Wacana Naratif Malaysia oleh Ashraf Hadi

Gandingan PAS-UMNO dilihat selesa dalam membawa agenda perkauman dan agama, lantas bagaimanakah bentuk negara idaman yang diimpikan oleh gandingan ini pasca PRU-14?

SIRI PEMBENTANGAN HANG NADIM [2/2020]

Negara Idaman PAS-UMNO: Harapan di Sebalik Sebuah Pakatan Baharu

Penyampai: Ashraf Hadi
Masa: 10 pagi – 12 tengahari
Tarikh: 6 Februari 2020 (Khamis)
Tempat: Bilek Mesyuarat IKMAS, UKM
Semua dialu-alukan hadir

Abstrak:

Tanggal 9 Mei 2019 merupakan detik bersejarah bagi kekalahan UMNO sebagai parti pemerintah yang mengetuai kerajaan Barisan Nasional (BN). Ini menyebabkan pentadbiran negara telah bertukar kuasa dari BN kepada Pakatan Harapan (PH) yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Namun begitu, kekalahan UMNO pada PRU-14 ini menjadi titik temu untuk UMNO dan PAS berkerjasama dalam Muafakat Nasional. Hal ini kerana, sebelum PRU-14 PAS dan UMNO saling menafikan untuk berkerjasama atau bergabung di antara satu sama lain. Di samping itu, PAS-UMNO juga dilihat selesa dalam membawa agenda perkauman dan agama demi kelangsungan politik mereka. Oleh hal demikian, dengan peningkatan isu agama dan kaum yang diputarkan PAS-UMNO, maka bagaimanakah negara idaman yang diimpikan oleh PAS-UMNO pasca PRU-14 ini?

Wacana Naratif Malaysia oleh Nazrin Zaidi

Pembentangan ini cuba merangka pendekatan sistesis etnisiti dan kelas bagi memahami kontruksi modal budaya yang terjelma (embodied) di Malaysia –dalam ragam penulisan– sebagai sebuah kunci analitikal.

SIRI PEMBENTANGAN HANG NADIM [1/2020]

Paradigma Budaya dalam Merebut Takrif Negara-Bangsa Idaman

Penyampai: Mohd Nazrin Zaidi
Masa: 10 pagi – 12 tengahari
Tarikh: 16 Januari 2020 (Khamis)
Tempat: Bilek Mesyuarat IKMAS, UKM
Semua dialu-alukan hadir

Abstrak:

Kajian Malaysia ditabiri oleh beberapa paradigma besar yang terbentuk demikian kesan daripada kolonialisasi British. Tidak dinafikan karakter bidang sains sosial di Malaysia tidak dapat lari daripada memposisikan paradigma kelas dan juga etnisiti berdasarkan polemik dan magnitud kesarjanaan tersendiri. Penulisan ini cuba merangka pendekatan sistesis etnisiti dan kelas bagi memahami kontruksi modal budaya yang terjelma (embodied) di Malaysia seperti seni, penerbitan penulisan akademik popular, jurnalistik, kesusasteraan, gosip maya dan lain-lain sebagai sebuah kunci analitikal menerusi paradigma budaya untuk mengkaji negara bangsa dan nasionalisme Melayu. Daripada pengalaman kebudayaan takrifan pemerintah dan takrifan keseharian setiapnya terbentuk menerusi interaksi aktor dalam realiti rosial. Dan ini memberi legitimasi untuk sesuatu budaya yang mendominasi atau didominasi sekaligus membentuk penerimaan dan pengambilan posisi (position taking). Hal ini malah membentuk lapangan kuasa-idea yang persepstif dilatari oleh pengalaman sejarah struktural kolonial seperti etnisiti dan ketaksamaan ekonomi. Kumpulan-kumpulan sosial yang terbentuk menerusi institusi/ruang formal dan tidak formal yang terbentuk berangkat daripada latar modal budaya yang berbeda-beda kemudiannya menyedari budaya autonomi telah ditanggapi secara arbitrari (berbagai dan tidak tentu) menyebabkan ia menjadi rencana politikal yang perlu dicita-citakan kerana terdapatnya runtuhan simbolik. Keupayaan imaginasi dan keinginan nasionalisme kumpulan-kumpulan ini tentang negara bangsa idaman yang digerakkan oleh moraliti agama, nilai dan mitos etnik telah dimanifestasikan menerusi akumulasi modal budaya dan kecenderungan (dispositions) untuk menanda batas identiti, sosial dan politikal; bagi merebut takrifan budaya.

[Pendaftaran] Bengkel Penulisan Negara Idaman

Program Bengkel Negara Idaman ini merupakan program yang menyediakan platform kepada mahasiswa, anak muda dibawah umur 30 tahun dan mempunyai minat dalam penulisan untuk mendapat didikan inklusif daripada penulis-penulis berpengalaman.

RINGKASAN EKSEKUTIF PROGRAM

Team Selangor merupakan satu pasukan yang mengendalikan Inisiatif Kesedaran Kenegaraan dan Pemerkasaan Komuniti Selangor dengan matlamat memperkasan aktiviti di Negeri Selangor. Dengan semangat untuk meningkatkan kesedaran sivik-kenegaraan, menggembeling tenaga sukarelawan, serta memupuk sikap dan kualiti kepimpinan dalam kalangan anak-anak muda di Negeri Selangor, bahagian Mahasiswa dan Anak Muda Team Selangor akan bekerjasama dengan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) dan Naratif Malaysia (NM) untuk menganjurkan Bengkel Negara Idaman .

