Miskin Bandar: Kesalingterkaitan Ekonomi dan Sosial

Hakikatnya, aspek sosial dan ekonomi adalah saling berkait yang mana setiap jalan penyelesaian yang melibatkan dasar memerlukan suatu kajian yang mendalam terlebih dahulu. Kesilapan tumpuan semasa dekad-dekad pembangunan dan penghijrahan sebelum ini tidak wajar diulangi kembali. Bayangkan sahaja, sekiranya setiap dasar diperhatikan baik-baik terlebih dahulu, kita mungkin boleh membangun dengan lebih baik.

Miskin bandar, meskipun ini adalah topik penting, malangnya kurang mendapat perhatian serius. Bukti yang paling ketara ialah ketiadaan suatu dasar yang jelas dan konsisten dalam mengatasi keadaan ini. Malah, isu semakin genting apabila terdapat deretan isu sosial lain yang berkait rapat dengan isu ekonomi kalangan miskin bandar seperti hubungan kejiranan, kualiti pendidikan, peluang pekerjaan, kekurangan kemudahan awam dan sebagainya.

Secara faktanya, isu miskin bandar yang kerap timbul kebelakangan ini, adalah berdasarkan kepada Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang terbaru, yakni keluarga dengan nilai pendapatan sebanyak RM2,150 sebulan juga sudah dikategorikan sebagai miskin bandar. Dengan kos sara hidup yang tinggi, pendapatan dengan nilai sedemikian sangatlah tidak mencukupi bagi mereka menyara kehidupan sekeluarga. Dalam hal ini, kemiskinan bandar ini bersifat dinamik, di mana terdapat beberapa faktor pembolehubah yang mendorong keadaan ini.

Pertamanya, permasalahan yang menimbulkan keadaan miskin bandar adalah hasil daripada ketidakseimbangan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar. Tatkala negara kita sedang mengalami fasa pembangunan dalam dekad-dekad sebelumnya, maka ramai warga yang tinggal di luar bandar berhijrah kepada kawasan bandar dengan harapan untuk mengubah taraf kehidupan mereka ke arah yang lebih baik. Dalam kata lain, fenomena penghijrahan ini dinamakan sebagai mobiliti sosial.

Namun begitu, dasar kerajaan yang menggalakkan penghijrahan besar-besaran ini tidak mengambil kira beberapa kesan jangka masa panjang terutamanya yang melibatkan beberapa dampak sosial seperti persoalan keselamatan, pendidikan dan kemudahan awam. Sebagai contoh, kawasan rumah pangsa kos rendah mempunyai kadar jenayah seperti kes-kes kecurian dan kerosakan harta benda peribadi mahupun awam yang tinggi. Ini berlaku akibat ketiadaan peruntukkan untuk menangani perkara ini. Maka adalah suatu kesilapan yang besar, sekiranya tumpuan dan galakan penghijrahan hanya disudutkan kepada aspek ekonomi semata-mata sehingga mengabaikan aspek sosialnya.

Seterusnya, keduanya, penghijrahan beramai-ramai ini juga menimbulkan persoalan baru iaitu kebolehcapaian ekonomi. Ini melibatkan akses kepada peluang pekerjaan, kemudahan awam, dan akses kesihatan. Ketidakbolehcapaian ini, dalam sedar tak sedar, telahpun memburukkan lagi permasalahan pertama sehingga melebarkan jurang ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar. Misalnya, kita dapat perasan betapa apabila ramai warga luar bandar berhijrah ke bandar maka wujudnya ketidakseimbangan antara keperluan dan pembekalan tenaga kerja di bandar. Ini berlaku lantaran kekurangan peluang pekerjaan kepada mereka yang bersesuaian dengan taraf pendidikan dan kemahiran.

Sudah tentu, kita akui bahawa pada tahun 1970an sehingga tahun 2000 penghijrahan besar-besaran ke bandar adalah disebabkan pembangunan perindustrian. Kepesatan pembangunan yang berpusat di bandar ini telahpun menyediakan peluang pekerjaan yang melimpah seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Oleh itu, penghijrahan yang beramai-ramai ini membawa kepada keterbatasan peluang pekerjaan ekoran kuota kerja yang terhad. Lantas, pihak industri terpaksa meletakkan keperluan kemahiran dan pendidikan yang lebih tinggi bagi menangani perkara ini. Ini akhirnya mendorong kepada ketidakbolehcapaian peluang pekerjaan untuk mereka yang tidak mempunyai kemahiran dan pendidikan pada tahap yang dikehendaki.

