Demokrasi dan Peralihan Kuasa di Malaysia

Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu telah memberi impak yang besar dalam sistem demokrasi di Malaysia. Selepas 61 tahun Barisan Nasional memimpin, akhirnya satu peralihan kuasa berlaku melalui sistem pilihan raya secara aman tanpa pertumpahan darah.

Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu telah memberi impak yang besar dalam sistem demokrasi di Malaysia. Selepas 61 tahun Barisan Nasional memimpin, akhirnya satu peralihan kuasa berlaku melalui sistem pilihan raya secara aman tanpa pertumpahan darah.

Rakyat Malaysia telah memberikan mandat dan meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan baharu yang dikenali sebagai Pakatan Harapan untuk mentadbir sekaligus mewakili suara rakyat di Parlimen. Namun begitu, kerajaan yang dipilih oleh rakyat tersebut, tidak mampu bertahan lama dengan kemunculan kerajaan baharu yang terbentuk tanpa pilihan raya. Kerajaan Perikatan Nasional atau lebih dikenali sebagai PN dibentuk dengan menggabungkan pecahan wakil rakyat dari Pakatan Harapan, Barisan Nasional, PAS serta beberapa parti politik Sabah dan Sarawak. Pelbagai reaksi dan persoalan yang dilontarkan terhadap pimpinan tersebut terutamanya hal berkaitan penubuhan kerjaan tersebut seperti “Adakah benar kerajaan tersebut disifatkan sebagai kerajaan ‘pintu belakang’?, “Adakah amalan tersebut bertentangan dengan sistem demokrasi di Malaysia?” dan “Bagaimana dengan hak rakyat sebagai pengundi?”.

Demokrasi

Perkataan demokrasi wujud daripada bahasa Greek demos yang bermaksud rakyatdan kratos yang bermaksud kuasa. Menurut Islam dan Moten (2005), demokrasi didefinisikan sebagai rule by the people. Selain itu, memetik daripada ucapan Abraham Lincoln, demokrasi merupakan the government of the people, by the people and for the people. Secara ringkas, demokrasi bermaksud sistem pemerintahan yang ditentukan oleh rakyat dan kerajaan yang dibentuk adalah atas pilihan rakyat melalui pilihan raya. Di sini jelaslah bahawa peranan dan kedudukan rakyat amat dititikberatkan dalam menentukan siapa yang berhak memerintah. Justeru, terdapat dua bentuk demokrasi iaitu secara langsung dan tidak langsung. Melalui sistem demokrasi secara langsung, penyertaan rakyat dalam proses pemerintahan diambil kira seperti yang diamalkan oleh penduduk Athens ketika pemerintahan Tamadun Yunani (Islam dan Moten, 2005). Namun ketika itu, terdapat diskriminasi terhadap wanita, hamba dan imigran iaitu penyertaan mereka dalam pemerintahan dan proses penggubalan undang-undang dinafikan. Hanya lelaki dewasa sahaja yang dibenarkan untuk terlibat dalam sistem pemerintahan. Seterusnya, sistem demokrasi secara tidak langsung atau demokrasi berperwakilan yang merujuk kepada penyertaan rakyat dalam proses pemerintahan yang diwakili oleh wakil yang dipilih oleh rakyat (Islam dan Moten, 2005). Amalan demokrasi ini dijalankan melalui sistem pilihan raya bagi memilih perwakilan untuk mewakili suara rakyat seperti yang diamalkan oleh Malaysia. Konsep yang diamalkan oleh Malaysia tersebut memperlihatkan fungsi rakyat hanya memilih wakil ke Parlimen manakala ketua kerajaan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang dipilih dari parti yang mendapat kerusi tertinggi di Parlimen.

Sistem Demokrasi di Malaysia

Malaysia mewarisi sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen daripada sistem Westminster dari England. Sistem ini melibatkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Antara elemen penting dalam demokrasi berparlimen ialah perlaksanaan pilihan raya, Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi, Raja Berperlembagaan yang merujuk kepada bidang kuasa YDPA sebagai Ketua Negara, mempunyai Parlimen yang berfungsi sebagai badan perundangan, amalan konsep pengasingan kuasa dalam badan pelaksana, perundangan dan kehakiman, kehadiran parti-parti politik yang memperjuangkan hak ke arah pemerintahan berdemokrasi serta hak kebebasan asasi.

Pilihan Raya di Malaysia diadakan setiap lima tahun sekali iaitu merupakan medium yang paling penting dalam memilih perwakilan ke Parlimen. Warganegara Malaysia yang telah berusia 18 tahun ke atas – yang akan dikuatkuasakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 menurut Datuk Liew Vui Keong (2019), dan telah mendaftar sebagai pengundi berhak untuk memilih pemimpin yang akan mewakili mereka di peringkat persekutuan dan negeri. Penyertaan rakyat dalam pilihan raya adalah amat penting dalam menentukan bentuk kerajaan yang bakal memerintah sekaligus bakal memberikan kesan dalam landskap politik negara.

Malaysia mengamalkan sistem pilihan raya majoriti mudah atau First Past the Post berasaskan Single Member Constituencies Plurality System yang merujuk kepada situasi seorang calon yang mendapat undian tertinggi akan diisytiharkan sebagai pemenang di suatu kawasan walaupun dengan kelebihan satu undi terhadap pihak lawan (Bakar dan Mohd Nizah, 2019).  Menurut mereka lagi, amalan tersebut bukanlah sebuah sistem pemilihan yang komprehensif, namun dalam konteks Malaysia, ia memberi kesan yang baik terhadap pembentukan perpaduan masyarakat yang pelbagai. Selain itu, setiap calon yang bertanding perlu memasang strategi untuk meraih undian tertinggi bagi melayakkan dirinya menjadi pemimpin sekaligus memerintah di suatu kawasan. Parti politik yang mendapat undian secara majoriti akan membentuk kerajaan dan ketua pimpinan parti tersebut akan dilantik sebagai Perdana Menteri oleh YDPA seperti yang tertulis dalam artikel 43 (2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Seterusnya, Perdana Menteri atau ketua kerajaan akan memilih ahli Jemaah Menteri untuk mengetuai kabinet yang akan dilantik oleh YDPA. Kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri ini akan memerintah selama satu penggal sehingga pilihan raya umum seterusnya diadakan. Oleh yang demikian, proses demokrasi berparlimen yang diamalkan oleh Malaysia tersebut berperanan penting dalam membentuk sesebuah kerajaan.

Demokrasi selepas PRU14

Pilihan Raya Umum ke-14 mencatatkan jumlah pengundi tertinggi dalam sejarah. Sebanyak 12, 299, 514 pengundi keluar mengundi daripada 14, 040, 624 secara keseluruhan pengundi mendaftar (Ibrahim, 2018). 82.32% rakyat telah menjalankan tanggungjawab mereka di samping dapat disimpulkan bahawa tahap kesedaran rakyat sebagai pengamal demokrasi adalah tinggi. Sebagai pengundi berdaftar, rakyat mempunyai hak sama ada mahu keluar mengundi atau tidak mahu menjalankan tanggungjawab ini. Tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap pengundi yang tidak keluar mengundi. Namun begitu, amalan ini tidak digalakkan kerana hal tersebut mampu menjejaskan proses demokrasi negara.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 telah mengubah landskap politik Malaysia apabila Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan dengan memenangi 113 kerusi di Parlimen dan Tun Mahathir telah dilantik sebagai Perdana Menteri oleh YDPA. Kemenangan ini disambut baik oleh rakyat kerana mereka telah meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap Pakatan Harapan untuk mentadbir dan memenuhi janji-janji yang telah dinyatakan di dalam manifesto. Manifesto Pakatan Harapan disusun dengan indah untuk meraih sokongan pengundi. Namun jika kerbau dipegang tali hidungnya, manusia dipegang pada katanya, janji hanya tinggal janji apabila hanya sebahagian janji di dalam manifesto tersebut berjaya dilaksanakan. Pakatan Harapan memberikan alasan bahawa mereka tidak menjangkakan kemenangan tersebut semasa manifesto itu diperlihatkan kepada umum. Tindakan ini dilihat seolah-olah kerajaan Pakatan Harapan tidak menghormati hak pengundi yang telah memilih mereka. Walau bagaimanapun, Pakatan Harapan berjanji akan melaksanakan manifesto tersebut demi kepercayaan rakyat terhadap mereka. Tambahan pula, proses demokrasi tidak terganggu sekiranya parti politik tidak menepati janji namun hal tersebut sedikit sebanyak mampu mengugat kepercayaan pengundi pada pilihan raya yang akan datang. Hal ini demikian kerana pengundi mempunyai hak untuk mengekalkan atau menukar kerajaan yang sedia ada. Malangnya, belum sempat Pakatan Harapan menunaikan keseluruhan janji seperti yang terkandung di dalam Buku Harapan, Perikatan Nasional dilihat lebih pantas membuka langkah.

Penubuhan Perikatan Nasional yang mengambil alih pucuk pimpinan negara tanpa pilihan raya ini telah menimbulkan keraguan rakyat Malaysia. Malahan ada yang menggelarnya sebagai kerajaan ‘pintu belakang’. Perikatan Nasional ditubuhkan hasil daripada sokongan Ahli Parlimen daripada parti pecahan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.  Penubuhan pimpinan ini bermula dengan Langkah Sheraton yang dihadiri oleh parti pecahan membawa kepada perletakkan jawatan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri yang membawa kepada pembubaran kabinet. Kemudiannya, Tun Mahathir telah dilantik sebagai Perdana Menteri Interim, sementara menunggu proses temu ramah oleh YDPA bersama ahli Parlimen diadakan. Hasil temu ramah yang dilakukan, Perikatan Nasional telah ditubuhkan dan menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan. Sekiranya diimbau kembali, perkara seperti ini pernah berlaku di peringkat negeri misalnya peralihan kuasa dari Pakatan Rakyat ke Barisan Nasional di Perak pada tahun 2009. Namun begitu, peralihan kuasa ini pertama kali terjadi pada peringkat Persekutuan.

Menurut Nik Ahmad Kamil (2020), peralihan kuasa boleh berlaku tanpa pilihan raya selagi wujudnya parti yang mempunyai sokongan majoriti memandangkan Tun Mahathir meletakkan jawatan sebelum menasihati YDPA untuk membubarkan parlimen. Selain itu, beliau menyatakan bahawa Perdana Menteri juga boleh menukar ke parti lain sekiranya Perdana Menteri merasakan tidak lagi sesuai dengan parti komponennya (Nik Ahmad Kamil, 2020). Ini bertepatan dengan Artikel 43 (4) memperuntukkan bahawa, sekiranya Perdana Menteri kehilangan sokongan majoriti, maka beliau hendaklah meletakkan jawatan melainkan YDPA meminta untuk pembubaran Parlimen. Maka, jelaslah di sini bahawa pembentukan kerajaan Perikatan Nasional adalah berasaskan Perlembagaan Malaysia dan sah dari segi undang-undang.

Penubuhan Perikatan Nasional telah membuktikan bahawa kekuatan sistem Raja Berperlembagaan yang merupakan salah satu ciri-ciri Demokrasi Berparlimen telah diamalkan oleh Malaysia. YDPA memainkan peranan dalam menentukan dan melantik Perdana Menteri untuk memimpin kerajaan Perikatan Nasional. Tindakan baginda adalah salah satu sumber kepada kejayaan peralihan kuasa dalam demokrasi berperwakilan ini dan juga bertepatan dengan sistem Westminster yang meletakkan Raja sebagai Ketua Negara.

Mengulas mengenai gelaran bagi Perikatan Nasional sebagai kerajaan ‘pintu belakang’ yang dikatakan merujuk kepada penubuhannya tidak melalui pilihan raya, maka hal tersebut adalah tidak tepat. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, penubuhannya adalah sah dan tidak bercanggah seperti yang termaktub dalam artikel 43 Perlembagaan Malaysia. Namun, sekiranya gelaran tersebut dirujuk dari sudut etika, hal tersebut merupakan kesalahan yang serius apabila integriti pemimpin boleh dipersoalkan iaitu wakil rakyat melompat keluar parti lain dan membentuk parti yang baharu. Sebagai pengamal demokrasi, pengundi berhak untuk mempersoalkan tentang mandat yang telah diberikan kepada seseorang wakil itu. Justeru, peristiwa yang berlaku kini tidak bercanggah sama sekali dengan Perlembagaan Malaysia serta tidak bertentangan dengan amalan demokrasi yang diamalkan oleh Malaysia.

Sekiranya konflik bermula dengan rakyat yang memulakan protes terhadap pimpinan sebelumnya disusuli dengan sokongan daripada ahli Parlimen, kemungkinan istilah seperti ini tidak wujud. Perikatan Nasional juga tidak boleh terlalu selesa dengan mandat yang dimiliki. Seperti Pakatan Harapan, Perikatan Nasional juga tidak berjaya mencapai 2/3 kerusi di Parlimen tetapi berjaya mendapat sokongan majoriti dari ahli Dewan Rakyat. Maka, barisan pembangkang berpeluang tinggi untuk menjatuhkan pihak kerajaan seperti yang sedang berlaku kini iaitu Pakatan Harapan terus mendesak untuk undi tidak percaya dilakukan terhadap Tan Sri Muhyiddin. Kesimpulannya, dapat kita lihat demokrasi yang diamalkan di Malaysia seiring dengan Perlembagaan Malaysia.

Rujukan

(n.d). (2020, Februari 25) Terserah kepada Agong tentukan PM – Penganalisis politik. Astro Awani. http://www.astroawani.com/berita-politik/terserah-kepada-agong-tentukan-pm-penganalisis-politik-231607

Bakar, Afi & Mohd Nizah, Mohd Azmir. (2019). “Demokrasi Pilihan raya Dan Cakna Perlembagaan: Tajuk Yang Sama, Topik Yang Berbeza.” Seminar Tamadun, Etnik Dan Turath Islami (i-STET) 2019, 19 Dec. 2019.

Islam, S. S., & Moten, A. R. (2005). Political science: A primer. Thomson.

Mutalib, O. Z. A. (2019, October 10). Penguatkuasaan undi 18 tahun selewat-lewatnya Julai 2021. BH Online. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/616034/penguatkuasaan-undi-18-tahun-selewat-lewatnya-julai-2021 Sani, I. (2019, Mei 12). #MalaysiaMemilih: Jumlah keluar mengundi tertinggi walau bukan hujung minggu. Astro Awani. http://www.astroawani.com/berita-politik/malaysiamemilih-jumlah-keluar-mengundi-tertinggi-walau-bukan-hujung-minggu-175216

Menelusur India Menerusi Chennai Express

Naratif filem ini berjaya memperkenalkan budaya masyarakat India Selatan terutamanya kepada penonton luar. Genre komedi yang diselitkan berikutan lakonan berkesan oleh para pelakon sehingga tidak kering gusi dibuatnya agar penonton kekal menyaksikan sehingga pengakhiran filem.

Siapa yang tidak mengenali aktor Shah Rukh Khan? Satu nama yang cukup gah bukan sahaja di persada seni India malahan di negara-negara lain di seluruh dunia yang meminati filem Bollywood termasuk di Malaysia.

