Menulis Dunia

Masa sentiasa mengejar dan menjauhi kita, tetapi tidak pernah meninggalkan kita, seperti kata Pramoedya bahwa “orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian.”

“The old is dying and the new cannot be born” – Gramsci, Prison Notebooks

Sedang kita bergerak ke hadapan, jalan tidak pernahnya jelas. Adakala kita bertanyakan ke mana hala yang ingin dituju, dan bagaimana hendak ke sana? Dalam kesedaran kita sebagai manusia atau penulis yang peduli dan tersentuh dengan perkembangan² dan isu² yang berlaku di Malaysia dan serata dunia datangnya ingatan kita kepada kata² Usman Awang bahawa “maka itulah perlu para penulis memihak, kepada golongan serta gerakan yang ingin mengukuhkan, nilai² kemanusiaan, menegakkkan perdamaian yang sejati, dan memperjuangkan pembebasan serta keadilan, bagi bangsa dan negara tertindas.”

Kadangkalanya memikirkan dan membaca kembali tulisan Usman terasa seperti begitu optimis, dan romantis, idealisme dan perasaannya. Kalau Usman hidup pada hari ini, mungkin kata²nya tidak akan begitu menangkap dan akan berasa antik. Tetapi ada mereka yang lain sudah menduga dan menggambarkan sifat mengambil mudah dan perosak kita dalam hubungan antara manusia dan juga manusia dan alam. Erich Fromm, pernah menjelaskan beberapa sifat negatif dan destruktif yang terpendam dan tertancap dalam psiki dan kesedaran sosial manusia. Karya Fromm The Anatomy of Human Destructiveness walaupun ditulis dan telah diterbitkan pada 1973, nampak tidak malap daripada segi relevansi dan pengajarannya.

Gelap dan terang. Ringan dan berat. Hitam dan putih. Kategori mana yang gambarkan mana nilai yang baik dan menyenangkan tidak begitu jelas. Itu antara tuntutan dan kebingungan kehidupan kita sekarang.

Meskipun begitu bahasa dan rasa hati selalunya membantu dan mengangkat kita. Datangnya memori luahan Forough Farrokhzad,

Agar beh khaneh-ye man amadi,
Baraye man ei mehraban cheragh biyar,
Va yek daricheh keh az an,
Beh ezdeham-e kucheh-ye khosh bakht bengaram

“Bawa saya satu lentera dan tingkap.” Itu perkongsian Farrokhzad. Dengan miliknya tingkap membantu kita melihat dan menilai manusia dan dunia. Betapa laju dan cerewetnya manusia pada hari ini, kita sekadar mengabaikan dan merosakkkan tingkap2 yang membawa cahaya dan perspektif kepada kehidupan.

Kerana itu, barangkali, pentingnya memori, dan idea, dan keyakinan dan tindakan. Walaupun hanya tulisan dan kata² sekalipun. Seperti yang dinyatakan Hannah Arendt “speaking is also a form of action.”

Tetapi yang lebih sentral dan fundamental lagi adalah menulis. Tulisan adalah cantuman etika-moral, idea dan memori untuk membentuk naratif. Dengan hanya menulis, akan kita memiliki satu tempat dan kehadiran dalam ruang awam dan masyarakat. Dalam proses ini juga, tulisan adalah untuk mencipta dan merebut ruang.

Banyak daripada kebekuan dan kemerosotan masyarakat kita adalah kerana kelemahan dalam menulis dan mengisi ruang refleksi dalam masyarakat maupun individu.

Kemungkinan itu, kita selalu membaca kembali dan merujuk kepada penulis² masa dulu apabila menghadapi suatu fenomena sosial atau permasalahan atau tentangan. Melihat kembali dan sedar akan wujud geneologi ini penting kerana kita tidak pernah bergerak dan berfikir dalam kekosongan. Generasi yang ada membina mengikut generasi sebelumnya, sama seperti generasi dulu yang telahpun kembangkan atas tradisi generasi yang lagi sebelumnya.

