Laporan Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda (Pembentangan Makalah)

Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda (Pembentangan Makalah) anjuran Naratif Malaysia (NM), dengan kerjasama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Malaysia Reform Initiative (MARI), USAID dan Kedutaan Amerika Syarikat, diadakan dari 8 hingga 11 Oktober 2020, bertempat di The Everly Putrajaya. Agenda utama bengkel adalah untuk membentangkan hasil penulisan bab dalam buku oleh para peserta.

Pendahuluan

Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda (Pembentangan Makalah) anjuran Naratif Malaysia (NM), dengan kerjasama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Malaysia Reform Initiative (MARI), USAID dan Kedutaan Amerika Syarikat, diadakan dari 8 hingga 11 Oktober 2020, bertempat di The Everly Putrajaya. Agenda utama bengkel adalah untuk membentangkan hasil penulisan bab dalam buku oleh para peserta, dengan penilaian dua pakar bidang Sains Sosial. Ia bertujuan memurnikan manuskrip berdasarkan ulasan daripada pakar sebelum penghantaran manuskrip akhir. Selain itu, bengkel ini diisi dengan slot-slot bersama para sarjana, penganjur, dan penaja dalam rencana pembinaan keupayaan, jaringan, dan prospek masa depan penyelidik muda Sains Sosial di Malaysia.

PENYERTAAN DAN FORMAT BENGKEL

Bengkel melibatkan 19 orang peserta (pensyarah dan penyelidik pasca siswazah) dari pelbagai Universiti Awam dan Universiti Swasta, di dalam dan luar negara, dengan kepatuhan amalan normal baharu. Sebahagian besar peserta membentangkan manuskrip secara bersemuka, manakala bakinya melaksanakan pembentangan secara atas talian di aplikasi Zoom. Dua orang pakar bidang menjadi penilai manuskrip iaitu Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong dan Prof. Abdul Halim Ali. Pembentangan makalah merangkumi enam panel pembentang, dengan format pembentangan peserta selama 15 minit, respons peserta dan ulasan penilai. Panel pembentangan adalah seperti berikut:

  • Panel Pertama (9 Oktober 2020, 8.30 – 10.30 pagi) – Teo Lee Ken (Membina-Lentur Masa, Membentuk Ruang: Naratif dan Diskurs Politik di Malaysia); Muhammad Helmy Abd Ghapar (Daripada Kelab Penyokong kepada Ultras: Pembentukan Budaya dan Identiti Kepenyokongan Baharu Bola Sepak Malaysia); dan Nazrin Zaidi (Kongres Kebudayaan 1971 dan Kongres Budaya 2017: Satu Analisis Persoalan Budaya Tinggi dan Nasionalisme Budaya).
  • Panel Kedua (9 Oktober 2020, 11.00 pagi – 1.00 tengah hari) – Syahida Johan (Memori, Identiti, dan Kelas Sosial dalam Novel-Novel Tash Aw); Aisyah Tajuddin (Satira Politik di Malaysia: Antara Seni dan Batasan Politik); dan Najiha Zainuddin (UNDI18: Kesiapsiagaan Kerajaan dan Pelajar).
  • Panel Ketiga (9 Oktober 2020, 2.45 – 4.45 petang) – Nabilah Bintul Huda Lutpi (WA’ADAT: Merentasi Zaman dan Signifikan Pada Zaman Kontemporari); Fatimah Tajuddin (Naratif Persefahaman dalam Filem Indie Malaysia: Impak Filem Gadoh 2009 dalam Memecahkan Batas Etnik dan Menggalakkan Persefahaman yang Mendalam); dan Syahida Che Lah (Kerjasama Antara Etnik dalam Membina Negara Bangsa Melalui Kesepaduan Sosial).
  • Panel Keempat (10 Oktober 2020, 8.30 – 10.30 pagi) – Sazni Salehuddin (Kerencaman Identiti dalam Media Sosial dari Perspektif Sosiologi Digital); Muhammad Febriansyah (Black Lives Matter: Respon, Debat dan Kontestasi Aliran Pemikiran di Malaysia); dan Muhammad Arif Asyrul Adnan (Naratif Pembangunan dan Populisme di Malaysia: Pengukuhan Politik Moral dan Kebangkitan Populisme Melayu).
  • Panel Kelima (10 Oktober 2020, 11.00 pagi – 1.00 tengah hari) – Muhamad Azwan Abd Rahman (Pembangunan Sebagai Kebebasan: Di Mana Letaknya Klusif, Inklusif dan Eksklusif di Malaysia?); Muhammad Rahimi Hasan (Menyingkap Feminisme-Nasionalisme Tanah Melayu, 1945-1957); dan Ehsan Shahwahid (Islam dan Naratif Pembangunan Malaysia Abad ke-21).
  • Panel Keenam (10 Oktober 2020, 2.00 – 4.45 petang – Ab Bassit Husain (MARA Peneraju Transformasi Bangsa: Kelas Menengah Profesional dan Usahawan Melayu); Ooi Kok Hin (Asal-Usul PTPTN dan Hutang Pinjaman Pendidikan Tinggi); Fairuzzaman Shaharuddin (Meneruskan Peranan Intelektual dan Budaya Keintelektualan dalam Zaman Revolusi Industri Keempat); dan Zikri Rahman (Reformasi Pedagogi Menerusi Intervensi Budaya di Malaysia Pasca 2008: Kajian Kes Terhadap Buku Jalanan).

Pengisian Program

Program empat hari tiga malam ini dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta. Para peserta dibekalkan dengan cenderamata Kindle dan buku terbitan IKMAS, ISEAS dan Penerbit UKM. Program dibuka dengan ucapan alu-aluan dan perkongsian oleh Pengarah IKMAS, Prof. Dr. Sufian Jusoh, ucapan wakil MARI/USAID, Encik Hanif dan ucapan wakil Pengarah Penerbit UKM, Encik Mohd Zaidi Che Mud. Sesi-sesi berikutnya berjalan mengikut jadual seperti berikut:

