Manifesto Cendekiawan: Segarkan Kembali Aktivisme-Intelektualisme

Melakukan kesilapan kedua, bukanlah suatu pilihan. Sebaliknya, ini adalah tanggungjawab para cendekiawan muda yang bernaung di bawah gerakan baharu bernama Naratif Malaysia. Tanggungjawabnya adalah untuk merealisasikan manifesto yang tertunda: menerus tradisi intelektual, menanggap transformasi sosial!

Sekitar kurun ke-18, berlakunya anjakan paradigma dalam pembangunan ilmu apabila bidang sains sosial diterima sebagai bidang baru yang bakal diajar di peringkat pengajian tinggi sekitar Eropah ketika itu. Pengiktirafan ini memerihalkan bahawa bidang sains sosial sudah diterima untuk dimasukkan ke dalam sistem sekaligus mengiktiraf bahawa ia sebahagian daripada korpus ilmu.

Dalam suatu pengantar bertajuk,“Malaysian Social Science: Yesterday, Today and Tomorrow?,” Clive Kessler (1974) menyatakan bahawa “pelonjakan akan bidang sains sosial adalah apabila diiktiraf dan dijustifikasikan sebagai kerangka intelektual (intellectual framework) dalam mendepani kedinamikan masyarakat”.

Tradisi ini kemudiannya berterusan mula mempengaruhi pembangunan pandangan sarwa bagi setiap kumpulan masyarakat di peringkat global, serantau mahupun tempatan. Pengaruh ini turut melimpah ke Tanah Melayu di mana sains sosial dilihat sebagai antara ilmu yang begitu banyak menyumbang kepada pembangunan masyarakat dari era pra merdeka sehingga ke era millenium Malaysia.

Atas garisan kesejarahan inilah, maka artikel ini sebetulnya bertujuan ditulis dengan semangat renung kembali, lebih-lebih apabila saya dijemput untuk turut serta sebagai peserta dalam projek “Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda Sains Sosial” baru-baru ini. Bengkel tersebut dianjurkan oleh pihak Naratif Malaysia (NM) bersama dengan IKMAS-UKM, Malaysia Reform Initiative (MARI), USAID dan Kedutaan Amerika Syarikat dengan tema bengkel “Sains Sosial Abad ke-21: Menerus Tradisi Intelektual, Menanggap Transformasi Sosial” disandarkan atas tema besar “Creating Think-Space for Political Narrative”.

Semangat Aktivisme-Intelektualisme

Sebagai seorang ahli akademik muda yang sedang berkhidmat dengan universiti awam di Malaysia, saya melihat perkembangan perubahan aktivisme-intelektualisme yang dibawa oleh NM boleh mempengaruhi senario sains sosial di Malaysia mutakhir ini. Tradisi yang telah ditinggalkan generasi awal wajar harus digali kembali memandangkan sains sosial bergulir daripada sejarah yang memiliki susur galurnya sendiri serta menyumbang kepada pembentukan karakter pembentukan dan perkembangan ilmu sains sosial di Malaysia.

Malangnya, realiti yang berlaku di Malaysia dewasa ini, terdapat muncul suara sumbang membangkitkan tentang kerelevanan bidang sains sosial sejurus selepas gelombang IR 4.0 mula meledak.

Benar, peredaran zaman berlaku, manakala masyarakat terus berkembang, tetapi jika dibiarkan bidang sains sosial ditekan dan tidak diberikan ruang, maka penulis merasakan bahawa sisi manusiawi manusia pastinya akan sedikit demi sedikit terhakis akibat lingkaran ganas gelombang modenisasi, faham kebendaan (materialism) dan konsumerisme yang mementingkan soal inovasi komersialisasi berbanding penghasilan inovasi konsep dan teori yang selama ini menjadi pelantar besar (major platform) untuk perkembangan sains sosial.

Justeru dengan adanya usaha dari pihak NM, saya yakin dan percaya ia berupaya mengisi ruang gerakan aktivisme-intelektualisme ke arah membangkitkan kembali budaya ilmu yang dilihat semakin gersang di kalangan masyarakat khususnya bagi anak muda.

Pengaruh ilmu kolonial

Walau bagaimanapun, perlu disedari bahawa perkembangan sains sosial di Malaysia hakikatnya tidak bersifat organik. Sebaliknya, ia sedikit sebanyak terbentuk hasil pengaruh dari luar. Peranan pihak kolonial Inggeris yang menapak lama di Tanah Melayu telah memediasikan banyak penghasilan penulisan berkisar masyarakat Melayu dan etnik lain sehingga ia menyumbang dan membentuk satu korpus ilmu yang digelar ilmu kolonial.

Melalui kehadiran korpus baru ini, satu bentuk “garis asal ilmu” (baseline knowledge) diwujudkan sebagai kerangka asas dalam mengembangkan ilmu sains sosial sehingga ke era moden Malaysia hari ini. Garis asal ilmu yang dibangunkan ini dijadikan sebagai asas kerangka dalam ilmu sains sosial yang memicu kepada perkembangan wacana kritis dalam menganalisis fenomena sosial di Malaysia.

Pembangunan sains sosial di Malaysia sebetulnya bukan didirikan atas sumbangan daripada pihak kolonial saja. Bahkan, lebih tepat lagi, ianya turut didirikan atas dua ruang utama.

Abdul Rahman Embong (1974) dalam makalah bertajuk, “Menoleh ke Belakang, Melangkah ke Hadapan: Sains Sosial di Malaysia”, menyifatkan dua ruang tersebut adalah merangkumi “ruang awam yang dicirikan oleh pemikiran sosial tempatan” dan “ruang pentadbiran penjajah yang menjanakan ilmu kolonial”. Demikian itu, frasa berkenaan dua ruang utama ini dilihat sebagai paling dominan dalam pensejarahan sains sosial di Malaysia.

Ditambah pula dengan kelahiran pemikir-pemikir sosial tempatan klasik seperti Abdullah Munshi (1796-1854), Syed Sheikh Syed Ahmad al-Hadi (1867-1934), Zainal Abidin Ahmad atau Za’ba (1895-1973), Abdul Hadi Haji Hassan (1900-1937) turut mempengaruhi perkembangan sains sosial di Malaysia. Ini belum dimuatkan sekali dengan kemunculan pemikir pascamerdeka seperti Syed Hussein al-Attas (1928-2007) yang menghasilkan magnum opus-nya, The Myth of Lazy Native, sebuah karya yang mengkritik para pemikir kolonial Tanah Melayu seperti Frank Swettenham, RO Winstedt, JM Gullick, LR Wheeler dan RJ Wilkinson.

Bertitik-tolak daripada kesedaran ini, maka saya mengamati bahawa usaha kumpulan penyelidik muda NM ini tampaknya ingin memeta, merangka dan mengusahakan kembali perspektif sejarah jangka panjang (longue duree) dan pendekatan sejarah idea (history of ideas) dalam meneliti perkembangan sejarah ilmu sains sosial di Malaysia.

Paling utama, pembinaan legasi bukan saja berkisar dalam soal penerusan idea pemikir-pemikir sosial tempatan yang pernah wujud dalam korpus sains sosial. Malah, pembinaan tersebut merupakan satu keperluan untuk generasi terkini dalam membangunkan legasi sains sosial yang mandiri yang lebih cerdas dan cergas, tanpa menidakkan tradisi dan legasi dari generasi terdahulu.