Mengikut proses dan perkembangan ini, maka menulis bukan sahaja melibatkan ruang, tetapi penyatuan dan pemampatan masa. Dalam bergerak ke depan, kita tidak sahaja membawa idea dan membentuk ruang, tetapi membawa bersama kita masa dan kesedaran masa lalu.

Kesemua ini penting; tingkap dan naratif; tuang dan masa; tindakan dan penulisan; kesemuanya.

Mungkin apabila sedar akan unsur² ini, boleh kita memahami dan memaknai kata² dan idealisme Usman Awang. Kita menulis atas tujuan. Untuk perkembangan dan reformasi masyarakat. Untuk membela dan memberi kehadiran kepada mereka yang disampingkan dan dikecilkan. Bagaimanapun susahnya jalan ke depan, tetap ada tingkap dan idealisme dan optimisme yang akan menyinari dan menemankan.

Dan ini paling mendesak keperluannya untuk golongan muda dan penulis. Mereka memegang posisi barisan depan setiap masyarakat dan gerakan dan perubahan, kerana memiliki konsepsi masa dan visi yang berbeza dan sentiasa terbuka ke hadapan.

Yang harus mereka berhati² adalah terhadap golongan tua dan tradisional yang tidak ingin perubahan dan gangguan amalan² yang sudah lama wujud, walaupun membawa masalah kepada masyarakat. Kerana itu, dalam setiap institusi dan organisasi dan gerakan masyarakat, tidak ada tempatnya untuk mereka yang sudah tua dan menghalang perubahan. Yang menjadi rintangan dan penghalang kepada idea² dan naratif² dan masa baru.

Penulis oleh itu, perlu menulis ke atas, dan ke depan. Yang satu untuk mempersoalkan dan mengkritik idea² dan amalan² lama. Yang satu lagi, untuk membuka arah dan jarak dan jalan ke depan. Di landasan dan alur setiap gerakan dan perubahan sosial masyarakat, pasti adanya arus penulis. Masa sentiasa mengejar dan menjauhi kita, tetapi tidak pernah meninggalkan kita, seperti kata Pramoedya bahwa “orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian.”

Memang, menulis adalah kerja keabadian.

Politik Kebersamaan dan Negara-Masyarakat sebagai Projek Bersama

Selalunya dalam konflik menentang kekuasaan dan penindasan, memori menjadi cahaya yang menyinari kesedaran untuk bertindak sebagaimana dalam ekspresi Milan Kundera “the struggle of man against power is the struggle of memory against forgetting.”

Lalu apa sebenarnya nasionalisme itu? Jika kita mempelajari tentang sejarah dunia, maka dapat dikatakan bahwa nasionalisme bukanlah sesuatu yang diwariskan dari masa lampau, namun lebih kepada sebuah ‘proyek bersama’ untuk kini dan di masa depan. Dan proyek ini lebih membutuhkan pengorbanan pribadi, bukannya malah mengorbankan orang lain…” [Ben Anderson]

Malaysia tidak pernah memiliki suatu asas tradisi politik yang kuat. Dari awal pembentukannya, pembinaan negara dan masyarakat Malaysia tidak berpandukan dan disandarkan kepada satu asas pemikiran ataupun naratif politik yang mendalam dan anjal.

Tidak seperti di negara lain, yang ada diskurs dan sejarahnya yang sendiri tertumpu terhadap imaginasi politik, di momen² dan konteks²nya yang berkait, contohnya Montesquieu dan Rousseau di Perancis, James Madison dan Alexander Hamilton di Amerika, dan lebih kontemporari Ayatollah Ruhollah Khomeini dan Ayatollah Murtada Mutahhari di Iran, dengan visi2 dan karya² mereka. Tentunya, setiap idea dan visi ada kelemahan dan batasannya. Namun, pembinaan dan hubungan masyarakat dengan pemikiran dan diskurs politik tidak dapat dipisahkan.

