Memahami Masyarakat menerusi Imaginasi Sosiologi: Wawancara bersama Shamsul Amri Baharuddin

Begitu juga dalam kapitalisme, pun ada juga teori dan konsepnya. Kita lihat Max Weber melihat stratifikasi sosial lain daripada Marx—berasaskan kepercayaan, kedudukan sosial. Durkheim pun begitu juga, mengkaji mengenai masyarakat manusia yang sengsara akibat masalah sosial sehingga sanggup bunuh diri. Jadi kajian dia adalah mengenai impak langsung daripada revolusi industri.

NM: Selamat tengah hari. Bersama kami di Naratif Malaysia dalam program audiosiar dan video. Dalam siri audiosiar Naratif Malaysia ini, kami membincangkan tentang perkembangan dan pembangunan sains sosial di Malaysia bersama sarjana-sarjana dan ahli-ahli akademik yang berpengalaman di lapangan. Pada hari ini bersama kita ialah Prof Shamsul Amri Baharuddin. Beliau merupakan pengarah di Institut Kajian Etnik (KITA). Sedikit latar belakang beliau. Kalau boleh saya gunakan, kalau kita lihat akademik dalam kerangka bangsawan maka prof dari keluarga bangsawan. Guru-guru anda juga merupakan ahli-ahli akademik dan sains sosial yang terkenal dan berpengaruh. Anda juga memainkan peranan yang penting membangunkan institusi di UKM dsb. Seperti Institut Kajian Oksidental, ATMA sebagai pengarah, dan kemudian bertukar gelanggan ke KITA di mana beliau merupakan pengasas dan pengarah. Bidang Prof Shamsul adalah sekitar negara-bangsa, nasionalisme, Islam, modeniti, kolonialisme, sosiologi pembangunan, budaya, dan identiti. Terima kasih kerana sudi bersama kami pada hari ini.

Sebagai permulaan, saya ingin bertanya memandangkan anda sudah melakukan banyak kajian dan merantau di banyak tempat dan lapangan. Kalau direnung kembali, lapangan mana yang sangat mengesankan anda?

SAB: Saya dididik dan dibesarkan dalam bidang antropologi dan sosiologi. Jadi saya melihat semua disiplin ini adalah metodologi–cara untuk membuat kajian, melihat masyarakat. Begitu juga dalam sains. Fizik dan kimia merupakan metodologi untuk mengkaji aspek fizikal. Oleh kerana dibesarkan dalam bidang ansos, maka soalan-soalan yang saya tanya mengenai alam sekitar kita ini dari segi sosial dan fizikal berkait dengan cara-cara ansos bertanya. Dalam antropologi, yang paling penting adalah kajian komparatif. Dia tidak boleh membuat satu kajian tanpa tidak membandingkan. Walaupun dia memfokuskan pada satu komuniti, tetapi akhirnya dia akan melihat perkara-perkara generik seperti kinship, ritual, simbolisme. Dalam proses itu akan melihat perbandingan dengan masyarakat-masyarakat lain. Jadi kita kaji Islam tapi kita juga bincang tentang Hinduisme, Buddhisme dsb untuk meletakkan di mana Islam itu dan juga rakyat dan ummahnya. Kerana agama itu telah embedded dalam masyarakat. Kalau di Malaysia ini, agama Islam datang paling lewat kalau dibandingkan dengan Hinduisme dan Buddhisme. Jadi ia terpaksa mengikut acuan sedia ada. Itu sebabnya terdapat elemen agama-agama yang berbeza dalam cara hidup orang Melayu beragama Islam. Dan jangan lupa, bila sebut Islam, kebanyakan orang ingat Melayu saja. Tetapi sebenarnya ia dah… You flip the coin, anda lihat Melayu-Muslim, India-Muslim, Cina-Muslim, dsb. Jadi ia agak kompleks. Bukan saja Melayu. Saya sekarang sedang menyusun esei-esei saya, “Islam Observed in Malaysia: Some Contemporary Narrative.” Ia buku yang akan terbit. Jadi itu bidang yang saya minat. Tapi awalnya saya berminat tentang kajian sosiologi pembangunan. Di situ sosiologi kurang antropologi kerana ia adalah kajian global. Kajian mengenai hubungan/kaitan antara kawasan, negara kapitalis, negara sosialis, negara komunis, sistem-sistem lain yang mengaku membawa pembangunan tetapi mengapa berbeza. Dan disitulah saya mendekati teori-teori pembangunan daripada zaman Andre Gunder-Frank, “Development or Underdevelopment in Latin American Countries” kerana debat kebanyakannya di Amerika Latin. Kerana industri terbesar Amerika Syarikat yang membuat kereta dsb adalah di Amerika Latin.

NM: Dan itu paradigma dan subjek pada masa itu.

SAB: Ya. Kemudian kajian pembangunan diikuti oleh kajian globalisasi. Sebabnya proses industrialisasi berlaku di mana-mana. Globalisasi adalah ekoran daripada kajian mengenai perkembangan industrialisasi di seluruh dunia. Kait-mengait hubungan misalnya pembuatan kereta Jepun di Asia Tenggara. Badannya dibuat di Thailand, enjinnya dibuat di Filipina, dan bila dicantumkan dibawa ke Malaysia. Jadi macam itulah yang saya lihat, minat saya.

NM: Jadi berlatarbelakangkan perkembangan itu dan peristiwa-peristiwa dan proses yang berlaku, bagaiman anda membentuk minat dan kesarjanaan anda? Mungkin lebih khusus lagi, sebab kita membincangkan sains sosial di Malaysia, bagaimana anda menempatkan perkembangan itu dan kesarjanaan anda sendiri dalam perkembangan sains sosial di Malaysia?

SAB: Saya melihat perkembangan sains sosial di Malaysia ini amat baru. Kalau kita lihat laporan yang disediakan oleh Samuel P. Huntington, Manning Nash, Myron Weiner dalam satu laporan yang bernama Social Sciences for Unity in Malaysia pada 1970 selepas berlakunya 13 Mei. Sebelum itu ada sains sosial tetapi tidak dipanggil sains sosial. Ia letakkan Fakulti Ekonomi, Fakulti Sastera, Jabatan Pengajian Melayu, malah di Fakulti Sastera itu ada satu degree Bachelor Of Arts In Mathematics di UM. Orang tak tahu itu. Rasa saya ada lagi, sebab ia tentang logik. After all mathematics is about logic and explanation. Jadi ia menarik. Orang bertanya saya, mengapa ada Jabatan Pengajian Matematik di Fakulti Sastera? Kerana kemanusiaan adalah asas sains sosial. Sains sosial ini timbul di Eropah akibat daripada revolusi industri dan masalah yang timbul daripadanya lalu nak diselesaikan. Jadi sains sosial itu bermula dengan kajian tentang kemiskinan. Four volumes by Charles Booth on poverty in London. Dia buat map on poverty in lain. Pada saya, sains sosial ialah anak kepada revolusi industri. But humanities is the origin of all knowledge in terms of human discourse. Bukannya ilmu wacana wahyu tetapi wacana manusia–sejarah, falsafah, linguistik. Inilah dulu dalam falsafah ada yang berkait dengan pembinaan teori-teori tentang biologi. Kita ingat bahawa matematik ini didahului oleh Phytagoras Theorem, Archimedes Principle… Sebelum ada matematik atau sains. Saya rasa Francis Bacon dengan empirisismenya sangat berpengaruh dalam membina sains sebagai satu bidang pada kurun ke-12. Jadi kemanusiaan, sains, dan sains sosial. Jadi sains sosial ada semua komponen. Sebabnya kemanusiaan menjadi komponen yang penting kepada sains sosial bila melihat tentang elemen manusia, kemanusiaan… Kalau dia tengok tentang pekerjaan, apa kesan eksploitasi. Majalah Human Organization adalah majalah berkenaan revolusi industri dan pekerja pada tahun 1930-an di Amerika. Masa itu heboh dengan Fordisme dsb. Tetapi dalam sains sosial juga, sebab kita mengkaji sosial dan tubuh, jadi banyak kajian yang bersifat saintifik dalam sains sosial ini… Kalau kita tengok sains perubatan dan di mana pembinaan kefahaman mengenai perubatan itu dan hubungan atau kaitannya dengan hidup manusia itu sangat jelas. Jadi sains sosial menjadi kumulatif dari segi kandungan dan juga teori dan konsepnya akibat yang terkini dalam tiga bidang yang besar itu. Di situlah timbulnya teori sosial seperti Marxisme, apa yang yang dibawa Marx dan Weber, yang bukan terletak dalam sains sosial sahaja tetapi ia berbincang mengenai soal-soal kemanusiaan seperti eksploitasi dsb. Itu sebabnya mereka diangkat sebagai social philosopher dan bukannya falsafah tulen. Seperti siapa yang membincangkan tentang social justice. Bukannya mengenai pure philosophy tetapi social philosophy. Dan social philosophy inilah yang menjadi panduan kepada ahli-ahli sains sosial yang melihat masyarakat. Maka timbulnya sistem komunisme, yang Marx katakan sebagai sistem terbaik selepas kapitalisme, sosialisme… Begitu juga dalam kapitalisme, pun ada juga teori dan konsepnya. Kita lihat Max Weber melihat stratifikasi sosial lain daripada Marx—berasaskan kepercayaan, kedudukan sosial. Durkheim pun begitu juga, mengkaji mengenai masyarakat manusia yang sengsara akibat masalah sosial sehingga sanggup bunuh diri. Jadi kajian dia adalah mengenai impak langsung daripada revolusi industri.

NM: Di belakang tiga pertemuan dan gabungan, boleh dikatakan kerana anda sedar dan tahu akan gabungan ini, adakah ia mempengaruhi dan menyebabkan anda dapat pergi ke pelbagai bidang? Dan kajian anda langsung merentas etnik, falsafah, sejarah; contohnya dalam pembangunan nasionalisme, Islam sendiri seperti yang anda katakan.

SAB: Sebenarnya perjalanan saya itu, saya menemui macam-macam—discovery. Misalnya yang paling penting bagi saya adalah tiga konsep: epistemologi, ontologi, metodologi. Pada saya, perjuangan saya dalam dunia akademik ini sebenarnya untuk membolehkan ilmu yang susah dan payah nak baca, terjemahan daripada Jerman ke Inggeris, daripada Inggeris ke Melayu. Macam mana pelajar saya yang tak tahu hujung pangkal ini nak diajar benda-benda ini. Itupun bila belajar ANSOS di universiti, rupanya pergi ke England mereka itu dah ajar di sekolah menengah. Jadi mereka yang berijazah daripada UKM dalam bidang ansos ini hanya sama taraf dengan HSC mereka. Bayangkan. Itu tak dapat kita elakkan. Jadi usaha saya, kalau ia tak dapat dipisahkan dengan cara saya mengajar ilmu, maka saya merasakan bahawa saya perlu membina alat-alat analisis–that is the key word, analytical tool. Saya bayangkan a neurosurgeon uses a different tool compared to orthopaedic surgeon because they are cutting up different things. So the sophistication of academic analysis has to be able to use many forms of analytical tools to allow to dig into many layers of the knowledge and implications that we study. Jadi memang salvation saya dalam Malaysia ini ialah menggalakkan pembinaan alat-alat analisis. Maka saya bertemu dengan EOM ini (epistomologi, ontologi, metodologi) sebagai asas memulakan mendekati ilmu.

NM: Mungkin anda boleh berkongsi sedikit tentang EOM ini.

SAB: Kalau berbincang tentang epistemologi ini, kita sedang berbincang tentang asal-usul ilmu. Jadi bila bincang asal-usul, kita harus bezakan antara ilmu wahyu dengan ilmu wacana manusia yang dibina melalui induction. Ilmu wacana manusia ada tiga saja bidang iaitu kemanusiaan, sains, dan sains sosial. Dan ketiga-tiga ini mesti ada epistemologinya. Jadi bila kita buat kajian, daripada awal lagi kita tahu daripada mana kita ini. Adakah kuantitatif, kualitatif, atau mix-mode. Jadi kita dah tahu dah adakah kita ini berasaskan sains sosial, kemanusiaan, atau menggabungkan dengan sains tulen. Dan begitu juga dengan sains tulen. Studies of zoology has got a lot of social sciences-like model. You study monkeys… Kawan saya pakar zoologi kata, we have to borrow from the social sciences to study the society of gorillas and monkeys, and also the society of ants. You see, they use the word society of ants and community of ants. So it’s quite interesting to me that people don’t see that because we don’t reach to that level of analysis in our daily life and because we are separated… Apa yang saya ingin buat ialah bagaimana memahami epistemologi ini boleh membantu anda mula memikirkan sebabnya begini. Itu membina alat analisis.

Ontologi itu realiti. Realiti itu ada dua: abstrak dan real realiti. Abstract reality is nobody has ever seen a society. Have you seen a Malaysian society? But we know there is a Malaysian society. So that’s what I call abstract reality. There will be a contradiction of terms but that’s what it is. But there are real reality, which we say like we know about the impact of tsunami. It’s happening. It’s very real. So that’s the second part, the ontology part, which consist of both real and abstract reality.

Epistemology is the basis. Tapak berloncat, daripada mana kita nak meloncat. Adakah kajian kita ini kemanusiaan atau sains sosial atau gabungan ketiga-tiganya. Dan pada saya, yang penting sekali adalah… Kita ini sebagai seorang pelajar, ahli akademik yang buat kajian, we are—i don’t like to use this example–people who are collecting garbage for recycling. They have to figure. They may have a mountain of garbage. They have to figure out how to arrange them. To arrange them, you need some epistemology. Same thing. We have so much data on Malay intellectuals. So how do you organise these ideas to allow them to be understood? And present them in an accessible manner to people. Otherwise you’ll be shooting in the dark. So this is the biggest issue in the country when it comes to academic. From my point of view, I have supervise 55 PhD students and another 50 odd external examiners and another 50 odd MA etc. So I learn from that humble experience of mine, this is what a Malaysian student in Malaysia not someone educated at Oxford or Cambridge–they know too much and they don’t know Malaysian society. They know too much theories and concepts and applying it straight away without realising it is not possible to apply it that way. Because they aren’t able to modulate the complexity of that knowledge itself in the origin to the reality here. So that gap is the one I’m trying to resolve because our students need that. Jadi kalau pelajar saya, dia mesti bermula.. Terutamanya ambil MA atau PhD.. BA juga tesis di UKM. Saya tanya dia, apakah yang anda tahu mengenai kajian anda nak buat ini? Okay, saya nak buat tentang FELDA. Apa yang anda tahu tentang FELDA? Jadi dia pun cerita dan tulis. Jadi macam mana anda nak analisa? Itu yang susah, semua relevan. Kalau dia tahu EOM, dia nak buat sains sosial atau kemanusiaan; anda nak kaji psikologi orang FELDA atau mitos FELDA… FELDA is a modern new organisation and yet it is embedded in the whole realm of Malay understanding of society–hierarchy, religion. So I said, what is the nature of collectiveness in FELDA? Is it the same as a Malay kampung? No, because they are regimented in some ways. Because the biological, the scientific side, is regimented. Berapa kali nak pergi baja pokok kelapa sawit, getah, etc. They have a regiment. It’s not just a night in the kampung where you can go anytime like because you are smallholder and the master of the whole activity. So I said, there are sociological differences. This is what you want to study. Jadi kalau anda nak kaji anda perlu tahu sama ada nak gunakan sains sosial atau kemanusiaan atau campur dengan sains misalnya mengenai regimentation agriculture will regiment the life of human being… The ecology. Seperti orang bersawah. Kalau atas tu ada air dan bawah ada air, kena atur macam mana dapat air. Jadi orang tak tengok itu tapi pada saya ia penting.

NM: Saya fikir itu sangat menarik. Jadi ia membenarkan kita untuk melangkaui tetapi juga masih lagi dalam bidang itu.

SAB: Ya, itu asalnya saya boleh berkejar dan berlari dalam banyak bidang. Kerana melalui pegangan itu, saya boleh masuk mana-mana bidang dan belajar–bukannya saya nak mengajar. Daripada belajar mengenai bidang itu, saya boleh berkongsi semula. Itu sebabnya kadang-kadang ada ketikanya saya tidak mahu pergi seminar itu kerana saya tahu saya tidak boleh beri apa-apa yang baru untuk itu kerana sudah dibincangkan ataupun orang itu tidak menerima hal-hal baru ini, dia tak tahu itu espistemologi apa dsb. Jadi saya tidak mahu menunjukkan bahawa saya ini pandai sangat ke. Pada saya, you have to be fair.

NM: Mungkin saya boleh bawa kembali sebab saya tertarik bila prof sebut tentang kawan prof, tentang zoologi, masyarakat semut… Kalau lihat dalam konteks yang lebih kontemporari, seperti Covid19, mungkinkah prof rasa ini menunjukkan betapa pentingnya untuk melihat atau dikatakan orang yang multi-dimensional view of an event iaitu bukan saja sains tapi turut melihat dari aspek ekonomi, sosial, dsb.

SAB: Saya melihat covid19 ini dari basic anthropology, because anthropology studies the social and the biological. So you cannot but study the biological of the human being but we leave them behind. We only focus on the social all the time. Ini isu yang bermasalah dalam disiplin sosiologi dan antropologi kerana sepatutnya kita kaji dua-dua iaitu social and biological. Di Malaysia tak ada biological anthropology. Sebabnya tradisi di Amerika Syarikat ada. Di sana ada forensic anthropology. Tapi di England, archaeology dan biological anthropology adalah di fakulti perubatan. Jadi tradisi negara-negara kolonial ini menentukan bentuk ANSOS yang diajar di Universiti Malaya dan juga di Australia. Jadi dengan sendirinya fokus saya dan rakan-rakan kebanyakannya adalah on the social. Tetapi Covid19… Saya tahu dan faham, saya melihat sociology of ilness etc. Covid19 ini sebenarnya adalah mengenai dua aspek manusia iaitu biologi dan sosial. What we see in covid19 is how the biological is impacting the social at the individual, family, and community level.

NM: Bahkan juga di peringkat nasional dan antarabangsa.

SAB: But I go back to sociological imagination. C. Wright Mills says, there are three elements that you have to look at when you study societies across world: 1) individual, 2) family, 3) community. And from there comes society etc. But these three building blocks must be there. So when you see covid19, when we look at PKP what is it? It’s about controlling the three–individual, family, community. We always forget about the family. And that’s why I’m looking forward to meeting these people who are studying about family in Malaysia. Because we don’t even map the kind of family we have in Malaysia. What type of family? Blended family, extended family, nuclear family? What types of families we have? When we talk about social problems in Malaysia, where is the origin? I said it’s family. It cannot be anywhere else. Somebody is a son or daughter of somebody else’s. I think this is what people don’t understand. Anyway, we always leave the family. I’m very sad because I think a lot of issues in Malaysia are family-based.

NM: Bergerak ke depan, contohnya bila kita berbincang balik tentang EOM yang disebutkan anda, saya tertarik kepada kajian anda tentang negara-bangsa atau negara idaman. Bagaimana EOM ini mempengaruhi atau memberi satu kerangka untuk anda memulakan dan juga merincikan konsep yang pada pandangan saya sangat penting.

SAB: Saya bermula dengan ilmu kolonial mengenai negara-bangsa. Ilmu kolonial itu saya ingin memahami bagaimana kategori-kategori mengenai masyarakat ini dibentuk. Itu saya kaji mengenai ilmu kolonial. Daripada situ saya dibawa kepada census studies atau banci. Hari ini census tahun 2020 dilancarkan, 7/7/2020. 10 tahun sekali kan. Padahal asalnya pada 1871 di straits settlements. 200 tahun dah rasa saya. Jadi social categories… Saya bertanya… Sebenarnya yang menimbulkan isu ini adalah bila saya buat PhD saya di Kuala Selangor. Satu kampung itu 10 nama tapi dalam dokumen yang berbeza. Mengapa? Bukit Cerakah nama ni, tapi Bukit Kucing… Semua ada nama. Mengapa? Saya tanya pejabat daerah, dia pun tak tahu. Saya tengok rekod, rekod tunjukkan nama itu ada. Tahun ini tahun 1958 baru diperkenalkan Bukit Cerakah. Mengapa? Akhirnya saya tahu bahawa pengkategorian ini datang dari pejabat daerah semasa kolonial–yang memberikan nama kepada tempat yang tak ada nama. Orang tak ada duduk situ. Masa tak ada orang duduk situ namanya Bukit Kucing sebab banyak kucing, anggapan sayalah. Bukit Cerakah dia lain sebab banyak buah-buahan, cerakah itu sejenis buahan. Jadi menarik pada saya bagaimana nama ditukar. Siapa yang membuat nama ini? Pejabat daerah. Apa peranan pejabat daerah? Ia unit yang paling kecil dalam pemerintahan kolonial. Pemerintahan kolonial sangat menarik. Yang tinggi sekali adalah sultan dia kekalkan, yang bawah sekali adalah penghulu dia kekalkan, manakala tengah-tengah dia punya.

NM: Dan itu mungkin barangkali yang paling sentral.

