Kebersihan: Kebiasaan yang Asing

Sebagai rumusannya, berdasarkan pemerhatian penulis, permasalahan kebersihan ini bukanlah masalah unik di Desa Mentari sahaja. Ini adalah masalah yang dikongsi oleh pelbagai komuniti di mana-mana tempat di Malaysia pun, termasuklah di kawasan perumahan mewah sekalipun. Ini kerana, memiliki budaya pembersih tidak memerlukan kekayaan.

Kita kena didik mereka hari-hari. Lambat laun mereka akan belajar,” ujar Pak Usop, Ketua Penyelengaraan di Blok 4, Desa Mentari.

Pak Usop merasakan sudah menjadi tanggungjawabnya untuk sentiasa mengingatkan penghuni blok bahawa setiap individu menyandang tanggungjawab yang sama kepada masyarakat sekeliling. Ini termasuklah tanggungjawab mengenai penjagaan kebersihan. Pak Usop bersyukur kerana dapat melihat sedikit perubahan positif dalam kerjasama masyarakat dalam memastikan kebersihan Blok 4 tersebut. Masih banyak perubahan yang boleh dicapai, namun Pak Usop percaya bahawa pendidikan masyarakat merupakan suatu proses berterusan dalam merealisasikan aspirasi masyarakat dalam jangka masa panjang.

Isu kebersihan sudah lama menjadi polemik sosial, bahkan sering dianggap sebagai enteng. Bersih suatu kata mudah, sehinggakan mudah diabaikan. Sebab itu, pencaknaan serta kesatupaduan masyarakat dalam mendepani isu ini masih lagi menjadi rintangan dalam menzahirkan persekitaran masyarakat yang bersih. Oleh itu, penulisan ini cuba merungkaikan tahap kepekaan dalam isu kebersihan.

Semasa mengikuti projek “Transformasi Sosioekonomi dan Kesatuan Nasional” di Desa Mentari anjuran Merdeka Center, Team Selangor dan rakan kerjasama yang lain baru-baru ini, dikesan pelbagai faktor yang menjadi akar permasalahan kebersihan dalam komuniti tersebut, terutamanya di Blok 4. Faktor paling utama ialah mentaliti penduduk setempat.

Walau bagaimanapun, atas usaha Pak Ucop dan beberapa ahli komuniti yang lain dalam mengumpul yuran penyelenggaraan, mereka berjaya mengupah dua orang warga Indonesia sebagai tukang cuci untuk menyelenggara seluruh 11 tingkat blok tersebut, selama 6 hari seminggu. Hasratnya ringkas dan murni: demi memastikan kebersihan senantiasa terjaga.

Namun niat dan usaha beberapa individu sahaja tidak mencukupi, sekiranya masih lagi wujud sikap lewa di kalangan penghuni blok itu sendiri.

Malah, penggajian tukang penyelenggara menyebabkan sesetengah penghuni makin membuang sampah tanpa merasakan kesan sampingan kepada penghuni yang lain. Ini termasuklah seperti membuang sampah daripada tingkap ke bawah blok. Sikap tidak bertanggungjawab ini barangkali didorong oleh keyakinan mereka bahawa sampah ini akan dikutip oleh dua tukang penyelenggara tersebut. Maka berulanglah kitaran ini hari demi hari, lagi dan lagi; sampah dibuang daripada tingkap, lalu dikutip oleh makcik cleaner.

Mentaliti seperti ini tidak dapat dibendung selagi penduduk setempat masih terbelenggu dengan pemikiran bahawa kebersihan bukan tanggungjawab individu tetapi tanggungjawab dua pekerja tersebut. Dalam kata lain, mentaliti ini juga boleh diujarkan sebagai kesan daripada kurangnya rasa kekitaan dan kebersamaan sesama masyarakat.

Kita perlu sedar betapa besar pengaruh tindakan setiap individu dalam menzahirkan keadaan masyarakat dan setempat. Sekiranya setiap individu tidak menjaga kebersihan, maka lahirlah keadaan masyarakat yang kotor begitu juga sebaliknya. Di sini jelas, peranan individu sebenarnya tidak kalah penting berbanding peranan kolektif. Tanpa mentaliti yang berkelas tinggi, tamadun paling agung pun boleh berkecai.

