Sekolah Vernakular dan Sekolah Kebangsaan: Masalah dan Penyelesaiannya

Sistem pendidikan kebangsaan merupakan sebuah medan di mana generasi muda daripada berbilang kaum dan agama bertemu dan berkenalan sambil mereka menyerap dan mendalami nilai-nilai kebersamaan yang membentuk semangat kebangsaan yang jitu dan harmoni. Masih belum terlambat untuk kita menambahbaik sistem pendidikan kebangsaan demi kerukunan hidup sebagai rakyat Malaysia walaupun sudah 63 tahun merdeka.

Artikel ini merupakan lanjutan daripada wacana dalam talian Perbincangan Panel Siri #1: Hala tuju Hubungan Antara Kaum Selepas 63 Tahun Kemerdekaan oleh Komuniti Muslim Universal (KMU) pada 13 Ogos 2020. Panelis yang membincangkan topik ini adalah Dr Azmil Tayeb (penulis, USM), Ryan Chua (Pusat KOMAS) dan Firdaus Husni (MCCHR). Pautan rakaman perbincangan ini boleh diakses menerusi Channel YouTube KMU.

Baru-baru ini timbul lagi gesaan untuk menutup semua sekolah vernakular dan diganti dengan sekolah kebangsaan, sebuah isu hangat yang tidak pernah lekang daripada landskap politik Malaysia sejak merdeka. Hujah utama mereka adalah sekolah vernakular ini bersifat eksklusif dan tidak berpaksikan kepada nilai-nilai kebangsaan yang menyatukan semua kaum di Malaysia. Makanya, sekolah vernakular ini perlu dihapuskan dan cuma satu jenis sekolah sahaja yang dibenarkan iaitu sekolah kebangsaan yang berperanan untuk menerapkan nilai-nilai yang membentuk sebuah Bangsa Malaysia di kalangan pelajar.

Soalan yang perlu ditanya adalah apakah sekolah kebangsaan yang tersedia ada sekarang mampu menyemai nilai-nilai nasionalisme inklusif yang merentas kaum dan agama? Jika kita melihat sejarah perkembangan sistem pendidikan kebangsaan sejak merdeka, memang jelas karakter sistem pendidikan kebangsaan banyak dipengaruhi oleh perubahan dinamika politik negara. Apabila wacana Ketuanan Melayu dan Islam mula mendominasi politik Malaysia pada tahun 1970an, sistem pendidikan kebangsaan turut menerima dampak daripada perubahan dinamika politik ini.

Sebagai contoh, sukatan pelajaran untuk subjek Sejarah diolah dan disusun supaya keutamaan diberikan kepada tamadun Melayu-Islam dan naratif tamadun-tamadun lain dipinggirkan atau dilenyapkan daripada buku teks sekolah. Buku teks sejarah Tingkatan 4 misalnya mengandungi lebih 50 peratus isi yang berorientasikan Islam, manakala penceritaan mengenai tamadun-tamadun lain, terutamanya tamadun Hindu-Buddha di Tanah Melayu, sangat tidak memadai atau tidak ada sama sekali. Sebagaimana yang kita faham, subjek Sejarah adalah bersifat umum dan fokus yang berlebihan kepada tamadun Melayu-Islam menyebabkan subjek ini mengetepikan kepentingan dan naratif komuniti-komuniti bukan Melayu-Islam di Malaysia.

Jadi tidak mengejutkan sama sekali kalau kaum bukan Melayu dan Islam tidak merasa selesa dengan sistem pendidikan kebangsaan yang sedia ada sekarang. Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, terdapat cuma 3 peratus sahaja pelajar di sekolah rendah kebangsaan yang berbangsa Cina dan ironisnya terdapat 9 peratus pelajar Melayu di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina. Jika kita melihat komposisi guru mengikut kaum, 81 peratus daripada guru sekolah rendah dan menengah kebangsaan adalah kaum Melayu, manakala guru Cina cuma 14 peratus dan guru India 5 peratus. Ini tidak menggambarkan pecahan peratusan sebenar kaum-kaum utama di Malaysia. Jelas sekali di sini sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia didominasi oleh perspektif kebangsaan berpaksikan Melayu-Islam yang menyebabkan sekolah kebangsaan tidak menjadi tumpuan pelajar bukan Melayu dan Islam. Bayangkan jika kita sebagai ibu bapa pelajar bukan Melayu dan Islam, apakah kita akan tertarik untuk menghantar anak-anak kita ke sekolah kebangsaan di mana mereka dilayan seperti warga kelas kedua?

Nilai yang paling penting untuk menangani isu kepincangan hubungan kaum dan agama ini ialah empati. Berbeza dengan toleransi, di mana perbezaan dihormati tetapi tidak perlu difahami, empati memaksa kita untuk cuba menyelami cara fikir dan kehidupan orang yang berbeza daripada kita. Perasaan empati meletakkan diri kita dalam tempat dan situasi orang yang berbeza kaum dan agama supaya kita boleh membayangkan kenapa perbezaan itu wujud dan sekaligus membuka jalan untuk mencari nilai-nilai persamaan yang merentas perbezaan ini. Misalnya, seseorang yang berasal daripada kaum atau agama majoriti boleh berempati dengan seseorang daripada kaum atau agama minoriti dan juga sebaliknya, di mana tujuan utamanya adalah untuk mencari titik persamaan yang dikongsi bersama. Dalam erti kata lain, mengenal perbezaan untuk mengeratkan hubungan, bukan memecah-belahkan.

