Syarahan Naratif Malaysia oleh Sufian Jusoh

Kerajaan perlu berani memperkenalkan dasar liberal yang memberdayakan Melayu untuk memecahkan ‘tempurungnya’ sendiri. Tanpa dasar liberal ini, maka orang Melayu akan kehilangan peluang untuk memanifestasikan potensinya sendiri.

SIRI SYARAHAN NARATIF MALAYSIA BIL. 2020/1

Memecah Tempurung Melayu: Membina Bangsa yang Mencabar Diri

Penyampai: Prof. Dr. Sufian Jusoh, IKMAS UKM
Tarikh: 10 Februari 2020
Masa: 10.00am – 12.00pm
Tempat: IKMAS Meeting Room, UKM Bangi

Abstrak

Dalam menangani zaman pasca-globalisasi, mentaliti serta atitud Melayu perlu berubah. Justeru itu, pembentangan ingin meneroka mengenai keterbatasan serta keupayaan yang dimiliki oleh orang Melayu dalam pengalaman Malaysia. Usaha ini tidaklah begitu sukar memandangkan sudahpun terdapat perubahan di kalangan orang Melayu itu sendiri. Ini terbukti tatkala terdapat orang Melayu yang telah berjaya di atas usaha mereka sendiri, meskipun fakta ini tidaklah menafikan terdapat juga yang masih menggunakan ‘tongkat’ (walaupun mere sebenarnya ada keupayaan untuk berdikari). Lantaran itu, pembentangan ini mencadangkan bahawa usaha yang perlu digiatkan untuk Melayu terus berjaya adalah dengan membebaskan Melayu dari cengkaman dasar kerajaan. Ini kerana, cengkaman ‘dari atas’ ini bukan sahaja merugikan orang Melayu akan tetapi turut merugikan Malaysia secara keseluruhannya. Lantas, kerajaan perlu berani memperkenalkan dasar liberal yang memberdayakan Melayu untuk memecahkan ‘tempurungnya’ sendiri serta mampu bersaing dengan bangsa dan negara lain. Tanpa dasar liberal ini, maka orang Melayu akan kehilangan peluang untuk memanifestasikan potensinya sendiri.

Biodata

Profesor Dr. Sufian Jusoh merupakan Pengarah Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS) dalam bidang perdagangan antarabangsa. Beliau juga merupakan pengerusi untuk kursi ASEAN Integration Grand Challenge di UKM. Selain itu, beliau turut terlibat dalam World Trade Institute (WTI) yang berpangkalan di Universiti Bern, Institute of Diplomacy and Foreign Relations (IDFR) di bawah Kementerian Luar Negeri serta ahli kepada Pacific Economic Cooperation Council Malaysian Chapter. Sehingga kini, beliau memainkan peranan penting dalam reformasi undang-undang perlaburan di Myanmar, Timor Leste, Laos and the Federated States of Micronesia.

Profesor Sufian merupakan Barrister-at-Law (England & Wales) of Lincoln’s Inn, London. Sufian serta memperoleh pendidikan LL.B daripada Cardiff Law School, LL.M (Merit) daripada University College London and a Doctor in Law (summa Cum Laude) daripada Universiti Bern, Switzerland.

Wacana Naratif Malaysia oleh Nazrin Zaidi

Pembentangan ini cuba merangka pendekatan sistesis etnisiti dan kelas bagi memahami kontruksi modal budaya yang terjelma (embodied) di Malaysia –dalam ragam penulisan– sebagai sebuah kunci analitikal.

SIRI PEMBENTANGAN HANG NADIM [1/2020]

Paradigma Budaya dalam Merebut Takrif Negara-Bangsa Idaman

Penyampai: Mohd Nazrin Zaidi
Masa: 10 pagi – 12 tengahari
Tarikh: 16 Januari 2020 (Khamis)
Tempat: Bilek Mesyuarat IKMAS, UKM
Semua dialu-alukan hadir

Abstrak:

Kajian Malaysia ditabiri oleh beberapa paradigma besar yang terbentuk demikian kesan daripada kolonialisasi British. Tidak dinafikan karakter bidang sains sosial di Malaysia tidak dapat lari daripada memposisikan paradigma kelas dan juga etnisiti berdasarkan polemik dan magnitud kesarjanaan tersendiri. Penulisan ini cuba merangka pendekatan sistesis etnisiti dan kelas bagi memahami kontruksi modal budaya yang terjelma (embodied) di Malaysia seperti seni, penerbitan penulisan akademik popular, jurnalistik, kesusasteraan, gosip maya dan lain-lain sebagai sebuah kunci analitikal menerusi paradigma budaya untuk mengkaji negara bangsa dan nasionalisme Melayu. Daripada pengalaman kebudayaan takrifan pemerintah dan takrifan keseharian setiapnya terbentuk menerusi interaksi aktor dalam realiti rosial. Dan ini memberi legitimasi untuk sesuatu budaya yang mendominasi atau didominasi sekaligus membentuk penerimaan dan pengambilan posisi (position taking). Hal ini malah membentuk lapangan kuasa-idea yang persepstif dilatari oleh pengalaman sejarah struktural kolonial seperti etnisiti dan ketaksamaan ekonomi. Kumpulan-kumpulan sosial yang terbentuk menerusi institusi/ruang formal dan tidak formal yang terbentuk berangkat daripada latar modal budaya yang berbeda-beda kemudiannya menyedari budaya autonomi telah ditanggapi secara arbitrari (berbagai dan tidak tentu) menyebabkan ia menjadi rencana politikal yang perlu dicita-citakan kerana terdapatnya runtuhan simbolik. Keupayaan imaginasi dan keinginan nasionalisme kumpulan-kumpulan ini tentang negara bangsa idaman yang digerakkan oleh moraliti agama, nilai dan mitos etnik telah dimanifestasikan menerusi akumulasi modal budaya dan kecenderungan (dispositions) untuk menanda batas identiti, sosial dan politikal; bagi merebut takrifan budaya.

Wacana Naratif Malaysia oleh Razan Rose’

Landskap ditanggapi sebagai suatu ruang di mana cita sosial dan persejarahan diluah, diterbit, dan digunakan oleh individu yang mengikat diri mereka kepada landskap tersebut di mana identiti ditemukan, mengeras, dan terjelma dalam bernama komuniti.

Razan

SIRI PEMBENTANGAN HANG NADIM

Landskap Melayu: Mencitra Peribadi Bangsa

Penyampai: Razan Rose’, Universiti Sains Malaysia (USM)
Masa: 10 pagi – 12:00 tengahari
Tarikh: 28 November 2019
Tempat: Bilek Mesyuarat IKMAS
Semua dijemput hadir

Dalam tahun-tahun 30-an di Tanah Melayu, banyak kedengaran anjuran-anjuran supaya orang Melayu kembali kepada “pekerjaan asal” mereka iaitu bertani; di belakangnya ada rangsangan ekonomi yang jelas misalnya membabitkan hal-hal pemilikan tanah serta pemberdayaan ekonomi orang Melayu. Saranan sebegini lazimnya disulami dengan pernyataan dan perlambangan yang mengisyaratkan kewujudan suatu keadaan azali bagi orang Melayu. Dalam erti kata, pertanian dianggap, serta diperlihatkan, sebagai pekerjaan turun-temurun orang Melayu dan seterusnya membentuk sebahagian daripada teras Kemelayuan. Di sini, pekerjaan beroleh peranan baru sebagai penanda identiti; dan ia tidak hadir secara bersendirian melainkan menempati sebuah persekitaran khusus, lengkap dengan sifat-sifatnya tersendiri, yang kemudiannya mempengaruhi pembudayaan manusia yang menempatinya. Pertautan kerja-persekitaran-budaya membentuk unsur teras yang menjadi sandaran terhadap identiti kelompok yang terangkum, serta memperoleh maknanya, dalam pemberdayaan landskap secara bersama. Justeru, landskap ditanggapi sebagai suatu ruang di mana cita sosial dan persejarahan diluah, diterbit, dan digunakan oleh individu yang mengikat diri mereka kepada landskap tersebut di mana identiti ditemukan, mengeras, dan terjelma dalam suatu representasi nyata bernama komuniti. Makalah ini menanggapi pembentukan identiti Melayu–Kemelayuan tahun-tahun 30-an yang dicitrakan lewat pemaparan landskap khusus orang Melayu dalam imej-imej visual yang terpilih.

Pendaftaran:

Perkara-perkara yang Menjadi Kewajipan Belia

Dukacitanya saya sebutkan bahawa pada ketika ini tidak ada sesuatu yang dinamakan “Bangsa Melayu” atau “Malay Nation” menurut pengetahuan cara siasah, sungguhpun kerap didengar perkataan-perkataan “Bangsa Melayu, Bangsa Melayu” di sana sini.

