Citra Politik Melayu: Menyelongkar Konservatisme di Malaysia

Sejauh mana citra politik Melayu ini akan bertahan dalam era revolusi maklumat? Masihkah politik Malaysia berkisarkan soal politik perkauman di masa hadapan? Atau berpindah kepada soal politik kelas? Apakah dominasi konservatisme bakal berakhir dan digantikan dengan progresivisme? Sampai bila retorik politik etnosentrisme akan membelenggu politik Malaysia?

“Berdasarkan gambaran konsep masyarakat pada zaman moden dan juga pada zaman pra-penjajahan, saya sebenarnya bertambah yakin bahawa ras dan etnisiti—kategori-kategori yang memberikan dampak penting terhadap cara hidup dan penterjemahan alam di sekeliling kita selama lebih dua abad—sering menimbulkan salah tafsir.”- Anthony Milner, The Malays (terj: 2019)

Melayu. Satu terma yang sering menimbulkan kesalahtafsiran.

Melayu, juga satu perkataan yang apabila diangkat dalam perbincangan pastinya akan membibitkan pandangan hangat tentang sifat Melayu, pandangan alam yang terkandung dalam pemikiran Melayu dan kebudayaan Melayu. Mungkin juga kerana Melayu dari segi populasinya sebagai etnik paling ramai dan dominan. Malahan, faktor pensejarahan juga telah membuktikan bahawa masyarakat Melayu sudah lama wujud mendiami Tanah Melayu, dengan merujuk kepada fasa kemegahan kewujudan empayar Kesultanan Melayu Melaka.

Memang, ini citra sejarah yang sering diagungkan oleh masyarakat Melayu sejak berabad lamanya sehingga ke fasa moden hari ini. Citra sejarah ini juga sering disalah tafsir bukan saja oleh bukan Melayu, masyarakat Melayu juga sendiri sering menyalah tafsir pensejarahan mereka. Kita tidak boleh salahkan Melayu tentang itu, itu sifat asal sebagai Melayu. Masyarakat Melayu sungguhnya kuat memegang pada tradisi dan waktu silam (baca: sejarah). Jika dipermainkan soal pensejarahan Melayu di Malaysia, pastinya akan ada kumpulan ultra-Melayu membangkitkan kehangatan mencetuskan rasa keterancaman terhadap kedudukan orang Melayu. Lebih menghangatkan dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang latar masyarakat bersifat rencam, soal kedudukan Melayu acap kali dilihat sebagai tajuk utama.

Namun, dalam kebanyakan inti perbincangan tentang masyarakat Melayu, yang paling dan sering dijadikan tumpuan adalah soal pegangan politik orang Melayu. Soal ini yang sering lagi disalah tafsir oleh pelbagai pihak. Banyak kajian dilakukan ahli sains politik berkisarkan tentang Melayu. Perihal politi (polity) dan budaya politik Melayu khususnya amalan penaung-dinaung (patron-client) dan jaluran feudalisme masih mencengkam kuat walaupun evolusi zaman mengubah aktor yang terlibat.

Jika ditelusuri sifat masyarakat Melayu di Malaysia, pegangan masyarakat Melayu agak cenderung ke arah “konservatif” dengan ciri kurang menyukai perubahan drastik, tradisi harus berkesinambungan dengan sejarah, keperluan utama menjaga kepentingan komuniti, pengekalan hierarki yang telah lama wujud dan mempertahankan autoriti. Itu jalur pegangan asas sebagai masyarakat yang berpegang pada faham konservatif dan pengamalannya dilihat kuat dalam masyarakat Melayu. Walaupun agak kontroversi memandangkan konservatif dilihat sebagai satu terma yang sering mengalami cemuhan atau tidak menyenangkan (pejorative), tetapi kita tidak boleh nafikan bahawa konservatif merupakan ideologi yang paling dominan melingkari kuat pemikiran kebanyakan pemimpin hebat dunia (Schumann 1978).

Persoalannya, apakah benar masyarakat Melayu itu konservatif? Salahkah masyarakat Melayu berpegang pada jalur ideologi konservatif? Ini inti yang sepatutnya diangkat dalam mewacanakan hubungan pengamalan konservatisme dalam masyarakat Melayu.

Melayu dan Konservatisme: Berpisah Tiada

Istilah konservatif sering kali dilihat dalam konotasi yang negatif, kolot, lapuk dan buruk. Secara ideologikal, sifatnya memang keras dan menyukarkan untuk penerimaan namun sering kali diperdebatkan baik dalam dunia akademik mahupun di ruang awam. Konservatif juga sering disalah ertikan sebagai pegangan ideologi yang jumud, mungkin kerana tumpuan konservatif banyak berkisarkan persoalan tentang penolakan terhadap perubahan.

Sebetulnya, konservatif tidak menolak perubahan, namun perubahan tersebut seharusnya tidak mengancam kelangsungan sesuatu kelompok majoriti ianya pasti diterima. Konservatisme juga meliputi soal nilai-nilai dominan dan dan pemikiran dasar yang memacu kepada pengorganisasian dan modus operandi dalam perlakuan politik. Ini dibuktikan dengan kajian awal menggunakan kerangka konservatisme di Malaysia oleh  Mohamad Abu Bakar (2000) melalui tulisannya di dalam Pemikir bertajuk, “Konservatisme dan Konflik: Isu ‘Kafir-Mengkafir dalam Politik Kepartian 1955-2000”.

Pegangan politik masyarakat Melayu sebetulnya digerakkan oleh kesatuan yang menggagaskan idea dan prinsip “nasionalis-konservatif” dan dijelmakan ke dalam bentuk gerakan nasionalis (Funston 1980). Prinsip ini dimanifestasikan melalui medium pembentukan parti politik yang bersifat kaum misalnya seperti kewujudan UMNO (United Malays National Organization) sebagai parti yang mengagaskan nasionalisme Melayu. UMNO dilihat sebagai sebuah parti politik yang mempunyai kecirian ke arah pegangan ideologi politik konservatif.

Tulisan Muhammad Takiyuddin Ismail bertajuk, Konservatisme Dalam Politik UMNO (2011) dan UMNO dan Konservatisme (2012), menjustifikasikan UMNO sebagai sebuah parti politik yang berpegang pada nilai-nilai konservatif dengan melihat kepada pengukuhan konservatisme dalam pentadbiran Mahathir Mohamad (1981-2003) semasa menjawat posisi sebagai Perdana Menteri ke-4. Legasi konservatisme dalam UMNO diketengahkan juga sewaktu pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi (2003-2009) namun agendanya dilihat bertentangan dengan legasi Mahathirisme. Struktur UMNO juga dilihat sama seperti kewujudan Labour Democratic Party (LDP) di Jepun yang berpegang kepada jalur konservatif sebagai paksi kepada pengamalan dan pengangkatan imej sebagai sebuah parti politik yang dominan.

Perjuangan UMNO mengangkat soal kelangsungan dan kepentingan masyarakat Melayu. Ini ditandai dengan pencirian konservatisme mengaitkan masyarakat UMNO yang boleh dilihat sebagai sesuatu yang berkait rapat dengan masyarakat Melayu. Pencirian ini dimulai dengan kecenderungan konservatisme untuk menekankan pendekatan preskripsi dan prinsip pemautan memfokuskan kepada tradisi, waktu silam, duluan, konvensyen, peranan institusi, keharmonian, kelangsungan dan status quo. Pencirian ini begitu rapat dengan masyarakat Melayu yang mementingkan soal pemautan apabila mengaitkan kesinambungan antara era pra-kemerdekaan dengan pasca-kemerdekaan.

Kedua, konservatisme sangat mengutamakan kepentingan komuniti dan masyarakat melebihi individu. Ini dibuktikan ketika era pemerintahan Mahathir yang menekankan penerapan nilai konservatisme melalui aspek kawalan dan tekanan yang bertujuan untuk kestabilan politik pemerintah dalam menjaga kepentingan Melayu selain daripada peranan kelompok ultra-Melayu yang memperjuangkan perihal kelangsungan kedudukan Melayu.

Ketiga, penolakan terhadap usaha mencari kesamaan sosial. Ini dijelmakan dalam masyarakat Melayu dengan kewujudan kedudukan istimewa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dan kewujudan ini dipersoalkan yang kemudiannya mencetuskan tentangan kuat masyarakat Melayu terhadap bukan Melayu yang menyuarakan soal kesamarataan kedudukan.

Keempat, kepercayaan bahawa perubahan harus tetap diiktiraf dan diterima. Masyarakat Melayu percaya bahawa perubahan harus berlaku namun tidak secara drastik.Ini tanda bahawa mereka menerima perubahan namun harus beransur-ansur, tidak mengorbankan kepentingan pihak terdahulu serta harus mesra dengan masyarakat melayu itu sendiri. Buktinya, dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), masyarakat Melayu menerima perubahan kerajaan pemerintah apabila Barisan Nasional (BN) yang terpalit dengan kerosakan imej politik dijatuhkan dan digantikan dengan dengan Pakatan Harapan (PH).

Perikatan Nasional (PN): Kebangkitan Konservatisme?

Pasca PRU-14 memperlihatkan perubahan dalam latar politik di Malaysia. BN yang diketuai oleh UMNO pada akhirnya tumbang setelah hampir 60 tahun mendominasi gelanggang pilihan raya umum menjadikan Pakatan Harapan (PH) muncul sebagai pemerintah baru untuk negara Malaysia. “Reformasi” yang dianjurkan PH bukan lagi dilihat sebagai slogan, malahan ianya telah dijadikan sebagai agenda perubahan apabila pendekatan reformasi dilaksanakan untuk menstrukturkan kembali sistem kerajaan. Dengan laungan “Malaysia Baru” pastinya rakyat menginginkan berlakunya perubahan khususnya dari segi budaya, struktur dan institusi politik di Malaysia.

Walau bagaimanapun, soal keterancaman Melayu mula wujud di bawah pemerintahan PH apabila naratif “Melayu Malas”, “Melayu nak kena suap lagi” dibangkitkan kembali oleh Mahathir Mohammad yang ketika itu dilantik sebagai Perdana Menteri ke-7 Malaysia, ianya dilihat sebagai sesuatu yang mencetus kemarahan masyarakat Melayu.

Serangan-serangan dari wakil-wakil parti bukan Melayu seperti DAP yang mempersoalkan kedudukan Melayu dalam perlembagaan menjadikan situasi ini lebih hangat. Kesannya besar, euforia “Malaysia Baru” selepas setahun kemenangan PH semakin pudar. Laungan kelompok ultra-Melayu berkenaan naratif “kedudukan Melayu terancam di bawah PH” akhirnya menyebabkan masyarakat Melayu tidak melihat PH sebagai sosok yang mampu mewakili mereka.

Ditambah pula dengan projek penjenamaan semula UMNO dengan menawarkan tokoh-tokoh berimej bersih mereka seperti Mohammad Hassan atau Tok Mad mempengaruhi kecenderungan sokongan Melayu kepada UMNO. Pengukuhan juga dilihat melalui pembentukan Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dengan Parti Islam se-Malaysia (PAS) menjadikannya sebagai tapak permulaan ke arah kebangkitan konservatisme di dalam latar politik keMelayuan di Malaysia pasca PRU-14 (Norhayati Ismail 2019). Naratif seperti “tanah ini sejarahnya adalah Tanah Melayu” dan “orang Melayu berbesar hati menerima bangsa-bangsa lain untuk berkongsi nikmat, kemewahan, kemakmuran dalam negara ini” diungkit kembali yang menatijahkan sisi populis kelompok konservatif ini.

Romantisnya hubungan dwipihak antara UMNO-PAS ini telah menyumbang kepada penginstitusian nilai konservatisme dalam pakatan MN. Soal Melayu dan Islam menjadi nadi kepada penginstitusian ideologi konservatisme dalam MN. Penginstitusian ini diperkukuhkan lagi dengan krisis dalaman parti pemerintah ketika itu yang membawa kepada perpecahan PH. Perpecahan ini kemudiannya menyumbang kewujudan satu versi baru pakatan politik pasca MN dengan kemasukan BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) menyertai UMNO dan PAS, yakni Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yaasin sebagai penakhoda, dilantik  sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8. Pembentukan PN sebagai parti pemerintah baru menggantikan PH mencetus kehangatan apabila dilabel sebagai “kerajaan pintu belakang” dan plantikan sebagai pemerintah tidak melalui prosedur etika yang sah. Asas kewujudan BERSATU juga sebetulnya didirikan paksinya melalui penjiwaaan Melayu-konservatif dalam prinsip politik.

Kendatipun begitu, dengan perlantikan PN mengesahkan bahawa elemen konservatisme kembali diperkukuhkan selepas tapaknya dibina oleh pakatan MN. Dengan UMNO dan PAS yang sememangnya berpaksikan kepada konservatisme, ditambah dengan kehadiran BERSATU, parti yang juga berteraskan Bumiputra Melayu menyertai PN menjelaskan bahawa citra politik Melayu masih berkisarkan soal kepentingan dan kelangsungan Melayu.

Ini tidak menghairankan, sejak citra politik Melayu sudah wujud, pengguliran masyarakat Melayu dengan konservatisme sudah lama berlaku, disebabkan oleh perpecahan dan kegoyahan penginstitusian elemen ke-Melayuan dalam PH ianya menyumbang ke arah pengukuhan PN sebagai pelantar (platform) baru untuk mewakili suara masyarakat Melayu.   

Walau bagaimanapun, kerisauan turut melanda apabila potensi kelompok konservatisme untuk menjadi ekstrem adalah tinggi (Zin Mahmud 2019). Ini memandangkan retorik yang digunakan oleh kelompok ultra-konservatif Melayu dilihat hampir senada dengan kelompok rasisme, pelampau keagamaan, fasisme, populis kanan dan kelompok memperjuangkan politik identiti. Ini juga tanda bahawa konservatisme kembali bangkit melalui penjelmaan dalam bentuk PN.

Terbaru, dengan kehadiran PEJUANG sebagai parti baru berkisarkan Melayu dibentuk oleh Mahathir Mohamad menambahkan lagi kerancakan kebangkitan konservatif Melayu dalam politik Malaysia. Cuma, bezanya adalah PEJUANG dibentuk dalam barisan pembangkang menjustifikasikan bahawa konservatisme juga boleh digagaskan melalui imej pembangkang dan kepembangkangan.

Justeru, dalam konteks Malaysia, soal dominasi parti berasaskan etnik Melayu masih kuat, cuma persoalan yang harus dibangkitkan adalah, sejauh mana citra politik Melayu ini akan bertahan dalam era revolusi maklumat dan teknologi yang semakin pantas hari ini? Bagaimana dengan latar politik Malaysia pada masa hadapan, apakah masih berkisarkan soal politik perkauman? Atau berpindah kepada soal politik kelas? Apakah dominasi konservatisme bakal berakhir dan digantikan dengan progresivisme? Sampai bila retorik politik etnosentrisme akan membelenggu politik Malaysia?

Semua pertanyaan ini harus dibincangkan pada masa hadapan dalam usaha kita memperkukuhkan spektrum ideologi di Malaysia dari disalah tafsir dan membuang imej pejoratif terhadap citra politik konservatif masyarakat Melayu.


Rujukan:

Anthony Milner. 2019. The Malays. (terj: Izzudin Ramli, Melayu dan Kemelayuan: Menelusuri Sejarah Idea). Petaling Jaya: SIRD

Funston, J. 1980. Malay Politics in Malaysia: A Study of UMNO & PAS. Kuala Lumpur: Heinemann.

Malaysia Kini. 2020. Naratif “Melayu Malas” kesilapan PH, kata Anwar. 12 Jun. https://www.malaysiakini.com/news/529939

Muhammad Takiyuddin Ismail. 2011. Konservatisme dalam Politik UMNO. Jurnal Jebat. Vol 38 (1): 57-80.

Muhammad Takiyuddin Ismail. 2012. UMNO dan Konservatisme. Dlm. Haris Zuan & Rizal Hamdan. Wajah Baru Politik Malaysia. Petaling Jaya: SIRD.

Norhayati Ismail. Pakatan UMNO-PAS: Kebangkitan Konservatisme. 4 Apri.    www.sinarharian.my

Tanaka Mustafa. 2020. Jiwa Konservatif dalam PBBM. 28 Februari.             https://www.1media.my/2020/02/jiwa-konservatif-dalam-ppbm.html

Schumann, H. G. 1978. The Problem of Conservatism: Some Notes on Methodology. Journal of Contemporary History Vol 13(4).

Zin Mahmud. 2019. Kebimbangan Terhadap Fahaman dibawa UMNO-PAS. 19 Mac. www.freemalaysiatoday.com.

Perbomohan Melayu: Antara Institusi dan Industri

Dialog yang dipetik daripada filem Nasib Do Re Mi arahan Tan Sri P. Ramlee tersebut memaparkan adegan sekumpulan jejaka yang telah meminta bantuan bomoh untuk memikat seorang wanita. Adegan ini juga menonjolkan elemen-elemen yang sinonim dengan latar tempat aktiviti perbomohan seperti asap kemenyan, jampi serapah, wang pengeras, pulut kuning dan penggunaan tangkal azimat.

“Tok Bomoh.. ini untuk tok bomoh satu ratus ringgit.”
“Seratus? Terima kasih …. umur-umur hidup saya belum pernah dapat seratus.”
“Tak pernah?.. Dulu tok, masa tok bomoh jadi bomoh ni, berapa collection?
Collection.. Lima ringgit, tiga ringgit, dua ringgit setengah …. hujan lagi satu sen pun tak dapat!”
“Kesian…. kesian…  yang sebetulnya .. saya ni bomoh temberang!”
“Temberang? Saya pun begitu juga …. Hahahahaha!” (Nasib Do Re Mi, 1966)

Dialog yang dipetik daripada filem Nasib Do Re Mi arahan Tan Sri P. Ramlee tersebut memaparkan adegan sekumpulan jejaka yang telah meminta bantuan bomoh untuk memikat seorang wanita. Adegan ini juga menonjolkan elemen-elemen yang sinonim dengan latar tempat aktiviti perbomohan seperti asap kemenyan, jampi serapah, wang pengeras, pulut kuning dan penggunaan tangkal azimat.  

Menariknya, babak yang dipaparkan pada tahun 1966 tersebut tidaklah terkubur dan menjadi adat lapuk yang dilupakan, namun masih diamalkan hingga kini. Walaupun dunia pesat membangun dan globalisasi seakan tidak menemui erti ‘basi’, budaya mempercayai ilmu perbomohan seakan tidak menemui titik noktahnya yang pasti. 

Perubatan Tradisional Melayu

Sejarah sistem perkhidmatan kesihatan secara formal di Malaysia diperkenalkan selepas kedatangan British ke Tanah Melayu. Pada awalnya, hospital diperkenalkan untuk merawat pekerja lombong bijih timah dengan caj sebanyak 50 sen setahun. Namun bagi masyarakat Melayu ketika itu, mereka lebih bergantung kepada perkhidmatan perubatan tradisional Melayu yang telah diamalkan oleh nenek moyang mereka dan kebergantungan masyarakat Melayu dengan warisan perubatan tradisional ini terutamanya berkaitan dengan amalan budaya penjagaan wanita selepas bersalin, penjagaan bayi, berurut dan sebagainya. Perubatan ini juga menawarkan perkhidmatan rawatan penyakit dalaman seperti demam, pening kepala, patah tulang dan kembung perut iaitu penawarnya berasaskan herba dari tumbuh-tumbuhan, penggunaan jampi dan petua orang tua-tua. Perkhidmatan seterusnya pula melibatkan faktor kuasa mistik seperti pengaruh ilmu hitam dan sihir.  Justeru, kaedah rawatan yang dilakukan dengan upacara ‘menurun’ iaitu bomoh akan meminta bantuan kuasa luar atau ghaib. Pakar yang menawarkan perkhidmatan penyembuhan tardisional ini merujuk kepada pengamal perubatan tradisional Melayu atau lebih dikenali sebagai bomoh iaitu tahap kepakaran dan kebolehannya bergantung kepada tingkat keilmuan, pengalaman dan kebijaksanaan yang dimiliki melainkan bomoh tersebut adalah bomoh temberang seperti yang dipaparkan dalam filem Nasib Do Re Mi.

Kedudukan Institusi Perbomohan

Kehadiran perubatan moden yang bersifat saintifik dan empirikal seiring kemajuan teknologi, dilihat tidak menghapuskan perkhidmatan bomoh ini. Walaupun perbomohan bukan lagi pilihan utama, namun segelintir masyarakat Melayu masih lagi mengiktiraf institusi ini sebagai inisiatif penyembuhan kendiri. Oleh sebab penerimaan masyarakat terhadap institusi ini masih menebal, maka para bomoh tidak teragak-agak untuk muncul di khalayak ramai misalnya ketika insiden kehilangan pesawat MH370.  Bomoh yang menggelar dirinya sebagai Raja Bomoh tersebut telah melakukan ritual mengesan pesawat MH370 di tengah-tengah KLIA bersama alatan seperti tikar, buah kelapa, buluh serta tongkat yang telah menjadi meme hingga ke hari ini. Bomoh tersebut turut beraksi di saat negara menghadapi penularan wabak COVID-19 dengan upacara ‘memagar’ Malaysia dan menasihati agar rakyat untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bertambah menarik apabila seorang bomoh yang dianggap kebal juga akur dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk duduk di rumah atau stay at home dan mengamalkan langkah pencegahan. Persoalan yang timbul: bukankah kamu kebal dengan perkara-perkara yang tidak nampak dengan mata kasar seperti COVID-19 ini?

Masyarakat hari ini kebanyakannya memilih perkhidmatan perbomohan bagi tujuan peribadi berbanding tujuan penyembuhan penyakit. Bagi rawatan penyembuhan penyakit, lazimnya masyarakat akan mendapatkan khidmat para ustaz atau ahli agama yang menggunakan kaedah rawatan ruqyah. Perkhidmatan bomoh yang didapatkan bertujuan untuk mendapatkan pelaris bagi memajukan perniagaan, pemakaian susuk untuk kecantikan, minyak pengasih untuk menundukkan pasangan serta pendinding untuk menjaga diri dan keluarga. Terdapat juga yang cuba untuk mendapatkan ilmu kekebalan tubuh bahkan ilmu untuk menggandakan harta dan mengekalkan pengaruh. Dikhabarkan bahawa tragedi yang pernah menggemparkan negara satu ketika dahulu, sekitar tahun 1993, memperlihatkan ADUN Batu Talam, Datuk Mazlan Idris telah menjadi mangsa kepada bomoh yang dikenali sebagai Mona Fandey. Bukan sahaja dibunuh, malah tubuhnya dikerat 18 bahagian dikatakan kerana ingin mengukuhkan kedudukannya sebagai seorang ahli politik. 

Selain itu, filem dan drama Melayu tidak kurang hebatnya dalam mengetengahkan institusi perbomohan ini. Status, kemewahan mahupun pendidikan yang ditonjolkan di dalam filem dan drama Melayu tidak menjadi penyebab penolakan perkhidmatan bomoh ini misalnya babak seorang wanita moden yang berpendidikan sanggup pergi ke ceruk kampung untuk mendapatkan perkhidmatan bomoh. Walaupun dianggap klise, namun tanpa kita sedari paparan sedemikian digarap merupakan salah satu representasi budaya masyarakat Melayu yang mengangkat perkhidmatan bomoh untuk menyelesaikan masalah atau untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang mudah. Kadang-kala timbul persoalan bagaimana seorang yang berpendidikan tinggi, hidup pada zaman maklumat di hujung jari masih lagi mempercayai perkhidmatan bomoh seperti ini? 

Rumusan: Pertindihan antara Agama Islam dan Budaya

Institusi perbomohan merupakan salah satu institusi sosial yang diiktiraf dalam masyarakat Melayu. Kepercayaan masyarakat Melayu berasaskan amalan tradisi yang diwarisi sejak turun temurun dan juga ajaran agama Islam. Di sini terhasilnya pertembungan di antara amalan budaya tradisional dan amalan agama dalam masyarakat Melayu sehingga terbentuknya kepercayaan ketiga yang dikenali sebagai kepercayaan popular berdasarkan Model Konseptual Sistem Kepercayaan Masyarakat Melayu oleh Mohd Taib Osman (1989). Kepercayaan popular ini merujuk kepada pertalian antara kepercayaan tradisional dan agama iaitu elemen kepercayaan tradisional yang telah diasimilasikan dengan ajaran agama Islam seperti penggunaan tangkal atau azimat sebagai pendinding diri terhindar dari malapetaka. Pertindihan yang berlaku misalnya penggunaan tangkal itu sendiri adalah bertentangan dengan ajaran Islam sedangkan sewajibnya orang Islam mempercayai kekuasaan Allah. Namun, penggunaan tangkal tersebut telah dihalalkan melalui bacaan ayat suci al-Quran dengan meniatkan di dalam hati sebagai ikhtiar. Maka, gabungan daripada amalan ini telah dibenarkan dan diterima oleh masyarakat Melayu hingga ke hari ini. 

Berdasarkan model ini, masyarakat Melayu yang masih menerima institusi perbomohan ini adalah mereka yang tergolong dalam individu yang mempercayai kepercayaan popular. Faktor pendidikan dan kemewahan tidak mampu untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap institusi ini. Mungkin kerana penerimaan masyarakat setempat atau ahli keluarga mahupun rakan-rakan telah membentuk pandangan yang positif terhadap kedudukan institusi perbomohan pada zaman moden ini. Mereka yang ‘bernasib baik’ akan menemui bomoh yang akan membantu untuk mencapai hajat yang diingini, manakala yang tidak bernasib baik pula akan menemui bomoh Do Re Mi. Pepatah ibarat biar mati anak, jangan mati adat, begitulah institusi perbomohan ini akan terus hidup dan tidak akan pupus ditelan zaman. Watak bomoh itu akan terus kekal relevan di hati masyarakat Melayu. 

Tradisi Melayu Feudal dalam Sejarah Melayu: Pengekalan atau Peninggalan?

Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu dikatakan ditulis oleh pengarang Melayu dikenali sebagai Tun Sri Lanang. Penulisannya berjaya mengangkat kembali zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka yang pada ketika itu dikatakan sedang berada diambang kemerosotan. Makalahnya lebih bersifat kesusasteraan seperti berbentuk mitos atau legenda dapat dikesan dalam hasil penulisannya.

Sulalatus Salatin atau juga dikenali sebagai Sejarah Melayu dikatakan ditulis oleh pengarang Melayu dikenali sebagai Tun Sri Lanang. Penulisannya berjaya mengangkat kembali zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka yang pada ketika itu dikatakan sedang berada diambang kemerosotan. Makalahnya lebih bersifat kesusasteraan seperti berbentuk mitos atau legenda dapat dikesan dalam hasil penulisannya. Tulisannya berkaitan genealogi Sultan Melaka iaitu Parameswara yang dikatakan berasal daripada susur galur salah satu daripada tiga putera yang muncul di Bukit Seguntang iaitu Seri Teri Buana, kemudiannya menjadi raja di Palembang. Raja ini dipercayai daripada genealoginya berkait rapat dengan Zulkarnain Iskandar, raja yang hebat dari Rom bagi menunjukkan ‘supremacy’ Kesultanan Melayu Melaka. Penulisan ini bukanlah untuk melihat dari sudut mitos atau legenda tetapi lebih terfokus kepada sisi sorotan sejarah adat tradisi Melayu pada zaman feudal berdasarkan teks Sejarah Melayu. 

Adat istiadat pertabalan diraja

Dalam konteks sejarah, protokol istana dalam teks yang dikaji turut dinyatakan seperti peranan nobat di dalam pertabalan diraja. Merujuk teks Sejarah Melayu, Sultan Mansur Syah ingin meluaskan kuasanya kepada kerajaan baru di Pahang dengan menabal Raja Ahmad menggunakan alat-alat kebesaran diraja seperti penggunaan alatan muzik klasik nobat. Legitimasi kerajaan Melayu itu diiringi dengan paluan nobat pada suatu ketika dahulu menjadikan tradisi tersebut terus-menerus dilaksanakan hingga zaman ini seperti istiadat pertabalan, hari keputeraan, perkahwinan diraja, istiadat berkhatan diraja, upacara sambutan diraja dan juga kemangkatan diraja. Pengekalan tradisi paluan nobat ini hanya dialunkan di Kedah, Perak, Terengganu dan Selangor berdasarkan rentetan sejarah kedaulatan yang dianugerahkan oleh Sultan Melaka menerusi teks Melayu. Hasil penelitian terkini, paluan nobat dialunkan ketika Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 30 Januari 2019 disertai dengan tiupan nafiri. Istiadat pemakaman Baginda Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 12 September 2017 juga diiringi istiadat pemakaman. Ini merupakan simbol laungan dalam institusi diraja, ‘Raja bertakhta dinobatkan, pemergian juga dinobatkan’. Simboliknya, penyerahan semula kepada Maha Pencipta-Nya. (Astro Awani, 2017). 

