Mahasiswa dan Masyarakat: Bagai Aur dengan Tebing

Dengan peningkatan berterusan bilangan mahasiswa saban tahun dengan kemudahan, serta galakan pihak kerajaan melalui biasiswa dan pinjaman, sewajarnya mampu memberikan harapan yang cerah untuk mencapai cita-cita dan membawa kesenangan kepada golongan anak muda yang mahu menyambung pelajaran lebih tinggi. Mahasiswa masa ini, bergelar pemimpin masa hadapan, perlu menimba ilmu, serta turun padang dan melibatkan diri dengan kesukaran hidup rakyat.

“Bila dah sambung belajar, senang dapat kerja, gaji pon banyak..”
“Nanti nak cari calon suami/isteri, carilah di universiti..”

Dialog di atas sering jadi ratib para tenaga pengajar di sekolah, mahupun suri tauladan di rumah yang membuatkan sejak awal lagi fikiran mahasiswa akan kemahasiswaan itu sekadar berlegar sekitar hal-hal diri sendiri, serta masa hadapan mereka seusai tamat pembelajaran di menara gading.

Kehidupan mahasiswa umumnya sering terlalu fokus terhadap pembelajaran akademik. Banyak juga aktiviti berpersatuan di fakulti dan kolej kediaman yang dijalankan mahasiswa. Namun, tujuan mahasiswa berpersatuan selalunya sekadar untuk mencapai merit tinggi yang mereka perlukan agar dapat terus tinggal di kolej kediaman sepanjang proses pembelajaran mereka, dan kemudiannya boleh jadi isian menarik dalam resume. Selain itu, rata-rata mahasiswa gemar membudayakan ‘lepak dan minum’ di kedai mamak hingga lewat malam.

Oleh yang demikian, sudah menjadi pandangan umum bahawa golongan mahasiswa tidak banyak berperanan, serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Mungkin sahaja pandangan ini benar, bahawa kesedaran mahasiswa terhadap masyarakat sekeliling mereka sudah berkurang. Tidaklah pokok bergoyang jika tidak ditolak angin.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kurang sumbangan, serta tahap kesedaran mahasiswa akan peranannya dalam masyarakat, yang akan dibincangkan di bawah.

Pertama, faktor ekonomi menyukarkan mahasiswa sepenuh masa yang perlu membayar kos yuran yang mahal setiap semester demi mendapatkan segulung ijazah. Dengan pinjaman yang hanya ala kadar, mahasiswa harus berkerja separuh masa bagi menyara kehidupan sendiri, serta sebahagiannya dapat dihulurkan kepada keluarga di kampong. Mahasiswa terpaksa bekerja di luar waktu kelas dan menyiapkan tugas diberikan oleh pensyarah pada waktu malam. Sukar buat mahasiswa untuk bercampur dengan masyarakat kerana mereka lebih mementingkan duit untuk meneruskan kelangsungan hidup di universiti dan yang paling terkesan dengan permasalahan ini adalah daripada golongan B40. Disebabkan yuran pengajian yang terpaksa ditanggung demi pelajaran adalah mahal, sesetengah daripada mereka membuat keputusan untuk menjaga periuk nasi sendiri daripada turun padang melibatkan diri dengan masyarakat sekeliling. Secara ringkasnya, kehidupan harian mahasiswa sudah dipenuhi dengan tugas-tugas akademik dan kerja separuh masa, yang menghalang mereka untuk bersosial dengan masyarakat sekeliling.

Faktor kedua pula berkaitan akta-akta kawalan, seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Gerakan mahasiswa terkawal sejak pengenalan AUKU pada tahun 1971. Selepas Kesatuan Mahasiswa digantikan kepada Majlis Perwakilan Pelajar di bawah AUKU, aktiviti dan gerakan mahasiswa telah dikawal ketat oleh pentadbiran universiti menyebabkan lidah mahasiswa ditutup oleh ‘rahang besi’ kerajaan. Persatuan Mahasiswa dan gerakan-gerakan mahasiswa dahulu telah banyak bersuara dan bertentangan dengan pihak kerajaan selepas zaman kemerdekaan. Pendirian Kesatuan Mahasiswa yang cenderung bersifat sosialis dan menentang segala ketidakadilan, seperti rampasan kuasa pentadbiran universiti dan juga demonstrasi di hadapan kedutaan Amerika Syarikat terhadap pendudukan tentera Amerika di Vietnam. Kelantangan mahasiswa dalam memperjuangkan isu-isu nasional dan hak-hak ‘rakyat’ amat penting memandangkan nasib rakyat yang dilanda ketidak-adilan sering tidak terbela akibat tindakan penguasa dan ahli-ahli politik yang hanya mengisi tembolok sendiri dan cucu cicitnya. Namun, peranan mahasiswa dalam perjuangan membela rakyat telah direncatkan dengan pengenalan AUKU dan sehingga kini, ianya masih tidak dimansuhkan.

