Sebalik Sejarah dan Emosi: Tanggapan terhadap Teks Ucaptama “Naratif Malaysia”

Tun Daim, Descartes dan Luhmann adalah satu angkatan yang tidak melihat fungsi sebenar emosi dalam membantu mencerdaskan masyarakat. Walhal, emosi sangat penting dalam membantu merungkaikan kekusutan di hujung.

Kita di ambang tahun 2020. Kita mengenang tahun 2020 dengan sebuah kalimat: wawasan 2020.

Ketika Wawasan 2020 diajukan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1991, kita melihat Malaysia sebagai sebuah projek negara-bangsa yang sedang bergerak maju. Suatu projek yang ingin menyatu-padukan masyarakat dalam suatu gagasan negara-bangsa. Harapan kita pada tahun tersebut Malaysia sudah membentuk sebuah negara bangsa yang mapan. Ia tidak lagi merupakan impian, akan tetapi, merupakan pencapaian

Apa yang dikemukakan oleh Tun Mahathir pada ketika itu bukanlah suatu hal yang tidak lazim. Projek negara-bangsa memang memerlukan suatu utopia sebagai bahan bakarnya. Memandang ke hadapan, dengan penuh wawasan, sangat penting kerana ia memberikan daya gerak. Ini kerana, masa hadapan adalah bersifat neutral, yang maseh lagi berupaya untuk diolah. Dalam kata lain, masa hadapan adalah milik untuk mereka yang bertindak.

Sejarah

Namun begitu, bagaimana pula dengan masa lalu? Sejarah. Apakah masa lalu juga boleh diubah? Sudah tentu, ramai akan berkata “tidak”. Tun Mahathir adalah antara sekalian ramai yang berkata “tidak”. Bagi kalangan ini, sejarah adalah fakta. Sejarah tidak boleh diubah.

Misalnya, tiada siapa yang menyangkal peristiwa 13 Mei 1969; tiada siapa yang menafikan Malaysia memperoleh Kemerdekaan pada tahun 1957; tiada siapa yang menolak gerakan penentangan Malayan Union pada tahun 1946. Semua ini adalah fakta yang sudah tidak dipertikaikan lagi. Fakta, untuk mereka yang berfikiran seperti Tun Mahathir, memang tidak boleh diubah. Berlawan dengan pemikiran Runia (2014), masa lalu hanya menunggu masa untuk dikutip faktanya oleh ahli sejarah. Sebab itu, secara provokatifnya kita boleh mengulang tuduhan Runia bahawa “historians don’t think.”

Bahkan, fakta juga boleh merujuk kepada masa lalu yang mutakhir (recent past). Tun Mahathir, dalam Amanat Khas Ambang PRU14 di Langkawi, bukan sahaja mengungkit sejarah masa lalu untuk mengingat para pengundi mengenai perit jerih memerdekakan negara, akan tetapi Tun Mahathir turut mengingatkan mereka mengenai sejarah masa lalu yang mutakhir: “Najib Razak sebagai suatu malapetaka kepada negara” itu antara gemaan yang kita semua boleh ingat. Dalam hal ini, Tun Mahathir cuba menunjukkan betapa masa depan tanahair akan kelam sekiranya terus di bawah Najib Razak. Menerusi taktik ini—memaparkan masa depan yang suram—maka ia memberi keabsahan untuk memanggil-manggil cerita masa lalu: kesusahan, kesengsaraan, perjuangan dan kejayaan. Kerana itu, tatkala masa depan binasa, masa lalu datang menerpa, “when the future collapse, the past rushes in” (Torpey 2001).

Sejarah sebagai Fakta

Butiran yang ingin disingkap di sini ialah: Sejarah adalah fakta. Terlepas daripada pelbagai tafsiran dan hasrat tersembunyi, sejarah dianggap sebagai sumber rujukan tatkala ada kekusutan. Justeru itu, apa yang disuarakan oleh Tun Mahathir ini, sebenarnya, sama sekali tidak berbeza dengan apa yang disuarakan oleh Tun Daim Zainuddin dalam teks ucaptamanya “Naratif Malaysia: Melayu dalam persoalan nasional.”  Lantas, Tun Daim memulakan makalahnya dengan sejarah: kusut di hujung, balek ke pangkal. Untuk membuktikannya, Tun Daim menelusur perkembangan Tanah Melayu dan kaum Melayu dalam pelbagai zaman: Pra-Islam, Melaka, Penjajahan, Malayan-Union, Kemerdekaan dan dewasa ini.