Fenomena “Bollywood craze” ini menjadi ledakan pada permulaan zaman millennium sehingga beliau dianugerahkan pingat Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran “Datuk” oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob pada 2008. Penulis membesar pada zaman kegemilangan filem-filem lakonan beliau seperti Dilwale Dulhania Le Jayenge (1995), Kuch Kuch Ho Ta Hai (1998), Mohabbatein (2000), Kabhi Kushi Kabhi Gum (2001), Devdas (2002), Main Hoon Na (2004), Om Shanti Om (2007), My name is Khan (2010), Chennai Express (2013) dan banyak lagi. Pastinya, penulis juga tidak terkecuali menonton filem-filem hebat lakonan beliau pada ketika itu.

Antara filem yang dilakonkan oleh beliau, yang mana penulis begitu tertarik untuk mengulas ialah filem Chennai Express (2013) terbitan Red Chillies Entertainment. Penulis akan memfokuskan perbincangan dalam penulisan ini dari sudut budaya masyarakat India yang dipaparkan melalui filem ini. 

Sinopsis ringkas

Penceritaan filem ini bermula dengan Rahul, watak yang dimainkan oleh Shah Rukh Khan bersama dengan rakan-rakannya yang ingin bercuti ke Goa bagi menyambut kelahirannya yang ke-40 tahun. Permintaan terakhir datuk Rahul agar abunya disemadikan di Sungai Ganges dilakukan oleh neneknya manakala Rahul perlu menabur sebahagian lagi abu datuknya di Sungai Rameshwaran. Rahul menaiki kereta api ke arah India Selatan bagi mengaburi mata neneknya dan akan berhenti di stesen Kaylan untuk bertemu dengan rakan-rakannya bagi meneruskan pelan asalnya ke Goa. Pemergian Rahul membawa bersama abu datuknya diiringi oleh neneknya di stesen kereta api. Insiden bermula apabila kereta api memulakan perjalanan ke destinasi. Rahul telah membantu Meenamma, gadis dari India Selatan yang melarikan diri daripada berkahwin dengan calon suami pilihan bapanya. Kejadian ini kemudiannya membawa Rahul ke perkampungan keluarga Meenamma di Komban, Chennai, Tamil Nadu. Berikut ialah budaya India yang dapat ditelusuri dalam naratif filem ini yang berdurasi sekitar 2 jam 21 minit.

Bahasa

Bahasa yang dituturkan oleh watak-watak di dalam filem ini ialah bahasa Hindi dan bahasa Tamil dan diselitkan juga penggunaan bahasa Inggeris. Rahul berasal dari Mumbai yang merupakan ibu negeri Maharashtra terletak di bahagian India Utara yang mana bahasa pertuturan utama ialah bahasa Hindi dan Marathi manakala Meenamma dan ahli keluarganya pula berasal dari perkampungan Komban, Chennai, Tamil Nadu di India Selatan menuturkan bahasa Tamil. Melalui babak yang dipaparkan, pertukaran bahasa yang berbeza tidak difahami oleh Rahul telah mencetuskan salah faham dan berlaku adegan lucu. Hal ini kerana kedua-dua bahasa berikut berbeza dari segi linguistik. Menurut Sonia (2018), bahasa Hindi diklasifikasikan di bawah rumpun bahasa Indo-Eropah dari pengaruh keluarga Indo-Aryan yang berasaskan bahasa Sanskrit manakala bahasa Tamil dikatakan sebagai bahasa utama dalam kalangan rumpun bahasa Dravida. Bahasa Tamil juga diiktiraf sebagai bahasa klasik dan dituturkan di Sri Lanka, Malaysia, Singapura dan negara-negara lain.

Keagamaan

Majoriti masyarakat di negara India beragama Hindu. Hal ini dapat dilihat melalui upacara kematian datuk Rahul dijalankan mengikut upacara agama Hindu. Mayat datuknya dibakar dan abunya akan ditaburkan di Sungai Ganges dan Rameshwaran. Selain itu, kita juga boleh lihat kuil-kuil di India Selatan yang menjadi tempat ibadat masyarakat Hindu sepanjang naratif filem ini seperti kuil Vattamalai Murugan apabila Rahul memangku Meenamma mendaki 300 anak tangga untuk sampai ke kuil tersebut (sebenarnya hanya 100 anak tangga untuk sampai ke puncak kuil tersebut). Pemakaian kungumum pottu di dahi Meenamma oleh Rahul adalah sebagai tanda penyempurnaan ritual tradisi sebagai ‘suami dan isteri’ di kampung Vidamba. Kungumum pottu ialah serbuk kemerahan yang diperbuat daripada kunyit dan campuran perahan limau lalu dikeringkan. Serbuk ini akan dipakai oleh wanita hindu bagi melambangkan status wanita yang sudah berkahwin.

Masyarakat patriak

Tradisi perkahwinan masyarakat India dilihat masih ditentukan oleh ketua keluarga lelaki. Dalam filem tersebut, jelas menunjukkannya apabila babak Meenamma yang dipaksa berkahwin dengan pilihan bapanya, Tanggabali. Negara India merupakan sebuah masyarakat patriak yang diketuai oleh kaum lelaki. Menurut Nirola (2017);

 
“These were understood regarding the family and household; kinship and caste; culture and religion, and the Indian state, whose policies have a dynamic beaming on all other social structures. Indian feminist analysis and arguments linked the family and the economy to demonstrate, how the economic power of men and their domination of production was crucially linked to, and determined by, the organization of the family and the household. The household thus emerged as an important constituent of both production and patriarchy.”

Pada akhir cerita ini, Rahul berjaya menawan hati bapa Meenamma apabila beliau berjaya menewaskan Tanggabali setelah beradu kekuatan demi cintanya terhadap Meenamma. Kritikan Rahul kepada bapa Meenamma begitu tegar kerana mahu menentukan kehidupan Meenamma tanpa memikirkan perasaan anak gadisnya. Keadaan ini berbeza dengan situasi di Malaysia, pasangan muda yang beragama Hindu lebih terbuka untuk memilih pasangan hidup masing-masing. Walau bagaimanapun, pemilihan pasangan masih perlu dirujuk kepada golongan tua (ahli keluarga yang tua) berdasarkan sistem kasta bagi mendapat persetujuan perkahwinan tersebut. Sistem kasta bagi masyarakat India yang beragama Hindu di Malaysia masih diamalkan di dalam perkahwinan tetapi tidaklah begitu ketara seperti di negara India. Malah banyak juga yang telah meninggalkan terus sistem ini.  

Pakaian dan seni persembahan

Nyanyian dan tarian tidak dapat dipisahkan dengan budaya masyarakat India. Filem tersebut turut memaparkan tarian klasik India seperti Bharatnatyam yang ditarikan oleh Meenamma ketika lagu Titli. Gerakan tarian klasik tersebut ditarikan dengan indah dan secara tidak langsung memperkenalkan salah satu keistimewaan budaya India. Sebahagian daripada petikan lirik lagu Titli juga diambil daripada kitab Nalayira Dhivya Prabhandham, kitab suci bagi pengikut Vishnu di India Selatan berjaya membuatkan penonton terpegun dengan kombinasi kesenian yang ada padanya. Aspek pemakaian tradisi India Selatan seperti sari, dhoti dan lungi juga ditonjolkan sepanjang naratif filem ini terutamanya ketika babak tarian antara Rahul dan Meenamma ketika menyanyikan Kashmir Main Tu Kanyakumari. Lungi ialah sarong yang selalunya dipakai oleh kaum lelaki di India Selatan yang sama seperti kain pelikat yang dipakai oleh masyarakat Melayu. Pemilihan busana sari oleh Meenamma sangat menarik perhatian penonton. Trend colour- blocking yang popular pada tahun 2010-2011 telah lama wujud dalam masyarakat India bagi pemilihan busana sari.

Makanan

Aspek penelitian terhadap makanan masyarakat India Selatan dapat dilihat ketika babak Rahul terjaga daripada tidur dan salah seorang daripada sepupu Meenamma menjemput Rahul untuk bersarapan. Babak ini berlaku ketika kereta api berhenti di stesen Singapuram Road Railway Station sebelum meneruskan perjalanan ke Komban. Makanan tradisi India Selatan seperti idli dan nasi daun pisang dipaparkan pada babak tersebut. Menurut Itwarah (2019), idli boleh dimakan waktu sarapan atau sebagai makanan ringan. Sumber kacang vigna mungo dan nasi ialah bahan utama bagi penghasilan idli. Idli di makan bersama dengan sanna, rave atau sambar idli. Penggunaan daun pisang bagi menggantikan pinggan nasi amat sinonim dalam masyarakat India. Nasi daun pisang akan dihidangkan bersama pelbagai jenis sayuran, jeruk, yogurt, papadom, kari ikan, daging dan sebagainya. Makanan ini merupakan makanan vegetarian bagi masyarakat India dan kebiasaannya kuah kari sahaja dihidangkan tanpa daging sementara cara menikmati hidangan ini adalah menggunakan tangan. Penulis pastinya mempunyai pilihan hidangan nasi daun pisang istimewa tersendiri iaitu di Kanna Curry House, Seksyen 17, Petaling Jaya.

Kesimpulan

Naratif filem ini berjaya memperkenalkan budaya masyarakat India Selatan terutamanya kepada penonton luar. Genre komedi yang diselitkan berikutan lakonan berkesan oleh para pelakon sehingga tidak kering gusi dibuatnya agar penonton kekal menyaksikan sehingga pengakhiran filem.

Tidak dinafikan sinematografi yang menarik dan memukau ini boleh menjadi tarikan pelancongan untuk berkunjung ke India seperti Air Terjun Dudhsagar dan juga perkampungan-perkampungan di India Selatan dalam filem ini. Unsur budaya India yang ditonjolkan dalam filem ini berterusan dan ada yang masih diamalkan oleh masyarakat India di Malaysia. Hal ini demikian kerana, berdasarkan sorotan sejarah, kebanyakan imigran India yang berasal dari Tamil Nadu bekerja di Tanah Melayu sebelum merdeka. Mereka menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu dan membentuk sub kumpulan etnik India. Kesinambungan budaya tradisi India ini secara tidak langsung menambah corak budaya yang rencam di Malaysia.

Bahan rujukan:

Itwara. (2019, Mei 23). 29 Makanan Tradisional India Unik Dan Terbaik (Anda Dah TRY Semua?). Retrieved from https://saji.my/makanan-tradisional-india/

Nirola. B (2017, Disember 27). Patriarchy and the Status of Women in the Society. Retrieved from https://www.youthkiawaaz.com/2017/12/role-of-patriarchy-and-status-of-women-in-indian-society/

Sonia (2018, August 23). Where Does the Hindi Language Come From? Retrieved from https://www.superprof.co.uk/blog/hindi-language-history/

Musibah Menjadi Muhibah: Malaysia dalam Melawan Pandemik

Malaysia bukan sahaja dikenali dari segi kejayaan menguruskan kemakmuran ekonomi dan pembangunan. Lebih daripada itu, Malaysia turut dikenali lantaran kepelbagaian agama, budaya dan bangsa.

Malaysia bukan sahaja dikenali dari segi kejayaan menguruskan kemakmuran ekonomi dan pembangunan. Lebih daripada itu, Malaysia turut dikenali lantaran kepelbagaian agama, budaya dan bangsa. Kepelbagaian yang dipertahankan, sejak sekian lama, menjadi kebanggaan Malaysia.

Dalam sejarah, masyarakat kepelbagaian Malaysia telahpun hidup secara aman dan damai dengan keunikan cara hidup masing-masing. Semua ini masih lagi dikekalkan tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana pihak. Penyatuan ini utuh terbina di atas landasan integrasi yang diamalkan sejak sekian lama. Nilai-nilai sejagat seperti keadilan, toleransi dan penerimaan antara kaum menjadi asas kepada kerangka penyatuan ini. Justeru, nilai-nilai ini harus dipupuk dari semasa ke semasa agar setiap masyarakat Malaysia sentiasa peka akan kepentingannya.

Pembentukan masyarakat bersatu padu telah digarap dalam Wawasan 2020 oleh Mahathir Mohammad pada tahun 1991. Wawasan 2020 menjadi kerangka asas kerajaan untuk memacu pembangunan negara selepas berakhirnya Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1990. Bagi menjayakan visi ini salah satu daripada sembilan cabaran yang terkandung dalam Wawasan 2020 adalah berteraskan pembinaan negara bangsa Malaysia yang bersatu padu, hidup harmoni, bertolak ansur, bermoral dan berakhlak. Walau bagaimanapun, ekoran beberapa kekangan dalam pelbagai aspek, visi Wawasan 2020 gagal terlaksana.

Di sebalik kegagalan Wawasan 2020, tahun 2020 juga turut menjadi cabaran kepada dan masyarakat Malaysia. Selain pergolakan politik, negara diancam dengan penularan wabak Coronavirus atau Covid-19. Coronavirus atau Covid-19 mula tersebar di wilayah Wuhan, China. Atas faktor penemuan penyebaran tersebut, ia dikenali sebagai virus Wuhan. Kebanyakan saintis melihat istilah tersebut sebagai bersifat perkauman dan negatif.

Justeru, WHO mengambil pendekatan dengan menukar nama Virus Wuhan kepada Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus 2 (SARS-CoV-2) atau Covid-19. Coronavirus (CoV) adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan saluran pernafasan yang menyebabkan spektrum gejala daripada selesema biasa kepada radang paru-paru (pneumonia) yang teruk dan boleh merebak dengan cepat iaitu 10 kali ganda kematian melangkaui H1N1. Pandemik ini sudah merentasi sempadan negara dan menjadi global. Sehingga hari ini, jumlah kes positif di seluruh dunia ialah 14.78 juta dengan jumlah kematian 611,000 kes dengan kes tertinggi dicatatkan oleh Amerika Syarikat, Brazil dan India. Di Malaysia, sehingga penghujung 29 Julai 2020, pandemic ini telah menjangkiti seramai hampir 9 ribu orang dengan jumlah kematian seramai 124 orang. 

Pandemik kesihatan ini dikaitkan dengan globalisasi yang kian rancak melanda dunia pada hari ini. Dari sudut sejarah, globalisasi sudah berlaku sejak sekian lama. Globalisasi telah berlaku empat zaman iaitu zaman Rom, zaman Islam, era dominasi barat dan zaman kontemporari (Abdul Rahman Embong, 2000).

Namun bentuknya berbeza dari satu zaman dengan zaman lain. Istilah globalisasi mempunyai pengertian yang luas – merangkumi pembentukan komuniti global ekoran jarak dan masa telah didekatkan oleh perkembangan media dan komunikasi yang telah mengaitkan masyarakat dunia sebagai satu unit politik (Noraini Othman, 2000) yang meliputi pelbagai bidang seperti politik, ekonomi, sosial, teknologi dan ideologi (Waters, 1995).

Globalisasi turut mendekatkan jarak untuk berhubungan antara sebuah negara dengan negara lain dan mempercepatkan pergerakan manusia dan barangan meskipun dari tempat yang jauh (Appadurai, 1996). Justeru, aliran manusia dari satu kawasan ke kawasan lain bukan lagi perkara baharu. Migrasi, perlancongan, perkahwinan antara bangsa sudah menjadi perkara biasa dalam masyarakat dunia.