Dalam konteks sistem pendidikan kebangsaan, bagaimana kita boleh menerapkan dan meningkatkan nilai empati di kalangan anak murid? Pertama, kementerian boleh memperkenalkan subjek Perbandingan Agama di sekolah untuk mendedahkan pelajar kepada fahaman-fahaman agama yang berlainan daripada apa yang mereka anuti. Subjek Perbandingan Agama ini perlu berteraskan nilai-nilai inklusif, sejagat, dan empati. Kedua, kementerian perlu mewajibkan program-program ekstrakurikular seperti melawat tempat-tempat ibadah agama, kawasan penempatan kaum (ethnic enclaves) dan juga menjemput tokoh-tokoh kaum dan agama datang ke sekolah untuk memberi ceramah dan berinteraksi dengan pelajar. Ketiga, kementerian boleh membuat program pertukaran pelajar antara sekolah kebangsaan, sekolah vernakular, dan sekolah agama seperti yang selalu dianjurkan di universiti. Terakhir dan yang paling penting ialah budaya dan karakter sekolah kebangsaan perlu diubah daripada orientasi Melayu-Islam kepada orientasi kemanusiaan yang setara dan saksama.

Memang kita perlu akui, membuat perubahan besar dalam sistem pendidikan kebangsaan memerlukan masa yang lama dan keinginan politik (political will) yang kuat. Akan tetapi, ini jangan kita jadikan sebagai alasan untuk tidak berbuat sesuatu. Sistem pendidikan kebangsaan merupakan sebuah medan di mana generasi muda daripada berbilang kaum dan agama bertemu dan saling kenal-mengenal sesama mereka sambil mereka menyerap dan mendalami nilai-nilai kebersamaan yang membentuk semangat kebangsaan yang jitu dan harmoni. Masih belum terlambat untuk kita menambahbaik sistem pendidikan kebangsaan demi kerukunan hidup sebagai rakyat Malaysia walaupun sudah 63 tahun merdeka.

Dr. Azmil Tayeb adalah pensyarah Sains Politik di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang. Beliau juga adalah setiausaha kehormat di Aliran, sebuah organisasi bukan kerajaan yang memperjuangkan keadilan sosial dan solidariti.

Ikuti lanjut perkembangan kempen #Kebersamaan KMU di media sosial. Ini termasuklah menerusi Facebook (KMUMALAYSIA), Twitter (@kmu_my), Instagram (@kmu_my) dan laman web (kmumalaysia.org).

Wacana Naratif Malaysia oleh Ehsan Shahwahid

Pembentangan ini akan membahaskan perihal kebebasan beragama menerusi perspektif ‘Critical Muslim Studies.’ Perspektif yang baharu ini dapat membantu untuk mencermati dengan lebih halus mengenai kerumitan hubungan antara agama dengan dimensi sosial yang lain.

SIRI PEMBENTANGAN HANG NADIM [5/2020]

Kebebasan Beragama: Suatu Perspektif ‘Critical Muslim Studies’

Penyampai: Ehsan Shahwahid, IRF
Masa: 10 pagi – 12 tengahari
Tarikh: 5 Mac 2020 (Khamis)
Tempat: Bilek Mesyuarat LESTARI, Bersebelahan Bangunan IKMAS, UKM
Semua dialu-alukan hadir

Abstrak:

Pembentangan ini akan membahaskan perihal kebebasan beragama menerusi perspektif ‘Critical Muslim Studies.’ Perspektif yang baharu yang dikembangkan oleh kalangan pemikir yang berpusat di University of Leeds ini dapat membantu untuk mencermati dengan lebih halus mengenai kerumitan hubungan antara agama dengan dimensi sosial yang lain. Selain itu, pembentangan ini akan turut meninjau bagaimana perspektif ‘Critical Muslim Studies’ ini bukan sahaja menyelongkar ketirisan pemikiran beberapa gerakan dalam kalangan Muslim, akan tetapi turut mengkritik kecetekan pemikiran Barat dalam menelaah tabii dunia Muslim.

Biodata:

Ehsan Shahwahid merupakan koordinator Islamic Renaissance Front (IRF). Beliau menerima pendidikan dalam MA (Sosiologi dan Antropologi) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selain turut memperoleh tahap pendidikan yang sam dari Universiti of Leeds dalam kajian mengenai agama. Bidang penyelidikan beliau adalah mengenai gerakan muslim dan kebebasan beragama.

Lokasi:

Bilik Mesyuarat LESTARI
Bersebelahan Bangunan Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS)
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
43650 Bandar Baru Bangi
SELANGOR DARUL EHSAN

Design a site like this with WordPress.com
Get started