Dengan bantuan dan panduan daripada tokoh pemikir besar gagasan sains sosial di Malaysia terutamanya Prof Emeritus Dr Abdul Rahman Embong sebagai tokoh rujukan utama beserta legasi pemikir sains sosial lain seperti Norani Othman, Abdul Halim Ali, Syed Husin Ali, Shamsul Amri Baharuddin, Ahmat Adam, Francis Loh Kok Wah, Cecelia Ng dan lain-lain, kumpulan penyelidik muda NM ini memberi harapan baharu sebagai pewaris tradisi aktivisme-intelektualisme di Malaysia.

Bagi merealisasikan usaha perkembangan sains sosial di Malaysia adalah penting untuk kita mengenal pasti beberapa cabaran utama yang meliputi soal perkembangan di peringkat global. Cabaran ini, secara umumnya, melibatkan pembentukan pandangan sarwa dan pengkaedahan terkini dalam kajian sains sosial.

Lebuh khusus lagi, cabaran utama bagi kumpulan penyelidik muda NM ini adalah bagaimana menjadikan sains sosial di Malaysia sesuai dengan perkembangan di peringkat global dan impaknya kepada Malaysia. Kesepakatan dicapai apabila enam mega trend utama dilihat sebagai sesuatu yang memberikan impak kepada perkembangan sains sosial di Malaysia yang melibatkan pertambahan kajian berkenaannya.

Dalam hal ini, sepertimana yang dibentangkan oleh Prof. Abdul Rahman, enam mega trend tersebut adalah pertentangan globalisasi Barat vs globalisasi oriental, impak revolusi maklumat dan digital, transisi urbanisasi dan bandaraya berdaya huni, ketaksamaan sosial dan proses precaritisation, transisi demokrasi serta musibah risiko dan dampak ke atas negara dan masyarakat memfokuskan kepada kewujudan pandemik global dan pengamalan norma baharu pasca pandemik.

Apa yang boleh dikatakan, melalui bengkel yang bertenaga ini, terdapat banyak idea dan naratif baru cuba diselongkar dan dibangunkan oleh para penyelidik muda NM. Naratif tersebut termasuklah meliputi soal pembangunan dan ketaksamaan, sosiologi, media, perkembangan demokrasi vs populisme dan perkaitan dengan pensejarahan, agama serta seni yang kesemua ini mempuyai pertalian dengan perkembangan mega trend yang dijelaskan.

Melawan Watak Tertawan

Bagi sebuah negara yang berstatus “pernah dijajah” oleh sebuah empayar kolonial, fenomena “watak tertawan” (captive mind) seperti diusulkan oleh Syed Hussein al-Attas tampaknya berberterusan meskipun kemerdekaan telah lama diperolehi.

Fenomena watak tertawan ini sangat berleluasa di dalam masyarakat bekas tanah jajahan lebih-lebih lagi di kalangan ahli sains sosial tempatan kita sekarang. Penyakit ini merupakan jelmaan daripada sikap dan sifat beberapa kelompok masyarakat yang cenderung mengambil jalan dengan mencedok tanpa mempersoalkan apa yang telah dihasilkan oleh orang lain terutamanya dari negara maju.

Selain itu, terdapat juga penafsiran sejarah yang bersifat superficial tanpa adanya penilaiannya kritis ke atasnya dan tidak berusaha mewujudkan sumbangan sendiri. Suka saya labelkan semua fenomena ini sebagai “Malay sunset syndrome.” Sindrom ini mendorong kita melihat apa yang datang dari Barat sebagai model penyelesaian sebarang kemelut di negara kita.

Memang, tidak dinafikan bahawa dominasi kerangka sains sosial dari Barat masih lagi utuh melingkari fahaman pemikir-pemikir sosial tempatan dewasa kini. Utuh lantaran kalangan ini masih mengagumi bulat-bulat apa yang datang dari Barat. Justeru itu, sudah menjadi tanggungjawab para pemikir sosial tempatan era kini untuk meruntuhkan pegangan cetusan mitos dibangunkan pihak kolonial.

Mitos ini barangkali berpunca dari sikap kita sendiri yang sebelum ini terlalu bergantung kuat dengan korpus daripada Barat. Kebergantungan ini turut disebabkan oleh ketidakupayaan kita menghasil dan membina korpus sains sosial kita sendiri. Adalah mustahak sains sosial mandiri, seperti yang menjadi tema utama “Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda Sains Sosial”,” diperkukuhkan untuk menanggapi fenomena ini dari terus menawan pemikiran generasi terkini atau masa depan.

Kumpulan penyelidik muda NM juga diletakkan harapan tinggi untuk menghasilkan karya yang lebih bersifat thereotically informed (paras teori) dan berbasiskan kepada kerangka wacana kritis (critical discourse). Harapan ini semakin tinggi dan berat memandangkan kebanyakan institusi pengajian awam tinggi hari ini banyak menumpukan kepada soal kaedah pengajaran dan pembelajaran. Bahkan, kebanyakan kajian para saintis sosial di Malaysia khususnya pasca 1990-an lebih bersifat empirikal dan dekskriptif.

Lebih menggusarkan lagi, bentuk ataupun kaedah penyelidikan sebegini begitu kuat melingkari kerangka pemikiran saintis sosial kini yang lebih menumpukan soal pengumpulan data dan terperangkap dengan sindrom “more of the same” dan kajian yang bersifat “saw dust”.

Kajian-kajian yang bersifat “paras teori” amat kurang dan jika ini berterusan, persoalan yang timbul: bagaimana kita mahu melahirkan penyelidik sains sosial yang begitu mementingkan kemandirian bidang ini? Mungkin ini dikatakan kesan daripada fenomena “jurang generasi” (generation gap) menyebabkan keterputusan legasi sekitar penghujung 1980-an membolehkan kelompok ‘statistical-empirical” melebarkan pengaruh dengan penekanan terhadap pengkaedahan bukan kepada isi pengkajian.

Sungguhpun begitu, kita tidak boleh salahkan penyelidik sains sosial muda hari ini juga. Barangkali hambatan ini berpunca daripada cabaran struktur dan institusi di negara kita pada hari ini. Cabaran paling utama khususnya bagi penyelidik sains sosial di Malaysia pasca 2000-an adalah memastikan kerelevanan bidang sains sosial di Malaysia. Ini berkait dengan soal penghasilan inovasi dan pengkaedahan baharu yang membawa kepada penekanan terhadap aspek kuantiti, bukan lagi soal kualiti penyelidikan yang dihasilkan.

Ini termasuklah penekanan yang berlebihan dalam memenuhi kehendak KPI (Key Performance Index) dan trajektori pasaran melalui pengkorporatan universiti (corporatization of university) yang didasarkan kepada ketergantungan institusi pengajian tinggi kita terhadap kerangka pendidikan dari Barat. Ini dibuktikan dengan penghasilan kajian dan graduan yang bersifat untuk memenuhi tuntutan pasaran.

Selain itu, pengejaran ranking universiti di peringkat dunia juga muncul sebagai cabaran utama untuk kelangsungan bidang sains sosial di Malaysia. Apabila ini berlaku, maka penumpuan hanya diberikan kepada kuantiti bukannya kepada penekanan terhadap kualiti penyelidikan ahli sains sosial itu sendiri.

Sains sosial mandiri

Mengambil kira beberapa cabaran dalam perkembangan sains sosial masa ini di Malaysia, maka sudah menjadi satu keperluan untuk diberikan penekanan kembali kepada pengukuhan orientasi sains sosial di Malaysia.