Bagi Tun Daim, sejarah adalah penawar kepada kerumitan yang sedang dihadapi oleh kaum Melayu dan bangsa Malaysia hari ini. Ingat, kusut di hujung, kembali ke pangkal. Mengingatkan kembali kepada sejarah, memaklumkan kepada kita akan tradisi betapa kaum Melayu dan Malaysia yang pernah mempunyai sejarah yang berjaya dan bersatu, setidaknya menurut Tun Daim. Katanya, “Malaysia mempunyai sejarah yang kuat dan kaya berhubung dengan usaha membangunkan keharmonian antara-kaum dan kepelbagaian budaya atau multi-kulturalisme sejak daripada awal penubuhannya lagi.” Ini adalah fakta, difahami dari pemikiran Tun Daim.

Fakta Musuh Emosi

Justeru itu, fakta adalah kalimat azimat yang terlindung dalam teks Tun Daim. Dengan menggunakan sejarah sebagai istilah lapik, Tun Daim membangkitkan dikotomi antara emosi dan logik. Baginya, kembali kepada fakta (yakni, sejarah) adalah sikap memperkasa, manakala berpaut kepada emosi adalah sikap membinasa. Sikap Tun Daim adalah jelas: bahawa emosi takkan membantu dalam menjernihkan kerumitan yang dihadapi oleh kaum Melayu dewasa ini. Dalam kata lain, emosi adalah kata kotor dalam pembinaan negara-bangsa.

Lihat sahaja pembatalan ratifikasi ICERD: Tidakkah yang turun berdemostrasi ini adalah cerminan kerumunan emosi? Fakta mereka kelaut. Sekiranya kita yakin pada akal, maka ICERD bukanlah kebimbangan kerana ICERD adalah bersifat sejagat (universal), sama seperti akal. Begitu juga dengan kebimbangan mereka nasib kaum Melayu pasca PRU-14? Tidak perlu bimbang, kata Tun Daim. Sebab, faktanya, lebih 60% rakyat Malaysia adalah Muslim. Fakta lagi, Islam adalah agama yang paling pesat berkembang. Kalau berasaskan fakta-fakta ini, maka emosi bukanlah persoalan penting.

Atas asas inilah, Tun Daim memuliakan akal. Tun Daim berkali kali menegaskan keperluan menggunakan logik sebagai sesuatu yang sinonim dengan akal. Baginya, menerusi logik, kaum Melayu boleh peroleh kemakmuran. Sebagai contoh, sistem ekonomi memang berteraskan logik. Tun Daim melihat sepatutnya kaum Melayu juga seperti sistem ekonomi. Tapi ini tidak berlaku dewasa ini di kalangan orang-orang Melayu. Bagi Tun Daim, kecelaruan politik yang sedang kita geluti dewasa ini adalah kerana retorik dan ketidaksiuman orang-orang Melayu. Sebut Tun Daim:

Nampaknya semakin hari semakin ketara bahawa orang Melayu berfikir melalui emosi dan perasaan daripada melalui akal dan otak. Kita mesti menanyakan diri kita sendiri – apakah yang sedang berlaku kepada kita?

Sebab itu bagi Tun Daim, “akal tanpa emosi akan menentukan masa depan kita dan masa depan Malaysia.” Jadi, fakta (baca: sejarah) adalah bermusuh dengan emosi. Apa yang kita fahami daripada sini ialah, Tun Daim meletakkan masa depan negara di tangan fakta. Menerusi fakta, kewarasan akan tumbuh, mekar, berputik, berbunga dan berbuah. Hasilnya, kaum Melayu yang menikmatinya dalam bentuk kemakmuran.

Kritikan

Bertitik-tolak daripada apa yang dikemukakan oleh Tun Daim ini, didapati terdapat beberapa masalah dalam paradigma Tun Daim. Semua masalah ini adalah berpunca akibat pemberatan terhadap fakta tanpa memahami setiap fakta sarat dengan penafsiran dan hasrat tersembunyinya. Lantaran itu, memahami masyarakat daripada kerangka ekonomistik-materialistik semata-mata tidaklah mengambarkan keseluruhan sebuah masyarakat. Ringkasnya, terdapat dua masalah yang dikenalpasti akibat pemberatan kepada kerangka yang dikemukakan oleh Tun Daim ialah:

  • Memang benar, dari satu segi, bahawa sejarah adalah fakta. Tetapi, masyarakat yang hidup dalam sejarahnya bukanlah suatu persoalan fakta semata-mata. Kerana kita manusia, maka kehidupan bukanlah sejarah. Selain daripada fakta, terdapat juga representasi, yakni cara kita mengolah fakta sesuai dengan konteks semasa kita. Fakta dan representasi adalah saling memerlukan. Fakta memberikan bahan, manakala representasi memberikan makna terhadap bahan tersebut. Kerana itu, fakta atau sejarah, boleh diubah berdasarkan kehendak semasa. Justeru itu, unsur representasi memainkan peranan yang penting sebagai perimbangan terhadap bahan sejarah.
  • Kecenderungan Tun Daim yang mengutamakan logik berbanding emosi adalah tidak tepat dan tidak lengkap. Ini kerana, masyarakat tidak bergerak dengan unsur logik semata. Untuk memahami masyarakat Melayu dan Malaysia, atau Masyarakat [dengan M besar], logik hanyalah salah satu perspektif. Masyarakat, atau individu lebih tepat lagi, sentiasa bergerak dalam adunan antara emosi dan logik. Masyarakat dan individu memerlukan emosi sebagai satu kaedah semak dan imbang terhadap logik itu sendiri. Tanpa emosi, suatu masyarakat tidak memiliki keghairahan, kehalusan dan keindahan.

Usulan

Untuk menekuni dua keberatan ini, maka beberapa pertimbangan perlu dilakukan. Ini termasuklah:

Pertama (1), sejarah bukanlah suatu konsep yang mati; bukan fakta semata. Sejarah perlu digandingkan dengan ingatan (memory). Sekiranya Tun Daim memahami sejarah sebagai suatu fakta semata, maka itu menafikan bahawa masyarakat adalah suatu wilayah yang penuh kerumitan, kepelbagaian dan ketakterhinggaan. Masyarakat merupakan manifestasi sejarah dan ingatan. Dalam hal ini, sejarah memberikan fakta, manakala ingatan memberikan representasi terhadap fakta tersebut. Inilah yang akhirnya membentuk budaya dan kebudayaan. Untuk memerihal dikotomi sejarah dan ingatan ini, berikut adalah beberapa pembahagian yang boleh diringkaskan:

Pengarang Sejarah Ingatan
Jan Assmanns (2011); Aleida Assmann (2011); Nora (1989); Erll (2011) Forgetting Remembering
Nora (1989); Hashimoto (2015) Providing the fact Providing the meaning
Megill (1998) Evidence Sense
Nora, Winter (2010) A discipline (scientific status) Testimony, faculty
Nora (1989) Sphere of collective Sphere of individual
Nora (1989) Single Plural
Winter (2010) Document (written, aural, visual) Affect
Megill (1998) The other of memory The other of history
Megill (1998) The arrogance of definitiveness The arrogance of authenticity
Alexander (2012); Eyerman (2002) Event Representation
Jan Assmann (1995) Actuality Potentiality
Jan Assmann (2006) Repetition Innovation
Runia (2014) Metonymy Metaphor

Salah satu kelebihan menyorot masyarakat dalam gandingan antara sejarah dan ingatan ialah wujudnya ruang pemugaran peristiwa masa lalu, terutamanya yang melibatkan upacara peringatan (commemoration). Malaysia, sebagai sebuah negara baharu, amat langka dengan upacara peringatan. Selain daripada kaitan dengan agama, upacara peringatan di Malaysia lebih terbatas kepada Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Ini menjadikan rasa sepunya (sense of belonging) di kalangan kaum dan etnik di Malaysia sangat tipis. Walhal, menerusi upacara peringatan, sesuatu masa lalu bukannya dianggap sebagai fakta semata, sebaleknya, sebagai suatu masa lalu yang dikenang: “[It] is concerned not with the past as such, but only with the past as it is remembered” (Assmann 1997: 9).

Selain itu, upacara peringatan berupaya membentuk titik temu (point of reference) suatu masyarakat majmuk. Sebab itu kita harus bertanya, mengapa kita tidak pernah berkabung tarikh jatuhnya Melaka ke tangan Porturgis? Mengapa kita tidak mengenang kampung pertama di Malaysia yang dijejaki oleh tentera Jepun sewaktu Perang Dunia ke-2? Mengapa kita tidak memperingati peristiwa 13 Mei sebagai hari berkabung yang rasmi di negara kita? Mengapa Lembah Bujang tidak menjadi monumen penting dalam pembinaan negara-bangsa Malaysia? Ini menandakan wujudnya the lack of representation dalam sejarah negara kita.

