Pengenalan
Artikel ini
merupakan hasil renungan daripada ucaptama Tun Daim Zainuddin dalam Majlis
Perasmian Naratif Malaysia. Tun Daim memberi penekanan terhadap sistem
pendidikan di negara ini yang menurut beliau sangat penting dalam membina
naratif Malaysia yang lebih inklusif dan bukan semata-mata terperangkap dalam
politik komunalisme non-rasional semata-mata. Maka, artikel ini akan memberi
tumpuan kepada isu pendidikan negara ini yang gagal membina identiti nasional
yang inklusif dan mengusulkan satu cadangan untuk membawa Malaysia keluar
daripada polemik ini.
Analisa Tun Daim Terhadap Ketertinggalan Orang Melayu
Tun Daim sangat menekankan kepada perdagangan dalam usaha untuk memajukan orang Melayu. Pada pandangan Tun Daim, dalam membaca kegusaran Melayu, harus difahami secara bersama dengan perubahan sejarah orang Melayu, khususnya sejak zaman penjajahan. Tun Daim dengan cermat memulakan ucaptama beliau dengan membentangkan betapa ramai tokoh-tokoh Melayu terbilang di negeri Johor sahaja – memandangkan acara perasmian itu dibuat di Johor, sebagai konteks – lalu menimbulkan persoalan utama dalam Naratif Malaysia:
“Kita tidak kekurangan sosok-sosok hero. Negeri Johor sendiri mempunyai sejarah yang kaya dengan pahlawan yang gagah-perkasa, seniman yang tersohor, penyair, ahli sukan, santis, doktor, ahli akademik dan juga ahli perniagaan…. Jadi, persoalannya kenapa perlu kita merasa tidak selamat sedangkan kita mempunyai legasi kejayaan Melayu seperti yang saya bentangkan di atas?”
Tun Daim melihat hal ini sebagai ketidakupayaan orang Melayu untuk berfikir secara rasional dan tidak semata-mata dipengaruhi oleh emosi. Lalu beliau melontarkan cabaran ini kepada khalayak akademia di universiti untuk bertindak sebagai intelektual awam bagi mencerahkan pemikiran orang Melayu. Tun Daim juga memberi penekanan khusus kepada pendidikan yang pada beliau merupakan tonggak utama dalam menentukan masa depan negara baik daripada segi politik, mahupun ekonomi:
“Pastikan sistem pendidikan kita betul, dan politik serta ekonomi akan turut mengikut menjadi betul. Akal tanpa emosi akan menentukan masa depan kita dan masa depan Malaysia….Dedahkan anak-anak kita kepada dunia dan mereka akan mahu menjadi cemerlang dan mereka akan melindungi yang terbaik daripada budaya kita.”
Pendidikan Sebagai Alat Perubahan
Oleh hal yang
demikian, bagi menjawab Tun Daim, artikel ini akan kembali mengajukan soalan
yang sama; mengapakah setelah lebih 40 tahun perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru
yang telah mentransformasikan struktur ekonomi dan sosial negara serta hampir
25 tahun sejak pengumuman dasar Wawasan 2020 yang bertujuan melahirkan bangsa
Malaysia, wacana negara masih lagi terperangkap dalam polemik perkauman dan
kekaburan identiti nasional? Berdasarkan beberapa pengukuran, Malaysia jelas
berjaya mencapai pelbagai kejayaan dalam tempoh 50 tahun yang lepas. Kadar
literasi dalam kalangan populasi dewasa yang berumur 15 tahun dan ke atas pada
tahun 2010 ialah 92%. Enrolmen pada peringkat rendah dan menengah rendah hampir
mencapai tahap 100%, dan bagi menengah atas kadar enrolmen ialah 80%. Lebih
kurang dua pertiga daripada jumlah murid meneruskan pengajian pada peringkat
lepas menengah atau mengikuti pelbagai latihan yang disediakan pada peringkat
matrikulasi, pra-universiti, asasi dan vokasional (Pelan Pembangunan Pendidikan
2013-2025).
Namun demikian,
sebagaimana yang kemudiannya dihuraikan oleh Tun Daim dalam sesi soal jawabnya,
polemik perkauman yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia kini bukan semata-mata
disebabkan oleh dasar ekonomi dan sosial negara tetapi juga kegagalan dasar
pendidikan negara selama ini untuk keluar daripada kerangka pendidikan yang
dibentuk oleh ilmu kolonial. Dalam bahasa Tun Daim sendiri:
“Oleh kerana itu, British menyuruh orang Melayu menanam padi dan menangkap ikan sebagai kegiatan yang membekalkan sumber makanan buat British dan juga buruh-buruh asing yang berkerja di bandar-bandar. Pekerjaan sebegini tidak memerlukan orang Melayu belajar tinggi. Apa perlunya untuk belajar tinggi jika pekerjaan orang Melayu hanyalah sebagai penanam padi dan penangkap ikan? Tak perlu pergi sekolah untuk belajar menanam padi atau menangkap ikan.”
Akan tetapi,
nampaknya Tun Daim hanya berhenti di situ, tanpa menyatakan bahwa dasar
pendidikan negara selama ini tidak berusaha untuk menyelesaikan persoalan
identiti nasional sehingga menimbulkan banyak kekaburan dalam banyak dasar yang
berkaitan dengan sistem pendidikan seperti bahasa kebangsaan, sekolah
kebangsaan, dan pendidikan sivik. Malah, amalan sistem pendidikan kini telah
menyumbang kepada kekalutan identiti ini. Artikel ini akan memperincikan
kejayaan yang dimaksudkan oleh Tun Daim dalam melahirkan orang Melayu yang
berjaya tetapi dalam masa yang sama gagal membentuk identiti nasional.
