wujud. Namun, ia masih digunakan istilahnya lebih daripada tempoh 50 tahun kemudian. Sebabnya ialah mereka menganggap kita di Semenanjung tidak sensitif dan peka dengan nasib mereka di sana.

            Jadi, soal adakah ini sebenarnya identity politics pula sebenarnya istilah tersebut juga ialah ciptaan pada dua atau tiga dasawarsa yang lalu. Bagi saya, istilah populisme itu wujud lebih awal, tetapi bukan itu sebabnya saya ingin gunakan istilah populisme. Identity politics itu mempunyai banyak jenis. Identiti seseorang tidak semestinya tentang kaum. Ia mungkin berkait dengan jantina. Di Amerika Syarikat, tentang the others itu mereka tidak kisah sama ada seseorang itu daripada Bangladesh, India dan sebagainya. Jadi, identity politics itu sendiri bukan sesuatu yang statik. Ia terus dicipta dan diciptakan semula. Malah pada ketika tertentu, kita memiliki beberapa identiti. Dalam pergaulan tertentu ada identiti sekian-sekian, manakala dalam pergaulan lainnya pula ada identiti sekian-sekian. Jadi, ia sememangnya menjadi suatu istilah yang semakin digunakan. Akan tetapi, adakah ia berguna untuk menerangkan sesuatu fenomena itu? Saya belum yakin.

EHSAN SHAHWAHID: Soalan saya ini berkait dengan projek penulisan yang dibuat dalam bengkel ini. Penulisan saya berkait dengan agama dan pembangunan. Salah satu bahan rujukan penulisan saya ialah buku yang disunting oleh Prof. sendiri pada tahun 1992, bertajuk Islamic Economic Alternatives: Critical Perspectives and New Directions. Dalam buku tersebut, terdapat satu bab yang mengkritik teori Weber dengan tajuk Islam and Capitalist Development: A Critique of Rodinson and Weber, khususnya berkaitan dengan kritikan Islam dan kapitalisme. Berkait dengan itu, soalan saya ingin tumpukan kepada perbincangan proses pembangunan di Malaysia, turut disentuh dalam bicara Prof. tadi. Pertamanya, proses pembangunan dan modenisasi di Malaysia yang kita lihat pada sekitar tahun-tahun 1980-an dan awal 1990-an, jika kita membuat penilaian bandingan ialah tempoh paling rancak berdasarkan data-data. Namun, ada juga dalam kalangan sarjana menyatakan tempoh masa yang sama itu ialah kemuncak Islamisasi dalam sejarah Malaysia moden. Soalan saya, sejauh mana Prof. melihat hubung kait antara dua proses ini? Berlaku perkembangan secara material dalam pembangunan pada satu bahagian dan Islamisasi pada satu bahagian lain yang mengimpak dasar, budaya dan sebagainya pada era pemerintahan Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. Berbalik kepada perbincangan yang saya sebutkan tadi mengenai teori Weber, adakah perkaitan atau korelasi antara agama dan pembangunan? Sejauh manakah pada tempoh itu juga pada tahun-tahun 1980-an, 1990-an dasar-dasar kerajaan itu mampu mempengaruhi pembangunan masyarakat desa secara umum, khususnya melibatkan doktrin keagamaan atau institusi-institusi lain yang memberi kesan kepada masyarakat pada waktu itu?