Malaysia, negara ini, kurang sekali gelanggang diskurs dan idea yang seumpamanya. Percambahannya terbantut sedikit, dan perkembangannya gementar dan dihalang. Syed Hussein Alatas, pernah mengungkapkan bahawa Malaysia tidak memiliki suatu falsafah ataupun idealisme politik dan etika nasional dan bermasyarakat yang jelas dan kukuh. Komentarnya teliti dulu, dan masih saksama kini.

Sekiranya kita mengingati, tertubuhnya negara Malaysia atas undang-undang. Melalui perbincangan yang dikelolakan British, dan disertai kumpulan² politik dan ekonomi atasan yang simpati dan berpartisan kepada British, suatu perlembagaan dihasilkan, dan selepasnya, tubuhnya Persekutuan Tanah Melayu, dan kemudiannya Malaysia. Makanya, undang² yang mendasari asas dan memandu kelangsungan negara ini.

Dan inipun hanya secara luaran sahaja. Suatu negara dan masyarakat tidak dapat ditadbir dan diuruskan melalui panduan kepada undang² sahaja. Jadi munculnya beberapa diskurs dan pendekatan yang cuba untuk mengisi kekosongan ini.

Secara amnya, boleh kita mengenalpasti dua tendensi yang menggerakkan dan mendominasi lanskap dan trajektori politik Malaysia, yang masih berterusan sehingga ke hari ini.

Yang pertamanya, adalah tendensi perkauman. Mereka yang mengikuti dan mengamal tendensi ini, melihat kepada populasi Malaysia sebagai terbahagi kepada pelbagai kaum dan komuniti yang berbeza, seperti Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, bumiputera dan lain²nya. Setiap kaum mempunyai ciri² dan hak² sendirinya yang berbeza, dan pada keadaan tertentu, istimewa. Mengikut pandangan ini, setiap kaum sentiasa dalam keadaan berhati² dan berantagonistik antara satu sama lain. Adakalanya hubungan dan darjah antagonisme ini tinggi dan agresif, dan ada waktunya rendah dan suam. Ada bila keadaan ini menjadi terlalu tegang dan menghampiri pergeseran fikiran atau emosi, pemerintahan dan daulat akan mengenakan sekatan suara dan berhujah, ataupun suatu kumpulan akan menggunakan asas majoritinya ataupun legasi sejarahnya untuk mendiamkan kumpulan yang lain.

Yang kedua, adalah tendensi agama. Bagi mereka yang mengikut dan mengamal tendensi ini, mereka lihat susun atur dan hubungan populasi Malaysia melalui lensa agama dan kepercayaan. Di tingkat praktiknya, hubungan sosial dan pelaksanaan pentadbiran disandarkan kepada rukun² dan hukum² agama. Tendensi ini mempunyai dua manifestasi, yakni yang positif dan juga yang negatifnya. Dalam bentuknya yang positif, ia membina dan menjaringkan anggota² semua komuniti dalam satu ikatan yang bermartabat dan ensani. Dalam rupabentuk negatifnya, ia bersifat eksklusif dan menyingkir-sampingkan komuniti lain kerana pandangan hidup dan cara hidup mereka yang berbeza, dan tidak mengikut dogma atau ortodoksi agama dan hidup.

Kedua² tendensi yang disampaikan ini dalam konteks kuasa dan hubungan sosial sesama individu boleh dikenalpasti sebagai politik berlandaskan kaum dan berlandaskan agama masing². Yang pertamanya menghasilkan dan mengeraskan naratif perkauman, sementara yang kedua membina dan mendesak naratif agama.

Oleh itu, pada hari ini, keadaan sosial dan aturan politik masyarakat Malaysia terdiri daripada pertamanya, suatu perlembagaan persekutuan yang isi dan penghayatannya cetek dan bersifat luaran sahaja, dan keduanya, penguasaan naratif² perkauman dan agama.

