Laporan Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda (Pembentangan Makalah)

Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda (Pembentangan Makalah) anjuran Naratif Malaysia (NM), dengan kerjasama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Malaysia Reform Initiative (MARI), USAID dan Kedutaan Amerika Syarikat, diadakan dari 8 hingga 11 Oktober 2020, bertempat di The Everly Putrajaya. Agenda utama bengkel adalah untuk membentangkan hasil penulisan bab dalam buku oleh para peserta.

Pendahuluan

Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda (Pembentangan Makalah) anjuran Naratif Malaysia (NM), dengan kerjasama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Malaysia Reform Initiative (MARI), USAID dan Kedutaan Amerika Syarikat, diadakan dari 8 hingga 11 Oktober 2020, bertempat di The Everly Putrajaya. Agenda utama bengkel adalah untuk membentangkan hasil penulisan bab dalam buku oleh para peserta, dengan penilaian dua pakar bidang Sains Sosial. Ia bertujuan memurnikan manuskrip berdasarkan ulasan daripada pakar sebelum penghantaran manuskrip akhir. Selain itu, bengkel ini diisi dengan slot-slot bersama para sarjana, penganjur, dan penaja dalam rencana pembinaan keupayaan, jaringan, dan prospek masa depan penyelidik muda Sains Sosial di Malaysia.

PENYERTAAN DAN FORMAT BENGKEL

Bengkel melibatkan 19 orang peserta (pensyarah dan penyelidik pasca siswazah) dari pelbagai Universiti Awam dan Universiti Swasta, di dalam dan luar negara, dengan kepatuhan amalan normal baharu. Sebahagian besar peserta membentangkan manuskrip secara bersemuka, manakala bakinya melaksanakan pembentangan secara atas talian di aplikasi Zoom. Dua orang pakar bidang menjadi penilai manuskrip iaitu Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong dan Prof. Abdul Halim Ali. Pembentangan makalah merangkumi enam panel pembentang, dengan format pembentangan peserta selama 15 minit, respons peserta dan ulasan penilai. Panel pembentangan adalah seperti berikut:

  • Panel Pertama (9 Oktober 2020, 8.30 – 10.30 pagi) – Teo Lee Ken (Membina-Lentur Masa, Membentuk Ruang: Naratif dan Diskurs Politik di Malaysia); Muhammad Helmy Abd Ghapar (Daripada Kelab Penyokong kepada Ultras: Pembentukan Budaya dan Identiti Kepenyokongan Baharu Bola Sepak Malaysia); dan Nazrin Zaidi (Kongres Kebudayaan 1971 dan Kongres Budaya 2017: Satu Analisis Persoalan Budaya Tinggi dan Nasionalisme Budaya).
  • Panel Kedua (9 Oktober 2020, 11.00 pagi – 1.00 tengah hari) – Syahida Johan (Memori, Identiti, dan Kelas Sosial dalam Novel-Novel Tash Aw); Aisyah Tajuddin (Satira Politik di Malaysia: Antara Seni dan Batasan Politik); dan Najiha Zainuddin (UNDI18: Kesiapsiagaan Kerajaan dan Pelajar).
  • Panel Ketiga (9 Oktober 2020, 2.45 – 4.45 petang) – Nabilah Bintul Huda Lutpi (WA’ADAT: Merentasi Zaman dan Signifikan Pada Zaman Kontemporari); Fatimah Tajuddin (Naratif Persefahaman dalam Filem Indie Malaysia: Impak Filem Gadoh 2009 dalam Memecahkan Batas Etnik dan Menggalakkan Persefahaman yang Mendalam); dan Syahida Che Lah (Kerjasama Antara Etnik dalam Membina Negara Bangsa Melalui Kesepaduan Sosial).
  • Panel Keempat (10 Oktober 2020, 8.30 – 10.30 pagi) – Sazni Salehuddin (Kerencaman Identiti dalam Media Sosial dari Perspektif Sosiologi Digital); Muhammad Febriansyah (Black Lives Matter: Respon, Debat dan Kontestasi Aliran Pemikiran di Malaysia); dan Muhammad Arif Asyrul Adnan (Naratif Pembangunan dan Populisme di Malaysia: Pengukuhan Politik Moral dan Kebangkitan Populisme Melayu).
  • Panel Kelima (10 Oktober 2020, 11.00 pagi – 1.00 tengah hari) – Muhamad Azwan Abd Rahman (Pembangunan Sebagai Kebebasan: Di Mana Letaknya Klusif, Inklusif dan Eksklusif di Malaysia?); Muhammad Rahimi Hasan (Menyingkap Feminisme-Nasionalisme Tanah Melayu, 1945-1957); dan Ehsan Shahwahid (Islam dan Naratif Pembangunan Malaysia Abad ke-21).
  • Panel Keenam (10 Oktober 2020, 2.00 – 4.45 petang – Ab Bassit Husain (MARA Peneraju Transformasi Bangsa: Kelas Menengah Profesional dan Usahawan Melayu); Ooi Kok Hin (Asal-Usul PTPTN dan Hutang Pinjaman Pendidikan Tinggi); Fairuzzaman Shaharuddin (Meneruskan Peranan Intelektual dan Budaya Keintelektualan dalam Zaman Revolusi Industri Keempat); dan Zikri Rahman (Reformasi Pedagogi Menerusi Intervensi Budaya di Malaysia Pasca 2008: Kajian Kes Terhadap Buku Jalanan).

Pengisian Program

Program empat hari tiga malam ini dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta. Para peserta dibekalkan dengan cenderamata Kindle dan buku terbitan IKMAS, ISEAS dan Penerbit UKM. Program dibuka dengan ucapan alu-aluan dan perkongsian oleh Pengarah IKMAS, Prof. Dr. Sufian Jusoh, ucapan wakil MARI/USAID, Encik Hanif dan ucapan wakil Pengarah Penerbit UKM, Encik Mohd Zaidi Che Mud. Sesi-sesi berikutnya berjalan mengikut jadual seperti berikut:

  • Bicara Sarjana oleh Dr. Chandra Muzaffar – Tugas Cendekiawan Muda: Bagaimana Meneruskan Tradisi Intelektual di Malaysia?, pada 8 Oktober 2020 (Khamis) membicarakan lima ciri intelektual, halangan dan cabarannya di Malaysia. Menurut Dr. Chandra Muzaffar, intelektualisme di Malaysia dibelenggu persoalan sejarah dan feudalisme, selain agenda penerusan tradisi intelektual di Malaysia menimbulkan ironi kerana beliau menanyakan sama ada wujud atau tidaknya tradisi sedemikian di negara ini. Di samping itu, beliau melontarkan idea ke hadapan yang boleh menjadi kecaknaan kegiatan intelektual iaitu (i) integrasi etnik; (ii) masalah korupsi dan nilai moral masyarakat, dan (iii) cabaran identiti ASEAN dalam persaingan Amerika Syarikat dan China.
  • Syarahan Naratif Malaysia Dr. Jomo Kwame Sundaram – Populisme Perkauman di Malaysia: Suatu Persoalan, pada 9 Oktober 2020 (Jumaat) membincangkan mengenai populisme perkauman atau ethno-populism di Malaysia secara mendalam dan meluas daripada pelbagai sudut pandang. Beliau melihat bentuk populisme sebagai pemikiran falsafah, fahaman, dan gerakan yang digambarkan sebagai alat penyatuan kaum yang pelbagai. Dalam konteks Malaysia, populisme menjadi suatu tenaga yang progresif cum regresif, dengan parti dominan UMNO (kira-kira 60 tahun) sebagai penganjur ideologi politik pembangunan yang dimanfaatkan untuk meraih dan memperkukuh sokongan rakyat.
  • Wawasan Intelektual Muda; Membina Komuniti Sarjana Mandiri bersama Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong, pada 11 Oktober 2020 (Ahad). Dalam syarahan ini, beliau mengingatkan peranan intelektual muda tentang keluasan ilmu untuk manfaat masyarakat dan pembezaan kaum intelektual daripada golongan inteligensia yang lahir di universiti. Penerusan tradisi intelektual ini ialah suatu yang mendesak bagi keperluan masyarakat dan digalurkan akarnya kepada sejarah yang mana pelbagai kelompok orang muda dahulu telah memainkan peranannya seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50). Bagi memainkan peranannya untuk Sains Sosial Mandiri, intelektual muda perlu menyedari kepalbagaian sudut pandang, membina kelompok induk untuk membina komuniti, wawasan bersama, perekat spiritual dan intelektual dan bersifat budiman.
  • Perbincangan Naratif Malaysia Mengenai Kedudukan, Peranan dan Cabaran Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia. Slot ini bertujuan merungkai permasalahan yang melingkari aktivisme akademik dan advokasi penyelidik muda di Malaysia. Tiga domain dikenal pasti sebagai tapak untuk memajukan kenyataan masalah dan persoalan iaitu (i) akademik, (ii) advokasi masyarakat, dan (iii) dasar. Hasil daripada perbincangan ini dijangka dimuktamadkan dalam bentuk kertas dasar kepada pihak kerajaan.
  • Gerak Kerja Kumpulan – Sesi Perbincangan Tematik Pasukan Penyelidikan Naratif Malaysia. Sesi sumbang saran ini bertujuan membincangkan dan merangka agenda pasukan penyelidikan Naratif Malaysia selepas siri program Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda tamat.Secara kolektif, para peserta bersetuju untuk bergerak menerusi wadah yang berbasiskan projek penyelidikan dan advokasi, mengikut dana yang diperoleh kumpulan penyelidik kelak.
  • Sesi pihak penaja Malaysia America Reform Initiative (MARI). Sesi bersama pihak MARI ini diwakili pegawai, Encik Hanif Abdullah. Perkongsian ini membicarakan objektif penaja terhadap program pembinaan kapasiti penyelidik muda dan prospek yang ditawarkan pihak penaja kepada para peserta, khususnya projek penyelidikan dan advokasi berkaitan agenda reformasi. Di samping itu, sesi temu bual maklum balas peserta program diadakan bersama beberapa peserta bengkel pada 11 Oktober 2020.
  • Sesi pihak Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sesi ini diwakili oleh Pengarah Penerbit UKM, Prof. Datin Dr. Ruzy Suliza Hashim dan Pegawai Penerbit Kanan, Encik Mohd Zaidi Che Mud. Dalam sesi ini, penerangan diberikan mengenai konsep penerbitan buku dan gerak kerja proses penerbitan bersama Penerbit UKM dengan penilai manuskrip dan penyunting buku.

Penutup

Bengkel ini berakhir dengan rumusan oleh penilai makalah. Para peserta diharapkan dapat memurnikan penulisan berdasarkan ulasan daripada penilai. Ulasan tersebut perlu dihantar kepada pihak Naratif Malaysia pada/sebelum 19 Oktober 2020 dan penghantaran manuskrip akhir pada 12 November 2020. Akhirnya, bengkel ini telah mencapai objektif utama, selain membina jaringan dan perencanaan masa hadapan bagi kelompok sulung penyelidik muda Sains Sosial Malaysia di bawah inisiatif Naratif Malaysia.

Laporan Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda (Siri Kuliah)

Siri Kuliah Naratif Malaysia dianjurkan oleh Naratif Malaysia (NM) dengan kerjasama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Malaysia Reform Initiative (MARI), USAID dan Kedutaan Amerika Syarikat. Siri Kuliah yang merupakan sebahagian daripada Bengkel Pembangunan Kapasiti Penyelidik Muda ini bertemakan Sains Sosial Malaysia Abad ke-21.

Pendahuluan

Siri Kuliah Naratif Malaysia dianjurkan oleh Naratif Malaysia (NM) dengan kerjasama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Malaysia Reform Initiative (MARI), USAID dan Kedutaan Amerika Syarikat. Siri Kuliah yang merupakan sebahagian daripada Bengkel Pembangunan Kapasiti Penyelidik Muda ini bertemakan Sains Sosial Malaysia Abad ke-21: Meneruskan Tradisi Intelektual, Menanggapi Transformasi Masyarakat, enam kuliah telah diadakan di IKMAS, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), serta menyediakan aplikasi atas talian Zoom bagi mereka yang tidak menghadiri secara fizikal.

Siri kuliah ini menampilkan tokoh yang tidak asing dalam Sains Sosial Malaysia, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong. Beliau merupakan Profesor Emeritus Sosiologi Pembangunan di IKMAS, UKM dan Penasihat Khas Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM).

Kuliah ini bertujuan menyegarkan kembali persoalan-persoalan kemasyarakatan yang sewajarnya dekat kepada ahli Sains Sosial Malaysia, baik dalam kalangan lingkungan profesional dalam institusi pengajian tinggi, mahupun dalam kalangan intelektual awam. Dalam hal ini, kalangan ini disedarkan betapa terdapat kebangkitan mega trend global yang tidak terlepas pengaruhnya ke atas Malaysia. Selain itu, Siri Kuliah ini juga bertujuan untuk menggerakkan usaha pembinaan kapasiti penyelidik muda, dalam rencana meneruskan legasi intelektual awam sebelumnya.

Sebagai hasil akhir siri kuliah Naratif Malaysia ini, para peserta dikehendaki menyempurnakan tugasan penulisan iaitu (i) dua esei popular sepanjang 1,000 patah perkataan yang disiarkan dalam laman sesawang NM; dan (ii) makalah bab dalam buku sepanjang 6,000 patah perkataan yang bakal diterbitkan kelak oleh penerbit tersohor.

Penyertaan Kuliah

Kuliah ini melibatkan 24 orang peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi Universiti Awam (UA) dan Universiti Swasta (US), di dalam dan luar negara. Para peserta terdiri daripada pendidik dan pelajar pascasiswazah peringkat sarjana, doktor falsafah, dan pasca doktoral. Antaranya dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), KDU University College, First City University College, Waseda University (Jepun), National Chiao Tung University (Taiwan), Alzahra University (Iran), dan Goethe University (Jerman).

Sepanjang siri kuliah, ia turut dihadiri oleh beberapa ahli akademik dan aktivis iaitu Prof. Abdul Halim Ali, Prof. Dato’ Dr. Rashila Ramli, dan Prof. Madya Dr. Sity Daud. Mereka ini antara lain mewakili kepimpinan utama Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) dan Akademi Profesor Negara (APN).

Peserta kuliah ini sebahagian besar mengikuti siri-siri kuliah sepanjang tiga minggu pada setiap Isnin dan Khamis melalui aplikasi Zoom Meeting atas faktor logistik dan keperluan penjarakan fizikal, berikutan Covid-19. Daripada segi taburan jantina, 16 orang peserta lelaki dan lapan orang peserta perempuan. Daripada segi etnik, ia disertai 22 orang peserta etnik Melayu/Bumiputera dan dua orang peserta etnik Cina.

Format Kuliah

Kuliah ini diadakan selama tiga minggu. Setiap minggu diadakan dua hari kuliah pada hari Isnin dan Khamis. Ia dijalankan selama 1 jam 30 minit, pada jam 10.30 pagi – 12.00 tengah hari, atau lebih mengikut kesesuaian dan keperluan. Sesi kuliah diadakan selama sejam, diikuti sesi perbincangan dan soal jawab. Setiap kuliah memerlukan para peserta menjalankan perbincangan susulan kumpulan yang disertai penghantaran borang maklum balas kumpulan dan individu bagi setiap siri kuliah.

Pengisian Kuliah

Kuliah ini membawakan enam tema fokus pada setiap siri kuliah iaitu: (i) Mega Trend Abad ke-21: Globalisasi Barat dan Globalisasi Oriental (22 Jun 2020); (ii) Mega Trend Abad ke-21 dan Impak ke Atas Malaysia (25 Jun 2020); (iii) Sejarah Perkembangan Sains Sosial Malaysia (29 Jun 2020); (iv) Peranan dan Orientasi Sains Sosial Malaysia (2 Julai 2020); (v) Penerusan Tradisi dan Pembinaan Sains Sosial Malaysia yang Mandiri (5 Julai 2020); dan (vi) Pengungkapan Naratif Malaysia (9 Julai 2020).

Kuliah 1

Inti pati kuliah pertama yang disampaikan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong adalah berkenaan mega trend yang kembali menerpa pada abad ke-21. Ia menuntut para ilmuan Sains Sosial untuk merenung, mempersoal dan mengusulkan penemuan teoritis, konseptual dan empirikal baharu, bersesuaian dengan konteks sezaman. Kuliah ditumpukan kepada kebangkitan kembali arus globalisasi Oriental melalui kuasa ekonomi China dalam kerangka agenda One Belt One Road (OBOR) yang menurut beliau lebih mesra kepada negara-negara membangun. Ianya tidak seperti globalisasi neoliberal Barat yang turut menimpakan proses pembaratan. Berdasarkan tiga posisi kaca mata globalisasi iaitu (i) Juggernaut, (ii) transformationalist, dan (iii) rejectionist, Malaysia dalam rantau ASEAN mengambil sikap sebagai transformationalist yang berpeluang memanfaatkan kepentingannya dalam dua arus globalisasi Oriental dan Barat yang saling berlaga.