SAB: Ya. Jadi pada saya, itulah mulanya saya berminat tentang ilmu kolonial. Daripada situlah saya tahu bahawa society, history, and territory are built on colonial knowledge. So the notion of nation and state is the construction of colonial knowledge. Why is this construction of colonial knowledge? Why is it in formerly colonised countries, there’s always a state but there’s no nation? Because the British never encouraged to be a nationalist. They put them behind bars. Because nationalism is dangerous and an antithesis of colonialism. So that’s why we never had a nation but we have a brilliant state that looks after everything. I mean, someone may hate or like Malaysia but they’re still carrying the Malaysian passport. This is the duty of that state. So we have a state. But the yearn to have a nation is always there. Why? That’s why the struggle eg why do we have Islam in our IC, why can’t we call it bangsa Malaysia not according to race, etc. Because we are now into a physical entity–country must have territory, citizenship, and law. So territorially, we are in one territory but why are we so different and why do we have one name called Malaysia? Ini timbul isu. Sampai sekarang, anak-anak muda masih lagi mempersoalkan. But for me, that is part of the struggle to have the Malaysia that we want–negara idaman or nation-of-intent.

That is how I come about. Because I have debated this once with Ben Anderson in Copenhagen in 1993, in a conference organised by project organised by a professor in Oslo, yang kemudiannya menjadi Asian Forms Of Nation. Saya mula-mula tak masuk. Saya hanya jadi pengerusi untuk seminar. Dalam itulah saya anjurkan idea saya nation-of-intent. Ben beri keynote address. Lepas itu orang bagi paper dan saya nyatakan, I think there is another idea we should entertain, not only imagined community. Imagined community is a passive idea of nationalism whereas nation of intent is active because people wants a nation, knows a nation, and fight for the nation. But imagined community is not about fighting but accepting the fact that we all have the same thing. So that is the difference between what I have and him. And that’s why Ben asked me to write. So it’s interesting to me how this idea come. But basically it’s about colonial knowledge that inform me etc because with the background and the detail colonial knowledge, I can understand how our history is constructed, how our society is made through census (Melayu, Cina, India)—dalaman tak peduli, how many Chinese, Indian, Malay etc. And then the territory. And that’s why we are still struggling for our territories with Indonesia. Because the Dutch had took over Singapore and they exchanged with Batavia. So it is interesting for me how territory is never ending.

NM: Saya ingin bertanya tentang garbage tadi. Menarik bila anda mengatakan ada satu seakan bukit sampah. Saya ingin bertanya di kala masyarakat Malaysia dengan pelbagai bunyinya, isunya, dll, jadi untuk melihat ke depan, bagaimana anda membantu kita terutamanya sarjana-sarjana muda dan ahli sains sosial untuk as they say to clear garbage?

SAB: Saya dah perkenalkan dua tahun lalu tapi tidak didengarkan sebab kita heboh dengan perkara-perkara lain. Saya membaca dan melihat satu konsep yang kita kena gunakan di sini untuk boleh melihat semua perkara di Malaysia. Kita telah bergerak daripada old diversity kepada new form of diversity—this new form is called super diversity in Europe. Ada banyak buku dan tulisan mengenai ini iaitu berasaskan bombing di London in 2005. Kajian itu dapati ada 100 lebih kumpulan linguistik di london. Di Malaysia saya tak panggil ia super diversity tapi aneka kepelbagaian. Kerana aneka ialah perkataan yang lebih tepat berbanding super. Super diversity itu seolah-olah mengatakan diversity itu tak super, hanya super diversity yang super. It’s not true, it’s not about super. It’s about the variety of diversity. Itu perkataan Melayu, aneka kepelbagaian, itu jauh lebih baik dan tepat daripada super diversity itu dalam keadaan Malaysia. Apa yang dimaksudkan di Malaysia? Kita sekarang ini, dalam bahasa biasanya, Covid19 telah mendedahkan dengan lebih jelas bahawa adanya pekerja asing di Malaysia mendatangkan kesukaran dan bahaya–ada yang haram ada yang halal. Jadi aneka kepelbagaian/super diversity ini ditimbulkan oleh kerana keperluan ekonomi dan perubahan politik–ada Ronghiya dsb. Orang Burma sekarang bukannya orang Burma. Orang Burma ada Chin, ada Rohingya, so it’s not one. So are their police. So is Indonesian, tak boleh kata dia Indo… Jawa lain. Dia bergaduh dengan orang Madura. Mengapa? Kaki gaduh Madura ni, dia cakap banyak Madura. Jadi pada saya, this is the new thing that we have but we haven’t be able to handle. Theoretically and conceptually, social sciences in Malaysia haven’t handled and touched on this. We always fall back to the old diversity concept CIMB (Cina, India, Melayu, Bumiputera). So that is the latest one that we have to take care of. Why I said that? Kita tak ada public policy nak uruskan orang asing yang haram ini. Kenapa? Mereka masih lagi pergi toilet, minum air, anaknya pergi sekolah. How do we handle these people? Dia tak bayar cukai. Itu sebabnya bila orang bincang anti-GST itu tak pandai. GST itu termasuk kalau orang haram ini, dia tetap berbelanja beli beras di Malaysia. Jadi bagi saya, GST is most suitable for aneka kepelbagaian, masyarakat in super diversity. Why? It’s not based on income but based on expenditure. Sebab dia akan belanja. Walaupun dia penduduk haram di Malaysia, dia kena beli makanan dll jadi dia kena bayar cukailah. Jadi itu tak bijaknya parti pembangkang dulu membangkang GST. Sebab ilmu dia masih lagi kepelbagaian yang dah lusuh dan lama. Kalau dia ingat kepelbagaian baru, we need their money. Kerana kita pun perlu pekerja itu kerana orang kita tak buat kerja itu. Jadi oleh kerana kita perlukannya, bagaimana kita nak cukai mereka? Tak boleh. Jadi tak ada hujah ketika itu, saya seorang yang berhujah. Lepas itu mereka kata saya menyokong BN dan macam-macam. Saya melihatnya dari segi praktikal. Kalau kita tak ada kemahuan dan kemampuan ilmiah itu, jadi polisi kita akan terikat kepada diversity atau kepelbagaian lama. Dan dia tidak inklusiflah pada saya. Inklusif ini termasuk siapa yang duduk di Malaysia ini mesti diberi peluang kerana dia juga menyumbang. Baik secara haram atau halal tapi bangunan Kuala Lumpur itu siapa yang buat? Jadi saya tanyakan begitu. Kepada policymakers, mereka melihat saya ini menggugat cara kita berfikir. The whole research organisations in this country have to be changed. Saya sedang buat di institut dan menggalakkan. Ada satu bidang di institut, kluster namanya Migration and Super Diversity.

NM: Dan barangkali itu tema yang patut kita beri perhatian untuk ke depan.

SAB: Ya, saya rasa itulah dia. Itulah satu ruang baru dalam sains sosial di Malaysia ini yang belum diterokai.

Tanggapan terhadap Naratif Malaysia: Penerus Sains Sosial yang Komited

Menurut saya, usaha dan cita-cita luhur Naratif Malaysia ini merupakan satu cerminan daripada hasrat untuk mencari penyelesaian kepada krisis intelektual yang kita hadapi pada hari ini. Saya perhatikan, usaha ini adalah satu cita-cita luhur dari kelompok sarjana muda yang mahu mengemukakan pertanyaan baru dan menginginkan jawapan baru bagi soalan tersebut. Saya merasakan demikian kerana Malaysia sedang menghadapi krisis intelektual.

Pertama-tamanya saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Naratif Malaysia yang menjemput saya untuk mengisi ruang bual bicara dalam Bengkel Pembangunan Kapasiti Penyelidik Muda (Pembentangan Abstrak) ini. Harapan saya, ruang yang diberikan ini akan sedikit sebanyak dapat membantu dalam mengukuhkan tujuan gerakan intelektual yang dimulakan oleh Naratif Malaysia ini.

Menurut saya, usaha dan cita-cita luhur Naratif Malaysia ini merupakan satu cerminan daripada hasrat untuk mencari penyelesaian kepada krisis intelektual yang kita hadapi pada hari ini. Saya perhatikan, usaha ini adalah satu cita-cita luhur dari kelompok sarjana muda yang mahu mengemukakan pertanyaan baru dan menginginkan jawapan baru bagi soalan tersebut. Saya merasakan demikian kerana Malaysia sedang menghadapi krisis intelektual dan sering dikatakan umpama berada di persimpangan perjalanan sejarah Sains Sosial.

Justeru itu, pada persimpangan inilah kita perlu membuat keputusan ke manakah haluan yang sebenarnya. Adakah perlu bergerak lurus? Adakah perlu belok ke kiri atau ke kanan? Ataupun perlu mundur seketika kerana ada gaung di hadapan, tetapi dengan maksud untuk melompat kijang setelah mundur selangkah. Semua ini adalah upaya untuk mencari orientasi baru dalam Sains Sosial yang cuba diusahakan oleh Naratif Malaysia.

Mengapa baru? Ini boleh kita bincangkan.

Namun, inilah cita-cita sama daripada kelompok sarjana muda sebelum ini. Pada tahun 1975, cita-citra yang sama ini pernah berkumandang di Jabatan Antropologi & Sosiologi, UKM. Namun, berbeza dengan generasi sebelumnya, upaya generasi muda ini dilaksanakan dalam konteks baharu yang disuasanai dengan cabaran dan persekitaran baharu.

Berangkat daripada titik bersejarah gerakan terdahulu, maka kita disarankan untuk bertanya bagaimanakah kita boleh sampai ke titik pada hari ini. Sebelum menentukan hala tuju bagi masa hadapan, kita harus mengenal dari mana datangnya kita. Dalam konteks ini, kita perlu cekap membaca landasan sejarah yang telahpun tergaris. Hanya dengan pendekatan ini, akan dapat membantu kita untuk lebih memahami ilmu Sains Sosial itu sendiri.

Kerana itu saya sangat menyambut baik usaha golongan aktivis sarjana (scholar activist) daripada Naratif Malaysia ini, yang ingin menanggapi intipati penting yang terkandung dalam bidang Sains Sosial pada hari ini. Apatah lagi, kumpulan memperoleh bimbingan dari Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong yang telahpun menyampaikan kuliah mengenai revolusi Sains Sosial pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa serta turut disokong juga dengan beberapa himpunan bacaan Sains Sosial sejak tahun 1991—yang mana semua ini membantu dalam menerangkan tentang situasi Sains Sosial di Malaysia. Berdasarkan latar belakang ini, maka saya dapat melihat keistimewaan dan kebitaraan kumpulan Naratif Malaysia yang memilih mata angin kompas yang tepat dalam menempuh perjuangan intelektual generasi baru pada hari ini.

Sebenarnya, perjalanan isu Sains Sosial secara aktivisme yang aktif bermula sejak tahun 1991 lagi. Kemudiannya, timbul lagi pada 1999 di peringkat global (menerusi beberapa isu global seperti kewangan, politik dan sebagainya) dan pada tahun 2001 terdapat kegiatan dan tanggapan dari Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) terhadap beberapa isu tersebut. Setelah itu, timbul lagi isu yang lebih kurang sama pada 2006 dan 2019. Oleh itu, perkara yang agak sama berlaku sejak 1991 sehingga 2019 dilihat sebagai satu lingkaran cabaran intelektual yang membawa kepada penghasilan inisiatif Naratif Malaysia ini.

Misalnya, seingat saya, pada tahun 1991, telah diterbitkan satu artikel yang berjudul, “The Social Sciences in Malaysia: A Critical Scenario,” tulisan Rustam A. Sani dan Norani Othman. Mereka mendapati bahawa hanya sedikit sahaja berlaku perubahan dalam Sains Sosial. Perubahan yang sedikit ini bertitik tolak daripada deklarasi 1975 oleh Jabatan Antropologi dan Sosiologi berkenaan kepentingan Sains Sosial yang komited dan relevan kepada masyarakat. Seterusnya, ada juga respon setelah adanya pengajian Antropologi dan Sosiologi dan kemudiannya berkembang menjadi satu Fakulti Sains Pembangunan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Namun, semua ini hanyalah sebahagian kecil atau bersifat umum, yang mana ini tidak mencetus perubahan yang besar dalam gerakan keintelektualan di Malaysia. Lantas hal ini barangkali yang mendorong kepada terbitnya satu makalah pada 1991 tersebut yang bersifat provokatif tetapi ianya adalah satu kebenaran yang sukar untuk dinafikan. Menurut petikan dari ayat dalam artikel tersebut berbunyi:

“Landskap Sains Sosial di Malaysia pada 1991 sangat sarat dengan tompokan-tompokan habuk gergaji yang berukuran kecil dan besar. Habuk gergaji itu fizikalnya apabila ditiup angin akan hilang dan apabila terkena air akan mengecil.”

Berdasarkan penegasan ini, maka saya fikir perkara ini wajar diberikan perhatian yang sewajarnya. Lima tahun kemudian, pada 1996 ahli sosiologi dari Universiti Cambridge terkenal, Anthony Giddens juga membuat kenyataan yang agak provokatif yang menyatakan bahawa kebanyakan penyelidikan sosial telah merosot menjadi empirisisme murni (pure empiricism) sehingga sains sosial itu tidak lagi berpedomankan perspektif teori yang bermanfaat. Sebab itu, pada tahun 2001, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong selaku Presiden PSSM ketika itu pernah menggunakan istilah theoretically informed dalam kajian Sains Sosial. Istilah ini memberi isyarat betapa pentingnya dimensi teori dalam kajian Sains Sosial, lebih-lebih lagi di Malaysia.

Kesannya, kita dapat lihat pada tahun 2006, sama di peringkat tempatan oleh para sarjana sosiologi di bawah PSSM mahupun diperingkat global, Sains Sosial disarankan agar intipatinya mestilah berbentuk sarat teori dan bukannya neutral teori. Ini secara tidak langsung dapat menimbulkan kesedaran betapa pentingnya kesimbangan antara teori dan praxis dalam bidang sosiologi, sekaligus tidak bersifat bebas nilai. Malah, ini juga membawa kita kembali kepada deklarasi 1975 yang mengkritik rasionalisasi dan modenisasi oleh Max Weber.

Sementara pada 2019, perlu saya catatkan di sini, ahli sosiologi German yang rapat dengan penyelidikan di Malaysia, Hans Dieter Evers telah menyebut satu kenyataan yang agak provokatif dan mengatakan bahawa ketiadaan tradisi teori yang kukuh dalam kajian Sains Sosial di Malaysia. Dengan kata lain, beliau mengatakan di Malaysia tidak ada budaya kajian teori yang kukuh dan perkara ini ada dicatatkan dalam beberapa buku terbitan UKM. Tambahannya lagi, kebanyakan kajian yang dihasilkan di Malaysia lebih cenderung bercorak empirikal, keperihalan (descriptive) dan kurang berpandukan teori. Ertinya, ini merupakan satu cabaran kepada generasi muda, terutamanya kumpulan Naratif Malaysia ini untuk mendirikan tradisi berdasarkan sejarah perkembangan Sains Sosial di Malaysia.

Akhir kata, Naratif Malaysia bukanlah usaha baharu. Ianya hanya baharu dalam dalam aspek terpaksa menempuh persekitaran baharu dengan cabaran yang berbeza dan mungkin lebih rumit. Sungguhpun bukan suatu usaha baharu, Naratif Malaysia boleh menjadi mata rantai yang penting dalam menyambung sejarah intelektual penyelidikan sains sosial di Malaysia. Saya fikir, dengan menyimbangkan antara dunia akademik dengan dunia aktivisme, antara dunia teori dengan dunia praktis, kumpulan ini boleh berjaya, setidak-tidaknya ini semua dapat memberi tekanan baharu kepada kebekuan gerakan aktivisme-intelektualisme di Malaysia dewasa ini. Harapan kita, usaha ini bukan sahaja dapat memperkukuhkan gerakan Naratif Malaysia, tetapi juga memperkukuhkan tradisi sains sosial yang komited sifatnya.

Teks ini merupakan transkripsi ucapan Abdul Halim Ali, mantan profesor sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ucapan ini dilakukan semasa Bengkel Pembangunan Kapasiti Penyelidik Muda (Pembentangan Abstrak) pada 24-26 Julai 2020 di Hotel Dorsett, Putrajaya. Bengkel ini adalah anjuran Naratif Malaysia (NM) dengan kerjasama IKMAS, UKM, MARI, USAID dan Kedutaan Amerika.

Menangani Kebangkitan Ekonomi China: Model Malaysia

Sebelumnya, ruang polisi atau autonomi Malaysia semakin mengecil dalam urusan hal ehwal ekonomi dengan China. Pengecilan ruang autonomi ini berpunca daripada beberapa faktor domestik iaitu pelaksanaan program rasionalisasi hutang 1MDB, kegagalan kerajaan menguatkuasakan undang-undang serta menetapkan pengisian tempatan dalam usaha sama dengan pelabur.

Pada era pemerintahan Perdana Menteri Najib Razak, ruang polisi atau autonomi Malaysia  semakin mengecil dalam merencana dan melaksanakan agenda pembangunannya dalam urusan hal ehwal ekonomi dengan China. Pengecilan ruang autonomi ini berpunca daripada beberapa faktor domestik iaitu pelaksanaan program rasionalisasi hutang 1MDB dan bail-out 1MDB oleh China, serta kegagalan kerajaan untuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan, serta menetapkan pengisian tempatan dalam usaha sama dengan pelabur China. Namun, penyusutan ruang polisi ini tidak hanya spesifik kepada Malaysia tetapi ia turut dialami oleh beberapa negara yang mempunyai hutang luar sedia ada yang besar, ditambah pula dengan perolehan pinjaman yang besar dari China. Ini berlaku di negara-negara  seperti Sri Lanka, Djibouti, Pakistan, Republik Kyrgyz, Laos, Maldives, Republik Mongolia, Montenegro dan Tajikistan.

Walau bagaimanapun, berbeza dengan negara-negara di atas, Malaysia pada era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dari Mei 2018 hingga Februari 2020 menunjukkan bahawa negara kecil seperti Malaysia masih mampu mempertahankan ruang polisi atau autonomi dan kepentingan negara dalam kerjasama ekonomi dengan kuasa besar seperti China. Kes Malaysia mungkin boleh dijadikan sebagai model kepada negara-negara kecil lain yang mempunyai hutang yang besar dengan China tetapi berusaha untuk mempertahankan autonomi dan kepentingan negara tanpa mengundang reaksi negatif dari China.  

Pada hemat saya, model Malaysia ini terdiri daripada beberapa ciri berikut. Pertama, kewujudan elit politik yang mengutamakan kepentingan negara dan ideologi pembangunan. Meskipun kerajaan telah bertukar daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14, elit-elit politik PH masih diterajui oleh Mahathir Mohamad, iaitu pemimpin kuat yang berpegang kepada ideologi pembangunan dan kepentingan negara. Menurut Mahathir, Malaysia gagal untuk mencapai Wawasan 2020 – yang bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju sepenuhnya pada 2020 – berikutan salah guna kuasa dalam pentadbiran lepas. Oleh yang demikian, peranan negara di era PH dikembalikan untuk mencapai beberapa matlamat pembangunan yang digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama.

Ciri kedua, pengembalian semula peranan negara di atas diletakkan dalam kerangka regulatori baharu yang bertujuan untuk memulihkan keupayaan governan atau tadbir urus negara agar peranan negara ini bersifat telus, bertanggungjawab dan diuruskan berasaskan prinsip tadbir urus yang baik. Dalam usaha ini, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Khas Siasatan 1MDB untuk membuat siasatan, pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap beberapa individu berkaitan skandal 1MDB dan SRC, selain memperbaiki tadbir urus dan kewangan beberapa GLC atau syarikat berkaitan kerajaan termasuklah Felda, Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera. Tambahan, kerajaan turut melaksanakan reformasi institusi yang lebih menyeluruh seperti memberikan kebebasan yang lebih luas kepada media, melantik pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam kalangan ahli parlimen pembangkang, mensyaratkan  ahli parlimen untuk mengisytiharkan aset, dan melancarkan Pelan Anti-Rasuah Nasional 2019-2023.

Ciri ketiga, kerajaan berusaha untuk memulih dan memperkasakan keupayaan berunding negara bagi merunding semula projek-projek mega China di Malaysia. Pada era pemerintahan PH, institusi penting yang ditubuhkan bagi mencapai matlamat tersebut adalah Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang terdiri daripada lima individu yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang ekonomi dan kewangan. CEP berperanan  tidak hanya untuk mengenalpasti kedudukan ekonomi dan kewangan negara serta membantu kerajaan untuk merealisasikan manifesto dalam tempoh 100 hari tetapi juga membekalkan sumber maklumat utama kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri Mahathir untuk membuat keputusan bagi merunding kembali projek-projek mega China. Dalam rundingan semula projek-projek China, dua individu CEP memainkan peranan yang penting iaitu Daim Zainuddin dan Robert Kuok. Sebagai bekas Menteri Kewangan – pada zaman pemerintahan pertama Mahathir sebagai Perdana Menteri – yang mempunyai jaringan yang luas dengan para pemimpin China dan pengalaman yang mendalam mengenai China, Daim ditugaskan untuk mengetuai rundingan semula tersebut. Sementara itu, Robert Kuok – iaitu tokoh  korporat besar berpusat di Hong Kong yang mempunyai hubungan yang rapat dengan pimpinan  China dan dihormati di China – pula memainkan peranan tidak langsung untuk menyantuni para pemimpin China untuk kembali ke meja rundingan. Melalui peranan langsung dan tidak langsung kedua-dua pemimpin ini, Malaysia berjaya mendapatkan terma perjanjian yang lebih baik bagi projek East Coast Rail Link (ECRL) dan Bandar Malaysia (yang dihidupkan kembali sebagai timbal balas bagi terma perjanjian yang lebih baik).