DR. JOMO KWAME SUNDARAM: Bagi saya, apa yang dimaksudkan dengan Islamisasi di negara kita Malaysia—seperti di negara-negara lain juga—ialah pelegitimasian amalan-amalan sedia ada. Caranya adalah dengan menakrifkan pengislaman secara sempit. Kebanyakan tempat di dunia terdapat tiga perkara. Pertama, kononnya menggantikan homo economicus dengan homo Islamicus. Homo Islamicus itu kononnya didorong oleh perangsang-perangsang selain daripada homo economicus. Cara hal ini berlaku adalah secara kasar. Gambaran apa itu homo Islamicus ialah gambaran yang kasar dan diperlekehkan. Dikatakan homo Islamicus itu lebih mulia, mempunyai cita-cita yang lebih tinggi dan tentunya lebih baik serta pasti lebih baik berbanding homo economicus. Itu salah satu aspek pendekatan ini. Oleh itu, penekanan diberikan kepada pendidikan Islam untuk memupuk nilai-nilai Islam yang bermaksud norma-norma yang berkaitan dengan institusi-institusi tertentu. Jadi, jika kita lihat sejarah awal Islam pada zaman Nabi Muhammad SAW misalnya dan apa yang sedang berlaku pada waktu itu, sudah jauh bezanya dengan apa yang berlaku sekarang. Namun, beberapa aspek yang pernah wujud dahulu diberikan penekanan bahawa itulah institusi-institusi Islam. Biasanya seperti kita tahu ada beberapa perkara diberikan penekanan. Pertama ialah riba. Riba ditafsirkan sebagai riba terhadap bunga. Ia bukan sesuatu yang baharu. Jika kita lihat Torah dengan amalan Yahudi zaman dahulu, sebenarnya Yahudi ini menentang bunga. Tetapi, apa yang berlaku dalam masyarakat kemudiannya, terutama masyarakat Eropah pada abad ke-15 hingga abad ke-19, orang Yahudi tidak dibenarkan terlibat dalam kegiatan-kegiatan lain. Akhirnya, mereka lebih banyak terlibat dalam urusan kewangan, terlibat dalam bunga. Misalnya, apabila Raja Castile berkahwin dengan Aragon, ia menghasilkan Sepanyol. Pada tahun 1492M, setelah satu keputusan di Pasitan Sepanyol, orang Yahudi dibuang atau dipenjarakan. Maka, ramai orang Yahudi lari dari Sepanyol ketika itu. Di negara-negara Eropah lain, yang berkuasa ialah gereja Katolik. Maka, mereka telah lari ke tiga tempat yang dikuasai oleh sultan dan diberikan perlindungan iaitu; (i) Sultan Sarajevo di Bosnia Herzegovina sekarang; (ii) Sultan Istanbul iaitu Kesultanan Uthmaniah; dan (iii) Sultan di Maghribi sekarang (keluarga Idrisiah yang menjadi penguasa pada waktu itu). Pada tahun 1992, apabila masalah di Bosnia Herzegovina berlaku, seorang Yahudi bernama George Soros telah banyak terlibat untuk membela Bosnia. Dia mendakwa ingin membela Bosnia antara lain kerana Sultan Sarajevo lah yang menyelamatkan orang Yahudi lima abad sebelum itu. Selain George Soros, yang ingin menyelamatkan Bosnia ialah tidak lain Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. Dalam pemerintahan Kesultanan Uthmaniah, kita dapat melihat pembahagian pekerjaan mengikut kaum. Misalnya, anak orang Kristian akan diambil untuk dilatih menjadi askar dan pegawai dalam pasukan tentera Uthmaniah. Salah satunya ialah Vlad yang memancung kepala musuh-musuh Uthmaniah yang kemudiannya memberontak dan dikenali sebagai Vlad the Impaler. Beliau mencetuskan pemberontakan terhadap Sultan dan mencetuskan kisah-kisah dracula. Jadi, kisah dracula itu ada asasnya dalam kehidupan Vlad the Impaler. Di ketiga-tiga kawasan ini sehingga kini ada kawasan