Utusan Zaman 13 September 1941

Yang Mulia Inche’ Abdul Rahim bin Ibrahim, seorang ahli jawatankuasa Kesatuan Melayu Singapura, telah memberi suatu syarahan di pemancar tetuang udara Singapura pukul 5.45 petang Ahad yang lalu atas hantaran “Kewajipan Belia-Belia Melayu”. Isi ucapan ini seterusnya menarik perhatian orang-orang muda kerana itu kita turunkan di sini supaya menjadi tatapan ramai. Seyogia disebut bahawa Inche’ Abdul Rahim bin Ibrahim itu seorang yang sedang mengambil berat berkenaan dengan hal ehwal bangsanya dan makalah-makalahnya memang menjadi perhiasan majalah Mastika.

Inche’-Inche’, Puan-Puan, dan Tuan-Tuan.

Hantaran cakap saya pada hari ini ialah “Kewajipan-Kewajipan bagi Belia-Belia Melayu”. Jadi kepada belia-belia Melayu-lah terutamanya cakap ini dihalakan. Adapun yang saya kehendaki dengan perkataan “belia” itu termasuklah anak-anak muda lelaki dan perempuan.

Kewajipan yang pertama sekali bagi belia-belia Melayu, saya fikir, ialah kepada diri masing-masing: iaitu melengkapkan diri mereka pada tubuh, budi, dan pekerti supaya dapatlah mereka menunaikan kewajipan-kewajipan mereka yang lebih besar. Ambillah satu perkara sahaja iaitu memelihara kesihatan tubuh. Perkara ini terlalu penting kerana jika kesihatan tubuh seseorang itu tidak baik biasanya otaknya pun tidak tajam. Jika otak belia-belia Melayu ketika ini tidak tajam, pada hitungan panjang nescaya anak-anak merekapun kekal bengap jua. Pada tentang jenis perempuanpun demikian juga terlalu penting memelihara kesihatan tubuh mereka kerana gadis-gadis Melayu hari ini akan jadi ibu-ibu Melayu hari esok.

Sebelum saya beralih kepada kewajipan yang kedua, saya suka hendak menyebutkan suatu perkara. Banyak belia-belia Melayu pada hari ini tidak dapat melanjutkan pelajaran mereka oleh sebab ibu atau bapa atau wali mereka tidak mampu menanggung belanja-belanja yang dikehendaki. Meskipun demikian, budi seseorang itu terutamanya budi seseorang belia wajib dikilir. Dari itu, tak dapat tiada hendaklah dikeledarkan oleh belia-belia Melayu yang dalam keadaan yang demikian walau macam manapun pada mengilir budi mereka, baik di sekolah atau di luar sekolah.

Kewajipan yang kedua bagi belia-belia Melayu ialah kepada keluarga mereka masing-masing. Wajiblah mereka itu menjaga nama baik ibu bapa dan datuk nenek mereka. Sekiranya ada di antara ibu bapa atau datuk nenek mereka orang yang ternama atau terbilang, seyogialah mereka itu bercita-cita dan bekerja sampai nama mereka sendiri lebih terbilang. Berkenaan dengan perkara ini, janganlah seseorang belia Melayu bermegah-megah dengan nama atau jasa seseorang yang terdahulu di dalam lingkungan keluarganya, padahal dia sendiri tidak berbuat sesuatu yang kebilangan.

Di sini, benarkanlah saya melencong sebentar. Pada masa ini, orang-orang Melayu belum ada rata menggunakan nama keluarga atau Surname di dalam Bahasa Inggeris. Umpamanya nama seseorang itu Awang bin Buyong. Kemudian anak si Awang itu pula dinamakan, katakanlah Jantan, jadi nama budak itu Jantan bin Awang. Demikianlah sediakala ada dua nama sahaja—kendiri dan nama bapa—pada sisi seseorang Melayu. Padahal barangkali ada beribu orang Melayu dengan nama Awang bin Buyong dan beribu pula bernama Jantan bin Awang. Jikalau orang-orang Melayu memakai nama keluarga nescaya nama keluarga itu berkekalan. Sekiranya ada pula di antara datuk nenek seseorang itu orang yang terbilang nescaya adalah bagi anak cucunya tempat menaruh besar hati atau tempat mengambil tiupan semangat. Sekarang orang-orang Melayu telah ada yang menjadi penganjur, pengarang, perajurit, pendeta, dan lain-lainnya. Nama-nama yang besar itu akan terpadam sekiranya tidak digunakan nama keluarga itu. Nama keluarga itu boleh diambil daripada nama kampung atau nama pekerjaan dan sebagainya. Perkara nama keluarga ini saya hanya sebutkan sambil lalu sahaja.

Sekarang kewajipan yang ketiga bagi belia-belia Melayu ialah kepada pergaulan. Setengah-setengah orang akan berkata, “Apalah hirau. Kepada pergaulan, jaga diri sendiri sudah cukup.” Mereka-mereka yang demikian itu lupa bahawa seseorang manusia itu suatu anggota daripada keluarganya, dan suatu keluarga itu suatu anggota pula daripada pergaulan. Adapun manusia itu dikatakan haiwan pergaulan: ertinya ia tak dapat tiada hidup bergaulan. Bagaimanalah boleh seseorang belia Melayu menunaikan kewajipannya kepada pergaulan Melayu? Jalan-jalannya ada banyak. Satu daripadanya ialah menghormatkan orang-orang Melayu. Sampai orang-orang lainpun boleh menghormatkan orang-orang Melayu. Di sini saya suka hendak menceritakan bagaimana belia-belia Turki menghormatkan orang-orang Turki dan membuat orang-orang lainpun menghormatkan orang-orang Turki. Ada seorang wartawan Eropah pergi ke Turki menyelidik keadaan negeri itu. Pada suatu hari di dalam sebuah pekan, dilihatnya orang-orang Turki yang menjadi pekerja-pekerja di dalam sebuah kilang sedang keluar daripada tempat kerja mereka. Oleh wartawan itu hendak diambilnya gambar pekerja-pekerja Turki itu. Pada ketika itu, pekerja-pekerja Turki itu semuanya berpakaian kotor-bolor dan ada pula setengah-setengahnya berpakaian compang-camping. Seketika lagi dirasa oleh wartawan itu yang bahunya sebelah dipegang orang. Apabila ia berpaling maka dilihatnya seorang belia Turki berdiri dibelakangnya. Maka kata belia Turki itu, “Janganlah tuan ambil gambar pekerja-pekerja itu. Ambillah gambar pemandangan-pemandangan yang lebih elok lagi.” Wartawan Eropah itupun tak jadi mengambil gambar pekerja-pekerja itu. Beberapa lama kemudian, ketahuilah ia bahawa belia Turki itu ialah seorang anggota daripada puak orang ramai bandaraya Turki.

Apabila saya sebut puak siasah Turki itu, teringatlah saya akan persatuan-persatuan siasah Melayu. Ini dia lagi satu jalan bagi belia-belia Melayu pada menunaikan kewajipan mereka: iaitu jika boleh bersekutu dengan kesatuan-kesatuan dan persatuan-persatuan siasah Melayu yang di desa masing-masing. Daripada pendapatan saya sendiri, ketahuilah saya bahawa orang-orang tua itu berkehendakkan orang-orang muda menolong mereka di dalam kerja-kerja mereka, istimewa pula pada tentang persatuan-persatuan Melayu. Tinggang tua sedar bahawa belia-belialah yang seyogia menanggung beban menjalankan kerja persatuan-persatuan mereka dengan panduan fikiran yang sederhana daripada orang-orang tua. Belia-belia itu memang panas darah: oleh itu seyogialah ada lensing yang boleh menahan mereka pada masa-masa yang tertentu. Saya kerap kali mendengar setengah-setengah daripada belia-belia Melayu menegur orang-orang Melayu yang berumur. Padahal mereka itu sendiri tidak berbuat sesuatu apapun yang boleh dikatakan kejayaan besar. Dan ingat apalah kiranya wahai tuan-tuan pendengar, bahawa jurucakap inipun seorang belia Melayu juga.