Ciri keempat dan terakhir, kerajaan bertegas untuk mempertahankan autonomi dan kepentingan negara. Usaha ini dapat dilihat apabila kerajaan bertindak membatalkan projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP), serta merampas dana berjumlah RM1 bilion daripada akaun bank kontraktor projek tersebut. Kerajaan juga menolak pelaburan China dalam sektor hartanah yang dilihat sebagai tidak menguntungkan negara. Dalam hal ini, unit-unit kediaman di Forest City dan Melaka Gateway dilarang untuk dijual kepada warga asing dan visa tidak akan dikeluarkan kepada warga asing untuk tinggal di Malaysia. Bagi projek Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), kerajaan menunjukkan ketegasan ketika lawatan Mahathir ke China dengan memaklumkan pemimpin-pemimpin utama China tentang keperluan syarikat-syarikat China untuk mematuhi undang-undang dan peraturan di MCKIP. Selain itu, kerajaan turut menggunakan ruang polisinya dengan mempelbagaikan sumber pinjaman khususnya dari Jepun yang membawa kepada persetujuan kerajaan Jepun untuk menawarkan jaminan penerbitan bon samurai yang bernilai RM7.4 bilion untuk tempoh 10 tahun dengan kadar kupon tetap pada 0.53 peratus setahun.

Berdasarkan huraian di atas, keupayaan Malaysia untuk merunding kembali beberapa projek mega China boleh dijadikan model untuk mempertahankan autonomi negara dan ruang polisi. Model ini mungkin boleh diteladani oleh negara-negara membangun lain yang berusaha untuk mempertahankan ruang polisi atau autonomi bagi melindungi kepentingan negara masing-masing dalam kerjasama dengan kuasa besar seperti China. Model Malaysia ini terdiri daripada empat ciri utama iaitu kewujudan elit politik yang berpegang teguh kepada kepentingan negara dan ideologi pembangunan; kemunculan semula peranan negara dalam kerangka regulatori baharu bagi memulihkan keupayaan governan negara; pemulihan keupayaan berunding kerajaan yang terdiri daripada pemimpin yang mempunyai jaringan dan pengalaman yang luas tentang China; serta ketegasan pimpinan negara untuk mempertahankan ruang polisi atau autonomi bagi melindungi kepentingan negara.

‘Arafah, Islam dan Naratif Malaysia

Tibanya hari ‘Arafah turut mengingatkan Aku yang berpeluang menjejak tanah ‘Arafah satu tahun yang lalu, di bawah langit biru dan terik matahari yang membakar tubuh saat berdiri menghadap Tuhan memohon pengampunan dan pengharapan. Tiba-tiba datang hujan ribut sebelum berlalu matahari senja sambil membawa bersama sejuta doa.

Dengan Nama Allah, yang Maha Pengasih dan Penyayang; Maha Mengetahui lagi Bijaksana; dan yang Maha Membangun dan Memajukan.

Aku ditugaskan untuk menulis, menulis pada hari ‘Arafah, menulis pula tentang pembangunan Islam, untuk Naratif Malaysia. Ada apa dengan ‘Arafah? Dan apa pula kaitannya dalam wacana naratif pembangunan Islam di Malaysia?

Keutamaan ‘Arafah itu sudah sering dijelaskan para agamawan, sampai butiran keutamaan tersebut menjadi ratib tepu golongan kebanyakan. Ini lebih ketara lagi pada hari-hari perayaan bila mana Takbir sering dijadikan laung-laungan, sahut-sahutan. Tapi seruan nama-nama Tuhan ini tak pula dapat kita rasakan besar. Suaranya tentu sahaja boleh ditinggikan sampai menggegar ke langit, tapi getarnya belum tentu sampai ke jiwa. Mungkin kerana sudah jadi kebiasaan, apa-apa seruan pun tatkala terserap sebagai budaya makanya seru kata-kata itu tak lagi membuah hasilnya. Lagi-lagi dalam era dunia masa ini, dengan arus pembangunan dan kemajuan yang penuh kesebokan, kebisingan dan keresahan. Hinggakan tidak jarang kita lupa bahawasanya kita ini manusia. Maka, dari tahun ke tahun, ‘Arafah bertandang membawa peringatan.

Penghayatan ‘Arafah itu wajar ditekankan sebagai satu kerukunan dalam Islam. Sebagaimana sabda baginda Nabi S.A.W, yang menekankan “Haji itu ‘Arafah!”[i]. Tanpa ‘Arafah, tiadalah Haji. Lazimnya, ‘Arafah dikenali sebagai satu tempat, juga satu hari. Dalam ruang-masa ini jemaah haji yang rata-ratanya pengembara dari serata pelusuk dunia berhenti atau Wuquf; berhimpun menghadap Tuhan, bertafakur bersama ayat-ayat suci, memohon pengampunan dan mengungkap kesyukuran untuk hal-hal yang masa lalu, mengadu resah-gelisah kehidupan masa ini, juga membentangkan hajat pengharapan untuk hari-hari yang mendatang. Malah, tidak hairan kita mendengar cakap dalam kalangan jemaah haji yang mengatakan semua hari-hari yang dilalui di dunia ini sudah terkandung di dalam ‘Arafah, begitu juga setiap wajah, setiap nama dan setiap nafas.

Mulianya hari ‘Arafah itu telah diriwayatkan dalam beberapa hadis Nabi SAW; merupakan antara hari-hari yang paling baik di sisi Tuhan, yang menjanjikan di atas segala permintaan para hambanya di ‘Arafah itu akan dijawabNya[ii]; serta Tuhan bermegah kepada para Malaikat di langit, lalu turun menyambut kehadiran himpunan manusia yang datang menghadapNya[iii].

‘Arafah juga merupakan tempat yang mengingatkan kita akan pertemuan Adam dan Hawa yang lama terpisah setelah turun dari alam syurga ke alam dunia. Pertemuan ini seterusnya melahirkan keluarga besar manusia beserta nilai kemanusiaan.

‘Arafah juga mengingatkan kepada Ibrahim, serta segala pengorbanannya. Apabila dipersoalkan kepada baginda Nabi SAW akan kewajaran Haji untuk keluar daripada Tanah Haram di Mekah, berbeza dengan kebiasaan Haji kaum Quraish pada waktu itu; Nabi SAW mengingatkan kepada tradisi Ibrahim’, untuk menuju ‘Arafah, Muzdalifah, Mina, dan seterusnya melontar di Jamrah dan juga ibadah korban. Dan di ‘Arafah juga, Nabi SAW menyampaikan Khutbah Wada’, seruan akhir baginda yang antara lain menekankan hak persaudaraan sesama Muslim, kesetaraan sesama manusia tanpa mengira bangsa, tuntutan keadilan dalam hubungan antara lelaki dengan wanita, juga tanggungjawab buat yang kuat untuk melindungi yang lemah. Dalam seruan akhir ini juga, baginda mengisytiharkan telah berakhirnya zaman kejahilan, juga turunnya wahyu bahawa agama ini telah disempurnakan.     

Namun, di sebalik keistimewaan sebagai tempat, hari, serta fadhilat kehadirannya; ‘Arafah juga wajar dihayati berdasarkan pengajaran lainnya. Ali Shariati mencatatkan dalam karya beliau The Hajj, bahawa ‘Arafah, serta unsur-unsur lain dalam ibadah Haji itu semuanya sarat dengan pengajaran kehidupan yang penting buat manusia dan kemanusian[iv].

Shariati, arkitek revolusi Iran, menghuraikan bahawa ‘Arafah itu termuat penghayatan ilmu dan pengetahuan, dan hanya dengan pengetahuan, maka kesedaran kemanusiaan boleh terhasil. Bahkan, kata nama ‘A-ra-fah’ itu sendiri mengusung makna perkenalan, pengetahuan dan kearifan, khususnya berkaitan hubungan antara manusia dengan penciptanya. Penghayatan ‘Arafah juga mengingatkan kepada penceritaan Al-Qur’an tentang penciptaan manusia dengan amanah sebagai khalifah di muka bumi datang dengan asas pengetahuan. Firman Allah, “Telah diajarkan kepada Adam nama-nama segala sesuatu…”, wajar mengingatkan kita bahawa ilmu dan pengetahuan itu merupakan pengajaran yang asal semuanya dari Tuhan[v].

Oleh yang demikian, mungkin boleh sahaja dirumuskan pengajaran penting berkenaan ‘Arafah di sebalik keistimewaan fadhilat kehadiran diri dalam satu ruang-masa, juga mengandungi pengajaran yang amat bermakna dalam menghargai nilai pengetahuan untuk manusia dan kemanusian, khususnya buat kita yang beragama Islam. Tanpa pengetahuan, kita tidak mungkin boleh benar-benar tahu dan sedar. Lantaran itu, Manusia diseru untuk hadir di ‘Arafah untuk menghayati pengetahuan sepenuhnya. Kerana hanya dengan ilmu pengetahuan, maka yang dicipta itu dapat dihubungkan dengan Pencipta, sama seperti makhluk dapat berhubungan dengan Tuhan.

Maka, seraya menginsafi hal ini, ‘Arafah mengajarkan kepada kita bahawa hanya dengan asas pengetahuanlah yang menempatkan diri kita di dunia sebagai manusia, sekaligus membawa penghayatan kemanusiaan. Malah, boleh dikatakan keseluruhan ibadah Haji itu mengajarkan tentang kehidupan dan kemanusian; kepentingan persaudaraan, keutamaan kasih sayang dan pengorbanan, serta perlawanan dengan unsur-unsur kejahatan. Pengajaran-pengajaran penting ini mengingatkan bahawasanya kehidupan ini secara keseluruhannya merupakan satu perjalanan hidup di dunia menuju Tuhan.

Perkongsian di atas mungkin menimbulkan persoalan tentang apa relevannya ‘Arafah dalam membincangkan pembangunan Islam di Malaysia? Apatah lagi, Islam sebagai agama telah kukuh bertapak dalam masyarakat di Malaysia untuk sekian lama, khususnya dalam kebudayaan Melayu. Tambahan pula, topik berkaitan Islam sudah menjadi lumrah dan sentiasa bermunculan setiap hari dalam wacana awam.

Namun, perkembangan di Malaysia akhir-akhir ini yang dilanda ketidak-tentuan politik dan kesukaran ekonomi serta kesenjangan sosial seakan-akan telah mempengaruhi wacana awam berkaitan Islam untuk cenderung didominasi unsur-unsur etno-sentrik yang ekstrim, serta naratif keagamaan populis yang mudah mengundang keresahan dalam masyarakat serba berkepelbagaian di Malaysia.

Lebih daripada itu, dinamika politik pada masa ini juga miring memgembur identiti Melayu-Islam hingga mudah mengumpan sentimen kebencian, bukan hanya terhadap kelompok berlainan kaum atau agama, malah sesama Muslim itu sendiri.

Justeru itu, mengingati ‘Arafah, mungkin mewajarkan kita untuk ‘wuquf’ atau berhenti sebentar memikirkan kembali keadaan semasa dalam masyarakat, dan ke mana halatuju wacana berkaitan pembangunan Islam di Malaysia pada masa ini. Oleh yang demikian, Aku merasakan ‘Arafah memberi beberapa pengajaran penting untuk kita sebagai Muslim dalam memacu pembangunan masyarakat di Malaysia.

Pertamanya, ‘Arafah menekankan tentang kepentingan ilmu dan pengetahuan sebagai asas kepada pembangunan diri dan masyarakat. Kepentingan pengetahuan ini wajar difahami secara luas meliputi pengetahuan tentang diri, tentang masyarakat dan juga alam persekitaran secara keseluruhannya yang wajar dihayati secara rasional, empirikal dan juga spiritual melangkaui pemecahan bidang-bidang ilmu seperti kebiasaan pada masa ini.

Arafah, dengan ini, lantas mengingatkan kita bahawa segala ilmu ini asalnya dari Tuhan, serta kedudukan istimewa yang ada pada kita sebagai manusia itu asasnya kerana pengetahuan. Hanya dengan penguasaan ilmu kita dapat mengelakkan daripada terperangkap dalam sentimen permusuhan dan perpecahan. Ini termasuklah dalam hal-hal keagamaan, yang ada kalanya kerana terlalu ghairah, walhasilnya penerapan keagamaan itu kehilangan hikmah. 

Kedua, berasaskan kepentingan ilmu dan pengetahuan, ‘Arafah mengingatkan tentang bagaimana kita harus menempatkan diri di dunia, khususnya sebagai manusia ciptaan Tuhan. Kesedaran ini sewajarnya mengingatkan bahawa wujudnya diri kita ini sebenarnya melangkaui identiti setempat yang dibentuk oleh negara, masyarakat mahupun satu-satu zaman yang khusus; atau dengan kata lain, identiti diri itu tidak hanya tertakluk kepada pembentukan tempat-masa-persekitaran. Identiti diri sebagai seorang Islam antara lain memerlukan kita mengenang Adam, Ibrahim dan tentu sekali Muhammad SAW, di mana kita wajar menyedari identiti diri sebahagian daripada tradisi kemanusian yang lebih luas dan bersifat kebelakaan.

Oleh itu, sebarang penghujahan dalam mengukuhkan identiti berkaitan Islam, haruslah bertepatan dengan nilai-nilai kemanusiaan; saling rasa hormat, menghargai persaudaraan, keadilan dan kasih-sayang; dan bukan sekadar memperkasa identiti etno-agama secara sempit.

Ketiga, ‘Arafah wajar mengingatkan kita tentang kemajuan, kegemilangan dan kesempurnaan dalam kehidupan sebagai manusia dan masyarakat. Kejayaan yang dicapai komuniti awal Islam itu terhasil bukan hanya disebabkan keyakinan keagamaan, tetapi juga melibatkan kesabaran, pengorbanan dan juga kebersamaan usaha di tahap yang paling tinggi. Malah, seperti mana yang ditekankan oleh baginda Nabi SAW, kesempurnaan keagamaan yang perlu dicapai dalam membangun sesebuah masyarakat itu perlu datang bersama komitmen persaudaraan, keadilan, serta kasih sayang untuk semua ahli-ahli masyarakat.

Tibanya hari ‘Arafah turut mengingatkan Aku yang berpeluang menjejak tanah ‘Arafah satu tahun yang lalu, di bawah langit biru dan terik matahari yang membakar tubuh saat berdiri menghadap Tuhan memohon pengampunan dan pengharapan. Tiba-tiba datang hujan ribut sebelum berlalu matahari senja sambil membawa bersama sejuta doa. Tentu sekali disertakan juga doa maju sejahtera untuk Malaysia, umat Islam sedunia dan umat manusia keseluruhannya. Semoga rahmat Tuhan sentiasa bersama kita.

Dan Allah yang Maha Tahu akan segalanya.


[i] Sunan An-Nasa’i; Hadith 3016.

[ii] Sunan At-Tirmidhi; Hadith 3339.

[iii] Sahih Muslim; Hadith 1348.

[iv] Ali Shariati. 2003. The Hajj. Islamic Book Trust. Kuala Lumpur.

[v] Al-Qur’an (2:31)

Bola Sepak di Malaysia: Mencari Punca Kemeruduman

Bila ada tragedi yang menimpa pasukan bola sepak kebangsaan, para peminat sukan bola sepak tanah air segera menuding jari kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia. Tudingan tersebut ditujukan dengan andaian bahawa badan induk itu telah gagal melaksanakan tugas memartabatkan sukan ini dengan baik.

Apabila berlakunya tragedi yang menimpa pasukan bola sepak kebangsaan, para peminat sukan bola sepak tanah air lazimnya akan menuding jari kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia. Tudingan tersebut ditujukan kerana para peminat beranggapan bahawa badan induk itu telah gagal melaksanakan tugas memartabatkan sukan ini dengan baik. Episod yang sama juga turut berlaku di peringkat negeri di mana Persatuan Bola Sepak Negeri seringkali mendapat kecaman daripada peminat bola sepak negeri kerana kegagalannya meraih posisi yang memberangsangkan, khususnya dalam kancah liga tempatan mahupun kejohanan Piala Malaysia.

Satu persoalan penting perlu dipertanyakan, kenapakah peminat bola sepak di Malaysia cenderung untuk membebani seluruh kesalahan atas kegagalan tersebut di atas bahu institusi baik di peringkat kebangsaan mahupun peringkat negeri?

Dalam hal ini, lipatan sejarah penting untuk dihamparkan semula. Bola sepak merupakan antara aktiviti sukan moden yang terawal bertapak di negara ini. Meskipun penglibatan warga agak sedikit terlewat akibat daripada kurangnya kefahaman permainan, peralatan, serta pegangan aktiviti tradisional yang kuat. Penerimaan masyarakat umum terhadap bola sepak mula berkembang apabila terdapatnya campur tangan daripada pihak kolonial khususnya dalam aspek pendidikan, selain daripada pengaruh yang dimainkan oleh golongan elit dan kerabat Diraja bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti tersebut.

Campur tangan tersebut tampaknya membuahkan hasil apabila secara perlahan-lahan, masyarakat mula tertarik untuk memainkan aktiviti tersebut. Hasil daripada ketertarikan tersebut, komuniti yang dominan pada waktu itu seperti komuniti Melayu, Cina, dan India mula menubuhkan sebuah institusi yang bertujuan untuk menyelenggara setiap perlawanan dan pertandingan bola sepak. Perkembangan institusi sukan mula menjalar ke peringkat daerah dan negeri, yang seterusnya bergabung untuk membentuk satu persatuan induk bagi menyelenggara perlawanan di peringkat kebangsaan.

Masyarakat serba mengerti bahawa peranan institusi sukan sangat penting. Hal ini kerana institusi tidak hanya berperanan mengatur perlawanan, tetapi juga memiliki akses asas permainan seperti peralatan dan juga padang permainan. Selain itu juga, orang-orang yang berada di dalam institusi sukan ini dianggap serba faham akan selok-belok pengurusan sukan bola sepak, memandangkan kebanyakan mereka yang mengisi posisi birokrasi di dalam institusi lazimnya datang daripada latar belakang pendidikan Inggeris, yang mana perkara tersebut telah sedia diajarkan kepada mereka semasa menuntut di Sekolah Inggeris. Oleh yang demikian, warga kebanyakan menyerahkan seluruh kepercayaan mereka terhadap institusi sukan tanpa mengambil tahu serba sedikit bagaimana ia dilaksana dan diselenggarakan.

Pada tahun 1970, pihak kerajaan menubuhkan agensi sukan tertinggi negara iaitu Majlis Sukan Negara. Agensi ini bertindak sebagai badan induk kepada semua jenis sukan di Malaysia, termasuk juga sukan bola sepak. Meskipun pada waktu itu Persatuan Bola Sepak Malaysia sudah berdiri dengan teguh dan dilihat mampu menyelenggara sukan bola sepak, namun pihak kerajaan berhasrat untuk menggabungkan semua institusi sukan ke dalam satu payung agar setiap aktiviti sukan boleh dipantau perkembangannya, selain memperlihatkan kerelevanan penubuhan Majlis Sukan Negara sebagai badan induk sukan negara.

Peranan agensi ini tidak terhad. Tidak hanya sebagai perancang, tetapi agensi memiliki kuasa tertentu untuk menentukan hala tuju setiap persatuan sukan agar matlamat yang disasarkan oleh negara dapat dicapai. Namun, agensi ini memberi ruang dan peluang kepada setiap persatuan sukan untuk membangun mekanismenya yang tersendiri baik dari aspek perancangan, kewangan, pembangunan dan sebagainya. Dalam konteks sukan bola sepak, Persatuan Bola Sepak Malaysia merupakan badan yang bertanggungjawab untuk melaksanakan segala perancangan tersebut.

Di tahun 1960an sehingga 1980an, peminat bola sepak tidak melihat sebarang pemasalahan yang meruncingkan, memandangkan prestasi pasukan kebangsaan masih lagi boleh dibanggakan dan kukuh diperingkat antarabangsa atau setidak-tidaknya, di benua Asia. Kebanggaan ini wujud kerana mungkin peminat sedar, meskipun liga bola sepak tempata dijalankan mengikut format semi-profesional, tetapi ia mampu membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang kuat dan mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi. Hal ini telahpun dibuktikan dengan beberapa siri kejayaan seperti melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1974 dan 1980, meraih pingat gangsa Sukan Asia Tehran, serta beberapa siri kejayaan lain diperingkat ASEAN.