Dalam sesi perbincangan dan soal jawab, peserta menimbulkan isu krisis kesihatan global pandemik Covid-19 yang sedang melanda terhadap persoalan kerelevanan batas-batas negara bangsa. Krisis kesihatan global ini dianggap sebagai suatu yang bersifat sementara. Selain itu, kebangkitan China secara ekonomi, bahkan melalui tindakan militer di Laut China Selatan, dan pengalaman peperangannya suatu masa dahulu menimbulkan kesangsian terhadap Malaysia diajukan oleh peserta. Menjawab isu tersebut, tindakan secara ketenteraan oleh China secara historisnya ialah perang sempadan dan dinasti, ia secara relatif lebih ‘terbatas’ berbanding Barat yang ketika dahulu menjalankan dasar imperialisme dan kolonialisasi terhadap negara-negara luar. Bagi menghadapi kuasa China, saranan dikemukakan untuk berdepan dengan China sebagai kesatuan ASEAN, bukan sebagai negara-negara yang bersendirian.

Kuliah 2

Kuliah kedua menebarkan beberapa impak utama globalisasi terhadap Malaysia, daripada segi politik, ekonomi, budaya, termasuk pandemik Covid-19 yang membawakan norma baharu dalam kehidupan harian yang sebenarnya bukan suatu yang baharu atau unprecendented, tetapi pengamalannya dalam persekitaran baharu. Secara khusus, soal yang menarik perhatian dalam kuliah ini ialah wacana golongan mudah rentan secara ekonomi khususnya, iaitu proses precariatization yang digagaskan oleh Guy Standing dalam The Precariat: The New Dangerous Class. Ia nyata bukan sahaja berlaku di Barat, bahkan menjadi persoalan yang relevan di Malaysia, khususnya golongan siswazah yang menghadapi masalah underemployment dan pengangguran. Golongan ini tidak mempunyai identiti pekerjaan yang jelas, terumbang-ambing jaminan keselamatan sosialnya dan terdedah kepada tekanan hidup.

Oleh itu, pelbagai persoalan dikemukakan oleh para peserta khususnya berkenaan golongan precariat, merangkumi persoalan dasar awam, kajian empirikal mengenai golongan precariat di Malaysia, dan hubung kait golongan precariat dengan kelas menengah. Menurut Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong, kemunculan golongan precariat di Malaysia nyata bukan fenomena baharu, tetapi berkemungkinan telah wujud lama sebagai realiti sosial, sebelum konsep precariat diperkenalkan oleh Guy Standing. Kerajaan Malaysia daripada segi dasar awamnya tidak menjalankan dasar-dasar yang secara tidak langsung mengakibatkan kemunculan golongan precariat, justeru menuntut para peserta berwaspada dengan dasar awam yang mempunyai matlamat jelas, tetapi menghadapi implikasi luar jangka seperti membengkaknya jumlah golongan precariat saban tahun. Selain itu, daripada segi akademik, fenomena precariatisation di Malaysia masih belum dikaji selidik oleh penyelidik tempatan atau luar, secara empirikal. Namun, ia memerlukan penguasaan teori yang kukuh. Menyentuh perihal kelas menengah dan precariatisation pula, ia dianggap sebagai proses yang menyusuli ‘kejatuhan generasi kedua dan ketiga kelas menengah di Malaysia’. Proses reproduksi sosial kelas menengah mengalami kegagalan untuk mengekalkan generasi kedua dan ketiga, lalu menimbulkan permasalahan yang salah satunya dimanifestasikan melalui isu precariat.

Kuliah 3

Kuliah ketiga menelusuri sejarah perkembangan Sains Sosial di Malaysia yang menimbulkan persoalan garis asas pengetahuan atau knowledge baseline yang bergantung kepada ilmu kolonial. Sehubungan itu, dua sumber garis asas ilmu diusulkan iaitu (i) manuskrip Melayu dan (ii) karya intelektual awam awal abad ke-20. Selain itu, susur masa sejarah perkembangan Sains Sosial Malaysia sebagai disiplin ilmu diperlihatkan melalui (i) kegiatan akademik sarjana luar pasca Perang Dunia Kedua dan pra merdeka; (ii) penjalanan pengajaran Sains Sosial di Universiti Malaya (UM) pada 1950-an dan 1960-an, dengan kemunculan sarjana-sarjana tempatan; (iii) cetusan Sains Sosial arus akademik dan polisi dekad 1970-an, dengan penubuhan universiti baharu sehingga melahirkan persidangan yang menetapkan agenda Sains Sosial mandiri dan penolakan Sains Sosial yang bebas nilai; dan (iv) perkembangan Sains Sosial dekad 1980-an hingga abad ke-21 yang menyaksikan hambatan daripada perkorporatan universiti. Melanjuti perkembangan tersebut ialah kewujudan jurang generasi ilmuan Sains Sosial yang memerlukan pelapis muda dilahirkan.

Melanjuti perbincangan kuliah ini, Prof. Dato’ Dr. Rashila Ramli yang turut hadir mengusulkan agar persoalan Orientalisme yang disentuh melalui karya generasi pertama Sains Sosial Malaysia, Syed Hussein Alatas turut mengambil kira perspektif Oksidentalisme yang menghujah balas terhadap pandangan tersebut. Sementara itu, Prof. Madya Dr. Sity Daud yang turut hadir menimbulkan soal keberkesanan Sains Sosial diwadahi para intelektual awam bagi membawa perubahan sosial seperti tahun-tahun 1950-an, 1960-an dan 1970-an. Isu ini malah dilanjutkan oleh peserta dengan membangkitkan soal arus di luar kerangka universiti sebagai lebih signifikan dalam mewakili kata nurani masyarakat, dengan mencontohkan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50). Sebagai respons terhadap persoalan garis asas ilmu Sains Sosial, peserta menimbulkan isu garis asas ilmu yang bersifat Semenanjung-sentrik dan letak duduk kearifan tempatan dalam proses pembinaan Sains Sosial Malaysia.

Kuliah 4

Kuliah keempat mengemukakan peranan dan orientasi Sains Sosial Malaysia mengikut sejarah perkembangan atau evolusinya. Sejak tahun-tahun 1960-an dan 1970-an, berlaku polemik dalam (i) bidang Sains Sosial (soal sentrisme Barat dan kepentingan pengorientasian semula mengikut konteks tempatan); (ii) Sejarah (soal pensejarahan yang dimiliki bersuara untuk pihak kolonial atau masyarakat tempatan); dan Kesusasteraan (polemik ‘sastera untuk sastera’ atau ‘sastera untuk masyarakat’). Mendasari perdebatan tersebut, salah satu titik silangnya ialah fungsi ilmu tersebut terhadap disiplin dan fungsinya terhadap masyarakat. Hal ini mendesak ke arah penjajaran semula dua imperatif yang berlainan kutub, tetapi perlu disinergikan iaitu: (i) imperatif akademik dan (ii) imperatif advokasi Sains Sosial di Malaysia. Ia perlu bagi tuntutan profesional Sains Sosial seperti di universiti dijiwai dengan kata nurani masyarakat ke arah Sains Sosial yang mewakili kepentingan masyarakat. Demi memenuhi kepentingan masyarakat, disiplin-disiplin ilmu tidak boleh terus terkepung dalam ‘tempurungnya sendiri’, tetapi perlu diberikan sifat keterbukaan terhadap disiplin-disiplin lain yang relevan melalui pendekatan multidisiplin, interdisiplin, dan transdisiplin.

Semasa sesi soal jawab, persoalan tuntutan kerjaya sebagai pensyarah di universiti untuk memenuhi key performance index (KPI) sebagai kekangan untuk menyumbang dalam advokasi, soal kuasa wacana pemerintah yang membataskan wacana daripada arus bawah masyarakat, dan keterbatasan membina ilmu berdasarkan kosa kata yang lebih organik telah ditimbulkan para peserta. Membalas pertanyaan yang ditimbulkan peserta berkenaan kekangan lewat kekuasaan, imperatif akademik dan imperatif advokasi dijelaskan sebagai dua imperatif yang bukan dipersaingkan, tetapi diharmonikan dengan mewujudkan kesedaran Sains Sosial yang kritikal, sekali gus menjadi jiwa bagi Sains Sosial untuk tenaga pengajar yang tentunya perlu memenuhi KPI. Dalam erti kata lain, wacana pemerintah tidak seharusnya bertandingkan dengan wacana publik, tetapi dilihat sebagai saling melengkapi bagi menajamkan lagi wacana tersebut, seraya memanfaatkan kepentingan masyarakat. Bagaimanapun, dalam pembinaan ilmu Sains Sosial mandiri, keberanian dalam kalangan ilmuan Sains Sosial perlu untuk memperkenalkan konsep, mahupun teori yang lebih tempatan sifatnya, meskipun disaring oleh autoriti. Hal ini bagi memastikan khalayak ilmuan sebagai pengguna dapat menegakkan keilmuan yang dicipta berdasarkan piawaian saintifik.

Kuliah 5

Kuliah kelima menekankan keperluan pembangunan Sains Sosial Malaysia yang mandiri. Sains Sosial Sosial mandiri merangkumi empat kriteria iaitu (i) saintifik, relevan, dan penting; (ii) memiliki karakter khusus berwajah Malaysia, (iii) mempunyai orientasinya yang berlandaskan imperatif akademik dan imperatif advokasi; dan (iv) digerakkan oleh peneraju dan pelaksana iaitu ahli Sains Sosial yang berfikiran bebas, bercita-cita, dan komited terhadap kesarjanaan mandiri. Kini, tuntutan Sains Sosial Malaysia yang mandiri adalah kritikal kerana Sains Sosial di negara ini tidak tumbuh secara organik, tetapi tercetus daripada tuntutan luaran yang salah satunya mengakibatkan kewujudan fenomena ‘watak tertawan’. Selain itu, orientasi Sains Sosial peringkat awal dipengaruhi kuat oleh Orientalisme yang merepresentasikan penduduk peribumi bukan mengikut fakta sebenar masyarakat, tetapi berdasarkan gambaran yang mengerdilkan masyarakat peribumi. Sehubungan itu, ia mendesak pembinaan Sains Sosial yang berkarakter sendiri, ilmiah, dan komited bagi membangunkan masyarakat dan negara Malaysia.

Persoalan-persoalan berkaitan isu-isu dalam kuliah ini dibincangkan dalam sesi soal jawab yang antara lain menanyakan soal pembinaan karya paras teori bagi memampas fokus para sarjana Malaysia yang lebih tertumpu kepada kajian empirikal, perlawanan terhadap ‘watak tertawan’ yang dibauri karya-karya bersifat kritikan sosial, dan penentu ilmu Sains Sosial yang bersifat lokal. Dalam respons beliau, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong menekankan kepentingan penelitian satu-satu karya berdasarkan aspek teori, empirikal dan metodologi. Kajian-kajian sarjana Sains Sosial di Malaysia menurut penemuan Prof. Dr. Hans Dieter-Evers adalah terbatas kepada kajian-kajian empirikal, tanpa usaha yang giat untuk ‘working at the higher end of knowledge’. Oleh itu, dalam rencana pembangunan Sains Sosial mandiri, ilmuan Sains Sosial Malaysia berperanan dan bertanggungjawab untuk menghasilkan karya paras teori. Selain itu, karya-karya kritik sosial terdahulu seperti Hikayat Abdullah tidak seharusnya dinilai sebagai ‘watak tertawan’, sebaliknya sebagai karya kritik sosial yang sebenarnya menganjurkan saringan dan hujah balas terhadap Barat, bukan semata-mata peniruan tanpa daya pemikiran kritis. Akhirnya, bagi menghasilkan ilmu yang bersifat lokal, ia mestilah memanfaatkan sumber asli lagi tempatan, selain menghargai isu lokal yang mempunyai kerelevanan teoritis dalam konteks sejagat.

Kuliah 6

Kuliah keenam menutup Siri Kuliah Naratif Malaysia dengan mengemukakan wacana naratif ataupun penceritaan yang boleh dikupas daripada tiga sudut iaitu (i) konsep, (ii) kaedah, dan (iii) fungsi. Jelasnya, naratif ialah suatu konsep yang telah diaplikasikan dalam kajian akademik, tetapi masih merupakan suatu konsep yang perlu diperhalusi dalam erti kata penggunaannya kini. Ia juga berfungsi sebagai kaedah dalam kajian yang memerlukan penceritanya mengisahkan hidup atau pengalaman, mempertimbangkan kesahihannya berdasarkan teks, konteks dan interteks, serta meneliti apa yang dikisahkan dan tidak dikisahkan. Naratif mempunyai fungsi sosialnya tersendiri untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian, malahan berperanan untuk membawa perubahan. Di akhir kuliah, pengungkapan naratif Malaysia dalam konteks Sains Sosial mandiri dikemukakan dengan mengambil contoh seperti naratif nasional, naratif transformasi sosial seperti ‘saya budak kampung, naratif Sabah dan Sarawak dalam Malaysia, dan naratif Reformasi 1998 hingga kini. Kajian naratif agung dan naratif-naratif kecil yang menyertainya dapat dirumuskan sebagai produk yang mencerminkan karakter Malaysia, sekali gus menyumbang khazanah ilmu terhadap Sains Sosial sejagat.

Dalam perbincangan kuliah ini, beberapa hal ditimbulkan oleh para peserta seperti soal sama ada gagasan merupakan naratif, naratif Malaysia Baharu pasca Pilihan Raya Umum 2018 dan kewujudan terma Malaysia Baru pada dekad 1960-an, bentuk-bentuk lain naratif selain daripada penceritaan seperti monumen, lukisan dan artifak, serta potensi kajian ingatan di Malaysia. Menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong melihat perlunya sikap hati-hati dalam membincangkan perihal naratif. Ia tidak semestinya sama dengan konsep lain seperti gagasan yang lebih kepada suatu idea, bukan penceritaan. Di samping itu, istilah yang muncul pada zaman-zaman berlainan harus dilihat daripada segi konteksnya, seperti Malaysia Baharu. Dalam kajian naratif ini, keterbukaan dalam pemanfaatan sumber selain penceritaan secara lisan, seperti monumen dan artifak perlu dialu-alukan, bahkan mampu membuka peluang kajian baharu. Selain itu, kajian ingatan atau memory studies mempunyai potensinya di Malaysia, dengan kewaspadaan terhadap limitasinya sebagai bidang kajian baharu.

Penutup

Siri Kuliah Naratif Malaysia ini diakhiri dengan rumusan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong yang menekankan bahawa siri kuliah ini bukan suatu bentuk sogokan fakta dan analisis. Kuliah ini diharapkan dapat membuka minda para peserta untuk terus berwacana kerana pembinaan ilmu ialah proses dialog, bukan monolog. Selain itu, kuliah ini diharapkan menjadi panduan bagi penghasilan tugasan oleh para peserta. Seterusnya, Encik Mohamad Hariszuan Jaharuddin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong atas kuliah yang disampaikan, juga atas kerjasama yang diberikan para peserta sepanjang Siri Bengkel ini dijalankan.

Laporan Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda (Pembentangan Abstrak)

Cabaran membentuk sebuah kumpulan penyelidikan bukanlah mudah untuk diatasi. Cabaran ini bukan sahaja lahir daripada kesukaran menghasilkan penyelidikan yang bermutu, tetapi juga kesukaran untuk menyelaraskan kumpulan penyelidikan tersebut. Lebih rumit lagi tatkala setiap penyelidik mempunyai latar belakang penyelidikan berbeza.

Cabaran membentuk sebuah kumpulan penyelidikan bukanlah mudah untuk diatasi. Cabaran ini bukan sahaja lahir daripada kesukaran menghasilkan penyelidikan yang bermutu, tetapi juga lahir daripada kesukaran untuk menyelaraskan kumpulan penyelidikan tersebut. Ini lebih rumit lagi tatkala setiap penyelidik dalam kumpulan tersebut mempunyai latar belakang penyelidikan yang berbeza.

Walau bagaimanapun, latar belakang yang berbeza ini, pada hakikatnya, merupakan suatu kelebihan. Menerusi semangat rentas displin, sebuah kumpulan penyelidikan berupaya menghasilkan mutu yang tersendiri dan boleh menjadi buah fikiran yang dapat mengacah fikiran semasa masyarakat (thought provoking). Inilah yang dapat diperhatikan menerusi Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda (pembentangan abstrak) yang dianjurkan oleh Naratif Malaysia (NM) dengan kerjasama Team Selangor, MARI, USAID dan Kedutaan Amerika Syarikat baru-baru ini.