Di sini apa yang diusahakan oleh pihak NM membangunkan sekumpulan penyelidik muda dari pelbagai latar disiplin sains sosial harus dipuji dan disokong. Dengan cabaran terkini melalui perkembangan teknologi dan revolusi maklumat yang pantas, maka peranan kumpulan penyelidik muda NM ini semakin penting. Ini boleh dilakukan menerusi penghasilan karya-karya, buah fikir dan hasil kajian baru. Matlamat akhirnya, semua usaha ini adalah bertujuan untuk membina sains sosial mandiri yang bersifat saintifik, relevan serta kritis.

Pada pengamatan saya, kumpulan ini dibentuk dengan bervisikan penghasilan pemikiran yang berteraskan kepada kerangka wacana kritis (critical discourse). Sebelum ini, kerangka seperti ini kurang dijadikan sebagai intellectual framework dalam penghasilan kajian sosial. Menerusi kerangka ini, maka sekurang-kurangnya dapat membentuk kesedaran sejarah bagi generasi muda yang mengalami keterputusan legasi dari generasi sebelum ini. Naratif “sains sosial tidak bebas nilai” harus dibangkitkan kembali, agar pengisian kajian lebih tajam untuk menganalisa fenomena sosial.

Dalam masa yang sama, sama seperti saranan Prof. Abdul Rahman, aspek keserakanan (collegiality) wajar juga ditekankan untuk menjayakan agenda ini. Bagi saya, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kumpulan penyelidik muda NM ini sebagai perintis (pioneer) kepada penubuhan kumpulan pemikir muda saintis sosial di Malaysia era millennium.

Di samping itu, melalui bengkel yang dianjurkan oleh NM, kumpulan penyelidik muda NM ini diberikan ruang bagi menghasilkan sesuatu yang baru, yang asli dan menyumbang ke arah sains sosial mandiri berasaskan kepada aspek komitmen dan advokasi. Ianya juga sebagai refleksi kepada usaha mewujudkan pengembaraan kesarjanaan (scholarly journey) yang jelas serta berpaksikan kepada tradisi dan legasi dalam menanggapi transformasi sosial.

Apatah lagi, kalau diperhatikan betul-betul, soal pengembaraan kesarjanaan ini tidak kuat ditekankan di kalangan ahli sains sosial muda kini di IPTA/IPTS, mungkin kerana faktor penekanan capaian KPI daripada pihak pengurusan tertinggi institusi menjadikan setiap penghasilan kajian berteraskan “cukuplah sekadar mencapai KPI”. Saya gusar jika berterusan begini, kita mungkin bakal melahirkan generasi pemikir yang bersifat “jadong,” yang sekali gus menjadi batu penghalang kepada pembangunan kumpulan penyelidik muda. Lantaran itu, peranan kumpulan penyelidik muda NM ini adalah untuk tidak mengulangi kesilapan generasi lama dahulu.

Melakukan kesilapan kedua, bukanlah suatu pilihan. Sebaliknya, ini adalah tanggungjawab para cendekiawan muda yang bernaung di bawah gerakan baharu bernama Naratif Malaysia. Tanggungjawabnya adalah untuk merealisasikan manifesto yang tertunda: menerus tradisi intelektual, menanggap transformasi sosial!

Tulisan ini pertama kali diterbitkan di Malaysiakini pada 12 Ogos 2020.

Naratif Malaysia: Merangkul Masa Kini Mendakap Masa Silam

Untuk saya, jalan keluarnya bukannya memilih salah satu daripada dua pola tersebut. Jalan keluarnya ialah dengan merangkul dan mendakap kedua-duanya: yakni merangkul masa kini dan memperakui masa silam.

Wacana mengenai gagasan Naratif Malaysia telah mulai menampakkan jurang yang ketara. Khaled Nordin daripada UMNO dan Edry Faizal daripada DAP telah membawa dua naratif yang berbeza di dalam tulisan mereka. Kedua-dua tulisan tersebut berada di dua pola ekstrim yang bertentangan. Malah, tulisan mereka tersebut sudahpun dikritik oleh para pembaca The Malaysian Insight (TMI). Dalam hal ini, tulisan Edry disanggah oleh Azharuddin Aziz manakala tulisan Khaled Nordin pula telah dibidas oleh Muhammad Hafez Darwis. Namun sehingga kini, baik Khaled mahu pun Edry, kedua-duanya masih belum memberi sebarang maklum-balas terhadap kedua-dua tulisan tersebut.

Apakah Khaled dan Edry masing-masing enggan bertolak-ansur di dalam mempertahankan pendirian mereka itu? Apakah pendirian kedua-dua mereka itu tidak boleh diubah? Apakah kedua-dua pendirian itu takkan dapat mencari suatu titik temu?

Khaled dalam tulisannya yang berjudul Naratif Malaysia Tidak Boleh Tolak Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 mengajukan gagasan ‘naratif Malaysia’ harus berpandukan kepada tiga prinsip yang terkandung dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan budaya Melayu dan Islam.

Walau bagaimanapun, Muhammad Hafez Darwis dalam sanggahannya yang termuat di ‘Dasar Kebudayaan Kebangsaan Bukan Sakral’ telah memperincikan kenapa Dasar Kebudayaan tersebut bermasalah untuk dijadikan teras kepada persoalan kebudayaan kebangsaan.

Hujah Hafez menumpukan kepada persoalan proses pembuatan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang tidak cukup terangkum serta kegagalan untuk mengambil-kira kebudayaan bumiputera bukan Islam yang juga merupakan masyarakat pribumi di Malaysia sebagai unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.

Menjejaki sejarah idea yang melahirkan kebudayaan kebangsaan, Hafez menemukan perubahan pemikiran tentang kebudayaan kebangsaan di kalangan intelektual yang mewakili Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1990 yang mengajukan suatu formulasi kebudayaan kebangsaan yang berbeza daripada Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1973 itu.

Hemat Hafez, persoalan kebudayaan bukanlah sesuatu yang bersifat statik tetapi berubah mengikut kondisi sosial masyarakat. Malahan tidaklah menjadi suatu kesalahan pada Hafez untuk mengkritik, menilai dan membincangkan semula Dasar Kebudayaan Kebangsaan agar suatu penyelesaian yang lebih terangkum dan adil dapat dicari.

Edry pula menukilkan buah fikirannya di tulisan yang berjudul ‘Bangsa Malaysia atau Rakyat Malaysia?’. Tulisan Edry ini merupakan suatu kritik terhadap tulisan Khaled tentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang melihat bahawa tidak wujud ‘Bangsa Malaysia’ tetapi yang wujud hanyalah ‘Rakyat Malaysia’ yang berbilang etnik, agama dan bahasa.

Edry sebaliknya mengusulkan konsep ‘Bangsa Malaysia’ sebagai suatu projek yang mulia dan seharusnyalah menurut Edry disokong oleh semua orang termasuklah Khaled. Selain itu, Edry juga mengajukan supaya sejarah Malaysia dilihat pada waktu penubuhan Malaysia dan bukan mengambil dari zaman silam supaya dapat difahami nilai-nilai yang terkandung di dalam Malaysianisme.

Apakah itu ‘Malaysianisme’ dan apakah rupa-bentuk, identiti, ciri-ciri dan nilai-nilai yang seharusnya terkandung dalam ‘Malaysianisme” tidak pula Edry jelaskan.

Tulisan Edry itu kemudiannya dibidas oleh Azharuddin Aziz dalam ‘Malaysia Bukan Lahir Dalam Vakum’ yang mengkritik pemahaman Edry yang dilihat gagal memahami proses kelahiran sesuatu ‘bangsa’ itu yang bersifat rencam dan pelbagai mengikut konteks sejarah, ekonomi, politik, sosio-budaya dan struktur sesebuah masyarakat. Azharuddin berhujah tidak semua masyarakat dunia mengalami proses kesedaran berbangsa dalam bentuk yang sama.