Lagi satu jalan bagi belia-belia Melayu menunaikan kewajipan mereka kepada pergaulan ialah pada tentang Bahasa Melayu. Seyogialah belia-belia Melayu menggunakan bahasa sendiri pada bila-bila masa yang boleh, dan seyogialah mereka itu mencari keledar pada memperkayakan dia. Ada setengah-setengah daripada belia-belia Melayu gemar bertutur dengan Bahasa Inggeris sama antara mereka itu. Ini tidaklah boleh dikatakan salah, kerana mereka itu hendak melancarkan lidah mereka pada Bahasa Inggeris dan selagi mereka itu tidak mempermudah-mudahkan bahasa mereka sendiri. Suatu daripada sebab-sebab maka orang ramai Melayu tewas di dalam perjuangan kehidupan ialah kerana tidak pandai bertutur kata atau tidak pandai menyatakan perasaan yang di dalam hati mereka. Dari kerana kekurangan ini dapatlah peluang kepada orang-orang lain keluar sebagai jurukata-jurukata bagi orang-orang Melayu, padahal fikiran-fikiran yang dituturkan lulu jurukata-jurukata itu lebih kerap daripada tidaknya bukanlah fikiran-fikiran Melayu.

Menurut susunan yang biasa, cakap saya ini sepatutnya begini: (1) kewajipan kepada diri, (2) kewajipan kepada keluarga, (3) kewajipan kepada pergaulan, dan (4) kewajipan kepada bangsa. Akan tetapi dengan dukacitanya saya sebutkan bahawa pada ketika ini tidak ada sesuatu yang dinamakan “Bangsa Melayu” atau “Malay Nation” menurut pengetahuan cara siasah, sungguhpun kerap didengar perkataan-perkataan “Bangsa Melayu, Bangsa Melayu” di sana sini. Apa yang ada pada masa ini ialah suatu “Keturunan Melayu” atau “Malay Race” di dalam Bahasa Inggeris. Jikalau tidak ada “Bangsa Melayu” maka wajiblah atas belia-belia Melayu mengadun, membentuk, dan membangunkan Bangsa Melayu yang akan datang. Inilah sebenar-benar kewajipan bagi belia-belia Melayu pada masa ke hadapan. Perkara ini terlalu lanjut dan tak dapat dibicarakan di dalam masa yang diuntukkan kepada saya hari ini.

Sementara belum ada “Bangsa Melayu” itu, saya masukkanlah suatu kewajipan lagi bagi belia-belia Melayu: iaitu kewajipan kepada tanah air mereka. Pada masa ini, lebih daripada masa-masa yang lain, seyogialah belia-belia Melayu bekerja seberapa upaya mereka pada mempertahankan tanah air mereka. Orang-orang Melayu tentulah sukacita melihat belia-belia mereka ada berkhidmat di dalam jawatan-jawatan perang pada ketiga-tiga cawangan: laut, darat dan udara. Di laut ada belia-belia Melayu di dalam Angkatan Laut Tanah Melayu dan di dalam Cadangan Volunteer Laut Diraja, di darat. Ada belia-belia Melayu di dalam sayap latihan Melayu bagi Tentera Meriam Diraja, di dalam Jurutera Diraja, di dalam Rejimen Melayu, di dalam R.A.S.C. dan di dalam Volunteer Darat dan di Udara ada belia-belia Melayu di dalam Angkatan Udara Diraja. Lain daripada jawatan-jawatan perang ini, belia-belia Melayu ada di dalam Kerja Kawalan Menahan (Passive Defence Service) seperti Kawalan Serangan Udara Diraja dan lain-lainnya. Barangkali ada setengah-setengah belia Melayu yang tidak masuk ada sesuatu cawangan daripada khidmat-khidmat raya itu. Akan tetapi mereka itu boleh juga membantu kerja-kerja peperangan ini dengan tetap duduk bekerja di tempat-tempat kerja mereka masing-masing. Saya tidak hendak memanjangkan perkataan pada tentang ini kerana sekiranya saya berbuat demikian nescaya saya ini hanya mengulangi perkataan-perkataan beberapa orang jurucakap yang lain. Hanya sanya saya menyebutkan dia kerana hari ini ialah hari kemenangan bagi peperangan di antara kuasa-kuasa ramai dan Nazi Jerman. Bahkan cakap saya ini tidak sempurna kalau sekiranya tidak saya sebut akan dia.

Saya juga sedar ada suatu bilangan belia-belia Melayu yang tidak dapat mengambil bahagian yang besar di dalam kerja-kerja bagi xx di pergaulan Melayu dan tanah air mereka. Akan tetapi bukanlah ertinya mereka itu tidak dapat langsung menunaikan kewajipan-kewajipan yang saya butirkan di sini. Ambillah teladan seseorang belia Melayu yang menjadi kuli, mencangkul sepanjang hari. Dipandang sekali imbas sahaja, tidaklah dapat ia menunaikan kewajipan-kewajipannya kepada dirinya, kepada keluarganya, kepada pergaulan Melayu dan kepada tanah airnya sekali gambar. Akan tetapi berkatalah saya bahawa belia Melayu yang sedemikian itu boleh dan seyogialah menunaikan kewajipan-kewajipannya yang empat itu sekaligus xx xx belia Melayu itu xx dengan jalan mencangkul ia dapat sesuap nasinya dan barangkali sesuap nasi bagi xx xxatau ibu bapanya. Kemudian ia berkuli itu menjaga kehormatan diri dan kehormatan keluarganya: ia mencari makan dengan jalan yang halal. Menjadi kuli itu lebih mulia daripada menipu atau mencuri. Mencari makan dengan jalan memegang batang cangkul itu serupa mulianya seperti mencari makan dengan memegang batang kalam, hanya cara-caranya sahaja yang berlainan. xx belia Melayu yang memegang batang cangkul itu barangkali kerana memelihara atau membaiki jalan-jalan raya bagi pergunaan pergaulan dan barangkali kerana menambahkan barang-barang makanan di dalam negeri. Dengan demikian, tertunailah kewajipan-kewajipan kepada pergaulan dan kepada tanah airnya.

Kemudian ambillah pula teladan seseorang belia Melayu yang bekerja kerani, umpamanya, iaitu kerja dengan memegang batang kalam. Barangkali dia tak dapat mengambil bahagian di dalam suatu kerja raya kerana sebab-sebab yang tertentu. Meskipun demikian, ia dapat juga kewajipan-kewajipannya itu. Kewajipan kepada dirinya sudah nyatalah dapat ditunaikannya. Kewajipan kepada keluarga tidak sukar juga baginya. Kemudian kewajipannya kepada pergaulan Melayu—sekurang-kurangnya ia mampu membayar yuran-yuran persatuan Melayu yang di desanya. Maka bagi kewajipannya kepada tanah airnya pula, jikalau di sebelah siang ia tidak dapat berbuat sesuatu apapun bagi tanah airnya akan tetapi di sebelah malam, jikalau tidak pada ketujuh-tujuh malam sekalipun satu dua malam pada seminggu—boleh jua dia berbuat sesuatu bagi tanah airnya. Hendaknya tidak ada dalihpun yang boleh diketengahkan oleh seseorang belia Melayu kerana hendak mengelakkan kewajipan-kewajipannya.

Wahai belia-belia Melayu! Pada tangan kamulah terletak nasib kaummu. Firman Allah Taala:

Ayat

Ertinya, bahawasanya Allah tidak akan mengubahkan keadaan sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubahkan keadaan mereka sendiri. Kewajipan mengubahkan keadaan orang-orang Melayu sekarang tertanggunglah di atas belia-belia Melayu.

Laporan Siri Syarahan Negara Idaman oleh Chandra Muzaffar

Chandra Muzaffar usulkan konsep yang disebut “konsep insan” yang mempertimbang aspek kemuliaan manusia dengan tumpuan terhadap aspek kebertanggungjawaban sebagai seorang warganegara Malaysia—termasuklah tanggungjawab menghargai sejarah negara.

Tarikh: 8 Ogos 2019
Masa: 10.00 pagi – 12.30 tengahari
Tempat: Bilik Mesyuarat IKMAS, UKM
Jumlah Peserta: 20 orang

Pendahuluan

Syarahan Negara Idaman adalah merupakan salah satu program yang dijalankan oleh pihak Naratif Malaysia (NM). Program ini bertujuan untuk merungkaikan persoalan yang menjadi intipati kepada cita-cita Negara Idaman iaitu tentang identiti kebangsaan – siapa dan bagaimana menjadi orang Malaysia. Program syarahan anjuran bersama IKMAS, Naratif Malaysia (NM) dan Penang Institute (PI) ini bakal melibatkan pelbagai tokoh. Untuk siri kali ini pihak penganjur telah berjaya menampilkan seorang sosok intelektual yang tidak asing lagi dalam perbincangan negara-bangsa iaitu Dr. Chandra Muzaffar. Beliau membawa tajuk “Setelah 9 Mei 2018: Masa Depan Bangsa Malaysia”. Malah, menurut saudara Ruhan Shahrir yang merupakan pemudahcara bagi syarahan kali ini, Dr Chandra Muzaffar merupakan seorang sosok intelektual-aktivis memandangkan penglibatan beliau secara aktif dalam organisasi-organisasi bukan kerajaan yang banyak memperjuangkan agenda hak asasi manusia, keadilan sejagat, kebebasan dan perpaduan. Beliau sekarang adalah merupakan Presiden JUST (International Movement for a Just World) yang merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan. Organisasi ini bertujuan untuk membangkitkan kesedaran berpandukan ilmu pengetahuan dan asas intelektual bagi mewujudkan sebuah dunia dengan sistem tatakelola yang adil.