Bengkel ini memberi harapan betapa cabaran penyelidikan akan dapat diatasi sekiranya semua ahli dalam pasukan penyelidikan dapat berganding bahu ke arah mempertingkatkan mutu penyelidikan masing-masing di bawah tema yang saling berkaitan. Ini bakal menghasilkan sains sosial yang mandiri. Untuk memahami cabaran yang dimaksudkan, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong, mantan Presiden Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) (2000 hingga 2010) dan penasihat khas PSSM (sejak 2010 hingga kini), telahpun menggariskan tiga cabaran utama bagi membangunkan sains sosial yang mandiri di Malaysia.

Pertama, cabaran struktur dan institusi. Ia merujuk kepada sistem dan kandungan sistem pendidikan negara termasuk pendidikan tinggi yang masih berpegang kuat kepada Barat, serta pengkorporatan universiti dan penggunaan Key Performance Index (KPI) sebagai ukuran output. Pada pandangan Profesor Abdul Rahman, penekanan universiti kepada KPI khususnya kriteria penerbitan dalam jurnal tertentu hanya manfaatkan hanya sebilangan kecil pembaca, menyumbang kepada penerbitan artikel jurnal yang kurang berkualiti dan mendorong kemunculan sindrom pembonceng gratis yang akhirnya membentuk kesarjanaan yang tidak tuntas.

Kedua, ketergantungan korpus ilmu Malaysia kepada ilmuan luar dan kekurangan karya tempatan di peringkat teori. Berdasarkan pemerhatian Profesor Abdul Rahman, sarjana-sarjana di Malaysia masih berusaha di paras karya empiri, dan tidak atau kurang mengangkatnya ke paras teori.

Ketiga, jurang generasi di antara ilmuan sosial senior dengan generasi pelapis. Menurut Profesor Abdul Rahman, generasi angkatan lama sudah tidak ada atau tidak lagi aktif, dan hanya sebahagian kecil sahaja yang masih aktif membuat sumbangan di luar kerangka institusi. Pada masa yang sama, generasi pelapis pula sedang bergelut dengan pelbagai cabaran dan tuntutan sekaligus menimbulkan cabaran tentang penggantian pembawa obor sains sosial dan membawanya ke hadapan.

Sebenarnya, ketiga-tiga cabaran di atas cuba untuk ditangani oleh Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) yang ditubuhkan pada 1978 sebagai sebuah persatuan ilmuan nasional di luar kerangka universiti. Dalam usaha memelihara idealisme sains sosial daripada cengkaman pragmatisme dan utilitarianisme di universiti sejak 1990an, PSSM menganjurkan International Malaysian Studies Conference sejak 1997 yang menghimpunkan sarjana-sarjana tempatan dan Malaysianist untuk berkongsi penemuan kajian dan idea mengenai pelbagai dimensi masyarakat Malaysia.

Kehadiran dan partisipasi generasi awal sains sosial dalam persidangan ini tidak hanya menyumbang dari segi perkongsian penemuan kajian dan idea tetapi turut memberikan aspirasi kepada generasi pelapis untuk mendukung amanat dan aspirasi sains sosial di Malaysia.

Bagi meningkatkan penerbitan dalam kalangan sarjana tempatan, PSSM telah menerbitkan jurnal Southeast Asian Social Science Review sejak 2016 yang bermatlamat untuk mendorong kajian-kajian yang kritikal dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan. Selain daripada melaksanakan advokasi polisi dan awam, PSSM turut menganjurkan program pembinaan keupayaan bagi menggalakkan peningkatan jumlah ahli-ahli sains sosial muda dan pembinaan pelapis yang dimulakan sejak 2001 sehingga kini.

Selain daripada PSSM, beberapa institut penyelidikan di peringkat universiti telah muncul untuk membangunkan semula penyelidikan, penerbitan dan pengajian siswazah berpandukan visi dan idealisme sains sosial antaranya penubuhan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI, 1994), Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS, 1995) dan Institut Kajian Etnik (KITA, 2007) di Universiti Kebangsaan Malaysia serta Asia-Europe Institute (1997), International Institute of Public Policy and Management (INPUMA, 1999) dan Institute of China Studies (2003) di Universiti Malaya.

Bagi mengatasi cabaran ketergantungan korpus ilmu terhadap ilmuan luar, IKMAS sebagai contoh, adalah antara penganjur utama pendekatan Transformationalist bagi menangani globalisasi berasaskan pengalaman Malaysia sebagai negara membangun sekaligus menjadikan wacana globalisasi lebih global dan kurang sentris Barat.

Misalnya, melalui seliaan Profesor J.H. Mittleman sebagai Penyandang Kursi Pok Rafeah pertama (1997-1999), projek pertama globalisasi di IKMAS ini telah menghasilkan sebuah buku bertajuk Capturing Globalization pada 2001. Projek globalisasi IKMAS di bawah seliaan Profesor Joan Nelson, iaitu Penyandang Kursi Pok Rafeah ketiga (Oktober 2006-Mei 2007), pula telah meninjau kembali persoalan globalisasi dan autonomi nasional berdasarkan kes Malaysia, serta menghasilkan sebuah buku bertajuk Globalization and National Autonomy pada 2008.

Bagi menangani cabaran generasi pelapis sains sosial, satu bengkel pembinaan kapasiti penyelidik muda yang penting telah dianjurkan pada 24-26 Jun 2020 di bawah projek penyelidikan Naratif Malaysia (NM), sebuah projek penyelidikan yang berpangkalan di IKMAS, UKM. Bengkel yang bertemakan ‘Sains Sosial Abad ke-21: Menerus Tradisi Intelektual, Menanggapi Transformasi Sosial.’

Bengkel ini disertai oleh 24 orang peserta yang terdiri daripada tenaga akademik dan pelajar pasca siswazah dari beberapa universiti awam dan swasta, serta dua universiti di luar negara.

Dalam bengkel ini, peserta dikehendaki melaksanakan empat tugasan iaitu mengikuti enam kuliah yang disampaikan oleh Profesor Abdul Rahman selama tiga minggu dari 22 Jun sehingga 9 Julai 2020; melibatkan diri dalam bengkal pembentangan abstrak untuk bab dalam buku pada 24-26 Julai 2020, dan bengkel pembentangan bab dalam buku pada 9-11 Oktober 2020 yang diadakan di Hotel Dorsett, Putrajaya; serta menghasilkan dua esei popular.

Di dalam enam kuliah yang disampaikan oleh Profesor Abdul Rahman, antara topik yang diketengahkan adalah wacana mengenai Mega Trends Abad ke-21 yang membincangkan tentang kebangkitan semula globalisasi oriental yang dipacu oleh China dan pertembungannya dengan globalisasi neoliberal.

Daripada wacana ini, para peserta didedahkan dengan tanggapan yang perlu diambil oleh ASEAN iaitu pendekatan transformasionalist bagi memelihara ruang polisi dan autonomi bagi mengelakkan ketergantungan baharu, serta memanfaatkan unsur sejarah dan peradaban nusantara sebagai asas pemersatu bagi ASEAN.

Selain daripada globalisasi, beberapa Mega Trend lain – iaitu i) revolusi maklumat dan digital, ii) transformasi urbanisasi dan bandar raya berdaya huni, iii) ketaksamaan sosial dan proses precariatisation, iv) transisi demokrasi dan v) musibah risiko dan dampak ke atas masyarakat dan negara – turut dibincangkan dalam konteks impaknya ke atas Malaysia. Bagi mentafsir impak tersebut, para peserta dituntut untuk menguasai disiplin sains sosial dengan baik dari segi teori, perspektif, metodologi, penguasaan bahasa, daya analisis yang tajam.

Selain itu, topik lain yang turut dibincangkan adalah sejarah perkembangan sains sosial di Malaysia yang antara lain menyentuh tentang tiga garis asas ilmu atau sumber sains sosial Malaysia yang terdiri daripada ilmu kolonial, hikayat Melayu dan sumbangan tokoh intelektual awam dari awal abad ke-19 hingga awal abad ke-20.

Topik ini turut menyentuh peranan pakar-pakar akademik Inggeris dari 1945 hingga 1957, penubuhan universiti Malaya dan peranan generasi pertama pada 1960an, penubuhan universiti-universiti baharu dan peranan generasi kedua pada 1970an serta perkembangan sains sosial dari 1980an sehingga kini.

Sebagai generasi pelapis sains sosial, para peserta dituntut untuk memahami susur galur sains sosial di Malaysia berdasarkan garis asas ilmu dan kemunculan disiplin sains sosial di Malaysia. Dalam topik peranan dan orientasi sains sosial di Malaysia, para peserta pula dituntut untuk memahami matlamat sains sosial Malaysia, perdebatan orientasi dan perspektif dalam kalangan generasi pertama dan kedua pada 1960an dan 1970an, perkembangan ilmu sains sosial dan perubahan paradigma, serta kemunculan orientasi dan perspektif berasaskan sejarah.

Perbincangan mengenai sains sosial yang mandiri di Malaysia pula menyentuh soal kriteria sains sosial yang mandiri dan cabaran-cabaran untuk membangunkannya serta prasyarat untuk membina kesarjanaan mandiri yang perlu ada pada setiap peserta.

Usaha untuk membangunkan generasi pelapis tidak mencukupi dengan hanya mengetahui peranan dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh generasi pelapis tetapi mereka perlu melaksanakan kajian-kajian sendiri yang baharu, asli dan relevan.

Dalam soal ini, bengkel pembentangan abstrak untuk bab dalam buku yang dilaksanakan pada 26-28 Julai 2020 adalah signifikan untuk menangani cabaran bagi meningkatkan penerbitan dalam kalangan sarjana tempatan. Sebanyak 24 abstrak telah dibentangkan, dinilai secara kritis dan ditambahbaik oleh Profesor Abdul Halim dan Profesor Abdul Rahman.

Dalam penilaian abstrak ini, Profesor Abdul Halim memberikan penekanan kepada permasalahan, persoalan dan skop kajian sementara Profesor Abdul Rahman pula memberikan penambaikan keseluruhan dari segi tajuk, tumpuan kajian, kerangka kajian, struktur kajian, teori, dan metodologi. Melalui bengkel ini, abstrak-abstrak ini telah berjaya ditambahbaik untuk dijadikan makalah-makalah yang akan dibentang dalam bengkel pembentangan makalah pada 9-11 Oktober 2020.  

Selain daripada penambahbaikan abstrak, para peserta juga menerima manfaat daripada ucapan pembukaan bengkel oleh Profesor Dato’ Dr. Rashila Ramli iaitu Presiden Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) dari 2014 sehingga kini. Dalam ucapan beliau, para peserta dituntut untuk membina kapasiti dengan memperkasakan kepimpinan akademik dan kemudian kepimpinan pentadbiran selaras dengan tuntutan peningkatan kerjaya. Pada masa yang sama, para peserta juga dituntut untuk menjalankan peranan advokasi melalui sumbangan polisi mahupun sumbangan kepada masyarakat. Selain itu, para peserta juga menerima manfaat yang penting daripada bual bicara bersama Profesor Abdul Halim dan Profesor Noraini Othman.

Dalam sesi ini, Profesor Abdul Halim membicarakan tentang cabaran-cabaran yang dihadapi oleh sains sosial sejak 1974 di mana kajian-kajian yang telah dilaksanakan hanya bersifat ‘more of the same’ dan hanya sekadar ‘saw dusts’ yang berterbangan apabila ditiup angin yang menunjukkan kerapuhan kajian-kajian sains sosial di Malaysia.Oleh yang demikian, beliau menekankan perlunya kajian di paras teori bagi membezakan kajian-kajian pada masa hadapan dengan masa lalu.

Pandangan ini disokong oleh Profesor Noraini di mana kajian perlu bersifat theoretically informed, diletakkan di dalam konteks dan berpandukan sejarah. Pada sesi akhir bengkel abstrak ini, para peserta juga mendapat manfaat daripada input yang disampaikan oleh Profesor Abdul Rahman mengenai pengembaraan kesarjanaan, keserakanan dan wacana kritikal untuk mengangkat karya empiri ke paras teori.

Berdasarkan komitmen 24 peserta yang mengambil bahagian dalam bengkel ini, kesemua mereka mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan sebagai generasi pelapis sains sosial abad ke-21. Komitmen mereka ini dapat dilihat melalui kesungguhan mereka untuk mengikuti enam kuliah selama tiga minggu sama ada melalui kehadiran secara fizikal di bilik kuliah atau melalui aplikasi zoom.

Setelah selesai sesi kuliah, mereka juga aktif dalam sesi soal & jawab di mana pertanyaan dikemukakan secara terus kepada Profesor Abdul Rahman untuk mendapat jawapan balas. Kesungguhan mereka ini menepati parameter intelektual yang komited, berprinsip dan jujur. Selain itu, para peserta juga berusaha untuk melakukan kajian baharu yang asli dan relevan, serta melakukan inovasi dari segi kerangka teori dan konsep.

Ini dapat dilihat melalui hasil abstrak di mana terdapat beberapa kajian yang mendapat pujian daripada Profesor Abdul Rahman antaranya ‘Kerencaman Sosial Netizen Malaysia dari Perspektif Sosiologi Digital’, ‘Membina Lentur Masa, Membentuk Ruang: Naratif dan Diskurs Politik di Malaysia’, ‘Pembangunan Klusif vs Pembangunan Bersama: Hubungan dengan Naratif Transformasi Malaysia pada Abad ke-21’ dan ‘Negara Pembangunan Kleptokratis: Malaysia pada Era Pemerintahan Perdana Menteri Najib Razak’.

Berdasarkan huraian di atas, Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda ini berupaya untuk menangani beberapa cabaran membangunkan sains sosial yang mandiri di Malaysia. Keupayaan ini berasaskan potensi para peserta bengkel tersebut untuk menjadi generasi pelapis sains sosial yang utuh dan mandiri, serta menghasilkan kajian yang baharu, asli, relevan dan mempunyai implikasi teori. Inilah harapan untuk suatu kebangkitan aktivisme-intelektualisme Malaysia yang terbibit daripada bengkel tersebut.

Laporan Siri Syarahan Negara Idaman oleh Farish A. Noor

Justeru, penelitian terhadap sumber-sumber sejarah seperti Icones Indiae Orientalis [1601] karya de Bry ini penting bagi Farish sebagai bukti kepada sejarah Asia Tenggara yang kosmopolitan dan telah dilupakan. Ia juga menjadi sumber kepada penulisan semula sejarah subaltern di rantau Asia Tenggara.

Siri Syarahan Negara Idaman bertarikh 26 November 2019 menampilkan Prof. Madya Dr. Farish A. Noor dari Nanyang Technological University, Singapura, dengan syarahan bertajuk “Kota Pelabuhan Banten Sebelum Datangnya Penjajah Eropah: Suatu Pusat Ekonomi-Budaya Kosmopolitan dengan Ciri Nusantaranya Tersendiri”. Bagi mereka yang tidak biasa dengan Farish, tajuk syarahan ini seolah-olah menggambarkan sebuah kembara arkeologi yang cuba membongkar sejarah kota Banten melalui sumber-sumber artifak dan catatan-catatan langsung mengenai kota tersebut. Sebermula syarahan, kita segera menyedari bahawa Farish tidak berhasrat untuk membawa kita kembali ke abad ke-17 melalui laluan-laluan utama sejarah, tetapi lewat denai-denai sejarah lisan yang dikutip dan diceritakan semula oleh aktor-aktor sejarah pada waktu itu. Banten yang cuba diteroka oleh Farish ialah Banten lewat kaca mata keluarga de Bry dari Eropah.

Syarahan ini didasarkan kepada sebuah buku bertajuk Icones Indiae Orientalis [1601] tulisan Johann Theodorus de Bry (bersama dua anaknya, Johann Theodore dan Johann Israel de Bry) mengenai kota Banten yang terletak di Jawa Barat. Banten dalam buku ini adalah gambaran, serta imaginasi, keluarga de Bry terhadap kemakmuran kota tersebut melalui naratif-naratif lisan yang dibawa pulang oleh pedagang-pedagang Eropah yang pernah berkunjung ke sana. Lewat gambaran-gambaran yang dipersembahkan dalam buku ini, Farish menghujahkan bahawa masyarakat Muslim di kepulauan Jawa, serta masyarakat Asia Tenggara amnya, pada ketika itu sudahpun mempunyai suatu sistem masyarakat yang kosmopolitan dan plural dalam kehidupan ekonomi-politiknya berikutan kedudukan Banten sebagai kota pelabuhan penting di rantau ini pada ketika itu. Hal ini kemudiannya mempengaruhi keterbukaan dan penerimaan masyarakat Muslim Jawa terhadap unsur-unsur kebudayaan, keagamaan, dan bahasa yang pelbagai dari luar. Penelitian terhadap kosmopolitanisme dan pluralisme Banten juga memperlihatkan kompleksiti masyarakat kota pelabuhan serta jaringan perdagangan dan hubungan transnasional yang pesat dan meluas di rantau Asia.

