Tuntutan Intelektual: Sejarah Kecendekiawanan Kritis Di Malaysia

Saya tegaskan bahawa dengan mengatakan bahawa dengan tradisi sedia ada, jalur yang sudah wujud dan berkembang, kita bukan sahaja memiliki benih-benih intelektualisme dalam masyarakat tetapi lulusan-lulusan universiti. Kita mempunyai puluhan universiti awam, ditambah dengan universiti swasta yang berpotensi menjadi batu-bata bagi pembinaan tradisi intelektual. Namun, persoalannya sejauh manakah mereka ini membaca, mengikuti wacana seperti ini, mengasah bakat untuk berfikir?

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang saya hormati saudara-saudari yang mengikuti syarahan kita yang bertajuk Tuntutan Intelektual: Sejarah Kecendekiawanan Kritis di Malaysia. Dalam kita memerihal dan memperjelas tajuk ini, mahu atau tidak, kita tentulah terhala ke arah perkataan intelektual itu sendiri. Sebentar tadi, saudara moderator telah menjenguk sedikit sebanyak bagi memaknakannya. Bagi memudahkan pembicaraan, kita hanya sekadar merujuk intelektual ini sebagai golongan yang menggabungkan ilmu dan kepekaan sosial. Ertinya, apabila kita mengatakan orang berilmu, mereka tidak semestinya berkelulusan universiti. Cuma kebetulan dalam sejarah, khasnya sejarah moden mereka yang berkaitan adalah berkelulusan universiti.

Tuntutan Intelektual

Jadi, apabila kita mengatakan tuntutan intelektual, kita semacam menghalakan pandangan kepada kelompok yang kadangkala dicemuh sebagai kelompok menara gading. Apabila mereka dapat menurunkan diri, menjenguk ke alam sosial, mereka itu sebenarnya telah menjadi human transformer iaitu orang yang menggunakan brain power yang tidak dibantu dengan kedudukannya di menara gading. Jika inilah halnya, kita mempunyai tradisi yang agak panjang kerana ia boleh merujuk kepada penasihat istana, sarjana intelektual, pemikir sosial dan aktivis awam yang muncul dari semasa ke semasa. Jelasnya, tradisi ini wujud. Persoalan sama ada tradisi ini kukuh ataupun tidak, itu yang akan kita bahaskan. Seperti disebutkan oleh saudara moderator tadi, tradisi ini menepati atau tidak dengan tuntutan zaman.

Kedua, yang menghalakan kita ke arah persoalan ini adalah kerana memikirkan pada akhir-akhir ini wujudnya pendemokrasian. Dengan demokrasi liberal yang menyelubungi kehidupan kita, dengan media sosial yang memungkinkan kita bergerak semakin bebas, malah dengan kebebasan yang diberikan oleh pihak pemerintah sendiri dan dicampur pula dengan globalisasi. Kesemua ini ialah resipi yang seharusnya menyuntik, menggerak dan membolehkan kita melahirkan tradisi intelektual yang lebih kukuh. Hal ini akan kita jenguk juga—apakah pemandulan masih berlaku dalam konteks pembugaran intelektual dalam masyarakat? Ini dua perkara yang akan kita jenguk bersama.

Lima Gelombang Dalam Sejarah Tradisi Intelektual

Dalam syarahan ini, kita juga berhadapan dengan para peserta yang datangnya dari pelbagai universiti dan pusat pengajian tinggi. Apa yang saya nampak mereka ialah generasi baharu atau generasi muda yang belum begitu arif dan kenal lagi dengan tradisi lama kita yang penting. Sebelum kita mengkritik keadaan sekarang, maka ia memerlukan sedikit sebanyak pengetahuan tentang perkara lalu.

Saya pernah menyimpulkan dalam satu ucapan yang panjang lebar suatu masa dahulu bahawa tradisi intelektual kita telah mengharungi sekurang-kurangnya lima gelombang. Pertama, pendakwah di zaman silam dan penasihat istana merupakan transmitters of knowledge. Penerjemah karya-karya agung dari luar seperti Timur Tengah cuba membumikan pengetahuan ini untuk rakyat. Ataupun menasihati raja untuk menjadi raja yang baik, sopan, berkelakuan senonoh dengan kitab-kitab yang mereka sendiri lahirkan. Di Melaka sendiri, tradisi ini agak kukuh dengan Sultan Mahmud Shah yang dikelilingi maulana; Sultan Mansur Shah yang khusus dengan Maulana Abu Bakar; dan sultan-sultan lain. Di samping melahirkan kitab-kitab yang dianggap baik seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka. Manakala di Terengganu, kita pernah mendengar Syeikh Abdul Malik, Sultan Zainal Abidin I, Tok Ku Paloh dan Tok Syeikh Duyung pada zaman Sultan Zainal Abidin III, serta Sheikh Daud al-Fatani dari Patani. Jadi, pengasasan tradisi intelektual telah berlaku. Sama ada merebak atau tidak, kritis atau tidak, itu soal lain. Apa yang penting, adanya kepedulian sosial dalam kalangan ilmuan pada masa itu.

Gelombang kedua tiba di pekarangan hidup kita pada awal kurun ke-20 dengan Syed Sheikh Al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin dan sebagainya yang digelar golongan reformis Islam yang menyelenggarakan islah islamiah—persoalan kemajuan orang Melayu berbanding orang bukan Melayu, kedudukan sosioekonomi mereka dan bagaimana orang-orang Melayu diselubungi khurafat dan bidaah. Jadi, mereka melalui akhbar-akhbar seperti Al-Imam, Al-Ikhwan dan Idaran Zaman telah tampil menyemarakkan semangat pemodenan berdasarkan dan berlatar belakangkan kehidupan bukan Melayu dengan membandingkannya atau menyuluh menggunakan teropong kebaratan tentang kemodenan, kemajuan dan sebagainya. Orang Melayu sedikit sebanyak tersuntik dengan apa yang disebutkan tadi. Malah, apa yang dibawa oleh Abdullah Abdul Kadir Munshi meskipun agak di luar mainstream tadi, dianggap sebagai sebahagian lanskap melalui karya-karyanya seperti Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah.

Gelombang ketiga ialah para sasterawan negara. Meski belum dinobatkan dengan gelaran sedemikian, tetapi mereka ialah sasterawan negara dan penyair negara. Apabila berkembangnya mesin cetak, lahirnya A. Samad Ahmad, Abdullah Sidek dan Harun Aminurrashid. Mereka mengetengahkan minda masyarakat dan mempelopori cita rasa massa. Sesetengahnya terlibat dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM), Kesatuan Melayu Pahang dan sebagainya. Nasionalisme terungkap sama dalam penglibatan mereka seperti ini. Mereka bolehlah kita anggap sebagai intelektual kebangsaan. Nasionalis intelektual yang menjadi jurucakap manusia Melayu yang berada dalam keadaan mundur dan tertekan ketika itu. Jadi, mereka ini tersuluh sama dalam gerakan Asia Untuk Orang Asia yang dibawa oleh pihak Jepun. Mereka dirangsang sama oleh akhbar-akhbar seperti Utusan Melayu, maka lahirlah Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50).

Gelombang keempat yang banyak saya suluh dalam buku saya Penghayatan Sebuah Ideal: Suatu Tafsiran Tentang Islam Semasa (1987), merupakan fenomena pada tahun-tahun 1970-an, 1980-an dan 1990-an, apabila Islam diketengahkan sebagai cara hidup atau ‘a way of life’ yakni Islam sebagai alternatif kepada cara hidup yang lain. Apabila Islam diketengahkan sebagai jawapan kepada pelbagai persoalan, ia telah diperdanakan pada masa itu sehingga lahirnya Universiti Islam Antarabangsa (UIA), takaful, perbankan Islam dan seumpamanya. Kita membawa masuk pemikiran luar melalui globalisasi seperti Abul A’la Maududi dan Sayyid Qutb yang menerpa masuk dan kita memakainya. Walaupun pemikiran sedemikian telah terungkap dalam digest tahun-tahun 1960-an, 1970-an, majalah Pengasuh misalnya, atau dalam koran, ternyata tidaklah merebak seperti mana tahun-tahun 1970-an, 80-an dan 90-an apabila Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) khasnya mengetengahkan idea ini. Ia berlanjutan walaupun anjakan paradigma yang dilalui membuatkannya semacam ditenggelami gelombang intelektual semasa yang akan dibincangkan sebagai gelombang kelima selepas itu.

Gelombang kelima ini menarik kerana ia hasil proses globalisasi. Akibat daripada media sosial, akibat kapitalisme liberal, akibat korporatisme, akibat privatism dan sebagainya. Malangnya, globalisme ini tidak mengakibatkan kita berkembang secara intelektual seperti di Barat. Sekurang-kurangnya korporatisme di Barat melahirkan insaniah itu sendiri dalam konteks kapitalismenya. Mereka mempunyai nilai budinya berdasarkan kapitalisme, tetapi korporatisme kita belum sampai ke tahap itu lagi. Apakah ini kerana ketiadaan intelektualisme dalam korporatisme kita? Meskipun sebahagian daripada korporat ini menjenguk dalam masyarakat dan memberikan bantuan yang berbagai-bagai.

Pemandulan Intelektualisme di Malaysia

Apabila saya telah menyentuh kelima-lima ini, barulah saya akan menyentuh apa yang disebutkan di awal tadi tentang soal mengapakah masih berlaku pemandulan dalam proses intelektualisme yang kita sebutkan tadi? Pemandulan ini ternyata merasuk perasaan kita, ternyata akan menekan kehidupan kita sampai pada hari ini sehingga tidak lahirnya kreativiti dan kepekaan yang diperlukan seperti disebutkan sebentar tadi. Pertama, intelektualisme sebagai trend, gejala, jalur dan jajaran umumnya masih terangkum di bawah kuasa politik dan dalam sistem politik yang mencengkamnya. Gejala atau jajaran intelektual yang ada di negara kita ini masih terikat, tidak mempunyai dinamisme dalamannya sendiri sehingga menjadi counter-consciousness yang berkembang mengikut momentumnya. Kedua, ia adalah kerana wujudnya think tank yang mendampingi, menyaingi gerakan-gerakan seperti ini yang mana golongan ini juga menampilkan intelektualismenya tersendiri. Walaupun ia dicipta dan dibikin oleh pihak pemerintah atau establishment, mereka lebih kaya, mempunyai dana yang banyak dan menandingi gerakan intelektualisme biasa. Oleh sebab itu, gerakan intelektualisme ini menghadapi iklim yang tidak menyenangkan. Seterusnya, apabila ini berlaku tiadanya simbiotik dalam gerakan yang disebutkan tadi, manakala masyarakat pula tidak dianggap sebagai audiens yang apresiatif, tidak begitu menghargai golongan intelektual. Golongan intelektual itu sendiri menyukarkan mereka. Bahasanya besar, kata-katanya tinggi, ilmunya dalam. Ia tidak dapat diterjemahkan. Dalam keadaan itu, masyarakat yang simple-minded barangkali lebih teruja dengan artis, pelakon, golongan korporat yang kaya mudah memberikan wang dan ahli politik yang menslogankan itu ini. Dalam keadaan inilah masyarakat tidak menghargai dan tidak dapat merangsangi intelektualisme itu sendiri.

Kemudian, di samping golongan ini ialah kaum menengah. Di negara-negara Barat, kaum menengah inilah yang berperanan besar kerana mereka menyediakan dana, tempat seperti Keluarga Medici di Itali pada masa dahulu dengan perpustakaannya dan naungannya. Akan tetapi, kita di sini membina kelas yang umumnya selesa, tidak memberati hidup mereka dengan persoalan-persoalan intelektual. Malah, kita menganggap mereka golongan kelas menengah yang tidak begitu bererti dalam hubungan seperti itu. Dalam keadaan kita tidak mempunyai constituency yang subur, kita dapati tahap intelektual ini tidak lah berkembang menjadi trend dan gejala yang dominan yang melahirkan aliran besar school of thought yang diarus perdanakan bagi pembentukan pemikiran. Ertinya, meskipun kita mempunyai the power of intellects tetapi gagal menggabungkannya dengan the politics of ideas seperti mana berlaku di Barat termasuk di Kesatuan Soviet suatu masa dahulu. Gerakan intelektualnya hebat sehingga kita mewarisinya. Malahan, banyak idea di Barat pada hari ini, asalnya berkembang dalam bentuk kearifan lokal sahaja tetapi diangkat oleh segelintir intelektual, dipasarkan melalui buku atau seperti dirujuk sebentar tadi mengikut Prof. Shamsul Amri Baharuddin di mana ilmu kolonial dijadikan kearifan lokal dijaja ke seluruh dunia menjadi rujukan dan akhirnya dinobatkan menjadi idea universal, sama ada berhubung dengan emansipasi wanita, hubungan antarabangsa, hak asasi manusia dan seumpamanya.

Ia perkara yang masih menghantui kita dan turut dibebankan oleh developmentalism. Apa yang saya maksudkan dengan developmentalism ialah keadaan kita terpikat dan terpaku kepada persoalan pembangunan material dan membelakangkan nation-building yang biasanya ialah suatu wadah yang biasanya mampu membugar intelektualisme. Indonesia memulakannya dengan nation-building terlebih dahulu dengan bahasa, pemikiran dan ideologi untuk menjana suatu kekuatan dalam bentuk bangsa Indonesia. Sebab itulah intelektualismenya berkembang, bukunya banyak dan sebagainya. Begitu juga di Pakistan dengan idea Islamnya yang dibawa oleh Abu A’la Maududi. Begitu juga di Rusia dan Perancis semuanya bermula dengan nation-building terlebih dahulu. Akan tetapi, kita ini menumpukan terhadap developmentalism terlebih dahulu. Tahun-tahun 1950-an selepas merdeka, tumpuan dihalakan terhadap pembangunan luar bandar dan penempatan penduduk di dalam bandar sehingga kita melupakan perkara ini. Sekalipun kita menjadi lanskap antarabangsa, kita adalah dalam lanskap intelektualisme Barat. Kita membaca, menterjemah buku dari Barat. Kita tidak berkembang dalam momentum dan dinamisme sendiri memandangkan kita tidak diasak dengan persoalan nation-building seperti mana disebutkan tadi.

Begitulah sekelumit cerita yang telah saya berikan. Saya tidak mahu menutup syarahan ini dengan begitu sahaja kecuali dengan mengatakan bahawa dengan tradisi sedia ada, jalur yang sudah wujud dan berkembang, kita bukan sahaja memiliki benih-benih intelektualisme dalam masyarakat tetapi lulusan-lulusan universiti. Kita mempunyai puluhan universiti awam, ditambah dengan universiti swasta yang berpotensi menjadi batu-bata bagi pembinaan tradisi intelektual. Namun, persoalannya sejauh manakah mereka ini membaca, mengikuti wacana seperti ini, mengasah bakat untuk berfikir? Atau mereka berminat mengisi kekosongan pekerja sahaja? Kedua, jika kita biarkan ini berterusan berlaku, kita tidak akan dapat melahirkan tradisi yang kukuh daripada segi keintelektualan kerana iklim atau persekitaran tidak wujud sehingga membolehkan anggota masyarakat terasuh dengan intelektualisme. Sedangkan di England, orangnya tidak terasuh di universiti tetapi terdedah kepada akhbar, majalah, televisyen dan radio dengan perbahasan yang pelbagai. Mereka berupaya mengangkat diri sebagai intelektual sehingga beberapa orang daripada Perdana Menteri bukanlah lulusan universiti seperti John Major, tetapi diolah oleh keintelektualan dalam masyarakat British. Kita belum sampai ke peringkat itu lagi. Jadi, pemandulan masih berlaku. Pemandulan itu perkataan dalam satu artikel saya diterbitkan dalam Utusan Malaysia pada tahun 1996. Pemandulan masih berlaku. Kegersangan masih wujud.

Terakhir, ingin saya sebutkan apa yang disentuh apabila membahaskan mengenai Almarhum Prof. Syed Hussein Alatas. Penduaan juga berlaku hingga membantutkan. Apabila mereka yang fasih dalam Bahasa Melayu, membaca dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia berada dalam lingkaran Bahasa Melayu. Membaca akhbar berbahasa Melayu, khalayaknya juga berbahasa Melayu. Ia disempitkan dalam lingkaran atau kerangka yang disebutkan tadi. Mereka yang membaca akhbar Bahasa Inggeris, buku-buku dari Barat, mereka juga cuma bergerak dalam lingkaran mereka. Kedua-duanya bertemu, tetapi bertindihan sahaja. Tidak menjadi suatu bahagian daripada keseluruhan yang dinamik. Tanya sahaja mereka yang membaca akhbar Bahasa Inggeris terdiri daripada bukan Melayu khasnya, siapakah intelektual Melayu? Mereka tidak kenal. Jurang dualisme yang berlaku dalam masyarakat ini sedikit sebanyak mengurangkan impak intelektualisme kerana tidak berlaku penggabungan, malah pertentangan yang dipolitikkan sehingga ia terlihat bermusuhan secara berpanjangan. Mereka dalam lingkaran Bahasa Melayu percaya apa yang ditulis dalam Bahasa Melayu dan sebaliknya pula. Kedua-duanya jarang bertemu, tetapi jika bertemu akan bersaing. Ini menyukarkan keadaan.

Jadi, begitulah sebenarnya tuntutan yang ada pada intelektual kita masih terhad. Ia masih belum dapat diantarabangsakan, belum dapat mewarnakan lanskap nasional, belum dapat menjadikan local wisdom kita sebagai global wisdom yang kita inginkan itu. Tidak tahu sampai bila. Saudara-saudari para peserta syarahan hari ini akan menjadi obor yang akan membawanya atas izin Allah. Insya Allah. Sekian. Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Perbincangan Dan Soal Jawab

FAIRUZZAMAN SHAHARUDDIN: Terima kasih Prof. atas syarahan yang saya kira sangat padat dan penuh dengan renungan yang patut kita fikirkan bersama-sama. Dalam hal ini, ada anggapan apabila kita bercakap tentang intelektual, selalunya intelektual bercakap tentang hal-hal mengenai idea. Ada pula yang beranggapan bahawa idealisme bukan suatu hal yang relevan pada masa kini. Sekarang ini, orang lebih berminat dengan hal-hal yang realistik. Ia mungkin disebabkan oleh tuntutan-tuntutan kehidupan yang mengakibatkan pembicaraan mengenai idea agak dikesampingkan.

Bagaimanakah respons Prof. tentang hal itu? Mungkin Prof. boleh juga menyentuh mengenai intelektual awam atau cendekiawan awam. Sekarang ini, apabila Prof. menyatakan mengenai akibat globalisasi iaitu gelombang kelima, wujud percambahan maklumat, khususnya dalam internet secara pantas dan luas. Terdapat juga orang yang menulis, mendapat maklumat khusus daripada pelbagai laman sesawang di internet. Adakah golongan ini juga boleh kita anggap sebagai intelektual? Apakah pandangan Prof.?

PROF. DATO’ MOHAMAD ABU BAKAR: Terima kasih Saudara Fairuzzaman. Ada dua perkara di sini. Mahu tidak mahu, apabila membicarakan tentang intelektual, kita pasti merujuk kepada idealisme. Idea mereka kadangkala berpijak di bumi sekarang, kadangkala berpijak di bumi akan datang, jikalaupun ada. Ertinya, mereka ini melihat ke hadapan atau melihat keseluruhan. Sedangkan orang lain melihat serpihan sahaja. Itu kelebihan dan kehebatan mereka. Mereka melihat masa depan berbanding orang lain yang melihat masa sekarang. Mereka melihat jauh ke hadapan untuk memastikan masyarakat bergerak ke arah satu tujuan tertentu yang jelas.

