Raja-Raja Melayu: Kemajuan atau Kemunduran?

Berbicara tentang warisan masa lampau, tradisi dan adat menjadi releven. Menurut satu pandangan tradisi dan adat adalah rekaan yang tercipta untuk dijadikan cara efektif mengekalkan kekuasaan. Tradisi memberikan kerangka fikir untuk tindakan.

Penulis: Syed Husin Ali
Terbitan: 2019
Penerbit: SIRD

Pemerintahan monarki di zon budaya Nusantara dikatakan mengekalkan banyak sekali ciri-ciri dasar kepimpinan lokal tradisional, seperti ‘Datu’ (Raja kecil-kecilan), ‘Demang’ (Ketua daerah), ‘Merah’ (gelaran untuk Raja Kecil atau Penghulu) yang bergantung kepada kualiti kepimpinan peribadi.

Monarki dan feudalisme

Idea tentang kesucian monarki itu sekadar cantuman dan tempelan dari India. Monarki di Nusantara sekadar mengimport amalan India dalam upayanya untuk mengukuhkan lagi kekuasaannya sendiri. Maka untuk tujuan tersebut, sistem pemerintahan digabungkan dengan kelompok pendeta di candi agar struktur kuasanya menjadi rasmi. 

Salah satu masalah mengkaji monarki adalah konsep yang mendampinginya, iaitu feudalisme. Perdebatan tentang istilah tersebut berlansung seputar persoalan: Apakah feudalisme seperti yang didakwa oleh beberapa sejarawan sekadar satu istilah teknikal suatu praktik sosial yang eksklusif di Eropah Barat dan yang hanya hadir pada zaman pertengahan? Ataupun kata feudalisme seperti yang disarankan, termasuk oleh ahli sosiologi, dikonsepsikan secara abstrak sebagai sejenis organisasi politik.

Ertinya, feudalisme dilihat sebagai satu bentukan masyarakat yang termasuk di dalamnya institusi politik dan ekonomi. Dalam erti kedua, feudalisme adalah tahap evolusi masyarakat antara jenis ‘primitif’ dengan jenis ‘kapitalis’. Feudalisme dalam erti kedua dipakai oleh pengarang buku ini.

Kedudukan Monarki di Malaysia

Debat parlimen Malaysia pada 1983 dan 1992 tentang kedudukan monarki, peranan, hak dan tanggungjawabnya, sekali imbas pemindaan perlembagaan itu kelihatannya kecil, tetapi kesannya mendalam. Dari satu sudut, upaya pemindaan itu sesungguhnya satu mekanisme sosial bagi memantapkan lagi satu institusi yang mengharungi zaman sejak abad ketujuh, yang tentunya terbuka kepada gelombang perubahan dari dalam mahupun luar.

Institusi tersebut menurut sejarah, dilanda penjajahan yang kemudiannya mengubah secara drastik fungsi dan peranannya. Pada tahun 1957, hak dan tanggungjawabnya tetap pada darjat lambang. Bagaimanapun, haknya telah dicatatkan dalam perlembagaan negara yang sekaligus menandakan pengakuan akan institusi tersebut oleh undang-undang tertinggi perlembagaan Malaysia. 

Buku ini memilih tiga perspektif untuk menjawab persoalan pokok: Pertama, apakah Raja-Raja Melayu mengalami kemajuan atau kemunduran? Perspektif yang dipakai adalah sejarah, kontemporari, dan perbandingan. Jawapannya kepada persoalan ini terdapat dalam bab perumusan dan kesimpulan. Di situ juga terpancar posisi pengarang tentang institusi yang dibicarakan. Sosiologi politik menjadi alat analisisnya.

Pengarang pada bahagian pertama buku ini membicarakan asal muasal institusi monarki Malaysia dengan mengusut ideologinya yang terpancar dalam mitologi Melayu di satu tempat mitos- Bukit Seguntang.

Memang menjadi sifat mitologi, ia terus menerus memberikan kesan ke atas sub-sedar masyarakat dari satu generasi ke generasi lain dalam bentuk memori kolektif, sekalipun berbeza-beza kesannya ke atas masing-masing individu dan kelompok sosial dan kedudukan geografi di dalam zon budaya Nusantara.

Mitos tersebut dimunculkan kembali sebagai memori kolektif pada tahun 1998 setelah tindakan pemerintahan dikatakan mendustai waad Bukit Seguntang tatkala Anwar Ibrahim dihina di khalayak ramai.

Namun, sangat membantu lagi, khususnya untuk pengkaji yang mendatang kiranya perspektif sejarah yang dipakai dalam buku ini bersifat Longue Duree, yakni lebih lama kebelakang tempoh liputannya. Hal ini kerana kerajaan Melaka boleh juga dilihat sebagai kesinambungan sejarah dari Majapahit, manakala Majapahit pula dari Sriwijaya.