Pengisian Syarahan

Syarahan kali ini dimudahcara oleh saudara Ruhan Shahrir Abdul Halim yang merupakan seorang felo penyelidik di Institut Kajian Etnik (KITA) UKM. Beliau memulakan majlis dengan memperkenalkan kepada para hadirin tentang latar belakang penceramah pada kali ini yang bukan sahaja seorang bekas ahli akademik di USM dan UM bahkan pernah bertanding dalam pilihan raya umum tahun 1999 di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak mewakili Parti Keadilan Rakyat. Beliau juga sempat berkongsi tentang salah satu karya Dr Chandra yang berupaya memberikan kesan dalam membentuk pandangannya terutama dalam membincangkan perkembangan Islam di Malaysia iaitu buku yang berjudul “Islamic Resurgence in Malaysia”. Kemudian, moderator memberikan peluang kepada Pengarah IKMAS, Profesor Dr. Sufian Jusoh untuk memberikan kata-kata aluan seterusnya merasmikan majlis syarahan pada hari tersebut. Beliau menzahirkan rasa bersyukur atas inisiatif yang dijalankan serta dalam masa yang sama mengalu-alukan kedatangan Dr. Chandra Muzaffar selaku tetamu istimewa pada program tersebut.

Syarahan Negara Idaman dimulakan oleh Dr Chandra dengan beliau terlebih dahulu memberikan penghargaan kepada pihak penganjur kerana menjemput beliau untuk membincangkan sebuah tajuk yang sehingga hari ini belum mampu diselesaikan secara tuntas dalam negara masyarakat majmuk di Malaysia. Oleh sebab itu, beliau menyatakan mana-mana perbincangan tentang Bangsa Malaysia dalam konteks perpaduan dan keharmonian adalah merupakan tajuk yang begitu dekat dengan hati sanubari beliau memandangkan ianya adalah sebahagian daripada perjuangan beliau selama ini. Hal ini boleh kita lihat menerusi usaha beliau samada melalui idea-idea yang dicurahkan dalam bentuk penulisan serta penglibatan dalam organisasi masyarakat warga (civil society) yang bertujuan untuk merealisasi cita-cita perpaduan dan keharmonian masyarakat di Malaysia.

Perbahasan tentang persoalan Bangsa Malaysia mula dibincangkan secara lebih serius terutamanya pada era Perdana Menteri Keempat apabila beliau telah meletakkan idea Bangsa Malaysia sebagai salah satu daripada sembilan cabaran yang perlu digalas dalam Wawasan 2020. Agenda pemodenan Malaysia yang ingin dicapai melalui Wawasan 2020 mempunyai dua tujuan iaitu tujuan dari sudut ekonomi melalui program industrialisasi dan tujuan dari sudut politik melalui idea tentang Bangsa Malaysia – identiti kebangsaan yang sepunya bagi rakyat Malaysia. Namun, apa yang menjadi masalah tentang idea Bangsa Malaysia dalam Wawasan 2020 ini adalah ketiadaan perincian tentang bagaimana bentuk atau model Bangsa Malaysia yang ingin dicapai. Hal ini menyebabkan apabila idea Bangsa Malaysia yang sifatnya masih terlalu umum dilontarkan ke dalam minda masyarakat khususnya dalam perbincangan ruang awam, telah menghasilkan pelbagai tafsiran tentang konsep Bangsa Malaysia dalam kalangan masyarakat.

Dalam syarahan kali ini, Dr. Chandra hanya memfokuskan kepada dua tafsiran yang muncul dalam dua kelompok utama rakyat Malaysia iaitu tafsiran daripada kelompok Melayu dan kelompok bukan Melayu. Pendekatan yang diambil oleh Dr Chandra dalam menghuraikan dua tafsiran ini adalah dengan menggunakan kaedah “historical sociology” yang melihat sesebuah fenomena sosial dalam hubungan pembentukannya dengan faktor sejarah. Tafsiran terhadap konsep Bangsa Malaysia yang pertama adalah tafsiran yang muncul dalam kelompok bukan Melayu. Konsep Bangsa Malaysia yang dilancarkan pada tahun 1991 boleh kita andaikan disambut baik oleh kelompok bukan Melayu apabila menunjukkan pola sokongan yang baik dalam keputusan pilihan raya umum 1995 kepada kerajaan Barisan Nasional yang memerintah waktu itu.  Hal ini menurut Dr. Chandra adalah kerana kelompok ini melihat gagasan ataupun idea tentang Bangsa Malaysia yang ingin diwujudkan sebagai suatu usaha yang berupaya untuk membuka jalan kepada pelaksanaan agenda kesamarataan kepada seluruh rakyat Malaysia. Bagi kelompok ini, mereka merasakan persoalan kedudukan istimewa orang Melayu, Bahasa Melayu dan agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan telah menjadi penghalang selama ini kepada idea kesamarataan.

Menerusi ulasan yang disampaikan oleh Dr. Chandra, tafsiran yang diberikan oleh kelompok ini ada kebenarannya juga, namun pendekatan yang diambil oleh mereka dalam beberapa keadaan agak bermasalah kerana tidak mengambilkira faktor realiti di lapangan yang berbeza-beza dan tidak menghubungkan permasalahan realiti hari ini dengan proses sejarah pembentukannya yang panjang. Sebagai contoh dari sudut sosioekonomi, beliau membayangkan dua situasi yang berbeza di antara golongan miskin (B40) di pedalaman Sarawak dengan golongan kelas menengah atasan di Selangor memerlukan dua pelaksanaan polisi yang berbeza dengan mengambilkira faktor persekitaran masing-masing yang juga turut berbeza. Hal inilah yang membawa kepada hujah beliau tentang idea kesamarataan yang diperjuangkan oleh kelompok bukan Melayu tadi sangat berkait rapat dengan soal keadilan supaya setiap kelompok masyarakat mendapat layanan yang setimpal dan mampu menyelesaikan masalah dunia sosial mereka. Dari sudut sosiobudaya pula, Dr. Chandra membangkitkan tentang persoalan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang diutamakan mengatasi bahasa-bahasa lain yang wujud di Malaysia terutamanya Bahasa Cina dan Tamil. Menurut beliau, inilah yang dikatakan pendekatan mereka yang agak bermasalah kerana tidak mengambilkira konteks khususnya dari aspek sejarah dan perkembangan sejarah yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantara (lingua franca) di benua nusantara ini.

Manakala, tafsiran terhadap konsep Bangsa Malaysia yang kedua adalah yang datang daripada pandangan kelompok orang Melayu. Menurut Dr. Chandra, terdapat sebahagian daripada kelompok orang Melayu ini yang merasakan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Melayu atau dalam istilah sejarahnya sebagai Tanah Melayu. Dalam menghuraikan tafsiran yang kedua ini, beliau berpandangan bahawa ianya juga adalah agak bermasalah khususnya dalam rangka untuk mencapainya kerana tidak melihat dengan serius kepada proses pensejarahan terutamanya sejarah bagaimana kemasukan kelompok bukan Melayu ke dalam Tanah Melayu yang kemudiannya adalah Malaysia. Malahan, beliau juga sempat menyinggung Bangsa Melayu sebagai bangsa yang rugi kerana perjuangan nasionalisme Melayu dalam sejarah ternyata tidak berupaya untuk mewujudkan negara Melayu sebagaimana yang berlaku di negara-negara lain seperti Indonesia. Natijahnya, yang wujud adalah negara Malaysia yang sifatnya pelbagai kaum di mana bangsa Melayu turut termasuk menjadi kaum Melayu daripada pelbagai kaum yang wujud di Malaysia. Dari aspek sejarah kemasukan bukan Melayu tadi, beliau membahagikan sejarah tersebut kepada dua tempoh masa iaitu sebelum kemasukan penjajah dan selepas kemasukan penjajah. Semasa tempoh sebelum kemasukan penjajah, penghijrahan dan proses mastautin yang berlaku adalah secara semulajadi (natural migration) yang tidak membawa masalah-masalah yang besar kepada masyarakat setempat pada masa itu memandangkan jumlah peratusannya juga yang agak kecil. Namun, yang menjadi masalah adalah pada tempoh selepas kemasukan penjajah kerana proses yang berlaku bukan lagi proses yang disebut natural migration. Menurut beliau, ada dua sebab kenapa proses ini bermasalah adalah kerana peratusan migrasi yang besar dan peranan kepimpinan peribumi yang tidak berupaya menghalang keputusan penjajah yang bertindak mengawal penuh terhadap proses migrasi ini.