Kedua, mereka melihat keseluruhan, sedangkan orang yang melihat hari ini hanyalah apa yang terdapat di hadapan mata sahaja. The whole is greater than the sum of its parts. Ia menunjukkan bahawa jika kita tidak memahami keseluruhan, kita tidak akan dapat menghargai yang sebahagian. Kita memahami kedudukan dan kepentingan Malaysia apabila kita memahami regional atau dunianya. Sama juga dengan diri kita. Jadi, intelektual ini juga menyuluh keseluruhan bahagian luar dengan mempertalikan apa yang ada di dalam. Itu kehebatan mereka. Jika kita ingin marahkan mereka kerana itu, kita akan bertanyakan soalan, “Siapakah lagi yang akan membuatnya jika bukan mereka?”

Banyak perkembangan hari ini yang berlaku kerana dahulunya tidak berpijak di bumi nyata. Sama ada dalam bentuk novel sains fiksyen, karya George Orwell dan sebagainya. Mereka intelektual. Mereka boleh dicemuh, tetapi mereka ada asas seperti itu untuk bergerak sebagai intelektual. Mereka ialah pemimpi. Mereka ialah human transformer. Mereka menjana masyarakat dan melahirkan idea masa hadapan. Mereka mungkin ditertawakan sekarang, tetapi 100 tahun akan datang diagung-agungkan. Hal ini berlaku di mana-mana.

Apakah mereka yang terlibat dalam media sosial boleh dianggap sebagai intelektual? Itu bergantung kepada mereka itu siapa. Jika mereka sekadar menjaja apa yang orang lain katakan tanpa memahaminya atau menyebarkan maklumat palsu, saya rasa ini bukan intelektual. Biasanya, mereka yang menjadi intelektual mempunyai ilmu tersendiri yang mampu membugar idea di hadapan mereka, menerjemahkannya untuk masyarakat, mengembangkannya untuk pemulihan sosial dan mengaplikasikan mindanya kepada realiti, sama ada ilmu lain atau realiti hari ini. Mereka mungkin pragmatik, praktikal sekali manusianya, tetapi berdasarkan pencerakinan masyarakat dan keadaan itu sendiri yang dilihat dengan kritis. Dia bukan sekadar menerima ‘dua campur dua jawapannya empat sahaja’. Ia akan melihat sama ada ‘dua campur dua boleh dilonjakkan kepada yang lain dan sebagainya’. Aspek intrinsik yang ada pada mereka ialah minda kritikal, otak yang sensitif, minda yang mampu menyuluh ke luar—‘thinking out of the box’ seperti istilah yang digunakan sekarang.

FAIRUZZAMAN SHAHARUDDIN: Terima kasih Prof. Kemudian, saya turut tertarik dengan persoalan bahasa. Bagi pengetahuan Prof., saya kini berada di Jerman dan melihat satu tradisi soal bahasa tadi. Ini mungkin menjadi satu cabaran, khususnya di Malaysia. Saya boleh katakan semuanya—bukan hampir—teks urusan kerajaan, bukan kerajaan, majalah, surat khabar, semuanya telah diterjemahkan dalam Bahasa Jerman. Maksudnya, buku-buku dari luar yang mereka terjemahkan dalam Bahasa Jerman, sekali gus memperluas akses yang lebih lagi dalam kalangan rakyat. Jadi, saya lihat ini suatu yang menarik bagaimana mereka boleh mewujudkan gerakan penterjemahan pelbagai ilmu daripada pelbagai sumber ke dalam bahasa mereka sendiri. Ini menyebabkan ramai yang dapat mendakap ilmu yang berada di luar Jerman.

Maka, adakah Bahasa Melayu itu sendiri sebagai wadah pembinaan intelektual? Seperti mana golongan ulama Syed Sheikh Al-Hadi, banyak buku diterjemahkan oleh mereka dalam Bahasa Melayu bertulisan Jawi. Bagaimanakah Prof. melihat persoalan bahasa? Adakah bahasa membantu membina intelektualisme dalam kalangan masyarakat kita?

PROF. DATO’ MOHAMAD ABU BAKAR: Soalnya begini, jika kita mempunyai kepakaran dalam satu bahasa dan bergerak dalam lingkaran itu, pemikiran kita akan agak tertutup. Akan tetapi, jikalau kita mempunyai keupayaan untuk berbahasa lebih daripada satu bahasa, maka kita akan menjamah tiga benda. Pertama, kita boleh menggunakan istilah-istilah dalam bahasa luar. Katakanlah dia boleh berbahasa Belanda, Jerman dan Inggeris, banyak istilah-istilah yang boleh disedut bersama. Kedua, bahasa luar itu menjadi jendela kepada kita untuk memahami pengetahuan, mendapat pandangan daripada khazanah luar seperti dari Jerman, British dan seumpamanya. Apabila ada kedua-dua ini, maka tahap keyakinan itu tinggi. Sebab itulah dalam sejarah intelektual kita, kecuali seorang dua sahaja dalam kalangan orang Melayu adalah terdiri daripada mereka yang berbahasa Melayu dan Inggeris, ataupun Bahasa Melayu dan Bahasa Arab yang saudara sebutkan tadi. Tiada masalah untuk berkembang dalam Bahasa Melayu, tetapi intelektual itu memerlukan kepakaran lebih daripada satu bahasa. Dia akan dapat menimba ilmu dari luar. Tidak cukup dengan terjemahan sahaja.

Jerman sendiri memiliki tradisi yang kukuh. Dalam tradisi sejarah falsafah Jerman yang kaya, sama juga seperti orang British. Jika tiada terjemahan pun. Cukup dengan sekadar apa yang ada dalam Bahasa Inggeris sebagai khazanahnya. Pernah disebut begini secara berjenaka ketika saya berada di luar negara dahulu. Orang lain perlu memahami bahasa asal, bahasa ibundanya dan bahasa-bahasa lain. Orang Inggeris katanya, “Just know English and rubbish”. Maknanya, mereka cukup memadai dengan Bahasa Inggerisnya. “The rest is rubbish” menunjukkan Bahasa Inggeris itu dengan dunia besarnya. Hanya dengan pengetahuan Bahasa Inggerisnya itu cukup ‘kenyang’ mereka dengan itu sahaja. Bahkan, orang Arab juga perlu membaca Bahasa Inggeris. Buku tentang dunia Arab, falsafah Arab, ekonomi, politik, hubungan antarabangsa dunia Arab adalah dalam Bahasa Inggeris. Bukanlah tiada langsung, tetapi secara bandingannya.

FAIRUZZAMAN SHAHARUDDIN: Baik Prof. Sebentar tadi Prof. bercakap tentang tradisi dan legasi. Bagaimanakah dengan soal intelektual di Malaysia? Adakah jurang antara tradisi dan legasi?

PROF. DATO’ MOHAMAD ABU BAKAR: Kecuali jika Saudara Fairuzzaman maksudkan bahawa legasi itu ialah tradisi. Jika kedua-duanya sama, maka tiada jurang. Apakah legasi itu berlainan daripada tradisi? Setahu saya, legasi kita masih lagi legasi lama yang mana sebahagiannya ialah tradisi. Atau kita ingin menganggap legasi sebagai ‘historical baggage’ yang menyebabkan kita konservatif, feudal dan sensitif secara yang bukan-bukan. Itu historical baggage yang memakan diri dan membunuh tradisi intelektual. Jika itu (historical baggage), ia boleh saya terima. Tradisi yang feudal, akur dan bersetuju sebelum tahu apa yang patut dipersetujui.

FAIRUZZAMAN SHAHARUDDIN: Soalan ini mungkin agak panas dan kontroversial. Ia mengenai kekangan undang-undang daripada penguasa. Jika kita melihat daripada lingkungan akademik, terdapat kekangan daripada segi undang-undang khususnya penjawat awam. Jadi, kritikan seperti mengenai Ordinan Darurat baru-baru ini, penjawat awam dilarang memberikan komen terhadap dasar-dasar yang mungkin tidak berkesan daripada pihak kerajaan. Jadi, bagaimanakah Prof. melihat peranan intelektual di universiti khususnya yang kebetulah ialah penjawat awam untuk melontarkan pandangan? Saya kira ada pembezaan antara intelektual dalam lingkungan universiti dan intelektual awam yang lebih bebas daripada kekangan sedemikian. Bagaimanakah pandangan Prof. daripada segi itu?

PROF. DATO’ MOHAMAD ABU BAKAR: Jika kita lihat secara bandingan, kekangan apa yang ada pada kita sebagai penjawat awam atau pelajar universiti, tentulah kekangan ini lebih hebat berbanding di negara lain yang tertentu. Ada Perintah-Perintah Am atau General Orders, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), tetapi ruang dan peluang untuk mereka berinteraksi dalam konteks intelektualisme masih besar. Namun, ia tidak dieksploitasi sepenuhnya oleh para pelajar mahupun penjawat awam. Contohnya, dalam kalangan penjawat awam, apabila mereka sudah pencen jarang sekali dalam kalangan mereka ini menghasilkan memoir, karya-karya yang bersifat autobiografi dan sebagainya. Sedangkan di Barat itu berkembang. Mereka mengungkapkan itu dan ini. Para kakitangan Central Intelligence Agency (CIA) sendiri meskipun dikekang begitu hebat sekali daripada badan perisikan itu, mereka melepaskan diri daripada kongkongan dan menghasilkan karya-karya yang sangat penting.

Para pelajar juga begitu. AUKU mempunyai kesan psikologi yang saya sedari. Namun, ruang dan peluang yang ada tidak digunakan oleh para pelajar untuk memupuk intelektualisme sebagai mana dibangkitkan tadi. Ia tidak berpadanan dengan apa yang diberikan kepada mereka daripada segi penglibatan. Sedangkan hari ini ramai yang lahir dalam kalangan universiti awam dan swasta. Pemupukan intelektualisme tidaklah seperti yang kita harapkan. Suasana hari ini lebih bebas dan liberal. Para pensyarah universiti terlibat dalam forum-forum. Malah, mereka dirujuk oleh semua televisyen untuk semua perkara. Sama ada mereka bercakap itu soal nonsense atau tidak, itu soal lain. Persoalannya ialah mereka telah diberikan ruang, skop atau ruang awam untuk memastikan ideanya terjana. Sesetengah itu dibawa ke dalam arus media sosial. Kita menunggu buahnya, hasil kebebasan yang diberikan pada hari ini.

FAIRUZZAMAN SHAHARUDDIN: Terima kasih Prof. atas jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan saya. Saya fikir kita boleh pergi terus kepada sesi soal jawab. Soalan petama daripada Saudara Zawawi Jahya. Intelektual harus bermula dengan idea dan kritikan tetapi wujud kongkongan akta yang membelenggu kebangkitannya. Yang ada ialah pengia sahaja, yang menidakkan idea arus perdana akan terbuang dan tersingkir. Komen daripada Prof.?

PROF. DATO’ MOHAMAD ABU BAKAR: Persoalannya begini. Sebelum seseorang muncul sebagai intelektual, dia harus memiliki pengetahuan yang agak baik. Bagaimanakah beliau ingin berinteraksi dengan pihak lain sekiranya dia tidak memiliki kepakaran dalam bidang tertentu dan keilmuan. Ertinya, dia gersang. Dia perlu mempunyai kesuburan daripada sudut pemikiran terlebih dahulu berdasarkan pengetahuannya. Barulah dia dapat memahami persoalan luar. Kemudian, barulah dia boleh bersetuju dengan kritis atau menolak dengan kritis juga. Sebaliknya, jika beliau menghadapi keadaan kekosongan, itulah yang terjadi soal mengiakan dan akur sahaja apa yang di luar. Itulah prasyarat bagi seseorang intelektual. Jika dia langsung tidak mempunyai ilmu, bagaimana beliau ingin berinteraksi dengan pihak lain yang mempunyai pengetahuan. Maka, baseline bagi soal ini ialah pengetahuan.

FAIRUZZAMAN SHAHARUDDIN: Baik Prof. Soalan kedua daripada Saudara Ooi Kok Hin. Adakah mahasiswa masih menggugat atau tergugat atau digugat? Bagaimanakah pandangan Prof. terhadap gerakan mahasiswa pada masa kini berbanding zaman di mana Prof. menulis buku Mahasiswa Menggugat (1973)?

PROF. DATO’ MOHAMAD ABU BAKAR: Halnya begini. Dalam tradisi di universiti biasanya yang menggerakkan suatu pertubuhan terdiri daripada ‘segelintir yang aktif’. Tidak ramai. Mereka menjadi jurucakap. Kadangkala yang berdemonstrasi itu tidak tahu apapun tentang apa yang mereka demonstrasikan. Mereka menjadi pengikut untuk bersuka-suka sahaja. Maka, kita harus akur bahawa adanya ‘segelintir yang aktif’ sebagai penyuara pemikiran, pandangan dan kritikan. Cumanya pada masa itu golongan ‘segelintir yang aktif’ ini mudah mendapat suluhan apabila Universiti Malaya (UM) merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi. Akhbar di dalam dan luar negara memberikan liputan dan suluhan.

Sekarang ini, apabila wujudnya berpuluh-puluh universiti, surat khabar tidak lagi mengutamakan orang di universiti yang merupakan faktor kedua penyebab kepada idea di universiti kadang-kadang tenggelam dalam bilik darjah, di pekarangan kampus dan seumpamanya. Oleh itu, untuk menonjolkan keintelektualan universiti, mereka mestilah lebih hebat daripada orang luar. Orang di universiti harus outshine orang di luar. Sedangkan sekarang ini orang luar outshine orang di kampus. Tiga faktor keadaan kini. Pertama, mereka menjemput orang luar untuk bersyarah di universiti. Dahulu, orang di universiti yang dijemput ke luar untuk bersyarah. Kedua, think tank yang saya sebutkan tadi orangnya lebih hebat. Jadi, orang di universiti merujuk kepada think tank. Bukan yang sebaliknya. Maka terdapat ketidakseimbangan. Dahulu dari menara gading pergi ke luar, orang di luar menoleh ke atas menara gading dan menimba ilmu di situ, serta menerima panduan dari situ. Ketiga, orang di universiti terikat dengan employability untuk mendapatkan pekerjaan. Keadaan dahulu, pelajar dari universiti menjadi rebutan. Tidak kisah dicap hitam atau kuning. Selepas dua atau tiga bulan akan mendapat pekerjaan. Sekarang ini, apabila lambakan graduan berlaku, orang lebih memikirkan untuk menjaga periuk nasi. Biarlah kita berterus terang tentang hal ini. Ketiga-tiga faktor ini menghambat keadaan kini.

FAIRUZZAMAN SHAHARUDDIN: Saya teringat istilah daripada Sasterawan Negara A. Samad Said iaitu ‘carma’—‘cari makan’. Seterusnya, saya persilakan Saudara Naser Rahman untuk mengemukakan soalan kepada Prof.

NASER RAHMAN: Saya membayangkan tidak susah bagi orang putih yang sudah established dengan Bahasa Inggerisnya, orang Arab yang ada kitab Al-Quran dalam bahasanya sendiri. Jadi, di sini kita berbahasa Melayu. Tiada Bahasa Inggeris mahupun Bahasa Arab. Bahasa Sanskrit juga telah mati. Kita berdepan dengan masalah bahasa yang mana istilah ‘jati diri’ contohnya berasal daripada Bahasa Sanskrit secara etimologi. Bahasa Arab juga hanya segelintir kita yang mempunyai kemahiran dan kepakaran. Jika menggunakan Bahasa Inggeris, kita berhadapan pula dengan ancaman kolonialisasi ilmu. Sehubungan itu, saya teringat kepada pengenalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ‘untuk memperkembang potensi diri’ yang mana ‘potensi’ itu adalah asalnya daripada Bahasa Inggeris. Kenapakah kita tidak menggunakan istilah ‘jati diri’ kerana ia merupakan jantung orang Melayu itu sendiri? Perkataan ‘akal’ juga tiada, digunakan pula ‘intelek’. Perkataan ‘emosi’ digunakan, perkataan ‘perasaan’ dibuang. Di sini, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dari dekad 1980-an, 1990-an masih digunakan dengan masalah yang saya sebutkan tadi dan dengan kacau bilaunya, tanpa kita cuba mengungkapkannya mengikut falsafah Melayu Nusantara kita sendiri. Mungkin Prof. boleh ulas perkara ini. Terima kasih.

PROF. DATO’ MOHAMAD ABU BAKAR: Terima kasih kepada Saudara Fairuzzaman dan Saudara Naser yang bertanya. Sebahagian jawapan yang akan saya berikan adalah sebahagian daripada apa yang telah saya katakan tadi berkenaan nation-building atau pembinaan negara bangsa. Apabila kita berada dalam kemelut yang tidak menentu, inginkan Bahasa Melayu, kemudian ingin Bahasa Inggeris, maka terjadilah cacamarba. Namun begitu, pengasasan Bahasa Melayu sudahpun ada. Kita sanggup menterjemah karya-karya luar. Kita mempunyai lulusan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Jadi, masih wujud peluang untuk kita menyebar luas skop pemikiran, pengajian dan khazanah Bahasa Melayu dengan mengadunkan yang lepas dengan yang baharu. Apapun, kita harus sedar bahawa Bahasa Melayu hari ini ialah adunan Bahasa Sanskrit, Bahasa Jawa dan Bahasa Arabnya. Tidak menjadi masalah untuk kita memahamkan diri kita dengan menggunakan istilah-istilah luar. Perkataan ‘minda’ yang kita gunakan hari inipun tiada pada masa dahulu sehinggakan timbul pertikaian sama ada ia merujuk kepada intelek atau pemikiran atau hati budi atau keseluruhan mengenai pandang dunia itu. Itu bergantung kepada kita.

Apapun istilah yang digunakan, apa yang penting ialah kita mampu memberikan tafsiran mengikut kemahuan dan komitmen kecuali kita hendak mengekalkan istilah-istilah tertentu kerana etimologinya yang tersendiri. Apa yang penting penguasaan kita daripada segi bahasa dan ilmu sehingga kitalah yang akan mencorakkan ilmu yang ada pada kita. Malangnya, ini tidak berlaku. Ataupun kerana kekangan politik, ini tidak berlaku kerana hambatan politik, menimbang itu dan ini, maka terbengkalai jualah nation-building.

FAIRUZZAMAN SHAHARUDDIN: Baik, terima kasih Prof. Saya persilakan pula Saudara Dolhadi untuk menyampaikan soalan kepada Prof.

DOLHADI: Maaf kerana saya baru sahaja mendengar perbincangan ini, tetapi saya cuba untuk memahami beberapa perkara. Pertama, mengenai intelektual dan introvert kerana sebentar tadi Saudara Fairuzzaman menyebut tentang introvert. Berkaitan antara intelektual dengan introvert, adakah seorang introvert perlu bertukar menjadi extrovert untuk menguar-uarkan keintelektualannya tidak kira daripada segi ilmu, penterjemahan dan lain-lain mengenai keilmuan. Persoalannya, adakah perlu bagi seorang introvert menukar dirinya menjadi seorang extrovert? Atau mewakilkan si extrovert dengan kekal menjadi introvert sedia ada? Pemerhatian saya, introvert mempunyai banyak ilmu tetapi sejauh manakah diperbesarkan ilmu itu?

PROF. DATO’ MOHAMAD ABU BAKAR: Respons saya adalah bahawa istilah introvert dan extrovert ini bersifat generik. Ia bukan sahaja merujuk kepada intelektual. Mereka yang menyimpan, tidak mahu menzahirkan pemikiran dan pandangan ialah introvert atas sebab-sebab psikologi. Sebaliknya, yang memaparkan dan memberitahu segala apa yang ada pada dirinya ialah extrovert yang juga masalah psikologi.

Dalam konteks intelektual, istilah tersebut boleh kita gunakan, tetapi bukan secara muktamad kerana seperti yang saya sebutkan pada awal tadi intelektual ialah gabungan keilmuan dan kepedulian sosial. Jika seseorang itu berilmu, masanya belum tiba untuk menyampaikan pemikiran kerana isunya tidak berbangkit. Bukanlah ertinya dia seorang introvert, tetapi dia sedang menyimpan dengan bijaknya. Begitu juga jika ada isu-isu besar yang perlu ditangani. Tidak semestinya perlu gelojoh, tetapi sebaliknya dia mencerakinkan dan menganalisis persoalan. Bertepatan dengan keperluan masa, dia akan melahirkan ideanya. Maka, apakah itu seorang extrovert? Saya rasa bukan.