Larangan

Masyarakat Melayu feudal dilarang keras untuk menggunakan warna kuning seperti katil, sapu tangan, pakaian, atau gelang emas dan apa sahaja barangan yang berwarna kuning. Pemakaian barangan emas boleh dipakai jika dihadiahkan oleh raja. Kini, tiada lagi larangan bagi pemakaian emas atau barangan berwarna kuning setelah perubahan bentuk pemerintahan Melayu feudal yang berdasarkan monarki kepada institusi Raja Berperlembagaan Malaysia. Selain itu, penganugerahan gelaran “Dato” dan “Dato’ Sri” diberikan oleh sultan atau raja di negeri-negeri semenanjung Malaysia. Penganugerahan Dato’ Sri ialah gelaran tertinggi bagi penerima gelaran tersebut atas jasa memberi sumbangan yang amat besar kepada negeri. Gelaran ini terhad kepada jumlah bilangan tertentu. Penganugerahan tertinggi oleh Yang di-Pertuan Agong kepada rakyat Malaysia ialah gelaran ‘Tun’ juga terhad kepada beberapa penerima sahaja di Malaysia. Contohnya, bekas Perdana Menteri Malaysia yang memberikan sumbangan besar kepada Malaysia. Terdapat juga undang-undang yang terkandung di dalam teks, menyatakan bahawa kedudukan keris perlulah berada di posisi hadapan. Jika didapati menyembunyikan keris di bahagian belakang badan, simboliknya datang membawa hajat yang tidak baik dan tidak menghormati raja. Hulubalang istana serta-merta akan menahan pesalah tersebut. Menurut teks, bagi pesalah yang melanggar undang-undang istana akan didenda jumlah ‘seketi lima’ mata wang. Menurut Shellabear (1977), dianggarkan sekira 150,000. Keris berhulu Jawa Demam dan Pekaka dibenarkan untuk dibawa ke istana. “Semasa penempaan keris dibuat, setiap pandai keris atau Empu mempunyai falsafah dalam menampilkan busana pakaiannya. Contohnya, jika menempa keris diraja, mereka memakai pakaian serba kuning. Bagi tempaan keris untuk panglima atau pendekar, pakaian serba hitam dan berbengkung merah digayakan dan bagi orang atau rakyat biasa, cukup sekadar mereka berpakaian biasa sahaja.” (Khamis et al., 2012, 109). Pemakaian keris bagi masyarakat Melayu moden hanya diriaskan pada acara tertentu sahaja seperti perkahwinan bagi pengantin lelaki atau ketika mempersembahkan seni mempertahankan diri seperti silat.

Etika dan penyediaan makanan

Perbualan di antara Tun Perpatih Putih dan Maharaja China, bertanya tentang   masakan kegemaran masyarakat Melayu feudal iaitu kangkung. Cara penyediaan kangkung juga dapat diteliti menerusi teks ini, “… Sayur kangkung tuanku, jangan dikerat-kerat, belah panjang-panjang, iaitulah kegemaran kami semua orang Melaka makan, tuanku.” Logiknya, penyediaan kangkung dipotong dengan cara sedemikian oleh kerana kebersihan yang amat dititikberatkan dalam masyarakat Melayu. Kadangkala terdapat cacing parasit (parasite eggs) atau juga dikenali sebagai water-borne worms, serangga atau ulat di dalam batang daun kangkung. Hal ini kerana kebanyakan kangkung air (nama saintifiknya, Ipomoea aquatica Forsk) tumbuh liar di dalam parit atau paya berikutan penanamannya memerlukan air yang banyak. Antara lainnya, budaya tradisi yang diamalkan dari zaman feudal sehingga kini ialah penggunaan tangan kanan untuk menjamah makanan manakala penggunaan tangan kiri pula bagi tujuan beristinja’. Budaya ini berupaya menanam sifat terpuji dan mendidik masyarakat Melayu berakhlak mulia selain melahirkan masyarakat yang tahu mengutamakan kebersihan tangan. Tambahan pula, penggunaan tangan sewaktu makan dipercayai memudahkan proses penghadaman makanan tersebut kerana tindak balas enzim yang terlibat membantu proses pencernaan menurut fitrahnya. Kita juga disarankan untuk menjilat jari tersebut selepas selesai dan menyudahkan makanan kerana itu merupakan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Hal ini sejajar dengan ajaran agama Islam dalam masyarakat Melayu dan bertepatan dengan hadis yang telah disebut.“Apabila salah seorang daripada kamu makan, maka janganlah dia menyapu tangannya melainkan setelah dia menjilatnya atau dijilatnya.” (Riwayat al-Bukhari (5456) dan Muslim (2031) 

Penggunaan daun palas juga digunakan sebagai alas makanan kerana kelebaran struktur daunnya, dapat dilihat dari petikan Seri Wak Raja meminta Seri Nara Diraja untuk memetik daun palas bagi meletakkan nasi dan ikan sebagai alas makanan selepas dimasak. Penggunaan daun palas masih lagi relevan dan digunakan bagi proses pembungkusan makanan sehingga kini seperti ketupat palas. 

Penutup

Kepentingan untuk menyingkap kembali sejarah peradaban masyarakat Melayu feudal yang membentuk masyarakat Melayu moden hari ini selari dengan hasil corak kebudayaan masyarakat Melayu yang sebahagiannya diteruskan menjadi amalan kini. Ternyata tradisi-tradisi tertentu bersifat peninggalan dan juga pengekalan dalam kehidupan masyarakat Melayu kini. Pengekalan tradisi ini boleh diibaratkan seperti ‘tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas’ menjadi simbol dan identiti masyarakat Melayu selagi mana adat tradisinya tidak menyalahi hukum Islam. Kajian dan penelitian seperti ini harus diperluaskan dengan harapan mampu memupuk kecintaan dalam jiwa generasi-generasi muda terhadap kemurnian cara hidup masyarakat Melayu selain menjejaki jati diri bangsa Melayu itu sendiri. Hal ini demikian kerana, pengarang Melayu tidak hanya melihat sejarah sebagai peristiwa lampau yang kerap menampilkan fakta dan kebenaran bahkan sejarah berupaya menjadi unsur pendidikan moral dalam masyarakat yang menghargai dan menelitinya dengan sebaik mungkin. Penegasan ini amat bersinonim dengan keadaan masyarakat Melayu kini khususnya golongan muda yang terlihat tenat dalam menghargai nilai sejarah Melayu dalam diri mereka. Di sinilah bermulanya peranan kita sebagai pengkaji untuk mencetuskan kesedaran secara bersama dalam hal tersebut.


Bahan rujukan:

A.Samad. S (Ed). (2013). Edisi Pelajar Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hussain. O. (2009). Malay Historical Thought. Universiti Tun Hussein Onn.  

Shellabear, W.G. (Ed). (1977), Sejarah Melayu. Fajar Bakti. 

Khamis, M, Nik Hassan, S dan Abdul Latif. S. (2012). Falsafah Perkerisan dalam Masyarakat Melayu. International Journal of the Malay World and Civilisation, 30 (1), 105-119. http://journalarticle.ukm.my/5489/1/Falsafah_Pekerisan_dalam_Masyarakat_Melayu.pdf 

Astro Awani, (2017, September 12). Nobat mengiringi istiadat pemakaman Almarhum Sultan Kedah [Video]. Youtube. https://www.youtube.com/watch?v=QKiSUZnEBl0

Muhammad Mushfuque, A. A (2018, Januari 10), Irsyad Al-Hadith Siri Ke-240: Kunyah 40 Kali Dan Menjilat Jari Selepas Makan. Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/2237-irsyad-al-hadith-siri-ke-240-kunyah-40-kali-dan-menjilat-jari-selepas-makan

n.a. (2019, 30 Julai) Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bermula. Berita Harian Online. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/07/590611/istiadat-pertabalan-yang-di-pertuan-agong-ke-16-bermula

n.a. (n.a). Kangkong (water spinach) nutrition facts. Nutrien And You.com. https://www.nutrition-and-you.com/kangkong.html 

Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah. (n.d). Peralatan Muzik Melayu Tradisional-Nobat. Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Retrieved from http://memorinkedah.com/

Melayu, Malaysia dan Kerumitannya: Wawancara bersama Shamsul Amri Baharuddin

Memetik semula Ismail Hussein, Melayu di sini merupakan sebuah budaya yang sempurna. Dari ungkapan ini sahaja, kita sudah ada asas yang baik untuk menjadikan Melayu dan Malaysia sebagai bahan kandungan penyelidikan yang menarik dan dramatik.

Tokoh: Prof. Ulung Dato’ Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Institut Kajian Etnik (KITA), UKM
Pewawancara: Ramze Endut
Tarikh: 20 Mei 2020
Tempat: KITA, UKM

NM: Ramai penyelidik yang gemar berbicara apa sahaja sampai tampak kehilangan dan kepudaran bidangnya. Bagaimana dengan anda dan apa bidang penyelidikan anda?

SAB: Bidang saya ialah bidang antropologi sosial. Berdasarkan pengetahuan dalam bidang antropologi sosial ini, saya kemudian menjurus kepada apa yang saya anggap sebagai pengajian politik; dan pengajian politik ini tidak semestinya khusus merujuk kepada bidang sains politik. Maksudnya di sini, pengajian politik ada dalam pelbagai disiplin—dikira sebagai sub-disiplin. Misalnya dalam antropologi, ada sub-disiplin antropologi politik yang menggunakan metod antropologi untuk mengkaji aspek-aspek politik seperti pilihan raya, pembangunan, dll. Dari segi epistemologinya pula, saya berminat untuk mengetahui perubahan yang dialami oleh individu, keluarga, dan komuniti. Bahkan ketiga-tiga unit ini merupakan elemen asas dalam imaginasi sosiologi (sociological imagination). Maka itulah bidang saya. Secara epistemologinya, ia merupakan kajian tentang tiga komponen asas dalam masyarakat tersebut — iaitu individu, keluarga, dan komuniti. Ringkasnya, saya menggunakan metod antropologi sosial sebagai platform kajian saya. Manakala subjek empirikal kajian pula bergantung kepada minat atau apa yang hendak dikaji ketika itu.

NM: Terdapat banyak mazhab atau aliran dalam antropologi politik. Anda daripada aliran yang mana satu?

SAB: Metodologi yang saya gunakan ialah grounded theory yang kuat dipengaruhi pragmatisme. Ia menggabungkan beberapa pendekatan dalam membantu kita menanggapi satu-satu fenomena. Satu mazhab sahaja tidak cukup untuk menghuraikan apa-apa fenomena. Kita ambil contoh terdekat, al-Quran. Dalam hal ini, Al-Quran ada satu sahaja, tetapi banyak mazhab lahir daripadanya kerana wujudnya pelbagai tafsiran ke atasnya. Inilah yang saya panggil alat analisa (analytical tool). Dalam mengkaji satu-satu fenomena, saya gunakan pelbagai analytical tools yang saya rasakan sesuai dengan apa yang diperlukan oleh masyarakat. Umpamanya perbezaan antara pakar bedah. Pakar bedah otak pastinya menggunakan alat yang berbeza dengan pakar bedah tulang. Maksudnya, ada kehalusan yang diperlukan ketika mengkaji fenomena-fenomena tertentu; dan ada ketikanya pula, kehalusan itu tidak diperlukan lalu digantikan dengan kritik yang lebih kasar.

Saya berpegang pada kefahaman bahawa analytical tools ini amat penting; dan lebih penting lagi adalah pemilihan analytical tools dalam mengkaji fenomena. Perkara ini disandarkan pula kepada pemahaman saya tentang makna epistemologi, ontologi, dan metodologi. Bagi saya, kesemua disiplin adalah suatu bentuk metodologi kerana ia memperuntukkan suatu cara untuk mendekati dan memahami sebuah fenomena yang sama. Jika anda seorang ahli geografi dan mengkaji politik misalnya, anda akan menggunakan metod geografi. Begitu juga dengan antropologi di mana ia didasarkan kepada kajian lapangan. Berbeza dengan geografi yang banyak bergantung kepada survei dan statistik, antropologi disandarkan kepada pendekatan kualitatif seperti temubual bersemuka, kerja lapangan yang mengambil masa panjang di satu-satu kawasan, dsb. Kerja lapangan ini merupakan wahana bagi ahli antropologi untuk mendekati subjek kajiannya. Kerana itu kita akan duduk lama di kawasan kajian untuk mengenali dengan lebih dekat individu, keluarga, dan komuniti yang dikaji. Secara tidak langsung, ia merupakan sebuah pendekatan mikro yang sebenarnya.

NM: Dalam pengalaman sebagai penyelidik, bagaimana anda mengaplikasikan metodologi, epistemologi dan ontologi dalam kajian lapangan yang mengandung masalah empiris?

SAB: Terpenting bagi saya adalah kaedah pengajaran, sesuai dengan tugas saya sebagai seorang pensyarah. Pertama-tama sekali, pelajar saya perlu terlebih dahulu fasih dengan tiga perkara asas iaitu epistemologi, ontologi, dan metodologi atau EOM agar senang untuk saya berbicara dengan mereka dan menghuraikan banyak hal. Sebelum kita mula membaca karya-karya Durkheim, Marx, Weber, dll, kita mesti menyesuaikan diri dengan analytical tools tersebut. Oleh sebab itu saya menggunakan pragmatisme kerana dari segi pedagogi, pengajaran di Malaysia bertujuan untuk memahamkan pelajar. Dan kerana itulah karya Amin Sweeney itu penting [seperti Authors and Audience in Traditional Malay Literature dan A Full Hearing: Orality and Literacy in the Malay World]. Kajian beliau menunjukkan bahawa [tradisi] persuratan Melayu seperti esei mengambil bentuk percakapan. Maka dari buku tersebut, saya belajar bagaimana bentuk pengajaran yang sesuai untuk pelajar di Malaysia. Sudah tentu, kekangan terbesar dalam kalangan pelajar adalah masalah bahasa kerana karya-karya besar ini kebanyakannya didapati dalam bahasa Inggeris [sama ada karya asal atau terjemahan]. Justeru, perkara utama yang perlu dikuasai oleh pelajar adalah konsep-konsep yang terdapat dalam bidang yang mereka ceburi—khusus dalam bidang sains sosial.

NM: Tempoh 50 tahun berkecimpung dalam bidang antropologi politik adalah tempoh lama dan ranum. Jika dilihat kembali, apakah pergelutan awal yang anda hadapi dalam bidang ini, dan apakah pula transformasi yang telah berlaku sepanjang 50 tahun menceburi bidang ini?

SAB: Apa-apa kajian mengenai politik adalah kajian mengenai kuasa—bagaimana kuasa diagihkan, diatur, dan distrukturkan, serta bagaimana ia dilaksanakan. Tidak ada perbezaan antara antropologi politik dengan disiplin-disiplin lain yang turut mengkaji politik. Secara epistemologinya sama sahaja, tetapi yang membezakannya hanyalah aspek empirikalnya. Apatah lagi, lomuniti yang mengkaji antropologi politik ini agak kecil. Justeru itu, mamang ada keperluan untuk bersemuka. Antropologi politik ini awalnya adalah politik bersemuka kerana ia berasaskan komuniti. Namun kita maklum bahawa komuniti [bukanlah suatu yang statik] dan ia sentiasa berubah. Ambil contoh sebuah komuniti Buddha di Kuala Lumpur. Mereka ada tokong mereka sendiri, tetapi rata-rata daripada mereka tidak menetap di kampung tersebut. Ada yang tinggal di Damansara, Putrajaya, Petaling Jaya, dsb. Namun pada hari Ahad setiap minggu, mereka ini berkumpul di tokong tersebut sebagai sebuah komuniti penganut Buddha. Di sini kita dapat lihat terdapatnya perubahan dalam idea tentang komuniti (the notion of community). Begitupun, teknik yang kita gunakan kekal sama tetapi memerlukan masa yang lebih panjang bagi melakukan penyelidikan memandangkan kita tidak dapat mendampingi mereka sebagai sebuah komuniti [utuh (intact) yang menetap dalam satu kawasan yang sama] seperti dahulu. Bentuk komuniti sekarang lebih terpecah dan terpencar tetapi terkait dan dihubungkan melalui pelbagai macam wahana seperti telefon, surat, emel, media sosial, dsb.

Realitinya, komuniti sekarang sudah tidak sama dengan dahulu—tidak lagi semata-mata bersifat bersemuka. Justeru kita di bidang antropologi politik turut sedar tentang realiti perubahan komuniti ini — yang sentiasa berubah bentuknya mengikut zaman serta perubahan bentuk ekonomi. Jika dahulunya kekeluargaan (kinship) itu amat dititikberatkan dalam keluarga termasuklah keluarga besar (extended family). Tetapi, ini kelihatannya sekarang tidak begitu diutamakan lagi. Memandangkan kita mengkaji politik, maka bilakah masanya kuasa itu dikerah dan dilaksanakan (when is power being exerted and exercised)? Setidak-tidaknya dalam masyarakat Melayu, ada tiga acara penting di mana kuasa itu tertonjol iaitu majlis perkahwinan, kematian, dan kelahiran. Dalam ketiga-tiga majlis ini, biasanya kita dapat melihat siapakah yang memegang kuasa tersebut. Antara lain yang menjadi perhatian kita di bidang antropologi politik ini termasuklah sistem kekeluargaan (kinship system), agihan ekonomi dalam sistem kekeluargaan tersebut, siapa yang memegang kuasa, peranan bomoh atau pawang (orang yang berperanan mengubat), dll—peranan mereka ini dalam hubungan kekuasaan. Dalam konteks ini, setiap individu dalam masyarakat mempunyai peranan masing-masing dan ditetapkan oleh sistem hierarki yang jelas. Jadi apabila anda sudah menguasai metod melakukan kajian, cara pandang terhadap fenomena/subjek kajian, serta kaedah membuat analisa maka anda boleh mengaplikasikannya ke dalam kajian-kajian lain selain kajian terhadap komuniti atau parti politik. Saya misalnya beralih daripada kajian terhadap kampung kepada kajian politik. Perkara ini tidak sukar dilakukan jika anda sudah mahir dengan tiga asas (EOM) yang saya sebutkan tadi kerana prinsipnya sama. Anda perlu benar-benar mendalami bidang antropologi politik untuk memahami perubahan, transisi, dsb masyarakat. Apatah lagi di zaman media sosial ini.

NM: Perubahan kajian empirikal pada hari ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti modeniti dan kerumitan sosial yang ada pada hari ini. Soalannya, apakah tidak ada perubahan langsung dalam bentuk kerangka teoritikal?

SAB: Tentu sekali ada perubahan dalam kerangka teoritikal. Kembali kepada tiga unit asas tadi iaitu individu, keluarga, dan komuniti. Unit manakah yang lebih menonjol pada masa sekarang? Saya melihat berlakunya perubahan yang disebutkan sebagai atomization [yakni pandangan yang bersifat ke dalam dan tertumpu kepada individu]. Seorang individu yang duduk berseorangan di hadapan komputer tetapi tidak bersendirian kerana ia berinteraksi dengan individu lain—boleh jadi dari segenap pelusuk dunia. Namun pada asasnya, disiplin kemanusiaan tetap memerlukan anda untuk berinteraksi dengan manusia. Mungkin teori atau konsep itu berubah, tetapi tiga unit asas tadi tetap menjadi perhatian (individu, keluarga, komuniti). Pada akhirnya, ia bergantung kepada lensa teoritikal dan konsep yang anda gunakan serta subjek analisis anda.

NM: Apabila anda menyebut tentang atomization, ia mengingatkan saya tentang perbahasan mengenai kebijagatan dan kesejagatan (particular and universal). Memang, perubahan sekarang memperlihatkan bahawa dunia menjadi semakin bijagat [terpecah dan terpencar kepada unsur individualisme]. Masing-masing semain menuju kepada mazhab hidup yang tersendiri. Persoalannya, apakah nilai-nilai ‘sejagat’ yang kita sudah terima baik selama ini seperti hak asasi manusia, keadilan, kebenaran, dsb masih lagi penting kepada kita?

SAB: Perkara itu terpulang kepada komuniti itu sendiri. Saya berikan contoh di Malaysia. Ismail Hussein dahulu pernah menghujahkan bahawa masyarakat sempurna (complete society) di Malaysia ini ialah masyarakat Melayu—lengkap sistemnya daripada keluarga diraja sampailah ke hamba abdi. Lain pula halnya dengan masyarakat Cina atau India. Masyarakat sempurna mereka hanya dapat ditemui di tempat asal mereka datang. Mereka tidak mempunyai bangsawan (landed gentry) di sini. Kalau dalam sistem kabilah (clan) masyarakat Cina misalnya, keluarga utama (main family) tidak ada di sini. Mereka hanya mempunyai wang dan maju secara ekonomi. Majoritinya yang berjaya kemudian pergi ke Barat—sama ada belajar, bekerja, dsb—dan menyerap nilai-nilai Barat tersebut kerana mereka tidak mempunyai budaya yang sempurna di sini. Justeru itu, satu-satunya cara untuk mereka mengungkapkan budaya mereka adalah melalui mobiliti sosial. Mereka yang sudah menyerap nilai-nilai Barat ini kemudiannya pulang dan mengangkat nilai-nilai tersebut di sini. Hak asasi manusia, masyarakat warga (civil society), dsb ini adalah sebahagian daripada budaya yang diserap tersebut apabila mereka bermastautin sementara di sana.

Sementara mereka ini mudah menyerap budaya tersebut, perkara ini nyata berlainan pula dalam kalangan masyarakat Melayu; ia, yakni konsep-konsep sejagat (universal) tersebut datang kemudian. Hal ini kerana masyarakat Melayu sudah terlebih dahulu mempunyai budaya dan nilai yang sudah mantap. Sumbernya adalah raja-raja yang menjadi pemutus atau penimbang tara (arbiter) kepada nilai-nilai yang dipegang oleh masyarakat Melayu. Bahkan cara pertuturan raja dan orang kebanyakan pun memperlihatkan perbezaan yang besar—ada nuansa hormat dan kepatuhan di situ. Justeru apabila nilai yang dikatakan ‘sejagat’ seperti hak asasi manusia diperkenalkan di negara ini, ia tidak serta-merta terserap ke dalam budaya, falsafah, dan etos masyarakat Melayu. Ini kerana masyarakat Melayu, pada asasnya, sudah ada sistem etika dan etiketnya sendiri—adat resam, istiadat, dll. Misal kata dalam kalangan peribumi di Sarawak. Kebanyakannya kekal berpegang dengan undang-undang adat masing-masing serta mempunyai mahkamah khusus untuk itu iaitu Mahkamah Adat (atau sekarang dikenali sebagai Mahkamah Bumiputera. Jika seseorang itu didapati bersalah kerana membunuh misalnya, ia tidak semestinya diadili mengikut undang-undang Persekutuan yang memperuntukkan hukuman gantung jika disabitkan bersalah tetapi boleh diadili di bawah undang-undang adat. Mungkin membayar dengan binatang ternakan seperti kerbau, lembu, kambing dsb. Jadi ia berbeza. Nah, bagaimana anda hendak berbicara tentang hak asasi manusia dengan mereka ini? Hak asasi manusia bagaimana yang anda maksudkan?

NM: Mungkinkah dengan adanya keterpecahan dan keterpencaran kehidupan moden ini, maka aspek kebersamaan sosial (social solidarity) masih lagi dapat dibangunkan, sekaligus memberdaya masyarakat?

Terdapat pelbagai cara untuk menangani persoalan keindividualan ini, yang menyebabkan keterpecahan dan keterpencaran kehidupan moden. Namun kita harus sedar bahawa faham kebersamaan atau kekitaan (collectivity) itu masih lagi dominan dalam apa yang saya sebutkan sebagai budaya sempurna masyarakat Melayu. Kebersamaan merupakan teras penting di negara ini, khususnya dalam masyarakat Melayu; apatah lagi dengan masuknya Islam. Namun wujud juga permasalahan dengan tanggapan terhadap Islam ini. Apabila kita bercakap tentang Islam, ia serta-merta dikaitkan dengan Melayu—Melayu-Islam atau Islam-Melayu. Lain pula halnya apabila kita bercakap tentang Muslim. Ia boleh jadi pelbagai seperti Melayu-Muslim, India-Muslim, Cina-Muslim, dsb. Dalam masyarakat Melayu sebelumnya, nilai dan budaya Melayu mendahului nilai-nilai Islam—kerana Islam ini diimport dari luar; ia mempunyai set nilainya tersendiri yang berbeza dengan nilai-nilai Melayu atau pribumi. Begitupun, Islam di Malaysia sekarang ini sudah berbeza dengan Islam di Arab suatu masa dahulu. Perbezaan ini didorong oleh faktor sosial mayarakat, unsur persekitaran geografi dan keadaan suasana tempat baharu. Pokoknya, baik masyarakat Melayu atau masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak, masing-masing mempunyai nilai dan estetikanya sendiri (native values and aesthetics). Justeru itu, faham mereka terhadap keadilan itu berbeza dengan faham keadilan yang sering dikaitkan dengan nilai hak asasi manusia.

NM: Anda nampaknya percaya bahawa budaya merupakan ciri atau dimensi paling utama dalam masyarakat—melebihi agama itu sendiri. Sebegitu sekali?

SAB: Ya. Dalam masyarakat, budaya sememangnya mendahului agama. Permasalahan yang kita hadapi sekarang ini adalah pemudahan (simplification) tafsiran budaya itu sendiri baik oleh mereka yang berautoriti mahupun daripada kalangan masyarakat terbanyak. Ramai orang menganggap bahawa budaya itu sekadar persembahan. Tanggapan sebegini bermasalah kerana budaya ini sebenar-benarnya merupakan cara hidup—apa yang anda pilih untuk jadi. Masyarakat Melayu sebelum ini beragama Hindu selama beberapa abad. Kemudian baru datangnya Islam. Kalau anda perhatikan, banyak istilah-istilah harian yang digunakan masih mengekalkan istilah-istilah Hindu seperti sembahyang (solat), air sembahyang (wuduk), dosa, pahala, dsb. Ia menarik bagi saya apabila kita masih lagi mengekalkan istilah Hindu tersebut. Ia bukan sekadar pengekalan bentuk (form) yang boleh dicerap secara visual semata-mata tetapi mempunyai kaedah dan pengalaman linguistik yang sudah mantap secara konseptualnya. Kita tidak menukar istilah tersebut kepada istilah Arab. Ambil contoh sembahyang (solat); ia bukan istilah Arab tetapi tetap merujuk kepada perkara asas yang perlu dilakukan oleh Muslim. Menarik apabila kita fikirkan bagaimana Islam yang datang ke sini terserap ke dalam budaya tanpa sepenuhnya mengambil alih dan mengubah budaya tersebut. Oleh kerana itu ada suatu ketika orang menentang perubahan istilah sembahyang kepada solat kerana ia tidak difahami. Tambah lagi sekarang kita lihat banyak nama-nama Arab digunapakai di pelbagai institusi kerajaan dan masyarakat. Tidak adakah nama-nama indah dalam bahasa Melayu? Kelihatannya kita lebih suka menggunakan istilah-istilah Arab sekarang—hampir saja kelihatan pretentious.

NM: Adakah anda berpendapat berlakunya Arabisasi dalam kebudayaan Melayu akhir-akhir ini?

SAB: Ya, dan ia paling ketara sekali terlihat dalam aspek linguistik. Secara idiomatiknya, kita sangat ‘Arabized’ sekarang. Iftar (buka puasa), hari raya Aidilfitri (hari raya puasa), dsb. Istilah-istilah harian ini semakin kedengaran asing buat kita.

NM: Pada pendapat anda, apakah punca atau titik peralihan yang menyebabkan berlakunya Arabisasi ini?

SAB: Saya fikir ia bermula sekitar tahun 70-an—tahun 1975. Ketika itu tahun-tahun awal ABIM dan Anwar Ibrahim. Mereka menubuhkan Yayasan Anda yang memberikan tuisyen percuma kepada anak-anak sekolah. Anak-anak yang pergi ke situ diwajibkan untuk memakai tudung bagi perempuan dan songkok bagi lelaki. Perkara ini, setidak-tidaknya bagi ABIM, mungkin dilihat sebagai suatu cara penonjolan identiti Muslim, namun kita harus sedar bahawa memakai songkok ini adalah sebahagian daripada budaya masyarakat di rantau ini. Orang memakai songkok bukan kerana mereka percaya akan Islam. Di Indonesia misalnya, anda jangan hairan jika anda terlihat orang bersongkok memasuki gereja. Ini sebahagian budaya di alam Melayu. Kita di Malaysia pula berbeza, di mana songkok dilihat sebagai penonjolan identiti Islam. Perkara ini antaranya berpunca daripada modenisasi dan kolonialisasi yang telah memperkenalkan kita kepada jenis-jenis stereotaip yang kemudiannya menentukan identiti kita melalui bancian.

NM: Apakah ada sesuatu yang telah hilang dalam budaya kita di tengah-tengah arus Arabisasi dan Islamisasi yang pesat ini?