Program Bengkel Negara Idaman ini merupakan program yang menyediakan platform kepada mahasiswa, anak muda dibawah umur 30 tahun dan mempunyai minat dalam penulisan untuk mendapat didikan inklusif daripada penulis-penulis berpengalaman. Pemilihan Tema Negara Idaman ini dilihat dapat memupuk nilai patrotisme dan memberi sedikit cabaran kepada peserta dalam penulisan. Identiti, negara dan bangsa adalah tiga perbahasan utama dalam persoalan nasional. Dari sejarah, masyarakat Malaysia bukanlah terbentuk semenjak tahun 1957. Latar belakang dan latar hadapan kepada projek negara-bangsa Malaysia memainkan peranan penting dalam memberi makna kepada apa yang dinamakan sebagai Bangsa Malaysia. Malaysia, yang berlatarbelakang empat tiang utama—agama, bahasa, budaya dan raja—telah memberikan citra utama kepada identiti kebangsaan. Keempat-empat tiang ini menjadi unsur utama kepada kebudayaan Melayu. Hal ini membolehkan kita untuk menilai pendirian peserta dalam isu-isu yang berlensakan politik seterusnya mempermudah pemilih peserta untuk dijadikan penulis Team Selangor.

Oleh itu, Team Selangor akan terlibat sama dengan IKMAS dan juga Naratif Malaysia dalam menjayakan 3 Siri Bengkel dan satu Seminar dalam membentuk sekumpulan anak muda yang berpotensi menulis tentang persoalan identiti dan kenegaraan. Team Selangor akan menguruskan hal-hal berkaitan logistik dan juga pemilihan peserta yang boleh hadir daripada sukarelawan-sekarelawan Team Selangor dariapda IPT.

PELAN OPERASI PROGRAM

Objektif Program

  • Melahirkan satu pasukan penulis yang memberi tumpuan terhadap persoalan identiti dan kenegaraan dengan satu tema khusus: negara idaman.
  • Menghubungkan generasi penulis di kalangan mahasiswa dengan ahli-ahli akademik
  • Menterjemahkan teori dengan merealisasikan konsep-konsep dalam bentuk penyelidikan yang bermutu.

Sasaran

  • Kawasan sasaran: Seluruh Selangor
  • Kumpulan sasaran sukarelawan
  • Kumpulan sasaran penerima manfaat
  • Seramai 30 Mahasiswa, aktivis dan penyelidik bawah 30 tahun
  • ahli-ahli akademik yang terlibat sama dalam bengkel ini

PELAKSANAAN PROGRAM

Program ini akan melibatkan dua bentuk acara: bengkel dan seminar. Walau bagaimanapun, bengkel akan merangkumi tiga siri di samping satu seminar.

BENGKEL 1 (25 September 2019)
Tempat: Bilek Inovasi PJK, Tingkat 1, Bangunan IKMAS

  • Pengenalan kepada “Sejarah Sains Sosial di Malaysia: Isu dan kemungkinannya pada masa depan” oleh Prof. Abdul Halim Ali.
  • Kupasan 1 kepada teori negara idaman oleh Ruhan Shahrir Abdul Halim, Felo Penyelidik KITA.
  • Perbincangan dalam kaedah penulisan bersama dua jurulatih: Haris Zuan dan Ramze Endut
  • Penghasilan abstrak penulisan untuk bengkel seterusnya.

BENGKEL 2 (16 Oktober 2019)
Tempat: Bilek Mesyuarat LESTARI, Sebelah Bangunan IKMAS

  • Kupasan 2 kepada teori negara idaman oleh Ruhan Shahrir Abdul Halim, Felo Penyelidik KITA.
  • Kupasan 3 kepada teori negara idaman oleh Ruhan Shahrir Abdul Halim, Felo Penyelidik KITA.
  • Perbincangan mengenai kaedah penulisan bersama dua jurulatih: Haris Zuan dan Ramze Endut
  • Penerimaan deraf esei untuk semakan jurulatih.

BENGKEL 3 (30 Oktober 2019)
Tempat: Bilek Mesyuarat LESTARI, Sebelah Bangunan IKMAS

  • Kupasan 4 kepada teori negara idaman oleh Ruhan Shahrir Abdul Halim, Felo Penyelidik KITA.
  • Kupasan 5 kepada teori negara idaman oleh Ruhan Shahrir Abdul Halim, Felo Penyelidik KITA.
  • Perbincangan mengenai kaedah penulisan bersama dua jurulatih: Haris Zuan dan Ramze Endut
  • Penyerahan makalah penuh untuk tujuan penerbitan.

SEMINAR NEGARA IDAMAN (November 2019)

  • Pembentangan hasil makalah untuk tujuan penerbitan
  • Pembetulan makalah bersama-sama dengan jurulatih
  • Perbincangan hala tuju

ATURCARA SIRI BENGKEL

BIL MASA AKTIVITI
1 10:00 pagi Pendaftaran Peserta
2 10:30 pagi Slot 1
3 12:30 petang Makan tengahari dan Solat Zuhur
4 2:00 petang Slot 2
5 3:15 petang Minum Petang
6 3:30 petang Slot Penggulungan (Penghasilan abstrak/esei/makalah)
7 4:30 petang Bersurai

BORANG PENDAFTARAN:

Design a site like this with WordPress.com
Get started