Transformasi Sosial Melalui Pendidikan
Kesenjangan
sosial dan ekonomi antara kaum di Malaysia adalah produk kolonial British
selama lebih 150 tahun dan juga polisi kontemporari yang berasaskan perkauman
(Andaya & Andaya 2001). Pada tahun
1970an, kerajaan mula mengubah dasarnya untuk terlibat lebih aktif dalam
pembangunan dan menyusun semula struktur masyarakat dengan memperkenalkan Dasar
Ekonomi Baru (DEB). Sepanjang 40 tahun terakhir ini, melalui Dasar Ekonomi Baru
yang dilaksanakan antara tahun 1970 hingga 1990, banyak perubahan terhadap
ekonomi dan sosial negara yang akhirnya mempengaruhi pembentukan sikap politik
rakyat Malaysia.
Apabila tumpuan
ekonomi telah beralih kepada industri, bandar-bandar baru mula dibuka, khusus
untuk menampung kilang-kilang baru. Urbanisasi ini juga selari dengan
penghijrahan ramai penduduk desa, khasnya generasi muda, ke bandar-bandar
perindustrian baru seperti Pasir Gudang, Seberang Prai dan Shah Alam. Daripada
sekitar 10 juta penduduk Malaysia pada tahun 1970, seramai 26.7 peratus tinggal
di bandar dan jumlah ini meningkat dengan signifikan pada tahun 1991.[1]
Pada tahun 2010, lebih 70 peratus penduduk Malaysia tinggal di bandar dan
jumlah ini lebih besar di negeri seperti Pulau Pinang dan Selangor. Proses
perindustrian dan pembandaran telah menyumbang kepada pembentukan dan
perkembangan kelas-kelas sosial moden, khususnya kelas menengah dan kelas
pekerja (Abdul Rahman Embong 2000: 91).
Pendidikan Negara Berjaya Melahirkan Kelas Menengah
Menurut Abdul
Rahman Embong, pembangunan kapitalis lewat 1970-an dan penyusunan semula
masyarakat Malaysia yang dilaksanakan oleh developmentalist
state yang kuat telah berjaya mewujudkan kelas menengah yang besar. Bahkan,
tidak seperti sebelum tahun 1970-an, di mana kebanyakan kelas menengah hanya
terdiri daripada kaum Cina, sementara majoriti kelas menengah Melayu hanya terdiri
daripada sekumpulan kecil pentadbir kerajaan. Pasca 1970an memperlihatkan
pembesaran saiz kelas menengah pelbagai kaum. Selain pentadbir, kelas menengah
baru ini terdiri daripada pengurus, doktor, arkitek, peguam, pensyarah, pakar
teknologi, dan profesional lainnya (2001: 83).
Selain,
profesional dan kelas menengah pengurusan, Malaysia turut menyaksikan peluasan
kelas menengah lama atau entrepreneurial
middle class. Pada masa yang sama, kelas menengah marginal tidak berkurang,
kerana peranannya sebagai kumpulan sokongan kepada kelas menengah baru (Abdul Rahman Embong
1995).
Perkembangan
yang paling signifikan tentang transformasi ini adalah kelas menengah baru
telah muncul ketika tempoh penting sejarah pembangunan negara dan kehadiran
mereka sangat jelas baik di kota-kota besar mahupun di pekan-pekan di seluruh
negara. Lebih penting lagi, mereka ini terdiri daripada pelbagai kaum dan lebih
mencerminkan komposisi masyarakat Malaysia.
Crouch (1996),
Abdul Rahman (2000c, 2000d, 2000e), Kahn (1996) menegaskan bahawa proses
industrialisasi dan dasar pro-Bumiputra telah memperlihatkan pertumbuhan kelas
menengah yang begitu pesat di Malaysia. Kelas ini telah berkembang daripada
hanya 4.0 peratus pada tahun 1957 kepada 7.7 peratus pada tahun 1980,
11.2 peratus pada 1990, dan 15.3 peratus pada tahun 2000 (Abdul Rahman
Embong 2000).
Secara teorinya,
perkembangan kelas menengah yang lebih besar ini seharusnya membantu mewujudkan
masyarakat sivil yang lebih kuat dan rentas etnik. Meskipun pembangunan
yang rancak pada dekad 1970-an hingga 1990-an dan penekanan terhadap sektor
pendidikan berjaya mewujudkan kelas menengah baru dalam struktur masyarakat
Malaysia, hasil daripada pengamalan DEB, umumnya kelas menengah Melayu terdiri
daripada kakitangan kerajaan. Birokrat Melayu ini telah terserap dalam struktur
kekuasaan negara yang menuntut kepatuhan kepada arahan yang rigid.
Kelas menengah
yang dibangunkan berdasarkan bantuan ekonomi dan penswastaan juga menghasilkan
kelas menengah yang gagal mandiri (independent)
dan bergantung bantuan kerajaan. Di bawah dasar penswastaan, sejumlah besar
kapitalis Bumiputera dan bukan Bumiputera telah berkembang dengan mendapat
naungan dan projek kurnia daripada pemerintah. Andaian asasnya, elit yang
dibantu ini akan membantu pula untuk mencairkan kekayaan tersebut kepada kelas
menengah dan rendah melalui regulasi ekonomi. Namun, oleh sebab terdapatnya
unsur-unsur ketirisan dan kronisme maka regulasi itu tidak berlaku dan hanya
berjaya melahirkan cukong-cukong pasaran semata. Kebergantungan ini juga tidak
memungkinkan birokrat yang berada di kelas menengah untuk menjadi kritikal
terhadap kekuasaan malah makin mewujudkan hubungan patronis yang
kuat (Abdul Rahman Embong 2000).
Budaya politik
kelas menengah ini sememangnya sukar untuk diperjelaskan dengan tuntas.