Saya ingin mengungkapkan sebaris kata-kata bahawa, “Kita mempunyai ramai orang cerdik, tetapi tidak begitu ramai orang bijak”. Orang cerdik berpengetahuan, belajar dengan mudah, menguasai ilmu dengan mudah, tetapi penggunaan ilmu bergantung kepada situasi dan keadaan, maka ini memerlukan kebijaksanaan. Seorang intelektual mestilah bijak, bukan semestinya hanya berilmu. Soal introvert dan extrovert tidak begitu relevan sangat.

Cumanya, ada intelektual seperti Noam Chomsky seorang ahli linguistik yang terkenal dengan transformational grammar nya sehingga menghasilkan tesis PhD pada usia 20-an yang mana sebahagian tesis diterbitkan menjadi karya klasik oleh Pelican atau Penguin lama dahulu. Namun, beliau telah menjamah persoalan di luar bidangnya. Beliau menyentuh tentang the new mandarin, politik dunia dan soal Palestin. Beliau boleh dianggap oversensitive. Buku beliau terakhir ialah Manufacturing Consent dengan seorang penulis lain Edward S. Herman. Jadi, beliau seorang yang sentiasa sensitif, berinteraksi yang mana saya rasa bukan seorang extrovert tetapi seseorang yang mempunyai banyak pengetahuan dan tenaga sehingga tidak jemu-jemu berinteraksi dengan dunia intelektual. Barangkali dalam kalangan ahli linguistik tidak begitu senang kerana orang ini sudah keluar daripada bidangnya membicarakan pelbagai persoalan. Cukup lengkap dengan apa yang patut untuk berinteraksi, tetapi janganlah tidak ada pengetahuan dan tidak memahami persoalan. Itu kita memasang jerat sendiri.

FAIRUZZAMAN SHAHARUDDIN: Saya fikir mungkin cara penyampaian ilmu kepada masyarakat memang begitu. Saya lihat karya-karya para intelektual ini banyak dihasilkan dalam bentuk tulisan. Seperti Ali Shariati di Iran, beliau turut memberikan pencerahan secara verbal melalui perkumpulan-perkumpulan. Akan tetapi, cara intelektual menyampaikan fikiran melalui tulisan-tulisan yang lebih mudah dicerap oleh masyarakat. Contoh paling dekat ialah Almarhum Syed Hussein Alatas. Jika kita lihat buku-bukunya kebanyakan ditulis dalam bahasa yang mudah. Beliau ada menggunakan istilah yang kompleks, tinggi dan akademik, tetapi kebanyakan penulisannya lebih mudah untuk kita fahami dan dicerap oleh masyarakat. Saya rasa mungkin itulah sebabnya beliau menulis untuk memudahkan pemahaman, baik golongan akademik mahupun golongan biasa atau layman.

Ada satu soalan daripada Saudara Muhammad Ariff. Dalam menuntut budaya kecendekiawanan kritis di Malaysia, wujud dilema untuk menjadi kritis. Pastinya wujud label sama ada kita menyokong pemerintah atau pembangkang. Adakah ini juga menjadi punca keruduman budaya kritis dalam kalangan cendekiawan muda hari ini? Ditambah pula dengan pemerintah yang begitu mengawal dan mengekang budaya kecendekiawanan. Bagaimana Prof.?

PROF. DATO’ MOHAMAD ABU BAKAR: Ya, begini. Saya akan sentuh terlebih dahulu tiga perkara yang disentuh oleh Saudara Fairuzzaman sebelum membicarakan budaya labelling. Pertama, memang ada intelektual yang menghasilkan karyanya dalam bahasa yang sukar, tetapi diterjemahkan menjadi realiti kemudiannya kerana pada zamannya orang tidak begitu memahaminya. Umpamanya, karya Immanuel Kant tidak begitu difahami orang biasa, tetapi ia menjadi rujukan kepada mereka yang memakmurkan dunia melalui demokrasi umpamanya. Konsep-konsepnya dipopularkan kemudian. Kedua, begitu juga dengan konsep-konsep lain yang telah dia sentuh segera seperti Niccolo Machiavelli mengenai zamannya, difahami zamannya tetapi berterusan menjadi rujukan. Ketiga, dia mempropagandakan ideanya, disampaikan diulang dalam saluran-saluran lain yang akhirnya termakan oleh orang. Sebab itulah cara yang diibuat oleh Prof. Syed Hussein Alatas ialah satu bentuk propaganda mengenai intelektualisme, bebalisme dan sebagainya kerana dia menggunakan bahasa yang mudah. Tetapi, apabila kita berbuat begini, kita terpaksa berhadapan dengan risiko. Segalanya mengundang risiko kerana orang menganggap kita gila barangkali. Sebab itulah saya gunakan istilah ‘kegilaan orang yang tidak gila’ kerana orang lain tidak bercakap tetapi dia bercakap, menjadi manusia pinggiran, mengetengahkan sesuatu yang agak luar biasa, tetapi kemudiannya mungkin 100 tahun kemudian barulah orang menghargai. Risiko segera ialah dipulaukan, tidak mendapat pekerjaan dan menganggur. Itu juga ialah tradisi dalam kehidupan seorang intelektual kerana dia ‘rebel with a cause’—seorang pemberontak yang mempunyai idea. Jika dia ingin akur, patuh atau menjadi pak turut, risikonya juga ada. Dia mungkin dianggap sebagai lalang atau pembodek. Ada juga risikonya, bukan tiada.

FAIRUZZAMAN SHAHARUDDIN: Maaf Prof. saya mencelah. Saya sering teringat bahawa Prof. mengatakan tentang ‘juling sejarah’. Bagaimanakah dengan pengalaman Prof. sendiri berkenaan dengan sanggahan tersebut?

PROF. DATO’ MOHAMAD ABU BAKAR: Ramai orang menyalah petik kata-kata itu. Pada masa itu, ada semacam pemikiran sedang dipupuk mengatakan kita ini tidak pernah dijajah. Jadi, selama ini juga kita memperjuangkan kemerdekaan sehingga kita mengisytiharkan kemerdekaan. Apabila dikatakan kita tidak pernah dijajah, ia seolah-olah mengatakan ia hanya apabila orang mengatakan “kamu dijajah”. Tidak semestinya begitu. Penjajahan itu berlaku secara implisit, secara tidak langsung, secara penjajahan bentuk baharu. Untuk menafikan penjajahan, sedang ia terdampar sebagai realiti di hadapan kita, kita mengisytiharkan kemerdekaan, maka sebab itulah saya menggelarkan mereka sebagai ‘juling sejarah’. Ertinya, jika hendak katakan ‘buta’ tidak boleh. Dia ‘juling’. Tidak dapat melihat hakikat sebenar. Sebab itulah saya gunakan, tetapi orang yang ditujukan itu nampaknya masih baik dengan saya. Alhamdulillah.

FAIRUZZAMAN SHAHARUDDIN: Baiklah. Saya boleh rangkumkan jawapan buat Saudara Muhammad Ariff tadi ialah apa yang kita dirikan, hujahkan, seharusnya memang ada risiko yang Prof. hujahkan sebentar tadi. Ada sebab dan akibatnya.

Ada soalan daripada Saudari Ilham Hayati. Apakah pandangan Prof. dengan intelektual yang terlibat dalam politik? Masyarakat mengharapkan perubahan dengan penglibatan intelektual dalam institusi politik, sebaliknya tradisi lama diteruskan. Apakah pandangan Prof.?

PROF. DATO’ MOHAMAD ABU BAKAR: Saya pernah memperkenalkan satu konsep dalam syarahan yang dianjurkan oleh Majlis Profesor Negara (MPN) iaitu ‘pro professor establishment as opposed to pro establishment professor’. Ertinya, jika dia ingin menasihati penguasa atau pemerintah dengan kritis dan kadangkala pemerintah mengikutnya kerana yang baik itu akan akhirnya dipakai. Itu yang saya maksudkan dengan pro professor establishment. Apa yang kita tidak mahu ialah mereka yang dari awal-awal lagi sudah akur dengan kata-kata pemerintah. Seolah-olah mereka ini tidak berfikir langsung. Itulah yang saya maksudkan dengan pro establishment professor. Mereka sudah mengangguk sebelum tahu apa yang patut dan tidak patut diterima. Oleh itu, jika mereka ini terlibat dalam politik, biarlah mereka menjadi kategori pertama.

Secara peribadi, saya terlibat dengan beberapa pihak dalam pemerintah. Saya memberikan pendapat saya. Jika mereka sanggup mendengar ia suatu yang baik. Jika mereka mengikut saranan, maka itu lebih baik. Itu pegangan saya. Namun, biarlah mereka ini dimatangkan dengan fikiran bahawa jika tidak diikut juga apa boleh buat. Kebijaksanaan itu perlu ada di pihak yang menegur kerana manusia yang ditegur itu ada maruah dan harga diri. Oleh sebab itu, carilah saluran untuk menyampaikan pendapat. Itulah sebabnya the medium is also a message. Sesetengah itu main hentam sahaja sehingga berlaku penjurangan antara intelektual dan pemerintah. Jika ingin dekat dengan orang politik, janganlah terlalu dekat. Orang politik ini juga seperti ‘api’ yang boleh memakan. Itu masalahnya. Jangan mudah kecewa kerana orang politik mahu makan segera. Oleh itu, orang intelektual ini harus makan lagi jauh.

FAIRUZZAMAN SHAHARUDDIN: Baik Prof. Bagi soalan seterusnya, saya akan sampaikan soalan daripada Saudara Razan. Masa sekarang bukan sahaja bergelut dengan kekurangan intelektual yang mempunyai ketekalan dan kejituan idea, tetapi berhadapan kemiskinan wacana baik politik mahupun budaya dalam “intelektual-intelektual” yang ada sekarang. Media sosial mempercepat dan memperluas idea seseorang, tetapi pada masa sama ia merudumkan mutu sesuatu wacana itu. Penulisan lebih bersifat reaktif berbanding benar-benar membahaskan sesuatu isu. Kemiskinan wacana ini diterjemahkan pula kepada kemiskinan idea dalam kalangan masyarakat sivil, termasuk di universiti kelihatan tidak mampu mengemukakan pendekatan baharu bagi isu-isu lama mahupun baharu. Tambahannya, apabila wujud pemisahan secara sedar, pembezaan antara mereka yang bergulat dengan idea intelektual khususnya, tetapi tidak turun ke padang digelar sebagai ‘armchair’ atau ‘ivory tower’, berbanding mereka daripada NGO yang berpegang kepada falsafah ‘kerja buat dan turun padang’. Perbezaan ini setidak-tidaknya merencatkan pembangunan wacana berkenaan masyarakat, sekali gus memperlahankan satu-satu agenda perubahan. Sebagai seorang yang telah memerhatikan secara dekat perkembangan wacana intelektual dan gerakan aktivisme tahun 1970-an, bagaimanakah Prof. menanggapi hal ini? Saya fikir, selain gerakan intelektual dan aktivis, mutu wacana juga penting bagi memanjangkan agenda perubahan. Jadi, di sini saya fikir Saudara Razan ingin membawa persoalan mutu wacana mereka yang dikatakan sebagai golongan “intelektual” atau NGO. Silakan Prof.

PROF. DATO’ MOHAMAD ABU BAKAR: Kita tidak seharusnya merangkumkan intelektual sebagai satu kategori. Kita ada ‘armchair scholars’ yang membicarakan hal-hal mengikut teori-teori tertentu untuk disampaikan kepada para pelajar. Ada mereka yang turun padang, menggunakan pemikiran mereka untuk diaplikasikan di peringkat sosial dengan menyertai NGO dan seumpamanya. Kita tidak dapat menafikan di mana-mana pun di dunia, memang ada golongan seperti ini. Masing-masing membawa diri mengikut cara masing-masing. Kedua, sensitiviti masyarakat perlu dipupuk melalui pembacaan dan forum-forum. Namun, pada hari ini saya dapati bahawa walaupun banyak pelajar di universiti swasta dan awam, penglibatan mereka masih terbatas. Setiap kali ada forum, seminar dan apa-apa acara, bilangan mereka masih kecil.

Pada tahun 1960-an, walaupun bilangan pelajar masih kecil, setiap kali ada wacana yang diterokai pihak kiri atau sosialis umpamanya, pihak lain juga datang untuk mendengarnya. Jika ada wacana yang berbaur keislaman, pihak kiri, sekular atau moden turut hadir sama. Semua pihak semacam bersama-sama meraikan pemikiran berbeza. Namun, kini ia seolah-olah telah dikelompokkan tajuk-tajuk dan orang-orangnya sudah boleh dikatakan menerima idea itu yang akur sahaja dengan apa yang disampaikan. Mereka tidak melakukan percambahan pemikiran. Hal ini adalah malang dalam kalangan audiens itu sendiri. Kita ingin audiens yang kritis. Pergi semua tempat dan dengar untuk mendedahkan diri kepada semua. Barulah pengkayaan berlaku. Inilah juga yang menjadi punca kepada kegersangan yang dimaksudkan oleh Saudara Fairuzzaman tadi. Kita juga harus lebih terus terang tentang hal ini. Malu, malas atau tidak mahu menyertai gelombang intelektual itu sendiri juga menjadi faktor.

FAIRUZZAMAN SHAHARUDDIN: Baik, terima kasih Prof. Jika kita lihat baru-baru ini terdapat peranan golongan kiri dalam polemik buku teks Sejarah Tingkatan Empat pelajar-pelajar di Malaysia. Banyak webinar, forum dan syarahan yang dilakukan dalam kalangan sarjana. Ada dalam kalangan mereka sebenarnya mengiktiraf kewujudan peranan golongan nasionalis kiri Melayu, mahukan pengiktirafan yang lebih buat nasionalis yang dikatakan golongan kanan. Dalam wacana akademik, ia suatu yang biasa kerana sememangnya terdapat golongan kiri yang memulakan perjuangan kemerdekaan, tetapi bagi masyarakat umum golongan kiri dilihat semacam ada suatu hal yang negatif pada pembinaan negara bangsa atau masyarakat Malaysia. Dalam hal ini, suatu hal adalah bahawa ia merupakan fakta sejarah, sementara daripada satu segi lain, kita mahukan percambahan idea kritis yang mungkin membawa satu naratif yang baharu dalam kalangan masyarakat. ini membawa wacana akademik ke dalam masyarakat umum. Bagaimanakah Prof. melihat hal ini?

PROF. DATO’ MOHAMAD ABU BAKAR: Di sini ada dua perkara. Pertama, isu besar, universal iaitu sama ada sejarah ialah realiti ATAU kedua, pemahaman tentang masa lepas. Jika sejarah ialah pemahaman tentang masa lepas, maka ia akan dipengaruhi banyak perkara seperti sentimen politik, perasaan peribadi, pembawaan budaya dan sebagainya. Itu tidak dapat dielakkan. Tiada sejarah yang tidak dilanggar atau dikaburi persepsi. Sejarah ialah sesuatu yang subjektif.

Namun, saya juga terlibat dalam polemik ini apabila bersyarah dengan seorang tokoh politik mengenai penulisan semula sejarah Malaysia apabila ada usaha untuk menempatkan tokoh-tokoh kiri dan sebagainya. Juga dalam satu wacana lain yang dianjurkan oleh sebuah akhbar mengenai tajuk sama, persoalan yang saya angkat adalah bahawa kita perlu memberikan tempat kepada mereka yang dipinggirkan. Ertinya, kita perlu berlaku adil jika ada sumbangan daripada mereka, tetapi hari ini isu penulisan buku itu diheret oleh sesetengah pihak yang berbaur dan berkepentingan politik. Apabila ia menolak A, dia mahukan Z. Apabila dia mahukan Z, dia menolak A. Maka, tiada lagi kompromi apabila hujahnya itu berlandaskan politik. Apa yang kita mahu ialah apa yang tiada diadakan kerana ia memang patut ada. Jangan kita marah berlebihan dengan apa yang diadakan ini kerana ia memang patut ada. Akan tetapi, apabila kita mengadakan apa yang patut ada sehingga kita beranggapan bahawa itulah segala-galanya, itu menjadi isu juga. Itu yang berlaku sekarang. Apabila kita ingin menelanjangkan kekurangan, kita juga ingin menelanjangkan kekurangan di pihak yang lain. Ia suatu yang tidak patut. Kita mahu sejarah perdana yang kita bina ini berdasarkan sejarah pilihan iaitu sejarah yang telah selamat kita lalui sebagai sandaran masa hadapan kerana nilai-nilai positif yang ada padanya. Bukan bermaksud sejarah yang ada selama ini tidak mempunyai kekurangan. Itulah yang ingin kita buang bagi memenuhi citarasa nation-building yang saya sebutkan tadi.

FAIRUZZAMAN SHAHARUDDIN: Baik, terima kasih Prof. Ada satu soalan daripada Dr. Nazmi Yaakub. Apakah garis pemisah antara fenomena ‘ahli akademik selebriti’ dengan ahli akademik yang menjalankan tanggungjawab sosial dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat? Saya juga masih kabur dengan istilah ‘ahli akademik selebriti’, tetapi mungkin Prof. boleh berikan respons.

PROF. DATO’ MOHAMAD ABU BAKAR: Ahli akademik boleh kita golongkan kepada empat kelompok. Pertama, ahli akademik yang sekadar menjadi guru di universiti. Dia menyampaikan ilmu, mengajar dengan baik dan mengikut kaedah pedagogi. Kedua, ahli akademik pentadbir yang berkedudukan dalam jawatan sebagai contoh dekan, ketua jabatan atau naib canselor. Ketiga, ahli akademik penyelidikan yang menyalurkan pengetahuan dalam bentuk jurnal, buku dan sebagainya. Keempat, ahli akademik yang menjadi intelektual awam yang disebutkan tadi. Jadi, bergantung kepada mereka kerana sukar bagi kita untuk membatasi penglibatan mereka yang boleh dianggap bermaruah dan tidak bermaruah.

Secara kasarnya, mereka harus bercakap mengenai bidang kepakaran mereka. Janganlah menuturkan apa sahaja apabila didekati pihak wartawan, televisyen dan seumpamanya sehinggakan mereka kelihatan murah. Saya perlu menyatakan hal ini kerana untuk jangka masa panjang mereka akhirnya akan dipermain-mainkan oleh masyarakat kerana si profesor ini bercakap sahaja tentang apa-apa perkara yang kadangkala dia tidak tahu pun sehingga merosakkan imej sendiri. Itu sahaja yang dapat saya beritahu.

Oleh itu, untuk membatasi diri, mereka hendaklah menggunakan kebijaksanaan, berpengetahuan tentang bidang yang dimaksudkan, mempunyai maklumat yang mencukupi kerana malang sekali orang yang mempunyai kepakaran walaupun bercakap tentang sesuatu yang dianggap salah, orang tidak mempertikai kerana itu ialah bidangnya. Sebaliknya, orang yang bukan pakar bercakap hal yang betul akan dipersoalkan. Maka, di situlah pentingnya pembidanan dalam kita melimitasikan bidang kepakaran supaya kita dihormati. Sebab itulah di universiti kita anggap itu sebagai pembahagian bersifat akademik. Kita gunakan perkataan disiplin yang merujuk kepada bidang asuhannya melalui pengajian, penyelidikan dan penganugerahan ijazah.

FAIRUZZAMAN SHAHARUDDIN: Baiklah Prof., dengan ruang yang berbaki ini, saya ingin mempersilakan Prof. untuk membuat penggulungan mengenai syarahan pada kali ini.

PROF. DATO’ MOHAMAD ABU BAKAR: Baik, sebelum saya menghuraikan secara umum persoalan yang telah kita harungi ini, saya berharap sebahagian daripada kita ini jika berpeluang sebagai manusia akademik untuk merujuk penulisan saya Manusia Akademik sebagai Intelektual dalam jurnal PEMIKIR yang mana saya telah menghuraikan secara panjang lebar dan terperinci kedudukan orang akademik dalam konteks Eropah, Amerika, malahan kita sendiri. Ia boleh dilihat secara berdampingan dengan syarahan saya pada malam ini apabila saya menghuraikan tentang tradisi intelektual di Malaysia.

