Laporan Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda (Siri Kuliah)

Siri Kuliah Naratif Malaysia dianjurkan oleh Naratif Malaysia (NM) dengan kerjasama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Malaysia Reform Initiative (MARI), USAID dan Kedutaan Amerika Syarikat. Siri Kuliah yang merupakan sebahagian daripada Bengkel Pembangunan Kapasiti Penyelidik Muda ini bertemakan Sains Sosial Malaysia Abad ke-21.

Pendahuluan

Siri Kuliah Naratif Malaysia dianjurkan oleh Naratif Malaysia (NM) dengan kerjasama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Malaysia Reform Initiative (MARI), USAID dan Kedutaan Amerika Syarikat. Siri Kuliah yang merupakan sebahagian daripada Bengkel Pembangunan Kapasiti Penyelidik Muda ini bertemakan Sains Sosial Malaysia Abad ke-21: Meneruskan Tradisi Intelektual, Menanggapi Transformasi Masyarakat, enam kuliah telah diadakan di IKMAS, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), serta menyediakan aplikasi atas talian Zoom bagi mereka yang tidak menghadiri secara fizikal.

Siri kuliah ini menampilkan tokoh yang tidak asing dalam Sains Sosial Malaysia, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong. Beliau merupakan Profesor Emeritus Sosiologi Pembangunan di IKMAS, UKM dan Penasihat Khas Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM).

Kuliah ini bertujuan menyegarkan kembali persoalan-persoalan kemasyarakatan yang sewajarnya dekat kepada ahli Sains Sosial Malaysia, baik dalam kalangan lingkungan profesional dalam institusi pengajian tinggi, mahupun dalam kalangan intelektual awam. Dalam hal ini, kalangan ini disedarkan betapa terdapat kebangkitan mega trend global yang tidak terlepas pengaruhnya ke atas Malaysia. Selain itu, Siri Kuliah ini juga bertujuan untuk menggerakkan usaha pembinaan kapasiti penyelidik muda, dalam rencana meneruskan legasi intelektual awam sebelumnya.

Sebagai hasil akhir siri kuliah Naratif Malaysia ini, para peserta dikehendaki menyempurnakan tugasan penulisan iaitu (i) dua esei popular sepanjang 1,000 patah perkataan yang disiarkan dalam laman sesawang NM; dan (ii) makalah bab dalam buku sepanjang 6,000 patah perkataan yang bakal diterbitkan kelak oleh penerbit tersohor.

Penyertaan Kuliah

Kuliah ini melibatkan 24 orang peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi Universiti Awam (UA) dan Universiti Swasta (US), di dalam dan luar negara. Para peserta terdiri daripada pendidik dan pelajar pascasiswazah peringkat sarjana, doktor falsafah, dan pasca doktoral. Antaranya dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), KDU University College, First City University College, Waseda University (Jepun), National Chiao Tung University (Taiwan), Alzahra University (Iran), dan Goethe University (Jerman).

Sepanjang siri kuliah, ia turut dihadiri oleh beberapa ahli akademik dan aktivis iaitu Prof. Abdul Halim Ali, Prof. Dato’ Dr. Rashila Ramli, dan Prof. Madya Dr. Sity Daud. Mereka ini antara lain mewakili kepimpinan utama Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) dan Akademi Profesor Negara (APN).

Peserta kuliah ini sebahagian besar mengikuti siri-siri kuliah sepanjang tiga minggu pada setiap Isnin dan Khamis melalui aplikasi Zoom Meeting atas faktor logistik dan keperluan penjarakan fizikal, berikutan Covid-19. Daripada segi taburan jantina, 16 orang peserta lelaki dan lapan orang peserta perempuan. Daripada segi etnik, ia disertai 22 orang peserta etnik Melayu/Bumiputera dan dua orang peserta etnik Cina.

Format Kuliah

Kuliah ini diadakan selama tiga minggu. Setiap minggu diadakan dua hari kuliah pada hari Isnin dan Khamis. Ia dijalankan selama 1 jam 30 minit, pada jam 10.30 pagi – 12.00 tengah hari, atau lebih mengikut kesesuaian dan keperluan. Sesi kuliah diadakan selama sejam, diikuti sesi perbincangan dan soal jawab. Setiap kuliah memerlukan para peserta menjalankan perbincangan susulan kumpulan yang disertai penghantaran borang maklum balas kumpulan dan individu bagi setiap siri kuliah.