Bagi pandangan Dr. Chandra, dua tafsiran yang dibentangkan ini adalah merupakan antara penghalang kepada perpaduan nasional yang ingin dicapai. Di akhir sesi syarahan kali ini, beliau telah mengusulkan suatu jalan penyelesaian kepada masalah yang telah dibincangkan iaitu melalui jalan perlembagaan dan pendidikan. Di antara rahmat atau keberuntungan yang besar bagi Malaysia adalah pada struktur perlembagaan Malaysia yang telah digubal yang cuba untuk mencantumkan kelompok-kelompok yang ada dalam erti kata ingin mencapai keseimbangan. Sebagai contoh, walaupun Perkara 153 secara jelas menyebut tentang kedudukan orang Melayu dan bumiputera namun dalam masa yang sama turut menetapkan tentang hak bukan Melayu juga akan terjamin. Begitu juga hal dan keadaannya dalam perkara bahasa dan agama. Melalui jalan perlembagaan, aspek yang terpenting di dalamnya adalah tentang aspek kewarganegaraan. Daripada aspek kewarganegaraan kemudiannya akan timbul pula dua hal yang utama iaitu persoalan hak dan persoalan tanggungjawab. Dalam realiti dunia moden pada hari ini, persoalan hak menurut beliau sudah jelas termaktub dalam perlembagaan namun persoalan tentang tanggungjawab masih kurang diberi perhatian untuk diterapkan kepada setiap warganegara. Justeru itu, beliau mengusulkan di hujung sesi suatu konsep yang disebut “konsep insan” dari sudut kemuliaan dan kehormatannya yang harus diberikan pendidikan tentang elemen tanggungjawab sebagai seorang warganegara Malaysia dan salah satu daripadanya adalah tanggungjawab untuk memahami dan menghargai sejarah.

Penutup

Syarahan kali ini disudahi dengan ucapan penutup oleh saudara Ruhan Shahrir yang membuat kesimpulan ringkas terhadap syarahan yang telah disampaikan oleh Dr Chandra. Beliau menegaskan bahawa perbahasan tentang persoalan Bangsa Malaysia adalah merupakan sebuah proses yang akan terus berjalan dan memerlukan penglibatan semua pihak untuk turut sama menjayakannya. Beliau juga turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada para hadirin yang terdiri daripada pelbagai pihak atas kehadiran dan penyertaan yang diberikan sepanjang perbincangan berlangsung.

[Pendaftaran] Syarahan Negara Idaman oleh Chandra Muzaffar

Dengan aspirasi melawan rasuah, kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi harapan baharu kepada masa depan Malaysia: sebuah negara moden dengan terasnya yang tersendiri. Akan tetapi…

NegaraIdaman7

Tajuk: Setelah 9 Mei 2018: Masa Depan Bangsa Malaysia
Tarikh: 8 Ogos 2019
Masa: 10:00 pagi – 12:00 tengahari
Tempat: Bilik Mesyuarat IKMAS

Anjuran: IKMAS, Naratif Malaysia & Penang Institute (PI)
Peserta: Semua dialu-alukan hadir

Abstrak

Peralihan struktur kepimpinan politik tanahair pada 9 Mei 2018 menjadi suatu peristiwa bersejarah dalam catatan politik negara. Peralihan ini bukan sahaja menandakan perubahan parti politik, akan tetapi, lebih daripada itu, turut menandakan peralihan paradigma baharu politik negara. Dengan aspirasi melawan rasuah, menegak keadilan, membuka ketelusan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi harapan baharu kepada masa depan Malaysia: sebuah negara moden dengan terasnya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, harapan yang muncul ini bukan sahaja berkait dengan persoalan pengurusan dan pentadbiran negara, malah, ia turut memberi nafas segar kepada gagasan Bangsa Malaysia yang hampir 30 tahun telahpun berkumandang. Bangsa Malaysia—yang merupakan gagasan cetusan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berselari dengan Wawasan 2020—hampir dilupakan. Persoalannya, apakah nasib gagasan Bangsa Malaysia setelah 9 Mei 2018. Persoalan menarik ini perlu ditangani serentak dengan persoalan-persoalan berikut:

  • Adakah gagasan Bangsa Malaysia ini masih lagi releven dengan konteks negara dewasa ini?
  • Apakah kelemahan yang terdapat dalam gagasan umum Bangsa Malaysia selama ini?
  • Adakah gagasan Bangsa Malaysia boleh direalisasikan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH)?
  • Berdasarkan senario kebangkitan konservatisme kaum dan agama mutakhir ini, apakah gagasan Bangsa Malaysia sebenarnya sedang berdepan dengan cabarannya yang paling besar?
  • Apakah nilai tambah yang boleh ditawarkan oleh PH dalam mengukuhkan lagi gagasan Bangsa Malaysia?

Biodata

Dr. Chandra Muzaffar merupakan seorang ahli akademik, intelektual dan aktivis hak asasi manusia, selain turut terlibat aktif dalam dialog antara peradaban. Sepanjang menjadi aktivis sarjana, beliau pernah ditahan di bawah ISA pada tahun 1987. Manakala dalam kegiatan berpersatuan, beliau merupakan pengasas NGO Aliran dan Presiden (1977-91), Presiden JUST (1991 – sekarang) serta mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional (keADILan). Antara bukunya yang penting ialah Universalism of Islam (1979), Islamic Resurgence in Malaysia (1987), Human Rights and the New World Order (1993) dan Alternative Politics for Asia: A Buddhist-Muslim Dialogue (1999). Dr. Chandra Muzaffar memperoleh anugerah the Rockefeller Social Science Fellowship (1984–85) dan the Harry J. Benda Prize (1989).

Borang pendaftaran:

Totalitarianisme, Identiti dan Bangsa: Wawancara bersama Mahathir Mohamad

Berikut adalah wawancara bersama Tun Dr. Mahathir Mohamed. Wawancara ini dilakukan pada 16 April 2018 di Yayasan Kepimpinan Perdana. Objektif wawancara selama 40 minit ini adalah merangkumi dua tema utama. Pertama, mengenai Machiavellisme. Manakala, yang kedua pula, mengenai identiti dan Bangsa Malaysia.

Tokoh: Tun Dr. Mahathir Mohamad
Pewawancara: Haris Zuan, Ruhan Shahrir & Ramze Endut
Tarikh: 16 April 2018
Tempat: Yayasan Kepimpinan Perdana

Berikut adalah wawancara bersama Tun Dr. Mahathir Mohamed. Wawancara ini dilakukan pada 16 April 2018 di Yayasan Kepimpinan Perdana. Objektif wawancara selama 40 minit ini adalah merangkumi dua tema utama. Pertama, mengenai Machiavellisme. Manakala, yang kedua pula, mengenai identiti dan Bangsa Malaysia.

Naratif Malaysia (NM): Soalan pertama; berdasarkan pengalaman Tun, manakah yang lebih sukar antara menjadi kerajaan atau pembangkang?

Mahathir (M): Menjadi pembangkang sememangnya lebih sukar. Namun, jika sesebuah negara itu tidak mempunyai pembangkang maka banyaklah kesalahan yang akan dilakukan [oleh kerajaan]. Tanpa pembangkang, sesebuah negara itu akan menjadi sebuah dictatorship yang boleh berbuat apa sahaja. Pembangkang selalu kekurangan kuasa dan terpaksalah bergantung kepada kepintaran serta sokongan daripada penyokong-penyokong dalam kalangan rakyat. Mereka [pembangkang] tiada kuasa, jadi ianya memang sukar.

NM: Soalan kedua berkaitan dengan politik selari dengan tema yang wawancara ini iaitu berkenaan persoalan dictatorship dan totalitarianisme. Apa pandangan Tun mengenai ungkapan “matlamat menghalalkan cara”? Ungkapan ini sering dikaitkan dengan Machiavelli walaupun beliau tidak pernah menyebutnya. Tun sendiri pernah mengatakan bahawa Tun ialah seorang yang pragmatis. Adakah sikap pragmatik Tun itu bermaksud “matlamat menghalalkan cara”?

M: Adakalanya matlamat boleh menghalalkan cara, tetapi ianya tidak kerap. Biasanya jika kita hendak lakukan sesuatu yang baik atau bermanfaat, kita tidak perlu mencari jalan yang bertentangan dengan cara kebiasaan. Sebab itu bagi pemerintah, jarang sekali mereka terpaksa bertindak melawan arus. Sebaliknya, mereka mempunyai cukup kuasa atau kekuatan (autoriti) untuk melaksanakan sesuatu tanpa mengambil jalan yang mencabul undang-undang.

