Daim dan Homo Economicus: Suatu Bacaan Intim terhadap Teks “Naratif Malaysia”

Konteks yang melatari kelahiran teks Tun Daim ini menjadi keprihatinan beliau untuk mengajukan pandangan-pandangan yang bukan sahaja mencabar minda Melayu tapi turut mengundang jawapan balas.

Pendahuluan

Tulisan saya ini merupakan sebuah kritik terhadap teks Tun Daim Zainuddin yang beliau sampaikan di Seminar Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional pada 19 Mac 2019 bertempat di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor. Terdapat dua teks yang menjadi rujukan saya. Satu, teks ucaptama Tun Daim yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan dan kedua, teks transkripsi penuh sesi soal-jawab bersama Tun Daim selepas habis ucaptama beliau. Kedua-dua teks ini boleh diperolehi di laman rasmi Naratif Malaysia di alamat http://naratifmalaysia.com.

Kritik yang saya lakukan ini adalah melalui kaedah yang dipanggil bacaan intim. 

Teks dan Konteks

Membaca teks secara intim adalah antara kaedah yang boleh digunakan untuk menggali pemikiran seseorang tokoh. Tapi teks tanpa konteks adalah penyembunyian. Menyembunyikan latar, keadaan, suasana, peristiwa yang melahirkan teks tersebut. Penyembunyian ini akan mencacatkan tafsiran dan pemahaman yang lebih jitu terhadap teks kerana teks tidak lahir dalam hampawa.

Begitu juga halnya dengan teks daripada Tun Daim yang muncul bukan dari hampawa tapi ada konteks yang melatarinya. Justeru, soalan yang selanjutnya ialah apa konteksnya?

Konteks, kadangkala boleh ditemui di dalam teks itu sendiri dan menjadi tugas penyelidik kemudiannya untuk memetakan penemuan tersebut dengan suasana, keadaan dan peristiwa di luar teks. Pada masa yang sama konteks mungkin saja tidak ditemui di dalam teks tapi memerlukan penelitian terhadap suasana yang sedang berlaku di dalam tempoh masa teks itu dihasilkan.

Di awal teks ucapan Tun Daim, beliau sudah pun memberikan tanda yang jelas dengan ayat – “untuk memahami iklim politik semasa kita pada hari ini”.

Tentunya ini merujuk kepada suasana politik yang sedang berlaku sekarang.

Tun Daim tidak memperincikan dengan jelas apa yang beliau maksudkan dengan “iklim politik semasa pada hari ini” kecuali dengan merujuk pertamanya kepada peristiwa kemarahan orang Melayu terhadap pelantikan bukan Melayu ke jawatan-jawatan tinggi dalam kerajaan dan keduanya, peristiwa beberapa individu yang menghantar mesej berupa penghinaan terhadap nabi Muhammad.

Tapi rujukan Tun Daim terhadap dua peristiwa tersebut adalah lebih sebagai kaedah untuk mengkritik-balas orang Melayu dan orang Islam yang dianggap oleh beliau mudah merasa marah dan terancam sedangkan menurut Tun Daim, “tiada kemarahan yang sama ditunjukkan apabila berhadapan dengan pemimpin Melayu yang terlibat dalam rasuah dan kleptokrasi”  dan hakikat bahawa “agama tidak mungkin terhina, hanya manusia yang merasa terhina”.

Melayu Terancam

Dan tema rasa terancam dan rasa tidak selamat Melayu inilah yang menjadi konteks serta latar kepada teks Tun Daim. Pasca PRU14 yang lepas telah memperlihatkan kebangkitan politik identiti khususnya di kalangan orang Melayu dan Islam.

Peluahan rasa keterancaman dan tidak selamat itu dicerminkan dengan pelbagai cara – petisyen yang menolak UiTM dari dibuka kepada bukan bumiputera misalnya mencecah ratusan ribu sokongan hanya dalam tempoh 24 jam. Begitu juga dengan puluhan ribu orang Melayu dan Islam dari seluruh Malaysia yang turun ke jalan dalam demonstrasi anti-ICERD adalah antara contoh manifestasi rasa keterancaman dan tidak selamat. Beralihnya sokongan orang Melayu khususnya dalam PRK Semenyih yang baru lepas turut memberi latar dan konteks kepada teks Tun Daim.

Konteks rasa keterancaman Melayu yang dimanifestasikan oleh tindakan-tindakan politik mereka baik secara individu atau kolektif melalui parti politik dan pertubuhan masyarakat sivil menjadi latar utama kepada teks Tun Daim ini kerana berulangkali Tun Daim membuat penegasan melalui ayat berbentuk kata suruhan supaya orang Melayu “jangan takut”.

Audien Sasaran Teks

Dari konteks politik identiti yang memanas pada hari ini dan rasa keterancaman Melayu yang wujud dalam masyarakat, jelas kepada kita sasaran audien utama Tun Daim adalah orang Melayu. Malahan istilah “Melayu” itu sendiri disebut sebanyak 174 kali berbanding dengan istilah “Malaysia” yang hanya disebut sebanyak 43 kali sahaja.

Audien Sasarannya Melayu Teksnya Bahasa Inggeris

Tapi ironinya ialah teks ucapan beliau itu dibuat di dalam Bahasa Inggeris. Walaupun sasaran audiennya adalah orang Melayu tapi bahasa yang digunakan adalah bahasa Inggeris sehingga mengundang cemuhan di ruang komen facebook. Namun begitu mujurnya sesi soal-jawab adalah dalam bahasa kebangsaan.

Andaian yang boleh dibuat tentang kenapa teks ucapan beliau itu dibuat dalam bahasa Inggeris ialah mungkin kerana acara tersebut diadakan di universiti yang dianggap sebagai ruang terpelajar dan tiada masalah untuk mereka memahami Bahasa Inggeris. Jika ini yang menjadi sebab, apa yang boleh dirumuskan ialah terdapatnya ketidakyakinan di dalam pemikiran Tun Daim khususnya dan elit-elit Melayu lainnya tentang keupayaan bahasa kebangsaan kita sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan bahasa wacana tingkat tinggi.

Agak malang jika Tun Daim berfikiran sebegitu kerana teks di dalam bahasa Inggeris tersebut telah pun diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan dengan agak mudah. Ini memberi makna tiada keperluan sebenarnya untuk berucap di dalam bahasa Inggeris kerana teksnya boleh sahaja ditulis dalam bahasa kebangsaan. Malahan pula hampir semua peserta seminar yang datang mendengar adalah orang Malaysia.

Menggunakan bahasa Inggeris dari sudut strateginya pula tentulah tidak tepat kerana sasaran audien teks itu ditujukan kepada orang Melayu. Malahan penggunaan bahasa Inggeris kemungkinan besar telah menyebabkan capaian khalayaknya juga terhad hanya kepada mereka yang berbahasa Inggeris sahaja berbanding jika Tun Daim menggunakan bahasa kebangsaan.

Pemilihan bahasa itu sendiri adalah cerminan kepada pemikiran dan sikap elit-elit Melayu yang memandang rendah terhadap keupayaan bahasa kebangsaan kita sendiri.

Kerana itu juga tidak menghairankan jika sekiranya tumpuan utama teks Tun Daim ini adalah berkaitan dengan hal-hal yang bersifat ekonomi dan material manakala hal-hal yang bersifat perasaan, budaya, bahasa, keperibadian dan identiti kebangsaan langsung tidak disentuh oleh beliau.

Ekonomi Sebagai Pusat Naratif Utama Tun Daim

Pusat kepada naratif Malaysia Tun Daim sebahagian besarnya terfokus kepada ekonomi. Secara khususnya perniagaan. Membaca teks penuh Tun Daim dan juga transkripsi soal-jawab bersama beliau menemukan kita dengan perkataan ‘niaga’ dan ‘dagang’ sebanyak 82 kali iaitu 73 kali kata ‘niaga’ dan 9 kali kata ‘dagang’. Perkataan ‘ekonomi’ pula sebanyak 27 kali. Manakala kata ‘akal’ disebut sebanyak 14 kali.

Jumlah kata yang dikutip ini bukan hanya sekadar nombor tapi juga adalah cerminan permikiran seorang Tun Daim Zainuddin. Ini mungkin kerana sejarah hidup beliau sendiri yang puluhan tahun terlibat dalam perniagaan. Malahan apabila beliau dilantik menjadi Menteri penuh pada tahun 1984 oleh Tun Mahathir, portfolio yang dipegangnya juga adalah di Kementerian Kewangan.

Namun begitu persoalan ekonomi dan perniagaan yang menjadi pusat kepada naratif Malaysia Tun Daim in adalah khusus ditujukan kepada orang Melayu.

Melayu Bangsa Emosi

Di sebalik penyenaraian tokoh-tokoh Melayu yang berjaya, terselit kerisauan dan kegusaran Tun Daim terhadap tingkahlaku, kecenderungan dan sikap Melayu yang dianggap oleh Daim mudah “marah”, “sensitif”, “mencari salah orang lain”, “mengkambing-hitamkan yang lain”, “cepat mengamok”, “berfikir dengan emosi”. Perkataan “emosi” sahaja sebanyak 6 kali disebut oleh Tun Daim dalam memperihalkan keperibadian Melayu.

Penggunaan istilah-istilah kata sifat dan kata kerja yang kemudiannya digunakan untuk mencirikan Melayu, terasa seolah-olah seperti membaca buku-buku tulisan pentadbir kolonial – Winstedt, Swettenham, Wilkinson, Raffles, Skeat, Maxwell dan seumpamanya – yang cenderung melakukan pemerihalan berbentuk pukul-rata, memperkecil dan memperemeh Melayu hanya kepada objek jajahan yang perlu diatur, ditertibkan dan ditamadunkan.

Kalau sekiranya kaedah pukul-rata, memperkecil dan memperemeh Melayu digunakan oleh penjajah sebagai alat penundukan dan kekuasaan yang memberikan mereka semacam justifikasi moral untuk menjajah, teks Tun Daim pula menggunakan kaedah yang sama sebagai suatu bentuk strategi retorika untuk membuat gesaan yang selanjutnya supaya orang Melayu tidak lagi menurut emosi sebaliknya menggunakan akal, logik dan fikiran rasional.

Perniagaan Aktiviti Paling Logikal

Dan buat Tun Daim tidak ada aktiviti yang lebih tinggi penggunaan akal, logik dan rasional kecuali dalam bidang perniagaan sehinggakan beliau menyarankan supaya sebelum seseorang itu menyertai politik, bidang perniagaan adalah sekolah terbaik buat seorang politikus kerana “selepas itu dia akan boleh berfikir secara logik”.

Bagi Tun Daim soal kemungkinan berlakunya konflik kepentingan buat seorang ahli perniagaan yang menceburi bidang politik tidak timbul. Mungkin Tun Daim melihat pengalaman dirinya – seorang peniaga yang berjaya yang kemudiannya menceburi bidang politik sebagai contoh yang perlu diikuti. Tapi apakah Tun Daim bersih dari sebarang konflik kepentingan dan tidak pernah menggunakan kedudukannya sebagai ahli politik untuk meraih kepentingan perniagaan sama ada buat dirinya atau pun jaringan perniagaannya – hanya beliau sendiri yang boleh menjawab.

Dalam keghairahan Tun Daim menyarankan rakyat Malaysia “supaya berjaya dahulu dalam bidang perniagaan sebelum menceburi politik” kerana seorang peniaga yang berjaya bagi beliau akan senantiasa berfikir secara logik, rasional dan tidak emosional, mungkin beliau terlepas pandang tentang sosok Donald Trump seorang ahli perniagaan berjaya yang kini menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Nilai Kejayaan

Dan nilai kejayaan bagi Tun Daim diukur melalui kepemilikan material iaitu kaya. Matlamat akhir kejayaan bagi Tun Daim adalah untuk menjadi kaya seperti mana yang beliau nyatakan:

Anda hendak bermain bola pun, mainlah. Tapi mesti jadi nombor satu. Jadilah macam Messi, Ronaldo. Baru kaya. Anda hendak bermain tennis, mainlah. Tapi akhirnya jadilah macam Nadal, Federer. Kaya. Itu yang kita mahu. Hendak menjadi penyanyi pun tidak mengapa – orang Melayu, orang Cina semua – nyanyilah. Asalkan akhirnya menjadi kaya. Tapi kejayaan yang penting dahulu. Setiap perkara yang kita mahu lakukan, mesti berjaya terlebih dahulu. Kejayaan akan membawa kekayaan.”

Dan istilah “kaya/kekayaan” disebut sebanyak 21 kali dalam teks Tun Daim ini.

Tentunya tidak salah untuk sesiapa pun yang bercita-cita mahu menjadi kaya. Sistem kapitalisme yang beroperasi di dalam kehidupan kita pada hari ini sangat berpengaruh dalam membentuk berahi dan keinginan untuk menjadi kaya. Namun begitu persoalannya bukan tentang cita-cita mahu menjadi kaya tetapi bagaimana kekayaan itu diperolehi? Inilah yang tidak diperincikan oleh Tun Daim.

Bagaimana dengan kekayaan yang diperolehi melalui jalan rasuah dan penipuan? Bagaimana dengan kekayaan yang diperolehi  melalui eksploitasi pekerja yang dibayar gaji murah dan dilayan secara tidak manusiawi? Bagaimana kekayaan yang diperolehi dengan cara memperhambakan buruh-buruh migran? Bagaimana kekayaan yang diperolehi melalui pencemaran dan pemusnahan alam sekitar? Bagaimana dengan kekayaan yang diperolehi melalui persaingan yang tidak adil? Bagaimana kekayaan yang diperolehi dengan bantuan “tongkat”? Bagaimana pula kekayaan yang diperolehi dengan menggunakan kedudukan, jaringan dan hubungan politik untuk mendapatkan projek dan kontrak? 

Ini semua nampaknya tidak mendapat jawapan yang jelas dan tuntas dalam naratif Malaysia Tun Daim, sekurang-kurangnya dari apa yang dibekalkan oleh teks beliau itu.

Melayu dan Tongkat

Memang teks beliau mengkritik pemberian keistimewaan kepada orang Melayu yang beliau istilahkan sebagai “tongkat” yang telah menjadi alat membatasi keupayaan orang Melayu untuk bersaing, sehinggakan wujud kebergantungan terhadap “tongkat” tersebut. Malahan Tun Daim melihat pemberian tongkat ini menjadikan orang Melayu semakin berasa tidak selamat.

Kemenangan Tanpa Tongkat

Beliau memetik sejarah penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union 1946 sebagai suatu peristiwa kemenangan besar yang diperolehi tanpa bantuan “tongkat”.

Dan selanjutnya beliau mengajukan soalan retorik – “Apakah kerana ketika kita tidak dibekalkan dengan ‘tongkat’, maka kita punya maruah dan harga diri, dan ini menjadikan orang Melayu merasakan kedudukan mereka lebih selamat di dalam negara ini?

Pertanyaan ini tentunya bersifat retorikal. Ini adalah kerana penentangan terhadap Malayan Union pada tahun 1946 itu faktanya bukan kerana orang Melayu rasa selamat, tetapi ianya lahir daripada rasa tidak selamat khususnya berhubung dengan soal pemberian kewarganegaraan berdasarkan jus soli kepada bukan Melayu.

Mengulang Sejarah UMNO

Malahan memetik sejarah penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union mengukuhkan lagi naratif sakral UMNO ini. Tidak dinafikan bahawa Malayan Union 1946 adalah detik penting dalam sejarah UMNO. Tapi sejarah UMNO bukanlah satu-satunya sejarah bangsa Melayu. Sejarah UMNO hanya sebahagian daripada gerakan nasionalisme Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan.

Mengangkat penentangan terhadap Malayan Union oleh orang Melayu yang berpayung di bawah UMNO tentunya wajar sahaja tapi jangan sampai mengetepikan sejarah perjuangan kemerdekaan oleh kumpulan-kumpulan nasionalis Melayu yang lain seperti KMM, PKMM, API, AWAS, SEDAR, BATAS, PKM, Hizbul Muslimin, PAS, Kesatuan-Kesatuan Sekerja dan organisasi-organisasi Melayu serta bukan Melayu yang lain yang turut menyumbang kepada kemerdekaan negara kita.

Naratif Sejarah Terpilih

Begitu juga dengan naratif kegemilangan kerajaan Melaka yang Tun Daim gunakan untuk menunjukkan betapa orang Melayu “pandai berniaga” dahulunya sebelum dipinggirkan melalui penjajahan, telah diambil secara tidak kritis. Naratif kegemilangan Melaka ini adalah artifak budaya yang sering digunakan oleh nasionalis Melayu secara terpilih dan tersaring. Hanya yang gilang-gemilang sahaja yang ditonjolkan. Sedangkan sisi-sisi kekejaman feudal, korupsi dan rasuah jarang diketengahkan.

Mungkin tidak ramai yang tahu betapa amalan rasuah yang dipanggil dengan istilah “sorong” sudah pun wujud dalam teks Sulalatus Salatin (yang dinamakan secara salah oleh Raffles sebagai Sejarah Melayu) – sebuah manuskrip tahun 1612. Dan perbuatan “menyorong” ini melibatkan persekongkolan di antara golongan saudagar/peniaga dan elit kepimpinan tertinggi Melayu di Melaka.

Hal-hal yang sebeginilah yang menyebabkan pemerihalan sejarah dalam teks Tun Daim ini terasa seperti naratif sejarah UMNO yang biasa kita baca dan dengar.

Namun begitu, Tun Daim sedikit melangkaui naratif sejarah UMNO apabila beliau mengajukan naratif sejarah kerajaan-kerajaan Melayu sebelum Islam yang beragama Hindu sebagai sebahagian daripada sejarah bangsa Melayu.

Tujuan Teks

Sejarah menjadi sarana penting buat Tun Daim untuk menyampaikan mesej dan tujuan utama teks beliau, iaitu – “Melayu, jangan takut”.

Di dalam teks, Tun Daim berulang-ulang kali membuat seruan supaya orang Melayu jangan berasa takut. Untuk meyakinkan orang Melayu, sejarah menjadi sarana utama beliau. Kalau kegemilangan Melaka diangkat sebagai bukti bahawa Melayu dahulu pernah “pandai berniaga”, tokoh-tokoh sejarah silam dan kontemporari yang Tun Daim istilahkan sebagai ‘hero’ diangkat pula untuk meyakinkan Melayu bahawa mereka juga mampu untuk berjaya.

Hero-Hero Melayu

Seramai 21 orang hero Melayu Johor, lelaki dan perempuan disebut oleh Tun Daim dalam teks beliau itu. Hero-hero Melayu ini adalah nama-nama ulung yang telah menyumbangkan bakti dan jasa besar terhadap negara. Dengan membariskan tokoh-tokoh besar dari bangsa Melayu ini, Tun Daim mengharapkan ianya akan memberi inspirasi kepada orang Melayu yang lain bahawa mereka juga mampu untuk berjaya seperti mana tokoh-tokoh tersebut.

Setelah menyenaraikan nama-nama hero Melayu, lelaki dan perempuan, berserta kejayaan-kejayaan yang telah mereka capai dan sumbangkan kepada bangsa dan negara, Tun Daim sekali lagi mengemukakan soalan retorik – “kenapa perlu kita merasa tidak selamat sedangkan kita mempunyai legasi kejayaan Melayu seperti yang telah saya bentangkan di atas?” 

Hero Melayu Kelas Bangsawan

Membuat penelitian kritis ke atas nama-nama hero Melayu yang disenaraikan oleh Tun Daim itu satu rumusan umum yang boleh dibuat ialah mereka semua berjaya sebahagiannya adalah kerana dibantu oleh kedudukan keluarga mereka di dalam struktur sosial yang wujud dalam masyarakat Melayu. Dengan kata yang lebih mudah – kedudukan mereka sebagai keluarga dari kelas bangsawan dan kelas menegah sedikit-sebanyak pasti membantu mereka untuk berjaya dan mencapai kedudukan seperti mana yang diperikan oleh Tun Daim.

Dari sini, tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa dalam menyenaraikan hero-hero Melayu ini, Tun Daim kurang mempertimbangkan faktor struktur sosial yang turut mempengaruhi kejayaan mereka. Begitu juga perkahwinan yang berlaku antara sesama kelas bangsawan ini seperti mana yang diceritakan oleh Tun Daim sendiri turut memperkukuhkan struktur kelas dalam masyarakat Melayu.

Justeru, kejayaan hero-hero Melayu ini tidak dinafikan tentu juga hasil daripada usaha dan kebolehan individu yang mereka punyai, tetapi kita tidak boleh menolak faktor kelas, jaringan atau modal sosial yang mereka miliki hasil daripada kedudukan mereka di dalam kelas tersebut turut sama membantu mereka mencapai kejayaan.

Kapitalisme Tanpa Kritik

Pemfokusan kepada pencapaian individu tanpa mempertimbangkan struktur sosial yang wujud dalam masyarakat cenderung melahirkan analisa yang kurang menyeluruh dan tidak memberikan gambaran yang lebih adil.

Persoalan struktur ini hampir tidak disentuh oleh Tun Daim. Malahan daripada teks, beliau menerima sepenuhnya kesenjangan atau ketaksamaan yang terhasil daripada sistem ekonomi kapitalisme bila beliau menyatakan:

Yang kaya, tetap kaya. Yang miskin, masih miskin. Dalam masyarakat kapitalis keadaan ini memang akan berlaku. Ianya tidak boleh dielakkan melainkan kita mahu menukar sistem kita kepada komunisme. Di dalam sistem ekonomi pasaran bebas sesiapa yang berjaya akan menjadi kaya. Jadi, dalam sistem sebegini, pekerja akan masih menjadi pekerja. Kesenjangan dalam masyarakat akan menjadi lebih luas. Dalam sistem kapitalis satu dunia sebegitu.”

Dasar Ekonomi Baru Adalah Masalah Perlaksanaan

Untuk menangani masalah kesenjangan atau ketaksamaan antara kaya dan miskin ini, penyelesaian yang ditawarkan oleh Tun Daim sebenarnya tetap sama dengan regim Barisan Nasional sebelumnya iaitu melalui tindakan afirmatif – Dasar Ekonomi Baru. Merujuk kepada masalah kesenjangan yang wujud dalam masyarakat Tun Daim menyatakan:

Kerana itulah kita perkenalkan Dasar Ekonomi Baru untuk menolong mereka yang kurang bernasib baik. Membantu mereka yang miskin. Bukan hanya orang Melayu sahaja yang miskin – orang Cina, India, Dayak, Dusun, Kadazan dan dalam semua komuniti akan ada mereka yang masih miskin. Yang kaya, terus kaya. Yang miskin, terus miskin. Kita mahu mengurangkan jurang antara yang kaya dan yang miskin ini. Itu tujuan kita.

Buat Tun Daim Dasar Ekonomi Baru bukanlah suatu masalah. Yang bermasalah adalah perlaksanaannya dan juga cara bagaimana ianya diagihkan. Sepertimana yang dinyatakan beliau di dalam teks:

Dasar Ekonomi Baru itu sememangnya adalah suatu mekanisme yang bagus. Yang menjadi masalahnya ialah perlaksanaan. Yang gagal itu perlaksanaan dasar tersebut. Dulu, perlaksanaannya memberi keutamaan kepada orang UMNO. Kalau ada orang UMNO yang datang meminta (projek), maka diberi kepada mereka. Sama ada mereka itu boleh membuat kerja atau tidak boleh membuat kerja – ianya tidak dpedulikan. Yang penting ialah dari pemberian tersebut, sokongan politik akan diperolehi. Melalui jalan lobi-melobi politik, maka mereka pun mendapat projek. Tapi sekarang kita nyatakan – kalau hendak pertolongan atau bantuan daripada kerajaan, pertamanya mesti dikenalpasti terlebih dahulu perniagaan apa yang ingin dilakukan. Selepas itu kita mahu melihat cash flow atau aliran tunai daripada perniagaan yang ingin dijalankan itu. Perniagaan itu mesti jelas aliran tunainya.”

Penyelesaian kepada perlaksanaan DEB yang gagal kerana dulunya ia dijadikan alat untuk meraih sokongan politik, kini cara untuk memperbetulkannya menurut Tun Daim hanyalah dengan menghentikan agihan berbentuk politik, mengenalpasti jenis perniagaan yang sesuai dan penyediaan pelan aliran tunai yang lengkap. Mudah sungguh.

Kemungkinan mekanisme penyelesaiannya jauh lebih rumit daripada apa yang dinyatakan oleh Tun Daim di atas. Dan tentu saja Tun Daim sebagai ahli perniagaan dan bekas Menteri Kewangan Malaysia yang berjaya jauh lebih tahu bagaimana untuk mengatasi masalah kegagalan perlaksanaan DEB.

Pembinaan Bangsa Sebagai Bingkai Besar

Justeru, kritik saya bukanlah tentang cara yang kelihatannya terlalu mudah itu tetapi lebih kepada melihat bingkai permasalahan yang lebih besar iaitu persoalan nasional yang merangkumi pembinaan negara-bangsa Malaysia yang terhambat oleh struktur ekonomi mengikut garis kaum. Kerangka tujuan keseluruhan DEB yang ramai terlepas pandang ialah tentang pembinaan negara bangsa dan perpaduan nasional.

Teks Tun Daim sepertimana yang telah saya bentangkan di atas lebih memfokuskan kepada persoalan ekonomi, perniagaan, rasa tidak selamat Melayu dan bagaimana untuk melahirkan Melayu yang lebih yakin diri dan mampu bersaing. Hampir tidak ada perbahasan tentang pembinaan bangsa dan perpaduan nasional. Walau pun Tun Daim menyentuh tentang DEB tetapi kelihatannya matlamat besar DEB yang merangkumi persoalan pembinaan bangsa dan perpaduan nasional tidak menjadi fokus kepada naratif Malaysia Tun Daim.

Andaian saya kemungkinan besar pihak penganjur Seminar Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional, telah pun menetapkan bingkai yang khusus untuk dibentangkan oleh Tun Daim dan kerana itu persoalan membina bangsa dan perpaduan nasional tidak menjadi subjek utama dalam teks Tun Daim.

Struktur Kaum Dalam Ekonomi Malaysia

Namun begitu di dalam membincangkan tentang Melayu dalam persoalan ekonomi nasional kita tidak dapat lari daripada membahaskan struktur ekonomi Malaysia yang umumnya masih berdasarkan kepada kaum.

Struktur kaum ini turut disentuh oleh Tun Daim bila beliau menghuraikan tentang perniagaan Cina:

Dan dalam perniagaan, mereka akan bangunkan pertubuhan atau kesatuan perniagaan seperti dewan perniagaan atau business chambers. Fungsinya adalah untuk menolong antara satu sama lain. Kalau orang Hokkien, mereka ada persatuan perniagaan mereka sendiri dan jenis perniagaan yang tertentu yang menjadi tumpuan mereka. Kalau orang Teochew akan ada persatuan dan perniagaannya yang khusus. Begitulah juga dengan orang Kantonis. Masing-masing ada persatuan dan perniagaan khusus mereka. Tapi di dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan bersama yang memerlukan sokongan semua bangsa Cina, mereka bersatu di bawah Dewan Perniagaan Cina atau Chinese Chambers of Commerce. Ini yang penting.

Tun Daim pastinya mengetahui dengan lebih mendalam bagaimana perniagaan Cina bergerak. Dari teks ini juga boleh dikutip bahawa Tun Daim menginginkan sikap dan cara yang sama turut ada pada orang Melayu. Ayat – “ini yang penting” di baris terakhir itu jelas ditujukan kepada orang Melayu, yang sebelumnya Tun Daim kritik sebagai berperangai seperti “ketam kalau ada yang berjaya naik ke peringkat yang lebih tinggi, ketam-ketam yang lain akan menariknya turun ke bawah.”

Jika, sekiranya ini yang dimahukan oleh Tun Daim – peniaga Melayu bersatu di bawah satu Dewan Perniagaan yang akan mempertahankan, melindungi dan memperjuangkan kepentingan ekonomi kaum mereka seperti mana cara peniaga Cina beroperasi – bukankah ini hanya akan mengukuhkan lagi struktur masyarakat yang terpisah-pisah mengikut garis kaum, agama dan bahasa?

Proses sejarah kolonial yang kita lalui berabad lamanya telah menjadikan struktur masyarakat Malaysia terpisah-pisah mengikut garis kaum. Daripada tadika, sekolah, institusi pengajian tinggi hinggalah ke kawasan penempatan, persatuan-persatuan masyarakat dan parti-parti politik, terdapat pemisahan kaum yang ketara.

Akan tetapi pemisahan yang lebih mempengaruhi hubungan antara kaum ialah pemisahan ekonomi apabila wujudnya syarikat-syarikat, persatuan-persatuan dan dewan-dewan perniagaan yang mewakili kepentingan kaumnya sahaja.

Asas kepada kehidupan manusia adalah aktiviti ekonomi. Tapi jika ruang ekonomi yang merupakan ruang asas untuk manusia mencari makan dan meneruskan kelangsungan (survival) hidupnya itu dipisah-pisahkan mengikut kaum, apa yang akan berlaku ialah persaingan dan perebutan sumber-sumber ekonomi akan turut juga mengikut garis kaum.

Persaingan dan perebutan ini tidak nampak ketara jika sekira sumber ekonominya mencukupi buat semua. Ia wujud tapi terpendam. Oleh kerana sumber-sumber ekonomi masih mencukupi maka keterpendaman itu tidak dimanifestasikan. Namun apabila sumber-sumber ekonomi semakin kurang, dengan wujudnya struktur ekonomi yang terpisah-pisah mengikut kaum, keterpendaman yang akan muncul di permukaan mungkin dalam bentuk konflik perkauman dan ianya akan mudah pula dipicu melalui aparatus politik.

Jika bangunan asas atau tapak kepada sebuah rumah itu terpisah mengikut kaum, maka dinding dan atap rumah juga akan turut mengikut garis kaum.

Justeru, bukankah dengan saranan daripada Tun Daim supaya orang Melayu bergerak di dalam perniagaan seperti mana orang Cina bergerak – ianya akan mengental dan mengeraskan identiti kaum masing-masing khususnya apabila pertembungan dan persaingan itu berlaku di ruang ekonomi yang merupakan ruang kelangsungan (survival) hidup? 

Membina Bangsa Malaysia

Mungkin permasalahan struktur ekonomi Malaysia yang terpisah mengikut kaum melalui kewujudan syarikat-syarikat perdagangan, persatuan-persatuan ekonomi, pertubuhan-pertubuhan dan dewan-dewan perniagaan mengikut kaum ini lebih strategik jika dibingkaikan bukan dari kaca mata ekonomi tetapi yang lebih penting dari perspektif pembinaan Bangsa Malaysia.

Dan pembinaan Bangsa Malaysia ini tidak memerlukan untuk kita menghilangkan identiti kaum masing-masing tetapi mencari suatu kesepakatan bersama untuk mengenalpasti unsur-unsur terangkum yang boleh kita jadikan semacam pengikat kepada sebuah identiti kebangsaan Malaysia supaya intensiti perkauman dapat dilunakkan dan rasa kebangsaan Malaysia dapat diperkukuhkan.

Persoalan-persoalan inilah pada hemat saya tidak diberi tumpuan oleh teks Tun Daim walaupun tema besar seminar ini adalah tentang naratif Malaysia. Dan naratif Malaysia tentunya tak dapat menghindari persoalan-persoalan yang berkaitan dengan pembinaan bangsa.

Diam Adalah Teks

Membaca teks secara intim bukan hanya menumpukan kepada apa yang diucapkan di dalam teks. Tetapi turut menjadi analisa ialah apa yang tidak diucapkan atau apa yang didiamkan. Yang tidak ada dalam teks adalah suatu bentuk tanda diam. Tapi diam tidak semestinya tiada makna. Diam adalah juga suatu manifestasi sebuah pemikiran khususnya apabila wujud soalan tetapi tiada jawapan yang diberikan.

Di bahagian akhir teks Tun Daim, terdapat satu soalan yang tidak dijawab beliau. Soalan yang dikemukakan oleh salah seorang dari peserta Seminar Naratif Malaysia ini memang boleh ditafsirkan sebagai soalan tempatan – yang bermaksud soalan berkenaan hal yang terjadi khas di Johor. Justeru itu, yang menjawabnya ialah Dato’Osman Sapian bukan Tun Daim.

Menamakan Ruang

Namun jika diteliti inti yang terkandung dalam soalan tersebut ia jelas merupakan suatu persoalan nasional. Bukan hanya persoalan khas negeri Johor. Persoalan yang diangkat oleh peserta tersebut sebahagiannya adalah menyentuh tentang identiti, rupa-bentuk, wajah dan keperibadian yang bagaimanakah yang seharusnya diangkat dan ditampilkan kepada khalayak awam. Terpendam di bawah soalan ini bukan hanya tentang kegusaran ekonomi tetapi juga kegusaran tentang budaya, bahasa dan identiti nasional.

Inti kepada soalan tersebut adalah tentang mengubah nama ruang. Peserta yang bernama Ahmad Yazid Bin Ramli daripada Kluang mengajukan soalan seperti berikut:

Saya agak terkesan dengan apa yang berlaku di bandar Kluang atas sebab penjenamaan semula Pekan Rabu Kluang kepada Kluang Junction. Sedangkan Pekan Rabu adalah satu branding bangunan perniagaan bumiputera yang kita kenal sepertimana Pekan Rabu Alor Setar, Pasar Payang, Pasar Besar Siti Khadijah. Kita gunakan nama dagangan tersebut sebagai Pekan Rabu di Kluang dan dijadikan manifesto pada PRU13 dan sekarang bangunan Pekan Rabu itu telah ditukar namanya kepada Kluang Junction dan dimasuki tycoon perniagaan yang kita kenali sebagail Songmart, yang dimiliki oleh peniaga Cina. Saya suarakan perkara ini sejak daripada 22 Januari 2018, tarikh di mana berlakunya penjenamaan semula Pekan Rabu yang dibuat tanpa perbincangan dengan penduduk setempat. Dan saya isukan juga perkara ini pada 13 Mei selepas kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 yang lepas di mana pada 13hb Mei itu adalah pengumuman pembukaan Songmart di dalam bangunan bumiputera di Kluang. Apa usaha daripada kerajaan negeri Johor dalam memberi keutamaan kepada Melayu dalam persoalan nasional dari segi ekonomi khususnya tentang bangunan Pekan Rabu tersebut?

Malangnya seperti mana yang saya nyatakan Tun Daim tidak menjawab. Soalan ini adalah tentang suatu kes yang terjadi khas di Kluang, Johor. Tapi bagi yang cakna kepada isu-isu nasional yang berlaku dalam masyarakat dan peka kepada denyut nadi dan jantung masyarakat Melayu khususnya, tentu sudah sedia maklum isu pengubahan nama tempatan kepada nama asing khususnya dalam bahasa Inggeris di kota-kota dan bandar-bandar besar adalah isu terpendam tapi mencengkam sensitiviti Melayu.

Daim Yang Diam

Kenapa Tun Daim memilih untuk tidak menjawab soalan ini tidak pula diketahui dengan jelas. Apakah kerana beliau tidak faham tentang soalan yang dikemukakan atau apakah kerana persoalan budaya, bahasa, rupa-wajah, identiti dan keperibadian nasional bukanlah tumpuan utama naratif Malaysia buat Tun Daim. Naratif Malaysia yang paling utama buat Tun Daim adalah ekonomi dan perniagaan kerana bagi beliau ia adalah merupakan ruang yang paling logik dan rasional.   