Interaksi yang berlaku dalam ‘mega trend’ abad ke-21 memberi pengaruh besar kepada kesihatan manusia. Natijahnya, sekatan perjalanan dikenakan bagi mengelakkan penularan dengan lebih serius. Sebagai langkah awal, pintu sempadan negara ditutup kepada segala bentuk aktiviti antarabangsa seperti perlancongan dan migrasi. Landskap pergerakan masyarakat dunia serta merta berubah.

Di Malaysia, kerajaan pimpinan Muhyiddin Yasin mengambil pendekatan dengan memperkenalkan kawalan pergerakan bagi membendung wabak Covid-19. Penguatkuasaan PKP dilaksanakan dalam empat fasa iaitu bermula pada 18 Mac 2020 sehingga 3 Mei, disambung dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei hingga 9 Jun. Fasa akhir ialah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa 10 Jun sehingga 31 Ogos.

Meskipun langkah ini dilihat tidak popular, namun ia merupakan langkah berani kerajaan. Hal ini kerana PKP memberi pelbagai impak kepada negara dan rakyat. Langkah ini memberi kejayaan pada PKP Fasa 3 melalui penurunan keluk graf yang baik hasil penurunan kes Covid-19. Kejayaan ini dipengaruhi oleh tingkah laku rakyat Malaysia terhadap pematuhan sepanjang pelaksanaan tempoh PKP (Noriha Basir et al, 2020).

Pelbagai naratif masyarakat boleh digarap di sebalik musibah yang melanda. Misalnya, melalui sebuah pertandingan anjuran Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bersama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) membuktikan penyatuan rakyat Malaysia sesama jiran tetangga amat tinggi. Ia dapat dilihat melalui kesediaan masyarakat dalam membentuk kerjasama ketika tempoh kawalan pergerakan dilaksanakan. Mereka bersama-sama menyokong urusan jual beli atau bazar dalam talian, bertukar-tukar makanan, mengatur urusan pembelian dan bergilir-gilir ke kedai bagi mengurangkan potensi jangkitan.

Tidak ketinggalan juga penglibatan golongan muda dalam menyumbangkan tenaga dan kepakaran mereka. Contohnya, menggunakan kemahiran yang dimiliki mereka untuk membantu urusan jiran yang lebih tua bertadarus al-Quran secara maya sepanjang Ramadhan. Bagi golongan belia yang terkandas di kolej atau universiti, mereka juga turut berganding bahu menjana pendapatan dalam talian dengan penjualan makanan. Pelajar sekolah juga turut tidak ketinggalan memanfaatkan teknologi dengan berkongsi tip belajar di alam maya.

Selain itu, semangat kesukarelawanan golongan belia juga harus dipuji. Sepanjang tempoh PKP, ramai golongan belia menjadi barisan hadapan dengan menyertai agensi-agensi kerajaan dan swasta untuk membantu menghadapi wabak Covid-19. Pelajar perubatan misalnya menyertai pasukan perubatan dan ada segilintir belia yang menyertai aktiviti penguatkuasaan seperti polis dan angkatan tentera. Bahkan terdapat sebahagian daripada golongan belia ini berkhidmat secara sukarela dengan menjadi penghantar makanan yang ditempah secara dalam talian.

Ketika tempoh berlangsungnya PKP, istilah stay at home atau duduk di rumah sentiasa berlegar-legar di media-media sosial bahkan turut digunakan oleh para pemimpin. Sepanjang tempoh tersebut, hanya ketua keluarga sahaja yang dibenarkan keluar membeli barangan keperluan asas.

Normal baharu ini sudah tentu memberi cabaran kepada ketua keluarga terutama lelaki kerana kelazimannya tugas ini dipikul oleh isteri. Di sinilah wujudnya kerjasama antara ahli keluarga apabila masing-masing memikul tugas dan tanggungjawab bersama. Tempoh PKP ini dimanfaatkan dengan baik. Jika sebelum ini ibu bapa terlalu sibuk dengan urusan seharian mereka, jadi kesempatan ini memberi ruang untuk mereka bersama keluarga. Para ibu bapa juga berpeluang mengukuhkan nilai sosial dan adab kepada anak-anak mereka. Elemen keharmonian dalam institusi keluarga penting bagi membentuk generasi yang baik dan berjaya.

Dari segi hubungan kaum pula, batas-batas etnik juga dilihat kian menipis. Kisah bagaimana seorang pesakit Muslim mendoakan seorang pengamal perubatan yang berlainan bangsa dan agama sambil memegang tangan doktor tersebut jelas memperlihatkan perpaduan antara kaum masih utuh. Isu petugas kesihatan menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) daripada sarung plastik apabila negara ketandusan sumber bekalan menjadi tular dalam masyarakat.

Melihat keadaan demikian, pasukan NGO dan orang perseorangan juga turut membantu menyediakan PPE untuk disumbangkan kepada pihak hospital. Keprihatinan masyarakat ini juga dapat dilihat apabila setiap hari pelbagai jenis sumbangan dihantar ke hospital untuk petugas-petugas kesihatan. Usaha-usaha ini memperlihatkan bahawa masyarakat Malaysia mampu mengenepikan jurang pemisah di kala musibah melanda.  

Meskipun Covid-19 belum berakhir, akan tetapi dengan penurunan jumlah kes setiap hari memperlihatkan kesiapsagaan kerajaan dan komitmen semua pihak termasuk rakyat amat baik. Perpaduan rakyat membolehkan kerajaan menguruskan pandemik covid-19 dengan berkesan dan menjadi antara negara terbaik dunia dalam menguruskan wabak. Pematuhan Standard Operation Procedure (SOP) semasa PKP yang ditunjukkan oleh semua pihak juga harus dipuji. Ini mencerminkan bahawa rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab dan disiplin yang tinggi.

Justeru, amalan ini harus dikekalkan dari semasa ke semasa walaupun musibah Covid-19 berjaya diputuskan. Pengekalan amalan ini, bukan sahaja demi kepentingan kesihatan, lebih daripada itu, turut memperlihatkan identiti waja rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Rujukan

Abdul Rahman Embong. (2000). Negara Bangsa Proses dan Perbahasan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Arjun Appadurai. (1996). Modernity at Large: Cultural Dimensions of Globalization. Public Worlds, Volume 1, Minneapolis – London: University of Minnesota Press

Noraini Othman et.al. (2000). Malaysia Menangani Globalisasi: Peserta atau Mangsa. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Noriha Basir, Ina Suryani Ab Rahim, Mohammad Zaki Abdul Halim. (2020). Analisis Tingkah Laku Sosiologi Masyarakat Berasaskan Teori Interaksionisme Melalui Perangkaan Data Kes Covid-19 di Malaysia. Vol 11 (2020): Pendeta Journal of Malay Language, Education and Literature (KHAS COVID-19).  

Waters, M. (1995). Globalization. London & New York: Routledge.

https://www.my.undp.org/content/malaysia/en/home/news-centre/articles/malaysians-reconnect-with-local-communities-to-survive-pandemic.html%20atas%20talian%2022%20Julai%202020.

http://covid-19.moh.gov.my/%20atas%20talian%2022%20Julai%202020.

http://www.astroawani.com/berita-%20malaysia/episod-hitam-covid-19-dan-koronavirus-antara-fakta-dan-mitos-241232

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/692044/usaha-perangi-covid-19-kukuhkan-perpaduan-rakyat-malaysia

https://www.malaysiakini.com/columns/517606

Kajian Wanita di Malaysia: Perspektif Sains Sosial Mandiri

Pelbagai tuntutan telah dikemukakan dalam siri kuliah Naratif Malaysia, bagi memenuhi agenda Sains Sosial Malaysia. Antara semua itu, pembinaan Sains Sosial mandirilah yang saya anggap sebagai agenda grandiose antara sekian banyak lontaran dan jentikan idea sepanjang siri kuliah.

Pelbagai tuntutan telah dikemukakan dalam siri kuliah Naratif Malaysia, bagi memenuhi agenda Sains Sosial Malaysia. Antara semua itu, pembinaan Sains Sosial mandirilah yang saya anggap sebagai agenda grandiose antara sekian banyak lontaran dan jentikan idea sepanjang siri kuliah. Maka, dalam ruangan kecil ini, saya ingin membuat cubaan untuk mengemukakan komentar berkenaan Sains Sosial mandiri, khusus daripada sudut kajian gerakan hak wanita Malaysia yang saya akui masih terlalu baru diselami.

Sejarah Gerakan Hak Wanita Perlu Terus Ditulis (Semula)

Kumari Jayawardena menamatkan Feminism and Nationalism in the Third World (1986) dengan kesimpulan yang ironi tentang sejarah gerakan wanita Asia atau wanita di Dunia Ketiga iaitu, “…This is the history that remains to be written…”. Hal ini kerana dominasi lelaki ke atas wanita masih berlaku, berdasarkan kesatuan pelbagai faktor seperti kelas, ras, kumpulan etnik dan komuniti yang tidak memihak kepada wanita. Ia bersilangan dan bertindan, sehingga penindasan itu tidak mungkin dapat difahami dengan mengabaikan mana-mana faktor. Jaringan subordinasi dan penindasan ini malahan menjadi lebih kukuh menerusi struktur sosial. Namun demikian, subordinasi dan penindasan terhadap wanita bukan satu-satunya titik tumpu feminisme—meskipun itulah kebimbangannya—bahkan peningkatan taraf wanita yang dicapai atas faktor-faktor yang disebutkan tadi juga perlu dilihat sebagai titik tumpu feminisme.

Penulisan sejarah feminisme bukan sahaja diteruskan untuk ‘menyempurnakan’ cerita, tetapi perlu ditulis semula. Cerita itu perlu disempurnakan dengan sumber baharu yang memberikan kedalaman pandangan seperti sumber daripada memoir, biografi dan autobiografi wanita. Ia masih boleh dicungkil daripada rekod di arkib seperti fail rasmi, laporan mesyuarat, surat, dan diari peribadi. Dalam hal ini, perlu disedari, hanya ‘suara wanita’ segolongan sahaja yang akan kedengaran iaitu wanita elit dan berpendidikan, wanita dalam parti politik dan pertubuhan, manakala wanita yang selebihnya, daripada strata sosial bawahan masyarakat menjadi golongan subaltern yang ‘dibisukan’ dalam sejarah wanita—bukan wanita sahaja, malahan lelaki golongan rakyat dan hamba dalam stratifikasi sosial sebenarnya sama-sama ‘dibisukan’.

Sejarah Feminisme Konvensional dan Keperluan Penulisan Semula

Metode konvensional penulisan sejarah feminisme ialah gelombang pertama (akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20); gelombang kedua (1960-an-1980-an); dan gelombang ketiga (1990-an-seterusnya). Setiap gelombang mempunyai konteks sejarah dan agendanya. Gelombang pertama feminisme mengisahkan perjuangan tuntutan hak pengundian wanita seperti aktivis Elizabeth Cady Stanton (1815-1902) di Amerika Syarikat, dan Emmeline Pankhurst (1858-1928) di United Kingdom. Gelombang kedua feminisme menumpukan kisah perjuangan hak wanita pada era gerakan sosial baharu yang menuntut pembebasan wanita melalui Women’s Liberation yang bersolidariti dengan aktivisme anti perang dan pelajar, serta pembentukan National Organization for Women (NOW) oleh penulis The Feminine Mystique (1963), Betty Friedan (1921-2006), di Amerika Syarikat. Sekitar awal dekad 1990-an, muncul gelombang ketiga feminisme yang dipengaruhi pascamodenis untuk meruntuhkan naratif agung, khususnya kenyataan sejagat wanita yang secara tidak langsung meminggirkan perbezaan pengalaman wanita Dunia Ketiga. Dengan trajektori gelombang feminisme, persoalan perbezaan dan keunikan pengalaman golongan wanita bukan Barat dikesampingkan. Sejarah feminisme sedemikian jelas bersifat condong ke arah pengalaman Barat, justeru memerlukan ia ‘ditulis semula’.

Di Malaysia penulisan sejarah feminisme atau gerakan hak wanita diusahakan dengan merangka fasa-fasa sejarahnya, dengan penerapan unsur teoritis. Terdapat empat fasa yang dituliskan oleh para akademik dan akademik-aktivis di Malaysia, berdasarkan perspektif Cecilia Ng, Maznah Mohamad dan Tan Beng Hui dalam Feminism and the Women’s Movement in Malaysia (2006), dan Nik Safiah Karim bersama Rokiah Talib dalam Pergerakan Wanita dalam Memperjuangkan Hak (2016). Umumnya, fasa-fasa tersebut merangkumi sela masa (i) pra merdeka, (ii) 1957-1960-an, (iii) 1970-an-1980-an, dan (iv) 1990-an hingga awal abad ke-21. Terdapat pembezaan dari satu tahap ke satu tahap selanjutnya. Sehubungan itu, penulisan sejarah feminisme di Malaysia setakat ini, tampak sesuai diusahakan tahap demi tahap, dan dicirikan dengan terapan teoritis, yang akhirnya membentuk naratif sejarah feminisme di Malaysia.

Feminisme di Malaysia dalam Kerangka Sains Sosial Mandiri

Dalam siri kuliah Sains Sosial Malaysia Abad ke-21: Meneruskan Tradisi Intelektual, Menanggapi Transformasi Masyarakat anjuran Naratif Malaysia, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong memberikan penekanan untuk membina Sains Sosial mandiri. Keperluan Sains Sosial mandiri ini antara lain agendanya adalah untuk membina karakter Sains Sosial Malaysia yang tersendiri—pada masa sama, tidak menolak secara total teori-teori dari luar, khususnya Barat, tetapi menyesuaikannya setakat perlu dengan melakukan kritikan terhadap asas yang boleh merosakkan karakter Sains Sosial tempatan. Sudah tentu penulisan feminisme di Malaysia yang dibicarakan dalam bahagian di atas mempunyai kaitan dengan pembinaan Sains Sosial yang mandiri.

Persoalannya, bagaimanakah feminisme di Malaysia harus ditulis bagi memenuhi agenda besar Sains Sosial mandiri? Apakah posisi yang perlu diambil dalam penulisan tersebut?

Di sini, saya ingin melontarkan pandangan tentang posisi dan tindakan yang mungkin boleh diambil bagi menulis sejarah gerakan hak wanita atau feminisme di Malaysia. Pertama, penulisannya mestilah mengambil kira teori-teori feminisme dari luar, seperti feminisme liberal, feminisme Marxist dan feminisme radikal, kerana ia perlu bertaut dengan korpus ilmu sedia ada, sekali gus melakukan kritikan terhadap teori-teori tersebut. Kedua, teori feminisme yang dibangunkan dalam konteks hampir serupa dengan Malaysia mestilah diutamakan, justeru meletakkan aliran feminisme Dunia Ketiga. Maka, karya Kumari Jayawardena tersebut menunjukkan kerelevanannya. Ketiga, perlunya garis dasar pengetahuan mengenai feminisme; baik daripada ilmu kolonial, karya sastera, bahkan dokumen rasmi kerajaan, dokumen pertubuhan, memoir, biografi, travelog, teks ucapan, majalah dan laporan akhbar.