NM: Dalam demokrasi, majoriti sangat penting. Justeru, diktator sering mengekalkan kuasa politiknya melalui manipulasi demokrasi untuk mengekalkan undi majoriti. Mereka melakukan rasuah, penipuan, malah mengancam orang-orang yang membangkangnya. Dalam usaha kita untuk menjatuhkan diktator, adakah Tun bersetuju bahawa cara yang sama juga boleh digunapakai bagi menjatuhkan diktator tersebut?

M: Dalam mana-mana masyarakat, si miskin dan lemah lebih ramai berbanding orang berjaya dan kaya. Jika kita mengambil kira demokrasi yang mana suara ramai itulah yang akan berkuasa, biasanya yang miskin dan lemahlah yang akan berkuasa. Si kaya dan berkebolehan pula jumlahnya kurang berbanding yang lemah. Namun, kita dapati kalau si kaya ini cekap, pintar, dan mempunyai wang yang banyak, mereka boleh mempengaruhi si miskin ini dengan cara merasuah dan sebagainya. Ini akan menyebabkan pemerintahan yang tidak baik, iaitu pemerintahan diktator. Sebab itu jika si miskin ini terlalu miskin, ia akan menimbulkan masalah dalam sesebuah negara. Maka kita perlukan sebuah masyarakat yang jarak antara kaya dengan miskin itu tidak terlalu jauh. Dan si miskin ini juga perlu mempunyai peluang untuk mendapat ilmu dan sebagainya serta menyara hidup mereka sendiri tanpa terlalu bergantung kepada kerajaan. Dengan itu, si miskin dengan bilangan yang banyak ini akan menguasai kerajaan dan dapat menjaga kedudukan mereka. Namun, kita tidak pula mahukan si miskin ini merebut kuasa. Dan ini kita lihat dalam revolusi yang berlaku di sesetengah negara yang mana si miskin ini bangun untuk menjatuhkan si kaya. Macam di Rusia umpamanya, mereka menjatuhkan Tsar. Dan si miskin ini berpendapat bahawa segala kekayaan itu sekarang milik mereka. Tetapi dalam perkara ini mereka salah kerana mereka juga perlu kepada si kaya kerana si kaya ini mempunyai kecerdasan dan kepintaran untuk menjana kekayaan. Kalau kita kenal si miskin, dia sendiri tidak dapat jana kekayaan. Jadi, pendapatan negara akan berkurangan dan jika si miskin menuntut kesamarataan bagi semua pihak, maka pendapatan mereka tidak boleh tinggi kerana negara sudah jadi miskin. Inilah yang kita lihat di Rusia umpamanya selama 70 tahun. Segala punca kekayaan dimiliknegarakan, tetapi hasil jualan produk mereka hanya boleh dibeli oleh orang miskin. Bermakna, pendapatan segala industri menjadi kurang. Bila ianya kurang, sukar untuk berikan pendapatan yang tinggi kepada si miskin. Ini tidak difikirkan terlebih dahulu. Sebab itu kita dapati mereka akhirnya menolak sosialisme dan komunisme kerana ia bukannya menyamakan kekayaan antara rakyat, tetapi menyamakan kemiskinan antara rakyat.

NM: Soalan seterusnya berkaitan dengan politik. Salah satu definisi politik ialah “politics is the continuation of war by other means”. Apa pula takrif politik bagi Tun sendiri?

M: Mahu atau tidak mahu, kita terpaksa ada suatu—apa nama—bahagian yang ditakrifkan sebagai politik, iaitu orang yang diberi kuasa untuk mentadbir negara dan kuasa itu tidak bererti secara kekerasan sehingga menjadi suatu pemerintahan diktator ataupun secara demokratik yang mana ianya boleh dinaikkan serta dijatuhkan mengikut kehendak rakyat. Tetapi hakikatnya semua ini tergolong dalam bidang politik. Jadi, dalam negara kuku besi, politik berlaku tetapi terhad kepada orang yang berkuasa sahaja. Mereka yang lain tidak boleh berpolitik. Itulah keadaan negara kita pada zaman monarki Melayu dahulu yang mana raja-raja berkuasa dan hanya mereka sahaja dibenarkan untuk berpolitik manakala rakyat tidak diberi hak untuk terlibat dengan politik. Jadi kita dapati bahawa tindakan raja-raja itu merugikan negara seperti menjual tanah, wilayah, dan sebagainya. Sebab itu apabila kita berjuang untuk kemerdekaan, kita berpendapat bahawa kita tidak mahukan sistem raja berkuasa mutlak; sebaliknya kita memilih sistem demokrasi. Sistem demokrasi bermakna rakyat mesti memilih dan untuk memilih pemerintah, mereka mesti arif dalam bidang politik. Apakah yang dikatakan baik atau tidak baik—mereka perlu faham supaya pilihan mereka itu adalah baik bagi mereka.

NM: Berdasarkan pemahaman kami, kesalahan terbesar para diktator sebenarnya bukanlah pemusnahan institusi-institusi negara, tetapi lebih daripada itu ialah pembodohan rakyat. Contohnya, mereka menganggap rakyat ini bodoh sehingga boleh disuap dengan wang tunai semasa pilihan raya. Adakah taktik ini boleh berjaya mengekalkan kuasa politik mereka?

M: Ia boleh berjaya buat satu-satu masa, tetapi akhirnya akan ada revolusi. Rakyat yang miskin sedar akan kemiskinan serta nasib buruk mereka, dan mereka akan menentang sistem yang memberikan kuasa kepada segelintir manusia yang menekan mereka. Jadi ini memang akan berlaku. Lambat laun, ia akan berlaku. Walaupun ia berlaku lebih awal dalam sesetengah negara, tetapi dalam sesetengah negara yang lain pula mengambil masa yang lama kerana kekuatan dan kezaliman pemerintah begitu menakutkan sehingga kurangnya usaha untuk menjatuhkan kerajaan.

NM: Adakah Tun bersetuju dengan idea “benevolent dictator”?

M: Ia mungkin benevolent buat satu jangka masa yang pendek. Pada suatu masa dulu, Portugal dikuasai oleh Salazar. Ia sepatutnya seorang benevolent dictator. Tetapi lama-kelamaan, ia tetap akan menyalahgunakan kuasa. Kerana itu, benevolent dictator adalah satu idea yang berbahaya. Kerana kita tidak boleh tukar kalau ia buat salah. Sebaliknya dalam konsep kerajaan yang kuat dalam demokrasi, walau sekuat manapun kerajaan tersebut, ia boleh dijatuhkan.

NM: Tun menggunakan perkataan ‘kerajaan yang kuat’. Ketika Lee Kuan Yew meninggal dunia, Tun pernah menyebut bahawa beliau dikenali dengan kepimpinan kuat, strong leadership. Apakah yang membezakan antara kepimpinan kuat seperti Lee Kuan Yew dan Suharto dengan diktator yang juga kuat?

M: Pada mulanya, memang orang yang berkuasa menggunakan kuasanya seperti yang sepatutnya kerana kuasa itu perlu. Tanpa kuasa, seseorang pemimpin itu tidak dapat melaksanakan apa-apa pun. Tetapi lama-kelamaan, mereka menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri dan perbuatan yang tidak mengambil kira tekanan terhadap rakyat. Pada mulanya, mungkin ada yang berpendapat bahawa pemimpin yang kuat adalah baik untuk sesebuah negara. Namun, kalau pemimpin itu kuat sekalipun tetapi tidak ada cara untuk kita memilih pemimpin baru, tidak dapat tidak ia akan melakukan benda yang tidak baik.

NM: Adakah sudah memadai bagi sesebuah kerajaan untuk mementingkan kemakmuran ekonomi semata-mata tetapi pada masa yang sama melakukan penindasan terhadap demokrasi di dalam negaranya?

M: Kita dapati ada pemimpin kuat yang menyalahgunakan kuasa tetapi memberikan hasil yang baik dari segi pembangunan negara. Tetapi bagi rakyat, mungkin mereka berasa tertekan. Itu boleh berlaku dan kalau ianya dalam sistem demokrasi, rakyat berhak dan boleh menukar kerajaan. Kalau dalam sistem diktator, mereka tidak boleh berbuat apa-apa walaupun tindakan yang dikenakan terhadap mereka termasuklah pembunuhan atau penahanan beribu-ribu orang tanpa bicara. Semua itu boleh dilakukan semasa negara dibangunkan, tetapi perasaan rakyat memanglah tidak senang kerana sementara mereka—apa nama—menghargai pembangunan, tetapi tekanan ke atas mereka adalah sesuatu yang tidak disenangi.