Malah sering dipertanyakan bagaimanakah mungkin sebuah penempatan nelayan di Melaka mengembang menjadi emporium dan pusat peradaban kalau tidak kerana kumulasi peradaban sebelumnya. Sehubungan itu, mungkin rangka ‘Kawasan Budaya’ dalam antropologi boleh dipakai untuk memerihalkan latar belakang monarki Nusantara, walaupun cuma selayang pandang. Selain itu, rangka ‘Zon Budaya’ sejarawan Fernand Braudel difikirkan sangat sesuai untuk maksud di atas.

Dua bab pertama sarat dengan rentetan kejadian tentang monarki dan monark-monarknya yang dicatatkan dengan rapi dari perspektif sejarah jangka lama dan baharu. Urutan peristiwa yang dicatat dengan cermat menyediakan pembaca mengerti lagi mengapa krisis perlembagaan pada 10 Disember 1992 terjadi.

Hal ini diikuti dengan rumusan signifikan bahawa krisis tersebut sebenarnya yang menghasilkan daya baharu kepada raja yang ironisnya pula menambahkan lagi aktivisme Diraja termasuk berpihak politik. Ternyata krisis juga adalah titik perubahan yang tidak dijangka.

Konflik Istana dan Parlimen

Persaingan untuk memperoleh pengaruh politik antara istana dengan parlimen di perihalkan dengan baik oleh pengarang di dalam bab keempat. Konflik di Perlis, Terengganu, Perak, Selangor bersama-sama dampak politiknya dihuraikannya mengakibatkan di kalangan orang Melayu pendirian yang berbelahan tentang monarki.

Ditunjukkan pengarang kecenderungan para belia yang tidak lagi  keberatan mengungkapkan sentimen anti-Raja sekalipun diiringi konsekuensi legal yang ditanggungi mereka.

Bahasa Istana

Bicara pengarang tentang dua perkara- Darjat dan jiwa hamba di bab awal dikembangkan lagi dibab empat kerana masih terdapat kontinuiti daripada praktik lama. Lalu, dihujahkan pengarang bahawa di Malaysia sebahagian bahasa yang dipakai untuk Raja hingga sekarang sangat mengaibkan.

Di berikan tiga kata tersebut- ‘Patik’, ‘Duli’ dan ‘Sembah’ sebagai contoh. Jiwa hamba ditunjukkannya sebagai sejenis psikologi takut dan terlalu merendahkan diri yang masih terdapat dikalangan rakyat.

Hal di atas, meskipun bukan pokok bicara buku masih boleh didebatkan atas dua pertimbangan. Pertama, kata-kata yang masih dipakai dalam komunikasi dengan para monarki, rata-ratanya adalah ‘kelongsong’, yakni bentuk dan kulitnya masih dipakai, sedangkan isinya sudah lama tidak, malah tiada makna signifikan lagi. Bilik ‘Santapan’ terdapat di kedai makan, ‘Istana’ dijadikan nama hotel.

‘Patik’ adalah kata Nusantara yang dipakai dalam sastera lama yang maksudnya ‘hamba tebusan’, ‘budak belian’, sama seperti kata ‘sahaya’ (abdi) yang terevolusi menjadi ‘saya’. Belum ditemukan sebarang sumber perbendaharaan kata ‘patik’ yang bererti ‘anak anjing’.

‘Duli’ dari kata sanskrit ‘Dhuli’ bererti ‘debu’ yang dalam bahasa kita bermaksud ‘abu’ yang melekat pada kaki. Kata itu terevolusi yang bermaksud ‘Baginda’ dan juga bererti ‘kaki’. Menjunjung Duli bererti sujud kepada baginda dan juga bererti ‘mengerjakan perintah Raja’. ‘Sembah’ pula adalah perbuatan yang mempamerkan penghormatan kepada raja dan juga kata yang ditujukan kepada raja.

Dalam transformasi kata-kata Diraja tidak kurang muncul situasi ironis, malah aneh. ‘Beta’ kata Hindi yang bererti ‘Hamba abdi’ kini dipakai sebagai kata ganti diri pertama oleh Raja sendiri. Di Maluku, kata itu dipakai oleh orang biasa yang bererti ‘saya’. Banyak kata kini menjadi kata neutral-kedirajaan dan neutral-darjat dan yang telah dicairkan kemurnian kedirajaannya, lalu bebas daripada sebarang tulah status sosial arkaik.

Jiwa hamba boleh juga ditafsirkan sebagai penjelmaan sesuatu gagasan. Maksudnya, sesuatu idea seperti jiwa hamba tidak lain adalah cerminan dunia material dalam fikiran manusia yang selanjutnya dipindahkan ke dalam bentuk pemikiran. Yang demikian bukan gagasan melainkan perubahan ekonomi yang mendorong perubahan. Seperti yang tercatat terdahulu, hal-hal di atas diungkapkan pengarang sepintas lalu, in passing, semata. Pendemokrasian bahasa Indonesia adalah hasil revolusi demokrasi sosial indonesia.

Renovasi idealogi Monarki

Bab empat penting dan kemuncak tiga bab terdahulu memberikan fokus kepada kontradiksi genting yang memuncak antara istana dengan parlimen dalam upaya memperoleh pengaruh politik masing-masing. Bahagian buku menunjukkan bagaimana parti pemerintah sesungguhnya telah memberikan kekuatan baharu kepada Raja menurut pengarang yakni dikatanya Raja semakin nyaring bersuara dalam hal politik, walaupun mereka harus bersikap neutral. Mungkinkah ini upaya renovasi idealogi monarki?