  • Bicara Sarjana oleh Dr. Chandra Muzaffar – Tugas Cendekiawan Muda: Bagaimana Meneruskan Tradisi Intelektual di Malaysia?, pada 8 Oktober 2020 (Khamis) membicarakan lima ciri intelektual, halangan dan cabarannya di Malaysia. Menurut Dr. Chandra Muzaffar, intelektualisme di Malaysia dibelenggu persoalan sejarah dan feudalisme, selain agenda penerusan tradisi intelektual di Malaysia menimbulkan ironi kerana beliau menanyakan sama ada wujud atau tidaknya tradisi sedemikian di negara ini. Di samping itu, beliau melontarkan idea ke hadapan yang boleh menjadi kecaknaan kegiatan intelektual iaitu (i) integrasi etnik; (ii) masalah korupsi dan nilai moral masyarakat, dan (iii) cabaran identiti ASEAN dalam persaingan Amerika Syarikat dan China.
  • Syarahan Naratif Malaysia Dr. Jomo Kwame Sundaram – Populisme Perkauman di Malaysia: Suatu Persoalan, pada 9 Oktober 2020 (Jumaat) membincangkan mengenai populisme perkauman atau ethno-populism di Malaysia secara mendalam dan meluas daripada pelbagai sudut pandang. Beliau melihat bentuk populisme sebagai pemikiran falsafah, fahaman, dan gerakan yang digambarkan sebagai alat penyatuan kaum yang pelbagai. Dalam konteks Malaysia, populisme menjadi suatu tenaga yang progresif cum regresif, dengan parti dominan UMNO (kira-kira 60 tahun) sebagai penganjur ideologi politik pembangunan yang dimanfaatkan untuk meraih dan memperkukuh sokongan rakyat.
  • Wawasan Intelektual Muda; Membina Komuniti Sarjana Mandiri bersama Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong, pada 11 Oktober 2020 (Ahad). Dalam syarahan ini, beliau mengingatkan peranan intelektual muda tentang keluasan ilmu untuk manfaat masyarakat dan pembezaan kaum intelektual daripada golongan inteligensia yang lahir di universiti. Penerusan tradisi intelektual ini ialah suatu yang mendesak bagi keperluan masyarakat dan digalurkan akarnya kepada sejarah yang mana pelbagai kelompok orang muda dahulu telah memainkan peranannya seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50). Bagi memainkan peranannya untuk Sains Sosial Mandiri, intelektual muda perlu menyedari kepalbagaian sudut pandang, membina kelompok induk untuk membina komuniti, wawasan bersama, perekat spiritual dan intelektual dan bersifat budiman.
  • Perbincangan Naratif Malaysia Mengenai Kedudukan, Peranan dan Cabaran Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia. Slot ini bertujuan merungkai permasalahan yang melingkari aktivisme akademik dan advokasi penyelidik muda di Malaysia. Tiga domain dikenal pasti sebagai tapak untuk memajukan kenyataan masalah dan persoalan iaitu (i) akademik, (ii) advokasi masyarakat, dan (iii) dasar. Hasil daripada perbincangan ini dijangka dimuktamadkan dalam bentuk kertas dasar kepada pihak kerajaan.
  • Gerak Kerja Kumpulan – Sesi Perbincangan Tematik Pasukan Penyelidikan Naratif Malaysia. Sesi sumbang saran ini bertujuan membincangkan dan merangka agenda pasukan penyelidikan Naratif Malaysia selepas siri program Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda tamat.Secara kolektif, para peserta bersetuju untuk bergerak menerusi wadah yang berbasiskan projek penyelidikan dan advokasi, mengikut dana yang diperoleh kumpulan penyelidik kelak.
  • Sesi pihak penaja Malaysia America Reform Initiative (MARI). Sesi bersama pihak MARI ini diwakili pegawai, Encik Hanif Abdullah. Perkongsian ini membicarakan objektif penaja terhadap program pembinaan kapasiti penyelidik muda dan prospek yang ditawarkan pihak penaja kepada para peserta, khususnya projek penyelidikan dan advokasi berkaitan agenda reformasi. Di samping itu, sesi temu bual maklum balas peserta program diadakan bersama beberapa peserta bengkel pada 11 Oktober 2020.
  • Sesi pihak Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sesi ini diwakili oleh Pengarah Penerbit UKM, Prof. Datin Dr. Ruzy Suliza Hashim dan Pegawai Penerbit Kanan, Encik Mohd Zaidi Che Mud. Dalam sesi ini, penerangan diberikan mengenai konsep penerbitan buku dan gerak kerja proses penerbitan bersama Penerbit UKM dengan penilai manuskrip dan penyunting buku.

Penutup

Bengkel ini berakhir dengan rumusan oleh penilai makalah. Para peserta diharapkan dapat memurnikan penulisan berdasarkan ulasan daripada penilai. Ulasan tersebut perlu dihantar kepada pihak Naratif Malaysia pada/sebelum 19 Oktober 2020 dan penghantaran manuskrip akhir pada 12 November 2020. Akhirnya, bengkel ini telah mencapai objektif utama, selain membina jaringan dan perencanaan masa hadapan bagi kelompok sulung penyelidik muda Sains Sosial Malaysia di bawah inisiatif Naratif Malaysia.

Menjelmakan Ingatan Nasional di Malaysia

Saya sempat menonton bual bicara Legasi Lima Dekad Rukun Negara, anjuran Bernama TV. Ia menampilkan Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Eddin Khoo. Ada seorang audien di hujung talian menyentuh sikap warga Malaysia yang bagi beliau kurang sekali menghayati semangat Rukun Negara; secara lafaz dan tindakan. Tidak seperti penghayatan bangsa Indonesia terhadap ideologi nasional Pancasila, menurut beliau.

Saya sempat menonton bual bicara Legasi Lima Dekad Rukun Negara, anjuran Bernama TV. Ia menampilkan Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Eddin Khoo. Ada seorang audien di hujung talian menyentuh sikap warga Malaysia yang bagi beliau kurang sekali menghayati semangat Rukun Negara; secara lafaz dan tindakan. Tidak seperti penghayatan bangsa Indonesia terhadap ideologi nasional Pancasila, menurut beliau.

Bagi saya, rasa inferior audien itu perlu ditakbir. Penghayatan ideologi nasional di Malaysia dan Indonesia bergantung kepada penghayatan warganya terhadap ingatan nasional (national memory). Peranan pembentukan ingatan nasional dimainkan oleh monumen. Ia membayangkan mengapa penghayatan di Malaysia agak berbeza berbanding Indonesia.

Monumen di Jakarta dan Ingatan Nasional

Landskap di sekitar Jakarta Pusat dihiasi monumen. Dari puncak Perpustakaan Nasional Republik Indonesia (PERPUSNAS), tugu Monumen Nasional (MONAS) menjadi titik tumpu lanskapnya yang dikelilingi taman awam. Ia dikepung oleh Jalan Merdeka Utara, Selatan, Timur dan Barat. Daripada pandangan mata burung, panoramanya seperti Arc de Triomphe di Perancis, Washington Monument di Amerika Syarikat, Juche Tower di Korea Utara, dan Azadi Tower di Iran.