Logik Homo Economicus

Tapi menyempitkan manusia hanya kepada homo economicus  adalah melawan hakikat sifat manusia yang turut terkandung di dalam wujudnya unsur-unsur emosi, perasaan, psikologi, seksualiti dan rohani. Dan mengubah nama tempat dari nama tempatan kepada nama dalam bahasa asing adalah satu tindakan yang telah pun menyentuh emosi si penanya, Ahmad Yazid Bin Ramli.

Logik seorang homo economicus mungkin berkisar kepada mencari nama yang boleh diperlihatkan sebagai boleh membawa keuntungan. Nama “Pekan Rabu” mungkin tidak cukup hipster atau classy dan tidak dapat untuk menarik ramai pelanggan berbanding dengan nama “Kluang Junction”.

Cara berfikir yang hanya memfokuskan kepada keuntungan memperlihatkan bahawa mereka yang terlibat di dalam usaha memadamkan nama tempatan yang lama dan mengubahnya kepada nama asing yang baru tidak punya keprihatinan, kepekaan dan kehalusan sejarah.

Menamakan Adalah Memadamkan

Pada mereka ruang hanyalah sekadar tempat, bukan sejarah. Sejarah ruang bagi mereka tidak penting. Yang penting apakah tempat tersebut boleh membawa keuntungan atau pun tidak. Nilai sejarah, ingatan, budaya, bahasa, identiti serta keperibadian yang terkandung dalam ruang tersebut tidak pernah menjadi pertimbangan mereka. Nama bagi mereka juga hanya punya satu tujuan iaitu keuntungan. Nama tidak mencerminkan apa-apa nilai buat mereka kecuali nilai ekonomi.

Agak malang sekali apabila mereka yang terlibat di dalam pengubahan nama tempatan kepada nama dalam bahasa asing ini tidak menyedari bahawa tindakan mengubah nama adalah juga tindakan memadamkan sejarah, ingatan, identititi dan keperibadian ruang tersebut.

Menamakan adalah juga memadamkan. Dengan menamakan ruang tersebut dengan nama baru, penama mengisytiharkan kepemilikan beliau terhadap ruang tersebut dan pada masa yang sama melupuskan kepemilikan lama, dan sejarah lama terpadam dengan kemunculan sejarah baru yang ditandai dengan nama baru. Justeru, mengubah nama tempat adalah suatu tindakan perampasan sejarah, ingatan, identiti dan budaya yang paling licik dan jahat.

Mentamadunkan Ruang

Dan nama yang dipilih pula bukan nama dalam bahasa tempatan tetapi suatu bahasa asing dari wilayah budaya yang asing pula yang tiada berpijak kepada akar sejarah dan budaya tempatan. MengInggeriskan nama adalah cerminan kepada sikap dan pemikiran mereka yang terlibat di dalam proses pengubahan tersebut yang melihat bahasa tempatan sebagai rendah dan tidak cukup canggih dan maju untuk dinamakan.

Oleh kerana itu nama dalam bahasa tempatan perlu dilupuskan. Melupuskan bahasa adalah juga melupuskan makna, sejarah, ingatan, budaya dan identiti bangsa. Mungkin disebalik pemikiran sebegitu tersembunyi pandangan bahawa ruang hanya boleh dimodenkan dan ditamadunkan dengan bahasa Inggeris. Bahasa kebangsaan dilihat tidak cukup kuat untuk menjadi cerminan kepada ketamadunan bangsa dan negara.

PengInggerisan nama ruang adalah suatu bentuk perisytiharan budaya baru melalui pelupusan budaya lama. Di sini penama mengangkat, mengisytihar dan mempertegaskan kedudukan dirinya dan komunitinya sebagai pemula sejarah baru di atas pemadaman sejarah lama.

Teks Sebagai Sejarah Pergulatan Pemikiran Bangsa

Teks Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional yang diajukan oleh Tun Daim ini pada hemat saya adalah suatu dokumen sejarah penting di era Malaysia Baru ini. Ia adalah sebuah cerminan sejarah idea dan pergulatan pemikiran seorang tokoh Melayu yang sudah teruji dan telah pun menempa kejayaan baik di bidang ekonomi mahu pun politik tetapi masih tetap sahaja aktif untuk terus menyumbangkan jasa dan bakti beliau kepada Malaysia dan khazanah sejarah pemikiran bangsa.

Konteks yang melatari kelahiran teks Tun Daim ini menjadi keprihatinan beliau untuk mengajukan pandangan-pandangan yang bukan sahaja mencabar minda Melayu tapi turut merangsang penyelidik seperti saya untuk memberi jawapan balas.

Saya berharap akan menyusul pula selepas ini kritik-kritik terhadap teks saya dan juga teks-teks kawan-kawan lain yang telah disumbangkan di dalam Seminar Menjawab Tun Daim ini supaya pergulatan idea terus rancak dalam usaha dan upaya kita untuk melahirkan naratif Malaysia yang benar-benar adil, saksama, manusiawi dan terangkum.


[1] Homo Economicus adalah istilah bahasa latin yang membawa maksud ‘manusia ekonomi’. Konsep ‘Manusia ekonomi’ ini muncul buat pertama kali dalam sejarah idea pada penghujung abad ke-19 apabila ahli falsafah Inggeris, John Stuart Mill menakrifkannya sebagai ‘manusia yang pastinya akan mendapatkan keperluan, keselesaan dan kemewahan yang paling maksima dengan tenaga kerja yang paling minima yang boleh diperolehinya”. Untuk tulisan ini istilah homo economicus merujuk kepada suatu bentuk pemikiran yang melihat manusia sebagai makhluk rasional yang mengejar kekayaan, kesenangan, keuntungan dan keselesaan hidup untuk kepentingan dirinya sendiri dan berupaya membuat pertimbangan-pertimbangan rasional di dalam mencapai keinginan, kehendak dan matlamat hidupnya.

Makalah ini dibentangkan pertama kali di Seminar Menjawab Tun Daim yang diadakan di IKMAS, UKM pada 3 April 2019.

Laporan Majlis Perasmian Seminar dan Ucaptama Naratif Malaysia

Majlis ini merupakan perasmian kepada Naratif Malaysia yang merupakan satu inisiatif bagi mengembangkan wacana mengenai Malaysia dan Melayu dalam bentuk akademik dan separa akademik di Malaysia.

Tarikh: 19 Mac 2019
Masa: 730pm- 10.30pm
Tempat: Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia
Jumlah kehadiran: 1000 orang

Pendahuluan

Majlis ini merupakan perasmian kepada Naratif Malaysia yang merupakan satu inisiatif bagi mengembangkan wacana keMalaysian yang tersusun dalam bentuk akademik dan separa akademik meliputi program seperti seminar, bengkel, forum, wawancara dan diskusi. Inisiatif ini mendapat sokongan penuh daripada Pejabat Menteri Besar Johor dan EXCO Pembangunan Keusahawanan, Koperasi Dan Ekonomi Kreatif. UTM turut mengalu-alukan program ini dengan menawarkan dewan serba indah sebagai lokasi majlis.

Majlis ini diawali dengan ucapan oleh Sheikh ‘Umar Bagharib Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keusahawanan, Koperasi Dan Ekonomi Kreatif selaku pengerusi jawatankuasa penganjuran majlis pelancaran ini. Kemudian diikuti dengan ucapan perasmian oleh YAB Datuk Osman Sapian, Menteri Besar Johor. Majlis kemudiannya berganjak ke acara ucaptama oleh YABhg. Tun Daim Zainuddin disusuli dengan sesi soal jawab.

Pendaftaran dan kehadiran peserta

Program ini adalah terbuka kepada orang ramai. Hebahan program dilakukan melaui slot khusus di Radio Johor dan juga di akhbar komuniti Johor, Buletin01.

Pada masa yang sama, terdapat dua kaedah bagi pendaftaran peserta. Pertamanya melalui jemputan rasmi oleh Kerajaan Negeri Johor kepada kepimpinan negeri, daerah dan komuniti. Hampir seribu oleh hadir melalui jemputan ini. Manakala kaedah kedua pula melalui pendaftaran di laman web IKMAS yang merupakan penganjur bersama program ini. Melalui pendaftaran atas talian ini, terdapat 124 orang yang telah berdaftar, kebanyakkannya ahli akademik, pemimpin komuniti dan juga orang awam yang mendapat makluman daripada atas talian.

Pengisian Majlis

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Y.B Sheikh ’Umar Bagharib Bin Ali. Ucapan beliau menyentuh dua perkara utama yang meletakkan inisiatif Naratif Malaysia ini sangat kena pada masa masanya. Pertamanya, adalah berikutan peningkatan suhu perkauman di negara ini selepas PRU-14. Isu-isu ini menunjukkan adanya suatu kelompongan perspektif mengenai kedudukan Melayu pasca-PRU14 dalam persoalan nasional. Mengisi kelompongan ini merupakan usaha mendesak kerana dapat membendung keresahan sosial dan politik yang sedang melanda kaum Melayu muthakhir ini.

Tambah beliau lagi, sikap baharu ini perlulah direncana secara tersusun agar kaum Melayu bukan sahaja tidak segan terhadap sejarahnya sendiri, akan tetapi kaum Melayu juga dapat memberi sumbangan yang signifikan seiring dengan perubahan struktur politik pasca-PRU14. Lebih jauh daripada itu, Sheikh Umar menegaskan keperluan kepada mengharmonikan agenda Melayu ini dalam pembinaan negara bangsa yang lebih inklusif – yang berbeza daripada naratif sebelum ini.

Perkara kedua yang beliau nyatakan dalam ucapannya adalah keperluan kepada konfigurasi politik yang baharu. Ujar beliau, beliau enggan parti pemerintah, Pakatan Harapan, terjerat dalam retorik politik perkauman yang sebelum ini kononnya mahu menjadi dewa pelindung Melayu, tetapi rupanya musang berbulu ayam, gunting dalam lipatan, telunjuk lurus kelingking berkait. Namun, beliau sedar dan percaya bahawa agenda Melayu tetap perlu diutama di negara ini. Maka, mencari konfigurasi baharu dalam mengadun wacana Melayu dalam persoalan nasional ini merupakan tema besar yang perlu ditekuni dengan teliti, cermat dan berhikmah yang perlu kepada artikulasi di luar ranah politik semata-mata. Gagasan yang sekaligus cabaran ini dilontarkan terus kepada Naratif Malaysia.

Majlis seterusnya beralih kepada ucapan perasmian oleh YAB Datuk Osman Sapian, Menteri Besar Johor. Beliau membawa dua isi penting dalam ucapan beliau. Pertama adalah mengenai situasi semasa tanah air yang beliau sifatkan sebagai satu proses pendemokrasian iaitu satu transisi antara politik baru dan politik lama.

Hasil daripada transformasi masyarakat pada dekad 1980-an dan 1990-an telah memunculkan kelas menengah baharu beserta dengan nilai baharu yang menurut YAB Menteri Besar telah membawa kepada desakan untuk beralih terus kepada politik baru dan meninggalkan politik lama. Wacana politik baharu ini sangat jelas terlihat sejak 20 tahun terakhir ini dan kemuncaknya pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu apabila Malaysia buat pertama kalinya menyaksikan perubahan kerajaan di peringkat pusat, termasuk di Johor.

Katanya, sebagai satu kerajaan baharu yang juga dibentuk oleh parti baharu, tentulah ada harapan baharu yang disandarkan kepadanya, termasuklah untuk melihat perubahan ke arah politik baharu tadi melalui proses pendemokrasian yang selama ini kerap tersekat hanya di peringkat wacana semata-mata. Kumpulan yang mahukan politik baru ini melihat inilah kesempatan politik yang harus dimanfaatkan dengan segera.

Namun, menurut beliau, apabila mempertimbangkan realiti politik Malaysia kini, adalah mustahil untuk melihat politik lama lenyap begitu sahaja dan digantikan dengan politik baru yang berdasarkan nilai demokrasi dan hak sivil semata-mata. Malah, pada hemat saya, adalah naif untuk berfikiran demikian. Hal ini kerana harapan terhadap politik baharu ini juga menimbulkan keresahan pada satu pihak yang lain yang merasakan budaya politik naungan selama ini menjadi pelindung kepada identiti politik mereka. Kumpulan yang masih kuat pegangannya terhadap politik lama ini berasa terancam terhadap survival politik mereka. Hal ini diberatkan lagi dengan wujudnya dimensi lain seperti tekanan ekonomi serta adanya keselarian garis kaum dan kelas antara dua kumpulan ini.

Pada bahagian kedua ucapan beliau, beliau menegaskan keperluan untuk mendamaikan antara tuntutan politik baru dan keresahan politik lama. Katanya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan tidak mahu untuk kembali menjuari hanya satu-satu kaum sahaja dengan kenyataan-kenyataan popular yang belum tentu menguntungkan kaum tersebut.

Oleh kerana wujudnya keselarian – meskipun bukan mutlak – antara kumpulan politik lama dan baharu ini dengan garis kaum dan kelas ekonomi, maka adalah munasabah untuk kerajaan mengambil langkah struktural untuk mengatasi tekanan ekonomi kumpulan ini sebagai langkah utama. Pada masa yang sama, kerajaan tidak menafikan keperluan untuk terus membangunkan agenda ekonomi bumiputera yang lebih terangkum. Agenda bumiputera baharu mestilah menekankan kepentingan terbanyak, khususnya B40 dan bukannya mencipta elit-elit ekonomi tertentu.

Pada hemat beliau, hal ini kerana, sebagaimana yang dinyatakan oleh ramai ahli ekonomi di negara ini dan malahan di dunia, trickle down effect yang diharapkan tidak benar-benar berlaku malah hanya melebarkan lagi kesenjangan ekonomi inter dan intra kaum serta antara bandar dan luar bandar.

Setelah tamat dua ucapan ini, majlis terus beralih kepada acara utama iaitu ucaptama oleh YABhg. Tun Daim Zainuddin tentang bagaimana untuk meletakkan agenda Melayu Bumiputera ini dalam persoalan nasional. Teks penuh ucapan Tun Daim ini (beserta transkrip soal jawab) boleh dibaca di sini dan di sini manakala satu bengkel bagi membahas kandungan ucapan ini telah diadakan pada 3 April 2019 di IKMAS UKM yang dinamakan sebagai Seminar Menjawab Tun Daim dan laporannya boleh ditemukan di sini.

Penutup

Majlis ini berakhir dengan sesi bergambar antara penganjur dan juga Tun Daim serta majlis penyerahan cenderamata yang disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk IR. Wahid Omar.

Laporan Seminar Menjawab Tun Daim

Seminar Menjawab Tun Daim anjuran IKMAS ini bertujuan untuk membincangkan teks ucaptama oleh YABhg Tun Daim Zainuddin yang disampaikan sewaktu majlis Perasmian Siri Seminar Naratif Malaysia pada 19 Mac 2019 bertempat di UTM, Skudai.

Tarikh : 3 April 2019
Masa : 9.00 pagi – 5.00 petang
Tempat : IKMAS, UKM
Jumlah Peserta : 20

Pendahuluan

Seminar Menjawab Tun Daim anjuran IKMAS ini bertujuan untuk membincangkan teks ucaptama oleh YABhg Tun Daim Zainuddin yang disampaikan sewaktu majlis Perasmian Siri Seminar Naratif Malaysia pada 19 Mac 2019 bertempat di UTM, Skudai, Johor. Teks yang bertemakan, “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional” telah membangkitkan beberapa persoalan yang melibatkan kedudukan orang Melayu dalam konteks kebangsaan. Antara tumpuan utama yang disentuh dalam teks tersebut ialah mengenai ekonomi, politik, budaya serta cara berfikir orang Melayu. Selain itu, kesemua aspek ini dikupas berdasarkan perkembangan politik dan ekonomi tanahair dewasa ini, apatah lagi sesudah peristiwa bersejarah yang berlaku pada 9 Mei 2018 yang menyaksikan pertama kalinya perubahan parti politik yang menerajui kerajaan. Atas semangat untuk mengisi kemenangan inilah, maka teks ucaptama tersebut mengariskan langkah-langkah yang bersifat strategik dan efektif dalam memastikan setiap perubahan bukan sahaja berjalan lancar malahan dapat menghasilkan perubahan yang bermakna.

Pendaftaran dan Kehadiran Peserta

Seminar Menjawab Tun Daim tersebut telahpun dihadiri sebanyak 20 peserta yang rata-ratanya terdiri daripada golongan pelajar pascasiswazah dan aktivis sosial. Kebanyakan peserta yang hadir merupakan mereka yang telahpun mendaftar lebih awal menerusi laman sesawang www.naratifmalaysia.com. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian daripada peserta yang mendaftar ketika seminar dimulakan. Seminar sehari penuh ini dirasmukan oleh Pengarah IKMAS, UKM,  Profesor Dr. Sufian Jusoh. Beliau menyatakan rasa gembiranya kerana pihak penganjur telah menyambut teks ucaptama dengan semangat akademik. Apatah lagi, YABhg Tun Daim Zainuddin merupakan penaja utama kerusi Pok Rafeah yang diterajui oleh IKMAS. Pengarah IKMAS mengharapkan seminar ini bukan sahaja membuahkan perbincangan yang mendalam, akan tetapi, beliau ingin melihat hasil daripada seminar ini dapat dibukukan bagiu menunjukkan tahap kesungguhan kita dalam mengangkat kembali suaut naratif Malaysia yang bersifat terangkum dan adil.

Pengisian Seminar

Pembentang pertama seminar ini disampaikan oleh Dr. Mazlan Ali, yang merupakan pensyarah UTM Kuala Lumpur. Sebagai seorang yang berkecimpung dalam bidang pilihanraya dan kedudukan orang Melayu dan Islam dalam politik kebangsaan, Dr. Mazlan menyampaikan tajuk yang sangat sesuai dengan latar belakangnya, yakni “Naratif Melayu-Islam Pasca PRU-14 dalam Garis Kaum dan Agama: Wajarkah?” Dalam pembentangannya, Dr. Mazlan membangkitkan kebimbangannya mengenai hubungan antara kaum dan etnik pasca PRU-14. Dengan menyedari bahawa terdapatnya peningkatan bahang politik perkauman dan agama, Dr. Mazlan melihat persoalan ini bukan sahaja dalam konteks politik, lebih daripada itu, beliau turut menganalisa dalam konteks budaya dan amalan serta cara berfikir orang Melayu. Dalam hal ini beliau bersetuju dengan YABhg Tun Daim bahawa isu orang Melayu tidak boleh ditangani menerusi persoalan kaum semata-mata, sebaliknya, perlu dilihat juga dalam persoalan agama.

Setelah itu, pembentang berikutnya, Encik Ramze Endut, Felo Penyelidik IKMAS telah memanjangkan perbincangan yang bersifat politik kepartian dan pilihanraya kepada perbincangan yang bersifat sosiologi dan falsafah. Beliau membangkitkan dua kritikan terhadap teks ucaptama Tun Daim Zainuddin berkenaan sejarah dan emosi. Pada hemat Encik Ramze, Tun Daim telah khilaf dengan mengandaikan bahawa setiap sejarah adalah bersifat fakta serta orang Melayu dikaitkan sebagai golongan yang beremosi. Bagi Encik Ramze, sejarah bukan sahaja fakta akan tetapi merupakan juga penafsiran. Begitu juga emosi tidak boleh berdiri sendiri, sebaliknya, ia turut berdampingan dengan logik. Membuat pemisahan salah satu antaranya bukanlah suatu konsep yang baik dalam menjelaskan kerumitan masyarakat, kaum, etnik dan agama.

Lanjutan daripada pembentangan sebelumnya, Mariam Mokhtar, seorang penulis dan kolumnis tersohor sepatutnya hadir membentangkan makalahnya yang berjudul, “Tun Daim on Success, Crutches and Emotion.” Walau bagaimanapun, beliau hanya dapat mengirimkan teks pembentangannya sahaja. Justeru itu, sesi berikutnya diteruskan oleh Dr. Hew Wai Weng yang juga merupakan Felo Penyelidik IKMAS. Beliau telah membincangkan mengenai “What Daim Really Meant.” Bagi Dr. Hew, Tun Daim gagal melihat kedudukan orang Melayu secara komprehensif. Ini kerana, Tun Daim tidak melihat kerumitan yang terdapat berikutan perkaitan antara agama dan kaum dalam konteks orang Melayu. Malah, beliau turut bersetuju dengan Encik Ramze bahawa adalah salah sama sekali untuk memisahkan antara emosi dan logic kerana golongan yang dianggap sebagai konservatif turut mempunyai logiknya yang tersendiri.

Setelah Dr. Hew, Encik Ruhan Shahrir Abdul Halim, telah menyambut perbahasan mengenai Tun Daim dengan menyifatkannya sebagai seorang Homo Economicus. Felo Penyelidik KITA yang akrab dengan pendekataan bacaan intim ini telah menganalisa hampir setiap baris teks ucaptama Tun Daim tersebut. Lebih daripada itu, beliau turut menghitung perkataan yang ditekankan oleh Tun Daim seperti istilah niaga, yang ini sekaligus menunjukkan betapa Tun Daim sangat menekankan mengenai kedudukan ekonomi orang Melayu secara khususnya dan rakyat Malaysia secara umumnya. Penekanan terhadap ekonomi ini menyebabkan cara berfikir Tun Daim, menurut pandangan Encik Ruhan, menjadi setiap idea Tun Daim sangat bercorak mekanistik, ekonomistik dan materialistik. Selain sifat-sifat di atas, Encik Ruhan turut mengkritik penggunaan Bahasa Inggeris dalam teks ucaptama Tun Daim yang mana ini tidak melambangkan keselarasan antara tema yang dibincangkan dan tindakan yang dilakukan.

Akhir sekali, Encik Hishamuddin Rais, seorang penulis aktivis sosial terkenal tanahair turut mengambil bahagian. Meskipun beliau tidak menyediakan teks, akan tetapi, hasil daripada bacaan beliau terhadap teks ucaptama Tun Daim Zainuddin tersebut telah memaparkan betapa ada persoalan nasional yang belum selesai. Bersetuju dengan Encik Ruhan, beliau telah menunjukkan betapa persoalan bahasa adalah antara persoalan nasional yang belum selesai. Pemilihan Bahasa Inggeris dalam teks ucaptama tersebut memberi gambaran bahawa bahasa Melayu masih belum berjaya menjadi bahasa pemersatu dalam tanahair. Sebagai antara individu yang sekian lama berpendapat bahawa bahasa Melayu perlu menjadi bahasa strategik dalam perubahan, Encik Hishamuddin mencadangkan agar bukunya, “Surah-surah Terlarang: Persoalan Nasional” turut dibaca bersamaan dengan teks ucaptama “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional.”

Penutup

Seminar ini disudahi dengan ucapan penutup oleh Encik Hariszuan Jaharuddin, yang juga merupakan Felo IKMAS, Beliau mengucapkan terima kaseh kepada semua pembentang dan para peserta yang sejak daripada awal telah terlibat aktif dalam perbincangan. Hasil daripada seminar ini, beliau mengharapkan setiap makalah dapat diperbaiki dan akhirnya dapat diterbitkan sekurang-kurangnya dalam bentuk naskah monograf. Beliau juga tidak lupa mengucapkan jutaan terima kaseh kepada pihak IKMAS yang sudi menawarkan tempat kepada seminar ini.

Laporan Bengkel Keterpendaman Melayu

Bengkel Keterpendaman Melayu adalah antara bengkel yang terdapat dalam Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional anjuran Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), UKM dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor.

Tarikh : 15 April 2019
Masa : 9.00 pagi – 5.00 petang
Tempat : Puri Pujangga, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Jumlah Peserta : 56

Pendahuluan

Bengkel Keterpendaman Melayu adalah antara bengkel yang terdapat dalam Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional anjuran oleh Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor.  Bengkel ini bertujuan untuk mengumpul maklumat dan mendapatkan pelbagai jalur naratif dari beberapa tokoh masyarakat dan juga pimpinan parti politik Melayu dan seterusnya cuba untuk merungkai, memeta dan mentafsir trajektori masyarakat Melayu mutakhir ini melalui kaedah psikologi-sosial dan sejarah khususnya setelah berlaku perubahan kerajaan pada 9 Mei 2018 yang lalu.

Pendaftaran dan Kehadiran Peserta

Seramai 47 peserta yang mendaftarkan diri mereka di atas talian dan dari kiraan kasar, yang hadir pada hari bengkel pula adalah seramai lebih kurang 56 orang (kehadiran tidak tetap; tapi hanya hadir di pembentangan-pembentangan tertentu sahaja). Daripada 56 perserta yang hadir itu terdapat seramai lebih kurang 41 orang peserta lelaki, manakala peserta perempuan pula ialah seramai lebih kurang 15 orang.

Dari sudut etnik pula, terdapat seramai lebih kurang 50 orang peserta Melayu, 6 orang peserta Cina dan tiada peserta India (terdapat seorang peserta India yang mendaftar di atas talian tetapi beliau tidak hadir di hari bengkel diadakan).

Dari data yang dikutip melalui borang pendaftaran, peserta-peserta yang mengikuti bengkel ini datang daripada pelbagai latarbelakang sosial. Ada yang dari kalangan pensyarah, ada yang dari kalangan mahasiswa, ada yang mewakili institut penyelidikan, wakil NGO dan turut juga terlibat dalam bengkel ini ialah beberapa orang anggota dan kepimpinan parti politik.

Pengisian Bengkel

Bengkel ini dimulai oleh Encik Hariszuan Jaharuddin selaku Pengerusi Majlis yang menjemput Pengarah IKMAS, Profesor Dr. Sufian Jusoh untuk memberikan ucapan alu-aluan.

Profesor Dr. Sufian Jusoh dalam ucapan alu-aluan beliau menjelaskan sedikit sebanyak tentang latarbelakang kepada projek Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional sebagai sebahagian daripada usaha IKMAS di dalam proses pembinaan negara bangsa yang terangkum. Profesor Dr. Sufian mengungkapkan bahawa kondisi dan suhu politik masa kini memerlukan suatu analisis akademik yang lebih mendalam untuk memahami fenomena yang berlaku dan IKMAS senantiasa bersedia untuk memberi ruang dan peluang kepada usaha-usaha akademik seperti ini dijalankan sebagai sebahagian daripada proses pembinaan negara-bangsa Malaysia.

Acara seterusnya menyajikan pembentangan daripada Encik Eekmal Ahmad, Pegawai Dasar Menteri Besar Selangor dengan tajuk “Melayu-Islam Terancam: Mitos atau Fakta”. Dalam pembentangan ini beliau melihat wujud kedua-duanya, mitos dan fakta, dalam membincangkan persoalan keterancaman Melayu-Islam.

Dengan membekalkan beberapa fakta impirikal dalam bentuk jumlah peruntukan yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, beliau menyanggah dakwaan yang mengatakan bahawa Melayu-Islam terancam. Akan tetapi beliau mengakui memang wujud rasa keterancaman di kalangan khalayak ramai Melayu-Islam dan ini adalah sesuatu yang perlu ditangani oleh kerajaan Pakatan Harapan. Beliau melihat rasa keterancaman Melayu-Islam ini datangnya dari andaian yang terbina akibat daripada kehilangan kuasa politik parti yang mewakili Melayu-Islam iaitu UMNO.

Selain daripada itu Encik Eekmal Ahmad juga melakukan kritik terhadap konsep ‘keterpendaman’ yang dijadikan tajuk bengkel ini yang pada beliau menggambarkan seolah-olah ‘keterpendaman’ ini adalah suatu yang alamiah atau tersulam di dalam DNA Melayu.

Setelah selesai sesi soal jawab, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki pula mengambil tempat sebagai pembentang kedua dengan tajuk “Ancaman Terhadap Melayu-Islam: Siapa Musuh Kita?”. Dalam pembentangan kedua ini, Dr. Zuhdi mengajukan ‘musuh’ yang dimaksudkan adalah dari sudut idea, yakni golongan yang mengajukan idea yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Pertentangan ini menurut beliau bukanlah pertentangan fizikal tetapi pertentangan idea.

Justeru, menurut beliau lagi, golongan yang cuba menghalang masyarakat Islam daripada membangunkan kehidupan bernegara yang berteraskan nilai-nilai Islam adalah musuh. Tanpa menyebut secara khusus siapa golongan tersebut, beliau memberi bayangan bahawa mereka ini adalah terdiri daripada golongan yang berfahaman liberal dan sekular.

Beliau juga turut memberi latarbelakang kepada keresahan dan keterancaman yang wujud di kalangan masyarakat Melayu-Islam dari perspektif wacana ‘akhir zaman’ atau yang beliau istilahkan sebagai ‘Islamic eschatology”. Perbahasan beliau tentang wacana ‘akhir zaman’ ini menjurus kepada idea keperluan penyatuan ummah dalam menghadapi ‘akhir zaman’ yang penuh dengan kerancuan.

Pembentangan ketiga dibuat oleh Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Tuan Haji Aminuddin Yahaya yang membentangkan tajuk “Melayu-Islam Mutakhir:  Keadaan, Punca dan Penyelesaiaannya” (pembentangan slide Power Point).

Pembentangan Tuan Haji Aminuddin ini dimulai dengan justifikasi terhadap idea cintakan bangsa (kebangsaan) yang beliau dasari daripada Al-Quran, Hadith dan juga Ilmuan Islam. Bertolak dari sini beliau memetakan zaman kegemilangan kerajaan Melayu-Islam di bawah empayar Melaka dan kemudiannya kejatuhan kerajaan Melayu-Islam akibat daripada penjajahan.

Setelah itu beliau memetakan pula kondisi semasa masyarakat Melayu-Islam yang beliau istilahkan sebagai ‘kecelaruan Melayu’ yang berasal dari dasar penjajah dan kemudiannya ditambah pula dengan kebejatan pemerintah dan parti politik Melayu sendiri serta kemasukan pemikiran-pemikiran Barat yang tidak cocok dengan Islam berserta dengan sistem pendidikan yang bercelaru dan kehilangan jati-diri orang-orang Melayu.

Penyelesaian kepada ‘kecelaruan Melayu’ ini buat Tuan Haji Aminuddin hanya boleh diubat dengan ‘Revolusi Tamadun’ yang membawa maksud pembinaan cara hidup bermasyarakat yang holistic (menyeluruh) berteraskan konsep Masoleh Al-‘Ibad.

Setelah selesai makan tengahari dan solat Zuhur, bengkel di sambung dengan pembentangan oleh Pensyarah Universiti Teknologi Petronas, Dr. Muhaimin Sulam yang juga merupakan Naib Pengerusi Parti Amanah Negeri Perak dengan tajuk “Keterpendaman Melayu: Pembinaan Jati Diri Kebangsaan Di Dalam Masyarakat Majmuk”. Dr. Muhaimin Sulam memulakan pembentangan beliau dengan mengajukan suatu takrifan terhadap istilah ‘keterpendaman’. Beliau melihat keterpendaman Melayu ini dipergunakan dalam bentuk terancam oleh parti politik yang gagal. Manakala keresahan orang Melayu pula dianggap sebagai suatu bentuk tindak balas terhadap keberadaan ‘yang lain’ yang membentuk suatu dikotomi dan dikembangkan pula oleh unsur politik yang keterlaluan.

Dr. Muhaimin berpandangan bahawa falsafah dan semangat penubuhan Malaya pada awalnya yang bersandarkan kepada perjanjian sosial yang terdahulu gagal dihayati oleh generasi baru masa kini. Justeru itu, beliau mengajukan supaya permasalahan negara-bangsa Malaysia ini dimulai dengan pemahaman pensejarahan kebangsaan dan tekad politik yang kuat untuk membina jati diri kebangsaan yang berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Pembentangan terakhir terdiri daripada dua bahagian – yang pertama tentang fenomeno kebangkitan politik kaum dan agama pasca 9 Mei 2018, sebab-musababnya serta teori awal yang cuba dibangunkan. Dan bahagian kedua adalah tentang usulan daripada masalah yang dikenal-pasti dan teori yang dibangunkan di bahagian pertama. Pembentangan dua bahagian ini dilakukan oleh Encik Ruhan Shahrir Abdul Halim, Felo Penyelidik Institut Kajian Etnik (KITA), UKM.

Bahagian pertama pembentangan beliau bertajuk “Suatu Teori Awal Keterpendaman Melayu: Manifestasi Kegagagalan Nasionalisme Melayu” mengajukan tesis bahawa kegagalan Pakatan Harapan dalam PRK Semenyih dan Rantau serta kebangkitan politik kaum dan agama di kalangan orang Melayu yang dimanifestasi oleh pelbagai peristiwa antaranya demonstrasi anti-ICERD tidak boleh dilihat hanya dari kacamata material atau idelogikal semata-mata. Sebaliknya fenomena ini perlu juga dianalisis dari sudut psikologi-sosial dan sejarah.

Menggunakan konsep ‘keterpendaman Melayu’ beliau mengemukakan teori awal yang melihat fenomena-fenomena politik identiti dan kekalahan Pakatan Harapan di PRK Semenyih dan Rantau adalah disebabkan oleh aspirasi dan cita-cita nasionalisme Melayu yang gagal yang terkandung di dalam ‘keterpendaman Melayu’. Memetakan tujuh unsur nasionalisme Melayu yang terpendam, beliau mengusulkan supaya pengolahan semula dilakukan untuk mentransformasikan unsur-unsur nasionalisme Melayu ini menjadi nasionalisme Malaysia terangkum.

Di dalam pemetaan beliau terhadap tujuh unsur nasionalisme Melayu, naratif-naratif yang diajukan oleh pembentang-pembentang terdahulu dalam bengkel ini dianalisa secara ringkas dan diletakkan kedudukan naratif-naratif tersebut sebagai sebahagian daripada cita-cita dan aspirasi nasionalisme mereka yang membentuk unsur-unsur keterpendaman Melayu.

Di bahagian kedua pembentangan beliau di bawah tajuk “Suatu Teori Awal Keterpendaman Melayu: Dari Keterpendaman Melayu Ke Nasionalisme Malaysia Terangkum”, Encik Ruhan Shahrir mengusulkan kerja-kerja intelektual yang kreatif dan inovatif yang melibatkan semua pihak berkepentingan dilakukan untuk mentransformasi nasionalisme Melayu kepada nasionalisme Malaysia terangkum.

Mengambil unsur bahasa sebagai unsur pentakrif kepada identiti dan keperibadian bangsa Malaysia serta sejarah terangkum sebagai wahana kepada pembinaan rasa kebangsaan, Encik Ruhan Shahrir melihat idea bangsa sebagai suatu proses yang bergulir terus dalam pembentukannya untuk menjadi ‘bangsa’. Tapi proses untuk menjadi bangsa Malaysia ini perlu dimulai dengan mengangkat unsur pentakrif utama sebagai unsur pengikat dan penyatu yang dipadankan pula dengan sejarah terangkum, pengiktirafan dan keadilan.

Penutup

Penutup bengkel ini dilakukan oleh Pengerusi Majlis, Encik Ramze Endut, Felo Penyelidik IKMAS yang mengucapkan terima kasih kepada pembentang-pembentang yang terlibat dan juga peserta-peserta bengkel yang turut sama aktif dalam perbincangan di sepanjang bengkel ini diadakan.

Malaysia, Melayu dan Logik: Sesi Dialog bersama Tun Daim Zainuddin

Berikut rangkuman sesi soal jawab antara Tun Daim Zainuddin dengan para peserta sewaktu majlis Perasmian Siri Seminar Naratif Malaysia pada 19 Mac 2019 di UTM. Hadir bersama ialah Sheikh Omar Bagharib Ali sebagai moderator dan Dato Haji Osman Haji Sapian selaku Menteri Besar Johor pada ketika itu.