yang terlindung didiami kebanyakan oleh orang Yahudi. Sepanjang zaman Kesultanan Uthmaniah, orang Yahudi menjaga khazanah Uthmaniah. Seorang Profesor yang terkenal di Harvard University bernama Chris Rojek. Datuknya bukan bernama Rojek tetapi Rodríguez yang menunjukkan asal-usul Sepanyol. Namun, setelah Kamal Atarturk berkuasa, beliau memerintahkan agar nama-nama ini di-Turki-kan. Pada tahun 1498, orang Islam juga telah diusir dari Sepanyol seperti mana orang Yahudi. Maka, kita boleh melihat bahawa orang membenci Yahudi bukan kerana mereka mempunyai kelebihan, tetapi itulah bidang-bidang yang dibenarkan oleh raja-raja Katolik untuk orang Yahudi pada zaman itu. Maka, mereka terlibat dalam bunga. Jika kita lihat kitab-kitab lain juga melarang apa yang dikenali sebagai riba. Dalam sebuah buku karangan oleh Ziaul Haque bertajuk RIBA: The Moral Economy of Usury, Interest, and Profit, beliau menyatakan bahawa Islam menentang segala jenis riba. Ada dua jenis riba iaitu riba an-nasiah dan riba al-fadl. Bukan hanya ada satu riba, tetapi banyak. Apa yang dilarang hanya satu sahaja, tetapi selebihnya adalah dalam bentuk surplus atau lebihan. Siapakah yang memilih tafsiran yang sesuai? Tafsiran itu adalah mengikut zaman. Jika kita menggunakan satu takrifan yang luas bagi riba, maka segala jenis lebihan akan dianggap haram di sisi Islam. Dengan sendirinya Islam itu menentang segala jenis eksploitasi, bukan hanya yang berkaitan dengan bunga. Maksudnya amat luas. Siapakah yang memberikan maksud atau tafsiran yang sempit? Bahkan, ada yang memberikan tafsiran yang lebih sempit lagi iaitu usury—bungan yang berlebihan. Istilah ini mempunyai maksud tertentu bukan kerana maksudnya jelas sejak awal lagi, tetapi disesuaikan dengan kepentingan mereka yang berkuasa dan membuat tafsiran. Begitu juga dengan zakat. Ada banyak jenis zakat. Tetapi, mengapa ada beberapa zakat tertentu yang dianggap wajib dan ada zakat-zakat yang tidak dianggap wajib. Ini juga disesuaikan dengan zaman. Bagaimanakah konsep zakat itu diberikan oleh pihak yang berkuasa? Sayyid Mahmoud Alaee Taleghani di Iran telah banyak menulis, begitu juga dengan Khomeini. Khomeini menulis bagaimana cara untuk membersihkan diri selepas mengadakan seks. Sedangkan Mahmoud Taleghani menulis tentang milik iaitu malik bermaksud raja, kuasa. Apakah yang menentukan apa itu milik dan sebagainya? Terdapat banyak jenis milik. Apa yang ingin saya tekankan dalam hujah huraian saya ini ialah apa yang dibincangkan sama ada di Pakistan, Arab Saudi, Malaysia, dan merata-merata mengenai wacana Islam itu bukan sesuatu yang datang secara langsung dari Al-Quran. Tetapi, ia datang daripada orang yang inginkan tafsiran-tafsiran tertentu mengenai tafsir-tafsir yang tertentu juga. Maka, wacana itu bukan sesuatu yang timbul dengan sendirinya. Perkara sebegini tentunya bukan hanya berlaku dalam agama Islam tetapi dalam agama Yahudi, Kristian, dan agama-agama lain. Siapakah yang menguasai agama? Oleh sebab itu, antara pembaharuan Islam ialah tiadanya orang yang mempunyai monopoli dalam hubungan antara kita dengan Tuhan. Ini cukup penting dan berbeza dengan agama Nabi Ibrahim AS dan Nabi Isa AS. Kita harus berwaspada bahawa apa yang dibincangkan dalam wacana Islam itu adalah ditentukan oleh mereka yang menentukan wacana itu sendiri.