Pengisian Syarahan

Farish bermula dengan penegasan mengenai kepentingan proses dekolonialisasi pengetahuan terhadap masyarakat pascakolonial di Asia Tenggara. Dalam konteks dunia yang serba global—dengan sistem ekonomi-politik yang mengikat—masyarakat Asia Tenggara masih lagi terbeban dengan kosa kata politik yang berkecenderungan orientalis serta menafikan khazanah sejarah, pengalaman, dan pengetahuan pribumi/tempatan berikutan pengaruh pandangan sarwa kolonial yang masih kuat mencengkam. Justeru, kita mengalami kesukaran untuk mengungkapkan citra dan peribadi masyarakat Asia Tenggara menggunakan kosa kata tempatan berikutan kurangnya pemahaman, serta penghargaan (appreciation), mengenai sejarah dan pengetahuan tempatan yang dikongsi secara bersama melangkaui sempadan-sempadan negara-bangsa.

Selanjutnya, beliau menjelaskan tentang pengkonsepsian kosmopolitanisme dalam konteks dekolonialisasi pengetahuan. Tanggapan negatif yang melihat konsep kosmopolitanisme sebagai suatu konsep Barat adalah benar sejauh kolonialisme dan kapitalisme kolonial dipertimbangkan. Mengikut Farish, kosmopolitanisme yang dibawa masuk melalui kolonialisme Barat bukanlah kosmopolitanisme dalam pengertian yang lazim difahami melainkan suatu bentuk multikulturalisme kolonial iaitu sebuah sistem masyarakat plural berasaskan dasar pecah dan perintah. Dasar politik inilah yang kemudiannya membentuk landskap politik Malaysia dan Asia Tenggara.

Hal ini membawa kepada sebuah persoalan: apakah wujud suatu bentuk kosmopolitanisme berdasarkan sistem nilai, falsafah, ideologi, dan kosa kata politik tempatan dalam sejarah Asia Tenggara?

Bagi menjawab persoalan ini, Farish menarik perhatian kita kepada Icones Indiae Orientalis [1601] khususnya tulisan-tulisan de Bry mengenai kota Banten di Jawa Barat. Syarahan dibahagikan kepada tiga bahagian: 1) pengenalan kepada de Bry serta hubungannya dalam konteks benua Eropah pada awal abad ke-17; 2) konteks perkembangan Banten sebagai sebuah kota pelabuhan berteraskan ekonomi perdagangan rantau dan global; 3) kepentingan Banten dalam perbahasan mengenai naratif pascakolonial di Asia Tenggara pada masa kini.

Keluarga de Bry dan Latar Eropah Abad ke-17

Theodore de Bry, seperti juga pegawai-pegawai kolonial Eropah seperti Raffles, Crawford dll, dapat dikelaskan sebagai orientalis Barat yang mempunyai prejudis dan agenda tersendiri terhadap masyarakat di luar benua Eropah. Beliau merupakan seorang Protestan yang hidup berlatarkan penghujung era konflik di Eropah. Buku-buku yang diterbitkan oleh de Bry turut mengandungi imej-imej termasuklah peta dan gambar. Ia termasuk dalam genre geografi iaitu seputar topik-topik berkenaan negara dan wilayah. Hakikatnya, de Bry tidak pernah menjejakkan kaki keluar dari Eropah. Tulisan dan imej yang dihasilkan adalah bersumberkan laporan dan naratif lisan yang diperoleh daripada saudagar-saudagar Eropah yang pulang dari perantauan mereka. de Bry juga, menurut Farish, ialah seorang cauvinis yang berbangga dengan keEropahannya—sebagai bangsa kulit putih.

Tamatnya perang antara Eropah dengan dunia Arab, penaklukan Sepanyol, dan penyingkiran masyarakat Arab dan Yahudi dari Eropah menyebabkan masyarakat Eropah mula menjadi lebih homogen. Pada ketika itu, orang-orang Eropah—seperti Belanda, Denmark, Britain, Sepanyol, Perancis—mula menjelajah keluar dari benua tersebut.

Benua pertama yang ditemui ialah Amerika. Penemuan Amerika merupakan suatu kejutan bagi orang Eropah kerana buat pertama kalinya mereka bertemu dengan masyarakat yang mempunyai sistem nilai, budaya, dan peradaban yang berbeza—dan jauh terkebelakang—daripada masyarakat Eropah atau dunia Arab (pada ketika itu merupakan peradaban yang setanding dengan Eropah). Penemuan tersebut menjadi titik permulaan kepada perspektif keunggulan (superiority) Eropah terhadap yang lain.

Tulisan-tulisan de Bry mengenai Amerika banyak berkisar tentang perbezaan antara masyarakat Eropah dengan masyarakat di Amerika terutamanya penekanan terhadap kemajuan Eropah yang jauh meninggalkan Amerika. Di sini, masyarakat Amerika merupakan yang lain yang ketinggalan (the lesser other) bagi masyarakat Eropah. Sebagai seorang konservatif, de Bry turut memberikan penekanan terhadap kekurangan masyarakat di Amerika dari segi sistem keagamaan dan praktik kebudayaan yang dianggap rendah. Antara mitos popular yang disambut dan disebarkan oleh de Bry adalah praktik kanibalisme dalam kalangan masyarakat di Amerika. Hal ini kemudiannya mewujudkan jurang perbezaan budaya dan identiti antara masyarakat Eropah dengan Amerika, sekaligus menjadi sumber kepada pengukuhan rasa keunggulan Eropah.

Namun, kepercayaan tentang keunggulan masyarakat Eropah serta prejudis terhadap yang lain yang dianuti de Bry digugah oleh laporan dan cerita yang dibawa oleh saudagar-saudagar yang pulang dari Asia Tenggara. Mereka menyampaikan cerita tentang pusat-pusat perdagangan yang makmur lengkap dengan sistem ekonomi dengan ciri-ciri kosmopolitan dan terbuka—antara yang sering disebut adalah Banten. Hal ini menjadi masalah kepada de Bry kerana beliau tidak dapat meletakkan stereotaip—didasarkan kepada prejudis terhadap yang lain (merujuk kepada Amerika)—kepada masyarakat di Asia Tenggara. Pada masa yang sama, de Bry juga mahu mengekalkan sikap objektif dalam tulisannya. Faktor individu de Bry ini menjadi salah satu sebab mengapa Farish memilih teks Icones Indiae Orientalis [1601] tentang masyarakat di Asia Tenggara dengan pengkhususan terhadap Banten sebagai sumber analisa beliau.

Kosmopolitanisme dan Pluralisme Banten

Banten diasaskan pada zaman Sunan Gunung Jati dan berkembang menjadi antara pelabuhan terpenting di Pantai Utara Jawa sekitar tahun 1550 ke 1600. Pada ketika ini juga berlakunya proses Islamisasi di Kepulauan Jawa. Kemakmuran ekonomi perdagangan Banten banyak disumbangkan oleh dasar ekonomi terbuka yang dipraktikkan di sana. Kota tersebut segera menjadi terkenal dalam kalangan pedagang-pedagang Eropah sehinggakan istilah Raja Banten itu menjadi sinonim dengan orang kaya di Eropah.

Daripada maklumat-maklumat yang diperoleh de Bry daripada saudagar-saudagar Eropah yang pernah ke Banten, beliau menghasilkan tulisan dan lebih 30 imej cetakan kayu mengenai keadaan di Banten. Imej-imej yang dicetak oleh de Bry untuk memerihalkan gambaran-gambaran beliau terhadap masyarakat Banten banyak dipengaruhi oleh stereotaip-stereotaip yang sudah wujud terhadap masyarakat Arab pada ketika itu. Misalnya, orang-orang Islam di Banten digambarkan memakai serban iaitu suatu ciri kebudayaan bagi masyarakat Islam di Arab. Imej-imej tersebut turut menggambarkan kepelbagaian komuniti yang hidup secara harmoni di Banten—dari Asia Tenggara seperti Burma, Vietnam, dan Sumatera ke Asia seperti China, Jepun, dan Korea hinggalah ke saudagar-saudagar dari Eropah.

Kepelbagaian dan ciri kosmopolitan ini menimbulkan pertanyaan buat de Bry yang membandingkan sistem ekonomi dan masyarakat Banten yang begitu kosmopolitan dengan Eropah yang sangat homogen.

Salah satu aspek yang diajukan oleh Farish adalah berkenaan sistem pentadbiran bagi masyarakat Banten yang bersifat kosmopolitan. Berdasarkan satu imej yang menunjukkan suatu persidangan atau perjumpaan antara sultan Banten dan pemimpin-pemimpin. Beliau mentafsirkan imej tersebut sebagai suatu bentuk ‘parlimen’ di mana sultan, pembesar-pembesar, dan wakil-wakil setiap komuniti berkumpul dalam suatu proses perudingan awam bagi menentukan dasar-dasar seperti cukai dsb. Sistem pentadbiran yang berasaskan kompromi dan kerjasama ini menyumbang kepada komposisi masyarakat Banten yang pelbagai serta dinamik. Justeru, kosmopolitanisme dalam sistem politik, ekonomi, dan budaya Banten menjadi sumber kepada kehebatan Banten sebagai suatu kuasa maritim berikutan jaringan perdagangannya yang luas mencakupi seluruh rantau Asia dan juga Eropah. Jaringan perdagangan yang luas ini turut membuka ruang kepada pertukaran teknologi dan pengetahuan lewat pedagang-pedagang yang berkunjung ke Banten.

Bagi Farish, Icones Indiae Orientalis [1601] tulisan de Bry penting sebagai salah satu teks terawal di Eropah yang memberikan gambaran dalam bentuk naratif lisan dan imej tentang rupa bentuk masyarakat di Asia Tenggara sebelum kedatangan kuasa-kuasa Eropah. Dari satu sisi lagi, Banten merupakan bukti bahawa sudah wujudnya suatu bentuk kosmopolitanisme tempatan di rantau Asia Tenggara jauh sebelum datangnya kosmopolitanisme (baca: multikulturalisme kolonial) Barat.

Malangnya, buku de Bry ini juga telah menarik minat kuasa-kuasa besar tersebut untuk datang dan cuba menguasai Banten. Sepanjang 1601 hingga awal abad ke-18, beberapa kuasa besar telah cuba untuk menguasai Banten. Apabila Belanda menguasai Jayakarta (kemudian ditukar menjadi Batavia) dan menguasai laluan perdagangan di kepulauan tersebut, Banten sedikit demi sedikit hilang pengaruhnya dan tidak lagi mampu untuk bersaing. Akhirnya Banten tidak dikalahkan melalui kekuatan tentera tetapi akibat ketidakmampuannya untuk terus bersaing dalam arena ekonomi—lalu hanya menjadi sebuah provinsi di bawah naungan pemerintahan Belanda.

Banten dalam Konteks Asia Tenggara Masa Kini

Icones Indiae Orientalis [1601] menjadi suatu dokumen penting dalam proses pentafsiran semula sejarah dan dekolonialisasi pengetahuan di Asia Tenggara. Sejarah Banten, menurut Farish, adalah sejarah subaltern masyarakat pribumi Jawa yang telah dipadamkan hasil penjarahan kolonialisme dan kapitalisme.

Dalam konteks yang lebih mutakhir, konotasi negatif yang sering dilekatkan pada konsep kosmopolitanisme dan pluralisme dalam kalangan masyarakat di rantau Asia Tenggara ternyata dapat disanggah oleh bukti yang menggambarkan sistem pentadbiran Banten pada abad ke-17. Sejarah kerajaan-kerajaan di rantau ini seperti Banten dan Melaka membuktikan bahawa kompleksiti merupakan suatu kelaziman dalam masyarakat sebelum datangnya kolonialisme. Justeru, konsep kosmopolitanisme dan pluralisme bukanlah suatu konsep yang asing kepada masyarakat Asia Tenggara.

Sebagai penutup, Farish turut memberikan penekanan kepada penggalian sumber, konsep, dan istilah. Konsep-konsep ini pula haruslah diketengahkan menggunakan kosa kata politik serta tafsiran-tafsiran yang bersifat tempatan. Kesan amnesia sejarah (historical amnesia) akibat kolonialisme jelas terlihat dalam masyarakat di wilayah Banten, Indonesia, masa sekarang yang telah menjadi sangat konservatif; sedangkan jika disorot sejarah, masyarakat Banten pada abad ke-17 merupakan masyarakat yang kompleks dan meraikan kepelbagaian.

Justeru, penelitian terhadap sumber-sumber sejarah seperti Icones Indiae Orientalis [1601] karya de Bry ini penting bagi Farish sebagai bukti kepada sejarah Asia Tenggara yang kosmopolitan dan telah dilupakan. Ia juga menjadi sumber kepada penulisan semula sejarah subaltern di rantau Asia Tenggara.

Bacaan Tambahan

Bagi bacaan lanjut berkenaan Banten serta sikap terhadap kosmopolitanisme Asia Tenggara, lihat:

Farish A. Noor (2018), “When the World Came to Banten: Images of Cosmopolitanism and Pluralism in Java in the Writings of Theodore de Bry 1601”, Kawalu: Journal of Local Culture, 5/2. http://jurnal.uinbanten.ac.id/index.php/kwl/article/view/748/624

Farish A. Noor (2019), “Being South-East Asian”, The Star, 3 November 2019. https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/11/03/being-south-east-asian

Kritikan terhadap fakta yang dikemukakan oleh Farish, khususnya berkenaan imej yang menggambarkan ‘parlimen’ Banten seperti yang disebutkan oleh beliau:

Khai, Le Minh (2019), “On Being Southeast Asian and the Bankruptcy of Liberal Persuasion”, Blog, 24 November 2019. https://leminhkhai.wordpress.com/2019/11/24/on-being-southeast-asian-and-the-bankruptcy-of-liberal-persuasion/

Bacaan lain:

Grafton, A. (1992), New World, Ancient Texts: The Power of Tradition and the Shock of Discovery, Cambridge, Massachusetts: Belknap Press of Harvard University Press.

Chaudhuri, K.N. (1990), Asia before Europe: Economy and Civilisation in the Indian Ocean from the Rise of Islam to 1750, Cambridge: Cambridge University Press.

Laporan Siri Syarahan Negara Idaman oleh Chandra Muzaffar

Chandra Muzaffar usulkan konsep yang disebut “konsep insan” yang mempertimbang aspek kemuliaan manusia dengan tumpuan terhadap aspek kebertanggungjawaban sebagai seorang warganegara Malaysia—termasuklah tanggungjawab menghargai sejarah negara.

Tarikh: 8 Ogos 2019
Masa: 10.00 pagi – 12.30 tengahari
Tempat: Bilik Mesyuarat IKMAS, UKM
Jumlah Peserta: 20 orang

Pendahuluan

Syarahan Negara Idaman adalah merupakan salah satu program yang dijalankan oleh pihak Naratif Malaysia (NM). Program ini bertujuan untuk merungkaikan persoalan yang menjadi intipati kepada cita-cita Negara Idaman iaitu tentang identiti kebangsaan – siapa dan bagaimana menjadi orang Malaysia. Program syarahan anjuran bersama IKMAS, Naratif Malaysia (NM) dan Penang Institute (PI) ini bakal melibatkan pelbagai tokoh. Untuk siri kali ini pihak penganjur telah berjaya menampilkan seorang sosok intelektual yang tidak asing lagi dalam perbincangan negara-bangsa iaitu Dr. Chandra Muzaffar. Beliau membawa tajuk “Setelah 9 Mei 2018: Masa Depan Bangsa Malaysia”. Malah, menurut saudara Ruhan Shahrir yang merupakan pemudahcara bagi syarahan kali ini, Dr Chandra Muzaffar merupakan seorang sosok intelektual-aktivis memandangkan penglibatan beliau secara aktif dalam organisasi-organisasi bukan kerajaan yang banyak memperjuangkan agenda hak asasi manusia, keadilan sejagat, kebebasan dan perpaduan. Beliau sekarang adalah merupakan Presiden JUST (International Movement for a Just World) yang merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan. Organisasi ini bertujuan untuk membangkitkan kesedaran berpandukan ilmu pengetahuan dan asas intelektual bagi mewujudkan sebuah dunia dengan sistem tatakelola yang adil.