Di sekitar MONAS, berdiri lima tugu. Tugu IKADA bagi mengenang peristiwa Rapat IKADA pada 19 September 1945. Tugu M.H. Thamrin (1894-1941), tokoh Pahlawan Nasional Indonesia berketurunan Betawi. Tugu Pangeran Diponegoro (1785-1855), Pahlawan Nasional Indonesia yang menentang pemerintah Hindia Belanda dalam Perang Diponegoro atau Perang Jawa, dari tahun 1825 hingga 1830. Tugu Chairil Anwar (1922-1949), seniman puisi yang menyemarakkan semangat perlawanan anti kolonial—tugunya diukir puisi Krawang-Bekasi dan Diponegoro. Tugu Raden Adjeng Kartini (1879-1904), Pahlawan Nasional Indonesia dan tokoh emansipasi wanita—tugu dihadiahkan kerajaan Jepun sebagai lambang persahabatan. Sekitar Jakarta Pusat, terdapat tugu Sukarno di hadapan Lembaga Ketahanan Nasional (LEMHANAS); Tugu Proklamasi—Sukarno dan Mohamad Hatta; Tugu M.H Thamrin di Jln. Merdeka Selatan; Tugu Pembebasan Irian Barat; Tugu Tani di Jln. Menteng Raya; Tugu Jenderal Sudirman di Jln. Jenderal Sudirman; Tugu Selamat Datang di Bundaran HI; dan Monumen Pancasila Sakti di Lubang Buaya. Kesemuanya berbentuk arca.

Apakah makna di sebalik sekian banyak monumen tersebut? Saya melihat penyegaran semula sejarah kebangsaan Indonesia sebagai perkara harian. Ia suatu bentuk keseharian kerana apabila terlihat sahaja tugu-tugu tersebut, maka teringatlah kita kepada kisah di sebalik segala monumen tersebut. Ia sebahagian besarnya ditempatkan di ruang awam. Peletakan monumen memudahkan penglihatan dan penyegaran semula ingatan nasional oleh siapapun; para pegawai di kementerian-kementerian sekitar Jakarta Pusat, pengemudi bajay dan Gojek, penjaja kopi keliling, dan pemain ondel-ondel. Arca-arca tokoh-tokoh penting ini menunjukkan kekuatan sosok tokoh dalam ingatan nasional di Indonesia. Ia dilengkapi muzium-muzium yang menyempurkan dan mendalamkan lagi naratif sejarah nasional bangsa Indonesia. Misalnya, Museum Nasional, Museum Sejarah Nasional, Museum Sumpah Pemuda, dan Museum Perumusan Naskah Proklamasi.

Monumen di Malaysia

Keadaan di Malaysia berbeza. Hanya dua sahaja monumen berbentuk arca yang boleh dianggap bertaraf nasional. Pertama, arca gergasi Tugu Negara di kawasan berbukit berhampiran Bangunan Parlimen. Kedua, di hadapan Bangunan Parlimen, berdiri Tugu Tunku Abdul Rahman.

Kedua-dua arca tersebut ialah karya Felix de Weldon, seorang pengarca Amerika Syarikat. Ketiga, perlu dicatatkan, di Tugu Negara, ditempatkan sebuah lagi monumen iaitu Cenotaph. Ia dipindahkan dari tempat asal berhampiran Bangunan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Cenotaph bertujuan memperingati gugurnya tentera pada Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua dan Darurat. Peletakan monumen-monumen ini kurang ketara atau visible kepada awam, lantas menyebabkan proses penyegaran ingatan nasional itu kurang sifat kesehariannya.

.

Ingatan Nasional di Malaysia

Faktanya ialah ingatan kita terhadap sejarah nasional kurang diabadikan dalam bentuk arca. Pengabadian itu tetap ada, tetapi jarang sekali dimonumenkan dalam bentuk arca. Pada pemerhatian kasar saya, terdapat lima bentuk monumen di Malaysia iaitu, (1) seni bina yang memiliki fungsi sosial yang nyata seperti Stadium Merdeka, Bangunan Parlimen, dan Masjid Negara; (2) seni bina yang tidak mempunyai fungsi sosial yang nyata, seperti Kota Darul Ehsan dan Jam Detik di Dataran Merdeka; (3) arca abstrak seperti Puncak Purnama karya Syed Ahmad Jamal, dan Monumen Alaf Baru di Putrajaya; (4) arca benda hidup seperti Tugu Negara, dan (5) arca benda bukan hidup seperti Tugu Keris di Klang dan Tugu Mahkota Johor. 

Meskipun saya berpandangan bahawa penyampaian monumen di Jakarta lebih mengesankan, khususnya oleh kerana faktor kuantiti, adalah tidak adil untuk menyatakan ada satu kekurangan di pihak Malaysia dalam tindakannya untuk mengabadikan ingatan nasional. Dataran Merdeka, Masjid Negara, Stadium Merdeka, Bangunan Parlimen, dan Muzium Negara ialah ‘cara’ kita mengabadikan ingatan nasional baik daripada segi peristiwa sejarah, mahupun asas kenegaraan yang ingin ditegakkan. Kita jarang sekali memonumenkan ingatan nasional itu dalam bentuk arca benda hidup, tetapi dalam bentuk binaan bangunan yang ada fungsi sosialnya. Ini ada kaitannya dengan kritikan terhadap ketidaksesuaian arca benda hidup berbentuk manusia yang dianggap bertentangan dengan jiwa Islam.

Kemungkinannya, monumen seni bina dengan fungsi sosial nyata dilihat hanya sekadar sebuah dataran, stadium, masjid, bangunan kerajaan dan muzium. Tidak lebih daripada itu. Tidak dilihat sebagai ingatan nasional, bahkan identiti nasional Malaysia. Ia agak sukar difahami maksudnya memandangkan representasi melalui seni bina sukar dimengerti. Walhal, tujuan seni bina itu sedia ada melambangkan identiti nasional, mengabadikan ingatan nasional dan menegakkan institusi kenegaraan. Dalam hal ini, perbandingan perlu diadakan.

Misalnya, antara Tugu Tunku Abdul Rahman dan Bangunan Parlimen atau Masjid Negara. Seseorang yang melihat Tugu Tunku Abdul Rahman lebih lekas memahami bahawa beliau Bapa Kemerdekaan, selanjutnya naratif perjuangan kemerdekaan, peristiwa merdeka, dan pengisian kemerdekaan. Melihat Bangunan Parlimen dan Masjid Negara jauh lebih abstrak. Kita tidak terus mengenang Demokrasi Parlimen, ugama Islam sebagai ugama rasmi, mahupun 13 negeri membentuk Persekutuan pada waktu pembinaannya. Ini menjadikan penyampaian ‘maksud’ sesebuah monumen nasional berbentuk binaan lazim lebih sukar untuk diluahkan. Barangkali, itulah sebabnya ingatan nasional sukar dan jarang dibicarakan. Ini kerana ia diabadikan dengan cara yang lebih abstrak dan tidak terus merepresentasikan sosok yang jelas seperti arca benda hidup yang terlibat dalam satu-satu ingatan nasional.