Faktor ketiga pula berkenaan pengaruh ahli-ahli politik terhadap mahasiswa. Orang-orang politik telah mempengaruhi minda mahasiswa, khususnya melalui tangan-tangan halus yang mencampuri hal-hal pentadbiran universiti. Lebih daripada itu, agenda tersembunyi ahli-ahli politik turut dapat dikesan di sebalik penubuhan gerakan-gerakan politik mahasiswa di kampus. Pengaruh ahli-ahli politik ini menarik mahasiswa untuk menyebelahi mereka melalui doktrin-doktrin, serta isu-isu politik luar kampus yang membawa kepentingan mereka, termasuklah memainkan sentimen perkauman dan agama. Kesannya, mahasiswa cenderung menjadi lebih selektif dalam berkhidmat untuk masyarakat, serta hanya membantu golongan yang membawa faedah kepada ahli-ahli politik. Mahasiswa sepatutnya bersifat neutral dan ‘pukul-rata’ dalam memperjuangkan nasib masyarakat, bukannya mengikut telunjuk orang-orang tua partisan yang mempunyai agenda dan impian yang tersendiri.

Berdasarkan perbincangan faktor-faktor kurang tahap kesedaran, serta sumbangan mahasiswa, terhadap masyarakat seperti yang dibincangkan di atas, penting para mahasiswa menilai kembali pembelajaran ilmu dan peranan mahasiswa dalam masyarakat. Siswoyo menghuraikan berkenaan mahasiswa dalam ilmu pendidikan ialah individu yang sedang menuntut ilmu di peringkat pembelajaran yang lebih tinggi seperti di universiti. Mahasiswa dinilai sebagai insan yang mempunyai tahap kepintaran yang tinggi, berfikiran secara kritis dan mampu berfikir dengan cepat sebelum bertindak, sekaligus wajar memainkan peranan sebagai intelektual dalam masyarakat.

Saya petik kata-kata Usman Awang yang menyebut, “Intelektual ialah orang yang mempunyai ilmu pengetahuan dan sentiasa memperkembangkan ilmu pengetahuannya dari semasa ke semasa. Orang tersebut yang mengenal kebenaran perlu berani memperjuangkan kebenaran dan kebebasan walaupun ditekan dan dikecam demi melaksanakan kemajuan dan kebebasan rakyat..”. Oleh itu, mahasiswa harus dikenali sebagai golongan intelektual muda perlu menghadam dan mendalami maksud petikan tokoh di atas kerana peranan sebenar mahasiswa adalah memperjuangkan nasib kehidupan rakyat.

Pada zaman kebangkitan Eropah dahulu, golongan muda mereka yang merantau dan belajar di universiti-universiti Islam seperti di Cordova, juga di Baghdad, akan pulang ke tanah kelahiran mereka dan menyampaikan ilmu yang dipelajari seperti ilmu falsafah, kejuruteraan dan sains. Sebagai contoh, Roger Bacon, seorang ahli falsafah yang mempelajari sains dan metodologi dahulunya memperoleh banyak ilmu daripada tokoh ilmuwan Islam seperti Al-Farabi. Dari sudut ini kita dapat melihat ilmu itu perlu dikongsi dalam menaikkan taraf hidup masyarakat pada zaman kebangkitan dahulu.

Hakikatnya, penerapan corak pemikiran yang betul kepada mahasiswa adalah perlu dalam melahirkan golongan intelektual yang berperanan penting dalam masyarakat. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Semestinya bermula daripada ibu bapa dan guru sekolah menerangkan tujuan dan keperluan dalam mencari makna kehidupan. Seperti yang dikatakan oleh Simon Sinek dalam Leaders Eat Last in Leadership, adalah pentingnya berimpian dan mencari makna sebenar dalam merealisasikan impian tersebut. Wujudnya tujuan dan hikmah yang tersendiri terhadap seseorang itu hidup dan meneruskan kehidupannya. Dan tentu sekali pembelajaran ilmu di peringkat tinggi, dan realisasi makna kehidupan hanya dapat dicapai selari dengan sumbangan golongan mahasiswa terhadap masyarakat.