SAB: Perkara ini menarik kita kembali kepada pengetahuan kolonial dan kolonialisasi. Ambil contoh adat Perpatih yang berasaskan perbilangan dan sastera lisan. Penjajah British telah mengubahsuai dan mengeraskan tradisi ini kepada teks dan peraturan dengan merekod, merakam dan menterjemah apa yang dicakapkan oleh Undang di Johol, Jelebu, Rembau, dsb. Akibatnya ia menjadi teks yang beku lalu menghapuskan keindahan, kegeligaan dan daya cipta bahasa itu sendiri. Natijahnya, kita tidak mempunyai keupayaan untuk mengungkapkan perkara-perkara baru dalam bahasa seharian kita. Banyak yang ada merupakan terjemahan langsung daripada istilah Inggeris seperti media sosial, dsb. Perkara ini berlaku kerana ia tidak lagi boleh disisipkan sebagai sebahagian daripada Bahasa—kerana bahasa itu sendiri telah dipisahkan daripada budayanya dan sekaligus masyarakatnya]. Kerana itu saya katakan bahawa pemisahan terbesar sekali adalah pemisahan Jawi daripada kebudayaan Melayu melalui proses perumian. Kebudayaan Melayu ini asal memang berasaskan tulisan Jawi dan sastera-sastera klasik, termasuklah tradisi sastera lisannya. Syed Muhammad Naquib Alatas telah banyak menulis tentang perkara ini. Tidak ada apa-apa yang disumbangkan oleh Barat kepada bahasa Melayu apabila Barat datang. Apa yang ada hanya terjemahan [yang bersifat administratif] berkenaan undang-undang, cukai, dsb. Langsung tidak ada inti-inti intelektual di dalamnya. Maka kerana itulah mereka terpaksa menterjemahkan banyak buku daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Tugas ini digalas oleh Jabatan Karang-Mengarang di Sultan Idris Training College (SITC) untuk menyediakan terjemahan buku teks yang diambil dari Eropah. Pada saya, gerakan keeropahan inilah yang telah memisahkan antara Jawi dengan Rumi—antara Melayu lama dengan Melayu baru. Perkara perumian bahasa Melayu ini penting kerana proses perumian ilmu dalam bahasa Melayu itu bermula tanpa kita terlebih dahulu memahami ilmu sendiri lantaran kita tidak pernah menulis ilmu kita dalam Rumi. Ia sentiasa dituliskan dalam Jawi. Setelah wujudnya Jabatan Karang-Mengarang barulah bermulanya pengisian ilmu tersebut. Bagi saya, transisi daripada tulisan Jawi ke tulisan Rumi merupakan titik perubahan penting kepada kehidupan dan budaya Melayu.

NM: Adakah wajar untuk mengatakan bahawa budaya atau orang Melayu itu sendiri telah dan sedang mengalami keterputusan sejarah (historical discontinuity) akibat daripada perumian bahasa Melayu?

SAB: Beginilah. Masyarakat Melayu sememangnya sudah terputus-putus dalam banyak hal. Pertama sekali, sudah tentu mereka ini terpecah kepada sembilan kesultanan. Maksudnya di sini, masyarakat Melayu terpecah kepada sembilan sistem pentadbiran yang berbeza, dan masing-masing pula mempunyai dialek tersendiri (bahkan dalam satu negeri wujud pelbagai dialek). Soalan saya, sejak bila Melayu ini pernah bersatu? Hakikatnya tidak pernah ada suatu titik yang memperlihatkan bahawa Melayu ini adalah satu. Apa yang membenarkan Melayu untuk bersatu—atau tepatnya, ‘disatukan’—adalah banci. Perihal banci ini meletakkan sempadan terhadap pencirian Melayu antaranya melalui Malay Reservation Enactmen Act yang diperkenalkan pada tahun 1913 dan diubahsuai sehingga tahun 30-an. Daripada akta tanah tersebutlah istilah Melayu dan bukan-Melayu tercipta apabila ia menetapkan hanya orang Melayu sahaja yang boleh membeli tanah rizab Melayu. Dua terminologi ini bertahan sehinggalah sekarang dan mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan kita baik di tingkat seharian mahupun pembuatan dasar. Kategori banci yang sama ini juga digunakan dalam pembentukan parti-parti politik berasaskan kaum. Perkara ini lalu menjurus kepada pembentukan perikatan politik antara parti-parti tersebut kerana masing-masing mewakili kaum tersendiri. Namun mereka ini masih lagi terpisah. British mahu menubuhkan suatu kesatuan (union) dan bukannya perpaduan (unity), maka ia cuba menubuhkan Malayan Union pada tahun 1946 tetapi ditentang oleh orang Melayu. Lalu ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu 1948 sebagai gantinya. Namun istilah kesatuan tersebut kekal menjadi arus bawah yang mencorakkan keseluruhan wacana dan naratif tentang Malaysia sehingga kini.

NM: Adakah sesuai untuk mengatakan bahawa negara kita ini merupakan suatu contoh berlakunya proses penginstitusian yang berasaskan kaum?

SAB: Ya. Ia suatu bentuk manifestasi daripada penjajahan bersifat define and rule.

NM: Sudah tentu, racialisation ini bersamaan dengan racism?

SAB: Tidak sama sekali. Racism dan racialisation ialah dua hal berbeza. Namun, lebih tepat untuk kita mengatakan fenomena yang berlaku di negara kita ini adalah suatu bentuk racialisation. Ringkasnya racism ialah suatu ideologi yang menentang kumpulan-kumpulan yang mempunyai identiti berbeza dengannya (khusus identiti etnik). Ia dihidupkan oleh stereotaip dan prejudis yang tebal. Berlainan pula dengan racialisation yang merupakan suatu proses. Dan ini berlaku di negara kita.

NM: Adakah penginstitusian yang berasaskan kaum ini (merujuk kepada Racialisation) merupakan suatu hal yang negatif?

SAB: Tidak. Racialisation adalah suatu bentuk penerangan misalnya berkenaan penyataan yang mengatakan bahawa semua orang Cina main bola keranjang. Jadi permainan bola keranjang di sini telah dirasialisasikan (racialised). Namun orang jarang menggunakan istilah tersebut kerana ia tidak dramatik dan tidak memecah-belahkan masyarakat demi memenangi pilihan raya. Jika disorot kembali, ia akan kembali kepada pelaksanaan banci yang mempengaruhi pembentukan parti politik di negara ini dan kemudiannya mempengaruhi pula cara kita memerintah. Oleh kerana itu juga anda tidak dapat memisahkan politik dan etnisiti di Malaysia. Sebelum anda mengubah politik di negara ini, anda terlebih dahulu harus mengubah kaedah banci tersebut.

NM: Memandangkan kita sudah serba sedikit bercakap tentang Kajian Malaysia (Malaysian studies) ini, apakah tanggapan anda terhadap perkembangan dan kedudukan tahap kajian mengenai Malaysia pada hari ini? Apakah ada kelemahan atau kelompongan yang tidak disedari oleh orang ramai atau kalangan penyelidik sendiri?

SAB: Kita sedang melihat betapa Kajian Malaysia tanpa terlepas daripada pengaruh pengetahuan kolonial itu sendiri. Ini merupakan kelemahan terbesar dalam bidang ini. Sejarawan Malaysia sendiri kebanyakannya tidak menyedari tentang pengetahuan kolonial. Kewujudan pengetahuan kolonial ini menyedarkan kita tentang wujudnya pelbagai tafsiran terhadap sejarah. Adanya pelbagai versi sejarah ini menunjukkan wujudnya pelbagai bentuk historiografi. Anda mungkin mempunyai fakta yang sama, tetapi tafsiran anda terhadap fakta tersebut boleh jadi berbeza-beza bergantung kepada pendekatan anda. Kelemahan pengajian Malaysia adalah ketiadaan sejarah di dalamnya—historiografi yang membolehkan kita untuk menebak kolonialisme British melangkaui peranan mereka selaku pentadbir. Ia membolehkan kita untuk memahami penjajahan epistemologi oleh British, bagaimana mereka menukar cara kita berfikir, angka yang kita gunakan, dsb. Perkara ini sudah mengakar dan tidak dapat diubah begitu sahaja. Inilah dilema yang membelenggu ramai pengkaji Malaysia.

NM: Dalam dekad-dekad terdahulu, negara kita menarik minat ramai pemikir-pemikir besar untuk melakukan kajian di Malaysia seperti James C. Scott, satu contoh ketara misalnya. Adakah anda melihat wujudnya kelompongan dalam kajian Malaysia akhir-akhir ini khusus dari segi EOM dalam kalangan penyelidik sekarang?

SAB: Beginilah. James C. Scott sebenarnya tidak datang untuk mengkaji Malaysia. Beliau didorong oleh minatnya terhadap gerakan sosial (sebagai epistemologi). Malaysia hanyalah ontologi. Oleh sebab itu jika anda perasan tidak ada perkataan “Kedah” pada tajuk buku tersebut. Beliau tidak berminat dengan Kedah. Jadi saya tidak memandang James C. Scott sebagai seorang Malaysianis. Beliau hanya berminat dengan teori (tentang gerakan sosial) manakala Malaysia pula sekadar menyumbangkan bukti-bukti empirikal kepada kajian beliau. Itu sahaja—sama seperti saya sebutkan di awal tadi berkenaan pengajian politik sebagai sub-disiplin. Sains politik, sejarah, geografi, dsb disandarkan kepada historiografi yang berbeza. Pada saya, kunci kepada pengembangan Kajian Malaysia ini terletak pada historiografi manakah yang menjadi sandaran kepada keseluruhan kajian tentang Malaysia. Saya berulang kali katakan bahawa Kajian Malaysia harus disandarkan kepada sejarah untuk semua, bukan sejarah yang berpihak kepada sesetengah golongan sahaja. Sejarah untuk semua bermaksud si kaya dan si miskin masing-masing mempunyai peranannya dalam membangunkan negara ini.

NM: Dalam bidang anda sendiri, apakah kajian-kajian yang masih lagi menarik untuk diterokai oleh generasi baru?

SAB: Pada pengamatan saya, tidak ada lagi kajian antropologi politik dilakukan sekarang oleh para penyelidik kita. Kerana itu, buku saya masih lagi dirujuk berulang kali sehingga sekarang kerana mereka tidak ada rujukan lain lagi. Kajian saya itu diterbitkan pada tahun 1986. Selepas beberapa dekad, mereka masih lagi bercakap tentangnya. Boleh jadi tidak ada perubahan [yang signifikan] berlaku menyebabkan kajian saya masih lagi relevan sehingga sekarang. Itu satu kemungkinan. Boleh jadi juga suatu sinakal daripada saya. Namun saya fikir sudah amat kurang kajian ke atas komuniti dengan pendekatan bersemuka dijalankan di negara ini. Hal ini kerana kajian-kajian sebegini berbentuk mikro dan tidak boleh digeneralisasikan; tetapi ia dapat memberikan pemahaman terhadap kawasan-kawasan tersebut. Jika anda melakukan kajian tentang Melaka, maka anda perlu juga menulis tentang sejarah Melaka. Seperti juga kajian tentang Kelantan dsb. Pada satu sisi, dapat dibina hubungan antara kajian-kajian yang berbentuk setempat ini. Menarik bagi saya untuk melihat lebih dalam tentang kepelbagaian atau juga dividedness yang ada dalam masyarakat Melayu berdasarkan negeri kerana mereka ini masing-masing mempunyai orientasi tersendiri. Ini antara perkara yang menyukarkan penyelidik yang membuat kajian Malaysia. Keduanya, hampir tidaka da orang yang boleh menulis dalam bahasa Melayu, Mandarin, dan Tamil dalam satu-satu masa. Jadi kita sentiasa ada halangan bahasa di sini. Kelompongan dalam Kajian Melayu/Malaysia ini adalah berbentuk struktural. Ia bukan suatu faktor melainkan keseluruhan struktur Persekutuan Melayu atau Malaysia yang telah dibentuk termasuklah pentadbirannya serta impak terhadap kehidupan seharian. Itulah persoalan yang harus dijawab.

NM: Sebagai orang lama dalam penyelidikan, mungkin anda layak untuk menyimpulkan rupa seorang penyelidik yang berjaya?

SAB: Apapun kajian yang ingin anda lakukan, anda perlu terlebih dahulu mempelajari sejarah. Anda mengkaji sejarah Malaysia, tentang manusia-manusia yang menghidupkan Malaysia tersebut, jadi anda perlu mempelajari sejarahnya. Dan tidak cukup sekadar mengetahui sejarah orang yang menang dan kalah, sejarah subaltern, sejarah elit semata-mata. Tidak boleh ambil setengah-setengah. Tidak boleh ambil suku-suku. Anda harus mempelajari kesemuanya—sejarah, tempat, dan evolusi negara ini. Kesemuanya tanpa satupun pengecualian. Memetik semula Ismail Hussein, Melayu di sini merupakan sebuah budaya yang sempurna. Dari ungkapan ini sahaja, kita sudah ada asas yang baik untuk menjadikan Melayu dan Malaysia sebagai bahan kandungan penyelidikan yang menarik dan dramatik.

Syarahan Naratif Malaysia oleh Sufian Jusoh

Kerajaan perlu berani memperkenalkan dasar liberal yang memberdayakan Melayu untuk memecahkan ‘tempurungnya’ sendiri. Tanpa dasar liberal ini, maka orang Melayu akan kehilangan peluang untuk memanifestasikan potensinya sendiri.

SIRI SYARAHAN NARATIF MALAYSIA BIL. 2020/1

Memecah Tempurung Melayu: Membina Bangsa yang Mencabar Diri

Penyampai: Prof. Dr. Sufian Jusoh, IKMAS UKM
Tarikh: 10 Februari 2020
Masa: 10.00am – 12.00pm
Tempat: IKMAS Meeting Room, UKM Bangi

Abstrak

Dalam menangani zaman pasca-globalisasi, mentaliti serta atitud Melayu perlu berubah. Justeru itu, pembentangan ingin meneroka mengenai keterbatasan serta keupayaan yang dimiliki oleh orang Melayu dalam pengalaman Malaysia. Usaha ini tidaklah begitu sukar memandangkan sudahpun terdapat perubahan di kalangan orang Melayu itu sendiri. Ini terbukti tatkala terdapat orang Melayu yang telah berjaya di atas usaha mereka sendiri, meskipun fakta ini tidaklah menafikan terdapat juga yang masih menggunakan ‘tongkat’ (walaupun mere sebenarnya ada keupayaan untuk berdikari). Lantaran itu, pembentangan ini mencadangkan bahawa usaha yang perlu digiatkan untuk Melayu terus berjaya adalah dengan membebaskan Melayu dari cengkaman dasar kerajaan. Ini kerana, cengkaman ‘dari atas’ ini bukan sahaja merugikan orang Melayu akan tetapi turut merugikan Malaysia secara keseluruhannya. Lantas, kerajaan perlu berani memperkenalkan dasar liberal yang memberdayakan Melayu untuk memecahkan ‘tempurungnya’ sendiri serta mampu bersaing dengan bangsa dan negara lain. Tanpa dasar liberal ini, maka orang Melayu akan kehilangan peluang untuk memanifestasikan potensinya sendiri.

Biodata

Profesor Dr. Sufian Jusoh merupakan Pengarah Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS) dalam bidang perdagangan antarabangsa. Beliau juga merupakan pengerusi untuk kursi ASEAN Integration Grand Challenge di UKM. Selain itu, beliau turut terlibat dalam World Trade Institute (WTI) yang berpangkalan di Universiti Bern, Institute of Diplomacy and Foreign Relations (IDFR) di bawah Kementerian Luar Negeri serta ahli kepada Pacific Economic Cooperation Council Malaysian Chapter. Sehingga kini, beliau memainkan peranan penting dalam reformasi undang-undang perlaburan di Myanmar, Timor Leste, Laos and the Federated States of Micronesia.

Profesor Sufian merupakan Barrister-at-Law (England & Wales) of Lincoln’s Inn, London. Sufian serta memperoleh pendidikan LL.B daripada Cardiff Law School, LL.M (Merit) daripada University College London and a Doctor in Law (summa Cum Laude) daripada Universiti Bern, Switzerland.

Wacana Naratif Malaysia oleh Razan Rose’

Landskap ditanggapi sebagai suatu ruang di mana cita sosial dan persejarahan diluah, diterbit, dan digunakan oleh individu yang mengikat diri mereka kepada landskap tersebut di mana identiti ditemukan, mengeras, dan terjelma dalam bernama komuniti.

Razan

SIRI PEMBENTANGAN HANG NADIM

Landskap Melayu: Mencitra Peribadi Bangsa

Penyampai: Razan Rose’, Universiti Sains Malaysia (USM)
Masa: 10 pagi – 12:00 tengahari
Tarikh: 28 November 2019
Tempat: Bilek Mesyuarat IKMAS
Semua dijemput hadir

Dalam tahun-tahun 30-an di Tanah Melayu, banyak kedengaran anjuran-anjuran supaya orang Melayu kembali kepada “pekerjaan asal” mereka iaitu bertani; di belakangnya ada rangsangan ekonomi yang jelas misalnya membabitkan hal-hal pemilikan tanah serta pemberdayaan ekonomi orang Melayu. Saranan sebegini lazimnya disulami dengan pernyataan dan perlambangan yang mengisyaratkan kewujudan suatu keadaan azali bagi orang Melayu. Dalam erti kata, pertanian dianggap, serta diperlihatkan, sebagai pekerjaan turun-temurun orang Melayu dan seterusnya membentuk sebahagian daripada teras Kemelayuan. Di sini, pekerjaan beroleh peranan baru sebagai penanda identiti; dan ia tidak hadir secara bersendirian melainkan menempati sebuah persekitaran khusus, lengkap dengan sifat-sifatnya tersendiri, yang kemudiannya mempengaruhi pembudayaan manusia yang menempatinya. Pertautan kerja-persekitaran-budaya membentuk unsur teras yang menjadi sandaran terhadap identiti kelompok yang terangkum, serta memperoleh maknanya, dalam pemberdayaan landskap secara bersama. Justeru, landskap ditanggapi sebagai suatu ruang di mana cita sosial dan persejarahan diluah, diterbit, dan digunakan oleh individu yang mengikat diri mereka kepada landskap tersebut di mana identiti ditemukan, mengeras, dan terjelma dalam suatu representasi nyata bernama komuniti. Makalah ini menanggapi pembentukan identiti Melayu–Kemelayuan tahun-tahun 30-an yang dicitrakan lewat pemaparan landskap khusus orang Melayu dalam imej-imej visual yang terpilih.

Pendaftaran:

Melayu, Islam dan Politik: Wawancara bersama Ahmad Fauzi Abdul Hamid

Kita boleh tengok kekuatan Kerajaan Uthmaniyyah. Hanya saja, di kemudian hari, banyak Sultan mereka yang mula rakus terhadap dunia dan mereka tidak lagi berlaku adil, sama ada kepada Muslim mahupun kepada bukan-Muslim.

Tokoh: Profesor Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid, Universiti Sains Malaysia (USM)
Pewawancara: Haris Zuan & Ramze Endut
Tarikh: 31 Mei 2019
Tempat: Puri Pujangga, UKM

Naratif Malaysia (NM): Apakah terdapat perubahan wacana mengenai identiti di Malaysia setelah PRU yang ke-14?

Ahmad Fauzi Abdul Hamid (AF): PRU14 ini bukanlah perkara yang terlalu lama berlalu. Tempoh setahun dalam konteks politik ini ia merupakan tempoh yang terlalu baru untuk menginstitusikan ataupun untuk menterjemahkan perubahan tersebut dalam konteks yang berpanjangan. Maksudnya, perubahan ini mengambil masa yang lama dan banyak ahli-ahli politik terutamanya yang tidak sabar dengan perkara sebegini. Malah Haris Zuan, yang merupakan Felo IKMAS ketika ini, turut menyedari perihal ini menerusi penulisannya dalam beberapa buku dan tulisannya, yang merujuk kepada persoalan mentaliti zaman kolonial yang terus melekat dalam wacana dan pemikiran hasil daripada penjajahan pemikiran. Lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat kita yang secara umumnya konservatif—terutamanya masyarakat Melayu yang mana nilai konservatisme mereka sangat kuat. Budaya yang sebegitu menyebabkan perubahan ini mengambil masa yang agak lama.

NM: Adakah kekangan ini sedikit sebanyak berpunca daripada tabiat ahli politik?

AF: Ada benarnya. Bagi saya ahli politik banyak yang tak sabar. Akan tetapi ini berbeza dengan ahli ilmu, di mana kita main dengan ilmu ini dengan satu jangka masa yang panjang kalau kita tengok dari sudut sejarah, dari sudut geopolitik. Kita bukan mengambil benda yang dekat-dekat.

NM: Jadi, bagaimana kita boleh kaitkan dengan persoalan identiti?

AF: Dari sudut identiti dan ini menyentuh kaitan masyarakat Melayu ini dengan identiti Islam yang tak boleh dipisahkan. Benda ini daripada kemasukan Islam dulu ke Tanah Melayu kemudian datang bermula dari abad ke 10 hinggalah ke abad 13, datang gelombang kumpulan the Sayyids dalam abad yang ke 19 dengan kedatangan pedagang-pedagang Arab. Dalam masa beberapa gelombang sahaja, terlihat pengaruh penjajahan barat yang saya rasa memberikan kesan terhadap pembawaan sistem birokrasi. Jadi, jika kita bermain dengan naratif kajian Islam, ini mungkin akan datangkan pemahaman yang berbeza. Tapi kalau kita saintis sosial, kita akan faham tentang Marxisme, sosialisme dan birokratisasi. Semua ini kelak menguasai pemikiran orang Melayu sehingga ke tahap ini masyarakat Melayu keliru di antara Islam secara intipati dengan Islam secara agama berinstitusi (Islam agama rasmi). Keadaan ini menyebabkan wujudnya konflik sehinggakan aspek-aspek birokrasi Islam diterap sebagai suatu yang halus. Ini terzahir menerusi segala tindakan mengkritik jabatan atau figura tertentu mudah dianggap sebagai satu kesalahan  mengkritik agama atau mengkritik Rasululluh SAW. Bukan bermakna bahawa autoriti tiada dalam Islam. Sudah tentu ianya ada dan penghormatan itu ada. Akan tetapi, aspek pemikiran kritis dalam pengajian agama terutamanya bila kita masuk dalam era globalisasi dapat diperhatikan bahawa masyarakat Melayu dan masyarakat Malaysia juga belum lagi keluar daripada kepompong. Bahkan, sampai ke suatu tahap, ia telah melanggar apa yang diterima dalam masyarakat Melayu ini sebagai adab kesopanan Melayu. Jadi setengah golongan muda mudi sama ada dikaitkan dengan golongan yang ditafsirkan atau dimomokkan sebagai liberal dan sebagainya, maka dapat dilihat kadang-kadang bahasa mereka kesat dan kasar. Jadi kita boleh faham sudut kekecewaan autoriti agama ini kerana ramai yang merasa keadaan ini. Tetapi apabila kritikan itu dilontarkan dengan cara yang tidak sopan dia melunturkan legitimasi dengan perkataan lucah, katakanlah kritikan dan ancaman terhadap kumpulan G25. Jadi benda-benda sebegini bukan Islamik. Jadi asas-asas sebegitu tak dapat dipertahankan oleh kumpulan pengkritik di mana itu semua merupakan asas-asas akhlak.

NM: Adakah ini menunjukkan kualiti orang Melayu dalam bertutur-kata sehingga melahirkan seni mengkritik yang tersendiri?

AF: Orang Melayu ni sejak dulu lagi terkenal dengan soalan personaliti akhlak dan Islam itu datang menguatkan. Tetapi atas nama agama, akhlak ini mula dikorbankan. Kita perhatikan dulu bagaimana kes-kes parkir terganggu kerana kita parkir kereta di luar masjid ketika solat Jumaat dengan cara yang tidak berdisiplin. Itu sudah merupakan satu kesalahan yang sepatutnya kita perakui dan kita berhemah dalam menyelesaikan perkara tersebut dan jika berlaku protes terhadap benda tu dengan beberapa tahun dahulu pernah sampai tahap orang dalam masjid itu keluar dan melakukan keganasan fizikal kepada golongan non-Muslim yang terperangkap dalam kesesakan di luar masjid itu. Takkanlah sampai ke tahap keganasan fizikal. Jadi bagi saya perkara ini merupakan perkara yang kita perlu selesaikan. Perkara yang sering saya tulis ialah asas akhlak mulia yang diwarisi atau yang perlu kembali disuburkan dalam masyarakat Melayu. Ini kerana banyak asas yang datang ke Malaysia ini dalam bentuk kesufian. Malangnya, kemudian datang satu gejala dalam era kebelakangan menyebabkan asas kesufian ini ditarik dan asas legatimasi itu diancam dan dikatakan macam-macam. Bila asas kerohanian ini tiada, maka perangai kita ini setakat asas etika. Etika ini pula bila berubah undang-undang dan benda-benda lain maka etika pun boleh berubah sebab etika bukan disuburkan daripada hati yang terkait atau terhubung dengan Tuhan. Kita memuliakan manusia menerusi sama ada terhadap Muslim mahupun bukan-Muslim dengan cara yang sama. Bahkan, kita ada kaedah yang tersendiri untuk kita berinteraksi kerana itulah perintah Tuhan melalui perintah Rasulullah SAW sebagaimana baginda berinteraksi. Sebab itu, saat peperangan ada kaedahnya untuk menghadapi peperangan tetapi ini tidak dihayati oleh golongan ekstrimis.

NM: Mungkin mudah untuk digunakan hujah akhlak untuk kaum Muslim di Malaysia di mana akhlak sebagai jalan penyelesaian pada kerumitan yang ada pada masyarakat muslim di Malaysia. Persoalannya, bagaimana untuk dihujahkan pula asas akhlak ini dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia kerana kita tidak boleh menggunakan takrif akhlak yang bersifat agama dalam hubungan bukan Muslim di Malaysia? Untuk konteks yang bersifat kebangsaan mestilah ada yang membenarkan satu idea baru yang merangkumi semua pihak. Apakah jalan penyelesaian untuk itu?

AF: Saya boleh katakan bahawa dalam Islam ada asas-asas universal yang menyebabkan wacana-wacana Islam berbentuk ini sentiasa dapat diterima. Kalau kita lihat konteks dalam interaksi antara masyarakat muslim dengan bukan-Muslim, maka kita bolehkah suasana yang sedia ada sebenarnya sihat. Dalam Islam ada konsep ‘adamiyah ataupun juga dikenali sebagai kemanusiaan. Atau ada dalam satu hadis terkenal tentang ini adalah apabila Rasulullah SAW berdiri apabila melalui satu jenazah orang Yahudi di hadapan baginda. Kita boleh tengok hujah-hujah mengenai hadis ini. Ada satu lagi hadis yang juga sering disebut dan dipetik bagaimana layanan Rasulullah SAW dalam terhadap kaum Kristian yang datang berdialog dengan baginda. Terdapat titik tidak persetujuan, tetapi Rasulullah SAW tetap menawarkan kaum Nasrani tersebut untuk beribadah di masjid. Jadi, tradisi pemikiran yang sebegini memang ada dalam Islam terutamanya dalam wacana-wacana yang berbentuk sufi. Kalau kita baca sajak-sajak Jalaluddin Rumi sendiri contohnya pun terdapat perkataan-perkataan mahupun frasa seolah Islam ini merupakan satu ruang yang luas sesuai dengan konsep rahmatan lil ‘alamin. Kalau kita tengok tafsiran dari ulamak muktabar sekalipun, ada akidah yang tidak tepat dalam kalangan bukan-Muslim itu akan ditangguhkan hukuman mereka itu saat di akhirat kelak. Implikasi yang kita kena belajar di dunia ialah kita haruslah bersikap adil kepada mereka. “Fairness” ini adalah satu bentuk dakwah yang paling kuat sama ada berunsur keadilan, kesopanan dan interaksi kerana ini adalah tertakluk dalam naungan rahmat Allah SWT dan kita tidak boleh mengambil alih kerjanya. Allah SWT sebagai hakim Yang Maha Adil dengan seadil-adilnya akan memutuskan di akhirat terhadap semua makhluknya, Muslim mahupun bukan-Muslim. Maka bukan kita yang menghukum mereka di dunia kerana ketidaksamaan akidah meraka. Jadi kita mestilah “deal” dengan mereka soal dunia dengan sebaik-baiknya. Dan dalam soal dunia ini kita tetap kena bersikap adil dan tidak mendiskriminasi dalam hal-hal keduniaan. Sebab itu, keadilan sangat ditekankan oleh Islam dan inilah sebenarnya yang akan membawa lebih banyak bukan-Muslim untuk menyukai idea-idea atapun berada di bawah naungan pemerintahan Islam.

NM: Ada contoh dalam sejarah?