Tindakan Penyegaran Semula Ingatan Nasional

Dengan monumen yang ada, apakah yang boleh dilakukan untuk menyegarkan semula ingatan nasional? Pertama, mencetuskan wacana. Tidak melihat Dataran Merdeka hanya sebagai dataran semata-mata. Tidak melihat Masjid Negara hanya sebagai masjid semata-mata. Tidak melihat Bangunan Parlimen hanya sebagai bangunan kerajaan semata-mata. Kita perlu lebih daya imaginasi untuk mula menanyakan, mengkisahkan dan mengungkapkan kembali naratif Malaysia seperti kobaran semangatnya pada awal era kemerdekaan. Muzium Negara dan sekian memorial-memorial mengukuhkan dan mendalamkan lagi ingatan nasional Malaysia seperti Memorial Tunku Abdul Rahman, Memorial Tun Abdul Razak, Memorial Tun Hussein Onn, Memorial Negarawan—Malaysia juga kuat ciri personalismenya dalam ingatan nasional. Kedua, ‘merakyatkan’ semula segala monumen-monumen nasional yang kini semakin terpinggir.

Pemerhatian penulis ialah: binaan-binaan yang mengabadikan ingatan nasional di Malaysia seperti Stadium Merdeka, Bangunan Parlimen dan Tugu Negara semakin dijarakkan secara fizikal daripada warga Malaysia. Secara tidak langsung, ia mengakibatkan kerenggangan warga Malaysia daripada ingatan nasional itu. Situasi kini tidak seperti keraian terhadapnya pada era awal merdeka, daripada segi tumpuan awam terhadap monumen itu. Ia bukan sahaja lambang kenegaraan, tetapi sebagai ruang rekreasi yang mencetuskan penyegaran semula ingatan nasional.

Realitinya, cabaran menjelmakan semula ingatan nasional di Malaysia tampak sukar. Pengalaman harian warga Malaysia tentang kenegaraannya, bahkan kebangsaannya yang dicita-citakan kian terpencar, berbeza, dan sukar dipadukan. Ingatan nasional tidak ketinggalan. Setiap warga mempunyai ingatan nasionalnya yang berbeza hasil proses sejarah di Malaysia, berjurangkan identiti etnik, kelas, dan gender. Oleh itu, penulisan ini menganjurkan supaya ingatan nasional itu dititik mulakan dengan melihat monumen-monumen yang dibina pada masa lalu. Ia mungkin sudah berubah makna, tetapi naratif masa lalu lebih sukar dipinda.

Dalam kata lain, penjelmaan ingatan nasional dengan pautan sejarah dan kebanggaan lampau yang dimonumenkan itu boleh mencetuskan penghayatan ideologi dan identiti nasional yang lebih bermakna. 

Laporan Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda (Siri Kuliah)

Siri Kuliah Naratif Malaysia dianjurkan oleh Naratif Malaysia (NM) dengan kerjasama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Malaysia Reform Initiative (MARI), USAID dan Kedutaan Amerika Syarikat. Siri Kuliah yang merupakan sebahagian daripada Bengkel Pembangunan Kapasiti Penyelidik Muda ini bertemakan Sains Sosial Malaysia Abad ke-21.

Pendahuluan

Siri Kuliah Naratif Malaysia dianjurkan oleh Naratif Malaysia (NM) dengan kerjasama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Malaysia Reform Initiative (MARI), USAID dan Kedutaan Amerika Syarikat. Siri Kuliah yang merupakan sebahagian daripada Bengkel Pembangunan Kapasiti Penyelidik Muda ini bertemakan Sains Sosial Malaysia Abad ke-21: Meneruskan Tradisi Intelektual, Menanggapi Transformasi Masyarakat, enam kuliah telah diadakan di IKMAS, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), serta menyediakan aplikasi atas talian Zoom bagi mereka yang tidak menghadiri secara fizikal.

Siri kuliah ini menampilkan tokoh yang tidak asing dalam Sains Sosial Malaysia, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong. Beliau merupakan Profesor Emeritus Sosiologi Pembangunan di IKMAS, UKM dan Penasihat Khas Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM).

Kuliah ini bertujuan menyegarkan kembali persoalan-persoalan kemasyarakatan yang sewajarnya dekat kepada ahli Sains Sosial Malaysia, baik dalam kalangan lingkungan profesional dalam institusi pengajian tinggi, mahupun dalam kalangan intelektual awam. Dalam hal ini, kalangan ini disedarkan betapa terdapat kebangkitan mega trend global yang tidak terlepas pengaruhnya ke atas Malaysia. Selain itu, Siri Kuliah ini juga bertujuan untuk menggerakkan usaha pembinaan kapasiti penyelidik muda, dalam rencana meneruskan legasi intelektual awam sebelumnya.

Sebagai hasil akhir siri kuliah Naratif Malaysia ini, para peserta dikehendaki menyempurnakan tugasan penulisan iaitu (i) dua esei popular sepanjang 1,000 patah perkataan yang disiarkan dalam laman sesawang NM; dan (ii) makalah bab dalam buku sepanjang 6,000 patah perkataan yang bakal diterbitkan kelak oleh penerbit tersohor.

Penyertaan Kuliah

Kuliah ini melibatkan 24 orang peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi Universiti Awam (UA) dan Universiti Swasta (US), di dalam dan luar negara. Para peserta terdiri daripada pendidik dan pelajar pascasiswazah peringkat sarjana, doktor falsafah, dan pasca doktoral. Antaranya dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), KDU University College, First City University College, Waseda University (Jepun), National Chiao Tung University (Taiwan), Alzahra University (Iran), dan Goethe University (Jerman).

Sepanjang siri kuliah, ia turut dihadiri oleh beberapa ahli akademik dan aktivis iaitu Prof. Abdul Halim Ali, Prof. Dato’ Dr. Rashila Ramli, dan Prof. Madya Dr. Sity Daud. Mereka ini antara lain mewakili kepimpinan utama Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) dan Akademi Profesor Negara (APN).

Peserta kuliah ini sebahagian besar mengikuti siri-siri kuliah sepanjang tiga minggu pada setiap Isnin dan Khamis melalui aplikasi Zoom Meeting atas faktor logistik dan keperluan penjarakan fizikal, berikutan Covid-19. Daripada segi taburan jantina, 16 orang peserta lelaki dan lapan orang peserta perempuan. Daripada segi etnik, ia disertai 22 orang peserta etnik Melayu/Bumiputera dan dua orang peserta etnik Cina.