Pada tahun 2019, mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menggerakkan inisiatif SULAM, Service Learning Malaysia – University for Society dimana tujuannya adalah menggabungkan teori dipelajari mahasiswa sewaktu di kampus dan menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam masyarakat, atau dengan kata mudah, mahasiswa sendiri yang mampu memajukan kehidupan masyarakat. Membangunkan masyarakat itu tidak terletak kepada menteri sahaja, malah menjadi tanggungjawab mahasiswa dalam mewujudkan masyarakat madani. Penerapan pendidikan sivik dan kewarganegaraan ini perlu dititikberatkan untuk memupuk semangat patriotik dan kesedaran terhadap kehidupan dalam komuniti, lantas menerapkan sikap bertanggungjawab dalam membantu golongan yang memerlukan di sekeliling kita.

Krisis pandemik Covid-19 masa ini sangat mengganggu pembangunan negara kita, khususnya dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kelas pembelajaran atas talian yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Pelajaran Tinggi kepada semua institusi pelajaran amat memberi kesan kepada golongan mahasiswa. Aktiviti berpersatuan dan program yang dijalankan secara fizikal telah diberhentikan dan merencatkan perancangan mahasiswa dalam beraktiviti secara berkumpulan di kampus.

Namun begitu, mahasiswa perlu kreatif untuk mencari kesempatan dalam kesempitan saat pandemik ini. Terdapat banyak peluang untuk mahasiswa bersosial dan menceburi bidang yang memperoleh wang walaupun di rumah. Kita berada dalam zaman Revolusi Industri 4.0, di mana teknologi tinggi mendasari aktiviti harian kita. Banyak keperluan yang dimudahkan oleh teknologi semasa, seperti telefon pintar. Mahasiswa boleh berniaga kecil-kecilan secara atas talian dan dapat menjana simpanan kewangan walaupun berada di rumah dan secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran perniagaaan. Krisis pandemik ini juga dapat dimanfaatkan oleh mahasiswa dalam bersosial dengan masyarakat. Misalnya, mahasiswa boleh meluangkan masa dengan membuka kelas tuisyen untuk pelajar sekolah di rumah. Teknik ini dapat membantu golongan pelajar memahami subjek pelajaran walaupun tiada guru sekolah. Lebih-lebih lagi peluang ini dapat membantu pelajar sekolah dari golongan B40 yang tidak mendapat manfaat khidmat private home tutor yang mana bayarannya jauh lebih mahal.

Oleh itu, dengan peningkatan berterusan bilangan mahasiswa saban tahun dengan kemudahan, serta galakan pihak kerajaan melalui biasiswa dan pinjaman, sewajarnya mampu memberikan harapan yang cerah untuk mencapai cita-cita dan membawa kesenangan kepada golongan anak muda yang mahu menyambung pelajaran lebih tinggi. Mahasiswa masa ini, bergelar pemimpin masa hadapan, perlu menimba ilmu, serta turun padang dan melibatkan diri dengan kesukaran hidup rakyat, membantu sebaik mungkin dalam menaikkan taraf hidup mereka dan masyarakat, seterusnya meneraju kesejahteraan negara pada masa hadapan. 

Dalam kata lain, mahasiswa dan masyarakat laksana aur dan tebing: berpisah dengan masyarakat bererti lenyapnya citra mahasiswa yang sebenar-benarnya.

Muhammad Danial Afif Mohd Razafa merupakan ahli eksekutif Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya. Manakala esei ini merupakan sebahagian daripada kempen penulisan Aspirasi Malaysia 2021 oleh Merdeka Center dan Naratif Malaysia untuk menggalakkan anak muda berkongsi idea dan pengharapan untuk masa hadapan Malaysia ke arah menghasilkan masyarakat yang lebih harmoni, maju dan sejahtera.

Gerak Baharu Mahasiswa: Mendepani Lima Dekad AUKU

Hadirnya tahun 2021, maka genap 50 tahun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dilaksanakan di Malaysia. Sepanjang tempoh itu, AUKU telah dipinda enam kali. Pindaan pertama pada tahun 1975 terutamanya mencengkam aktivisme mahasiswa – antaranya, dengan membubarkan kesatuan mahasiswa yang mempunyai autonomi dan memusatkan kuasa kepada Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) yang juga mengawal Jawatankuasa Tatatertib Universiti.