Bagi merumuskan segalanya ini, berani saya katakan bahawa kita sedang berada di suatu persimpangan yang sangat menarik. Pertama, kita semakin diheret untuk membicarakan nation-building kembali, setelah sekian lama tercicir. Pembinaan negara bangsa ini menuntut penyertaan dan penglibatan para intelektual. Kita boleh menimba masa lepas, mendapatkan pengalaman dari negara lain tentang bagaimana mereka menangani secara intelektual isu ini. Kita belum lagi sampai ke tahap itu.

Kedua, apabila hari ini kita disimbah oleh globalisasi, demokrasi liberal, hak asasi manusia dan sebagainya. Nampaknya, apabila hari ini kita tidak berbekalkan ilmu pengetahuan yang cukup, tidak mempunyai kehebatan intelektualnya, kita hanya menjadi golongan on the receiving site. Kita hanya berinteraksi setelah isu itu dibangkitkan oleh orang luar. Apabila sesuatu isu menular dalam masyarakat, didatangi dari luar, barulah kita berfikir. Setelah kita berfikir dalam masa yang panjang, isu baharu pula datang. Hal ini sedang berlaku. Oleh sebab kita terbuka kepada dunia luar, banyak persoalan luar yang tiada kena-mengena dengan masyarakat kita telah terdampar dalam masyarakat. Sedangkan para pemikir dan intelektual kita masih pada tahap lama, kemudian dihumban pula dengan persoalan baharu. Kita perlu berhadapan dengan ini.

Ketiga, dengan banyaknya universiti pada hari ini sama ada awam atau swasta, adakah ia menyumbang dengan wajar berdasarkan kadar yang disebutkan tadi. Ertinya, adakah para pelajar kita membaca surat khabar? Adakah para pelajar kita mengikuti forum-forum? Saya takut mereka ini menjadi bookworm sahaja atau menimba pengetahuan daripada internet dengan menjadikan Google sebagai satu-satunya sumber pengetahuan. Saya takut mereka tidak lagi kreatif. Sebaliknya, semua yang mereka mahukan sudah ada. Definisi, cara membuat ayat, semuanya telah diajar melalui komputer. Digitalization ini ada baik dan buruknya. Kita tidak nafikan dengan era digital ini, universiti telah meneroka pelbagai cara sama ada online learning, video conferencing dan sebagainya. Akan tetapi, pokok pangkalnya ialah: adakah kita mempunyai audiens yang berilmu untuk berinteraksi secara atas talian atau kita hanya menggunakan gajet dan aplikasi ini dengan ada seada-adanya sebagai suatu yang baharu dan seumpamanya? Jadi, gejala tidak membaca, tidak mengikuti perbahasan ini menghambat. Mahu tidak mahu, buku merupakan sumber karya yang dapat memberikan laluan kepada intelektualisme yang saya maksudkan tadi.

Keempat, ketergantungan yang berlaku hari ini, apabila orang mengejar cita-cita, ketakutan dan kebimbangan itu ada sehingga mereka tidak lagi bebas untuk berfikir kerana mereka ini mementingkan employability. Pada masa sama, kita mungkin berhadapan dengan tipping point di mana golongan yang ramai tidak mempunyai pekerjaan, yang menganggur ini yang terdesak tidak memikirkan soal employability memikirkan bahawa there is nothing to lose. Hal ini juga berlaku di sesetengah negara yang mana mereka ini telah hilang punca, arah, justeru berbekalkan ilmu pengetahuan, mereka boleh menularkan intelektualisme yang saya sebutkan tadi. Adakah ini telah berlaku di negara Barat? Katakan di Rusia pada masa dahulu.

Kelima, kita juga perlu mendidik audiens dan masyarakat kita. Ini sukar kerana mereka kebanyakannya berada dalam zon selesa. Jika ada ensiklopedia pun hanya dijajarkan dalam almari, tidak dibaca. Jadi, ini menunjukkan bahawa audiens kita sendiri juga sebenarnya tidak membantu untuk menjadi sistem sokongan kepada gerakan intelektual yang ada di negara kita. Sedangkan kita berharap agar mereka ini apabila berduit, singgah di negara lain, terdedah di negara luar, mereka akan terbasuh sama oleh persekitaran luar dan pulang sebagai manusia yang kreatif, bukan pulang dengan ole-ole dalam bentuk cenderamata dan cenderahati sahaja. Tetapi, ramai dalam kalangan pegawai kerajaan, bukan semua yang gembira dengan cenderahati dan cenderamata sahaja. Bukan idea yang diambil dari luar. Inilah kegersangan yang ada. Begitulah sekelumit cerita yang dapat saya sampaikan mengenai tuntutan intelektual.

FAIRUZZAMAN SHAHARUDDIN: Baik, Prof. Jika kita lihat secara keseluruhan, kita dapat beberapa mesej penting untuk kita renungkan dalam syarahan kita pada malam ini. Pertama, Prof. bercakap tentang masalah pemandulan intelektualisme. Saya fikir ini ialah suatu masalah yang besar dan ia menjadi tugas besar para intelektual untuk memugar idea atau stigma yang sedang berlaku di negara ini dalam tempoh yang agak panjang. Gerakan intelektual yang dibungkam atau dimandulkan ini, akhirnya akan mengakibatkan pertumbuhan kritis intelektual masyarakat itu sendiri.

Kedua, tuntutan intelektualisme, kepentingan legasi dan tradisi perlu ditembungkan untuk merancakkan perdebatan di ruang awam. Saya fikir perlu ada lebih banyak ruang-ruang awam untuk masyarakat berinteraksi dan berwacana mengenai apa-apa hal. Pengalaman saya di sini, semua hal boleh dijadikan wacana. Di sini, kita ada konsep yang dikatakan sebagai deliberatif. Setiap perbincangan harus ada peringkat yang khusus. Kalau di Jerman ini begitulah. Setiap orang harus memberikan pendapat masing-masing. Pemerintah atau penguasa harus mendapat maklum balas daripada peringkat di bawah hingga peringkat atas. Saya fikir ini perlu juga diamalkan dalam masyarakat dengan adanya ruang awam yang bebas dengan tidak diganggu gugat oleh pihak penguasa atau mana-mana pihak tertentu yang ingin memperlihatkan kuasa mereka. Jadi, di sinilah kita memerlukan kebijaksanaan intelektual untuk menangani kekangan-kekangan sebegini. Saya fikir boleh saya kaitkan dengan apa Prof. sebutkan tadi apabila ada yang khuatir menjadi intelektual yang kritikal mempunyai risiko tersendiri, itu ialah harga yang harus dibayar untuk menjadi intelektual yang kritis. Jika kita lihat intelektual pada tahun-tahun 1930-an, 1970-an, mereka tidak kaya tetapi nama, jasanya, idea dan intelektualisme nya dikenang dan diperkatakan hingga hari ini.

Saya fikir kita telah sampai kepada penutup. Terima kasih Prof. atas syarahan yang panjang dan padat. Alhamdulillah program pada malam ini berjalan dengan lancar, justeru saya mewakili pihak Naratif Malaysia dan Merdeka Center ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Prof. Mohamad Abu Bakar dan para peserta pada malam ini. Segala salah dan silap, pohon maaf daripada saya jika kurang cermat dalam pemilihan bahasa. Semoga kita bertemu lagi dalam siri syarahan akan datang. Terima kasih.

Rujukan

Herman, E.S. & Chomsky, N. 1988. Manufacturing Consent: The Political Economy of the Mass Media. New York: Pantheon Books.

Mohamad Abu Bakar. 1973. Mahasiswa Menggugat: Suatu Analisa dan Peninjauan dari dalam Terhadap Kegiatan Mahasiswa-Mahasiswa Negeri Ini. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.

Mohamad Abu Bakar. 1987. Penghayatan Sebuah Ideal: Suatu Tafsiran Tentang Islam Semasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohamad Abu Bakar. 1996. Manusia akademik sebagai intelektual. PEMIKIR, April-Jun: 1-33.

Prof. Dato’ Mohamad Abu Bakar merupakan penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin, UniSZA, Terengganu. Manakala tulisan ini merupakan transkrip dari ucapan semasa Syarahan Naratif Malaysia Bil 3/2021 pada 13 Mac 2021.

Peranan Kaum Intelektual: Mencabar Eurosentrisme, Nasionalisme dan Sektarianisme dalam Penghasilan Pengetahuan

Saya ingin membincangkan tentang proses penghasilan ilmu yang Eurosentrik. Sebelum saya terangkan apa yang dimaksudkan dengan Eurosentrik dan Eurosentrisme dalam proses penghasilan ilmu, kita juga perlu tahu konteks di mana Eurosentrisme wujud. Konteksnya ialah imperialisme intelektual (intellectual imperialism) atau imperialisme kecendekiaan. Dalam konteks ini, proses penghasilan ilmu dikuasai institusi-institusi pendidikan dan lembaga-lembaga penyelidikan dan penelitian dari Barat.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih untuk jemputan syarahan ini. Kebetulan, saya ada acara sepanjang hari dari pagi tadi. Ada Seminar Antarabangsa Pemikiran Syed Hussein Alatas pada sebelah pagi yang dilaksanakan menerusi Zoom di Kuala Lumpur dan pada petangnya pukul 2.00 petang ada Siri Seminar Cendekiawan Lestari di Malay Heritage Centre, Singapura. Sekarang ialah acara ini Syarahan Naratif Malaysia. Dalam acara pagi dan petang tadi, saya lebih memerhatikan masalah penghasilan ilmu, khususnya di Nusantara dan dalam bidang Pengajian Melayu. Apa yang dimaksudkan dengan Pengajian Melayu ialah pengajian tentang rantau Nusantara. Ia tidak terhad kepada golongan etnik Melayu, tetapi Melayu dalam erti kata yang lebih luas—dunia Melayu; budaya Melayu; termasuk orang Jawa, orang Sunda dan semuanya. Termasuk juga ialah Filipina kerana pejuang Filipina yang terkenal José Rizal menganggap dirinya Melayu. Beliau mengatakan bahawa orang Filipina adalah sebahagian daripada tamadun Melayu. Saya juga ingin memulakan perbincangan ini nanti dengan Filipina.

Takrif dan Persoalan-Persoalan Intelektual

Perbincangan saya mengenai peranan intelektual di rantau kita akan mengambil perhatian kepada peranan kaum intelektual dalam pembentukan ilmu, khususnya dalam apa yang saya namakan ilmu mandiri. Saya akan jelaskan dengan apa yang saya maksudkan dengan ilmu mandiri. Jadi, saya ingin membincangkan hal itu—peranan intelektual dalam pembentukan ilmu mandiri. Apa yang saya maksudkan dengan intelektual adalah mengikut apa yang ditulis oleh ayah saya Syed Hussein Alatas yang mengatakan bahawa tugas kelompok intelektual adalah untuk berfikir, mempertimbangkan masalah-masalah tertentu dan cuba untuk sampai kepada penyelesaiannya. Kita boleh memahami peranan intelektual sebagai terdiri daripada tiga persoalan iaitu: (i) mengapa kaum intelektual itu diperlukan dalam masyarakat membangun; (ii) apa jenis kelompok yang terbaik untuk memenuhi keperluan itu; dan (iii) rintangan apa yang menghalang kelompok itu daripada dapat berfungsi sebagai intelektual. Jadi, lebih kurang begitu maksudnya intelektual. Akan tetapi, yang penting bagi saya ialah peranan intelektual. Sama ada mereka terdiri daripada orang yang berpendidikan tinggi, mempunyai PhD, ataupun yang tidak mempunyai PhD tetapi masih berfikir. Berfikir secara kreatif, bukan secara tertawan. Jadi, mereka bukan daripada minda yang tertawan. Mereka mempunyai minda yang kreatif. Tidak semestinya mereka yang mempunyai PhD kerana banyak mereka yang mempunyai PhD yang masih minda tertawan, tidak kreatif, tidak menghasilkan ilmu yang baharu. sebaliknya, hanya meniru ilmu yang diturunkan kepada mereka dari generasi ke generasi atau dari luar. Jadi, intelektual itu tidak terhad kepada mereka yang berpendidikan tinggi.

Penjajahan dan Proses Penghapusan Tradisi Ilmu

Sebentar tadi saya sebutkan bahawa saya ingin mulakan dengan sejarah Filipina. Masalah kita bermula pada zaman itu. Kira-kira 500 tahun yang lalu. Persis tahun ini 2021, kalau saya tidak salah pada tahun 1521 atau 1522 dahulu, telah sampai di Mactan – Pulau Mactan di Filipina. Itu sebelum kepulauan tersebut dinamakan sebagai Filipina, sebelum dijajah oleh Sepanyol. Telah sampai di sana kira-kira 500 tahun yang lalu Ferdinand Magellan. Kita semua tahu tentang Ferdinand Magellan. Kita pernah mendengar nama Ferdinand Magellan. Banyak yang ditulis mengenai Ferdinand Magellan. Banyak puisi dicipta mengenai Magellan. Banyak dokumentari dan filem telah dibikin mengenai Ferdinand Magellan. Akan tetapi, apabila kita lihat peristiwa itu, satu proses ‘pendiaman’ berlaku yang mana ia mencerminkan masalah penghapusan tradisi ilmu. Kita dapat memahami proses itu daripada peristiwa tersebut yang mana Ferdinand Magellan sampai ke Filipina dan telah dibunuh di Filipina oleh seorang pemerintah Pulau Mactan yang namanya Lapulapu. Namun, jarang kita temui nama itu. Di Malaysia, kebanyakan orang tidak pernah mendengar nama Lapulapu. Maka, saya mengatakan bahawa perlu kita tahu mengenai Lapulapu kerana pembunuhan Magellan oleh Lapulapu merupakan antara tindakan anti kolonial yang kali pertama di Asia Tenggara, Nusantara. Mungkin di Asia Tenggara yang pertama. Tindakan anti kolonial pertama di Nusantara. Antara yang pertama di dunia. Mungkin yang pertama berlaku di Amerika sewaktu orang Eropah sampai ke Amerika. Mereka ke Cuba, Haiti, dan selepas itu ke Amerika Utara. Setelah itu, mereka sampai ke sini. Mulai pada zaman itu, dengan proses penjajahan rantau kita, telah bermula proses penghapusan tradisi. Termasuk tradisi ilmu. Itu mengambil masa ratusan tahun. Keadaan itu—keadaan penghapusan tradisi termasuk penghapusan tradisi ilmu—menyebabkan pembunuhan tradisi ilmu. Hal itu mengarah kepada penguasaan ilmu dan penguasaan proses penghasilan ilmu yang bersifat Eurosentrik.

Eurosentrisme, Imperialisme Kecendekiaan dan Kebergantungan Akademik

Saya ingin membincangkan tentang proses penghasilan ilmu yang Eurosentrik. Sebelum saya terangkan apa yang dimaksudkan dengan Eurosentrik dan Eurosentrisme dalam proses penghasilan ilmu, kita juga perlu tahu konteks di mana Eurosentrisme wujud. Konteksnya ialah imperialisme intelektual (intellectual imperialism) atau imperialisme kecendekiaan. Dalam konteks ini, proses penghasilan ilmu dikuasai institusi-institusi pendidikan dan lembaga-lembaga penyelidikan dan penelitian dari Barat. Walaupun kita mempunyai institusi-institusi kita sendiri, tetapi dalam proses penghasilan ilmu kita dikuasai dan didominasi institusi dari luar. Itu memang jelas. Tadi waktu pagi semasa acara Seminar Antarabangsa Pemikiran Syed Hussein Alatas, ada perbincangan sedikit mengenai Edward W. Said dan pendapat beliau tentang karya Syed Hussein Alatas iaitu buku beliau Mitos Peribumi Malas. Dikemukakan bahawa Edward W. Said mengatakan buku Mitos Peribumi Malas itu merupakan suatu karya yang startlingly original, yang sangat original dan yang sangat asli secara menonjol. Yang mengatakan hal itu bahawa beliau berasa kagum. Saya juga setuju. Saya juga berasa kagum dan bangga bahawa karya ayah saya begitu dihargai, tetapi ini mencerminkan satu masalah. Ini mencerminkan masalah penghargaan bahawa kita di Malaysia, Indonesia, Singapura, di kebanyakan negara sedang membangun, di institusi pendidikan tinggi kita. Kita bergantung kepada penghargaan dari luar. Maksudnya, lebih penting untuk kita dihargai oleh sarjana-sarjana dari luar. Oleh sebab itu, kita perlu menulis dalam Bahasa Inggeris. Kita perlu menerbitkan makalah-makalah kita dalam Bahasa Inggeris di jurnal-jurnal luar negeri, khususnya di Amerika Syarikat dan Britain, jurnal yang memiliki ranking yang tinggi sebab kita mempedulikan itu. Karya kita bergantung kepada itu. Jika kita ingin kenaikan pangkat sebagai profesor madya atau profesor, lebih penting kita dihargai di sana dan bukan di negara kita sendiri. Kalau saya sebagai pensyarah di Singapura menulis ratusan makalah dalam Bahasa Melayu dan menerbitkan ratusan makalah dalam jurnal-jurnal di Indonesia atau di negara Arab, di Iran, itu tidak akan diambil kira. Ia tidak dianggap sebagai penting kerana itu hanya membuktikan bahawa saya hanya dihargai di dunia bukan Barat. Dihargai di dunia bukan Barat tidak penting, tetapi yang penting kita dihargai di pusat-pusat penghasilan ilmu di Amerika Syarikat dan Britain. Perkara ini merupakan satu aspek yang saya menamakannya sebagai kebergantungan akademik (academic dependency). Kebergantungan akademik itu ialah suatu fenomena yang merupakan satu ciri imperialisme kecendekiaan. Ada aspek-aspek lain kebergantungan akademik. Kita bergantung kepada penghargaan daripada mereka di Barat. Kita bergantung kepada media penerbitan dalam erti kata kita diminta oleh institusi-institusi kita sendiri, kita diminta oleh kementerian pelajaran kita, kita diminta oleh lembaga penelitian institusi kita untuk menerbitkan makalah dan buku di luar negara, khususnya di Amerika Syarikat dan Britain. Jadi, kita bergantung kepada institusi mereka. Namun, yang paling bermasalah ialah: kita bergantung kepada idea, teori, gagasan mereka di Amerika Syarikat dan Britain. Kita bergantung kepada Barat, tetapi yang saya maksudkan dengan Barat bukanlah seluruh Barat tetapi pusat-pusat penghasilan ilmu. Pusat penghasilan ilmu di Barat hanya ada dua atau tiga iaitu: Amerika Syarikat, Britain dan Perancis. Hal ini membawa kita kepada soal masalah Eurosentrisme dan masalah minda tertawan. Minda tertawan lah yang bergantung secara akademik kepada ilmu dari Barat. Kalau minda tidak tertawan, walaupun ia wujud dalam konteks imperialisme intelektual tetapi tidak semestinya ia bergantung kepada gagasan atau teori dari Barat. Ia mungkin akan jadi lebih mandiri walaupun dia hidup dan bekerja dalam konteks imperialis. Namun, jika dia berminda bebas, dia tidak akan bergantung kepada idea-idea dari luar. Jika mindanya tertawan, ia bererti ada kebergantungan dalam erti bahawa teori dan gagasan berasal dari Barat diterima dan diterapkannya. Sekurang-kurangnya ada dua masalah yang muncul daripada kebergantungan ini. Pertama, dalam proses penelitian, proses membaca, menulis iaitu proses menghasilkan ilmu. Dalam proses itu, jika kita hanya membaca, mempelajari gagasan dari luar, ilmu, konsep, idea, gagasan, agenda, penelitian ditentukan dari luar. Hal ini menyebabkan keadaan yang mana kita meminggirkan atau mengenepikan gagasan yang asli dan tempatan. Ada kemungkinan aspek atau realiti yang kita ingin kaji dan fahami terlepas daripada pemahaman kita. Ada juga kemungkinan bahawa kita akan memutar belitkan realiti atau keadaan yang kita cuba fahami.

