Kebebasan Beragama Tonggak Masyarakat Madani

Pelbagai agenda, berserta retorik nasional telah diperkenalkan seperti Islam Hadhari, Wasatiyyah dan Rahmatan Lil Alamin, tetapi gagal menjawab permasalahan dasar hubungan antara agama dalam kalangan rakyat Malaysia. Kadang-kadang agama menjadi alat untuk survival politik sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Lebih berbahaya apabila wujud dalam segmen masyarakat yang terpengaruh dengan ideologi ekstrem.

Tidak dinafikan agama adalah antara elemen penting buat rakyat Malaysia. Kepentingan elemen keagamaan ini dinyatakan secara rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan seperti yang terdapat dalam Perkara 3, Perkara 8, Perkara 11 dan Perkara 12. Lebih khusus, Perkara 11 (1) menyatakan “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya..” sebagai satu komitmen mendokong prinsip kebebasan beragama. Namun, walaupun sudah lebih setengah abad negara ini merdeka dan penubuhan Persekutuan Malaysia, tahap kebebasan beragama dan kepercayaan tidaklah bertambah baik, bahkan makin pudar. Hak-hak yang dijamin Perlembagaan sendiri kerap dicabuli dalam negara majmuk yang berbilang agama dan kaum ini, termasuklah melalui kewujudan dasar, undang-undang atau tindakan pihak-pihak yang menodai kebebasan beragama. Hal ini sebenarnya merupakan satu cabaran dan percanggahan terhadap hak yang diperuntukkan kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. Sebuah peradaban moden yang mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan seperti Malaysia haruslah menghadam elemen utama hak asasi manusia ini, selain elemen ketelusan, kedaulatan undang-undang dan semak imbang sebagai rukun-rukun penting perlembagaan. Pengkhianat terhadap kebebasan beragama sering muncul dalam bermacam bentuk dan ragam. Mudahnya saya kategorikan kepada dua bentuk; state actors dan non-state actors.

Apakah isu permasalahan sebenarnya?

Pelbagai agenda, berserta retorik nasional telah diperkenalkan seperti Islam Hadhari, Wasatiyyah dan Rahmatan Lil Alamin, tetapi gagal menjawab permasalahan dasar hubungan antara agama dalam kalangan rakyat Malaysia. Kadang-kadang agama menjadi alat untuk survival politik sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Lebih berbahaya apabila wujud dalam segmen masyarakat yang terpengaruh dengan ideologi ekstrem yang menjurus kepada keganasan. Kajian Pew Research pada 2015 mendedahkan, 11% Muslim di Malaysia cenderung menyokong ISIS. Dapatan ini benar-benar membimbangkan dan berbahaya bukan?

Kita harus akui sistem pendidikan di pelbagai peringkat dan platform lemah dalam merapatkan jurang perbezaan antara penganut agama dan kepercayaan di Malaysia. Prof Teo Kok Seong daripada Institut Kajian Etnik (KITA-UKM) menyebut bahawa Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mengguna pakai pendekatan integrasi dan bukan asimilasi yang menyebabkan perpaduan rakyat longgar. Oleh sebab ini interaksi, hubungan dan dialog secara berterusan antara rakyat tidak berlangsung dengan lancar. Jika ada pun, kebanyakannya hanya bersifat one-off, superficial dan tidak jujur. Ia tidak membantu merubah apa-apa. Bahkan, hal ini hanya menatijahkan kepada berkembangnya stereotaip negatif, prejudis dan hate speech yang tidak berasas kepada penganut agama atau kepercayaan lain.

Cara fikir feudal dalam pemerintahan dan masyarakat Muslim juga menjadi antara sebab utama matlamat menuju masyarakat yang progresif dalam hal-hal kebebasan beragama menemui jalan buntu. Ada sahaja golongan yang menggunakan slogan atau retorik berbaur politik yang kononnya merekalah ‘penjaga atau hero’ ketenteraman awam, ‘pejuang’ agama atau ‘yang paling layak mentafsir’ agama. Kalimahnya nampak baik, tapi tujuannya adalah batil. Merekalah sebenarnya petualang memfitnah, mendiskriminasi dan menghukum fahaman atau kepercayaan berbeza daripada mereka. Berhadapan dengan golongan ini, jika boleh mengungkapkan semula slogan popular oleh tokoh cendekiawan Islam Indonesia, Cak Nur, saya akan sebut: “Islam, yes; Islamist, no”. Kebanyakan mereka hanyalah seperti tin kosong.