Terdapat suatu kontradiksi antara sikap politik pada tahun 1960-an dan 1970-an
– tebal dengan feudalisme berbanding budaya politik pada tahun 1990an yang
menurutnya lebih membawa politik yang berbaur nilai sejagat (Rustam 2004: 34).
Crouch (1984) dan Kahn (1996) juga mengatakan kelompok ini tidak mempunyai arah
politik yang jelas, tetapi Saravanamuttu (1987, 1992) pula berpendapat
sebaliknya. Sementara itu, Abdul Rahman Embong (1998) dan Loh (2000) lebih
berminat untuk memeriksa budaya politik kelompok ini melangkaui hubungan mereka
dengan parti politik.
Namun begitu,
Saravanamuttu (2001: 103-105) menyimpulkan setidaknya terdapat dua pandangan
asas mengenai kelas menengah di Malaysia, “(1) menyokong status quo kerana kebergantungan
mereka secara ekonomi dengan kerajaan. Keterikatan mereka dengan gaya hidup
mewah melalui kemajuan ekonomi yang pesat menyebabkan persoalan pendemokrasian
menjadi soal sampingan. Tambahan pula, kelas menengah ini terpisah mengikut
kaum yang menyebabkan sukar untuk mereka menemukan kesepakatan pandangan
politik. (2) Pandangan kedua pula, melihat kelas menengah ini aktif menjuarai
pelbagai isu. Sungguh pun kelas ini agak terpencar, mereka menunjukkan
kesedaran nilai universal – demokrasi, hak asasi manusia, alam sekitar – yang
melintasi sempadan kaum”.
Fenomena ini
menawarkan wacana alternatif kepada perspektif ethnic-centric mahupun class-centric. Malah, ini membawa kepada hujah kelas
menengah sebagai aktor politik di Malaysia telah membentuk praxis multi-etnik dan multi-kelas yang merangsang masyarakat sivil
untuk menentang pemantauan berlebihan negara, dominasi dan tekanan
terhadap warga (Saravanamuttu 1992).
Namun, sebagai reaksi kepada pandangan ini, Kahn (1996b) mencadangkan tidak
terdapat sekelompok kelas menengah tunggal yang semuanya berjuang untuk agenda
demokrasi di Malaysia, malah terdapat banyak ‘kelas-kelas menengah’ (middle classes) dengan pelbagai
kepentingan politik.
Kelas Menengah Malaysia dan Wacana Perkauman
Malaysia kini
berada dalam transisi antara politik lama dan politik baru. Dalam tempoh ini,
terdapat banyak pergelutan dan perebutan simbol serta makna dalam negara ini –
daripada naratif sejarah rasmi nasional sehinggalah kepada soal kesetian dan
pemilikan. Malah, banyak pertubuhan NGO yang dibangunkan bertujuan untuk
memperjuangkan kaum atau agama masing-masing.
Menurut Shamsul
(2001: 123-124) pergelutan ini bukan sahaja antara kerajaan dan juga masyarakat
atau dalam istilah Shamsul authority-defined
Vs everyday defined, malahan juga dalam kalangan masyarakat, pergelutan ini
tidak terselesai. Shamsul (2001: 123) mencerakinkan pergelutan masyarakat ini
kepada tiga kelompok, bukan Bumiputera
dan dua lagi merupakan kelompok Bumiputera
Islam dan Bumiputera Bukan-Islam.
Kelompok Bukan-Bumiputera ini, kebanyakan kes
dirujuk sebagai Cina, mahukan amalan serta bahasa Cina juga diterima sebagai
sebahagian daripada identiti Malaysia. Demikian juga kelompok Bumiputera Bukan Islam yang mahukan
agama Kristian dan ‘agama orang asal’ (native
religions) diberikan status yang sama dalam negara ini dan masa yang sama
menolak kelompok Bumiputera Islam
yang mahukan negara Islam sebagai identiti teras negara ini (Shamsul, 2001:
123).
Umpamanya
pertubuhan seperti Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Malaysia atau Dong Jio Zong
yang sering dikaitkan sebagai pertubuhan yang lantang menjuarai isu berkaitan
survival sekolah venakular Cina. Dong Jio Zong pernah menentang cadangan
kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar mata pelajaran
Malaysia Negaraku Tahap 1 di semua aliran sekolah rendah. Malah, pertubuhan ini
juga membantah cadangan masa tambahan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu Tahap
1 di semua sekolah jenis kebangsaan (Kartini Aboo Talib 2012: 7).
Demikian juga dengan
pertubuhan bukan Melayu seperti gabungan 30 NGO yang memperjuangkan nasib
masyarakat India yang dikenali sebagai Hindu Rights Action Force (HINDRAF) yang
melakukan demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur pada 2007. Hindraf
menganjurkan perhimpunan ini kerana hendak menyerahkan memorandum 18 perkara
kepada Suruhanjaya Tinggi Britain dan seterusnya kepada Ratu Elizabeth II
berhubung nasib malang bertimpa-timpa yang dialami oleh penganut Hindu di
Malaysia semenjak zaman penjajahan British lagi. Saman itu difailkan oleh
Hindraf di Britain pada 30 Ogos 2007 bagi menuntut 4 trilion paun (RM27.7
trilion) daripada kerajaan Britain sebagai pampasan kepada masyarakat India
kerana membawa mereka masuk ke Malaysia sebagai buruh murah. Setelah Malaysia
dimerdekakan, masyarakat India ditinggalkan begitu sahaja di Malaysia. Nasib
dan masalah mereka diserahkan bulat-bulat kepada Malaysia yang baru merdeka (Malaysian Insider 2011).[2]
Pada masa yang
sama, penentangan ini bukan sahaja berlaku antara kelompok Melayu dengan bukan
Melayu sahaja, tetapi juga berlaku persaingan antara kelompok Melayu berlainan
ideologi seperti Sister In Islam (SIS) yang dilihat cuba memberi pentafsiran
yang lebih liberal terhadap pemahaman dan amalan Islam di negara ini (Noraini
Othman 2008). Memandangkan Islam merupakan agama rasmi Persekutuan dan Islam
telah diinstitusikan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jabatan
agama Islam di setiap negeri, Mahkamah Syariah dan sebagainya, Islam di
Malaysia secara umumnya adalah lebih homogen. Sebarang cubaan pentafsiran lain
daripada tafsiran rasmi akan dilihat sebagai penyimpangan (deviant) atau sesat – keluar daripada agama Islam (Ahmad Fauzi
Abdul Hamid 2013).