Amat membantu sekiranya dapat dipetakan bilakah dan sebabnya rakyat erat dan renggang, yang silih berganti itu dengan rajanya dalam sejarah. Analisis sosiologi tentang pasang surutnya hubungan demikian dapat menyumbang kepada korpus pengetahuan tentang institusi tersebut. Perspektif ekonomi politik mungkin membantu upaya pemetaan pasang-surut demikian dalam situasi raja dan rakyat ‘Berpisah tiada’.

Perolehan kekuatan baharu oleh Raja seperti yang ditunjukkan pengarang menolak argumen beberapa sejarawan kolonial yang telah mengebumikan institusi itu berkali-kali dari masa ke masa.

Perspektif perbandingan dipakai oleh pengarang untuk memerihalkan keadaan di Malaysia dalam konteks pelbagai sistem monarki di negeri terpilih dan perubahan yang dialami monarki di situ. Bahagian ini membantu memahami evolusi monarki Malaysia – persamaan dan perbezaan, malah kekhususannya.

Kebangkitan semula kedudukan sosial dan politik Diraja

Seorang sejarawan Malaysia pada 2011 mengamati bahawa monarki Malaysia mengalami kebangkitan semula kedudukan sosial dan politiknya, lalu menjadi bertambah proaktif dalam ruang sosial dan politik. Menurutnya, dirumuskan bahawa telah terdapat peralihan orientasi institusi monarki Malaysia yang berkecenderungan kearah penolakan model monarki Westminister. Malah, dikatakan monarki Malaysia mirip model monarki Thailand. Sangat memanfaatkan jika kasus Thailand termasuk dalam perspektif perbandingan.

Semua kajian mengandungi persoalan pokoknya. Persoalan pokok buku terdapat pada judulnya, sementara jawapannya tertumpu dalam bab akhir. Atas pertimbangan bahawa belum ‘nampak tanda atau agenda politik untuk menghapuskan institusi raja” serta penyataan pengarang “…kedudukan raja boleh dikatakan masih kuat…”, beliau segera mengemukakan pertanyaan yang kompleks: Bagaimanakah institusi tersebut menyesuaikan diri atau disesuaikan mengikut kehendak perubahan, kemajuan, pemodenan demokrasi keadilan, nilai agama serta adat?

Di tempat lain pula, pengarang berpendapat bahawa memandangkan suasana serta keadaan sekarang, ia mungkin mengambil masa lebih lama di sini daripada negara-negara lain. Dalam nafas sama beliau segera melanjutkan penyataan “… atau mungkin ia tidak berlaku sama sekali”, hal ini menjadi ketentuan sejarah.

Sejarah lampau

Berkaitan sejarah memang manusia membuat sejarahnya sendiri, tetapi mereka tidak membuat sejarah semahu-mahunya mereka. Mereka tidak pula membuat sejarah di bawah kondisi-kondisi yang mereka pilih sendiri, tetapi berdasarkan pada kondisi-kondisi yang telah terberi, tersedia, dan yang merupakan warisan masa lampau. Demikian pendapat sarjana Jerman pada abad ke-19.

Berbicara tentang warisan masa lampau, tradisi dan adat menjadi relevan. Menurut satu pandangan tradisi dan adat adalah rekaan yang tercipta untuk dijadikan cara efektif mengekalkan kekuasaan. Tradisi memberikan kerangka dan dalam kerangka pemikiran manusia untuk bertindak. 

Pengalaman sejarah Zaman Pencerahan Eropah yang ingin menghapuskan tradisi telah gagal, lalu setelah itu sebagai reaksi muncul aliran falsafah konservatisme. Tradisi hanya terhapus apabila terjadi detradisionalisasi masyarakat.

Sebagai contoh, pada Disember 1989, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya melafazkan taat setia kepada Yang Dipertuan Agong di Hat Yai. Tidak berapa lama setelah itu pula Pengerusi Parti Komunis Malaya, Abdullah C.D., kelahiran negeri Perak, menghadap Sultan Perak. Yang pertama itu mungkin tradisi legal, sementara kedua itu adat.

Bersama-sama buku pengarang terbitan 1993, buku ini membekalkan hujah untuk pembaca mencari pendirian politik dan intelektual masing-masing tentang satu institusi ribuan tahun usianya di Nusantara.

Ralat

Satu kesilapan penyuntingan terdapat pada halaman 12, baris 23. Sepatutnya ‘bapa saudara Tengku Ali, Tengku Ismail diangkat menjadi sultan yang baharu’. Kata ‘senario’ pada halaman 52 juga terlepas pandang penyuntingan. Kata ‘sekarang’ sebelum ‘senario’ adalah kontradiksi. Senario bermaksud urutan serta perkembangan yang diramalkan berlaku yang berkaitan waktu mendatang.

Design a site like this with WordPress.com
Get started