Sheikh Omar:Tun Mahathir, Perdana Menteri kita ketika ditanya mengenai kegagalan ekonomi orang Melayu sering menyalahkan sikap orang Melayu sendiri.  Kerap kali juga beliau mengatakan tidak ada masalah dengan dasar yang sedia ada. Apakah pandangan Tun Daim berkaitan perkara ini? Dan apakah Tun merasakan masih relevan politik kaum di Malaysia pada hari ini?

Tun Daim: Orang Melayu di zaman dahulu memang berjaya. Pada masa pemerintahan Kesultanan Melaka, kejayaan orang Melayu boleh dikira sebagai luar biasa. Oleh kerana kejayaannya itu, Melaka telah menarik perhatian negara-negara luar. Pada zaman kegemilangan Melaka, bahasa pertuturan yang digunakan di Melaka sahaja ada 85 bahasa. Apakah yang menyebabkan wujudnya pelbagai bahasa ini? Sebab utamanya adalah kerana perniagaan. Untuk berniaga di Melaka adalah menjadi keperluan untuk tahu pelbagai bahasa. Kalau kita mahu berniaga tapi kita tidak punya kemahiran berbahasa, ini tentunya akan mennyukarkan kegiatan jual-beli kita. Justeru, sebagai sebuah pelabuhan antarabangsa sebanyak 85 bahasa dipertuturkan di Melaka pada zaman itu. Ini adalah antara tanda yang menunjukkan betapa berjayanya Melaka. Kerana kejayaannya itu, ramai pedagang-pedagang yang datang berniaga di Melaka.

Pedagang-pedagang daripada Eropah, China, Timur Tengah, India dan sebagainya semua tertumpu ke Melaka. Ini adalah suatu kejayaan buat orang Melayu. Tapi kadang-kadang kita terlupa bahawa pada zaman awal peradaban kita, agama kita bukan Islam. Di zaman awal peradaban Melayu kita masih belum Islam. Kita hanya menjadi Islam selepasa Raja kita memeluk Islam. Pengislaman Raja-Raja Melayu membawa rakyat kepada Islam.

Sejarah peradaban awal kita bermula di Lembah Bujang, Kedah. Kerana itu dikatakan agama awal orang Melayu adalah Hindu. Tapi kemudiannya kita meninggalkan agama Hindu dan memeluk Islam. Dan sekarang antara Melayu dengan Islam tidak dapat dipisahkan. Saya fikir tidak ada bangsa dalam dunia ini yang hubungannya dengan agama seperti mana Melayu dan Islam. Bangsa-bangsa lain ada bermacam-macam agama yang mereka anuti. Tapi Perlembagaan kita mentafsirkan bahawa Melayu mestilah beragama Islam.

Orang Melayu dahulu memang pandai dalam perniagaan. Namun kedatangan penjajah telah mengubah segalanya. Pada zaman penjajahan Portugis dan Belanda keadaan tidaklah begitu teruk kerana mereka datang hanya untuk berniaga. Akan tetapi apabila penjajah British yang datang mereka melihat negara kita ini melimpah dengan hasil bumi dan kekayaan. Justeru, pihak British yang datang ke wilayah kita ini pada mulanya bukanlah kerajaannya tetapi syarikat perniagaan Hindia Timur. Mereka datang untuk mengambil peluang perniagaan yang terbuka di Tanah Melayu.

Namun apabila mereka datang dan lihat cara orang Melayu berkerja yang lambat, maka buruh-buruh asing daripada China dan India dibawa masuk untuk mengeksploitasi hasil kekayaan negara. Pada mulanya bijih timah dan kemudiannya diikuti dengan getah dan pelbagai lagi eksploitasi bumi yang lain. Pada masa yang sama penjajah British juga tidak menggalakkan orang Melayu untuk terlibat dalam perniagaan.

Buat orang Melayu, British telah menetapkan kegiatan penangkapan ikan dan penanaman padi di kampung-kampung sebagai kegiatan ekonomi mereka bagi menyediakan bahan makanan buat British dan juga buruh-buruh asing di bandar. Untuk British mengarahkan orang Cina dan India menanam padi pada waktu itu tentulah tidak munasabah kerana mereka tiada kemahiran. Begitu juga dengan penangkapan ikan, buruh-buruh asing ini masih belum ada kemahiran pada ketika itu.

Oleh kerana itu, British menyuruh orang Melayu menanam padi dan menangkap ikan sebagai kegiatan yang membekalkan sumber makanan buat British dan juga buruh-buruh asing yang berkerja di bandar-bandar. Pekerjaan sebegini tidak memerlukan orang Melayu belajar tinggi. Apa perlunya untuk belajar tinggi jika pekerjaan orang Melayu hanyalah sebagai penanam padi dan penangkap ikan? Tak perlu pergi sekolah untuk belajar menanam padi atau menangkap ikan.

Tetapi orang-orang Cina dan India pada ketika itu telah menuntut supaya dibukakan sekolah untuk komuniti mereka. Kerana apa mereka mahukan sekolah? Kerana mereka tidak berniat untuk tinggal di negara inii. Mereka datang ke sini hanya sekadar untuk mencari makan. Selepas cukup wang dikumpul, mereka akan balik semula ke negara asal mereka. Oleh kerana itu, British membenarkan sekolah Tamil dan sekolah Cina dibuka di Tanah Melayu ini.

Tapi berbalik kepada apa yang ingin saya sampaikan tadi iaitu tentang persoalan kenapa Melayu ketinggalan? Perniagaan yang boleh membawa kepada kekayaan ialah yang berbentuk perniagaan moden di bandar-bandar. Misalnya perusahaan bank, berdagang barang, jual-beli komoditi seperti bijih timah dan getah.  Malangnya orang Melayu umumnya tidak terlibat di dalam perniagaan sebegitu rupa pada zaman itu. Kerana itulah kita ketinggalan.

Sebelum itu di zaman Kesultanan Melaka kita memang terkenal sebagai peniaga. Sebab itu jugalah ramai pedagang yang datang ke Melaka. Sebelum penjajahan orang Melayu memang mempunyai kepandaian berniaga. Namun begitu selepas 400 tahun dijajah dan tidak diberi peluang untuk berniaga, maka untuk orang Melayu mendapat ilmu dan kemahiran berniaga kembali tentulah mengambil masa. Jadi untuk catch-up atau sampai ke kedudukan seperti mana orang Cina Malaysia sekarang ianya mengambil masa. Perniagaan sekarang sudah menjadi semacam urban business dengan pasaran saham dan sebagainya dan pada mulanya orang Melayu tidak memahami konsep perniagaan moden sebegini. Jadi untuk memperbaiki kedudukan ekonomi orang Melayu yang ketinggalan itu, masa diperlukan. 

Pada zaman penjajahan sebelum negara kita merdeka yang ada cuma segelintir kecil peniaga-peniaga Melayu. Namun dalam segelintir kecil ini ada juga dua-tiga orang Melayu yang kaya. Ngah Ibrahim misalnya adalah antara pengusaha bijih timah yang kaya pada zaman itu. Begitu juga dengan Syed Mohammed Alsagoff yang saya sebutkan dalam ucapan saya tadi, merupakan seorang peniaga Melayu yang kaya.

Namun kemudiannya mereka bergaduh sesama sendiri yang akhirnya membawa kepada perpecahan dan kehilangan kekayaan. Sikap orang Melayu ini mereka tidak boleh melihat ada orang Melayu lain yang berjaya. Seperti ketam kalau ada yang berjaya naik ke peringkat yang lebih tinggi, ketam-ketam yang lain akan menariknya turun ke bawah. Ini adalah sikap yang ada dalam adat dan budaya Melayu. Saya harap di dalam siri seminar akan datang tentang persoalan budaya nanti, perkara ini hendaklah dibincangkan.

Kelemahan orang Melayu ialah mereka tidak boleh melihat ada orang Melayu lain yang berjaya dari mereka. Kerana itu ada istilah PHD dalam masyarakat Melayu – Penyakit Hasad Dengki. Sikap khianat. Bila dilihat ada orang Melayu yang meningkat maju, orang tersebut nantinya akan dijatuhkan.

Kalau bangsa lain mereka mempunyai persatuan. Dan dalam perniagaan, mereka akan bangunkan pertubuhan atau kesatuan perniagaan seperti dewan perniagaan atau business chambers. Fungsinya adalah untuk menolong antara satu sama lain. Kalau orang Hokkien, mereka ada persatuan perniagaan mereka sendiri dan jenis perniagaan yang tertentu yang menjadi tumpuan mereka. Kalau orang Teochew akan ada persatuan dan perniagaannya yang khusus. Begitulah juga dengan orang Kantonis. Masing-masing ada persatuan dan perniagaan khusus mereka. Tapi di dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan bersama yang memerlukan sokongan semua bangsa Cina, mereka bersatu di bawah Dewan Perniagaan Cina atau Chinese Chambers of Commerce. Ini yang penting.

Jadi pada waktu itu, dengan pelbagai kekurangan dan kelemahan yang ada, Melayu memang ketinggalan. Sebab itu Tun Mahathir berkata walau pun kerajaan sudah memberi segala macam pertolongan dan bantuan tetapi orang Melayu masih ketinggalan. Manakala pencapaian orang Melayu dalam perniagaan pula masih lagi dilihat gagal walau pun bermacam pertolongan sudah diberikan. Tapi perniagaan ini bukan hanya melibatkan duit atau modal semata-mata tetapi kita juga perlu tahu selok-belok ilmu perniagaan. Ini yang penting. Jaringan perniagaan perlu ada. Hubungan dan rantaian perniagaan mesti kita tahu. Dan ini semua memerlukan ilmu, kemahiran dan pelajaran.

Tapi sekarang alhamdulillah, ramai juga orang Melayu yang saya lihat sudah berjaya. Saya telah melawat satu negara. Dan tadi saya pergi melihat di sekitar negeri Johor. Alhamdulillah kelihatannya ramai orang Melayu yang telah berjaya. Ada orang Melayu yang saya temui mengusahakan penanaman nenas untuk diekspot ke Timur Tengah dan bermacam lagi perusahaan orang Melayu yang saya lihat. Orang Melayu boleh melakukannya. Di Kluang juga saya lihat ramai orang Melayu yang berjaya. Saya agak terkejut dengan apa yang saya lihat. Misalnya tadi saya melawat Pertubuhan Peladang negeri Johor yang mempunyai 100,000 ahli. Ini adalah satu kejayaan.

Tapi cerita-cerita kejayaan seperti ini ramai orang Melayu tak tahu. Ada orang Melayu yang mengusahakan ternakan lembu dan kambing yang berjaya. Ada orang Melayu yang mengusahakan kebun orkid, sayur dan ladang buah-buahan yang juga berjaya. Ada orang Melayu yang sekarang ini menjawat pekerjaan profesional seperti jurutera, doktor dan seumpamanya.

Insyallah kalau kita sanggup bertekun, sanggup belajar, insyallah Melayu akan berjaya dan saya penuh percaya orang Melayu tetap akan berjaya. Jangan takut.

Sheikh Omar:Maknanya apakah pada masa ini Tun berpandangan naratif yang menceritakan tentang keterbelakangan orang Melayu ini hanyalah persepsi atau naratif sebegitu tidak betul atau bagaimana?

Tun Daim:Dia begini – yang menjadi masalahnya ialah bila kita melihat kepada kepemilikan Melayu menerusi pasaran saham. Kalau dari sudut pasaran saham, dikatakan kepemilikan Melayu dalam pasaran saham masih lagi kurang daripada 30%. Dasar Ekonomi Baru (DEB) menyasarkan kepemilikan sekurang-kurangnya 30% saham bumiputera dan kita masih belum berjaya mencapai sasaran tersebut. Tapi perlulah juga diambilkira kepemilikan ekonomi secara keseluruhan. Dan seperti mana yang saya sebutkan tadi ianya memerlukan masa.

Namun begitu kalau kita lihat sekarang ini sudah ramai orang Melayu yang mempunyai pengetahuan. Ada orang Melayu yang mampu membuat roket. Ada orang Melayu yang boleh membuat drone. Tapi naratif sebegini ramai orang tidak tahu. Kerana apa? Kerana tidak ada orang yang menjadikannya sebagai suatu cerita. Sebab orang Melayu ini pemalu sedikit. Bila saya datang melawat, barulah mereka tunjukkan. Wah! Orang Melayu boleh buat ini semua. Ini semua tidak diceritakan. Yang diceritakan adalah yang negatif. Cerita untuk menjatuhkan antara satu sama lain, yang negatif, itu diceritakan. Cerita yang positif masih belum disiarkan lagi. Insyaallah kalau kita sanggup berkerja kuat, sanggup menerima ilmu, jangan takut kita akan berjaya, insyaallah.

Jadi, berbalik kepada soalan Yang Berhormat tanya saya di awal tadi – apakah kita masih memerlukan politik perkauman? Jawapan saya – tak perlu. Kenapa kita orang Melayu perlu takut? Kita ramai. Jumlah kita 60% lebih. Apa yang kita takutkan? Yang penting kita perlu bersatu-padu.

Masalah ini berlaku kerana kita tidak bersatu padu. Kalau kita bersatu-padu, mempunyai niat yang sama, berjuang untuk mencapai kejayaan bangsa kita, insyaallah kita akan berjaya.

Seperti mana yang saya sebut dalam ucapan awal saya tadi, dalam dua puluh orang Melayu, ada satu professional Melayu. Jadi, apa yang kita takut? Yang penting kita perlumenimba ilmu sebanyak mungkin. Seperti mana yang saya tegaskan dalam ucapan saya tadi – iqra’, baca, baca, baca.

Tujuan kita membaca supaya kita tahu apa yang kita tak tahu. Faham apa yang kita tak faham. Itu tujuan Allah menyuruh kita membaca. Jadi, kita perlu membaca. Selepas itu carilah jalan yang lurus. Baca Al-Fatihah – kita membaca Al-Fatihah yang di dalamnya terkandung permintaan untuk ditunjukkan jalan yang lurus. Ambillah jalan yang lurus dan insyallah kita akan mencapai kejayaan. Tapi  kalau ambil jalan yang salah, rosaklah kita. Ini pandangan daripada Allah sendiri yang telah memberi petunjuk pada kita. Laksanakanlah. Itu sahaja.

Sheikh Omar:Memandangkan Tun ada menyinggung sedikit tadi tentang persoalan kenapa Melayu perlu takut sedangkan Melayu adalah majoriti di Malaysia ini, maka saya pergi kepada satu soalan yang dikutip daripada peserta yang ada di dalam dewan ini. Soalannya berbunyi politik sedikit – mengapa parti-parti politik Melayu seperti Bersatu misalnya, tidak bergabung sahaja dengan parti-parti Melayu yang lain seperti UMNO dan PAS yang sekarang ini sudah pun menjalin kerjasama demi perpaduan Melayu? Bukankah lebih baik jika Melayu bersatu, Melayu akan lebih kuat dan terhormat. Apa pandangan Tun?

Tun Daim:Dalam sistem demokrasi kita boleh membuat pilihan kita sendiri. Demokrasi memberikan kebebasan kepada kita untuk memilih. Malahan kita boleh menubuhkan parti kita sendiri. Kita bebas memilih tapi yang paling penting seperti mana saya tegaskan sebelum ini, gunakan akal di dalam membuat pilihan kita itu. Kita mesti pilih yang baik. Kita mesti pilih yang membawa kebaikan kepada kita. Pilih yang membawa kita ke jalan kejayaan. Kalau kita pilih yang merosakkan kita, maka bodohlah kita. Allah beri kita akal untuk kita fikir. Gunakan akal yang diberikan itu. Sebab itu Allah berfirman – iqra’, baca, baca, baca.

Arahan untuk kita membaca itu adalah supaya kita menggunakan akal fikiran kita untuk memilih yang mana betul dan yang mana salah. Allah telah menganugerahkan kepada kita dengan bermacam-macam kelebihan.

Dalam Al-Quran, ada semua jawapan untuk kita. Jangan takut. Yang penting kita mesti memegang teguh kepada keimanan kita. Percaya kepada Allah, dan percaya kepada diri kita sendiri. Insyaallah kita akan berjaya. Jangan takut. Senantiasa berdoalah kepada Allah. Tapi doa kita itu mesti disertai dengan ikhtiar. Doa saja tidak mencukupi. Mesti disekalikan dengan kerja kuat. Allah mengarahkan kita untuk baca, baca dan baca. Yang penting seperti mana saya katakan berulang kali gunakan akal. Kita semua serupa. Tapi sesetengah daripada kita malas menggunakan akal. Itu saja bezanya.

Ajar anak-anak kita supaya jangan takut. Timba ilmu sebanyak mungkin. Belajar dan tambahkan ilmu kita dengan general knowledge atau pengetahuan am. Baca, baca dan baca. Dengan ilmu pengetahuan yang kita perolehi daripada membaca itu kita boleh berbahas dengan sesiapa sahaja secara penuh yakin. Saya percaya orang Melayu setaraf dengan orang-orang lain dalam dunia ni. Kita tidak ada kekurangan. Yang penting seperti mana saya kata tadi, kita perlu sanggup untuk berkerja kuat demi mencapai kejayaan. Itu yang penting. Yang penting kita bersatu, kita bertekun, kita berkerja kuat untuk mencapai kejayaan. Insyaallah kita akan berjaya.

Dato’ Osman Sapian:Sebagaimana jawapan daripada Yang Amat Berbahagia Tun Daim tadi kalau parti Melayu yang lain itu sudah lari daripada landasannya, bagaimana untuk kita menyatu dengan mereka?. Yang keduanya, kalau parti Melayu itu korup, pencuri, penyamun – bagaimana kita hendak bercampur dengan pencuri dan penyamun? Kalau parti Melayu itu bersih, saya rasa insyaallah Bersatu akan bersama-sama mereka. Sebaliknya kita lihat parti-parti lain – walau pun berbentuk pelbagai-kaum tapi mereka mempunyai integriti yang tinggi. Malah lebih baik daripada parti-parti Melayu yang sedia ada.

Maka saya rasa ini adalah satu prinsip yang harus kita pegang. Jadi, adalah lebih baik kita berkerjasama dengan parti yang bukan Melayu dan berlainan daripada kita tapi baik, berintegriti dan tidak korup. Sedangkan parti Melayu yang ada itu, seperti mana saya sebutkan tadi, tiada keperluan untuk kita berkerjasama dengan mereka. Nanti kalau kita bercampur dengan perompak, kita pulak yang turut jadi perompak juga. Sedangkan kita ini baik. Itu pendapat saya.

Sheikh Omar:Dua soalan saya gabungkan di sini. Sebelum ini kita sudah pun mempunyai Dasar Ekonomi Baru. Namun kedudukan orang Melayu kelihatannya masih tidak banyak berubah. Di manakah silapnya dan bagaimanakah kerajaan hari ini akan memastikan perkara ini tidak berulang kembali? Dan mengapakah kita masih membincangkan isu survival Melayu setelah lebih daripada 60 tahun merdeka? Apakah yang membuatkan kita gagal?

Tun Daim:Dasar Ekonomi Baru itu sememangnya adalah suatu mekanisme yang bagus. Yang menjadi masalahnya ialah perlaksanaan. Yang gagal itu perlaksanaan dasar tersebut.

Dulu, perlaksanaannya memberi keutamaan kepada orang UMNO. Kalau ada orang UMNO yang datang meminta (projek), maka diberi kepada mereka. Sama ada mereka itu boleh membuat kerja atau tidak boleh membuat kerja – ianya tidak dpedulikan. Yang penting ialah dari pemberian tersebut, sokongan politik akan diperolehi. Melalui jalan lobi-melobi politik, maka mereka pun mendapat projek.

Tapi sekarang kita nyatakan – kalau hendak pertolongan atau bantuan daripada kerajaan, pertamanya mesti dikenalpasti terlebih dahulu perniagaan apa yang ingin dilakukan. Selepas itu kita mahu melihat cash flow atau aliran tunai daripada perniagaan yang ingin dijalankan itu. Perniagaan itu mesti jelas aliran tunainya. Ini mesti belajar.

Kebanyakan orang Melayu bila mereka berfikir untuk berniaga, mereka terus sahaja berniaga. Ini tak boleh. Mereka mesti terlebih dahulu membuat cash flow atau aliran tunai perniagaan yang mereka rancang itu.

Misalnya seperti mana lawatan saya bertemu dengan peladang nenas siang tadi. Peladang nenas tersebut menanam sebanyak 20,000 pokok nenas untuk satu ekar tanah. Sebiji nenas beratnya lebih kurang 2kg. Harga 1kg nenas ialah RM2.50. Jadi untuk sebiji nenas dia boleh mendapat RM5.00 x jumlah nenas yang ditanam.

Bukan itu sahaja. Setiap satu pokok ada lebih kurang sepuluh anak-anak pokok nenas. Daripada sepuluh anak-anak pokok ini dia boleh menjual sekurang-kurangnya RM1.00 untuk satu anak pokok. Maknanya dia mendapat RM10.00 lagi. Tadi, sebiji nenas harganya RM5.00 dicampur dengan sepuluh anak-anak poko yang dijual dengan harga RM1.00 satu pokok, dia memperolehi RM15.00 sepokok nenas.

Selepas tu daun nenas pula boleh dibuat makanan haiwan dan juga boleh dijadikan kain untuk membuat baju. Jadi, dengan hanya satu pokok nenas, dia boleh mendapat RM20.00. Maknanya kalau dengan 20,000 pokok nenas x RM20.00, dia boleh menjana jualan sebanyak RM400,000.00 untuk seekar tanah. Bayangkan kalau ada 100 ekar, berapa banyak duit yang boleh diperolehi?

Jadi, mesti ada aliran tunai yang jelas. Kebanyakan daripada kita tidak membuat aliran tunai. Kebanyakan kita tanam hanya untuk seronok-seronok saja. Ini tak boleh. Sekarang kita mesti menggunakan kaedah perniagaan moden. Cara kita menjalankan perniagaan mesti dengan kaedah moden.

Tambahan pula sekarang ini untuk menanam menanam buah atau sayur, kita tidak lagi perlukan tanah. Dulu kita fikir untuk menanam buah atau sayur kita perlukan tanah. Sekarang ini tidak perlu lagi. Buah dan sayur hanya perlukan air dan baja sahaja. Dengan pertanian cara moden, kita boleh membina rumah hijau atau green house dan kita boleh buatkan susunan rak-rak secara vertikal atau vertical farming, Di bawah rak-rak tanaman tersebut diletakkan air dan dibela ikan di dalam takungan air tersebut. Bahan-bahan kumuh yang dikeluarkan oleh ikan-ikan tersebut secara automatik menjadi baja. Penggunaan airnya kurang tapi hasilnya cepat.

Saya telah memberitahu pihak kerajaan bahawa masa depan orang Melayu, orang Malaysia, adalah dengan bercucuk-tanam menggunakan kaedah teknologi moden. Melalui pertanian cara moden kita semua akan kaya.

Dulu kita menjangkakan melalui industri kita akan menjadi kaya. Tapi akhirnya apabila kita bangunkan sektor perindustrian, yang ramai datang berkerja adalah orang-orang Indonesia. Orang Melayu ini suka kepada tanah. Berikan tanah kepada dia dua ekor untuk dia tinggal dan berkebun. Bila dia bangun pagi dan dia lihat pokok yang dia tanam tumbuh naik, hati dia rasa lega, hati dia rasa sedap. Dan selepas itu bila pokok yang dia tanam mengeluarkan buah, dia boleh menjual buah-buah tersebut di pasar.

Saya percaya masa depan orang Melayu insyaallah adalah melalui ekonomi moden.

Sheikh Omar:Bagaimanakah seharusnya Malaysia Baru mendepani persepsi daripada masyarakat Melayu yang masih lagi paranoid dan takut kehilangan hak mereka akibat tekanan ekonomi masa kini?

Tun Daim:Bagaimana orang Melayu akan hilang hak? Perlembagaan Malaysia mempertahankan kedudukan kita. Hak orang Melayu ada termaktub di dalam Perlembagaan. Ini telah pun kita persetujui sejak 1948 lagi. Dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 memang sudah tertulis hak-hak kita. Semasa kita merdeka tahun 1957, perkara-perkara tentang Melayu yang sudah termaktub di dalam Perjanjian 1948 itu dipindahkan ke dalam Perlembagaan 1957. Tak ada yang berubah. Dan yang dikatakan tekanan itu – tekanan daripada mana? Saya pun tidak tahu tekanan apa. Jadi anda jangan keliru.

Dahulu masa kita menentang Malayan Union kita memang miskin. Pelajaran pun kita tidak ada. Apa pun kita tidak ada. Universiti pun belum ada ketika itu. Sekarang sudah banyak universiti di negara kita. Sudah ramai orang Melayu yang berkelulusan. Takkan cerdik-pandai Melayu boleh menerima semua ini?

Melayu dikatakan tertekan. Tertekan di mana? Saya sungguh tak faham. Boleh beritahu saya tertekan di mana? Jadi jangan percaya ini semua. Melayu dikatakan tertekan. Cuba tunjukkan kepada saya tertekan di mana? Tunjukkan dengan angka-angka kepada kita.

Sekarang ini kebanyakkan bank-bank besar di Malaysia siapa yang punya? Adakah Cina yang punya?

Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang punya. Dan PNB itu siapa yang punya? Orang Melayu punya.

Khazanah misalnya – siapa yang menjaga Khazanah? Siapa orang-orang yang menjaga Khazanah?

Okay, Khazanah memegang banyak saham. Khazanah pegang saham Tenaga Nasional. Khazanah pegang saham Telekom Malaysia. Khazanah pegang saham Malaysia Airport Berhad. Macam-macam syarikat yang Khazanah pegang sahamnya. Akhirnya saham-saham syarikat ini dijual kepada siapa? Dijual kepada PNB.

PNB ambil alih dan saham-saham tersebut diberikan kepada siapa? Diberikan kepada Amanah Saham.

Amanah Saham itu siapa pemiliknya? Bukankah orang Melayu?

Jadi, saya pun hairan. Jangan kita buat tafsiran yang tidak betul. Kalau tak faham, kita bertanya. Tapi jangan percaya sepenuhnya. Kita cari sendiri faktanya. Kita mesti sanggup dan berani mempersoal.

Itu yang saya katakan bahawa yang sangat penting itu adalah ilmu. Kalau kita mempunyai ilmu insyaallah orang tidak akan mampu untuk menipu kita. Negara kita akan dihormati kalau orang Melayu bangkit berjuang untuk kepentingan bangsa seperti mana yang pernah kita lakukan pada tahun 1946 dahulu. Insyaallah kita akan berjaya. Itu yang penting. Sanggup berjuang demi kepentingan bangsa dan negara bersama-sama dengan kaum yang lain. Insyaallah kita akan berjaya.

Peserta Seminar (Mohammad Nahar Bin Mohammad Nordin):Bolehkah kita menggunakan bitcoin, crypto-currency dan seumpamanya untuk berdagang nenas, petroleum, minyak, gas dan sebagainya?

Tun Daim:Ini adalah kaedah perniagaan yang baru tapi setakat ini masih belum ada lagi negara di dunia ini yang mengiktirafnya. Sepertimana bitcoin yang pernah meningkat nilai sampai RM20,000.00 tetapi  selepas tu nilainya jatuh. Kita mesti berjaga-jaga tentang matawang jenis ini. Kerana ianya tidak disandarkan kepada sebarang aset. Kena beringat dan berjaga-jaga dalam hal ini. Matawang RM (ringgit) mempunyai sandarannya. Setiap matawang disandarkan kepada emas, misalnya.

Tapi matawang bitcoin atau cryto-currency ini tidak disandarkan kepada sebarang aset. Matawang ini semua orang boleh cipta. Anda pun boleh mencipta matawang seperti itu buat masa ini sehinggalah ianya dikawal-seliakan. Bila ianya dikawal-selia nanti, akan muncullah masalah-masalah berbangkit.

Tapi mungkin tren perniagaan masa hadapan akan memerlukan jenis matawang seperti itu tapi buat masa sekarang kita masih belum tahu lagi. Ianya memerlukan kajian yang lebih mendalam. Namun, pada masa yang sama jika kita hendak memulakan perniagaan digital, sekarang ini pun sudah tersedia platform seperti e-commerce. Semua orang boleh terlibat dalam perniagaan e-commerce ini. Tidak ada masalah dengan perniagaan melalui e-commerce.

Tapi apa yang anda bangkitkan dalam soalan anda itu melibatkan matawang. Matawang adalah suatu perkara yang lain. Setakat ini matawang jenis itu belum diiktiraf oleh Bank Negara. Dan Bank Negara memang sedang mengkaji tentang perkara ini sekarang. Tapi belum ada keputusan yang dibuat lagi berhubung penggunaan matawang tersebut.

Peserta Seminar (Ismarizal dari Kota Tinggi):Dalam Dasar Ekonomi Baru, terdapat agenda untuk melindungi kepentingan ekonomi orang Melayu. Dalam Malaysia Baru pula, masih adakah dasar tersebut untuk melindungi survival ekonomi orang Melayu?

Tun Daim:Kita nyatakan begini – agenda Melayu adalah agenda nasional. Yang kita maksudkan dengan agenda Melayu itu adalah melawan kemiskinan dan ketaksamaan dalam masyarakat. Maknanya kalau orang miskin kita akan tolong semuanya. Tapi nasib kita, kebanyakkan yang miskin itu adalah orang Melayul.

Sheikh Omar (mencelah): Sebelumnya tadi Tun ada mengatakan bahawa orang Melayu sudah sampai ke satu tahap ekonomi yang lebih tinggi. Tapi kali ini Tun mengatakan bahawa kebanyakkan orang yang miskin ini Melayu pula. Bagaimana sebenarnya Tun? Boleh jelaskan dengan lebih lanjut.

Tun Daim:Ya memang kedudukan ekonomi orang Melayu sudah banyak berubah berbanding dahulu. Akan tetapi ketaksamaan masih wujud. Yang kaya, tetap kaya. Yang miskin, masih miskin. Dalam masyarakat kapitalis keadaan ini memang akan berlaku. Ianya tidak boleh dielakkan melainkan kita mahu menukar sistem kita kepada komunisme. Di dalam sistem ekonomi pasaran bebas sesiapa yang berjaya akan menjadi kaya. Jadi, dalam sistem sebegini, pekerja akan masih menjadi pekerja. Kesenjangan dalam masyarakat akan menjadi lebih luas. Dalam sistem kapitalis satu dunia sebegitu. Di Amerika misalnya, 10% kontrol 90% daripada ekonomi. Ini memang hakikat sistem ekonomi kapitalisme.

Kapitalisme dalam huraian yang paling mudah ialah kita perlukan modal untuk menjalankan perniagaan. Tanpa adanya modal kita tidak boleh berniaga.

Malangnya orang Melayu tidak ada modal. Daripada dahulu lagi kita tak punya modal. Dahulu, bank pun kita tidak ada. Orang Melayu tidak memiliki bank. Hanya di tahun 1946, seorang Melayu bernama Maarof (bapa kepada pelakon veteran Melayu, allahyarham Mustafa Maarof) cuba membuat bank. Bank Melayu yang pertama. Malangnya, tidak berapa lama selepas beliau menubuhkan bank tersebut, beliau telah dibunuh. Hanya di kemudian hari barulah kita mempunyai bank seperti Malayan Banking yang merupakan bank baru.

Dalam sistem ekonomi moden kita memerlukan bank. Sepertimana sekarang ini ada e-wallet, e-commerce dan sebagainya yang merupakan sebahagian daripada sistem ekonomi moden. Ini tren perniagaan di masa hadapan. Namun, kesenjangan ekonomi dan ketaksamaan dalam masyarakat akan tetap wujud dalam sistem ekonomi kapitalis. Tidak kira sama ada ianya di Amerika, England, Australia atau Singapura – ketaksamaan tetap akan ada. Singapura mengatakan bahawa ia adalah sebuah negara yang kaya tetapi di dalam masyarakat Singapura tetap masid ada orang yang miskin. Ini adalah sifat sistem kapitalis.

Kerana itulah kita perkenalkan Dasar Ekonomi Baru untuk menolong mereka yang kurang bernasib baik. Membantu mereka yang miskin. Bukan hanya orang Melayu sahaja yang miskin – orang Cina, India, Dayak, Dusun, Kadazan dan dalam semua komuniti akan ada mereka yang masih miskin. Yang kaya, terus kaya. Yang miskin, terus miskin. Kita mahu mengurangkan jurang antara yang kaya dan yang miskin ini. Itu tujuan kita. Sebab itu, tiap-tiap tahun kerajaan menyediakan peruntukan lebih kurang 27 billion untuk menolong mereka yang miskin. 27 billion adalah suatu angka yang besar yang diperuntukkan bagi mengurangkan masalah ketaksamaan ini.

Peserta Seminar (Chong dari Majlis Bandaraya Iskandar Puteri):Apa resepi kejayaan yang boleh dicontohi oleh rakyat Malaysia untuk menjadi orang yang berjaya dalam konteks politik Malaysia baru pada hari ini? Siapa yang akan mewarisi orang seperti Tun? Mungkin ada dua atau tiga tips yang boleh Tun berikan kepada kita semua dalam menempuh Malaysia baru ini. Tips untuk kita semua tak kira Melayu atau pun bukan Melayu.

Tun Daim:Pepatah orang Melayu ada berkata – patah tumbuh hilang berganti. Insyaallah, ramai rakyat Malaysia yang pandai. Cumanya mereka tidak diberi peluang. Ramai yang pandai tapi tidak mahu menyertai politik. Ramai yang berpolitik pula, tidak mahu menyertai perniagaan. Tapi kalau boleh, rakyat Malaysia berjaya dahulu dalam bidang perniagaan, kemudian barulah menyertai politik. Bila sudah berjaya dalam perniagaan, dan tahu pula selok-belok ilmu berniaga, selepas itu dia akan boleh berfikir secara logik.

Sheikh Omar (mencelah):Kenapa perniagaan Tun?

Tun Daim:Seorang peniaga yang berjaya dia akan senantiasa berfikir secara logik. Dia akan kata 2+2 = 4. Tapi bagi orang politik, 2+2 boleh jadi 5. Jadi itu pentingnya pemikiran logik. Kerana kalau dia silap membuat kiraan, maka kita akan rugi. Kita akan bankrap. Itu yang perlu di jaga. Jadi, adalah penting untuk kita ajarkan kepada anak-anak kita tentang perniagaan.

Sebab itu daripada dulu lagi saya katakan, kalau boleh sekolah-sekolah kita, daripada kecil lagi diajarkan dalam buku bagaimana hendak berniaga. Kerana perniagaan itu mengajar orang cara berfikir logik. Tidak seharusnya ada emosi di dalam perniagaan. Orang berniaga hanya mahukan untung. Itu sahaja.

Bagaimana dia hendak membuat untung, itu dia kena fikirkan. Tidak ada overtime dalam perniagaan. Sepanjang masa kena berniaga. 24 jam satu hari. Dia kena berfikir – meniaga, meniaga, meniaga. Dalam fikirannya – nak untung, nak untung, nak untung.

Tapi yang paling penting ialah apa sahaja yang kita lakukan, kita mahu ianya berjaya. Yang penting adalah kejayaan. Dalam kehidupan mesti ada kejayaan. Bila kita berjaya, insyaallah semua benda lain akan datang. Duit akan datang, semua akan datang.