Hadirnya tahun 2021, maka genap 50 tahun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dilaksanakan di Malaysia. Sepanjang tempoh itu, AUKU telah dipinda enam kali. Pindaan pertama pada tahun 1975 terutamanya mencengkam aktivisme mahasiswa – antaranya, dengan membubarkan kesatuan mahasiswa yang mempunyai autonomi dan memusatkan kuasa kepada Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) yang juga mengawal Jawatankuasa Tatatertib Universiti.

Ketika pentadbiran Pakatan Harapan, mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik memulakan usaha untuk menggantikan AUKU. Namun pada sidang parlimen yang lepas, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad mengatakan AUKU masih relevan dan mempertahankan kewujudannya.[1] Pendirian ini menampakkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional telah membatalkan hasrat untuk memansuhkan AUKU. Maka adakah usaha dan perjuangan memansuhkan AUKU berhenti di sini?

Pasang surut AUKU

Selepas peristiwa 13 Mei 1969, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) menubuhkan satu jawatankuasa yang dipengerusikan Dr Haji Abdul Majid bin Ismail untuk meneliti dan memantau suasana kampus di Universiti Malaya. Dapatan jawatankuasa ini menjadi asas kepada penubuhan AUKU yang dibentang pada 1971 oleh Menteri Pendidikan, Tun Hussein Onn. Dalam bukunya Gerakan Aktivisme Mahasiswa, Meredith Weiss mendokumentasikan motif dan implikasi AUKU terhadap kehidupan kampus. Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang menggantikan kesatuan mahasiswa dilihat sebagai ‘badan kebajikan’ dan ‘pembantu’ kepada pihak pentadbir universiti.

Reaksi mahasiswa pada ketika itu adalah terus melakukan protes dan tidak mengendahkan kekangan AUKU. Namun perkara ini berubah selepas pindaan pada tahun 1975 yang memperketatkan penguatkuasaan AUKU. Seksyen 15 contohnya melarang mahasiswa dari mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap sebagai bersimpati dengan mana-mana pihak luar tanpa keizinan Naib Canselor. Kuasa tindakan tatatertib dan proses rayuan juga terletak pada tangan Timbalan Naib Canselor dan pak menteri. Selepas daripada itu, AUKU telah mendominasi kesedaran (consciousness) dan mengawal tingkah laku mahasiswa di dalam kampus. Secara luasnya, para pensyarah juga terkesan dengan pemusatan kuasa di tangan eksekutif – antaranya, perwakilan fakulti dan pensyarah dalam senat universiti berkurang dan menjadi minoriti.

Gambar rajah di bawah merumuskan perkembangan AUKU secara sepintar lalu.

TahunPeristiwaFaktor/Konteks/ Implikasi penting
1971AUKU diperkenalkanMahasiswa mengeluarkan manifesto sendiri dalam pilihanraya umum 1969, aktivis mahasiswa menggesa Perdana Menteri Tunku Abdul Rahmah meletak jawatan
1975AUKU diperketatkan (Seksyen 15 dan sebagainya)Demonstrasi Tasik Utara, Demonstrasi Baling
1983Pindaan berbentuk ‘administrative’Memudahkan penubuhan UIA
1996Pindaan berbentuk ‘administrative’Liberalisasi sector pendidikan tinggi
2009Pilihanraya umum 2008Sedikit kelonggaran diberikan. Contohnya, mahasiswa lebih bebas bersuara termasuk dibenarkan membuat kenyataan mengenai politik pada mana-mana majlis, seminar atau simposium dengan syarat ia tidak dianjurkan oleh mana-mana parti politik.
2012Kes mahkamah UKM4Membenarkan mahasiswa terlibat dalam apa juga persatuan, badan atau kumpulan termasuk parti politik ketika di luar kampus.
2018Pilihanraya umum 2018Membenarkan aktiviti politik di dalam kampus (pindaan sebulat suara diluluskan)

Jika meneliti peristiwa-peristiwa di atas, terdapat dua pengajaran yang wajar diambil perhatian. Pertamanya, setiap kali AUKU diperkenalkan dan diperketatkan adalah kerana pihak pemerintah mahu mengawal gerakan aktivisme mahasiswa yang sedang hangat dan ‘mengancam’ kepentingannya pada sesuatu ketika. Penciptaan AUKU pada 1971 dan pindaan 1975 tidak dipisahkan daripada konteks politiknya. Perkara ini penting kerana sesetengah pihak mahu mengekalkan AUKU kerana ia juga menyentuh mengenai peraturan dan pentadbiran universiti. Namun undang-undang baru berkaitan pentadbiran universiti boleh digubal setelah AUKU dimansuhkan. Alasan bahawa AUKU perlu dikekalkan untuk memastikan kelangsungan pentadbiran universiti sebenarnya menghiraukan sejarah AUKU.