Dalam hal ini, tafsiran sejarah kita agak kaku dan sepihak. Menerusi upacara peringatan yang bersumber daripada integrasi sejarah dan ingatan, maka identiti kaum Melayu dan masyarakat Malaysia akan lebih mendalam dan mengakar. Ia menyuntik identiti yang kuat kerana ingatan membuka ruang kepada gelora emosi yang mengikat tali kebersamaan dalam suatu masyarakat. Inilah yang sepatutnya akan menjadi kekuatan kepada kesepaduan antara kaum dan agama di Malaysia—membina identiti yang berasaskan kepada sejarah yang dikenang. Identiti ini adalah usaha rekonstruksi, olahan dan representasi yang sentiasa berterusan. Identiti ini hanya dapat terhasil menerusi gandingan kerja antara sejarah dan ingatan, antara fakta dan representasi, terhadap masa lalu negara kita. Aleida Assmann (2006: 263) jelas dalam hal ini, “history and memory, then, are no longer considered to be rivals and more and more are accepted as complementary modes of reconstructing and relating to the past.” Lantaran itu, menganggap “sejarah sebagai fakta” adalah salah-faham yang sangat ketara, maka kerana itu “historians should think.”

Selain itu, yang keduanya (2), adalah pengutamaan logik berbanding emosi. Sudah disebutkan bahawa emosi tidak mendapat tempat dalam pemikiran Tun Daim dalam memulihkan hubungan antara kaum di Malaysia. Dengan sikap sebegini, Tun Daim tidak menyedari betapa fakulti logik dan emosi adalah saling bergandingan. Tidak ada satu fakulti lebih berkuasa berbanding fakulti yang lain. Sebaleknya, daripada pemahaman Tun Daim, logik ini menjadi lebih ‘mulia’ kerana ia menempatkan peranan minda, sementara emosi menjadi lebih ‘hina’ kerana ia menempatkan peranan apa yang tampak (tubuh). Di sini saya telah mensejajarkan logik vis a vis emosi dengan minda (mind) vis a vis tubuh (body). Kekeliruan oleh Tun Daim ini semakin ketara sekiranya kita dapat mengesan betapa golongan yang dianggap sebagai beremosi turut mempunyai cara berfikir, atau ‘logik’ mereka yang tersendiri, dalam mengukuhkan fahaman mereka. Begitu juga dengan mereka yang mendakwa sebagai bersikap ‘logik’, akhirnya, mereka turut terperangkap dalam ketaksuban ‘logik’ tersebut. Natijahnya, tanpa disedari, mereka turut memaksa fahaman mereka (seperti fahaman liberal garis keras) terhadap golongan yang lain. Ini jelas menunjukkan betapa emosi dan logik adalah saling bersentuhan antara satu sama lain serta tidak boleh dianggap dalam bentuk hierarki ‘yang mulia’ dan ‘yang hina’.

Perlu dinyatakan di sini, bahawa perbahasan antara minda dan tubuh ini bukanlah hal yang baharu. Pemikiran Tun Daim merupakan warisan daripada pemikiran Descartes, yang percaya terhadap dualisme minda-tubuh. Sekiranya Tun Daim mengutamakan logik ke atas emosi, Descartes juga demikian. Hanya Descartes menggunakan istilah minda dan tubuh. Ungkapan “I think therefore I am” jelas menunjukkan betapa berfikir adalah manifestasi kewujudan kita sebagai manusia (logik, minda dan fikir adalah diambil secara sinonim di sini, tanpa menafikan adanya perbezaan halus sesamanya). Apa yang dikemukakan oleh Descartes seolah menjadi swa-bukti yang tidak perlu disemak lagi. Pendirian Descartes ini menyebabkan minda menjadi fakulti yang aktif berbanding dengan tubuh yang menjadi fakulti yang pasif. Hemat Descartes (1970: 101):

From that I knew that I was a substance the whole essence or nature of which is to think, and that for its existence there is no need of any place, nor does it depend on any material thing; so that this ‘me,’ that is to say, the soul by which I am what I am, is entirely distinct from body, and is even more easy to know than is the latter; and even if body were not, the soul would not cease to be what it is.”