            Begitu juga dengan Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim apabila mereka membincangka mengenai Islamisasi. Mungkin orang berasa seronok, suka dan senang dengan perkara itu. Adakah ia tepat dengan ajaran dan tujuan Islam? Itu soal yang lain. Begitu juga pada awal dekad 1960-an, apabila Ungku Aziz mencadangkan Tabung Haji, ia diterima baik oleh orang ramai. Begitu juga dengan kedatangan Islam ke Malaysia. Ada yang berkata ia datang secara langsung dari negeri-negeri Arab. Ada yang menyatakan ia datang melalui India. S.Q. Fatimi dalam bukunya Islam Comes to Malaysia juga menyatakan ia datang melalui Cina. Ia juga pergi ke Jawa. Orang Jawa menerima bahawa Islam itu datang dari Masjid Guangzhou. Kita harus tanyakan mengapa ada sebuah kapal karam dekat Kepulauan Belitung lebih dari seribu tahun yang sudah. Akan tetapi, dengan kapal-kapal dari Arab yang menelusuri Selat Melaka, mengapa dalam tempoh itu tiada yang menganuti Islam di rantau ini. Harus juga ditanyakan mengenai kepentingan Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh kira-kira 100 tahun sebelum Melaka. Atau tanyakan apakah pentingnya Melaka? Apakah peranan Laksamana Cheng Ho yang merupakan seorang Islam? Mengapakah Parameswara memeluk Islam dan menjadi Iskandar Syah? Dan apakah pengaruh Islam terhadap cara pemerintahannya. Ini semua perkara yang harus kita pelajari, tetapi malangnya masih kurang. Di Indonesia, boleh dikatakan penelitian dan perbahasan mengenai soal-soal ini jauh lebih terbuka dan kaya.

TEO LEE KEN: Saya ada dua soalan. Pertama, saya ingin bertanya tentang dua populisme yang disebutkan tadi. Sama ada populisme yang lebih negatif atau yang lebih kanan ataupun populisme yang lebih kiri yang lebih progresif. Jadi saya ingin bertanya dalam konteks Malaysia, seperti di negara-negara lain di Amerika Selatan dan Eropah. Bagaimanakah Prof. melihat sama ada wujud peluang untuk populisme yang berpaksikan kerakyatan yang inklusif berkembang di Malaysia bertarung atau bertanding dengan populisme yang lebih konservatif dan kemelayuan? Kedua, Prof. sebentar tadi berkongsi perjalanan sejarah dan perbandingan beberapa contoh. Saya ingin tanyakan sejauh mana sejarah dapat membantu memahami populisme? Adakah ia rujukan yang baik? Adakah populisme itu suatu perkembagan baharu, dalam istilah Inggerisnya unprecedented juga berlaku dalam negara moden, nasion atau negara bangsa?

DR. JOMO KWAME SUNDARAM: Bagi saya kategori kanan dan kiri ini mungkin akan berguna, tetapi setakat mana. Kita boleh katakan bahawa populisme ini populisme kiri, populisme ini populisme kanan. Kadangkala sukar kita bezakan. Saya berikan satu contoh, parti yang sedang berkuasa di India sekarang ialah parti yang kononnya nasionalis. Namun, ia bukan nasionalis kebangsaan India, tetapi nasionalis Hindu. Jadi, ia cukup memusuhi orang Islam, malahan memusuhi orang Kristian dan minoriti-minoriti yang lain, termasuk ateis. Jadi, jika kita lihat istilah yang dipakai mereka, terutamanya dalam kalangan populis perkauman, mereka akan sentiasa menggambarkan diri sebagai mangsa. Cuba lihat bahasa retorik Trump. Orang kulit putih menjadi mangsa orang asing, mangsa ajaran dari luar, mangsa kepada serangan China, dahulunya mangsa kepada serangan Rusia. Sedangkan dia kuasa terbesar dunia. Sedangkan dia mempunyai pangkalan tentera di lebih 100 buah negara di luar Amerika Syarikat. Tidak ada negara lain yang ada pangkalan sampai 10 kecuali British. Selainnya tiada. Namun, mereka