NM: Tun pernah berkali-kali menyebut bahawa Tun ialah seorang yang realis. Makanya, Tun sepatutnya berpegang kepada fahaman realisme berbanding idealisme. Di sini, Tun berpegang dengan realiti, kenyataan, dan fakta. Namun dalam konteks politik, nampaknya kenyataan dan fakta boleh diubah, diolah, atau diketepikan. Misalnya Tun dahulu tidak bersetuju untuk Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, tetapi ia sebaliknya sekarang. Persoalannya, adakah fakta dan kenyataan boleh berubah mengikut suasana dan zaman?

M: Di Malaysia ini, kita tidak ada ideologi tertentu. Kita adalah pragmatis, iaitu kita lakukan apa yang boleh kita buat. Kalau ia tidak boleh kita lakukan mengikut ideologi, maka kita tidak buat. Kita pilih yang terbaik. Umpamanya, perancangan lima tahun. Ini adalah cara komunis membangunkan negara. Kita pinjam itu tetapi ia tidak menjadi mudarat kepada kita. Tetapi kita tidak boleh gunakan—apa nama—kapitalisme sehingga kapitalisme ini berleluasa dan merugikan rakyat kerana mereka, dalam usaha mereka mencari kekayaan, rakyat menjadi mangsa. Umpamanya kalau diadakan monopoli. Bila ada monopoli, ia boleh tetapkan harga [dengan sesuka hati] kerana tidak ada saingan, dan rakyat menderita. Sebab itu kita ada Anti-Trust Law yang digubal di Amerika. Undang-undang ini mengharamkan perniagaan monopoli. Kalau ia cuba kaut semua masuk dalam syarikat supaya syarikatnya jadi yang terbesar dan menguasai segala-galanya, maka tidak dapat tidak rakyat akan menderita kerana ia tidak lagi perlu bersaing dengan pihak lain yang akan menurunkan nilai—apa nama—barangan. Inilah yang kita lihat iaitu kita pinjam daripada sosialis tanpa menjadi sosialis. Kita juga meminjam daripada kapitalis, cumanya kerana kita berpendapat orang yang pintar dan pandai menumbuhkan ekonomi menjadi kaya adalah baik kerana kita boleh kenakan cukai yang tinggi kepada mereka serta menyumbang kepada kekayaan kerajaan dan juga untuk kita tolong orang yang miskin. Jadi itu secara agihan; orang kaya kepada orang miskin melalui proses percukaian dan sebagainya. Daripada pendapatan cukai ini, kita boleh beri bantuan kepada orang miskin, biasiswa, dan sebagainya. Sebaliknya jika tidak ada orang kaya dan cuma ada orang yang pendapatannya sama iaitu kesemuanya miskin; maka apabila kita hendak kenakan cukai, mereka tidak mampu untuk membayarnya. Jadi kita pilih untuk kahwinkan sistem sosialis, iaitu perancangan dan planning, dengan sistem kapitalis yang memberikan galakan kepada orang yang pintar dan cekap dalam bidang perniagaan untuk menghasilkan lebih banyak duit untuk kita kenakan cukai.

NM: Berkenaan dengan politik, dari pemerhatian adalah didapati bahawa terdapat perubahan corak politik dewasa ini. Dengan mengambil contoh Trump dan Najib, nampaknya yang utama sekarang bukan lagi kebenaran dan sikap rasional, tetapi bagaimana seseorang ahli politik itu bermain dengan persepsi, mengolah realiti, mencipta politik yang bersifat hiburan, serta pandai melakukan pementasan dan lakonan politik. Akhirnya kemenangan dalam pilihan raya akan diangkat sebagai lambang kebenaran dan rasionaliti. Adakah Tun sendiri dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang telah hilang dalam norma-norma politik dewasa ini?

M: Sesebuah kerajaan tidak dapat bergerak dengan baik tanpa susunan institusi-institusi kerajaan. Dalam konteks kita ini, selain daripada mengadakan pemilihan kerajaan oleh rakyat, kerajaan yang dipilih itu dihadkan kuasanya; iaitu perlu ada pemisahan kuasa antara legislatif (pembuat undang-undang dan dasar), dengan eksekutif (pelaksana dasar), serta kehakiman. Kalau tidak ada pemisahan kuasa sebegini—kalau mana-mana satu pihak melanggar peraturan dan undang-undang serta melakukan kezaliman, maka akan ada satu pihak lain yang juga berkuasa dan boleh menghalangnya. Umpamanya, pihak eksekutif boleh untuk tidak memberikan khidmat kepada kepimpinan yang zalim. Rakyat juga boleh bawa kepimpinan tersebut ke mahkamah, yang mana mahkamah itu bebas, untuk dihukum. Ini kita lihat di Brazil baru-baru ini yang mana mahkamah telah menghukum kerajaan tersebut kerana telah melanggar undang-undang. Tetapi di Malaysia hari ini, ketiga-tiga kuasa itu dicantumkan di bawah satu [entiti] iaitu legislatoryang diketuai oleh Perdana Menteri. Apabila ia melakukan kesalahan, pihak polis tidak boleh mengambil tindakan. Jika kes itu berjaya dibawa ke mahkamah, mahkamah juga akan memihak kepadanya. Dengan itu, kezaliman akan berlaku kerana tidak ada lagi agihan kuasa antara ketiga-tiga institusi penting dalam masyarakat. Inilah yang sedang berlaku pada masa sekarang kerana sistem itu tidak dipatuhi. Sistem yang mana kita ada raja berpelembagaan, parlimen, kabinet dan pentadbir serta hakim. Jadi, kuasa itu tidak terpusat kepada orang yang dipilih untuk memerintah sahaja. Kuasanya terhad mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan oleh polis, pengurusan—apa nama—eksekutif, dan juga hakim.

NM: Tatkala demokrasi telah mati—undang-undang dicabuli, rakyat dibungkam, tidak ada pembahagian politik (kehakiman, legislatif, eksekutif), musuh politik ditindas, dan perbahasan tidak dibenarkan—biasanya demonstrasi boleh menjadi pilihan yang berikutnya. Sekiranya demonstrasi juga tidak dibenarkan, adakah kita dibenarkan untuk menggunakan kekerasan untuk melawan diktator atau kerajaan yang zalim demi mendapatkan semula demokrasi?

M: Kalau kita terpaksa gunakan kekerasan, maka tercetuslah perang saudara—revolusi. Dan revolusi ialah cara terakhir dalam usaha untuk menukar pemimpin yang zalim. Tetapi ia mempunyai kos, iaitu kita akan mempunyai peperangan antara saudara; satu bangsa dan kaum tetapi kita berperang kerana perbezaan ideologi atau kefahaman. Ini sememangnya berlaku umpamanya revolusi Rusia dan revolusi Perancis. Ini tercetus kerana tidak ada saluran untuk menukar [kerajaan] tanpa keganasan.

NM: Dalam realiti politik tanahair dewasanya, seandainya Pakatan Harapan dinafikan —menerusi penipuan dan manipulasi— kemenangan Pilihanraya Umum ke-14, adakah bantahan terhadap legitimasi kerajaan pada waktu tersebut boleh membawa kepada revolusi?

M: Revolusi cuma akan tercetus jika kedua-dua pihak mempunyai kekuatan. Satu contoh yang kita boleh gunakan ialah Filipina. Marcos ialah seorang yang dipilih secara demokratik. Namun setelah dipilih, dia menghapuskan—apa nama—pemisahan antara kuasa yang tiga tadi. Kerana itu, dia boleh mentadbir sebagai seorang diktator. Tetapi apabila dia membunuh Aquino, pada ketika itu pihak polis dan tentera iaitu Ramos dan [?] tidak lagi menyokong Marcos. Bila mereka tidak lagi menyokong Marcos, barulah gerakan “People Power Revolution” menjelma dan mereka dengan cara demonstrasi serta sebagainya—kadang-kadang terdapat juga violence—berjaya jatuhkan Marcos. Di negara kita, pihak Najib umpamanya; katalah dia kalah sedikit sahaja dan enggan letak jawatan kerana mahu kekalkan kuasanya. Tetapi dia boleh berbuat begitu selagi polis dan tentera menyokongnya. Sebab itu peranan polis dan tentera amat penting. Ini kuasa kedua; kuasa pertama legislatif dan kedua eksekutif. Mereka ini [di bawah] eksekutif. Jadi kalau mereka rela untuk menyalahgunakan kuasa untuk Najib, maka akan berlakulah rusuhan kerana rakyat tidak lagi mempunyai cara yang lain. Tetapi kalau mereka berhenti menyokong Najib dan mainkan peranan mereka mengikut perlembagaan, maka Najib akan jatuh dengan sendirinya.