AF: Kita boleh tengok kekuatan Kerajaan Uthmaniyyah. Hanya saja, di kemudian hari, banyak Sultan mereka yang mula rakus terhadap dunia dan mereka pun bukan setakat tidak berlaku adil kepada bukan-Muslim tetapi juga kepada sesama Muslim sekalipun. Di situ berlaku kemerosotan. Walau bagaimanapun, secara umumnya, empayar Utmaniyyah bertahan lama. Kalau kita tengok di era sultan yang adil, kerajaan Uthamniyyah tersebut sangat memberikan keadilan buat bukan-Islam. Seorang lagi khalifah yang mana keadilannya tidak boleh dipertikaian iaitu Umar Abdul Aziz yang mana pernah disebut oleh Lim Guan Eng. Pernah dalam zamannya, tanah yang dirampas oleh khalifah yang sebelum itu (tanah mereka pernah dirampas dengan kaedah yang tidak adil) dikembalikan semula kepada orang Kristian untuk mereka bangunkan tempat ibadah. Jadi inilah keadilan Islam.

NM: Jadi nampaknya nilai-nilai universal yang dibincangkan ini boleh menjadi jambatan antara Muslim dan bukan-Muslim dan di dunia ini kita perlu berlaku adil kepada masyarakat bukan-Muslim kerana hanya Allah SWT penghakiman tertinggi nanti. Persoalannya adalah kalau kita perlu berlaku adil kepada  bukan-Muslim di dalam dunia pada hari ini, maka apakah wajar untuk Muslim mendapat  kelebih-kelebihan atau pengecualian tertentu di dalam dunia pada hari ini? Sedangkan kita sedar bahawa kita perlu berlaku adil kepada Muslim dan bukan-Muslim di dunia secara seadilnya. Persoalan ini ditanya kerana kelihatan ada kumpulan-kumpulan Muslim tertentu yang merasa berhak untuk mendapat beberapa kelebihan berbanding bukan-Muslim.

AF: Keadilan itu bermaksud meletakkan sesuatu di tempat yang sepatutnya. Apa yang disebut dalam konteks tindakan afirmatif bukan sahaja dalam konteks Malaysia bahkan banyak negara turut melakukan tindakan yang sama, terutamanya dalam hal-hal dimana kaum yang minoriti ataupun golongan yang dipinggirkan dan dianggap kebelakang oleh kerana alasan-alasan kesejarahan (historical reasons). Di Malaysia, kalau golongan Melayu-Muslim sering menekankan kontrak sosial. Tetapi, kalau intelektual bukan-Muslim, banyak mengatakan ini tidak wujud ataupun mitos. Ini kerana kontrak sosial ini asasnya untuk right the historical wrong daripada penjajahan. Ia ibarat gentleman agreement yang tidak tertulis. Bila tidak tertulis ia tidak termaktubkan dalam akta sehingga persetujuan seolah tiada. Jadi, kita kena ingat bahawa asas-asas masyarakat berubah dengan globalisasi ekoran era internet serta pelbagai lagi pendedahan masyarakat dengan ilmu-ilmu yang dulunya tertutup. Satu masa dulu pernah ada cadangan saya ingat daripada Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri dan beberapa orang bahawa perlu kepada muafakat kebangsaan (national consensus) yang baru. Kumpulkan para pemegang taruh melibatkan taikun, ahli akademik dan ahli politik untuk memperoleh suatu dapatan awam seperti yang pernah dilakukan oleh Wan Saiful Wan Jan, daripada IDEAS, yang dahulunya cuba kumpulkan pandangan dan orang-orang penting negara ini tanpa prejudis dan tanpa mengira latar ideologi masing-masing. Perlu dibincangkan kalau perlu bentuk satu kontrak sosial yang baru kerana kontrak sosial bukanlah satu benda yang fix in stone—sama seperti perlembagaan. Kapasiti 2/3 pun sudah boleh meminda perlembangaan. Jadi, kenapa di atas dasar nasional perubahan ini tidak boleh dilakukan? Dalam kita mengatakan bahawa hak yang disebut-sebut tadi itu, sebenarnya terdapat golongan-golongan yang saya rasa dalam sejarah 60 tahun negara ni sudah ada sejarah tersendiri dalam konteks perkembangan negara-bangsa ini. Saya bagi contoh kesalahan dan kesilapan bagaimana kita melayan nasib bukan-Muslim India. Kalau mereka faham mereka dikecualikan daripada pembangunan kerana meraka tiada private capital sehingga ia memberi alasan untuk ketepikan mereka daripada pembangunan. Kalau bumiputera dia ada daulah (state). Tetapi disebabkan mereka (non-Muslim India) maka akhirnya menyebabkan tahap pembangunan mereka ini terlalu rendah dan pada hari ini terlibat dalam begitu banyak masalah seperti mereka terasa seperti dipinggirkan malah diketepikan oleh parti-parti rasmi sendiri sehingga wujudnya pergerakan HINDRAF. Apakah tidak boleh negara-bangsa (nation-state) yang dikuasai Melayu-Muslim mengakui satu kesilapan telahpun berlaku? Kalau banyak dalam satu masyarakat itu golongan B40 maka akan timbul begitu banyak, makanya tindakan afirmatif bukanlah satu perkara yang janggal. Kita perlu bela mereka ini, walaupun mereka bukan-Islam dan bukan-Melayu. Bila kita sebut 60 tahun yang telah berlalu itu setelah kemerdekaan itu, maknanya ada di kalangan mereka ini terdiri daripada generasi awal sebagai pendatang. Akan tetapi, cucu-cicit mereka telahpun menjadi rakyat Malaysia. Justeru, kenapa kita mesti datang dengan sentiment bahawa mereka masih lagi pendatang?

NM: Apakah ada yang positif dengan peralihan kerajaan ekoran PRU14?

AF: Dengan terbukanya ruang wacana oleh media sosial di internet suara-suara sinis—mahu tidak mahu—saya rasa tidak boleh dielak tetapi perlu ada golongan daripada suara-suara yang turut sama bersuara dalam ruang dan laman siber yang digunakan tersebut. Dan saya memihak kepada kejayaan PH dalam pilihanraya setahun yang lepas yang ada disebutkan jadi seolah-olahnya disebutkan golongan liberal yang sekarang ini mendapat tempat. Bagi saya, ini tuduhan biasa dalam mana-mana masyarakat yang mahu membuka ruang wacana. Justeru, kita kena belajar menerima ruang kritikan. Satu perkara bagus yang berlaku dalam masa setahun ini adalah dari sudut kebebasan media, kebebasan institusi badan-badan berkanun, malah university sendiri pun tidak dikekang sebagaimana zaman Barisan Nasional (BN) dahulu. Bukan tiada kekangan langsung tetapi kelonggaran dan wujudnya proses peringkat bawahan yang boleh bersuara walaupun melawan pemerintah ataupun perdana Menteri. Kritikan yang tidak melanggar undang-undang, tidak menfitnah atau dalam konteks Islam tidak membuka aib yang melampau dan sebagainya itu adalah perkara yang perlu disuburkan. Kalaulah mahu cari suatu yang positif dalam masa setahun ini, maka itu adalah antaranya.

NM: Bukankah ini disebabkan oleh keterbatasan aliran pemikiran Asya’ariah?

AF: Saya ingat bukan persoalan pemikiran Asya’ariah walaupun memang ada pemikir-pemikir Asya’ariyah yang jumud tetapi bentuk di mana ilmu itu berkembang mungkin juga berlaku di kalangan kelompok yang inovatif Asya’ariah. Jadi contoh yang sering dipetik sekarang ini Abdullah bin Bayyah. Saya rasa beliau mempertahankan nilai-nilai asas tradisionalis tetapi selari dengan prinsip-prinsip kehidupan moden. Jadi, bila kita mengkritik satu-satu kelompok pemikiran kita mudah terperangkat dengan sikap yang terlalu generalistik. Kalaulah macam Dato Dr. Farouk Musa mempertahankan muktazilah berdasarkan kepada beberapa analisis sejarah yang berlaku di zaman Baitul Hikmah, maka itu semua kita boleh faham lantaran ada kebenarannya. Jadi freedom of expression ini bukan sahaja kepada bentuk pemikiran tetapi asas kenegaraan sepertimana yang saya sebutkan tentang masalah birokrasi. Dalam kontes kekhalifahan Abasiyyah tersebut, kita dapat tengok khalifah itu pula macam mana. Bukan soal nilai muktazilah mendominasi tersebut itu dianggap bagus; tetapi soal percambahan ilmu dalam dan era-era khalifah tertentu yang berkebetulan dengan ketaqwaan dan nilai murni yang dipupuk oleh seseorang khalifah itu sendiri. Jika diperhatikan melalui tulisan-tulisan saya sebelum ini, maka saya lebih mempertahankan aspek neo-traditionalis sebab ianya tidak terkongkong dengan traditionalisme sambal tidak menolak asas-asas turath dan warisan di mana saya memberikan beberapa contoh dalam tradisi Islam sendiri. Manakala kalau kita nak kata contoh dalam sejarah teras Melayu itu sendiri ialah seorang ulamak yang terkenal Sheikh Muhammad Fadhlullah as-Suhaimi umumnya traditionalist sebab beliau sering dipetik kerana mempertahankan faham traditionalis dalam debatnya dengan Hassan Bandung pada tahun 1953 dekat Pulau Pinang. Kita dapat tengok sejarahnya sebagai seorang yang menyokong pendidikan untuk wanita. Sehingga sekarang ini madrasah yang ditinggalkannya di Singapura, Madrasah Al Maarif telah meninggalkan sumbangan yang amat besar dalam pendidikan untuk wanita dan terus dengan pendirian yang bersifat neo-tradisionalisme.

NM: Adakah anda mengelarkan diri anda sebagai seorang neo-tradisionalist?

AF: Lebih hampir kepada kelompok pemikiran ini. Kalau kelompok yang memisahkan terus daripada turath ataupun warisan kelompok-kelompok yang digelar literalis dan sebagainya, maka ianya jadi macam mengkritik autoriti dan sebahagian daripada kritikan ini sangat tidak sopan. Jadi golongan tradisionalis yang secara tradisinya menguasai kebanyakan majlis agama di Malaysia. Ini adalah jalan tengah antara satu kelompok itu digelar liberal dengan satu lagi itu digelar dengan Wahabi, contohnya. Wahabi ini dari perjuangan Muhammad Abdul Wahab tetapi pada satu masa dahulu—dalam konteks perbalahan kaum tua dan kaum muda— semacam ada satu terma untuk golongan yang menentang autoriti dalam memperkenalkan benda-benda baru; semacam satu istilah cemar yang digunakan untuk kelompok ini.

NM: Bukankah kalangan liberalis atau pembaharu ini bersifat progresif?

AF: Benar. Progresif, dalam satu segi. Tetapi saya juga ingin katakana juga bahawa kalangan neo-tradisionalis juga progresif. Bezanya, bentuk progresif mereka dianggap oleh golongan tradisionalis sebagai bahaya tatkala mereka melawan autoriti. Misalnya, kalangan liberalis akan menentang autoriti dengan membawa asas-asas ilmuan yang lain sehingga mendefinisikan Islam di Malaysia ini dengan warna baharu.

NM: Apa bezanya neo-tradisionalis berbanding dengan kalangan Islamis yang lain?

AF: Ada asas-asas besar yang menjadi garis panduan berdasar akidah, fiqh serta tasauf. Ini merupakan tiga asas ilmu Islam. Kalau golongan—yang saya tidak pasti mahu digelar progresif atau Wahabi ataupun liberal dan sebagainya—kadang-kadang boleh terperangkat dengan sikap anti-mazhab juga. Sebaliknya, kalangan neo tradisionalis ini tidak sampai ke tahap tersebut; tanpa menafikan bahawa ada potensi untuk melakukan ijtihad yang bersesuaian dengan zaman ini. Jadi soal penutupan pintu ijtihad ini, kalangan neo-tradisionalis ini tidak besifat mutlak kerana konteks masyarakat dan perubahan iklim manusia itu berbeza. Misalnya, tradisi maqasid Syariah pun datang dari perkara ini. Imam al-Ghazali sering dipetik perkara berkaitan maqasid ini. Saya tengok sebahagian kalangan tradisionalis akan menggunakan hujah yang berkisar maqasid. Walau bagaimanapun, kalangan neo-tradisionalis pula akan datang dengan gambaran yang lebih inovatif dan kreatif. Kalangan neo-tradisionalis menghormati tradisi tetapi turut terbuka dengan perubahan masyarakat yang telah berlaku. Antara maqasid yang disebut oleh Abdullah bin Bayyah contohnya berkenaan dengan the dignity of Islam. Nama Islam pada hari ini diburuk dan dimomokkan yang mana kita kena bincang cara untuk bersihkan nama Islam dari segala bentuk fitnah yang bermaharajalela termasuklah mengaitkan peristiwa keganasan sampai wujudnya Islamofobia.

NM: Bagaimana cara kita untuk menghadapi dunia kini yang penuh perbezaan?

AF: Saya fikir kita tidak perlu jumud. Sebaliknya kita perlu terbuka terhadap ilmu-ilmu yang diteroka oleh kelompok lain walaupun daripada kelompok bukan-Muslim. Inilah kekuatan Abdullah bin Bayyah. Kalau kita baca tulisan-tulisannya, maka banyak petikan-petikan daripada falsafah Barat yang turut dikuasainya. Ini menggambarkan betapa beliau memahami akan perlunya dunia bergerak kehadapan — suatu gerakan yang merayakan kepelbagaian. Inilah masa depan dunia yang terbaik bukan sahaja untuk Muslim, tetapi juga untuk dunia secara keseluruhannya.

Raja-Raja Melayu: Kemajuan atau Kemunduran?

Berbicara tentang warisan masa lampau, tradisi dan adat menjadi releven. Menurut satu pandangan tradisi dan adat adalah rekaan yang tercipta untuk dijadikan cara efektif mengekalkan kekuasaan. Tradisi memberikan kerangka fikir untuk tindakan.

Penulis: Syed Husin Ali
Terbitan: 2019
Penerbit: SIRD

Pemerintahan monarki di zon budaya Nusantara dikatakan mengekalkan banyak sekali ciri-ciri dasar kepimpinan lokal tradisional, seperti ‘Datu’ (Raja kecil-kecilan), ‘Demang’ (Ketua daerah), ‘Merah’ (gelaran untuk Raja Kecil atau Penghulu) yang bergantung kepada kualiti kepimpinan peribadi.

Monarki dan feudalisme

Idea tentang kesucian monarki itu sekadar cantuman dan tempelan dari India. Monarki di Nusantara sekadar mengimport amalan India dalam upayanya untuk mengukuhkan lagi kekuasaannya sendiri. Maka untuk tujuan tersebut, sistem pemerintahan digabungkan dengan kelompok pendeta di candi agar struktur kuasanya menjadi rasmi. 

Salah satu masalah mengkaji monarki adalah konsep yang mendampinginya, iaitu feudalisme. Perdebatan tentang istilah tersebut berlansung seputar persoalan: Apakah feudalisme seperti yang didakwa oleh beberapa sejarawan sekadar satu istilah teknikal suatu praktik sosial yang eksklusif di Eropah Barat dan yang hanya hadir pada zaman pertengahan? Ataupun kata feudalisme seperti yang disarankan, termasuk oleh ahli sosiologi, dikonsepsikan secara abstrak sebagai sejenis organisasi politik.

Ertinya, feudalisme dilihat sebagai satu bentukan masyarakat yang termasuk di dalamnya institusi politik dan ekonomi. Dalam erti kedua, feudalisme adalah tahap evolusi masyarakat antara jenis ‘primitif’ dengan jenis ‘kapitalis’. Feudalisme dalam erti kedua dipakai oleh pengarang buku ini.

Kedudukan Monarki di Malaysia

Debat parlimen Malaysia pada 1983 dan 1992 tentang kedudukan monarki, peranan, hak dan tanggungjawabnya, sekali imbas pemindaan perlembagaan itu kelihatannya kecil, tetapi kesannya mendalam. Dari satu sudut, upaya pemindaan itu sesungguhnya satu mekanisme sosial bagi memantapkan lagi satu institusi yang mengharungi zaman sejak abad ketujuh, yang tentunya terbuka kepada gelombang perubahan dari dalam mahupun luar.

Institusi tersebut menurut sejarah, dilanda penjajahan yang kemudiannya mengubah secara drastik fungsi dan peranannya. Pada tahun 1957, hak dan tanggungjawabnya tetap pada darjat lambang. Bagaimanapun, haknya telah dicatatkan dalam perlembagaan negara yang sekaligus menandakan pengakuan akan institusi tersebut oleh undang-undang tertinggi perlembagaan Malaysia. 

Buku ini memilih tiga perspektif untuk menjawab persoalan pokok: Pertama, apakah Raja-Raja Melayu mengalami kemajuan atau kemunduran? Perspektif yang dipakai adalah sejarah, kontemporari, dan perbandingan. Jawapannya kepada persoalan ini terdapat dalam bab perumusan dan kesimpulan. Di situ juga terpancar posisi pengarang tentang institusi yang dibicarakan. Sosiologi politik menjadi alat analisisnya.

Pengarang pada bahagian pertama buku ini membicarakan asal muasal institusi monarki Malaysia dengan mengusut ideologinya yang terpancar dalam mitologi Melayu di satu tempat mitos- Bukit Seguntang.

Memang menjadi sifat mitologi, ia terus menerus memberikan kesan ke atas sub-sedar masyarakat dari satu generasi ke generasi lain dalam bentuk memori kolektif, sekalipun berbeza-beza kesannya ke atas masing-masing individu dan kelompok sosial dan kedudukan geografi di dalam zon budaya Nusantara.

Mitos tersebut dimunculkan kembali sebagai memori kolektif pada tahun 1998 setelah tindakan pemerintahan dikatakan mendustai waad Bukit Seguntang tatkala Anwar Ibrahim dihina di khalayak ramai.

Namun, sangat membantu lagi, khususnya untuk pengkaji yang mendatang kiranya perspektif sejarah yang dipakai dalam buku ini bersifat Longue Duree, yakni lebih lama kebelakang tempoh liputannya. Hal ini kerana kerajaan Melaka boleh juga dilihat sebagai kesinambungan sejarah dari Majapahit, manakala Majapahit pula dari Sriwijaya.

Malah sering dipertanyakan bagaimanakah mungkin sebuah penempatan nelayan di Melaka mengembang menjadi emporium dan pusat peradaban kalau tidak kerana kumulasi peradaban sebelumnya. Sehubungan itu, mungkin rangka ‘Kawasan Budaya’ dalam antropologi boleh dipakai untuk memerihalkan latar belakang monarki Nusantara, walaupun cuma selayang pandang. Selain itu, rangka ‘Zon Budaya’ sejarawan Fernand Braudel difikirkan sangat sesuai untuk maksud di atas.

Dua bab pertama sarat dengan rentetan kejadian tentang monarki dan monark-monarknya yang dicatatkan dengan rapi dari perspektif sejarah jangka lama dan baharu. Urutan peristiwa yang dicatat dengan cermat menyediakan pembaca mengerti lagi mengapa krisis perlembagaan pada 10 Disember 1992 terjadi.

Hal ini diikuti dengan rumusan signifikan bahawa krisis tersebut sebenarnya yang menghasilkan daya baharu kepada raja yang ironisnya pula menambahkan lagi aktivisme Diraja termasuk berpihak politik. Ternyata krisis juga adalah titik perubahan yang tidak dijangka.

Konflik Istana dan Parlimen

Persaingan untuk memperoleh pengaruh politik antara istana dengan parlimen di perihalkan dengan baik oleh pengarang di dalam bab keempat. Konflik di Perlis, Terengganu, Perak, Selangor bersama-sama dampak politiknya dihuraikannya mengakibatkan di kalangan orang Melayu pendirian yang berbelahan tentang monarki.

Ditunjukkan pengarang kecenderungan para belia yang tidak lagi  keberatan mengungkapkan sentimen anti-Raja sekalipun diiringi konsekuensi legal yang ditanggungi mereka.

Bahasa Istana

Bicara pengarang tentang dua perkara- Darjat dan jiwa hamba di bab awal dikembangkan lagi dibab empat kerana masih terdapat kontinuiti daripada praktik lama. Lalu, dihujahkan pengarang bahawa di Malaysia sebahagian bahasa yang dipakai untuk Raja hingga sekarang sangat mengaibkan.

Di berikan tiga kata tersebut- ‘Patik’, ‘Duli’ dan ‘Sembah’ sebagai contoh. Jiwa hamba ditunjukkannya sebagai sejenis psikologi takut dan terlalu merendahkan diri yang masih terdapat dikalangan rakyat.

Hal di atas, meskipun bukan pokok bicara buku masih boleh didebatkan atas dua pertimbangan. Pertama, kata-kata yang masih dipakai dalam komunikasi dengan para monarki, rata-ratanya adalah ‘kelongsong’, yakni bentuk dan kulitnya masih dipakai, sedangkan isinya sudah lama tidak, malah tiada makna signifikan lagi. Bilik ‘Santapan’ terdapat di kedai makan, ‘Istana’ dijadikan nama hotel.

‘Patik’ adalah kata Nusantara yang dipakai dalam sastera lama yang maksudnya ‘hamba tebusan’, ‘budak belian’, sama seperti kata ‘sahaya’ (abdi) yang terevolusi menjadi ‘saya’. Belum ditemukan sebarang sumber perbendaharaan kata ‘patik’ yang bererti ‘anak anjing’.

‘Duli’ dari kata sanskrit ‘Dhuli’ bererti ‘debu’ yang dalam bahasa kita bermaksud ‘abu’ yang melekat pada kaki. Kata itu terevolusi yang bermaksud ‘Baginda’ dan juga bererti ‘kaki’. Menjunjung Duli bererti sujud kepada baginda dan juga bererti ‘mengerjakan perintah Raja’. ‘Sembah’ pula adalah perbuatan yang mempamerkan penghormatan kepada raja dan juga kata yang ditujukan kepada raja.

Dalam transformasi kata-kata Diraja tidak kurang muncul situasi ironis, malah aneh. ‘Beta’ kata Hindi yang bererti ‘Hamba abdi’ kini dipakai sebagai kata ganti diri pertama oleh Raja sendiri. Di Maluku, kata itu dipakai oleh orang biasa yang bererti ‘saya’. Banyak kata kini menjadi kata neutral-kedirajaan dan neutral-darjat dan yang telah dicairkan kemurnian kedirajaannya, lalu bebas daripada sebarang tulah status sosial arkaik.

Jiwa hamba boleh juga ditafsirkan sebagai penjelmaan sesuatu gagasan. Maksudnya, sesuatu idea seperti jiwa hamba tidak lain adalah cerminan dunia material dalam fikiran manusia yang selanjutnya dipindahkan ke dalam bentuk pemikiran. Yang demikian bukan gagasan melainkan perubahan ekonomi yang mendorong perubahan. Seperti yang tercatat terdahulu, hal-hal di atas diungkapkan pengarang sepintas lalu, in passing, semata. Pendemokrasian bahasa Indonesia adalah hasil revolusi demokrasi sosial indonesia.

Renovasi idealogi Monarki

Bab empat penting dan kemuncak tiga bab terdahulu memberikan fokus kepada kontradiksi genting yang memuncak antara istana dengan parlimen dalam upaya memperoleh pengaruh politik masing-masing. Bahagian buku menunjukkan bagaimana parti pemerintah sesungguhnya telah memberikan kekuatan baharu kepada Raja menurut pengarang yakni dikatanya Raja semakin nyaring bersuara dalam hal politik, walaupun mereka harus bersikap neutral. Mungkinkah ini upaya renovasi idealogi monarki?

Amat membantu sekiranya dapat dipetakan bilakah dan sebabnya rakyat erat dan renggang, yang silih berganti itu dengan rajanya dalam sejarah. Analisis sosiologi tentang pasang surutnya hubungan demikian dapat menyumbang kepada korpus pengetahuan tentang institusi tersebut. Perspektif ekonomi politik mungkin membantu upaya pemetaan pasang-surut demikian dalam situasi raja dan rakyat ‘Berpisah tiada’.

Perolehan kekuatan baharu oleh Raja seperti yang ditunjukkan pengarang menolak argumen beberapa sejarawan kolonial yang telah mengebumikan institusi itu berkali-kali dari masa ke masa.

Perspektif perbandingan dipakai oleh pengarang untuk memerihalkan keadaan di Malaysia dalam konteks pelbagai sistem monarki di negeri terpilih dan perubahan yang dialami monarki di situ. Bahagian ini membantu memahami evolusi monarki Malaysia – persamaan dan perbezaan, malah kekhususannya.

Kebangkitan semula kedudukan sosial dan politik Diraja

Seorang sejarawan Malaysia pada 2011 mengamati bahawa monarki Malaysia mengalami kebangkitan semula kedudukan sosial dan politiknya, lalu menjadi bertambah proaktif dalam ruang sosial dan politik. Menurutnya, dirumuskan bahawa telah terdapat peralihan orientasi institusi monarki Malaysia yang berkecenderungan kearah penolakan model monarki Westminister. Malah, dikatakan monarki Malaysia mirip model monarki Thailand. Sangat memanfaatkan jika kasus Thailand termasuk dalam perspektif perbandingan.

Semua kajian mengandungi persoalan pokoknya. Persoalan pokok buku terdapat pada judulnya, sementara jawapannya tertumpu dalam bab akhir. Atas pertimbangan bahawa belum ‘nampak tanda atau agenda politik untuk menghapuskan institusi raja” serta penyataan pengarang “…kedudukan raja boleh dikatakan masih kuat…”, beliau segera mengemukakan pertanyaan yang kompleks: Bagaimanakah institusi tersebut menyesuaikan diri atau disesuaikan mengikut kehendak perubahan, kemajuan, pemodenan demokrasi keadilan, nilai agama serta adat?

Di tempat lain pula, pengarang berpendapat bahawa memandangkan suasana serta keadaan sekarang, ia mungkin mengambil masa lebih lama di sini daripada negara-negara lain. Dalam nafas sama beliau segera melanjutkan penyataan “… atau mungkin ia tidak berlaku sama sekali”, hal ini menjadi ketentuan sejarah.

Sejarah lampau

Berkaitan sejarah memang manusia membuat sejarahnya sendiri, tetapi mereka tidak membuat sejarah semahu-mahunya mereka. Mereka tidak pula membuat sejarah di bawah kondisi-kondisi yang mereka pilih sendiri, tetapi berdasarkan pada kondisi-kondisi yang telah terberi, tersedia, dan yang merupakan warisan masa lampau. Demikian pendapat sarjana Jerman pada abad ke-19.

Berbicara tentang warisan masa lampau, tradisi dan adat menjadi relevan. Menurut satu pandangan tradisi dan adat adalah rekaan yang tercipta untuk dijadikan cara efektif mengekalkan kekuasaan. Tradisi memberikan kerangka dan dalam kerangka pemikiran manusia untuk bertindak. 

Pengalaman sejarah Zaman Pencerahan Eropah yang ingin menghapuskan tradisi telah gagal, lalu setelah itu sebagai reaksi muncul aliran falsafah konservatisme. Tradisi hanya terhapus apabila terjadi detradisionalisasi masyarakat.

Sebagai contoh, pada Disember 1989, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya melafazkan taat setia kepada Yang Dipertuan Agong di Hat Yai. Tidak berapa lama setelah itu pula Pengerusi Parti Komunis Malaya, Abdullah C.D., kelahiran negeri Perak, menghadap Sultan Perak. Yang pertama itu mungkin tradisi legal, sementara kedua itu adat.

Bersama-sama buku pengarang terbitan 1993, buku ini membekalkan hujah untuk pembaca mencari pendirian politik dan intelektual masing-masing tentang satu institusi ribuan tahun usianya di Nusantara.

Ralat

Satu kesilapan penyuntingan terdapat pada halaman 12, baris 23. Sepatutnya ‘bapa saudara Tengku Ali, Tengku Ismail diangkat menjadi sultan yang baharu’. Kata ‘senario’ pada halaman 52 juga terlepas pandang penyuntingan. Kata ‘sekarang’ sebelum ‘senario’ adalah kontradiksi. Senario bermaksud urutan serta perkembangan yang diramalkan berlaku yang berkaitan waktu mendatang.

Laporan Siri Syarahan Negara Idaman oleh Chandra Muzaffar

Chandra Muzaffar usulkan konsep yang disebut “konsep insan” yang mempertimbang aspek kemuliaan manusia dengan tumpuan terhadap aspek kebertanggungjawaban sebagai seorang warganegara Malaysia—termasuklah tanggungjawab menghargai sejarah negara.