Politik perkauman dan agama berbahaya dan menghalang pembinaan masyarakat dan negara Malaysia kerana membesarkan kesedaran, dan menggunakan idea dan isi, identiti. Ia bersifat, selalunya, cetek dan eksklusif. Ia mengumpulkan dan memobilisasikan mereka yang kononnya sama seperti kita, sama ada mengikut warna, cara pemakaian, bahasa harian atau dialek tertentu, persamaan cara memohon kepada ilahi, dan menolak dan menyisihkan mereka yang berbeza serta mempunyai falsafah hidup dan pandangan yang berlainan. Politik identiti seperti kata Eric Hobsbawm “is essentially not for everybody but for the members of a specific group only.”

Malaysia tentunya memerlukan satu politik, dan naratif, yang baru dan berbeza.

Suatu ketika dulu, Malaysia mempunyai tradisi dan aliran, pertama, politik landas kelas, dan kedua, politik landas etika, yang cerdas dan berwawasan.

Yang pertama mengajukan naratif bahwa masyarakat Malaysia terbahagi kepada kelas² yang berbeza tingkat ekonominya. Fungsi dan tujuan naratif ini adalah supaya kelas yang daif dan kurang kebajikan ekonomi-sosialnya dan paling memerlukan harus dilindungi daripada segi hak dan akses politik dan ekonomi. Yang kedua, membawa naratif bahwa masyarakat Malaysia harus didirikan atas dan ditadbir mengikut nilai² dan prinsip² moral seperti keadilan sosial, kesamarataan, kerohanian dan ketinggian kedaulatan manusia. Antara pendukung naratif² ini adalah seperti Ahmad Boestamam, Usman Awang, Shamsiah Fakeh, Syed Hussein Alatas, Tan Chee Khoon, Lim Kean Siew, Rustam Sani, Kassim Ahmad, Juliet Chin, Michael Jeyakumar Devaraj, dan Syed Husin Ali.

Berbanding dengan tendensi perkauman dan agama, politik landas kelas serta etika merupakan pendekatan yang lebih baik. Dalam proses membina negara dan masyarakat, wacana² dan naratif² yang merangkum semua dan bukan menyampingkan, menjalin hubungan dan bukan menyakiti keterikatan sosial, terlalu diperlukan.

Pencarian keadilan, dan untuk mendirikan dan mempertahankan keadilan sosial bagi semua, adalah satu proses berterusan yang menghendaki partisipasi semua lapisan dan anggota masyarakat. Proses ini, juga, adalah sebahagian daripada projek bersama untuk membina dan melaksanakan negara-masyarakat Malaysia.

Kerapkali, untuk pencarian dan pembinaan sebegini, kita selalunya melihat ke belakang, dan bukan ke depan. Tetapi seperti kata Ben Anderson, projek membina negara-masyarakat sentiasa adalah untuk kini, dan ke masa depan.

Dan di sini wujudnya satu lagi kelemahan, dan bahayanya, tendensi kaum dan agama, bilamana dalam membincangkan isu² dan persoalan² dan masa depan negara, mereka selalu lihat ke belakang, dan ingin kembali ke zaman lampau. Jadi untuk mereka, dalam menuju ke masa depan, kita harus kembali ke masa lalu. Ia merupakan suatu bentuk historisisme, apa yang diungkapkan oleh Michel Foucault sebagai keinginan dan praktik untuk merujuk dan menggunakan persoalan² dan penyelesaian² masa dulu untuk menangani soalan² dan isu² kini.

Dalam konteks dan keadaan tertentu, sejarah dalam bentuk memori penting dan perlu. Selalunya dalam konflik menentang kekuasaan dan penindasan, memori menjadi cahaya yang menyinari kesedaran untuk bertindak sebagaimana dalam ekspresi Milan Kundera “the struggle of man against power is the struggle of memory against forgetting.” Dalam tradisi Islam misalnya, peringatan hari Ashura menjadi satu rujukan kepada manusia sebagai ensan tentang betapa pentingnya prinsip² moral termasuk kemanusiaan dan keadilan.