Siri kejayaan yang ditempa ini ternyata belum cukup memuaskan Persatuan Bola Sepak Kebangsaan kerana sehingga sekarang, pasukan kebangsaan masih gagal menempatkan diri secara automatik ke kejohanan Piala Dunia. Oleh yang demikian, Persatuan Bola Sepak Malaysia, dengan sokongan Majlis Sukan Negara memasang angan-angan tinggi untuk beraksi di kejohanan berprestij tersebut. Maka pelbagai perancangan telah disusunatur agar hasrat tersebut dapat direalisasikan. Antaranya adalah dengan menaiktaraf status liga bola sepak tempatan ke arah profesional.

Barangkali, pihak agensi dan persatuan melihat bahawa inilah satu-satunya jalan pintas untuk mencapai hasrat tersebut. Mungkin juga para peminat sependapat dengan idea tersebut. Maka disebabkan itulah ketika penaiktarafan ini dilaksanakan, tidak terpapar sebarang kritikan, kebimbangan, serta persoalan yang dikemukakan oleh peminat terhadap idea penaiktarafan ini. Kalaupun ada yang tidak sependapat, pelaksanaan penaiktarafan ini telahpun dipersetujui oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia dan diakui oleh Majlis Sukan Negara yang merupakan badan induk sukan di Malaysia.

Selang beberapa tahun selepas pelaksanaan liga profesional iaitu pada tahun 1994, segala angan-angan dan harapan seluruh peminat bola sepak tanah air segera runtuh. Prestasi pasukan kebangsaan semakin terpuruk. Liga bola sepak profesional yang digembar-gemburkan setaraf liga bola sepak di Eropah semakin merosot kualiti permainannya. Bahkan yang lebih menyedihkan lagi, berlakunya kecurangan etika apabila terdapat kes pengaturan perlawanan dan pengaturan skor yang melibatkan pengurusan dan para pemain tempatan yang beraksi di dalam kancah liga tempatan.

Keadaan ini menyebabkan peminat bola sepak tempatan semakin menjauhi sukan bola sepak tanah air, khususnya dalam aspek sokongan terhadap pasukan negeri dan pasukan kebangsaan. Para peminat bola sepak tempatan berpendapat bahawa keadaan ini adalah disebabkan kegagalan diperingkat agensi dan institusi untuk berfungsi dengan baik. Ia dimanifestasikan melalui beberapa siri protes yang menggesa institusi untuk melepaskan jawatan mereka dan jawatan tersebut diberikan kepada orang yang lebih faham dan layak untuk memimpin institusi.

Hasil daripada protes tersebut, Persatuan Bola Sepak Malaysia melakukan penstrukturan semula untuk memastikan peminat kembali untuk mewarnai liga bola sepak tempatan. Namun setelah penstrukturan tersebut dilakukan, apakah berlaku peningkatan kadar kehadiran peminat bola sepak ke stadium? Tampaknya, perubahan struktur tidak membuahkan apa-apa. Kehadiran ke stadium masih berada dalam kadar yang minimal seperti sebelumnya. Tetapi keadaan ini segera berbeza jika suatu perlawanan yang melibatkan perlawanan prestij dan perlawanan seteru seperti perlawanan akhir Piala Malaysia dan perlawanan menentang negara jiran yang menyaksikan duyunan peminat bola sepak membanjiri stadium. Kedukaan akan kegagalan segera institusi dilupakan.

Namun, ia menimbulkan beberapa lagi pertanyaan baharu antaranya apakah selayaknya kegagalan ini disandarkan sepenuhnya kepada institusi? Dan apakah peminat bola sepak tanah air terlepas dari bebanan tersebut kerana pada hakikatnya, para peminat masih lagi menunjukkan minat terhadap sukan bola sepak tanah air. Persoalan ini akan dijawab pada bahagian kedua esei ini yang mana penulis akan menjelaskan dengan lebih tuntas makna peminat dan juga penyokong.

Kebangkitan Ekonomi China dan Autonomi Malaysia

Malaysia diharap berupaya mengaut manfaat besar daripada kebangkitan ekonomi China dan sekaligus mempertahankan autonomi negara dan ruang polisi. Untuk itu, elit politik Malaysia mesti berpegang teguh kepada prinsip kemandirian yang mendahulukan kepentingan negara.

Sejak China melancarkan strategi Go Global dan menyertai World Trade Organization (WTO) pada 2001, China telah berjaya memperkukuhkan integrasi ekonominya ke dalam ekonomi global. Strategi ini telah meningkatkan pelaburan keluar China (OFDI) sehingga menjadi sumber pelaburan kedua terbesar dunia pada 2015, meningkatkan pembiayaan kewangan China di seluruh dunia dari segi peruntukan geran, bantuan teknikal dan pinjaman mudah, serta membentuk kontraktor China yang cekap dan berdaya saing dalam membangunkan kemudahan infrastruktur di serata dunia.

Strategi ‘memandang ke luar’ China ini disokong oleh Belt and Road Initiative (BRI) yang dilancarkan pada 2013. BRI  merupakan satu projek infrastruktur gergasi yang bertujuan untuk mempertingkatkan perhubungan China dengan 138 buah negara dari segi polisi, infrastruktur, perdagangan, kewangan dan perhubungan rakyat dengan rakyat. Bagi menyokong BRI, China telah menubuhkan beberapa institusi kewangan yang berpusatkan China seperti Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB), Silk Road Fund, dan New Development Bank dengan beberapa negara BRICS yang lain iaitu Brazil, Rusia, India dan Afrika Selatan.

Peluang ekonomi yang ditawarkan oleh BRI ini telah mendorong pelbagai negara termasuklah Malaysia untuk memainkan peranan yang aktif dalam menggalakkan pelaburan dari China serta memperoleh pinjaman dari China bagi membiayai kemudahan infrastruktur. Namun, dalam konteks ketidakseimbangan kuasa yang besar di antara Malaysia dengan China dan lokasi Malaysia yang berada dalam lingkungan pengaruh China, persoalan yang timbul adalah apakah Malaysia mempunyai ruang polisi – yakni keupayaan untuk secara bebas menentukan agenda pembangunannya tersendiri yang mengutamakan kepentingan negara – dalam hal ehwal ekonomi dengan China khususnya pada era pemerintahan Perdana Menteri Najib Razak?

Sekiranya diteliti dari beberapa aspek kerjasama ekonomi Malaysia-China seperti pelaburan, pinjaman dan kontrak projek, saya berpendapat bahawa ruang polisi negara pada era Najib Razak telah mengecil sama sekali. Dari segi pelaburan, kerajaan telah menjual aset tenaga, Edra Energy kepada syarikat milik kerajaan (SOE) China, CGN Group, meskipun penjualan ini bercanggah dengan dasar tenaga Malaysia yang melarang penjualan aset tenaga kepada pelabur asing atas alasan keselamatan.

Kerajaan juga telah menjual beberapa bidang tanah kepada pelabur China terutamanya di koridor selatan negara, Iskandar Malaysia termasuk projek Forest City, dan beberapa projek lain seperti Melaka Gateway di Melaka, serta Bandar Malaysia di pusat Bandar Raya Kuala Lumpur. Dalam beberapa projek seperti Forest City dan Melaka Gateway, kerajaan juga gagal untuk mendesak pelabur China untuk melaksanakan kajian impak alam sekitar (EIA) dan impak sosioekonomi meskipun projek-projek ini melibatkan kerja-kerja penebusan tanah skala besar untuk menghasilkan pulau buatan yang memberikan kesan yang memudaratkan kepada ekosistem laut dan pendapatan penduduk tempatan.

Dari segi pinjaman, kerajaan mula meminjam secara besar-besaran dari China bagi membiayai tiga projek infrastruktur iaitu East Coast Rail Link (ECRL), Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP) pada 2016. Dalam ketiga-tiga projek ini, kerajaan tidak berupaya untuk merunding terma dan syarat projek yang memihak kepada negara yang menyebabkan kesemua kontrak ini telak dianugerahkan kepada syarikat milik kerajaan China tanpa pelaksanaan tender terbuka (ECRL dianugerahkan kepada CCCC sementara TSGP dan MPP dianugerahkan kepada CPPB). Lebih teruk lagi, kontraktor China ini dibayar berasaskan garis masa dan bukannya berasaskan kemajuan projek yang menyebabkan sebahagian besar pembayaran telah dibuat kepada kontraktor meskipun hanya 13 peratus projek siap (bagi TSGP dan MPP).

Dari segi kontrak projek pula, kontraktor China berjaya membida sebahagian besar projek infrastruktur di Malaysia melalui pembentukan usaha sama dengan syarikat tempatan. Dominasi kontraktor China di Malaysia sejak 2015 ini membawa beberapa implikasi.

Pertama, ia telah melemahkan syarikat tempatan kerana kontraktor China cenderung untuk memperoleh bahan-bahan dan kelengkapan dari China berbanding sumber tempatan. Kedua, ia telah menyebabkan banyak kontraktor tempatan gulung tikar kerana kontraktor China cenderung untuk memenangi projek-projek tempatan kerana keupayaan yang dimiliki dari segi kewangan, kepakaran dan pengalaman untuk melaksanakan projek infrastruktur skala besar. Ketiga, kontraktor China cenderung untuk menggunakan pekerja dari China yang membawa kepada peningkatan pekerja China di Malaysia sekaligus mengurangkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Beberapa projek di atas menunjukkan bahawa ruang polisi kerajaan telah mengecil untuk merencana dan melaksanakan agenda pembangunannya dalam urusan hal ehwal  ekonomi dengan China. Namun, apakah faktor yang menyumbang kepada pengecilan autonomi negara dan ruang polisi ini?

Pada hemat saya, terdapat tiga faktor utama. Pertama, pelaksanaan program rasionalisasi hutang 1MDB iaitu sebuah syarikat pelaburan negara yang sarat dengan hutang dan penuh dengan kontroversi seperti pencurian dana pelaburan negara, rasuah, penipuan dan salah guna kuasa yang membabitkan bekas Perdana Menteri Najib Razak dan orang buruan iaitu Jho Low. Oleh sebab 1MDB gagal untuk menjelaskan hutangnya, 1MDB melalui subsidiarinya terpaksa menjual aset tenaganya, Edra Energy kepada syarikat milik kerajaan China, serta menjual sebahagian tanah di Bandar Malaysia kepada  pelabur China yang bekerjasama dengan pelabur tempatan (meskipun penjualan ini gagal pada era Najib). Selain itu, 1MDB juga memilih untuk menganugerahkan kontrak ECRL, TSGP dan MPP kepada syarikat-syarikat milik kerajaan China sebagai balasan kepada usaha penyelamatan atau bail-out China ke atas 1MDB yang diakui oleh pegawai sulit Najib ke China semasa perbicaraan kes mahkamah yang membabitkan Najib. Ini menunjukkan bahawa autonomi negara telah ditembusi dan dikompromi disebabkan oleh skandal 1MDB sekaligus melemahkan keupayaan negara untuk berunding bagi mendapatkan terma projek yang memihak kepada negara Malaysia.

Kedua, kegagalan kerajaan untuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan sedia ada. Dalam projek Forest City di Johor dan Melaka Gateway, kerajaan gagal untuk menuntut pelabur atau pemaju China untuk menjalankan kajian kesan alam sekitar atau EIA sebelum projek diluluskan. Kajian EIA ini hanya dilaksanakan apabila projek ini dikritik oleh kerajaan Singapura (dalam kes Forest City). Tambahan, pelabur China dalam  kedua-dua projek (dan banyak projek lain di Malaysia) gagal untuk melaksanakan kajian sosioekonomi yang memberikan impak yang besar kepada pendapatan penduduk tempatan khususnya golongan nelayan. Meskipun pemaju di kedua-dua projek ada memberikan wang pampasan, nilainya adalah sangat kecil dan tidak sepadan dengan kehilangan mata pencarian nelayan dan kehakisan budaya penduduk tempatan berasaskan perikanan kerana sebahagian mereka terpaksa meninggalkan kerja nelayan dan mencari pekerjaan lain.

Ketiga, kegagalan kerajaan untuk menetapkan pengisian atau penglibatan tempatan dalam projek-projek usama sama dengan pelabur China. Hal ini membingungkan kerana kerajaan adalah rakan kongsi senior dalam usaha sama tersebut yang mempunyai kuasa untuk menetapkan kadar penyumberan tempatan dan keperluan untuk menggaji pekerja tempatan. Ianya melucukan sekiranya kita mengharapkan China untuk mempertahankan kepentingan negara Malaysia, dan usaha China untuk mempertahankan kepentingannya sendiri adalah tindakan yang logik dan rasional dari sudut pandangan mereka.

Berdasarkan perbincangan di atas, meskipun Malaysia bersikap proaktif untuk memanfaatkan keuntungan daripada kebangkitan ekonomi China, Malaysia pada  era pemerintahan bekas Perdana Menteri Najib tidak komited untuk mempertahankan ruang polisi atau autonomi negara dalam merencana dan melaksanakan agenda pembangunannya. Apa yang membimbangkan adalah pengecilan autonomi ini berpunca daripada kelemahan elit politik yang memerintah Malaysia untuk mempertahankan autonomi dan menjunjung ideologi pembangunan. Hal ini disebabkan oleh skandal 1MDB, serta kegagalan untuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan serta menetapkan pengisian tempatan khususnya dalam projek usaha sama dengan pihak China.

Memandang ke depan, kita mengharapkan Malaysia berupaya untuk mengaut manfaat yang besar daripada kebangkitan ekonomi China dan sekaligus mempertahankan autonomi negara dan ruang polisi. Untuk membolehkan ini berlaku, elit politik Malaysia mesti berpegang teguh kepada prinsip kemandirian yang mendahulukan kepentingan negara  dan memperkukuhkan beberapa keupayaan negara khususnya keupayaan berunding dan keupayaan governan dalam kerjasama ekonomi Malaysia dengan China.

Populisme: Bangkit Kembali?

Sisi populis Mahathir bukanlah sesuatu yang baru. Bahkan justfikasi dikukuhkan melalui tulisan Khoo Boo Teik dalam “The Paradox of Mahathirism: An Intellectual Biography of Mahathir Mohamad” mengesahkan salah satu elemen utama keutuhan Mahathirisme adalah kewujudan populisme berasaskan nilai “kepimpinan melalui tauladan.”

Tahun 2016, satu tahun yang hangat diperkatakan apabila Donald Trump dicalonkan sebagai wakil Republikan untuk bertanding kerusi Presiden Amerika Syarikat. Trump dilihat sebagai seorang ahli politik yang memilik karakter tersendiri hasil daripada cetusan dirinya sebagai seorang kapitalis besar yang menerajui konglomerat Amerika Syarikat.

Namun, bukan itu yang ingin dikongsikan, yang menjadi perhatian sekitar tahun tersebut adalah, kerancakan penggunaan dan pelabelan label “populis” dan “populisme” yang dibangkitkan naratifnya sewaktu kempen pemilihan Presiden Amerika Syarikat.

Dalam hal ini, Trump dilabel sebagai seorang yang populis dan cuba menerapkan faham populisme, meneruskan legasi kepopularan Le Pen di Perancis dan juga tokoh populis kiri (left-populist) yang hangat di Britain, Bernie Sanders. Terma populisme pasca period kempen tersebut telah menarik perhatian banyak pandangan umum dan ahli akademik apabila populisme mula dilihat sebagai satu bentuk feneomena sosial baru yang wujud dalam ruang awam politik khususnya di negara Eropah dan Amerika Syarikat. Tidak hairan jika dikatakan, populisme sebagai “buzzwords” politik yang paling popular digunakan pada abad ke-21.

Garapan populisme ini pula diperkukuhkan dengan lagi dengan terbitnya satu karya penting cetusan daripada bangkitnya label populis terhadap Trump yakni karya bertajuk What Is Populism? (2016), yang ditulis oleh seorang saintis politik, Jan-Werner Muller diterbitkan oleh Penerbit Universiti Philadelphia menghangatkan perkembangan naratif populisme dalam ruang demokrasi. Karya ini dilihat sebagai satu justifikasi mewartakan bahawa populisme mulai bangkit dan menguasai wacana ruang demokrasi. 

Ini kemudiannya dirancakkan lagi dengan terbitnya satu lagi karya akademik berkenaan populisme ditulis oleh, Cas Mudde dan Cristobal Rovira Kaltwasser bertajuk Populism: A Very Short Introduction (2016) terbitan Oxford University Press yang lebih bersifat akademik dengan pendefinisian populisme yang tersusun dan bersifat “full academics”. Dengan kemunculan karya-karya ini, menjustifikasikan bahawa naratif populisme mula diwacanakan kembali dalam ruang demokrasi, namun, larasnya agak berbeza berbanding era 1960-an dengan perkembangan teknologi merancakkan lagi medium penyebaran naratif ini.

Turut merancakkan lagi, perkembangan naratif populisme ini bukan saja tertumpu di peringkat rantau Eropah dan Amerika, bahkan gelombangnya kini cuba merasuki masyarakat yang begitu kuat diikat dengan kebudayaan Timur khususnya negara-negara sedang membangun di Asia Tenggara lebih-lebih lagi Malaysia pada 9 Mei 2018 yang berjaya mencipta perubahan sejarah politik.

Barisan Nasional (BN) yang telah mendominasi selama 60 tahun pemerintahan di Maaysia yang ketika itu diketuai Najib Razak dijatuhkan dari kerusi pemerintahan oleh pakatan politik antara Mahathir-Anwar yang membentuk Pakatan Harapan (PH). Pertentangan kedua-dua ini begitupun dilabel sebagai “the clash of populist leader” memandangkan kedua-duanya memiliki karisma yang menarik dan mampu untuk memobilisasi karakter pengikut dengan gaya retorika mempengaruhi dengan kemahiran artikulasi yang di tahap baik.

Awal Naratif Populisme

Walau bagaimanapun, karya Muller bukanlah karya terawal yang memerihalkan tentang populisme, bahkan dalam satu terbitan suntingan pada tahun 1969, Ghita Ionesco dan Ernest Gellner telah menulis dalam bahagian awal terbitan tersebut yang bertajuk, “A Spectre is Haunting the World: Populism”. Melalui tulisan tersebut, dua tokoh pemikir ini berpandangan bahawa populisme adalah satu gerakan yang tercetus akibat daripada sistem demokrasi yang bermasalah.

Ketakutan politik terhadap potensi dominasi kumpulan minoriti mendorong populisme dimanifestasikan ke dalam bentuk gerakan sosial yang mempunyai matlamat untuk menjaga kepentingan umum dan mewakili suara masyarakat terbanyak (baca: majoriti).

Ini didasarkan pula dengan keterkaitan populisme dengan wacana dekolonialisasi pada period akhir era 1960-an yang mengaitkannya dengan kewujudan ideologi baru selain daripada liberal-demokrasi dengan kelahiran pembangunan komunisme dalam bentuk aktor negara. Walau bagaimanapun, pandangan ini dilihat sebagai suatu pandangan yang bersifat radikal dan ditolak sebahagian besarnya dalam wacana akademik.

Pasca 1960-an di peringkat global, memperlihatkan naratif populisme mula mendapat tempat khususnya populisme dalam konteks nasionalis (populist nastionalist). Dengan kelahiran parti-parti nasionalis, naratif populisme dilihat sebagai medium utama dalam meraih sokongan dan pengikut yang setia. Kehadiran tulisan Ernesto Laclau dalam Towards A Theory of Populism pada tahun 1977 juga menambah kerancakan naratif populisme di peringkat global dan masih dirujuk sehingga kini.

Justeru, apakah dimaksudkan dengan populisme? Populisme secara asasnya menurut Cas Mudde, ianya merupakan satu konsep yang masih lagi bersifat di awangan yakni masih kabur. Namun, Mudde dengan merujuk kepada satu himpunan tulisan bertajuk Populism: Its Meaning and National Characteristics, berdasarkan kepada himpunan tulisan tersebut, Mudde menyifatkan bahawa populisme adalah satu bentuk ideologi yang dimanifestasikan ke dalam bentuk gerakan berpunca daripada sindrom demokrasi yang bermasalah. Dalam erti kata lain, kewujudan populisme adalah tindak balas kepada usaha untuk menjamin kedudukan majoriti dan kehendak umum.

Ada juga menyatakan bahawa populisme merupakan satu strategi mobilisasi politik yang menggunapakai gaya tipikal retorika politik dalam meraih sokongan pengikut. Retorika tersebut terbentuk melalui karakteristik mobilisasi merujuk kepada karismatik seorang pemimpin yang menggunakan gaya komunikasi bersifat seperti penggunaan bahasa yang langsung (direct language), membentuk deria kesamaan yang sama (common sense) dan bermatlamatkan usaha meruntuhkan rejim pemerintahan melalui slogan ciptaan, “elit yang menyeleweng harus dijatuhkan”.

Boleh dikatakan, populisme ini dari segi akarnya adalah gerakan yang menentang kewujudan institusi yang mapan melalui pembinaan sentimen cetusan daripada retorika pemimpin tersebut. Jadi, melihat kepada preskripsi ini, timbul persoalan, bagaimana populisme bangkit di Malaysia pula?