Edry juga didakwa Azharuddin sebagai bukan sahaja gagal untuk memberikan takrifan ‘bangsa’ yang jelas tetapi juga keliru apabila Edry mencampur adukkan antara konsep ‘bangsa’ dan ‘ras’.

Kritikan Azharuddin yang paling lantang ialah apabila Edry dituding sebagai polos sejarah (ahistorical) apabila Edry mengajukan supaya sejarah Malaysia dilihat pada waktu penubuhan Malaysia dan bukan daripada sejarah silam sebelum wujudnya Malaysia.

Memandangkan kritikan-kritikan yang dilemparkan kepada tulisan Khaled dan Edry belum lagi dibalas oleh mereka berdua, maka kita tidak dapat untuk mengetahui dengan pasti apa  sebenarnya jawapan mereka terhadap persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan oleh Muhammad Hafez Darwis dan Azharuddin Aziz itu.

Tulisan saya ini pula adalah suatu kesinambungan kepada tulisan-tulisan di atas selepas saya meneliti hujah-hujah yang dikemukakan oleh mereka. Ianya adalah suatu usaha sederhana daripada diri saya untuk cuba mempertemukan kepelbagaian naratif yang terkandung dalam tulisan-tulisan tersebut pada satu titik yang boleh diperkongsikan bersama.

Tulisan Khaled umumnya boleh dipetakan sebagai suatu naratif yang mengidamkan Malaysia yang berkeperibadian dan beridentiti Melayu-Islam sebagai teras kebangsaannya. Khaled tentunya tidak menafikan peranan daripada etnik lain dalam pembentukan kebangsaan Malaysia ini. Tapi terasnya adalah berpaksikan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang diajukan oleh Khaled. Malaysia sebagai suatu idea bagi Khaled adalah berasal dari Tanah Melayu dan kerana itu teras kebudayaan Melayu-Islam harus kekal menjadi panduan utama di dalam kehidupan berbangsa dan bernegara.

Manakala tulisan Edry pula adalah suatu tulisan yang mengidamkan kepada kelahiran sebuah bangsa yang dikonsepkan sebagai Bangsa Malaysia yang pembentukannya menurut Edry harus diambil dari sejarah penubuhan Malaysia itu sendiri dan bukannya ditarik dari zaman silam. Edry tentunya tidak menafikan hakikat sejarah bahawa sebelum Malaysia wujud, yang terlebih dahulu wujud adalah Persekutuan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957.

Namun begitu Edry melihat dengan kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 telah mengubah bentuk, keperibadian dan identiti kebangsaan Malaysia. Justeru itu menurut Edry sewajarnyalah sejarah Malaysia dimulai pada waktu penubuhan Malaysia dan bukan dari zaman sebelumnya.

Terdapat dua pola ekstrim yang terkandung di dalam kedua-dua konsep Malaysia yang diidamkan oleh kedua-dua sosok ini. Dua pola pandangan yang berbeza ini kemungkinan besar tidak hanya mewakili pendapat peribadi masing-masing, tetapi juga turut dikongsi oleh organisasi yang mereka wakili dan juga sebahagian daripada masyarakat Malaysia yang lainnya. Perbezaan konsep Malaysia yang diidamkan ini wajar saja memandangkan hakikat kepelbagaian yang wujud dalam negara kita yang melahirkan cita dan aspirasi yang juga rencam.

Persoalannya ialah bagaimana untuk mencari suatu titik temu di dalam kepelbagaian dan kerencaman idaman yang ingin dijadikan realiti itu?

Mungkin perkara pertama yang harus difahami ialah bangsa sebagai suatu fenomena sosial adalah sebuah proses. Menjadi bangsa bukanlah sesuatu yang semulajadi. Terdapat proses-proses yang tertentu yang perlu dilalui untuk melahirkan kesedaran sebagai suatu bangsa. Dan tidak semua bangsa-bangsa di dunia ini melalui proses yang sama. Proses yang dilalui sehingga terbentuknya sesuatu bangsa itu berbeza di setiap wilayah dan dipengaruhi pula oleh kekhasan sejarah dan juga proses sosial, politik dan ekonomi yang melatari perjalanan sesuatu komuniti itu untuk menjadi bangsa.

Dan tentunya bangsa tidak lahir dalam tempoh setahun atau dua tahun, bahkan sepuluh tahun. Menjadi bangsa dalah suatu proses yang panjang. Bangsa, dalam hal ini, tidak terjadi dalam hampawa (vakum). Terdapat proses-proses yang tertentu yang panjang dan lama (mungkin beratus tahun) sebelum kesedaran berbangsa itu wujud. Dan bangsa bukanlah suatu fenomena yang statik tetapi sentiasa bergerak, dinamik dan terus bergulir dalam proses kemenjadian (becoming) yang berterusan.

Kalau kita punya kefahaman bahawa bangsa adalah sebuah proses, maka kita tidak akan mudah untuk terus menidakkan idea tentang Bangsa Malaysia.

Memandangkan bangsa adalah sebuah proses, maka memahami proses-prosesnya inilah yang akan membantu kita untuk melahirkan bangsa Malaysia. Dan sebahagian daripada proses ini adalah tentang masa silam dan masa kini. Memperakui sejarah silam dan menerima sepenuh hati hakikat masa kini adalah sebahagian daripada langkah awal ke arah mencari titik temu kepada dua pandangan berbeza yang terkandung di dalam tulisan Khaled dan Edry ini.

Malaysia pada hari ini bukan lagi Tanah Melayu. Hakikat bahawa Malaysia bukan lagi Tanah Melayu ini adalah akibat daripada proses sejarah yang dilaluinya yang telah mengubah struktur demografi dengan kehadiran pelbagai etnik, agama, bahasa dan budaya kelompok-kelompok manusia yang kini menjadi sebahagian daripada warganegaranya. Penyertaan Sabah dan Sarawak pada tahun 1963 ke dalam Persekutuan Malaysia bukan sahaja menambahkan lagi kerencaman dan kepelbagaian etnik, agama, bahasa dan budaya tetapi juga menukar nama wilayah politik kita daripada Persekutuan Tanah Melayu kepada Persekutuan Malaysia.

Namun begitu, perubahan daripada Tanah Melayu kepada Malaysia tidak bererti berkuburnya sejarah silam. Sejarah lampau sebelum Malaysia tetap ada. Malahan sejarah sebelum adanya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 juga akan masih terus wujud dan diingati. Adalah menjadi suatu ketidakadilan dan kezaliman sejarah jika sekiranya yang lampau itu dipadamkan dari ingatan. Kita sebahagiannya adalah ingatan-ingatan lampau. Memadamkan ingatan lampau adalah menafikan wujudiah diri kita pada hari ini.

Persoalan seterusnya apakah sejarah lampau Malaysia hanya berhenti sebatas Melaka semata-mata? Apakah sebelum Melaka tiada langsung wujud sejarah politi-politi Melayu tua? Teks Tun Daim Zainuddin di Seminar Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional (yang disampaikan di UTM Skudai pada 19 Mac 2019) misalnya, mengajukan penerokaan sejarah politi-politi Melayu tua jauh melangkaui batas empayar Melaka. Malahan dalam sesi soal jawab di seminar yang sama Tun Daim turut mengungkapkan tentang Lembah Bujang di Kedah sebagai pemula kepada peradaban Melayu.