Pada belah lain
pula, terdapat kelompok Melayu-Islam yang menekankan tafsiran Islam yang lebih
konservatif. Kelompok seperti Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA),
Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (PEKIDA) dan ISMA yang seringkali
menjadi kumpulan pendesak untuk mempertahankan status quo Melayu-Bumiputera.
Umumnya,
meskipun Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan untuk menstrukturkan semula
masyarakat dan membasmi kemiskinan telah berjaya melahirkan kelas menengah yang
besar di Malaysia, namun sebahagian kelas menengah ini bukan sahaja gagal
mandiri, malahan juga masih terikat dalam wacana perkauman. Sementara wujud
kelompok NGO yang membawakan tema-tema besar seperti Hak Asasi Manusia, alam
sekitar, keadilan, reformasi sistem kehakiman, ketelusan dan
kebertanggungjawab, sistem pilihan raya yang bersih dan adil, politik Malaysia
masih berbaur dengan persoalan perkauman. Jika diperhalusi kebanyakan persoalan
perkauman ini berkisar kepada isu identiti nasional dan citizenship.
Identiti Nasional Melalui Pendidikan – Sekolah Sebagai
Reproduksi Sosial dan Kebudayaan
Secara umumnya,
cabaran pemodenan Malaysia berhubungkait dengan dua komponen penting, ekonomi
dan politik. Komponen ekonomi dipacu oleh keperluan untuk menzahirkan cita-cita
Malaysia sebagai negara perindustrian, manakala komponen politik untuk
melahirkan masyarakat Malaysia yang berpegang kepada identiti sepunya, bangsa
Malaysia.
Sebagaimana
perbincangan awal, Malaysia pada suatu tahap telah berjaya mentransformasi
ekonomi negara ini daripada berasaskan pertanian kepada perkhidmatan dan
meningkatkan kadar urbanisasi dengan dramatik. Begitu juga dalam sektor
pendidikan negara, khasnya vokasional dan universiti yang telah berjaya
melebarkan saiz kelas menengah di negara ini. Namun, oleh kerana institusi dan
prosedur politik lama, termasuk sistem pendidikan negara yang masih
terperangkap dalam struktur kolonial, maka kelas menengah negara ini juga masih
bergelut antara politik baru dan politik lama.
Sistem Pendidikan Malaysia Semakin Homogen
Pengiktirafan
bahawa sekolah adalah agensi sosialisasi adalah andaian yang dikongsi oleh
semua proponents of citizenship education, tetapi andaian ini tidak lengkap
sebagai satu alat analitikal untuk menghuraikan fungsi sosial (societal functions) institusi
pendidikan. Pendekatan yang lebih analitikal, dalam kebanyakkan kajian
sosialisasi (socialization literature)
seperti Bourdieu and Passeron (1977) mendapati proses sosialisasi sebagai
kenderaan bagi reproduksi budaya dan ekonomi (vehicle of economic and cultural reproduction); sebagai satu proses
yang menjadi pengantara amalan sosial dan kepercayaan budaya yang perlu untuk
mengekalkan dominasi dan struktur kuasa golongan tertentu (Giroux 1980:
329-366). Tambah Giroux lagi;
A more fundamentally political and critical approach to school socialization would begin with the premise that one of the critical elements in the power of a dominant class resides in its ability to impose, though not mechanistically, its own set of meanings and social practices through the selection, organization, and distribution of school knowledge and class-room social relationships (Giroux 1980:333).
Maka, sementara
institusi pendidikan boleh menjadi alat penyatuan, institusi pendidikan juga
boleh menjadi alat untuk mengekalkan dominasi kuasa politik pemerintah dan
membiarkan masyarakat kekal terpisah. Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan
2013-2025, walaupun data sahih sedia ada menunjukkan bahawa kepelbagaian murid
dan guru di sekolah kebangsaan telah berkurangan, namun masih terdapat
interaksi yang agak memuaskan antara kumpulan etnik di dalam dan di luar bilik
darjah. Namun, laporan ini tidak pula menyatakan apakah ukuran yang digunakan
bagi menilai tahap interaksi murid di luar bilik darjah tersebut.
Sistem
pendidikan Malaysia terdiri daripada lebih 20 pilihan persekolahan pada
peringkat rendah dan menengah. Sekolah rendah awam terdiri daripada tiga jenis
sekolah utama: SK, SJKC dan SJKT . Setiap jenis sekolah ditentukan melalui
bahasa pengantar yang berbeza dan secara keseluruhan mencakupi hampir 99%
daripada jumlah enrolmen sekolah rendah. Selain itu, terdapat pelbagai jenis
sekolah yang menyediakan perkhidmatan kepada kumpulan khusus, seperti sekolah
agama (Islam) dan sekolah pendidikan khas.
Sistem sekolah
menengah awam menunjukkan penumpuan kebanyakan murid daripada pelbagai jenis
sekolah rendah kepada satu format sekolah. Sekolah menengah kebangsaan (SMK)
ini menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar. SMK mencakupi 88%
daripada jumlah enrolmen sekolah menengah. Peratusan kecil murid memilih
sekolah alternatif seperti sekolah agama dan peratusan ini semakin meningkat.