Akhirnya, karya bertemakan feminisme dan gerakan hak wanita adalah antara yang terendah bilangannya dalam himpunan kajian wanita di Malaysia. Selain penolakan penggunaan istilah ‘feminisme’ itu sendiri oleh para akademia kerana konotasi buruknya, ketiadaan bukti empirikal yang kukuh, pengabaian penggunaan teori atau perbincangan teoritis menjadi punca mengapa kajian feminisme terhad daripada segi kuantiti. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan bidang Sains Sosial Malaysia yang dikatakan terlalu kurang perbincangan pada paras teori. Maka, ia memerlukan usaha berterusan, khususnya dalam kalangan penyelidik muda, dengan bimbingan para penyelidik generasi terdahulu supaya penulisan feminisme di Malaysia dapat direalisasikan menerusi agenda besar Sains Sosial tempatan yang mandiri sifatnya.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                            

Menulis Dunia

Masa sentiasa mengejar dan menjauhi kita, tetapi tidak pernah meninggalkan kita, seperti kata Pramoedya bahwa “orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian.”

“The old is dying and the new cannot be born” – Gramsci, Prison Notebooks

Sedang kita bergerak ke hadapan, jalan tidak pernahnya jelas. Adakala kita bertanyakan ke mana hala yang ingin dituju, dan bagaimana hendak ke sana? Dalam kesedaran kita sebagai manusia atau penulis yang peduli dan tersentuh dengan perkembangan² dan isu² yang berlaku di Malaysia dan serata dunia datangnya ingatan kita kepada kata² Usman Awang bahawa “maka itulah perlu para penulis memihak, kepada golongan serta gerakan yang ingin mengukuhkan, nilai² kemanusiaan, menegakkkan perdamaian yang sejati, dan memperjuangkan pembebasan serta keadilan, bagi bangsa dan negara tertindas.”

Kadangkalanya memikirkan dan membaca kembali tulisan Usman terasa seperti begitu optimis, dan romantis, idealisme dan perasaannya. Kalau Usman hidup pada hari ini, mungkin kata²nya tidak akan begitu menangkap dan akan berasa antik. Tetapi ada mereka yang lain sudah menduga dan menggambarkan sifat mengambil mudah dan perosak kita dalam hubungan antara manusia dan juga manusia dan alam. Erich Fromm, pernah menjelaskan beberapa sifat negatif dan destruktif yang terpendam dan tertancap dalam psiki dan kesedaran sosial manusia. Karya Fromm The Anatomy of Human Destructiveness walaupun ditulis dan telah diterbitkan pada 1973, nampak tidak malap daripada segi relevansi dan pengajarannya.

Gelap dan terang. Ringan dan berat. Hitam dan putih. Kategori mana yang gambarkan mana nilai yang baik dan menyenangkan tidak begitu jelas. Itu antara tuntutan dan kebingungan kehidupan kita sekarang.

Meskipun begitu bahasa dan rasa hati selalunya membantu dan mengangkat kita. Datangnya memori luahan Forough Farrokhzad,

Agar beh khaneh-ye man amadi,
Baraye man ei mehraban cheragh biyar,
Va yek daricheh keh az an,
Beh ezdeham-e kucheh-ye khosh bakht bengaram

“Bawa saya satu lentera dan tingkap.” Itu perkongsian Farrokhzad. Dengan miliknya tingkap membantu kita melihat dan menilai manusia dan dunia. Betapa laju dan cerewetnya manusia pada hari ini, kita sekadar mengabaikan dan merosakkkan tingkap2 yang membawa cahaya dan perspektif kepada kehidupan.

Kerana itu, barangkali, pentingnya memori, dan idea, dan keyakinan dan tindakan. Walaupun hanya tulisan dan kata² sekalipun. Seperti yang dinyatakan Hannah Arendt “speaking is also a form of action.”

Tetapi yang lebih sentral dan fundamental lagi adalah menulis. Tulisan adalah cantuman etika-moral, idea dan memori untuk membentuk naratif. Dengan hanya menulis, akan kita memiliki satu tempat dan kehadiran dalam ruang awam dan masyarakat. Dalam proses ini juga, tulisan adalah untuk mencipta dan merebut ruang.

Banyak daripada kebekuan dan kemerosotan masyarakat kita adalah kerana kelemahan dalam menulis dan mengisi ruang refleksi dalam masyarakat maupun individu.

Kemungkinan itu, kita selalu membaca kembali dan merujuk kepada penulis² masa dulu apabila menghadapi suatu fenomena sosial atau permasalahan atau tentangan. Melihat kembali dan sedar akan wujud geneologi ini penting kerana kita tidak pernah bergerak dan berfikir dalam kekosongan. Generasi yang ada membina mengikut generasi sebelumnya, sama seperti generasi dulu yang telahpun kembangkan atas tradisi generasi yang lagi sebelumnya.

Mengikut proses dan perkembangan ini, maka menulis bukan sahaja melibatkan ruang, tetapi penyatuan dan pemampatan masa. Dalam bergerak ke depan, kita tidak sahaja membawa idea dan membentuk ruang, tetapi membawa bersama kita masa dan kesedaran masa lalu.

Kesemua ini penting; tingkap dan naratif; tuang dan masa; tindakan dan penulisan; kesemuanya.

Mungkin apabila sedar akan unsur² ini, boleh kita memahami dan memaknai kata² dan idealisme Usman Awang. Kita menulis atas tujuan. Untuk perkembangan dan reformasi masyarakat. Untuk membela dan memberi kehadiran kepada mereka yang disampingkan dan dikecilkan. Bagaimanapun susahnya jalan ke depan, tetap ada tingkap dan idealisme dan optimisme yang akan menyinari dan menemankan.

Dan ini paling mendesak keperluannya untuk golongan muda dan penulis. Mereka memegang posisi barisan depan setiap masyarakat dan gerakan dan perubahan, kerana memiliki konsepsi masa dan visi yang berbeza dan sentiasa terbuka ke hadapan.

Yang harus mereka berhati² adalah terhadap golongan tua dan tradisional yang tidak ingin perubahan dan gangguan amalan² yang sudah lama wujud, walaupun membawa masalah kepada masyarakat. Kerana itu, dalam setiap institusi dan organisasi dan gerakan masyarakat, tidak ada tempatnya untuk mereka yang sudah tua dan menghalang perubahan. Yang menjadi rintangan dan penghalang kepada idea² dan naratif² dan masa baru.

Penulis oleh itu, perlu menulis ke atas, dan ke depan. Yang satu untuk mempersoalkan dan mengkritik idea² dan amalan² lama. Yang satu lagi, untuk membuka arah dan jarak dan jalan ke depan. Di landasan dan alur setiap gerakan dan perubahan sosial masyarakat, pasti adanya arus penulis. Masa sentiasa mengejar dan menjauhi kita, tetapi tidak pernah meninggalkan kita, seperti kata Pramoedya bahwa “orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian.”

Memang, menulis adalah kerja keabadian.

Memikirkan Semula Netflix

Kita sebenarnya kekurangan kapasiti untuk memperhalusi respon yang lebih signifikan dan mejadi pembaca visual atau medium yang baik. Mungkin juga kalau sekiranya arwah-arwah daripada Frankfurt School bangkit dari kuburan, mungkin mereka akan mengelengkan kepada sambil mencekak pinggang.

Beberapa tahun lalu, seorang lelaki dalam lidah suara yang berbunyi loghat Sabah, yang juga pemandu bas KLIA-KL Sentral menegur saya. Ketika itu, dalam hening Subuh, saya baru hendak menaiki bas yang dipandunya. Di hadapan saya, seorang perempuan muda berhijab dengan rupa paras seorang wanita Eropah, sedang lesu dan dingin. Tiketnya ada pada saya dan dibiarkan dia kehadapan mendahului. Kami terbang dari Haneda malam sebelumnya.

“Kau mengurat macam mana ni bah?”

Saya tersengih di depan pintu bas. Cuma ada kurang 10 saat untuk memberi respon atau sekadar berlalu dan sengih lagi.

“English, bang. Netflix English”. Lelaki itu berkerut, menyangkakan saya mempermainkan dia.

Saya bukanlah penutur atau penulis dalam bahasa Inggeris, seringkali cuma terpinga-pinga kekampungan setiap kali untuk berbalas komunikasi. Cuma kadangkala lebih suka (ter)fikir dalam bahasa Inggeris. Dan itu buat saya gagap dalam artikulasi bahasa utama saya, bahasa Melayu—mungkin ini limbo sebuah epistemologi berfikir yang memencar. Atau juga, mungkin saya adalah salah seorang produk kegagalan projek PPSMI Mahathir Mohammad. Tapi itu bukan tujuan tulisan ini.

Sepertinya bukanlah sesuatu yang baharu, belajar bahasa Inggeris daripada lagu-lagu popular kumpulan rock Inggeris serta menonton filem Inggeris telah dilakukan sejak dahulu lagi malah cliché di negara membangun dan dunia ketiga. Tapi ini “bahasa” Netflix atau terjemahan rangkai kata daripada jaringan Internet (Net) dan filem (flicks), sebuah kemajuan budaya visual kelajuan capaian internet. Secara umumnya juga salah satu antara banyak pelantar penstriman atas talian buat mereka yang telah melepasi satu tahap baru literasi bahasa, internet, visual dan citarasa. Modusnya adalah sebagai pustaka filem-filem dan siri televisyen yang telah berdekad-dekad lalu kini boleh diakses dengan langganan bulanan.

Persoalan (Modal) Budaya

Modal budaya adalah satu konsep yang dibangunkan oleh Piere Bourdieu, seorang ahli sosiologi berkebangsaan Perancis. Dalam perkara ini, modal yang terbentuk adalah hasil akumulasi daripada kebudayaan dan dijadikan batu loncatan untuk kemajuan hidup secara sosial dan ekonomi. Modal budaya ini boleh terdiri daripada berbagai bentuk kemahiran, bahasa, citarasa, tingkah, pemilikan alat budaya, dan taraf pendidikan.

Maka, dalam pengalaman Malaysia, pembentukkan budaya yang mana satu boleh dijadikan modal? Ini memerlukan kita memikirkan titik berangkat bingkai kebudayaan Malaysia yakni budaya nasional yang ditakrif pemerintah dan budaya yang didefinisikan setiap hari. Budaya takrifan pemerintah cenderung kearah tradisional kewatanan yang sering diterjemahkan dalam artikulasi kemelayuan dan Islam manakala dalam bingkai multikulturisme ialah kesemua budaya asal etnik dan kaum bebas diraikan sebagai salah satu ramuan kepada identiti nasional. Budaya-budaya takrifan pemerintah ini sifatnya berfungsi di dalam waktu dan ruang kerana terdapat keterkaitan identiti yang objektif yang membolehkan seseorang itu memanfaatkan kedudukannya dalam masyarakat—budaya bumiputera dan bukan bumiputera. Ini tidak sama seperti budaya keseharian yang sepertinya tidak keterlaluan untuk ditafsirkan sebagai alam kedua. Dalam pembentukan budaya keseharian, budaya adalah sesuatu yang dikutip, dituntun, dan ditafsirkan dalam dinamika pelbagai struktur kelas, agama, organisasi, etnisiti, seksualiti, media dan berbagai lagi untuk sampai ke destinasi tujuan berbudaya. Tapi dimana kedudukan Netflix dalam persoalan ini?

Dekad kebelakangan ini, ranah budaya popular semakin signifikan demikian gelombang kuasa teknologi internet dan komunikasi terbentuk sarat dengan makna, bahasa dan imej visual. Ini tidak terkecuali dalam pembentukan budaya popular global, Netflix ditanggapi sebagai barang-barang budaya (cultural goods) yang menjadi sebahagian daripada alam kedua. Hasilnya adalah sebuah kesedaran global, konsumsi dan kesedaran nilai sejagat. Sesuatu yang normatif apabila masyarakat mulai memberi perhatian bagi menonton bersiri-siri filem setelah pulang dari pekerjaan atau mempertontonkan animasi kepada anak kecil yang sedang menyusu botol; budaya Netflix and chill.

Memikirkan Netflix

Netflix sebagai budaya popular kini memerlukan modal budaya melalui satu penilaian semula. Ia bukan lagi sebuah transformasi daripada budaya rendah kepada budaya tinggi. Bukan juga seperti siaran televisyen tradisional, satelit, DVD atau muat turun filem haram. Tetapi kepada satu ruang atas talian sekaligus satu pelantar citarasa yang hierakikal. Ada algoritma yang menyusun cadangan penontonan dan citarasa sehingga adakalanya dilentur oleh sistem. Garisan sebuah tontonan filem yang secara tidak langsung diaturkan. Di sini, impak besar ketika ia mulai dilanggan menjadi sebahagian daripada modal budaya adalah ia memberikan satu gambaran visual, ideal dan tema kemodenan. Membentuk pembaharuan makna, citarasa, kod dan “bahasa”. “Bahasa” dengan kata yang lebih literal adalah bagaimana diri, untuk berperanan tidak kekok ketika menghadap sebuah tuntutan interaksi global. 

Netflix adalah jalan pintas. Mengecap minda kosmopolitan dalam keterbatasan kapasiti diri– sosial dan ekonomi; malah kemungkinan untuk melampaui dan melangkaui rentas-kelas dan rentas-budaya. Netflix jelas adalah sebuah kenderaan yang dipacu untuk semua sampai ke sebuah identiti diri yang merentang lebih daripada takrifan pemerintah dan takrifan keseharian lalu menjadi persoalan saling-tanding kepada keaslian watanan.  

Kandungan Netflix bukan sahaja sebuah pustaka bagi filem-filem lama, tetapi pelantar tontonan yang turut menjadi penerbit dan penjana kepada bahan kreatif mandiri (Netflix Original) seperti dokumentari dan filem-filem baru. Dalam hal ini, kandungan hiburannya yang bersifat idea progressif, kekinian budaya visual, falsafah new age, retro-isme dan literasi seksualiti seringkali memikat dan pada masa yang sama turut mendapat tentangan. Tetapi yang mengujakan adalah eksesais dekonstruktivti visual di mana penonton dijamu dengan sebuah naratif tersirat tetapi yang tersurat. Kefahaman literal terhadap paradoks ini kelihatannya seperti membuatkan penonton berasa bijak seolah-olah telah memahami kebenaran atau kebatilan, baik dan jahat, apa yang global dan tidak, satu pencerahan atau bukan. Dalam hal ini, Menteri agama Malaysia sendiri pernah menyarankan untuk menonton salah satu siri Netflix bagai memahami Trolley problem dalam debat antara aliran falsafah utilitarian dan etika deontologikal.

Yang bertentang dan Yang Seakan Sama

Dengan 183 juta langganan global, Netflix adalah sebuah kuasa baru digital, satu juggernaut. Menarik untuk dilihat adalah bagaimana wujudnya arus tentangan terhadap fungsi medium ini sebagai hiburan yang ditanggapi sebagai sumber kebenaran barat. Ini menyebabkan wujud pula satu pelantar baru hiburan Islamik yang patuh syariah, Nurflix sebagai usaha pendakwahan dan lawan kepada kebebasan visual oleh Netflix. Satu lagi tapak produksi budaya yang akan menjadi modal kemudiannya kepada niche yang lebih spesifik iaitu masyarakat Islam moden di Malaysia.