Selain itu, berdasarkan pemerhatian penulis, faktor lain yang berkaitan kebersihan di komuniti tersebut ialah keadaan sistem pengurusan sampah di blok ini. Paling ketara, tong sampah tidak disediakan di setiap tingkat dan ini menyukarkan penduduk untuk membuang sampah. Maka, tidak menghairankan, langkah pintas membuang sampah ialah melalui tingkap, terus disasarkan ke dalam tong sampah di bahagian bawah blok.

Namun begitu, kebanyakan cubaan ini kecundang mencapai sasaran. Tersesar dan akhirnya sekadar memenuhi jalan raya dan juga di atas kereta yang diparkirkan di bawah. Justeru itu, penempatan tong sampah pada setiap tingkat setidak-tidaknya boleh memudahkan sistem pengurusan sampah dengan lebih baik dan tersusun. Malangnya, keadaan dan keluasan kawasan memainkan peranan penting dalam melaksanakan langkah ini.

Ini kerana, kawasan koridor blok ini adalah sempit sehingga penempatan tong sampah tidak begitu ideal. Oleh yang demikian, kita boleh simpulkan bahawa kebersihan boleh dicapai dengan mewujudkan sistem pengurusan sampah yang efektif dan mudah bagi setiap penghuni blok. Bagaimana cara yang paling efektif? Ini perlu difikirkan secara serius, terutamanya oleh komuniti tersebut.

Sungguhpun begitu, memperbaiki sistem pengurusan sampah mungkin jalan paling cepat untuk mengatasi masalah yang dibincangkan ini. Manakala jalan yang lebih panjang tetapi lebih berkesan ialah menerusi jalan pendidikan.

Jalan pendidikan, atau boleh juga dikenali juga sebagai jalan kebudayaan, dapat memainkan peranan dalam isu ini. Kebiasaan penduduk dalam memperhatikan isu kebersihan dapat memupuk semangat kebersihan, sekiranya diamalkan selalu. Apabila amalan yang sama diteruskan, kemudian set minda yang sama ini diwarisi oleh generasi seterusnya, maka suatu perubahan yang berkekalan boleh direalisasikan.

Barangkali inilah yang disedari oleh Pak Usop, yang beranggapan bahawa mendidik masyarakat perlu dilakukan hari demi hari dengan penuh sabar. Namun begitu, kesatuan masyarakat secara sepenuh adalah diperlukan. Ini kerana tidak wajar beban menjaga kebersihan ini dipikul oleh Pak Usop dan dua tukang penyelenggara itu sahaja. Pendek kata, pembudayaan kebersihan adalah tanggungjawab setiap individu dalam menyumbang kepada kebersihan Bersama demi menyaksikan perubahan positif dalam jangka masa panjang.

Lantaran itu, budaya perlu dididik dan usaha mendidik seperti yang dilakukan oleh Pak Usop sekiranya dilakukan oleh lebih ramai insan yang memiliki tahap kepekaan dan set minda yang berpaut pada semangat “kita jaga kita,” maka masalah kebersihan ini boleh ditangani dengan cemerlang.

Sebagai rumusannya, berdasarkan pemerhatian penulis, permasalahan kebersihan ini bukanlah masalah unik di Desa Mentari sahaja. Ini adalah masalah yang dikongsi oleh pelbagai komuniti di mana-mana tempat di Malaysia pun, termasuklah di kawasan perumahan mewah sekalipun. Ini kerana, memiliki budaya pembersih tidak memerlukan kekayaan.

Apa yang diperlukan ialah sikap (mentaliti), sistem (pengurusan) dan pendidikan (amalan). Semua ini boleh bermula dengan suatu langkah yang mudah dan murah seperti yang dilakukan oleh Pak Ucop: “membiasakan yang betul, membetulkan yang biasa.”

Esei ini ditulis secara bersama oleh Mohd. Daniel Azwan, Izyan Athirah, Ros Aida dan Anis Umaira. Esei ini merupakan sebahagian daripada projek “Transformasi Sosioekonomi dan Kesatuan Nasional” anjuran Merdeka Center, Team Selangor, Naratif Malaysia, MyPJ, Gerakan Pembebasan Akademik, Persatuan Kenduri-Kendara Desa Mentari, Persatuan Kenduri-Kendara Blok 3 Kampung Lindungan dan Cultural Harmony Camp Youth.