Setelah tamat pendidikan menengah rendah (Tingkatan 3), murid mempunyai pilihan
untuk meneruskan pengajian di sekolah teknik, vokasional, sukan, seni dan
lain-lain.
Sebilangan kecil
murid mendaftar di sekolah swasta dan bilangannya semakin bertambah. Sekolah
ini beroperasi pada peringkat rendah dan menengah, termasuk sekolah swasta yang
menggunakan kurikulum kebangsaan, sekolah antarabangsa dan sekolah agama. Pada
masa ini, sekolah swasta membentuk 1% daripada jumlah enrolmen sekolah rendah
dan 4% daripada jumlah enrolmen sekolah menengah.
Pilihan
pendidikan lain terdiri daripada sekolah persendirian Cina yang membentuk
komponen terbesar pilihan pendididkan lain di Malaysia. Sekolah-sekolah ini
menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama dan melaksanakan
kurikulum yang digubal oleh Dong Jiao Zong.
Secaranya
keseluruhan, pecahan murid di Malaysia mengikut kaum terdiri daripada 67%
Melayu, 25% Cina, 7% India dan baki 1% terdiri daripada lain-lain kaum. Nisbah
kaum mengikut aliran sangat mengejutkan. Berdasarkan Laporan Pelan Pembangunan
Pendidikan 2013-2015, 94% murid di Sekolah Kebangsaan terdiri daripada kaum
Melayu, berbanding hanya 88% murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)
terdiri daripada kaum Cina. Nisbah ini menunjukkan bahawa Sekolah Kebangsaan
yang seharusnya mengumpulkan murid pelbagai kaum menjadi lebih homogen
berbanding SJKC. Malah, terdapat lebih ramai murid Melayu di SJKC (9%)
berbanding murid Cina di Sekolah Kebangsaan (3%).
Jelas bahawa,
Sekolah Kebangsaan bukan sahaja semakin tidak menjadi pilihan dalam kalangan
bukan Melayu, malahan juga dalam kalangan murid Melayu sendiri. Salah satu
punca Sekolah Kebangsaan tidak menjadi pilihan di peringkat sekolah rendah
adalah kerana pencapaian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina bagi Perperiksaan UPSR
sentiasa mengatasi Sekolah Kebangsaan. Meskipun jurang pencapaian semakin
mengecil, hakikat bahawa Sekolah Kebangsaan yang menerima peruntukan dana yang
jauh lebih besar daripada SJKC gagal untuk menjadi yang terbaik, membuatkan
prestasi Sekolah Kebangsaan diragui.
Mengatasi Cabaran Perpaduan Bagi Membentuk Identiti
Nasional
Menurut Laporan
Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2015, Kementerian telah mengambil beberapa
langkah bagi memastikan semua kumpulan etnik diwakili dengan baik dalam bahan
pengajaran yang digunakan di sekolah, hinggalah kepada mengurus program sekolah
yang jelas memberikan tumpuan kepada usaha membina perpaduan. Ciri etnik dan
budaya semua kaum dimasukkan dalam kurikulum dan bahan pengajaran yang
digunakan di sekolah. Modul khusus untuk mengajar sifat menghargai dan memahami
kepelbagaian kaum di Malaysia terkandung dalam kurikulum Sivik dan Sejarah.
Kesemua kurikulum ini digubal berdasarkan Peraturan-peraturan (Kurikulum
Kebangsaan) Pendidikan 1997:
“…suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan..”
Namun, kajian
oleh Santhiram (1997) dan Cheah Boon Kheng (2003) mendapati bahawa kurikulum
Sivik dan Sejarah yang diguna pakai sebelum ini jelas menekankan peranan Melayu
dan secara tidak langsung mengecilkan peranan bukan-Melayu dalam pembangunan
dan sejarah negara.
Program
berasaskan sekolah yang secara jelas berfokus kepada usaha perpaduan seperti
Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) telah diperkenalkan. Kajian
semula yang dijalankan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) mendapati
program RIMUP berjaya mewujudkan pergaulan antara etnik di dalam dan di luar
bilik darjah di kawasan di mana RIMUP dilaksanakan. Namun begitu telah berlaku
penurunan yang ketara dari sudut pengisian dan bilangan aktiviti program RIMUP
disebabkan kekangan peruntukan. Peruntukan yang diberikan merosot daripada RM
25.4 juta pada 2007 kepada hanya RM 2.4 juta pada 2011.
Sekolah Wawasan
mula diperkenalkan pada 2003 bagi menggalakkan lebih banyak interaksi dan
integrasi antara murid dari pelbagai jenis sekolah. Di bawah konsep ini, tiga
jenis sekolah, biasanya satu SK, satu SJKC dan satu SJKT berkongsi pekarangan
dan kemudahan sekolah yang sama tetapi mengekalkan pentadbiran sekolah yang
berasingan. Sekolah Wawasan diwujudkan di tempat yang mempunyai kawasan bagi
pembinaan pekarangan yang boleh dikongsi dan jarak yang dekat antara SK dengan
SJK. Walau bagaimanapun, keadaan ini menghadkan kebolehlaksanaan konsep
tersebut dalam keseluruhan sistem pendidikan kebangsaan dan oleh itu, hingga
kini hanya terdapat lima kompleks Sekolah Wawasan masih beroperasi.
Tawar-Menawar Politik Yang Menguntungkan Dan Takrif
Kebangsaan Yang Tidak Terselesai
Penyelesaian
yang ditawarkan oleh Pelan Pendidikan ini masih tidak dapat keluar daripada ‘colonial knowledge’[3].
Kelangsungan sebahagian konstruksi etnik dan perkauman (racial and ethnic construction) bukan sahaja di peringkat
epistemologi, malahan berubah kepada bentuk tindakan yang diinstitusikan dan
berakar (embedded) dalam amalan
rasmi, birokrasi dan pembentukan dasar awam seperti bancian, akta tanah, sijil
kelahiran, kad pengenalan, serta sistem pendidikan. Aturan ini umumnya tidak
terganggu dan dicabar selepas zaman kolonial dan membina satu pandangan kaedah
mendefisikan kategori kaum dan etnik melalui petanda fizikal dan budaya
(Shamsul 1996b).