Tarikh: 8 Ogos 2019
Masa: 10.00 pagi – 12.30 tengahari
Tempat: Bilik Mesyuarat IKMAS, UKM
Jumlah Peserta: 20 orang

Pendahuluan

Syarahan Negara Idaman adalah merupakan salah satu program yang dijalankan oleh pihak Naratif Malaysia (NM). Program ini bertujuan untuk merungkaikan persoalan yang menjadi intipati kepada cita-cita Negara Idaman iaitu tentang identiti kebangsaan – siapa dan bagaimana menjadi orang Malaysia. Program syarahan anjuran bersama IKMAS, Naratif Malaysia (NM) dan Penang Institute (PI) ini bakal melibatkan pelbagai tokoh. Untuk siri kali ini pihak penganjur telah berjaya menampilkan seorang sosok intelektual yang tidak asing lagi dalam perbincangan negara-bangsa iaitu Dr. Chandra Muzaffar. Beliau membawa tajuk “Setelah 9 Mei 2018: Masa Depan Bangsa Malaysia”. Malah, menurut saudara Ruhan Shahrir yang merupakan pemudahcara bagi syarahan kali ini, Dr Chandra Muzaffar merupakan seorang sosok intelektual-aktivis memandangkan penglibatan beliau secara aktif dalam organisasi-organisasi bukan kerajaan yang banyak memperjuangkan agenda hak asasi manusia, keadilan sejagat, kebebasan dan perpaduan. Beliau sekarang adalah merupakan Presiden JUST (International Movement for a Just World) yang merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan. Organisasi ini bertujuan untuk membangkitkan kesedaran berpandukan ilmu pengetahuan dan asas intelektual bagi mewujudkan sebuah dunia dengan sistem tatakelola yang adil.

Pengisian Syarahan

Syarahan kali ini dimudahcara oleh saudara Ruhan Shahrir Abdul Halim yang merupakan seorang felo penyelidik di Institut Kajian Etnik (KITA) UKM. Beliau memulakan majlis dengan memperkenalkan kepada para hadirin tentang latar belakang penceramah pada kali ini yang bukan sahaja seorang bekas ahli akademik di USM dan UM bahkan pernah bertanding dalam pilihan raya umum tahun 1999 di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak mewakili Parti Keadilan Rakyat. Beliau juga sempat berkongsi tentang salah satu karya Dr Chandra yang berupaya memberikan kesan dalam membentuk pandangannya terutama dalam membincangkan perkembangan Islam di Malaysia iaitu buku yang berjudul “Islamic Resurgence in Malaysia”. Kemudian, moderator memberikan peluang kepada Pengarah IKMAS, Profesor Dr. Sufian Jusoh untuk memberikan kata-kata aluan seterusnya merasmikan majlis syarahan pada hari tersebut. Beliau menzahirkan rasa bersyukur atas inisiatif yang dijalankan serta dalam masa yang sama mengalu-alukan kedatangan Dr. Chandra Muzaffar selaku tetamu istimewa pada program tersebut.

Syarahan Negara Idaman dimulakan oleh Dr Chandra dengan beliau terlebih dahulu memberikan penghargaan kepada pihak penganjur kerana menjemput beliau untuk membincangkan sebuah tajuk yang sehingga hari ini belum mampu diselesaikan secara tuntas dalam negara masyarakat majmuk di Malaysia. Oleh sebab itu, beliau menyatakan mana-mana perbincangan tentang Bangsa Malaysia dalam konteks perpaduan dan keharmonian adalah merupakan tajuk yang begitu dekat dengan hati sanubari beliau memandangkan ianya adalah sebahagian daripada perjuangan beliau selama ini. Hal ini boleh kita lihat menerusi usaha beliau samada melalui idea-idea yang dicurahkan dalam bentuk penulisan serta penglibatan dalam organisasi masyarakat warga (civil society) yang bertujuan untuk merealisasi cita-cita perpaduan dan keharmonian masyarakat di Malaysia.

Perbahasan tentang persoalan Bangsa Malaysia mula dibincangkan secara lebih serius terutamanya pada era Perdana Menteri Keempat apabila beliau telah meletakkan idea Bangsa Malaysia sebagai salah satu daripada sembilan cabaran yang perlu digalas dalam Wawasan 2020. Agenda pemodenan Malaysia yang ingin dicapai melalui Wawasan 2020 mempunyai dua tujuan iaitu tujuan dari sudut ekonomi melalui program industrialisasi dan tujuan dari sudut politik melalui idea tentang Bangsa Malaysia – identiti kebangsaan yang sepunya bagi rakyat Malaysia. Namun, apa yang menjadi masalah tentang idea Bangsa Malaysia dalam Wawasan 2020 ini adalah ketiadaan perincian tentang bagaimana bentuk atau model Bangsa Malaysia yang ingin dicapai. Hal ini menyebabkan apabila idea Bangsa Malaysia yang sifatnya masih terlalu umum dilontarkan ke dalam minda masyarakat khususnya dalam perbincangan ruang awam, telah menghasilkan pelbagai tafsiran tentang konsep Bangsa Malaysia dalam kalangan masyarakat.

Dalam syarahan kali ini, Dr. Chandra hanya memfokuskan kepada dua tafsiran yang muncul dalam dua kelompok utama rakyat Malaysia iaitu tafsiran daripada kelompok Melayu dan kelompok bukan Melayu. Pendekatan yang diambil oleh Dr Chandra dalam menghuraikan dua tafsiran ini adalah dengan menggunakan kaedah “historical sociology” yang melihat sesebuah fenomena sosial dalam hubungan pembentukannya dengan faktor sejarah. Tafsiran terhadap konsep Bangsa Malaysia yang pertama adalah tafsiran yang muncul dalam kelompok bukan Melayu. Konsep Bangsa Malaysia yang dilancarkan pada tahun 1991 boleh kita andaikan disambut baik oleh kelompok bukan Melayu apabila menunjukkan pola sokongan yang baik dalam keputusan pilihan raya umum 1995 kepada kerajaan Barisan Nasional yang memerintah waktu itu.  Hal ini menurut Dr. Chandra adalah kerana kelompok ini melihat gagasan ataupun idea tentang Bangsa Malaysia yang ingin diwujudkan sebagai suatu usaha yang berupaya untuk membuka jalan kepada pelaksanaan agenda kesamarataan kepada seluruh rakyat Malaysia. Bagi kelompok ini, mereka merasakan persoalan kedudukan istimewa orang Melayu, Bahasa Melayu dan agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan telah menjadi penghalang selama ini kepada idea kesamarataan.

Menerusi ulasan yang disampaikan oleh Dr. Chandra, tafsiran yang diberikan oleh kelompok ini ada kebenarannya juga, namun pendekatan yang diambil oleh mereka dalam beberapa keadaan agak bermasalah kerana tidak mengambilkira faktor realiti di lapangan yang berbeza-beza dan tidak menghubungkan permasalahan realiti hari ini dengan proses sejarah pembentukannya yang panjang. Sebagai contoh dari sudut sosioekonomi, beliau membayangkan dua situasi yang berbeza di antara golongan miskin (B40) di pedalaman Sarawak dengan golongan kelas menengah atasan di Selangor memerlukan dua pelaksanaan polisi yang berbeza dengan mengambilkira faktor persekitaran masing-masing yang juga turut berbeza. Hal inilah yang membawa kepada hujah beliau tentang idea kesamarataan yang diperjuangkan oleh kelompok bukan Melayu tadi sangat berkait rapat dengan soal keadilan supaya setiap kelompok masyarakat mendapat layanan yang setimpal dan mampu menyelesaikan masalah dunia sosial mereka. Dari sudut sosiobudaya pula, Dr. Chandra membangkitkan tentang persoalan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang diutamakan mengatasi bahasa-bahasa lain yang wujud di Malaysia terutamanya Bahasa Cina dan Tamil. Menurut beliau, inilah yang dikatakan pendekatan mereka yang agak bermasalah kerana tidak mengambilkira konteks khususnya dari aspek sejarah dan perkembangan sejarah yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantara (lingua franca) di benua nusantara ini.

Manakala, tafsiran terhadap konsep Bangsa Malaysia yang kedua adalah yang datang daripada pandangan kelompok orang Melayu. Menurut Dr. Chandra, terdapat sebahagian daripada kelompok orang Melayu ini yang merasakan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Melayu atau dalam istilah sejarahnya sebagai Tanah Melayu. Dalam menghuraikan tafsiran yang kedua ini, beliau berpandangan bahawa ianya juga adalah agak bermasalah khususnya dalam rangka untuk mencapainya kerana tidak melihat dengan serius kepada proses pensejarahan terutamanya sejarah bagaimana kemasukan kelompok bukan Melayu ke dalam Tanah Melayu yang kemudiannya adalah Malaysia. Malahan, beliau juga sempat menyinggung Bangsa Melayu sebagai bangsa yang rugi kerana perjuangan nasionalisme Melayu dalam sejarah ternyata tidak berupaya untuk mewujudkan negara Melayu sebagaimana yang berlaku di negara-negara lain seperti Indonesia. Natijahnya, yang wujud adalah negara Malaysia yang sifatnya pelbagai kaum di mana bangsa Melayu turut termasuk menjadi kaum Melayu daripada pelbagai kaum yang wujud di Malaysia. Dari aspek sejarah kemasukan bukan Melayu tadi, beliau membahagikan sejarah tersebut kepada dua tempoh masa iaitu sebelum kemasukan penjajah dan selepas kemasukan penjajah. Semasa tempoh sebelum kemasukan penjajah, penghijrahan dan proses mastautin yang berlaku adalah secara semulajadi (natural migration) yang tidak membawa masalah-masalah yang besar kepada masyarakat setempat pada masa itu memandangkan jumlah peratusannya juga yang agak kecil. Namun, yang menjadi masalah adalah pada tempoh selepas kemasukan penjajah kerana proses yang berlaku bukan lagi proses yang disebut natural migration. Menurut beliau, ada dua sebab kenapa proses ini bermasalah adalah kerana peratusan migrasi yang besar dan peranan kepimpinan peribumi yang tidak berupaya menghalang keputusan penjajah yang bertindak mengawal penuh terhadap proses migrasi ini.

Bagi pandangan Dr. Chandra, dua tafsiran yang dibentangkan ini adalah merupakan antara penghalang kepada perpaduan nasional yang ingin dicapai. Di akhir sesi syarahan kali ini, beliau telah mengusulkan suatu jalan penyelesaian kepada masalah yang telah dibincangkan iaitu melalui jalan perlembagaan dan pendidikan. Di antara rahmat atau keberuntungan yang besar bagi Malaysia adalah pada struktur perlembagaan Malaysia yang telah digubal yang cuba untuk mencantumkan kelompok-kelompok yang ada dalam erti kata ingin mencapai keseimbangan. Sebagai contoh, walaupun Perkara 153 secara jelas menyebut tentang kedudukan orang Melayu dan bumiputera namun dalam masa yang sama turut menetapkan tentang hak bukan Melayu juga akan terjamin. Begitu juga hal dan keadaannya dalam perkara bahasa dan agama. Melalui jalan perlembagaan, aspek yang terpenting di dalamnya adalah tentang aspek kewarganegaraan. Daripada aspek kewarganegaraan kemudiannya akan timbul pula dua hal yang utama iaitu persoalan hak dan persoalan tanggungjawab. Dalam realiti dunia moden pada hari ini, persoalan hak menurut beliau sudah jelas termaktub dalam perlembagaan namun persoalan tentang tanggungjawab masih kurang diberi perhatian untuk diterapkan kepada setiap warganegara. Justeru itu, beliau mengusulkan di hujung sesi suatu konsep yang disebut “konsep insan” dari sudut kemuliaan dan kehormatannya yang harus diberikan pendidikan tentang elemen tanggungjawab sebagai seorang warganegara Malaysia dan salah satu daripadanya adalah tanggungjawab untuk memahami dan menghargai sejarah.

Penutup

Syarahan kali ini disudahi dengan ucapan penutup oleh saudara Ruhan Shahrir yang membuat kesimpulan ringkas terhadap syarahan yang telah disampaikan oleh Dr Chandra. Beliau menegaskan bahawa perbahasan tentang persoalan Bangsa Malaysia adalah merupakan sebuah proses yang akan terus berjalan dan memerlukan penglibatan semua pihak untuk turut sama menjayakannya. Beliau juga turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada para hadirin yang terdiri daripada pelbagai pihak atas kehadiran dan penyertaan yang diberikan sepanjang perbincangan berlangsung.

Melayu, Islam dan Politik: Wawancara bersama Abdullah Zaik

Setiap agama mempunyai batasnya. Persoalannya: apakah negara berhak untuk menentukan batas yang mana dianggapnya telahpun ditetapkan oleh Tuhan? “Tentu sekali,” jawab Abdullah Zaik, Amir ISMA.

Tokoh: Abdullah Zaik Abdul Rahman, Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Pewawancara:
Haris Zuan & Ramze Endut
Tarikh:
17 April 2019
Tempat:
Pejabat ISMA, Bandar Baru Bangi, Selangor

Naratif Malaysia (NM): Sebagai permulaan, elok kami dahulukan dengan pertanyaan mengenai perbezaan kedudukan Muslim di Malaysia antara sebelum PRU14 dengan selepas PRU14.  Menurut Tuan Haji, apakah ada perbezaan?

Abdullah Zaik (AZ): Bismi-llāhi r-rahmāni r-rahīm. Secara umumnya, kita perlu melihat persoalan ini dalam konteks politik kerana setiap perbincangan mengenai PRU tentu sahaja akan berkaitan dengan pilihanraya. Menurut pandangan saya, keadaan Muslim di Malaysia pasca PRU14 adalah lebih mencabar. Ini begitu ketara jika kita renung dalam konteks identiti Muslim di Malaysia. Cabaran ini adalah akibat daripada kesan politik yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada DAP, PKR dan sebagainya, kemudian pakatan ini disokong pula oleh NGO-NGO dan badan-badan antarabangsa. Apa yang ingin saya nyatakan ialah, pakatan ini telah menjurus bentuk negara kita kepada perubahan identiti Malaysia daripada apa yang kita kenal. Selama ini, Malaysia walaupun menerima kerakyatan daripada bukan Melayu, sentiasa menjaga kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan Melayu sebagai identiti kebangsaan di Malaysia. Inilah juga yang tercatat dalam Perlembagaan dan dokumen-dokumen rasmi. Sudah tentu, daripada segi perlaksanaannya, memang terdapat kelemahan di sana sini. Akan tetapi, secara asasnya, perkara ini tidaklah dicabar dan tercabar sepertimana yang sedang kita hadapi dewasa ini. Menurut bacaan saya, perkara ini bukan bermula selepas PRU-14. Malah, ianya sebenarnya berbibit semenjak PRU12 lagi.

NM: Maksudnya, ketika zaman Abdullah Badawi pada tahun 2008?

AZ: Secara ketaranya, memang dikesan pada tahun tersebut. Ia dikesan terbentuk dalam satu gerakan politik, satu force, yang bertujuan untuk mengubah identiti negara kita. Tetapi ramai di kalangan orang politik terperangkap dalam gerakan ini, khususnya daripada Pakatan Rakyat (PR) pada masa tersebut (dan termasuklah orang PAS pada tahun 2008). Mereka teruja apabila melihat kemenangan PR pada waktu itu di enam buah negeri. Kejayaan ini mereka huraikan sebagai hasil daripada politik ekonomi dan sosial (kenaikan harga barang dan kos sara hidup). Namun begitu, menurut saya, hasil politik yang mereka peroleh ini dicagar dengan perubahan identiti negara kita. Saya masih ingat ketika mana saya pergi ke Pejabat PAS bertemu dengan Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan berbahas mengenai perkembangan yang membimbangkan ini. Syed Azman sendiri menghuraikan perubahan ini didorong oleh factor politik ekonomi dan sosial. Bagi mereka, rakyat mengubah kerajaan disebabkan oleh desakan ekonomi semata-mata. Pada masa itu, saya tegaskan bukanlah itu faktornya. Sebaliknya, faktor utama ialah terdapat kumpulan-kumpulan tertentu yang mahu mengubah identiti negara kita. Dalam kata lain, gerakan ini mahu mengubah daripada negara Melayu-Islam kepada negara demokrasi liberal.

NM: Kumpulan-kumpulan ini merujuk kepada siapa?

AZ: Kalau diperhatikan pada masa tersebut, terdapat DAP, PKR dan PAS. Mereka ini adalha gabungan yang terdapat dalam PR. Mungkin pada masa tersebut, ketika awal-awal, gabungan ini tidak menyedari bibit-bibit mencabar identiti negara ini. Akan tetapi, kemudiannya mereka sedar terdapat bahang ini. Kesedaran ini diperoleh apabila NGO-NGO seperti Comango, IRF, Komas, dan beberapa lagi badan dan media massa yang ditaja oleh pihak luar dengan membawa agenda yang mencabar identiti negara kita. Sebagai contoh, kita dapat lihat seruan daripada kumpulan-kumpulan ini yang mengumandangkan hasrat negara warga (civil state) yang tidak ada kaitan dengan Melayu-Islam sebagai teras kepada identiti kebangsaan.

NM: Kalau benar renungan ini, maka apa masalahnya jika kita menerima perubahan identiti ini? Bukankah konsep masyarakat warga (civil society) itu baik?

AZ: Tidak. Sebabnya, setiap perubahan identiti boleh memberi penafsiran bahawa orang Melayu sudah tidak ada pegangan identiti ke atas tanahairnya sendiri. Sebagaimana saya selalu sebut:  Orang India ada negara India, orang Cina ada Tanah Besar China manakala orang Arab ada negara Arab. Dengan berlaku perubahan ini, orang Melayu akan kehilangan tanahairnya. Dalam kata lain, tiidak ada lagi Tanah Melayu. Ini sama sekali tidak boleh diterima. Jadi, kalau diterima konsep negara warga atau masyarakat warga, maka semua orang akan dianggap sebagai sama. Sekali lagi, ini sama sekali tidak boleh diterima.

NM: Sebelum ini Tuan Haji ada menyebut mengenai usaha untuk mengubah negara yang berkonsepkan Melayu Islam kepada demokrasi liberal. Bolehkah huraikan sedikit apa yang dimaksudkan dengan negara Melayu-Islam itu dan juga apa yang dimaksudkan dengan negara liberal demokrasi?

AZ: Kalau kita pergi ke United Kingdom (UK) atau mana-mana negara, setiap negara tersebut ada identitinya yang tersendiri. Memang benar, bahawa setiap negara adalah pelbagai kaum dan etnik. Akan tetapi, setiap negara tersebut tetap mempunyai identiti terasnya. Misalnya, dalam Perlembagaan kita mencatatkan bahawa budaya negara ini adalah Melayu, agamanya Islam dan bahasanya Melayu. Jadi, itu adalah identiti kita. Ini bermakna bahawa kalau kita melihat Malaysia sebelum merdeka, dari segi sejarahnya, maka jelas sekali bahawa bumi ini adalah Tanah Melayu.  Sebab itu, Tanah Melayu patutnya menjadi kekal menjadi Tanah Melayu sampai bila-bila. Jika ada orang lain mahu tinggal di negara ini, sama ada menjadi rakyat ataupun pemaustautin, itu bukanlah suaut masalah. Asalnya, identiti negara kita sebagai Tanah Melayu mestilah dikekalkan sampai bila-bilapun. Kerana itu, mesti ada peruntukan dalam Perlembagaan yang wajib dihormati oleh semua. Peruntukan ini bertujuan untuk memastikan ketinggian syiar dan syariat Islam, melindungi hak-hak orang Melayu, menjaga kedudukan Raja-raja, mempertahankan tanah-tanah rizab dan sebagainya. Selain itu, peruntukan ini juga perlu menegakkan perlambangan-perlambangan kemelayuan, sesuai bahawa ini adalah Tanah Melayu. Kalau kita perasan, orang-orang bukan-Melayu yang dating ke Tanah Melayu, mereka ini membuka perkampungan mereka seperti kampong Cina dan sebagainya. Bagi saya, ini semua hanya mempamerkan perlambangan bukan Melayu. Dalam perjalanan masa, keadaan ini perlahan-lahan akan mengubah identiti negara kita. Bayangkan, bila orang asing datang ke negara kita, mesti mereka rasa terperdaya dengan terdetik sebagai berkata “ingatkan orang Melayu, bahasa Melayu, tanah Melayu, rupa-rupanya bukan.” Jika ini berlaku, maka kita telahpun mengubah identiti negara kita yang asal.

NM: Tetapi, apakah ada perubahan perlembagaan mengenai kedudukan orang Melayu setelah PRU14? Setakat ini kita tidak nampak lagi bagaimana kandungan Perlembagaan itu boleh berubah identiti negara kita. Jadi, apa sebenarnya yang dikatakan perubahan itu?

AZ: Kita perlu membaca dua lapis. Sebenarnya, sedang ada gerakan ke arah perubahan tersebut. Usah ke arah itu sedang berlaku. Ini dapat kita semak menerusi kenyataan-kenyataan atau dasar-dasar kerajaan yang tidak lagi mengambil kira kedudukan orang Melayu. Contoh, dahulu kita kata ada system kuota dalam perumahan, perniagaan, pendidikan dan sebagainya.  Namun, hal-hal ini mulai digugat akhir-akhir ini. Begitu juga kerajaan mahu mengiktiraf UEC sekaligus akan membelakangkan SPM. Apa yang berlaku di Pulau Pinang, perarakan Gospel, lambing salib gergasi pada menara, tulisan Jawi yang dicabar, cubaan untuk meratifikasi ICERD dan banyak lagi. Tidakkah ini terang lagi benderang? Bukti apa lagi yang kita mahu?

NM: Saya agak tertarik bila anda ada menyebut berkenaan ‘tanahair adalah milik Melayu’. Tetapi seperti yang mungkin kita telahpun sedia maklum bahawa ketika zaman pra-kemerdekaan memang terdapat perbincangan tentang apa itu Melayu. Malah, ketika waktu tersebut ada usul bahawa konsep Melayu merangkumi kaum-kaum lain. Bahkan, pada hari ini, konsep Melayu di Malaysia setidak-tidaknya dibuka kepada suku-suku seperti Banjar, Minang, Jawa, hatta orang Arab sendiri pun kita anggap sebagai Melayu. Jadi, bukankah menganjurkan idea Melayu yang terangkum itu sesuatu yang baik?

AZ: Tiada masalah. Bahkan itu kita sokong. Pada pandangan saya kita sokong mafhum ini, malahan kita anggap ianya sebagai suatu pencapaian yang membanggakan. Tetapi apa yang sedang berlaku sekarang ialah percubaan untuk menjadikan Melayu sebagai etnik, bukan lagi sebagai identiti kebangsaan. Itu butiran penting saya sejak daritadi. Identiti kebangsaan itu mestilah Melayu. Ini bermakna, sesiapa yang bernaung di bawah wilayah kekuasaan di negara ini maka adalah Melayu. Boleh bercakap Melayu, beragama Islam, beradat Melayu—lantas mereka adalah Melayu.

NM: Sepertinya ada perbezaan nada di sini?

AZ: Tidak ada beza. Apa yang ingin saya tegaskan ialah, memangpun satu pencapaian yang telah diusahakan terdahulu hingga sampai satu tahap, Melayu ini menjadi identiti kebangsaan. Maksudnya, kita ada banyak etnik. Bahkan, kita bukan ada Melayu Malaysia sahaja, sebaliknya kita ada Melayu Brunei, Melayu Patani, Melayu Singapura, semua sekali. Pokoknya, kita ada banyak etnik. Setiap etnik ada budaya, ada loghatnya yang khusus. Tetapi kita telah berjaya menjadikan Melayu sebagai medium penyatu kepada semua etnik. Malahan, idea Melayu ini juga menjadi alat penyebaran agama Islam. Ini bermakna, mereka yang mahu belajar Islam, daripada Filipina, daripada Champa, atau daripada mana-mana tempat sekalipun, hendaklah belajar Islam menerusi bahasa Melayu. Jadi, bahasa Melayu telah menjadi bahasa agama Islam yang bertindak sebagai medium penyatu kepada ummah. Tapi hari ini, mafhum ini hendak dinafikan dan dihapuskan. Lebih daripada itu, Melayu hanya diletakkan sebagai satu etnik, walaupun dalam perlembagaan masih tercatat keistimewaan-keistimewaannya. Jika ini berterusan, maka akhirnya Melayu bukan lagi menjadi identiti kebangsaan yang sebelum ini kita telahpun sepakati.

NM: Akan tetapi, bukankah agama dan etnik dua perkara yang berbeza? Dengan meletakkan agama dalam batasan etnik, bukankah itu akan menjadikan agama bersifat khusus? Sedangkan, seperti yang kita tahu, bahawa agama secara tabiinya adalah bersifat sejagat. Apakah wajar kita mempertimbangkan kemungkinan Melayu mesti dipisahkan daripada agama? Ini kerana, memang terdapat Melayu yang bukan Islam sekurang-kurangnya di luar negara kita.

AZ: Dalam perlembagaan kita, kita ada dua. Apabila disebut Melayu, maka perlembangaan menakrifkan Melayu sebagai etnik. Mereka tidak beragama Islam pun boleh terima takrif ini. Tetapi mereka yang bukan dari susur galur Melayu, mana boleh menjadi Melayu.

NM: Tetapi, bukankah manusia mengalami proses asimilisasi? Melayu juga terbentuk daripada perbauran sejarah.

AZ: Asimilisasi. Memang, boleh membentuk kepada apa yang kita namakan sebagai Melayu. Sejarah sebagai buktinya. Dalam istilah lain, ianya dinamakan sebagai transformasi bangsa. Mesir dan Qibti adalah contoh yang ketara. Apabila tentera-tentera daripada Semenanjung Arab membuka Mesir, lalu berkahwin dan beranak-pinak, orang Mesir mulai bercakap Arab dan beragama Islam. Lalu orang Mesir menjadi Arab. Hal yang sama juga berlaku di Afrika. Jadi, Mesir sekarang ini menjadi Republik Arab Mesir. Dalam konteks ini Qibti, menurut saya, ibaratnya Bumiputera di Malaysia ini.

NM: Ada beberapa pendekatan transformasi bangsa. Salah satunya adalah asimilasi. Namun, selain daripada itu ada juga integrasi, yang mana pendekatan integrasi tampaknya lebih harmoni dan demokratik berbanding asimilasi yang cenderung bersifat paksaan. Apa ulasan anda?

AZ: Kita ada dua pilihan. Bagi saya, asimilasi—seperti di Mesir dan Malaysia tersebut—bukannya paksaan. Ini kerana komuniti asal memeluk Islam secara sukarela. Sebaliknya, pendekatan paksaan ini macam di Indonesia atau Thailand. Paksaan, bermakna terdapat tekanan kepada semua orang untuk menggunakan satu Bahasa, termasuk dalam soal nama, percakapan awam dan sebagainya. Akan tetapi, dalam konteks yang saya sebutkan sebelumnya, sama sekali tidak berlaku paksaan. Orang itu [Mesir] bila masuk Islam, mereka masih lagi boleh bercakap bahasa ibunda mereka, mereka masih lagi mengamalkan adat mereka—hanya sahaja mereka masuk Islam sahaja. Dalam konteks kita, apabila kita bercakap bahasa Melayu pun, itu bukanlah bermakna kita tidak boleh bercakap menggunakan Bahasa lain. Malangnya, ini tidak berlaku di selatan Thailand. Begitu juga di Indonesia. Apa yang berlaku di sana adalah jelas sekali bersifat paksaan Nampak perbezaan dengan contoh Mesir tadi?

NM: Jadi, benarkah Malaysia mengamalkan pendekatan integrasi?

Baik, berbalik kepada integrasi. Menurut saya, di Malaysia tidak ada integrasi. Lebih tepat lagi, kita tidak ada dasar integrasi. Apa yang berlaku selama ini adalah integrasi politik. Maknanya, tokoh-tokoh kemerdekaan Malaya bersatu pada asas pembahagian kerusi dalam Parlimen, portfolio dalam Kementerian dan tugas-tugas dalam kehidupan masyarakat. Semua ini dibahagi-bahagikan antara mereka. Tetapi apakah berlaku integrasi? Tidak berlaku integrasi. Tidak ada dasar integrasi. Masalah ini yang berterusan sampai sekarang. Jika ini berpanjangan, maka sampai satu ketika nanti akan ada satu bangsa yang mahu menguasai bangsa yang lain—bahasa, pendidikan, pemikiran dan segalanya. Walaupun kita bercakap tentang keterbukaan dan semangat liberal demokratik, tetapi tidak sepatutnya identiti yang menjadi pertaruhan. Malangnya, apabila tidak jelas identiti, ataupun tidak dikuatkuasakan tentang identiti, jadi semua bangsa menganggap ini adalah negara asalnya. Sudahnya, Tanah Melayu tidak akan lagi menjadi bukan tanah orang Melayu. Bau-bau kepada idea ini sudah dapat dihidu. Kita dapat hidu menerusi slogan-slogan yang manis serta muncul melalui penghinaan terhadap bangsa Melayu, agama Islam dan Raja-raja Melayu. Semua ini menjadi ketara kerana ada satu bangsa yang menganggap diri mereka sebagai superior. Jadi, sebab itu saya tegaskan bahawa pendekatan integrase memang tidak berlaku di Malaysia. Kalau berlaku, kenapa ancaman terhadap bangsa asal masih lagi berterusan? Soalan tanpa jawapan inilah yang makin mengesahkan lagi telahan saya.