Memori, dalam hal ini, apabila dipadukan dengan nilai² etika-moral, kemudiannya menjadi sumber yang menyumbang kepada pembangunan negara-masyarakat. Selain itu, setiap tindakan kita hari², seiring dengan etika dan kebaikan, juga menjadi dan sebahagian daripada sejarah Malaysia. Kerana setiap hari, kita sedang dan terus melakar dan membentuk sejarah. Oleh itu, pada akhirnya, kita tidak perlu sentiasa dipenjarakan dan dihantui masa lampau, dan politik perkauman dan agama.

“…Inilah mengapa tidak pernah terjadi pada para pejuang kemerdekaan bahwa seolah-olah mereka memiliki hak untuk membunuh sesama bangsa Indonesia; sebaliknya mereka merasa harus memiliki keberanian jika nanti mereka akan dipenjara, dianiaya, dan diasingkan demi kebebasan dan kebahagiaan di masa depan para sesamanya.” [Ben Anderson]

Naratif Malaysia: Merangkul Masa Kini Mendakap Masa Silam

Untuk saya, jalan keluarnya bukannya memilih salah satu daripada dua pola tersebut. Jalan keluarnya ialah dengan merangkul dan mendakap kedua-duanya: yakni merangkul masa kini dan memperakui masa silam.

Wacana mengenai gagasan Naratif Malaysia telah mulai menampakkan jurang yang ketara. Khaled Nordin daripada UMNO dan Edry Faizal daripada DAP telah membawa dua naratif yang berbeza di dalam tulisan mereka. Kedua-dua tulisan tersebut berada di dua pola ekstrim yang bertentangan. Malah, tulisan mereka tersebut sudahpun dikritik oleh para pembaca The Malaysian Insight (TMI). Dalam hal ini, tulisan Edry disanggah oleh Azharuddin Aziz manakala tulisan Khaled Nordin pula telah dibidas oleh Muhammad Hafez Darwis. Namun sehingga kini, baik Khaled mahu pun Edry, kedua-duanya masih belum memberi sebarang maklum-balas terhadap kedua-dua tulisan tersebut.

Apakah Khaled dan Edry masing-masing enggan bertolak-ansur di dalam mempertahankan pendirian mereka itu? Apakah pendirian kedua-dua mereka itu tidak boleh diubah? Apakah kedua-dua pendirian itu takkan dapat mencari suatu titik temu?

Khaled dalam tulisannya yang berjudul Naratif Malaysia Tidak Boleh Tolak Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 mengajukan gagasan ‘naratif Malaysia’ harus berpandukan kepada tiga prinsip yang terkandung dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan budaya Melayu dan Islam.

Walau bagaimanapun, Muhammad Hafez Darwis dalam sanggahannya yang termuat di ‘Dasar Kebudayaan Kebangsaan Bukan Sakral’ telah memperincikan kenapa Dasar Kebudayaan tersebut bermasalah untuk dijadikan teras kepada persoalan kebudayaan kebangsaan.

Hujah Hafez menumpukan kepada persoalan proses pembuatan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang tidak cukup terangkum serta kegagalan untuk mengambil-kira kebudayaan bumiputera bukan Islam yang juga merupakan masyarakat pribumi di Malaysia sebagai unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.

Menjejaki sejarah idea yang melahirkan kebudayaan kebangsaan, Hafez menemukan perubahan pemikiran tentang kebudayaan kebangsaan di kalangan intelektual yang mewakili Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1990 yang mengajukan suatu formulasi kebudayaan kebangsaan yang berbeza daripada Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1973 itu.

Hemat Hafez, persoalan kebudayaan bukanlah sesuatu yang bersifat statik tetapi berubah mengikut kondisi sosial masyarakat. Malahan tidaklah menjadi suatu kesalahan pada Hafez untuk mengkritik, menilai dan membincangkan semula Dasar Kebudayaan Kebangsaan agar suatu penyelesaian yang lebih terangkum dan adil dapat dicari.