Masalah Peniruan Konsep Dari Barat Tanpa Daya Kritis

Saya ingin berikan beberapa contoh. Salah satu contoh dalam kita mengajar atau menyelidik tentang sejarah. Katakan sejarah Nusantara. Jika kita hanya meniru konsep dari Barat, satu konsep atau satu dikotomi garis pemisah yang begitu penting sekali dalam sejarah mereka adalah kota-desa. Kota-desa ialah suatu dikotomi yang penting sebab sejarah Eropah ditentukan oleh hubungan kota dan desa. Dalam sejarah Eropah, kemunculan masyarakat moden, kemunculan sistem kapitalis pada zaman moden, kemunculan sistem demokrasi, semua itu berlaku kerana pertentangan antara kota dan desa. Antara kelas-kelas yang ada di kota dan desa, kelas bangsawan dan kelas feudal iaitu kelas bangsawan yang memiliki tanah pada satu pihak bertentangan dengan mereka ialah kelas borjuis ialah kelas yang memiliki modal yang ada di kota. Jadi, sejarah moden Eropah ialah sejarah pertentangan antara kota dan desa. Itu suatu dikotomi yang penting untuk kita memahami sejarah Eropah. Akan tetapi, jika kita ingin memahami sejarah Timur Tengah, dikotomi itu tidak sesuai sama sekali. Sebabnya ialah tiada dikotomi seperti itu. Apa yang ada di Timur Tengah adalah seperti yang dikatakan oleh Ibn Khaldun iaitu pertentangan antara dua jenis masyarakat yang bukan didikotomikan secara kota-desa tetapi masyarakat hadhari dan masyarakat badawi. Masyarakat yang menetap (umran hadhari) dan masyarakat yang mengembara (umran badawi). Masyarakat yang menetap itu termasuk mereka yang berada di kota dan desa kedua-duanya. Masyarakat yang mengembara pula berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan hidup di kawasan padang pasir. Namun, ada ramai sarjana Arab juga yang menguasai Bahasa Arab telah membaca Muqaddimah oleh Ibn Khaldun, tetapi mereka melihat atau memahami Ibn Khaldun dengan kaca mata orang Eropah. Jadi, dikotomi umran hadhari dan umran badawi difahami oleh mereka sebagai dikotomi kota-desa kerana mereka memahami Ibn Khaldun melalui kaca mata atau pengalaman Eropah. Mereka dipengaruhi dan boleh dikatakan sebagai Eurosentrik.

Begitu juga dengan rantau kita. Jika kita ingin mengkaji sejarah pra kolonial atau pra penjajahan Nusantara, katakan lah sejarah Melaka, dikotomi kota-desa itu tidak sesuai. Hal ini kerana masyarakat di sini, dikotomi yang penting untuk memahami sejarah kita bukan kota-desa. Dikotomi yang penting ialah ‘darat dan laut’ kerana di rantau kita, masyarakat kita bukan hanya ada di darat. Masyarakat juga tinggal di laut yang kita namakan Orang Laut, walaupun istilah itu tidak tepat, tetapi faktanya ada masyarakat yang tinggal di laut. Di darat pula, kita ada hulu dan hilir. Oleh itu, dikotomi kota-desa tidak sesuai. Kita dapati bahawa jika kita ingin memahami sejarah masyarakat Nusantara, ada hubungan yang rapat antara masyarakat yang tinggal di laut dan masyarakat di darat. Contohnya, ini lebih kurang mirip dengan apa yang berlaku di Timur Tengah pada zaman pra moden. Pada zaman pra moden, melalui Ibn Khaldun, masyarakat yang mengembara di padang pasir membekalkan kuasa militer kepada sultan yang berpusat di bandar atau ibu kota. Kuasa militernya adalah daripada masyarakat mengembara atau masyarakat Badawi. Begitu juga pada zaman Kesultanan Melaka. Kuasa militer dibekalkan oleh Orang Laut daripada masyarakat di laut. Wujud hubungan yang amat rapat antara orang di laut dan di darat. Jadi, ini hanya untuk menunjukkan teori atau konsep dari Barat tidak semestinya sesuai bagi memahami sejarah kita, budaya kita dan segala aspek kehidupan kita. Inilah yang saya maksudkan dengan masalah Eurosentrisme yang mana kita hanya meniru konsep dan idea dari Barat kerana kita dididik dalam sistem pendidikan dari Barat. Kemudian, kita ambil tanpa kupasan. Ini menjadi masalah.

Masalah Peminggiran Tokoh dan Gagasan Asli Kita

Akibat daripada peniruan konsep ini ialah dua perkara. Pertama, tradisi kita, sosok kita, tokoh kita diketepikan apabila kita mengajar di universiti. Katakan seperti saya mengajar teori sosiologi atau teori antropologi, atau teori dalam bidang geografi, teori politik dan sebagainya. Apabila kita mengajar, kita hanya mengambil tokoh-tokoh Barat. Biasanya, Karl Marx, Max Weber, Emilé Durkheim, Georg Simmel dan sebagainya. Kita hanya mengajar tentang mereka. Jadi, untuk mengajar tentang permulaan teori sosiologi pada kurun ke-19, kita hanya mengambil perhatian tentang mereka. Seolah-olah tidak ada orang bukan Barat dan orang yang bukan lelaki. Seolah-olah tiada yang memikir secara sistematik tentang masyarakat. Sebenarnya ada banyak. Pada akhir kurun ke-19, José Rizal boleh dikatakan sosok pertama di Dunia Melayu yang memikir secara sistematik tentang masyarakat dan telah menghasilkan satu kefahaman dalam bentuk satu teori tentang masyarakat pada zaman penjajahan. Ada yang lain juga pada zaman itu iaitu Raden Adjeng Kartini di Indonesia. Sememangnya ada pemikiran yang agak sistematik tentang masyarakat Jawa pada zaman penjajahan. Akan tetapi, kita mengetahui tokoh-tokoh seperti itu, kita mengenali mereka, tetapi kita masih belum menggali pemikiran mereka dengan tujuan untuk mewujudkan satu badan ilmu, satu teori yang boleh kita katakan merupakan teori yang asli. Itu kita masih belum lakukan. Begitu juga di luar rantau kita. Kalau saya berbalik kepada contoh Ibn Khaldun. Ibn Khaldun diketahui oleh semua orang baik di Barat mahupun di negeri Arab. Namun, kebanyakan kajian mengenai Ibn Khaldun merupakan kajian mengenai Ibn Khaldun, bukan kajian melalui Ibn Khaldun. Yang ingin kita lakukan adalah kajian tentang kenyataan atau realiti melalui Ibn Khaldun, melalui kaca mata Ibn Khaldun, bererti melalui teorinya. Bukan sahaja kajian mengenai Ibn Khaldun. Maksud saya, jangan kita hanya menganggap Ibn Khaldun sebagai objek penelitian. Jangan hanya itu. Kita harus menganggap Ibn Khaldun sebagai subjek. Melalui Ibn Khaldun, kita menafsir sejarah. kita memahami sejarah, kita memahami masyarakat melalui konsep, gagasan dan teori Ibn Khaldun. Itu bererti kita mendekati Ibn Khaldun sebagai subjek, bukan hanya sebagai objek. Kita bukan hanya meneliti tentang Ibn Khaldun, tetapi kita meneliti sejarah tentang masyarakat, tentang kenyataan melalui Ibn Khaldun. Begitu juga dengan Raden Adjeng Kartini, Raja Ali Haji dan José Rizal. Kita menganggap mereka sebagai objek dan bukan sebagai subjek. Jadi, dikotomi pemisahan ini, garis pemisah objek-subjek adalah satu ciri yang bermasalah Eurosentrisme. Dikotomi subjek-objek wujud dalam kalangan sarjana Eropah, sarjana Barat. Malangnya, ia telah meresap ke dalam minda kita sendiri. Maka, kita sendiri mendekati tokoh-tokoh kita sebagai objek sahaja. Ini menjadi masalah.

Masalah Pemutar Belitan Kenyataan

Apa yang lebih parah lagi, lebih menyusahkan lagi daripada meminggirkan tokoh kita dan gagasan-gagasan asli kita adalah kemungkinan gagasan atau ilmu dari Barat itu memutar belitkan kefahaman kita terhadap kenyataan-kenyataan yang kita kaji. Apa yang saya maksudkan dengan pemutarbelitan ialah distortion of the reality. Salah satu contoh yang saya sering membawakan adalah daripada agama Hinduisme. Istilah Hinduisme digunakan untuk menggambarkan, merujuk kepada komuniti keagamaan yang ada di India dan juga yang ada di Nusantara sebelum kedatangan Islam. Jadi, kita sering mendengar ungkapan agama Hindu-Buddha contohnya. Ataupun orang Hindu Bali, orang Hindu Jawa dan sebagainya. Ini merupakan satu pemutarbelitan sejarah kerana pada zaman dahulu kurun ke-15, 16 dan 17, tidak wujud satu agama yang namanya Hinduisme. Tidak wujud satu agama dan tidak wujud juga nama Hinduisme. Sebenarnya, apa yang wujud pada zaman itu ialah pelbagai agama. Ada komuniti yang menganuti Dewa Siva, Dewa Vishnu dan sebagainya. Mereka dianggap sebagai agama yang pelbagai. Bukan sebagai satu agama. Mereka sendiri tidak menganggap bahawa mereka terdiri daripada satu agama. Nama Hinduisme tidak wujud pada zaman itu. Hinduisme gagasan bahawa ada satu agama yang terdiri daripada penganut Dewa Vishnu, Dewa Siva dan sebagainya itu merupakan satu gagasan yang dicipta oleh orang Eropah, orang Orientalis. Ia kerana sewaktu mereka menemui masyarakat di India, mereka melihat dan memahami agama-agama yang ada di India dengan kaca mata mereka sendiri. Sewaktu mereka datang ke benua India, mereka ingin memahami agama yang ada di sana. Orang Islam, Kristian dan Yahudi sudah mereka kenali sebagai agama kerana telah ada pengalaman dengan agama-agama itu, tetapi yang lain mereka tidak tahu. Mereka mengandaikan mereka yang bukan beragama Islam, Kristian atau Yahudi, terdiri daripada satu agama. Itu andaian mereka sebab dengan kaca mata Eropah dan Kristian mereka, seperti di Eropah ada satu agama Kristian yang terdiri daripada beberapa denominasi, begitu jugalah di India. Mereka berfikiran juga di India ada banyak denominasi tetapi semuanya terdiri daripada satu agama yang mereka namakan Hinduisme. Nama al-hind itu berasal daripada Arab. Orang Eropah belajar itu daripada orang Islam. Orang Islam pada zaman itu tidak memahami al-hind itu sebagai satu agama. Hind itu merujuk kepada suatu tempat itu, kepada orangnya, tetapi tidak kepada agama. Namun, ia diandaikan oleh orang Eropah sebagai satu agama.

Kita ada bukti bahawa agama Hindu itu tidak wujud. Sebenarnya ada banyak agama. Kita ada bukti daripada Abu Rayhan al-Biruni seorang sarjana dan alim dari tanah yang kita kenali pada hari ini sebagai Uzbekistan yang menetap di India selama 13 tahun mempelajari bahasa Sanskrit dan menulis sebuah kitab tebal yang namanya Kitab al-Bīrūnī fī Taḥqīq mā li-al-Hind, buku mengenai India. Jelas dinyatakan oleh al-Biruni bahawa tujuan saya adalah untuk meneliti tentang agama-agama di India. Beliau menggunakan jamak. Dalam Bahasa Arab, beliau menyatakan bahawa saya meneliti tentang ad-dian al-Hind iaitu jamak daripada ad-din. Jadi, jelas untuk al-Biruni bahawa yang ada di India adalah pelbagai agama. Itu buktinya. Tetapi, ini yang menarik dan mungkin agak lucu juga. Seorang sarjana Jerman yang menerjemahkan karya al-Biruni kepada Bahasa Jerman dan Bahasa Inggeris. Dalam terjemahan beliau pada waktu sama ketika menterjemahkan karya al-Biruni, beliau mengubah maksud al-Biruni. Seolah-olah beliau meng-oriental-kan al-Biruni yang mana al-Biruni mengatakan ad-dian al-Hind, sarjana Jerman ini menerjemahkannya sebagai agama Hindu. Jadi, beliau memasukkan kefahamannya sendiri ke dalam terjemahannya. Ini menjadi masalah. Seolah-olah jika kita membaca al-Biruni dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Jerman, kita akan tersalah faham terhadap maksud al-Biruni. Oleh itu, ini merupakan Orientalisme melalui terjemahan. Melalui contoh itu kita akan dapat memahami bahawa masalah Eurosentrisme itu akan dapat mengarah atau membawa kepada pemutarbelitan kenyataan.

Selepas itu, terjadi di India mengenai Hinduisme, orang Eropah-Orientalis mencipta gagasan Hinduisme. Sewaktu orang Belanda datang ke Indonesia, mereka dapati ada masyarakat yang menganuti Dewa Visnu, Dewa Siva, mereka mengandaikan bahawa mereka juga ialah orang Hindu dan telah melekat istilah atau nama itu. Lambat laun, orang Indonesia sendiri, orang Jawa sendiri, orang Bali sendiri menganggap diri mereka sebagai orang Hindu. Sekarang, jika kita ke Bali, orang di sana yang bukan Islam menganggap diri mereka sebagai Hindu Bali atau Hindu Jawa dan sebagainya. Kita sendiri di Malaysia merujuk peninggalan yang ada di Lembah Bujang sebagai peninggalan dari zaman Hindu-Buddha, tetapi itu tidak tepat dan tidak betul kerana agama itu tidak wujud pada zaman itu. Saya tidak menafikan bahawa ada tradisi-tradisi keagamaan yang dipengaruhi oleh apa yang ada di India, di Nusantara, di Semenanjung sebelum kedatangan Islam. Saya tidak menafikan itu. Bukan tujuan saya untuk memperkecil pengaruh dari India. Yang saya katakan ialah kefahaman kita mengenai apa itu adalah salah kerana dipengaruhi Eurosentrisme dalam mana mereka melihat kepada realiti kita melalui kaca mata mereka sendiri. Jadi, masalah ini ialah masalah pokok dalam Eurosentrisme adalah peminggiran sosok, tokoh, gagasan yang asli. Selain itu, masalah pemutarbelitan kita tentang sejarah dan masyarakat kita.

Bahasa Kita dan Penghasilan Ilmu Baharu

Oleh yang demikian, hal ini merupakan cabaran untuk intelektual kita. Bukan sahaja untuk mengenal pasti masalah Eurosentrisme, tetapi apa yang lebih penting untuk menghasilkan ilmu baharu, dalam erti menghasilkan teori dan konsep yang baharu. Ini memerlukan kita menggali tradisi, mengenal pasti tokoh-tokoh tempatan atau tokoh bukan tempatan, tetapi tokoh-tokoh yang bukan Barat juga kerana kita bukan sahaja perlu mengambil perhatian kepada yang lokal tetapi bukan Barat dari tamadun lain. Asal kita tidak mengehadkan perhatian kita kepada tamadun Barat. Sememangnya kita tidak harus menolak ilmu dari Barat secara total, tetapi jangan mengehadkan sumber teori dan gagasan kita kepada Barat. Itu satu. Selain itu, kita harus mengambil sikap yang lebih serius terhadap bahasa kerana setakat ini kita tidak menganggap bahasa sebagai khazanah konsep khususnya untuk ilmu kemasyarakatan. Kita hanya menggunakan bahasa, Bahasa Melayu, Bahasa Indonesia hanya untuk menerjemahkan daripada Bahasa Inggeris ke bahasa kita. Hanya untuk alat. Kita memperalatkan bahasa. Kita tidak mengambil bahasa sebagai sumber konsep. Kalau kita melihat kepada bahasa sebagai sumber, ini akan mengarah kepada pembentukan konsep baharu. Saya masih ingat hampir 20 tahun yang lalu, saya bertemu dengan Prof. Dato’ Dr. Abdul Samad Hadi yang ketika itu merupakan Dekan di Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan (FSKK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau dalam bidang Geografi. Beliau memberitahu kepada saya bahawa beliau menulis sebuah makalah tentang konsep ‘merantau’. Beliau menyatakan bahawa, erti ‘merantau’ itu bukan sahaja migrasi tetapi yang terkandung dalam konsep itu tentang pemindahan orang dari satu tempat ke satu tempat lain yang berlainan dengan konsep migrasi yang kita pelajari dalam bidang Sosiologi atau Antropologi atau Sejarah. Kita semua tahu bahawa jika kita berpindah, contohnya dari Pekan ke Pekanbaru, itu disebut atau dinamakan atau difahami sebagai merantau. Jika saya berpindah dari Kuala Lumpur ke Madinah atau dari Kuala Lumpur ke Istanbul, itu tidak disebut merantau kerana dalam perpindahan itu, saya keluar dari rantau budaya saya. Jadi, itu difahami sebagai berhijrah. Kedua-dua istilah ‘merantau’ dan ‘berhijrah’ merujuk kepada perpindahan orang tetapi dalam erti yang berlainan. Jadi, kita mesti meneliti bahasa kita sebab terkandung dalam bahasa kita ialah makna yang berlainan. Ada kemungkinan bahawa istilah-istilah baharu dapat dimasukkan sebagai konsep dalam penghasilan ilmu. Ini hanya akan boleh berlaku jika kita bukan merupakan minda tertawan. Saya rasa ini merupakan cabaran penting bagi intelektual kita.

Penguasaan Negara dan Institusi Keagamaan dalam Wacana Ilmu

Setakat ini, saya membincangkan cabaran intelektual dalam konteks masalah Eurosentrisme, jangan kita andaikan bahawa punca masalah kita berasal dari luar, dari Barat bahawa proses penghasilan ilmu dalam kalangan kita sendiri hanya dipengaruhi apa yang berlaku di luar atau dikuasai masalah Eurosentrisme. Walaupun itu berlaku, pada waktu yang sama, pada pihak yang lain kita mengalami masalah dalaman, bukan hanya masalah luaran. Mungkin cabaran intelektual kita harus fahami dalam konteks masalah dalaman juga. Kita dikuasai oleh penguasaan dan pengawalan daripada negara dan institusi-institusi keagamaan. Jadi, kita wujud di antara dua masalah. Apa yang peribahasa Inggeris katakan, ‘between a rock and a hard place’ atau ‘between the devil and the deep blue sea’, bahawa tiada tempat untuk melarikan diri. Pada satu pihak ialah masalah luar Eurosentrisme, pada masa yang sama masalah dalam negeri iaitu negara dan institusi-institusi agama yang menguasai ilmu kita. Jadi, tujuan intelektual kita seharusnya adalah untuk mewujudkan ilmu mandiri. Mandiri bererti bebas daripada segala bentuk kuasa, sama ada kuasa luar Eurosentrisme atau kuasa dalam seperti negara dan institusi agama. Apa yang saya maksudkan dengan ‘agama’ ialah agamawan atau institusi keagamaan, bukan agama. Bukan maksud saya kita harus bebas daripada Islam atau Kristian dan sebagainya. Tidak sama sekali. Apa yang saya maksudkan, kita harus bebas daripada kuasa agamawan, terutama sekali agamawan yang memelihara pendekatan, wacana dan sebagainya yang sempit. Kita seharusnya tidak membiarkan mereka menentukan wacana kita sebagai ilmuan. Ini sering berlaku di Malaysia. Beberapa tahun yang lalu, mungkin anda ingat peristiwa yang mana seorang sarjana Turki, Mustafa Akyol ditahan di lapangan terbang Kuala Lumpur International Airport (KLIA). Di Malaysia, suatu yang sangat menyedihkan kerana Islam ditakrif secara sempit oleh golongan-golongan tertentu seperti golongan Syiah secara rasmi dianggap sebagai sesat dan mereka dianiayai, tempat mereka diserbu dan sebagainya. Jadi, wacana itu ditentukan oleh agamawan-agamawan tertentu. Itu membawa pengaruh buruk dan kesan yang buruk ke atas wacana intelektual. Sebenarnya, intelektual atau sarjana kita, pensyarah kita, peneliti kita dikuasai, didominasi wacana seumpama itu. Kadangkala seorang pensyarah dikenali atau dikatakan menyokong Syiah atau dikatakan menganut Syiah seperti saya sendiri meskipun saya bukan Syiah, saya berterus terang, tetapi saya membela mereka. Ada satu kali saya diundang untuk memberikan ucaptama di satu persidangan di sebuah universiti di Malaysia, undangan itu ditarik balik kerana jabatan agama di negeri itu atau pihak universiti mengatakan bahawa mereka takut jabatan agama akan mengatakan bahawa saya dilarang mengisi di persidangan itu oleh kerana saya dikatakan menganuti mazhab Syiah. Jadi, penguasaan proses penghasilan ilmu oleh agamawan tidak seharusnya berlaku. Kita mestilah bebas daripada segala jenis penguasaan sama ada daripada luaran atau daripada dalaman.