Walau pun kemudiannya teks ucapan Tun Daim ini mendapat kritikan daripada beberapa felo Naratif Malaysia sendiri. Ini kerana menurut mereka, teks tersebut gagal melihat masalah pendidikan negara (yang ditulis oleh Haris Zuan), selain penafian terhadap fungsi emosi manusia (yang ditulis oleh Ramze Endut) serta tumpuan yang berlebihan terhadap ekonomi (yang ditulis oleh Ruhan Shahrir) sehingga mengabaikan aspek-aspek bahasa, budaya dan identiti kebangsaan. Sunggupun begitu, perlu disebutkan juga bahawa Tun Daim dalam pada masa yang sama telah membuka wacana sejarah yang merentasi zaman Melayu-Islam yang ditandai oleh empayar Melaka.

Natijahnya, membuka wacana sejarah bererti membuka kembali wajah-wajah kita yang lampau. Wujud kita seperti mana pada hari ini adalah kesan dan akibat daripada proses-proses sejarah yang kita jalani sebagai sebuah komuniti di masa lampau. Tetapi yang lampau itu kemudiannya melalui proses-proses sejarahnya yang khas yang kemudiannya melahirkan pula wajah-wajah kita yang baru. Wajah kita pada hari ini adalah suatu proses kemenjadian (becoming) yang senantiasa bergulir dan terus bergulir dari garis masa silam sehinggalah kini. Manakala wajah kita pada masa hadapan pula adalah bergantung kepada sejauh mana kita memperakui masa silam dan menerima hakikat masa kini.

Masa silam wilayah yang kita namakan Malaysia ini ditandai oleh kewujudan politi-politi Melayu tua yang hibrid (dipengaruhi oleh kosmologi pemikiran Melayu-Hindu-Buddha) yang kemudiannya berubah menjadi politi-politi kesultanan Melayu-Islam sebelum bertukar menjadi Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya berubah menjadi Malaysia dengan sistem politi raja berperlembagaan yang kita kenali sekarang ini.

Justeru, apakah Khaled bersedia untuk menerima hakikat bahawa Malaysia kini bukan lagi Tanah Melayu? Juga, apakah Edry pula sanggup untuk mengiktiraf bahawa Malaysia bukan suatu entiti polos sejarah yang terbatas di tahun 1963 semata-mata, sebaliknya lahir dan berevolusi dari sejarah politi dan peradaban Melayu silam? Tidak memberi sikap terhadap persoalan boleh memberi makna bahawa kedua-dua mereka ini tidak serius untuk memperdalamkan perbincangan yang mendesak mengenai identiti kebangsaan.

Untuk saya, jalan keluarnya bukannya memilih salah satu daripada dua pola tersebut. Jalan keluarnya ialah dengan merangkul dan mendakap kedua-duanya. Yakni menerima dan merangkul hakikat masa kini dan memperakui serta mendakap masa silam adalah langkah pertama ke arah proses melahirkan naratif Malaysia yang lebih adil dan terangkum.

Laporan (III) Forum Naratif Malaysia: Masa Depan Politik Kaum dan Agama

Pada 10 Mei 2018, di ufuk langit tanah air yang tercinta, keheningan embun pagi terasa berbeza sekali. Tiada sesiapa pun yang mengungkapkan kata-kata. Mereka terpaku.. Tetapi…

Oleh: Ellisa Agatha

Pada 10 Mei 2018, di ufuk langit tanah air yang tercinta, keheningan embun pagi terasa berbeza sekali. Tiada sesiapa pun yang mengungkapkan kata-kata. Mereka terpaku. Kelihatan air mata membasahi pipi, ada yang gembira ada juga yang berduka. Pilihan Raya Umum ke-14 memberikan sinar baharu untuk Malaysia, tanah air yang tercinta.

Tampaknya, peralihan tampuk pemerintahan negara daripada orde lama selama 61 tahun telah membawakan sebuah pengharapan baharu untuk tanah tumpahnya darahku ini. Hari itu merupakan hari yang bersejarah yang telah menggegarkan dunia. Buat pertama kalinya, munculnya sebuah kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat untuk mewakili suara mereka. Buat pertama kalinya, seorang mantan Perdana Menteri kembali ke pentas politik untuk mencorakkan kembali negara ini.

Seiring dengan perubahan yang berlaku, marilah kita berbicara mengenai politiking yang menggunakan isu ketuanan dalam mencapai kekuasaan didalam sebuah pemerintahan. Tidak dapat dinafikan, sentimen politik kaum dan agama sering digendangkan dan merupakan isu yang utama dalam meraih sokongan rakyat. Polarisasi kaum jelas mewujudkan jurang di antara mereka yang berlainan agama dan bangsa. Tidak dapat kita nafikan, politik perkauman dan agama ini jelas telah bermula sebelum PRU-14 lagi.

Mengimbau kembali sejarah hitam 13 Mei 1969, isu perkauman telah dibangkitkan serta orang Melayu dimomokkan dengan naratif Melayu iaitu orang Melayu hilang kuasa serta orang Cina mengusir Melayu daripada tanah air sendiri. Berganjak kepada pasca PRU-14 pula, Malaysia kini mempunyai cabaran yang lebih luas apabila berlakunya kejatuhan Parti Dominan iaitu Barisan Nasional kepada Parti Pakatan Harapan yang dijalinkan melalui kerjasama DAP, PKR, AMANAH dan PPBM.

Menurut Syahredzan Johan (2019), kegusaran rakyat jelas ketara apabila tradisi perlantikan jawatan penting berubah daripada kalangan orang Melayu dan Islam kepada orang bukan Melayu dan bukan Islam. Ia dapat dilihat melalui perlantikan Peguan Negara Malaysia, Tommy Thomas serta perlantikan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan Malaysia. Politik perkauman dan agama ini kian membarah kesan daripada sifat ego sesebuah kaum untuk mendominasi kekuasaan tersebut. Misalnya, kerjasama UMNO-PAS melalui Penyatuan Ummah (blok oposisi) yang memperjuangkan isu-isu yang memperjuangkan Islam. Namun, adakah matlamatnya adalah benar-benar untuk memperjuangkan agama atau hanyalah sebagai modus operandi demi meraih undian kaum majoriti semata-mata? Demokrasi di Malaysia yang membenarkan persaingan antara agama menerusi politik kepartian tampaknya menimbulkan rasa perbezaan yang seterusnya membawa kepada persaingan antara parti-parti yang lain.

 Kerelevanan politik perkauman dan agama ini sehingga kini menjadi topik debatan dan perbincangan di negara kita. Misalnya, kekalahan BN dapat dilihat kerana parti tersebut terlampau menggunakan isu politik kaum dan agama sebagai isu yang utama. Menurut Pamela Yong (2019), UMNO bertanggungjawab akan pengundi Cina yang masih kekal menyokong PH dalam PRK DUN Semenyih baru-baru ini. Hal ini demikian kerana, kekurangan sokongan pengundi Cina yang diberikan kepada BN adalah berpunca daripada kenyataan sensitif dan bersifat perkauman yang dibuat oleh pimpinan tertinggi UMNO sewaktu berkempen. (Sinar Harian, 2019) Namun, M.K.Keong (2019) berpendapat bahawa perjuangan ini berada pada landasan yang tepat kerana melalui kewujudan isu ini, ia telah mewujudkan sebuah ruang bagi multiracial party dalam menentukan hala tuju politik Malaysia. Beliau beranggapan bahawa seperti ekonomi laissez-faire, sekiranya rakyat menolak maka ia tidak mungkin dapat direalisasikan maka begitulah nilai politik kaum dan agama ini.