Edry pula menukilkan buah fikirannya di tulisan yang berjudul ‘Bangsa Malaysia atau Rakyat Malaysia?’. Tulisan Edry ini merupakan suatu kritik terhadap tulisan Khaled tentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang melihat bahawa tidak wujud ‘Bangsa Malaysia’ tetapi yang wujud hanyalah ‘Rakyat Malaysia’ yang berbilang etnik, agama dan bahasa.

Edry sebaliknya mengusulkan konsep ‘Bangsa Malaysia’ sebagai suatu projek yang mulia dan seharusnyalah menurut Edry disokong oleh semua orang termasuklah Khaled. Selain itu, Edry juga mengajukan supaya sejarah Malaysia dilihat pada waktu penubuhan Malaysia dan bukan mengambil dari zaman silam supaya dapat difahami nilai-nilai yang terkandung di dalam Malaysianisme.

Apakah itu ‘Malaysianisme’ dan apakah rupa-bentuk, identiti, ciri-ciri dan nilai-nilai yang seharusnya terkandung dalam ‘Malaysianisme” tidak pula Edry jelaskan.

Tulisan Edry itu kemudiannya dibidas oleh Azharuddin Aziz dalam ‘Malaysia Bukan Lahir Dalam Vakum’ yang mengkritik pemahaman Edry yang dilihat gagal memahami proses kelahiran sesuatu ‘bangsa’ itu yang bersifat rencam dan pelbagai mengikut konteks sejarah, ekonomi, politik, sosio-budaya dan struktur sesebuah masyarakat. Azharuddin berhujah tidak semua masyarakat dunia mengalami proses kesedaran berbangsa dalam bentuk yang sama.

Edry juga didakwa Azharuddin sebagai bukan sahaja gagal untuk memberikan takrifan ‘bangsa’ yang jelas tetapi juga keliru apabila Edry mencampur adukkan antara konsep ‘bangsa’ dan ‘ras’.

Kritikan Azharuddin yang paling lantang ialah apabila Edry dituding sebagai polos sejarah (ahistorical) apabila Edry mengajukan supaya sejarah Malaysia dilihat pada waktu penubuhan Malaysia dan bukan daripada sejarah silam sebelum wujudnya Malaysia.

Memandangkan kritikan-kritikan yang dilemparkan kepada tulisan Khaled dan Edry belum lagi dibalas oleh mereka berdua, maka kita tidak dapat untuk mengetahui dengan pasti apa  sebenarnya jawapan mereka terhadap persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan oleh Muhammad Hafez Darwis dan Azharuddin Aziz itu.

Tulisan saya ini pula adalah suatu kesinambungan kepada tulisan-tulisan di atas selepas saya meneliti hujah-hujah yang dikemukakan oleh mereka. Ianya adalah suatu usaha sederhana daripada diri saya untuk cuba mempertemukan kepelbagaian naratif yang terkandung dalam tulisan-tulisan tersebut pada satu titik yang boleh diperkongsikan bersama.

Tulisan Khaled umumnya boleh dipetakan sebagai suatu naratif yang mengidamkan Malaysia yang berkeperibadian dan beridentiti Melayu-Islam sebagai teras kebangsaannya. Khaled tentunya tidak menafikan peranan daripada etnik lain dalam pembentukan kebangsaan Malaysia ini. Tapi terasnya adalah berpaksikan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang diajukan oleh Khaled. Malaysia sebagai suatu idea bagi Khaled adalah berasal dari Tanah Melayu dan kerana itu teras kebudayaan Melayu-Islam harus kekal menjadi panduan utama di dalam kehidupan berbangsa dan bernegara.

Manakala tulisan Edry pula adalah suatu tulisan yang mengidamkan kepada kelahiran sebuah bangsa yang dikonsepkan sebagai Bangsa Malaysia yang pembentukannya menurut Edry harus diambil dari sejarah penubuhan Malaysia itu sendiri dan bukannya ditarik dari zaman silam. Edry tentunya tidak menafikan hakikat sejarah bahawa sebelum Malaysia wujud, yang terlebih dahulu wujud adalah Persekutuan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957.