Format Kuliah

Kuliah ini diadakan selama tiga minggu. Setiap minggu diadakan dua hari kuliah pada hari Isnin dan Khamis. Ia dijalankan selama 1 jam 30 minit, pada jam 10.30 pagi – 12.00 tengah hari, atau lebih mengikut kesesuaian dan keperluan. Sesi kuliah diadakan selama sejam, diikuti sesi perbincangan dan soal jawab. Setiap kuliah memerlukan para peserta menjalankan perbincangan susulan kumpulan yang disertai penghantaran borang maklum balas kumpulan dan individu bagi setiap siri kuliah.

Pengisian Kuliah

Kuliah ini membawakan enam tema fokus pada setiap siri kuliah iaitu: (i) Mega Trend Abad ke-21: Globalisasi Barat dan Globalisasi Oriental (22 Jun 2020); (ii) Mega Trend Abad ke-21 dan Impak ke Atas Malaysia (25 Jun 2020); (iii) Sejarah Perkembangan Sains Sosial Malaysia (29 Jun 2020); (iv) Peranan dan Orientasi Sains Sosial Malaysia (2 Julai 2020); (v) Penerusan Tradisi dan Pembinaan Sains Sosial Malaysia yang Mandiri (5 Julai 2020); dan (vi) Pengungkapan Naratif Malaysia (9 Julai 2020).

Kuliah 1

Inti pati kuliah pertama yang disampaikan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong adalah berkenaan mega trend yang kembali menerpa pada abad ke-21. Ia menuntut para ilmuan Sains Sosial untuk merenung, mempersoal dan mengusulkan penemuan teoritis, konseptual dan empirikal baharu, bersesuaian dengan konteks sezaman. Kuliah ditumpukan kepada kebangkitan kembali arus globalisasi Oriental melalui kuasa ekonomi China dalam kerangka agenda One Belt One Road (OBOR) yang menurut beliau lebih mesra kepada negara-negara membangun. Ianya tidak seperti globalisasi neoliberal Barat yang turut menimpakan proses pembaratan. Berdasarkan tiga posisi kaca mata globalisasi iaitu (i) Juggernaut, (ii) transformationalist, dan (iii) rejectionist, Malaysia dalam rantau ASEAN mengambil sikap sebagai transformationalist yang berpeluang memanfaatkan kepentingannya dalam dua arus globalisasi Oriental dan Barat yang saling berlaga.

Dalam sesi perbincangan dan soal jawab, peserta menimbulkan isu krisis kesihatan global pandemik Covid-19 yang sedang melanda terhadap persoalan kerelevanan batas-batas negara bangsa. Krisis kesihatan global ini dianggap sebagai suatu yang bersifat sementara. Selain itu, kebangkitan China secara ekonomi, bahkan melalui tindakan militer di Laut China Selatan, dan pengalaman peperangannya suatu masa dahulu menimbulkan kesangsian terhadap Malaysia diajukan oleh peserta. Menjawab isu tersebut, tindakan secara ketenteraan oleh China secara historisnya ialah perang sempadan dan dinasti, ia secara relatif lebih ‘terbatas’ berbanding Barat yang ketika dahulu menjalankan dasar imperialisme dan kolonialisasi terhadap negara-negara luar. Bagi menghadapi kuasa China, saranan dikemukakan untuk berdepan dengan China sebagai kesatuan ASEAN, bukan sebagai negara-negara yang bersendirian.

Kuliah 2

Kuliah kedua menebarkan beberapa impak utama globalisasi terhadap Malaysia, daripada segi politik, ekonomi, budaya, termasuk pandemik Covid-19 yang membawakan norma baharu dalam kehidupan harian yang sebenarnya bukan suatu yang baharu atau unprecendented, tetapi pengamalannya dalam persekitaran baharu. Secara khusus, soal yang menarik perhatian dalam kuliah ini ialah wacana golongan mudah rentan secara ekonomi khususnya, iaitu proses precariatization yang digagaskan oleh Guy Standing dalam The Precariat: The New Dangerous Class. Ia nyata bukan sahaja berlaku di Barat, bahkan menjadi persoalan yang relevan di Malaysia, khususnya golongan siswazah yang menghadapi masalah underemployment dan pengangguran. Golongan ini tidak mempunyai identiti pekerjaan yang jelas, terumbang-ambing jaminan keselamatan sosialnya dan terdedah kepada tekanan hidup.

Oleh itu, pelbagai persoalan dikemukakan oleh para peserta khususnya berkenaan golongan precariat, merangkumi persoalan dasar awam, kajian empirikal mengenai golongan precariat di Malaysia, dan hubung kait golongan precariat dengan kelas menengah. Menurut Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong, kemunculan golongan precariat di Malaysia nyata bukan fenomena baharu, tetapi berkemungkinan telah wujud lama sebagai realiti sosial, sebelum konsep precariat diperkenalkan oleh Guy Standing. Kerajaan Malaysia daripada segi dasar awamnya tidak menjalankan dasar-dasar yang secara tidak langsung mengakibatkan kemunculan golongan precariat, justeru menuntut para peserta berwaspada dengan dasar awam yang mempunyai matlamat jelas, tetapi menghadapi implikasi luar jangka seperti membengkaknya jumlah golongan precariat saban tahun. Selain itu, daripada segi akademik, fenomena precariatisation di Malaysia masih belum dikaji selidik oleh penyelidik tempatan atau luar, secara empirikal. Namun, ia memerlukan penguasaan teori yang kukuh. Menyentuh perihal kelas menengah dan precariatisation pula, ia dianggap sebagai proses yang menyusuli ‘kejatuhan generasi kedua dan ketiga kelas menengah di Malaysia’. Proses reproduksi sosial kelas menengah mengalami kegagalan untuk mengekalkan generasi kedua dan ketiga, lalu menimbulkan permasalahan yang salah satunya dimanifestasikan melalui isu precariat.