Namun jelas, Nurflix atau Netflix keduanya cuba berangkat daripada estetika visual dan artikulasi idea. Kedua-duanya memberikan naratif tujuan kepada konsumer dan menjadi sentimetaliti baharu. Visual, “bahasa” dan ideologi yang menatar di belakangnya. Islamisasi lawan Amerikanisasi.

Kita sebenarnya kekurangan kapasiti untuk memperhalusi respon yang lebih signifikan dan mejadi pembaca visual atau medium yang baik. Mungkin juga kalau sekiranya arwah-arwah daripada Frankfurt School bangkit dari kuburan, mungkin mereka akan mengelengkan kepada sambil mencekak pinggang, kesejagatan yang dibentuk di bawah industri budaya, hanya melicinkan lagi kerja kapitalisme bergerak kata mereka. Walaupun demikian, ini semua memang menarik dan penting untuk untuk kita fikirkan semula.

Menarik kerana ianya memberi naunsa bacaan sosial baru; penting pula kerananya kita memang hidup dalam alam sosial tersebut.

Rezeki Halal dan Swasta Kegagalan: Meritokrasi dan Logik Neoliberal dalam SPM

Bersedia ke kita untuk membahaskan sama ada kita harus mansuhkan SPM? Kedengaran suara yang mengatakan, “Mana boleh mansuhkan SPM? Jika mansuhkan SPM, macam mana kita nak tentukan kemasukan universiti? Pengagihan biasiswa macam mana?”

Berikut adalah tiga cerita tentang apa yang berlaku pada tahun 2009 ketika Jack dan Aiman mengambil peperiksaan SPM di sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang.

Cerita 1: Setiap hari Jack mengulang kaji. Sebab Jack bekerja keras, Jack mendapat keputusan yang cemerlang dan dapat biasiswa ditaja belajar di luar negara.

Cerita 2: Aiman adalah rakan sekelas Jack. Prestasi kedua-duanya lebih kurang sama di sekolah tapi ketika SPM, Jack mendapat lebih banyak A dari Aiman. Perbezaan bilangan A itu tak banyak tapi memadai untuk Jack dapat biasiswa manakala Aiman yang tak dapat apa-apa kena ambil pinjaman PTPTN untuk membiayai pendidikan tingginya.

Cerita 3: Jason adalah kawan Jack dari sekolah rendah. Dia selalu gagal dalam peperiksaan sekolah. Sebab dia selalu dapat markah yang rendah, dia kurang motivasi untuk belajar (”demotivated”). Bukan sahaja cikgunya menganggap dia tidak pandai, dia sendiri pun rasa dirinya tidak pandai (”internalize”). Corak tingkah laku ini berterusan hinggalah dia berhenti sekolah. Buat apa nak tunggu ambil SPM apabila dirinya dan cikgu-cikgunya percaya 99% dia akan gagal? Jadi pada hari SPM, dia tak ada dalam dewan peperiksaan.

Pada suatu hari tujuh tahun selepas SPM, Jack sedang bekerja dengan think-tank dengan gaji melebihi penengah gaji rakyat Malaysia dan tidak ada sebarang hutang pendidikan. Aiman ada hutang PTPTN sebanyak RM 25,000. Maksudnya, bukan sahaja gaji dia lebih rendah dari Jack, Aiman kena tolak lagi sebahagian dari gaji bulanannya untuk bayar hutang pendidikan selama 15 tahun. Jason pula? Kehidupan dia sebagai seorang yang ‘tidak berpelajaran’ terlalu sukar dan perit. Pada hari itu, 13 Julai 2016, Jason terjun dari tingkat 15 bangunan flatnya. (kisah benar)

Neoliberalisme, meritokrasi, dan SPM

Apa kaitan neoliberalisme[1] dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)? Terlebih dahulu saya jelaskan bahawa aspek neoliberal yang ditekankan dalam esei ini adalah dari segi moral dan logik[2]. Baik, salah satu kaitannya ialah naratif meritokrasi. Pelajar-pelajar diukur “kepandaian” mereka dengan soalan peperiksaan yang sama. Disebabkan semua orang menghadapi ujian yang sama, dalam masa dan tempat yang sama, ia dianggap sebagai satu mekanisme yang “objektif” malah adil oleh pembuat dasar. Jika anda gagal dalam peperiksaan, itu adalah kegagalan anda sebagai seorang individu kerana mekanisme itu tidak mendiskriminasikan sesiapa.

Cara pemikiran ini mengandungi dua andaian. Andaian pertama adalah beban tanggungjawab terletak sepenuhnya pada individu. Maka individu-individu bertanggungjawab atas nasib mereka sendiri, termasuk sebarang kesenangan dan kesukaran dalam kehidupan. Dalam kalangan sesetengah ahli akademik yang mengkaji neoliberalisme sebagai satu proses, ini dilabel sebagai “responsibility-shift” yakni satu proses meng-individu-kan tanggungjawab dari negara kepada individu, dan dari masyarakat kepada keluarga.[3] Kita boleh menyakinkan diri bahawa tanggungjawab terletak pada individu dan benda itu adil sekiranya kita percaya pada andaian kedua: iaitu wujudnya peluang sama rata (equality of opportunity) dimana semua orang mempunyai peluang yang sama untuk berjaya ataupun gagal. Mengambilkira dua andaian ini, kita boleh dapati bahawa logik neoliberal dan naratif meritokrasi mempunyai hubungan yang intim.[4]

Seorang ahli sosiologi, Jo Littler, mengatakan naratif meritokrasi mengajar masyarakat supaya memuji sesuatu kejayaan atau menyalahkan  sesuatu kegagalan berdasarkan faktor individu berbanding faktor struktur.[5] Dalam erti kata yang mudah, seseorang yang berjaya berhak dapat apa yang dia miliki sebab dia telah memperolehnya dengan daya dan titik peluh sendiri (”he earned it”). Orang-orang yang gagal adalah kerana mereka tidak bekerja keras (”siapa suruh malas? Padan muka!”). Dalam bukunya Against Meritocracy, Littler juga menjelaskan bahawa meritokrasi berfungsi untuk menghalalkan (”legitimize”) kapitalisme neoliberal.

Satu analogi yang sesuai dengan Hari Raya Korban: Jika kita boleh sembelih SPM dan menguji darahnya di makmal, akan didapati DNA-nya adalah meritokrasi. Meritokrasi adalah satu mekanisme pengisihan (“sorting mechanism“). Dalam mana-mana pengisihan, akan dihasilkan golongan yang berada di kedudukan atas (yang kita beri ganjaran seperti biasiswa dan kasih sayang cikgu) dan golongan yang berada di bawah (yang kita hukum sebagai gagal, tidak layak dapat bantuan, tanggung sendiri atau buat pinjaman atas risiko sendiri). Meritokrasi menghasilkan ketaksamaan. Ketaksamaan itu dijustifikasi atas sebab kelayakan. Maksudnya: mereka berhak dapat ganjaran kerana pengisihan itu menentukan mereka lebih ‘pandai’ (atau golongan bawah tidak layak kerana mereka tidak ‘pandai’). Persoalannya, adakah ia betul-betul mengukur “kepandaian” para pelajar?

Balik kepada cerita tadi. Antara sebab Jack mendapat keputusan cemerlang adalah kerana dia telah belajar (atau diajar) teknik menjawab soalan. Bila Jack mengulang kaji, dia bukan sahaja menghafal maklumat atau mendalami ilmu. Dia juga membiasakan diri untuk jawab soalan peperiksaan dengan cara tertentu. Bila ditanya begini, jawab begini. Contohnya, mulakan karangan dengan “dewasa ini.” Masukkan dua peribahasa di dalam setiap karangan. Tambah empat markah. Soalan matematik, kalau ditanya 2 + 2 (2 x 5), tak boleh letak jawapan terus. Hanya dapat separuh markah. Kena tunjuk step-by-step, baru dapat markah penuh.

Jack sedar bahawa SPM menguji kemahiran menjawab kertas peperiksaan secara bertulis. Jack yang tidak tahu apa-apa tentang sejarah selain apa yang dalam buku teks boleh skor markah yang lebih tinggi daripada Aiman yang boleh meluahkan fikirannya secara lisan tentang Kesultanan Melayu Melaka selama dua jam tetapi tidak mempunyai kemahiran menulis esei. SPM subjek sejarah tidak mengukur siapa lebih pandai dan minat sejarah. Ia cuma mengukur siapa pandai jawab kertas soalan Sejarah.

Apabila kita terima bahawa SPM tidak mengukur kepandaian pelajar, mungkin kita akan menukar pandangan bahawa mereka yang berjaya dalam SPM dan terima segala ganjaran tidak se-berhak seperti yang mereka fikirkan. Dan mereka yang gagal, bukan gagal kerana mereka bodoh dan kurang disiplin. Pernah ditulis dalam majalah New Yorker bahawa orang-orang yang berjaya dalam sistem meritokrasi “cenderung percaya bahawa kejayaan mereka disebabkan sepenuhnya oleh otak dan kerja keras” dan bukannya kerana nasib dan faktor struktur dan persekitaran seperti keluarga.[6] Misalnya, Jack mungkin fikir dia berhak dan pandai kerana dapat banyak A, tetapi dia tak fikir bahawa keluarganya yang harmoni membolehkan dia belajar dengan aman. Jason yang selalu gagal dalam peperiksaan pula mendapat keluarga yang ibubapanya selalu bergaduh dalam rumah.

SPM sebagai satu mekanisme pengisihan mempunyai implikasi moral, bukan sahaja material. Seorang bekas pegawai kementerian pendidikan Singapura pernah berkongsi demikian,

“Meritokrasi adalah mekanisme pengisihan, tetapi ia bukan sekadar mekanisme penyortiran. Ini adalah naratif etika – sama ada anda menang atau kalah, anda mendapat apa yang anda layak. Dan kerana anda mendapat apa yang anda layak, pihak yang kalah tidak mempunyai hak untuk menuntut ganjaran DAN (implikasi senyap) pemenang tidak mempunyai tanggungjawab untuk berkongsi apa-apa ganjaran mereka dengan yang kalah. Itulah masalah sebenarnya dengan mengatakan “sesiapa sahaja boleh berjaya selagi mereka bekerja cukup keras”, kerana sebilangan besar dari anda yang “tidak berjaya”, SEBAB mengapa anda tidak berjaya adalah anda tidak cukup bekerja keras (dan bukannya sebab kekurangan [disadvantage] yang sistematik). Ini salah awak. Dan kerana itu adalah kesalahan anda, anda tidak boleh menyalahkan orang lain kerana merendahkan anda. (Satu lagi implikasi senyap) Sekiranya saya berjaya dan seorang pemenang, saya tidak salah kerana merendahkan mereka yang kurang berjaya daripada saya.”[7]

SPM sebagai satu mekanisme telah memberi Jack hasil yang lumayan dalam bentuk biasiswa, menutup beberapa pintu untuk Aiman, dan mematikan minat dan keyakinan Jason terhadap pendidikan dan dirinya sendiri.

Sudah tiba masanya kita mengaku bahawa SPM telah merosakkan masa depan banyak pelajar. Jika kita menilai dari segi statistik, bilangan orang yang gagal dalam SPM lebih ramai dari bilangan orang yang mendapat straight A.

Pada tahun 2019, hampir 400,000 pelajar menduduki SPM. Bilangan pelajar yang mendapat semua A hanya seramai 8,876 pelajar (2.28%). Seramai 4,321 pelajar (1.11%) gagal semua mata pelajaran. Seramai 126,947 pelajar (32.59%) gagal sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

Sumber: KPM 2019[8]

Dari gambar rajah ini, kita dapat lihat bahawa majoriti 70% daripada pelajar gagal sekurang-kurangnya satu subjek atau hanya sekadar lulus. Jika mekanisme SPM ini menghukum begitu ramai pelajar sebagai “tidak pandai”, mampukah kita mempertahankan naratif meritokrasi dan logik neoliberal bahawa tanggungjawab terletak pada individu? Ataupun kegagalan begitu ramai individu menunjukkan bahawa terdapat sesuatu yang tak betul secara sistemik?

Patut tak kejayaan sebilangan kecil pelajar yang mendapat semua A menghalalkan naratif ini? Setiap tahun, wacana kita dikaburi liputan akhbar yang tertumpu pada bilangan minoriti (kurang dari 3%) yang mendapat semua A. Dipaparkan muka-muka senyum pada hari mendapat keputusan SPM, seolah-olah slip keputusan SPM itu pak cik ais krim Paddle Pop.

Untuk sebilangan besar pelajar, SPM adalah mekanisme yang mentakrifkan mereka sebagai manusia yang gagal. Bukan Papple Pop, tapi pengaruh toksik yang memaksa mereka untuk terima dan “internalize” kegagalan itu sebagai akibat tanggungjawab individu.

Bersedia ke kita untuk membahaskan sama ada kita harus mansuhkan SPM? Kedengaran suara yang mengatakan, “Mana boleh mansuhkan SPM? Jika mansuhkan SPM, macam mana kita nak tentukan kemasukan universiti? Pengagihan biasiswa macam mana?”

Bagus bertanya demikian. Kerana soalan-soalan seperti inilah yang terus menyokong realiti bahawa SPM tidak mengukur kepandaian pelajar. Ia hanya satu mekanisme pengisihan untuk objektif lain. Dekan sosiologi di Nanyang Technology University, Professor Teo You Yenn, ada menulis bahawa sekolah lebih menghargai peranannya dalam mengisih berbanding peranannya dalam mengajar. Saya cenderung untuk percaya inilah yang berlaku sekarang.

Seperti mana-mana “standardized testing” (SAT, GRE, dsb), SPM berperanan sebagai mekanisme pengisihan untuk menentukan pihak yang menang dan pihak yang kalah. SPM menswastakan tanggungjawab pada individu. Yang menang halal rezekinya kerana dia berhak menikmati ganjaran usahanya, yang kalah berhak mendapat nasib yang menimpa mereka kerana itulah, siapa suruh tak belajar bersungguh-sungguh dulu?


[1] Para sarjana mempunyai beberapa pandangan yang berlainan tentang neoliberalisme. Ada yang berpendapat neoliberalisme adalah cara pandang dunia atau sistem ideologi yang mengangkat logik dan nilai moral berdasarkan pasaran, dan ada pula yang berkata ia satu projek politik yang diajukan kumpulan kapitalis korporat. Untuk tujuan esei ini, saya hanya menyentuh sedikit aspek daripada neoliberalisme yang ditekan oleh beberapa sarjana, iaitu “competitive individualism” dan “individualization of responsibility.”

[2] Ini dipengaruhi oleh Ong Ai Hwa yang mentafsirkan neoliberalisme sebagai satu logik pentadbiran yang lunak, dan Teo You Yenn yang merangka konsep “neoliberal morality” iaitu nilai-nilai moral yang dipandukan mengikut logik, perhitungan ataupun pemikiran neoliberalisme.