Pengisian Kuliah

Kuliah ini membawakan enam tema fokus pada setiap siri kuliah iaitu: (i) Mega Trend Abad ke-21: Globalisasi Barat dan Globalisasi Oriental (22 Jun 2020); (ii) Mega Trend Abad ke-21 dan Impak ke Atas Malaysia (25 Jun 2020); (iii) Sejarah Perkembangan Sains Sosial Malaysia (29 Jun 2020); (iv) Peranan dan Orientasi Sains Sosial Malaysia (2 Julai 2020); (v) Penerusan Tradisi dan Pembinaan Sains Sosial Malaysia yang Mandiri (5 Julai 2020); dan (vi) Pengungkapan Naratif Malaysia (9 Julai 2020).

Kuliah 1

Inti pati kuliah pertama yang disampaikan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong adalah berkenaan mega trend yang kembali menerpa pada abad ke-21. Ia menuntut para ilmuan Sains Sosial untuk merenung, mempersoal dan mengusulkan penemuan teoritis, konseptual dan empirikal baharu, bersesuaian dengan konteks sezaman. Kuliah ditumpukan kepada kebangkitan kembali arus globalisasi Oriental melalui kuasa ekonomi China dalam kerangka agenda One Belt One Road (OBOR) yang menurut beliau lebih mesra kepada negara-negara membangun. Ianya tidak seperti globalisasi neoliberal Barat yang turut menimpakan proses pembaratan. Berdasarkan tiga posisi kaca mata globalisasi iaitu (i) Juggernaut, (ii) transformationalist, dan (iii) rejectionist, Malaysia dalam rantau ASEAN mengambil sikap sebagai transformationalist yang berpeluang memanfaatkan kepentingannya dalam dua arus globalisasi Oriental dan Barat yang saling berlaga.

Dalam sesi perbincangan dan soal jawab, peserta menimbulkan isu krisis kesihatan global pandemik Covid-19 yang sedang melanda terhadap persoalan kerelevanan batas-batas negara bangsa. Krisis kesihatan global ini dianggap sebagai suatu yang bersifat sementara. Selain itu, kebangkitan China secara ekonomi, bahkan melalui tindakan militer di Laut China Selatan, dan pengalaman peperangannya suatu masa dahulu menimbulkan kesangsian terhadap Malaysia diajukan oleh peserta. Menjawab isu tersebut, tindakan secara ketenteraan oleh China secara historisnya ialah perang sempadan dan dinasti, ia secara relatif lebih ‘terbatas’ berbanding Barat yang ketika dahulu menjalankan dasar imperialisme dan kolonialisasi terhadap negara-negara luar. Bagi menghadapi kuasa China, saranan dikemukakan untuk berdepan dengan China sebagai kesatuan ASEAN, bukan sebagai negara-negara yang bersendirian.

Kuliah 2

Kuliah kedua menebarkan beberapa impak utama globalisasi terhadap Malaysia, daripada segi politik, ekonomi, budaya, termasuk pandemik Covid-19 yang membawakan norma baharu dalam kehidupan harian yang sebenarnya bukan suatu yang baharu atau unprecendented, tetapi pengamalannya dalam persekitaran baharu. Secara khusus, soal yang menarik perhatian dalam kuliah ini ialah wacana golongan mudah rentan secara ekonomi khususnya, iaitu proses precariatization yang digagaskan oleh Guy Standing dalam The Precariat: The New Dangerous Class. Ia nyata bukan sahaja berlaku di Barat, bahkan menjadi persoalan yang relevan di Malaysia, khususnya golongan siswazah yang menghadapi masalah underemployment dan pengangguran. Golongan ini tidak mempunyai identiti pekerjaan yang jelas, terumbang-ambing jaminan keselamatan sosialnya dan terdedah kepada tekanan hidup.