Seruan Pembentukan Ilmu Mandiri

Saya mengakhiri diskusi saya dengan seruan untuk kita membentukkan ilmu mandiri. Saya merujuk kepada penulisan karya ayah saya yang mana beliau menulis tentang perlunya kita mewujudkan satu tradisi Sains Sosial, Ilmu Kemasyarakatan di Asia yang berautonomi. Autonomous Asian Social Sciene tradition. Saya rasa sejak tahun 1967, waktu Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS) didirikan oleh ayah saya, dalam masa 50 tahun ini, telah muncul satu sekolah pemikiran yang telah dinamakan sekolah ilmu mandiri atau school of autonomous knowledge dipengaruhi Syed Hussein Alatas. Dipengaruhi istilah Asian autonomous Social Science tradition. Telah muncul ‘sekolah’ itu. Apa yang saya maksudkan sebagai sekolah bukanlah institusi, bukan bangunan, walaupun ia berasal dari satu institusi. Dalam kes ini, ia berasal daripada NUS pada masa itu, pada tahun 1967. Yang saya maksudkan dengan ‘sekolah’ ialah tradisi penghasilan ilmu yang berasal daripada satu sosok atau tokoh. Akan tetapi, muncul satu tradisi atau satu pendekatan untuk menghasilkan ilmu, pendekatan yang mana ilmu penjajahan dikupas dan ilmu baharu serta agenda penyelidikan yang baharu didirikan dan dilakukan dalam pelbagai bidang, tidak terhad dalam satu bidang walaupun ia berasal daripada bidang Sosiologi tetapi telah menyebar ke bidang lain seperti Sejarah, Sastera dan sebagainya. Jadi, tradisi ini berterusan dari zaman ayah saya pada hampir 50 tahun lalu, diturunkan daripada generasi ke generasi.

Jika ayah saya merupakan generasi yang pertama, generasi kedua ialah tokoh seperti Chandra Muzaffar, Shaharuddin Maaruf, Noor Aisha Abdul Rahman, saya sendiri dan sebagainya. Ada juga generasi ketiga diwakili oleh tokoh seperti Azhar Ibrahim. Mungkin ada juga generasi keempat. Saya tidak tahu sama ada Teo Lee Ken mahu dikenali sebagai mewakili generasi keempat. Banyak lagi di Singapura, di Malaysia, di Indonesia dan di tempat lain juga. Jadi, ini merupakan satu ‘sekolah’. Bererti dalam satu tradisi. Kalau di Jerman, kita ada Frankfurt School. Di Bombay, sejak 100 tahun lalu, muncul The Bombay School of Sociology. Di Lucknow University ada Lucknow School of Sociology. Di Nusantara ada sekolah ini. Sekolah ilmu mandiri yang muncul sekitar 50 tahun yang lalu. Saya rasa, salah satu daripada tugas kita sebagai sarjana dan intelektual adalah untuk menyedarkan generasi yang muda bahawa ada sekolah seperti ini dan ini merupakan satu sekolah yang asli yang mengupas ilmu penjajahan, yang terlibat dalam proses penghasilan ilmu nyah jajah (decolonial). Ia kerana kita telahpun mengenal pasti kejajahan ilmu. Ia lain daripada penjajahan. Jika kejajahan, ia merujuk kepada coloniality of knowledge. Walaupun kita hidup dalam zaman pasca penjajahan, tetapi masih ada keadaan kejajahan ilmu. Tugas kita adalah untuk menyah jajah ilmu. Ada banyak pendekatan untuk penyahjajahan ilmu, tetapi hanya satu pendekatan yang telah menjelma sebagai sekolah ilmu di Nusantara. Itu ialah sekolah ilmu mandiri. Jadi, saya rasa ini adalah salah satu daripada tugas kita untuk memelihara sekolah ini dan memelihara ilmu yang mandiri bebas dari kuasa luar dan dalam. Sekian.

Perbincangan Dan Soal Jawab

EHSAN SHAHWAHID: Terima kasih Prof. Dr. Syed Farid Alatas atas pengolahan syarahan beliau berkenaan peranan kaum intelektual, khususnya mendepani permasalahan berkaitan Eurosentrisme, nasionalisme dan sektarianisme. Memulakan perbincangan, saya ingin mengambil peluang sebagai moderator perbincangan untuk mengutarakan soalan yang pertama. Bukan soalan yang terlalu asing, tetapi banyak berkait dengan tajuk perbincangan sendiri. Saya kira syarahan Prof. sebentar tadi lebih banyak menekankan elemen-elemen kesan Eurosentrisme daripada satu sisi yang menjejaskan keadaan atau tahap ilmu pengetahuan. Namun, Prof. juga tanpa banyak pengolahan, menerangkan kesan-kesan terhadap ilmu pengetahuan yang mungkin datang daripada masyarakat atau ketamadunan kita sendiri. Saya kira, berkenaan tajuk itu tadi lebih banyak melihat daripada sudut atau aspek kesan nasionalisme ilmu pengetahuan. Saya kira topik atau perkara ini juga penting selain daripada kesan Eurosentrisme yang telah Prof. ulas dengan agak panjang kerana trend-trend kemasyarakatan sama ada daripada sudut sosiopolitik, malahan juga berkaitan keadaan ekonomi dan ilmu pengetahuan yang cenderung mempunyai unsur-unsur nasionalisme yang pada masa ini juga disebut sebagai populisme yang agak ekstrem yang memberikan kesan terhadap politik, keagamaan dan sebagainya. Mungkin Prof. boleh memberikan pengolahan tambahan berkaitan itu? Saya akan buka ruang kemudian kepada rakan-rakan untuk mengutarakan soalan. Silakan Prof.

PROF. DR. SYED FARID ALATAS: Saya tidak memberi pendapat bahawa masalah Eurosentrisme lebih penting daripada masalah dalaman, sebab sektarianisme dan nasionalisme juga masalah. Ia membawa kesan buruk terhadap proses penghasilan ilmu. Namun, saya tidak mempunyai banyak contoh atau data mengenai itu, mengenai masalah dalaman. Apa yang penting di sini, kita mesti mengenal pasti masalah itu. Jadi, jika kita mengatakan contoh daripada sejarah, kajian mengenai sejarah. Cara kita menafsir kembali sejarah. Ini masalah historiografi. Ada banyak karya yang muncul sejak tahun 1960-an mengenai sejarah di Nusantara. Penulisan John R.W. Smail yang menulis tentang autonomous history of Asia atau Southeast Asia. John Bastin telah menulis kemungkinan perspektif sejarah daripada orang Asia. Ayah saya sendiri telah menulis beberapa makalah. Salah satu Theoretical Aspects of Southeast Asian History dan Reconstruction of Malaysian History. Prof. Dr. Syed Naquib Al-Attas juga telah menulis tentang penafsiran semula sejarah. Beberapa makalah dan buku. Yang terakhir adalah buku beliau bertajuk Historical Fact and Fiction. Dalam karya-karya ini, masalah Eurosentrisme diketengahkan. Apa yang jarang diketengahkan dalam penulisan berbentuk historiografi, penulisan kritik tentang cara kita menulis sejarah. Kalau kita menulis sejarah, bererti kita menulis tentang apa yang berlaku pada zaman dahulu. Itu menulis sejarah. Jika kita menulis historiografi, bererti kita menulis tentang cara sejarawan menulis. Itu maksudnya historiografi. Jadi, dalam penulisan historiografi jarang diperhatikan atau diketengahkan masalah ultra nasionalisme. Kita menuduh orang Barat memutar belitkan sejarah kita kerana memakai perspektif atau ideologi yang tidak sesuai dan dengan itu mereka memutar belitkan sejarah kita.

Contohnya, jika mereka menulis tentang sejarah Melaka dan tidak diambil kira dalam penulisan mereka itu hubungan orang Laut dan Orang Darat ataupun kategori laut itu tidak diambil sebagai penting dalam penulisan mereka, kita mengkritik itu sebagai satu pemutar belitan. Kita menuduh dan mengkritik mereka. Itu benar. Akan tetapi, pada waktu yang sama, kita tidak mempersoalkan pemutar belitan yang dilakukan oleh sejarawan kita sendiri. Contohnya, ada pendapat dalam kalangan sesetengah sejarawan atau sarjana di Malaysia yang menyatakan sejarah Malaysia ialah sejarah orang Melayu. Sejarah selainnya, Cina, India dan lain-lain tidak penting. Saya pernah membaca satu penulisan, mungkin makalah atau bab yang mengatakan bahawa orang bukan Melayu merupakan serpihan sahaja dalam sejarah. Ini memang merupakan satu pemutar belitan. Tidak betul. Jadi, saya rasa karya kita atau perhatian kita terhadap masalah ultra nasionalisme adalah kurang berbanding perhatian kita terhadap masalah Eurosentrisme. Masih belum ada banyak kajian mengenai buku teks Sejarah untuk menunjukkan apa caranya mereka menulis sejarah tentang kita. Dalam percubaan mereka membetulkan Eurosentrisme, apakah mereka memasukkan ultra nasionalisme atau sektarianisme?

EHSAN SHAHWAHID: Baik, terima kasih Prof. Dr. Syed Farid Alatas. Sekarang saya ingin buka kepada para peserta lain daripada Naratif Malaysia dan lain-lain untuk sama-sama mengajukan pandangan, soalan dan komentar. Silakan saudari Fatimah Tajuddin.

FATIMAH TAJUDDIN: Assalamualaikum Prof. Dr. Saya Fatimah Tajuddin. Saya merupakan seorang pelajar PhD di Institut Kajian Etnik (KITA) UKM. Latar akademik saya ialah psikologi dan komunikasi. PhD dalam Kajian Etnik. Saya ada soalan mengenai kaedah untuk kita menghasilkan teori atau konsep yang mandiri. Saya amat tertarik dengan isu ini kerana seperti Prof. katakan kita kurang teori khususnya untuk memahami masyarakat di Malaysia. Saya ingin bertanya kepada Prof. tentang pemerhatian Prof. terhadap penggunaan kaedah grounded theory untuk menghasilkan konsep dan teori yang mandiri dalam kalangan kaum intelek di Malaysia. Adakah kami di Malaysia cukup menggunakan kaedah grounded theory ini? Adakah kaedah grounded theory ini merupakan kaedah yang berkesan untuk menghasilkan teori dan konsep yang mandiri?

PROF. DR. SYED FARID ALATAS: Baik, terima kasih. Satu soalan yang bagus. Ia memberi peluang untuk saya menjelaskan sesuatu kerana isunya atau masalahnya bukan soal kaedah. Yang dimaksudkan oleh anda bukan cara mengumpulkan data, tetapi lebih kepada menghasilkan teori. Dalam grounded theory, kita mengumpulkan data dan membentuk teori daripada data. Kita tidak sampai kepada data dengan satu teori. Kita membina teori daripada data yang kita kumpulkan. Itu betul, tetapi saya ingin menimbulkan bahawa masalah kita menghasilkan ilmu yang mandiri atau teori dan konsep yang asli. Yang saya maksudkan dengan asli ialah original. Ini bukan soal kaedah. Sama ada kita mulakan dengan grounded theory, kita mulai di ground atau kita mulai dari langit, itu tidak penting. Apa yang penting adalah bahawa minda kita tidak tertawan. Kalau kita mempunyai minda tertawan, meskipun kita menggunakan grounded theory, mungkin kita akan sampai kepada penemuan yang tidak begitu asli atau tidak begitu menarik. Contohnya, jika kita tidak sedar tentang pentingnya kita mengambil perhatian tentang makna yang terkandung dalam bahasa. Walaupun kita melakukan grounded theory, kita tidak akan sampai kepada gagasan atau idea atau teori yang baharu atau asli. Jadi, saya percaya bahawa grounded theory itu merupakan satu cara yang baik, tetapi asal minda yang melakukan grounded theory itu, yang melaksanakan penyelidikan itu tidak tertawan. Grounded theory bukan satu-satunya cara. Ada kaedah-kaedah lain. Semua kaedah adalah sesuai. Apa yang penting, penyelidik itu mindanya tidak tertawan. Jadi, kita mesti tahu tentang proses penyelidikan kerana ketertawanan minda itu membawa kesan atau mempengaruhi segala tahap penelitian.

Contohnya, kita mulakan dengan pemilihan tajuk. Kenapa kita memilih satu-satu tajuk juga bergantung kepada minda kita tertawan atau tidak. Contohnya, di Malaysia dan Singapura, ramai yang suka meneliti tentang identiti Melayu, seolah-olah identiti itu ialah satu masalah. Sebenarnya identiti bukan masalah dalam kalangan orang Melayu. Ia merupakan masalah masyarakat Barat yang mengkaji tentang orang Melayu. Agenda penelitian itu dihasilkan di sana, diwujudkan di sana. Mereka tertarik dengan tajuk itu dan kita pula meniru. Kita meniru kerana ingin juga mengkaji tentang itu. Itu bukan masalah kita. Kita tidak terkeliru dengan apa yang dimaksudkan dengan Melayu. Jadi, kita seharusnya memilih tajuk yang sesuai dalam erti kata penting bagi masyarakat kita. Bukan penting bagi orang luar dan kita meniru agenda penelitian mereka. Jadi, pemilihan tajuk adalah penting. Selain itu, permasalahan kajian. Apa masalah penelitian kita? Mesti ada soalan yang inti. Persoalan utama. Itu juga dipandu oleh kepentingan kita sendiri, budaya kita, apa yang berlaku dalam masyarakat kita. Sewaktu kita menjawab atau menyelesaikan masalah itu, menjawab soalan utama itu dalam penelitian, jawapan itu ialah teorinya. Sama ada teori itu berasal daripada datanya atau teori itu diterapkan dari luar. Jadi, teori apa yang kita ingin menerangkan? Itu juga berasaskan kepada minda kita – sama ada tertawan ataupun tidak. Jika kita terdedah kepada tradisi yang bukan sahaja dari Barat seperti Amerika dan Britain, ada kemungkinan kita akan menghasilkan penelitian yang lebih asli. Soalnya bukan masalah kaedah. Grounded theory merupakan teori yang sesuai, tetapi kaedah yang lain juga dapat diterapkan asalkan dalam proses memilih tajuk, dalam proses menerapkan teori, kita tidak mempunyai minda yang tertawan. Sebentar tadi, saudari mengatakan bidangnya Psikologi dan Komunikasi. Tesisnya adalah mengenai kajian etnik. Adakah etnik Melayu atau apa?

FATIMAH TAJUDDIN: Saya sedang mengkaji mengenai penggunaan filem indie di Malaysia untuk memupuk saling pemahaman antara etnik.

PROF. DR. SYED FARID ALATAS: Sesuatu yang menarik adalah: adakah identiti etnik ini—walaupun ia wujud dalam bidang Antropologi dan Sosiologi—wujud dalam minda orang Malaysia yang dikaji? Apakah mereka memahami diri mereka sendiri melalui kategori seperti ini? Jika di Amerika, kategori-kategori seperti ini sememangnya mencerminkan identiti yang ada di sana kerana bukan sahaja dalam bidang Antropologi dan Sosiologi tetapi juga dalam masyarakat mereka sendiri. Ada golongan itu dan ini. Ada yang menganggap golongan mereka kulit putih dan kulit hitam. Namun, adakah itu berlaku di Malaysia? Kerana kita telah mengimport kategori itu. Semua bidang itu kita import dan kita gunakan tanpa kupasan. Jadi, jika kita benar-benar membikin grounded theory, bermakna kita akan menghapuskan kategori ini daripada minda kita. Kita bermula betul-betul daripada ground. Mungkin kita dapat menghasilkan kategori yang lain yang baharu.

EHSAN SHAHWAHID: Ada banyak persoalan-persoalan yang sebenarnya ingin ditanyakan kepada Prof. Dr. Syed Farid. Sedikit sebanyak kerana latar belakang minat kajian saya dan apa yang ingin saya fahami juga berkaitan dengan Sosiologi Agama yang mana itu adalah salah satu bidang kepakaran Prof. Dr. Syed Farid. Dalam syarahan tadi banyak menjelaskan tentang bagaimana unsur-unsur kolonial telah turut membentuk bagaimana kita memahami beberapa perkara yang penting khususnya kita masyarakat Malaysia termasuk yang disebutkan tadi tentang konseptualisasi Hindu itu sendiri sebagai banyak agama dipengaruhi oleh kolonial. Minat saya adalah berkaitan dengan Islam sendiri. Sejauh mana bagaimana kita memahami atau bersentuhan dengan wacana berkaitan Islam itu sekarang sebenarnya turut banyak mengandungi unsur-unsur atau diwarisi oleh konseptualisasi yang lebih berbentuk kolonial daripada satu bentuk yang lebih mandiri. Salah satu contoh yang kita boleh lihat kepada peruntukan Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan kita sendiri ‘Islam sebagai ugama Persekutuan’ itu menjadi point penting dalam isu-isu kemasyarakatan yang melangkaui dunia pengetahuan dan akademia, sedangkan konsep keagamaan yang digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri adakah ia sebenarnya juga mengandungi unsur-unsur melalui tradisi yang berbentuk kolonial seperti digunakan oleh banyak sistem kenegaraan lain. Bukan itu sahaja. Sistem perundangan itu juga masih lagi dipengaruhi elemen kejajahan. Banyak institusi keagamaan, institusi kemasyarakatan. Institusi keagamaan contohnya ada beberapa artikel yang cuba melihat bagaimana institusi keagamaan moden Islam, khususnya dalam negara bangsa moden ini sedikit sebanyak ada resemble of the history of the churches, khususnya sejarah Kristian di Eropah atau Barat. Begitu sedikit sebanyak pertanyaan saya. Mungkin Prof. Dr. boleh berikan pandangan atau jawapan. Silakan.

PROF. DR. SYED FARID ALATAS: Ia sesuatu yang agak susah untuk kita selesaikan. Kemungkinan untuk kita berbalik kepada identiti yang hilang atau identiti zaman dahulu, itu tidak mungkin. Tidak mungkin kembali kepada identiti zaman dahulu untuk mencari identiti Melayu yang tulen sebelum pengaruh dari Barat. Dari dahulu ada pengaruh, sehingga selama-lamanya kita merupakan masyarakat yang hibrid atau yang dipengaruhi oleh banyak pengaruh. Jadi, itu tidak mungkin. Apa yang penting ialah apa caranya kita mengalami dan memahami pengaruh-pengaruh yang datang dari beberapa tempat. Itu yang penting. Jadi, kita tidak boleh menolak pengaruh dari Barat kerana kita di Malaysia ialah produk daripada beberapa tamadun iaitu tamadun pra Islam yang dikatakan mereka sebagai tamadun Hindu-Buddha. Ada legasi Islam. Islam sendiri dipengaruhi oleh beberapa lapisan penjajahan: Portugis, Belanda, Inggeris dan sebagainya. Selepas kita menolak mereka dan mencapai kemerdekaan, legasi itu masih ada. Itu tidak boleh dinafikan, ditolak dan tidak mungkin boleh ditolak. Yang kita dapat lakukan adalah untuk mencipta satu identiti yang baharu termasuk ilmu yang baharu, penghasilan ilmu baharu yang lebih kreatif yang sedar akan kemungkinan untuk kita memilih daripada beberapa sumber. Begitu juga dengan négritude. Gerakan négritude pada zaman Aimé Césaire, Frantz Fanon dan sebagainya, mereka menolak kolonialisme, rasisme dan sebagainya tetapi mereka tidak mengatakan bahawa segalanya yang datang dari Barat itu harus ditolak. Mereka tahu bahawa itu tidak mungkin. Pada masa yang sama, mereka memahami bahawa ada alat pemikiran, konsep dari Barat yang kita memperalatkan untuk mengkritik Barat dan untuk mengembangkan teori négritude. Begitu juga dengan kita.