akan gambarkan diri sebagai mangsa. Oleh yang demikian, victimhood itu amat penting untuk memupuk semangat populisme. Bagaimanapun, adakah itu membezakan antara kiri dengan kanan? Bagi saya, kita pernah dijajah oleh British dan dieksploitasi. Tetapi, sesetengah sejarawan akan berkata itu hanya cakap-cakap sahaja tanpa menunjukkan sebarang bukti sejarah. Saya merujuk kepada penulisan Sultan Nazrin yang merupakan bukti. Penulisan mendiang Martin Khor yang saya galakkan untuk terbitkan tesis sarjana beliau yang saya sifatkan lebih baik daripada sebahagian besar tesis doktor falsafah di seluruh dunia. Walaupun demikian, orang akan menuduh saya sebagai appealing to victimhood. Jika saudara berkesempatan cuba lihat di Youtube, orang berketurunan India di Britain. Gambaran yang mereka berikan kepada empayar British itu sebagai sesuatu yang cukup baik. Kita tidak akan maju tanpa empayar British. Kemajuan kita itu berpunca daripada penjajahan. Bagi mereka, perlu dikembalikan suatu jenis kuasa yang baharu—bukan penjajahan. Lebih kurang 40 tahun dahulu, selepas Margaret Thatcher menjadi Perdana Menteri, Britain menolak Komanwel. Sekarang, Boris Johnson ingin menghidupkan kembali Komanwel. Kementerian Luar di Britain dipanggil sebagai Foreign Office. Pada minggu lalu, jika tidak silap saya, namanya telah ditukar kepada Foreign, Commonwealth and Development Office (FCDO). Kononnya Britain yang akan membangunkan kita semua. Ada mitos-mitos yang sampai ke hari ini, pada abad ke-21, dasawarsa ketiga abad ini, ia masih hidup dan dikembangkan. Ianya masih diulang oleh bukan sahaja British di Britain, tetapi orang di sini juga menafikan bahawa kita pernah dijajah. Mengapakah penting bagi mereka untuk menafikan penjajahan? Kerana bagi mereka, jika tiada penjajahan, wujud kesinambungan Melayu dari zaman Melaka hingga hari ini. Sedangkan gambaran yang saya cuba sampaikan sebentar tadi adalah lebih dinamik, cair. Soal sejarah ini memberikan implikasi yang besar, tetapi apa yang berlaku sekarang ialah apa yang dikatakan sebagai golongan kanan baharu, berbeza dengan golongan kanan yang lama. Sesetengah istilah mereka ialah istilah daripada golongan populis kiri. Penggunaan istilah yang serupa dengan niat dan tujuan yang lain. Ramai terpedaya. Jika kita ingin memahami bagaimana orang PKR yang konon menolak perkauman terus menjadi orang yang membela perkauman. Apakah dia seorang hipokrit sahaja atau bagaimana dia dapat memproses ini. jadi, kita harus sedar bahawa kategori-kategori ini ialah perkara yang cukup sulit. Ada orang yang menganggap dirinya sebagai populis kiri. Dia seronok. Dia menuntut tamatnya deglobalization. Apakah implikasinya deglobalization? Misalnya di Malaysia. Implikasinya ialah sesetengah kilang di negara ini tidak lama lagi akan ditutup dan dipindahkan ke Amerika Syarikat atau Jepun kerana Trump dan Abe itu telah meminta supaya semua offshore itu dikembalikan onshore. Jadi, ia apa yang dikatakan global supply chain sudah tutup. Bagi sesetengah orang, kita sudah menang melawan imperialisme, kini globalisasi sudah tamat. Deglobalisasi sedang berlaku. Kita mestilah berhati-hati. Semalam, saya terlibat dalam satu perbahasan di Washington yang mana sesetengah orang itu seronok dan suka sahaja. Dia berkata bahawa kita mesti mengurangkan hutang. Saya juga ingin mengurangkan hutang, tetapi dalam keadaan sekarang yang mana ramai tertekan dengan apa yang berlaku akibat pandemik Covid-19, sepatutnya kerajaan belanja dan pinjam untuk