Sebelum Muda: Sebuah Catatan Peringatan

Bak kata Pierre Bourdieu, anak muda ini cumalah sekadar istilah. Sifatnya emotif temporal sahaja, berlalu bagai angin sepoi-sepoi bahasa. Sebaliknya, apa yang real adalah hal-hal ketaksamaan yang membentuk struktur sosial dan ekonomi—sehingga mencetus kesedaran politik yang melangkaui jurang si tua dan si muda. Ertinya, kita perlu memperhatikan arus yang bergencar di bawah, bukannya hanya bergelut-gelut dalam ruang konstituensi moral.

Sebuah tulisan buat mereka yang selesa bergayut dengan slogan anak muda

Bukan perkara baru sekiranya ada sekelompok (boleh juga segerombolan) anak muda bertindak untuk memilih jalan politik kepartian dalam mengolah dan menentukan nasib politik negara. Ini bukanlah hal yang aneh.

Hatta, kita sudahpun melaluinya dalam setiap dekad: bermula daripada seradikal-radikal kesatuan dan sayap pemuda dari tahun 1930-an sehinggalah kepada gerakan sosial dan budaya popular (yang kini menjadi jembalang keterpencaran idealisme) pada akhir dekad 2010. Begitulah, betapa kita tidak dapat lari daripada membaca semula sejarah bermula daripada di mana titik berangkat setiap daya kepemudaan.

Akan tetapi, dalam semua congak perubahan ini, kita sama sekali tidak boleh mengabaikan ragam cita negara idaman pada setiap zaman. Perlu disedari bahawa setiap ragam ini tergantung kepada situasi sosio-politik, sosio-ekonomi dan budayanya.

Dewasa ini, kita wajar insaf bahawa bukanlah semua gagasan dan gerakan (apatah lagi gerakan atas nama anak muda) berakar daripada tradisi membaca buku. Lebih jauh lagi, daripada tradisi menulis. Paling ketara, perjuangan angkatan anak muda hari ini bukanlah berasaskan tradisi perjuangan menuntut kemerdekaan.

Kita mesti ingat bahawasanya titik kedudukan sejarah kita pada hari ini adalah titik di mana bersilangnya antara garisan pasca-kolonialisme dengan garisan kerancuan tradisi pemikiran bangsa kita. Titik yang diperoleh ini mewariskan kepada kita segala struktur dan sifatnya yang menjadi wajah terkini generasi kita.

Dalam kata lain, anak muda hari ini adalah hasil daripada usaha anak muda pada masa lalu. Sama ada dengan jalan pintas ataupun jalan panjang, garisan kegenerasian yang membentuk identiti bangsa ini adalah suatu yang takkan boleh diputuskan walaupun ingin dicincang lumat.

Namun, kesan daripada ketiadaan kejernihan pemikiran dan perjuangan telahpun menambah lagi kepincangan angkatan muda hari ini. Ini kerana, salah satu faktor terbesarnya, tentu sekali berpunca daripada kegagalan institusi yang tidak sempat menatakan aturan moral, literasi politik serta kesedaran warga.

Kegagalan ini semakin mengaburkan lagi identiti individu dan kelompok di negara kita ini. Kita tidak mengenal dengan jelas ciri individu moden, juga kita tidak mengenal dengan ketara ciri kolektif masyarakat kita.

Siapa Idealog Muda?

Zaman kita adalah zaman yang meneriak kata “muda” sampai bergegar Arasy. Tapi teriakan tersebut ternyata kosong kerana tiada inti pesanan yang dibawanya. Malah, mereka yang membawa pesan juga tidak tampak.

Sebaliknya sosok yang muncul pula terselubung dengan pekat populisme. Cenderung sosok seperti ini lazimnya akan menampilkan dirinya bercakap seperti radio rosak. Sentiasa menyakinkan khalayak bahawa kita dalam suasana krisis; lalu merekapun buat hingar, kononnya ingin membangkitkan gerakan perubahan, dan merekalah kononnya lagi wajah dan watak perubahnya.