Malaysia: Najib vs Mahathir

Kemunculan Najib Razak pada 2010 menggantikan Abdullah Ahmad Badawi mencetuskan paradigma baru dalam lanskap politik Malaysia. Ya sebetulnya, latar politik Malaysia lebih dilingkari dengan penguasaan ruang politik oleh dua figura besar politik Malaysia, yakni Mahathir dan Anwar Ibrahim. Lihat saja Pak Lah (panggilan untuk Abdullah Ahmad Badawi), walaupun berusaha menghakis pengaruh Mahathir dengan agenda “nyah-Mahathirisasi,” pada akhirnya cuma bertahan selama hampir 6 tahun untuk memerintah. Dengan turunnya Pak Lah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-5 waktu itu, sekaligus mendirikan Mahathirisme (legasi pemerintahan Mahathir) kekal melingkari ruang politik Malaysia.

Najib Razak dilantik menggantikan Pak Lah pada tahun 2010. Najib dikenali sebagai “mentee” kepada Mahathir. Namun, kebijakan Najib Razak adalah mendirikan agendanya sendiri dengan menggunakan jambatan “re-Mahathirisasi” bagi membangunkan jenama Najibnomics. Ya, jenama Najibnomics sememangnya berjaya membangkitkan sisi “populis” beliau dengan naratif ciptaan kumpulan “I Love PM” dan slogan atau produk “1 Malaysia” oleh kumpulan media beliau.

Sisi populis Najib Razak diketengahkan lagi melalui jenama Najibnomics ini yang didirikan dengan bebeberapa asas di dalamnya melalui Model Ekonomi Baru, Program Trasnformasi Kerajaan dan paling dikenali umum, produk 1 Malaysia beliau yakni Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M). Produk BR1M ini dijadikan asas retorika beliau dalam meraih sokongan rakyat dibantu karisma beliau sebagai “Bapa Transformasi” menjadikan debat BR1M sebagai bantuan sosial vs alat manipulasi pemerintah dibangkitkan. Tahun 2015, kepopularan Najib Razak mula dilihat goyah dengan pembongkaran skandal 1MDB yang mengegarkan landskap politik Malaysia dan dunia melabel beliau sebagai pemimpin kleptokrat.

Bermula dengan krisis skandal 1MDB ini, ianya telah memunculkan kembali figura dominan politik Malaysia, Mahathir Mohamad untuk kembali ke kancah lapangan politik Malaysia dengan mula menyuarakan kritikan terhadap kepimpinan Najib Razak. Kemunculan Mahathir ini ada asasnya, yakni, Mahathir melihat legasinya mula tercabar apabila Najib dilihat cuba meruntuhkan apa yang telah dilakukan beliau dan membina empayar politiknya sendiri. Konotasi, “elit yang korup” mula dibangunkan. Adapun dengan kembalinya Mahathir, perang sentimen mula dibangkitkan apabila nada-nada populisme untuk membina serangan sentimen terhadap penyelewengan pemerintahan Najib Razak terus berlaku.

Slogan-slogan seperti “negara kleptokrasi”, “1MDB punca negara berhutang”, “kepimpinan Najib cuba menjual negara kepada China”, “ekonomi negara dalam kemelesetan” antaranya, diwujudkan dalam usaha mencipta penentangan terhadap pimpinan Najib Razak yang korup. Sentimen “rakyat yang paling unggul” juga dibina oleh Mahathir sendiri dalam usaha menjustifikasikan tindakan beliau sebagai figura yang populis. Paling ketara simbol populisme dicipta Mahathir adalah membentuk pakatan politik dengan musuh tradisi beliau, Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang dan lain-lain dalam usaha merealisasikan sentimen penentangan kepada penyelewengan terhadap dana kerajaan yang dilakukan oleh Najib Razak.

Namun, sisi populis Mahathir bukanlah sesuatu yang baru bagi beliau, bahkan justfikasi dikukuhkan melalui tulisan Khoo Boo Teik dalam “The Paradox of Mahathirism: An Intellectual Biography of Mahathir Mohamad” mengesahkan salah satu elemen utama keutuhan Mahathirisme adalah kewujudan sisi populisme berasaskan nilai “kepimpinan melalui tauladan” (leadership by example) yang diperkenalkan olehnya. Ini melihat kepada tuntutan dari Mahathir sendiri sewaktu menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-4 yang sering kali mengangkat naratif politik bersifat “saya mengetahui apa yang rakyat rasakan” selari dengan preskripsi populisme yang terikat dengan kemurnian hak rakyat dijagai oleh seorang pemimpin yang berkarisma. Justeru, kedua-dua figura ini boleh dianggap sebagai figura populis dalam konteks Malaysia kesan daripada gelombang populisme yang berpunca daripada Eropah dan Amerika Syarikat.

Akhirnya, timbul satu pergulatan, apakah populisme di Malaysia ini berpaksikan kepada praktik ideologi atau ianya sekadar satu lagi amalan politik transaksional yang melingkari kuat gaya pemimpin dan ahli politik?

Manifesto Cendekiawan: Segarkan Kembali Aktivisme-Intelektualisme

Melakukan kesilapan kedua, bukanlah suatu pilihan. Sebaliknya, ini adalah tanggungjawab para cendekiawan muda yang bernaung di bawah gerakan baharu bernama Naratif Malaysia. Tanggungjawabnya adalah untuk merealisasikan manifesto yang tertunda: menerus tradisi intelektual, menanggap transformasi sosial!

Sekitar kurun ke-18, berlakunya anjakan paradigma dalam pembangunan ilmu apabila bidang sains sosial diterima sebagai bidang baru yang bakal diajar di peringkat pengajian tinggi sekitar Eropah ketika itu. Pengiktirafan ini memerihalkan bahawa bidang sains sosial sudah diterima untuk dimasukkan ke dalam sistem sekaligus mengiktiraf bahawa ia sebahagian daripada korpus ilmu.

Dalam suatu pengantar bertajuk,“Malaysian Social Science: Yesterday, Today and Tomorrow?,” Clive Kessler (1974) menyatakan bahawa “pelonjakan akan bidang sains sosial adalah apabila diiktiraf dan dijustifikasikan sebagai kerangka intelektual (intellectual framework) dalam mendepani kedinamikan masyarakat”.

Tradisi ini kemudiannya berterusan mula mempengaruhi pembangunan pandangan sarwa bagi setiap kumpulan masyarakat di peringkat global, serantau mahupun tempatan. Pengaruh ini turut melimpah ke Tanah Melayu di mana sains sosial dilihat sebagai antara ilmu yang begitu banyak menyumbang kepada pembangunan masyarakat dari era pra merdeka sehingga ke era millenium Malaysia.

Atas garisan kesejarahan inilah, maka artikel ini sebetulnya bertujuan ditulis dengan semangat renung kembali, lebih-lebih apabila saya dijemput untuk turut serta sebagai peserta dalam projek “Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda Sains Sosial” baru-baru ini. Bengkel tersebut dianjurkan oleh pihak Naratif Malaysia (NM) bersama dengan IKMAS-UKM, Malaysia Reform Initiative (MARI), USAID dan Kedutaan Amerika Syarikat dengan tema bengkel “Sains Sosial Abad ke-21: Menerus Tradisi Intelektual, Menanggap Transformasi Sosial” disandarkan atas tema besar “Creating Think-Space for Political Narrative”.

Semangat Aktivisme-Intelektualisme

Sebagai seorang ahli akademik muda yang sedang berkhidmat dengan universiti awam di Malaysia, saya melihat perkembangan perubahan aktivisme-intelektualisme yang dibawa oleh NM boleh mempengaruhi senario sains sosial di Malaysia mutakhir ini. Tradisi yang telah ditinggalkan generasi awal wajar harus digali kembali memandangkan sains sosial bergulir daripada sejarah yang memiliki susur galurnya sendiri serta menyumbang kepada pembentukan karakter pembentukan dan perkembangan ilmu sains sosial di Malaysia.

Malangnya, realiti yang berlaku di Malaysia dewasa ini, terdapat muncul suara sumbang membangkitkan tentang kerelevanan bidang sains sosial sejurus selepas gelombang IR 4.0 mula meledak.

Benar, peredaran zaman berlaku, manakala masyarakat terus berkembang, tetapi jika dibiarkan bidang sains sosial ditekan dan tidak diberikan ruang, maka penulis merasakan bahawa sisi manusiawi manusia pastinya akan sedikit demi sedikit terhakis akibat lingkaran ganas gelombang modenisasi, faham kebendaan (materialism) dan konsumerisme yang mementingkan soal inovasi komersialisasi berbanding penghasilan inovasi konsep dan teori yang selama ini menjadi pelantar besar (major platform) untuk perkembangan sains sosial.

Justeru dengan adanya usaha dari pihak NM, saya yakin dan percaya ia berupaya mengisi ruang gerakan aktivisme-intelektualisme ke arah membangkitkan kembali budaya ilmu yang dilihat semakin gersang di kalangan masyarakat khususnya bagi anak muda.

Pengaruh ilmu kolonial

Walau bagaimanapun, perlu disedari bahawa perkembangan sains sosial di Malaysia hakikatnya tidak bersifat organik. Sebaliknya, ia sedikit sebanyak terbentuk hasil pengaruh dari luar. Peranan pihak kolonial Inggeris yang menapak lama di Tanah Melayu telah memediasikan banyak penghasilan penulisan berkisar masyarakat Melayu dan etnik lain sehingga ia menyumbang dan membentuk satu korpus ilmu yang digelar ilmu kolonial.

Melalui kehadiran korpus baru ini, satu bentuk “garis asal ilmu” (baseline knowledge) diwujudkan sebagai kerangka asas dalam mengembangkan ilmu sains sosial sehingga ke era moden Malaysia hari ini. Garis asal ilmu yang dibangunkan ini dijadikan sebagai asas kerangka dalam ilmu sains sosial yang memicu kepada perkembangan wacana kritis dalam menganalisis fenomena sosial di Malaysia.

Pembangunan sains sosial di Malaysia sebetulnya bukan didirikan atas sumbangan daripada pihak kolonial saja. Bahkan, lebih tepat lagi, ianya turut didirikan atas dua ruang utama.

Abdul Rahman Embong (1974) dalam makalah bertajuk, “Menoleh ke Belakang, Melangkah ke Hadapan: Sains Sosial di Malaysia”, menyifatkan dua ruang tersebut adalah merangkumi “ruang awam yang dicirikan oleh pemikiran sosial tempatan” dan “ruang pentadbiran penjajah yang menjanakan ilmu kolonial”. Demikian itu, frasa berkenaan dua ruang utama ini dilihat sebagai paling dominan dalam pensejarahan sains sosial di Malaysia.

Ditambah pula dengan kelahiran pemikir-pemikir sosial tempatan klasik seperti Abdullah Munshi (1796-1854), Syed Sheikh Syed Ahmad al-Hadi (1867-1934), Zainal Abidin Ahmad atau Za’ba (1895-1973), Abdul Hadi Haji Hassan (1900-1937) turut mempengaruhi perkembangan sains sosial di Malaysia. Ini belum dimuatkan sekali dengan kemunculan pemikir pascamerdeka seperti Syed Hussein al-Attas (1928-2007) yang menghasilkan magnum opus-nya, The Myth of Lazy Native, sebuah karya yang mengkritik para pemikir kolonial Tanah Melayu seperti Frank Swettenham, RO Winstedt, JM Gullick, LR Wheeler dan RJ Wilkinson.

Bertitik-tolak daripada kesedaran ini, maka saya mengamati bahawa usaha kumpulan penyelidik muda NM ini tampaknya ingin memeta, merangka dan mengusahakan kembali perspektif sejarah jangka panjang (longue duree) dan pendekatan sejarah idea (history of ideas) dalam meneliti perkembangan sejarah ilmu sains sosial di Malaysia.

Paling utama, pembinaan legasi bukan saja berkisar dalam soal penerusan idea pemikir-pemikir sosial tempatan yang pernah wujud dalam korpus sains sosial. Malah, pembinaan tersebut merupakan satu keperluan untuk generasi terkini dalam membangunkan legasi sains sosial yang mandiri yang lebih cerdas dan cergas, tanpa menidakkan tradisi dan legasi dari generasi terdahulu.

Dengan bantuan dan panduan daripada tokoh pemikir besar gagasan sains sosial di Malaysia terutamanya Prof Emeritus Dr Abdul Rahman Embong sebagai tokoh rujukan utama beserta legasi pemikir sains sosial lain seperti Norani Othman, Abdul Halim Ali, Syed Husin Ali, Shamsul Amri Baharuddin, Ahmat Adam, Francis Loh Kok Wah, Cecelia Ng dan lain-lain, kumpulan penyelidik muda NM ini memberi harapan baharu sebagai pewaris tradisi aktivisme-intelektualisme di Malaysia.

Bagi merealisasikan usaha perkembangan sains sosial di Malaysia adalah penting untuk kita mengenal pasti beberapa cabaran utama yang meliputi soal perkembangan di peringkat global. Cabaran ini, secara umumnya, melibatkan pembentukan pandangan sarwa dan pengkaedahan terkini dalam kajian sains sosial.

Lebuh khusus lagi, cabaran utama bagi kumpulan penyelidik muda NM ini adalah bagaimana menjadikan sains sosial di Malaysia sesuai dengan perkembangan di peringkat global dan impaknya kepada Malaysia. Kesepakatan dicapai apabila enam mega trend utama dilihat sebagai sesuatu yang memberikan impak kepada perkembangan sains sosial di Malaysia yang melibatkan pertambahan kajian berkenaannya.

Dalam hal ini, sepertimana yang dibentangkan oleh Prof. Abdul Rahman, enam mega trend tersebut adalah pertentangan globalisasi Barat vs globalisasi oriental, impak revolusi maklumat dan digital, transisi urbanisasi dan bandaraya berdaya huni, ketaksamaan sosial dan proses precaritisation, transisi demokrasi serta musibah risiko dan dampak ke atas negara dan masyarakat memfokuskan kepada kewujudan pandemik global dan pengamalan norma baharu pasca pandemik.

Apa yang boleh dikatakan, melalui bengkel yang bertenaga ini, terdapat banyak idea dan naratif baru cuba diselongkar dan dibangunkan oleh para penyelidik muda NM. Naratif tersebut termasuklah meliputi soal pembangunan dan ketaksamaan, sosiologi, media, perkembangan demokrasi vs populisme dan perkaitan dengan pensejarahan, agama serta seni yang kesemua ini mempuyai pertalian dengan perkembangan mega trend yang dijelaskan.

Melawan Watak Tertawan

Bagi sebuah negara yang berstatus “pernah dijajah” oleh sebuah empayar kolonial, fenomena “watak tertawan” (captive mind) seperti diusulkan oleh Syed Hussein al-Attas tampaknya berberterusan meskipun kemerdekaan telah lama diperolehi.

Fenomena watak tertawan ini sangat berleluasa di dalam masyarakat bekas tanah jajahan lebih-lebih lagi di kalangan ahli sains sosial tempatan kita sekarang. Penyakit ini merupakan jelmaan daripada sikap dan sifat beberapa kelompok masyarakat yang cenderung mengambil jalan dengan mencedok tanpa mempersoalkan apa yang telah dihasilkan oleh orang lain terutamanya dari negara maju.

Selain itu, terdapat juga penafsiran sejarah yang bersifat superficial tanpa adanya penilaiannya kritis ke atasnya dan tidak berusaha mewujudkan sumbangan sendiri. Suka saya labelkan semua fenomena ini sebagai “Malay sunset syndrome.” Sindrom ini mendorong kita melihat apa yang datang dari Barat sebagai model penyelesaian sebarang kemelut di negara kita.

Memang, tidak dinafikan bahawa dominasi kerangka sains sosial dari Barat masih lagi utuh melingkari fahaman pemikir-pemikir sosial tempatan dewasa kini. Utuh lantaran kalangan ini masih mengagumi bulat-bulat apa yang datang dari Barat. Justeru itu, sudah menjadi tanggungjawab para pemikir sosial tempatan era kini untuk meruntuhkan pegangan cetusan mitos dibangunkan pihak kolonial.

Mitos ini barangkali berpunca dari sikap kita sendiri yang sebelum ini terlalu bergantung kuat dengan korpus daripada Barat. Kebergantungan ini turut disebabkan oleh ketidakupayaan kita menghasil dan membina korpus sains sosial kita sendiri. Adalah mustahak sains sosial mandiri, seperti yang menjadi tema utama “Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda Sains Sosial”,” diperkukuhkan untuk menanggapi fenomena ini dari terus menawan pemikiran generasi terkini atau masa depan.

Kumpulan penyelidik muda NM juga diletakkan harapan tinggi untuk menghasilkan karya yang lebih bersifat thereotically informed (paras teori) dan berbasiskan kepada kerangka wacana kritis (critical discourse). Harapan ini semakin tinggi dan berat memandangkan kebanyakan institusi pengajian awam tinggi hari ini banyak menumpukan kepada soal kaedah pengajaran dan pembelajaran. Bahkan, kebanyakan kajian para saintis sosial di Malaysia khususnya pasca 1990-an lebih bersifat empirikal dan dekskriptif.

Lebih menggusarkan lagi, bentuk ataupun kaedah penyelidikan sebegini begitu kuat melingkari kerangka pemikiran saintis sosial kini yang lebih menumpukan soal pengumpulan data dan terperangkap dengan sindrom “more of the same” dan kajian yang bersifat “saw dust”.

Kajian-kajian yang bersifat “paras teori” amat kurang dan jika ini berterusan, persoalan yang timbul: bagaimana kita mahu melahirkan penyelidik sains sosial yang begitu mementingkan kemandirian bidang ini? Mungkin ini dikatakan kesan daripada fenomena “jurang generasi” (generation gap) menyebabkan keterputusan legasi sekitar penghujung 1980-an membolehkan kelompok ‘statistical-empirical” melebarkan pengaruh dengan penekanan terhadap pengkaedahan bukan kepada isi pengkajian.

Sungguhpun begitu, kita tidak boleh salahkan penyelidik sains sosial muda hari ini juga. Barangkali hambatan ini berpunca daripada cabaran struktur dan institusi di negara kita pada hari ini. Cabaran paling utama khususnya bagi penyelidik sains sosial di Malaysia pasca 2000-an adalah memastikan kerelevanan bidang sains sosial di Malaysia. Ini berkait dengan soal penghasilan inovasi dan pengkaedahan baharu yang membawa kepada penekanan terhadap aspek kuantiti, bukan lagi soal kualiti penyelidikan yang dihasilkan.

Ini termasuklah penekanan yang berlebihan dalam memenuhi kehendak KPI (Key Performance Index) dan trajektori pasaran melalui pengkorporatan universiti (corporatization of university) yang didasarkan kepada ketergantungan institusi pengajian tinggi kita terhadap kerangka pendidikan dari Barat. Ini dibuktikan dengan penghasilan kajian dan graduan yang bersifat untuk memenuhi tuntutan pasaran.

Selain itu, pengejaran ranking universiti di peringkat dunia juga muncul sebagai cabaran utama untuk kelangsungan bidang sains sosial di Malaysia. Apabila ini berlaku, maka penumpuan hanya diberikan kepada kuantiti bukannya kepada penekanan terhadap kualiti penyelidikan ahli sains sosial itu sendiri.

Sains sosial mandiri

Mengambil kira beberapa cabaran dalam perkembangan sains sosial masa ini di Malaysia, maka sudah menjadi satu keperluan untuk diberikan penekanan kembali kepada pengukuhan orientasi sains sosial di Malaysia.

Di sini apa yang diusahakan oleh pihak NM membangunkan sekumpulan penyelidik muda dari pelbagai latar disiplin sains sosial harus dipuji dan disokong. Dengan cabaran terkini melalui perkembangan teknologi dan revolusi maklumat yang pantas, maka peranan kumpulan penyelidik muda NM ini semakin penting. Ini boleh dilakukan menerusi penghasilan karya-karya, buah fikir dan hasil kajian baru. Matlamat akhirnya, semua usaha ini adalah bertujuan untuk membina sains sosial mandiri yang bersifat saintifik, relevan serta kritis.

Pada pengamatan saya, kumpulan ini dibentuk dengan bervisikan penghasilan pemikiran yang berteraskan kepada kerangka wacana kritis (critical discourse). Sebelum ini, kerangka seperti ini kurang dijadikan sebagai intellectual framework dalam penghasilan kajian sosial. Menerusi kerangka ini, maka sekurang-kurangnya dapat membentuk kesedaran sejarah bagi generasi muda yang mengalami keterputusan legasi dari generasi sebelum ini. Naratif “sains sosial tidak bebas nilai” harus dibangkitkan kembali, agar pengisian kajian lebih tajam untuk menganalisa fenomena sosial.

Dalam masa yang sama, sama seperti saranan Prof. Abdul Rahman, aspek keserakanan (collegiality) wajar juga ditekankan untuk menjayakan agenda ini. Bagi saya, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kumpulan penyelidik muda NM ini sebagai perintis (pioneer) kepada penubuhan kumpulan pemikir muda saintis sosial di Malaysia era millennium.