Keduanya, setiap kemenangan yang diperolehi oleh mahasiswa adalah kerana tindakan proaktif dan kekuatan yang dibina bersama. Dua kali pindaan AUKU pada 2012 dan 2018 tidak berlaku kerana pihak atasan memberi ehsan kepada gerakan mahasiswa. Ia berlaku kerana aktivis mahasiwa dengan bantuan guaman mencabar Seksyen 15 AUKU sehingga Mahkamah Persekutuan dan menang. Kerajaan wajib meminda AUKU kerana sebahagian daripadanya telah diputuskan sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan (unconstitutional). Pindaan terbaru pada tahun 2018 pula adalah selepas tuntutan gerakan mahasiswa berzaman-zaman untuk memansuhkan AUKU sehingga pembangkang pada ketika itu menjadikannya satu janji pilihanraya dalam manifesto PRU14.

Mobilisasi AUKU

Setelah mengimbas kembali perkembangan AUKU, persoalannya sekarang adalah, “Apa selepas ini?” Dua pindaan pada dekad lalu telah membenarkan mahasiswa melibatkan diri dalam politik, sama ada di luar atau di dalam kampus. Tidak timbul lagi retorik ‘kerajaan melarang penglibatan mahasiswa.’ Mahasiswa memerlukan ‘framing’ baru sekiranya ingin menghidupkan kembali momentum melawan AUKU. Tapi adakah mahasiswa masih perlu fokus mobilisasi pada isu AUKU atau lebih bermanfaat menumpukan masa dan tenaga pada isu-isu lain?

Dari satu sudut, AUKU masih membatas gerakan mahasiswa dan memusatkan kuasa kepada pihak pentadbiran universiti. Contohnya Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor masih mempunyai kuasa untuk mengenakan pelbagai tindakan tatatertib dan disiplin, mengeluarkan surat salah laku kerana mencemarkan nama baik universiti. AUKU masih melarang persatuan mahasiwa dari mengumpul dana. Ini merupakan satu perkara yang melemahkan gerakan mahasiswa kerana mereka seringkali tidak mempunyai dana yang mencukupi, dan/atau terpaksa bergantung pada pihak tertentu kerana tidak ada autonomi kewangan.

Sebelum ini, AUKU banyak menentukan corak gerakan mahasiswa. Contohnya kumpulan mahasiswa sering terbahagi kepada kumpulan berdaftar yang bertanding dalam pilihanraya kampus, dan kumpulan tidak berdaftar yang bergerak aktif di luar kampus. Adakah pembahagian (atau pengkhususan) ini masih relevan selepas pindaan AUKU 2018? Terdapat juga dua perkembangan baru, iaitu percubaan mewujudkan semula kesatuan mahasiswa di UM, UKM, dan UIA; dan juga persatuan mahasiswa yang secara langsung berpayung di bawah parti politik. Selain AUKU, gerakan mahasiswa juga perlu mengetengahkan isu-isu lain yang dihadapi oleh ramai pelajar dan graduan seperti hutang pinjaman pendidikan tinggi, tuntutan pendidikan percuma, keciciran pembelajaran akibat Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jurang digital, serta kecelaruan dasar yang sering berubah-ubah. Tidak dilupakan, Akta 174 berkenaan regulasi institusi pengajian tinggi dan pertubuhan mahasiswa juga perlu diberi perhatian.