NM: Sedikit soalan berkenaan konsep bangsa Malaysia yang pernah Tun gagaskan sebelum ini. Bagi Tun, apakah identiti dan unsur utama yang Tun rasakan perlu untuk pembentukan bangsa Malaysia itu sendiri?

M: Kita dapati banyak negara yang mana penduduk yang pendatang adalah ramai. Biasanya satu-satu buah negara diduduki oleh satu bangsa, iaitu bangsa yang mempunyai bahasa dan budaya yang menjadi identiti mereka. Tetapi, bila masuk bangsa lain—kalau bangsa lain atau imigran ini sanggup melupakan asal bangsa mereka dan sebaliknya menyerap serta menjadi sama dengan penduduk tempatan—apa nama—warganegara, menerima bahasa, budaya, agama kadang-kadang tidak begitu penting walaupun ada juga yang penting, dan mereka melupakan bahasa mereka dan bertutur dalam bahasa tempatan; pada masa itu, mereka akan diterima sebagai warganegara, citizen. Dan ia sememangnya berlaku di Malaysia. Dari masa ke semasa, kita dapati orang Islam dari India atau Arab datang tinggal di sini dan menggunakan bahasa Melayu, beragama Islam, dan taat setia mereka sememangnya kepada negara kita ini. Dan kita terima. Banyak orang Melayu yang dari keturunan India atau Arab, syed-syed ini, menjadi Melayu. Bahasa rumah mereka ialah bahasa Melayu. Jadi itu mudah diterima dan kita boleh katakan bahawa orang ini ialah orang Melayu. Dan pada zaman dulu, dia boleh jadi rakyat kepada raja kerana tiada citizenship pada masa tersebut. Tetapi sekarang kita dapati ada kaum-kaum lain yang begitu ramai; sementara mereka menganggap ini adalah negara mereka, tetapi mereka tidak ingin menghilangkan identiti mereka sehingga mereka disamakan dengan penduduk tempatan atau penduduk asal. Mereka ini mahu kekalkan bahasa mereka, budaya mereka, serta identiti mereka yang dikaitkan dengan negara asal mereka. Sebab itu ia menghalang assimilation. Tidak boleh diserapkan. Tetapi kita di Malaysia ini lebih liberal. Walaupun mereka tidak diserapkan—identiti mereka tidak sama dengan penduduk asal Malaysia—kita masih mengaku mereka masih lagi sebagai Malaysia. Syaratnya tidak sama; mereka ada sekolah sendiri, bahasa dan budaya sendiri, bahkan tinggal berasingan dengan penduduk tempatan. Tetapi demikianlah liberalnya di Malaysia ini sehinggakan mereka dipanggil sebagai Malaysia, walaupun kadang-kadang kita tambah dia adalah Chinese Malaysian atau Indian Malaysian. Jadi ia tidak seperti di Amerika. Banyak bangsa yang berhijrah ke Amerika telah menguburkan bahasa dan budaya mereka dan menggunakan bahasa Inggeris serta budaya Amerika. Dan mereka sanggup berperang dengan negara asal mereka sendiri. Eisenhower berasal dari Jerman, tetapi dalam Perang Dunia Kedua, dia mengepalai tentera Amerika untuk berlawan dengan tentera Jerman. Jadi demikianlah identitinya dengan tempat tinggal barunya sehingga dia tidak lagi berasa terikat dengan negara asalnya. Sebab itu di Malaysia, konsep Malaysian ini tidak sama dengan konsep di negara lain.

NM: Kami sebenarnya tertarik dengan idea Bangsa Malaysia yang diutarakan oleh Tun seperti yang terangkum dalam Wawasan 2020. Justeru itu, kami ini mendapat jawapan dari Tun tentang sejauh manakah Rustam A. Sani terlibat dalam menyumbang pemikiran terhadap idea bangsa Malaysia ini?

M: Tidak ada bangsa Malaysia; yang ada cuma bangsa Melayu. Pada awal merdeka, kita dikenali sebagai Federation of Malaya; tidak ada Malaysia. Dan nama rasminya ialah Persekutuan Tanah Melayu. Jadi perkataan “Melayu” itu ada di situ, supaya orang tahu ini negeri Melayu. Tetapi apabila ditubuhkan Malaysia dan diserap Sabah dan Sarawak, mereka tidak ingin dikenali sebagai Melayu. Mereka mahukan nama yang lain, tetapi kita mahukan nama yang ada kaitan dengan Melayu; maka diciptakanlah perkataan “Malaysia”. Jadi kita sekarang ini sudah hilang Tanah Melayu. Kita hanya mempunyai Malaysia yang memiliki pelbagai kaum dan bangsa.

NM: Apa bentuk Malaysia yang Tun idamkan sebenarnya?

M: Kalau boleh kita mahu serap supaya ada asimilasi, dan semua orang menggunakan bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu serta budaya yang berasaskan budaya Melayu dan mereka tidak lagi menganggap diri mereka berasal dari negara China atau negara-negara lain. Mereka hanya ada Malaysia.

NM: Kami cuba memahami sikap Tun dari awal sehinggalah sekarang. Ada satu sikap yang konsisten pada diri Tun iaitu Tun merupakan seorang nasionalis. Saya dapat lihat pada awalnya Tun memiliknegarakan banyak perusahaan-perusahaan dan sektor-sektor serta memastikan rakyat kita ini sentiasa terkehadapan—mencipta keretanya sendiri, membina bangunannya sendiri. Dan walaupun Tun bersama pembangkang kini, sikap Tun masih lagi konsisten iaitu sebagai seorang nasionalis yang tidak mahu negaranya dimiliki dan dijual kepada negara lain. Apa pandangan Tun?

M: Secara fizikalnya, negara kita mestilah dimiliki oleh kita sendiri. Tetapi sekarang ini, negara ini tidak lagi dimiliki oleh kita. Kesalahan itu datang daripada kita. Kerana kita tidak sanggup bekerja. Apabila British masuk ke sini, kita enggan jadi penoreh getah, belajar bahasa Inggeris, menjadi peniaga, dan sebagainya. Maka British bawa masuk Cina dan India. Mereka ini pandai berniaga dan sanggup bekerja di bawah panas terik. Bila kita tidak sanggup bekerja manakala orang lain sanggup bekerja, lama-kelamaan mereka mendapat—apa nama—kedudukan yang kukuh di negara kita. Jadi, kita sendiri buat salah. Ya, kita memilih untuk menyalahkan mereka—kalau mereka tidak datang, maka negara kita ini akan terus jadi negara Melayu. Tetapi kalau mereka tidak datang, dan kalau kita lihat prestasi orang Melayu, negara kita ini tidak dapat dibangunkan. Kalau kita nak tahu, kita cuma perlu pergi sahaja ke Kampung Baru, Kuala Lumpur dan lihat kedai-kedai di situ lalu bandingkan dengan kedai-kedai di tempat lain. Kita lihat keadaan di situ cukup daif. Kalau nak dibuat perbadingan, di Indonesia pun begitu juga. Jadi kita telah menjadi miskin kerana kita tidak berusaha. Dan orang yang kaya boleh beli tanah kita dan tanah-tanah dalam bandar mempunyai nilai yang makin meningkat. Kita jual kepada mereka apabila ditawarkan harga yang tinggi dan berpindah ke luar bandar. Bandar pula semakin membesar sampai ke tempat kita. Harga tanah kita meningkat lalu sekali lagi ditawarkan harga yang lumayan dan kita jual dan berpindah lagi. Peliknya Malaysia ini ialah bandar dimiliki oleh orang Cina manakala luar bandar dimiliki oleh orang Melayu. Kita tidak seperti negara lain. Di negara lain, di bandar atau luar bandar orangnya sama sahaja. Ini termasuklah di negara-negara Arab. Di Mesir umpamanya, peniaga di bandar Cairo dengan petani di luar bandar merupakan orang yang sama (sebangsa). Tetapi kita di Malaysia berbeza. Inilah yang sedang berlaku. Itulah secara pendek. Kalau kita tidak mengubah cara dan budaya kita—tidak sanggup bekerja dan menguasai ilmu—kita akan kehilangan negara kita ini. Sekarang ini pun tidak lagi dipanggil negara Melayu—dulu Persekutuan Tanah Melayu—dan sekarang dikenali sebagai Malaysia. Dan sedikit demi sedikit kita dijual. Orang Melayu jual tanah kepada orang Cina tempatan, manakala kerajaan Najib jual—apa nama—wilayah-wilayah kepada China dan bawa masuk orang China. Lama-lama, ini bukan negara kita lagi.

NM: Boleh minta tandatangan Tun?

M: Boleh.

Design a site like this with WordPress.com
Get started