Oleh itu, pelbagai persoalan dikemukakan oleh para peserta khususnya berkenaan golongan precariat, merangkumi persoalan dasar awam, kajian empirikal mengenai golongan precariat di Malaysia, dan hubung kait golongan precariat dengan kelas menengah. Menurut Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong, kemunculan golongan precariat di Malaysia nyata bukan fenomena baharu, tetapi berkemungkinan telah wujud lama sebagai realiti sosial, sebelum konsep precariat diperkenalkan oleh Guy Standing. Kerajaan Malaysia daripada segi dasar awamnya tidak menjalankan dasar-dasar yang secara tidak langsung mengakibatkan kemunculan golongan precariat, justeru menuntut para peserta berwaspada dengan dasar awam yang mempunyai matlamat jelas, tetapi menghadapi implikasi luar jangka seperti membengkaknya jumlah golongan precariat saban tahun. Selain itu, daripada segi akademik, fenomena precariatisation di Malaysia masih belum dikaji selidik oleh penyelidik tempatan atau luar, secara empirikal. Namun, ia memerlukan penguasaan teori yang kukuh. Menyentuh perihal kelas menengah dan precariatisation pula, ia dianggap sebagai proses yang menyusuli ‘kejatuhan generasi kedua dan ketiga kelas menengah di Malaysia’. Proses reproduksi sosial kelas menengah mengalami kegagalan untuk mengekalkan generasi kedua dan ketiga, lalu menimbulkan permasalahan yang salah satunya dimanifestasikan melalui isu precariat.

Kuliah 3

Kuliah ketiga menelusuri sejarah perkembangan Sains Sosial di Malaysia yang menimbulkan persoalan garis asas pengetahuan atau knowledge baseline yang bergantung kepada ilmu kolonial. Sehubungan itu, dua sumber garis asas ilmu diusulkan iaitu (i) manuskrip Melayu dan (ii) karya intelektual awam awal abad ke-20. Selain itu, susur masa sejarah perkembangan Sains Sosial Malaysia sebagai disiplin ilmu diperlihatkan melalui (i) kegiatan akademik sarjana luar pasca Perang Dunia Kedua dan pra merdeka; (ii) penjalanan pengajaran Sains Sosial di Universiti Malaya (UM) pada 1950-an dan 1960-an, dengan kemunculan sarjana-sarjana tempatan; (iii) cetusan Sains Sosial arus akademik dan polisi dekad 1970-an, dengan penubuhan universiti baharu sehingga melahirkan persidangan yang menetapkan agenda Sains Sosial mandiri dan penolakan Sains Sosial yang bebas nilai; dan (iv) perkembangan Sains Sosial dekad 1980-an hingga abad ke-21 yang menyaksikan hambatan daripada perkorporatan universiti. Melanjuti perkembangan tersebut ialah kewujudan jurang generasi ilmuan Sains Sosial yang memerlukan pelapis muda dilahirkan.

Melanjuti perbincangan kuliah ini, Prof. Dato’ Dr. Rashila Ramli yang turut hadir mengusulkan agar persoalan Orientalisme yang disentuh melalui karya generasi pertama Sains Sosial Malaysia, Syed Hussein Alatas turut mengambil kira perspektif Oksidentalisme yang menghujah balas terhadap pandangan tersebut. Sementara itu, Prof. Madya Dr. Sity Daud yang turut hadir menimbulkan soal keberkesanan Sains Sosial diwadahi para intelektual awam bagi membawa perubahan sosial seperti tahun-tahun 1950-an, 1960-an dan 1970-an. Isu ini malah dilanjutkan oleh peserta dengan membangkitkan soal arus di luar kerangka universiti sebagai lebih signifikan dalam mewakili kata nurani masyarakat, dengan mencontohkan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50). Sebagai respons terhadap persoalan garis asas ilmu Sains Sosial, peserta menimbulkan isu garis asas ilmu yang bersifat Semenanjung-sentrik dan letak duduk kearifan tempatan dalam proses pembinaan Sains Sosial Malaysia.

Kuliah 4

Kuliah keempat mengemukakan peranan dan orientasi Sains Sosial Malaysia mengikut sejarah perkembangan atau evolusinya. Sejak tahun-tahun 1960-an dan 1970-an, berlaku polemik dalam (i) bidang Sains Sosial (soal sentrisme Barat dan kepentingan pengorientasian semula mengikut konteks tempatan); (ii) Sejarah (soal pensejarahan yang dimiliki bersuara untuk pihak kolonial atau masyarakat tempatan); dan Kesusasteraan (polemik ‘sastera untuk sastera’ atau ‘sastera untuk masyarakat’). Mendasari perdebatan tersebut, salah satu titik silangnya ialah fungsi ilmu tersebut terhadap disiplin dan fungsinya terhadap masyarakat. Hal ini mendesak ke arah penjajaran semula dua imperatif yang berlainan kutub, tetapi perlu disinergikan iaitu: (i) imperatif akademik dan (ii) imperatif advokasi Sains Sosial di Malaysia. Ia perlu bagi tuntutan profesional Sains Sosial seperti di universiti dijiwai dengan kata nurani masyarakat ke arah Sains Sosial yang mewakili kepentingan masyarakat. Demi memenuhi kepentingan masyarakat, disiplin-disiplin ilmu tidak boleh terus terkepung dalam ‘tempurungnya sendiri’, tetapi perlu diberikan sifat keterbukaan terhadap disiplin-disiplin lain yang relevan melalui pendekatan multidisiplin, interdisiplin, dan transdisiplin.