Isu AUKU mempunyai had capaian yang agak terbatas kerana bukan ramai pelajar yang mengambil berat tentang isu yang lebih bersifat ideational atau abstrak. Neoliberalisasi pendidikan tinggi meninggalkan kesan yang mendalam – antaranya, universiti menjadi seolah kilang ijazah, pelajar dan graduan menjadi penghutang, serta mahasiswa menjadi kurang aktif walaupun tanpa AUKU. Contohnya, walaupun terdapat moratorium AUKU ketika Dr Maszlee menjadi Menteri Pendidikan, rata-ratanya gerakan mahasiswa agak lesu berbanding dengan zaman-zaman sebelumnya. Hal ini kerana dalam konteks persekitaran neoliberal, majoriti mahasiswa dalam kolej dan universiti terpaksa bertumpu pada perkara asas ataupun ‘bread and butter’, dan kurang cenderung terlibat memperjuangkan hal-hal yang mengakibatkan mereka sendiri menanggung hutang pinjaman pendidikan, serta berdepan risiko menjejaskan peluang pekerjaan (atau digantung pendidikan) sekiranya dikenakan apa-apa tindakan yang boleh mencemarkan rekod.

Akhir kata, AUKU sudah mencapai usia 50 tahun pada tahun 2021. Untuk menandakan detik ini, mungkin ada baiknya juga mahasiswa (ataupun aktivis, ahli akademik, ataupun bekas mahasiswa) merancang sesuatu untuk ulangtahun AUKU ke-50. Idea-idea yang boleh dipertimbangkan termasuklah konvesyen, persidangan digital, himpunan tulisan dan kertas kerja, protes, atau kempen alam maya. Cumanya, mahasiswa perlu mengimbangi fokus pada isu AUKU dan isu ‘bread and butter’ yang lebih dekat dengan realiti kehidupan ramai pelajar.

Ooi Kok Hin merupakan mahasiswa pascasiswazah di Universiti Waseda, Jepun. Manakala esei ini merupakan sebahagian daripada kempen penulisan Aspirasi Malaysia 2021 oleh Merdeka Center dan Naratif Malaysia untuk menggalakkan anak muda berkongsi idea dan pengharapan untuk masa hadapan Malaysia ke arah menghasilkan masyarakat yang lebih harmoni, maju dan sejahtera.


[1] “AUKU 1971 masih relevan, namun terbuka untuk tambah baik – Noraini,” Berita Harian. 25 Ogos 2020.

Memasyarakatkan Mahasiswa: Mengugat dengan Khidmat

Mutakhir, kelihatan trend kumpulan mahasiswa menemubual agensi bukan kerajaan dan individu bukan kerajaan secara tertutup atau melalui forum, platform atas talian bagi mengetahui tugasan ataupun implikasi yang dihadapi agensi/individu ini hadapi dalam melaksanakan tugasan. Penganjuran sesebuah projek khidmat masyarakat itu dilihat seperti sudah jadi keterpaksaan dan penghayatan kepada nilai kesukarelawan pada tahap yang minimal. Mungkin juga para mahasiswa kurang nampak potensi yang mampu mereka tinggalkan, juga bentuk impak dalam komuniti.

Membesar dalam sebuah negara yang memberi penekanan kepada keluhuran budi pekerti dan kehidupan harmoni memerlukan penerapan pembangunan keperibadian seseorang anak yang melangkaui pengawasan keluarga nukleus. Walaupun Malaysia merupakan sebuah negara sedang membangun dengan perlaksanaan pelbagai dasar serta polisi ekonomi untuk mencapai status negara maju, namun kepentingan pembentukkan masyarakat juga tidak diketepikan.

Penekanan kepada pembinaan jati diri bangsa, masyarakat berkeperibadian tinggi dan berakhlak mulia turut diutamakan dalam melahirkan warganegara yang tinggi patriotisme dan berdaya saing. Penekanan ini dapat dilihat dengan lebih tuntas dalam sektor Pendidikan negara. Sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Mata Pelajaran Umum (MPU) telah diperkenalkan. MPU yang telah diberi nafas baharu pada tahun 2013, dikatakan lebih berteraskan falsafah ilmu dengan penerapan bidang ilmu kajian kemanusiaan, sains tulen dan juga sains sosial. Selain itu, MPU juga tertumpu kepada pembentukkan kemahiran insaniah, kebolehan berkomunikasi dan kepimpinan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). MPU bukan hanya mata pelajaran yang wajib diambil oleh mahasiswa di universiti awam, malah ianya merupakan mata pelajaran yang wajib diambil oleh pelajar yang menuntut di universiti swasta. Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) memperuntukkan bahawa setiap institusi pengajian tinggi swasta hendaklah mengajar MPU sebagai mata pelajaran wajib. Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) meletakkan syarat semua pelajar pendidikan tinggi di Malaysia sama ada pelajar tempatan ataupun antarabangsa mestilah melengkapkan MPU ini sebagai prasyarat bagi penganugerahan sijil, diploma atau ijazah sarjana muda. Terdapat beberapa subjek yang tertakluk dalam MPU ini berdasarkan penetapan kelompok U1-U4. Penumpuan tulisan ini adalah pada kelompok U4, di mana dalam kelompok inilah mahasiswa didekatkan dengan aktiviti kesukarelawanan melalui subjek Khidmat Masyarakat dan Kesukarelawanan.