Pengisian Syarahan

Syarahan kali ini dimudahcara oleh saudara Ruhan Shahrir Abdul Halim yang merupakan seorang felo penyelidik di Institut Kajian Etnik (KITA) UKM. Beliau memulakan majlis dengan memperkenalkan kepada para hadirin tentang latar belakang penceramah pada kali ini yang bukan sahaja seorang bekas ahli akademik di USM dan UM bahkan pernah bertanding dalam pilihan raya umum tahun 1999 di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak mewakili Parti Keadilan Rakyat. Beliau juga sempat berkongsi tentang salah satu karya Dr Chandra yang berupaya memberikan kesan dalam membentuk pandangannya terutama dalam membincangkan perkembangan Islam di Malaysia iaitu buku yang berjudul “Islamic Resurgence in Malaysia”. Kemudian, moderator memberikan peluang kepada Pengarah IKMAS, Profesor Dr. Sufian Jusoh untuk memberikan kata-kata aluan seterusnya merasmikan majlis syarahan pada hari tersebut. Beliau menzahirkan rasa bersyukur atas inisiatif yang dijalankan serta dalam masa yang sama mengalu-alukan kedatangan Dr. Chandra Muzaffar selaku tetamu istimewa pada program tersebut.

Syarahan Negara Idaman dimulakan oleh Dr Chandra dengan beliau terlebih dahulu memberikan penghargaan kepada pihak penganjur kerana menjemput beliau untuk membincangkan sebuah tajuk yang sehingga hari ini belum mampu diselesaikan secara tuntas dalam negara masyarakat majmuk di Malaysia. Oleh sebab itu, beliau menyatakan mana-mana perbincangan tentang Bangsa Malaysia dalam konteks perpaduan dan keharmonian adalah merupakan tajuk yang begitu dekat dengan hati sanubari beliau memandangkan ianya adalah sebahagian daripada perjuangan beliau selama ini. Hal ini boleh kita lihat menerusi usaha beliau samada melalui idea-idea yang dicurahkan dalam bentuk penulisan serta penglibatan dalam organisasi masyarakat warga (civil society) yang bertujuan untuk merealisasi cita-cita perpaduan dan keharmonian masyarakat di Malaysia.

Perbahasan tentang persoalan Bangsa Malaysia mula dibincangkan secara lebih serius terutamanya pada era Perdana Menteri Keempat apabila beliau telah meletakkan idea Bangsa Malaysia sebagai salah satu daripada sembilan cabaran yang perlu digalas dalam Wawasan 2020. Agenda pemodenan Malaysia yang ingin dicapai melalui Wawasan 2020 mempunyai dua tujuan iaitu tujuan dari sudut ekonomi melalui program industrialisasi dan tujuan dari sudut politik melalui idea tentang Bangsa Malaysia – identiti kebangsaan yang sepunya bagi rakyat Malaysia. Namun, apa yang menjadi masalah tentang idea Bangsa Malaysia dalam Wawasan 2020 ini adalah ketiadaan perincian tentang bagaimana bentuk atau model Bangsa Malaysia yang ingin dicapai. Hal ini menyebabkan apabila idea Bangsa Malaysia yang sifatnya masih terlalu umum dilontarkan ke dalam minda masyarakat khususnya dalam perbincangan ruang awam, telah menghasilkan pelbagai tafsiran tentang konsep Bangsa Malaysia dalam kalangan masyarakat.

Dalam syarahan kali ini, Dr. Chandra hanya memfokuskan kepada dua tafsiran yang muncul dalam dua kelompok utama rakyat Malaysia iaitu tafsiran daripada kelompok Melayu dan kelompok bukan Melayu. Pendekatan yang diambil oleh Dr Chandra dalam menghuraikan dua tafsiran ini adalah dengan menggunakan kaedah “historical sociology” yang melihat sesebuah fenomena sosial dalam hubungan pembentukannya dengan faktor sejarah. Tafsiran terhadap konsep Bangsa Malaysia yang pertama adalah tafsiran yang muncul dalam kelompok bukan Melayu. Konsep Bangsa Malaysia yang dilancarkan pada tahun 1991 boleh kita andaikan disambut baik oleh kelompok bukan Melayu apabila menunjukkan pola sokongan yang baik dalam keputusan pilihan raya umum 1995 kepada kerajaan Barisan Nasional yang memerintah waktu itu.  Hal ini menurut Dr. Chandra adalah kerana kelompok ini melihat gagasan ataupun idea tentang Bangsa Malaysia yang ingin diwujudkan sebagai suatu usaha yang berupaya untuk membuka jalan kepada pelaksanaan agenda kesamarataan kepada seluruh rakyat Malaysia. Bagi kelompok ini, mereka merasakan persoalan kedudukan istimewa orang Melayu, Bahasa Melayu dan agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan telah menjadi penghalang selama ini kepada idea kesamarataan.

Menerusi ulasan yang disampaikan oleh Dr. Chandra, tafsiran yang diberikan oleh kelompok ini ada kebenarannya juga, namun pendekatan yang diambil oleh mereka dalam beberapa keadaan agak bermasalah kerana tidak mengambilkira faktor realiti di lapangan yang berbeza-beza dan tidak menghubungkan permasalahan realiti hari ini dengan proses sejarah pembentukannya yang panjang. Sebagai contoh dari sudut sosioekonomi, beliau membayangkan dua situasi yang berbeza di antara golongan miskin (B40) di pedalaman Sarawak dengan golongan kelas menengah atasan di Selangor memerlukan dua pelaksanaan polisi yang berbeza dengan mengambilkira faktor persekitaran masing-masing yang juga turut berbeza. Hal inilah yang membawa kepada hujah beliau tentang idea kesamarataan yang diperjuangkan oleh kelompok bukan Melayu tadi sangat berkait rapat dengan soal keadilan supaya setiap kelompok masyarakat mendapat layanan yang setimpal dan mampu menyelesaikan masalah dunia sosial mereka. Dari sudut sosiobudaya pula, Dr. Chandra membangkitkan tentang persoalan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang diutamakan mengatasi bahasa-bahasa lain yang wujud di Malaysia terutamanya Bahasa Cina dan Tamil. Menurut beliau, inilah yang dikatakan pendekatan mereka yang agak bermasalah kerana tidak mengambilkira konteks khususnya dari aspek sejarah dan perkembangan sejarah yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantara (lingua franca) di benua nusantara ini.

Manakala, tafsiran terhadap konsep Bangsa Malaysia yang kedua adalah yang datang daripada pandangan kelompok orang Melayu. Menurut Dr. Chandra, terdapat sebahagian daripada kelompok orang Melayu ini yang merasakan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Melayu atau dalam istilah sejarahnya sebagai Tanah Melayu. Dalam menghuraikan tafsiran yang kedua ini, beliau berpandangan bahawa ianya juga adalah agak bermasalah khususnya dalam rangka untuk mencapainya kerana tidak melihat dengan serius kepada proses pensejarahan terutamanya sejarah bagaimana kemasukan kelompok bukan Melayu ke dalam Tanah Melayu yang kemudiannya adalah Malaysia. Malahan, beliau juga sempat menyinggung Bangsa Melayu sebagai bangsa yang rugi kerana perjuangan nasionalisme Melayu dalam sejarah ternyata tidak berupaya untuk mewujudkan negara Melayu sebagaimana yang berlaku di negara-negara lain seperti Indonesia. Natijahnya, yang wujud adalah negara Malaysia yang sifatnya pelbagai kaum di mana bangsa Melayu turut termasuk menjadi kaum Melayu daripada pelbagai kaum yang wujud di Malaysia. Dari aspek sejarah kemasukan bukan Melayu tadi, beliau membahagikan sejarah tersebut kepada dua tempoh masa iaitu sebelum kemasukan penjajah dan selepas kemasukan penjajah. Semasa tempoh sebelum kemasukan penjajah, penghijrahan dan proses mastautin yang berlaku adalah secara semulajadi (natural migration) yang tidak membawa masalah-masalah yang besar kepada masyarakat setempat pada masa itu memandangkan jumlah peratusannya juga yang agak kecil. Namun, yang menjadi masalah adalah pada tempoh selepas kemasukan penjajah kerana proses yang berlaku bukan lagi proses yang disebut natural migration. Menurut beliau, ada dua sebab kenapa proses ini bermasalah adalah kerana peratusan migrasi yang besar dan peranan kepimpinan peribumi yang tidak berupaya menghalang keputusan penjajah yang bertindak mengawal penuh terhadap proses migrasi ini.

Bagi pandangan Dr. Chandra, dua tafsiran yang dibentangkan ini adalah merupakan antara penghalang kepada perpaduan nasional yang ingin dicapai. Di akhir sesi syarahan kali ini, beliau telah mengusulkan suatu jalan penyelesaian kepada masalah yang telah dibincangkan iaitu melalui jalan perlembagaan dan pendidikan. Di antara rahmat atau keberuntungan yang besar bagi Malaysia adalah pada struktur perlembagaan Malaysia yang telah digubal yang cuba untuk mencantumkan kelompok-kelompok yang ada dalam erti kata ingin mencapai keseimbangan. Sebagai contoh, walaupun Perkara 153 secara jelas menyebut tentang kedudukan orang Melayu dan bumiputera namun dalam masa yang sama turut menetapkan tentang hak bukan Melayu juga akan terjamin. Begitu juga hal dan keadaannya dalam perkara bahasa dan agama. Melalui jalan perlembagaan, aspek yang terpenting di dalamnya adalah tentang aspek kewarganegaraan. Daripada aspek kewarganegaraan kemudiannya akan timbul pula dua hal yang utama iaitu persoalan hak dan persoalan tanggungjawab. Dalam realiti dunia moden pada hari ini, persoalan hak menurut beliau sudah jelas termaktub dalam perlembagaan namun persoalan tentang tanggungjawab masih kurang diberi perhatian untuk diterapkan kepada setiap warganegara. Justeru itu, beliau mengusulkan di hujung sesi suatu konsep yang disebut “konsep insan” dari sudut kemuliaan dan kehormatannya yang harus diberikan pendidikan tentang elemen tanggungjawab sebagai seorang warganegara Malaysia dan salah satu daripadanya adalah tanggungjawab untuk memahami dan menghargai sejarah.

Penutup

Syarahan kali ini disudahi dengan ucapan penutup oleh saudara Ruhan Shahrir yang membuat kesimpulan ringkas terhadap syarahan yang telah disampaikan oleh Dr Chandra. Beliau menegaskan bahawa perbahasan tentang persoalan Bangsa Malaysia adalah merupakan sebuah proses yang akan terus berjalan dan memerlukan penglibatan semua pihak untuk turut sama menjayakannya. Beliau juga turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada para hadirin yang terdiri daripada pelbagai pihak atas kehadiran dan penyertaan yang diberikan sepanjang perbincangan berlangsung.

Laporan (III) Forum Naratif Malaysia: Masa Depan Politik Kaum dan Agama

Pada 10 Mei 2018, di ufuk langit tanah air yang tercinta, keheningan embun pagi terasa berbeza sekali. Tiada sesiapa pun yang mengungkapkan kata-kata. Mereka terpaku.. Tetapi…

Oleh: Ellisa Agatha

Pada 10 Mei 2018, di ufuk langit tanah air yang tercinta, keheningan embun pagi terasa berbeza sekali. Tiada sesiapa pun yang mengungkapkan kata-kata. Mereka terpaku. Kelihatan air mata membasahi pipi, ada yang gembira ada juga yang berduka. Pilihan Raya Umum ke-14 memberikan sinar baharu untuk Malaysia, tanah air yang tercinta.

Tampaknya, peralihan tampuk pemerintahan negara daripada orde lama selama 61 tahun telah membawakan sebuah pengharapan baharu untuk tanah tumpahnya darahku ini. Hari itu merupakan hari yang bersejarah yang telah menggegarkan dunia. Buat pertama kalinya, munculnya sebuah kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat untuk mewakili suara mereka. Buat pertama kalinya, seorang mantan Perdana Menteri kembali ke pentas politik untuk mencorakkan kembali negara ini.

Seiring dengan perubahan yang berlaku, marilah kita berbicara mengenai politiking yang menggunakan isu ketuanan dalam mencapai kekuasaan didalam sebuah pemerintahan. Tidak dapat dinafikan, sentimen politik kaum dan agama sering digendangkan dan merupakan isu yang utama dalam meraih sokongan rakyat. Polarisasi kaum jelas mewujudkan jurang di antara mereka yang berlainan agama dan bangsa. Tidak dapat kita nafikan, politik perkauman dan agama ini jelas telah bermula sebelum PRU-14 lagi.

Mengimbau kembali sejarah hitam 13 Mei 1969, isu perkauman telah dibangkitkan serta orang Melayu dimomokkan dengan naratif Melayu iaitu orang Melayu hilang kuasa serta orang Cina mengusir Melayu daripada tanah air sendiri. Berganjak kepada pasca PRU-14 pula, Malaysia kini mempunyai cabaran yang lebih luas apabila berlakunya kejatuhan Parti Dominan iaitu Barisan Nasional kepada Parti Pakatan Harapan yang dijalinkan melalui kerjasama DAP, PKR, AMANAH dan PPBM.

Menurut Syahredzan Johan (2019), kegusaran rakyat jelas ketara apabila tradisi perlantikan jawatan penting berubah daripada kalangan orang Melayu dan Islam kepada orang bukan Melayu dan bukan Islam. Ia dapat dilihat melalui perlantikan Peguan Negara Malaysia, Tommy Thomas serta perlantikan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan Malaysia. Politik perkauman dan agama ini kian membarah kesan daripada sifat ego sesebuah kaum untuk mendominasi kekuasaan tersebut. Misalnya, kerjasama UMNO-PAS melalui Penyatuan Ummah (blok oposisi) yang memperjuangkan isu-isu yang memperjuangkan Islam. Namun, adakah matlamatnya adalah benar-benar untuk memperjuangkan agama atau hanyalah sebagai modus operandi demi meraih undian kaum majoriti semata-mata? Demokrasi di Malaysia yang membenarkan persaingan antara agama menerusi politik kepartian tampaknya menimbulkan rasa perbezaan yang seterusnya membawa kepada persaingan antara parti-parti yang lain.

 Kerelevanan politik perkauman dan agama ini sehingga kini menjadi topik debatan dan perbincangan di negara kita. Misalnya, kekalahan BN dapat dilihat kerana parti tersebut terlampau menggunakan isu politik kaum dan agama sebagai isu yang utama. Menurut Pamela Yong (2019), UMNO bertanggungjawab akan pengundi Cina yang masih kekal menyokong PH dalam PRK DUN Semenyih baru-baru ini. Hal ini demikian kerana, kekurangan sokongan pengundi Cina yang diberikan kepada BN adalah berpunca daripada kenyataan sensitif dan bersifat perkauman yang dibuat oleh pimpinan tertinggi UMNO sewaktu berkempen. (Sinar Harian, 2019) Namun, M.K.Keong (2019) berpendapat bahawa perjuangan ini berada pada landasan yang tepat kerana melalui kewujudan isu ini, ia telah mewujudkan sebuah ruang bagi multiracial party dalam menentukan hala tuju politik Malaysia. Beliau beranggapan bahawa seperti ekonomi laissez-faire, sekiranya rakyat menolak maka ia tidak mungkin dapat direalisasikan maka begitulah nilai politik kaum dan agama ini.

 Lazimnya, politik perkauman ini dimainkan oleh pihak oposisi untuk meraih undi. Helen Ting (2019) beranggapan bahawa Dasar Integrasi Nasional dibawah rejim Barisan Nasional seakan menyokong kepelbagaian budaya namun kadang-kala ia bersifat asimilasi. (Multiculturalisme vs Assimilation) Beliau melihat perkongsian kuasa etnik sebagai modus operandi untuk mencapai matlamat mereka. Menurut Azhar Ibrahim (2019), beliau berpendapat bahawa ia adalah wajar seandainya isu tersebut menjaga hak mereka bersama, dan tidak wajar pula sekiranya ia hanyalah berhak untuk kelompok tertentu sahaja. Helen Ting (2019), turut berpendapat sama dengan beliau dengan menjelaskan bahawa etnisiti untuk mempertahankan kepentingan semua, sememangnya wajar. Namun sekiranya ia tidak dilihat dalam konteks yang lebih luas maka ia akan menjadi sebuah masalah. Hatta, beberapa langkah telah dikemukan serta dibincangkan melalui Forum “Naratif Malaysia: Masa Depan Politik Kaum dan Agama” iaitu dengan mengetengahkan naratif nasional yang inklusif.

Antara prinsip naratif yang diketengahkan adalah dengan berpegang pada konsep Malaysia adalah satu iaitu Malaysia adalah untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa, pendirian politik, dan status tanpa sebarang pengecualian. Demi mencapai negara yang harmoni yang terdiri daripada kepelbagaian etnisiti pula, kerajaan juga perlulah memastikan agar rakyat tidak ketinggalan dengan memberikan hak serta tanggungjawab yang sepenuhnya dan sama rata kepada mereka. Tambahan lagi, setiap masyarakat perlulah bersetuju untuk berkerjasama dan berganding bahu dalam menghadapi cabaran dunia bersama-sama demi negara Malaysia. Jika diteliti dengan lebih mendalam, ketiadaan etika moral merupakan faktor yang menjerumuskan masyarakat untuk berdepan dengan masalah politik kaum dan agama. Sehubungan dengan itu, amatlah penting untuk kita meneroka dan memahami faktor politik dan agama ini masih wujud dan bertahan sehingga kini.