Dalam konteks ini, maka pendidikan sebenarnya memainkan penting bagi memenuhi tuntutan pekerjaan dan menggalakkan mobiliti sosal. Namun, disebabkan oleh keadaan ekonomi keluarga yang tidak begitu baik, maka masyarakat terpaksa mengubah keutamaan daripada pendidikan kepada pekerjaan. Perubahan keutamaan ini, meskipun ibarat kais pagi makan pagi, sememangnya boleh memberi sedikit kelegaan sementara demi memastikan terdapat makanan di atas meja setiap hari.

Sebagai fenomena sampingan, maka tidak hairanlah jika kita melihat remaja yang berumur 15 tahun ke atas tidak lagi bersekolah dan memilih untuk bekerja seperti di bengkel motorsikal dan kedai makan. Hal yang perlu kita sedar ialah masyarakat miskin bandar kebanyakannya tidak mampu untuk menuntut lebih daripada yang sedia ada kerana bergelut memastikan keperluan asas mereka dahulu.

Walau bagaimanapun, dalam segala keterbatasan ini, tetap sahaja ada kalangan miskin bandar yang masih mampu menghantar anak- anak mereka ke sekolah. Malangnya, kalangan ini tidak pula dapat memastikan kualiti pendidikan yang terbaik. Hal ini disebabkan oleh cabaran dari sudut kewangan yang mana memerlukan mereka untuk berbelanja lebih bagi mendapatkan kemudahan teknologi seperti komputer riba dan akses internet. Mutakhir ini, keadaan ini menjadi lebih buruk apabila ibu bapa ini terpaksa memberhentikan persekolahan anak-anak mereka akibat daripada hilangnya sumber pendapatan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari.

Ini belum termasuk lagi wujudnya perbezaan kelas dan status antara pelajar sekolah yang berasal dari keluarga yang berkemampuan dengan masyarakat miskin bandar. Perbezaan ini wujud kerana mereka dihantar ke sekolah yang sama.

Kita dapat melihat terdapat kalangan miskin bandar yang tidak dapat menghantar anak-anak mereka untuk menyertai program-program ko-kurikulum yang memerlukan kos kewangan tambahan yang bukan sedikit. Ini tidak termasuk lagi dengan kelengkapan unit beruniform yang kita sedia maklum berharga lebih RM100 seunit. Hal ini menyebabkan anak-anak miskin bandar tersisih, terutamanya dalam keadaan kelas yang padat, dengan kapasiti boleh mencecah 50 pelajar. Tidak seperti rakan-rakan lain yang berkemampuan untuk menyertai program-program berfaedah pada hujung minggu, mereka sebaliknya menghabiskan masa tersebut dengan membantu ibu bapa masing-masing berniaga dan ada juga yang tidak terlepas daripada melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak berfaedah.

Akibat rantaian keadaan ini, akhirnya kualiti pendidikan yang mereka terima tidak sempurna serta mereka juga tidak dapat menguasai banyak kemahiran, pengetahuan dan tumpuan pembelajaran yang setara dengan rakan-rakan yang berasal daripada keluarga yang lebih berkemampuan.

Kesimpulannya, kehidupan di bandar menuntut suatu masyarakat yang aktif dan produktif, dengan sistem sokongan menyeluruh daripada kerajaan dan masyarakat. Justeru itu, program pembangunan masyarakat miskin bandar perlulah diperbanyakkan bagi menggalakkan mereka menjadi masyarakat yang mampu bermandiri. Dalam kata lain, keupayaan untuk bermandiri ini hadir dengan melihat sesuatu dasar dan inisiatif bukan daripada aspek ekonomi semata sehingga mengabaikan aspek sosialnya pula.

Dalam keadaan masyarakat dan dunia yang makin kompleks, maka sosial dan ekonomi adalah saling berkait yang mana setiap jalan penyelesaian yang melibatkan dasar dan inisiatif memerlukan suatu kajian yang mendalam terlebih dahulu. Kesilapan tumpuan semasa dekad-dekad pembangunan dan penghijrahan bandar/luar-bandar sebelum ini tidak wajar diulangi kembali. Bayangkan sahaja, sekiranya setiap dasar diperhatikan baik-baik terlebih dahulu, kita mungkin boleh membangun dengan lebih pesat dengan kualiti yang lebih tinggi.

Malangnya, kesempatan ini telahpun terlepas, selain kita kini terpaksa menanggung pula kesan daripada kepincangannya. Puncanya: kegagalan kita memperhatikan masalah rantaian ekoran keadaan kesalingterkaitan antara aspek sosial dengan aspek ekonomi. Kesannya ini tidak dirasakan ketika dasar tersebut mula dilaksanakan, sebaliknya dirasakan bertahun-tahun kemudian oleh generasi mendatang.