Malangnya, lagak ini tidak terhad untuk satu gerombolan sahaja. Sebaliknya turut terkait sama ada mereka yang menuntut politik reformasi, baik yang menuntut politik identiti.

Budaya politik seperti ini sudahpun banyak diperkatakan. Namun, apa yang pasti, budaya seperti ini sebenarnya tidak menjamin kualiti pembaharuan.

Manakala ketokohan ideolog muda (kalaupun layak dipanggil idealog) itu lebih cenderung memanipulasi dan mengeksploitasi nama “anak muda.” Tidak keterlaluan untuk menyatakan gerakan ini sebenarnya lebih berdesing, lalu meredam dan kemudiannya melepuh. Makna yang dikendongnya tidak perlu gugur kerana memangpun dari awal-awal lagi sudahpun dalam berkedaan hampa makna.

Mari bayangkan sebentar, adakah ideolog muda ini dapat wujud sekiranya tiada kata muda? Bayangnya pun mungkin tidak kelihatan!

Beban tawar-menawar sosial

Memang, mengeluh adalah kerja yang paling senang. Ini adalah kerja mereka yang sudah siap-siap menempah kegagalan. Apatah lagi, mereka yang mengeluh tersebut adalah anak muda yang mempunyai bermacam ufuk kemungkinan (ruang dan masa) untuk diolah dan direbut.

Untuk mengolah dan merebut, maka anak muda terlebih dahulu perlu ada kejernihan untuk berfikir dan bertindak. Kejernihan ini perlu ditempatkan dalam suatu usaha perundingan dan perbincangan yang berterusan serta berbekalkan kesabaran agung (adakah anak muda memiliki kualiti kesabaran, ini suatu yang juga boleh dibincangkan).

Untuk berjaya, usaha mediasi ini haruslah melibatkan pelbagai faktor pembahagi semasa seperti urban/rural serta atas/luar talian. Selain itu, faktor lazim lain yang wajar diperhatikan termasuklah juga kelas, umur, gender, kaum, agama, seksualiti dan pelbagai lagi jenis struktur sosial. Bahkan, mediasi ini perlu juga mempertimbangkan faktor yang semakin penting selepas kemerdekaan, yakni globalisasi.

Ini kerana, apa yang berlaku di pelbagai belahan dunia sana, hakikatnya, sedikit sebanyak mempengaruhi belahan dunia sini. Tidak ada suatu belahan dunia yang terasing sepenuhnya daripada apa yang berlaku di tempat-tempat lain. Ketidakterpisahan ini boleh menyebabkan konflik akibat kerencaman dan kerumitan yang datang daripada pelbagai arah. Konflik ini, terutamanya apabila melibatkan isu kaum dan agama, kadang-kalanya berupaya menjadi api dalam sekam, hanya menunggu waktu untuk menerkam zaman kita.

Maka, untuk mengharungi cabaran ini memerlukan kebijaksanaan. Latar masyarakat yang rencam dan rumit ini membuatkan kerja menggalas beban “mengubah zaman” ini bukanlah tugas mudah.

Justeru itu, tawar-menawar harus dimulakan dengan giat dan sentiasa diperbaiki mutunya daripada semasa ke semasa. Bukannya apabila buntu kelak, lalu cara akhirnya (sebenarnya cara paling pemalas!) adalah dengan memobilisasi ruang dan orang, sambil menyumpah dan memaki mereka yang enggan turun ke jalanan.

Catatan sejarah sudahpun menunjukkan kepada kita beberapa orang yang berkarekter seperti ini, dan semua orang ini dalam diam-diam menganggap merekalah “penyelamat bangsa.”

Kesimpulan

Pesan penting, politik identiti tidak sepatutnya menjadi tumpuan politik anak muda. Sebaliknya, tumpuan mestilah dihalakan kepada politik watan, yang lebih merakyat dan sejagat. Adapun kalau dengan memenangi 22.7 juta undi anak muda kelak, lalu dengan megahnya anak muda pun dapat memerintah, maka percayalah mereka tetap sahaja akan dihantui oleh nasionalisme watan.