Sebab itu saya kata, orang muda pilihlah apa yang hendak anda buat. Anda hendak bermain bola pun, mainlah. Tapi mesti jadi nombor satu. Jadilah macam Messi, Ronaldo. Baru kaya. Anda hendak bermain tennis, mainlah. Tapi akhirnya jadilah macam Nadal, Federer. Kaya. Itu yang kita mahu. Hendak menjadi penyanyi pun tidak mengapa – orang Melayu, orang Cina semua – nyanyilah. Asalkan akhirnya menjadi kaya.

Tapi kejayaan yang penting dahulu. Setiap perkara yang kita mahu lakukan, mesti berjaya terlebih dahulu. Kejayaan akan membawa kekayaan. Kekayaan tidak bermakna akan membawa kejayaan. Kerana apa? Bila hendak berjaya mesti menggunakan akal. Untuk ada akal mestilah belajar.

Saya balik semula kepada apa yang saya tegaskan berulangkali sebelum ini – mesti baca, baca, baca. Itu yang penting. Kepada orang Islam – iqra’, iqra’, iqra’. Selepas itu bacalah Al-Fatihah dan fahamkan betul-betul apa itu Al-Fatihah. Kalau faham Al-Fatihah, insyaallah jalan yang lurus akan terbentang membawa kita kepada kejayaan. Itu yang penting. Buat orang Islam, selepas itu kita bersyukurlah kepada Allah. Berdoa dan kemudian bersyukur. Itu yang penting.

Peserta Seminar (Maizon dari Majlis Bandaraya Iskandar Puteri): Bilakah kita akan dapat mencapai sasaran penglibatan sekurang-kurangnya 30% wanita dalam proses pembuatan keputusan dan membuat dasar?

Tun Daim:Banyak orang kata bahawa orang Melayu ini malas. Tapi kebanyakan yang malas adalah laki-laki. Orang perempuan memang berkerja kuat. Sebagai wanita, sebagai ibu, memegang berbagai tanggungjawab. Wanita memang memainkan peranan yang penting dalam kehidupan tiap-tiap manusia. Kita perlukan wanita. Memang termaktub dalam Perlembagaan kita tentang kesaksamaan kecuali tidak disebutkan secara khusus mengenai kesaksamaan gender. Tapi wujud kesaksamaan di dalamnya. Setiap orang adalah saksama.

Kalau Puan Maizon lihat dalam kerajaan baru kita sekarang ini, ramai wanita yang telah dilantik untuk menyertai badan-badan kerajaan. Pengerusi MARA yang baru misalnya adalah dari kaum wanita. Bank Pembangunan juga, pengerusinya sekarang adalah wanita. Pengerusi Maybank juga seorang wanita. Menteri-menteri kabinet dari kalangan wanita juga semakin ramai sekarang. Jadi, mohon Puan bersabarlah sedikit. Perlahan-lahan akan ada peribahan. Insyaallah akan berjaya. Kalau hendak perubahan itu datang segera memang agak sukar. Kalau mahu menjadi Menteri, lebih ramai kaum wanita perlu bertanding. Bila menang barulah boleh dilantik menjadi Menteri. Kalau kita perhatikan perubahan dalam perkara ini memang berlaku. Misalnya Pengerusi Bursa Saham Kuala Lumpur sekarang adalah wanita. Memang ramai wanita sekarang. Jadi insyaallah kejayaan akan diteruskan.

Dato’ Osman Sapian:Saya sambung sedikit. Kerajaan Pakatan Harapan di Johor ini, semasa pilihanraya yang lepas boleh dikata mengemukakan ramai calon wanita. Tapi yang kalah dalam PRU tersebut pun ramai juga dari kaum wanita. Jadi, pada hari ini di peringkat kepimpinan dan wakil-wakil rakyat ramai wanita yang terlibat. Salah seorang yang duduk di barisan hadapan dean ini juga wanita – wakil rakyat Bandar Maharani, YB Hayati.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada hari ini, Dr. Wan Azizah – yang tidak pernah ada sebelumnya – adalah wanita. Tidak pernah dalam sejarah negara kita sebelum ini, wanita menjadi Timbalan Perdana Menteri. Tapi hari ini ada. Maknanya perjuangan wanita selama ini sudah menampakkan kejayaannya sepertimana yang tercermin dalam kerajaan Malaysia baru pada hari ini.

Peserta Seminar (Ahmad Yazid Bin Ramli dari Kluang): Saya agak terkesan dengan apa yang berlaku di bandar Kluang atas sebab penjenamaan semula Pekan Rabu Kluang kepada Kluang Junction. Sedangkan Pekan Rabu adalah satu branding bangunan perniagaan bumiputera yang kita kenal sepertimana Pekan Rabu Alor Setar, Pasar Payang, Pasar Besar Siti Khadijah. Kita gunakan nama dagangan tersebut sebagai Pekan Rabu di Kluang dan dijadikan manifesto pada PRU13 dan sekarang bangunan Pekan Rabu itu telah ditukar namanya kepada Kluang Junction dan dimasuki tycoon perniagaan yang kita kenali sebagail Songmart, yang dimiliki oleh peniaga Cina. Saya suarakan perkara ini sejak daripada 22 Januari 2018, tarikh di mana berlakunya penjenamaan semula Pekan Rabu yang dibuat tanpa perbincangan dengan penduduk setempat. Dan saya isukan juga perkara ini pada 13 Mei selepas kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 yang lepas di mana pada 13hb Mei itu adalah pengumuman pembukaan Songmart di dalam bangunan bumiputera di Kluang. Apa usaha daripada kerajaan negeri Johor dalam memberi keutamaan kepada Melayu dalam persoalan nasional dari segi ekonomi khususnya tentang bangunan Pekan Rabu tersebut?

Dato’ Osman Sapian:Pertamanya kita akan siasat dahulu perkara ini dengan lebih teliti. Pertukaran nama daripada Pekan Rabu kepada Kluang Junction ini mungkin dibuat oleh kerajaan yang lama dahulu. Pada malam inilah baru saya mendapat tahu tentang isu. Tapi di Johor baru-baru ini kita ada satu lagi Pekan Rabu. Saya telah mengambil-alih dan sekarang saya sedang membuat pengubahsuaian terhadapnya. Siap nanti saya akan memberi peluang kepada peniaga-peniaga IKS bumiputera untuk terlibat di dalam Pekan Rabu tersebut. Saya telah pun mengarahkan Exco Usahawan kita untuk mengendalikannya. Berhubung dengan isu di Kluang ini saya akan meneliti dengan lebih lanjut dan saya akan mengarahkan Exco IKS, YB Sheikh Omar yang juga merupakan ADUN di kawasan Parlimen Kluang untuk memberikan maklumat yang lebih terperinci untuk saya lihat.

Walau bagaimanapun sebenarnya dalam hal peluang perniagaan ini, kita mesti juga memberi peluang bukan hanya kepada orang Melayu tetapi juga kepada bangsa-bangsa lain sebab mereka juga turut bersama-sama kita menjayakan Malaysia baru pada hari ini. Tetapi untuk kaum bumiputera memang dikhaskan sebab kita masih lagi mengamalkan keistimewaan-keistimewaan terdahulu yang kita fikirkan boleh memberi manafaat kepada kaum bumiputera. Keistimewaan tersebut kita akan teruskan. Kita tidak akan menganak-tirikan.

Sheikh Omar:Mohon kata-kata akhir daripada Tun sebagai penutup majlis kita.

Tun Daim:Pertamanya saya mengucapkan terima kasih kepada tuan dan puan yang hadir pada malam ini. Pesanan saya, orang Melayu jangan takut. Pemimpin-pemimpin Melayu yang jujur akan terus membela nasib orang Melayu.

Kita percaya, tiap-tiap warganegara di Malaysia, sayangkan Malaysia. Kita mahu kemajuan untuk semua orang. Kita mahukan keamanan dan kestabilan. Kita mahu pertumbuhan ekonomi yang pesat untuk semua agar masa depan kita cerah supaya kita dapat hidup bersama-sama dengan aman, harmoni dan bersatu-padu. Kita akan terus memperjuangkan nasib semua rakyat atas nama Malaysia.

Malaysia baru insyaallah kita akan berjaya. Sekian. Terima kasih.

Ini merupakan transkripsi penuh Sesi soal jawab bersama Tun Daim Zainuddin, Dato’ Haji Osman Haji Sapian dan Sheikh Omar Bagharib Ali. Sesi soal jawab ini diadakan setelah ucaptama Tun Daim Zainuddin dalam majlis perasmian Siri Seminar “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional” pada 19 Mac 2019 di UTM, Skudai yang dianjurkan oleh IKMAS, UKM.

[Pendaftaran] Bengkel Keterpendaman Melayu

Bengkel ini membincangkan persoalan Melayu menerusi perspektif yang bersifat sosiologi dan psikologi, yakni menelusur sejarah dan ingatan masyarakat Melayu itu sendiri.

poster-keterpendaman-melayu

Bengkel ini membincangkan persoalan Melayu menerusi perspektif yang bersifat sosiologi dan psikologi, yakni menelusur sejarah dan ingatan masyarakat Melayu itu sendiri. Dengan memadankan perspektif sosial dan psikologi, bengkel “Keterpendaman Melayu” berusaha untuk merungkai, memeta dan menafsirkan trajektori masyarakat Melayu mutakhir ini. Apatah lagi, setelah 9 Mei 2018, dapat diperhatikan terdapat beberapa gerakan politik dan masyarakat warga (civil society) yang semakin berasaskan agama dan kaum sehingga ini menjadikan batasan etnik antara kita dan mereka (us and them) semakin ketara dalam struktur masyarakat Malaysia. Justeru itu, bengkel ini akan dibahagikan kepada dua sesi. Untuk empat sesi awal, bengkel ini akan didedahkan dengan pelbagai sumber utama perbincangan di mana Naratif Malaysia mengundang beberapa tokoh untuk membincangkan kedudukan Melayu-Islam mutakhir ini. Hasil daripada pembentangan mereka, maka kita akan dapat melakukan analisa perbincangan pada dua sesi terakhir yang akan dikendalikan oleh Felo Penyelidik KITA, Ruhan Shahrir Abdul Halim. Dalam perbincangan ini, kita dapat menganalisa data yang diperoleh dengan mendalam, menjurus dan saksama, sesuai dengan semangat akademik.

Bengkel Keterpendaman Melayu

15 April 2019 (Isnin)
9 pagi – 5 petang
Puri Pujangga UKM

Pendaftaran percuma (untuk 40 peserta pertama sahaja). Memandangkan ini adalah bengkel tertutup, pra-pendaftaran adalah diwajibkan menerusi http://www.naratifmalaysia.com

Tentatif:

08:30 — 09:00 : Pendaftaran

09:00 — 09:15 : Ucapan Alu-aluan Pengarah IKMAS

09:15 — 09:45 : Pembentangan I, Eekmal Ahmad, Pegawai Dasar Menteri Besar Selangor, “Melayu-Islam Terancam: Mitos atau Fakta?”
09:45 — 10:15 : Sesi Perbincangan

10:15 — 10:30 : Minum Pagi

10:30 — 11:00 : Pembentangan II, Dr. Zuhdi Marzuki, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, “Ancaman Terhadap Melayu-Islam: Siapa Musuh Kita?
11:00 — 11:30 : Sesi Perbincangan II

11:30 — 12:00 : Pembentangan III, Aminuddin Yahaya, Presiden ISMA, “Melayu-Islam Mutakhir: Keadaan, Punca dan Penyelesaiannya
11:30 — 12:30 : Sesi Perbincangan III

12:30 — 14:00 : Makan Tengahari

14:00 — 14:30 : Pembentangan IV, Dr. Muhaimin Sulam, Pensyarah UTP, Keterpendaman Melayu: Pembinaan Jati Diri Kebangsaan di dalam Masyarakat Majmuk
14:30 — 15:00 : Sesi Perbincangan IV

15:00 — 15:30 : Pembentangan V, Ruhan Shahrir Abdul Halim, Felo Penyelidik KITA, Keterpendaman Melayu: Sebuah Manifestasi Kegagalan Nasionalisme Melayu
15:30 — 16:00 : Sesi Perbincangan V

16: 00 — 16:10 : Minum Petang

16:10 — 16:40 : Pembentangan VI, Ruhan Shahrir Abdul Halim, Felo Penyelidik KITA, Dari Keterpendaman Melayu ke Nasionalisme Malaysia Terangkum
16:40 — 17:10 : Sesi Perbincangan VI

Pendaftaran:


Melayu, Islam dan Politik: Wawancara bersama Aminuddin Yahaya

Wawancara bersama Aminuddin Yahaya, Presiden ISMA ini memberi tumpuan isu-isu yang melibatkan survival Melayu dan Islam di Malaysia. Wawancara ini dilakukan pada 30 March 2019 di Setapak, Kuala Lumpur.

Tokoh: Aminuddin Yahaya, Presiden ISMA
Pewawancara: Haris Zuan & Ramze Endut
Tarikh: 30 Mac 2019
Tempat: Gombak

Naratif Malaysia (NM): Perbincangan ini berusaha untuk meninjau peningkatan kebimbangan tentang agama, dan sama ada ianya isu yang nyata (real) atau sebenarnya diada-adakan (fabricated). Seperti yang kita sedia maklum, ketegangan ini konsisten dan sudah sedia ada dari dulu sehingga sekarang, cuma yang membezakannya sama ada turun atau naiknya isu tersebut bergantung kepada keadaan politik semasa. Kalau boleh, kita mulakan dari sini: keadaan, punca serta penyelesaiannya?

Aminuddin (A): Sebenarnya isu agama ini tidak boleh lari daripada isu kaum juga. Ianya berkait rapat (interrelated) antara satu sama lain—sangat dekat perkaitan hubungan antara agama dan juga kaum. Kalau kita hendak nyatakan sebab, ianya kerana Melayu dan Islam adalah sinonim. Begitu juga kalau kita lihat kepada Cina—sama ada dia penganut Kristian atau Buddha. Walaupun ada sekumpulan minoriti Melayu yang mungkin bukan Islam, akan tetapi itu bagi saya negligible [atau tidak signifikan dan kecil implikasinya]. Mungkin 0.01 peratus [Melayu] yang bukan Islam. Kalau kita lihat dari segi perkembangan negara—dari segi politik khususnya—isu ini sebenarnya sudah lama dan ada sejak dulu lagi. Cumanya di permukaan ianya belum keluar—ada keluar sekejap pada tahun 1969, tetapi ia kemudiannya berjaya dikekang (contained) oleh pemerintah untuk beberapa ketika sampailah ke hari ini. Mungkin tiadanya konflik seperti insiden 13 Mei 1969 sehingga kini adalah disebabkan oleh dasar-dasar yang telah dilaksanakan oleh kerajaan. Walau bagaimanapun, kita tahu bahawa [wujudnya] parti yang dikatakan orang sebagai agak keras atau kuat prinsipnya dalam konteks bangsa dan agamanya ialah parti Democratic Action Party (DAP). Jadi apabila berlakunya perubahan politik dan pemerintahan beralih kepada Pakatan Harapan (PH) yang mana PH secara umumnya—walaupun dinafikan oleh kerajaan PH itu sendiri—diketahui sebagai didominasi oleh DAP. Hal ini adalah disebabkan oleh jumlah kerusi yang mereka ada; dan juga kerana mereka ini mempunyai suatu teras atau inti (substance) yang tidak ada pada parti-parti lain dalam PH. Manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula pada asasnya hanyalah sebagai suatu [wadah] yang singkat dan mudah (a matter of convenience) dalam kalangan orang yang tidak sukakan Barisan Nasional (BN). Mereka hanya duduk sekali; itu sahaja. Parti Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pula… BERSATU ini ringkasnya macam UMNO sementara Amanah pula ialah parti kecil yang tidak berapa ada signifikan sangat. DAP ini parti yang ada substance—ada ideologi dan perjuangan. Jadi kalau kita lihat dari segi sejarah perjuangan mereka—pemimpin-pemimpin mereka memang sejak dari dulu lagi sudah boleh dilihat agendanya. Dan sekarang kalau kita baca kenyataan-kenyataan mereka, tampak sekali mereka membawa satu pendekatan bahawa negara ini bukan negara Islam dan semua agama ini harus diberikan layanan setara dalam konteks negara kita. Kalau kita lihat, itupun sudah memberikan satu konotasi yang sangat jauh dari segi fakta—baik sejarah mahupun perlembagaan. Sejarah menunjukkan bahawa negara ini ialah negara Islam. Kalau kita baca Kanun Melaka, atau Undang-Undang Melaka—yang pada ketika itu merupakan undang-undang negara ini sama ada di negeri-negeri Selat atau negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu—perkataan ‘hudud’ ini sudah ada. Maknanya kalau orang mencuri [akan dihukum] potong tangan dan sebagainya. Jadi, bacalah Kanun Melaka. Justeru itu, sudah ratusan tahun perkara ini diterapkan sebagai negara Islam. Apabila datangnya penjajah—Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun, dan sebagainya—perkara tersebut dipadamkan secara lunak (subtle). Alhamdulillah, semasa mereka merangka Perlembagaan, Perkara 3 (1) itu dimasukkan. Itu mungkin satu anugerah Allah untuk menyelamatkan nasib umat Islam dinegara ini. Memang, dari segi syarak pun, kalau negara itu pernah menjadi negara Islam, maka ianya sama sekali tidak akan memadamkan [status Islam tersebut] sekalipun berlakunya perubahan kuasa dan sebagainya. Imam Syafie sebut begitu—ianya tidak memadamkan status terdahulu sebagai sebuah negara Islam. Cuma [apabila] berlakunya kelemahan sedikit sebanyak dalam pengamalan Islam, itu merupakan perkara biasa. Jadi apabila perkara ini sudah disentuh (oleh pemimpin-pemimpin DAP)—kalau dulu mungkin tidak kuat sangat suara itu, akan tetapi kebelakangan ini ianya semakin kuat (disebabkan mereka sudah menjadi kerajaan), penafian itu semakin kuat. Sudah tentu ini menyebabkan serba sedikit ketegangan dalam kalangan penganut Islam kerana implikasinya sangat besar (di mana Islam akan lebih terpinggir). Kalaulah kita katakan negara kita ini negara sekular, justeru ianya bermakna bahawa JAKIM, YAPIM, IKIM, Majlis Agama Islam dan sebagainya adalah tidak mempunyai kuasa (powerless) dalam konteks pemantauan perjalanan agama Islam di Malaysia. Ianya sudah menjadi sangat ritualistik [terhad dalam pengamalan-pengamalan berbentuk peribadi sahaja]. Maknanya, isu-isu pentadbiran sudah tidak boleh dimasukkan dengan unsur-unsur Islam; termasuklah juga isu-isu ekonomi pun. Itu kalau kita katakan negara ini sekular. Dan negara sekular juga akan memberi serta membuka ruang kepada kemasukan semua ideologi, budaya kuning, dan budaya Barat yang tidak boleh dihalang sama sekali. Sekarang ini kita masih lagi dapat menghalang pengaruh budaya K-Pop, ataupun Michael Jackson pada suatu ketika dulu. Bila kita sebutkan bahawa negara ini adalah negara sekular, penyekatan ini tidak boleh dilakukan lagi kerana kita sudah mengiktiraf bahawa itu adalah sebahagian daripada kita. Justeru itu, memang ada perbezaan besar apabila kita katakan bahawa negara kita ini adalah negara sekular ataupun negara Islam.

NM: Inti hujahan anda ada dua iaitu sejarah dan undang-undang. Tetapi mengapa sejarah itu berhenti pada satu tahap atau satu zaman sahaja. Kalau hendak diperkirakan aspek sejarah, banyak kumpulan lain boleh menyorot sejarah yang memihak kepada mereka sendiri. Misalnya, barangkali Muslim di Malaysia akan terhenti kepada sejarah kesultanan Melayu Melaka. Manakala kaum India pula mungkin akan menyorot sejarah yang lebih jauh ke belakang lagi. Jadi masing-masing mempunyai kemampuan yang sama untuk membuat dakwaan terhadap sejarah yang berpihak kepada kumpulan masing-masing. Selain sejarah, begitu juga dengan undang-undang—yang bersifat ciptaan manusia seperti undang-undang negara ini. Persoalannya, mengapa kita sebagai manusia kini tidak boleh mencipta undang—undang lagi? Apa yang menyebabkan kita ada tuntutan (claim) yang istimewa untuk negara kita? Sebab jika kita menggunakan dua hujah tersebut iaitu undang-undang dan sejarah, kumpulan-kumpulan lain masih lagi boleh menggunakan hujah yang sama yang berpihak kepada mereka.

A: Sebelum kedatangan Islam, mereka ini hidup dalam keadaan yang berbeza. Mereka menyembah patung, pokok dan sebagainya. Ianya bukan [dikira] sebagai sebuah agama negara. Sebaliknya hanyalah sekumpulan orang atau manusia dengan fahaman masing-masing. Tetapi apabila datangnya Islam, ia dijadikan serta dinobatkan sebagai sebuah kanun. Dahulunya tidak ada kanun. Maksud saya, mereka hanya duduk di sana sini, bertempiaran tanpa ada sebuah struktur kenegaraan yang jelas untuk mengikat mereka. Kalau kita nak ambik hujah sejarah lama begitu saya cakap begitu, sepatutnya satu dunia ini Islam sebab semuanya keturunan Nabi Adam, akhirnya satu dunia ini sepatutnya Islam. Tetapi sebelum itu ianya tidak dijadikan sebagai sebuah undang-undang—mereka hanya duduk berkelompok dan mengamalkan animisme pada waktu itu. Bagi saya, itu tidak boleh terpakai dalam konteks ini. Namun apabila Kanun Melaka digubal, ianya diiktiraf sebagai suatu entity yang bernaung di bawah kanun tersebut. Walaupun disebut sebagai Kanun Melaka, sebenarnya kanun tersebut terpakai untuk seluruh Semenanjung ini memandangkan Melaka merupakan pusat pentadbiran pada ketika itu. Undang-undang boleh diubah—tidak dinafikan ia boleh diubah—tetapi seperti yang saya katakan tadi, tidaklah sampai ke peringkat untuk kita mengubah status kita sebagai sebuah negara Islam. Kalau status agama boleh diubah dan sebagainya, sudah tentu itu yang menyebabkan timbulnya kebimbangan (apprehension) dan ketegangan dalam kalangan umat Islam. Mengapa kita mahu mengubah perkara yang bagus? Macam saya katakan, kalau kita ubah negara ini sebagai negara sekular, inilah natijahnya; kecuali kita, selaku umat Islam, rela untuk menjadikan Islam sebagai ritual sahaja. Misalnya sekadar sembahyang tetapi yang lain kita terbuka—maksiat dan sebagainya. Kita jadi begitulah, pada akhirnya. Tetapi sebagai umat Islam yang memahami dan mahu melihat amalan Islam itu berjalan dalam sistem kehidupan, kita tidak mahulah perkara tersebut diubah. Jadi di sinilah dua kehendak yang berbeza dan menyebabkan berlakunya penentangan atau ketegangan. Kalau itu berlaku, bermakna bahawa akan berlaku suatu suasana yang bagi saya tidak harmoni. Persoalannya, mengapa kita mahu mencabar perkara itu? Perkara yang selama ini sudah baik dan sejahtera. Jadi, mengapa kita mahu dicabar pula struktur ini? Apabila kita mencabar perkara tersebut, sebenarnya kita juga mencabar kuasa raja pula; kecuali jika kita katakan bahawa raja itu tidak diperlukan. Hal ini kerana raja yang memegang kuasa membuat keputusan yang muktamad dari segi agama. Dalam konteks negara Malaysia ialah Yang-Dipertuan Agong manakala negeri pula ialah sultan-sultan. Kecualilah kalau kita mahu mencabar perkara tersebut. Memanglah ianya undang-undang manusia, tetapi mereka yang hendak menjalankannya juga ialah manusia. Kalau undang-undang manusia boleh dibuat dengan sesuka hati, maka tidak ada maknalah untuk menggubal dan melaksanakan undang-undang lagi. Dalam masa yang sama sebagai orang Islam kita terikat dengan hukum hakam Islam, bukan boleh ubah sesuka hati.

NM: Nampaknya anda menyedari bahawa kita mempunyai banyak kumpulan yang bertentangan serta masing-masing berbeza pendapat dan bertelagah antara satu sama lain. Bagaimanakah untuk kita pastikan—walaupun wujudnya banyak perbezaan dan kemelut—keadaan dan keamanan ini dapat dikekalkan? Maksudnya, adakah kita harus bergantung kepada kuasa populariti untuk menentukan perjalanan negara kita? Sebab kalau kalangan kelompok Islam tidak memiliki suara populariti, maka mereka juga tidak dapat melaksanakan agenda negara Islam kerana rakyat, termasuk sebahagian kaum Muslim, tidak menyokongnya. Jadi yang paling penting di sini adalah sejauh manakah sokongan popular rakyat terhadap satu-satu perjuangan yang dibawa, bukanlah nilai yang ingin dibawa tersebut.

A: Pertama, kita perlu percaya bahawa Islam adalah agama yang paling bertolak ansur dan harmoni terhadap semua manusia. Itu kita harus faham terlebih dahulu. Ini bagi mengelakkan seolah-olah gambarannya bila dikatakan Islam, maka habislah agama Kristian atau Buddha. Tidak demikian. Jadi kefahaman ini perlu ada terlebih dahulu. Kemudian barulah kita boleh bercakap. Apabila kita katakan Islam ini sahaja [dan persepsi yang terbit daripadanya ialah] ia akan jadi macam Taliban atau IS, maka sukarlah untuk kita bercakap tentangnya. Itu bukan bermaksud kita. Keduanya, dalam konteks Islam, kita ada aspirasi dan kehendak kita. Sama ada kita berjaya ataupun tidak, itu perkara nombor dua. Sama ada kita popular atau tidak, itu perkara nombor dua. Tetapi sebagai umat Islam, kita perlu sembahyang. Mungkin orang tidak suka orang yang sembahyang serta tidak rajin membaca al-Quran. Namun sebagai umat Islam, kita ada tanggungjawab untuk melakukan perkara tersebut. Masalah popular atau kejayaan untuk meraih sokongan ramai bagi saya tidaklah akan merubah kewajiban tersebut (untuk sembahyang). Rasulullah pun bermula dengan seorang saja—tidak disukai dan dibuang. Tetapi itulah semangat yang kita perlu ada. Bagi saya masalah yang ada salam kontek masyarakat multiracial ini mudah sahaja. Pertama, kita perlu mengiktiraf beberapa asas (fundamental) terlebih dahulu. Antaranya ialah semua pihak perlu bersetuju dan mendokong Perlembagaan Persekutuan kita. Islam sebagai agama Persekutuan dan agama-agama lain bebas untuk berbuat sesuka hati dalam erti kata, kebebasan mengamalkan agama masing-masing. Dan apabila kita sudah faham perkara tersebut, dan semua orang turut memahaminya, maka sebenarnya tidak ada masalah. Kalau saudara lihat tinjauan (survey) dalam internet … dan kawan-kawan saya ada buat tinjauan di Wilayah Persekutuan sahaja pada beberapa tahun lepas, rumah-rumah ibadat agama lain adalah lebih banyak berbanding orang Islam. Surau atau masjid ada dalam lebih kurang 760 manakala kuil sampai 1000 lebih jumlahnya. Jadi itulah tolak ansur yang kita ada. Tidak pernah ada tolak ansur [sebegini] di negara lain yang kita boleh lihat. Kerajaan kita sangat bertolak ansur. Kerana itu faktor sejarah sangat penting. Satu lagi faktor majoriti kaum di mana umat Islam merangkumi 60 peratus. Kalau kita lihat dari segi statistik, menjelang 2050, orang Muslim akan menjadi 80 peratus—statistik daripada Jabatan Statistik disebabkan dengan kadar kelahiran yang ramai (di kalangan umat Islam). Dalam negara demokrasi, kaum majoriti ini akan menentukan sejauh mana keabsahan dan keharmonian negara (dalam kontek hubungan kaum dan agama). Agama ini merupakan perkara yang amat sensitif kepada umat Islam. Kalau kita berpegang kepada itu (prinsip Islam yang jelas), saya sangat yakin, orang Cina atau orang India boleh menerimanya. Bagi mereka perkara yang paling penting adalah ekonomi. Dan kita tidak ada masalah berkenaan siapa yang memegang ekonomi. Sekarang inipun orang Melayu hanya memegang 17-18 peratus sahaja, walaupun sasarannya [dalam Dasar Ekonomi Baru] adalah 30 peratus. Dan kita bukanlah hendak menyekat mereka daripada berniaga. Cuma masalahnya adalah apabila pemimpin-pemimpin yang ada sekarang ini—ini dogma yang kita ada—apabila kita melihat Islam maka kita melihat terbatas setakat parti politik kepartian UMNO atau PAS yang seolah-olah membolehkan penipuan, berbohong, ataupun rasuah. Bukan itu yang kita mahukan. Kita mahukan Islam [yang diangkat oleh] orang yang profesional, tidak rasuah, berintegriti, dan telus. Inilah Islam yang kita hendak. Tetapi persepsi yang ada sekarang ini bila kita kata Melayu, ianya [disinonimkan dengan] UMNO—rasuah. Sebenarnya perkara ini yang menyebabkan masalah. Justeru itu, konsep ini kita kena faham dengan menyeluruh. Saya sangat yakin bahawa orang Cina atau orang India boleh duduk di bawah Melayu. Ramai orang Cina di taman perumahan saya, tetapi mereka boleh menerima saya. Sebabnya kita bukanlah hendak pergi menghina mereka atau berbuat apa-apa yang tidak baik. Berkenaan masalah integrasi kita dengan agama lain pula. Seperti yang saya katakan tadi, kita ini sangat bertolak ansur. Cumanya sebagai seorang Muslim, ada batas-batas kepada tolak ansur tersebut. Takkan kita hendak biarkan arak di merata-rata tempat, orang berzina, gay… Ada batas-batas tolak ansur. Agama lainpun tidak benarkan [perlakuan] begitu. Kalangan penganut agama lain pun tidak mengamalkan agama mereka dengan betul. Malah [agama-agama tersebut juga] tidak membenarkan penganutnya meminum arak, berzina, dan sebagainya. Kristian, Hindu atau Buddha juga begitu.

NM: Anda ada sebutkan bahawa majoriti di Malaysia ialah orang Islam dan jangkaan kitapun menunjukkan akan ada lebih ramai orang Islam. Sistem kita pun dari awal lagi ialah Islam termasuklah sejarah, kanun, raja-raja Islam, undang-undang Islam, serta parti-parti Islam. Tetapi mengapa masih lagi ada rasa keterpinggiran atau kerisauan orang Islam? Apa masalah kita dalam 60 tahun ini?

A: Bagi saya ini disebabkan kegagalan pemimpin-pemimpin Islam (dalam UMNO) yang gagal membawa aspirasi Islam dan menunjukkan akhlak Islam sebenar. Dalam masa yang sama walaupun selama ini pentadbirannya oleh orang Islam—dan inipun yang didakwa oleh sebahagian ahli politik [Melayu] sekarang ini: kita ialah majoriti—tetapi pihak yang mengawal (control) pentadbiran itu sendiri adalah orang lain. Itu perkara yang tidak dapat dinafikan. Semua maklum bahawa pengaruh peniaga-peniaga Cina dan parti politim Cina memainkan peranan dalam mempengaruhi polisi negara. Dan kita lihat bagaimana NGO-NGO mereka sedang memainkan peranan yang besar dalam pentadbiran negara sekarang; serta apa yang banyak berlaku sejak dari dulu lagipun adalah peranan bangsa-bangsa lain merasuah pemimpin-pemimpin kerajaan dan sebagainya. Itu belum lagi saya ceritakan tentang peranan pihak-pihak dari luar negara menyokong serta memainkan peranan dalam apa yang dikatakan sebagai membentuk kader-kader mereka daripada kalangan orang tempatan. Walaupun individu-individu terbabit ialah Muslim, tetapi tidak lari daripada membawa agenda yang dibawa daripada luar negara. Jadi ini yang berlaku. Walaupun individu tersebut Islam dan seorang Muslim, tetapi dia membawa pemikiran Barat—pemikiran yang liberal. Justeru walaupun individu tersebut seorang Muslim dan Islam, tetapi kita tahu bagaimana akhlak dan pemikirannya dipengaruhi oleh pemikiran Barat. Kita sedang berhadapan dengan gejala-gejala macam itu.

NM: Jika anda benarkan, kami mahu bertanya sedikit tentang persoalan institusi dan individu tadi. Sebab idea anda sebentar tadi menyebutkan bahawa kita masih lagi mengidamkan kepimpinan Melayu-Islam yang telus dan berwibawa. Tetapi mengapa institusi yang kita pertahankan ini tidak mampu untuk melahirkan pemimpin yang kita idamkan?

A: Kita memerlukan politik baru dan bukannya politik kepartian. Sekarang ini kita masih lagi terperangkap dalam politik kepartian. Apa itu politik kepartian? Apabila habis saja pilihan raya, ahli-ahli politik sudahpun memikirkan pilihan raya yang akan datang. Orang politik ini itu saja [perhatian mereka]. Habis sahaja PRU14, dia sudahpun melihat kepada PRU15. Tengok apa yang dicakapkan mereka, ‘Tunggulah pilihan raya’. Mereka hanya fikirkan itu sahaja iaitu kedudukan mereka tidak kiralah parti manapun. Jika ada kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh parti pun, maaf cakap, [jika] dia berbohong pun, dia akan katakan berbohong itu halal dalam Islam. Anda dapat lihatlah sendiri. Perkara-perkara seperti ini yang menyebabkan orang keliru tentang Islam. Bagi saya, itu lebih kepada politik kepartian iaitu tindakan mempertahan parti dengan apa sahaja cara walaupun kadang-kadang mereka terpaksa mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang sebegitu. Itu salah bagi saya. Jadi kita perlu melakukan politik kenegaraan yang mengutamakan rakyat lebih daripada ini [parti atau ahli politik]—mengutamakan agama kita contohnya. Kalau berbuat silap, perlu meletakkan jawatan. Tetapi menteri-menteri kita tidak pernah meletakkan jawatan sebab kesilapan yang dilakukan. Mereka tak akan letak jawatan kerana mahu mengekalkan kuasa. Jadi ini menyebabkan senario politik yang ada sekarang ini membuatkan kita, sebagai rakyat, menjadi sangat keliru. Akhirnya rakyat terpaksa memilih antara lesser of the two evils. Masih ingat zaman Reformasi? Dalam PRU14 lepas, mana [yang lebih baik] antara Najib dengan Mahathir? Orang pilih Tun Mahathir hanya disebabkan oleh orang tidak sukakan Najib. Jadi bukannya sebab Mahathir ini lebih baik sangat. Semua orang tahu sejarah Tun Mahathir macam mana. Jadi, bukannya sebab mereka [PH] ini lebih baik dalam erti kata yang sebenar, tetapi kerana mereka ini [dilihat] kurang jahatnya (lesser of the two evils).

NM: Secara relatifnya, adakah Tun Mahathir lebih baik sedikit berbanding Najib?

A: Dari satu sudut, ya, itu saja tetapi tidak dari sudut yang lain. Masalahnya  [cara] politik kita ini ialah kita sentiasa dihidangkan dengan pilihan-pilihan yang terhad di mana kita terpaksa memilih dalam keadaan kita terpaksa berikutan kurangnya pilihan yang kita ada.