Esei ini ditulis secara bersama oleh Muhammad Ikmal Nizam Bin Abd Raman, Adhura Husna Binti Farouk Izwan dan Dhevann Raj Ramalingam. Esei ini merupakan sebahagian daripada projek “Transformasi Sosioekonomi dan Kesatuan Nasional” anjuran Merdeka Center, Team Selangor, Naratif Malaysia, MyPJ, Gerakan Pembebasan Akademik, Persatuan Kenduri-Kendara Desa Mentari, Persatuan Kenduri-Kendara Blok 3 Kampung Lindungan dan Cultural Harmony Camp Youth.

Miskin Bandar: Bak Desa Tanpa Mentari

Penduduk Desa Mentari adalah cerminan kepada realiti sebenar majoriti rakyat Malaysia kalangan B40 dan M40 yang mempunyai cabaran masing-masing. Jelas, jika tiada usaha pemerkayaan akan suara mereka yang sedia kurang didengari ini selama ini dalam pembentukan polisi yang holistik, kitaran hidup yang menzalimi mereka ini akan terus berlanjutan kepada generasi mendatang.

Kesenjangan sosioekonomi menjadi topik yang tidak pernah surut dan bertambah dinamik dalam “Malaysia kaya” ini. Perkara ini telah diulas panjang dan didokumentasikan, contohnya dalam buku “The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia” ditulis Dr Muhammed Abdul Khalid dan buku “Rich Malaysia, Poor Malaysians: Essays on Energy, Economy and Education” oleh penulis Anas Alam Faizli, masing-masing dikira pakar dalam perbahasan ekonomi di Malaysia. Itu pun belum diambil kira kesan langsung dan tidak langsung pasca-wabak pandemik COVID-19 kepada golongan terpinggir umumnya di Malaysia yang pada hemat kami tiada lagi analisis holistik berkenaannya.

Kali ini Merdeka Center dengan sokongan beberapa pemegang taruh daripada pelbagai latar belakang telah menganjurkan sebuah inisiatif “Program Zamalah Belia bagi Tema Transformasi Sosioekonomi dan Kesatuan Nasional” bagi peringkat Lembah Klang untuk memahami realiti rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan paling bawah dalam kelas ekonomi seperti B40. Pangsapuri Desa Mentari di Petaling Jaya menjadi kawasan kajian yang mewakili segmen miskin bandar untuk diselami realiti kehidupan mereka. Untuk rekod, pemerhatian kami tidak terhad kepada indikator Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang biasa dipakai tetapi kami cuba mengaplikasikan panduan Indeks Pembangunan Manusia (HDI) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) ketika mendekati golongan sasaran kami ini.

Utamanya, isu pendapatan isi rumah yang rendah menjadikan golongan kelas bawahan kekal terpinggir daripada komuniti lain yang mempunyai pendapatan isi rumah yang lebih baik. Golongan ini lebih tertumpu kepada isu kelangsungan hidup. Berbeza dengan kelas yang berpendapatan lebih tinggi, mereka mampu untuk memikirkan penambahbaikan kualiti hidup seperti menghadiri ke kelas tambahan dan pendidikan muzik bagi anak-anak. Hal ini menyebabkan berlakunya diskriminasi secara tidak langsung yang berterusan kepada golongan kelas bawahan kerana keterbatasan daripada segi kualiti hidup hasil jurang pendapatan yang jauh berbeza.

Selain daripada itu juga, mereka sedia terpinggir daripada akses kepada peluang pendidikan yang lebih berkualiti sekaligus pekerjaan lebih baik. Hal ini menyebabkan potensi dalam kalangan mereka ini tidak dapat digilap sepenuhnya. Maka dianggarkan kepompong kemiskinan ini akan terus diwarisi dan menghantui generasi seterusnya. Isu pengangguran dan kualiti hidup yang tidak baik direkodkan turut menyumbangkan kepada masalah sosial lain seperti jenayah pecah rumah, kecurian, penyalahgunaan dadah dan sebagainya. Perkara ini realiti yang pahit untuk ditelan sebenarnya.

Kebolehcapaian mereka kepada sistem sokongan kesihatan mental dan fizikal antara isu penting kalangan mereka yang tidak putus kunjung tiba. Faktor saiz unit pangsapuri yang kecil memberi kesan langsung kepada ketahanan kesihatan mental ketika berada di rumah khususnya bagi sebuah keluarga yang besar jumlah ahlinya. Ia turut dilaporkan media massa dan aduan diterima oleh badan kebajikan khusus ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan. Sering berlaku masalah sumbang mahram, penderaan fizikal serta mental oleh ahli keluarga termasuk keadaan keluarga yang porak-peranda hasil penceraian ibu bapa misalnya.