 Lazimnya, politik perkauman ini dimainkan oleh pihak oposisi untuk meraih undi. Helen Ting (2019) beranggapan bahawa Dasar Integrasi Nasional dibawah rejim Barisan Nasional seakan menyokong kepelbagaian budaya namun kadang-kala ia bersifat asimilasi. (Multiculturalisme vs Assimilation) Beliau melihat perkongsian kuasa etnik sebagai modus operandi untuk mencapai matlamat mereka. Menurut Azhar Ibrahim (2019), beliau berpendapat bahawa ia adalah wajar seandainya isu tersebut menjaga hak mereka bersama, dan tidak wajar pula sekiranya ia hanyalah berhak untuk kelompok tertentu sahaja. Helen Ting (2019), turut berpendapat sama dengan beliau dengan menjelaskan bahawa etnisiti untuk mempertahankan kepentingan semua, sememangnya wajar. Namun sekiranya ia tidak dilihat dalam konteks yang lebih luas maka ia akan menjadi sebuah masalah. Hatta, beberapa langkah telah dikemukan serta dibincangkan melalui Forum “Naratif Malaysia: Masa Depan Politik Kaum dan Agama” iaitu dengan mengetengahkan naratif nasional yang inklusif.

Antara prinsip naratif yang diketengahkan adalah dengan berpegang pada konsep Malaysia adalah satu iaitu Malaysia adalah untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa, pendirian politik, dan status tanpa sebarang pengecualian. Demi mencapai negara yang harmoni yang terdiri daripada kepelbagaian etnisiti pula, kerajaan juga perlulah memastikan agar rakyat tidak ketinggalan dengan memberikan hak serta tanggungjawab yang sepenuhnya dan sama rata kepada mereka. Tambahan lagi, setiap masyarakat perlulah bersetuju untuk berkerjasama dan berganding bahu dalam menghadapi cabaran dunia bersama-sama demi negara Malaysia. Jika diteliti dengan lebih mendalam, ketiadaan etika moral merupakan faktor yang menjerumuskan masyarakat untuk berdepan dengan masalah politik kaum dan agama. Sehubungan dengan itu, amatlah penting untuk kita meneroka dan memahami faktor politik dan agama ini masih wujud dan bertahan sehingga kini.

Kesedaran mengenai isu ini adalah tidak seragam kerana setiap orang mempunyai pendapat yang berbeza dengan beranggapan bahawa mereka menjadi ancaman atau dipergunakan oleh pihak yang lain. Hal ini dapat dilihat apabila setiap masalah atau pertelagahan bukan politik semata seringkali dikaitkan dengan politik. Hakikatnya, diskriminasi yang berlaku dalam kalangan masyarakat itu adalah rendah namun persepsi individu yang kian menebal. Oleh yang demikian, amatlah penting untuk mewujudkan sebuah pendidikan mengenai perlembagaan semenjak berada di bangku sekolah lagi agar isu politik kaum dan agama ini tidak disalahgunakan. Politik kaum dan agama ini jarang dibicarakan pada tahun 60-an, namun kini, ia telah dibincangkan pada peringkat nasional. Justeru, kerajaan perlulah mengikhtiarkan dan mencari solusi dalam membendung dan menangani sifat perkauman yang kian menebal dalam diri rakyat di Malaysia.

Akhirulkalam, politik kaum dan agama ini sebenarnya menjadi tunggak dalam mencorakkan politik di negara Malaysia. Penulisan ini membawa kepada penghujahan sama ada politik dan agama masih relevan digunakan pada zaman modenisasi kini. Justeru itu, kerajaan perlulah mengurangkan politicking malahan seharusnya memfokuskan kepada policy-making untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik. Oleh yang demikian, kerajaan seharusnya memfokuskan dan memikirkan soal negara dan bukannya memfokuskan kepada kerencaman kaum semata-mata. Hal ini demikian kerana, menurut Nadzri Noor, sifat kerencaman dalam negara ini bukanlah suatu bentuk ancaman tetapi merupakan suatu hal yang saling melengkapi.

Rujukan

Sinar Harian. 2019.[https://www.sinarharian.com.my/article/16296/BERITA/Politik/Politik-kaum-punca-Cina-tolak-BN]

Laporan (II) Forum Naratif Malaysia: Masa Depan Politik Kaum dan Agama

Masyarakat Malaysia secara keseluruhannya, terlalu terikut dengan tradisi pemikiran yang telah disosialisasikan terhadap mereka dan sedikit daripada kita yang cukup berani untuk memecahkan tembok kebiasaan tersebut.

Oleh: Aida Zakiah Razak

Pada tanggal 23 Julai 2019, telah dianjurkan sebuah forum yang bertujuan untuk membincangkan isu berkaitan politik kaum dan agama di Malaysia pada masa kini. Isu ini merupakan isu sensasi terutamanya setelah Pakatan Harapan memegang tampuk pemerintahan melalui Pilihanraya Umum ke 14 yang lalu. Forum ini telah dianjurkan oleh Naratif Malaysia dan mengumpulkan individu-individu yang berkait rapat dengan politik daripada pelbagai bidang. Individu-individu yang dijemput adalah Encik Syahredzan Johan (Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri), Mak Kah Keong (Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia), Dr Azhar Ibrahim (Pensyarah NUS) dan Prof Madya Dr Helen Ting (Felo Kanan IKMAS, UKM). Forum ini telah menggariskan beberapa persoalan yang ingin dirungkaikan berkaitan politik kaum dan agama di Malaysia.

Persoalan 1 : Adakah perkembangan semasa politik kaum dan agama pasca PRU-14 ini sesuatu yang benar-benar baharu ataupun situasi ini sememangnya ketegangan yang lazim dalam sejarah politik Malaysia?

Bagi menjawab persoalan pertama, saudara Syahredzan telah menegaskan bahawa ia bukan isu yang baharu. Namun ia semakin hangat diperkatakan setelah pertukaran kuasa berlaku. Secara logiknya, semestinya wujud politik kaum dan agama jika parti politik sendiri menyatakan pendirian untuk memperjuangkan kaum dan agama tertentu sahaja. Walaupun terdapat parti politik yang telah menegaskan bahawa mereka bukanlah parti politik untuk satu-satu kaum sahaja, pengaruh latar belakang majoriti ahli di dalam parti tersebut akan memberi kesan kepada mereka yang baru ingin menyertai parti tersebut. Masyarakat Malaysia secara keseluruhannya, terlalu terikut dengan tradisi pemikiran yang telah disosialisasikan terhadap mereka dan sedikit daripada kita yang cukup berani untuk memecahkan tembok kebiasaan tersebut. Sebagai contoh, saudara Mak mengatakan bahawa parti gerakan bukanlah diwujudkan untuk kaum Cina sahaja tetapi apabila majoriti daripada ahli adalah dalam kalangan kaum Cina, kaum lain secara automatik menganggap pasti tersebut untuk kaum tersebut sahaja. Perkara ini bersangkutan juga dengan pandangan masyarakat terhadap mereka yang menjadi golongan minoriti di dalam parti yang didominasi sesuatu kaum. Golongan ini bakal menerima kecaman daripada kaum majoriti tersebut dan juga kaum mereka sendiri yang tidak menyokong dan berasa pelik dengan tindakan mereka. Jika pemikiran seperti ini berterusan, politik kaum dan agama akan terus menjadi kelaziman di Malaysia sekalipun pertukaran kerajaan berlaku berkali-kali.