NM: Apakah caranya untuk kita beranjak kepada politik baru seperti yang anda sebutkan?

A: Ianya memerlukan reformasi pemikiran politik. Bagi saya, perlu ada orang yang sentiasa menyuarakan perkara tersebut. Itu peranan NGO untuk suarakan dengan politik baru seperti ini—politik yang ada integriti dan telus. Kadang-kadang saya pun terkilan juga. Walaupun kerajaan baru ini bercakap tentang rule of law, integriti, dan sebagainya, tetapi nampaknya seperti serupa juga dengan kerajaan BN sebelumnya.

NM: Maksudnya kerajaan BN terdahulu tidak lebih baik daripada kerajaan sekarang jugalah? Tidak ada lesser of the evil?

A: Kedua-duanya lebih kurang saja bagi saya. Sedikit [lebih baik] mungkin. Kerajaan PH sekarang ini mungkin ada sedikit ketelusan, tetapi dalam aspek-aspek lain mungkin lebih teruk berbanding kerajaan dahulu contohnya dalam hal ehwal agama. Tetapi ketelusan itu ada sedikit baik; kerajaan PH dianggap [lebih] telus tetapi dalam aspek lain mungkin lebih teruk. Itu persepsi yang tuan-tuan boleh lihat dalam media sosial. Bagaimana kenyataan-kenyataan ‘U-turn’ dan sebagainya.

NM: Jadi, nampaknya jalan untuk menuju kepada politik baru ini adalah melalui reformasi pemikiran politik. Seperti yang anda bangkitkan tentang peranan NGO; maksudnya ruang sivil. Sebelum itu, kalau saya boleh patah balik ke belakang sedikit, anda ada juga sebutkan tentang pemikir-pemikir Melayu yang datang daripada aliran pemikiran Barat. Adakah ruang sivil itu sepatutnya dibuka secara adil kepada semua orang supaya idea-idea tersebut boleh dibahaskan secara adil dan semua orang ada akses yang sama kepada ruang awam serta pada akhirnya orang ramai boleh memilih mana yang betul atau salah sesuai dengan kehendak mereka?

A: Benar. Baru orang boleh memilih. Kita terbuka dengan perkara ini. Memang, dalam Islam pun menganjurkan dialog dan sebagainya Saya pun biasa saja berdialog dengan kelompok-kelompok liberal. Kita terbuka dalam hal dialog ini dan terpulang kepada rakyat untuk memilih. Rakyat sendiri perlu tahu mana nilai baik dan mana nilai buruk. Tetapi perkara ini datang dalam bentuk pakej; ia bukan setakat dialog. Hal yang paling penting dalam pembentukan manusia adalah pendidikan. Sebab itu bagi saya peranan yang digalas oleh Menteri Pendidikan kita adalah yang terpenting sekali kerana pendidikan inilah yang akan melahirkan serta membentuk orang yang bagaimana berdasarkan acuan pendidikan yang diperolehnya. Jadi reformasi pemikiran politik ini datang dalam satu pakej. Memang, kita bolehlah memberikan idea-idea tetapi pemikiran tersebut perlulah mula ditanamkan sejak awal lagi—bagaimana akhlak yang baik dan sebagainya, bagaimana seorang Muslim harus [membawa dirinya], bagaimana interaksi kita dengan kaum lain dan sebagainya. Sebab itu di sini kita menentang keras sekolah-sekolah vernakular. Sekolah-sekolah vernakular ini memang benar-benar mengasingkan orang. Mereka bercakap soal integrasi tetapi sejak dari sekolah rendah sampai sekolah menengah, kemudian masuk pula TAR College pendidikan seperti ini telah mengasingkan antara satu sama lain. Di taman saya sahaja, berapa ramai yang tidak fasih bercakap Bahasa Melayu. Itu yang dikatakan sebagai tidur satu bantal tapi mimpi lain-lain. Ianya tidak masuk akal dan mustahil untuk sampai kepada integrasi seandainya pengasingan ini terus berlaku. Persoalannya sekarang: selepas 13 Mei 1969, kerajaan telah menubuhkan sekolah kebangsaan. Mengapa orang-orang Cina dan India tidak mahu masuk sekolah kebangsaan? Itu persoalan besar yang perlu kita pertanyakan. Kalau benar mereka serius hendak berintegrasi, mengapa masih lagi mengekalkan sekolah vernakular dan enggan masuk ke sekolah kebangsaan? Perkara ini yang saya perkatakan kepada Jawatankuasa UEC yang diketuai oleh Eddin Khoo. Saya katakan kepada beliau, mudah saja untuk selesaikan masalah integrasi kaum: sama ada tutup sekolah kebangsaan dan semua pelajar masuk ke sekolah Cina, atau tutup sekolah Cina dan India ini dan semua pelajar masuk ke sekolah kebangsaan. Itu saja. Kita mesti bermula dari situ.

NM: Maksudnya memang perlu ada satu sistem sekolah sahaja?

A: Satu sistem. Kitalah satu-satunya negara di dunia ini yang ada pelbagai aliran sekolah.

NM: Bagaimana dengan sekolah agama? Patutkah kita integrasikan sekali?

A: Sepatutnya.

NM: Tapi kalau kita lihat trend dan statistik, lebih ramai orang Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah Cina berbanding orang Cina menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan. Mengapa kita mempunyai trend yang sebegini?

A: Bukan lebih ramai. Ada sebahagian kecil orang Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah Cina. Bukan ramai.

NM: Tapi laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan menunjukkan bahawa Melayu dalam sekolah vernacular Cina adalah lebih ramai daripada Cina dalam sekolah kebangsaan.

A: Itulah sebabnya bagi saya merupakan suatu senario yang sangat tidak sihat. Orang-orang Cina sangat mempertahan budaya dan jati diri mereka; mereka sedaya upaya mempertahankannya. Bacalah kenyataan pemimpin-pemimpin Cina tersebut, sangat memberatkan bahasa, budaya, agama, dan pendidikan mereka. Jadi, mereka tidak percayakan yang lain. Cuma apabila tiba pada orang Melayu, mereka [orang Melayu] melihat ada kekurangan pada diri mereka]dan mereka nampak sekolah Cina sebagai lebih baik berbanding sekolah kebangsaan. Jadi itu mungkin antara faktor menyebabkan orang Melayu rasa terpanggil untuk masuk ke sekolah Cina. Faktor lain mungkin disebabkan oleh perniagaan. Orang Melayu masuk ke sekolah Cina atas tujuan perniagaan—kerana mereka mahu belajar Bahasa Cina. Faktor lain lagi mungkin disebabkan pengajaran Matematik di mana pendidikan Cina itu agak lebih berkesan. Jadi persoalannya sekarang, mengapa itu berlaku? Mengapa jika kerajaan sudah Nampak cara pengajaran di sekolah Cina bagus, maka tidak diambil orang-orang Cina untuk memberikan input kepada sekolah kebangsaan? Persoalannnya sekarang, bagaimana mahu integrasikannya? Kalau anda pakar dan sekolah anda bagus, maka sumbangkanlah kepada sekolah kebangsaan. Tetapi mereka tidak mahu menyumbang. Kita perlu sedar bahawa sekolah Cina ini dibiayai oleh orang-orang korporat. Anda lihat sekolah Cina—tersusun (well-planned), lengkap dengan pendingin hawa dan sebagainya kerana mereka kawal ekonomi terlebih dahulu. Jutawan saja sudah berapa orang. Sepuloh orang terkaya di Malaysia semuanya orang Cina. Mereka ini well-funded dan boleh menggunakan sumber-sumber terbaik yang ada. Kita pula, cikgu-cikgu kita di sekolah kebangsaan ini masuk jadi cikgu kerana terpaksa. Lebih 50 peratus daripada mereka yang menjadi cikgu adalah kerana mereka terpaksa. Bukan seorang, tapi banyak saja [yang begitu]. Ada guru yang saya kenal, mereka menjadi cikgu kerana kerjanya senang sedikit dan terjamin Bukan kerana mereka tidak memiliki keghairahan untuk mengajar. Ini menyebabkan mutu pengajaran di sekolah-sekolah kebangsaan kurang bermutu.

NM: Kebetulan dalam kerja ini kami turut menemubual kumpulan-kumpulan lain yang bukan-Islam dan isu sekolah ini dibangkitkan juga. Saya ingin meminta pandangan anda. Antara hujah mereka berkenaan mengapa wujudnya halangan (resistance) untuk masuk ke sekolah kebangsaan ini adalah kerana sekolah kebangsaan terlalu bersifat Islamik. Bagaimana untuk kita menyatakan perkara ini?

A: Perkara ini dicipta [diada-adakan] oleh orang yang tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan. Saya merupakan batch terakhir yang mempunyai aliran Inggeris. Dan sampai sekarang saya masih lagi berhubung dengan kawan-kawan Cina di sekolah saya dahulu. Untuk menyelesaikan masalah suasana Islamik ini, boleh sahaja ketika pengajaran agama Islam, mereka duduk di luar dan tidak campur pun dalam pengajaran tersebut. Kalau kita lihat peratusan pun—walaupun kita katakan banyak ajaran agama Islam—peratusan orang Cina yang masuk Islam daripada sekolah kebangsaan adalah negligible. Ada seorang dua menuntut di sana sini, tetapi negligible. Maknanya bagi saya, hujahan tersebut unfounded. Kita boleh debatkan lagi. Itu hanya hujah sekadar untuk menjustifikasikan kehendak mereka mengadakan sekolah vernakular.

NM: Maksudnya anda tidak bersetuju untuk mengatakan bahawa wujudnya proses Islamisasi di sekolah kebangsaan?

A: Islamisasi itu memang perlu untuk orang Islam. Itu yang saya katakan tadi, dalam usaha untuk melahirkan orang yang bagus mestilah ada penerapan nilai-nilai Islam tetapi tidak wajib kepada orang bukan-Islam. Mereka diberikan pilihan untuk keluar [dan tidak menyertai kelas agama Islam]. Macam yang saya sebutkan berdasarkan pengalaman saya, bila waktu [pengajaran] Agama Islam, mereka keluar—duduk di kelas asing, di kantin, dan sebagainya. Perkara itu boleh distrukturkan. Kita kadang-kadang mengada-adakan hujahan sebegini tetapi sebenarnya kita sendiri yang tidak mahu. Seperti yang saya katakan tadi, untuk melahirkan orang yang bagus mestilah ada penerapan nilai-nilai Islam. Kalau kita lihat sejarah, bagaimana kita hendak integrasi kalau sejak sekolah rendah—bukan sekolah rendah sahaja, sejak mula lahir lagi selalu duduk sekali [sesama kelompok sendiri dan berasingan dengan kelompok lain] dan tiba-tiba hendak bercakap soal integrasi. Tidak boleh. Duduk sekali itu lain berbanding dengan duduk jauh-jauh.

NM: Nampaknya seperti anda katakan tadi, sekolah tahfiz atau agama termasuklah sekolah Cina perlu disepadukan di bawah satu payung sekolah kebangsaan. Tapi nampaknya perkara ini sudah terbentuk sejak kita lahir lagi. Sebagai contoh, dalam IC kita ada menyebut Islam dan sebagainya. Itu adalah satu bentuk manifestasi kepada segregasi dalam masyarakat kita yang mana sepatutnya tidak perlu ada pembahagian sebegitu kalau kita hendak duduk di bawah satu payung. Mengapa kita ada unsur-unsur yang memihak kepada Islam? Sepatutnya perlu dalam sifat umum dan neutral supaya semua mendapat layanan yang sama rata.

A: Keadilan itu bukan bermakna sama.

NM: Apakah makna keadilan?

A: Mudah saja. Orang yang mempunyai sembilan anak tidak cukup kalau diberikan RM1,000; manakala orang yang mempunyai seorang atau dua anak mungkin cukup dengan RM1,000. Jadi pemberian kita bukanlah pemberian secara sama rata begitu. Itu bukan keadilan. Keadilan bergantung kepada keperluan.

NM: Bagaimana pula keadilan dalam konteks segregasi IC tadi?

A: Baik, berkenaan soal mengapa perlu disebutkan ‘Islam’ dalam IC kita; soal segregasi. Kita perlu lihat ini dalam keseluruhan strateginya—struktur undang-undang—maka baru anda boleh faham mengapa IC perlu menunjukkan identifikasi agama Islam. Ini merupakan antara cadangan yang dibuat oleh Interfaith Council (IFC) dahulu [untuk membuang identifikasi agama dalam IC]. Apa implikasinya? Banyak. Sebab itu kita menentang perkara tersebut [pembuangan identifikasi agama dalam IC]. Apa yang mereka katakan dalam proposal mereka ialah mana-mana anak yang berumur bawah 18 tahun tidak mempunyai agama atau tidak boleh ditentukan agamanya. Itu konsep Barat, tetapi konsep Islam tidak begitu. Apabila ibu bapanya sudah Islam, maka secara automatik anaknya juga menjadi Islam—tidak perlu mengucap syahadah. Anda pun tidak ada mengucap untuk masuk Islam kerana sudah sedia Islam sejak lahir. Namun di Barat tidak begitu. Mereka yang mencapai umur 18 tahun ke atas barulah ada agama [yakni boleh memilih agama apa yang hendak dianutinya]—sebelum berumur 18 tahun itu tidak ada agama yang boleh ditetapkan kepadanya. Apa implikasinya? Apabila kita katakan tidak perlu meletakkan nama ‘Islam’ di dalam IC kita, ianya bermakna bahawa anak-anak kita seolah-olah tidak mempunyai agama. Justeru itu, apabila anak-anak kita tidak mempunyai agama yang ditetapkan semenjak lahir, hal ini akan berbalik kepada perundangan dan perlembagaan di mana perlembagaan mengatakan bahawa agama-agama lain tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Tetapi kalau tidak ada identifikasi Islam dalam IC, maka ianya bermakna bahawa agama-agama lain boleh disebarkan kepada orang-orang Islam—bermakna mereka boleh mengambil anak-anak kita dan mengajarkan agama Kristian, Buddha, dan sebagainya [kepada mereka]. Itu implikasinya, kecualilah kita hendakkan begini jadi tidak mengapalah. Ini strategi halus mereka yang kita tidak perasan. Kita nampak mereka war-warkan seolah-olah wujudnya segregasi walhal sebenarnya kita hanya ingin mempertahankan Islam bukannya hendak melakukan pengasingan (segregate). Kita mahu pertahankan supaya anak-anak kita ini tahu bahawa mereka ada agama. Tambah pula budak-budak sekarang ini dengan pelbagai masalah sosial dan sebagainya. Jadi itu sebabnya kita menentang pemansuhan perkataan ‘Islam’ dalam IC. Sebab itu dalam Islam ada maqasid—batas-batas untuk menjaga agama. Itu antara kewajipan yang perlu kita jaga. Islam ada tatacara yang tertentu—kita tidaklah terbuka [sampai] begitu sekali.

NM: Anda sebutkan ada dua perkara penting iaitu reformasi pemikiran politik dan reformasi pendidikan. Kedua-duanya perlu dibincangkan semula dan semua ini termasuk dalam agenda politik baru. Bolehkah anda berikan definisi berkenaan apa yang anda maksudkan dengan politik baru? Hal ini kerana ada juga kumpulan yang mengatakan bahawa politik baru ini ertinya kita tidak perlu lagi bercakap tentang kaum atau agama; kita hanya tumpukan kepada ekonomi, hak-hak sivil, integrity, ketelusan serta membanteras rasuah. Sebab nilai-nilai ini melangkaui agama, termasuk agama Islam itu sendiri.

A: Dalam Islam, politik ini hanyalah komponen kecil daripada keseluruhan sistem. Kita ada masalah sosial, ekonomi, budaya, dan sebagainya. Politik ini hanya salah satu komponen daripada sistem tersebut. Dan politik ini juga tidak boleh dipisahkan daripada komponen-komponen yang lain sebab kesemuanya adalah sebahagian daripada Islam. Bermakna bahawa apabila kita bercakap soal politik, kita turut bercakap berkenaan dengan suatu sistem kehidupan ataupun lebih mudah lagi suatu tamadun manusia. Hal ini yang kita perlu kembangkan (develop) lagi. Baik dari segi politiknya ataupun dari segi yang lain. Sebab itulah apabila kita sebut saja politik, kita hanya memikirkan politik dari segi kepartian. Sebenarnya politik bukan sekadar parti—sebaliknya, politik itu adalah kehidupan. Bila kamu datang [ke sini] sebenarnya sudah ada politik—cara dan interaksi. Ini politiklah, cumanya politik kenegaraan ini terangkum dalam konteks yang lebih luas lagi. Begitu juga dengan menjaga rakyat dan lain-lain. Katakan saudara ini bukan ahli politik. Bila ada jiran yang sakit maka adakah saudara akan biarkan jiran tersebut? Sudah tentu tidak. Kita pasti akan tolong. Jadi kehidupan itu merupakan politik dalam konteks yang luas. Ini bermakna ianya tidak bergantung kepada ahli politik sahaja untuk membuat kebajikan. Dalam Islam, ianya difahami sebegitu. Jadi apabila kita mengatakan reformasi pemikiran politik, ianya bukanlah politik kepartian tetapi politik yang melihat kepada keseluruhan kehidupan atau suatu tamadun manusia berserta dengan aspek integritinya, sosialnya, ekonominya, tidak ada rasuah dan telus. Itulah yang kita maksudkan sebagai politik baru, bukannya politik yang diambil daripda sumber-sumber lain [khususnya] dari Barat. Negara kini membawa demokrasi Barat, dari Britain misalnya. Tapi sebenarnya tidak sepenuhnya juga kita ambil praktik demokrasi Barat tersebut. Theresa May umumkan yang beliau akan meletak jawatan kalau Brexit tidak dapat dilaksanakan. Kalau di negara kita, minta maaflah [memang tidak akan terjadi] Perdana Menteri kita hendak letak jawatan. Jadi kita ini demokrasi yang cacamarba sedikit.

NM: Jadi ada beza antara demokrasi Barat dengan demokrasi yang sebenarnya?

A: Ya, betul. Sebenarnya dalam Islam ada konsep syura’. Bentuk demokrasi yang difahami ialah ‘daripada rakyat, kepada rakyat, hak untuk rakyat’. Itu demokrasi yang dibawa oleh Abraham Lincoln—dari rakyat, kepada rakyat, untuk rakyat. Tetapi dalam Islam bukan macam ini. Kita hendak membuat satu keputusan tentang Islam, [tetapi] bagaimana untuk kita membuat keputusan tersebut kalau misalnya pihak yang terlibat dalam perbincangan itu adalah terdiri daripada golongan bukan-Islam? Sebab itu sekarang ini, kalau anda nak tahu, akan digubal satu lagi akta yang dipanggil Akta Harmoni. Tapi tak mengapalah, itu kita akan bincangkan perkara ini kemudian. Namun dalam Islam, apabila perkara yang ingin dibincangkan adalah berkenaan agama Islam, takkan kita hendak berikan kepada orang bukan-Islam untuk menentukan [hal ehwal Islam tersebut]? Jadi sudah tentu ianya memerlukan satu sistem—atau dalam konteks Islam ianya dipanggil syura’—untuk membincangkan soal agama Islam. Ianya bukanlah demokrasi sepenuhnya sebagaimana yang dibawa oleh Barat. Itu yang kita perlu faham. Sebab itu ada beza sedikit antara demokrasi Barat dengan demokrasi dalam Islam.

NM: Adakah syura’ ini lantikan daripada rakyat? Kalau ianya bukan dilantik oleh rakyat—kerana dalam demokrasi punca kuasanya daripada rakyat—jadi siapa yang memberikan kuasa kepada syura’ ini untuk membuat keputusan bagi pihak rakyat?

A: Sepatutnya lantikan syura’ itu daripada rakyat jugalah.

NM: Tidakkah itu yang sedang kita lakukan sekarang? Kita pilih wakil rakyat dan mereka ada dalam Parlimen?

A: Betul. Tetapi ini akan jadi cerita lagi besar. Bagi saya, sekarang ini Parlimen harus mempunyai kekangan (limitation) dari segi perbincangan terutamanya dalam membuat keputusan berkenaan dengan hal ehwal agama. Ini kita perlu faham. Sebagai contoh, katakan kita mahu melaksanakan satu perundangan Islam misalnya RUU 355. Mengapa ianya tidak mendapat kelulusan? Sebagai orang Islam, sudah tentu kita mahukan perkara yang terbaik untuk agama kita. Oleh sebab itu dicadangkan RUU355. Ini bukannya masalah parti—bukan sebab saya sokong PAS [kerana itu saya menyokong RUU355]. Tidak. RUU355 itu hanyalah untuk menaikkan—menaikkan saja, bukannya hendak menggubal undang-undang baru—sebagai contoh; menaikan hukuman daripada 6 sebatan kepada 100 sebatan. Ianya berhasrat untuk menaikkan saja hukuman yang terbabit. Bahkan, perkara tersebut sudah dibuat sebanyak dua kali sebenarnya sebelum ini—sudah dua kali diluluskan. Namun kali ini apabila suara bukan-Islam itu sudah semakin kuat, perkara tersebut sudah tidak boleh dilakukan. Soalannya, mengapa soal umat Islam yang tidak ada kena-mengena dengan bukan-Islam—mereka tidak terlibat pun [dengan undang-undang tersebut] dan tidak terkesan dengan hukuman [yang hendak dicadangkan]—tetapi mereka [menjadi] salah satu penentu (determinant) kepada kehidupan kita? Sampai sekarang perkara tersebut tidak dapat dilakukan. Itu baru sedikit. Jadi pandangan saya di sini, dalam Islam tidak boleh begitu. Perkara-perkara yang melibatkan Islam memerlukan mekanisme yang lain. Perkara ini berlaku adalah kerana Parlimen kita ini berdasarkan parlimen versi Barat semata-mata.

NM: Berkenaan undang-undang ini, ada satu pihak mengatakan bahawa sepatutnya bukankah lebih baik jika kita mempunyai satu sistem undang-undang yang terpakai untuk semua orang—bukanlah ada dua sistem yang khusus untuk orang Islam dan bukan-Islam. Ini sepertimana yang kita bincangkan tentang pendidikan tadi.

A: Memang sepatutnya begitu. Undang-undang ini sepatutnya satu saja—sepatutnya undang-undang Islam. Ia sudah berjalan sejak 1400 tahun dahulu dan semua rakyat terbukti menadapat keadilan dan pembelaan. Hanya baru-baru ini sahaja undang-undang Islam tidak ada selepas kejatuhan Turki Uthmaniyyah. Baru lebih 80 tahun bilamana Islam jatuh pada tahun 1928.

NM: Tapi tadi anda ada sebutkan bahawa jika kita mahukan satu pendidikan, kita boleh serapkan sekolah kebangsaan ke dalam sekolah Cina ataupun sekolah Cina diserapkan ke dalam sekolah kebangsaan. Adakah dalam undang-undang juga kita boleh gunakan konsep yang sama? Semua orang masuk ke mahkamah sivil dan tidak memerlukan mahkamah syariah.

A: Anda mahu begitu?

NM: Kami sekadar melihat kemungkinan itu. Katakan kalau rakyat mahukan begitu…

A: Begini. Macam saya katakan tadi, kehendak rakyat bukanlah menjadi penentu hukum. Kalau rakyat mahukan itu, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Cumanya, kita perlu faham perbezaan antara ajaran Islam dengan apa kehendak rakyat. Islam menyuruh kita sembahyang lima waktu, tetapi kalau semua rakyat tidak mahu sembahyang, nak buat macam mana. Tetapi keengganan tersebut tidak merubah hukum bahawasanya sembahyang itu adalah wajib. Sebenarnya apabila saya berkata sedemikian tadi, kita perlu faham bahawa ianya dalam konteks penyatuan. Bukanlah maksud saya untuk kita bubarkan sekolah kebangsaan menjadi orang Cina belaka. Tidak. Maksud saya ialah itu merupakan salah satu contoh kepada persoalan pengintegrasian iaitu satu system pendidikan. Bukanlah maksudnya [kita] semua mahu menjadi Cina.

NM: Hanya perlu ada satu sistem?

A: Berbalik kepada sistem undang-undang pula, ianya senang saja—ambil semua sistem Islam untuk digunapakai secara menyeluruh ke dalam sistem kenegaraan termasuklah perundangan. Mengapa tidak ambil Islam sebagai sistem kenegaraan? Bukankah ia rahmatan lin a’lamin seperti yang diwar-warkan oleh kerajaan sekarang? Islam sudah merupakan rahmat yang telah berlangsung selama 1400 tahun dan baru sahaja jatuh pada tahun 1928. Sebelum itu Islam menguasai sebahagian besar dunia.

NM: Itu tidak akan menjadi masalah kalau semua bersepakat untuk mengangkat Islam sebagai sebuah sistem kenegaraan. Tetapi dalam konteks hari ini, dalam kalangan umat Islam sendiripun tidak dapat bersepakat untuk berada di bawah sistem ini.

A: Inilah cabarannya. Zaman Rasulullah dahulupun tidak ada kesepakatan yang penuh dalam kalangan penganut Islam.

NM: Jadi kita lihat ada masalah di situ, tetapi hal yang paling penting ialah kita nampak sudah ada ruang yang diberikan kepada orang atau kumpulan Islam untuk menyuarakan pandangan mereka—untuk menegaskan bahawa kita perlu mewujudkan negara Islam serta undang-undang Islam. Maksudnya saya nampak ruang itu sangat penting dan perlu dipelihara tidak mengira sama ada negara itu mahu menjadi negara sekular atau negara Islam. Pokoknya, ruang itu perlu dikekalkan.

A: Ruang itu bermaksud ruang perbincangan, dialog dan wacana?

NM: Ruang untuk perbincangan serta ruang untuk meyakinkan masyarakat perlu dikekalkan.

A: Memang, sangat perlu. Bagi saya, kita terbuka untuk berbincang atau berdialog dengan sesiapapun. Kita tengoklah. Macam saya katakan tadi, ia pada akhirnya bergantung kepada rakyat—sama ada rakyat suka atau tidak suka. Kalau rakyat tidak menyukainya, ia bukan masalah bagi saya tetapi lebih kepada cabaran. Cabaran ini sudah ada dari zaman Nabi Adam. Nabi Nuh juga berdakwah selama 950 tahun tetapi hanya mampu menarik 10 orang untuk mengikuti baginda sementara beribu orang yang lain tidak mengikutinya. Itu perkara biasalah.

NM: Kadang-kadang kita ada terdengar slogan mengatakan ‘umat Islam ada tahap kesabarannya’. Apakah maksudnya? Adakah ianya bermaksud agar kelompok lain tidak melampaui batas supaya tidak mengundang reaksi balas yang kuat daripada umat Islam?

A: Maksudnya mudah saja—Islam ini ada sempadan, maka sebab itu wujudnya hukum Islam. Contohnya orang yang berzina dengan ibunya. Adakah saudara dapat bersabar dengan perkara ini? Orang masuk ke rumah anda dan menyembelih anak anda. Adakah anda dapat bersabar? Anda boleh katakan yang anda sabar, tetapi hakikatnya mungkin tidak dapat bersabar kerana anak anda disembelih. Semasa saya di UK suatu ketika dahulu, ada orang bertanyakan kepada seorang warga Palestin. Pertanyaannya ialah mengapa ramai pengebom berani mati (suicide bomber) ini meletupkan diri. Katanya lagi, tidakkah ini suatu pembunuhan diri dan sebagainya. Warga Palestin tersebut memberikan jawapan yang paling mudah: Apa perasaan anda jika ibu, bapa, dan saudara anda dibunuh di depan mata anda? Anda tidak mempunyai apa-apa lagi—tidak ada makanan atau minuman, tidak ada sesiapa untuk bergantung harap. Adakah anda mengalami trauma atau tidak? Anda pergilah tanya kepada mangsa. Kita pergi berjumpa dengan ibu, bapa, dan saudara (Allahyarham Adib) yang terbabit; mereka benar-benar trauma. Itu baru seorang anak. Bermaksud, adanya hukum Islam itu adalah untuk memberikan ruang untuk menjalankan keadilan. Jadi itu yang dikatakan bahawa sabar itu mempunyai had. Kalau kita katakan sabar itu tidak ada had, maka tidak ada hukum Islam-lah. Undang-undang pun tidak ada. Jika ada apa-apa yang berlaku atau menimpa diri anda maka anda kekal sabar, orang menghina agama anda pun masih bersabar. Mana boleh begitu.

NM: Kalau anda boleh perincikan sedikit, di mana batas kesabaran kita? Ini kerana anda memberikan contoh tentang jenayah. Tetapi dalam soal sivil misalnya kebebasan bersuara dan berekspresi, di manakah terletaknya batas tersebut? Atau adakah kalau ianya melangkaui jenayah barulah kita ambil tindakan? Jika tidak sampai kepada jenayah, maka orang boleh bercakap apa sahaja tentang agama kita? Kita berikan mereka ruang. Kalau kita rasakan kita tidak menyukainya, maka kita bahaskan. Adakah anda rasa sepatutnya ruang tersebut dibuka seluas-luasnya? Atau jika ada batas, di mana terletaknya batas tersebut?

A: Dari segi sivil? Begini. Dari segi dialog, bagi saya, kita boleh berdialog apa sahaja. Masalah penghinaan kepada agama, bagi saya ia bukan dalam konteks dialog lagi. Seperti dalam Islam, berdosa besar jika anda menghina Nabi atau para sahabat.

NM: Justeru itu, jenayah adalah batasnya?

A: Ya.

NM: Bagaimana pula berkenaan dengan ekspresi seperti golongan LGBT? Adakah itu suatu jenayah?

A: Anda tidak berasakan ianya berdosa? Itu dosa besar.

NM: Kebanyakan muslim memahami bahawa ianya sebuah dosa besar. Tetapi mereka mengatakan bahawa ianya hak sivil. Soalan saya: Bagaimana kita meletakkan batasnya? Di mana kita patut meletakkan batas tersebut? Sebab kalau diikutkan perkara yang berdosa, tidak bertudung juga dikira berdosa. Adakah bila kita membiarkan perempuan tidak bertudung di bermaksud bahawa kita seolah-olah tidak menegakkan Islam, misalnya? Jadi bagaimana sikap kita dalam hal dosa ini kerana dosa ini ada banyak jenis.

A: Begini. Walau apapun, kita perlu faham macam berbalik kepada tadi. Kita jangan ambil konsep kebebasan daripada Barat secara bulat-bulat. Macam Tun Mahathir pun selalu sebut: Adakah anda suka jika saya menghina anda? Anda pun tidak menyukainya. Tetapi Barat tidak kisah akan perkara ini. Orang-orang Barat bertelanjang bulat secara terbuka. Anda pergi ke Phuket—di pantainya semua bertelanjang secara terbuka. Anda suka? Memang kita tidak suka kerana Islam mengajar kita begitu, tetapi Barat tidak. Itu hak peribadi mereka—kononnya atas nama kebebasan Dalam Islam, kedua-dua perkara tersebut tidak dibolehkan sama ada tidak bertudung ataupun LGBT. Tidak boleh. Dan kita sememangnya menentang perkara tersebut. Cuma kadarnya berbeza sedikit dan bergantung kepada implikasinya.

NM: Dalam kita meletakkan batas kebebasan, wujud implikasi-implikasi yang menjadi pertimbangan kita?

A: Ya, perlu lihat kadar implikasinya.

NM: Namun tadi anda menggunakan metafora pengebom berani mati di Palestin. Jika ianya berlaku kepada keluarga kita, maka kita boleh faham mengapa pengebom tersebut melakukannya. Maksudnya seperti kita boleh faham rasional di balik tindakan pengebom berani mati tersebut. Persoalan saya: Wujud atau tidak tahap-tahap tertentu dalam Islam yang membolehkan kita untuk menggunakan kekerasan (violence) atau keganasan (terror) sebagai reaksi balas kepada pihak musuh?

A: Apakah takrif anda berkenaan kekerasan dan keganasan tersebut?

NM: Maksudnya keganasan yang mempunyai justifikasi (justified violence).

A: Bagaimana anda menakrifkan keganasan dan terorisme?

NM: Keganasan (violence) bermaksud apabila kita bertembung (engage) secara fizikal dengan orang lain yakni mendatangkan kesan (atau mudarat) kepada orang lain tanpa kerelaan orang tersebut. Adakah Islam membenarkan keadaan sebegitu dalam kadar-kadar yang tertentu?

A: Begini. Kita perlu faham. Kalau orang bertanyakan kembali: Adakah ketika Rasulullah terlibat dalam peperangan ianya dikira sebagai keganasan? Rasulullah terlibat dalam empat atau lima peperangan—membunuh dan dibunuh. Adakah itu keganasan? Kita perlu bertanyakan perkara ini terlebih dahulu. Kalau kita katakan ianya keganasan, maka ia bermaksud Rasulullah itu ganas yang mana ianya merupakan sesuatu yang mustahil kerana ganas bukanlah sifat Rasulullah. Jadi, kita perlu faham perkara ini terlebih dahulu. Sebab itu kadang-kadang orang berkata bahawa kita perlu berbuat baik kerana Rasulullah baik. Memang Rasulullah baik dan sangat bertolak ansur. Tetapi ada ketikanya, Rasulullah juga tidak terlepas untuk marah sehinggakan berperang seperti berlakunya perang Badar, Uhud, Tabuk, dan sebagainya—ini perang yang sebenar, ada bunuh-membunuh. Sahabat-sahabat—ahli syurga—[turut sama terlibat] membunuh orang. Bolehkah anda bayangkan? Abu Bakar dan Umar turut membunuh orang. Mereka ini ahli syurga, tetapi adakah dengan membunuh orang semasa perang membuatkan mereka ini ganas? Itu kita perlu faham terlebih dahulu. Maknanya Islam tidak pernah membenarkan kita memukul orang tanpa sebab-musabab yang kukuh. Tetapi lain pula halnya seperti yang saya perkatakan tadi apabila batas-batas tersebut sudah dilanggar sampai begitu sekali lalu jika kita tidak [bereaksi terhadapnya] maka ia menjadikan kita dayus. Dayus adalah haram dalam Islam. Anda membiarkan sahaja orang yang membunuh ibu anda atau merogol kakak anda. Itu dayus dan haram. Itu maksudnya yang Islam ingin bawakan. Dan itu tidak pula bermaksud anda boleh membalas dengan cara yang serupa. Pergilah ke mahkamah—untuk menuntut keadilan. Dan sebagaimana yang kita tahu, ketika seorang Yahudi menuntut barangnya daripada Saidina Ali, Saidina Ali kemudiannya menyerahkan semula barang orang tersebut—[perkara tersebut dibawa] pergi kepada hakim [untuk dihakimi]. Jadi ada prosedurnya, bukanlah boleh berkelakuan sewenang-wenangnya. Tetapi untuk mengatakan bahawa Islam ini tidak mempunyai aspek keganasan yang secara ketatnya bermaksud tidak boleh berbuat apa-apa [yakni bertindak-balas terhadap kezaliman yang berlaku] ini tidak berapa kena juga. Sebab ada keadaan tertentu yang memaksa kita untuk bertindak-balas dengan sewajarnya. Orang melancarkan perang terhadap kita misalnya. Tiba-tiba esok atau lusa Amerika melancarkan perang terhadap kita dan kita pula mengatakan bahawa kita tidak boleh bertindak balas melainkan hanya bersabar dan berdoa. Maka hancurlah kita kalau begitu.