Semasa sesi soal jawab, persoalan tuntutan kerjaya sebagai pensyarah di universiti untuk memenuhi key performance index (KPI) sebagai kekangan untuk menyumbang dalam advokasi, soal kuasa wacana pemerintah yang membataskan wacana daripada arus bawah masyarakat, dan keterbatasan membina ilmu berdasarkan kosa kata yang lebih organik telah ditimbulkan para peserta. Membalas pertanyaan yang ditimbulkan peserta berkenaan kekangan lewat kekuasaan, imperatif akademik dan imperatif advokasi dijelaskan sebagai dua imperatif yang bukan dipersaingkan, tetapi diharmonikan dengan mewujudkan kesedaran Sains Sosial yang kritikal, sekali gus menjadi jiwa bagi Sains Sosial untuk tenaga pengajar yang tentunya perlu memenuhi KPI. Dalam erti kata lain, wacana pemerintah tidak seharusnya bertandingkan dengan wacana publik, tetapi dilihat sebagai saling melengkapi bagi menajamkan lagi wacana tersebut, seraya memanfaatkan kepentingan masyarakat. Bagaimanapun, dalam pembinaan ilmu Sains Sosial mandiri, keberanian dalam kalangan ilmuan Sains Sosial perlu untuk memperkenalkan konsep, mahupun teori yang lebih tempatan sifatnya, meskipun disaring oleh autoriti. Hal ini bagi memastikan khalayak ilmuan sebagai pengguna dapat menegakkan keilmuan yang dicipta berdasarkan piawaian saintifik.

Kuliah 5

Kuliah kelima menekankan keperluan pembangunan Sains Sosial Malaysia yang mandiri. Sains Sosial Sosial mandiri merangkumi empat kriteria iaitu (i) saintifik, relevan, dan penting; (ii) memiliki karakter khusus berwajah Malaysia, (iii) mempunyai orientasinya yang berlandaskan imperatif akademik dan imperatif advokasi; dan (iv) digerakkan oleh peneraju dan pelaksana iaitu ahli Sains Sosial yang berfikiran bebas, bercita-cita, dan komited terhadap kesarjanaan mandiri. Kini, tuntutan Sains Sosial Malaysia yang mandiri adalah kritikal kerana Sains Sosial di negara ini tidak tumbuh secara organik, tetapi tercetus daripada tuntutan luaran yang salah satunya mengakibatkan kewujudan fenomena ‘watak tertawan’. Selain itu, orientasi Sains Sosial peringkat awal dipengaruhi kuat oleh Orientalisme yang merepresentasikan penduduk peribumi bukan mengikut fakta sebenar masyarakat, tetapi berdasarkan gambaran yang mengerdilkan masyarakat peribumi. Sehubungan itu, ia mendesak pembinaan Sains Sosial yang berkarakter sendiri, ilmiah, dan komited bagi membangunkan masyarakat dan negara Malaysia.