menyelamatkan kehidupan orang ramai. Ramai kanak-kanak di kawasan PPR, kawasan miskin bandar dan sebagainya, sekarang tidak makan tengah hari. Dahulu makan di sekolah, sekarang tidak makan. Jika makan, mereka makan mi segera yang dikira murah dan mudah. Maka, adakah ini soal yang boleh dianggap kiri atau kanan? Bagi saya, soal ini ialah soal yang agak kompleks. Ramai orang suka hutang itu dikurangkan. Hutang negara yang dikurangkan bermaksud perbelanjaan kerajaan akan dikurangkan. Keadaan ini akan mengakibatkan kemelesetan itu akan berterusan. Apakah itu demi faedah orang ramai dan rakyat? Bagi saya tidak. Bukan semudah itu untuk membuat satu garis jelas antara yang progresif dan regresif. Sesetengah perkara itu sangat-sangat kontekstual. Dalam keadaan tertentu, sebelum Covid-19, saya setuju agar kita mengurangkan hutang. Walau bagaimanapun, adakah ia tindakan yang paling penting untuk kita adakan dalam keadaan sekarang? Saya kira tidak. Tetapi, sudah tentu ada orang lain yang akan berpandangan demikian. Bank Dunia yang boleh mendapatkan wang dengan kadar bunga yang cukup rendah tidak melaksanakan demikian untuk dipinjamkan kepada negara-negara miskin. Sedangkan IMF yang dahulunya saya tentang dalam peristiwa kemelesetan pada tahun 1997/1998, sekarang IMF menyarankan negara-negara untuk berbelanja dan menyimpan dahulu resit. Kerana itu perlu untuk menyelamatkan ekonomi dunia. Apakah yang berlaku dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)? Ia sesuatu yang luar biasa. Mangsa-mangsa utama di Malaysia misalnya penjaja-penjaja kecil, buruh yang bekerja dengan upah harian. Mereka ini hidup umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hidup cukup susah. Jika kerajaan berbelanja kurang, tidak membiayai makanan di sekolah, saya rasa nasib masa depan kita teruk. Perkara-perkara ini tidak mudah untuk diselamatkan. Jika setengah tahun kanak-kanak ini tidak cukup makanan yang membekalkan zat-zat tertentu, kesannya sepanjang usia. Gadis remaja yang tidak mendapat cukup zat besi ini ketika hamil nanti akan jadi masalah. Tidak cukup kalsium, maka tulang mereka tidak begitu kuat. Kita jangan hanya tumpu kepada yang zahir, tetapi tidak memberi perhatian kepada yang tersirat. Oleh yang demikian, bagi saya populisme ini ada banyak jenis. Kadangkala, apa yang kita anggap sebagai yang terbaik, ada kemungkinan hal itu tidak berlaku. Don’t let perfect be the enemy of the good. Jadi, saya tidak mengatakan jangan bekerjasama dengan semua orang populis, tetapi kita mestilah memastikan orang-orang tidak terpedaya dengan retorik yang kononnya demi kepentingan mereka, kononnya mereka menjadi mangsa, tetapi sebenarnya memberikan manfaat kepada golongan tertentu.

FATIMAH TAJUDDIN: Soalan saya berkait dengan soalan pertama saudara Teo Lee Ken tetapi saya mohon maaf kerana ia mungkin terlalu berterus terang dan sensitif. Prof. ada menyentuh mengenai banci yang pada pandangan saya begitu bermasalah. Sangat eksklusif terhadap satu etnik. Sepertimana soalan diajukan oleh saudara Teo Lee Ken, wujudkan peluang untuk menjadikannya lebih inklusif? Soalan saya ini terlalu berterus terang bahawa saya ingin mengetahui sama ada kita masih memerlukan konsep Bumiputera? Saya berfikir-fikir tentang soalan ini dan boleh dikatakan takut untuk menanyakannya. Hal ini kerana konsep Bumiputera dan bukan Bumiputera ialah kategori yang pada padangan saya amat bermasalah sekali, khususnya dalam usaha untuk mewujudkan keterangkuman dalam aspek ekonomi.