NM: Tadi kita ada bincangkan bagaimana kita meletakkan sikap kita dengan bukan-Islam. Saya rasa kita jelas bagaimana caranya untuk meletakkan serta memberikan garis-garis panduannya. Maknanya, menurt anda, apabila ianya melibatkan hal agama Islam, ia sepatutnya dibuat dalam kalangan Islam dan jika ianya bukan hal agama, maka kita boleh berbincang dengan bukan-Islam. Kemudian kalau ianya bukan melibatkan soal jenayah maka kita boleh berbincang. Jadi saya rasa kami sudah memahami sikap anda tentang perkara tersebut. Dan implikasinya mempengaruhi bagaimana kita hendak meletakkan sempadan [kepada perkara-perkara tersebut].

A: Tapi kedua-duanya (tak bertudung dan LGBT) juga tidak betul dari segi hukum Islam. Seperti saya katakan tadi, tidak bertudung itu tidak betul juga kerana sepatutnya memakai tudung. Tetapi disebabkan implikasinya mungkin tidaklah sebesar sampai menuntut kita untuk melakukan tindakan yang drastik, maka boleh dibahaskan lagi (dalam konteks perlaksanaan hukuman).

NM: Ada implikasi yang besar dan kecil. Jadi kita boleh bincangkan perkara tersebut—anda menggunakan istilah ‘kadar’ tadi. Satu lagi berkenaan hal bukan-Islam. Bagaimana hubungan kita sesama Islam yang berbeza pandangan pula? Baik, ini melibatkan perkara yang dibincangkan oleh sesama Islam sahaja. Namun dalam kumpulan-kumpulan Islam ini, ada juga kumpulan yang hanya meletakkan nama organisasinya dengan nama Islam tetapi seolah-olah pandangannya itu dikatakan kebaratan atau ‘liberal’ pula. Adakah mereka mempunyai ruang yang sama untuk terlibat dalam perbincangan berkenaan hal ehwal agama Islam?

A: Ada, dan kita masih boleh berbincang. Macam saya katakan tadi, saya pernah berbincang dan berdialog dengan golongan-golongan Liberal dalam satu forum; juga dengan Sisters in Islam (SIS). Saya berbincang satu forum dengan mereka. Namun terpulang selepas itu terpulang kepada masyarakat sama ada mahu terima atau tidak. Kita terbuka dan tidak ada masalah.

NM: Tetapi ada juga pihak yang mendakwa bahawa kewujudan kumpulan-kumpulan ini adalah bukti bahawa kerajaan tidak mengambil berat tentang Islam. Adakah ia benar?

A: Dari satu aspek memang betul kerana kita memang nampak bahawa tidak ada satu tindakan tegas daripada kerajaan yang boleh kita katakan baik dalam menjaga agama kita ini. Jadi itu saja soalnya—itu hanya simptom-simptom kecil yang ada. Walaupaun ada sedikit usaha memartabatkan islam tetapi keseluruhannya kita berasakan masih lagi ada ruang-ruang yang boleh diperbaiki. Bukanlah kita katakan tidak ada langsung [usaha daripada kerajaan]. Ada. Kita ada JAKIM, YADIM, IKIM dan sebagainya. Tetapi masih banyak lagi ruang yang boleh diperbaiki. Apakah ruang tersebut? Contohnya seperti tadilah iaitu politik kepartian dan masalah rasuah. Maknanya ada ruang-ruang yang boleh diperbaiki lagi supaya penerapan-penerapan Islam ini boleh dilakukan didalamnya.

NM: Tapi ini akan menimbulkan masalah kerana ini agak selektif. Misalnya, kita mungkin tidak ada masalah dengan kumpulan ‘liberal’ untuk berdialog dan sebagainya. Tetapi apabila melibatkan kumpulan-kumpulan seperti Syiah atau Ahmadiyah, kita langsung tidak mahu berusaha untuk mewujudkan dialog dengan mereka. Maksudnya, dalam kalangan sesama Islam—yang dianggap sebagai Islam—juga wujud diskriminasi dalam membenarkan sesetengah kumpulan untuk dibolehkan untuk berdialog dan sesetengah kumpulan lainnya yang tidak dibolehkan untuk berdialog.

A: Begini. Kita perlu faham batas-batas tadi. Kalau kita lihat dari segi fatwa baik sekarang mahupun dulu, jumhur ulamak mengatakan bahawa Ahmadiyah dan Syiah ini sudah terkeluar daripada Islam kerana membawa ajaran baru. Ahmadiyah ada Nabinya sendiri; manakala Syiah ini al-Quran sendiri pun mereka ada—mereka turut memasukkan Ali dalam bacaan tahiyat akhir dan sebagainya. Jadi kedua-dua kumpulan itu sudah diklasifikasikan sebagai bukan-Islam. Walaupun ada sebahagian mengatakan bahawa ia mempunyai sedikit [keIslaman], akan teapi bila diperhatikan secara baik-baik, mereka sudah terkeluar Islam. Jadi bukanlah masalah tidak boleh berdialog—boleh saja berdialog (kalau mereka serius mahu mencari kebenaran). Tetapi saya rasa sudah banyak dialog yang dibuat (tetapi kesannya tidak sampai ke mana). Mungkin anda tidak ikuti sahaja.

NM: Pertautan (engagement) yang kami maksudkan ini tidak sekadar dialog sahaja. Maksudnya ruang untuk mereka melontarkan idea, menyatakan pandangan, malah beribadah dan sebagainya. Macam golongan LGBT ini. Tidak sahaja untuk kita duduk dan bercakap dengan mereka, tetapi termasuk juga ruang untuk mereka mengadakan program dan menerangkan idea mereka. Jika kita tidak suka (dan tidak bersetuju), kita boleh datang dan buat program kita juga. Itu yang dimaksudkan—ruang yang sama tadi. Ianya mungkin dalam satu pakej.

A: Begini. Dalam Islam ini, ia bukanlah masalah antara manusia sesama manusia sahaja. Ia juga ada hubungan dengan Allah. Ada konsep rahmat dan keberkatan (begitu juga konsep bala’). Misalnya ada orang bercakap dan mengaitkan perkara ini (bala’ Allah) dengan kes tsunami dan sebagainya, tetapi itu tak mengapalah. Saya tidak mahu membawa sampai ke peringkat begitu. Dalam Islam ini, antara pendekatan pentingnya adalah keberkatan dan pertolongan daripada Allah. Ia bukan setakat ‘saya mahu anda menyukainya, maka saya suka dan kita boleh berbincang dan duduk sekali’. Contohnya macam anda katakan tadi, LGBT dan sebagainya [mereka mengatakan ini merupakan perkara yang] peribadi: ‘Jadi mengapa anda nak ambil kisah kerana itu hak peribadi saya?’ Tetapi dari segi Islam kesan daripada perkara itu bukan lagi bersifat peribadi. Kesannya boleh kena kepada semua orang (dalam konteks bala’ dari Allah). Macmana kita nak bagi ruang kalua kita tahu ia akan membawa kemusnahan kepada umat dan negara. Jadi kita perlu tegah. Sebab itu kita perlu memahami agama dengan konsep Islam yang betul. Barat tidak ada konsep Rabbani ini. Barat hanya ada konsep hubungan sesama manusia sahaja kerana ia anggap agama ini adalah hak peribadi manusia. Jadi itu perbezaan besar antara kita dengan Barat.

NM: Sebelum kita akhiri wawancara kita, elok juga kalau kami mahu kaitkan dengan perkembangan politik kepartian tanahair. Kita sedia maklum bahawa DAP bukan sahaja dianggap sebagai musuh UMNO. Tahap permusuhan ini dilihat sampai seolah-olah DAP sebagai musuh negara. Persoalannya, mengapa tidak diharamkan sahaja DAP ini, terutamanya sewaktu UMNO memerintah?

A: Tidak boleh sebab UMNO perlukan DAP untuk hidup. UMNO tidak akan mengharamkan DAP.

NM: UMNO perlukan satu musuh yang jelas untuk menghimpunkan orang dibawahnya?

A: Sebenarnya UMNO tidak sangat memperjuangkan untuk Melayu—ini satu cerita lain pulalah, cerita politik. UMNO ini sebenarnya bertujuan untuk menjaga poket dan perutnya saja; ia hanya nak kenyang. Jadi ia memerlukan DAP—sentiment tersebut—untuk ia menang. Itu sahaja. Jadi UMNO tidak akan melakukan apa-apa terhadap DAP.

NM: Tetapi bahaya DAP itu adalah nyata, dan bukan sekadar sentimen?

A: Benar, bahaya tersebut nyata bagi kita (dan memang ia membahayakan negara dalam konteks hak orang Melayu dan Islam).

NM: Nampaknya UMNO memerlukan DAP, dan mungkin juga DAP turut memerlukan UMNO.

A: Dari satu sisi, mungkin.

NM: Dan PAS?

A: UMNO perlukan PAS untuk talian hayat. Semua ini bagi saya adalah sekadar untuk memainkan sentimen politik dan bukanlah sebenarnya… Dalam erti kata, anda lihat apabila mereka (DAP) membuat pengisytiharan harta. Semua mereka (pimpinan DAP) adalah jutawan. UMNO apatah lagi.

NM: Tapi UMNO tidak mahu isytihar.

A: Ya, tak kisahlah. Akan tetapi semua orang tahu mereka ini jutawan, menteri-menteri ini. Rakyat pula papa kedana dan miskin. Mengapa ini berlaku dalam keadaan kita katakan bahawa negara ini demokrasi dan sebagainya—hak rakyat, untuk rakyat. Ini menunjukan politik hari ini adalah sekadar untuk mengkayakan diri bukan untuk maslahat rakyat.

NM: Kita sedar bahawa Malaysia adalah negara demokrasi dan sokongan itu sangat penting. Adakah ISMA berminat untuk menjadi sebuah parti politik pada masa akan datang?

A: Mungkin. Kita tunggulah PRU15 nanti. Kita bukanlah berminat sangat dengan politik tetapi kadang-kadang kita berasakan bahawa ada perkara yang kita nak ceritakan [kepada rakyat] tetapi tidak dapat disampaikan melalui NGO. Sebab NGO ini orang sisihkan. Saya sendiri sudah berapa banyak memorandum saya hantar kepada Mahathir, dan kepada Najib dulu. Mereka hanya hantar budak-budak hingusan untuk ambil memorandum. Saya sudah naik muak untuk ke Pejabat Perdana Menteri. Sudah 20 tahun saya buat begini. Mereka tidak akan dengar.

NM: Ini sangat menarik kalau kita boleh tangkap perkara ini. Ertinya kalau ISMA lihat ada keperluan untuk menyertai pilihan raya, secara tidak langsung bererti UMNO bermasalah—dan anda sudah terangkan apa masalah UMNO tadi. Dan PAS juga turut sama bermasalah. Berkenaan dua parti politik ini, apa kekurangan kedua-dua parti politik Melayu ini?

A: Saya rasa dari segi agama, UMNO sangat kurang. Sebab itu berlakunya rasuah, salahguna kuasa, dan sebagainya. Jadi itu bagi kita, memang perlu diperbetulkan. Bagi saya, katakan kalau UMNO menang semula ia tidak akan mengubah apa-apa pun, malah akan mengulang perkara yang sama. Justeru saya rasakan, Malaysia ini samada [ditadbir oleh] BN atau PH, kedua-duanya tidak mempunyai perbezaan yang ketara. Hidup kita begini juga.

NM: Kalau PAS?

A: PAS pula dari segi ahli-ahli profesionalnya ada kekurangan (kurang tertonjol). Kita tidak nampak hala tuju PAS yang konkrit (dalam konteks sebuah negara). Ia bukan mahu memerintah negara sangat pun. PAS agak selesa dengan penguasaan negeri yang dipegangnya dan tidak banyak membuat strategi baru dalam nak menguasai negara.

NM: Namun sekarang ini sudah ada Amanah dan ertinya PAS dikuasai sepenuhnya oleh ulamak. Dan sepatutnya dengan kepimpinan ulamak maka PAS mestilah lebih baik?

A: Tidak, PAS tidak bersedia untuk memerintah negara. Haji Hadi juga sudah katakan bahawa PAS tidak bersedia untuk memerintah negara. Ia masih focus kepada negeri-negeri Melayu seperti di Kelantan dan Terengganu. Wawasannya agak terbatas buat masa ini, bagi pandangan saya. Ia bukannya mahu mengubah negara keseluruhannya (buat masa ini) tetapi cukup sekadar dapat mentadbir dua negeri tersebut, kemudian kalau perlaksanaan hudud dapat dijalankan, maka mereka mungkin bersedia duduk dibawah pihak lain. Jadi tidak nampaklah konteks menyeluruh dalam gagasan yang cuba dibawa oleh PAS. Itu pandangan saya, mungkin orang boleh bahas. Jadi bagi saya, ada sedikit kekurangan di situ.

NM: Apa yang ISMA boleh tawarkan?

A: Kita nak gabungkan kedua-duanya: Islamic professionalism, integriti, dan sebagainya.

NM: Setakat ini adakah ISMA mendapat sokongan daripada akar umbi?

A: Kita belum cuba lagi (belum jadi parti lagi).

NM: Tapi ramai yang hadir ke demonstrasi ICERD tempoh hari manakala ISMA difahamkan menyokong demonstrasi tersebut?

A: Itu betullah. Memang ISMA menyokong. Secara keseluruhannya, yang hadir ramai ahli UMNO dan PAS manakala ahli-ahli NGO sebahagian sahaja. Tetapi ramai juga ialah golongan rakyat yang tidak suka dengan apa yang ada sekarang tetapi mereka tidak ada pilihan (ketika mengundi PH dahulu). Sebab itu saya katakan, rakyat ini selalu dipaksa memilih antara lesser of the two evils. Dua-dua (BN dan PH) pun [lebih kurang sama sahaja]. Walhal rakyat mahukan sesuatu yang mana pemimpin boleh duduk [dan berbincang] sekali, dan boleh mendengar suara rakyat.

Sebalik Sejarah dan Emosi: Tanggapan terhadap Teks Ucaptama “Naratif Malaysia”

Tun Daim, Descartes dan Luhmann adalah satu angkatan yang tidak melihat fungsi sebenar emosi dalam membantu mencerdaskan masyarakat. Walhal, emosi sangat penting dalam membantu merungkaikan kekusutan di hujung.

Kita di ambang tahun 2020. Kita mengenang tahun 2020 dengan sebuah kalimat: wawasan 2020.

Ketika Wawasan 2020 diajukan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1991, kita melihat Malaysia sebagai sebuah projek negara-bangsa yang sedang bergerak maju. Suatu projek yang ingin menyatu-padukan masyarakat dalam suatu gagasan negara-bangsa. Harapan kita pada tahun tersebut Malaysia sudah membentuk sebuah negara bangsa yang mapan. Ia tidak lagi merupakan impian, akan tetapi, merupakan pencapaian

Apa yang dikemukakan oleh Tun Mahathir pada ketika itu bukanlah suatu hal yang tidak lazim. Projek negara-bangsa memang memerlukan suatu utopia sebagai bahan bakarnya. Memandang ke hadapan, dengan penuh wawasan, sangat penting kerana ia memberikan daya gerak. Ini kerana, masa hadapan adalah bersifat neutral, yang maseh lagi berupaya untuk diolah. Dalam kata lain, masa hadapan adalah milik untuk mereka yang bertindak.

Sejarah

Namun begitu, bagaimana pula dengan masa lalu? Sejarah. Apakah masa lalu juga boleh diubah? Sudah tentu, ramai akan berkata “tidak”. Tun Mahathir adalah antara sekalian ramai yang berkata “tidak”. Bagi kalangan ini, sejarah adalah fakta. Sejarah tidak boleh diubah.

Misalnya, tiada siapa yang menyangkal peristiwa 13 Mei 1969; tiada siapa yang menafikan Malaysia memperoleh Kemerdekaan pada tahun 1957; tiada siapa yang menolak gerakan penentangan Malayan Union pada tahun 1946. Semua ini adalah fakta yang sudah tidak dipertikaikan lagi. Fakta, untuk mereka yang berfikiran seperti Tun Mahathir, memang tidak boleh diubah. Berlawan dengan pemikiran Runia (2014), masa lalu hanya menunggu masa untuk dikutip faktanya oleh ahli sejarah. Sebab itu, secara provokatifnya kita boleh mengulang tuduhan Runia bahawa “historians don’t think.”

Bahkan, fakta juga boleh merujuk kepada masa lalu yang mutakhir (recent past). Tun Mahathir, dalam Amanat Khas Ambang PRU14 di Langkawi, bukan sahaja mengungkit sejarah masa lalu untuk mengingat para pengundi mengenai perit jerih memerdekakan negara, akan tetapi Tun Mahathir turut mengingatkan mereka mengenai sejarah masa lalu yang mutakhir: “Najib Razak sebagai suatu malapetaka kepada negara” itu antara gemaan yang kita semua boleh ingat. Dalam hal ini, Tun Mahathir cuba menunjukkan betapa masa depan tanahair akan kelam sekiranya terus di bawah Najib Razak. Menerusi taktik ini—memaparkan masa depan yang suram—maka ia memberi keabsahan untuk memanggil-manggil cerita masa lalu: kesusahan, kesengsaraan, perjuangan dan kejayaan. Kerana itu, tatkala masa depan binasa, masa lalu datang menerpa, “when the future collapse, the past rushes in” (Torpey 2001).

Sejarah sebagai Fakta

Butiran yang ingin disingkap di sini ialah: Sejarah adalah fakta. Terlepas daripada pelbagai tafsiran dan hasrat tersembunyi, sejarah dianggap sebagai sumber rujukan tatkala ada kekusutan. Justeru itu, apa yang disuarakan oleh Tun Mahathir ini, sebenarnya, sama sekali tidak berbeza dengan apa yang disuarakan oleh Tun Daim Zainuddin dalam teks ucaptamanya “Naratif Malaysia: Melayu dalam persoalan nasional.”  Lantas, Tun Daim memulakan makalahnya dengan sejarah: kusut di hujung, balek ke pangkal. Untuk membuktikannya, Tun Daim menelusur perkembangan Tanah Melayu dan kaum Melayu dalam pelbagai zaman: Pra-Islam, Melaka, Penjajahan, Malayan-Union, Kemerdekaan dan dewasa ini.

Bagi Tun Daim, sejarah adalah penawar kepada kerumitan yang sedang dihadapi oleh kaum Melayu dan bangsa Malaysia hari ini. Ingat, kusut di hujung, kembali ke pangkal. Mengingatkan kembali kepada sejarah, memaklumkan kepada kita akan tradisi betapa kaum Melayu dan Malaysia yang pernah mempunyai sejarah yang berjaya dan bersatu, setidaknya menurut Tun Daim. Katanya, “Malaysia mempunyai sejarah yang kuat dan kaya berhubung dengan usaha membangunkan keharmonian antara-kaum dan kepelbagaian budaya atau multi-kulturalisme sejak daripada awal penubuhannya lagi.” Ini adalah fakta, difahami dari pemikiran Tun Daim.

Fakta Musuh Emosi

Justeru itu, fakta adalah kalimat azimat yang terlindung dalam teks Tun Daim. Dengan menggunakan sejarah sebagai istilah lapik, Tun Daim membangkitkan dikotomi antara emosi dan logik. Baginya, kembali kepada fakta (yakni, sejarah) adalah sikap memperkasa, manakala berpaut kepada emosi adalah sikap membinasa. Sikap Tun Daim adalah jelas: bahawa emosi takkan membantu dalam menjernihkan kerumitan yang dihadapi oleh kaum Melayu dewasa ini. Dalam kata lain, emosi adalah kata kotor dalam pembinaan negara-bangsa.

Lihat sahaja pembatalan ratifikasi ICERD: Tidakkah yang turun berdemostrasi ini adalah cerminan kerumunan emosi? Fakta mereka kelaut. Sekiranya kita yakin pada akal, maka ICERD bukanlah kebimbangan kerana ICERD adalah bersifat sejagat (universal), sama seperti akal. Begitu juga dengan kebimbangan mereka nasib kaum Melayu pasca PRU-14? Tidak perlu bimbang, kata Tun Daim. Sebab, faktanya, lebih 60% rakyat Malaysia adalah Muslim. Fakta lagi, Islam adalah agama yang paling pesat berkembang. Kalau berasaskan fakta-fakta ini, maka emosi bukanlah persoalan penting.

Atas asas inilah, Tun Daim memuliakan akal. Tun Daim berkali kali menegaskan keperluan menggunakan logik sebagai sesuatu yang sinonim dengan akal. Baginya, menerusi logik, kaum Melayu boleh peroleh kemakmuran. Sebagai contoh, sistem ekonomi memang berteraskan logik. Tun Daim melihat sepatutnya kaum Melayu juga seperti sistem ekonomi. Tapi ini tidak berlaku dewasa ini di kalangan orang-orang Melayu. Bagi Tun Daim, kecelaruan politik yang sedang kita geluti dewasa ini adalah kerana retorik dan ketidaksiuman orang-orang Melayu. Sebut Tun Daim:

Nampaknya semakin hari semakin ketara bahawa orang Melayu berfikir melalui emosi dan perasaan daripada melalui akal dan otak. Kita mesti menanyakan diri kita sendiri – apakah yang sedang berlaku kepada kita?

Sebab itu bagi Tun Daim, “akal tanpa emosi akan menentukan masa depan kita dan masa depan Malaysia.” Jadi, fakta (baca: sejarah) adalah bermusuh dengan emosi. Apa yang kita fahami daripada sini ialah, Tun Daim meletakkan masa depan negara di tangan fakta. Menerusi fakta, kewarasan akan tumbuh, mekar, berputik, berbunga dan berbuah. Hasilnya, kaum Melayu yang menikmatinya dalam bentuk kemakmuran.

Kritikan

Bertitik-tolak daripada apa yang dikemukakan oleh Tun Daim ini, didapati terdapat beberapa masalah dalam paradigma Tun Daim. Semua masalah ini adalah berpunca akibat pemberatan terhadap fakta tanpa memahami setiap fakta sarat dengan penafsiran dan hasrat tersembunyinya. Lantaran itu, memahami masyarakat daripada kerangka ekonomistik-materialistik semata-mata tidaklah mengambarkan keseluruhan sebuah masyarakat. Ringkasnya, terdapat dua masalah yang dikenalpasti akibat pemberatan kepada kerangka yang dikemukakan oleh Tun Daim ialah:

  • Memang benar, dari satu segi, bahawa sejarah adalah fakta. Tetapi, masyarakat yang hidup dalam sejarahnya bukanlah suatu persoalan fakta semata-mata. Kerana kita manusia, maka kehidupan bukanlah sejarah. Selain daripada fakta, terdapat juga representasi, yakni cara kita mengolah fakta sesuai dengan konteks semasa kita. Fakta dan representasi adalah saling memerlukan. Fakta memberikan bahan, manakala representasi memberikan makna terhadap bahan tersebut. Kerana itu, fakta atau sejarah, boleh diubah berdasarkan kehendak semasa. Justeru itu, unsur representasi memainkan peranan yang penting sebagai perimbangan terhadap bahan sejarah.
  • Kecenderungan Tun Daim yang mengutamakan logik berbanding emosi adalah tidak tepat dan tidak lengkap. Ini kerana, masyarakat tidak bergerak dengan unsur logik semata. Untuk memahami masyarakat Melayu dan Malaysia, atau Masyarakat [dengan M besar], logik hanyalah salah satu perspektif. Masyarakat, atau individu lebih tepat lagi, sentiasa bergerak dalam adunan antara emosi dan logik. Masyarakat dan individu memerlukan emosi sebagai satu kaedah semak dan imbang terhadap logik itu sendiri. Tanpa emosi, suatu masyarakat tidak memiliki keghairahan, kehalusan dan keindahan.

Usulan

Untuk menekuni dua keberatan ini, maka beberapa pertimbangan perlu dilakukan. Ini termasuklah:

Pertama (1), sejarah bukanlah suatu konsep yang mati; bukan fakta semata. Sejarah perlu digandingkan dengan ingatan (memory). Sekiranya Tun Daim memahami sejarah sebagai suatu fakta semata, maka itu menafikan bahawa masyarakat adalah suatu wilayah yang penuh kerumitan, kepelbagaian dan ketakterhinggaan. Masyarakat merupakan manifestasi sejarah dan ingatan. Dalam hal ini, sejarah memberikan fakta, manakala ingatan memberikan representasi terhadap fakta tersebut. Inilah yang akhirnya membentuk budaya dan kebudayaan. Untuk memerihal dikotomi sejarah dan ingatan ini, berikut adalah beberapa pembahagian yang boleh diringkaskan:

Pengarang Sejarah Ingatan
Jan Assmanns (2011); Aleida Assmann (2011); Nora (1989); Erll (2011) Forgetting Remembering
Nora (1989); Hashimoto (2015) Providing the fact Providing the meaning
Megill (1998) Evidence Sense
Nora, Winter (2010) A discipline (scientific status) Testimony, faculty
Nora (1989) Sphere of collective Sphere of individual
Nora (1989) Single Plural
Winter (2010) Document (written, aural, visual) Affect
Megill (1998) The other of memory The other of history
Megill (1998) The arrogance of definitiveness The arrogance of authenticity
Alexander (2012); Eyerman (2002) Event Representation
Jan Assmann (1995) Actuality Potentiality
Jan Assmann (2006) Repetition Innovation
Runia (2014) Metonymy Metaphor

Salah satu kelebihan menyorot masyarakat dalam gandingan antara sejarah dan ingatan ialah wujudnya ruang pemugaran peristiwa masa lalu, terutamanya yang melibatkan upacara peringatan (commemoration). Malaysia, sebagai sebuah negara baharu, amat langka dengan upacara peringatan. Selain daripada kaitan dengan agama, upacara peringatan di Malaysia lebih terbatas kepada Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Ini menjadikan rasa sepunya (sense of belonging) di kalangan kaum dan etnik di Malaysia sangat tipis. Walhal, menerusi upacara peringatan, sesuatu masa lalu bukannya dianggap sebagai fakta semata, sebaleknya, sebagai suatu masa lalu yang dikenang: “[It] is concerned not with the past as such, but only with the past as it is remembered” (Assmann 1997: 9).

Selain itu, upacara peringatan berupaya membentuk titik temu (point of reference) suatu masyarakat majmuk. Sebab itu kita harus bertanya, mengapa kita tidak pernah berkabung tarikh jatuhnya Melaka ke tangan Porturgis? Mengapa kita tidak mengenang kampung pertama di Malaysia yang dijejaki oleh tentera Jepun sewaktu Perang Dunia ke-2? Mengapa kita tidak memperingati peristiwa 13 Mei sebagai hari berkabung yang rasmi di negara kita? Mengapa Lembah Bujang tidak menjadi monumen penting dalam pembinaan negara-bangsa Malaysia? Ini menandakan wujudnya the lack of representation dalam sejarah negara kita.

Dalam hal ini, tafsiran sejarah kita agak kaku dan sepihak. Menerusi upacara peringatan yang bersumber daripada integrasi sejarah dan ingatan, maka identiti kaum Melayu dan masyarakat Malaysia akan lebih mendalam dan mengakar. Ia menyuntik identiti yang kuat kerana ingatan membuka ruang kepada gelora emosi yang mengikat tali kebersamaan dalam suatu masyarakat. Inilah yang sepatutnya akan menjadi kekuatan kepada kesepaduan antara kaum dan agama di Malaysia—membina identiti yang berasaskan kepada sejarah yang dikenang. Identiti ini adalah usaha rekonstruksi, olahan dan representasi yang sentiasa berterusan. Identiti ini hanya dapat terhasil menerusi gandingan kerja antara sejarah dan ingatan, antara fakta dan representasi, terhadap masa lalu negara kita. Aleida Assmann (2006: 263) jelas dalam hal ini, “history and memory, then, are no longer considered to be rivals and more and more are accepted as complementary modes of reconstructing and relating to the past.” Lantaran itu, menganggap “sejarah sebagai fakta” adalah salah-faham yang sangat ketara, maka kerana itu “historians should think.”

Selain itu, yang keduanya (2), adalah pengutamaan logik berbanding emosi. Sudah disebutkan bahawa emosi tidak mendapat tempat dalam pemikiran Tun Daim dalam memulihkan hubungan antara kaum di Malaysia. Dengan sikap sebegini, Tun Daim tidak menyedari betapa fakulti logik dan emosi adalah saling bergandingan. Tidak ada satu fakulti lebih berkuasa berbanding fakulti yang lain. Sebaleknya, daripada pemahaman Tun Daim, logik ini menjadi lebih ‘mulia’ kerana ia menempatkan peranan minda, sementara emosi menjadi lebih ‘hina’ kerana ia menempatkan peranan apa yang tampak (tubuh). Di sini saya telah mensejajarkan logik vis a vis emosi dengan minda (mind) vis a vis tubuh (body). Kekeliruan oleh Tun Daim ini semakin ketara sekiranya kita dapat mengesan betapa golongan yang dianggap sebagai beremosi turut mempunyai cara berfikir, atau ‘logik’ mereka yang tersendiri, dalam mengukuhkan fahaman mereka. Begitu juga dengan mereka yang mendakwa sebagai bersikap ‘logik’, akhirnya, mereka turut terperangkap dalam ketaksuban ‘logik’ tersebut. Natijahnya, tanpa disedari, mereka turut memaksa fahaman mereka (seperti fahaman liberal garis keras) terhadap golongan yang lain. Ini jelas menunjukkan betapa emosi dan logik adalah saling bersentuhan antara satu sama lain serta tidak boleh dianggap dalam bentuk hierarki ‘yang mulia’ dan ‘yang hina’.

Perlu dinyatakan di sini, bahawa perbahasan antara minda dan tubuh ini bukanlah hal yang baharu. Pemikiran Tun Daim merupakan warisan daripada pemikiran Descartes, yang percaya terhadap dualisme minda-tubuh. Sekiranya Tun Daim mengutamakan logik ke atas emosi, Descartes juga demikian. Hanya Descartes menggunakan istilah minda dan tubuh. Ungkapan “I think therefore I am” jelas menunjukkan betapa berfikir adalah manifestasi kewujudan kita sebagai manusia (logik, minda dan fikir adalah diambil secara sinonim di sini, tanpa menafikan adanya perbezaan halus sesamanya). Apa yang dikemukakan oleh Descartes seolah menjadi swa-bukti yang tidak perlu disemak lagi. Pendirian Descartes ini menyebabkan minda menjadi fakulti yang aktif berbanding dengan tubuh yang menjadi fakulti yang pasif. Hemat Descartes (1970: 101):

From that I knew that I was a substance the whole essence or nature of which is to think, and that for its existence there is no need of any place, nor does it depend on any material thing; so that this ‘me,’ that is to say, the soul by which I am what I am, is entirely distinct from body, and is even more easy to know than is the latter; and even if body were not, the soul would not cease to be what it is.”

Walau bagaimanapun, beberapa hasil kerja daripada beberapa pemikir menunjukkan betapa pemberatan minda ke atas tubuh adalah suatu hal yang bermasalah. Antara yang cuba merungkaikan perkara ini ialah Antonio Damasio (1994), seorang saintis neurologi Portugis-Amerika. Apa yang dimaksudkan emosi? Dan, apa pula beza emosi dengan perasaan (feeling)? Damasio telah membezakan antara emosi dan perasaan meskipun kedua-duanya sering digunakan serentak. Baginya, emosi adalah asas kepada perasaan. Perbezaan halus antara keduanya ialah, perasaan lebih bersifat peribadi manakala emosi lebih bersifat awam. Namun begitu, sama ada emosi mahupun perasaan, kedua-duanya merupakan sebahagian daripada asas untuk kita melangsungkan kehidupan. Kita memerlukan emosi untuk survival sebagai manusia. Justeru itu, Tun Daim tepat apabila menggunakan istilah emosi dalam merujuk kepada orang-orang Melayu kerana ianya bersifat awam.

Butiran yang ingin dinyatakan oleh Damasio di sini ialah, emosi (dan perasaan) bukanlah seteru kepada logik dan minda; mereka adalah sekutu. Bagi Damasio, manusia memerlukan emosi dalam membantu untuk membuat keputusan. Kita sering berpandangan bahawa membuat keputusan adalah fakulti logik. Akan tetapi, bagi Damasio, membuat keputusan adalah kerjasama antara logik dan emosi. Emosi sangat diperlukan tatkala berdepan ancaman dan peluang. Emosi memberi masukan tentang apa tindakan yang kita patut lakukan tatkala berdepan dengan dua keadaan tersebut. Jika Descartes berfikir bahawa logik (atau untuk lebih tepat, nalar, reason) adalah bersifat swa-bukti maka Damasio berasa bahawa emosi adalah juga bersifat automasi. Kedua-duanya berguna sebagai suatu cara untuk kita respon kepada persekitaran (environment). Mark Johnson (2007: 18) dan Zumthor (2006: 13) menyebutnya:

Emotions are not second-rate cognitions; rather they are affective patterns of our encounter with our world, by which we take the meaning of things at a primordial level.

We perceive atmosphere through our emotional sensibility—a form of perception that works incredibly quickly and which we humans evidently need to help us survive.”

Berdasarkan Ralat Descartes (Descartes’ Error) ini, maka kita dapat perhatikan bahawa emosi dan logik adalah kembar seiras; res cogitans memerlukan res extensa, dan begitulah sebaleknya. Justeru itu, apa yang penting ialah bagaimana untuk mengintegrasikan emosi dan logik ini?

Luhmann, seorang pemikir teori sistem dari Jerman mempunyai caranya yang tersendiri untuk mengatasi ketegangan antara dua kutub ini. Beliau memperkenalkan masyarakat sebagai himpunan sistem-sistem sosial. Bagi Luhmann (1996), memahami masyarakat bukanlah dengan emosi. Akan tetapi dengan komunikasi. Menurutnya, dualisme minda-tubuh yang dikemukakan Descartes adalah tidak memadai untuk memerihalkan masyarakat yang beragam, kompleks dan moden. Justeru itu, Luhmann membawa konsep komunikasi dalam konsep masyarakatnya. Komunikasi ini menjadi gandingan baharu kepada minda-tubuh. Bagi Luhmann lagi, tubuh adalah persoalan sistem kehidupan (living systems) manakala minda adalah persoalan sistem psykik (psychic systems). Lalu, komunikasi adalah persoalan sistem sosial (social systems). Ini sekaligus menepati tiga sistem autopoiesis utamanya: kehidupan, psykik dan sosial. Di tangan Luhmann, daripada dualisme minda-tubuh telahpun menjadi triadisme minda-komunikasi-tubuh. Namun, meskipun berbeza dengan Descartes dalam beberapa perkara, tetap sahaja Luhmann ada persamaan dengan Descartes dalam beberapa perkara yang lain. Paling ketara, sama ada Descartes mahupun Luhmann, emosi langsung tidak mendapat tempat dalam falsafahnya.