Walau bagaimanapun, beberapa hasil kerja daripada beberapa pemikir menunjukkan betapa pemberatan minda ke atas tubuh adalah suatu hal yang bermasalah. Antara yang cuba merungkaikan perkara ini ialah Antonio Damasio (1994), seorang saintis neurologi Portugis-Amerika. Apa yang dimaksudkan emosi? Dan, apa pula beza emosi dengan perasaan (feeling)? Damasio telah membezakan antara emosi dan perasaan meskipun kedua-duanya sering digunakan serentak. Baginya, emosi adalah asas kepada perasaan. Perbezaan halus antara keduanya ialah, perasaan lebih bersifat peribadi manakala emosi lebih bersifat awam. Namun begitu, sama ada emosi mahupun perasaan, kedua-duanya merupakan sebahagian daripada asas untuk kita melangsungkan kehidupan. Kita memerlukan emosi untuk survival sebagai manusia. Justeru itu, Tun Daim tepat apabila menggunakan istilah emosi dalam merujuk kepada orang-orang Melayu kerana ianya bersifat awam.

Butiran yang ingin dinyatakan oleh Damasio di sini ialah, emosi (dan perasaan) bukanlah seteru kepada logik dan minda; mereka adalah sekutu. Bagi Damasio, manusia memerlukan emosi dalam membantu untuk membuat keputusan. Kita sering berpandangan bahawa membuat keputusan adalah fakulti logik. Akan tetapi, bagi Damasio, membuat keputusan adalah kerjasama antara logik dan emosi. Emosi sangat diperlukan tatkala berdepan ancaman dan peluang. Emosi memberi masukan tentang apa tindakan yang kita patut lakukan tatkala berdepan dengan dua keadaan tersebut. Jika Descartes berfikir bahawa logik (atau untuk lebih tepat, nalar, reason) adalah bersifat swa-bukti maka Damasio berasa bahawa emosi adalah juga bersifat automasi. Kedua-duanya berguna sebagai suatu cara untuk kita respon kepada persekitaran (environment). Mark Johnson (2007: 18) dan Zumthor (2006: 13) menyebutnya:

Emotions are not second-rate cognitions; rather they are affective patterns of our encounter with our world, by which we take the meaning of things at a primordial level.

We perceive atmosphere through our emotional sensibility—a form of perception that works incredibly quickly and which we humans evidently need to help us survive.”

Berdasarkan Ralat Descartes (Descartes’ Error) ini, maka kita dapat perhatikan bahawa emosi dan logik adalah kembar seiras; res cogitans memerlukan res extensa, dan begitulah sebaleknya. Justeru itu, apa yang penting ialah bagaimana untuk mengintegrasikan emosi dan logik ini?

Luhmann, seorang pemikir teori sistem dari Jerman mempunyai caranya yang tersendiri untuk mengatasi ketegangan antara dua kutub ini. Beliau memperkenalkan masyarakat sebagai himpunan sistem-sistem sosial. Bagi Luhmann (1996), memahami masyarakat bukanlah dengan emosi. Akan tetapi dengan komunikasi. Menurutnya, dualisme minda-tubuh yang dikemukakan Descartes adalah tidak memadai untuk memerihalkan masyarakat yang beragam, kompleks dan moden. Justeru itu, Luhmann membawa konsep komunikasi dalam konsep masyarakatnya. Komunikasi ini menjadi gandingan baharu kepada minda-tubuh. Bagi Luhmann lagi, tubuh adalah persoalan sistem kehidupan (living systems) manakala minda adalah persoalan sistem psykik (psychic systems). Lalu, komunikasi adalah persoalan sistem sosial (social systems). Ini sekaligus menepati tiga sistem autopoiesis utamanya: kehidupan, psykik dan sosial. Di tangan Luhmann, daripada dualisme minda-tubuh telahpun menjadi triadisme minda-komunikasi-tubuh. Namun, meskipun berbeza dengan Descartes dalam beberapa perkara, tetap sahaja Luhmann ada persamaan dengan Descartes dalam beberapa perkara yang lain. Paling ketara, sama ada Descartes mahupun Luhmann, emosi langsung tidak mendapat tempat dalam falsafahnya.