Di samping itu, melalui bengkel yang dianjurkan oleh NM, kumpulan penyelidik muda NM ini diberikan ruang bagi menghasilkan sesuatu yang baru, yang asli dan menyumbang ke arah sains sosial mandiri berasaskan kepada aspek komitmen dan advokasi. Ianya juga sebagai refleksi kepada usaha mewujudkan pengembaraan kesarjanaan (scholarly journey) yang jelas serta berpaksikan kepada tradisi dan legasi dalam menanggapi transformasi sosial.

Apatah lagi, kalau diperhatikan betul-betul, soal pengembaraan kesarjanaan ini tidak kuat ditekankan di kalangan ahli sains sosial muda kini di IPTA/IPTS, mungkin kerana faktor penekanan capaian KPI daripada pihak pengurusan tertinggi institusi menjadikan setiap penghasilan kajian berteraskan “cukuplah sekadar mencapai KPI”. Saya gusar jika berterusan begini, kita mungkin bakal melahirkan generasi pemikir yang bersifat “jadong,” yang sekali gus menjadi batu penghalang kepada pembangunan kumpulan penyelidik muda. Lantaran itu, peranan kumpulan penyelidik muda NM ini adalah untuk tidak mengulangi kesilapan generasi lama dahulu.

Melakukan kesilapan kedua, bukanlah suatu pilihan. Sebaliknya, ini adalah tanggungjawab para cendekiawan muda yang bernaung di bawah gerakan baharu bernama Naratif Malaysia. Tanggungjawabnya adalah untuk merealisasikan manifesto yang tertunda: menerus tradisi intelektual, menanggap transformasi sosial!

Tulisan ini pertama kali diterbitkan di Malaysiakini pada 12 Ogos 2020.

Demokrasi dan Peralihan Kuasa di Malaysia

Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu telah memberi impak yang besar dalam sistem demokrasi di Malaysia. Selepas 61 tahun Barisan Nasional memimpin, akhirnya satu peralihan kuasa berlaku melalui sistem pilihan raya secara aman tanpa pertumpahan darah.

Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu telah memberi impak yang besar dalam sistem demokrasi di Malaysia. Selepas 61 tahun Barisan Nasional memimpin, akhirnya satu peralihan kuasa berlaku melalui sistem pilihan raya secara aman tanpa pertumpahan darah.

Rakyat Malaysia telah memberikan mandat dan meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan baharu yang dikenali sebagai Pakatan Harapan untuk mentadbir sekaligus mewakili suara rakyat di Parlimen. Namun begitu, kerajaan yang dipilih oleh rakyat tersebut, tidak mampu bertahan lama dengan kemunculan kerajaan baharu yang terbentuk tanpa pilihan raya. Kerajaan Perikatan Nasional atau lebih dikenali sebagai PN dibentuk dengan menggabungkan pecahan wakil rakyat dari Pakatan Harapan, Barisan Nasional, PAS serta beberapa parti politik Sabah dan Sarawak. Pelbagai reaksi dan persoalan yang dilontarkan terhadap pimpinan tersebut terutamanya hal berkaitan penubuhan kerjaan tersebut seperti “Adakah benar kerajaan tersebut disifatkan sebagai kerajaan ‘pintu belakang’?, “Adakah amalan tersebut bertentangan dengan sistem demokrasi di Malaysia?” dan “Bagaimana dengan hak rakyat sebagai pengundi?”.

Demokrasi

Perkataan demokrasi wujud daripada bahasa Greek demos yang bermaksud rakyatdan kratos yang bermaksud kuasa. Menurut Islam dan Moten (2005), demokrasi didefinisikan sebagai rule by the people. Selain itu, memetik daripada ucapan Abraham Lincoln, demokrasi merupakan the government of the people, by the people and for the people. Secara ringkas, demokrasi bermaksud sistem pemerintahan yang ditentukan oleh rakyat dan kerajaan yang dibentuk adalah atas pilihan rakyat melalui pilihan raya. Di sini jelaslah bahawa peranan dan kedudukan rakyat amat dititikberatkan dalam menentukan siapa yang berhak memerintah. Justeru, terdapat dua bentuk demokrasi iaitu secara langsung dan tidak langsung. Melalui sistem demokrasi secara langsung, penyertaan rakyat dalam proses pemerintahan diambil kira seperti yang diamalkan oleh penduduk Athens ketika pemerintahan Tamadun Yunani (Islam dan Moten, 2005). Namun ketika itu, terdapat diskriminasi terhadap wanita, hamba dan imigran iaitu penyertaan mereka dalam pemerintahan dan proses penggubalan undang-undang dinafikan. Hanya lelaki dewasa sahaja yang dibenarkan untuk terlibat dalam sistem pemerintahan. Seterusnya, sistem demokrasi secara tidak langsung atau demokrasi berperwakilan yang merujuk kepada penyertaan rakyat dalam proses pemerintahan yang diwakili oleh wakil yang dipilih oleh rakyat (Islam dan Moten, 2005). Amalan demokrasi ini dijalankan melalui sistem pilihan raya bagi memilih perwakilan untuk mewakili suara rakyat seperti yang diamalkan oleh Malaysia. Konsep yang diamalkan oleh Malaysia tersebut memperlihatkan fungsi rakyat hanya memilih wakil ke Parlimen manakala ketua kerajaan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang dipilih dari parti yang mendapat kerusi tertinggi di Parlimen.

Sistem Demokrasi di Malaysia

Malaysia mewarisi sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen daripada sistem Westminster dari England. Sistem ini melibatkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Antara elemen penting dalam demokrasi berparlimen ialah perlaksanaan pilihan raya, Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi, Raja Berperlembagaan yang merujuk kepada bidang kuasa YDPA sebagai Ketua Negara, mempunyai Parlimen yang berfungsi sebagai badan perundangan, amalan konsep pengasingan kuasa dalam badan pelaksana, perundangan dan kehakiman, kehadiran parti-parti politik yang memperjuangkan hak ke arah pemerintahan berdemokrasi serta hak kebebasan asasi.

Pilihan Raya di Malaysia diadakan setiap lima tahun sekali iaitu merupakan medium yang paling penting dalam memilih perwakilan ke Parlimen. Warganegara Malaysia yang telah berusia 18 tahun ke atas – yang akan dikuatkuasakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 menurut Datuk Liew Vui Keong (2019), dan telah mendaftar sebagai pengundi berhak untuk memilih pemimpin yang akan mewakili mereka di peringkat persekutuan dan negeri. Penyertaan rakyat dalam pilihan raya adalah amat penting dalam menentukan bentuk kerajaan yang bakal memerintah sekaligus bakal memberikan kesan dalam landskap politik negara.

Malaysia mengamalkan sistem pilihan raya majoriti mudah atau First Past the Post berasaskan Single Member Constituencies Plurality System yang merujuk kepada situasi seorang calon yang mendapat undian tertinggi akan diisytiharkan sebagai pemenang di suatu kawasan walaupun dengan kelebihan satu undi terhadap pihak lawan (Bakar dan Mohd Nizah, 2019).  Menurut mereka lagi, amalan tersebut bukanlah sebuah sistem pemilihan yang komprehensif, namun dalam konteks Malaysia, ia memberi kesan yang baik terhadap pembentukan perpaduan masyarakat yang pelbagai. Selain itu, setiap calon yang bertanding perlu memasang strategi untuk meraih undian tertinggi bagi melayakkan dirinya menjadi pemimpin sekaligus memerintah di suatu kawasan. Parti politik yang mendapat undian secara majoriti akan membentuk kerajaan dan ketua pimpinan parti tersebut akan dilantik sebagai Perdana Menteri oleh YDPA seperti yang tertulis dalam artikel 43 (2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Seterusnya, Perdana Menteri atau ketua kerajaan akan memilih ahli Jemaah Menteri untuk mengetuai kabinet yang akan dilantik oleh YDPA. Kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri ini akan memerintah selama satu penggal sehingga pilihan raya umum seterusnya diadakan. Oleh yang demikian, proses demokrasi berparlimen yang diamalkan oleh Malaysia tersebut berperanan penting dalam membentuk sesebuah kerajaan.

Demokrasi selepas PRU14

Pilihan Raya Umum ke-14 mencatatkan jumlah pengundi tertinggi dalam sejarah. Sebanyak 12, 299, 514 pengundi keluar mengundi daripada 14, 040, 624 secara keseluruhan pengundi mendaftar (Ibrahim, 2018). 82.32% rakyat telah menjalankan tanggungjawab mereka di samping dapat disimpulkan bahawa tahap kesedaran rakyat sebagai pengamal demokrasi adalah tinggi. Sebagai pengundi berdaftar, rakyat mempunyai hak sama ada mahu keluar mengundi atau tidak mahu menjalankan tanggungjawab ini. Tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap pengundi yang tidak keluar mengundi. Namun begitu, amalan ini tidak digalakkan kerana hal tersebut mampu menjejaskan proses demokrasi negara.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 telah mengubah landskap politik Malaysia apabila Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan dengan memenangi 113 kerusi di Parlimen dan Tun Mahathir telah dilantik sebagai Perdana Menteri oleh YDPA. Kemenangan ini disambut baik oleh rakyat kerana mereka telah meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap Pakatan Harapan untuk mentadbir dan memenuhi janji-janji yang telah dinyatakan di dalam manifesto. Manifesto Pakatan Harapan disusun dengan indah untuk meraih sokongan pengundi. Namun jika kerbau dipegang tali hidungnya, manusia dipegang pada katanya, janji hanya tinggal janji apabila hanya sebahagian janji di dalam manifesto tersebut berjaya dilaksanakan. Pakatan Harapan memberikan alasan bahawa mereka tidak menjangkakan kemenangan tersebut semasa manifesto itu diperlihatkan kepada umum. Tindakan ini dilihat seolah-olah kerajaan Pakatan Harapan tidak menghormati hak pengundi yang telah memilih mereka. Walau bagaimanapun, Pakatan Harapan berjanji akan melaksanakan manifesto tersebut demi kepercayaan rakyat terhadap mereka. Tambahan pula, proses demokrasi tidak terganggu sekiranya parti politik tidak menepati janji namun hal tersebut sedikit sebanyak mampu mengugat kepercayaan pengundi pada pilihan raya yang akan datang. Hal ini demikian kerana pengundi mempunyai hak untuk mengekalkan atau menukar kerajaan yang sedia ada. Malangnya, belum sempat Pakatan Harapan menunaikan keseluruhan janji seperti yang terkandung di dalam Buku Harapan, Perikatan Nasional dilihat lebih pantas membuka langkah.

Penubuhan Perikatan Nasional yang mengambil alih pucuk pimpinan negara tanpa pilihan raya ini telah menimbulkan keraguan rakyat Malaysia. Malahan ada yang menggelarnya sebagai kerajaan ‘pintu belakang’. Perikatan Nasional ditubuhkan hasil daripada sokongan Ahli Parlimen daripada parti pecahan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.  Penubuhan pimpinan ini bermula dengan Langkah Sheraton yang dihadiri oleh parti pecahan membawa kepada perletakkan jawatan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri yang membawa kepada pembubaran kabinet. Kemudiannya, Tun Mahathir telah dilantik sebagai Perdana Menteri Interim, sementara menunggu proses temu ramah oleh YDPA bersama ahli Parlimen diadakan. Hasil temu ramah yang dilakukan, Perikatan Nasional telah ditubuhkan dan menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan. Sekiranya diimbau kembali, perkara seperti ini pernah berlaku di peringkat negeri misalnya peralihan kuasa dari Pakatan Rakyat ke Barisan Nasional di Perak pada tahun 2009. Namun begitu, peralihan kuasa ini pertama kali terjadi pada peringkat Persekutuan.

Menurut Nik Ahmad Kamil (2020), peralihan kuasa boleh berlaku tanpa pilihan raya selagi wujudnya parti yang mempunyai sokongan majoriti memandangkan Tun Mahathir meletakkan jawatan sebelum menasihati YDPA untuk membubarkan parlimen. Selain itu, beliau menyatakan bahawa Perdana Menteri juga boleh menukar ke parti lain sekiranya Perdana Menteri merasakan tidak lagi sesuai dengan parti komponennya (Nik Ahmad Kamil, 2020). Ini bertepatan dengan Artikel 43 (4) memperuntukkan bahawa, sekiranya Perdana Menteri kehilangan sokongan majoriti, maka beliau hendaklah meletakkan jawatan melainkan YDPA meminta untuk pembubaran Parlimen. Maka, jelaslah di sini bahawa pembentukan kerajaan Perikatan Nasional adalah berasaskan Perlembagaan Malaysia dan sah dari segi undang-undang.

Penubuhan Perikatan Nasional telah membuktikan bahawa kekuatan sistem Raja Berperlembagaan yang merupakan salah satu ciri-ciri Demokrasi Berparlimen telah diamalkan oleh Malaysia. YDPA memainkan peranan dalam menentukan dan melantik Perdana Menteri untuk memimpin kerajaan Perikatan Nasional. Tindakan baginda adalah salah satu sumber kepada kejayaan peralihan kuasa dalam demokrasi berperwakilan ini dan juga bertepatan dengan sistem Westminster yang meletakkan Raja sebagai Ketua Negara.

Mengulas mengenai gelaran bagi Perikatan Nasional sebagai kerajaan ‘pintu belakang’ yang dikatakan merujuk kepada penubuhannya tidak melalui pilihan raya, maka hal tersebut adalah tidak tepat. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, penubuhannya adalah sah dan tidak bercanggah seperti yang termaktub dalam artikel 43 Perlembagaan Malaysia. Namun, sekiranya gelaran tersebut dirujuk dari sudut etika, hal tersebut merupakan kesalahan yang serius apabila integriti pemimpin boleh dipersoalkan iaitu wakil rakyat melompat keluar parti lain dan membentuk parti yang baharu. Sebagai pengamal demokrasi, pengundi berhak untuk mempersoalkan tentang mandat yang telah diberikan kepada seseorang wakil itu. Justeru, peristiwa yang berlaku kini tidak bercanggah sama sekali dengan Perlembagaan Malaysia serta tidak bertentangan dengan amalan demokrasi yang diamalkan oleh Malaysia.

Sekiranya konflik bermula dengan rakyat yang memulakan protes terhadap pimpinan sebelumnya disusuli dengan sokongan daripada ahli Parlimen, kemungkinan istilah seperti ini tidak wujud. Perikatan Nasional juga tidak boleh terlalu selesa dengan mandat yang dimiliki. Seperti Pakatan Harapan, Perikatan Nasional juga tidak berjaya mencapai 2/3 kerusi di Parlimen tetapi berjaya mendapat sokongan majoriti dari ahli Dewan Rakyat. Maka, barisan pembangkang berpeluang tinggi untuk menjatuhkan pihak kerajaan seperti yang sedang berlaku kini iaitu Pakatan Harapan terus mendesak untuk undi tidak percaya dilakukan terhadap Tan Sri Muhyiddin. Kesimpulannya, dapat kita lihat demokrasi yang diamalkan di Malaysia seiring dengan Perlembagaan Malaysia.

Rujukan

(n.d). (2020, Februari 25) Terserah kepada Agong tentukan PM – Penganalisis politik. Astro Awani. http://www.astroawani.com/berita-politik/terserah-kepada-agong-tentukan-pm-penganalisis-politik-231607

Bakar, Afi & Mohd Nizah, Mohd Azmir. (2019). “Demokrasi Pilihan raya Dan Cakna Perlembagaan: Tajuk Yang Sama, Topik Yang Berbeza.” Seminar Tamadun, Etnik Dan Turath Islami (i-STET) 2019, 19 Dec. 2019.

Islam, S. S., & Moten, A. R. (2005). Political science: A primer. Thomson.

Mutalib, O. Z. A. (2019, October 10). Penguatkuasaan undi 18 tahun selewat-lewatnya Julai 2021. BH Online. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/616034/penguatkuasaan-undi-18-tahun-selewat-lewatnya-julai-2021 Sani, I. (2019, Mei 12). #MalaysiaMemilih: Jumlah keluar mengundi tertinggi walau bukan hujung minggu. Astro Awani. http://www.astroawani.com/berita-politik/malaysiamemilih-jumlah-keluar-mengundi-tertinggi-walau-bukan-hujung-minggu-175216

Musibah Menjadi Muhibah: Malaysia dalam Melawan Pandemik

Malaysia bukan sahaja dikenali dari segi kejayaan menguruskan kemakmuran ekonomi dan pembangunan. Lebih daripada itu, Malaysia turut dikenali lantaran kepelbagaian agama, budaya dan bangsa.

Malaysia bukan sahaja dikenali dari segi kejayaan menguruskan kemakmuran ekonomi dan pembangunan. Lebih daripada itu, Malaysia turut dikenali lantaran kepelbagaian agama, budaya dan bangsa. Kepelbagaian yang dipertahankan, sejak sekian lama, menjadi kebanggaan Malaysia.

Dalam sejarah, masyarakat kepelbagaian Malaysia telahpun hidup secara aman dan damai dengan keunikan cara hidup masing-masing. Semua ini masih lagi dikekalkan tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana pihak. Penyatuan ini utuh terbina di atas landasan integrasi yang diamalkan sejak sekian lama. Nilai-nilai sejagat seperti keadilan, toleransi dan penerimaan antara kaum menjadi asas kepada kerangka penyatuan ini. Justeru, nilai-nilai ini harus dipupuk dari semasa ke semasa agar setiap masyarakat Malaysia sentiasa peka akan kepentingannya.

Pembentukan masyarakat bersatu padu telah digarap dalam Wawasan 2020 oleh Mahathir Mohammad pada tahun 1991. Wawasan 2020 menjadi kerangka asas kerajaan untuk memacu pembangunan negara selepas berakhirnya Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1990. Bagi menjayakan visi ini salah satu daripada sembilan cabaran yang terkandung dalam Wawasan 2020 adalah berteraskan pembinaan negara bangsa Malaysia yang bersatu padu, hidup harmoni, bertolak ansur, bermoral dan berakhlak. Walau bagaimanapun, ekoran beberapa kekangan dalam pelbagai aspek, visi Wawasan 2020 gagal terlaksana.

Di sebalik kegagalan Wawasan 2020, tahun 2020 juga turut menjadi cabaran kepada dan masyarakat Malaysia. Selain pergolakan politik, negara diancam dengan penularan wabak Coronavirus atau Covid-19. Coronavirus atau Covid-19 mula tersebar di wilayah Wuhan, China. Atas faktor penemuan penyebaran tersebut, ia dikenali sebagai virus Wuhan. Kebanyakan saintis melihat istilah tersebut sebagai bersifat perkauman dan negatif.

Justeru, WHO mengambil pendekatan dengan menukar nama Virus Wuhan kepada Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus 2 (SARS-CoV-2) atau Covid-19. Coronavirus (CoV) adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan saluran pernafasan yang menyebabkan spektrum gejala daripada selesema biasa kepada radang paru-paru (pneumonia) yang teruk dan boleh merebak dengan cepat iaitu 10 kali ganda kematian melangkaui H1N1. Pandemik ini sudah merentasi sempadan negara dan menjadi global. Sehingga hari ini, jumlah kes positif di seluruh dunia ialah 14.78 juta dengan jumlah kematian 611,000 kes dengan kes tertinggi dicatatkan oleh Amerika Syarikat, Brazil dan India. Di Malaysia, sehingga penghujung 29 Julai 2020, pandemic ini telah menjangkiti seramai hampir 9 ribu orang dengan jumlah kematian seramai 124 orang. 

Pandemik kesihatan ini dikaitkan dengan globalisasi yang kian rancak melanda dunia pada hari ini. Dari sudut sejarah, globalisasi sudah berlaku sejak sekian lama. Globalisasi telah berlaku empat zaman iaitu zaman Rom, zaman Islam, era dominasi barat dan zaman kontemporari (Abdul Rahman Embong, 2000).

Namun bentuknya berbeza dari satu zaman dengan zaman lain. Istilah globalisasi mempunyai pengertian yang luas – merangkumi pembentukan komuniti global ekoran jarak dan masa telah didekatkan oleh perkembangan media dan komunikasi yang telah mengaitkan masyarakat dunia sebagai satu unit politik (Noraini Othman, 2000) yang meliputi pelbagai bidang seperti politik, ekonomi, sosial, teknologi dan ideologi (Waters, 1995).

Globalisasi turut mendekatkan jarak untuk berhubungan antara sebuah negara dengan negara lain dan mempercepatkan pergerakan manusia dan barangan meskipun dari tempat yang jauh (Appadurai, 1996). Justeru, aliran manusia dari satu kawasan ke kawasan lain bukan lagi perkara baharu. Migrasi, perlancongan, perkahwinan antara bangsa sudah menjadi perkara biasa dalam masyarakat dunia.

Interaksi yang berlaku dalam ‘mega trend’ abad ke-21 memberi pengaruh besar kepada kesihatan manusia. Natijahnya, sekatan perjalanan dikenakan bagi mengelakkan penularan dengan lebih serius. Sebagai langkah awal, pintu sempadan negara ditutup kepada segala bentuk aktiviti antarabangsa seperti perlancongan dan migrasi. Landskap pergerakan masyarakat dunia serta merta berubah.