NM: Tuan Haji ada sebut bahawa integrasi hanya berlaku di peringkat politik semata-mata. Akan tetapi, tidak berlaku dalam masyarakat Malaysia, secara umumnya. Oleh kerana kita bercakap tentang politik ini, maka bagaimana pula kedudukan yang sewajarnya untuk memposisikan Melayu dan bukan Melayu dalam politik? Apa model terbaik?

AZ: Bagi saya, model Islam adalah pilihan terbaik. Sebab Islam, kita akhirnya mengiktiraf agama dan budaya bangsa lain. Sekarang ini, apabila kita pergi pada format negara liberal demokratik, kita sebenarnya sedang melakukan usaha yang mustahil—usaha untuk menghapuskan perbezaan dari segi agama dan bangsa. Usaha ini seolah-olah kita mahu jadikan Cina sebagai bukan lagi Cina, India sebagai bukan lagi India dan Melayu sebagai bukan lagi Melayu. Mustahil! Kita mesti kembali kepada realiti dan terima hakikat. Dewasa ini, realiti sebenar dan hakikat nyata ialah persaingan dan perebutan. Setiap kaum bergeser demi kepentingan setiap kaum tersebut.

NM: Sebagai model terbaik, bagaimana model Islam menyelesaikan keadaan ini?

AZ: Model Islam itu maksudnya model yang pernah dilaksanakan di Madinah pada zaman Nabi Muhammad saw. Itu sebenarnya model yang dibangunkan dalam semangat “unity in diversity.” Namun, semangat kesatuan dalam kepelbagaian yang kita cuba lakukan selama ini amat melampau, sehingga ke tahap memaksa dan terlalu bebas tanpa kawalan.

NM: Maksudnya, sehingga sekarang ini? Di Malaysia ini?

AZ: Sekarang ini memang hendak dihapuskan perbezaan. Sebelum ini, walaupun kita kata baik dalam “unity in diversity” tetapi kita mengiktiraf perbezaan di antara kaum. Pokoknya, kita iktiraf dan terima. Masing-masing dapat hidup dengan cara tersendiri. Tetapi apa yang berlaku mutakhir ini adalah amat tidak terkawal. Tetapi berbalik pada model Islam yang diajukan tersebut, mak model masyarakat tersebut diselia oleh Islam. Kelebihan model Islam ini ialah ianya tidak mematikan bahasa, budaya dan amalan kaum lain. Semua ini diakui dan dibenarkan. Dalam kata lain, model Islam berupaya memilihara kebebasan agama, budaya dan bangsa. Tetapi apa yang berlaku sekarang ini, daripada apa yang kita lihat hari ini, seolah-olah wujudnya negara dalam negara. Sistem pendidikan perlahan-lahan mula meninggalkan dasar-dasar kebangsaan. Jadi, menurut saya, ini adalah melampaui batas. Sudah keterlaluan.

NM: Tadi ada disebutkan betapa model negara Islam dapat memelihara kebebasan agama, budaya dan bangsa. Tetapi, bukankah semangat yang sama ini juga dipertahankan dalam negara warga (civil state) juga—di mana setiap orang ada hak masing-masing untuk mempertahankan identiti mereka, termasuk kepada golongan minoriti sekalipun.

AZ: Sebenarnya, negara warga suatu konsep yang tidak jujur. Sebab itu, Islam adalah agama yang lebih menyeluruh. Kita biasa dengar bahawa agama Islam adalah bersifat syumul. Sifatnya ini adalh mutlak. Islam bukan hubungan peribadi kita dengan Tuhan sepertimana yang dipegang oleh negara warga. Ini kerana, agama menurut negara warga hanyalah sangkaan-sangkaan, bukan satu hakikat yang betul. Dalam konteks ini, memang negara warga akan letakkan agama sebagai anggapan dalam batasa individu sahaja. Lebih mendukacitakan lagi, keadaan ini semakin parah apabila ada dalam kalangan mereka yang berbangsa Melayu berani mencabar kuasa Tuhan, seolah-olah Tuhan hanya sekadar suatu getaran semata-mata. Itulah tahap iman golongan tersebut. Tapi itulah tanggapannya. Kalau itulah mafhumnya dalam menjaga agama dan dalam makna kebebasan beragama, sudah pasti amat tidak sesuailah dengan Islam. Mafhum itu tidak sesuai dengan Islam. Ini kerana Islam adalah agama yang menyeluruh. Bila kita kata menghormati ataupun menjaga agama Islam, makna mestilah tegakkan panjinya dan benarkan Islam berdaulat. Dalam konteks ini, Islam mestilah menjadi identiti negara kita. Sekarang ada golongan yang hendak buang Islam daripada identiti negara. Jadi di mana kita boleh harapkan mereka untuk menjaga Islam? Sama sekali tidak mungkin, seperti “harapkan pegar makan padi.”

NM: Jika itu pendapatnya, maka bagaimana kita dapat menangani kumpulan minoriti ini? Adakah kita patut pergi kepada kebebasan dengan benarkan mereka berpendapat dan melakukan kegiatan dalam ruang awam? Yakni, dengan ini, kita juga akhirnya perlu berhujah secara rasional dengan mereka? Atau, kita mesti menutup sebarang ruang kepada demokrasi kerana ianya boleh mengancam status quo? Apa pandangan Tuan Haji dalam hal ini?

AZ: Dalam konteks Islam, ruang perdebatan, perbincangan dan perbahasan adalah luas. Tidak timbul tuduhan berlaku kekangan terhadap minoriti. Dalam Islam pun, ada berbelas-belas mazhab, di mana yang masyhurnya terdapat empat. Boleh jadi lima kalau dimasukkan Jabariyyah. Tetapi kalau kita pergi kepada mazhab yang lebih banyak, boleh sampai berbelas-belas. Itu mazhab sahaja. Dan kalau kita tengok amalan dalam Islam, lagi berencam: Baca Al-Fatihah— ada yang baca keras, ada yang lembut; ada tangan macam itu, ada tangan macam ini. Ruang perbezaan sememangnya luas di dalam Islam. Tetapi sebenarnya, kalau kebebasan itu dalam tujuan untuk mencari kebaikan, keadilan dan kebenaran, bagi saya itu tidak ada had. Malah, digalakkan dalam konteks Islam. Cuma dalam konteks dewasa ini, kebebasan ini digunakan secara tidak jujur. Sebagai contohnya LGBT. Untuk pastikan kita betul-betul bebas, terbuka, moderate, maka kononnya kita kena selesa dengan LGBT. Itu baru bebas. Maknanya kita kena terima benda maksiat dan mungkar sebagai suatu yang normal. Ini sama sekali bukannya membawa maslahat. Sebaliknya, ia membawa mafsadat. Apa yang kita cari dalam bernegara ialah rahmat, bukannya bala.

NM: Kalau kebebasan ada batasnya, maka bagaimana kita hendak menggariskan batas kebebasan tersebut?

AZ: Sebagai contoh, kita selalu sebut “ikra’ hafidin”, tidak ada paksaan dalam beragama. Ini bererti kita tidak boleh memaksa orang untuk mengucap dua kalimah syahadah. Jadi, ini adalah kebebasan yang dianjurkan oleh Islam. Dalam amalan-amalan yang dibenarkan oleh agama mereka, maka kita mesti benarkan mereka melakukan amalan-amalan tersebut. Mahu minum arak dalam rumah mereka? Kita benarkan. Mahu melakukan maksiat dalam rumah mereka? Kita benarkan. Akan tetapi, dalam konteks orang Islam pula, setiap daripada kita mestilah taat dan patuh kepada ajaran Islam kerana kita telahpun berikrar dengan Islam. Sekiranya kita sebagai Muslim melanggar ikrar dengan Islam, maka itu bukan lagi kebebasan. Di sini kita dapat lihat betapa indahnya kebebasan dalam Islam.

NM: Maksudnya. untuk orang Islam, dosa dan pahala adalah pembatasnya?

AZ: Benar, batas yang ditetapkan olehAllah swt ialah sempadan haram dan halal. Jadi, selama dia mengucap dua kalimah syahadah dan mengaku Islam, maka dia mesti guna ruang yang telahpun ditetapkan oleh Allah swt.

NM: Jadi, apakah negara berhak untuk menentukan batas yang mana dianggapnya telahpun ditetapkan oleh Tuhan?

AZ: Tentu sekali.

NM: Tetapi, itukan tidak konsisten dengan amalan kita sejak merdeka lagi. Sebagai contoh, kita tidak membuat undang-undang yang memaksa perempuan memakai tudung, walhal, kalau menurut Islam (atau versi Islam tertentu) itu berdosa juga? Adakah ini tidak konsisten dengan apa yang Tuan Haji cuba sampaikan?

AZ: Sebenarnya, dalam Islam pun dia ada tahap-tahap dalam melakukan tindakan: ada tindakan dalam bentuk perundangan, ada tindakan dalam bentuk dakwah, ada tindakan dalam bentuk nasihat, ada tindakan dalam bentuk amar makruf nahi mungkar dan sebagainya. Jadi, ada pelbagai ruang tindakan. Justeru itu, kalau terdapat kesalahan yang belum sampai tahap dihukum, maka mereka tidak dihukum. Tetapi, kalau kesalahan itu sampai tahap dihukum, maka mereka dihukum. Maksudnya, pasal tudung tadi— [kita perlu] memahami realiti itu sendiri. Kita kena lihat semua segi: kefahaman, penghayatan, persekitaran yang membentuk kepada kesalahan tersebut. Dalam kata lain, kita tidak boleh force dia dengan hukuman. Mungkin kita boleh bagi nasihat, teguran, dakwah. Lakukan tindakan ini dahulu.

NM: Kenapa persoalan tudung ini dibangkitkan kerana seolah-olah ada kecenderungan khalayak untuk bertudung. Kecenderungan ini sampai memaksa kepada kewujudan stigma yang membahagikan kelompok yang bertudung dengan yang tidak bertudung. Adakah ini wajar?

AZ: Sebarang kecenderungan untuk menormalisasikan tidak bertudung adalah tidak boleh dibenarkan. Sebab itu, sebarang percubaan untuk menormalisasikan hal tersebut kita tidak boleh terima. Adapun berdakwah kepada mereka, terangkan kepada mereka, membantu mereka, itu ibaratnya macam tudung juga. Kita berusaha untuk mengeluarkan mereka daripada lembah kegelapan. Akan tetapi, kalau mereka berkeras untuk menuntut normalisasi kepada tidak bertudung, maka itu tidak boleh. Malah, agama mana pun tidak menerimanya sebagai suatu yang normal.

NM: Adakah “mereka” ini termasuk dalam konteks suatu gerakan kumpulan?

AZ: Mereka yang saya maksudkan ialah suatu gerakan berkelompok, yang mahukan hak undang-undang diberi kepada mereka, sehingga mengiktiraf segala tindakan sekular mereka sebagai normal.

NM: Maka, kita perlu halang mereka?

 AZ: Benar, mesti dihalang. Takkan kita boleh terima perkahwinan lelaki dengan lelaki. Mahu huru-hara sistem kekeluargaan Islam. Jadi apa yang kita perjuangkan sebenarnya adalah untuk kesejahteraan masyarakat itu sendiri. Kita sama sekali takkan benarkan ada manusia yang berkahwin dengan binatang, akad nikah dengan anjing, berkahwin dengan pokok dan sebagainya. Ini akan jadi huru-hara. Betul tidak? Kita cakap umum memang senang, tetapi cuba tengok berlaku pada keluarga masing-masing. Baru kita tahu betapa Islam merupakan suatu ajaran yang memang memandang masa hadapan, yang dapat mencegah sebelum mafsadah dan bala datang kepada kita.

NM: Kami tertarik bilamana Tuan Haji menyebut mengenai normalisasi sesuatu yang bercanggah dengan agama. Tetapi, bukankah suatu normalisasi itu sebenarnya ditentukan oleh masyarakat? Dalam hal ini, agama kadang-kala tidak menjadi piawaian sosial. Justeru itu, pendekatan beragama di Malaysia sudah tentu akan berbeza dengan pendekatan beragama di negara-negara lain lantaran corak persekitaran beragama sangat dipengaruhi oleh faktor sosial setempat. Keadaan pastinya akan mewujudkan norma yang berbeza antara kelompok Muslim mengikut persekitaran masing-masing. Jadi, bagaimana kita hendak menyatakan bahawa normalisasi ini bersifat mutlak, sepertimana Islam itu sendiri? Contohnya, adalah tidak normal untuk perempuan di Sudan memakai seluar. Bahkah undang-undang mereka tidak membenarkan perempuan memakai seluar kerana dianggap sebagai menyerupai lelaki. Norma ini ditentukan oleh masyarakat, bukannya agama.

AZ: Kadang-kala kita kena bezakan antara pandangan masyarakat dengan pandangan agama. Tadi itu apa yang disebut pandangan masyarakat dalam perihal normalisasi adalah merujuk kepada kebarangkalian bahawa agama ini sudah menjadi adat setempat. Jadi kadang-kadang agma bercampur dengan budaya. Dalam konteks ini, agama adalah budaya manakala budaya adalah agama.

NM: Maknanya, Tuan Haji bersetuju bahawa normalisasi juga boleh ditentukan oleh budaya?

AZ: Dari satu segi, saya bersetuju. Kita tengok di beberapa negara Arab di mana banyak yang diaplikasikan itu adalah budaya, bukannya agama. Begitu juga di Arab Saudi, di mana pada suatu masa dahulu perempuan tidak dibenarkan memandu kereta. Itu tentu sekali bukannya berasaskan agama meskipun ada hujah agama dari kalangan ulama mereka yang memperkukuhkan perkara tersebut. Sebab itu di Malaysia ini, kita lebih terbuka daripada kebanyakan negara Timur Tengah. Kita dalam banyak hal adalah lebih cenderung melihat sesuatu perkembangan dalam masyarakat berasaskan budaya, berbanding agama.

NM: Akan tetapi, mereka yang cuba mencabar normalisasi ini akan berdepan dengan stigma, kononnya mencabar status quo agama?

AZ: Ada dua masalah yang perlu kita bezakan di sini. Yang pertama, seruan kepada liberalisasi. Yang kedua berkenaan normalisasi. Bagi saya, liberalisasi adalah agenda luar, agenda asing, yang mempunyai maksud yang tidak baik.

NM: Liberalisasi?

AZ: Liberalisasi, benar. Liberalisasi ini perlu dihadapi dengan baik-baik kerana ianya bukan sekadar untuk mengubah budaya, paradigm dan norma, akan tetapi ianya mengandungi agenda tersembunyi untuk mengugat umat Islam. Sebab itu liberalisasi—mengikut acuan Barat—itu kita tidak terima.

NM: Boleh huraikan sedikit liberalisasi acuan Barat?

AZ: Ini perbincangan besar. Liberalisasi acuan adalah barang yang diimport dari Barat dengan Cuma menjadikan suatu idea sebagai bersifat sejagat. Ini kita namakan sebagai pembaratan yang dilakukan menerusi globalisasi, modenisasi dan sebagainya. Sebab itu bila kita cakap ‘moden’, dalam kepala kita muncul perkataan Barat. Moden itu maknanya merekalah: Barat!

NM: Maknanya, moden merupakan suatu pandangan-alam (worldview) terhadap dunia? Moden adalah bingkai.

AZ: Benar. Bingkai. Jadi, melalui pembaratan, nilai liberalisasi dapat diterapkan. Maknanya Barat memaksa liberalisme itu kepada dunia lain. Sebab itu kita berdepan dengan masalah pertembungan budaya ataupun apa yang disebut sebagai pertembungan tamadun: Clash of civilizations. Tetapi, fakta penting saya ialah Barat mahu memaksa liberalisasi di negara-negara bukan-Barat sehingga menganggap cara untuk maju ialah dengan menerima pembaratan. Ini yang dapat kita perhatikan di Malaysia, di mana ada yang cuba melakukannya dengan menanjurkan supaya ditinggalkan ttradisi Melayu. Bila diasing dan diremehkan budaya Melayu, bermakna mereka juga mahu mengasing dna meremah agama. Kita kena sedar perkara ini. Akhirnya, apa sahaja yang berkait dengan agama, akan dianggap sebagai mundur kerana tidak cukup moden. Paling parah, fahaman inilah yang menjadi akar kepada humanism. Sebab itu, adalah suatu perkembangan yang membimbangkan apabila kita boleh menerima dengan baik suatu bentuk penjajahan baharu yang menganggap liberalisme, humanisme, modenisme, begitu juga pluralisme dan positivisme sebagai sesuatu yang tidak bermasalah. Kita perlu ingat bahawa apa yang terjadi kepada Barat semasa Zaman Kegelapan bukanlah suatu kewajipan sejarah yang mesti dilalui oleh semua tempat. Apa yang berlaku pada Zaman Kegelapan tersebut adalah lambing kepada penindasan, di mana kezaliman gereja terhadap masyarakat Barat pada masa tersebut. Itu adalah pengalaman mereka yang tidak sewajarnya cuba dipaksa perjalanan sejarah yang sama terhadap sejarah bangsa-bangsa lain. Jadi, apa yang ingin saya tegaskan ialah kita tidak perlu meninggalkan Islam dan adat budaya Melayu untuk menjadi maju. Kita tidak sepatutnya ditakrifkan kemajuan dan kemodenan itu dengan Barat. Bahkan, Islam lebih unggul daripada konsep maju dan moden yang datang daripada Barat tersebut.

NM: Tetapi dewasa ini banyak yang menggunakan perkataan liberalisasi. Apakah perkataan tersebut juga salah?

AZ: Liberalisasi, untuk sesetengah keadaan, perkataan itu boleh dipakai.

NM: Sebenarnya, apakah ada kumpulan yang betul-betul menegakkan fahaman liberalisme di kalangan Melayu Islam di Malaysia?

AZ: Ada.

NM: Contoh?

AZ: Banyak! Ada parti politik, ada NGO, ada kumpulan masyarakat warga (civil society). Ini termasuklah Anwar Ibrahim dengan geng-geng dia dalam Institut Kajian Dasar (IKD) yang dikepalai oleh Khalid Jaafar.

NM: IKD?

AZ: IKD satu contoh. Tetapi perlu diingat, ada banyak lagi seperti Islamic Renainssance Front (IRF) dan Sister in Islam (SIS).

NM: Di kalangan bukanMuslim?

AZ: Komas, Konrad-Adenauer-Stiftung, SUARAM, Lawyers for Liberty (LFL)… dan banyak lagi.

NM: Soalan lanjutan, jika kita boleh memanggil mereka sebagai liberal kerana mendukung fahaman liberalisme, maka adakah Tuan Haji bersetuju kalau mereka pula memanggil Tuan Haji sebagai konservatif kerana mendukung fahaman konservatisme?

AZ: Semua wacana ini adalah pembingkaian sekular. Istilah-istilah yang digunakan dalam wacana sekular. Kita takkan benarkan diri kita diperangkap dengan wacana sedemikian. Mereka yang belajar sains politik, boleh menggunakan istilah-istilah tersebut—seperti demokrat, konservatif dan sebagainya. Itu mafhum mereka. Akan tetapi, dalam Islam pula, kita mengggunakan istilah lain seperti ada yang ketat, ada yang longgar, ada yang bebas, ada yang seadanya. Tidak ada istilah konservatif. Kalau mahu tuduh kami sebagai konservatif, maknanya mereka ingin gambarkan kami ini tertutup dan tidak terbuka. Padahal kami tidak tertutup dan kami juga terbuka. Sebaliknya, merekalah yang sebenarnya tertutup dan tidak terbuka. Kalau mereka tidak tertutup dan terbuka, mereka sepatutnya menerima kebenaran agama Islam. Sebaliknya, mereka anti-Islam. Mereka bukan sahaja sangat keras dengan Islam, malahan mereka sentiasa mahu bermusuh dengan Islam. Itu tidak jujur. Misalnya, kalau mereka benar-benar tidak tertutup dan terbuka, bersediakah mereka untuk berhujah dengan ulama-ulama? Mereka tidak mahu. Itu tandanya mereka mengelak dan sekaligus mereka melambangkan kejumudan kaum liberal. Pendek kata, mereka boleh panggil ulama sebagai kolot, tetapi yang terpalit dengan panggilan tersebut, sebenarnya, adalah mereka lantaran gentar berdebat dengan ulama-ulama.

NM: Adakah ini kerana mereka juga ada persepsi negatif terhadap Islam?

AZ: Benar, persepsi. Lihat, adakah mereka jujur dalam mendefinisikan keterbukaan? Tidak jujur!

NM: Memang dewasa ini terdapat perbahasan mengenai survival orang Melayu dan Muslim di Malaysia—seolah-olah terdapat ancaman terhadap survival Melayu-Islam. Namun, kita perlu sedar juga bahawa negara kita telahpun merdeka selama lebih 60 tahun. Apakah tempoh tersebut kita telah gagal membina perpaduan? Berapa dekad lagi diperlukan untuk kita benar-benar melepasi tempoh integrasi?

AZ: Semua kegagalan ini adalah disebabkan kita telahpunn memutuskan hubungan kita dengan saqafah kita, dengan sejarah kita. Bila kita merdeka, kita terap cara Barat, kita mencari kemajuan dengan cara Barat, kita mencari kemodenan dengan cara Barat. Lalu, bila cara ini menjadi dasar kita, maka secara sedar atau tidak sedar, kita telah membunuh bangsa sendiri. Misalnya, dulu kita ada Anglo-Melayu, yang dididik oleh Inggeris bagi memastikan mereka yang dijajah taat mendukung agenda penjajah tersebut. Akhirnya, agenda Malaysia menjadi agenda yang selari dengan hasrat penjajah—yang menentukan kiblat kepada Malaysia. Dan, kiblat kepada Malaysia ialah barat. Padahal, dalam sejarah Islam, banyak teladan yang kita boleh ambil. Apakah dalam sejarah Islam tidak ada kejayaan? Sudah tentu, ada, dan banyak pula. Kenapa kita tidak bongkar kejayaan kita daripada sejarah tersebut? Kenapa kita tidak menceritakan tentang kejayaan kehebatan bahasa kita yang ada dalam sejarah? Jawapannya: kerana kita anggap bahawa itu akan memundurkan kita. Akhirnya, generasi baharu kita—menerusi sistem pendidikan ala penjajah—merendah-rendahkan bangsa kita sendiri. Jadi, bila lahirnya generasi demi generasi, dengan fahaman yang kerdil terhadap bangsa sendiri, dengan buta terhadap kelebihan bangsa sendiri dan tidak nampak untuk maju dengan acuan sendiri, maka kerana itulah kita mutakhir ini terpinga-pinga dan tercari-cari. Kata orang, kita meraba-raba dalam kegelapan mencari pelita yang tidak kunjung temu.

NM: Jadi, apa yang membentuk Malaysia pada hari ini adalah hasil daripada salah pilih jalan sejarahnya?

AZ: Memang. Kita sudah salah pilih jalan sejarah kita. Kita telah salah pilih acuan. Salah pilih cara. Sepatutnya kita membangunkan negara kita sendiri, bebas daripada sehala pengaruh penjajah. Di negara China, kita lihat orang China yang bangunkan negara mereka sendiri. Di negara India, kita lihat orang India yang bangunkan negara mereka sendiri. Di negara Turki, kita lihat orang Turki yang bangunkan negara mereka sendiri. Semua mereka lakukan sendiri: daripada buat jarum, sampai kepada buat kapal terbang, buat roket, buat satelit, dan buat semuanya. Kita boleh buat apa? Tidak boleh buat apa-apa. Mereka mampun bangunkan bangsa sendiri menerusi kapasiti sendiri. Kita pula, tidak percaya dengan diri sendiri. Daripada awal-awal lagi kita tuduh bahawa Melayu ini malas, bodoh, itu dan ini. Kononnya, yang canggihnya adalah orang lain. Mereka semua adalah bertamadun, manakala kita adalah tidak bertamadun. Jadi, yang memandang rendah kita sebenarnya adalah kita sendiri.

NM: Jadi, adakah salah sekiranya kita memandang Jepun sebagai contoh?

AZ: Sebenarnya, sebahagian daripada kepandaian itu adalah daripada kita. Bahkan sebahagian besar daripada kekayaan itu daripada kita. Besi daripada kita, timah daripada kita, getah daripada kita, kelapa sawit daripada kita, sumber alam daripada kita. Daripada Sebelum Masihi lagi, kenapa kita suka jual bahan mentah dengan harga murah, tetapi kemudiannya kita beli semua dengan harga mahal. Sampai sekarang Johor, jual air dengan 3 sen segelen, beli balik dengan harga 50 sen. Susah sangatkah untuk memproses air sendiri?

NM: Jadi, adakah dilema identiti Melayu-Islam ini akibat daripada keterputusan daripada sejarahnya sendiri? Adakah ini kesimpulan Tuan Haji?

AZ: Lebih tepat lagi saya maksudkan bahawa kita sebenarnya telahpun memutuskan diri daripada peradaban kita. Kita tidak korek kebolehan, kekayaan, khazanah, keilmuan dan pencapaian datuk nenek moyang kita sebagai asas untuk kita bangunkan kemajuan negara kita.

NM: Tuan Haji ada sebut pencapaian—seolah-olah kita pernah ada zaman yang hebat. Sekarang, seolah-olah kita sedang berada pada zaman kemunduran. Adakah Melayu pernah mempunyai zaman keemasan yang boleh kita rujuk sebagai saat-saat kegemilangan?

AZ: Memang. Dahulu, kita adalah paling hebat dalam dunia maritim. Kita paling hebat, itu memang sejarah jelas. Kita pernah memiliki perlabuhan terkaya di dunia. Kita ada pernah membantu China dalam usaha membuat terusan untuk tujuan pertanian. Kita ada kepakaran pembuatan kapal. Kita boleh membina rumah tanpa paku. Zaman dahulu, kita sebenarnya sudah ada kemajuan, sudah ada pencapaian, sudah ada kegemilangan. Pada Zaman Srivijaya, kita adalah pusat pembelajaran bahasa. Maknanya sebelum 1511 dahulu orang belajar bahasa di tempat kita. Manakala bahasa Melayu dikuasai oleh negara-negara dunia dan sebagainya. Kalau nak banding kesesakan (pelabuhan) dahulu dengan sekarang, maka sebenarnya dahulu lebih sesak berbanding sekarang. Sampai 2000 kapal dagang masuk ke Melaka setiap hari. Berapa? 2000 kapal. Dan mereka mampu memiliki jongkong-jongkong emas yang sangat banyak. Dari segi kekayaan dan kemewahan, kita lebih awal mendahului. Dari segi pengurusan pula, kita sudah ada kanun, undang-undang dan pelbagai peraturan. Bila dikatakan Hang Tuah ini melawan lanun, maka tuduhan itu sebenarnya untuk memperkecilkan pandangan orang Melayu terhadap Hang Tuah—sebab dia hanya lawan lanun dengan keris dan dengan enam orang sahaja. Sedangkan, maksud sebenar ialah Hang Tuah inilah yang mengawal keselamatan laluan laut sampai ke Sulu, yang mengawal pelabuhan-pelabuhan di sekitar Selat Melaka. Pada masa tersebut, keadaan aman, selamat dan sejahtera kerana kejayaan Hang Tuah. Jadi Hang Tuah bukan lawan lanun semata, sebaliknya Hang Tuah yang memastikan laluan maritim daripada Selat Melaka ke Laut Sulu sentiasa makmur.

NM: Jadi, Hang Tuah menjaga Alam Melayu ini?

AZ: Sebenarnya ada penipuan serta usaha untuk merosakkan minda kita dengan menganggap bahawa Hang Tuah tidak hebat. Saya pernah buat lawatan ke Riau, bertemu dengan kawan-kawan di Lembaga Adat Riau. Mereka pernah duduk di London selamat 15 tahun serta membuat kajian mengenai Hang Tuah. Saya tanya dia saiz askar Hang Tuah ini banyak mana? Mereka menyatakan bahawa ada catatan yang menyebut saiz askar Hang Tuah ini ialah lebih ramai daripada penduduk Venice di Itali pada masa itu. Jadi kita Tanya pula penduduk Venice pada masa tersebut seramai mana? 60,000 orang! Maknanya, askar Hang Tuah adalah lebih daripada 60000 tentera. Dan kalau kita tengok dari segi fakta, macam mana dia enam orang sahaja hendak mengamankan Selat Melaka? Tidak, Hang Tuah dan enam orang berserta tentera-tenteranya. Mereka adalah laksamana raja di laut sekaligus bererti Hang Tuah adalah pemerintah di laut. Jadi banyak perkara pengetahuan yang digelapkan daripada pengetahuan kita. Sebab itu, kami buat kajian sendiri semula. Kami lihat fakta-fakta sebenar dan sebagainya sehingga kami menemui hakikat yang sangat berbeza. Misalnya, kalau diceritakan kapal Melayu ini yang kunjung berlabuh di pelabuhan China. Sebaik sahaja kapal Melayu masuk ke pelabuhan tersebut, maka kapal-kapal yang sedia ada berlabuh akan bergoyang, menunjukkan betapa besarnya kapal Melayu tersebut. Sampai dinding kapal Melayu pun ada empat lapis.