Faham masyarakat
majmuk di Malaysia ini masih terikat dengan amalan pecah perintah kolonial yang
memisahkan ketiga-tiga kaum utama di negara ini. Tahap tertinggi persefahaman
institusi politik di negara ini adalah pada tahap consociationalism semata-mata dan sering-kali digerakkan oleh elit
politik dan pada masa sama mengukuhkan kedudukan politik mereka. Hal ini kerana
isu pendidikan adalah isu yang mencakupi semua rakyat negara ini.
Maka tidak ada
hasrat politik (political will) untuk
membentuk satu sistem pendidikan yang seragam dan tunggal kerana sistem
pendidikan venakular yang ada kini merupakan tawar-menawar politik yang
menguntungkan. Umpamanya, isu 10% kuota bukan-Bumiputera dalam Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang
merupakan institusi pendidikan khas kepada orang Melayu dengan kelengkapan dan
infrastruktur yang relatifnya jauh lebih baik daripada kebanyakkan Sekolah
Kebanggsaan, sering dijadikan bahan tawar-menawar politik apabila timbul gesaan
daripada parti komponen Barisan Nasional atau mana-mana pihak lain untuk
memberi kedudukan yang baik kepada bukan-Bumiputera.[4]
Demikian juga 17
tuntutan Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia
(Suqiu) yang dikemukakan sebelum Pilihan Raya Umum 1999 yang selain menuntut
reformasi dalam dalam sistem perundangan, hak asasi, dan liberalisasi ekonomi,
Suqiu turut mendesak agar lebih banyak peruntukan diberikan kepada Sekolah
Jenis Kebangsaan (Cina), termasuklah memansuhkan Sekolah Wawasan dan
menambahkan guru bahasa Cina. Dr Mahathir yang berdepan dengan kemarahan orang
Melayu ketika itu kerana pemecatan Anwar Ibrahim telah menggunakan kesempatan
ini untuk dilihat sebagai pelindung hak orang Melayu dengan menyelar Suqiu
sebagai tidak ubah seperti komunis (Utusan
2000). Jelas, isu pendidikan venakular dijadikan sebagai tawar-menawar setiap
kali berlaku gangguan terhadap keseimbangan permuafakatan politik dalam Barisan
Nasional.
Pada masa yang
sama, sistem pendidikan Malaysia sukar untuk membentuk satu sistem pendidikan
kebangsaan yang tunggal kerana faham kebangsaan di negara ini tidak terselesai
dan sangat bermasalah. Bagi memahami kerumitan persoalan takrif kebangsaan ini,
boleh dimulakan dengan melihat Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang menjadi
asas kepada pengenalan identiti kebangsaan Malaysia. Dasar ini mengariskan tiga
teras utama kebudayaan kebangsaan[5];
- Kebudayaan Rakyat Asal Rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu.
- Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar boleh diterima Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan.
- Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia. (Sumber: Dasar Kebudayaan Kebangsaan [1971])
Maka, selepas
tahun 1971, perlahan-lahan Sekolah Kebangsaan mula mengambil elemen-elemen
Islam untuk disesuai dan diinstitusikan dalam Sekolah Kebangsaan. Banyak
semakan kokurikulum sistem pendidikan telah membolehkan budaya dan nilai Melayu serta agama Islam dijadikan teras
kepada identiti Sekolah Kebangsaan. Pada peringkat Sekolah Menengah, mata
pelajaran Agama Islam dijadikan mata pelajaran wajib kepada pelajar Muslim
(Joseph 2008). Menurut Joseph (2008: 184), beliau menggunakan istilah ‘politics
of ethnic identification’ bagi menjelaskan ‘these differences and power
imbalances along the various social, economic and educational dimensions that
are linked with the official political ethnic categories in Malaysia’.
Demikian juga
dalam aspek bahasa apabila bahasa Melayu diikat bersama dengan agama Islam
sehingga bahasa Melayu yang seharusnya menjadi bahasa Kebangsaan rakyat
Malaysia, sebahagiannya menjadi eksklusif kepada orang Melayu-Islam. Kes ini
bukan sahaja merujuk kepada isu penggunaan nama Allah oleh bukan Islam dan
terjemahan Bible dalam bahasa Melayu[6], tetapi
juga larangan penggunaan beberapa istilah Arab yang ‘diMelayukan’ seperti haji,
mufti, iman, fitrah.[7]
Larangan ini tentunya aneh apabila mengambil kira beberapa istilah agama yang
digunapakai dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa Sanskrit, seperti
syurga, neraka dan puasa. Malah istilah agama itu sendiri daripada bahasa
Sanskrit.
Identiti Melayu
dan kaitannya dengan Islam diperteguhkan lagi melalui Syarahan Perdana Syed
Naquib Alatas Islam dalam Sejarah dan
Kebudayaan Melayu di UKM pada tahun 1972. Menurut beliau, sebelum
kedatangan Islam, meskipun masyarakat Melayu menganut ajaran Hindu, namun hanya
diperingkat ritual dan kesenian semata-mata. Masyarakat Melayu tidak dapat
menjangkau falsafah agama Hindu dan merangkum metafizik Hindu yang kompleks.
Hanya selepas kedatangan Islam, masyarakat Melayu mula melibatkan diri dalam
persoalan metafizik dan falsafah yang kompleks (Syed Naquib Alatas 1972:13).