Di Malaysia, kerajaan pimpinan Muhyiddin Yasin mengambil pendekatan dengan memperkenalkan kawalan pergerakan bagi membendung wabak Covid-19. Penguatkuasaan PKP dilaksanakan dalam empat fasa iaitu bermula pada 18 Mac 2020 sehingga 3 Mei, disambung dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei hingga 9 Jun. Fasa akhir ialah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa 10 Jun sehingga 31 Ogos.

Meskipun langkah ini dilihat tidak popular, namun ia merupakan langkah berani kerajaan. Hal ini kerana PKP memberi pelbagai impak kepada negara dan rakyat. Langkah ini memberi kejayaan pada PKP Fasa 3 melalui penurunan keluk graf yang baik hasil penurunan kes Covid-19. Kejayaan ini dipengaruhi oleh tingkah laku rakyat Malaysia terhadap pematuhan sepanjang pelaksanaan tempoh PKP (Noriha Basir et al, 2020).

Pelbagai naratif masyarakat boleh digarap di sebalik musibah yang melanda. Misalnya, melalui sebuah pertandingan anjuran Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bersama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) membuktikan penyatuan rakyat Malaysia sesama jiran tetangga amat tinggi. Ia dapat dilihat melalui kesediaan masyarakat dalam membentuk kerjasama ketika tempoh kawalan pergerakan dilaksanakan. Mereka bersama-sama menyokong urusan jual beli atau bazar dalam talian, bertukar-tukar makanan, mengatur urusan pembelian dan bergilir-gilir ke kedai bagi mengurangkan potensi jangkitan.

Tidak ketinggalan juga penglibatan golongan muda dalam menyumbangkan tenaga dan kepakaran mereka. Contohnya, menggunakan kemahiran yang dimiliki mereka untuk membantu urusan jiran yang lebih tua bertadarus al-Quran secara maya sepanjang Ramadhan. Bagi golongan belia yang terkandas di kolej atau universiti, mereka juga turut berganding bahu menjana pendapatan dalam talian dengan penjualan makanan. Pelajar sekolah juga turut tidak ketinggalan memanfaatkan teknologi dengan berkongsi tip belajar di alam maya.

Selain itu, semangat kesukarelawanan golongan belia juga harus dipuji. Sepanjang tempoh PKP, ramai golongan belia menjadi barisan hadapan dengan menyertai agensi-agensi kerajaan dan swasta untuk membantu menghadapi wabak Covid-19. Pelajar perubatan misalnya menyertai pasukan perubatan dan ada segilintir belia yang menyertai aktiviti penguatkuasaan seperti polis dan angkatan tentera. Bahkan terdapat sebahagian daripada golongan belia ini berkhidmat secara sukarela dengan menjadi penghantar makanan yang ditempah secara dalam talian.

Ketika tempoh berlangsungnya PKP, istilah stay at home atau duduk di rumah sentiasa berlegar-legar di media-media sosial bahkan turut digunakan oleh para pemimpin. Sepanjang tempoh tersebut, hanya ketua keluarga sahaja yang dibenarkan keluar membeli barangan keperluan asas.

Normal baharu ini sudah tentu memberi cabaran kepada ketua keluarga terutama lelaki kerana kelazimannya tugas ini dipikul oleh isteri. Di sinilah wujudnya kerjasama antara ahli keluarga apabila masing-masing memikul tugas dan tanggungjawab bersama. Tempoh PKP ini dimanfaatkan dengan baik. Jika sebelum ini ibu bapa terlalu sibuk dengan urusan seharian mereka, jadi kesempatan ini memberi ruang untuk mereka bersama keluarga. Para ibu bapa juga berpeluang mengukuhkan nilai sosial dan adab kepada anak-anak mereka. Elemen keharmonian dalam institusi keluarga penting bagi membentuk generasi yang baik dan berjaya.

Dari segi hubungan kaum pula, batas-batas etnik juga dilihat kian menipis. Kisah bagaimana seorang pesakit Muslim mendoakan seorang pengamal perubatan yang berlainan bangsa dan agama sambil memegang tangan doktor tersebut jelas memperlihatkan perpaduan antara kaum masih utuh. Isu petugas kesihatan menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) daripada sarung plastik apabila negara ketandusan sumber bekalan menjadi tular dalam masyarakat.

Melihat keadaan demikian, pasukan NGO dan orang perseorangan juga turut membantu menyediakan PPE untuk disumbangkan kepada pihak hospital. Keprihatinan masyarakat ini juga dapat dilihat apabila setiap hari pelbagai jenis sumbangan dihantar ke hospital untuk petugas-petugas kesihatan. Usaha-usaha ini memperlihatkan bahawa masyarakat Malaysia mampu mengenepikan jurang pemisah di kala musibah melanda.  

Meskipun Covid-19 belum berakhir, akan tetapi dengan penurunan jumlah kes setiap hari memperlihatkan kesiapsagaan kerajaan dan komitmen semua pihak termasuk rakyat amat baik. Perpaduan rakyat membolehkan kerajaan menguruskan pandemik covid-19 dengan berkesan dan menjadi antara negara terbaik dunia dalam menguruskan wabak. Pematuhan Standard Operation Procedure (SOP) semasa PKP yang ditunjukkan oleh semua pihak juga harus dipuji. Ini mencerminkan bahawa rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab dan disiplin yang tinggi.

Justeru, amalan ini harus dikekalkan dari semasa ke semasa walaupun musibah Covid-19 berjaya diputuskan. Pengekalan amalan ini, bukan sahaja demi kepentingan kesihatan, lebih daripada itu, turut memperlihatkan identiti waja rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Rujukan

Abdul Rahman Embong. (2000). Negara Bangsa Proses dan Perbahasan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Arjun Appadurai. (1996). Modernity at Large: Cultural Dimensions of Globalization. Public Worlds, Volume 1, Minneapolis – London: University of Minnesota Press

Noraini Othman et.al. (2000). Malaysia Menangani Globalisasi: Peserta atau Mangsa. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Noriha Basir, Ina Suryani Ab Rahim, Mohammad Zaki Abdul Halim. (2020). Analisis Tingkah Laku Sosiologi Masyarakat Berasaskan Teori Interaksionisme Melalui Perangkaan Data Kes Covid-19 di Malaysia. Vol 11 (2020): Pendeta Journal of Malay Language, Education and Literature (KHAS COVID-19).  

Waters, M. (1995). Globalization. London & New York: Routledge.

https://www.my.undp.org/content/malaysia/en/home/news-centre/articles/malaysians-reconnect-with-local-communities-to-survive-pandemic.html%20atas%20talian%2022%20Julai%202020.

http://covid-19.moh.gov.my/%20atas%20talian%2022%20Julai%202020.

http://www.astroawani.com/berita-%20malaysia/episod-hitam-covid-19-dan-koronavirus-antara-fakta-dan-mitos-241232

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/692044/usaha-perangi-covid-19-kukuhkan-perpaduan-rakyat-malaysia

https://www.malaysiakini.com/columns/517606

Melayu, Malaysia dan Kerumitannya: Wawancara bersama Shamsul Amri Baharuddin

Memetik semula Ismail Hussein, Melayu di sini merupakan sebuah budaya yang sempurna. Dari ungkapan ini sahaja, kita sudah ada asas yang baik untuk menjadikan Melayu dan Malaysia sebagai bahan kandungan penyelidikan yang menarik dan dramatik.

Tokoh: Prof. Ulung Dato’ Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Institut Kajian Etnik (KITA), UKM
Pewawancara: Ramze Endut
Tarikh: 20 Mei 2020
Tempat: KITA, UKM

NM: Ramai penyelidik yang gemar berbicara apa sahaja sampai tampak kehilangan dan kepudaran bidangnya. Bagaimana dengan anda dan apa bidang penyelidikan anda?

SAB: Bidang saya ialah bidang antropologi sosial. Berdasarkan pengetahuan dalam bidang antropologi sosial ini, saya kemudian menjurus kepada apa yang saya anggap sebagai pengajian politik; dan pengajian politik ini tidak semestinya khusus merujuk kepada bidang sains politik. Maksudnya di sini, pengajian politik ada dalam pelbagai disiplin—dikira sebagai sub-disiplin. Misalnya dalam antropologi, ada sub-disiplin antropologi politik yang menggunakan metod antropologi untuk mengkaji aspek-aspek politik seperti pilihan raya, pembangunan, dll. Dari segi epistemologinya pula, saya berminat untuk mengetahui perubahan yang dialami oleh individu, keluarga, dan komuniti. Bahkan ketiga-tiga unit ini merupakan elemen asas dalam imaginasi sosiologi (sociological imagination). Maka itulah bidang saya. Secara epistemologinya, ia merupakan kajian tentang tiga komponen asas dalam masyarakat tersebut — iaitu individu, keluarga, dan komuniti. Ringkasnya, saya menggunakan metod antropologi sosial sebagai platform kajian saya. Manakala subjek empirikal kajian pula bergantung kepada minat atau apa yang hendak dikaji ketika itu.

NM: Terdapat banyak mazhab atau aliran dalam antropologi politik. Anda daripada aliran yang mana satu?

SAB: Metodologi yang saya gunakan ialah grounded theory yang kuat dipengaruhi pragmatisme. Ia menggabungkan beberapa pendekatan dalam membantu kita menanggapi satu-satu fenomena. Satu mazhab sahaja tidak cukup untuk menghuraikan apa-apa fenomena. Kita ambil contoh terdekat, al-Quran. Dalam hal ini, Al-Quran ada satu sahaja, tetapi banyak mazhab lahir daripadanya kerana wujudnya pelbagai tafsiran ke atasnya. Inilah yang saya panggil alat analisa (analytical tool). Dalam mengkaji satu-satu fenomena, saya gunakan pelbagai analytical tools yang saya rasakan sesuai dengan apa yang diperlukan oleh masyarakat. Umpamanya perbezaan antara pakar bedah. Pakar bedah otak pastinya menggunakan alat yang berbeza dengan pakar bedah tulang. Maksudnya, ada kehalusan yang diperlukan ketika mengkaji fenomena-fenomena tertentu; dan ada ketikanya pula, kehalusan itu tidak diperlukan lalu digantikan dengan kritik yang lebih kasar.

Saya berpegang pada kefahaman bahawa analytical tools ini amat penting; dan lebih penting lagi adalah pemilihan analytical tools dalam mengkaji fenomena. Perkara ini disandarkan pula kepada pemahaman saya tentang makna epistemologi, ontologi, dan metodologi. Bagi saya, kesemua disiplin adalah suatu bentuk metodologi kerana ia memperuntukkan suatu cara untuk mendekati dan memahami sebuah fenomena yang sama. Jika anda seorang ahli geografi dan mengkaji politik misalnya, anda akan menggunakan metod geografi. Begitu juga dengan antropologi di mana ia didasarkan kepada kajian lapangan. Berbeza dengan geografi yang banyak bergantung kepada survei dan statistik, antropologi disandarkan kepada pendekatan kualitatif seperti temubual bersemuka, kerja lapangan yang mengambil masa panjang di satu-satu kawasan, dsb. Kerja lapangan ini merupakan wahana bagi ahli antropologi untuk mendekati subjek kajiannya. Kerana itu kita akan duduk lama di kawasan kajian untuk mengenali dengan lebih dekat individu, keluarga, dan komuniti yang dikaji. Secara tidak langsung, ia merupakan sebuah pendekatan mikro yang sebenarnya.

NM: Dalam pengalaman sebagai penyelidik, bagaimana anda mengaplikasikan metodologi, epistemologi dan ontologi dalam kajian lapangan yang mengandung masalah empiris?

SAB: Terpenting bagi saya adalah kaedah pengajaran, sesuai dengan tugas saya sebagai seorang pensyarah. Pertama-tama sekali, pelajar saya perlu terlebih dahulu fasih dengan tiga perkara asas iaitu epistemologi, ontologi, dan metodologi atau EOM agar senang untuk saya berbicara dengan mereka dan menghuraikan banyak hal. Sebelum kita mula membaca karya-karya Durkheim, Marx, Weber, dll, kita mesti menyesuaikan diri dengan analytical tools tersebut. Oleh sebab itu saya menggunakan pragmatisme kerana dari segi pedagogi, pengajaran di Malaysia bertujuan untuk memahamkan pelajar. Dan kerana itulah karya Amin Sweeney itu penting [seperti Authors and Audience in Traditional Malay Literature dan A Full Hearing: Orality and Literacy in the Malay World]. Kajian beliau menunjukkan bahawa [tradisi] persuratan Melayu seperti esei mengambil bentuk percakapan. Maka dari buku tersebut, saya belajar bagaimana bentuk pengajaran yang sesuai untuk pelajar di Malaysia. Sudah tentu, kekangan terbesar dalam kalangan pelajar adalah masalah bahasa kerana karya-karya besar ini kebanyakannya didapati dalam bahasa Inggeris [sama ada karya asal atau terjemahan]. Justeru, perkara utama yang perlu dikuasai oleh pelajar adalah konsep-konsep yang terdapat dalam bidang yang mereka ceburi—khusus dalam bidang sains sosial.

NM: Tempoh 50 tahun berkecimpung dalam bidang antropologi politik adalah tempoh lama dan ranum. Jika dilihat kembali, apakah pergelutan awal yang anda hadapi dalam bidang ini, dan apakah pula transformasi yang telah berlaku sepanjang 50 tahun menceburi bidang ini?

SAB: Apa-apa kajian mengenai politik adalah kajian mengenai kuasa—bagaimana kuasa diagihkan, diatur, dan distrukturkan, serta bagaimana ia dilaksanakan. Tidak ada perbezaan antara antropologi politik dengan disiplin-disiplin lain yang turut mengkaji politik. Secara epistemologinya sama sahaja, tetapi yang membezakannya hanyalah aspek empirikalnya. Apatah lagi, lomuniti yang mengkaji antropologi politik ini agak kecil. Justeru itu, mamang ada keperluan untuk bersemuka. Antropologi politik ini awalnya adalah politik bersemuka kerana ia berasaskan komuniti. Namun kita maklum bahawa komuniti [bukanlah suatu yang statik] dan ia sentiasa berubah. Ambil contoh sebuah komuniti Buddha di Kuala Lumpur. Mereka ada tokong mereka sendiri, tetapi rata-rata daripada mereka tidak menetap di kampung tersebut. Ada yang tinggal di Damansara, Putrajaya, Petaling Jaya, dsb. Namun pada hari Ahad setiap minggu, mereka ini berkumpul di tokong tersebut sebagai sebuah komuniti penganut Buddha. Di sini kita dapat lihat terdapatnya perubahan dalam idea tentang komuniti (the notion of community). Begitupun, teknik yang kita gunakan kekal sama tetapi memerlukan masa yang lebih panjang bagi melakukan penyelidikan memandangkan kita tidak dapat mendampingi mereka sebagai sebuah komuniti [utuh (intact) yang menetap dalam satu kawasan yang sama] seperti dahulu. Bentuk komuniti sekarang lebih terpecah dan terpencar tetapi terkait dan dihubungkan melalui pelbagai macam wahana seperti telefon, surat, emel, media sosial, dsb.

Realitinya, komuniti sekarang sudah tidak sama dengan dahulu—tidak lagi semata-mata bersifat bersemuka. Justeru kita di bidang antropologi politik turut sedar tentang realiti perubahan komuniti ini — yang sentiasa berubah bentuknya mengikut zaman serta perubahan bentuk ekonomi. Jika dahulunya kekeluargaan (kinship) itu amat dititikberatkan dalam keluarga termasuklah keluarga besar (extended family). Tetapi, ini kelihatannya sekarang tidak begitu diutamakan lagi. Memandangkan kita mengkaji politik, maka bilakah masanya kuasa itu dikerah dan dilaksanakan (when is power being exerted and exercised)? Setidak-tidaknya dalam masyarakat Melayu, ada tiga acara penting di mana kuasa itu tertonjol iaitu majlis perkahwinan, kematian, dan kelahiran. Dalam ketiga-tiga majlis ini, biasanya kita dapat melihat siapakah yang memegang kuasa tersebut. Antara lain yang menjadi perhatian kita di bidang antropologi politik ini termasuklah sistem kekeluargaan (kinship system), agihan ekonomi dalam sistem kekeluargaan tersebut, siapa yang memegang kuasa, peranan bomoh atau pawang (orang yang berperanan mengubat), dll—peranan mereka ini dalam hubungan kekuasaan. Dalam konteks ini, setiap individu dalam masyarakat mempunyai peranan masing-masing dan ditetapkan oleh sistem hierarki yang jelas. Jadi apabila anda sudah menguasai metod melakukan kajian, cara pandang terhadap fenomena/subjek kajian, serta kaedah membuat analisa maka anda boleh mengaplikasikannya ke dalam kajian-kajian lain selain kajian terhadap komuniti atau parti politik. Saya misalnya beralih daripada kajian terhadap kampung kepada kajian politik. Perkara ini tidak sukar dilakukan jika anda sudah mahir dengan tiga asas (EOM) yang saya sebutkan tadi kerana prinsipnya sama. Anda perlu benar-benar mendalami bidang antropologi politik untuk memahami perubahan, transisi, dsb masyarakat. Apatah lagi di zaman media sosial ini.

NM: Perubahan kajian empirikal pada hari ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti modeniti dan kerumitan sosial yang ada pada hari ini. Soalannya, apakah tidak ada perubahan langsung dalam bentuk kerangka teoritikal?

SAB: Tentu sekali ada perubahan dalam kerangka teoritikal. Kembali kepada tiga unit asas tadi iaitu individu, keluarga, dan komuniti. Unit manakah yang lebih menonjol pada masa sekarang? Saya melihat berlakunya perubahan yang disebutkan sebagai atomization [yakni pandangan yang bersifat ke dalam dan tertumpu kepada individu]. Seorang individu yang duduk berseorangan di hadapan komputer tetapi tidak bersendirian kerana ia berinteraksi dengan individu lain—boleh jadi dari segenap pelusuk dunia. Namun pada asasnya, disiplin kemanusiaan tetap memerlukan anda untuk berinteraksi dengan manusia. Mungkin teori atau konsep itu berubah, tetapi tiga unit asas tadi tetap menjadi perhatian (individu, keluarga, komuniti). Pada akhirnya, ia bergantung kepada lensa teoritikal dan konsep yang anda gunakan serta subjek analisis anda.

NM: Apabila anda menyebut tentang atomization, ia mengingatkan saya tentang perbahasan mengenai kebijagatan dan kesejagatan (particular and universal). Memang, perubahan sekarang memperlihatkan bahawa dunia menjadi semakin bijagat [terpecah dan terpencar kepada unsur individualisme]. Masing-masing semain menuju kepada mazhab hidup yang tersendiri. Persoalannya, apakah nilai-nilai ‘sejagat’ yang kita sudah terima baik selama ini seperti hak asasi manusia, keadilan, kebenaran, dsb masih lagi penting kepada kita?

SAB: Perkara itu terpulang kepada komuniti itu sendiri. Saya berikan contoh di Malaysia. Ismail Hussein dahulu pernah menghujahkan bahawa masyarakat sempurna (complete society) di Malaysia ini ialah masyarakat Melayu—lengkap sistemnya daripada keluarga diraja sampailah ke hamba abdi. Lain pula halnya dengan masyarakat Cina atau India. Masyarakat sempurna mereka hanya dapat ditemui di tempat asal mereka datang. Mereka tidak mempunyai bangsawan (landed gentry) di sini. Kalau dalam sistem kabilah (clan) masyarakat Cina misalnya, keluarga utama (main family) tidak ada di sini. Mereka hanya mempunyai wang dan maju secara ekonomi. Majoritinya yang berjaya kemudian pergi ke Barat—sama ada belajar, bekerja, dsb—dan menyerap nilai-nilai Barat tersebut kerana mereka tidak mempunyai budaya yang sempurna di sini. Justeru itu, satu-satunya cara untuk mereka mengungkapkan budaya mereka adalah melalui mobiliti sosial. Mereka yang sudah menyerap nilai-nilai Barat ini kemudiannya pulang dan mengangkat nilai-nilai tersebut di sini. Hak asasi manusia, masyarakat warga (civil society), dsb ini adalah sebahagian daripada budaya yang diserap tersebut apabila mereka bermastautin sementara di sana.

Sementara mereka ini mudah menyerap budaya tersebut, perkara ini nyata berlainan pula dalam kalangan masyarakat Melayu; ia, yakni konsep-konsep sejagat (universal) tersebut datang kemudian. Hal ini kerana masyarakat Melayu sudah terlebih dahulu mempunyai budaya dan nilai yang sudah mantap. Sumbernya adalah raja-raja yang menjadi pemutus atau penimbang tara (arbiter) kepada nilai-nilai yang dipegang oleh masyarakat Melayu. Bahkan cara pertuturan raja dan orang kebanyakan pun memperlihatkan perbezaan yang besar—ada nuansa hormat dan kepatuhan di situ. Justeru apabila nilai yang dikatakan ‘sejagat’ seperti hak asasi manusia diperkenalkan di negara ini, ia tidak serta-merta terserap ke dalam budaya, falsafah, dan etos masyarakat Melayu. Ini kerana masyarakat Melayu, pada asasnya, sudah ada sistem etika dan etiketnya sendiri—adat resam, istiadat, dll. Misal kata dalam kalangan peribumi di Sarawak. Kebanyakannya kekal berpegang dengan undang-undang adat masing-masing serta mempunyai mahkamah khusus untuk itu iaitu Mahkamah Adat (atau sekarang dikenali sebagai Mahkamah Bumiputera. Jika seseorang itu didapati bersalah kerana membunuh misalnya, ia tidak semestinya diadili mengikut undang-undang Persekutuan yang memperuntukkan hukuman gantung jika disabitkan bersalah tetapi boleh diadili di bawah undang-undang adat. Mungkin membayar dengan binatang ternakan seperti kerbau, lembu, kambing dsb. Jadi ia berbeza. Nah, bagaimana anda hendak berbicara tentang hak asasi manusia dengan mereka ini? Hak asasi manusia bagaimana yang anda maksudkan?