[3] https://www.tandfonline.com/doi/full/10.1080/1600910X.2017.1331858

[4] Untuk penjelasan lanjut mengenai logik neoliberal, rujuk kepada (https://www.isa-sociology.org/uploads/files/EBul-Teo-Jul2012.pdf)

[5] https://discoversociety.org/2018/10/02/meritocracy-as-neoliberal-mantra/

[6] https://www.newyorker.com/magazine/2019/09/30/is-meritocracy-making-everyone-miserable

[7] https://www.facebook.com/notes/yann-wong/were-not-free-to-define-elitism-as-we-please/10155542204141302/)

[8] https://www.moe.gov.my/muat-turun/laporan-dan-statistik/lp/3324-laporan-analisis-keputusan-spm-2019/file

Melayu, Malaysia dan Kerumitannya: Wawancara bersama Shamsul Amri Baharuddin

Memetik semula Ismail Hussein, Melayu di sini merupakan sebuah budaya yang sempurna. Dari ungkapan ini sahaja, kita sudah ada asas yang baik untuk menjadikan Melayu dan Malaysia sebagai bahan kandungan penyelidikan yang menarik dan dramatik.

Tokoh: Prof. Ulung Dato’ Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Institut Kajian Etnik (KITA), UKM
Pewawancara: Ramze Endut
Tarikh: 20 Mei 2020
Tempat: KITA, UKM

NM: Ramai penyelidik yang gemar berbicara apa sahaja sampai tampak kehilangan dan kepudaran bidangnya. Bagaimana dengan anda dan apa bidang penyelidikan anda?

SAB: Bidang saya ialah bidang antropologi sosial. Berdasarkan pengetahuan dalam bidang antropologi sosial ini, saya kemudian menjurus kepada apa yang saya anggap sebagai pengajian politik; dan pengajian politik ini tidak semestinya khusus merujuk kepada bidang sains politik. Maksudnya di sini, pengajian politik ada dalam pelbagai disiplin—dikira sebagai sub-disiplin. Misalnya dalam antropologi, ada sub-disiplin antropologi politik yang menggunakan metod antropologi untuk mengkaji aspek-aspek politik seperti pilihan raya, pembangunan, dll. Dari segi epistemologinya pula, saya berminat untuk mengetahui perubahan yang dialami oleh individu, keluarga, dan komuniti. Bahkan ketiga-tiga unit ini merupakan elemen asas dalam imaginasi sosiologi (sociological imagination). Maka itulah bidang saya. Secara epistemologinya, ia merupakan kajian tentang tiga komponen asas dalam masyarakat tersebut — iaitu individu, keluarga, dan komuniti. Ringkasnya, saya menggunakan metod antropologi sosial sebagai platform kajian saya. Manakala subjek empirikal kajian pula bergantung kepada minat atau apa yang hendak dikaji ketika itu.

NM: Terdapat banyak mazhab atau aliran dalam antropologi politik. Anda daripada aliran yang mana satu?

SAB: Metodologi yang saya gunakan ialah grounded theory yang kuat dipengaruhi pragmatisme. Ia menggabungkan beberapa pendekatan dalam membantu kita menanggapi satu-satu fenomena. Satu mazhab sahaja tidak cukup untuk menghuraikan apa-apa fenomena. Kita ambil contoh terdekat, al-Quran. Dalam hal ini, Al-Quran ada satu sahaja, tetapi banyak mazhab lahir daripadanya kerana wujudnya pelbagai tafsiran ke atasnya. Inilah yang saya panggil alat analisa (analytical tool). Dalam mengkaji satu-satu fenomena, saya gunakan pelbagai analytical tools yang saya rasakan sesuai dengan apa yang diperlukan oleh masyarakat. Umpamanya perbezaan antara pakar bedah. Pakar bedah otak pastinya menggunakan alat yang berbeza dengan pakar bedah tulang. Maksudnya, ada kehalusan yang diperlukan ketika mengkaji fenomena-fenomena tertentu; dan ada ketikanya pula, kehalusan itu tidak diperlukan lalu digantikan dengan kritik yang lebih kasar.

Saya berpegang pada kefahaman bahawa analytical tools ini amat penting; dan lebih penting lagi adalah pemilihan analytical tools dalam mengkaji fenomena. Perkara ini disandarkan pula kepada pemahaman saya tentang makna epistemologi, ontologi, dan metodologi. Bagi saya, kesemua disiplin adalah suatu bentuk metodologi kerana ia memperuntukkan suatu cara untuk mendekati dan memahami sebuah fenomena yang sama. Jika anda seorang ahli geografi dan mengkaji politik misalnya, anda akan menggunakan metod geografi. Begitu juga dengan antropologi di mana ia didasarkan kepada kajian lapangan. Berbeza dengan geografi yang banyak bergantung kepada survei dan statistik, antropologi disandarkan kepada pendekatan kualitatif seperti temubual bersemuka, kerja lapangan yang mengambil masa panjang di satu-satu kawasan, dsb. Kerja lapangan ini merupakan wahana bagi ahli antropologi untuk mendekati subjek kajiannya. Kerana itu kita akan duduk lama di kawasan kajian untuk mengenali dengan lebih dekat individu, keluarga, dan komuniti yang dikaji. Secara tidak langsung, ia merupakan sebuah pendekatan mikro yang sebenarnya.

NM: Dalam pengalaman sebagai penyelidik, bagaimana anda mengaplikasikan metodologi, epistemologi dan ontologi dalam kajian lapangan yang mengandung masalah empiris?

SAB: Terpenting bagi saya adalah kaedah pengajaran, sesuai dengan tugas saya sebagai seorang pensyarah. Pertama-tama sekali, pelajar saya perlu terlebih dahulu fasih dengan tiga perkara asas iaitu epistemologi, ontologi, dan metodologi atau EOM agar senang untuk saya berbicara dengan mereka dan menghuraikan banyak hal. Sebelum kita mula membaca karya-karya Durkheim, Marx, Weber, dll, kita mesti menyesuaikan diri dengan analytical tools tersebut. Oleh sebab itu saya menggunakan pragmatisme kerana dari segi pedagogi, pengajaran di Malaysia bertujuan untuk memahamkan pelajar. Dan kerana itulah karya Amin Sweeney itu penting [seperti Authors and Audience in Traditional Malay Literature dan A Full Hearing: Orality and Literacy in the Malay World]. Kajian beliau menunjukkan bahawa [tradisi] persuratan Melayu seperti esei mengambil bentuk percakapan. Maka dari buku tersebut, saya belajar bagaimana bentuk pengajaran yang sesuai untuk pelajar di Malaysia. Sudah tentu, kekangan terbesar dalam kalangan pelajar adalah masalah bahasa kerana karya-karya besar ini kebanyakannya didapati dalam bahasa Inggeris [sama ada karya asal atau terjemahan]. Justeru, perkara utama yang perlu dikuasai oleh pelajar adalah konsep-konsep yang terdapat dalam bidang yang mereka ceburi—khusus dalam bidang sains sosial.

NM: Tempoh 50 tahun berkecimpung dalam bidang antropologi politik adalah tempoh lama dan ranum. Jika dilihat kembali, apakah pergelutan awal yang anda hadapi dalam bidang ini, dan apakah pula transformasi yang telah berlaku sepanjang 50 tahun menceburi bidang ini?

SAB: Apa-apa kajian mengenai politik adalah kajian mengenai kuasa—bagaimana kuasa diagihkan, diatur, dan distrukturkan, serta bagaimana ia dilaksanakan. Tidak ada perbezaan antara antropologi politik dengan disiplin-disiplin lain yang turut mengkaji politik. Secara epistemologinya sama sahaja, tetapi yang membezakannya hanyalah aspek empirikalnya. Apatah lagi, lomuniti yang mengkaji antropologi politik ini agak kecil. Justeru itu, mamang ada keperluan untuk bersemuka. Antropologi politik ini awalnya adalah politik bersemuka kerana ia berasaskan komuniti. Namun kita maklum bahawa komuniti [bukanlah suatu yang statik] dan ia sentiasa berubah. Ambil contoh sebuah komuniti Buddha di Kuala Lumpur. Mereka ada tokong mereka sendiri, tetapi rata-rata daripada mereka tidak menetap di kampung tersebut. Ada yang tinggal di Damansara, Putrajaya, Petaling Jaya, dsb. Namun pada hari Ahad setiap minggu, mereka ini berkumpul di tokong tersebut sebagai sebuah komuniti penganut Buddha. Di sini kita dapat lihat terdapatnya perubahan dalam idea tentang komuniti (the notion of community). Begitupun, teknik yang kita gunakan kekal sama tetapi memerlukan masa yang lebih panjang bagi melakukan penyelidikan memandangkan kita tidak dapat mendampingi mereka sebagai sebuah komuniti [utuh (intact) yang menetap dalam satu kawasan yang sama] seperti dahulu. Bentuk komuniti sekarang lebih terpecah dan terpencar tetapi terkait dan dihubungkan melalui pelbagai macam wahana seperti telefon, surat, emel, media sosial, dsb.

Realitinya, komuniti sekarang sudah tidak sama dengan dahulu—tidak lagi semata-mata bersifat bersemuka. Justeru kita di bidang antropologi politik turut sedar tentang realiti perubahan komuniti ini — yang sentiasa berubah bentuknya mengikut zaman serta perubahan bentuk ekonomi. Jika dahulunya kekeluargaan (kinship) itu amat dititikberatkan dalam keluarga termasuklah keluarga besar (extended family). Tetapi, ini kelihatannya sekarang tidak begitu diutamakan lagi. Memandangkan kita mengkaji politik, maka bilakah masanya kuasa itu dikerah dan dilaksanakan (when is power being exerted and exercised)? Setidak-tidaknya dalam masyarakat Melayu, ada tiga acara penting di mana kuasa itu tertonjol iaitu majlis perkahwinan, kematian, dan kelahiran. Dalam ketiga-tiga majlis ini, biasanya kita dapat melihat siapakah yang memegang kuasa tersebut. Antara lain yang menjadi perhatian kita di bidang antropologi politik ini termasuklah sistem kekeluargaan (kinship system), agihan ekonomi dalam sistem kekeluargaan tersebut, siapa yang memegang kuasa, peranan bomoh atau pawang (orang yang berperanan mengubat), dll—peranan mereka ini dalam hubungan kekuasaan. Dalam konteks ini, setiap individu dalam masyarakat mempunyai peranan masing-masing dan ditetapkan oleh sistem hierarki yang jelas. Jadi apabila anda sudah menguasai metod melakukan kajian, cara pandang terhadap fenomena/subjek kajian, serta kaedah membuat analisa maka anda boleh mengaplikasikannya ke dalam kajian-kajian lain selain kajian terhadap komuniti atau parti politik. Saya misalnya beralih daripada kajian terhadap kampung kepada kajian politik. Perkara ini tidak sukar dilakukan jika anda sudah mahir dengan tiga asas (EOM) yang saya sebutkan tadi kerana prinsipnya sama. Anda perlu benar-benar mendalami bidang antropologi politik untuk memahami perubahan, transisi, dsb masyarakat. Apatah lagi di zaman media sosial ini.

NM: Perubahan kajian empirikal pada hari ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti modeniti dan kerumitan sosial yang ada pada hari ini. Soalannya, apakah tidak ada perubahan langsung dalam bentuk kerangka teoritikal?

SAB: Tentu sekali ada perubahan dalam kerangka teoritikal. Kembali kepada tiga unit asas tadi iaitu individu, keluarga, dan komuniti. Unit manakah yang lebih menonjol pada masa sekarang? Saya melihat berlakunya perubahan yang disebutkan sebagai atomization [yakni pandangan yang bersifat ke dalam dan tertumpu kepada individu]. Seorang individu yang duduk berseorangan di hadapan komputer tetapi tidak bersendirian kerana ia berinteraksi dengan individu lain—boleh jadi dari segenap pelusuk dunia. Namun pada asasnya, disiplin kemanusiaan tetap memerlukan anda untuk berinteraksi dengan manusia. Mungkin teori atau konsep itu berubah, tetapi tiga unit asas tadi tetap menjadi perhatian (individu, keluarga, komuniti). Pada akhirnya, ia bergantung kepada lensa teoritikal dan konsep yang anda gunakan serta subjek analisis anda.

NM: Apabila anda menyebut tentang atomization, ia mengingatkan saya tentang perbahasan mengenai kebijagatan dan kesejagatan (particular and universal). Memang, perubahan sekarang memperlihatkan bahawa dunia menjadi semakin bijagat [terpecah dan terpencar kepada unsur individualisme]. Masing-masing semain menuju kepada mazhab hidup yang tersendiri. Persoalannya, apakah nilai-nilai ‘sejagat’ yang kita sudah terima baik selama ini seperti hak asasi manusia, keadilan, kebenaran, dsb masih lagi penting kepada kita?

SAB: Perkara itu terpulang kepada komuniti itu sendiri. Saya berikan contoh di Malaysia. Ismail Hussein dahulu pernah menghujahkan bahawa masyarakat sempurna (complete society) di Malaysia ini ialah masyarakat Melayu—lengkap sistemnya daripada keluarga diraja sampailah ke hamba abdi. Lain pula halnya dengan masyarakat Cina atau India. Masyarakat sempurna mereka hanya dapat ditemui di tempat asal mereka datang. Mereka tidak mempunyai bangsawan (landed gentry) di sini. Kalau dalam sistem kabilah (clan) masyarakat Cina misalnya, keluarga utama (main family) tidak ada di sini. Mereka hanya mempunyai wang dan maju secara ekonomi. Majoritinya yang berjaya kemudian pergi ke Barat—sama ada belajar, bekerja, dsb—dan menyerap nilai-nilai Barat tersebut kerana mereka tidak mempunyai budaya yang sempurna di sini. Justeru itu, satu-satunya cara untuk mereka mengungkapkan budaya mereka adalah melalui mobiliti sosial. Mereka yang sudah menyerap nilai-nilai Barat ini kemudiannya pulang dan mengangkat nilai-nilai tersebut di sini. Hak asasi manusia, masyarakat warga (civil society), dsb ini adalah sebahagian daripada budaya yang diserap tersebut apabila mereka bermastautin sementara di sana.

Sementara mereka ini mudah menyerap budaya tersebut, perkara ini nyata berlainan pula dalam kalangan masyarakat Melayu; ia, yakni konsep-konsep sejagat (universal) tersebut datang kemudian. Hal ini kerana masyarakat Melayu sudah terlebih dahulu mempunyai budaya dan nilai yang sudah mantap. Sumbernya adalah raja-raja yang menjadi pemutus atau penimbang tara (arbiter) kepada nilai-nilai yang dipegang oleh masyarakat Melayu. Bahkan cara pertuturan raja dan orang kebanyakan pun memperlihatkan perbezaan yang besar—ada nuansa hormat dan kepatuhan di situ. Justeru apabila nilai yang dikatakan ‘sejagat’ seperti hak asasi manusia diperkenalkan di negara ini, ia tidak serta-merta terserap ke dalam budaya, falsafah, dan etos masyarakat Melayu. Ini kerana masyarakat Melayu, pada asasnya, sudah ada sistem etika dan etiketnya sendiri—adat resam, istiadat, dll. Misal kata dalam kalangan peribumi di Sarawak. Kebanyakannya kekal berpegang dengan undang-undang adat masing-masing serta mempunyai mahkamah khusus untuk itu iaitu Mahkamah Adat (atau sekarang dikenali sebagai Mahkamah Bumiputera. Jika seseorang itu didapati bersalah kerana membunuh misalnya, ia tidak semestinya diadili mengikut undang-undang Persekutuan yang memperuntukkan hukuman gantung jika disabitkan bersalah tetapi boleh diadili di bawah undang-undang adat. Mungkin membayar dengan binatang ternakan seperti kerbau, lembu, kambing dsb. Jadi ia berbeza. Nah, bagaimana anda hendak berbicara tentang hak asasi manusia dengan mereka ini? Hak asasi manusia bagaimana yang anda maksudkan?