Ini kerana, nasionalisme watan adalah suatu gagasan yang sudahpun mempertimbangkan proses panjang (longue durée) yang terbukti dalam senyap waktu dapat meleburkan sengketa picisan. Semua usaha ini memerlukan keserentakan tugas; berfikir, menulis dan bertindak. Naratif, tabiat dan rasa kebangsaan perlu dicanai agar anak muda ini tidak lemas dalam lautan (atau juga secara sinisnya, tidak melompat di daratan) aneka negara idaman (nations-of-intent).

Sebelum disalahfahami, tujuan tulisan ini bukanlah untuk menjadi seorang tua sebelum waktunya. Tua bukanlah suatu musuh. Tetapi ada beberapa perkara perlu dipermasalahkan sebelum daya untuk perubahan sistemik melawan politik beku dan tepu (ingat, bukan lama dan tua) digerakkan secara besar-besaran.

Bak kata Pierre Bourdieu, anak muda ini cumalah sekadar istilah. Sifatnya emotif temporal sahaja, boleh berlalu bagai angin sepoi-sepoi bahasa.

Sebaliknya, apa yang real adalah hal-hal ketaksamaan yang membentuk struktur sosial dan ekonomi—sehingga mencetus kesedaran politik yang melangkaui jurang si tua dan si muda. Ertinya, mahu atau tidak, kita perlu memperhatikan arus yang bergencar di bawah, bukannya hanya bergelut-gelut dalam ruang konstituensi moral (moral constituency) yang jelas terpapar menerusi psike keagamaan dan etnisiti.

Menjernihkan persilangan ini—moral, agama dan kaum—adalah kerja-buat-laku-tindak-gerak yang maha penting sebelum ada mana-mana gerombolan yang cuba untuk mengoncang Arasy dengan ancaman kepada semesta bahawa “kamilah anak muda.”

“Muda,” sebagai sebuah kata, hek eleh!

Memikirkan Semula Netflix

Kita sebenarnya kekurangan kapasiti untuk memperhalusi respon yang lebih signifikan dan mejadi pembaca visual atau medium yang baik. Mungkin juga kalau sekiranya arwah-arwah daripada Frankfurt School bangkit dari kuburan, mungkin mereka akan mengelengkan kepada sambil mencekak pinggang.

Beberapa tahun lalu, seorang lelaki dalam lidah suara yang berbunyi loghat Sabah, yang juga pemandu bas KLIA-KL Sentral menegur saya. Ketika itu, dalam hening Subuh, saya baru hendak menaiki bas yang dipandunya. Di hadapan saya, seorang perempuan muda berhijab dengan rupa paras seorang wanita Eropah, sedang lesu dan dingin. Tiketnya ada pada saya dan dibiarkan dia kehadapan mendahului. Kami terbang dari Haneda malam sebelumnya.

“Kau mengurat macam mana ni bah?”

Saya tersengih di depan pintu bas. Cuma ada kurang 10 saat untuk memberi respon atau sekadar berlalu dan sengih lagi.

“English, bang. Netflix English”. Lelaki itu berkerut, menyangkakan saya mempermainkan dia.

Saya bukanlah penutur atau penulis dalam bahasa Inggeris, seringkali cuma terpinga-pinga kekampungan setiap kali untuk berbalas komunikasi. Cuma kadangkala lebih suka (ter)fikir dalam bahasa Inggeris. Dan itu buat saya gagap dalam artikulasi bahasa utama saya, bahasa Melayu—mungkin ini limbo sebuah epistemologi berfikir yang memencar. Atau juga, mungkin saya adalah salah seorang produk kegagalan projek PPSMI Mahathir Mohammad. Tapi itu bukan tujuan tulisan ini.