Kesedaran mengenai isu ini adalah tidak seragam kerana setiap orang mempunyai pendapat yang berbeza dengan beranggapan bahawa mereka menjadi ancaman atau dipergunakan oleh pihak yang lain. Hal ini dapat dilihat apabila setiap masalah atau pertelagahan bukan politik semata seringkali dikaitkan dengan politik. Hakikatnya, diskriminasi yang berlaku dalam kalangan masyarakat itu adalah rendah namun persepsi individu yang kian menebal. Oleh yang demikian, amatlah penting untuk mewujudkan sebuah pendidikan mengenai perlembagaan semenjak berada di bangku sekolah lagi agar isu politik kaum dan agama ini tidak disalahgunakan. Politik kaum dan agama ini jarang dibicarakan pada tahun 60-an, namun kini, ia telah dibincangkan pada peringkat nasional. Justeru, kerajaan perlulah mengikhtiarkan dan mencari solusi dalam membendung dan menangani sifat perkauman yang kian menebal dalam diri rakyat di Malaysia.

Akhirulkalam, politik kaum dan agama ini sebenarnya menjadi tunggak dalam mencorakkan politik di negara Malaysia. Penulisan ini membawa kepada penghujahan sama ada politik dan agama masih relevan digunakan pada zaman modenisasi kini. Justeru itu, kerajaan perlulah mengurangkan politicking malahan seharusnya memfokuskan kepada policy-making untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik. Oleh yang demikian, kerajaan seharusnya memfokuskan dan memikirkan soal negara dan bukannya memfokuskan kepada kerencaman kaum semata-mata. Hal ini demikian kerana, menurut Nadzri Noor, sifat kerencaman dalam negara ini bukanlah suatu bentuk ancaman tetapi merupakan suatu hal yang saling melengkapi.

Rujukan

Sinar Harian. 2019.[https://www.sinarharian.com.my/article/16296/BERITA/Politik/Politik-kaum-punca-Cina-tolak-BN]

Laporan (II) Forum Naratif Malaysia: Masa Depan Politik Kaum dan Agama

Masyarakat Malaysia secara keseluruhannya, terlalu terikut dengan tradisi pemikiran yang telah disosialisasikan terhadap mereka dan sedikit daripada kita yang cukup berani untuk memecahkan tembok kebiasaan tersebut.

Oleh: Aida Zakiah Razak

Pada tanggal 23 Julai 2019, telah dianjurkan sebuah forum yang bertujuan untuk membincangkan isu berkaitan politik kaum dan agama di Malaysia pada masa kini. Isu ini merupakan isu sensasi terutamanya setelah Pakatan Harapan memegang tampuk pemerintahan melalui Pilihanraya Umum ke 14 yang lalu. Forum ini telah dianjurkan oleh Naratif Malaysia dan mengumpulkan individu-individu yang berkait rapat dengan politik daripada pelbagai bidang. Individu-individu yang dijemput adalah Encik Syahredzan Johan (Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri), Mak Kah Keong (Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia), Dr Azhar Ibrahim (Pensyarah NUS) dan Prof Madya Dr Helen Ting (Felo Kanan IKMAS, UKM). Forum ini telah menggariskan beberapa persoalan yang ingin dirungkaikan berkaitan politik kaum dan agama di Malaysia.

Persoalan 1 : Adakah perkembangan semasa politik kaum dan agama pasca PRU-14 ini sesuatu yang benar-benar baharu ataupun situasi ini sememangnya ketegangan yang lazim dalam sejarah politik Malaysia?

Bagi menjawab persoalan pertama, saudara Syahredzan telah menegaskan bahawa ia bukan isu yang baharu. Namun ia semakin hangat diperkatakan setelah pertukaran kuasa berlaku. Secara logiknya, semestinya wujud politik kaum dan agama jika parti politik sendiri menyatakan pendirian untuk memperjuangkan kaum dan agama tertentu sahaja. Walaupun terdapat parti politik yang telah menegaskan bahawa mereka bukanlah parti politik untuk satu-satu kaum sahaja, pengaruh latar belakang majoriti ahli di dalam parti tersebut akan memberi kesan kepada mereka yang baru ingin menyertai parti tersebut. Masyarakat Malaysia secara keseluruhannya, terlalu terikut dengan tradisi pemikiran yang telah disosialisasikan terhadap mereka dan sedikit daripada kita yang cukup berani untuk memecahkan tembok kebiasaan tersebut. Sebagai contoh, saudara Mak mengatakan bahawa parti gerakan bukanlah diwujudkan untuk kaum Cina sahaja tetapi apabila majoriti daripada ahli adalah dalam kalangan kaum Cina, kaum lain secara automatik menganggap pasti tersebut untuk kaum tersebut sahaja. Perkara ini bersangkutan juga dengan pandangan masyarakat terhadap mereka yang menjadi golongan minoriti di dalam parti yang didominasi sesuatu kaum. Golongan ini bakal menerima kecaman daripada kaum majoriti tersebut dan juga kaum mereka sendiri yang tidak menyokong dan berasa pelik dengan tindakan mereka. Jika pemikiran seperti ini berterusan, politik kaum dan agama akan terus menjadi kelaziman di Malaysia sekalipun pertukaran kerajaan berlaku berkali-kali.

Persoalan 2: Apakah punca kepada penerusan – ataupun peningkatan – politik kaum dan agama di negara ini?

Terdapat pelbagai punca yang digariskan oleh ahli-ahli panel. Namun terdapat beberapa punca yang pada pendapat saya paling memberi kesan kepada perkembangan politik kaum dan agama di Malaysia. Pertama sekali semestinya faktor media. Pelbagai kisah yang disampaikan menerusi semua platform media kebanyakkannya dibuat untuk mensensasikan sesuatu isu. Tidak kira sama ada untuk mendapatkan keuntungan atau secara suka-suka, maklumat yang diperolehi daripada media biasanya tidak begitu tepat. Laporan-laporan yang dikeluarkan biasanya berfokus kepada isu yang boleh ‘dijual’, bukannya kepada isu utama yang ingin diselesaikan. Isu-isu yang boleh ‘dijual’ ini pula berasal daripada perkara yang dianggap sensitif oleh masyarakat. Isu kaum dan agama sememangnya isu yang sensitif dalam masayarakat, oleh itu, segala isu politik juga disalingkait dengan isu kaum dan agama untuk mendapatkan manfaat tertentu. Sensitiviti terhadap kaum dan agama pula dapat dikaitkan dengan faktor pemahaman sejarah yang tidak tepat dan tidak mendalam dalam kalangan warganegara Malaysia. Rakyat Malaysia sering bersifat selfish dalam memahami susur galur sejarah negara. Setiap kaum lebih suka melihat kepada masalah dan perjuangan kaum sendiri sahaja. Ini menyebabkan sukar untuk menyatupadukan pemikiran dan mewujudkan sifat memahami dan menghargai usaha dan perjuangan kaum lain. Dua faktor ini pada pendapat saya menyumbang kepada sikap rasis dalam masyarakat Malaysia yang kemudiannya digunakan untuk membangkitkan isu politik kaum dan agama.

Persoalan 3: Sejauhmanakah politik kaum dan agama berupaya memecahkan projek negara-bangsa Malaysia?

Negara-bangsa Malaysia adalah satu impian untuk memiliki identiti nasional yang dikaitkan dengan seluruh rakyat Malaysia supaya memiliki rasa bersatu-padu walaupun memiliki perbezaan kaum dan agama. Menurut saudara Syahredzan, identiti nasional ini merupakan salah satu cara untuk meredakan politik kaum dan agama di Malaysia. Pada pendapat saya pula, pembinaan negara-bangsa Malaysia dan politik kaum dan agama adalah bersifat simultaneous antara keduanya. Oleh itu, memang benar politik kaum dan agama dapat menggagalkan projek pembinaan negara-bangsa Malaysia. Namun, menurut Dr Helen, isu berkaitan kaum dan agama ini boleh dilihat daripada tiga perspektif atau domain iaitu (1) domain awam – media, parlimen, demonstrasi; (2) interaksi peribadi / seharian -kawan, jiran; dan (3) domain institusi dan negara – dasar kerajaan, birokrasi, sistem pendidikan, undang-undang, pelembagaan. Dalam pembinaan negara-bangsa dan isu politik kaum dan agama, domain awam hanya akan membawa kepada lebih banyak kekeliruan. Oleh itu, sukar untuk domain awam menjadi wadah penyatuan rakyat Malaysia pada masa kini. Domain institusi dan negara pula penuh dengan penglibatan individu-individu berkepentingan yang ada antaranya tidak menginginkan penyatuan rakyat. Oleh itu, interaksi peribadi dan seharianlah yang dapat memberi gambaran jelas tentang realiti hubungan antara kaum dan agama di Malaysia. Sekiranya perubahan perlu dilakukan dalam pemikiran rakyat, di tahap inilah ia dapat dipupuk agar politik kaum dan agama dijalankan secara sihat seterusnya memungkinkan projek negara-bangsa Malaysia.

Persoalan 4: Bagaimana dapat kita membayangkan rupa bentuk teras negara Malaysia yang kita idam-idamkan di celah-celah politik kaum dan agama ini?

Seperti yang dikatakan oleh Dr Azhar, membela kaum dan agama sendiri adalah perlu dilakukan oleh setiap individu. Perkara ini juga disokong oleh Dr Helen yang mengutarakan tentang identiti kaum dan agama masing-masing yang menjadi tradisi sejak turun temurun. Namun perjuangan kaum dan agama ini perlu bertempat dan tidak bersifat berlebih-lebihan. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa sekiranya setiap rakyat bersikap rasional dalam isu kaum dan agama, politik kaum dan agama di Malaysia akan berlaku secara sihat seterusnya menyumbang kepada kemajuan dan pembentukkan negara ke arah yang diidamkan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Persoalan 5: Apakah jalan keluar daripada politik kaum dan agama ini?

Penyelesaian yang dicadangkan oleh ahli panel adalah berbeza-beza mengikut kepada perspektif yang dilihat berdasarkan profession masing-masing. Bagi pengamal politik seperti saudara Syahredzan dan saudara Mak, jalan keluar yang dicadangkan antaranya ialah:-

  1. Mewujudkan naratif nasional sebagai ganti naratif yang digunapakai kini.
  2. Kesedaran bahawa negara ini untuk semua rakyat tidak mengira kaum dan agama.
  3. Memegang teguh prinsip dan asas-asas dala perlembagaan persekutuan.
  4. Memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dan dipinggirkan.
  5. Menyedari kenyataan bahawa untuk negara meluaskan potensi memerlukan kerjasama semua pihak tidak mengira latar belakang.
  6. Mengenalpasti mengapa wujudnya ketegangan kaum.
  7. Memahami perasaan dan ketidakpuashatian yang dirasai oleh setiap kaum dan agama.
  8. Merealisasikan slogan-slogan yang dibina untuk membentuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagi ahli akademik seperti Dr Azhar dan Dr Helen pula, penyelesaian adalah lebih kearah sosialisasi dan pemahaman tentang budaya sendiri dan orang lain. Melalui pemahaman yang mendalam, setiap individu dapat meletakkan diri di tempat orang lain seterusnya dapat membuat penilaian yang lebih rasional dan logik dalam setiap isu. Pemahaman ini pula perlu diperturunkan melalui proses sosialisasi kepada para pelajar dan anak-anak yang bakal menerajui negara pada masa hadapan.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, bagi saya, forum ini mencapai matlamatnya untuk memberi peringatan tentang bahaya politik kaum dan agama yang tidak sihat terhadap negara dan juga melihat cara untuk menangani atau memanfaatkan politik kaum dan agama ini kearah pembangunan negara. Cadangan saya pada masa akan datang, sebagai tambahan kepada pengamal politik dan ahli akademik, pemikir-pemikir agama yang progressif daripada pelbagai agama juga boleh dijemput sebagai panel untuk membahaskan tentang isu ini dari perspektif mereka.

Laporan (I) Forum Naratif Malaysia: Masa Depan Politik Kaum dan Agama

Terutamanya selepas PRU-14, terdapat perubahan dan perkembangan baru di mana peningkatan secara beransuran berkaitan dengan isu sosial yang melibatkan kaum dan agama di perbincangan aras perdana.

Oleh: Jennifer Phun

Forum “Naratif Malaysia: Masa Depan Politik Kaum dan Agama” telah berlangsung secara lancarnya pada 23 Julai 2019 di Hotel Puri Pujangga, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ahli- ahli akademik dan politik yang terlibat (ahli panel)  merupakan ahli kepakaran dalam bidang masing-masing iaitu politik, kaum dan agama. Sejak kemerdekaan pada 1957, perkembangan Malaysia telah menghadapi pelbagai cabaran dari luaran dan dalaman. Terutamanya selepas PRU-14, terdapat perubahan dan perkembangan baru di mana peningkatan secara beransuran berkaitan dengan isu sosial yang melibatkan kaum dan agama di perbincangan aras perdana.     

Penceramah pertama merupakan Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri – Encik Syahrezan Johan. Dalam perbincangan beliau, GE-14 dapat memperolehi undian anak muda Malaysia menerusi isu yang lebih penting iaitu kos sara hidup dan pekerjaan selain isu keagamaan dan etnik manakala isu ‘Melayu hilang kuasa’ menjadi tumpuan utama semasa GE-13. Dengan perubahan parti baru yang memegang kuasa, ahli-ahli politik kini cuba mengambil ‘jalan’ Mesra Melayu untuk menunjukkan bahawa hak Melayu masih dititik berat oleh mereka. Walaupun cara ini dapat meringankan ketegangan kaum semasa, tetapi pada masa jangka yang panjang Negara Bangsa tidak dapat diwujudkan dan isu mengenai kaum serta keagamaan mungkin lebih serius sehingga menjadi isu utama untuk GE-15. Oleh itu, beliau mengemukakan beberapa penyelesaian untuk isu ini. Pertama sekali, prinsip negara untuk semua rakyat Malaysia tidak mengira agama, kaum dan status serta tiada pengecualian di mana warganegara seorang rakyat Malaysia tidak dipertikaikan. Kedua, prinsip perlembagaan Malaysia yang menyatakan hak asas untuk semua rakyat Malaysia dan kedudukan khas orang Melayu tidak dipersoalkan. Tambahan pula, tiada komuniti/kumpulan yang dipinggirkan dan merealisasikan potensi masyarakat untuk negara dalam menghadapi cabaran globalisasi.

Encik Syahrezan turut mengemukakan slogan ‘Kemakmuran Bersama’ dan ‘1 Malaysia’ untuk menekankan bahawa rakyat perlu merasai dan menghayati makna sebenarnya sebalik hanya melihat ia sebagai satu slogan daripada kerajaan. Selain itu, ketegangan kaum masih berlaku disebabkan parti pembangkang yang memegang akan terhadap isu kaum dan keagamaan lalu dapat memperolehi reaksi daripada pihak kerajaan serta pihak ketiga (media) yang merangsangkan isu tersebut. Justeru itu, isu ini masih merupakan salah satu isu nasional. 

Forum ini diteruskan dengan penceramah kedua – Encik Mak Kah Keong yang merupakan Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia. Dalam perbincangan beliau, masyarakat umum yang lazimnya menentukan hala tuju politik negara. Sebagai contoh, politik negara Malaysia serupa ekonomi laissez faire. Untuk lebih memahami struktur dan perkembangan parti politik dan isu perkauman di Malaysia, Encik Mak telah menyentuh tentang 13 Mei, di mana struktur pemerintahan dan politik Malaysia berasal dan berasaskan salah faham antara kaum. Beliau turut membandingkan cara pelaksanaan dan pentadbiran parti baru dengan parti lama lalu merumuskan bahawa terdapat persamaan iaitu prinsip kongsi sama dalam pentadbiran.