Kuliah 3

Kuliah ketiga menelusuri sejarah perkembangan Sains Sosial di Malaysia yang menimbulkan persoalan garis asas pengetahuan atau knowledge baseline yang bergantung kepada ilmu kolonial. Sehubungan itu, dua sumber garis asas ilmu diusulkan iaitu (i) manuskrip Melayu dan (ii) karya intelektual awam awal abad ke-20. Selain itu, susur masa sejarah perkembangan Sains Sosial Malaysia sebagai disiplin ilmu diperlihatkan melalui (i) kegiatan akademik sarjana luar pasca Perang Dunia Kedua dan pra merdeka; (ii) penjalanan pengajaran Sains Sosial di Universiti Malaya (UM) pada 1950-an dan 1960-an, dengan kemunculan sarjana-sarjana tempatan; (iii) cetusan Sains Sosial arus akademik dan polisi dekad 1970-an, dengan penubuhan universiti baharu sehingga melahirkan persidangan yang menetapkan agenda Sains Sosial mandiri dan penolakan Sains Sosial yang bebas nilai; dan (iv) perkembangan Sains Sosial dekad 1980-an hingga abad ke-21 yang menyaksikan hambatan daripada perkorporatan universiti. Melanjuti perkembangan tersebut ialah kewujudan jurang generasi ilmuan Sains Sosial yang memerlukan pelapis muda dilahirkan.

Melanjuti perbincangan kuliah ini, Prof. Dato’ Dr. Rashila Ramli yang turut hadir mengusulkan agar persoalan Orientalisme yang disentuh melalui karya generasi pertama Sains Sosial Malaysia, Syed Hussein Alatas turut mengambil kira perspektif Oksidentalisme yang menghujah balas terhadap pandangan tersebut. Sementara itu, Prof. Madya Dr. Sity Daud yang turut hadir menimbulkan soal keberkesanan Sains Sosial diwadahi para intelektual awam bagi membawa perubahan sosial seperti tahun-tahun 1950-an, 1960-an dan 1970-an. Isu ini malah dilanjutkan oleh peserta dengan membangkitkan soal arus di luar kerangka universiti sebagai lebih signifikan dalam mewakili kata nurani masyarakat, dengan mencontohkan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50). Sebagai respons terhadap persoalan garis asas ilmu Sains Sosial, peserta menimbulkan isu garis asas ilmu yang bersifat Semenanjung-sentrik dan letak duduk kearifan tempatan dalam proses pembinaan Sains Sosial Malaysia.

Kuliah 4

Kuliah keempat mengemukakan peranan dan orientasi Sains Sosial Malaysia mengikut sejarah perkembangan atau evolusinya. Sejak tahun-tahun 1960-an dan 1970-an, berlaku polemik dalam (i) bidang Sains Sosial (soal sentrisme Barat dan kepentingan pengorientasian semula mengikut konteks tempatan); (ii) Sejarah (soal pensejarahan yang dimiliki bersuara untuk pihak kolonial atau masyarakat tempatan); dan Kesusasteraan (polemik ‘sastera untuk sastera’ atau ‘sastera untuk masyarakat’). Mendasari perdebatan tersebut, salah satu titik silangnya ialah fungsi ilmu tersebut terhadap disiplin dan fungsinya terhadap masyarakat. Hal ini mendesak ke arah penjajaran semula dua imperatif yang berlainan kutub, tetapi perlu disinergikan iaitu: (i) imperatif akademik dan (ii) imperatif advokasi Sains Sosial di Malaysia. Ia perlu bagi tuntutan profesional Sains Sosial seperti di universiti dijiwai dengan kata nurani masyarakat ke arah Sains Sosial yang mewakili kepentingan masyarakat. Demi memenuhi kepentingan masyarakat, disiplin-disiplin ilmu tidak boleh terus terkepung dalam ‘tempurungnya sendiri’, tetapi perlu diberikan sifat keterbukaan terhadap disiplin-disiplin lain yang relevan melalui pendekatan multidisiplin, interdisiplin, dan transdisiplin.

Semasa sesi soal jawab, persoalan tuntutan kerjaya sebagai pensyarah di universiti untuk memenuhi key performance index (KPI) sebagai kekangan untuk menyumbang dalam advokasi, soal kuasa wacana pemerintah yang membataskan wacana daripada arus bawah masyarakat, dan keterbatasan membina ilmu berdasarkan kosa kata yang lebih organik telah ditimbulkan para peserta. Membalas pertanyaan yang ditimbulkan peserta berkenaan kekangan lewat kekuasaan, imperatif akademik dan imperatif advokasi dijelaskan sebagai dua imperatif yang bukan dipersaingkan, tetapi diharmonikan dengan mewujudkan kesedaran Sains Sosial yang kritikal, sekali gus menjadi jiwa bagi Sains Sosial untuk tenaga pengajar yang tentunya perlu memenuhi KPI. Dalam erti kata lain, wacana pemerintah tidak seharusnya bertandingkan dengan wacana publik, tetapi dilihat sebagai saling melengkapi bagi menajamkan lagi wacana tersebut, seraya memanfaatkan kepentingan masyarakat. Bagaimanapun, dalam pembinaan ilmu Sains Sosial mandiri, keberanian dalam kalangan ilmuan Sains Sosial perlu untuk memperkenalkan konsep, mahupun teori yang lebih tempatan sifatnya, meskipun disaring oleh autoriti. Hal ini bagi memastikan khalayak ilmuan sebagai pengguna dapat menegakkan keilmuan yang dicipta berdasarkan piawaian saintifik.

Kuliah 5

Kuliah kelima menekankan keperluan pembangunan Sains Sosial Malaysia yang mandiri. Sains Sosial Sosial mandiri merangkumi empat kriteria iaitu (i) saintifik, relevan, dan penting; (ii) memiliki karakter khusus berwajah Malaysia, (iii) mempunyai orientasinya yang berlandaskan imperatif akademik dan imperatif advokasi; dan (iv) digerakkan oleh peneraju dan pelaksana iaitu ahli Sains Sosial yang berfikiran bebas, bercita-cita, dan komited terhadap kesarjanaan mandiri. Kini, tuntutan Sains Sosial Malaysia yang mandiri adalah kritikal kerana Sains Sosial di negara ini tidak tumbuh secara organik, tetapi tercetus daripada tuntutan luaran yang salah satunya mengakibatkan kewujudan fenomena ‘watak tertawan’. Selain itu, orientasi Sains Sosial peringkat awal dipengaruhi kuat oleh Orientalisme yang merepresentasikan penduduk peribumi bukan mengikut fakta sebenar masyarakat, tetapi berdasarkan gambaran yang mengerdilkan masyarakat peribumi. Sehubungan itu, ia mendesak pembinaan Sains Sosial yang berkarakter sendiri, ilmiah, dan komited bagi membangunkan masyarakat dan negara Malaysia.