Persoalan 2: Apakah punca kepada penerusan – ataupun peningkatan – politik kaum dan agama di negara ini?

Terdapat pelbagai punca yang digariskan oleh ahli-ahli panel. Namun terdapat beberapa punca yang pada pendapat saya paling memberi kesan kepada perkembangan politik kaum dan agama di Malaysia. Pertama sekali semestinya faktor media. Pelbagai kisah yang disampaikan menerusi semua platform media kebanyakkannya dibuat untuk mensensasikan sesuatu isu. Tidak kira sama ada untuk mendapatkan keuntungan atau secara suka-suka, maklumat yang diperolehi daripada media biasanya tidak begitu tepat. Laporan-laporan yang dikeluarkan biasanya berfokus kepada isu yang boleh ‘dijual’, bukannya kepada isu utama yang ingin diselesaikan. Isu-isu yang boleh ‘dijual’ ini pula berasal daripada perkara yang dianggap sensitif oleh masyarakat. Isu kaum dan agama sememangnya isu yang sensitif dalam masayarakat, oleh itu, segala isu politik juga disalingkait dengan isu kaum dan agama untuk mendapatkan manfaat tertentu. Sensitiviti terhadap kaum dan agama pula dapat dikaitkan dengan faktor pemahaman sejarah yang tidak tepat dan tidak mendalam dalam kalangan warganegara Malaysia. Rakyat Malaysia sering bersifat selfish dalam memahami susur galur sejarah negara. Setiap kaum lebih suka melihat kepada masalah dan perjuangan kaum sendiri sahaja. Ini menyebabkan sukar untuk menyatupadukan pemikiran dan mewujudkan sifat memahami dan menghargai usaha dan perjuangan kaum lain. Dua faktor ini pada pendapat saya menyumbang kepada sikap rasis dalam masyarakat Malaysia yang kemudiannya digunakan untuk membangkitkan isu politik kaum dan agama.

Persoalan 3: Sejauhmanakah politik kaum dan agama berupaya memecahkan projek negara-bangsa Malaysia?

Negara-bangsa Malaysia adalah satu impian untuk memiliki identiti nasional yang dikaitkan dengan seluruh rakyat Malaysia supaya memiliki rasa bersatu-padu walaupun memiliki perbezaan kaum dan agama. Menurut saudara Syahredzan, identiti nasional ini merupakan salah satu cara untuk meredakan politik kaum dan agama di Malaysia. Pada pendapat saya pula, pembinaan negara-bangsa Malaysia dan politik kaum dan agama adalah bersifat simultaneous antara keduanya. Oleh itu, memang benar politik kaum dan agama dapat menggagalkan projek pembinaan negara-bangsa Malaysia. Namun, menurut Dr Helen, isu berkaitan kaum dan agama ini boleh dilihat daripada tiga perspektif atau domain iaitu (1) domain awam – media, parlimen, demonstrasi; (2) interaksi peribadi / seharian -kawan, jiran; dan (3) domain institusi dan negara – dasar kerajaan, birokrasi, sistem pendidikan, undang-undang, pelembagaan. Dalam pembinaan negara-bangsa dan isu politik kaum dan agama, domain awam hanya akan membawa kepada lebih banyak kekeliruan. Oleh itu, sukar untuk domain awam menjadi wadah penyatuan rakyat Malaysia pada masa kini. Domain institusi dan negara pula penuh dengan penglibatan individu-individu berkepentingan yang ada antaranya tidak menginginkan penyatuan rakyat. Oleh itu, interaksi peribadi dan seharianlah yang dapat memberi gambaran jelas tentang realiti hubungan antara kaum dan agama di Malaysia. Sekiranya perubahan perlu dilakukan dalam pemikiran rakyat, di tahap inilah ia dapat dipupuk agar politik kaum dan agama dijalankan secara sihat seterusnya memungkinkan projek negara-bangsa Malaysia.

Persoalan 4: Bagaimana dapat kita membayangkan rupa bentuk teras negara Malaysia yang kita idam-idamkan di celah-celah politik kaum dan agama ini?

Seperti yang dikatakan oleh Dr Azhar, membela kaum dan agama sendiri adalah perlu dilakukan oleh setiap individu. Perkara ini juga disokong oleh Dr Helen yang mengutarakan tentang identiti kaum dan agama masing-masing yang menjadi tradisi sejak turun temurun. Namun perjuangan kaum dan agama ini perlu bertempat dan tidak bersifat berlebih-lebihan. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa sekiranya setiap rakyat bersikap rasional dalam isu kaum dan agama, politik kaum dan agama di Malaysia akan berlaku secara sihat seterusnya menyumbang kepada kemajuan dan pembentukkan negara ke arah yang diidamkan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Persoalan 5: Apakah jalan keluar daripada politik kaum dan agama ini?

Penyelesaian yang dicadangkan oleh ahli panel adalah berbeza-beza mengikut kepada perspektif yang dilihat berdasarkan profession masing-masing. Bagi pengamal politik seperti saudara Syahredzan dan saudara Mak, jalan keluar yang dicadangkan antaranya ialah:-

  1. Mewujudkan naratif nasional sebagai ganti naratif yang digunapakai kini.
  2. Kesedaran bahawa negara ini untuk semua rakyat tidak mengira kaum dan agama.
  3. Memegang teguh prinsip dan asas-asas dala perlembagaan persekutuan.
  4. Memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dan dipinggirkan.
  5. Menyedari kenyataan bahawa untuk negara meluaskan potensi memerlukan kerjasama semua pihak tidak mengira latar belakang.
  6. Mengenalpasti mengapa wujudnya ketegangan kaum.
  7. Memahami perasaan dan ketidakpuashatian yang dirasai oleh setiap kaum dan agama.
  8. Merealisasikan slogan-slogan yang dibina untuk membentuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagi ahli akademik seperti Dr Azhar dan Dr Helen pula, penyelesaian adalah lebih kearah sosialisasi dan pemahaman tentang budaya sendiri dan orang lain. Melalui pemahaman yang mendalam, setiap individu dapat meletakkan diri di tempat orang lain seterusnya dapat membuat penilaian yang lebih rasional dan logik dalam setiap isu. Pemahaman ini pula perlu diperturunkan melalui proses sosialisasi kepada para pelajar dan anak-anak yang bakal menerajui negara pada masa hadapan.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, bagi saya, forum ini mencapai matlamatnya untuk memberi peringatan tentang bahaya politik kaum dan agama yang tidak sihat terhadap negara dan juga melihat cara untuk menangani atau memanfaatkan politik kaum dan agama ini kearah pembangunan negara. Cadangan saya pada masa akan datang, sebagai tambahan kepada pengamal politik dan ahli akademik, pemikir-pemikir agama yang progressif daripada pelbagai agama juga boleh dijemput sebagai panel untuk membahaskan tentang isu ini dari perspektif mereka.

Laporan (I) Forum Naratif Malaysia: Masa Depan Politik Kaum dan Agama

Terutamanya selepas PRU-14, terdapat perubahan dan perkembangan baru di mana peningkatan secara beransuran berkaitan dengan isu sosial yang melibatkan kaum dan agama di perbincangan aras perdana.