Namun begitu Edry melihat dengan kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 telah mengubah bentuk, keperibadian dan identiti kebangsaan Malaysia. Justeru itu menurut Edry sewajarnyalah sejarah Malaysia dimulai pada waktu penubuhan Malaysia dan bukan dari zaman sebelumnya.

Terdapat dua pola ekstrim yang terkandung di dalam kedua-dua konsep Malaysia yang diidamkan oleh kedua-dua sosok ini. Dua pola pandangan yang berbeza ini kemungkinan besar tidak hanya mewakili pendapat peribadi masing-masing, tetapi juga turut dikongsi oleh organisasi yang mereka wakili dan juga sebahagian daripada masyarakat Malaysia yang lainnya. Perbezaan konsep Malaysia yang diidamkan ini wajar saja memandangkan hakikat kepelbagaian yang wujud dalam negara kita yang melahirkan cita dan aspirasi yang juga rencam.

Persoalannya ialah bagaimana untuk mencari suatu titik temu di dalam kepelbagaian dan kerencaman idaman yang ingin dijadikan realiti itu?

Mungkin perkara pertama yang harus difahami ialah bangsa sebagai suatu fenomena sosial adalah sebuah proses. Menjadi bangsa bukanlah sesuatu yang semulajadi. Terdapat proses-proses yang tertentu yang perlu dilalui untuk melahirkan kesedaran sebagai suatu bangsa. Dan tidak semua bangsa-bangsa di dunia ini melalui proses yang sama. Proses yang dilalui sehingga terbentuknya sesuatu bangsa itu berbeza di setiap wilayah dan dipengaruhi pula oleh kekhasan sejarah dan juga proses sosial, politik dan ekonomi yang melatari perjalanan sesuatu komuniti itu untuk menjadi bangsa.

Dan tentunya bangsa tidak lahir dalam tempoh setahun atau dua tahun, bahkan sepuluh tahun. Menjadi bangsa dalah suatu proses yang panjang. Bangsa, dalam hal ini, tidak terjadi dalam hampawa (vakum). Terdapat proses-proses yang tertentu yang panjang dan lama (mungkin beratus tahun) sebelum kesedaran berbangsa itu wujud. Dan bangsa bukanlah suatu fenomena yang statik tetapi sentiasa bergerak, dinamik dan terus bergulir dalam proses kemenjadian (becoming) yang berterusan.

Kalau kita punya kefahaman bahawa bangsa adalah sebuah proses, maka kita tidak akan mudah untuk terus menidakkan idea tentang Bangsa Malaysia.

Memandangkan bangsa adalah sebuah proses, maka memahami proses-prosesnya inilah yang akan membantu kita untuk melahirkan bangsa Malaysia. Dan sebahagian daripada proses ini adalah tentang masa silam dan masa kini. Memperakui sejarah silam dan menerima sepenuh hati hakikat masa kini adalah sebahagian daripada langkah awal ke arah mencari titik temu kepada dua pandangan berbeza yang terkandung di dalam tulisan Khaled dan Edry ini.

Malaysia pada hari ini bukan lagi Tanah Melayu. Hakikat bahawa Malaysia bukan lagi Tanah Melayu ini adalah akibat daripada proses sejarah yang dilaluinya yang telah mengubah struktur demografi dengan kehadiran pelbagai etnik, agama, bahasa dan budaya kelompok-kelompok manusia yang kini menjadi sebahagian daripada warganegaranya. Penyertaan Sabah dan Sarawak pada tahun 1963 ke dalam Persekutuan Malaysia bukan sahaja menambahkan lagi kerencaman dan kepelbagaian etnik, agama, bahasa dan budaya tetapi juga menukar nama wilayah politik kita daripada Persekutuan Tanah Melayu kepada Persekutuan Malaysia.