Persoalan-persoalan berkaitan isu-isu dalam kuliah ini dibincangkan dalam sesi soal jawab yang antara lain menanyakan soal pembinaan karya paras teori bagi memampas fokus para sarjana Malaysia yang lebih tertumpu kepada kajian empirikal, perlawanan terhadap ‘watak tertawan’ yang dibauri karya-karya bersifat kritikan sosial, dan penentu ilmu Sains Sosial yang bersifat lokal. Dalam respons beliau, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong menekankan kepentingan penelitian satu-satu karya berdasarkan aspek teori, empirikal dan metodologi. Kajian-kajian sarjana Sains Sosial di Malaysia menurut penemuan Prof. Dr. Hans Dieter-Evers adalah terbatas kepada kajian-kajian empirikal, tanpa usaha yang giat untuk ‘working at the higher end of knowledge’. Oleh itu, dalam rencana pembangunan Sains Sosial mandiri, ilmuan Sains Sosial Malaysia berperanan dan bertanggungjawab untuk menghasilkan karya paras teori. Selain itu, karya-karya kritik sosial terdahulu seperti Hikayat Abdullah tidak seharusnya dinilai sebagai ‘watak tertawan’, sebaliknya sebagai karya kritik sosial yang sebenarnya menganjurkan saringan dan hujah balas terhadap Barat, bukan semata-mata peniruan tanpa daya pemikiran kritis. Akhirnya, bagi menghasilkan ilmu yang bersifat lokal, ia mestilah memanfaatkan sumber asli lagi tempatan, selain menghargai isu lokal yang mempunyai kerelevanan teoritis dalam konteks sejagat.

Kuliah 6

Kuliah keenam menutup Siri Kuliah Naratif Malaysia dengan mengemukakan wacana naratif ataupun penceritaan yang boleh dikupas daripada tiga sudut iaitu (i) konsep, (ii) kaedah, dan (iii) fungsi. Jelasnya, naratif ialah suatu konsep yang telah diaplikasikan dalam kajian akademik, tetapi masih merupakan suatu konsep yang perlu diperhalusi dalam erti kata penggunaannya kini. Ia juga berfungsi sebagai kaedah dalam kajian yang memerlukan penceritanya mengisahkan hidup atau pengalaman, mempertimbangkan kesahihannya berdasarkan teks, konteks dan interteks, serta meneliti apa yang dikisahkan dan tidak dikisahkan. Naratif mempunyai fungsi sosialnya tersendiri untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian, malahan berperanan untuk membawa perubahan. Di akhir kuliah, pengungkapan naratif Malaysia dalam konteks Sains Sosial mandiri dikemukakan dengan mengambil contoh seperti naratif nasional, naratif transformasi sosial seperti ‘saya budak kampung, naratif Sabah dan Sarawak dalam Malaysia, dan naratif Reformasi 1998 hingga kini. Kajian naratif agung dan naratif-naratif kecil yang menyertainya dapat dirumuskan sebagai produk yang mencerminkan karakter Malaysia, sekali gus menyumbang khazanah ilmu terhadap Sains Sosial sejagat.

Dalam perbincangan kuliah ini, beberapa hal ditimbulkan oleh para peserta seperti soal sama ada gagasan merupakan naratif, naratif Malaysia Baharu pasca Pilihan Raya Umum 2018 dan kewujudan terma Malaysia Baru pada dekad 1960-an, bentuk-bentuk lain naratif selain daripada penceritaan seperti monumen, lukisan dan artifak, serta potensi kajian ingatan di Malaysia. Menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong melihat perlunya sikap hati-hati dalam membincangkan perihal naratif. Ia tidak semestinya sama dengan konsep lain seperti gagasan yang lebih kepada suatu idea, bukan penceritaan. Di samping itu, istilah yang muncul pada zaman-zaman berlainan harus dilihat daripada segi konteksnya, seperti Malaysia Baharu. Dalam kajian naratif ini, keterbukaan dalam pemanfaatan sumber selain penceritaan secara lisan, seperti monumen dan artifak perlu dialu-alukan, bahkan mampu membuka peluang kajian baharu. Selain itu, kajian ingatan atau memory studies mempunyai potensinya di Malaysia, dengan kewaspadaan terhadap limitasinya sebagai bidang kajian baharu.

Penutup

Siri Kuliah Naratif Malaysia ini diakhiri dengan rumusan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong yang menekankan bahawa siri kuliah ini bukan suatu bentuk sogokan fakta dan analisis. Kuliah ini diharapkan dapat membuka minda para peserta untuk terus berwacana kerana pembinaan ilmu ialah proses dialog, bukan monolog. Selain itu, kuliah ini diharapkan menjadi panduan bagi penghasilan tugasan oleh para peserta. Seterusnya, Encik Mohamad Hariszuan Jaharuddin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong atas kuliah yang disampaikan, juga atas kerjasama yang diberikan para peserta sepanjang Siri Bengkel ini dijalankan.

Kajian Wanita di Malaysia: Perspektif Sains Sosial Mandiri

Pelbagai tuntutan telah dikemukakan dalam siri kuliah Naratif Malaysia, bagi memenuhi agenda Sains Sosial Malaysia. Antara semua itu, pembinaan Sains Sosial mandirilah yang saya anggap sebagai agenda grandiose antara sekian banyak lontaran dan jentikan idea sepanjang siri kuliah.

Pelbagai tuntutan telah dikemukakan dalam siri kuliah Naratif Malaysia, bagi memenuhi agenda Sains Sosial Malaysia. Antara semua itu, pembinaan Sains Sosial mandirilah yang saya anggap sebagai agenda grandiose antara sekian banyak lontaran dan jentikan idea sepanjang siri kuliah. Maka, dalam ruangan kecil ini, saya ingin membuat cubaan untuk mengemukakan komentar berkenaan Sains Sosial mandiri, khusus daripada sudut kajian gerakan hak wanita Malaysia yang saya akui masih terlalu baru diselami.

Sejarah Gerakan Hak Wanita Perlu Terus Ditulis (Semula)

Kumari Jayawardena menamatkan Feminism and Nationalism in the Third World (1986) dengan kesimpulan yang ironi tentang sejarah gerakan wanita Asia atau wanita di Dunia Ketiga iaitu, “…This is the history that remains to be written…”. Hal ini kerana dominasi lelaki ke atas wanita masih berlaku, berdasarkan kesatuan pelbagai faktor seperti kelas, ras, kumpulan etnik dan komuniti yang tidak memihak kepada wanita. Ia bersilangan dan bertindan, sehingga penindasan itu tidak mungkin dapat difahami dengan mengabaikan mana-mana faktor. Jaringan subordinasi dan penindasan ini malahan menjadi lebih kukuh menerusi struktur sosial. Namun demikian, subordinasi dan penindasan terhadap wanita bukan satu-satunya titik tumpu feminisme—meskipun itulah kebimbangannya—bahkan peningkatan taraf wanita yang dicapai atas faktor-faktor yang disebutkan tadi juga perlu dilihat sebagai titik tumpu feminisme.