DR. JOMO KWAME SUNDARAM: Kalaulah kita larang istilah Bumiputera, orang akan mencari istilah baharu dengan maksud yang lebih kurang sama. Saya rasa sebabnya ialah asalkan istilah itu dapat memberikan manfaat kepada golongan tertentu, mereka akan terus menggunakannya. Jika istilah itu tidak berguna kepada sesiapa, ia akan dengan sendirinya hilang. Jadi, bagi saya bukan bererti sangat untuk melarang penggunaan istilah sedemikian, tetapi yang perlu kita sedari ialah kembali kepada persoalan yang pertama. Populisme dengan sendirinya memberikan gambaran segala jenis fahaman populis akan memberikan gambaran kepentingan bersama. Kepentingan bersama segala umat Islam (populisme Islam); kepentingan bersama orang Melayu (populisme Melayu); kepentingan bersama orang Johor (populisme Johor); dan sebagainya. Tadi sebutkan kategori orang Melayu, tetapi sebenarnya ia digunakan untuk kaum-kaum lain. Misalnya Cina ada Hakka, Kantonis dan banyak kategori-kategori yang dianggap aneh bagi orang yang tidak mengenali suku-suku dalam kalangan orang Cina. Suku itu juga bukan daerah. Hakka itu orang yang dianggap telah menjelajah dan bukan dari satu kawasan dari negeri Cina. Begitu juga dengan orang India. Antara kasta mungkin tidak. Begitu juga di Sabah dan Sarawak. Ada kategori yang sudah berubah. Dayak itu ada Land Dayak dan Sea Dayak, Bidayuh dengan Iban. Jadi, kita dapati bahawa istilah yang diciptakan akan terus dipakai selagi mana ia memberikan keuntungan kepada kepentingan golongan tertentu. Setelah ia tidak memberikan manfaat, ia akan dengan sendirinya hilang. Tentu ada tenaga atau inersia yang akan menyebabkan ia berterusan buat sementara, bukan terus hilang sekelip mata. Bagi saya, yang lebih penting daripada mengharamkan atau mengurangkan penggunaan istilah Bumiputera ialah menunjukkan kepada golongan yang dikategorikan sebagai Bumiputera itu bahawa nama mereka itu digunakan untuk menguntungkan segolongan tertentu sahaja. Bagi saya itu jauh lebih penting. Maka, dengan sendirinya orang ramai akan jijik dengan apa yang sedang berlaku. Penipuan, pembohongan dan apa sahaja yang buruk dilakukan atas nama mereka. Mereka akan lebih marah jika atas nama mereka itu orang melakukan salah guna untuk kepentingan sendiri. Oleh sebab itu, saya menganggap Sains Sosial yang saudara-saudari lakukan ini dengan sendiri menegakkan apa yang benar. Akan ada orang-orang yang berasa kurang senang dengan apa yang saudara-saudari tegakkan itu. Oleh itu, potensi bagi apa yang dinyatakan dalam Islam juga tentang menyatakan kebenaran kepada mereka yang berkuasa dengan sendirinya mempunyai potensi yang cukup besar.

Teks ini merupakan transkripsi ucapan Dr. Jomo K. Sundaram, yang merupakan mantan Presiden Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) merangkap penasihat kanan, Khazanah Research Institute. Ucapan ini dilakukan semasa Bengkel Pembangunan Kapasiti Penyelidik Muda (Pembentangan Makalah) pada 8-11 Oktober 2020 di Hotel Everly, Putrajaya. Bengkel ini adalah anjuran Naratif Malaysia (NM) dengan kerjasama IKMAS, UKM, MARI, USAID dan Kedutaan Amerika.

Design a site like this with WordPress.com
Get started