Bagi kebanyakan keluarga pula adalah akses terhad kepada bekalan air bersih dan air yang selamat diminum yang menyumbang kepada isu kesihatan fizikal seperti penyakit bawaan air. Isu kesihatan ini menghalang kepada kemandirian ahli komuniti ini untuk terus menambah baik kualiti hidup yang setaraf dengan komuniti lain yang lebih sihat. Tidak kurang juga dilaporkan masih ada yang terputus sejak sekian lama bekalan asasi ini. Ia tidak dapat diterima bagi sebuah negara maju seperti Malaysia.

Di samping itu, kekangan daripada segi kelengkapan infrastruktur yang lengkap juga dapat diperhatikan dalam komuniti Desa Mentari ini. Ia telah memberi kesan langsung kepada kualiti kehidupan harian mereka. Isu seperti kerosakan lif yang sering berlaku juga menyukarkan pergerakan bagi golongan marginal seperti orang kelainan upaya (OKU) dan warga tua. Isu-isu sebegini sememangnya mendatangkan impak kepada mereka sungguhpun mereka telah menganggap kebiasaan ini sebagai sesuatu keadaan yang tidak begitu ketara. Kesukaran kehidupan penduduk di Desa Mentari terlihat disebabkan lemahnya kemudahan infrastruktur di blok kediaman mereka yang menjadikan penduduk tidak dapat untuk menjalankan aktiviti harian dengan baik.

Contoh yang timbul seperti  tiada akses kerusi roda dan juga ruang yang terhad untuk tempat letak kenderaan warga OKU. Tambahan, lif bangunan selalu  bermasalah dan tidak dibaiki menjadikan penduduk umumnya terpaksa bergantung kepada satu lif dan tangga sahaja. Senario ini amat memeritkan. Namun itu bukan alasan untuk mereka mengeluh, bahkan mereka telah menganggap ia sebagai kelaziman dan norma biasa bagi mereka sekaligus berjaya mengurus permasalahan ini dengan baik untuk meneruskan kehidupan seharian mereka yang serba kekurangan itu.

Sistem sokongan khususnya sokongan sosial juga antara isu yang mendesak untuk diketengahkan. Khususnya bagi ibu tunggal, mereka amat memerlukan sokongan sosial seperti tempat jagaan kanak-kanak atau TASKA untuk memastikan keselamatan anak-anak ketika ibu mereka berada di tempat kerja.  Tanpa kewujudan sokongan sosial yang lebih memudahkan warga ini, misi untuk mencari rezeki menjadi satu cabaran kepada pencari nafkah utama ini. Mereka terpaksa bergantung kepada jiran mereka untuk menjaga anak-anak mereka yang masih kecil bagi mereka tidak mempunyai kemampuan kewangan yang cukup atau sibuk bekerja di luar untuk memenuhi keperluan seisi keluarga. Sebilangan besar jiran-jiran yang menjaga anak-anak mereka biasanya adalah warga tua.

Bagi warga tua pula, mereka yang rata-rata tidak lagi bekerja terutamanya yang tinggal berseorangan atau bersama hanya pasangan mereka di rumah ini sepenuhnya bergantung kepada bantuan kewangan daripada anak-anak mereka yang bekerja di tempat lain, ihsan jiran-jiran sekitar dan skim bantuan kerajaan secara bulanan atau one-off untuk menampung keperluan asasi seharian mereka. Ini bukan perkara baharu bagi warga tua yang merupakan penduduk majoriti di kediaman kos rendah seperti ini.

Akhir kalam, bagi kami pendedahan dan pengamatan terhad ini hanya sebahagian kecil daripada kisah-kisah pergelutan kelas ekonomi rakyat Malaysia dalam memaknai kehidupan yang penuh onak dan duri yang sistemik ini. Penduduk Desa Mentari adalah cerminan kepada realiti sebenar majoriti rakyat Malaysia kalangan B40 dan M40 yang mempunyai cabaran masing-masing. Jelas, jika tiada usaha pemerkayaan akan suara mereka yang sedia kurang didengari ini selama ini dalam pembentukan polisi yang holistik, kitaran hidup yang menzalimi mereka ini akan terus berlanjutan kepada generasi mendatang.

Soalan untuk kita semua, apakah usaha kita untuk merubah realiti ini?

Esei ini ditulis secara bersama oleh Salami (juga editor), Al-Hafiz, Nash, Carinna dan Joey. Esei ini merupakan sebahagian daripada projek “Transformasi Sosioekonomi dan Kesatuan Nasional” anjuran Merdeka Center, Team Selangor, Naratif Malaysia, MyPJ, Gerakan Pembebasan Akademik, Persatuan Kenduri-Kendara Desa Mentari, Persatuan Kenduri-Kendara Blok 3 Kampung Lindungan dan Cultural Harmony Camp Youth.

Design a site like this with WordPress.com
Get started