Rumusan

Jelas sekali di sini, Tun Daim, Descartes dan Luhmann adalah satu angkatan yang tidak melihat fungsi sebenar emosi dalam membantu mencerdaskan masyarakat. Walhal, emosi sangat penting dalam membantu merungkaikan kekusutan di hujung. Kerana itulah, sejarah tidak boleh dibaca sebagai fakta semata. Sejarah, bersama dengan ingatan, boleh membantu untuk memerihalkan stimmung (atmosphere) dan mengungkapkan pengalaman yang takterkomunikasi (incommunicable experience) dalam masyarakat; sekaligus memberi ruh kepada suatu masyarakat terhadap hubungan masa kini dengan masa lalu/depan menerusi upacara-upacara peringatan. Meminjam Runia (2014) tatkala membincangkan “Burying the Dead, Creating the Past”, keberahian untuk memperingati (a desire to commemorate) adalah sesuatu yang perlu disemarakkan di Malaysia. Ini adalah keberahian yang mampu mendekatkan kita kepada masa lalu menerusi arkib, ulangtahun, perayaan, monumen dan sebagainya. Bagaimana suatu masyarakat dapat sembuh daripada pengalaman peristiwa traumatik? Bagaimana kaum Yahudi dapat menangani tragedi Holokaus? Bagaimana mangsa daripada Perang Balkan ‘berdamai’ dengan masa lalu mereka? Commemorate the past! Ini semua berkat gandingan sejarah dan ingatan, serta gandingan emosi dan logik. Rüsen (2007: 46) dengan baik merumuskan potensi pendamaian antara sejarah (fakta, logik) dengan ingatan (representasi, emosi) ini dengan menyatakan:

There is no established culture of historical forgiving in modern societies. But there is a growing awareness that bridges have to be buit over the abyss of good and evil. This culture has started with official apologies for historical injustice and immorality. And there have already been motions for forgiving as well. It is an open question whether this indicates a change in memory and history towards a new recognition of humaneness vis-a-vis and in full presence of inhumanity in the past.”

Rujukan

Alexander, Jeffrey. 2012. Trauma: A Social Theory. Cambridge: Polity Press

Assmann, Aleida. 2006. ‘History, Memory, and the Genre of Testimony’, Poetics Today 27(2): 261-273.

Assmann, Aleida. 2011. Cultural Memory and Western Civilization: Functions, Media, Archives. Cambridge University Press.

Assmann, Jan. 1995. Collective Memory and Cultural Identity, New German Critique, 65, Cultural History/Cultural Studies. (Spring – Summer, 1995): 125-133.

Assmann, Jan. 1997. Moses the Egyptian: The Memory of Egypt in Western Monotheism. Cambridge, MA & London, Harvard University Press.

Assmann, Jan. 2006. Religion and Cultural Memory: Ten Studies. California: Stanford University Press.

Assmann, Jan. 2011. Cultural Memory and Early Civilization. New York: Cambridge University Press.

Damasio, Anatonio. 1994. Descartes’ Error: Emotion, Reason, and the Human Brain. New York: Avon Books.

Descartes, Rene. 1970. The Philosophical Works of Descartes, Jilid I. New York: Cambrdige University Press.

Erll, Astrid. 2011. Memory in Culture. New York. Palgrave Macmillan

Eyerman, Ron. 2002. Cultural Trauma: Slavery and the Formation of African American Identity. New York: Cambrdige University Press

Hashimoto, Akiko. 2015. The Long Defeat: Cultural Trauma, Memory, and Identity in Japan. New York: Oxford University Press.

Luhmann, Niklas. 1996. Social Systems. California: Stanford University Press.

Megill, Allan. 1998. ‘History, Memory, Identity’, History of the Human Sciences 11(3): 37-62.

Nora, Pierre. 1989. ‘Between Memory and History: Les Lieux de Mémoire’, Representations, 26 (Spring 1989).

Runia, Eelco. 2014. Moved by the Past: Discontinuity and Historical Mutation Columbia University Press.

Rüsen, Jörn. 2007. ‘Holocaust Experience and Historical Sense Generation’, Fortid 2: 37-47.

Torpey, John. 2001. The Pursuit of the Past: A Polemical Perspective. Paper presented at Canadian Historical Consciousness in an International Context: Theoretical Frameworks, University of British Columbia, Vancouver, BC.

Tun Daim Zainuddin. 2019. Teks Ucaptama Tun Daim Zainuddin tentang “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional”, https://naratifmalaysia.com/2019/03/28/ucaptama-tun-daim-zainuddin/

Winter, Jay. 2010. The Performance of the Past: Memory, History, Identity’, in Karin Tilmans, Frank van Vree & Jay Winter (eds.) Performing the Past: Memory, History, and Identity in Modern Europe. Amsterdam: Amsterdam University Press, 11-31.

Zumthor, Peter. 2006. Atmospheres: Architectural Environments – Surrounding Objects. Basel: Birkhäuser.

Makalah ini dibentangkan pertama kali di Seminar Menjawab Tun Daim yang diadakan di IKMAS, UKM pada 3 April 2019.

[Pendaftaran] Seminar Menjawab Tun Daim

Seminar ini merupakan reaksi balas beberapa pembentang terhadap ucapan YABhg Tun Daim Zainuddin dalam acara Perasmian Siri Seminar “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional” yang telah diadakan pada 19 Mac 2019.

Seminar ini merupakan reaksi balas beberapa pembentang terhadap ucapan YABhg Tun Daim Zainuddin dalam acara Perasmian Siri Seminar “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional” yang telah diadakan pada 19 Mac 2019.

Seminar “Menjawab Tun Daim”
3 April 2019 (Rabu)
9 pagi – 5 petang
IKMAS, UKM

Pendaftaran Percuma (Untuk 20 peserta pertama sahaja)

Teks ucapan YABhg. Tun Daim Zainuddin boleh diperoleh di sini (klik, versi English) dan (klik, versi Bahasa Melayu)

Tentatif

09:30 — 10:00 : Pembentangan I, Dr. Mazlan Ali, UTM, “Naratif Melayu-Islam Pasca PRU-14 dalam Garis Kaum dan Agama: Wajarkah?”
10:00 — 10:30 : Sesi Perbincangan

10:30 —10:45 : Minum pagi

10:45 — 11:15 : Pembentangan II, Ramze Endut, IKMAS, “Sebalik Sejarah dan Emosi: Tanggapan terhadap Teks Ucaptama Naratif Malaysia”
11:15 — 11:45 : Sesi Perbincangan

11:45 — 12:15 : Pembentangan III, Mariam Mokhtar,
“Tun Daim Zainuddin on Success, Crutches and Emotion”
12:15 — 12:45 : Sesi Perbincangan

12:45 — 14:00 : Makan Tengahari

14:00 — 14:30 : Pembentangan IV, Dr.Hew Wai Weng, IKMAS, “What Tun Daim Really Meant “
14:30 — 15:00 : Sesi Perbincangan

15:00 — 15:30 : Pembentangan V, Ruhan Shahrir, KITA,
“Menjawab Tun Daim Zainuddin: Sang Homo Economicus”
15:30 — 16:00 : Sesi Perbincangan

16:00 — 16:30 : Pembentangan VI, Hishamuddin Rais, “Daim dan Persoalan-persoalan Nasional yang Belum Selesai”
16:30 — 17:00 : Sesi Perbincangan

17:00 — 17:15 : Minum Petang

Pendaftaran:

Teks Ucaptama Tun Daim Zainuddin tentang “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional”

Masa adalah sangat penting dan kita cukup pandai membuang masa. Kita akan ditewaskan oleh masa. Ayuh kita katakan kepada diri kita sendiri bahawa mulai dari saat ini kita tidak akan mengulangi kesilapan lampau.

Untuk memahami iklim politik semasa kita pada hari ini, adalah penting untuk kita menoleh ke belakang melihat sejarah. Kusut di hujung, balik ke pangkal.

Sejarah bangsa Melayu bermula jauh sebelum terbentuknya Tanah Melayu. Kita adalah pewaris kepada empayar-empayar agung daripada Langkasuka kepada Srivijaya kepada Majapahit hinggalah ke Melaka. Dan Melaka pula adalah kisah empayar kita yang termasyhur sebagai sebuah pelabuhan yang terulung di dunia. Kejayaannya di peringkat antarabangsa itu akhirnya telah mengundang kuasa Eropah untuk datang menjajah.

Apabila Melaka jatuh ke tangan penjajah Portugis, keturunan Sultan Melaka yang terselamat telah membangunkan sebuah empayar baru di negeri Johor pula. Mereka menguasai bahagian selatan Semenanjung Tanah Melayu yang meliputi wilayah Riau, Anambas, Natuna, Tambelan, Borneo dan Sumatera. Kejayaan empayar baru ini telah dikaitkan dengan kebijakan dan kepintaran pemerintah-pemerintah mereka serta dasar keterbukaan yang mereka amalkan dalam perdagangan antarabangsa.

Kembali kepada sejarah yang lebih baru, cadangan penubuhan Malayan Union oleh British pada tahun 1946 dan juga penentangan yang lahir daripadanya di bawah kepimpinanan UMNO adalah merupakan peristiwa utama yang mencetuskan perubahan penting dalam penyusunan pertubuhan politik orang Melayu.    

Malangnya perpaduan orang Melayu tidak dapat bertahan lama. Kita tidak tahu bagaimana untuk menangani kejayaan. Dan orang Melayu pun mula berpecah. Bila kita berjaya, kita mabuk dengan kejayaan. Bila kita gagal, kita mula mencari kambing hitam dan kemudiannya melakukan amok.

Perjuangan kita menentang Malayan Union dari satu sudut adalah suatu pencapaian kemerdekaan sejati yang pertama kita perolehi apabila penjajah British tunduk kepada tuntutan kita dan membatalkan Malayan Union. Kita menjadi tuan di tanah air kita sendiri.

Tapi suasana politik di masa itu berubah dan ramai daripada orang bukan Melayu mula menganggap bahawa Malaya juga adalah tanah air mereka. Dan mereka menuntut supaya suara mereka turut diambilkira di dalam tanah air baru mereka ini.

Pada tahun 1951, buat pertama kalinya, Dato’ Onn telah cuba untuk menyatukan pelbagai kaum yang ada di Malaya pada ketika itu di bawah satu parti politik. Beliau telah mengajukan supaya keanggotaan UMNO dibuka kepada bukan Melayu. Namun begitu, anggota UMNO pada waktu itu telah menolak cadangan tersebut. Dato’ Onn kemudiannya meninggalkan UMNO.

Walau pun cubaan untuk menyatukan pelbagai kaum di bawah satu parti gagal tetapi pilihanraya tahun 1952 telah menjadi penanda kepada suatu kerjasama politik yang pertama kali diadakan antara Melayu dan bukan Melayu. Ini berlaku apabila UMNO dan MCA bergabung tenaga untuk meraih kemenangan dalam pilihanraya tersebut.

Gabungan antara UMNO dan MCA ini kemudiannya disertai pula oleh MIC untuk membentuk Parti Perikatan. Ini adalah tanda kepada suatu bentuk perpaduan politik antara masyarakat pelbagai kaum di Malaya ketika itu. Gabungan parti-parti yang membentuk Perikatan ini kemudiannya memperolehi kejayaan besar dalam pilihanraya tahun 1955 pula. Selepas daripada itu bermulalah siri perundingan untuk kemerdekaan di mana semua warga Malaya berganding bahu untuk sama-sama membebaskan negara daripada cengkaman penjajahan. Daripada episod sejarah ini kita belajar bahawa kita menjadi lebih kuat bila kita bersama-sama iaitu – apabila semua warga Malaysia bersatu-padu, kita mampu untuk mengatasi apa sahaja cabaran dan halangan yang berada di hadapan kita.

Semua ini berlaku dengan berlatarbelakangkan perang bersenjata yang berterusan melawan pengganas ketika Darurat sedang berlangsung di mana semua kaum berganding bahu berjuang untuk mencapai kemenangan. Kita adalah satu-satunya negara dalam dunia ini yang berjaya menewaskan pengganas.

Kemudian Persekutuan Malaysia dibentuk dan seterusnya berlaku konfrontasi dengan Indonesia. Dan di sepanjang peristiwa konfrontasi tersebut orang Melayu dan bukan Melayu berkerja bersama-sama untuk mencapai matlamat nasional.

Justeru, Malaysia mempunyai sejarah yang kuat dan kaya berhubung dengan usaha membangunkan keharmonian antara-kaum dan kepelbagaian budaya atau multi-kulturalisme sejak daripada awal penubuhannya lagi. Namun begitu kita perlu akui, keadaan di Malaysia masih lagi kompleks dan rumit dengan pekerjaan dan sektor-sektor ekonomi yang terbahagi dan dikenalpasti mengikut garis kaum, ketaksamaan pendapatan antara kaum yang masih ada dan wujudnya sistem pendidikan yang berbeza dan terpisah-pisah.

Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia akan makmur jika sekiranya orang Melayu juga turut makmur. Kita tidak boleh mempunyai 50% daripada penduduk negara berada di bawah kategori kumpulan berpendapatan rendah. Jika ini berlaku, akan terjadilah ketidakstabilan ekonomi yang akan memberi kesan kepada semua orang tanpa mengira kaum atau status ekonomi.

Untuk Malaysia berjaya, orang Melayu mesti turut berjaya. Tapi ini hanya boleh dicapai di dalam konteks nasional di mana Melayu dan bukan Melayu berkerja bersama-sama untuk kebaikan dan kepentingan Malaysia.

Kenapa orang Melayu boleh berkerja dengan begitu rapat bersama orang bukan Melayu daripada zaman sebelum merdeka sehinggalah membawa kepada kemerdekaan dan berlangsung sampai kini di zaman pasca-merdeka? Walau pun ketika kita berhadapan dengan serangan dan pencerobohan daripada negara luar, hampir tiada langsung timbul pertanyaan tentang siapakah yang sepatutnya lebih memiliki Malaysia – orang Melayu atau bukan Melayu. Hakikatnya ialah hanya ketika ahli politik memutuskan untuk menggunakan kaum dan agama sebagai alat politik untuk mendapatkan kuasa, barulah kita terjatuh ke dalam sengketa.  

Seminar ini bertajuk Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional. Pertanyaan saya kepada anda semua ialah: Tidakkah seharusnya kita berbincang hanya tentang naratif nasional? Kenapa perlu kita membahagikan naratif nasional mengikut garis kaum dan agama?

Tapi jika sekiranya niat anda adalah untuk mencari jawapan kepada ketaksamaan ekonomi dan kenapa orang Melayu ketinggalan dari sudut ekonomi, jadi saya sungguh-sungguh berharap agar seminar ini dapat memberikan jawapannya.

Apabila kita bercakap tentang Melayu, kita mesti bercakap tentang Islam. Orang Melayu dan Islam saling terikat kejap antara satu sama lain. Kedua-duanya tidak boleh dibincangkan secara terpisah. Namun begitu, keterikatan antara Melayu dan Islam ini juga telah mendorong kepada ketidakpedulian dan pengabaian terhadap budaya serta warisan dari rantau kita sendiri yang kita tinggalkan apabila kita memilih budaya asing (terutamanya Arabisasi) yang telah mempengaruhi rasa tidak selamat orang Melayu. Sehinggakan sesiapa sahaja yang tidak bercakap seperti mana kita dan semua yang kita tidak persetujui – ianya dianggap sebagai semacam ancaman terhadap Melayu dan Islam.

Kita mesti bertanya kepada diri kita sendiri – adakah ini benar? Kenapa jadi begini? Sejak bila Melayu dan Muslim merasa begitu tidak selamat sekali tentang kedudukan kita di negara ini? Dahulu ketika orang Melayu masih terkebelakang di dalam ekonomi berbanding sekarang dan ketika dulu kita masih lagi ketinggalan dalam pendidikan, kita sudah pun berjaya menewaskan penjajah British dengan menolak cadangan penubuhan Malayan Union. Dulu kita berani.

Kita tahu bagaimana untuk menyusun secara kolektif dan strategik. Kita menggunakan akal kita untuk mengalahkan kuasa penjajah. Kita berjaya memperolehi kemerdekaan tanpa menumpahkan darah. Kita tiada masalah untuk berkerja bersama-sama orang bukan Melayu. Malahan kita turut belajar daripada kaum-kaum lain.

Nampaknya seperti semakin Melayu maju semakin kuat pula rasa tidak selamat kita. Kenapa ini berlaku? Apakah kerana ketika kita tidak dibekalkan dengan ‘tongkat’, maka kita punya maruah dan harga diri, dan ini menjadikan orang Melayu merasakan kedudukan mereka lebih selamat di dalam negara ini?

Kita tidak kekurangan sosok-sosok hero. Negeri Johor sendiri mempunyai sejarah yang kaya dengan pahlawan yang gagah-perkasa, seniman yang tersohor, penyair, ahli sukan, santis, doktor, ahli akademik dan juga ahli perniagaan.

Di Johor ada Dato’ Muhammad Salleh Bin Perang yang merupakan Dato’ Bentara Luar. Beliau adalah orang pertama yang membuat peta Johor dengan tepat tanpa menggunakan teknologi ukur-tanah yang ada pada hari ini. Beliau adalah Ketua Jabatan Ukur dan Tanah Negeri Johor dan peta yang dilukiskan oleh beliau itu digunakan untuk membangunkan negeri Johor. Beliau seorang Melayu tetapi fasih dalam bahasa Cina dan berpengetahuan tentang budaya Cina. Ini membolehkan beliau berkerja rapat dengan orang-orang Cina dalam membangunkan ekonomi Johor.

Di dalam bidang politik sendiri, senarai tokoh-tokoh Johor tidak pernah putus. Tun Hussein Onn, ‘Bapa Perpaduan’ negara adalah berasal daripada Johor. Begitu juga dengan bapa beliau sendiri iaitu Dato’ Onn adalah pengasas UMNO. Bapa kepada Dato’ Onn pula iaitu Dato’ Jaafar Muhammad adalah merupakan Menteri Besar Johor yang pertama dan yang paling lama berkhidmat di dalam kerajaan negeri Johor.

Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr. Ismail dan Tun Musa Hitam juga adalah anak Johor. Keluarga Tun Ismail sendiri merupakan keluarga yang cukup terkemuka termasuklah bapa mertua beliau Dato’ Seth Said, yang merupakan Timbalan Menteri Besar Johor dan menjadi sebahagian daripada wakil negara dalam perundingan kemerdekaan dan menandatangani perjanjian kemerdekaan tanpa perkenan Sultan. Tanpa beliau, kita mungkin tidak akan memperolehi kemerdekaan.

Johor juga turut melahirkan Presiden Senat, iaitu Dato’ Abdul Rahman Yasin. Beliau adalah bapa kepada Tun Dr. Ismail. Manakala abang ipar Tun Dr. Ismail pula iaiatu Tan Sri Jeneral Ghazali Seth adalah Ketua Turus Pertahanan Negara dan beliau berkahwin dengan Puan Sri Norziah – kakak kepada Tun Hussein Onn, anak perempuan Dato’ Onn Jaafar.

Tun Dr. Ismail mendapat pendidikan beliau di Sekolah Melayu Bukit Zaharah di Johor Baharu bersama dua lagi tokoh terkemuka iaitu abang beliau sendiri, Dato’ Sulaiman Abdul Rahman dan Tan Sri Ahmad Perang yang kemudiannya menjadi orang Melayu pertama yang menjawat jawatan Pengerusi Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Tan Sri Mohamed Noah Bin Omar – Speaker Dewan Rakyat yang pertama – adalah juga daripada Johor. Keluarga beliau juga merupakan sebuah keluarga yang hebat – kedua-dua anak perempuan beliau berkahwin dengan lelaki-lelaki yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri negara kita. Tun Rahah, isteri kepada Tun Razak dan Tun Suhaila, isteri kepada Tun Hussein Onn.

Tun Razak mendapat pendidikan beliau di Kolej Raffles bersama seorang lagi anak Johor iaitu Tan Sri Taib Andak, yang mana nama Felda Taib Andak di Kulai itu diambil bersempena dengan nama beliau. Abang beliau pula, Dato’ Rahman Andak pula adalah antara orang yang pertama berkempen untuk kemerdekaan Johor. Beliau menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1984.

Gabenor Bank Negara – Tan Sri Aziz Taha, Tan Sri Jaffar Hussein dan Tan Sri Zeti Aziz – semuanya adalah anak Johor. Profesor Ungku Aziz, bapa kepada Tan Sri Zeti adalah seorang pakar ekonomi ulung negara. Datuk kepada Tan Sri Zeti, Syed Mohammed Alsagoff, pernah menjadi pemilik Pulau Kukup di Johor dan sempat diberikan konsesi untuk mencetak wang beliau sendiri. Dan pada hari ini, kita menggunakan wang kertas yang ditandatangani oleh cucu perempuan beliau.

Jadi, persoalannya kenapa perlu kita merasa tidak selamat sedangkan kita mempunyai legasi kejayaan Melayu seperti yang saya bentangkan di atas?

Sekali lagi saya sebutkan, apakah kerana setelah sekian lama kita diberikan dengan pelbagai bentuk ‘tongkat’, kesan yang kita terima menjadikan orang Melayu lemah, rasa tidak selamat dan yang paling menonjol ialah kekurangan daya tahan? Apakah yang mendorong kepada lahirnya ketidaktahanan dan kurang keyakinan itu? Kelihatannya ketika orang Melayu berhadapan dengan cabaran getir seperti perjuangan menuntut kemerdekaan, ketahanan dan keyakinan kita jauh lebih kuat.

Dan apabila kesenangan, keselesaan serta kualiti hidup kita telah meningkat – keyakinan dan daya tahan kita telah meluntur. Pemerhatian ini memerlukan suatu cerminan-diri yang jujur terhadap diri kita sendiri. Daripada kita meletakkan kesalahan kepada mereka yang dipersepsikan sebagai musuh, adalah lebih untuk kita merenung ke dalam diri dan berusaha untuk memperbaiki diri kita sendiri daripada menyalahkan orang lain di atas segala kelemahan, kemunduran dan keterbelakangan kita. Kita kelihatannya takut terhadap bayang-bayang sendiri.

Pada hari ini, dari setiap dua puluh orang Melayu, seorang daripadanya adalah lepasan ijazah universiti. Walau pun kita sekarang ini mempunyai pendidikan yang lebih tinggi dan peratusan orang Melayu yang berpelajaran juga lebih besar, namun kita masih gagal untuk meyakinkan diri kita sendiri bahawasanya tiada apa yang perlu ditakuti oleh orang Melayu di negara ini. Apakah Melayu berfikiran strategik, kritikal dan logikal? Nampaknya semakin hari semakin ketara bahawa orang Melayu berfikir melalui emosi dan perasaan daripada melalui akal dan otak. Kita mesti menanyakan diri kita sendiri – apakah yang sedang berlaku kepada kita?

Kita telah membiarkan emosi menguasai diri dan mempengaruhi bagaimana kita melihat orang lain. Kita menonton cerita hantu di panggung wayang. Apabila majalah Mastika tidak lagu menulis cerita-cerita hantu, maka tamatlah pengedarannya dan sekarang tiada lagi Mastika di pasaran. Namun begitu, sekarang ini walau pun kita tidak lagi membaca cerita-cerita hantu di Mastika tetapi sebagai gantinya kita melihat pula hantu di setiap ceruk dan sudut.

Daripada menggunakan logik dan fakta, kita sebaliknya lebih suka memilih untuk mendengar retorik perkauman yang dibawa oleh ahli politik yang diragui wibawanya.

Memandangkan pada hari ini saya bercakap di hadapan ahli akademik, saya ingin mengajukan soalan ini kepada anda semua: Apakah peranan yang perlu anda mainkan bagi menyuntik logik dan fakta ke dalam naratif Malaysia? Adakah anda berniat untuk mengikut sahaja arus emosi atau melihat bahawasanya adalah menjadi tanggungjawab akademik anda untuk mempersoalkan naratif yang tidak rasional yang sedang dijolok masuk ke dalam kerongkong orang Melayu?

Adakah anda sebagai orang yang berpelajaran tinggi akan bercakap secara jujur dan berani tentang apa yang berlaku atau adakah anda hanya akan berpura-pura mengatakan bahawa sentimen perkauman yang semakin merebak ini sebagai sesuatu yang wajar terjadi?

Anda yang berada dalam dewan ini semuanya berpendidikan tinggi tapi berapa ramaikah di antara anda yang menerima retorik politik yang tak masuk akal ini yang mengatakan bahawa Melayu di negara ini sedang diancam oleh bukan Melayu? Adakah kedudukan Islam terancam hanya kerana terdapat seorang dua yang tidak cukup sensitif yang membuat pos tentang nabi Muhammad?

Agama tidak mungkin terhina. Hanya manusia yang merasa terhina.Kalau iman kita kuat, kita tidak akan rasa terhina. Malahan, kita ketwa melihat kejahilan dan kebebalan tersebut. Dan sepatutnya perangai yang kita tunjukkan itu adalah suatu cerminan yang terbaik buat agama kita. Hanya dengan itu kita dan agama kita akan memperolehi hormat daripada orang lain.

Negara kita adalah negara yang berbilang kaum dan berbilang agama. Kita telah menunjukkan kemampuan untuk hidup bersama dengan aman dan damai. Kita sensitif kepada jiran tetangga kita dan kita saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Inilah cara kita.

Adalah menjadi satu kesalahan untuk menghina sesiapa sahaja, apatah lagi seorang nabi. Menghina dan mengejek-ejek agama adalah suatu tindakan yang bodoh. Tapi negara kita mempunyai undang-undang dan kita perlu menghormati proses undang-undang tersebut. Ramai yang telah lupa Rukun Negara kita. Dokumen yang paling penting adalah Perlembagaan.

Seharusnya tiada seorang pun warga Malaysia membuat komen-komen yang tidak sensitif tentang agama lain dan kaum lain. Tapi apa yang telah terjadi dengan perisytiharan jihad ke atas bukan Muslim baru-baru ini?

Jika sekiranya orang Muslim mahu melakukan jihad, maka jihad yang sepatutnya dibuat itu ialah untuk memperbaiki diri kita bukan sahaja dari sudut kerohanian tetapi juga ekonomi dan akademik serta jihad yang membolehkan kita menyumbang ke arah kemajuan negara kita sendiri.

Kita berbicara tentang naratif Melayu seakan-akan kita sudah hampir-hampir terhalau daripada negara kita sendiri. Terlalu banyak kemarahan dan keberangan yang ditunjukkan apabila bukan Melayu dilantik ke jawatan-jawatan tinggi dalam kerajaan, seolah-olah ini adalah suatu perkara baru.

Kenapa tiada kemarahan yang sama ditunjukkan apabila kita berhadapan dengan hakikat rasuah, korupsi dan kleptokrasi yang paling buruk yang melibatkan pemimpin-pemimpin Melayu peringkat tertinggi? Kita langsung tiada rasa malu apabila berita tersebut tersiar ke seluruh dunia. Sebaliknya kita membalas dengan “Malu apa?” Kalau tak malu, apa jadi kepada iman kita?

Orang Melayu boleh terus menggunakan jalan emosi dan tidak rasional ini atas tanggungan risiko kita sendiri, atau pun kita boleh berhenti sejenak, berfikir, membuat cerminan dan mengajukan perubahan.

Tiada siapa pun yang memaksa kita untuk menjadi emosi atau tidak rasional. Kita sendiri yang memilih jalan tersebut kerana kita sendiri jugalah yang membenarkan diri kita dipengaruhi oleh ahli politik yang matlamat utamanya hanyalah untuk mendapatkan kuasa semula tanpa mempertimbangkan harga yang perlu dibayar – dan sering kali pula harganya kitalah yang harus menanggungnya.

Jadi, pilihan adalah di tangan kita – apakah kita hendak duduk macam katak di bawah tempurung? Atau kita berubah dan menjadi kuasa yang dihormati dalam konteks agenda nasional Malaysia Baru? Atau kita masih tetap mahu menggunakan jalan yang sama yang kita lalui sekarang ini dengan mengangkat naratif sempit yang hanya memfokuskan kepada diri kita semata-mata? Atau apakah kita akan membuka jalan yang benar-benar nasional iaitu jalan naratif Malaysia di mana kita menyertainya secara aktif dan memainkan peranan penting di dalamnya?

Agenda nasional bukan agenda Melayu atau agenda bukan Melayu. Agenda nasional adalah agenda Malaysia yang mengambil kira kepentingan seluruh warga Malaysia. Agenda yang melawan kemiskinan dan ketaksamaan tanpa diskriminasi dan menghormati Perlembagaan.

Saya berasa gembira kerana siri seminar ini menyasarkan fokus perbincangan kepada empat sektor iaitu politik, ekonomi, budaya dan agama. Ayuh kita betulkan semua ini. Dan untuk kita membetulkan semua ini, sistem pendidikan kita mestilah berubah. Jangan kita memperlakukan pendidikan seperti mana politik bola yang disepak ke sana ke sini. Sistem pendidikan mestilah betul.

Masa depan kita, masa depan Malaysia akan bergantung kepada bentuk sistem pendidikan yang betul yang kita wariskan kepada anak cucu kita yang akan menjadikan mereka manusia yang berkeyakinan diri dalam menghadapi yang terbaik di dalam dunia.

Pastikan sistem pendidikan kita betul, dan politik serta ekonomi akan turut mengikut menjadi betul. Akal tanpa emosi akan menentukan masa depan kita dan masa depan Malaysia.

Dedahkan anak-anak kita kepada dunia dan mereka akan mahu menjadi cemerlang dan mereka akan melindungi yang terbaik daripada budaya kita.

Tidak ada salah atau silap dengan Islam. Islam bukan diancam, tidak digugat. Islam adalah agama yang paling pesat berkembang di dalam dunia ini.

Saya ingin menasihati anda semua supaya jangan mengikut ahli politik secara membuta tuli. Seperti yang telah saya nyatakan di awal ucapan saya, untuk Malaysia berjaya, orang Melayu mesti berjaya. Saya kerap kali mengulangi kata-kata ini iaitu iqra’ – baca untuk kita menimba ilmu dan berfikir secara kritis. Pilihlah jalan yang betul yang akan membawa kita kepada kejayaan. 

Masa adalah sangat penting dan kita cukup pandai membuang masa. Kita akan ditewaskan oleh masa. Ayuh kita katakan kepada diri kita sendiri bahawa mulai dari saat ini kita tidak akan mengulangi kesilapan lampau. Kita akan berikan pendidikan yang terbaik kepada anak cucu kita agar mereka boleh bersaing dan berjaya. Ayuh kita tinggalkan kegagalan dan ketidakyakinan kita di belakang dan mulakan masa depan kita sekarang.

Tinggalkan dewan ini nantinya dengan penuh keyakinan dan rasa percaya dengan diri kita sendiri. Beritahu anak-cucu kita bahawa kita akan bersaing dan kita akan berjaya.

Teks ucaptama ini dibentangkan pertama kali di UTM Skudai pada 19 Mac 2019 dalam majlis Perasmian Siri Seminar “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional” yang dianjurkan oleh IKMAS, UKM.

Tun Daim Zainuddin’s Speech on “The Narrative of Malaysia: Malay in the National Question”

Time is very important and we are excellent at wasting time. We will lose to time. Let us tell ourselves from now on we shall not repeat past mistakes.

To understand our current political climate, it is important to look back at our history. Kusut di hujung, balik ke pangkal.

The history of the Malays starts from long before the formation of Tanah Melayu. We are descendants of great empires, from Langkasuka, to Srivijaya, to Majapahit, to Melaka. Melaka, of course, is our most popular tale, that of a world-famous port whose global success led to its eventual colonisation.

And when Melaka fell to the Portuguese, those descendants of Sultan Melaka who survived founded a new empire here in Johor. They took control of the southern Malay Peninsula, spreading across Riau, Anambas, Natuna, Tambelan, Borneo, and Sumatra. Their success was attributed to the wisdom of their rulers, and their openness to international trade.

In more recent history, the formation of the Malayan Union and the subsequent opposition led by UMNO were significant events that triggered real change in the political organisation of the Malays. Dato’ Onn Jaafar, himself from Bukit Gambir and an MB of Johor, founded UMNO in 1946, signalling the height of Malay political supremacy. We were united and we were strong.

But our unity did not last. We didn’t know how to deal with success; the Malays started to split. When we are successful, we are drunk with success. When we fail, we look for scapegoats and go amok.

Our battle with the Malayan Union was in a way, the first true independence that we achieved – when the British backed down. We became masters of our own land.

But the political landscape changed, and many non-Malays began to consider Malaya home and demanded a say in their new homeland.

In 1951, Dato’ Onn made the first attempt to unify the races in a single party when he tried to open the membership of UMNO to non-Malays. However, UMNO members at the time rejected it, and he left the party.

Nevertheless, the 1952 elections marked the first real political collaboration between Malays and non-Malays when UMNO and MCA joined forces for political victory.

They were later joined by MIC to form the Alliance, signalling political unity amongst all Malayans, achieving a sweeping victory in the 1955 elections. Then came the negotiations for Merdeka, where all Malaysians worked hand-in-hand to shrug off the yoke of colonialism. We learned that we were stronger together – when all Malaysians were united, we could overcome challenges.

All this happened against a backdrop of consistent armed warfare against terrorists during the Emergency, when all races fought shoulder to shoulder to gain victory. We are the only country in the world to defeat terrorists.

Then came the formation of Malaysia and the Konfrontasi and throughout
Malays were working with non-Malays to achieve national goals.

So, Malaysia has had a strong and rich history of inter-racial harmony and multiculturalism since its very inception. But we must admit that it is still very complex with jobs and economic sectors identified with race, income inequality between the races and different educational systems existing.

It cannot be denied that Malaysia will prosper when Malays prosper. You cannot have 50% of your population in low income, there will be economic instability affecting everyone, regardless of race or economic status.

For Malaysia to succeed, the Malays must succeed. But this can only be achieved within the national context, working together with non-Malays for the benefit of Malaysia.

Why is it that Malays were able to work so closely with non-Malays for so many years leading up to Merdeka and beyond? Even in the face of outside aggression, there were hardly questions of who deserved Malaysia more – the Malays or non-Malays. Indeed, it was only when politicians decided to use race and religion as tools to gain power that we fell by the wayside.

This talk is entitled “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional.” My question to you is: Should we not just be talking about a National Narrative? Need we break down a national narrative along racial and religious lines?

But if your intention is to find answers to inequality, and to answer why the Malays are behind economically, then I really hope that this seminar will provide the answer.

When we talk about the Malays, we must talk about Islam. The Malays and Islam are indeed deeply entwined. They cannot be discussed separately. But what this has led to is the ignoring of our cultural and regional heritage, which has been abandoned in favour of foreign cultures (Arabization especially) which feed into the insecurity of the Malays. It seems that everyone who does not speak like us and everything that we do not agree with, is a threat to Malays and Islam.

We must ask ourselves – is this true? Why is this so? Since when have the Malays and Muslims become so insecure about our place in this country? When the Malays were far less economically advanced and far less educated, we defeated the British by rejecting the Malayan Union. We were brave.

We knew to organise collectively and strategically. We used our brains to defeat a colonial power. We managed to gain independence without bloodshed. We had no problems working with non-Malays and even learning from other races.

As the Malays progressed, it seems so did our sense of insecurity. Why is this so? Could it be that when there were no crutches, we had dignity, and the Malays felt more secure of our place within the country?

We are not lacking in Malay heroes. Johor alone has a rich history of formidable warriors, renowned artists, poets, athletes, scientists, doctors, academicians, and businessmen.

There was Dato’ Muhamad Salleh bin Perang, who was the Dato’ Bentara Luar. He was the first to draw up an accurate map of Johor, without the modern technology that present-day surveyors have available. He was the Head of Land Management and State Survey, and he used his map to plan the development of Johor. He was a Malay, but he was fluent in Chinese and was knowledgeable about Chinese culture, which allowed him to work closely with them in developing the economy.