Penceramah ketiga merupakan pensyarah NUS – Dr. Azhar Ibrahim. Beliau melihat kepada tiga perkara iaitu gubahan Rukun Negara selepas merdeka pada tahun 1957, peranan intelektual Malaysia mengenai isu politik kaum dan keagamaan serta respons daripada agen kultural. Sehubungan dengan itu, Dr Azhar membincangkan bahawa kumpulan etnik wajar menjaga hak dan kebajikan tetapi jikalau hanya untuk kebajikan dan manfaat kumpulan tersendiri makalah tidak wajar kerana Malaysia merangkumi pelbagai etnik. Dalam lain kata, untuk berjaya dalam integrasi nasional, semua hak dan kebajikan etnik perlu dipertimbangkan dan dijaga. Tambahan pula, pihak atasan perlulah mendengar pandangan dan memahami keperluan rakyat; pada masa yang sama sentimen rakyat yang kuat perlulah ‘sembuh’ supaya pelaksanaan (pentadbiran) dapat lakukan. Beliau juga mengemukakan beberapa ahli tokoh terkenal yang kritikal terhadap status quo semasa iaitu Syed Hussein Alatas dan Colin Abraham bersamaan tokoh Usman Awang dan Chandra Muzaffar dari segi respons kultural. Konotasi kultural digunakan sebaliknya budaya kerana secara umumnya, ‘budaya’ memberi persepsi budaya tarian dan seni. Oleh itu, gerakan kultural merupakan segala yang tidak melibatkan politik. Jalan keluar yang dibincang melibatkan pendidikan kewarganegaraan di mana pihak yang bertanggungjawab dan terlibat memandangkan perkara pendidikan dengan serius, pertambahan projek kultural di mana peranan NGO dan institusi pendidikan tinggi dalam mengembangkan dan memelihara projek yang sedia ada serta memerlukan transformasi sosial yang lebih menyeluruh.

Penceramah terakhir untuk forum merupakan Prof. Madya Dr. Helen Ting, Felo Penyelidik IKMAS di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau memulakan presentasi dengan kerangka konsep etnik dan menyatakan mempertahankan etnik membawakan kebaikan namun jikalau hanya etnik tersebut sahaja maka tidak digalakkan. Seterusnya, komentasi ahli politik terhadap sekumpulan etnik secara langsung dan tidak langsung dapat mencetuskan reaksi yang positif dan negatif. Salah satu contoh yang diberikan adalah komentasi terhadap tarian singa kaum cina di mana, reaksi negatif diperolehi tetapi secara positifnya, penglibatan anak muda cina dalam tarian singa telah meningkat. Dr Helen mengemukakan tiga domain hubungan etnik iaitu institusi negara, domain awam dan interaksi peribadi. Tambahan pula, statistik dikemukakan mengenai persepsi terhadap diskriminasi antara kaum adalah lebih tinggi berbanding pengalaman diskriminasi yang dihadapi dalam kehidupan seharian. Malahan, kekurangan interaksi antara kaum bukan merupakan masalah yang besar dalam isu perkauman. Perkara 154 dan perkara 8 dalam perlembagaan turut disentuh oleh beliau untuk meneruskan perbincangan mengenai isu politik kaum dan agama di Malaysia kerana ketegangan etnik yang berlaku tidak hanya disebabkan oleh faktor ekonomi dan politik. Dalam kata lain, pengekalan identiti sekumpulan etnik merupakan salah satu faktor yang menyumbang dalam isu ini. Di samping itu, Dr Helen turut membincangkan mengenai dasar integrasi nasional yang kontradiksi di mana multikulturalism dan asimilasi dapat dilihat dalam masyarakat Malaysia. Selanjutnya, isu integrasi dalam kumpulan etnik sering kali dijadikan sebagai isu sebaliknya diakui bahawa integrasi antara kumpulan etnik telah/dapat dilakukan. Politik perkauman wujud dalam masyarakat namun untuk membina sebuah Negara Bangsa, ia perlu setanding dengan realiti rakyat Malaysia.

Sebelum mengakhiri forum, terdapat sesi perbincangan antara ahli panel dengan peserta di mana self-empowerment, fenomena sosial, mitos sosial dan usaha yang merentasi politik perlu dilaksanakan dan digubah untuk menangani isu politik kaum dan keagamaan di Malaysia dengan lebih baik. Pada pendapat saya, keunikan Malaysia merupakan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Lebih-lebih lagi, saya bersetuju dengan perbincangan mengenai jalan keluar yang dikemukakan oleh ahli-ahli panel antaranya, perlembagaan tidak difahami sepenuhnya oleh rakyat Malaysia termasuklah ahli intelek dan ahli politik serta pelaksanaan serius dalam pendidikan kewarganegaraan kepada generasi muda supaya isu politik kaum dan keagamaan dapat ‘diselesaikan’ dengan baik. Pendek kata, semua institusi- kerajaan, swasta, awam, kultural dan individu perlulah lebih tegas dan memainkan peranannya dalam menangani isu politik kaum dan keagamaan di Malaysia.

Laporan Majlis Perasmian Seminar dan Ucaptama Naratif Malaysia

Majlis ini merupakan perasmian kepada Naratif Malaysia yang merupakan satu inisiatif bagi mengembangkan wacana mengenai Malaysia dan Melayu dalam bentuk akademik dan separa akademik di Malaysia.

Tarikh: 19 Mac 2019
Masa: 730pm- 10.30pm
Tempat: Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia
Jumlah kehadiran: 1000 orang

Pendahuluan

Majlis ini merupakan perasmian kepada Naratif Malaysia yang merupakan satu inisiatif bagi mengembangkan wacana keMalaysian yang tersusun dalam bentuk akademik dan separa akademik meliputi program seperti seminar, bengkel, forum, wawancara dan diskusi. Inisiatif ini mendapat sokongan penuh daripada Pejabat Menteri Besar Johor dan EXCO Pembangunan Keusahawanan, Koperasi Dan Ekonomi Kreatif. UTM turut mengalu-alukan program ini dengan menawarkan dewan serba indah sebagai lokasi majlis.

Majlis ini diawali dengan ucapan oleh Sheikh ‘Umar Bagharib Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keusahawanan, Koperasi Dan Ekonomi Kreatif selaku pengerusi jawatankuasa penganjuran majlis pelancaran ini. Kemudian diikuti dengan ucapan perasmian oleh YAB Datuk Osman Sapian, Menteri Besar Johor. Majlis kemudiannya berganjak ke acara ucaptama oleh YABhg. Tun Daim Zainuddin disusuli dengan sesi soal jawab.

Pendaftaran dan kehadiran peserta

Program ini adalah terbuka kepada orang ramai. Hebahan program dilakukan melaui slot khusus di Radio Johor dan juga di akhbar komuniti Johor, Buletin01.

Pada masa yang sama, terdapat dua kaedah bagi pendaftaran peserta. Pertamanya melalui jemputan rasmi oleh Kerajaan Negeri Johor kepada kepimpinan negeri, daerah dan komuniti. Hampir seribu oleh hadir melalui jemputan ini. Manakala kaedah kedua pula melalui pendaftaran di laman web IKMAS yang merupakan penganjur bersama program ini. Melalui pendaftaran atas talian ini, terdapat 124 orang yang telah berdaftar, kebanyakkannya ahli akademik, pemimpin komuniti dan juga orang awam yang mendapat makluman daripada atas talian.

Pengisian Majlis

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Y.B Sheikh ’Umar Bagharib Bin Ali. Ucapan beliau menyentuh dua perkara utama yang meletakkan inisiatif Naratif Malaysia ini sangat kena pada masa masanya. Pertamanya, adalah berikutan peningkatan suhu perkauman di negara ini selepas PRU-14. Isu-isu ini menunjukkan adanya suatu kelompongan perspektif mengenai kedudukan Melayu pasca-PRU14 dalam persoalan nasional. Mengisi kelompongan ini merupakan usaha mendesak kerana dapat membendung keresahan sosial dan politik yang sedang melanda kaum Melayu muthakhir ini.

Tambah beliau lagi, sikap baharu ini perlulah direncana secara tersusun agar kaum Melayu bukan sahaja tidak segan terhadap sejarahnya sendiri, akan tetapi kaum Melayu juga dapat memberi sumbangan yang signifikan seiring dengan perubahan struktur politik pasca-PRU14. Lebih jauh daripada itu, Sheikh Umar menegaskan keperluan kepada mengharmonikan agenda Melayu ini dalam pembinaan negara bangsa yang lebih inklusif – yang berbeza daripada naratif sebelum ini.

Perkara kedua yang beliau nyatakan dalam ucapannya adalah keperluan kepada konfigurasi politik yang baharu. Ujar beliau, beliau enggan parti pemerintah, Pakatan Harapan, terjerat dalam retorik politik perkauman yang sebelum ini kononnya mahu menjadi dewa pelindung Melayu, tetapi rupanya musang berbulu ayam, gunting dalam lipatan, telunjuk lurus kelingking berkait. Namun, beliau sedar dan percaya bahawa agenda Melayu tetap perlu diutama di negara ini. Maka, mencari konfigurasi baharu dalam mengadun wacana Melayu dalam persoalan nasional ini merupakan tema besar yang perlu ditekuni dengan teliti, cermat dan berhikmah yang perlu kepada artikulasi di luar ranah politik semata-mata. Gagasan yang sekaligus cabaran ini dilontarkan terus kepada Naratif Malaysia.

Majlis seterusnya beralih kepada ucapan perasmian oleh YAB Datuk Osman Sapian, Menteri Besar Johor. Beliau membawa dua isi penting dalam ucapan beliau. Pertama adalah mengenai situasi semasa tanah air yang beliau sifatkan sebagai satu proses pendemokrasian iaitu satu transisi antara politik baru dan politik lama.

Hasil daripada transformasi masyarakat pada dekad 1980-an dan 1990-an telah memunculkan kelas menengah baharu beserta dengan nilai baharu yang menurut YAB Menteri Besar telah membawa kepada desakan untuk beralih terus kepada politik baru dan meninggalkan politik lama. Wacana politik baharu ini sangat jelas terlihat sejak 20 tahun terakhir ini dan kemuncaknya pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu apabila Malaysia buat pertama kalinya menyaksikan perubahan kerajaan di peringkat pusat, termasuk di Johor.

Katanya, sebagai satu kerajaan baharu yang juga dibentuk oleh parti baharu, tentulah ada harapan baharu yang disandarkan kepadanya, termasuklah untuk melihat perubahan ke arah politik baharu tadi melalui proses pendemokrasian yang selama ini kerap tersekat hanya di peringkat wacana semata-mata. Kumpulan yang mahukan politik baru ini melihat inilah kesempatan politik yang harus dimanfaatkan dengan segera.

Namun, menurut beliau, apabila mempertimbangkan realiti politik Malaysia kini, adalah mustahil untuk melihat politik lama lenyap begitu sahaja dan digantikan dengan politik baru yang berdasarkan nilai demokrasi dan hak sivil semata-mata. Malah, pada hemat saya, adalah naif untuk berfikiran demikian. Hal ini kerana harapan terhadap politik baharu ini juga menimbulkan keresahan pada satu pihak yang lain yang merasakan budaya politik naungan selama ini menjadi pelindung kepada identiti politik mereka. Kumpulan yang masih kuat pegangannya terhadap politik lama ini berasa terancam terhadap survival politik mereka. Hal ini diberatkan lagi dengan wujudnya dimensi lain seperti tekanan ekonomi serta adanya keselarian garis kaum dan kelas antara dua kumpulan ini.

Pada bahagian kedua ucapan beliau, beliau menegaskan keperluan untuk mendamaikan antara tuntutan politik baru dan keresahan politik lama. Katanya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan tidak mahu untuk kembali menjuari hanya satu-satu kaum sahaja dengan kenyataan-kenyataan popular yang belum tentu menguntungkan kaum tersebut.

Oleh kerana wujudnya keselarian – meskipun bukan mutlak – antara kumpulan politik lama dan baharu ini dengan garis kaum dan kelas ekonomi, maka adalah munasabah untuk kerajaan mengambil langkah struktural untuk mengatasi tekanan ekonomi kumpulan ini sebagai langkah utama. Pada masa yang sama, kerajaan tidak menafikan keperluan untuk terus membangunkan agenda ekonomi bumiputera yang lebih terangkum. Agenda bumiputera baharu mestilah menekankan kepentingan terbanyak, khususnya B40 dan bukannya mencipta elit-elit ekonomi tertentu.

Pada hemat beliau, hal ini kerana, sebagaimana yang dinyatakan oleh ramai ahli ekonomi di negara ini dan malahan di dunia, trickle down effect yang diharapkan tidak benar-benar berlaku malah hanya melebarkan lagi kesenjangan ekonomi inter dan intra kaum serta antara bandar dan luar bandar.

Setelah tamat dua ucapan ini, majlis terus beralih kepada acara utama iaitu ucaptama oleh YABhg. Tun Daim Zainuddin tentang bagaimana untuk meletakkan agenda Melayu Bumiputera ini dalam persoalan nasional. Teks penuh ucapan Tun Daim ini (beserta transkrip soal jawab) boleh dibaca di sini dan di sini manakala satu bengkel bagi membahas kandungan ucapan ini telah diadakan pada 3 April 2019 di IKMAS UKM yang dinamakan sebagai Seminar Menjawab Tun Daim dan laporannya boleh ditemukan di sini.

Penutup

Majlis ini berakhir dengan sesi bergambar antara penganjur dan juga Tun Daim serta majlis penyerahan cenderamata yang disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk IR. Wahid Omar.

Laporan Seminar Menjawab Tun Daim

Seminar Menjawab Tun Daim anjuran IKMAS ini bertujuan untuk membincangkan teks ucaptama oleh YABhg Tun Daim Zainuddin yang disampaikan sewaktu majlis Perasmian Siri Seminar Naratif Malaysia pada 19 Mac 2019 bertempat di UTM, Skudai.

Tarikh : 3 April 2019
Masa : 9.00 pagi – 5.00 petang
Tempat : IKMAS, UKM
Jumlah Peserta : 20

Pendahuluan

Seminar Menjawab Tun Daim anjuran IKMAS ini bertujuan untuk membincangkan teks ucaptama oleh YABhg Tun Daim Zainuddin yang disampaikan sewaktu majlis Perasmian Siri Seminar Naratif Malaysia pada 19 Mac 2019 bertempat di UTM, Skudai, Johor. Teks yang bertemakan, “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional” telah membangkitkan beberapa persoalan yang melibatkan kedudukan orang Melayu dalam konteks kebangsaan. Antara tumpuan utama yang disentuh dalam teks tersebut ialah mengenai ekonomi, politik, budaya serta cara berfikir orang Melayu. Selain itu, kesemua aspek ini dikupas berdasarkan perkembangan politik dan ekonomi tanahair dewasa ini, apatah lagi sesudah peristiwa bersejarah yang berlaku pada 9 Mei 2018 yang menyaksikan pertama kalinya perubahan parti politik yang menerajui kerajaan. Atas semangat untuk mengisi kemenangan inilah, maka teks ucaptama tersebut mengariskan langkah-langkah yang bersifat strategik dan efektif dalam memastikan setiap perubahan bukan sahaja berjalan lancar malahan dapat menghasilkan perubahan yang bermakna.

Pendaftaran dan Kehadiran Peserta

Seminar Menjawab Tun Daim tersebut telahpun dihadiri sebanyak 20 peserta yang rata-ratanya terdiri daripada golongan pelajar pascasiswazah dan aktivis sosial. Kebanyakan peserta yang hadir merupakan mereka yang telahpun mendaftar lebih awal menerusi laman sesawang www.naratifmalaysia.com. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian daripada peserta yang mendaftar ketika seminar dimulakan. Seminar sehari penuh ini dirasmukan oleh Pengarah IKMAS, UKM,  Profesor Dr. Sufian Jusoh. Beliau menyatakan rasa gembiranya kerana pihak penganjur telah menyambut teks ucaptama dengan semangat akademik. Apatah lagi, YABhg Tun Daim Zainuddin merupakan penaja utama kerusi Pok Rafeah yang diterajui oleh IKMAS. Pengarah IKMAS mengharapkan seminar ini bukan sahaja membuahkan perbincangan yang mendalam, akan tetapi, beliau ingin melihat hasil daripada seminar ini dapat dibukukan bagiu menunjukkan tahap kesungguhan kita dalam mengangkat kembali suaut naratif Malaysia yang bersifat terangkum dan adil.

Pengisian Seminar

Pembentang pertama seminar ini disampaikan oleh Dr. Mazlan Ali, yang merupakan pensyarah UTM Kuala Lumpur. Sebagai seorang yang berkecimpung dalam bidang pilihanraya dan kedudukan orang Melayu dan Islam dalam politik kebangsaan, Dr. Mazlan menyampaikan tajuk yang sangat sesuai dengan latar belakangnya, yakni “Naratif Melayu-Islam Pasca PRU-14 dalam Garis Kaum dan Agama: Wajarkah?” Dalam pembentangannya, Dr. Mazlan membangkitkan kebimbangannya mengenai hubungan antara kaum dan etnik pasca PRU-14. Dengan menyedari bahawa terdapatnya peningkatan bahang politik perkauman dan agama, Dr. Mazlan melihat persoalan ini bukan sahaja dalam konteks politik, lebih daripada itu, beliau turut menganalisa dalam konteks budaya dan amalan serta cara berfikir orang Melayu. Dalam hal ini beliau bersetuju dengan YABhg Tun Daim bahawa isu orang Melayu tidak boleh ditangani menerusi persoalan kaum semata-mata, sebaliknya, perlu dilihat juga dalam persoalan agama.