Kesukarelawanan bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat. Ianya sesuatu kebiasaan yang kita sebagai rakyat Malaysia lakukan secara sedar atau tidak. Perkataan ‘Sukarela’ itu sendiri membawa makna bekerja di atas kemahuan sendiri tanpa unsur paksa. Namun persoalannya, dengan pengenalan subjek Khidmat Masyarakat sebagai satu mata pelajaran wajib dalam kampus dengan adanya skema pemarkahan, adakah ini sesuatu yang lewah, atau sebaliknya? Berdasarkan panduan MPU, Mahasiswa dijangka dapat mengaplikasi kemahiran-kemahiran berikut dalam menjalankan aktiviti khidmat masyarakat iaitu kemahiran komunikasi, kemahiran pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah, kemahiran sosial dan bertanggungjawaban dan kemahiran kepimpinan dan kerja kumpulan.

Namun, umumnya sesetengah projek khidmat masyarakat yang dilakukan oleh mahasiswa sekadar melangsaikan kewajipan bagi penganugerahan sijil, diploma atau ijazah sarjana muda.  Secara umum juga, corak pelaksanaan projek khidmat masyarakat yang dianjurkan oleh mahasiswa sudah terlalu kebiasaan, dapat dijangka dan tidak begitu jauh berbeza daripada kumpulan-kumpulan yang sebelumnya. Antara projek khidmat masyarakat yang sering dianjurkan adalah projek anak angkat bersama orang kampung, gotong-royong, program bersama penghuni rumah-rumah kebajikan dan komuniti minoriti. Semasa dan pasca pandemik Covid-19 pula, kelihatan juga trend kumpulan mahasiswa menemubual agensi bukan kerajaan dan individu bukan kerajaan secara tertutup atau melalui forum, platform atas talian bagi mengetahui tugasan ataupun implikasi yang dihadapi agensi/individu ini hadapi dalam melaksanakan tugasan. Penganjuran sesebuah projek khidmat masyarakat itu dilihat seperti sudah jadi keterpaksaan dan penghayatan kepada nilai kesukarelawan pada tahap yang minimal. Mungkin juga para mahasiswa kurang nampak potensi yang mampu mereka tinggalkan, juga bentuk impak dalam komuniti.

Mahasiswa seharusnya lebih inovatif dan kreatif dalam merangka program kesukarelawanan supaya tidak dilihat seperti sekumpulan tenaga anak muda yang boleh dieksploitasi oleh mana-mana pihak lain. Penetapan misi juga harus bersasar. Tanggungjawab menginspirasi dan juga memberdaya komuniti bergantung kepada pembentukan program mahasiswa bersama komuniti.  Mahasiswa juga harus menitik berat kepada impak penganjuran projek khidmat komuniti mereka dan tidaklah meninggalkan beban kepada komuniti. Misalnya, Program penghijauan kawasan perumahan dengan aktiviti tanaman pokok. Mahasiswa harus mengenalpasti jika projek tersebut merupakan keperluan dalam komuniti tersebut dan mahasiswa harus mengetahui bahawa tanggungjawab menjaga pokok-pokok yang baru ditanam itu adalah tanggungjawab mereka bersama komuniti. Kelestarian sesebuah usaha kesukarelawan itu harus dipertimbangkan. Kelestarian disini juga membawa maksud kepada usaha penerusan komunikasi dengan sesebuah komuniti itu secara berkala. Projek khidmat masyarakat yang berbentuk “one-off” tidaklah memberi impak yang begitu besar.

Salah satu inisiatif yang telah diperkenalkan oleh YB Dr. Maszlee Malik  sewaktu beliau menyandang jawatan Menteri Pendidikan, iaitu  Service Learning Malaysia – University For Society (SULAM) adalah antara modul kerja kesukarelawanan yang mempunyai potensi dan impak yang besar dalam program khidmat masyarakat. Modul ini juga memperlihatkan kebolehan mahasiswa dan  juga tenaga pengajar mengaplikasikan ilmu dan kepakaran bidang mereka kepada komuniti.