NM: Jadi masalahnya orang Melayu ini dia kerdil, takut dengan dirinya, tiada rasa kemampuan, kerana dia telah diputuskan dari sejarahnya.

AZ: Memang. Kita telah diputuskan daripada sejarah kita. Sebab apa? Sebab kita anggap Barat adalah lebih mulia dan agung.

NM: Jadi apakah langkah untuk kita berdepan dengan cabaran ini—cabaran untuk menyambungkan kembali dengan sejarah?

AZ: Dari segi jangka panjang, pertamanya kita kena mempunyai pandangan yang jelas terhadap peradaban Islam itu sendiri. Ini penting sebagai lawan kepada mereka yang melihat Islam itu tiada peradaban, seakan tidak boleh bawa kepada kemajuan. Ini kerana, setiap makna kemajuan telah dikaitkan dengan kemodenan dari barat, seolah hanya barat sahaja yang maju dan moden. Sebab itu, kita perlu ada konsep peradaban kita sendiri, dengan falsafah kita sendiri. Kena bangunkan dan terangkan pada masyarakat bahawa mereka sebenarnya ada peradaban sendiri dan melalui peradaban ini mereka boleh maju sendiri. Itu yang pertama. Manakala yang kedua pula kita kena besarkan pandangan alam orang Melayu terhadap tradis Melayu sendiri. Misalnya, mereka kena yakin bahawa bahasa dan ilmu Melayu adalah hebat. Rasa kebangaan dengan tradisi sendiri perlu dipupuk daripada sekarang.

NM: Mudahnya, jangan jadi malu dengan bangsa Melayu?

AZ: Kenapa perlu malu? Jangan malu jadi orang Melayu. Sebab itu masa kami mula-mula cakap mengenai survival orang Melayu pada tahun 2008, ramai yang hentam kami gila-babi. Tapi kita kata itu sahajalah cara untuk selamatkan dan sedarkan masyarakat. Pada masa tersebut, kami menanggung cemuhan, kutukan dan makian orang, sebab mereka semua tidak faham yang kami lebih awal faham. Waktu tersebut, bila saja sebut Melayu, maka ianya dianggap taboo.

NM: Takut dilihat sebagai rasis?

AZ: Benar, kita takut dianggap sebagai rasis jika bercakap sebagai Melayu. Sebab itu, kami lawan habis-habisan mereka yang mempertikaikan kehebatan Melayu. Dan hari ini Alhamdulillah kita tengok orang semua tidak malu lagi untuk bercakap tentang Melayu. Itu satu pencapaian yang kami rasa ada sumbangan di situ. Kami harapkan daripada sini dapat direncakan dan disatukan orang Melayu agra kembali mencintai bahasa, tanah air dan agamanya sendiri. Jadi itu langkah-langkah yang konkrit yang sedang kita laksanakan untuk memastikan arus yang mahu melemahkan orang Melayu dapat diperlahankan dan dihapuskan.

NM: Tetapi apakah menerusi tindakan politik merupakan langkah yang paling berkesan untuk kita mengubah masyarakat? Apakah ISMA akan mengambil sikap baharu yang bersifat pendekatan politik?

AZ: Kita selama inipun memang menyatakan pandangan dari sudut politik serta terlibat dalam gerak kerja yang mempengaruhi pendirian-pendirian politik. Itu satu tahaplah yang kita sudah buat. Pada masa hadapan, kita sedang mempertimbangkan dalam gerakan politik yang lebih nyata.

NM: Maksudnya sebagai parti politik?

AZ: Sebagai parti politik. Maknanya kita akan ada parti yang kita pilih dan ceburi untuk menyatakan pandangan kita dengan harapan pilihan ini dapat mempengaruhi pergerakan politik.

NM: Soalan terakhir, adakah ISMA percaya pada konsep bangsa Malaysia?

AZ: Saya tidak percaya konsep bangsa Malaysia.

NM: Jika tidak percaya, perlukan kita berusaha untuk menyatupadukan seluruh kaum di Malaysia di atas satu konsep?

AZ: Tiada konsep. Itu tidak akan berlaku. Itu semua tipu belaka. Sebab konsep bangsa Malaysia mempunyai agenda tersembunyi—sebagai alat untuk menguasai orang Melayu. Jadi bila cakap sahaja bangsa Malaysia, maka itu sebenarnya untuk mengelak menerima Melayu sebagai teras identiti kebangsaan. Tetapi hakikatnya penerimaan konsep Malaysia adalah untuk menipu, dengan niat untuk membina bangsa Malaysia di atas keruntuhan dan penindasan terhadap orang Melayu.

NM: Jadi, idea bangsa Malaysia sama sekali tidak relevan?

AZ: Berapa kali saya perlu ulang? Bukan sahaja tidak relevan, bahkan ia adalah agenda yang tersorok niat jahat!

Keterpendaman Melayu: Pembinaan Jati Diri Kebangsaan dalam Masyarakat Majmuk

Kemerdekaan tanahair telah membentuk sebuah konsep negara bangsa yang berkongsi impian, nilai dan menumpukan kesetiaan kepada raja dan negara.

Oleh: Muhaimin Bin Sulam

kita sudah sampai di lereng amat indah
di bawah pelangi
dalam ufuk yang masih mencabar
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah
tenang dalam segala uji cabar dan debar
kita mencari hanya yang tulen dan jati
sekata hidup mengerti dan berbudi.

Hidup Bersama, A. Samad Said.

Pendahuluan

Istilah ‘keterpendaman’ bermaksud sesuatu yang terpendam, tersembunyi atau tenggelam dalam tempoh yang lama. Ia adalah satu bentuk bawah sedar yang dibentuk oleh pelbagai faktor. Kesedaran adalah himpunan memori yang membentuk sudut pandangan seseorang. Kesedaran itu pula terbahagi kepada tiga; kesedaran palsu, kesedaran naif dan kesedaran kritikal.

Antara ketiga-tiga kesedaran yang wujud, ‘keterpendaman’ individu bergantung jenis kesedaran yang ada. Kesedaran yang tertanam mungkin sahaja kesedaran palsu, romantisme dan rasional. 

Mengaitkan istilah ‘keterpendaman’ dengan Melayu menjadikan ini sebagai satu persoalan sosiologi dan psikologi orang Melayu. Orang Melayu sememangnya mempunyai sifat suka memendam, dendam, tidak berterus terang, makan hati, berkias, jaga hati dan seumpamanya.

Memilih tarikh 9 Mei sebagai titik tolak perbahasan secara sendirinya meletakkan perbincangan ini dibina dalam kerangka politik. Walhal perlu diakui permasalahan kaum, agama yang diperbahaskan sudah wujud sejak berzaman. Bukan sepuluh bulan kebelakangan ini.

Naratif Melayu terancam dibina secara terkependaman oleh kelompok politik yang gagal. Kelompok politik yang gagal akan membina perspektif dan naratif ancaman dan keresahan orang Melayu. Orang Melayu sentiasa diburu bayang keresahan dan mengejar bayang yang tidak pasti.

Perhimpunan, perlawanan pada ketetapan kerajaan semasa adalah satu proses mempamerkan hasrat kelompok.  Ia bukan sekadar sebagai tanda kegagalan pembinaan negara bangsa sejak awal kemerdekaan lagi. Ia adalah petanda kepada pelbagai perkara.

Isu pemilihan Menteri Kewangan dan Peguam Negara di kalangan bukan Melayu, isu bahasa, himpunan anti ICERD, statut Rom dan sebagainya adalah lanjutan keresahan Melayu yang sudah lama. Ia sekadar diperbaharui oleh aktor-aktor baru demi kelangsungan survival politik golongan politik gagal atau satu helah bela diri bagi menutup kelemahan sendiri.

Akar keresahan ini bertitik tolak dengan wujudnya perasaan ‘others’ ataupun ‘yang lain’ di kalangan masyarakat. Dikotomi ‘yang lain’ pula berasaskan perbezaan etnik, wilayah dan diperkembangkan dengan unsur politik yang keterlaluan. Dikotomi antara individu dan kumpulan telah mewujudkan label ‘others’ dan ia seterusnya menjadi sistem pengkelasan dalam mengekalkan peraturan sosial dan simbolik tertentu. Imaginasi sosial yang terbentuk telah memperkukuhkan hegemoni pendirian individu dan kumpulan pada kelompok yang berbeza.

Jati Diri Kebangsaan

Kebangsaan adalah sifat sebuah negara bangsa. Idealogi pembentukan negara bangsa sebelum merdeka banyak dipengaruhi oleh faktor pembentukan negara yang berasaskan darah keturunan, persamaan bahasa atau agama.

Manakala pembentukan negara bangsa Malaya (Malaysia) lebih berasaskan perkongsian aspirasi dan nilai yang sama. Ini yang menjadikan Malaysia sebuah citra politik negara bangsa yang unik. Namun asas ini sangat subjektif kerana terdedah perubahan waktu dan tafsiran. Falsafah dan semangat penubuhan asal Malaya (Malaysia) yang difahami oleh generasi awal tidak berterusan kepada generasi terkini. Ini adalah persoalan kebudayaan nasional.

Secara politiknya, negara dibentuk dengan gabungan beberapa teras utama; wilayah, kerakyatan, pemerintahan, perundangan dan kedaulatan. Semua teras yang membentuk persetujuan pelbagai pihak telah mewujudkan sebuah negara merdeka.

Garis sempadan wilayah dilakukan berdasarkan persetujuan antara pihak yang terlibat. Begitulah juga dengan syarat-syarat kerakyatan yang mewujudkan perjanjian sosial dalam masyarakat.

Sistem pemerintah yang berasaskan raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen. Jati diri kebangsaan kita adalah keselarasan gabungan antara unsur tradisi dengan moden.

Menyelami permasalahan masyarakat negara bangsa, ia harus dimulai melalui pemahaman tentang pensejarahan kebangsaan (national historical). Perjalanan kehidupan  bernegara sentiasa berhadapan idea-idea baru yang memperkukuhkan dan juga melemahkan struktur dan jati diri negara. Oleh sebab itu, akar bangsa Malaysia itu harus menunjang dalam dan menjalar luas.

Kesedaran sejarah kebangsaan

Umumnya kita tidak memiliki satu versi sejarah kebangsaan melainkan versi di dalam sistem pendidikan negara. Pensejarahan kebangsaan lebih bersifat etniksiti dan kewilayahan. Perkembangan media baru menambahkan lagi rencah sentimen itu kepada sejarah berbentuk hasutan dan mengelirukan.

Budaya bertolak ansur dan saling faham memahami perbezaan antara etnik dan wilayah ditenggelami dengan pendekatan politik populis.

Masyarakat majmuk terhasil dari kesan dasar penjajahan Inggeris ke atas Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Dasar penjajahan Inggeris tidak sekadar membentuk perubahan sosio budaya tempatan tetapi mengubah sistem politik.  Bahkan sistem nilai kehidupan masyarakat juga telah berubah.

Kehidupan masyarakat Melayu yang dipengaruhi kuat dengan unsur perlambangan, kiasan dan pembayangan mengalami proses perubahan. Melayu cuba bersikap berterus terang dan tegas menyatakan pendirian dalam isu yang kritikal tentang jati diri mereka.

Teras pembinaan dan kelestarian negara biasanya dilihat dari aspek perundangan dan perlembagaan. Aspek kebudayaan kurang diambil kira walaupun ia menjadi salah satu asas pembentukan Perlembagaan. Latar belakang dan falsafah pembentukan Perlembagaan jarang difahami.

Pembinaan jati diri kebangsaan di dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia pincang sejak awal lagi. Asas-asas yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan seperti bahasa, agama dan Raja tidak memiliki tekad politik yang kuat. Ia hanya sekadar simbolik yang gagal dikongsi sama oleh warganegaranya.

Samada pemimpin, cendiakawan, birokrat, peniaga dan kelompok Melayu berpengaruh gagal menjadi bangsa penakrif kepada rupa bentuk kebangsaan. Kegagalan ini berpunca tekad politik dikuasai oleh ahli politik pragmatik dan kelompok lain, sekadar menjadi penumpang atau pengekor.

Kelompok yang menggunakan pendekatan kebangsaan yang berteras kaum (ethno nasionalism) menghakis kebangsaan yang sejati. Kegagalan ini juga berpunca oleh sikap sebahagian masyarakat bukan Melayu yang tidak memahami falsafah dan proses pembinaan negara.

Kelompok ini menggunakan liberalisme demokrasi sebagai topeng menghakis jati diri kebangsaan yang diasaskan semasa merdeka. Keadaan ini seperti juga kewujudan kelompok yang menggunakan agama, kaum, wilayah dan apa jua hal yang memiliki ‘pasaran politik yang lumayan’.

Pertembungan kedua kutub pemikiran dan pendekatan [liberalism demokrasi dengan ethno nasionalsime] menjadikan negara dalam keadaan rapuh. Kemajmukan yang seharusnya menjadi pemangkin kelestarian negara sebaliknya telah menjadi percikan api yang membakar impian kebangsaan.

Kemerdekaan tanahair telah membentuk sebuah konsep negara bangsa yang berkongsi impian, nilai dan menumpukan kesetiaan kepada raja dan negara. Tragedi 13 Mei 1969 adalah manifestasi demokrasi bukanlah tembok yang menjadi pengawal kepentingan negara jika tidak diimbangi dengan tanggungjawab sosial.

Tragedi seumpama ini akan membakar impian hidup bersama dalam masyarakat majmuk. Rasa curiga, cemburu, dengki akan mengisi kehidupan. Nikmat hidup bersama menjadi cair sudah.

Siapa menabur angin, akan menuai badai!

[Dibentangkan untuk Bengkel Keterpendaman Melayu, di Puri Pujangga, UKM anjuran IKMAS pada 15 April 2019.]

Identiti Kebangsaan Menerusi Pendidikan: Renungan terhadap Teks “Naratif Malaysia”

Artikel ini akan memperincikan kejayaan yang dimaksudkan oleh Tun Daim dalam melahirkan orang Melayu yang berjaya tetapi dalam masa yang sama gagal membentuk identiti nasional.

Pengenalan

Artikel ini merupakan hasil renungan daripada ucaptama Tun Daim Zainuddin dalam Majlis Perasmian Naratif Malaysia. Tun Daim memberi penekanan terhadap sistem pendidikan di negara ini yang menurut beliau sangat penting dalam membina naratif Malaysia yang lebih inklusif dan bukan semata-mata terperangkap dalam politik komunalisme non-rasional semata-mata. Maka, artikel ini akan memberi tumpuan kepada isu pendidikan negara ini yang gagal membina identiti nasional yang inklusif dan mengusulkan satu cadangan untuk membawa Malaysia keluar daripada polemik ini.

Analisa Tun Daim Terhadap Ketertinggalan Orang Melayu

Tun Daim sangat menekankan kepada perdagangan dalam usaha untuk memajukan orang Melayu. Pada pandangan Tun Daim, dalam membaca kegusaran Melayu, harus difahami secara bersama dengan perubahan sejarah orang Melayu, khususnya sejak zaman penjajahan. Tun Daim dengan cermat memulakan ucaptama beliau dengan membentangkan betapa ramai tokoh-tokoh Melayu terbilang di negeri Johor sahaja – memandangkan acara perasmian itu dibuat di Johor, sebagai konteks – lalu menimbulkan persoalan utama dalam Naratif Malaysia:

“Kita tidak kekurangan sosok-sosok hero. Negeri Johor sendiri mempunyai sejarah yang kaya dengan pahlawan yang gagah-perkasa, seniman yang tersohor, penyair, ahli sukan, santis, doktor, ahli akademik dan juga ahli perniagaan…. Jadi, persoalannya kenapa perlu kita merasa tidak selamat sedangkan kita mempunyai legasi kejayaan Melayu seperti yang saya bentangkan di atas?”

Tun Daim melihat hal ini sebagai ketidakupayaan orang Melayu untuk berfikir secara rasional dan tidak semata-mata dipengaruhi oleh emosi. Lalu beliau melontarkan cabaran ini kepada khalayak akademia di universiti untuk bertindak sebagai intelektual awam bagi mencerahkan pemikiran orang Melayu. Tun Daim juga memberi penekanan khusus kepada pendidikan yang pada beliau merupakan tonggak utama dalam menentukan masa depan negara baik daripada segi politik, mahupun ekonomi:

“Pastikan sistem pendidikan kita betul, dan politik serta ekonomi akan turut mengikut menjadi betul. Akal tanpa emosi akan menentukan masa depan kita dan masa depan Malaysia….Dedahkan anak-anak kita kepada dunia dan mereka akan mahu menjadi cemerlang dan mereka akan melindungi yang terbaik daripada budaya kita.”

Pendidikan Sebagai Alat Perubahan

Oleh hal yang demikian, bagi menjawab Tun Daim, artikel ini akan kembali mengajukan soalan yang sama; mengapakah setelah lebih 40 tahun perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang telah mentransformasikan struktur ekonomi dan sosial negara serta hampir 25 tahun sejak pengumuman dasar Wawasan 2020 yang bertujuan melahirkan bangsa Malaysia, wacana negara masih lagi terperangkap dalam polemik perkauman dan kekaburan identiti nasional? Berdasarkan beberapa pengukuran, Malaysia jelas berjaya mencapai pelbagai kejayaan dalam tempoh 50 tahun yang lepas. Kadar literasi dalam kalangan populasi dewasa yang berumur 15 tahun dan ke atas pada tahun 2010 ialah 92%. Enrolmen pada peringkat rendah dan menengah rendah hampir mencapai tahap 100%, dan bagi menengah atas kadar enrolmen ialah 80%. Lebih kurang dua pertiga daripada jumlah murid meneruskan pengajian pada peringkat lepas menengah atau mengikuti pelbagai latihan yang disediakan pada peringkat matrikulasi, pra-universiti, asasi dan vokasional (Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025).

Namun demikian, sebagaimana yang kemudiannya dihuraikan oleh Tun Daim dalam sesi soal jawabnya, polemik perkauman yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia kini bukan semata-mata disebabkan oleh dasar ekonomi dan sosial negara tetapi juga kegagalan dasar pendidikan negara selama ini untuk keluar daripada kerangka pendidikan yang dibentuk oleh ilmu kolonial. Dalam bahasa Tun Daim sendiri:

“Oleh kerana itu, British menyuruh orang Melayu menanam padi dan menangkap ikan sebagai kegiatan yang membekalkan sumber makanan buat British dan juga buruh-buruh asing yang berkerja di bandar-bandar. Pekerjaan sebegini tidak memerlukan orang Melayu belajar tinggi. Apa perlunya untuk belajar tinggi jika pekerjaan orang Melayu hanyalah sebagai penanam padi dan penangkap ikan? Tak perlu pergi sekolah untuk belajar menanam padi atau menangkap ikan.”

Akan tetapi, nampaknya Tun Daim hanya berhenti di situ, tanpa menyatakan bahwa dasar pendidikan negara selama ini tidak berusaha untuk menyelesaikan persoalan identiti nasional sehingga menimbulkan banyak kekaburan dalam banyak dasar yang berkaitan dengan sistem pendidikan seperti bahasa kebangsaan, sekolah kebangsaan, dan pendidikan sivik. Malah, amalan sistem pendidikan kini telah menyumbang kepada kekalutan identiti ini. Artikel ini akan memperincikan kejayaan yang dimaksudkan oleh Tun Daim dalam melahirkan orang Melayu yang berjaya tetapi dalam masa yang sama gagal membentuk identiti nasional.

Transformasi Sosial Melalui Pendidikan

Kesenjangan sosial dan ekonomi antara kaum di Malaysia adalah produk kolonial British selama lebih 150 tahun dan juga polisi kontemporari yang berasaskan perkauman (Andaya & Andaya 2001).  Pada tahun 1970an, kerajaan mula mengubah dasarnya untuk terlibat lebih aktif dalam pembangunan dan menyusun semula struktur masyarakat dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sepanjang 40 tahun terakhir ini, melalui Dasar Ekonomi Baru yang dilaksanakan antara tahun 1970 hingga 1990, banyak perubahan terhadap ekonomi dan sosial negara yang akhirnya mempengaruhi pembentukan sikap politik rakyat Malaysia.

Apabila tumpuan ekonomi telah beralih kepada industri, bandar-bandar baru mula dibuka, khusus untuk menampung kilang-kilang baru. Urbanisasi ini juga selari dengan penghijrahan ramai penduduk desa, khasnya generasi muda, ke bandar-bandar perindustrian baru seperti Pasir Gudang, Seberang Prai dan Shah Alam. Daripada sekitar 10 juta penduduk Malaysia pada tahun 1970, seramai 26.7 peratus tinggal di bandar dan jumlah ini meningkat dengan signifikan pada tahun 1991.[1] Pada tahun 2010, lebih 70 peratus penduduk Malaysia tinggal di bandar dan jumlah ini lebih besar di negeri seperti Pulau Pinang dan Selangor. Proses perindustrian dan pembandaran telah menyumbang kepada pembentukan dan perkembangan kelas-kelas sosial moden, khususnya kelas menengah dan kelas pekerja (Abdul Rahman Embong 2000: 91).

Pendidikan Negara Berjaya Melahirkan Kelas Menengah

Menurut Abdul Rahman Embong, pembangunan kapitalis lewat 1970-an dan penyusunan semula masyarakat Malaysia yang dilaksanakan oleh developmentalist state yang kuat telah berjaya mewujudkan kelas menengah yang besar. Bahkan, tidak seperti sebelum tahun 1970-an, di mana kebanyakan kelas menengah hanya terdiri daripada kaum Cina, sementara majoriti kelas menengah Melayu hanya terdiri daripada sekumpulan kecil pentadbir kerajaan. Pasca 1970an memperlihatkan pembesaran saiz kelas menengah pelbagai kaum. Selain pentadbir, kelas menengah baru ini terdiri daripada pengurus, doktor, arkitek, peguam, pensyarah, pakar teknologi, dan profesional lainnya (2001: 83).

Selain, profesional dan kelas menengah pengurusan, Malaysia turut menyaksikan peluasan kelas menengah lama atau entrepreneurial middle class. Pada masa yang sama, kelas menengah marginal tidak berkurang, kerana peranannya sebagai kumpulan sokongan kepada   kelas menengah baru (Abdul Rahman Embong 1995).

Perkembangan yang paling signifikan tentang transformasi ini adalah kelas menengah baru telah muncul ketika tempoh penting sejarah pembangunan negara dan kehadiran mereka sangat jelas baik di kota-kota besar mahupun di pekan-pekan di seluruh negara. Lebih penting lagi, mereka ini terdiri daripada pelbagai kaum dan lebih mencerminkan komposisi masyarakat Malaysia.

Crouch (1996), Abdul Rahman (2000c, 2000d, 2000e), Kahn (1996) menegaskan bahawa proses industrialisasi dan dasar pro-Bumiputra telah memperlihatkan pertumbuhan kelas menengah yang begitu pesat di Malaysia. Kelas ini telah berkembang daripada hanya 4.0 peratus  pada tahun 1957 kepada 7.7 peratus pada tahun 1980, 11.2 peratus pada 1990, dan 15.3 peratus pada tahun 2000  (Abdul Rahman Embong  2000).

Secara teorinya, perkembangan kelas menengah yang lebih besar ini seharusnya membantu mewujudkan masyarakat sivil yang lebih kuat dan rentas etnik. Meskipun pembangunan yang rancak pada dekad 1970-an hingga 1990-an dan penekanan terhadap sektor pendidikan berjaya mewujudkan kelas menengah baru dalam struktur masyarakat Malaysia, hasil daripada pengamalan DEB, umumnya kelas menengah Melayu terdiri daripada kakitangan kerajaan. Birokrat Melayu ini telah terserap dalam struktur kekuasaan negara yang menuntut kepatuhan kepada arahan yang rigid.

Kelas menengah yang dibangunkan berdasarkan bantuan ekonomi dan penswastaan juga menghasilkan kelas menengah yang gagal mandiri (independent) dan bergantung bantuan kerajaan. Di bawah dasar penswastaan, sejumlah besar kapitalis Bumiputera dan bukan Bumiputera telah berkembang dengan mendapat naungan dan projek kurnia daripada pemerintah. Andaian asasnya, elit yang dibantu ini akan membantu pula untuk mencairkan kekayaan tersebut kepada kelas menengah dan rendah melalui regulasi ekonomi. Namun, oleh sebab terdapatnya unsur-unsur ketirisan dan kronisme maka regulasi itu tidak berlaku dan hanya berjaya melahirkan cukong-cukong pasaran semata. Kebergantungan ini juga tidak memungkinkan birokrat yang berada di kelas menengah untuk menjadi kritikal terhadap kekuasaan malah makin mewujudkan hubungan patronis yang kuat (Abdul Rahman Embong 2000).

Budaya politik kelas menengah ini sememangnya sukar untuk diperjelaskan dengan tuntas. Terdapat suatu kontradiksi antara sikap politik pada tahun 1960-an dan 1970-an – tebal dengan feudalisme berbanding budaya politik pada tahun 1990an yang menurutnya lebih membawa politik yang berbaur nilai sejagat (Rustam 2004: 34). Crouch (1984) dan Kahn (1996) juga mengatakan kelompok ini tidak mempunyai arah politik yang jelas, tetapi Saravanamuttu (1987, 1992) pula berpendapat sebaliknya. Sementara itu, Abdul Rahman Embong (1998) dan Loh (2000) lebih berminat untuk memeriksa budaya politik kelompok ini melangkaui hubungan mereka dengan parti politik.

Namun begitu, Saravanamuttu (2001: 103-105) menyimpulkan setidaknya terdapat dua pandangan asas mengenai kelas menengah di Malaysia, “(1) menyokong status quo kerana kebergantungan mereka secara ekonomi dengan kerajaan. Keterikatan mereka dengan gaya hidup mewah melalui kemajuan ekonomi yang pesat menyebabkan persoalan pendemokrasian menjadi soal sampingan. Tambahan pula, kelas menengah ini terpisah mengikut kaum yang menyebabkan sukar untuk mereka menemukan kesepakatan pandangan politik. (2) Pandangan kedua pula, melihat kelas menengah ini aktif menjuarai pelbagai isu. Sungguh pun kelas ini agak terpencar, mereka menunjukkan kesedaran nilai universal – demokrasi, hak asasi manusia, alam sekitar – yang melintasi sempadan kaum”.

Fenomena ini menawarkan wacana alternatif kepada perspektif ethnic-centric mahupun class-centric.  Malah, ini membawa kepada hujah kelas menengah sebagai aktor politik di Malaysia telah membentuk praxis multi-etnik dan multi-kelas yang merangsang masyarakat sivil untuk menentang pemantauan berlebihan negara, dominasi dan tekanan terhadap  warga (Saravanamuttu 1992). Namun, sebagai reaksi kepada pandangan ini, Kahn (1996b) mencadangkan tidak terdapat sekelompok kelas menengah tunggal yang semuanya berjuang untuk agenda demokrasi di Malaysia, malah terdapat banyak ‘kelas-kelas menengah’ (middle classes) dengan pelbagai kepentingan politik.

Kelas Menengah Malaysia dan Wacana Perkauman

Malaysia kini berada dalam transisi antara politik lama dan politik baru. Dalam tempoh ini, terdapat banyak pergelutan dan perebutan simbol serta makna dalam negara ini – daripada naratif sejarah rasmi nasional sehinggalah kepada soal kesetian dan pemilikan. Malah, banyak pertubuhan NGO yang dibangunkan bertujuan untuk memperjuangkan kaum atau agama masing-masing.

Menurut Shamsul (2001: 123-124) pergelutan ini bukan sahaja antara kerajaan dan juga masyarakat atau dalam istilah Shamsul authority-defined Vs everyday defined, malahan juga dalam kalangan masyarakat, pergelutan ini tidak terselesai. Shamsul (2001: 123) mencerakinkan pergelutan masyarakat ini kepada tiga kelompok, bukan Bumiputera dan dua lagi merupakan kelompok Bumiputera Islam dan Bumiputera Bukan-Islam.

Kelompok Bukan-Bumiputera ini, kebanyakan kes dirujuk sebagai Cina, mahukan amalan serta bahasa Cina juga diterima sebagai sebahagian daripada identiti Malaysia. Demikian juga kelompok Bumiputera Bukan Islam yang mahukan agama Kristian dan ‘agama orang asal’ (native religions) diberikan status yang sama dalam negara ini dan masa yang sama menolak kelompok Bumiputera Islam yang mahukan negara Islam sebagai identiti teras negara ini (Shamsul, 2001: 123).

