Estet Budaya-sosial dan Garisannya

Masyarakat Malaysia turut ada tradisi dan gerakan yang mengajukan wacana² sebegini, yang berusaha membangun naratif² dan idea² politik. Cuma dan bezanya, pada ketika ini suatu estet yang baru yang berbeza komposisi dan nilai dan metodnya mungkin diperlukan.

Ketika membicarakan tentang politik dan idea, tentunya nama dan imaginasi negara² seperti Indonesia, Russia dan Iran tidak jauh daripada perhatian kita. Dalam setiap korpus sejarah idea, sosiologi atau pemikiran intelektual, atau sejarah pemikiran politik semestinya merangkumi penelitian perkembangan budaya dan masyarakat ketiga² negara ini.

Dan kita akan mendapati bahawa tema atau ciri yang mengikat setiap daripadanya adalah fokus dan gemarnya mereka kepada nilai² dan teori² besar, abstrak dan total. Mungkin ini antara sebabnya perubahan sosial yang drastik dan intens pernah berlaku dalam sejarah ketiga²nya. Cenderungnya kita menerima kemungkinan ini kerana untuk menggerakkan perubahan dan menyinarkan imaginasi, memerlukan idea² yang megajukan tatanan sosial yang berbeza dan visi yang memberikan harapan dan menjanjikan masa depan yang lebih baik, sama ada di dunia ini, atau yang selepasnya.

Berbanding dengan Malaysia, tiadanya tradisi sebegini atau cinta yang diluahkan yang sebentuk rupa. Barangkali ada yang sudah mengetahui, atau boleh menjangkakan bahawa kasih dan hubungan masyarakat Malaysia kepada idea², dan di sini boleh kita lanjutkan kepada naratif² besar, disebabkan oleh sejarah penjajahannya oleh British. Tradisi pembinaan idea dan teori tidak berlaku dan tidak dibenarkan. Keadaan sebaliknya dalam medan pentadbiran dan ekonomi. Kedua² ini lebih maju, dan antara tinggalan paling utama penjajahan British. Selepas merdeka, Malaysia mempunyai struktur negara atau daulat yang stabil bersama birokrasi dan mekanismenya untuk melaksanakan dasar bagi golongan elit politik dan pemerintahan yang ekstensif dan cekap.

Langsung daripada trajektori demikian, hari ini, orientasinya tetap sama dan mewarnai lanskap sosial dan politik Malaysia kontemporari. Fokusnya masih terhadap pembentukan dan pelaksanaan dasar, dan penekanan terhadap berlangsungnya dengan teratur institusi² negara dan pemerintahan terutamanya yang berkait dengan ekonomi dan perundangan. Golongan elit politik dan ekonomi di bucu tertinggi, diikuti teknokrat2 dan pengurus² ekonomi, perundangan dan pentadbiran di bawah.

Negara dan masyarakat tetap berkembang, dan keperluan material dan harian masyarakat dapat dikekalkan dan dipenuhi, kalau tidak lebih dan selesa, mungkin sekurang²nya pada tahap minima. Tetapi pembangunan naratif dan wawasan idea² dan politik tetap langsing. Dan pada jangka masa panjang, kelompongan pembangunan citra budaya dan nilai masyarakat juga akan mempengaruhi dan menghakis bekal-upaya material dan rutin.

Kalau sebelum ini, parti² politik dan ahli politik dilihat dapat mengartikulasi naratif politik dan idea yang dapat menghala masyarakat Malaysia ke landasan yang lebih progresif, mungkin anggapan ini perlu berubah. Ataupun cara pandang ini tidak seharusnya dibayangkan memang dari awal lagi.

Apapun, pada keadaan kini, jelas bahawa parti politik dan ahli politik perlu diasingkan dan dipisahkan daripada pembangunan idea² politik. Ertinya, organisasi dan pengamal politik tidak lagi boleh disandarkan atau dijadikan sumber untuk wacana dan projek pengolahan dan pengajuan naratif² dan nilai² politik. Pemisahan ini bukan satu hukum yang mutlak, saintifik ataupun merupakan kebenaran. Namun, mengikut lanskap dan pergerakan politik Malaysia semasa, perkara ini perlu diterima, atau paling tidak diandaikan.