Contohnya, karya Mitos Peribumi Malas itu berdasarkan pendekatan dari Eropah bersandarkan konsep ideologi. Ideologi itu tidak bermakna idea. Banyak mahasiswa menyangka bahawa ideologi itu sama dengan idea atau gagasan. Tetapi ideologi itu merupakan satu konsep. Ia merujuk kepada gagasan yang memutar belitkan kenyataan dan dalam memutar belitkan kenyataan, ia berfungsi untuk memajukan kepentingan golongan yang mempunyai ideologi itu. Itu yang dimaksudkan dengan ideologi. Jadi, ilmu orang Barat atau orang Inggeris pada zaman penjajahan mengenai orang Melayu merupakan ideologi kerana ia memutar belit kenyataan bahawa orang Melayu pada dasarnya adalah malas dan sebagainya. Itu merupakan satu pemutar belitan sejarah tetapi berfungsi untuk memajukan kepentingan golongan atau kelas pemodal atau kapitalis Inggeris pada zaman penjajahan. Jadi, konsep ideologi ini yang telah dikenal pasti oleh Karl Marx dan telah dikembangkan oleh Karl Mannheim dalam buku Ideology and Utopia: An Introduction To The Sociology Of Knowledge adalah satu karya yang sangat penting dalam sejarah Eropah. Ia diambil oleh Syed Hussein Alatas dan dijadikan satu teori kupasan terhadap penjajahan. Maka, boleh kita katakan itu dari Eropah? Sememangnya ia berasal dari Eropah tetapi tidak digunakan secara Eurosentrik. Ia digunakan demi kepentingan kita sendiri. Hal ini bererti bahawa kita menggabungkan kepentingan kita dengan ilmu dari Barat. Jadi, saya rasa cara kita sama ada di peringkat penghasilan ilmu atau di peringkat kehidupan amali, praktikal, seperti sistem perlembagaan, sistem ekonomi dan sebagainya berjalan dengan cara hibrid iaitu menggabungkan apa yang terbaik dari sini dan dari sana—sama ada Eropah, tradisi kita sendiri atau tradisi yang lain yang bukan Eropah dan bukan Melayu. Saya rasa gabungan atau hybridity ialah caranya. Identiti kita ialah identiti yang hibrid. Tidak ada identiti yang tulen, tidak wujud.

ZAHARUL ABDULLAH: Saya ada soalan yang ringkas, tetapi tidak berkaitan dengan tajuk pembentangan. Saya ada membaca berkenaan teori negara kleptokratis yang ditulis oleh Prof. Dr. pada tahun 1999. Saya ingin tahu apa kesamaan dan perbezaan teori negara kleptokratis dan konsep negara predatory yang diutarakan oleh Peter B. Evans pada tahun 1989.

PROF. DR. SYED FARID ALATAS: Saya kenal karya Peter B. Evans tetapi sudah lama tidak membacanya. Saya kurang pasti apa yang beliau katakan mengenai predatory state. Saya terlupa. Boleh saudara sebutkan serba sedikit tentang teori itu?

ZAHARUL ABDULLAH: Saya ada menulis satu artikel tentang negara kleptokratis di Malaysia yang tentunya menggunakan teori negara kleptokratis oleh Prof. Dr. dan predatory state oleh Peter B. Evans. Secara dasarnya, negara predatory itu dibincangkan khususnya daripada aspek atau hubungan antara negara dan masyarakat…

PROF. DR. SYED FARID ALATAS: Kalau saya tidak silap, predatory state merujuk kepada kategori yang lebih luas daripada negara kleptokratis kerana predatory state itu adalah negara yang tindakannya merugikan masyarakat. Akan tetapi, merugikan masyarakat tidak semestinya melalui rasuah. Ada kemungkinan negara atau state dapat merugikan masyarakat secara hukum. Tidak semestinya melalui cara yang tidak hukum. Faham tidak? Maksud saya, bagi predatory state, ada kemungkinan negara atau pemerintah yang berkuasa merugikan masyarakat dengan cara yang legal, secara hukum. Tidak semestinya melalui cara yang illegal seperti rasuah. Di satu state yang begitu berkuasa, situasinya sehingga hukum-hukum negara itu lebih merugikan masyarakat. Itu semua dapat berlaku tanpa rasuah. Akan tetapi, negara kleptokratis berlaku dengan negara itu sendiri melanggar hukum-hukum negara. Jadi, kita boleh katakan bahawa negara kleptokratis adalah satu jenis negara predatory, tetapi negara predatory pula tidak semestinya menjadi negara kleptokratis. Selain itu, teori negara kleptokratis adalah contoh teori yang dihasilkan secara bebas daripada Eurosentrisme kerana ia merupakan satu teori yang menjelma dalam konteks kita sendiri. Teori kleptokratis merujuk kepada bukan sahaja negara yang terlibat dalam rasuah kerana hampir semua negara termasuk di Eropah dan Amerika terlibat dalam rasuah. Di semua negara, ada ahli politik dan ahli pemerintah, ahli kerajaan yang terlibat dalam rasuah. Itu merupakan suatu yang universal. Namun, biasanya di Barat, rasuah tidak menjadi cara utama untuk mengumpulkan modal. Begitu juga di negara-negara yang agak bebas daripada rasuah seperti di Singapura. Di Singapura ada rasuah tetapi kita tidak boleh mengatakan rasuah merupakan cara utama untuk mengumpulkan modal. Namun, di negara kleptokratis, kita menamakan negara itu sebagai negara kleptokratis sebab bukan sahaja ada rasuah tetapi rasuah itu menjadi cara utama untuk mengumpulkan modal sehinggakan ada seorang ahli Ekonomi Politik di Sudan pada 30 tahun yang lalu Ibrahim Kursany yang mana beliau menyatakan rasuah itu the fifth factor of production kerana dalam bidang ekonomi ada tiga hingga empat faktor bagi produksi iaitu tanah, buruh, modal dan keusahawanan. Beliau mengatakan rasuah itu ialah the fifth factor of production. Jadi, rasuah sudah menjadi begitu tersebar. Sudah menjadi suatu yang biasa. Ini boleh dikatakan sebagai suatu gagasan atau teori yang muncul daripada data.

EHSAN SHAHWAHID: Terima kasih Prof. Dr. Farid atas jawapan dan Zaharul atas pertanyaan itu tadi. Saya ingin membuka ruang akhir untuk sebarang pertanyaan. Jika ada mana-mana peserta ingin mengajukan soalan, saya persilakan sekarang.

PROF. DR. SYED FARID ALATAS: Saya ingin menambah mengenai masalah Eurosentrisme ini dan tugas kita sebagai sarjana, sebagai pensyarah. Sememangnya ini merupakan satu masalah yang sukar untuk ditangani. Selain itu, sesuatu yang amat memalukan dengan masalah Eurosentrisme ini sebab kalau kita bandingkan bidang-bidang yang mengkaji tentang Nusantara – apa yang kita panggil sebagai Malay Studies, Indonesian Studies tetapi yang dimaksudkan dengan itu ialah segala bidang yang berkaitan dengan pengkajian tentang Nusantara: Malaysia, Indonesia, Brunei dan sebagainya. Kalau kita bandingkan bidang-bidang itu dengan rantau yang lain seperti Southeast Asian Studies atau Indian Studies atau Middle Eastern Studies atau Arab Studies atau Persian Studies atau Ottoman Studies atau Latin American Studies. Satu perbezaan yang sangat penting, bidang selainnya tidak dikuasai oleh orang Barat, mereka sendiri dalam negeri mereka sendiri telah menghasilkan gagasan dan teori yang memainkan peranan penting dalam menentukan bidang itu. Contohnya bidang mengenai Timur Tengah, Islam di Timur Tengah. Ada banyak tokoh mereka dari rantau itu. Edward W. Said, Anouar Abdel-Malek, Abdul Latif Tibawi, George Antonius. Ramai dalam kalangan ahli Antropologi, Sejarah dan lain-lain. Begitu juga dengan sejarah Uthmaniah. Bukan hanya orang Barat yang menentukan perkembangan dalam pengajian tentang sejarah Uthmani. Ada ramai sejarawan dari Turki – Halil İnalcık, Kemal Haşim Karpat sebagai contoh. Bagaimanapun, di rantau kita sendiri, cuba lihat. Hampir di semua bidang sepanjang yang menyangkut dengan Ilmu Kemasyarakatan dan Kemanusiaan. Hampir dalam semua bidang, konsep yang utama, teori yang utama dan terkenal dihasilkan oleh orang Barat. Contohnya, Sosiologi dan Antropologi. Kajian mengenai Indonesia. Konsep paling terkenal dan paling tersebar dan telah menentukan bidang itu – konsep abangan, santri, priyayi, konsep aliran memang berasal daripada Bahasa Indonesia, daripada orang Jawa. Tetapi dihasilkan oleh Clifford Geertz, oleh Antropolog Barat. Begitu juga di Malaysia, karya-karya sejarah yang terkenal oleh Anthony Reid, Anthony Milner, Leonard Andaya dan Barbara Andaya. Mereka bukan sahaja terkenal tetapi menguasai ilmu itu. Bukan kita sendiri. Perkara ini sangat memalukan. Saya rasa Kerajaan kita tidak sedar tentang masalah ini. Maka, apakah yang boleh kita buat untuk mengubah keadaan ini—yang memalukan ini?

EHSAN SHAHWAHID: Baik Prof. Dr. Saya bacakan juga satu ulasan di ruangan chat oleh Dr. Por Heong Hong dari Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau menyatakan, “…Eurocentrism is deeprooted in the higher education in East Asia and Singapore, but not so much in Malaysia. As far as the public universities are concerned, there is a paradox in terms of academic appraisal. On the top, the administrators (often people with science and engineering background) rely heavily on so called ISI/Scopus etc. or what you call external and Western oriented recognition, to evaluate an academic. Yet, in actual promotion, these parameters are sometimes, if not often, circumvented, especially when non-academic and political forces come into play. On the surface, Eurocentrism appears to be dominant, but there is always a strong current of resistance against this top-downly implemented Western parameter oriented reform…”.

Berkaitan dengan komen ini, saya juga ingin menambah untuk perbincangan bagaimana kita melihat institusi pengajian universiti itu sendiri dalam menghasilkan intelektual termasuklah pada baru-baru ini menjadi satu perbincangan yang hangat di media. Contohnya terdapat laporan tentang sama ada 2500 profesor di negara Malaysia kita ini mencapai kualiti yang diperlukan dan berkredibiliti. Ada pihak yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju. Malah, baru-baru ini, terdapat persoalan sama ada seseorang yang mempunyai PhD itu sendiri ialah ciri penting sebagai seorang intelektual di Malaysia. mungkin sebagai penutup perbincangan pada malam ini, Prof. Dr. boleh memberikan respons terhadap tahap institusi pengajian tinggi, institusi akademik atau intelektual itu sendiri termasuklah komen yang diberikan oleh rakan kita tentang sejauh mana kita perlu bersandar kepada penilaian dan ukuran oleh sistem universiti yang bersifat Eurosentrisme dengan terkejar-kejar untuk memenuhi piawai akademik mahupun intelektual. Silakan Prof. Dr. untuk memberikan ulasan dan penutup kepada syarahan pada malam ini.

PROF. DR. SYED FARID ALATAS: Saya rasa sepanjang yang menyangkut academic appraisal itu masalahnya bukanlah ia Eurosentrik. Masalahnya, ia terlalu teknikal. Itu yang menjadi masalah. Sememangnya kita perlu mengadakan satu sistem untuk penilaian sarjana kita. Akan tetapi, yang menjadi masalah bukan appraisal system tetapi sikap kita. Masalah gila ranking bukan? Itu yang menjadi masalah. Jika kita diminta menulis dan menerbitkan makalah, hanya di jurnal-jurnal Barat iaitu SCOPUS atau ISI. Bermakna kita perlu menulis dalam Bahasa Inggeris. Maka, ini bermakna kita akan mengelakkan daripada menulis dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Indonesia. Perkara ini sedang berlaku. Teman saya yang menjadi editor sebuah jurnal Sosiologi dalam Bahasa Arab di Beirut, nama jurnal itu E-Rafat. Beliau berkata bahawa jurnal itu sukar untuk mendapatkan sumbangan dalam Bahasa Arab yang berkualiti tinggi kerana yang mampu menulis memperuntukkan waktu untuk menulis makalah dalam jurnal dalam Bahasa Inggeris bagi jurnal-jurnal di luar negeri seperti Amerika dan Britain. Oleh itu, mereka yang menyumbang dalam jurnal itu adalah yang berkualiti rendah.

Saya rasa begitu juga di Malaysia. Biasanya ada perbezaan dalam standard. Jika kita bezakan apa yang ditulis dalam Bahasa Melayu dengan apa yang ditulis dalam Bahasa Inggeris, itu tidak boleh disalahkan kepada Bahasa Melayu, sikap kita terhadap bahasa. Kalau pentadbir universiti Kerajaan, Kementerian kalau mereka katakan bahawa kita tidak akan membezakan antara jurnal ISI dan SCOPUS, jurnal Amerika dan Britain, tidak ada beza antara jurnal itu dengan jurnal-jurnal tempatan, asalkan jurnal tempatan itu mempunyai standard dan kualiti yang tinggi. Proses penilaian artikel dan sebagainya mempunyai taraf yang tinggi. Sama ada jurnal itu ialah SCOPUS atau tidak, itu tidak penting. Jadi, mesti dilantik editor jurnal dan sebagainya yang bertaraf tinggi. Maka, soal sama ada jurnal itu SCOPUS atau ISI tidak timbul sama sekali. Jika pihak pentadbir universiti menyatakan bahawa pensyarah menyumbang artikel kepada jurnal seumpama itu, timbal balas sama dengan sumbangan jurnal ISI dan SCOPUS di Amerika dan Britian sebab kita sudah berpuas hati bahawa taraf jurnal itu sama. Senang untuk melakukan itu. Senang jika Ketua Jabatan, Dekan dan Naib Canselor di universiti terdiri daripada orang yang betul-betul merupakan sarjana atau memahami kesarjanaan.

Namun demikian, andai kata mereka bukan pentadbir yang memahami kesarjanaan, bermain politik atau lantikan politik. Mereka dilantik kerana credential politik mereka, mampus lah sistem pendidikan kita. Saya ingin sebut tentang institusi kita di Malaysia dan Singapura. Institusi kita di Singapura sangat Eurosentrik sama seperti di Malaysia. Cuma perbezaannya Eurosentrisme di Singapura wujud pada taraf yang lebih tinggi. Kalau di Malaysia, masih ada Eurosentrisme tetapi ia digabungkan dengan permainan politik dan bermacam-macam masalah.

EHSAN SHAHWAHID: Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada Prof. Dr. Syed Farid Alatas atas syarahan dan komen-komen yang diberikan atas soalan-soalan. Terima kasih juga kepada teman-teman atas pertanyaan-pertanyaan yang diberikan yang saya yakin sedikit sebanyak dapat membantu rakan-rakan Naratif Malaysia memperbaik pemahaman dan pengetahuan kita sendiri. Semoga kita bertemu lagi dalam sesi syarahan, perbincangan Naratif Malaysia yang akan datang.

Rujukan

Abu Rayhan al-Biruni. 1958. Kitab al-Bīrūnī fī Taḥqīq mā li-al-Hind. Hyderabad: Osmania Oriental Publication Bureau.

Evans, Peter B. 1989. Predatory, Developmental, and Other Apparatuses: A Comparative Political Economy Perspective on the Third World State. Sociological Forum, 4: 561-587

Ibn Khaldun. 1969. The Muqaddimah: An Introduction to History. Terj. Rosenthal, F. Princeton: Prince.

Mannheim, K. 1960. Ideology and Utopia : An Introduction to the Sociology of Knowledge. London: Routledge & Kegan Paul.

Smail, J.R.W. 1961. On the Possibility of an Autonomous History of Modern Southeast Asia. Journal of Southeast Asian History, 2(2): 72-102.

Syed Farid Alatas. 1999. Peranan negara dan pembangunan: ke arah sebuah teori negara kleptokratis. Akademika 54: 3-12.

Syed Hussein Alatas. 1962. Reconstruction of Malaysian History. Revue du Sud-est Asiatique, 3: 219-245.

Syed Hussein Alatas. 1964. Theoretical Aspects of Southeast Asian History. Asian Studies, 11(2): 247-260.

Syed Hussein Alatas. 1977. Intellectuals in Developing Societies. London: Frank Cass.

Syed Hussein Alatas. 1989. Mitos Pribumi Malas: Imej Orang Jawa, Melayu dan Filipina dalam Kapitalisme Penjajahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Hussein Alatas. 2002. The Development of an Autonomous Social Science Tradition in Asia: Problems and Prospects. Asian Journal of Social Science, 30(1): 150-157.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas. 2011. Historical Fact and Fiction. Skudai: Penerbit UTM.

Syed Farid Alatas merupakan profesor sosiologi dan pengajian Melayu di National University of Singapore (NUS). Manakala teks ini merupakan transkripsi daripada Syarahan Naratif Malaysia yang beliau sampaikan pada 23 Januari 2021.

[Pendaftaran] Syarahan Naratif Malaysia oleh Mohamad Abu Bakar

Beliau akan membincangkan persoalan yang semakin penting dalam alam akademik di Malaysia, yakni ” Tuntutan Intelektual: Sejarah Kecendekiawanan Kritis di Malaysia.” Penyertaan syarahan ini terbuka untuk kumpulan NM dan lingkungannya sahaja. Walau bagaimanapun pendaftaran awam dibuka di bawah, tetapi ruang yang disediakan bergantung kepada tempat terhad yang berbaki. Setiap peserta yang terpilih akan diberikan pautan menerusi emel pada hari acara.

Ini merupakan pra-pendaftaran siri Syarahan Naratif Malaysia bilangan 3/20202. Syarahan kali ini menampilkan Prof. Dato’ Mohamad Abu Bakar, yang merupakan Penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin, UniSZA, Terengganu. Beliau akan membincangkan persoalan yang semakin penting dalam alam akademik di Malaysia, yakni ” Tuntutan Intelektual: Sejarah Kecendekiawanan Kritis di Malaysia.” Penyertaan syarahan ini terbuka untuk kumpulan NM dan lingkungannya sahaja. Walau bagaimanapun orang awam juga dijemput menyertai Syarahan NM ini dengan melakukan pra-pendaftaran terlebih dahulu di bawah.

Tentatif:

8:30 malam – 9:15 malam: Syarahan oleh Prof. Mohamad Abu Bakar
9:15 malam – 9:45 malam: Sesi Q&A bersama Moderator, Sdr. Fairuzzaman Shaharuddin
9:45 malam – 10:30 malam: Sesi Q&A bersama Peserta dan Penggulungan

BORANG PRA-PENDAFTARAN

Intelektual Awam lawan Akademik Menikus: Wawancara bersama Syed Husin Ali

Sebenarnya dalam sejarah perkembangan sains sosial di Malaysia, ia boleh dikatakan bermula pada 1955 di Singapura. Waktu itu yang mula mengajar ialah Jocelyn Dejong, seorang Belanda. Dia banyak mengajar tentang soal perbandingan adat Minangkabau dengan Negeri Sembilan. Itu lapangan dia. Kemudian lepas itu dia diganti oleh MG Swift. Michael Swift ini bukunya yang terkenal ialah tentang Malay peasantry, dan dia memang banyak menyelidik dan menulis tentang peasantry.