NM: Mungkinkah dengan adanya keterpecahan dan keterpencaran kehidupan moden ini, maka aspek kebersamaan sosial (social solidarity) masih lagi dapat dibangunkan, sekaligus memberdaya masyarakat?

Terdapat pelbagai cara untuk menangani persoalan keindividualan ini, yang menyebabkan keterpecahan dan keterpencaran kehidupan moden. Namun kita harus sedar bahawa faham kebersamaan atau kekitaan (collectivity) itu masih lagi dominan dalam apa yang saya sebutkan sebagai budaya sempurna masyarakat Melayu. Kebersamaan merupakan teras penting di negara ini, khususnya dalam masyarakat Melayu; apatah lagi dengan masuknya Islam. Namun wujud juga permasalahan dengan tanggapan terhadap Islam ini. Apabila kita bercakap tentang Islam, ia serta-merta dikaitkan dengan Melayu—Melayu-Islam atau Islam-Melayu. Lain pula halnya apabila kita bercakap tentang Muslim. Ia boleh jadi pelbagai seperti Melayu-Muslim, India-Muslim, Cina-Muslim, dsb. Dalam masyarakat Melayu sebelumnya, nilai dan budaya Melayu mendahului nilai-nilai Islam—kerana Islam ini diimport dari luar; ia mempunyai set nilainya tersendiri yang berbeza dengan nilai-nilai Melayu atau pribumi. Begitupun, Islam di Malaysia sekarang ini sudah berbeza dengan Islam di Arab suatu masa dahulu. Perbezaan ini didorong oleh faktor sosial mayarakat, unsur persekitaran geografi dan keadaan suasana tempat baharu. Pokoknya, baik masyarakat Melayu atau masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak, masing-masing mempunyai nilai dan estetikanya sendiri (native values and aesthetics). Justeru itu, faham mereka terhadap keadilan itu berbeza dengan faham keadilan yang sering dikaitkan dengan nilai hak asasi manusia.

NM: Anda nampaknya percaya bahawa budaya merupakan ciri atau dimensi paling utama dalam masyarakat—melebihi agama itu sendiri. Sebegitu sekali?

SAB: Ya. Dalam masyarakat, budaya sememangnya mendahului agama. Permasalahan yang kita hadapi sekarang ini adalah pemudahan (simplification) tafsiran budaya itu sendiri baik oleh mereka yang berautoriti mahupun daripada kalangan masyarakat terbanyak. Ramai orang menganggap bahawa budaya itu sekadar persembahan. Tanggapan sebegini bermasalah kerana budaya ini sebenar-benarnya merupakan cara hidup—apa yang anda pilih untuk jadi. Masyarakat Melayu sebelum ini beragama Hindu selama beberapa abad. Kemudian baru datangnya Islam. Kalau anda perhatikan, banyak istilah-istilah harian yang digunakan masih mengekalkan istilah-istilah Hindu seperti sembahyang (solat), air sembahyang (wuduk), dosa, pahala, dsb. Ia menarik bagi saya apabila kita masih lagi mengekalkan istilah Hindu tersebut. Ia bukan sekadar pengekalan bentuk (form) yang boleh dicerap secara visual semata-mata tetapi mempunyai kaedah dan pengalaman linguistik yang sudah mantap secara konseptualnya. Kita tidak menukar istilah tersebut kepada istilah Arab. Ambil contoh sembahyang (solat); ia bukan istilah Arab tetapi tetap merujuk kepada perkara asas yang perlu dilakukan oleh Muslim. Menarik apabila kita fikirkan bagaimana Islam yang datang ke sini terserap ke dalam budaya tanpa sepenuhnya mengambil alih dan mengubah budaya tersebut. Oleh kerana itu ada suatu ketika orang menentang perubahan istilah sembahyang kepada solat kerana ia tidak difahami. Tambah lagi sekarang kita lihat banyak nama-nama Arab digunapakai di pelbagai institusi kerajaan dan masyarakat. Tidak adakah nama-nama indah dalam bahasa Melayu? Kelihatannya kita lebih suka menggunakan istilah-istilah Arab sekarang—hampir saja kelihatan pretentious.

NM: Adakah anda berpendapat berlakunya Arabisasi dalam kebudayaan Melayu akhir-akhir ini?

SAB: Ya, dan ia paling ketara sekali terlihat dalam aspek linguistik. Secara idiomatiknya, kita sangat ‘Arabized’ sekarang. Iftar (buka puasa), hari raya Aidilfitri (hari raya puasa), dsb. Istilah-istilah harian ini semakin kedengaran asing buat kita.

NM: Pada pendapat anda, apakah punca atau titik peralihan yang menyebabkan berlakunya Arabisasi ini?

SAB: Saya fikir ia bermula sekitar tahun 70-an—tahun 1975. Ketika itu tahun-tahun awal ABIM dan Anwar Ibrahim. Mereka menubuhkan Yayasan Anda yang memberikan tuisyen percuma kepada anak-anak sekolah. Anak-anak yang pergi ke situ diwajibkan untuk memakai tudung bagi perempuan dan songkok bagi lelaki. Perkara ini, setidak-tidaknya bagi ABIM, mungkin dilihat sebagai suatu cara penonjolan identiti Muslim, namun kita harus sedar bahawa memakai songkok ini adalah sebahagian daripada budaya masyarakat di rantau ini. Orang memakai songkok bukan kerana mereka percaya akan Islam. Di Indonesia misalnya, anda jangan hairan jika anda terlihat orang bersongkok memasuki gereja. Ini sebahagian budaya di alam Melayu. Kita di Malaysia pula berbeza, di mana songkok dilihat sebagai penonjolan identiti Islam. Perkara ini antaranya berpunca daripada modenisasi dan kolonialisasi yang telah memperkenalkan kita kepada jenis-jenis stereotaip yang kemudiannya menentukan identiti kita melalui bancian.

NM: Apakah ada sesuatu yang telah hilang dalam budaya kita di tengah-tengah arus Arabisasi dan Islamisasi yang pesat ini?

SAB: Perkara ini menarik kita kembali kepada pengetahuan kolonial dan kolonialisasi. Ambil contoh adat Perpatih yang berasaskan perbilangan dan sastera lisan. Penjajah British telah mengubahsuai dan mengeraskan tradisi ini kepada teks dan peraturan dengan merekod, merakam dan menterjemah apa yang dicakapkan oleh Undang di Johol, Jelebu, Rembau, dsb. Akibatnya ia menjadi teks yang beku lalu menghapuskan keindahan, kegeligaan dan daya cipta bahasa itu sendiri. Natijahnya, kita tidak mempunyai keupayaan untuk mengungkapkan perkara-perkara baru dalam bahasa seharian kita. Banyak yang ada merupakan terjemahan langsung daripada istilah Inggeris seperti media sosial, dsb. Perkara ini berlaku kerana ia tidak lagi boleh disisipkan sebagai sebahagian daripada Bahasa—kerana bahasa itu sendiri telah dipisahkan daripada budayanya dan sekaligus masyarakatnya]. Kerana itu saya katakan bahawa pemisahan terbesar sekali adalah pemisahan Jawi daripada kebudayaan Melayu melalui proses perumian. Kebudayaan Melayu ini asal memang berasaskan tulisan Jawi dan sastera-sastera klasik, termasuklah tradisi sastera lisannya. Syed Muhammad Naquib Alatas telah banyak menulis tentang perkara ini. Tidak ada apa-apa yang disumbangkan oleh Barat kepada bahasa Melayu apabila Barat datang. Apa yang ada hanya terjemahan [yang bersifat administratif] berkenaan undang-undang, cukai, dsb. Langsung tidak ada inti-inti intelektual di dalamnya. Maka kerana itulah mereka terpaksa menterjemahkan banyak buku daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Tugas ini digalas oleh Jabatan Karang-Mengarang di Sultan Idris Training College (SITC) untuk menyediakan terjemahan buku teks yang diambil dari Eropah. Pada saya, gerakan keeropahan inilah yang telah memisahkan antara Jawi dengan Rumi—antara Melayu lama dengan Melayu baru. Perkara perumian bahasa Melayu ini penting kerana proses perumian ilmu dalam bahasa Melayu itu bermula tanpa kita terlebih dahulu memahami ilmu sendiri lantaran kita tidak pernah menulis ilmu kita dalam Rumi. Ia sentiasa dituliskan dalam Jawi. Setelah wujudnya Jabatan Karang-Mengarang barulah bermulanya pengisian ilmu tersebut. Bagi saya, transisi daripada tulisan Jawi ke tulisan Rumi merupakan titik perubahan penting kepada kehidupan dan budaya Melayu.

NM: Adakah wajar untuk mengatakan bahawa budaya atau orang Melayu itu sendiri telah dan sedang mengalami keterputusan sejarah (historical discontinuity) akibat daripada perumian bahasa Melayu?

SAB: Beginilah. Masyarakat Melayu sememangnya sudah terputus-putus dalam banyak hal. Pertama sekali, sudah tentu mereka ini terpecah kepada sembilan kesultanan. Maksudnya di sini, masyarakat Melayu terpecah kepada sembilan sistem pentadbiran yang berbeza, dan masing-masing pula mempunyai dialek tersendiri (bahkan dalam satu negeri wujud pelbagai dialek). Soalan saya, sejak bila Melayu ini pernah bersatu? Hakikatnya tidak pernah ada suatu titik yang memperlihatkan bahawa Melayu ini adalah satu. Apa yang membenarkan Melayu untuk bersatu—atau tepatnya, ‘disatukan’—adalah banci. Perihal banci ini meletakkan sempadan terhadap pencirian Melayu antaranya melalui Malay Reservation Enactmen Act yang diperkenalkan pada tahun 1913 dan diubahsuai sehingga tahun 30-an. Daripada akta tanah tersebutlah istilah Melayu dan bukan-Melayu tercipta apabila ia menetapkan hanya orang Melayu sahaja yang boleh membeli tanah rizab Melayu. Dua terminologi ini bertahan sehinggalah sekarang dan mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan kita baik di tingkat seharian mahupun pembuatan dasar. Kategori banci yang sama ini juga digunakan dalam pembentukan parti-parti politik berasaskan kaum. Perkara ini lalu menjurus kepada pembentukan perikatan politik antara parti-parti tersebut kerana masing-masing mewakili kaum tersendiri. Namun mereka ini masih lagi terpisah. British mahu menubuhkan suatu kesatuan (union) dan bukannya perpaduan (unity), maka ia cuba menubuhkan Malayan Union pada tahun 1946 tetapi ditentang oleh orang Melayu. Lalu ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu 1948 sebagai gantinya. Namun istilah kesatuan tersebut kekal menjadi arus bawah yang mencorakkan keseluruhan wacana dan naratif tentang Malaysia sehingga kini.

NM: Adakah sesuai untuk mengatakan bahawa negara kita ini merupakan suatu contoh berlakunya proses penginstitusian yang berasaskan kaum?

SAB: Ya. Ia suatu bentuk manifestasi daripada penjajahan bersifat define and rule.

NM: Sudah tentu, racialisation ini bersamaan dengan racism?

SAB: Tidak sama sekali. Racism dan racialisation ialah dua hal berbeza. Namun, lebih tepat untuk kita mengatakan fenomena yang berlaku di negara kita ini adalah suatu bentuk racialisation. Ringkasnya racism ialah suatu ideologi yang menentang kumpulan-kumpulan yang mempunyai identiti berbeza dengannya (khusus identiti etnik). Ia dihidupkan oleh stereotaip dan prejudis yang tebal. Berlainan pula dengan racialisation yang merupakan suatu proses. Dan ini berlaku di negara kita.

NM: Adakah penginstitusian yang berasaskan kaum ini (merujuk kepada Racialisation) merupakan suatu hal yang negatif?

SAB: Tidak. Racialisation adalah suatu bentuk penerangan misalnya berkenaan penyataan yang mengatakan bahawa semua orang Cina main bola keranjang. Jadi permainan bola keranjang di sini telah dirasialisasikan (racialised). Namun orang jarang menggunakan istilah tersebut kerana ia tidak dramatik dan tidak memecah-belahkan masyarakat demi memenangi pilihan raya. Jika disorot kembali, ia akan kembali kepada pelaksanaan banci yang mempengaruhi pembentukan parti politik di negara ini dan kemudiannya mempengaruhi pula cara kita memerintah. Oleh kerana itu juga anda tidak dapat memisahkan politik dan etnisiti di Malaysia. Sebelum anda mengubah politik di negara ini, anda terlebih dahulu harus mengubah kaedah banci tersebut.

NM: Memandangkan kita sudah serba sedikit bercakap tentang Kajian Malaysia (Malaysian studies) ini, apakah tanggapan anda terhadap perkembangan dan kedudukan tahap kajian mengenai Malaysia pada hari ini? Apakah ada kelemahan atau kelompongan yang tidak disedari oleh orang ramai atau kalangan penyelidik sendiri?

SAB: Kita sedang melihat betapa Kajian Malaysia tanpa terlepas daripada pengaruh pengetahuan kolonial itu sendiri. Ini merupakan kelemahan terbesar dalam bidang ini. Sejarawan Malaysia sendiri kebanyakannya tidak menyedari tentang pengetahuan kolonial. Kewujudan pengetahuan kolonial ini menyedarkan kita tentang wujudnya pelbagai tafsiran terhadap sejarah. Adanya pelbagai versi sejarah ini menunjukkan wujudnya pelbagai bentuk historiografi. Anda mungkin mempunyai fakta yang sama, tetapi tafsiran anda terhadap fakta tersebut boleh jadi berbeza-beza bergantung kepada pendekatan anda. Kelemahan pengajian Malaysia adalah ketiadaan sejarah di dalamnya—historiografi yang membolehkan kita untuk menebak kolonialisme British melangkaui peranan mereka selaku pentadbir. Ia membolehkan kita untuk memahami penjajahan epistemologi oleh British, bagaimana mereka menukar cara kita berfikir, angka yang kita gunakan, dsb. Perkara ini sudah mengakar dan tidak dapat diubah begitu sahaja. Inilah dilema yang membelenggu ramai pengkaji Malaysia.

NM: Dalam dekad-dekad terdahulu, negara kita menarik minat ramai pemikir-pemikir besar untuk melakukan kajian di Malaysia seperti James C. Scott, satu contoh ketara misalnya. Adakah anda melihat wujudnya kelompongan dalam kajian Malaysia akhir-akhir ini khusus dari segi EOM dalam kalangan penyelidik sekarang?