In the realm of politics alone, the list of honours is never ending. Tun Hussein Onn, our “Bapa Perpaduan”, was from Johor. And so was his own “Bapa”, the founder of UMNO, Dato’ Sri Onn Jaafar. His father before him, Dato’ Jaafar Muhammad, was the first and longest serving MB of Johor.

Deputy Prime Ministers Tun Dr Ismail and Tun Musa Hitam were sons of Johor. Tun Ismail’s family was illustrious on its own, including his father-in-law Dato’ Seth Said, Deputy MB of Johor, who was part of the delegation for Merdeka, and signed the Merdeka agreement against the Sultan’s orders. Without him, we would not have had merdeka.

Johor produced the President of Senate, Dato’ Rahman Yasin. He was Tun Dr Ismail’s father. Tun Dr Ismail’s brother-in-law Tan Sri General Ghazali Seth, was Chief of Defence, and he married Puan Sri Norziah – sister of Tun Hussein Onn, daughter of Dato’ Onn Jaafar.

Tun Dr Ismail went to school in Sekolah Melayu Bukit Zaharah in JB with two other famous figures – his brother, Dato’ Sulaiman Abdul Rahman, and Tan Sri Ahmad Perang, who became the first Malay Chairman of KTM.

Tan Sri Mohamed Noah bin Omar, the first Speaker of Dewan Rakyat, was also from Johor. His family too was very special – his two daughters married the men who would go on to be our Prime Ministers. Rahah, the wife of Tun Razak, and Suhaila, the wife of Tun Hussein Onn.

Tun Razak studied at Raffles College, with another son of Johor, Tan Sri Taib Andak, after whom Felda Taib Andak in Kulai is named. His brother Datuk Rahman Andak, was one of the early campaigners for Johor’s independence, and was State Secretary of Johor in 1984.

Governors of Bank Negara, Tan Sri Aziz Taha, Tan Sri Jaffar Hussein and Tan Sri Zeti Aziz. Professor Ungku Aziz, Tan Sri Zeti’s father, is a renowned economist. Tan Sri Zeti’s grandfather, Syed Mohammed Alsagoff, used to own Pulau Kukup, and had a concession to print his own money. Today, we use money signed by his granddaughter.

Why should we feel insecure with a legacy as illustrious as this?

Again, could it be that after being given all sorts of crutches, the effect has been to make the Malays weak and insecure, and most noticeably, lacking in resilience? What has led to this lack of confidence? It seems that when the 6 Malays were facing real challenges, such as fighting for independence, our resilience was so much stronger.

As ease and comfort and quality of life improved, confidence and resilience abated. These observations call for sincere self-reflection – instead of picking fights with perceived enemies, we should look inwards and try to better ourselves instead of blaming all of our ills on others. We seem to be scared of our own shadows.

Today, there is one Malay graduate for every 20 Malays. Despite being more educated and having a large educated segment, we are still unable to convince ourselves that Malays have nothing to fear in this country. Are Malays thinking strategically, critically and logically? It looks increasingly obvious every day that the Malays are thinking with their emotions instead of with their intellect. We must ask ourselves – what is happening to us?

We have allowed our emotions to run wild and influence the way we see others. We watch ghost movies at the box offices. When Mastika stopped writing ghost stories, circulation ended and now there is no more Mastika. Now instead of reading about ghosts in Mastika, we are seeing ghosts around every corner.

Instead of depending on logic and facts, we prefer to buy in to the racist rhetoric of politicians with dubious reputations.

Since I am talking to academicians, I would like to pose this question to you: What role should you be playing in injecting some logic and fact into the Malaysia narrative? Do you intend to go along with the emotional flow or do you see it as your academic duty to question the irrational narratives that are being shoved down the Malays’ throats?

Do you as “the educated” speak honestly and bravely about what is happening or do you simply pretend that this growing racism is justified

All of you here are highly educated but how many of you have bought into the nonsensical political rhetoric that the Malays are being threatened by the non- Malays in this country? That Islam is under threat simply because of one or two people being insensitive enough to post something on the Prophet?

The religion cannot be insulted. Only people can be. If our faith is strong, we do not get insulted. In fact, we laugh at such ignorance. And our behaviour should reflect the best of our religion so that we and our religion earn the respect of others.

Our country is multi-cultural and multi-religious. We have managed to live here in peace. We are sensitive to our neighbours and respect one another. This is our way.

It is wrong to insult anybody, more so the Prophet. To make fun of religion is stupid. But we have laws, and we should respect due process. Many have forgotten our Rukun Negara. The most important document is the Constitution.

No Malaysian should make insensitive comments towards other religions and races. But what has happened with the proclamation of Jihad against non-Muslims recently?

If Muslims want to perform Jihad, it should be Jihad to better ourselves not only spiritually, but economically, academically and to contribute to the continued growth of our own country.

We talk about the Malay narrative as if we are on the verge of being driven out of our own country. There is so much anger and indignation when non-Malays were appointed to high posts in the government, as if this is something new.

Why is there not the same anger when we are confronted with facts of corruption and kleptocracy of the highest order among our Malay leaders? We don’t feel offended when it was prime news all over the world. Instead, we respond with “Malu apa”. Kalau “tak malu”, apa jadi kepada iman kita

The Malays can continue down this emotional and irrational path at our own peril or we can stop, think, reflect and call for change.

Nobody is forcing us to be emotional and irrational. We have chosen to be that way ourselves because we have allowed ourselves to be bought over by politicians whose only goal is to gain or regain power, no matter what the cost – and the cost is almost always ours to bear.

So, the choice is up to us – nak duduk macam katak di bawah tempurung? Do we change and become a force to reckon within the context of the national agenda, Malaysia Baharu, or do we go down the path we are currently treading and proclaim a narrative that is narrow, focused only on ourselves? Or will we pursue a truly National or Malaysia Narrative, in which we participate and play a very active role?

The National Agenda is not a Malay agenda or a non-Malay agenda. It is a Malaysian Agenda that takes into consideration all Malaysians. That fights poverty and inequality without discrimination, respecting the Constitution.

I am glad to note that this seminar is directed at the 4 sectors of politics, economy, culture and religion. Let us get all of these right. To get all of these right, our education system must change. Don’t treat education as political football. The education system must be right.

Our future, Malaysia’s future, will depend on giving our children the right type of education that will allow them to be confident to face the best in the world.

Get education right, then politics and economy will be right. Brains minus emotions will determine our future and the future of Malaysia.

Expose our children to the world, then they will want to excel, and they wil protect the best of our budaya.

There is nothing wrong with Islam. It is not under threat. It is the fastest growing religion in the world.

I would like to advise you not to follow politicians blindly. As I said earlier, for Malaysia to succeed, the Malays must succeed. I keep repeating, Iqra’ – read to acquire knowledge and to think critically. Choose the right path that will lead to success.

Time is very important and we are excellent at wasting time. We will lose to time. Let us tell ourselves from now on we shall not repeat past mistakes. We will give the best education to our children so that they can compete and succeed. Let us leave all failure of confidence behind, and start our future now.

Leave this hall confident and OK with ourselves. Tell our children that we will compete and we will succeed.

This keynote speech was delivered by YABhg Tun Daim Zainuddin at UTM Skudai on the 19th March 2019 during the launching of “Siri Seminar Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional” organized by IKMAS, UKM.

Totalitarianisme, Identiti dan Bangsa: Wawancara bersama Mahathir Mohamad

Berikut adalah wawancara bersama Tun Dr. Mahathir Mohamed. Wawancara ini dilakukan pada 16 April 2018 di Yayasan Kepimpinan Perdana. Objektif wawancara selama 40 minit ini adalah merangkumi dua tema utama. Pertama, mengenai Machiavellisme. Manakala, yang kedua pula, mengenai identiti dan Bangsa Malaysia.

Tokoh: Tun Dr. Mahathir Mohamad
Pewawancara: Haris Zuan, Ruhan Shahrir & Ramze Endut
Tarikh: 16 April 2018
Tempat: Yayasan Kepimpinan Perdana

Berikut adalah wawancara bersama Tun Dr. Mahathir Mohamed. Wawancara ini dilakukan pada 16 April 2018 di Yayasan Kepimpinan Perdana. Objektif wawancara selama 40 minit ini adalah merangkumi dua tema utama. Pertama, mengenai Machiavellisme. Manakala, yang kedua pula, mengenai identiti dan Bangsa Malaysia.

Naratif Malaysia (NM): Soalan pertama; berdasarkan pengalaman Tun, manakah yang lebih sukar antara menjadi kerajaan atau pembangkang?

Mahathir (M): Menjadi pembangkang sememangnya lebih sukar. Namun, jika sesebuah negara itu tidak mempunyai pembangkang maka banyaklah kesalahan yang akan dilakukan [oleh kerajaan]. Tanpa pembangkang, sesebuah negara itu akan menjadi sebuah dictatorship yang boleh berbuat apa sahaja. Pembangkang selalu kekurangan kuasa dan terpaksalah bergantung kepada kepintaran serta sokongan daripada penyokong-penyokong dalam kalangan rakyat. Mereka [pembangkang] tiada kuasa, jadi ianya memang sukar.

NM: Soalan kedua berkaitan dengan politik selari dengan tema yang wawancara ini iaitu berkenaan persoalan dictatorship dan totalitarianisme. Apa pandangan Tun mengenai ungkapan “matlamat menghalalkan cara”? Ungkapan ini sering dikaitkan dengan Machiavelli walaupun beliau tidak pernah menyebutnya. Tun sendiri pernah mengatakan bahawa Tun ialah seorang yang pragmatis. Adakah sikap pragmatik Tun itu bermaksud “matlamat menghalalkan cara”?

M: Adakalanya matlamat boleh menghalalkan cara, tetapi ianya tidak kerap. Biasanya jika kita hendak lakukan sesuatu yang baik atau bermanfaat, kita tidak perlu mencari jalan yang bertentangan dengan cara kebiasaan. Sebab itu bagi pemerintah, jarang sekali mereka terpaksa bertindak melawan arus. Sebaliknya, mereka mempunyai cukup kuasa atau kekuatan (autoriti) untuk melaksanakan sesuatu tanpa mengambil jalan yang mencabul undang-undang.

NM: Dalam demokrasi, majoriti sangat penting. Justeru, diktator sering mengekalkan kuasa politiknya melalui manipulasi demokrasi untuk mengekalkan undi majoriti. Mereka melakukan rasuah, penipuan, malah mengancam orang-orang yang membangkangnya. Dalam usaha kita untuk menjatuhkan diktator, adakah Tun bersetuju bahawa cara yang sama juga boleh digunapakai bagi menjatuhkan diktator tersebut?

M: Dalam mana-mana masyarakat, si miskin dan lemah lebih ramai berbanding orang berjaya dan kaya. Jika kita mengambil kira demokrasi yang mana suara ramai itulah yang akan berkuasa, biasanya yang miskin dan lemahlah yang akan berkuasa. Si kaya dan berkebolehan pula jumlahnya kurang berbanding yang lemah. Namun, kita dapati kalau si kaya ini cekap, pintar, dan mempunyai wang yang banyak, mereka boleh mempengaruhi si miskin ini dengan cara merasuah dan sebagainya. Ini akan menyebabkan pemerintahan yang tidak baik, iaitu pemerintahan diktator. Sebab itu jika si miskin ini terlalu miskin, ia akan menimbulkan masalah dalam sesebuah negara. Maka kita perlukan sebuah masyarakat yang jarak antara kaya dengan miskin itu tidak terlalu jauh. Dan si miskin ini juga perlu mempunyai peluang untuk mendapat ilmu dan sebagainya serta menyara hidup mereka sendiri tanpa terlalu bergantung kepada kerajaan. Dengan itu, si miskin dengan bilangan yang banyak ini akan menguasai kerajaan dan dapat menjaga kedudukan mereka. Namun, kita tidak pula mahukan si miskin ini merebut kuasa. Dan ini kita lihat dalam revolusi yang berlaku di sesetengah negara yang mana si miskin ini bangun untuk menjatuhkan si kaya. Macam di Rusia umpamanya, mereka menjatuhkan Tsar. Dan si miskin ini berpendapat bahawa segala kekayaan itu sekarang milik mereka. Tetapi dalam perkara ini mereka salah kerana mereka juga perlu kepada si kaya kerana si kaya ini mempunyai kecerdasan dan kepintaran untuk menjana kekayaan. Kalau kita kenal si miskin, dia sendiri tidak dapat jana kekayaan. Jadi, pendapatan negara akan berkurangan dan jika si miskin menuntut kesamarataan bagi semua pihak, maka pendapatan mereka tidak boleh tinggi kerana negara sudah jadi miskin. Inilah yang kita lihat di Rusia umpamanya selama 70 tahun. Segala punca kekayaan dimiliknegarakan, tetapi hasil jualan produk mereka hanya boleh dibeli oleh orang miskin. Bermakna, pendapatan segala industri menjadi kurang. Bila ianya kurang, sukar untuk berikan pendapatan yang tinggi kepada si miskin. Ini tidak difikirkan terlebih dahulu. Sebab itu kita dapati mereka akhirnya menolak sosialisme dan komunisme kerana ia bukannya menyamakan kekayaan antara rakyat, tetapi menyamakan kemiskinan antara rakyat.

NM: Soalan seterusnya berkaitan dengan politik. Salah satu definisi politik ialah “politics is the continuation of war by other means”. Apa pula takrif politik bagi Tun sendiri?

M: Mahu atau tidak mahu, kita terpaksa ada suatu—apa nama—bahagian yang ditakrifkan sebagai politik, iaitu orang yang diberi kuasa untuk mentadbir negara dan kuasa itu tidak bererti secara kekerasan sehingga menjadi suatu pemerintahan diktator ataupun secara demokratik yang mana ianya boleh dinaikkan serta dijatuhkan mengikut kehendak rakyat. Tetapi hakikatnya semua ini tergolong dalam bidang politik. Jadi, dalam negara kuku besi, politik berlaku tetapi terhad kepada orang yang berkuasa sahaja. Mereka yang lain tidak boleh berpolitik. Itulah keadaan negara kita pada zaman monarki Melayu dahulu yang mana raja-raja berkuasa dan hanya mereka sahaja dibenarkan untuk berpolitik manakala rakyat tidak diberi hak untuk terlibat dengan politik. Jadi kita dapati bahawa tindakan raja-raja itu merugikan negara seperti menjual tanah, wilayah, dan sebagainya. Sebab itu apabila kita berjuang untuk kemerdekaan, kita berpendapat bahawa kita tidak mahukan sistem raja berkuasa mutlak; sebaliknya kita memilih sistem demokrasi. Sistem demokrasi bermakna rakyat mesti memilih dan untuk memilih pemerintah, mereka mesti arif dalam bidang politik. Apakah yang dikatakan baik atau tidak baik—mereka perlu faham supaya pilihan mereka itu adalah baik bagi mereka.

NM: Berdasarkan pemahaman kami, kesalahan terbesar para diktator sebenarnya bukanlah pemusnahan institusi-institusi negara, tetapi lebih daripada itu ialah pembodohan rakyat. Contohnya, mereka menganggap rakyat ini bodoh sehingga boleh disuap dengan wang tunai semasa pilihan raya. Adakah taktik ini boleh berjaya mengekalkan kuasa politik mereka?

M: Ia boleh berjaya buat satu-satu masa, tetapi akhirnya akan ada revolusi. Rakyat yang miskin sedar akan kemiskinan serta nasib buruk mereka, dan mereka akan menentang sistem yang memberikan kuasa kepada segelintir manusia yang menekan mereka. Jadi ini memang akan berlaku. Lambat laun, ia akan berlaku. Walaupun ia berlaku lebih awal dalam sesetengah negara, tetapi dalam sesetengah negara yang lain pula mengambil masa yang lama kerana kekuatan dan kezaliman pemerintah begitu menakutkan sehingga kurangnya usaha untuk menjatuhkan kerajaan.

NM: Adakah Tun bersetuju dengan idea “benevolent dictator”?

M: Ia mungkin benevolent buat satu jangka masa yang pendek. Pada suatu masa dulu, Portugal dikuasai oleh Salazar. Ia sepatutnya seorang benevolent dictator. Tetapi lama-kelamaan, ia tetap akan menyalahgunakan kuasa. Kerana itu, benevolent dictator adalah satu idea yang berbahaya. Kerana kita tidak boleh tukar kalau ia buat salah. Sebaliknya dalam konsep kerajaan yang kuat dalam demokrasi, walau sekuat manapun kerajaan tersebut, ia boleh dijatuhkan.

NM: Tun menggunakan perkataan ‘kerajaan yang kuat’. Ketika Lee Kuan Yew meninggal dunia, Tun pernah menyebut bahawa beliau dikenali dengan kepimpinan kuat, strong leadership. Apakah yang membezakan antara kepimpinan kuat seperti Lee Kuan Yew dan Suharto dengan diktator yang juga kuat?

M: Pada mulanya, memang orang yang berkuasa menggunakan kuasanya seperti yang sepatutnya kerana kuasa itu perlu. Tanpa kuasa, seseorang pemimpin itu tidak dapat melaksanakan apa-apa pun. Tetapi lama-kelamaan, mereka menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri dan perbuatan yang tidak mengambil kira tekanan terhadap rakyat. Pada mulanya, mungkin ada yang berpendapat bahawa pemimpin yang kuat adalah baik untuk sesebuah negara. Namun, kalau pemimpin itu kuat sekalipun tetapi tidak ada cara untuk kita memilih pemimpin baru, tidak dapat tidak ia akan melakukan benda yang tidak baik.

NM: Adakah sudah memadai bagi sesebuah kerajaan untuk mementingkan kemakmuran ekonomi semata-mata tetapi pada masa yang sama melakukan penindasan terhadap demokrasi di dalam negaranya?

M: Kita dapati ada pemimpin kuat yang menyalahgunakan kuasa tetapi memberikan hasil yang baik dari segi pembangunan negara. Tetapi bagi rakyat, mungkin mereka berasa tertekan. Itu boleh berlaku dan kalau ianya dalam sistem demokrasi, rakyat berhak dan boleh menukar kerajaan. Kalau dalam sistem diktator, mereka tidak boleh berbuat apa-apa walaupun tindakan yang dikenakan terhadap mereka termasuklah pembunuhan atau penahanan beribu-ribu orang tanpa bicara. Semua itu boleh dilakukan semasa negara dibangunkan, tetapi perasaan rakyat memanglah tidak senang kerana sementara mereka—apa nama—menghargai pembangunan, tetapi tekanan ke atas mereka adalah sesuatu yang tidak disenangi.

NM: Tun pernah berkali-kali menyebut bahawa Tun ialah seorang yang realis. Makanya, Tun sepatutnya berpegang kepada fahaman realisme berbanding idealisme. Di sini, Tun berpegang dengan realiti, kenyataan, dan fakta. Namun dalam konteks politik, nampaknya kenyataan dan fakta boleh diubah, diolah, atau diketepikan. Misalnya Tun dahulu tidak bersetuju untuk Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, tetapi ia sebaliknya sekarang. Persoalannya, adakah fakta dan kenyataan boleh berubah mengikut suasana dan zaman?

M: Di Malaysia ini, kita tidak ada ideologi tertentu. Kita adalah pragmatis, iaitu kita lakukan apa yang boleh kita buat. Kalau ia tidak boleh kita lakukan mengikut ideologi, maka kita tidak buat. Kita pilih yang terbaik. Umpamanya, perancangan lima tahun. Ini adalah cara komunis membangunkan negara. Kita pinjam itu tetapi ia tidak menjadi mudarat kepada kita. Tetapi kita tidak boleh gunakan—apa nama—kapitalisme sehingga kapitalisme ini berleluasa dan merugikan rakyat kerana mereka, dalam usaha mereka mencari kekayaan, rakyat menjadi mangsa. Umpamanya kalau diadakan monopoli. Bila ada monopoli, ia boleh tetapkan harga [dengan sesuka hati] kerana tidak ada saingan, dan rakyat menderita. Sebab itu kita ada Anti-Trust Law yang digubal di Amerika. Undang-undang ini mengharamkan perniagaan monopoli. Kalau ia cuba kaut semua masuk dalam syarikat supaya syarikatnya jadi yang terbesar dan menguasai segala-galanya, maka tidak dapat tidak rakyat akan menderita kerana ia tidak lagi perlu bersaing dengan pihak lain yang akan menurunkan nilai—apa nama—barangan. Inilah yang kita lihat iaitu kita pinjam daripada sosialis tanpa menjadi sosialis. Kita juga meminjam daripada kapitalis, cumanya kerana kita berpendapat orang yang pintar dan pandai menumbuhkan ekonomi menjadi kaya adalah baik kerana kita boleh kenakan cukai yang tinggi kepada mereka serta menyumbang kepada kekayaan kerajaan dan juga untuk kita tolong orang yang miskin. Jadi itu secara agihan; orang kaya kepada orang miskin melalui proses percukaian dan sebagainya. Daripada pendapatan cukai ini, kita boleh beri bantuan kepada orang miskin, biasiswa, dan sebagainya. Sebaliknya jika tidak ada orang kaya dan cuma ada orang yang pendapatannya sama iaitu kesemuanya miskin; maka apabila kita hendak kenakan cukai, mereka tidak mampu untuk membayarnya. Jadi kita pilih untuk kahwinkan sistem sosialis, iaitu perancangan dan planning, dengan sistem kapitalis yang memberikan galakan kepada orang yang pintar dan cekap dalam bidang perniagaan untuk menghasilkan lebih banyak duit untuk kita kenakan cukai.

NM: Berkenaan dengan politik, dari pemerhatian adalah didapati bahawa terdapat perubahan corak politik dewasa ini. Dengan mengambil contoh Trump dan Najib, nampaknya yang utama sekarang bukan lagi kebenaran dan sikap rasional, tetapi bagaimana seseorang ahli politik itu bermain dengan persepsi, mengolah realiti, mencipta politik yang bersifat hiburan, serta pandai melakukan pementasan dan lakonan politik. Akhirnya kemenangan dalam pilihan raya akan diangkat sebagai lambang kebenaran dan rasionaliti. Adakah Tun sendiri dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang telah hilang dalam norma-norma politik dewasa ini?

M: Sesebuah kerajaan tidak dapat bergerak dengan baik tanpa susunan institusi-institusi kerajaan. Dalam konteks kita ini, selain daripada mengadakan pemilihan kerajaan oleh rakyat, kerajaan yang dipilih itu dihadkan kuasanya; iaitu perlu ada pemisahan kuasa antara legislatif (pembuat undang-undang dan dasar), dengan eksekutif (pelaksana dasar), serta kehakiman. Kalau tidak ada pemisahan kuasa sebegini—kalau mana-mana satu pihak melanggar peraturan dan undang-undang serta melakukan kezaliman, maka akan ada satu pihak lain yang juga berkuasa dan boleh menghalangnya. Umpamanya, pihak eksekutif boleh untuk tidak memberikan khidmat kepada kepimpinan yang zalim. Rakyat juga boleh bawa kepimpinan tersebut ke mahkamah, yang mana mahkamah itu bebas, untuk dihukum. Ini kita lihat di Brazil baru-baru ini yang mana mahkamah telah menghukum kerajaan tersebut kerana telah melanggar undang-undang. Tetapi di Malaysia hari ini, ketiga-tiga kuasa itu dicantumkan di bawah satu [entiti] iaitu legislatoryang diketuai oleh Perdana Menteri. Apabila ia melakukan kesalahan, pihak polis tidak boleh mengambil tindakan. Jika kes itu berjaya dibawa ke mahkamah, mahkamah juga akan memihak kepadanya. Dengan itu, kezaliman akan berlaku kerana tidak ada lagi agihan kuasa antara ketiga-tiga institusi penting dalam masyarakat. Inilah yang sedang berlaku pada masa sekarang kerana sistem itu tidak dipatuhi. Sistem yang mana kita ada raja berpelembagaan, parlimen, kabinet dan pentadbir serta hakim. Jadi, kuasa itu tidak terpusat kepada orang yang dipilih untuk memerintah sahaja. Kuasanya terhad mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan oleh polis, pengurusan—apa nama—eksekutif, dan juga hakim.

NM: Tatkala demokrasi telah mati—undang-undang dicabuli, rakyat dibungkam, tidak ada pembahagian politik (kehakiman, legislatif, eksekutif), musuh politik ditindas, dan perbahasan tidak dibenarkan—biasanya demonstrasi boleh menjadi pilihan yang berikutnya. Sekiranya demonstrasi juga tidak dibenarkan, adakah kita dibenarkan untuk menggunakan kekerasan untuk melawan diktator atau kerajaan yang zalim demi mendapatkan semula demokrasi?

M: Kalau kita terpaksa gunakan kekerasan, maka tercetuslah perang saudara—revolusi. Dan revolusi ialah cara terakhir dalam usaha untuk menukar pemimpin yang zalim. Tetapi ia mempunyai kos, iaitu kita akan mempunyai peperangan antara saudara; satu bangsa dan kaum tetapi kita berperang kerana perbezaan ideologi atau kefahaman. Ini sememangnya berlaku umpamanya revolusi Rusia dan revolusi Perancis. Ini tercetus kerana tidak ada saluran untuk menukar [kerajaan] tanpa keganasan.

NM: Dalam realiti politik tanahair dewasanya, seandainya Pakatan Harapan dinafikan —menerusi penipuan dan manipulasi— kemenangan Pilihanraya Umum ke-14, adakah bantahan terhadap legitimasi kerajaan pada waktu tersebut boleh membawa kepada revolusi?

M: Revolusi cuma akan tercetus jika kedua-dua pihak mempunyai kekuatan. Satu contoh yang kita boleh gunakan ialah Filipina. Marcos ialah seorang yang dipilih secara demokratik. Namun setelah dipilih, dia menghapuskan—apa nama—pemisahan antara kuasa yang tiga tadi. Kerana itu, dia boleh mentadbir sebagai seorang diktator. Tetapi apabila dia membunuh Aquino, pada ketika itu pihak polis dan tentera iaitu Ramos dan [?] tidak lagi menyokong Marcos. Bila mereka tidak lagi menyokong Marcos, barulah gerakan “People Power Revolution” menjelma dan mereka dengan cara demonstrasi serta sebagainya—kadang-kadang terdapat juga violence—berjaya jatuhkan Marcos. Di negara kita, pihak Najib umpamanya; katalah dia kalah sedikit sahaja dan enggan letak jawatan kerana mahu kekalkan kuasanya. Tetapi dia boleh berbuat begitu selagi polis dan tentera menyokongnya. Sebab itu peranan polis dan tentera amat penting. Ini kuasa kedua; kuasa pertama legislatif dan kedua eksekutif. Mereka ini [di bawah] eksekutif. Jadi kalau mereka rela untuk menyalahgunakan kuasa untuk Najib, maka akan berlakulah rusuhan kerana rakyat tidak lagi mempunyai cara yang lain. Tetapi kalau mereka berhenti menyokong Najib dan mainkan peranan mereka mengikut perlembagaan, maka Najib akan jatuh dengan sendirinya.

NM: Sedikit soalan berkenaan konsep bangsa Malaysia yang pernah Tun gagaskan sebelum ini. Bagi Tun, apakah identiti dan unsur utama yang Tun rasakan perlu untuk pembentukan bangsa Malaysia itu sendiri?

M: Kita dapati banyak negara yang mana penduduk yang pendatang adalah ramai. Biasanya satu-satu buah negara diduduki oleh satu bangsa, iaitu bangsa yang mempunyai bahasa dan budaya yang menjadi identiti mereka. Tetapi, bila masuk bangsa lain—kalau bangsa lain atau imigran ini sanggup melupakan asal bangsa mereka dan sebaliknya menyerap serta menjadi sama dengan penduduk tempatan—apa nama—warganegara, menerima bahasa, budaya, agama kadang-kadang tidak begitu penting walaupun ada juga yang penting, dan mereka melupakan bahasa mereka dan bertutur dalam bahasa tempatan; pada masa itu, mereka akan diterima sebagai warganegara, citizen. Dan ia sememangnya berlaku di Malaysia. Dari masa ke semasa, kita dapati orang Islam dari India atau Arab datang tinggal di sini dan menggunakan bahasa Melayu, beragama Islam, dan taat setia mereka sememangnya kepada negara kita ini. Dan kita terima. Banyak orang Melayu yang dari keturunan India atau Arab, syed-syed ini, menjadi Melayu. Bahasa rumah mereka ialah bahasa Melayu. Jadi itu mudah diterima dan kita boleh katakan bahawa orang ini ialah orang Melayu. Dan pada zaman dulu, dia boleh jadi rakyat kepada raja kerana tiada citizenship pada masa tersebut. Tetapi sekarang kita dapati ada kaum-kaum lain yang begitu ramai; sementara mereka menganggap ini adalah negara mereka, tetapi mereka tidak ingin menghilangkan identiti mereka sehingga mereka disamakan dengan penduduk tempatan atau penduduk asal. Mereka ini mahu kekalkan bahasa mereka, budaya mereka, serta identiti mereka yang dikaitkan dengan negara asal mereka. Sebab itu ia menghalang assimilation. Tidak boleh diserapkan. Tetapi kita di Malaysia ini lebih liberal. Walaupun mereka tidak diserapkan—identiti mereka tidak sama dengan penduduk asal Malaysia—kita masih mengaku mereka masih lagi sebagai Malaysia. Syaratnya tidak sama; mereka ada sekolah sendiri, bahasa dan budaya sendiri, bahkan tinggal berasingan dengan penduduk tempatan. Tetapi demikianlah liberalnya di Malaysia ini sehinggakan mereka dipanggil sebagai Malaysia, walaupun kadang-kadang kita tambah dia adalah Chinese Malaysian atau Indian Malaysian. Jadi ia tidak seperti di Amerika. Banyak bangsa yang berhijrah ke Amerika telah menguburkan bahasa dan budaya mereka dan menggunakan bahasa Inggeris serta budaya Amerika. Dan mereka sanggup berperang dengan negara asal mereka sendiri. Eisenhower berasal dari Jerman, tetapi dalam Perang Dunia Kedua, dia mengepalai tentera Amerika untuk berlawan dengan tentera Jerman. Jadi demikianlah identitinya dengan tempat tinggal barunya sehingga dia tidak lagi berasa terikat dengan negara asalnya. Sebab itu di Malaysia, konsep Malaysian ini tidak sama dengan konsep di negara lain.

NM: Kami sebenarnya tertarik dengan idea Bangsa Malaysia yang diutarakan oleh Tun seperti yang terangkum dalam Wawasan 2020. Justeru itu, kami ini mendapat jawapan dari Tun tentang sejauh manakah Rustam A. Sani terlibat dalam menyumbang pemikiran terhadap idea bangsa Malaysia ini?

M: Tidak ada bangsa Malaysia; yang ada cuma bangsa Melayu. Pada awal merdeka, kita dikenali sebagai Federation of Malaya; tidak ada Malaysia. Dan nama rasminya ialah Persekutuan Tanah Melayu. Jadi perkataan “Melayu” itu ada di situ, supaya orang tahu ini negeri Melayu. Tetapi apabila ditubuhkan Malaysia dan diserap Sabah dan Sarawak, mereka tidak ingin dikenali sebagai Melayu. Mereka mahukan nama yang lain, tetapi kita mahukan nama yang ada kaitan dengan Melayu; maka diciptakanlah perkataan “Malaysia”. Jadi kita sekarang ini sudah hilang Tanah Melayu. Kita hanya mempunyai Malaysia yang memiliki pelbagai kaum dan bangsa.

NM: Apa bentuk Malaysia yang Tun idamkan sebenarnya?

M: Kalau boleh kita mahu serap supaya ada asimilasi, dan semua orang menggunakan bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu serta budaya yang berasaskan budaya Melayu dan mereka tidak lagi menganggap diri mereka berasal dari negara China atau negara-negara lain. Mereka hanya ada Malaysia.

NM: Kami cuba memahami sikap Tun dari awal sehinggalah sekarang. Ada satu sikap yang konsisten pada diri Tun iaitu Tun merupakan seorang nasionalis. Saya dapat lihat pada awalnya Tun memiliknegarakan banyak perusahaan-perusahaan dan sektor-sektor serta memastikan rakyat kita ini sentiasa terkehadapan—mencipta keretanya sendiri, membina bangunannya sendiri. Dan walaupun Tun bersama pembangkang kini, sikap Tun masih lagi konsisten iaitu sebagai seorang nasionalis yang tidak mahu negaranya dimiliki dan dijual kepada negara lain. Apa pandangan Tun?

M: Secara fizikalnya, negara kita mestilah dimiliki oleh kita sendiri. Tetapi sekarang ini, negara ini tidak lagi dimiliki oleh kita. Kesalahan itu datang daripada kita. Kerana kita tidak sanggup bekerja. Apabila British masuk ke sini, kita enggan jadi penoreh getah, belajar bahasa Inggeris, menjadi peniaga, dan sebagainya. Maka British bawa masuk Cina dan India. Mereka ini pandai berniaga dan sanggup bekerja di bawah panas terik. Bila kita tidak sanggup bekerja manakala orang lain sanggup bekerja, lama-kelamaan mereka mendapat—apa nama—kedudukan yang kukuh di negara kita. Jadi, kita sendiri buat salah. Ya, kita memilih untuk menyalahkan mereka—kalau mereka tidak datang, maka negara kita ini akan terus jadi negara Melayu. Tetapi kalau mereka tidak datang, dan kalau kita lihat prestasi orang Melayu, negara kita ini tidak dapat dibangunkan. Kalau kita nak tahu, kita cuma perlu pergi sahaja ke Kampung Baru, Kuala Lumpur dan lihat kedai-kedai di situ lalu bandingkan dengan kedai-kedai di tempat lain. Kita lihat keadaan di situ cukup daif. Kalau nak dibuat perbadingan, di Indonesia pun begitu juga. Jadi kita telah menjadi miskin kerana kita tidak berusaha. Dan orang yang kaya boleh beli tanah kita dan tanah-tanah dalam bandar mempunyai nilai yang makin meningkat. Kita jual kepada mereka apabila ditawarkan harga yang tinggi dan berpindah ke luar bandar. Bandar pula semakin membesar sampai ke tempat kita. Harga tanah kita meningkat lalu sekali lagi ditawarkan harga yang lumayan dan kita jual dan berpindah lagi. Peliknya Malaysia ini ialah bandar dimiliki oleh orang Cina manakala luar bandar dimiliki oleh orang Melayu. Kita tidak seperti negara lain. Di negara lain, di bandar atau luar bandar orangnya sama sahaja. Ini termasuklah di negara-negara Arab. Di Mesir umpamanya, peniaga di bandar Cairo dengan petani di luar bandar merupakan orang yang sama (sebangsa). Tetapi kita di Malaysia berbeza. Inilah yang sedang berlaku. Itulah secara pendek. Kalau kita tidak mengubah cara dan budaya kita—tidak sanggup bekerja dan menguasai ilmu—kita akan kehilangan negara kita ini. Sekarang ini pun tidak lagi dipanggil negara Melayu—dulu Persekutuan Tanah Melayu—dan sekarang dikenali sebagai Malaysia. Dan sedikit demi sedikit kita dijual. Orang Melayu jual tanah kepada orang Cina tempatan, manakala kerajaan Najib jual—apa nama—wilayah-wilayah kepada China dan bawa masuk orang China. Lama-lama, ini bukan negara kita lagi.

NM: Boleh minta tandatangan Tun?

M: Boleh.

Design a site like this with WordPress.com
Get started