Tujuan asal institusi-institusi agama yang dibiayai oleh wang pembayar cukai tidak kira anutan agama sering disalah guna. Sekian banyak dasar, akta dan enakmen digubal bagi menzalimi pihak yang berbeza fahaman dengan tafsiran pemegang amanah di institusi-institusi ini. Malang sekali ia bukan sahaja bercanggah dengan semangat dan nilai dalam sebuah negara demokrasi yang bertamadun bahkan tidak menepati nilai-nilai yang disebut Al-Quran berkaitan meraikan perbezaan, kebebasan beragama dan penekanan daya berfikir serta berhujah.

Kes dan senario yang wujud

Terdapat beberapa isu penting berkaitan pencabulan terhadap kebebasan beragama di Malaysia. Bagi isu antara agama (inter-faith), tidak dapat kita lupakan isu pencabulan kebebasan beragama terhadap komuniti minoriti beragama Kristian seperti insiden rampasan Bible. Juga jika dapat kita kaitkan dengan permasalahan bagi masalah sistemik melibatkan penukaran agama sepihak (unilateral conversion) agama anak bagi ibu bapa yang bertukar agama seperti kes Indira Gandhi yang masih belum selesai setelah bertahun-tahun lamanya. Perkembangan lain yang turut perlu diamati dalam laporan inkuiri SUHAKAM berkaitan ‘kehilangan paksa’ atau penculikan Pastor Koh yang menjadi sasaran pihak berkuasa. Namun, berhadapan dengan isu-isu penting berkaitan kebebasan beragama ini, isu lain pula yang sering diberikan perhatian, sama ada ahli-ahli masyarakat mahupun pihak berkuasa. Baru-baru ini tular khususnya di media sosial, isu perkahwinan antara pemain hoki negara dan pemain hoki India yang diadakan di India, didakwa melangsungkan perkahwinan berbeza agama. Sehinggakan ke peringkat menteri dan jabatan agama turut menangguk di air yang keruh. Padahal bukanlah ia berlangsung di Malaysia pun. Mentaliti micromanage sebahagian kita berakar dan parah sebenarnya. Adakah ini keutamaan kita sekarang dalam cabaran pandemik dan kemelesetan ekonomi? Kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak.

Bagi isu berkaitan intra-faith (antara mazhab) pula, mahu tidak mahu perlu disentuh juga. Khususnya melibatkan hubungan antara penganut mazhab majoriti dan minoriti dalam Islam di Malaysia yang tidak lekang berita berkenaannya. Sasaran yang kerap selain ajaran-ajaran kecil lain, penganut mazhab Islam minoriti Syiah dan Ahmadiyah, selain kumpulan-kumpulan minoriti yang percaya kepada tafsiran Islam berbeza dengan tafsiran Islam pemerintah,  selalu menjadi mangsa kepada penganut mazhab yang majoritinya Sunni konvensional-konservatif. Dapat dilihat melalui ceramah dan khutbah mingguan di masjid atau surau, agamawan meratib akan sesat dan terkeluarnya daripada apa yang didakwa ‘Islam sebenar’ secara pukal. Mufti pula di kerusi empuknya sewenang-wenang mengeluarkan fatwa menyesatkan dan mengkafirkan pihak yang berbeza tafsiran agama dengannya. Saya yakin perbuatan konyol seperti ini bercanggah dengan ayat al-Quran yang melarang perbuatan menjurus permusuhan dan tidak berlaku adil kan?

Melalui beberapa contoh di atas, kita dapat lihat kelompok minoriti agama dan kepercayaan yang terpinggir, rentan dan tidak berkuasa selalu menjadi mangsa kepada kelompok majoriti khususnya yang diamanahkan kuasa, rakus dan gagal memahami roh demokrasi itu sendiri dalam mengangkat hak-hak minoriti.  

Apakah penambah baikan tidak konvensional yang diperlukan?

Cadangan-cadangan utama ini boleh dilaksanakan dalam dua bentuk pendekatan; top-down (daripada peringkat atas ke bawah), dan bottom-up (daripada peringkat bawah ke atas).

Pertama, menjadikan nilai hak asasi manusia (khususnya kebebasan beragama dan keadilan sosial)sebagai kayu ukur. Sebagai contoh penyetempatan (localization) perjanjian atau deklarasi dan amalan terbaik (best practices) peringkat antarabangsa. Lebih-lebih lagi Malaysia pada 2004 telah menandatangani Amman Message (fokus intra-faith / antara mazhab-mazhab dalam Islam) dan sekaligus bertanggungjawab untuk melaksanakannya bagi khususnya menyantuni mazhab Islam minoriti dalam negara tanpa budaya takfiri menyesatkan orang lain. Selain itu amat tepat memanfaatkan dokumen Marrakesh Declaration (fokus inter-faith berkaitan hak-hak penganut agama minoriti dalam negara bermajoriti Muslim) yang amat wajar dilaksanakan dalam konteks Malaysia.