Sepertinya bukanlah sesuatu yang baharu, belajar bahasa Inggeris daripada lagu-lagu popular kumpulan rock Inggeris serta menonton filem Inggeris telah dilakukan sejak dahulu lagi malah cliché di negara membangun dan dunia ketiga. Tapi ini “bahasa” Netflix atau terjemahan rangkai kata daripada jaringan Internet (Net) dan filem (flicks), sebuah kemajuan budaya visual kelajuan capaian internet. Secara umumnya juga salah satu antara banyak pelantar penstriman atas talian buat mereka yang telah melepasi satu tahap baru literasi bahasa, internet, visual dan citarasa. Modusnya adalah sebagai pustaka filem-filem dan siri televisyen yang telah berdekad-dekad lalu kini boleh diakses dengan langganan bulanan.

Persoalan (Modal) Budaya

Modal budaya adalah satu konsep yang dibangunkan oleh Piere Bourdieu, seorang ahli sosiologi berkebangsaan Perancis. Dalam perkara ini, modal yang terbentuk adalah hasil akumulasi daripada kebudayaan dan dijadikan batu loncatan untuk kemajuan hidup secara sosial dan ekonomi. Modal budaya ini boleh terdiri daripada berbagai bentuk kemahiran, bahasa, citarasa, tingkah, pemilikan alat budaya, dan taraf pendidikan.

Maka, dalam pengalaman Malaysia, pembentukkan budaya yang mana satu boleh dijadikan modal? Ini memerlukan kita memikirkan titik berangkat bingkai kebudayaan Malaysia yakni budaya nasional yang ditakrif pemerintah dan budaya yang didefinisikan setiap hari. Budaya takrifan pemerintah cenderung kearah tradisional kewatanan yang sering diterjemahkan dalam artikulasi kemelayuan dan Islam manakala dalam bingkai multikulturisme ialah kesemua budaya asal etnik dan kaum bebas diraikan sebagai salah satu ramuan kepada identiti nasional. Budaya-budaya takrifan pemerintah ini sifatnya berfungsi di dalam waktu dan ruang kerana terdapat keterkaitan identiti yang objektif yang membolehkan seseorang itu memanfaatkan kedudukannya dalam masyarakat—budaya bumiputera dan bukan bumiputera. Ini tidak sama seperti budaya keseharian yang sepertinya tidak keterlaluan untuk ditafsirkan sebagai alam kedua. Dalam pembentukan budaya keseharian, budaya adalah sesuatu yang dikutip, dituntun, dan ditafsirkan dalam dinamika pelbagai struktur kelas, agama, organisasi, etnisiti, seksualiti, media dan berbagai lagi untuk sampai ke destinasi tujuan berbudaya. Tapi dimana kedudukan Netflix dalam persoalan ini?

Dekad kebelakangan ini, ranah budaya popular semakin signifikan demikian gelombang kuasa teknologi internet dan komunikasi terbentuk sarat dengan makna, bahasa dan imej visual. Ini tidak terkecuali dalam pembentukan budaya popular global, Netflix ditanggapi sebagai barang-barang budaya (cultural goods) yang menjadi sebahagian daripada alam kedua. Hasilnya adalah sebuah kesedaran global, konsumsi dan kesedaran nilai sejagat. Sesuatu yang normatif apabila masyarakat mulai memberi perhatian bagi menonton bersiri-siri filem setelah pulang dari pekerjaan atau mempertontonkan animasi kepada anak kecil yang sedang menyusu botol; budaya Netflix and chill.