Persoalan yang timbul, dan harus kita bertanya, adalah jika bukan estet politik, siapa yang menduduki posisi yang sesuai atau perlu mengambil inisiatif untuk menyokong dan menilai lapangan idea² politk dan seterusnya naratif² sosial dan budaya masyarakat Malaysia?

Barangkali, kumpulan penulis, wartawan, budayawan dan pelajar. Namun, bukan senang untuk mendirikan estet budaya-sosial yang berdaya tahan, progresif dan demokratik. Kumpulan yang sebelumnya, mungkin kita boleh namakan sebagai generasi 2018, merupakan satu jaringan dan ikatan sosial yang besar dan terangkum yang mengambil berdekad² untuk terbentuk. Menuju ke depan, kita memikirkan bagaimana, dan adakah kita memiliki masa yang cukup, untuk mempercepatkan dan melahirkan kumpulan dan estet pasca 2018, yang mempunyai kesedaran dan idea² yang lebih seiring dengan sentimen, persoalan, dan keperluan masyarakat Malaysia kontemporari?

Persoalan ini kritikal dan mendahagakan pengisian kerana dua sebab. Yang pertamanya, tanpa estet sedemikian sukar dan perlahan untuk perbahasan dan wacana yang mendalami idea², naratif² dan teori² politik dan sosial untuk mengakar dalam masyarakat, dan memacu kematangannya. Keduanya, dengan ketiadaan estet budaya-sosial dan seterusnya naratif² membangun dan membina, masyarakat akan sentiasa terbeban dan terbawa dengan isu² yang picisan serta tidak fundamental. Fenomena ini boleh dijangka dan pasti berlangsung, kerana khabar² sampingan ini tidak memerlukan pemikiran dan penghujahan. Yang diperlukan dan diguna hanya retorik² dan emosi perasaan dan personaliti atau sosok seakan juara atau hero semata².

Teori² dan idea² besar dan abstrak ada kelemahannya. Tetapi, untuk membawa dan menolak masyarakat ke tahap yang lebih tinggi lagi elemen² demikian sangat perlu. Berbicara tentang posisi dan hubungan agama kepada masyarakat, wacana berkait permilikan harta awam dan persendirian, erti kemiskinan dan kekayaan, perbezaan dan pertentangan antara golongan berharta dan tidak berharta, atau antara yang kaya dan miskin adalah signifikan. Juga interaksi dan kesan antara pegangan nilai etika-moral individu dan masyarakat dengan bentuk struktur ekonomi masih menjadi tema dan persoalan penting. Ada juga perbincangan tentang hubungan antara agama dan kuasa, dan bagaimana agama boleh menjadi asas kepada pemusatan kuasa dan sistem sentralisasi kuasa. Ini yang dibincangkan oleh Mahmud Taleqani dan Husayn Naini di Iran suatu ketika dulu. Atau bagaimana sastera dan bahasa boleh dan perlu jadi wadah untuk tumbuhnya dan artikulasi nilai² keadilan, pembebasan dan bermasyarakat seperti yang dikedepankan oleh Pramoedya dan budayawan² seangkatannya di Indonesia. Bahkan juga bagaimana penulisan dan sastera dapat menjadi medan dan ekspresi untuk mendefinisi, membahaskan dan mengajukan erti dan bentuk idea negara dan semangat bernegara serta hubungannya dengan budaya seperti yang dibicarakan dengan sengit sekali oleh Chaadaev dan kumpulan penulis² Russia.

Wacana² membincangkan tema² ini membawa asas dan menuju kepada pembinaan naratif dan nilai² etika-moral dan persaudaraan. Bukan untuk memecahkan dan membahagikan masyarakat kepada kumpulan² yang lebih kecil dan berantagonasi khususnya mengikut identiti seperti di Malaysia.

Masyarakat Malaysia turut ada tradisi dan gerakan yang mengajukan wacana² sebegini, yang berusaha membangun naratif² dan idea² politik. Cuma dan bezanya, pada ketika ini suatu estet yang baru yang berbeza komposisi dan nilai dan metodnya mungkin diperlukan. Golongan yang tidak terbatas dan terbeban dengan generasi 2018, dan pada masa sama berupaya berpihak kepada dan mengerjakan dan memperbaharui wacana politik dan idea yang sudah sekian lama ada dan kini sedia wujud, di Malaysia dan tempat² lainnya.

Design a site like this with WordPress.com
Get started