Rumusan

Jelas sekali di sini, Tun Daim, Descartes dan Luhmann adalah satu angkatan yang tidak melihat fungsi sebenar emosi dalam membantu mencerdaskan masyarakat. Walhal, emosi sangat penting dalam membantu merungkaikan kekusutan di hujung. Kerana itulah, sejarah tidak boleh dibaca sebagai fakta semata. Sejarah, bersama dengan ingatan, boleh membantu untuk memerihalkan stimmung (atmosphere) dan mengungkapkan pengalaman yang takterkomunikasi (incommunicable experience) dalam masyarakat; sekaligus memberi ruh kepada suatu masyarakat terhadap hubungan masa kini dengan masa lalu/depan menerusi upacara-upacara peringatan. Meminjam Runia (2014) tatkala membincangkan “Burying the Dead, Creating the Past”, keberahian untuk memperingati (a desire to commemorate) adalah sesuatu yang perlu disemarakkan di Malaysia. Ini adalah keberahian yang mampu mendekatkan kita kepada masa lalu menerusi arkib, ulangtahun, perayaan, monumen dan sebagainya. Bagaimana suatu masyarakat dapat sembuh daripada pengalaman peristiwa traumatik? Bagaimana kaum Yahudi dapat menangani tragedi Holokaus? Bagaimana mangsa daripada Perang Balkan ‘berdamai’ dengan masa lalu mereka? Commemorate the past! Ini semua berkat gandingan sejarah dan ingatan, serta gandingan emosi dan logik. Rüsen (2007: 46) dengan baik merumuskan potensi pendamaian antara sejarah (fakta, logik) dengan ingatan (representasi, emosi) ini dengan menyatakan:

There is no established culture of historical forgiving in modern societies. But there is a growing awareness that bridges have to be buit over the abyss of good and evil. This culture has started with official apologies for historical injustice and immorality. And there have already been motions for forgiving as well. It is an open question whether this indicates a change in memory and history towards a new recognition of humaneness vis-a-vis and in full presence of inhumanity in the past.”

Rujukan

Alexander, Jeffrey. 2012. Trauma: A Social Theory. Cambridge: Polity Press

Assmann, Aleida. 2006. ‘History, Memory, and the Genre of Testimony’, Poetics Today 27(2): 261-273.

Assmann, Aleida. 2011. Cultural Memory and Western Civilization: Functions, Media, Archives. Cambridge University Press.

Assmann, Jan. 1995. Collective Memory and Cultural Identity, New German Critique, 65, Cultural History/Cultural Studies. (Spring – Summer, 1995): 125-133.

Assmann, Jan. 1997. Moses the Egyptian: The Memory of Egypt in Western Monotheism. Cambridge, MA & London, Harvard University Press.

Assmann, Jan. 2006. Religion and Cultural Memory: Ten Studies. California: Stanford University Press.

Assmann, Jan. 2011. Cultural Memory and Early Civilization. New York: Cambridge University Press.

Damasio, Anatonio. 1994. Descartes’ Error: Emotion, Reason, and the Human Brain. New York: Avon Books.

Descartes, Rene. 1970. The Philosophical Works of Descartes, Jilid I. New York: Cambrdige University Press.

Erll, Astrid. 2011. Memory in Culture. New York. Palgrave Macmillan

Eyerman, Ron. 2002. Cultural Trauma: Slavery and the Formation of African American Identity. New York: Cambrdige University Press

Hashimoto, Akiko. 2015. The Long Defeat: Cultural Trauma, Memory, and Identity in Japan. New York: Oxford University Press.

Luhmann, Niklas. 1996. Social Systems. California: Stanford University Press.

Megill, Allan. 1998. ‘History, Memory, Identity’, History of the Human Sciences 11(3): 37-62.

Nora, Pierre. 1989. ‘Between Memory and History: Les Lieux de Mémoire’, Representations, 26 (Spring 1989).

Runia, Eelco. 2014. Moved by the Past: Discontinuity and Historical Mutation Columbia University Press.

Rüsen, Jörn. 2007. ‘Holocaust Experience and Historical Sense Generation’, Fortid 2: 37-47.

Torpey, John. 2001. The Pursuit of the Past: A Polemical Perspective. Paper presented at Canadian Historical Consciousness in an International Context: Theoretical Frameworks, University of British Columbia, Vancouver, BC.

Tun Daim Zainuddin. 2019. Teks Ucaptama Tun Daim Zainuddin tentang “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional”, https://naratifmalaysia.com/2019/03/28/ucaptama-tun-daim-zainuddin/

Winter, Jay. 2010. The Performance of the Past: Memory, History, Identity’, in Karin Tilmans, Frank van Vree & Jay Winter (eds.) Performing the Past: Memory, History, and Identity in Modern Europe. Amsterdam: Amsterdam University Press, 11-31.

Zumthor, Peter. 2006. Atmospheres: Architectural Environments – Surrounding Objects. Basel: Birkhäuser.

Makalah ini dibentangkan pertama kali di Seminar Menjawab Tun Daim yang diadakan di IKMAS, UKM pada 3 April 2019.

Design a site like this with WordPress.com
Get started