Penulisan sejarah feminisme bukan sahaja diteruskan untuk ‘menyempurnakan’ cerita, tetapi perlu ditulis semula. Cerita itu perlu disempurnakan dengan sumber baharu yang memberikan kedalaman pandangan seperti sumber daripada memoir, biografi dan autobiografi wanita. Ia masih boleh dicungkil daripada rekod di arkib seperti fail rasmi, laporan mesyuarat, surat, dan diari peribadi. Dalam hal ini, perlu disedari, hanya ‘suara wanita’ segolongan sahaja yang akan kedengaran iaitu wanita elit dan berpendidikan, wanita dalam parti politik dan pertubuhan, manakala wanita yang selebihnya, daripada strata sosial bawahan masyarakat menjadi golongan subaltern yang ‘dibisukan’ dalam sejarah wanita—bukan wanita sahaja, malahan lelaki golongan rakyat dan hamba dalam stratifikasi sosial sebenarnya sama-sama ‘dibisukan’.

Sejarah Feminisme Konvensional dan Keperluan Penulisan Semula

Metode konvensional penulisan sejarah feminisme ialah gelombang pertama (akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20); gelombang kedua (1960-an-1980-an); dan gelombang ketiga (1990-an-seterusnya). Setiap gelombang mempunyai konteks sejarah dan agendanya. Gelombang pertama feminisme mengisahkan perjuangan tuntutan hak pengundian wanita seperti aktivis Elizabeth Cady Stanton (1815-1902) di Amerika Syarikat, dan Emmeline Pankhurst (1858-1928) di United Kingdom. Gelombang kedua feminisme menumpukan kisah perjuangan hak wanita pada era gerakan sosial baharu yang menuntut pembebasan wanita melalui Women’s Liberation yang bersolidariti dengan aktivisme anti perang dan pelajar, serta pembentukan National Organization for Women (NOW) oleh penulis The Feminine Mystique (1963), Betty Friedan (1921-2006), di Amerika Syarikat. Sekitar awal dekad 1990-an, muncul gelombang ketiga feminisme yang dipengaruhi pascamodenis untuk meruntuhkan naratif agung, khususnya kenyataan sejagat wanita yang secara tidak langsung meminggirkan perbezaan pengalaman wanita Dunia Ketiga. Dengan trajektori gelombang feminisme, persoalan perbezaan dan keunikan pengalaman golongan wanita bukan Barat dikesampingkan. Sejarah feminisme sedemikian jelas bersifat condong ke arah pengalaman Barat, justeru memerlukan ia ‘ditulis semula’.

Di Malaysia penulisan sejarah feminisme atau gerakan hak wanita diusahakan dengan merangka fasa-fasa sejarahnya, dengan penerapan unsur teoritis. Terdapat empat fasa yang dituliskan oleh para akademik dan akademik-aktivis di Malaysia, berdasarkan perspektif Cecilia Ng, Maznah Mohamad dan Tan Beng Hui dalam Feminism and the Women’s Movement in Malaysia (2006), dan Nik Safiah Karim bersama Rokiah Talib dalam Pergerakan Wanita dalam Memperjuangkan Hak (2016). Umumnya, fasa-fasa tersebut merangkumi sela masa (i) pra merdeka, (ii) 1957-1960-an, (iii) 1970-an-1980-an, dan (iv) 1990-an hingga awal abad ke-21. Terdapat pembezaan dari satu tahap ke satu tahap selanjutnya. Sehubungan itu, penulisan sejarah feminisme di Malaysia setakat ini, tampak sesuai diusahakan tahap demi tahap, dan dicirikan dengan terapan teoritis, yang akhirnya membentuk naratif sejarah feminisme di Malaysia.

Feminisme di Malaysia dalam Kerangka Sains Sosial Mandiri

Dalam siri kuliah Sains Sosial Malaysia Abad ke-21: Meneruskan Tradisi Intelektual, Menanggapi Transformasi Masyarakat anjuran Naratif Malaysia, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong memberikan penekanan untuk membina Sains Sosial mandiri. Keperluan Sains Sosial mandiri ini antara lain agendanya adalah untuk membina karakter Sains Sosial Malaysia yang tersendiri—pada masa sama, tidak menolak secara total teori-teori dari luar, khususnya Barat, tetapi menyesuaikannya setakat perlu dengan melakukan kritikan terhadap asas yang boleh merosakkan karakter Sains Sosial tempatan. Sudah tentu penulisan feminisme di Malaysia yang dibicarakan dalam bahagian di atas mempunyai kaitan dengan pembinaan Sains Sosial yang mandiri.

Persoalannya, bagaimanakah feminisme di Malaysia harus ditulis bagi memenuhi agenda besar Sains Sosial mandiri? Apakah posisi yang perlu diambil dalam penulisan tersebut?

Di sini, saya ingin melontarkan pandangan tentang posisi dan tindakan yang mungkin boleh diambil bagi menulis sejarah gerakan hak wanita atau feminisme di Malaysia. Pertama, penulisannya mestilah mengambil kira teori-teori feminisme dari luar, seperti feminisme liberal, feminisme Marxist dan feminisme radikal, kerana ia perlu bertaut dengan korpus ilmu sedia ada, sekali gus melakukan kritikan terhadap teori-teori tersebut. Kedua, teori feminisme yang dibangunkan dalam konteks hampir serupa dengan Malaysia mestilah diutamakan, justeru meletakkan aliran feminisme Dunia Ketiga. Maka, karya Kumari Jayawardena tersebut menunjukkan kerelevanannya. Ketiga, perlunya garis dasar pengetahuan mengenai feminisme; baik daripada ilmu kolonial, karya sastera, bahkan dokumen rasmi kerajaan, dokumen pertubuhan, memoir, biografi, travelog, teks ucapan, majalah dan laporan akhbar.

Akhirnya, karya bertemakan feminisme dan gerakan hak wanita adalah antara yang terendah bilangannya dalam himpunan kajian wanita di Malaysia. Selain penolakan penggunaan istilah ‘feminisme’ itu sendiri oleh para akademia kerana konotasi buruknya, ketiadaan bukti empirikal yang kukuh, pengabaian penggunaan teori atau perbincangan teoritis menjadi punca mengapa kajian feminisme terhad daripada segi kuantiti. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan bidang Sains Sosial Malaysia yang dikatakan terlalu kurang perbincangan pada paras teori. Maka, ia memerlukan usaha berterusan, khususnya dalam kalangan penyelidik muda, dengan bimbingan para penyelidik generasi terdahulu supaya penulisan feminisme di Malaysia dapat direalisasikan menerusi agenda besar Sains Sosial tempatan yang mandiri sifatnya.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                            

Design a site like this with WordPress.com
Get started