Persoalan-persoalan berkaitan isu-isu dalam kuliah ini dibincangkan dalam sesi soal jawab yang antara lain menanyakan soal pembinaan karya paras teori bagi memampas fokus para sarjana Malaysia yang lebih tertumpu kepada kajian empirikal, perlawanan terhadap ‘watak tertawan’ yang dibauri karya-karya bersifat kritikan sosial, dan penentu ilmu Sains Sosial yang bersifat lokal. Dalam respons beliau, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong menekankan kepentingan penelitian satu-satu karya berdasarkan aspek teori, empirikal dan metodologi. Kajian-kajian sarjana Sains Sosial di Malaysia menurut penemuan Prof. Dr. Hans Dieter-Evers adalah terbatas kepada kajian-kajian empirikal, tanpa usaha yang giat untuk ‘working at the higher end of knowledge’. Oleh itu, dalam rencana pembangunan Sains Sosial mandiri, ilmuan Sains Sosial Malaysia berperanan dan bertanggungjawab untuk menghasilkan karya paras teori. Selain itu, karya-karya kritik sosial terdahulu seperti Hikayat Abdullah tidak seharusnya dinilai sebagai ‘watak tertawan’, sebaliknya sebagai karya kritik sosial yang sebenarnya menganjurkan saringan dan hujah balas terhadap Barat, bukan semata-mata peniruan tanpa daya pemikiran kritis. Akhirnya, bagi menghasilkan ilmu yang bersifat lokal, ia mestilah memanfaatkan sumber asli lagi tempatan, selain menghargai isu lokal yang mempunyai kerelevanan teoritis dalam konteks sejagat.

Kuliah 6

Kuliah keenam menutup Siri Kuliah Naratif Malaysia dengan mengemukakan wacana naratif ataupun penceritaan yang boleh dikupas daripada tiga sudut iaitu (i) konsep, (ii) kaedah, dan (iii) fungsi. Jelasnya, naratif ialah suatu konsep yang telah diaplikasikan dalam kajian akademik, tetapi masih merupakan suatu konsep yang perlu diperhalusi dalam erti kata penggunaannya kini. Ia juga berfungsi sebagai kaedah dalam kajian yang memerlukan penceritanya mengisahkan hidup atau pengalaman, mempertimbangkan kesahihannya berdasarkan teks, konteks dan interteks, serta meneliti apa yang dikisahkan dan tidak dikisahkan. Naratif mempunyai fungsi sosialnya tersendiri untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian, malahan berperanan untuk membawa perubahan. Di akhir kuliah, pengungkapan naratif Malaysia dalam konteks Sains Sosial mandiri dikemukakan dengan mengambil contoh seperti naratif nasional, naratif transformasi sosial seperti ‘saya budak kampung, naratif Sabah dan Sarawak dalam Malaysia, dan naratif Reformasi 1998 hingga kini. Kajian naratif agung dan naratif-naratif kecil yang menyertainya dapat dirumuskan sebagai produk yang mencerminkan karakter Malaysia, sekali gus menyumbang khazanah ilmu terhadap Sains Sosial sejagat.

Dalam perbincangan kuliah ini, beberapa hal ditimbulkan oleh para peserta seperti soal sama ada gagasan merupakan naratif, naratif Malaysia Baharu pasca Pilihan Raya Umum 2018 dan kewujudan terma Malaysia Baru pada dekad 1960-an, bentuk-bentuk lain naratif selain daripada penceritaan seperti monumen, lukisan dan artifak, serta potensi kajian ingatan di Malaysia. Menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong melihat perlunya sikap hati-hati dalam membincangkan perihal naratif. Ia tidak semestinya sama dengan konsep lain seperti gagasan yang lebih kepada suatu idea, bukan penceritaan. Di samping itu, istilah yang muncul pada zaman-zaman berlainan harus dilihat daripada segi konteksnya, seperti Malaysia Baharu. Dalam kajian naratif ini, keterbukaan dalam pemanfaatan sumber selain penceritaan secara lisan, seperti monumen dan artifak perlu dialu-alukan, bahkan mampu membuka peluang kajian baharu. Selain itu, kajian ingatan atau memory studies mempunyai potensinya di Malaysia, dengan kewaspadaan terhadap limitasinya sebagai bidang kajian baharu.

Penutup

Siri Kuliah Naratif Malaysia ini diakhiri dengan rumusan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong yang menekankan bahawa siri kuliah ini bukan suatu bentuk sogokan fakta dan analisis. Kuliah ini diharapkan dapat membuka minda para peserta untuk terus berwacana kerana pembinaan ilmu ialah proses dialog, bukan monolog. Selain itu, kuliah ini diharapkan menjadi panduan bagi penghasilan tugasan oleh para peserta. Seterusnya, Encik Mohamad Hariszuan Jaharuddin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong atas kuliah yang disampaikan, juga atas kerjasama yang diberikan para peserta sepanjang Siri Bengkel ini dijalankan.

Design a site like this with WordPress.com
Get started