Wacana berkenaan
identiti kebangsaan di Malaysia sukar berkembang bukan sahaja konsep bangsa
Malaysia yang ditawarkan oleh Dr Mahathir melalui Wawasan 2020 tidak dihuraikan
oleh beliau, malah, konsep alternatif yang ingin diajukan juga tidak pernah
dihuraikan, contohnya gagasan Malaysian Malaysia yang di bawa oleh DAP hanya
setakat menyetujui bahawa pembentukan bangsa Malaysia harus berdasarkan
kerangka Perlembagaan Persekutuan yang sekular dan liberal (Lim Kit Siang
1986).
Meskipun pada
suatu ketika, sebelum adanya Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971, DAP melalui Lim
Kit Siang cuba mengusulkan kebudayaan kebangsaan Malaysia yang berteraskan tiga
kaum utama – Melayu, Cina dan India. Paling nyata adalah perdebatan antara Lim
Kit Siang dengan pengasas Parti Gerakan, Syed Naquib Alatas berkenaan takrif
persuratan Malaysia. Lim Kit Siang menyatakan bahawa persuratan Malaysia harus
mencakupi penulisan dalam bahasa lain bahasa Melayu (umumnya bahasa Inggeris,
Cina dan Tamil) oleh pengarang berbangsa Malaysia. Lim mempertegaskan bahawa
kedudukan bahasa dan kebudayaan bukan Melayu juga harus ditempatkan sama tinggi
dengan bahasa dan kebudayaan Melayu. Hal ini tidak dipersetujui oleh Syed
Naquib yang berhujah bahawa semangat dan ideal sebuah bangsa tercermin pada
persuratanya. Persuratan Malaysia yang tulen, ditulis dalam bahasa Melayu oleh
pengarang yang tidak semestinya Melayu tetapi menyerap tradisi dan kebudayaan
kepulauan Melayu.[8]
Malangnya,
perbahasan ini tidak disambut oleh lain-lain pihak baik dalam politik mahu pun
akademik. Akhirnya polemik yang dicetuskan oleh Syed Naquib ini mati begitu
sahaja. Sehingga kini, Malaysia tidak pernah menyelesaikan polemik identiti
kebangsaan ini, baik di peringkat epistemologi, mahupun di peringkat
perlaksanaan dasar negara.
Kesimpulan
Malaysia kini
berada dalam transisi penting baik daripada sudut ekonomi, politik, mahu pun
sosial. Dalam transisi yang kritikal ini, saat sebahagian daripada wacana awam
telah menjadi lebih progresif dengan membawa agenda-agenda yang bersifat
sejagat dan konstruktif, sebahagian wacana ini masih lagi dihimpit dengan
politik etno-nasionalis sempit yang sering berulang-ulang – kedudukan
Bumiputera, persaingan moral pemerintah, dan kesetiaan kepada status quo.
Sebahagian besar
masalah ini, sebagaimana yang dinyatakan dalam makalah ini, terletak dalam
sistem pendidikan negara yang masih gagal untuk membina citra kebangsaannya
sendiri di sebalik slogan-slogan besar bangsa Malaysia, 1Malaysia, dan Wawasan
2020.
Sistem
pendidikan Malaysia setakat ini tidak berminat untuk merombak sistem sedia ada
dengan mengajukan satu bentuk pendidikan nasional yang mampu merangkumi semua
dengan mula membahas dan menyelesaikan identiti kebangsaan. Selagi sistem
sosial dan politik Malaysia gagal mendamaikan antara kedudukan identiti Melayu,
Islam dan identiti kaum serta agama lain, maka hasrat melahirkan gagasan bangsa
Malaysia hanya tinggal retorik semata-mata.
Rujukan
Abdul Rahman
Embong. 1995. ‘Malaysian Middle Class: Some Preliminary Observations’
dalam Jurnal Antropologi dan Sosiologi Bil 22: 31-54
___________1996.
Social Transformation, the state and the Middle Class in Post-independent
Malaysia. Southeast Asian Studies 34,
no 3: 56-72.
___________1998.
‘Malaysian Middle Class Studies: A Critical Review’ dalam Rethinking Malaysia, (eds). Malaysian Social Science Association.
Hong Kong: Asia 2000.
___________.2002.
State-Led Modernization and the New
Middle Class in Malaysia. New York. Palgrave.
___________
2000b. ‘Pembangunan dan Ketidaksetaraan Pendapatan: Pencapaian dan Cabaran Masa
Depan’ dalam Abdul Rahman Embong (eds). Negara, Pasaran dan Pemodenan
Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
___________2001a.
Southeast Asian Middle Classes, Prospect for Social Change and Democratisation. Bangi:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
___________2001b.
‘Beyond the Crisis: The Paradox of Malaysia Middle Class’ dalam (eds). Abdul
Rahman Embong. Southeast Asian Middle Classes, Prospect for Social
Change and Democratisation, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ahmad Fauzi
Abdul Hamid. 2013. Trends in Southeast
Asia: Political Islam And Islamist Politics In Malaysia. ISEAS. Singapore
Anderson,
Benedict.1983. Imagined Communities:
Reflections on the Origin and Spead of Nationalism, London: Verso.
Bourdieu,
Pierre, And Passeron, Jean-Claude. 1977. Reproduction
in Education, Society, And Culture. London: Sage.
Cheah Boon
Kheng. 2003. The Bumiputera Policy And Nation Building dalam Kajian Malaysia, Vol. XXl. Nos 1&2,
2003
Crouch, Harold,
1996, Government & Society in
Malaysia, St. Leonards, NSW, Australia: Allen & Unwin.
Giroux. 1980.
Critical Theory and Rationality in Citizenship Education. Curriculum Inquiry, Vol. 10, No. 4 (Winter, 1980), pp. 329-366
Joseph, Cynthia.
2008. Ethnicities and Education in Malaysia: Difference, Inclusions and
Exclusions in G. Wan (ed.), The Education
of Diverse Student Populations: A Global Perspective. Springer Science
Kahn, J. S.