NM: Mungkinkah dengan adanya keterpecahan dan keterpencaran kehidupan moden ini, maka aspek kebersamaan sosial (social solidarity) masih lagi dapat dibangunkan, sekaligus memberdaya masyarakat?

Terdapat pelbagai cara untuk menangani persoalan keindividualan ini, yang menyebabkan keterpecahan dan keterpencaran kehidupan moden. Namun kita harus sedar bahawa faham kebersamaan atau kekitaan (collectivity) itu masih lagi dominan dalam apa yang saya sebutkan sebagai budaya sempurna masyarakat Melayu. Kebersamaan merupakan teras penting di negara ini, khususnya dalam masyarakat Melayu; apatah lagi dengan masuknya Islam. Namun wujud juga permasalahan dengan tanggapan terhadap Islam ini. Apabila kita bercakap tentang Islam, ia serta-merta dikaitkan dengan Melayu—Melayu-Islam atau Islam-Melayu. Lain pula halnya apabila kita bercakap tentang Muslim. Ia boleh jadi pelbagai seperti Melayu-Muslim, India-Muslim, Cina-Muslim, dsb. Dalam masyarakat Melayu sebelumnya, nilai dan budaya Melayu mendahului nilai-nilai Islam—kerana Islam ini diimport dari luar; ia mempunyai set nilainya tersendiri yang berbeza dengan nilai-nilai Melayu atau pribumi. Begitupun, Islam di Malaysia sekarang ini sudah berbeza dengan Islam di Arab suatu masa dahulu. Perbezaan ini didorong oleh faktor sosial mayarakat, unsur persekitaran geografi dan keadaan suasana tempat baharu. Pokoknya, baik masyarakat Melayu atau masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak, masing-masing mempunyai nilai dan estetikanya sendiri (native values and aesthetics). Justeru itu, faham mereka terhadap keadilan itu berbeza dengan faham keadilan yang sering dikaitkan dengan nilai hak asasi manusia.

NM: Anda nampaknya percaya bahawa budaya merupakan ciri atau dimensi paling utama dalam masyarakat—melebihi agama itu sendiri. Sebegitu sekali?

SAB: Ya. Dalam masyarakat, budaya sememangnya mendahului agama. Permasalahan yang kita hadapi sekarang ini adalah pemudahan (simplification) tafsiran budaya itu sendiri baik oleh mereka yang berautoriti mahupun daripada kalangan masyarakat terbanyak. Ramai orang menganggap bahawa budaya itu sekadar persembahan. Tanggapan sebegini bermasalah kerana budaya ini sebenar-benarnya merupakan cara hidup—apa yang anda pilih untuk jadi. Masyarakat Melayu sebelum ini beragama Hindu selama beberapa abad. Kemudian baru datangnya Islam. Kalau anda perhatikan, banyak istilah-istilah harian yang digunakan masih mengekalkan istilah-istilah Hindu seperti sembahyang (solat), air sembahyang (wuduk), dosa, pahala, dsb. Ia menarik bagi saya apabila kita masih lagi mengekalkan istilah Hindu tersebut. Ia bukan sekadar pengekalan bentuk (form) yang boleh dicerap secara visual semata-mata tetapi mempunyai kaedah dan pengalaman linguistik yang sudah mantap secara konseptualnya. Kita tidak menukar istilah tersebut kepada istilah Arab. Ambil contoh sembahyang (solat); ia bukan istilah Arab tetapi tetap merujuk kepada perkara asas yang perlu dilakukan oleh Muslim. Menarik apabila kita fikirkan bagaimana Islam yang datang ke sini terserap ke dalam budaya tanpa sepenuhnya mengambil alih dan mengubah budaya tersebut. Oleh kerana itu ada suatu ketika orang menentang perubahan istilah sembahyang kepada solat kerana ia tidak difahami. Tambah lagi sekarang kita lihat banyak nama-nama Arab digunapakai di pelbagai institusi kerajaan dan masyarakat. Tidak adakah nama-nama indah dalam bahasa Melayu? Kelihatannya kita lebih suka menggunakan istilah-istilah Arab sekarang—hampir saja kelihatan pretentious.

NM: Adakah anda berpendapat berlakunya Arabisasi dalam kebudayaan Melayu akhir-akhir ini?

SAB: Ya, dan ia paling ketara sekali terlihat dalam aspek linguistik. Secara idiomatiknya, kita sangat ‘Arabized’ sekarang. Iftar (buka puasa), hari raya Aidilfitri (hari raya puasa), dsb. Istilah-istilah harian ini semakin kedengaran asing buat kita.

NM: Pada pendapat anda, apakah punca atau titik peralihan yang menyebabkan berlakunya Arabisasi ini?

SAB: Saya fikir ia bermula sekitar tahun 70-an—tahun 1975. Ketika itu tahun-tahun awal ABIM dan Anwar Ibrahim. Mereka menubuhkan Yayasan Anda yang memberikan tuisyen percuma kepada anak-anak sekolah. Anak-anak yang pergi ke situ diwajibkan untuk memakai tudung bagi perempuan dan songkok bagi lelaki. Perkara ini, setidak-tidaknya bagi ABIM, mungkin dilihat sebagai suatu cara penonjolan identiti Muslim, namun kita harus sedar bahawa memakai songkok ini adalah sebahagian daripada budaya masyarakat di rantau ini. Orang memakai songkok bukan kerana mereka percaya akan Islam. Di Indonesia misalnya, anda jangan hairan jika anda terlihat orang bersongkok memasuki gereja. Ini sebahagian budaya di alam Melayu. Kita di Malaysia pula berbeza, di mana songkok dilihat sebagai penonjolan identiti Islam. Perkara ini antaranya berpunca daripada modenisasi dan kolonialisasi yang telah memperkenalkan kita kepada jenis-jenis stereotaip yang kemudiannya menentukan identiti kita melalui bancian.

NM: Apakah ada sesuatu yang telah hilang dalam budaya kita di tengah-tengah arus Arabisasi dan Islamisasi yang pesat ini?

SAB: Perkara ini menarik kita kembali kepada pengetahuan kolonial dan kolonialisasi. Ambil contoh adat Perpatih yang berasaskan perbilangan dan sastera lisan. Penjajah British telah mengubahsuai dan mengeraskan tradisi ini kepada teks dan peraturan dengan merekod, merakam dan menterjemah apa yang dicakapkan oleh Undang di Johol, Jelebu, Rembau, dsb. Akibatnya ia menjadi teks yang beku lalu menghapuskan keindahan, kegeligaan dan daya cipta bahasa itu sendiri. Natijahnya, kita tidak mempunyai keupayaan untuk mengungkapkan perkara-perkara baru dalam bahasa seharian kita. Banyak yang ada merupakan terjemahan langsung daripada istilah Inggeris seperti media sosial, dsb. Perkara ini berlaku kerana ia tidak lagi boleh disisipkan sebagai sebahagian daripada Bahasa—kerana bahasa itu sendiri telah dipisahkan daripada budayanya dan sekaligus masyarakatnya]. Kerana itu saya katakan bahawa pemisahan terbesar sekali adalah pemisahan Jawi daripada kebudayaan Melayu melalui proses perumian. Kebudayaan Melayu ini asal memang berasaskan tulisan Jawi dan sastera-sastera klasik, termasuklah tradisi sastera lisannya. Syed Muhammad Naquib Alatas telah banyak menulis tentang perkara ini. Tidak ada apa-apa yang disumbangkan oleh Barat kepada bahasa Melayu apabila Barat datang. Apa yang ada hanya terjemahan [yang bersifat administratif] berkenaan undang-undang, cukai, dsb. Langsung tidak ada inti-inti intelektual di dalamnya. Maka kerana itulah mereka terpaksa menterjemahkan banyak buku daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Tugas ini digalas oleh Jabatan Karang-Mengarang di Sultan Idris Training College (SITC) untuk menyediakan terjemahan buku teks yang diambil dari Eropah. Pada saya, gerakan keeropahan inilah yang telah memisahkan antara Jawi dengan Rumi—antara Melayu lama dengan Melayu baru. Perkara perumian bahasa Melayu ini penting kerana proses perumian ilmu dalam bahasa Melayu itu bermula tanpa kita terlebih dahulu memahami ilmu sendiri lantaran kita tidak pernah menulis ilmu kita dalam Rumi. Ia sentiasa dituliskan dalam Jawi. Setelah wujudnya Jabatan Karang-Mengarang barulah bermulanya pengisian ilmu tersebut. Bagi saya, transisi daripada tulisan Jawi ke tulisan Rumi merupakan titik perubahan penting kepada kehidupan dan budaya Melayu.

NM: Adakah wajar untuk mengatakan bahawa budaya atau orang Melayu itu sendiri telah dan sedang mengalami keterputusan sejarah (historical discontinuity) akibat daripada perumian bahasa Melayu?

SAB: Beginilah. Masyarakat Melayu sememangnya sudah terputus-putus dalam banyak hal. Pertama sekali, sudah tentu mereka ini terpecah kepada sembilan kesultanan. Maksudnya di sini, masyarakat Melayu terpecah kepada sembilan sistem pentadbiran yang berbeza, dan masing-masing pula mempunyai dialek tersendiri (bahkan dalam satu negeri wujud pelbagai dialek). Soalan saya, sejak bila Melayu ini pernah bersatu? Hakikatnya tidak pernah ada suatu titik yang memperlihatkan bahawa Melayu ini adalah satu. Apa yang membenarkan Melayu untuk bersatu—atau tepatnya, ‘disatukan’—adalah banci. Perihal banci ini meletakkan sempadan terhadap pencirian Melayu antaranya melalui Malay Reservation Enactmen Act yang diperkenalkan pada tahun 1913 dan diubahsuai sehingga tahun 30-an. Daripada akta tanah tersebutlah istilah Melayu dan bukan-Melayu tercipta apabila ia menetapkan hanya orang Melayu sahaja yang boleh membeli tanah rizab Melayu. Dua terminologi ini bertahan sehinggalah sekarang dan mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan kita baik di tingkat seharian mahupun pembuatan dasar. Kategori banci yang sama ini juga digunakan dalam pembentukan parti-parti politik berasaskan kaum. Perkara ini lalu menjurus kepada pembentukan perikatan politik antara parti-parti tersebut kerana masing-masing mewakili kaum tersendiri. Namun mereka ini masih lagi terpisah. British mahu menubuhkan suatu kesatuan (union) dan bukannya perpaduan (unity), maka ia cuba menubuhkan Malayan Union pada tahun 1946 tetapi ditentang oleh orang Melayu. Lalu ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu 1948 sebagai gantinya. Namun istilah kesatuan tersebut kekal menjadi arus bawah yang mencorakkan keseluruhan wacana dan naratif tentang Malaysia sehingga kini.

NM: Adakah sesuai untuk mengatakan bahawa negara kita ini merupakan suatu contoh berlakunya proses penginstitusian yang berasaskan kaum?

SAB: Ya. Ia suatu bentuk manifestasi daripada penjajahan bersifat define and rule.

NM: Sudah tentu, racialisation ini bersamaan dengan racism?

SAB: Tidak sama sekali. Racism dan racialisation ialah dua hal berbeza. Namun, lebih tepat untuk kita mengatakan fenomena yang berlaku di negara kita ini adalah suatu bentuk racialisation. Ringkasnya racism ialah suatu ideologi yang menentang kumpulan-kumpulan yang mempunyai identiti berbeza dengannya (khusus identiti etnik). Ia dihidupkan oleh stereotaip dan prejudis yang tebal. Berlainan pula dengan racialisation yang merupakan suatu proses. Dan ini berlaku di negara kita.

NM: Adakah penginstitusian yang berasaskan kaum ini (merujuk kepada Racialisation) merupakan suatu hal yang negatif?

SAB: Tidak. Racialisation adalah suatu bentuk penerangan misalnya berkenaan penyataan yang mengatakan bahawa semua orang Cina main bola keranjang. Jadi permainan bola keranjang di sini telah dirasialisasikan (racialised). Namun orang jarang menggunakan istilah tersebut kerana ia tidak dramatik dan tidak memecah-belahkan masyarakat demi memenangi pilihan raya. Jika disorot kembali, ia akan kembali kepada pelaksanaan banci yang mempengaruhi pembentukan parti politik di negara ini dan kemudiannya mempengaruhi pula cara kita memerintah. Oleh kerana itu juga anda tidak dapat memisahkan politik dan etnisiti di Malaysia. Sebelum anda mengubah politik di negara ini, anda terlebih dahulu harus mengubah kaedah banci tersebut.

NM: Memandangkan kita sudah serba sedikit bercakap tentang Kajian Malaysia (Malaysian studies) ini, apakah tanggapan anda terhadap perkembangan dan kedudukan tahap kajian mengenai Malaysia pada hari ini? Apakah ada kelemahan atau kelompongan yang tidak disedari oleh orang ramai atau kalangan penyelidik sendiri?

SAB: Kita sedang melihat betapa Kajian Malaysia tanpa terlepas daripada pengaruh pengetahuan kolonial itu sendiri. Ini merupakan kelemahan terbesar dalam bidang ini. Sejarawan Malaysia sendiri kebanyakannya tidak menyedari tentang pengetahuan kolonial. Kewujudan pengetahuan kolonial ini menyedarkan kita tentang wujudnya pelbagai tafsiran terhadap sejarah. Adanya pelbagai versi sejarah ini menunjukkan wujudnya pelbagai bentuk historiografi. Anda mungkin mempunyai fakta yang sama, tetapi tafsiran anda terhadap fakta tersebut boleh jadi berbeza-beza bergantung kepada pendekatan anda. Kelemahan pengajian Malaysia adalah ketiadaan sejarah di dalamnya—historiografi yang membolehkan kita untuk menebak kolonialisme British melangkaui peranan mereka selaku pentadbir. Ia membolehkan kita untuk memahami penjajahan epistemologi oleh British, bagaimana mereka menukar cara kita berfikir, angka yang kita gunakan, dsb. Perkara ini sudah mengakar dan tidak dapat diubah begitu sahaja. Inilah dilema yang membelenggu ramai pengkaji Malaysia.

NM: Dalam dekad-dekad terdahulu, negara kita menarik minat ramai pemikir-pemikir besar untuk melakukan kajian di Malaysia seperti James C. Scott, satu contoh ketara misalnya. Adakah anda melihat wujudnya kelompongan dalam kajian Malaysia akhir-akhir ini khusus dari segi EOM dalam kalangan penyelidik sekarang?

SAB: Beginilah. James C. Scott sebenarnya tidak datang untuk mengkaji Malaysia. Beliau didorong oleh minatnya terhadap gerakan sosial (sebagai epistemologi). Malaysia hanyalah ontologi. Oleh sebab itu jika anda perasan tidak ada perkataan “Kedah” pada tajuk buku tersebut. Beliau tidak berminat dengan Kedah. Jadi saya tidak memandang James C. Scott sebagai seorang Malaysianis. Beliau hanya berminat dengan teori (tentang gerakan sosial) manakala Malaysia pula sekadar menyumbangkan bukti-bukti empirikal kepada kajian beliau. Itu sahaja—sama seperti saya sebutkan di awal tadi berkenaan pengajian politik sebagai sub-disiplin. Sains politik, sejarah, geografi, dsb disandarkan kepada historiografi yang berbeza. Pada saya, kunci kepada pengembangan Kajian Malaysia ini terletak pada historiografi manakah yang menjadi sandaran kepada keseluruhan kajian tentang Malaysia. Saya berulang kali katakan bahawa Kajian Malaysia harus disandarkan kepada sejarah untuk semua, bukan sejarah yang berpihak kepada sesetengah golongan sahaja. Sejarah untuk semua bermaksud si kaya dan si miskin masing-masing mempunyai peranannya dalam membangunkan negara ini.

NM: Dalam bidang anda sendiri, apakah kajian-kajian yang masih lagi menarik untuk diterokai oleh generasi baru?

SAB: Pada pengamatan saya, tidak ada lagi kajian antropologi politik dilakukan sekarang oleh para penyelidik kita. Kerana itu, buku saya masih lagi dirujuk berulang kali sehingga sekarang kerana mereka tidak ada rujukan lain lagi. Kajian saya itu diterbitkan pada tahun 1986. Selepas beberapa dekad, mereka masih lagi bercakap tentangnya. Boleh jadi tidak ada perubahan [yang signifikan] berlaku menyebabkan kajian saya masih lagi relevan sehingga sekarang. Itu satu kemungkinan. Boleh jadi juga suatu sinakal daripada saya. Namun saya fikir sudah amat kurang kajian ke atas komuniti dengan pendekatan bersemuka dijalankan di negara ini. Hal ini kerana kajian-kajian sebegini berbentuk mikro dan tidak boleh digeneralisasikan; tetapi ia dapat memberikan pemahaman terhadap kawasan-kawasan tersebut. Jika anda melakukan kajian tentang Melaka, maka anda perlu juga menulis tentang sejarah Melaka. Seperti juga kajian tentang Kelantan dsb. Pada satu sisi, dapat dibina hubungan antara kajian-kajian yang berbentuk setempat ini. Menarik bagi saya untuk melihat lebih dalam tentang kepelbagaian atau juga dividedness yang ada dalam masyarakat Melayu berdasarkan negeri kerana mereka ini masing-masing mempunyai orientasi tersendiri. Ini antara perkara yang menyukarkan penyelidik yang membuat kajian Malaysia. Keduanya, hampir tidaka da orang yang boleh menulis dalam bahasa Melayu, Mandarin, dan Tamil dalam satu-satu masa. Jadi kita sentiasa ada halangan bahasa di sini. Kelompongan dalam Kajian Melayu/Malaysia ini adalah berbentuk struktural. Ia bukan suatu faktor melainkan keseluruhan struktur Persekutuan Melayu atau Malaysia yang telah dibentuk termasuklah pentadbirannya serta impak terhadap kehidupan seharian. Itulah persoalan yang harus dijawab.

NM: Sebagai orang lama dalam penyelidikan, mungkin anda layak untuk menyimpulkan rupa seorang penyelidik yang berjaya?

SAB: Apapun kajian yang ingin anda lakukan, anda perlu terlebih dahulu mempelajari sejarah. Anda mengkaji sejarah Malaysia, tentang manusia-manusia yang menghidupkan Malaysia tersebut, jadi anda perlu mempelajari sejarahnya. Dan tidak cukup sekadar mengetahui sejarah orang yang menang dan kalah, sejarah subaltern, sejarah elit semata-mata. Tidak boleh ambil setengah-setengah. Tidak boleh ambil suku-suku. Anda harus mempelajari kesemuanya—sejarah, tempat, dan evolusi negara ini. Kesemuanya tanpa satupun pengecualian. Memetik semula Ismail Hussein, Melayu di sini merupakan sebuah budaya yang sempurna. Dari ungkapan ini sahaja, kita sudah ada asas yang baik untuk menjadikan Melayu dan Malaysia sebagai bahan kandungan penyelidikan yang menarik dan dramatik.

Anwar Ibrahim – Trauma dan Kemaafan

Semua pahit maung Anwar Ibrahim ini telah menjadi ramuan yang membentuk fikrahnya tentang konsep seperti demokrasi, rakyat, keadilan dan sebagainya. Justeru, wawancara bersama Anwar Ibrahim pada 27 November 2019 di Petaling Jaya ini cuba mengupas persoalan mengenai trauma dan kemaafan, dua tema yang dekat dengannya.

Anwar Ibrahim merupakan tokoh politik utama di Malaysia. Sepanjang kariernya sebagai ahli politik, Anwar telahpun mengalami pelbagai peristiwa dalam sejarah perjuangannya. Walau bagaimanapun, Anwar lebih diingati sebagai sosok politik yang sentiasa terlibat dalam sejarah derita perjuangan lantaran pengalaman berkali-kali dipenjara. Semua pahit ini telah menjadi ramuan yang membentuk fikrahnya yang lebih mengakar dan sejagat tentang konsep seperti demokrasi, rakyat, keadilan dan sebagainya. Justeru, wawancara bersama Anwar Ibrahim pada 27 November 2019 di Petaling Jaya ini cuba mengupas persoalan mengenai trauma dan kemaafan, dua tema yang memang dekat dengan pengalamannya sendiri.

Design a site like this with WordPress.com
Get started