Setelah itu, pembentang berikutnya, Encik Ramze Endut, Felo Penyelidik IKMAS telah memanjangkan perbincangan yang bersifat politik kepartian dan pilihanraya kepada perbincangan yang bersifat sosiologi dan falsafah. Beliau membangkitkan dua kritikan terhadap teks ucaptama Tun Daim Zainuddin berkenaan sejarah dan emosi. Pada hemat Encik Ramze, Tun Daim telah khilaf dengan mengandaikan bahawa setiap sejarah adalah bersifat fakta serta orang Melayu dikaitkan sebagai golongan yang beremosi. Bagi Encik Ramze, sejarah bukan sahaja fakta akan tetapi merupakan juga penafsiran. Begitu juga emosi tidak boleh berdiri sendiri, sebaliknya, ia turut berdampingan dengan logik. Membuat pemisahan salah satu antaranya bukanlah suatu konsep yang baik dalam menjelaskan kerumitan masyarakat, kaum, etnik dan agama.

Lanjutan daripada pembentangan sebelumnya, Mariam Mokhtar, seorang penulis dan kolumnis tersohor sepatutnya hadir membentangkan makalahnya yang berjudul, “Tun Daim on Success, Crutches and Emotion.” Walau bagaimanapun, beliau hanya dapat mengirimkan teks pembentangannya sahaja. Justeru itu, sesi berikutnya diteruskan oleh Dr. Hew Wai Weng yang juga merupakan Felo Penyelidik IKMAS. Beliau telah membincangkan mengenai “What Daim Really Meant.” Bagi Dr. Hew, Tun Daim gagal melihat kedudukan orang Melayu secara komprehensif. Ini kerana, Tun Daim tidak melihat kerumitan yang terdapat berikutan perkaitan antara agama dan kaum dalam konteks orang Melayu. Malah, beliau turut bersetuju dengan Encik Ramze bahawa adalah salah sama sekali untuk memisahkan antara emosi dan logic kerana golongan yang dianggap sebagai konservatif turut mempunyai logiknya yang tersendiri.

Setelah Dr. Hew, Encik Ruhan Shahrir Abdul Halim, telah menyambut perbahasan mengenai Tun Daim dengan menyifatkannya sebagai seorang Homo Economicus. Felo Penyelidik KITA yang akrab dengan pendekataan bacaan intim ini telah menganalisa hampir setiap baris teks ucaptama Tun Daim tersebut. Lebih daripada itu, beliau turut menghitung perkataan yang ditekankan oleh Tun Daim seperti istilah niaga, yang ini sekaligus menunjukkan betapa Tun Daim sangat menekankan mengenai kedudukan ekonomi orang Melayu secara khususnya dan rakyat Malaysia secara umumnya. Penekanan terhadap ekonomi ini menyebabkan cara berfikir Tun Daim, menurut pandangan Encik Ruhan, menjadi setiap idea Tun Daim sangat bercorak mekanistik, ekonomistik dan materialistik. Selain sifat-sifat di atas, Encik Ruhan turut mengkritik penggunaan Bahasa Inggeris dalam teks ucaptama Tun Daim yang mana ini tidak melambangkan keselarasan antara tema yang dibincangkan dan tindakan yang dilakukan.

Akhir sekali, Encik Hishamuddin Rais, seorang penulis aktivis sosial terkenal tanahair turut mengambil bahagian. Meskipun beliau tidak menyediakan teks, akan tetapi, hasil daripada bacaan beliau terhadap teks ucaptama Tun Daim Zainuddin tersebut telah memaparkan betapa ada persoalan nasional yang belum selesai. Bersetuju dengan Encik Ruhan, beliau telah menunjukkan betapa persoalan bahasa adalah antara persoalan nasional yang belum selesai. Pemilihan Bahasa Inggeris dalam teks ucaptama tersebut memberi gambaran bahawa bahasa Melayu masih belum berjaya menjadi bahasa pemersatu dalam tanahair. Sebagai antara individu yang sekian lama berpendapat bahawa bahasa Melayu perlu menjadi bahasa strategik dalam perubahan, Encik Hishamuddin mencadangkan agar bukunya, “Surah-surah Terlarang: Persoalan Nasional” turut dibaca bersamaan dengan teks ucaptama “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional.”

Penutup

Seminar ini disudahi dengan ucapan penutup oleh Encik Hariszuan Jaharuddin, yang juga merupakan Felo IKMAS, Beliau mengucapkan terima kaseh kepada semua pembentang dan para peserta yang sejak daripada awal telah terlibat aktif dalam perbincangan. Hasil daripada seminar ini, beliau mengharapkan setiap makalah dapat diperbaiki dan akhirnya dapat diterbitkan sekurang-kurangnya dalam bentuk naskah monograf. Beliau juga tidak lupa mengucapkan jutaan terima kaseh kepada pihak IKMAS yang sudi menawarkan tempat kepada seminar ini.

Laporan Bengkel Keterpendaman Melayu

Bengkel Keterpendaman Melayu adalah antara bengkel yang terdapat dalam Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional anjuran Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), UKM dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor.

Tarikh : 15 April 2019
Masa : 9.00 pagi – 5.00 petang
Tempat : Puri Pujangga, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Jumlah Peserta : 56

Pendahuluan

Bengkel Keterpendaman Melayu adalah antara bengkel yang terdapat dalam Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional anjuran oleh Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor.  Bengkel ini bertujuan untuk mengumpul maklumat dan mendapatkan pelbagai jalur naratif dari beberapa tokoh masyarakat dan juga pimpinan parti politik Melayu dan seterusnya cuba untuk merungkai, memeta dan mentafsir trajektori masyarakat Melayu mutakhir ini melalui kaedah psikologi-sosial dan sejarah khususnya setelah berlaku perubahan kerajaan pada 9 Mei 2018 yang lalu.

Pendaftaran dan Kehadiran Peserta

Seramai 47 peserta yang mendaftarkan diri mereka di atas talian dan dari kiraan kasar, yang hadir pada hari bengkel pula adalah seramai lebih kurang 56 orang (kehadiran tidak tetap; tapi hanya hadir di pembentangan-pembentangan tertentu sahaja). Daripada 56 perserta yang hadir itu terdapat seramai lebih kurang 41 orang peserta lelaki, manakala peserta perempuan pula ialah seramai lebih kurang 15 orang.

Dari sudut etnik pula, terdapat seramai lebih kurang 50 orang peserta Melayu, 6 orang peserta Cina dan tiada peserta India (terdapat seorang peserta India yang mendaftar di atas talian tetapi beliau tidak hadir di hari bengkel diadakan).

Dari data yang dikutip melalui borang pendaftaran, peserta-peserta yang mengikuti bengkel ini datang daripada pelbagai latarbelakang sosial. Ada yang dari kalangan pensyarah, ada yang dari kalangan mahasiswa, ada yang mewakili institut penyelidikan, wakil NGO dan turut juga terlibat dalam bengkel ini ialah beberapa orang anggota dan kepimpinan parti politik.

Pengisian Bengkel

Bengkel ini dimulai oleh Encik Hariszuan Jaharuddin selaku Pengerusi Majlis yang menjemput Pengarah IKMAS, Profesor Dr. Sufian Jusoh untuk memberikan ucapan alu-aluan.

Profesor Dr. Sufian Jusoh dalam ucapan alu-aluan beliau menjelaskan sedikit sebanyak tentang latarbelakang kepada projek Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional sebagai sebahagian daripada usaha IKMAS di dalam proses pembinaan negara bangsa yang terangkum. Profesor Dr. Sufian mengungkapkan bahawa kondisi dan suhu politik masa kini memerlukan suatu analisis akademik yang lebih mendalam untuk memahami fenomena yang berlaku dan IKMAS senantiasa bersedia untuk memberi ruang dan peluang kepada usaha-usaha akademik seperti ini dijalankan sebagai sebahagian daripada proses pembinaan negara-bangsa Malaysia.

Acara seterusnya menyajikan pembentangan daripada Encik Eekmal Ahmad, Pegawai Dasar Menteri Besar Selangor dengan tajuk “Melayu-Islam Terancam: Mitos atau Fakta”. Dalam pembentangan ini beliau melihat wujud kedua-duanya, mitos dan fakta, dalam membincangkan persoalan keterancaman Melayu-Islam.

Dengan membekalkan beberapa fakta impirikal dalam bentuk jumlah peruntukan yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, beliau menyanggah dakwaan yang mengatakan bahawa Melayu-Islam terancam. Akan tetapi beliau mengakui memang wujud rasa keterancaman di kalangan khalayak ramai Melayu-Islam dan ini adalah sesuatu yang perlu ditangani oleh kerajaan Pakatan Harapan. Beliau melihat rasa keterancaman Melayu-Islam ini datangnya dari andaian yang terbina akibat daripada kehilangan kuasa politik parti yang mewakili Melayu-Islam iaitu UMNO.

Selain daripada itu Encik Eekmal Ahmad juga melakukan kritik terhadap konsep ‘keterpendaman’ yang dijadikan tajuk bengkel ini yang pada beliau menggambarkan seolah-olah ‘keterpendaman’ ini adalah suatu yang alamiah atau tersulam di dalam DNA Melayu.

Setelah selesai sesi soal jawab, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki pula mengambil tempat sebagai pembentang kedua dengan tajuk “Ancaman Terhadap Melayu-Islam: Siapa Musuh Kita?”. Dalam pembentangan kedua ini, Dr. Zuhdi mengajukan ‘musuh’ yang dimaksudkan adalah dari sudut idea, yakni golongan yang mengajukan idea yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Pertentangan ini menurut beliau bukanlah pertentangan fizikal tetapi pertentangan idea.

Justeru, menurut beliau lagi, golongan yang cuba menghalang masyarakat Islam daripada membangunkan kehidupan bernegara yang berteraskan nilai-nilai Islam adalah musuh. Tanpa menyebut secara khusus siapa golongan tersebut, beliau memberi bayangan bahawa mereka ini adalah terdiri daripada golongan yang berfahaman liberal dan sekular.

Beliau juga turut memberi latarbelakang kepada keresahan dan keterancaman yang wujud di kalangan masyarakat Melayu-Islam dari perspektif wacana ‘akhir zaman’ atau yang beliau istilahkan sebagai ‘Islamic eschatology”. Perbahasan beliau tentang wacana ‘akhir zaman’ ini menjurus kepada idea keperluan penyatuan ummah dalam menghadapi ‘akhir zaman’ yang penuh dengan kerancuan.

Pembentangan ketiga dibuat oleh Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Tuan Haji Aminuddin Yahaya yang membentangkan tajuk “Melayu-Islam Mutakhir:  Keadaan, Punca dan Penyelesaiaannya” (pembentangan slide Power Point).

Pembentangan Tuan Haji Aminuddin ini dimulai dengan justifikasi terhadap idea cintakan bangsa (kebangsaan) yang beliau dasari daripada Al-Quran, Hadith dan juga Ilmuan Islam. Bertolak dari sini beliau memetakan zaman kegemilangan kerajaan Melayu-Islam di bawah empayar Melaka dan kemudiannya kejatuhan kerajaan Melayu-Islam akibat daripada penjajahan.

Setelah itu beliau memetakan pula kondisi semasa masyarakat Melayu-Islam yang beliau istilahkan sebagai ‘kecelaruan Melayu’ yang berasal dari dasar penjajah dan kemudiannya ditambah pula dengan kebejatan pemerintah dan parti politik Melayu sendiri serta kemasukan pemikiran-pemikiran Barat yang tidak cocok dengan Islam berserta dengan sistem pendidikan yang bercelaru dan kehilangan jati-diri orang-orang Melayu.

Penyelesaian kepada ‘kecelaruan Melayu’ ini buat Tuan Haji Aminuddin hanya boleh diubat dengan ‘Revolusi Tamadun’ yang membawa maksud pembinaan cara hidup bermasyarakat yang holistic (menyeluruh) berteraskan konsep Masoleh Al-‘Ibad.

Setelah selesai makan tengahari dan solat Zuhur, bengkel di sambung dengan pembentangan oleh Pensyarah Universiti Teknologi Petronas, Dr. Muhaimin Sulam yang juga merupakan Naib Pengerusi Parti Amanah Negeri Perak dengan tajuk “Keterpendaman Melayu: Pembinaan Jati Diri Kebangsaan Di Dalam Masyarakat Majmuk”. Dr. Muhaimin Sulam memulakan pembentangan beliau dengan mengajukan suatu takrifan terhadap istilah ‘keterpendaman’. Beliau melihat keterpendaman Melayu ini dipergunakan dalam bentuk terancam oleh parti politik yang gagal. Manakala keresahan orang Melayu pula dianggap sebagai suatu bentuk tindak balas terhadap keberadaan ‘yang lain’ yang membentuk suatu dikotomi dan dikembangkan pula oleh unsur politik yang keterlaluan.

Dr. Muhaimin berpandangan bahawa falsafah dan semangat penubuhan Malaya pada awalnya yang bersandarkan kepada perjanjian sosial yang terdahulu gagal dihayati oleh generasi baru masa kini. Justeru itu, beliau mengajukan supaya permasalahan negara-bangsa Malaysia ini dimulai dengan pemahaman pensejarahan kebangsaan dan tekad politik yang kuat untuk membina jati diri kebangsaan yang berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Pembentangan terakhir terdiri daripada dua bahagian – yang pertama tentang fenomeno kebangkitan politik kaum dan agama pasca 9 Mei 2018, sebab-musababnya serta teori awal yang cuba dibangunkan. Dan bahagian kedua adalah tentang usulan daripada masalah yang dikenal-pasti dan teori yang dibangunkan di bahagian pertama. Pembentangan dua bahagian ini dilakukan oleh Encik Ruhan Shahrir Abdul Halim, Felo Penyelidik Institut Kajian Etnik (KITA), UKM.

Bahagian pertama pembentangan beliau bertajuk “Suatu Teori Awal Keterpendaman Melayu: Manifestasi Kegagagalan Nasionalisme Melayu” mengajukan tesis bahawa kegagalan Pakatan Harapan dalam PRK Semenyih dan Rantau serta kebangkitan politik kaum dan agama di kalangan orang Melayu yang dimanifestasi oleh pelbagai peristiwa antaranya demonstrasi anti-ICERD tidak boleh dilihat hanya dari kacamata material atau idelogikal semata-mata. Sebaliknya fenomena ini perlu juga dianalisis dari sudut psikologi-sosial dan sejarah.

Menggunakan konsep ‘keterpendaman Melayu’ beliau mengemukakan teori awal yang melihat fenomena-fenomena politik identiti dan kekalahan Pakatan Harapan di PRK Semenyih dan Rantau adalah disebabkan oleh aspirasi dan cita-cita nasionalisme Melayu yang gagal yang terkandung di dalam ‘keterpendaman Melayu’. Memetakan tujuh unsur nasionalisme Melayu yang terpendam, beliau mengusulkan supaya pengolahan semula dilakukan untuk mentransformasikan unsur-unsur nasionalisme Melayu ini menjadi nasionalisme Malaysia terangkum.

Di dalam pemetaan beliau terhadap tujuh unsur nasionalisme Melayu, naratif-naratif yang diajukan oleh pembentang-pembentang terdahulu dalam bengkel ini dianalisa secara ringkas dan diletakkan kedudukan naratif-naratif tersebut sebagai sebahagian daripada cita-cita dan aspirasi nasionalisme mereka yang membentuk unsur-unsur keterpendaman Melayu.

Di bahagian kedua pembentangan beliau di bawah tajuk “Suatu Teori Awal Keterpendaman Melayu: Dari Keterpendaman Melayu Ke Nasionalisme Malaysia Terangkum”, Encik Ruhan Shahrir mengusulkan kerja-kerja intelektual yang kreatif dan inovatif yang melibatkan semua pihak berkepentingan dilakukan untuk mentransformasi nasionalisme Melayu kepada nasionalisme Malaysia terangkum.

Mengambil unsur bahasa sebagai unsur pentakrif kepada identiti dan keperibadian bangsa Malaysia serta sejarah terangkum sebagai wahana kepada pembinaan rasa kebangsaan, Encik Ruhan Shahrir melihat idea bangsa sebagai suatu proses yang bergulir terus dalam pembentukannya untuk menjadi ‘bangsa’. Tapi proses untuk menjadi bangsa Malaysia ini perlu dimulai dengan mengangkat unsur pentakrif utama sebagai unsur pengikat dan penyatu yang dipadankan pula dengan sejarah terangkum, pengiktirafan dan keadilan.

Penutup

Penutup bengkel ini dilakukan oleh Pengerusi Majlis, Encik Ramze Endut, Felo Penyelidik IKMAS yang mengucapkan terima kasih kepada pembentang-pembentang yang terlibat dan juga peserta-peserta bengkel yang turut sama aktif dalam perbincangan di sepanjang bengkel ini diadakan.

Design a site like this with WordPress.com
Get started