Kedua, menilai kembali istilah/konsep yang kontroversi yang mungkin tidak sesuai lagi dalam konteks negara bangsa seperti Malaysia. Misalnya menghentikan penggunaan konsep ‘negara Islam’, ‘jihad’, ‘kafir harbi’, ‘crusade’ atau ‘holy war’ dan lain-lain pada tempat yang tidak sesuai yang dianggap tidak lagi relevan dalam konteks semasa. Ribuan tahun dahulu tidak lagi sama dengan tahun 2021. Tahun 2021 juga mungkin tidak lagi sama pada 2050.

Ketiga, mereformasi dan memperkaya daya berfikir kritis (critical thinking) dalam kalangan masyarakat. Selain pandemik, perang melawan maklumat salah khususnya di media sosial, juga adalah perang terbesar umat dunia era ledakan revolusi digital kini. Haruslah kita menilai sesuatu isu melangkaui satu dimensi semata dan mengambil kira faktor sosio-ekonomi dan sosio-politik di sebalik isu yang berlaku.Contohnya mengelakkan menilai hanya berdasarkan perspektif sentimen keagamaan yang bersifat sektarianisme sempit. Hasilnya, penilaian akan lebih objektif dan berasas untuk menangani isu yang berlaku di sekeliling. Kadang-kala bukan kejahilan yang merosakkan tapi lambakan ilmu yang tidak dicernakan dengan baik itulah pembunuh sebenar. Mengambil kata-kata Stephen Hawking: “The greatest enemy of knowledge is not ignorance, it is the illusion of knowledge”. 

Usaha-usaha ini memerlukan kerjasama jitu dan berterusan daripada semua pihak pelbagai peringkat bagi merealisasikannya.

Aspirasi untuk Malaysia 2021 

Tahun 2020 yang mencabar bagi rakyat Malaysia dengan cabaran utama pandemik, kehilangan pekerjaan, serta kemelesetan ekonomi baru sahaja melabuhkan tirainya. Harapannya menggunung bahkan melangit bagi semua untuk tahun baru 2021 ini. Bagi saya sebagai seorang rakyat marhaen yang cintakan kedamaian ingin lihat lebih banyakinteraksi dan dialog berjalan bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang kaya dengan kepelbagaian agama, kaum, budaya, jantina, seksualiti, bahasa dan adat hidup dalam semangat muhibah dan saling menghormati.

Didambakan interaksi antara penganut agama dan kepercayaan khususnya berlaku dengan penuh organik dan jujur. Semua tidak kira kelompok majoriti atau minoriti, mampu duduk bersama dalam apa jua medium, rasmi atau tidak rasmi, mendengar serta menyelesaikan isu-isu berkaitan bukan sahaja isu keagamaan tapi melangkau lebih luas kepada isu seharian sosial, ekonomi, pendidikan, dan lain-lain secara bersama. Penekanan harus berkisar realiti kehidupan (lived reality) berbanding teologi masing-masing. Kebersamaan dan titik persamaan akan lebih jelas di situ.

Untuk saban tahun, peribadinya saya puji organisasi sivil seperti Merdeka Center dan Komuniti Muslim Universal (KMU) dan terbaru Naratif Malaysia yang banyak membawa wacana hubungan antara kaum dan agama di Malaysia. Sebagai contoh KMU dalam kempen online #Kebersamaan atau #Togetherness terbarunya, menjemput ramai pakar akademik, aktivis sosial, pemimpin agama, anak muda, penggiat seni dan banyak lagi pemegang taruh bagi membincangkan secara komprehensif dan kritikal isu-isu agama dan kaum di Malaysia. Usaha matang ini harus disambut baik oleh pihak-pihak lain juga bagi mendengungkan usaha murni ini.

Wahai Malaysiaku, teruslah menjadi negara demokrasi yang moderat. Pertahankanlah kepelbagaian agama dan hak-haknya dengan apa cara sekalipun. Tonggak kepada kukuhnya tamadun negara bangsa modenmu ini adalah dengan tertegaknya kebebasan beragama dan kepercayaan bagi semua. Selamat Tahun Baru 2021 dan kekal sihat Malaysia!

Ahmad Salami merupakan aktivis sosial dan politik serta pernah menjadi fellow YSEALI di Utah, USA pada 2019. Manakala esei ini merupakan sebahagian daripada kempen penulisan Aspirasi Malaysia 2021 oleh Merdeka Center dan Naratif Malaysia untuk menggalakkan anak muda berkongsi idea dan pengharapan untuk masa hadapan Malaysia ke arah menghasilkan masyarakat yang lebih harmoni, maju dan sejahtera.

Design a site like this with WordPress.com
Get started