NM: Salam dan selamat petang semua. Ini program audiosiar Naratif Malaysia. Dalam siri ini, Naratif Malaysia berjumpa dan berbincang tentang perkembangan sains sosial dan sejarah sains sosial di Malaysia bersama dengan tokoh-tokoh dan ahli-ahli akademik yang pernah bergerak dan berkecimpung dalam lapangan ini. Kita berbesar hati untuk bersama Dr. Syed Husin Ali pada hari ini. Nama Dr. Syed Husin Ali ini nama yang tidak asing lagi dalam lapangan kesarjanaan dan masyarakat sivil di Malaysia. Dr. Syed pernah menjadi pensyarah di Universiti Malaya dan pernah terlibat terlibat dalam organisasi-organisasi sosial seperti PENA, PSSM, PRM, dan juga PKR. Penglibatan Dr. Syed cukup luas dan pelbagai. Banyak karya yang telah dihasilkan oleh Dr. Syed selama 20 tahun atau lebih dalam dunia akademik dan kemudiannya di luar. Saya percaya Dr. Syed masih lagi aktif menulis. Terima kasih kerana bersama kami pada hari ini.

Apabila saya membuat pembacaan untuk bercakap dengan Dr. Syed, saya ingat lagi sedekad lalu di USM ketika MSC7 anjuran PSSM, saya tertarik Dr. Syed memberi satu ucapan tentang ketidaklibatan ahli akademik yang jauh dari masyarakat.

SHA: Saya gunakan perkataan “yang menikus”.

NM: Pada masa itu, saya baru terlibat dalam dunia penyelidikan dan akademik. Dan ia cukup meninggalkan kesan yang besar. Saya fikir bukan kepada saya saja tapi kepada orang lain juga. Itu sedekad yang lalu. Kemudiannya saya terbayang sekarang, apa pandangan Dr. Syed, adakah kondisi ini masih sama dengan banyak isu yang berlaku sekarang. Adakah kita, ahli akademik khususnya dan masyarakat umumnya, masih menanggapi isu sosial dengan dekat dengan masyarakat dan juga dengan satu analisa dan pendekatan sosial.

SHA: Saya boleh bercakap dengan agak bebas semasa di Penang itu kerana ia dalam satu pertemuan atau persidangan sains sosial. Dan saya pula pernah menjadi presiden PSSM dekat 10 tahun. Mungkin saya tak terbataslah untuk berucap seumpama itu. Saya tak tahulah apa kesan yang ada pada ucapan itu. Tapi pertanyaan saudara tadi sama ada keadaan waktu itu masih berlanjutan dan sama pada masa ini. Saya rasa tidak banyak berubah kerana saya memberikan pandangan saya tentang akademik khususnya ahli sains sosial. Kerana mereka tak banyak menyuarakan pandangan yang bebas dan kritikal terhadap ilmu dan terhadap pemerintah terutama sekali. Jadi itu sebab saya katakan mereka lebih banyak menikus daripada menjelaskan pandangan mereka dengan berani. Dan saya lihat keadaannya mungkin sama bahkan ada pada tempat-tempatnya bertambah buruk saya rasa. Ertinya semakin kurang keberanian untuk menyatakan pandangan mereka tentang masyarakat dan perubahan masyarakat mereka.

NM: Kalau Dr. Syed membuat renungan kembali, anda sudahpun tidak dalam dunia akademik, tetapi anda juga mengajar dan menulis selama beberapa dekad. Dalam perkembangan lapangan sains sosial di Malaysia, bagaimana anda melihat karya-karya anda dalam perkembangan itu terutamanya yang menyentuh tentang analisa kelas, kelas sosial, dll. Saya selalu dengar anda menekankan konsep analisa sosial dan analisa kelas.

SHA: Sebenarnya dalam sejarah perkembangan sains sosial di Malaysia, ia boleh dikatakan bermula pada 1955 di Singapura. Waktu itu yang mula mengajar ialah Jocelyn Dejong, seorang Belanda. Dia banyak mengajar tentang soal perbandingan adat Minangkabau dengan Negeri Sembilan. Itu lapangan dia. Kemudian lepas itu dia diganti oleh MG Swift. Michael Swift ini bukunya yang terkenal ialah tentang Malay peasantry, dan dia memang banyak menyelidik dan menulis tentang peasantry. Sewaktu mengajar kami terutama ketika kelas Honours, dia banyak memberikan kuliah tentang social stratification/susun lapis masyarakat. Dan bidang ini agak mempengaruhi saya. Sebab itu bila saya nak buat Masters, saya pergi ke Bagan dan buat kajian tentang masyarakat Bagan. Daripada situlah timbulnya monograf mengenai Social Stratification in Bagan. Saya rasa itulah kali pertama keluar buku tentang susun lapis masyarakat di negara ini. Selepas dapat Masters, saya jadi pensyarah dan waktu itu buat kajian lagi. Tapi kali ini di tiga buah kampung iaitu di satu di Bagan, Johor; satu di Kerdau, Temerloh; dan satu di Kedah. Saya tidak ingat namanya sekarang. Tapi saya menulis buku kajian tentang susunan pimpinan dalam masyarakat kampung. Dan susunan pimpinan itu dalam kaitannya dengan soal susun lapis masyarakat. Dan tesis itu telah diterbitkan oleh Oxford dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan memang jadi satu bahan rujukan yang agak luas dalam kalangan akademik terutama dalam negara. Selepas itu saya menulis yang lain banyaknya menyentuh soal-soal hubungan kaum, konflik dan harmoni antara kaum, dan lain-lain perkara tentang raja dsb. Ada lah beberapa tulisan yang saya nampak diminati oleh bukan saja para akademik tetapi juga oleh bukan akademik. Tapi saya sebenarnya waktu dalam bidang akademik itu banyak terlibat dengan gerakan-gerakan pelajar dan pensyarah. Tapi masih kurang puas hati kerana merasakan terbatas peranan saya untuk membuat perubahan. Dan waktu itu saya menganggap bahawa satu cara untuk mendapatkan perubahan ini ialah dengan menceburkan diri dalam politik. Saya hendak menceburkan diri dalam politik yang membina terutama sekali golongan bawahan. Kerana itu yang menjadi bidang kajian saya. Dan itu sebab saya pun memang dah lama ada hubungan dengan PRM, jadi saya masuk PRM. Tetapi PRM tak mendapat sokongan yang meluas kerana terdapat tuduhan-tuduhan palsu terhadapnya. Untuk dapatkan base yang lebih luas, itu yang kami bercantum dengan KEADILAN. Saya menjadi timbalan presidennya selama lebih 10 tahun dan selepas itu memberi laluan kepada orang yang lebih muda untuk mengambil alih. Tapi saya masih terlibat dengan politik sekarang ini. Misalnya saya masih berada dalam biro politik parti. Saya masih menulis. Bahkan bila saya letak jawatan, saya katakan saya nak pergi kepada cinta saya yang kedua. Cinta saya yang pertama ialah isteri saya, cinta kedua ialah…. Saya menghasilkan 5-6 buah buku selepas meletak jawatan. Tapi dalam 2-3 tahun ini agak beku sikit sebab.. Yang saya tulis adalah Sejarah Rakyat Malaysia dalam BM dan BI. Buku itu adalah permulaan dan saya rancangkan untuk membuat suatu yang lebih mendalam, besar, dan akademik. Tapi sekarang ini dalam keadaan kebekuan, tak dapat menulis secepat yang saya biasa lakukan. Kali ini susah sikit nak menulis. Tapi walau macam manapun, saya rasa setakat ini–apa yang telah saya tulis dan lalukan–mendapat sambutan yang agak memuaskan.

NM: Sebelum saya bertanya lanjut tentang penglibatan anda dalam bidang dan lapangan politik dan penulisan. Sebelum itu, saya ingin bertanya, selain parti politik dan mengajar serta membuat penyelidikan, bagaimana pula dengan organisasi-organisasi lain seperti PSSM atau pena?

SHA: Sebenarnya masa dalam universiti, saya terlibat aktif dengan Persatuan Kakitangan Akademik Universiti sebagai setiausahanya. Kemudian saya bersama dengan Usman Awang menubuhkan PENA–dia sebagai presiden dan saya setiausaha. Semasa saya pelajar, saya juga menjadi student leader dalam GPMS. Sekarang ini saya terlibat terutama sekali dengan dua NGO iaitu Pusat Sejarah Rakyat dan Yayasan Usman Awang sebagai pengerusi. Sekarang ini keterlibatan saya dalam NGO hanya dua itu. Dan masih KEADILAN, dan menulis tetapi agak beku sedikit dalam tempoh setahun dua ini.

NM: Kembali kepada perkongsian anda tentang keinginan atau usaha anda terlibat dalam PRM dan kemudiannya KEADILAN kerana inginkan satu wadah lain untuk membela atau memberikan fokus kepada golongan terbanyak. Pada pandangan anda, adakah wujud hubungan antara perspektif sains sosial–analisa sosial dan analisa kelas–dengan gerakan politik dulu dan sekarang? Adakah wujud satu jalinan atau masih terpisah dan tidak berlaku?

SHA: Pertama sekali, ilmu masyarakat dan sains sosial. Kajiannya ialah terhadap masyarakat terutama sekali. Dan masyarakat ini banyak aspeknya. Bukan saja hanya individu, keluarga, dan komuniti tetapi institusi ekonomi, politik, dsb. Institusi-institusi itu pula mempunyai susunan dan organisasinya. Memanglah sangat penting dikaji itu. Dan saya lihat memang ada hubungan yang rapat antara apa yang saya lakukan menerusi sains sosial itu dengan kajian tentang kelas. Bagi saya, analisa kelas itu merupakan satu analisa yang sangat berguna dan tajam untuk memahami susunan organisasi dan institusi dalam masyarakat. Dan itu yang hendak kita ketahui. Bukan sahaja nak ketahui dan fahami, tapi bagi saya… [lebih daripada itu] saya terpengaruh dengan seorang ahli falsafah politik yang menulis pada abad lalu yang mengatakan bahawa kita mengkaji sejarah bukan untuk memahaminya tetapi untuk mengubahnya. Bagi saya, kita mengkaji masyarakat bukan saja untuk memerikan dan memahaminya tetapi juga untuk mengubahnya. Pada waktu saya membuat keputusan untuk letak jawatan sebagai profesor dan menceburkan diri ke dalam politik, di Amerika Selatan waktu itu terdapat ramai sarjana-sarjana yang telah meninggalkan karier mereka dan menceburkan diri dalam politik. Bahkan politik revolusioner daripada apa yang saya lakukan. Saya merasakan okay lah. Saya berbincang dengan kawan-kawan terutama sekali dengan Dr. Sanusi Othman. Kami katakan baik kita berhenti jadi profesor, menceburkan diri dalam politik, dan cuba membuat perubahan dari segi politik ini. Sebab kami menganggap bahawa sains sosial itu memberikan kefahaman tentang masyarakat. Dia boleh juga membantu kita bukan saja untuk mengenal masyarakat tetapi seperti saya katakan tadi untuk mengubah masyarakat. Dari itulah keterlibatan dalam soal politik tadi.

NM: Saya memikirkan kalau bertanya anda, anda tentu akan kata memang ahli sains sosial dan akademik tentunya mempunyai peranan dalam gerakan dan juga parti politik. Tapi kalau kita katakan, wujud seperti satu… Tidak diberi tempat… Bukan tak penting tetapi seolah-olah tidak diberikan tempat dalam parti-parti politik, ataupun masyarakat tidak melihat mereka sebagai tokoh atau sosok yang penting. Para akademik ini, sama ada di luar atau yang terlibat dalam parti politik. Seolah-olah mereka ini penting tetapi masih juga di luar. Ada contoh-contoh seperti orang kata politik ini tidak sesuai dan lebih nasty. Apa pandangan anda?

SHA: Sebenarnya, terutama sekali ada kesulitan bagi para akademik untuk terlibat dalam politik. Kadang-kadang para akademik ini terlalu teoritikal. Dia mementingkan teori, benar atau tidaknya, diselidik atau tidak. Jadi bila terlalu teoritikal, orang praktikal iaitu politisyen tidak ada masa untuk mereka. Jadi ada dua pengaruh yang saling mempengaruhi. Satu ialah orang akademik itu sendiri yang biasanya sebab sikap teoritikalnya tidak praktikal dalam politik. Keduanya ialah orang politik sendiri menganggap atau mempunyai sedikit prejudis terhadap orang akademik ini dengan mengatakan orang akademik ini ada ilmu tetapi tak tahu bagaimana mahu buatnya. Sebab dalam politik ini anda mesti ada instinct to kill. Dan kita susah kadang-kadang nak membunuh tanpa sebablah. Apa yang jelas ialah bahawa politik ini bukan memerlukan sangat orang yang tinggi ilmunya tetapi orang yang pandai untuk mendapatkan sokongan politik sehingga mendapat kuasa. Dan bagi orang akademik ini, kadang-kadang terlalu [bolak-balik]. Fikiran dan pandangannya tidak tajam.

NM: Dalam pemerhatian anda, adakah keadaan ini akan mewujudkan budaya yang tidak mengangkat nilai-nilai atau idea-idea yang mungkin lebih besar. Bagaimana anda melihat negosiasinya? Bagaimana kita cuba untuk harmonikan kedua-duanya?

SHA: Saya rasa dua perkara harus berlaku. Pertama, sarjana-sarjana yang ingin menceburkan diri ke dalam politik mesti pandai mengubah sifatnya supaya dia betul-betul menjadi seorang politikus. Bila dia jadi seorang yang berkesan sebagai politikus, maka dengan sendirinya dia akan mempunyai pengaruh dan diterima oleh para politikus di luar sana. Ertinya, bukan saja kita mempunyai senjata dari segi akademik tetapi ada kekuatan dari segi pimpinan politik. Saya rasa keadaan ini boleh berubah. Walaupun tak banyak profesor atau pensyarah yang menceburkan diri dalam politik, tapi sekarang ini orang yang mempunyai lebih ilmu–yang keluar dari universiti dsb, siswazah–dan masuk ke dalam bidang politik, ini yang akan menaikkan taraf bidang politik itu sendiri. Realitinya, perkembangan itu akan berlaku dan sedang berlaku.

NM: Perkara ini jarang disebutkan orang ataupun ditangkap dalam perbincangan tentang anda dan sains sosial iaitu penglibatan anda dalam sastera dan budaya. Bagaimana anda lihat peranan anda dalam hubungan antara sastera dan sains sosial. Anda ada sebutkan Usman Awang, dan tentunya berjumpa dengan ramai penulis serta penggerak budaya.

SHA: Sebenarnya saya memang agak cergas juga… Sekarang ini kurang tetapi dulu masa di universiti dan beberapa selepas universiti itu, masa di PENA, saya ada menulis cerpen tapi saya tak reti pula menulis sajaK. Saya banyaknya menulis kritik-kritik sastera. Banyak himpunan cerpen dan sajak oleh beberapa orang penulis dan saya buatkan preface atau introduction. Dan oleh kerana itu, seorang sahabat dia menggelar saya, dia ini bukan profesor tapi “prefacer“. Jadi hubungan antara sastera dan sains sosial itu memang saya rasa agak rapat. Sastera ini merupakan gabungan antara bentuk dengan isi. Bentuk ialah bentuk seninya. Indah atau tidak ia ditulis. Isinya ialah apa yang dikutip daripada masyarakat. Yang ditulis oleh sasterawan itu ialah apa yang dilihatnya dalam masyarakat. Apa yang dia alami, apa yang masyarakat alami… Interaksi dalam masyarakat itu dalam berbagai-bagai bidang–ekonomi, politik, sosial, dsb. Itu yang menjadi bahan yang luas. Kerana penulis itu kalau dia betul-betul nak jadi sasterawan yang baik, bukan saja ia harus mempunyai bentuk seni yang baik tetapi dia mesti dapat menggambarkan masyarakat sebagai satu realiti supaya bila orang membaca hasil sastera itu, dia melihat dirinya/diri masyarakat dalam sastera itu. Selain daripada itu, kalau hasil sastera yang telah dicipta umpamanya, hasil sastera itu pula oleh memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada si pembacanya. Selain daripada penulis dipengaruhi oleh masyarakat, masyarakat juga dipengaruhi oleh tulisan-tulisan yang dapat menggerakkan misalnya perasaannya, fikirannya, kesedarannya sehingga bukan sahaja dia mengenal masyarakat tapi mungkin merasakan bahawa perlu lebih daripada mengenal iaitu untuk mengubah masyarakat. Jadi pengaruh itu ada di antara kedua-duanya. Ini kita lihat terutama sekali misalnya macam penulis-penulis dalam Angkatan Sasterawan 50 yang mempunyai slogan sastera/seni untuk masyarakat. Dan ini kita lihat terutama sekali pada Usman Awang. Dia penulis yang sangat popular, sebagai penyajak, dan dia membawa fikiran-fikiran dan idea-idea yang boleh menyedarkan orang dalam masyarakat dan disedarkan oleh masyarakat yang dilihat olehnya. Pada awalnya dia hidup banyak di kalangan golongan bawahan. Dia sebagai penulis di Singapura, jadi wartawan dia duduk di kawasan setinggan, dan macam dia selalu kata, masyarakat melayu Singapura khususnya di kawasan-kawasan setinggan itu adalah merupakan golongan proletariat melayu di Singapura. Di mengenal golongan bawahan ini. Itu sebab tulisannya banyak mengenai masyarakat bawahan tersebut. Memang ada hubungan dan pengaruh timbal balik antara sastera dengan masyarakat.

NM: Sebelum kita habiskan, boleh anda berkongsi dengan kita sama ada adakah perspektif sosial, kebersamaan dan komitmen kepada masyarakat, dapat menjadi satu asas kepada terutamanya generasi muda sama ada sebagai aktivis, sarjana, penulis untuk melakukan perubahan sosial?

SHA: Macam saya katakan tadi, dengan perspektif sains sosial ini, kita bukan saja nak memahami dan memerikan masyarakat tetapi kita nak mengkaji masyarakat untuk membuat perubahan di dalam dan padanya, in and on it. Dari segi perspektifnya, bila kita kaji masyarakat–seperti yang telah saya sebut awal-awal tadi–kita sebenarnya mengkaji bermacam-macam bidang dalam masyarakat iaitu dari segi nilai, institusi, susunan, dan organisasinya. Jadi kalau misalnya kita mengkaji secara mendalam, bukan saja kita memahami masyarakat itu tapi kita juga memahami apa yang boleh menyekat perubahan dalam masyarakat dan apa yang boleh mendorong perubahan masyarakat itu. Jadi kalau misalnya kita mengetahui faktor-faktor yang menyekat dan mendorong ini, saya rasa itu akan membantu untuk kita mencari jalan membuat perubahan yang lebih baik. Tapi perubahan itu tidak boleh dilakukan dengan hanya memberikan ilmu. Macam memberitahu apakah sekatan atau dorongannya. Faktor-faktor yang boleh mengongkong, menghambat perubahan itu. Politik terutama sekali. Kalau orang politik itu memang konservatif, sukarlah untuk anak muda membuat perubahan yang progresif. Dari sudut ekonomi, kalau ekonomi itu terlalu mementingkan kekayaan dan kemewahan segolongan kecil, maka dengan sendiri ia akan membantutkan kedudukan rakyat yang ramai. Jadi ilmu yang diperolehi dari segi perspektif sains sosial itu untuk buat perubahan akan menjadi lebih efektif sekiranya ia dibantu misalnya oleh institusi dan organisasi yang ada dalam masyarakat. Ini yang penting. Jadi terlalu idealistik misalnya kita mengatakan ilmu itu sudah cukup. Tapi bila misalnya ada golongan muda yang berilmu dalam masyarakat, dia boleh mempengaruhi institusi dan organisasi dalam masyarakat. Dia boleh menulis, bercakap, dan berbahas untuk meyakinkan orang tentang perlunya perubahan. Dari segi itulah ilmu itu penting.

Design a site like this with WordPress.com
Get started