“Keterlibatan institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat dapat dilihat melalui sumbangan mereka dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Inisiatif seperti Service Learning Malaysia – University For Society memberi peluang kepada penuntut untuk menyumbang kepada masyarakat dengan mengaplikasikan teori yang dipelajari di dalam kelas untuk menyelesaikan permasalahan sebenar dalam komuniti (from classroom to community). Melalui iniasitif itu, pengetahuan, inovasi dan teknologi yang dibangunkan oleh penuntut, ahli akademik dan penyelidik di IPT boleh dipindahkan kepada masyarakat. Pada masa sama ia perlu dikomersialkan agar dapat memberikan manfaat secara langsung kepada komuniti dalam usaha menyokong pembangunan sosioekonomi negara. Era Revolusi Industri 4.0 mendedahkan bidang akademik kepada keadaan yang lebih mencabar. Kehadiran apa yang digelar sebagai disruptive technology (teknologi pengganggu) memerlukan ahli akademik yang mempunyai wawasan, bersedia berubah bersesuaian dengan cabaran-cabaran baharu serta mempunyai kebijaksanaan untuk kekal relevan. Melihat kepada kepantasan perubahan-perubahan yang dibawa oleh Revolusi Industri 4.0, ahli-ahli akademik juga perlu cepat menangani perubahan serta mampu melakukan pendekatan-pendekatan yang memastikan pelajar kita tidak ketinggalan.” – Petikan ucapan Mantan Perdana Menteri Malaysia ke-7, Yang berhormat Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad semasa Majlis Anugerah Akademik Negara ke-13.

Projek khidmat masyarakat yang mengintegrasikan ilmu yang dipelajari oleh mahasiswa berasaskan bidang kepada komuniti adalah satu bentuk program komuniti yang menginspirasikan bukan sahaja kepada mahasiswa dan juga warga di IPT, tetapi juga kepada komuniti. Rangkai kata yang sering kita dengar iaitu “Give back to the community” boleh diberi nafas dan pemaknaan yang baharu. Daripada mahasiswa memberi tenaga dan juga bantuan secara terus kepada komuniti, mahasiswa menjadi berupaya memberdayakan komuniti. Misalnya, sekumpulan pelajar undang-undang membentuk sebuah program penterjemahan undang-undang mudah difahami kepada komuniti supaya komuniti mengetahui hak mereka berasakan pelembagaan dan undang-undang Malaysia.  Pemindahan ilmu dan kepakaran mahasiswa membolehkan komuniti mengadaptasikan dan mengunakannya dalam kehidupan seharian.

Maka, untuk menjawab persoalan mengenai relevannya pembelajaran formal, beserta penilaian sistem pemarkahan untuk projek khidmat masyarakat buat mahasiswa IPT, saya berpendapat bahawa ianya relevan jika ianya boleh dijadikan garis panduan mengukur bukan sahaja impak pembangunan insaniah mahasiswa juga kualiti projek khidmat masyarakat yang telah dianjurkan oleh mahasiswa. Lebih utama, dalam menghidupkan semula nilai kesukarelawanan dan khidmat masyarakat ini,  mahasiswa IPT harus sedar bahawa usaha kesukarelawanan dan aktiviti khidmat masyarakat adalah seperti gelung getah. Benar, ianya mempunyai bentuk yang asas, tetapi potensinya dapat dikembangkan menjadi pelbagai bentuk, dan menghasilkan pelbagai faedah. Ianya tertakluk kepada daya dan kreativiti kita dalam merangka dan membentuk satu-satu projek kemasyarakatan itu sendiri agar dapat memajukan keperibadian mahasiswa itu sendiri, serta membawa faedah berpanjangan buat komuniti dan masyarakat yang sama-sama menjayakannya.

Divya Devi merupakan Pegawai Pembangunan Mahasiswa dan Anak Muda di Team Selangor. Manakala esei ini merupakan sebahagian daripada kempen penulisan Aspirasi Malaysia 2021 oleh Merdeka Center dan Naratif Malaysia untuk menggalakkan anak muda berkongsi idea dan pengharapan untuk masa hadapan Malaysia ke arah menghasilkan masyarakat yang lebih harmoni, maju dan sejahtera.

Design a site like this with WordPress.com
Get started