Miskin Bandar: Bak Desa Tanpa Mentari

Penduduk Desa Mentari adalah cerminan kepada realiti sebenar majoriti rakyat Malaysia kalangan B40 dan M40 yang mempunyai cabaran masing-masing. Jelas, jika tiada usaha pemerkayaan akan suara mereka yang sedia kurang didengari ini selama ini dalam pembentukan polisi yang holistik, kitaran hidup yang menzalimi mereka ini akan terus berlanjutan kepada generasi mendatang.

Kesenjangan sosioekonomi menjadi topik yang tidak pernah surut dan bertambah dinamik dalam “Malaysia kaya” ini. Perkara ini telah diulas panjang dan didokumentasikan, contohnya dalam buku “The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia” ditulis Dr Muhammed Abdul Khalid dan buku “Rich Malaysia, Poor Malaysians: Essays on Energy, Economy and Education” oleh penulis Anas Alam Faizli, masing-masing dikira pakar dalam perbahasan ekonomi di Malaysia. Itu pun belum diambil kira kesan langsung dan tidak langsung pasca-wabak pandemik COVID-19 kepada golongan terpinggir umumnya di Malaysia yang pada hemat kami tiada lagi analisis holistik berkenaannya.

Kali ini Merdeka Center dengan sokongan beberapa pemegang taruh daripada pelbagai latar belakang telah menganjurkan sebuah inisiatif “Program Zamalah Belia bagi Tema Transformasi Sosioekonomi dan Kesatuan Nasional” bagi peringkat Lembah Klang untuk memahami realiti rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan paling bawah dalam kelas ekonomi seperti B40. Pangsapuri Desa Mentari di Petaling Jaya menjadi kawasan kajian yang mewakili segmen miskin bandar untuk diselami realiti kehidupan mereka. Untuk rekod, pemerhatian kami tidak terhad kepada indikator Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang biasa dipakai tetapi kami cuba mengaplikasikan panduan Indeks Pembangunan Manusia (HDI) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) ketika mendekati golongan sasaran kami ini.

Utamanya, isu pendapatan isi rumah yang rendah menjadikan golongan kelas bawahan kekal terpinggir daripada komuniti lain yang mempunyai pendapatan isi rumah yang lebih baik. Golongan ini lebih tertumpu kepada isu kelangsungan hidup. Berbeza dengan kelas yang berpendapatan lebih tinggi, mereka mampu untuk memikirkan penambahbaikan kualiti hidup seperti menghadiri ke kelas tambahan dan pendidikan muzik bagi anak-anak. Hal ini menyebabkan berlakunya diskriminasi secara tidak langsung yang berterusan kepada golongan kelas bawahan kerana keterbatasan daripada segi kualiti hidup hasil jurang pendapatan yang jauh berbeza.

Selain daripada itu juga, mereka sedia terpinggir daripada akses kepada peluang pendidikan yang lebih berkualiti sekaligus pekerjaan lebih baik. Hal ini menyebabkan potensi dalam kalangan mereka ini tidak dapat digilap sepenuhnya. Maka dianggarkan kepompong kemiskinan ini akan terus diwarisi dan menghantui generasi seterusnya. Isu pengangguran dan kualiti hidup yang tidak baik direkodkan turut menyumbangkan kepada masalah sosial lain seperti jenayah pecah rumah, kecurian, penyalahgunaan dadah dan sebagainya. Perkara ini realiti yang pahit untuk ditelan sebenarnya.

Kebolehcapaian mereka kepada sistem sokongan kesihatan mental dan fizikal antara isu penting kalangan mereka yang tidak putus kunjung tiba. Faktor saiz unit pangsapuri yang kecil memberi kesan langsung kepada ketahanan kesihatan mental ketika berada di rumah khususnya bagi sebuah keluarga yang besar jumlah ahlinya. Ia turut dilaporkan media massa dan aduan diterima oleh badan kebajikan khusus ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan. Sering berlaku masalah sumbang mahram, penderaan fizikal serta mental oleh ahli keluarga termasuk keadaan keluarga yang porak-peranda hasil penceraian ibu bapa misalnya.

Bagi kebanyakan keluarga pula adalah akses terhad kepada bekalan air bersih dan air yang selamat diminum yang menyumbang kepada isu kesihatan fizikal seperti penyakit bawaan air. Isu kesihatan ini menghalang kepada kemandirian ahli komuniti ini untuk terus menambah baik kualiti hidup yang setaraf dengan komuniti lain yang lebih sihat. Tidak kurang juga dilaporkan masih ada yang terputus sejak sekian lama bekalan asasi ini. Ia tidak dapat diterima bagi sebuah negara maju seperti Malaysia.