Namun begitu, perubahan daripada Tanah Melayu kepada Malaysia tidak bererti berkuburnya sejarah silam. Sejarah lampau sebelum Malaysia tetap ada. Malahan sejarah sebelum adanya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 juga akan masih terus wujud dan diingati. Adalah menjadi suatu ketidakadilan dan kezaliman sejarah jika sekiranya yang lampau itu dipadamkan dari ingatan. Kita sebahagiannya adalah ingatan-ingatan lampau. Memadamkan ingatan lampau adalah menafikan wujudiah diri kita pada hari ini.

Persoalan seterusnya apakah sejarah lampau Malaysia hanya berhenti sebatas Melaka semata-mata? Apakah sebelum Melaka tiada langsung wujud sejarah politi-politi Melayu tua? Teks Tun Daim Zainuddin di Seminar Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional (yang disampaikan di UTM Skudai pada 19 Mac 2019) misalnya, mengajukan penerokaan sejarah politi-politi Melayu tua jauh melangkaui batas empayar Melaka. Malahan dalam sesi soal jawab di seminar yang sama Tun Daim turut mengungkapkan tentang Lembah Bujang di Kedah sebagai pemula kepada peradaban Melayu.

Walau pun kemudiannya teks ucapan Tun Daim ini mendapat kritikan daripada beberapa felo Naratif Malaysia sendiri. Ini kerana menurut mereka, teks tersebut gagal melihat masalah pendidikan negara (yang ditulis oleh Haris Zuan), selain penafian terhadap fungsi emosi manusia (yang ditulis oleh Ramze Endut) serta tumpuan yang berlebihan terhadap ekonomi (yang ditulis oleh Ruhan Shahrir) sehingga mengabaikan aspek-aspek bahasa, budaya dan identiti kebangsaan. Sunggupun begitu, perlu disebutkan juga bahawa Tun Daim dalam pada masa yang sama telah membuka wacana sejarah yang merentasi zaman Melayu-Islam yang ditandai oleh empayar Melaka.

Natijahnya, membuka wacana sejarah bererti membuka kembali wajah-wajah kita yang lampau. Wujud kita seperti mana pada hari ini adalah kesan dan akibat daripada proses-proses sejarah yang kita jalani sebagai sebuah komuniti di masa lampau. Tetapi yang lampau itu kemudiannya melalui proses-proses sejarahnya yang khas yang kemudiannya melahirkan pula wajah-wajah kita yang baru. Wajah kita pada hari ini adalah suatu proses kemenjadian (becoming) yang senantiasa bergulir dan terus bergulir dari garis masa silam sehinggalah kini. Manakala wajah kita pada masa hadapan pula adalah bergantung kepada sejauh mana kita memperakui masa silam dan menerima hakikat masa kini.

Masa silam wilayah yang kita namakan Malaysia ini ditandai oleh kewujudan politi-politi Melayu tua yang hibrid (dipengaruhi oleh kosmologi pemikiran Melayu-Hindu-Buddha) yang kemudiannya berubah menjadi politi-politi kesultanan Melayu-Islam sebelum bertukar menjadi Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya berubah menjadi Malaysia dengan sistem politi raja berperlembagaan yang kita kenali sekarang ini.

Justeru, apakah Khaled bersedia untuk menerima hakikat bahawa Malaysia kini bukan lagi Tanah Melayu? Juga, apakah Edry pula sanggup untuk mengiktiraf bahawa Malaysia bukan suatu entiti polos sejarah yang terbatas di tahun 1963 semata-mata, sebaliknya lahir dan berevolusi dari sejarah politi dan peradaban Melayu silam? Tidak memberi sikap terhadap persoalan boleh memberi makna bahawa kedua-dua mereka ini tidak serius untuk memperdalamkan perbincangan yang mendesak mengenai identiti kebangsaan.

Untuk saya, jalan keluarnya bukannya memilih salah satu daripada dua pola tersebut. Jalan keluarnya ialah dengan merangkul dan mendakap kedua-duanya. Yakni menerima dan merangkul hakikat masa kini dan memperakui serta mendakap masa silam adalah langkah pertama ke arah proses melahirkan naratif Malaysia yang lebih adil dan terangkum.

Design a site like this with WordPress.com
Get started