SAB: Beginilah. James C. Scott sebenarnya tidak datang untuk mengkaji Malaysia. Beliau didorong oleh minatnya terhadap gerakan sosial (sebagai epistemologi). Malaysia hanyalah ontologi. Oleh sebab itu jika anda perasan tidak ada perkataan “Kedah” pada tajuk buku tersebut. Beliau tidak berminat dengan Kedah. Jadi saya tidak memandang James C. Scott sebagai seorang Malaysianis. Beliau hanya berminat dengan teori (tentang gerakan sosial) manakala Malaysia pula sekadar menyumbangkan bukti-bukti empirikal kepada kajian beliau. Itu sahaja—sama seperti saya sebutkan di awal tadi berkenaan pengajian politik sebagai sub-disiplin. Sains politik, sejarah, geografi, dsb disandarkan kepada historiografi yang berbeza. Pada saya, kunci kepada pengembangan Kajian Malaysia ini terletak pada historiografi manakah yang menjadi sandaran kepada keseluruhan kajian tentang Malaysia. Saya berulang kali katakan bahawa Kajian Malaysia harus disandarkan kepada sejarah untuk semua, bukan sejarah yang berpihak kepada sesetengah golongan sahaja. Sejarah untuk semua bermaksud si kaya dan si miskin masing-masing mempunyai peranannya dalam membangunkan negara ini.

NM: Dalam bidang anda sendiri, apakah kajian-kajian yang masih lagi menarik untuk diterokai oleh generasi baru?

SAB: Pada pengamatan saya, tidak ada lagi kajian antropologi politik dilakukan sekarang oleh para penyelidik kita. Kerana itu, buku saya masih lagi dirujuk berulang kali sehingga sekarang kerana mereka tidak ada rujukan lain lagi. Kajian saya itu diterbitkan pada tahun 1986. Selepas beberapa dekad, mereka masih lagi bercakap tentangnya. Boleh jadi tidak ada perubahan [yang signifikan] berlaku menyebabkan kajian saya masih lagi relevan sehingga sekarang. Itu satu kemungkinan. Boleh jadi juga suatu sinakal daripada saya. Namun saya fikir sudah amat kurang kajian ke atas komuniti dengan pendekatan bersemuka dijalankan di negara ini. Hal ini kerana kajian-kajian sebegini berbentuk mikro dan tidak boleh digeneralisasikan; tetapi ia dapat memberikan pemahaman terhadap kawasan-kawasan tersebut. Jika anda melakukan kajian tentang Melaka, maka anda perlu juga menulis tentang sejarah Melaka. Seperti juga kajian tentang Kelantan dsb. Pada satu sisi, dapat dibina hubungan antara kajian-kajian yang berbentuk setempat ini. Menarik bagi saya untuk melihat lebih dalam tentang kepelbagaian atau juga dividedness yang ada dalam masyarakat Melayu berdasarkan negeri kerana mereka ini masing-masing mempunyai orientasi tersendiri. Ini antara perkara yang menyukarkan penyelidik yang membuat kajian Malaysia. Keduanya, hampir tidaka da orang yang boleh menulis dalam bahasa Melayu, Mandarin, dan Tamil dalam satu-satu masa. Jadi kita sentiasa ada halangan bahasa di sini. Kelompongan dalam Kajian Melayu/Malaysia ini adalah berbentuk struktural. Ia bukan suatu faktor melainkan keseluruhan struktur Persekutuan Melayu atau Malaysia yang telah dibentuk termasuklah pentadbirannya serta impak terhadap kehidupan seharian. Itulah persoalan yang harus dijawab.

NM: Sebagai orang lama dalam penyelidikan, mungkin anda layak untuk menyimpulkan rupa seorang penyelidik yang berjaya?

SAB: Apapun kajian yang ingin anda lakukan, anda perlu terlebih dahulu mempelajari sejarah. Anda mengkaji sejarah Malaysia, tentang manusia-manusia yang menghidupkan Malaysia tersebut, jadi anda perlu mempelajari sejarahnya. Dan tidak cukup sekadar mengetahui sejarah orang yang menang dan kalah, sejarah subaltern, sejarah elit semata-mata. Tidak boleh ambil setengah-setengah. Tidak boleh ambil suku-suku. Anda harus mempelajari kesemuanya—sejarah, tempat, dan evolusi negara ini. Kesemuanya tanpa satupun pengecualian. Memetik semula Ismail Hussein, Melayu di sini merupakan sebuah budaya yang sempurna. Dari ungkapan ini sahaja, kita sudah ada asas yang baik untuk menjadikan Melayu dan Malaysia sebagai bahan kandungan penyelidikan yang menarik dan dramatik.

Anwar Ibrahim – Trauma dan Kemaafan

Semua pahit maung Anwar Ibrahim ini telah menjadi ramuan yang membentuk fikrahnya tentang konsep seperti demokrasi, rakyat, keadilan dan sebagainya. Justeru, wawancara bersama Anwar Ibrahim pada 27 November 2019 di Petaling Jaya ini cuba mengupas persoalan mengenai trauma dan kemaafan, dua tema yang dekat dengannya.

Anwar Ibrahim merupakan tokoh politik utama di Malaysia. Sepanjang kariernya sebagai ahli politik, Anwar telahpun mengalami pelbagai peristiwa dalam sejarah perjuangannya. Walau bagaimanapun, Anwar lebih diingati sebagai sosok politik yang sentiasa terlibat dalam sejarah derita perjuangan lantaran pengalaman berkali-kali dipenjara. Semua pahit ini telah menjadi ramuan yang membentuk fikrahnya yang lebih mengakar dan sejagat tentang konsep seperti demokrasi, rakyat, keadilan dan sebagainya. Justeru, wawancara bersama Anwar Ibrahim pada 27 November 2019 di Petaling Jaya ini cuba mengupas persoalan mengenai trauma dan kemaafan, dua tema yang memang dekat dengan pengalamannya sendiri.

Alka Menon – Constructing an Asian Look

Malaysian cosmetic surgeons facilitate the spread of regional cultural forms from around Asia in selectively drawing on circulating beauty ideals in constructing different “looks” for their patients. This intermediary role has broader implications for how to think about the flow of ideas across national borders.

How do beauty ideals spread transnationally? This talk addresses the phenomenon of cultural globalization using the case of beauty ideals for cosmetic surgery in Malaysia. In it, I argue that Malaysian cosmetic surgeons balance and mediate between transnational beauty ideals and national tastes, producing embodied cosmetic surgery looks for individual patients. Malaysian cosmetic surgeons facilitate the spread of regional cultural forms from around Asia in selectively drawing on circulating beauty ideals in constructing different “looks” for their patients. This intermediary role has broader implications for how to think about the flow of ideas and concepts across national borders.

Hasmi Hashim – Dua Trauma Nusantara

Hasmi Hashim, seorang penulis sekaligus budayawan, merintis perbincangan baharu mengenai hubungan antara trauma dengan Nusantara. Hasmi, tidak membicara trauma dalam konteks individu. Sebaleknya, membicaranya dalam konteks kolektif –yang terbentuk hasil penjajahan dan kemerdekaan.

Hasmi Hashim, seorang penulis sekaligus budayawan, merintis perbincangan baharu mengenai hubungan antara trauma dengan Nusantara. Hasmi, tidak membicara trauma dalam konteks individu. Sebaleknya, membicaranya dalam konteks kolektif –yang terbentuk hasil penjajahan dan kemerdekaan.

[Pendaftaran] Siri Kuliah Sains Sosial Malaysia oleh Abdul Rahman Embong

Bagi menyambung tradisi intelektual sains sosial ini, usaha yang dirintis sebelum ini harus ditekuni dan dihubungkan dengan realiti semasa bagi memberikan konteks terkini. Justeru, bengkel ini cuba untuk mengambil tugas ini.

Sains Sosial Malaysia Abad 21: Menerus Tradisi Intelektual, Menanggap Transformasi Masyarakat

Kerangka Program

Dunia abad ke-21  menyaksikan perubahan besar. Pertamanya berhubung dengan mega trend dunia yang merangkumi arus konvergen, arus divergen serta arus berlawanan. Antaranya seperti kebangkitan semula globalisasi oriental, peningkatan perasaan kebangsaan sempit yang cenderung kepada penolakan multiculturalism, perubahan teknologi yang exponential serta kemunculan ancaman-keselamatan-bukan-konvensional rentas negara seperti pandemik kesihatan, jaminan keselamatan makanan dan alam sekitar. Perubahan besar kedua pula berhubung dengan perkembangan dalam negara seperti transisi politik negara, hubungan antara kaum dan agama serta agenda pendemokrasian. Perkembangan di peringkat antarabangsa dan dalam negara ini pastinya saling berkait dan tentu sekali menuntut perhatian ramai lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang prihatin kepada isu dan persoalan sains sosial. Hal ini kerana perubahan ini telah memberi kesan kepada cara hidup kita bernegara dan bermasyarakat  baik daripada segi politik, sosial mahupun ekonomi. Kesemua ini  memerlukan perbahasan dan artikulasi baharu bagi menjelaskan fenomena ini sama ada di peringkat epistemologi, ontologi, metodologi dan secara empiris. Hal ini adalah penting dalam mengemukakan idea, konsep, teori dan tindakan baharu bagi menanganinya serta  mengubah kehidupan masyarakat.

Meskipun tradisi sains sosial di Malaysia boleh ditelusuri seawal tahun-tahun tiga puluhan dan empat puluhan pada abad ke-19 melalui karya-karya Abdullah Munshi, namun akhir tahun 1960-an dan 1970-an merupakan titik peralihan penting dalam sejarah sains sosial di Malaysia dengan berkembangnya universiti di negara ini bersama pembangunan pesat dalam banyak sektor lain sehingga membawa kepada perbahasan mengenai peranan dan orientasi sains sosial ketika itu. Pada ketika itu, antara teras perbahasannya adalah berkaitan pembinaan orientasi sains sosial yang lebih menepati keperluan negara membangun sebagaimana Malaysia ketika itu agar dapat keluar daripada perspektif sains sosial yang sarat Eropah (Euro-centrism). Maka, setelah lebih 50 tahun, bersama dengan perkembangan masyarakat, perbahasan ini harus diteruskan dan diulang fikir.

Bagi menyambung tradisi intelektual sains sosial ini, usaha yang dirintis sebelum ini harus ditekuni dan dihubungkan dengan realiti semasa bagi memberikan konteks yang lebih luas kepada generasi penyelidik kini. Apakah cabaran masa kini kepada sains sosial dan bagaimana harus ditanggapi? Salah seorang pendahulu sains sosial Malaysia yang masih aktif ialah Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong, Presiden Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) (2000-2010) dan Penasihat Khas PSSM (2010 hingga kini). Projek ini melantik beliau selaku pakar dan mentor yang berpengalaman luas untuk  memberi bimbingan kepada para peserta projek ini dari awal sampai akhir. 

Tugasan Peserta

TUGASAN 1:

Penghasilan dan pembentangan abstrak untuk suatu bab dalam buku. Abstrak ini dihasilkan berdasarkan kepada lima tema utama yang bebas dipilih (namun agihan tema akan dimuktamadkan kemudian bagi peserta yang terpilih), yakni:

  • Tema 1: Membina naratif Malaysia bersama
  • Tema 2: Menerus tradisi intelektual dan cabarannya
  • Tema 3: Menanggap Transformasi Masyarakat: Idea Negara Pembangunan & Perbahasannya
  • Tema 4: Menanggap Transformasi Masyarakat: Negara Bangsa & Kepelbagaian Budaya
  • Tema 5: Menanggap Transformasi Masyarakat: Kerencaman Identiti Sosial & Politik

Perincian tema akan dihebahkan dalam modul peserta kelak. Berikut adalah maklumat penting untuk tugasan ini:

  • Tarikh penyerahan abstrak sebelum/pada: 13 Julai 2020
  • Tarikh pembentangan abstrak: 13-27 Julai 2020 (jadual yang lebih khusus akan dihebahkan kemudian)
  • Jumlah perkataan untuk abstrak: Tidak lebih daripada 300 patah perkataan

TUGASAN 2:

Mengikuti penuh 6 Siri Kuliah Cabaran Sains Sosial Abad 21 oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong, Penasihat Khas Persatuan Sains Sosial Malaysia. Kuliah ini merangkumi:

  • 22 Jun 2020 (Isnin) – Kuliah 1: Mega Trend: Kebangkitan Kembali Globalisasi Oriental  pada Abad ke-21
  • 25 Jun 2020 (Khamis) – Kuliah 2: Mega Trend: Impak ke atas Malaysia
  • 29 Jun 2020 (Isnin) – Kuliah 3: Sejarah Perkembangan Sains Sosial Malaysia
  • 2 Julai 2020 (Khamis) – Kuliah 4: Peranan dan Orientasi Sains Sosial di Malaysia
  • 6 Julai 2020 (Isnin) – Kuliah 5: Penerusan Tradisi dan Pembinaan Sains Sosial yang Mandiri
  • 9 Julai 2020 (Khamis) – Kuliah 6: Pengungkapan Naratif Malaysia

Masa/Tempat untuk semua Siri Kuliah adalah seperti di bawah:

  • Masa: 10:30 pagi – 12:00 tengahari (1 jam kuliah, 30 minit perbincangan)
  • Tempat: Bilik Mesyuarat IKMAS/LESTARI dan Google Meet/Zoom (pautan akan diberikan)

TUGASAN 3:

Penghasilan dan pembentangan bab dalam buku oleh peserta. Tema penulisan boleh disesuaikan dengan tema pemilihan abstrak. Berikut adalah maklumat penting untuk tugasan ini:

  • Tarikh penyerahan manuskrip sebelum/pada: 25 September 2020
  • Tarikh pembentangan manuskrip pada: 12/13 Oktober 2020
  • Tarikh penghantaran manuskrip pasca-pembentangan: 12 November 2020
  • Jumlah perkataan untuk manuskrip: Sekitar 6000 patah perkataan (bahasa Melayu)

Kata Pengantar buku ini akan diberikan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong. Manakala buku ini akan diterbitkan oleh Penerbit Universiti atau yang setaraf dengannya.

TUGASAN 4:

Penghasilan 2 penulisan popular untuk terbitan laman web Naratif Malaysia. Esei boleh ditulis sama ada dalam bahasa Melayu mahupun Inggeris. Berikut adalah maklumat penting untuk tugasan ini:

  • Tarikh penyerahan Esei 1: Sebelum/pada 27 Julai 2020
  • Tarikh penyerahan Esei 2: Sebelum/pada 15 Ogos 2020
  • Jumlah perkataan untuk setiap esei: 800-1000 patah perkataan

Keseluruhan program ini adalah PERCUMA untuk mereka yang boleh memberi komitmen penuh terhadap tugasan yang diberikan. Tempat TERHAD untuk 20 peserta sahaja. Walau bagaimanapun, peserta tambahan boleh dipertimbangkan. Sekiranya berminat, boleh daftar menerusi borang di bawah. Manakala tarikh tutup penyertaan Siri Kuliah ini pada 15 Jun 2020.

Borang Pendaftaran

Adakah anda boleh memberi komitmen penuh untuk 4 tugasan program ini?(required)

Tema abstrak (required)

Lokasi IKMAS/UKM

Alamat perhubungan Naratif Malaysia

Projek Penyelidikan Naratif Malaysia
Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS),
43600 Universiti Kebangsaan Malaysia
Bandar Baru Bangi
Selangor

Emel: naratifmalaysia@gmail.com
Web: naratifmalaysia.com

Keseluruhan program ini ditaja oleh MARI, USAID dan US Embassy.

Design a site like this with WordPress.com
Get started