Di samping itu, kekangan daripada segi kelengkapan infrastruktur yang lengkap juga dapat diperhatikan dalam komuniti Desa Mentari ini. Ia telah memberi kesan langsung kepada kualiti kehidupan harian mereka. Isu seperti kerosakan lif yang sering berlaku juga menyukarkan pergerakan bagi golongan marginal seperti orang kelainan upaya (OKU) dan warga tua. Isu-isu sebegini sememangnya mendatangkan impak kepada mereka sungguhpun mereka telah menganggap kebiasaan ini sebagai sesuatu keadaan yang tidak begitu ketara. Kesukaran kehidupan penduduk di Desa Mentari terlihat disebabkan lemahnya kemudahan infrastruktur di blok kediaman mereka yang menjadikan penduduk tidak dapat untuk menjalankan aktiviti harian dengan baik.

Contoh yang timbul seperti  tiada akses kerusi roda dan juga ruang yang terhad untuk tempat letak kenderaan warga OKU. Tambahan, lif bangunan selalu  bermasalah dan tidak dibaiki menjadikan penduduk umumnya terpaksa bergantung kepada satu lif dan tangga sahaja. Senario ini amat memeritkan. Namun itu bukan alasan untuk mereka mengeluh, bahkan mereka telah menganggap ia sebagai kelaziman dan norma biasa bagi mereka sekaligus berjaya mengurus permasalahan ini dengan baik untuk meneruskan kehidupan seharian mereka yang serba kekurangan itu.

Sistem sokongan khususnya sokongan sosial juga antara isu yang mendesak untuk diketengahkan. Khususnya bagi ibu tunggal, mereka amat memerlukan sokongan sosial seperti tempat jagaan kanak-kanak atau TASKA untuk memastikan keselamatan anak-anak ketika ibu mereka berada di tempat kerja.  Tanpa kewujudan sokongan sosial yang lebih memudahkan warga ini, misi untuk mencari rezeki menjadi satu cabaran kepada pencari nafkah utama ini. Mereka terpaksa bergantung kepada jiran mereka untuk menjaga anak-anak mereka yang masih kecil bagi mereka tidak mempunyai kemampuan kewangan yang cukup atau sibuk bekerja di luar untuk memenuhi keperluan seisi keluarga. Sebilangan besar jiran-jiran yang menjaga anak-anak mereka biasanya adalah warga tua.

Bagi warga tua pula, mereka yang rata-rata tidak lagi bekerja terutamanya yang tinggal berseorangan atau bersama hanya pasangan mereka di rumah ini sepenuhnya bergantung kepada bantuan kewangan daripada anak-anak mereka yang bekerja di tempat lain, ihsan jiran-jiran sekitar dan skim bantuan kerajaan secara bulanan atau one-off untuk menampung keperluan asasi seharian mereka. Ini bukan perkara baharu bagi warga tua yang merupakan penduduk majoriti di kediaman kos rendah seperti ini.

Akhir kalam, bagi kami pendedahan dan pengamatan terhad ini hanya sebahagian kecil daripada kisah-kisah pergelutan kelas ekonomi rakyat Malaysia dalam memaknai kehidupan yang penuh onak dan duri yang sistemik ini. Penduduk Desa Mentari adalah cerminan kepada realiti sebenar majoriti rakyat Malaysia kalangan B40 dan M40 yang mempunyai cabaran masing-masing. Jelas, jika tiada usaha pemerkayaan akan suara mereka yang sedia kurang didengari ini selama ini dalam pembentukan polisi yang holistik, kitaran hidup yang menzalimi mereka ini akan terus berlanjutan kepada generasi mendatang.

Soalan untuk kita semua, apakah usaha kita untuk merubah realiti ini?

Esei ini ditulis secara bersama oleh Salami (juga editor), Al-Hafiz, Nash, Carinna dan Joey. Esei ini merupakan sebahagian daripada projek “Transformasi Sosioekonomi dan Kesatuan Nasional” anjuran Merdeka Center, Team Selangor, Naratif Malaysia, MyPJ, Gerakan Pembebasan Akademik, Persatuan Kenduri-Kendara Desa Mentari, Persatuan Kenduri-Kendara Blok 3 Kampung Lindungan dan Cultural Harmony Camp Youth.

Design a site like this with WordPress.com
Get started