Memikirkan Netflix

Netflix sebagai budaya popular kini memerlukan modal budaya melalui satu penilaian semula. Ia bukan lagi sebuah transformasi daripada budaya rendah kepada budaya tinggi. Bukan juga seperti siaran televisyen tradisional, satelit, DVD atau muat turun filem haram. Tetapi kepada satu ruang atas talian sekaligus satu pelantar citarasa yang hierakikal. Ada algoritma yang menyusun cadangan penontonan dan citarasa sehingga adakalanya dilentur oleh sistem. Garisan sebuah tontonan filem yang secara tidak langsung diaturkan. Di sini, impak besar ketika ia mulai dilanggan menjadi sebahagian daripada modal budaya adalah ia memberikan satu gambaran visual, ideal dan tema kemodenan. Membentuk pembaharuan makna, citarasa, kod dan “bahasa”. “Bahasa” dengan kata yang lebih literal adalah bagaimana diri, untuk berperanan tidak kekok ketika menghadap sebuah tuntutan interaksi global. 

Netflix adalah jalan pintas. Mengecap minda kosmopolitan dalam keterbatasan kapasiti diri– sosial dan ekonomi; malah kemungkinan untuk melampaui dan melangkaui rentas-kelas dan rentas-budaya. Netflix jelas adalah sebuah kenderaan yang dipacu untuk semua sampai ke sebuah identiti diri yang merentang lebih daripada takrifan pemerintah dan takrifan keseharian lalu menjadi persoalan saling-tanding kepada keaslian watanan.  

Kandungan Netflix bukan sahaja sebuah pustaka bagi filem-filem lama, tetapi pelantar tontonan yang turut menjadi penerbit dan penjana kepada bahan kreatif mandiri (Netflix Original) seperti dokumentari dan filem-filem baru. Dalam hal ini, kandungan hiburannya yang bersifat idea progressif, kekinian budaya visual, falsafah new age, retro-isme dan literasi seksualiti seringkali memikat dan pada masa yang sama turut mendapat tentangan. Tetapi yang mengujakan adalah eksesais dekonstruktivti visual di mana penonton dijamu dengan sebuah naratif tersirat tetapi yang tersurat. Kefahaman literal terhadap paradoks ini kelihatannya seperti membuatkan penonton berasa bijak seolah-olah telah memahami kebenaran atau kebatilan, baik dan jahat, apa yang global dan tidak, satu pencerahan atau bukan. Dalam hal ini, Menteri agama Malaysia sendiri pernah menyarankan untuk menonton salah satu siri Netflix bagai memahami Trolley problem dalam debat antara aliran falsafah utilitarian dan etika deontologikal.

Yang bertentang dan Yang Seakan Sama

Dengan 183 juta langganan global, Netflix adalah sebuah kuasa baru digital, satu juggernaut. Menarik untuk dilihat adalah bagaimana wujudnya arus tentangan terhadap fungsi medium ini sebagai hiburan yang ditanggapi sebagai sumber kebenaran barat. Ini menyebabkan wujud pula satu pelantar baru hiburan Islamik yang patuh syariah, Nurflix sebagai usaha pendakwahan dan lawan kepada kebebasan visual oleh Netflix. Satu lagi tapak produksi budaya yang akan menjadi modal kemudiannya kepada niche yang lebih spesifik iaitu masyarakat Islam moden di Malaysia.

Namun jelas, Nurflix atau Netflix keduanya cuba berangkat daripada estetika visual dan artikulasi idea. Kedua-duanya memberikan naratif tujuan kepada konsumer dan menjadi sentimetaliti baharu. Visual, “bahasa” dan ideologi yang menatar di belakangnya. Islamisasi lawan Amerikanisasi.

Kita sebenarnya kekurangan kapasiti untuk memperhalusi respon yang lebih signifikan dan mejadi pembaca visual atau medium yang baik. Mungkin juga kalau sekiranya arwah-arwah daripada Frankfurt School bangkit dari kuburan, mungkin mereka akan mengelengkan kepada sambil mencekak pinggang, kesejagatan yang dibentuk di bawah industri budaya, hanya melicinkan lagi kerja kapitalisme bergerak kata mereka. Walaupun demikian, ini semua memang menarik dan penting untuk untuk kita fikirkan semula.

Menarik kerana ianya memberi naunsa bacaan sosial baru; penting pula kerananya kita memang hidup dalam alam sosial tersebut.

Design a site like this with WordPress.com
Get started