1996. “Growth, Economic Transformation, Culture and the Middle Classes in Malaysia.”
Dalam Richard Robinson and Davis S.G Goodman (eds.). The New Rich in Asia: Mobile Phone, McDonalds and Middle Class
Revolution, London & New York: Routledge
__________.1996b.
“The Middle Class as a Field of Ethnological Study.” Dalam Muhammad Ikmal Said
dan Zahid Emby, eds., Malaysia: Critical
Perspectives: Essays in Honour of Syed Husin Ali. Petaling Jaya. Persatuan
Sains Sosial Malaysia.
Kartini Aboo
Talib@Khalid. 2012. Lanskap masyarakat Sivil: Evolusi, Politik dan Pendekatan
dlm Haris Zuan dan Rizal Hamdan (eds). Wacana
Baru Politik Malaysia: Perspektif Ruang Awam, Budaya dan Institusi.
Petaling Jaya: SIRD.
Lim Kit Siang.
1986. Malaysia: Crisis of Identity.
Petaling Jaya: Democratic Action Party.
Loh, K. W. 2000.
Politik Baru di Malaysia? Siri Syarahan Umum Perlantikan Profesor.
Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
____________
2002. ‘Developmentalism and the Limits of Democratic Discourse’ dalam Francis
Loh Kok Wah dan Khoo Boo Teik, (eds). Democracy in Malaysia: Discourses and
Practices. Curzon Press.
____________2003.
“Towards a New politics of Fragmentation and Contestation.” dalam Francis Loh
Kok Wah & Johan Saravanamuttu (eds)., New
Politics in Malaysia. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies.
____________2009.
Old vs New Politics in Malaysia: State
and Society in Transition. Petaling Jaya:
SIRD dan Aliran Kesedaran Negara.
Noraini
Othman.2008. Religion, Citizenship Rights and Gender Justice: Women,
Islamization & Shari’a in Malaysia Since the 1980s in Noraini Othman etl
(ed) Sharing the Nation: Faith,
Difference, Power and the State 50 Years After Merdeka. SIRD. Petaling Jaya
Saravanamuttu.
2001. ‘Is There a Politics of the Malaysian Middle Class?’ dalam Abdul Rahman
Embong (ed.), Southeast Asian Middle Classes, Prospect for Social
Change and Democratisation. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Santhiram, R.
1997. “Curriculum Materials for National Integration in Malaysia — Match or
Mismatch”, Asia Pacific Journal of
Education Volume 17, Issue 2, 1997.
Shamsul
A.B.1996. Nations-of-Intent in Malaysia,
in Asian Forms of the Nation, edited
by Stein Tonnesson and Hans Antlov, London: Curzon and Nordic Institute of
Asian Studies.
Shamsul A.B. 1996b.
“The construction and transformation of a social identity: Malayness and
Bumiputeraness re-examined” Journal of African and Asian Studies (Tokyo)
52: 15-33.
Shamsul A.B. 2001. A History of an Identity, an Identity of a History:The
Idea and Practice of ‘Malayness’ in Malaysia Reconsidered. Journal of Southeast Asian Studies, 32 (3), pp 355-366 October
2001.
Syed Muhammad
Naquib al-Attas. 1972. Islam dalam
Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Siri Syarahan Perdana UKM. Penerbit UKM.
Bangi
Torii, Takashi.
2003. The Mechanism for State-led
Creation of Malaysian’s Middle Classes. The Developing Economies, XLI-2:
221–242
Utusan. 2000. Tuntutan Suqiu Melampau. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1212&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm
_______. 2002. Jangan Rampas Hak Melayu.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm
[1] Walau bagaimanapun, saiz bandar pada tahun
1991 bukan semata-mata disebabkan oleh penghijrahan desa-bandar tetapi turut
dipengaruhi oleh pendefinisian semula konsep bandar dalam Banci Penduduk 1991
(Abdul Rahman Embong 2000: 90).
[2]
http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2011/06/24/hindraf-seeking-more-classified-documents-to-sue-britain/
[3] Menurut Shamsul (1996b) sistem pentadbiran
kolonial telah mengkategorikan Melayu sebagai satu kaum homogen dan secara
tidak tidak langsung membina dikotomi antara Melayu-Bumiputera dengan
bukan-Melayu Bumiputera yang terus diamalkan sehingga kini dalam pentadbiran,
akademik dan sosial.
[4] Sebagai contoh, rujuk Utusan (2002) yang merupakan akhbar milik UMNO menggunakan tajuk
Jangan Rampas Hak Melayu apabila membincangkan isu pendidikan nasional termasuk
kuota 10% bukan-Bumiputera dalam MRSM.
[5] Sumber rasmi kerajaan berkenaan Dasar
Kebudayaan Kebangsaan 1971.
Click to access 04Dasar_Kebudayaan_Kebangsaan.pdf
[6] Pihak JAKIM menolak penggunaan kalimah Allah
oleh bukan Islam atas alasan mengelakkan kekeliruan oleh penganut Islam di
negara ini dengan memberi justifikasi daripada segi penggunaan kalimah Allah
dalam bahasa Arab, sejarah penterjemahan Bible dalam bahasa Melayu dan juga
amalan serta fatwa negara Muslim lainnya. Bagi perincian rujuk:
Click to access hujah_tolak_guna_allah_oleh_kristian.pdf
[7] Bagi senarai penuh rujuk http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/larangan-penggunaan-istilah-istilah-islam-oleh-orang-bukan-islam.
[8] Bagi perbincangan lanjut, rujuk Ooi Kee Beng. 2011. The Right to Differ: A Biographical Sketch Of Lim Kit Siang. Refsa. Kuala Lumpur
Makalah ini ditulis susulan daripada Seminar Menjawab Tun Daim yang diadakan di IKMAS, UKM pada 3 April 2019.