Umpamanya pertubuhan seperti Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Malaysia atau Dong Jio Zong yang sering dikaitkan sebagai pertubuhan yang lantang menjuarai isu berkaitan survival sekolah venakular Cina. Dong Jio Zong pernah menentang cadangan kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar mata pelajaran Malaysia Negaraku Tahap 1 di semua aliran sekolah rendah. Malah, pertubuhan ini juga membantah cadangan masa tambahan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu Tahap 1 di semua sekolah jenis kebangsaan (Kartini Aboo Talib 2012: 7).

Demikian juga dengan pertubuhan bukan Melayu seperti gabungan 30 NGO yang memperjuangkan nasib masyarakat India yang dikenali sebagai Hindu Rights Action Force (HINDRAF) yang melakukan demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur pada 2007. Hindraf menganjurkan perhimpunan ini kerana hendak menyerahkan memorandum 18 perkara kepada Suruhanjaya Tinggi Britain dan seterusnya kepada Ratu Elizabeth II berhubung nasib malang bertimpa-timpa yang dialami oleh penganut Hindu di Malaysia semenjak zaman penjajahan British lagi. Saman itu difailkan oleh Hindraf di Britain pada 30 Ogos 2007 bagi menuntut 4 trilion paun (RM27.7 trilion) daripada kerajaan Britain sebagai pampasan kepada masyarakat India kerana membawa mereka masuk ke Malaysia sebagai buruh murah. Setelah Malaysia dimerdekakan, masyarakat India ditinggalkan begitu sahaja di Malaysia. Nasib dan masalah mereka diserahkan bulat-bulat kepada Malaysia yang baru merdeka (Malaysian Insider 2011).[2]

Pada masa yang sama, penentangan ini bukan sahaja berlaku antara kelompok Melayu dengan bukan Melayu sahaja, tetapi juga berlaku persaingan antara kelompok Melayu berlainan ideologi seperti Sister In Islam (SIS) yang dilihat cuba memberi pentafsiran yang lebih liberal terhadap pemahaman dan amalan Islam di negara ini (Noraini Othman 2008). Memandangkan Islam merupakan agama rasmi Persekutuan dan Islam telah diinstitusikan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jabatan agama Islam di setiap negeri, Mahkamah Syariah dan sebagainya, Islam di Malaysia secara umumnya adalah lebih homogen. Sebarang cubaan pentafsiran lain daripada tafsiran rasmi akan dilihat sebagai penyimpangan (deviant) atau sesat – keluar daripada agama Islam (Ahmad Fauzi Abdul Hamid 2013).

Pada belah lain pula, terdapat kelompok Melayu-Islam yang menekankan tafsiran Islam yang lebih konservatif. Kelompok seperti Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (PEKIDA) dan ISMA yang seringkali menjadi kumpulan pendesak untuk mempertahankan status quo Melayu-Bumiputera.

Umumnya, meskipun Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan untuk menstrukturkan semula masyarakat dan membasmi kemiskinan telah berjaya melahirkan kelas menengah yang besar di Malaysia, namun sebahagian kelas menengah ini bukan sahaja gagal mandiri, malahan juga masih terikat dalam wacana perkauman. Sementara wujud kelompok NGO yang membawakan tema-tema besar seperti Hak Asasi Manusia, alam sekitar, keadilan, reformasi sistem kehakiman, ketelusan dan kebertanggungjawab, sistem pilihan raya yang bersih dan adil, politik Malaysia masih berbaur dengan persoalan perkauman. Jika diperhalusi kebanyakan persoalan perkauman ini berkisar kepada isu identiti nasional dan citizenship.

Identiti Nasional Melalui Pendidikan – Sekolah Sebagai Reproduksi Sosial dan Kebudayaan

Secara umumnya, cabaran pemodenan Malaysia berhubungkait dengan dua komponen penting, ekonomi dan politik. Komponen ekonomi dipacu oleh keperluan untuk menzahirkan cita-cita Malaysia sebagai negara perindustrian, manakala komponen politik untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang berpegang kepada identiti sepunya, bangsa Malaysia.

Sebagaimana perbincangan awal, Malaysia pada suatu tahap telah berjaya mentransformasi ekonomi negara ini daripada berasaskan pertanian kepada perkhidmatan dan meningkatkan kadar urbanisasi dengan dramatik. Begitu juga dalam sektor pendidikan negara, khasnya vokasional dan universiti yang telah berjaya melebarkan saiz kelas menengah di negara ini. Namun, oleh kerana institusi dan prosedur politik lama, termasuk sistem pendidikan negara yang masih terperangkap dalam struktur kolonial, maka kelas menengah negara ini juga masih bergelut antara politik baru dan politik lama.

Sistem Pendidikan Malaysia Semakin Homogen

Pengiktirafan bahawa sekolah adalah agensi sosialisasi adalah andaian yang dikongsi oleh semua proponents of citizenship education, tetapi andaian ini tidak lengkap sebagai satu alat analitikal untuk menghuraikan fungsi sosial (societal functions) institusi pendidikan. Pendekatan yang lebih analitikal, dalam kebanyakkan kajian sosialisasi (socialization literature) seperti Bourdieu and Passeron (1977) mendapati proses sosialisasi sebagai kenderaan bagi reproduksi budaya dan ekonomi (vehicle of economic and cultural reproduction); sebagai satu proses yang menjadi pengantara amalan sosial dan kepercayaan budaya yang perlu untuk mengekalkan dominasi dan struktur kuasa golongan tertentu (Giroux 1980: 329-366).  Tambah Giroux lagi;

A more fundamentally political and critical approach to school socialization would begin with the premise that one of the critical elements in the power of a dominant class resides in its ability to impose, though not mechanistically, its own set of meanings and social practices through the selection, organization, and distribution of school knowledge and class-room social relationships (Giroux 1980:333).

Maka, sementara institusi pendidikan boleh menjadi alat penyatuan, institusi pendidikan juga boleh menjadi alat untuk mengekalkan dominasi kuasa politik pemerintah dan membiarkan masyarakat kekal terpisah. Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025, walaupun data sahih sedia ada menunjukkan bahawa kepelbagaian murid dan guru di sekolah kebangsaan telah berkurangan, namun masih terdapat interaksi yang agak memuaskan antara kumpulan etnik di dalam dan di luar bilik darjah. Namun, laporan ini tidak pula menyatakan apakah ukuran yang digunakan bagi menilai tahap interaksi murid di luar bilik darjah tersebut.

Sistem pendidikan Malaysia terdiri daripada lebih 20 pilihan persekolahan pada peringkat rendah dan menengah. Sekolah rendah awam terdiri daripada tiga jenis sekolah utama: SK, SJKC dan SJKT . Setiap jenis sekolah ditentukan melalui bahasa pengantar yang berbeza dan secara keseluruhan mencakupi hampir 99% daripada jumlah enrolmen sekolah rendah. Selain itu, terdapat pelbagai jenis sekolah yang menyediakan perkhidmatan kepada kumpulan khusus, seperti sekolah agama (Islam) dan sekolah pendidikan khas.

Sistem sekolah menengah awam menunjukkan penumpuan kebanyakan murid daripada pelbagai jenis sekolah rendah kepada satu format sekolah. Sekolah menengah kebangsaan (SMK) ini menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar. SMK mencakupi 88% daripada jumlah enrolmen sekolah menengah. Peratusan kecil murid memilih sekolah alternatif seperti sekolah agama dan peratusan ini semakin meningkat. Setelah tamat pendidikan menengah rendah (Tingkatan 3), murid mempunyai pilihan untuk meneruskan pengajian di sekolah teknik, vokasional, sukan, seni dan lain-lain.

Sebilangan kecil murid mendaftar di sekolah swasta dan bilangannya semakin bertambah. Sekolah ini beroperasi pada peringkat rendah dan menengah, termasuk sekolah swasta yang menggunakan kurikulum kebangsaan, sekolah antarabangsa dan sekolah agama. Pada masa ini, sekolah swasta membentuk 1% daripada jumlah enrolmen sekolah rendah dan 4% daripada jumlah enrolmen sekolah menengah.

Pilihan pendidikan lain terdiri daripada sekolah persendirian Cina yang membentuk komponen terbesar pilihan pendididkan lain di Malaysia. Sekolah-sekolah ini menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama dan melaksanakan kurikulum yang digubal oleh Dong Jiao Zong.

Secaranya keseluruhan, pecahan murid di Malaysia mengikut kaum terdiri daripada 67% Melayu, 25% Cina, 7% India dan baki 1% terdiri daripada lain-lain kaum. Nisbah kaum mengikut aliran sangat mengejutkan. Berdasarkan Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2015, 94% murid di Sekolah Kebangsaan terdiri daripada kaum Melayu, berbanding hanya 88% murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) terdiri daripada kaum Cina. Nisbah ini menunjukkan bahawa Sekolah Kebangsaan yang seharusnya mengumpulkan murid pelbagai kaum menjadi lebih homogen berbanding SJKC. Malah, terdapat lebih ramai murid Melayu di SJKC (9%) berbanding murid Cina di Sekolah Kebangsaan (3%).

Jelas bahawa, Sekolah Kebangsaan bukan sahaja semakin tidak menjadi pilihan dalam kalangan bukan Melayu, malahan juga dalam kalangan murid Melayu sendiri. Salah satu punca Sekolah Kebangsaan tidak menjadi pilihan di peringkat sekolah rendah adalah kerana pencapaian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina bagi Perperiksaan UPSR sentiasa mengatasi Sekolah Kebangsaan. Meskipun jurang pencapaian semakin mengecil, hakikat bahawa Sekolah Kebangsaan yang menerima peruntukan dana yang jauh lebih besar daripada SJKC gagal untuk menjadi yang terbaik, membuatkan prestasi Sekolah Kebangsaan diragui.

Mengatasi Cabaran Perpaduan Bagi Membentuk Identiti Nasional

Menurut Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2015, Kementerian telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan semua kumpulan etnik diwakili dengan baik dalam bahan pengajaran yang digunakan di sekolah, hinggalah kepada mengurus program sekolah yang jelas memberikan tumpuan kepada usaha membina perpaduan. Ciri etnik dan budaya semua kaum dimasukkan dalam kurikulum dan bahan pengajaran yang digunakan di sekolah. Modul khusus untuk mengajar sifat menghargai dan memahami kepelbagaian kaum di Malaysia terkandung dalam kurikulum Sivik dan Sejarah. Kesemua kurikulum ini digubal berdasarkan Peraturan-peraturan (Kurikulum Kebangsaan) Pendidikan 1997:

 “…suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan..”

Namun, kajian oleh Santhiram (1997) dan Cheah Boon Kheng (2003) mendapati bahawa kurikulum Sivik dan Sejarah yang diguna pakai sebelum ini jelas menekankan peranan Melayu dan secara tidak langsung mengecilkan peranan bukan-Melayu dalam pembangunan dan sejarah negara.

Program berasaskan sekolah yang secara jelas berfokus kepada usaha perpaduan seperti Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) telah diperkenalkan. Kajian semula yang dijalankan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) mendapati program RIMUP berjaya mewujudkan pergaulan antara etnik di dalam dan di luar bilik darjah di kawasan di mana RIMUP dilaksanakan. Namun begitu telah berlaku penurunan yang ketara dari sudut pengisian dan bilangan aktiviti program RIMUP disebabkan kekangan peruntukan. Peruntukan yang diberikan merosot daripada RM 25.4 juta pada 2007 kepada hanya RM 2.4 juta pada 2011.

Sekolah Wawasan mula diperkenalkan pada 2003 bagi menggalakkan lebih banyak interaksi dan integrasi antara murid dari pelbagai jenis sekolah. Di bawah konsep ini, tiga jenis sekolah, biasanya satu SK, satu SJKC dan satu SJKT berkongsi pekarangan dan kemudahan sekolah yang sama tetapi mengekalkan pentadbiran sekolah yang berasingan. Sekolah Wawasan diwujudkan di tempat yang mempunyai kawasan bagi pembinaan pekarangan yang boleh dikongsi dan jarak yang dekat antara SK dengan SJK. Walau bagaimanapun, keadaan ini menghadkan kebolehlaksanaan konsep tersebut dalam keseluruhan sistem pendidikan kebangsaan dan oleh itu, hingga kini hanya terdapat lima kompleks Sekolah Wawasan masih beroperasi.

Tawar-Menawar Politik Yang Menguntungkan Dan Takrif Kebangsaan Yang Tidak Terselesai

Penyelesaian yang ditawarkan oleh Pelan Pendidikan ini masih tidak dapat keluar daripada ‘colonial knowledge’[3]. Kelangsungan sebahagian konstruksi etnik dan perkauman (racial and ethnic construction) bukan sahaja di peringkat epistemologi, malahan berubah kepada bentuk tindakan yang diinstitusikan dan berakar (embedded) dalam amalan rasmi, birokrasi dan pembentukan dasar awam seperti bancian, akta tanah, sijil kelahiran, kad pengenalan, serta sistem pendidikan. Aturan ini umumnya tidak terganggu dan dicabar selepas zaman kolonial dan membina satu pandangan kaedah mendefisikan kategori kaum dan etnik melalui petanda fizikal dan budaya (Shamsul 1996b).

Faham masyarakat majmuk di Malaysia ini masih terikat dengan amalan pecah perintah kolonial yang memisahkan ketiga-tiga kaum utama di negara ini. Tahap tertinggi persefahaman institusi politik di negara ini adalah pada tahap consociationalism semata-mata dan sering-kali digerakkan oleh elit politik dan pada masa sama mengukuhkan kedudukan politik mereka. Hal ini kerana isu pendidikan adalah isu yang mencakupi semua rakyat negara ini.

Maka tidak ada hasrat politik (political will) untuk membentuk satu sistem pendidikan yang seragam dan tunggal kerana sistem pendidikan venakular yang ada kini merupakan tawar-menawar politik yang menguntungkan. Umpamanya, isu 10% kuota bukan-Bumiputera dalam  Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang merupakan institusi pendidikan khas kepada orang Melayu dengan kelengkapan dan infrastruktur yang relatifnya jauh lebih baik daripada kebanyakkan Sekolah Kebanggsaan, sering dijadikan bahan tawar-menawar politik apabila timbul gesaan daripada parti komponen Barisan Nasional atau mana-mana pihak lain untuk memberi kedudukan yang baik kepada bukan-Bumiputera.[4]  

Demikian juga 17 tuntutan Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Suqiu) yang dikemukakan sebelum Pilihan Raya Umum 1999 yang selain menuntut reformasi dalam dalam sistem perundangan, hak asasi, dan liberalisasi ekonomi, Suqiu turut mendesak agar lebih banyak peruntukan diberikan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina), termasuklah memansuhkan Sekolah Wawasan dan menambahkan guru bahasa Cina. Dr Mahathir yang berdepan dengan kemarahan orang Melayu ketika itu kerana pemecatan Anwar Ibrahim telah menggunakan kesempatan ini untuk dilihat sebagai pelindung hak orang Melayu dengan menyelar Suqiu sebagai tidak ubah seperti komunis (Utusan 2000). Jelas, isu pendidikan venakular dijadikan sebagai tawar-menawar setiap kali berlaku gangguan terhadap keseimbangan permuafakatan politik dalam Barisan Nasional.

Pada masa yang sama, sistem pendidikan Malaysia sukar untuk membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan yang tunggal kerana faham kebangsaan di negara ini tidak terselesai dan sangat bermasalah. Bagi memahami kerumitan persoalan takrif kebangsaan ini, boleh dimulakan dengan melihat Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang menjadi asas kepada pengenalan identiti kebangsaan Malaysia. Dasar ini mengariskan tiga teras utama kebudayaan kebangsaan[5];

  1. Kebudayaan Rakyat Asal Rantau ini yang merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu.
  2. Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar boleh diterima Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan.
  3. Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia. (Sumber: Dasar Kebudayaan Kebangsaan [1971])

Maka, selepas tahun 1971, perlahan-lahan Sekolah Kebangsaan mula mengambil elemen-elemen Islam untuk disesuai dan diinstitusikan dalam Sekolah Kebangsaan. Banyak semakan kokurikulum sistem pendidikan telah membolehkan budaya dan nilai  Melayu serta agama Islam dijadikan teras kepada identiti Sekolah Kebangsaan. Pada peringkat Sekolah Menengah, mata pelajaran Agama Islam dijadikan mata pelajaran wajib kepada pelajar Muslim (Joseph 2008). Menurut Joseph (2008: 184), beliau menggunakan istilah ‘politics of ethnic identification’ bagi menjelaskan ‘these differences and power imbalances along the various social, economic and educational dimensions that are linked with the official political ethnic categories in Malaysia’.

Demikian juga dalam aspek bahasa apabila bahasa Melayu diikat bersama dengan agama Islam sehingga bahasa Melayu yang seharusnya menjadi bahasa Kebangsaan rakyat Malaysia, sebahagiannya menjadi eksklusif kepada orang Melayu-Islam. Kes ini bukan sahaja merujuk kepada isu penggunaan nama Allah oleh bukan Islam dan terjemahan Bible dalam bahasa Melayu[6], tetapi juga larangan penggunaan beberapa istilah Arab yang ‘diMelayukan’ seperti haji, mufti, iman, fitrah.[7] Larangan ini tentunya aneh apabila mengambil kira beberapa istilah agama yang digunapakai dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa Sanskrit, seperti syurga, neraka dan puasa. Malah istilah agama itu sendiri daripada bahasa Sanskrit.

Identiti Melayu dan kaitannya dengan Islam diperteguhkan lagi melalui Syarahan Perdana Syed Naquib Alatas Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu di UKM pada tahun 1972. Menurut beliau, sebelum kedatangan Islam, meskipun masyarakat Melayu menganut ajaran Hindu, namun hanya diperingkat ritual dan kesenian semata-mata. Masyarakat Melayu tidak dapat menjangkau falsafah agama Hindu dan merangkum metafizik Hindu yang kompleks. Hanya selepas kedatangan Islam, masyarakat Melayu mula melibatkan diri dalam persoalan metafizik dan falsafah yang kompleks (Syed Naquib Alatas 1972:13).

Wacana berkenaan identiti kebangsaan di Malaysia sukar berkembang bukan sahaja konsep bangsa Malaysia yang ditawarkan oleh Dr Mahathir melalui Wawasan 2020 tidak dihuraikan oleh beliau, malah, konsep alternatif yang ingin diajukan juga tidak pernah dihuraikan, contohnya gagasan Malaysian Malaysia yang di bawa oleh DAP hanya setakat menyetujui bahawa pembentukan bangsa Malaysia harus berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan yang sekular dan liberal (Lim Kit Siang 1986).

Meskipun pada suatu ketika, sebelum adanya Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971, DAP melalui Lim Kit Siang cuba mengusulkan kebudayaan kebangsaan Malaysia yang berteraskan tiga kaum utama – Melayu, Cina dan India. Paling nyata adalah perdebatan antara Lim Kit Siang dengan pengasas Parti Gerakan, Syed Naquib Alatas berkenaan takrif persuratan Malaysia. Lim Kit Siang menyatakan bahawa persuratan Malaysia harus mencakupi penulisan dalam bahasa lain bahasa Melayu (umumnya bahasa Inggeris, Cina dan Tamil) oleh pengarang berbangsa Malaysia. Lim mempertegaskan bahawa kedudukan bahasa dan kebudayaan bukan Melayu juga harus ditempatkan sama tinggi dengan bahasa dan kebudayaan Melayu. Hal ini tidak dipersetujui oleh Syed Naquib yang berhujah bahawa semangat dan ideal sebuah bangsa tercermin pada persuratanya. Persuratan Malaysia yang tulen, ditulis dalam bahasa Melayu oleh pengarang yang tidak semestinya Melayu tetapi menyerap tradisi dan kebudayaan kepulauan Melayu.[8]

Malangnya, perbahasan ini tidak disambut oleh lain-lain pihak baik dalam politik mahu pun akademik. Akhirnya polemik yang dicetuskan oleh Syed Naquib ini mati begitu sahaja. Sehingga kini, Malaysia tidak pernah menyelesaikan polemik identiti kebangsaan ini, baik di peringkat epistemologi, mahupun di peringkat perlaksanaan dasar negara.

Kesimpulan

Malaysia kini berada dalam transisi penting baik daripada sudut ekonomi, politik, mahu pun sosial. Dalam transisi yang kritikal ini, saat sebahagian daripada wacana awam telah menjadi lebih progresif dengan membawa agenda-agenda yang bersifat sejagat dan konstruktif, sebahagian wacana ini masih lagi dihimpit dengan politik etno-nasionalis sempit yang sering berulang-ulang – kedudukan Bumiputera, persaingan moral pemerintah, dan kesetiaan kepada status quo.

Sebahagian besar masalah ini, sebagaimana yang dinyatakan dalam makalah ini, terletak dalam sistem pendidikan negara yang masih gagal untuk membina citra kebangsaannya sendiri di sebalik slogan-slogan besar bangsa Malaysia, 1Malaysia, dan Wawasan 2020.

Sistem pendidikan Malaysia setakat ini tidak berminat untuk merombak sistem sedia ada dengan mengajukan satu bentuk pendidikan nasional yang mampu merangkumi semua dengan mula membahas dan menyelesaikan identiti kebangsaan. Selagi sistem sosial dan politik Malaysia gagal mendamaikan antara kedudukan identiti Melayu, Islam dan identiti kaum serta agama lain, maka hasrat melahirkan gagasan bangsa Malaysia hanya tinggal retorik semata-mata.

Rujukan

Abdul Rahman Embong. 1995. ‘Malaysian Middle Class: Some Preliminary Observations’ dalam  Jurnal Antropologi dan Sosiologi Bil 22: 31-54

___________1996. Social Transformation, the state and the Middle Class in Post-independent Malaysia. Southeast Asian Studies 34, no 3: 56-72.

___________1998. ‘Malaysian Middle Class Studies: A Critical Review’ dalam Rethinking Malaysia, (eds). Malaysian Social Science Association. Hong Kong: Asia 2000.

___________.2002. State-Led Modernization and the New Middle Class in Malaysia. New York. Palgrave.

___________ 2000b. ‘Pembangunan dan Ketidaksetaraan Pendapatan: Pencapaian dan Cabaran Masa Depan’ dalam Abdul Rahman Embong (eds). Negara, Pasaran dan Pemodenan Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

___________2001a. Southeast Asian Middle Classes, Prospect for Social Change and Democratisation. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

___________2001b. ‘Beyond the Crisis: The Paradox of Malaysia Middle Class’ dalam (eds). Abdul Rahman Embong. Southeast Asian Middle Classes, Prospect for Social Change and Democratisation, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid. 2013. Trends in Southeast Asia: Political Islam And Islamist Politics In Malaysia. ISEAS. Singapore

Anderson, Benedict.1983. Imagined Communities: Reflections on the Origin and Spead of Nationalism, London: Verso.

Bourdieu, Pierre, And Passeron, Jean-Claude. 1977. Reproduction in Education, Society, And Culture. London: Sage.

Cheah Boon Kheng. 2003. The Bumiputera Policy And Nation Building dalam Kajian Malaysia, Vol. XXl. Nos 1&2, 2003

Crouch, Harold, 1996, Government & Society in Malaysia, St. Leonards, NSW, Australia: Allen & Unwin.

Giroux. 1980. Critical Theory and Rationality in Citizenship Education. Curriculum Inquiry, Vol. 10, No. 4 (Winter, 1980), pp. 329-366

Joseph, Cynthia. 2008. Ethnicities and Education in Malaysia: Difference, Inclusions and Exclusions in G. Wan (ed.), The Education of Diverse Student Populations: A Global Perspective. Springer Science

Kahn, J. S. 1996. “Growth, Economic Transformation, Culture and the Middle Classes in Malaysia.” Dalam Richard Robinson and Davis S.G Goodman (eds.). The New Rich in Asia: Mobile Phone, McDonalds and Middle Class Revolution, London & New York: Routledge

­­­­­­­__________.1996b. “The Middle Class as a Field of Ethnological Study.” Dalam Muhammad Ikmal Said dan Zahid Emby, eds., Malaysia: Critical Perspectives: Essays in Honour of Syed Husin Ali. Petaling Jaya. Persatuan Sains Sosial Malaysia.

Kartini Aboo Talib@Khalid. 2012. Lanskap masyarakat Sivil: Evolusi, Politik dan Pendekatan dlm Haris Zuan dan Rizal Hamdan (eds). Wacana Baru Politik Malaysia: Perspektif Ruang Awam, Budaya dan Institusi. Petaling Jaya: SIRD.

Lim Kit Siang. 1986. Malaysia: Crisis of Identity. Petaling Jaya: Democratic Action Party.

Loh, K. W. 2000. Politik Baru di Malaysia? Siri Syarahan Umum Perlantikan Profesor. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

____________ 2002. ‘Developmentalism and the Limits of Democratic Discourse’ dalam Francis Loh Kok Wah dan Khoo Boo Teik, (eds). Democracy in Malaysia: Discourses and Practices. Curzon Press.

____________2003. “Towards a New politics of Fragmentation and Contestation.” dalam Francis Loh Kok Wah & Johan Saravanamuttu (eds)., New Politics in Malaysia. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies.

____________2009. Old vs New Politics in Malaysia: State and Society in Transition. Petaling Jaya:  SIRD dan Aliran Kesedaran Negara.

Noraini Othman.2008. Religion, Citizenship Rights and Gender Justice: Women, Islamization & Shari’a in Malaysia Since the 1980s in Noraini Othman etl (ed) Sharing the Nation: Faith, Difference, Power and the State 50 Years After Merdeka. SIRD. Petaling Jaya

Saravanamuttu. 2001. ‘Is There a Politics of the Malaysian Middle Class?’ dalam Abdul Rahman Embong (ed.), Southeast Asian Middle Classes, Prospect for Social Change and Democratisation. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Santhiram, R. 1997. “Curriculum Materials for National Integration in Malaysia — Match or Mismatch”, Asia Pacific Journal of Education Volume 17, Issue 2, 1997.

Shamsul A.B.1996.  Nations-of-Intent in Malaysia, in Asian Forms of the Nation, edited by Stein Tonnesson and Hans Antlov, London: Curzon and Nordic Institute of Asian Studies.

Shamsul A.B. 1996b. “The construction and transformation of a social identity: Malayness and Bumiputeraness re-examined” Journal of African and Asian Studies (Tokyo) 52: 15-33.

Shamsul A.B. 2001. A History of an Identity, an Identity of a History:The Idea and Practice of ‘Malayness’ in Malaysia Reconsidered. Journal of Southeast Asian Studies, 32 (3), pp 355-366 October 2001.

Syed Muhammad Naquib al-Attas. 1972. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Siri Syarahan Perdana UKM. Penerbit UKM. Bangi

Torii, Takashi. 2003. The Mechanism for State-led Creation of Malaysian’s Middle Classes. The Developing Economies, XLI-2: 221–242

Utusan. 2000. Tuntutan Suqiu Melampau. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1212&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm

_______. 2002. Jangan Rampas Hak Melayu. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm


[1] Walau bagaimanapun, saiz bandar pada tahun 1991 bukan semata-mata disebabkan oleh penghijrahan desa-bandar tetapi turut dipengaruhi oleh pendefinisian semula konsep bandar dalam Banci Penduduk 1991 (Abdul Rahman Embong 2000: 90).

[2] http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2011/06/24/hindraf-seeking-more-classified-documents-to-sue-britain/

[3] Menurut Shamsul (1996b) sistem pentadbiran kolonial telah mengkategorikan Melayu sebagai satu kaum homogen dan secara tidak tidak langsung membina dikotomi antara Melayu-Bumiputera dengan bukan-Melayu Bumiputera yang terus diamalkan sehingga kini dalam pentadbiran, akademik dan sosial. 

[4] Sebagai contoh, rujuk Utusan (2002) yang merupakan akhbar milik UMNO menggunakan tajuk Jangan Rampas Hak Melayu apabila membincangkan isu pendidikan nasional termasuk kuota 10% bukan-Bumiputera dalam MRSM.

[5] Sumber rasmi kerajaan berkenaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971.

Click to access 04Dasar_Kebudayaan_Kebangsaan.pdf

[6] Pihak JAKIM menolak penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam atas alasan mengelakkan kekeliruan oleh penganut Islam di negara ini dengan memberi justifikasi daripada segi penggunaan kalimah Allah dalam bahasa Arab, sejarah penterjemahan Bible dalam bahasa Melayu dan juga amalan serta fatwa negara Muslim lainnya. Bagi perincian rujuk:

Click to access hujah_tolak_guna_allah_oleh_kristian.pdf

[7] Bagi senarai penuh rujuk http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/larangan-penggunaan-istilah-istilah-islam-oleh-orang-bukan-islam.

[8] Bagi perbincangan lanjut, rujuk Ooi Kee Beng. 2011. The Right to Differ: A Biographical Sketch Of Lim Kit Siang. Refsa. Kuala Lumpur

Makalah ini ditulis susulan daripada Seminar Menjawab Tun Daim yang diadakan di IKMAS, UKM pada 3 April 2019.

Design a site like this with WordPress.com
Get started