Oleh: Jennifer Phun

Forum “Naratif Malaysia: Masa Depan Politik Kaum dan Agama” telah berlangsung secara lancarnya pada 23 Julai 2019 di Hotel Puri Pujangga, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ahli- ahli akademik dan politik yang terlibat (ahli panel)  merupakan ahli kepakaran dalam bidang masing-masing iaitu politik, kaum dan agama. Sejak kemerdekaan pada 1957, perkembangan Malaysia telah menghadapi pelbagai cabaran dari luaran dan dalaman. Terutamanya selepas PRU-14, terdapat perubahan dan perkembangan baru di mana peningkatan secara beransuran berkaitan dengan isu sosial yang melibatkan kaum dan agama di perbincangan aras perdana.     

Penceramah pertama merupakan Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri – Encik Syahrezan Johan. Dalam perbincangan beliau, GE-14 dapat memperolehi undian anak muda Malaysia menerusi isu yang lebih penting iaitu kos sara hidup dan pekerjaan selain isu keagamaan dan etnik manakala isu ‘Melayu hilang kuasa’ menjadi tumpuan utama semasa GE-13. Dengan perubahan parti baru yang memegang kuasa, ahli-ahli politik kini cuba mengambil ‘jalan’ Mesra Melayu untuk menunjukkan bahawa hak Melayu masih dititik berat oleh mereka. Walaupun cara ini dapat meringankan ketegangan kaum semasa, tetapi pada masa jangka yang panjang Negara Bangsa tidak dapat diwujudkan dan isu mengenai kaum serta keagamaan mungkin lebih serius sehingga menjadi isu utama untuk GE-15. Oleh itu, beliau mengemukakan beberapa penyelesaian untuk isu ini. Pertama sekali, prinsip negara untuk semua rakyat Malaysia tidak mengira agama, kaum dan status serta tiada pengecualian di mana warganegara seorang rakyat Malaysia tidak dipertikaikan. Kedua, prinsip perlembagaan Malaysia yang menyatakan hak asas untuk semua rakyat Malaysia dan kedudukan khas orang Melayu tidak dipersoalkan. Tambahan pula, tiada komuniti/kumpulan yang dipinggirkan dan merealisasikan potensi masyarakat untuk negara dalam menghadapi cabaran globalisasi.

Encik Syahrezan turut mengemukakan slogan ‘Kemakmuran Bersama’ dan ‘1 Malaysia’ untuk menekankan bahawa rakyat perlu merasai dan menghayati makna sebenarnya sebalik hanya melihat ia sebagai satu slogan daripada kerajaan. Selain itu, ketegangan kaum masih berlaku disebabkan parti pembangkang yang memegang akan terhadap isu kaum dan keagamaan lalu dapat memperolehi reaksi daripada pihak kerajaan serta pihak ketiga (media) yang merangsangkan isu tersebut. Justeru itu, isu ini masih merupakan salah satu isu nasional. 

Forum ini diteruskan dengan penceramah kedua – Encik Mak Kah Keong yang merupakan Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia. Dalam perbincangan beliau, masyarakat umum yang lazimnya menentukan hala tuju politik negara. Sebagai contoh, politik negara Malaysia serupa ekonomi laissez faire. Untuk lebih memahami struktur dan perkembangan parti politik dan isu perkauman di Malaysia, Encik Mak telah menyentuh tentang 13 Mei, di mana struktur pemerintahan dan politik Malaysia berasal dan berasaskan salah faham antara kaum. Beliau turut membandingkan cara pelaksanaan dan pentadbiran parti baru dengan parti lama lalu merumuskan bahawa terdapat persamaan iaitu prinsip kongsi sama dalam pentadbiran.

Penceramah ketiga merupakan pensyarah NUS – Dr. Azhar Ibrahim. Beliau melihat kepada tiga perkara iaitu gubahan Rukun Negara selepas merdeka pada tahun 1957, peranan intelektual Malaysia mengenai isu politik kaum dan keagamaan serta respons daripada agen kultural. Sehubungan dengan itu, Dr Azhar membincangkan bahawa kumpulan etnik wajar menjaga hak dan kebajikan tetapi jikalau hanya untuk kebajikan dan manfaat kumpulan tersendiri makalah tidak wajar kerana Malaysia merangkumi pelbagai etnik. Dalam lain kata, untuk berjaya dalam integrasi nasional, semua hak dan kebajikan etnik perlu dipertimbangkan dan dijaga. Tambahan pula, pihak atasan perlulah mendengar pandangan dan memahami keperluan rakyat; pada masa yang sama sentimen rakyat yang kuat perlulah ‘sembuh’ supaya pelaksanaan (pentadbiran) dapat lakukan. Beliau juga mengemukakan beberapa ahli tokoh terkenal yang kritikal terhadap status quo semasa iaitu Syed Hussein Alatas dan Colin Abraham bersamaan tokoh Usman Awang dan Chandra Muzaffar dari segi respons kultural. Konotasi kultural digunakan sebaliknya budaya kerana secara umumnya, ‘budaya’ memberi persepsi budaya tarian dan seni. Oleh itu, gerakan kultural merupakan segala yang tidak melibatkan politik. Jalan keluar yang dibincang melibatkan pendidikan kewarganegaraan di mana pihak yang bertanggungjawab dan terlibat memandangkan perkara pendidikan dengan serius, pertambahan projek kultural di mana peranan NGO dan institusi pendidikan tinggi dalam mengembangkan dan memelihara projek yang sedia ada serta memerlukan transformasi sosial yang lebih menyeluruh.

Penceramah terakhir untuk forum merupakan Prof. Madya Dr. Helen Ting, Felo Penyelidik IKMAS di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau memulakan presentasi dengan kerangka konsep etnik dan menyatakan mempertahankan etnik membawakan kebaikan namun jikalau hanya etnik tersebut sahaja maka tidak digalakkan. Seterusnya, komentasi ahli politik terhadap sekumpulan etnik secara langsung dan tidak langsung dapat mencetuskan reaksi yang positif dan negatif. Salah satu contoh yang diberikan adalah komentasi terhadap tarian singa kaum cina di mana, reaksi negatif diperolehi tetapi secara positifnya, penglibatan anak muda cina dalam tarian singa telah meningkat. Dr Helen mengemukakan tiga domain hubungan etnik iaitu institusi negara, domain awam dan interaksi peribadi. Tambahan pula, statistik dikemukakan mengenai persepsi terhadap diskriminasi antara kaum adalah lebih tinggi berbanding pengalaman diskriminasi yang dihadapi dalam kehidupan seharian. Malahan, kekurangan interaksi antara kaum bukan merupakan masalah yang besar dalam isu perkauman. Perkara 154 dan perkara 8 dalam perlembagaan turut disentuh oleh beliau untuk meneruskan perbincangan mengenai isu politik kaum dan agama di Malaysia kerana ketegangan etnik yang berlaku tidak hanya disebabkan oleh faktor ekonomi dan politik. Dalam kata lain, pengekalan identiti sekumpulan etnik merupakan salah satu faktor yang menyumbang dalam isu ini. Di samping itu, Dr Helen turut membincangkan mengenai dasar integrasi nasional yang kontradiksi di mana multikulturalism dan asimilasi dapat dilihat dalam masyarakat Malaysia. Selanjutnya, isu integrasi dalam kumpulan etnik sering kali dijadikan sebagai isu sebaliknya diakui bahawa integrasi antara kumpulan etnik telah/dapat dilakukan. Politik perkauman wujud dalam masyarakat namun untuk membina sebuah Negara Bangsa, ia perlu setanding dengan realiti rakyat Malaysia.

Sebelum mengakhiri forum, terdapat sesi perbincangan antara ahli panel dengan peserta di mana self-empowerment, fenomena sosial, mitos sosial dan usaha yang merentasi politik perlu dilaksanakan dan digubah untuk menangani isu politik kaum dan keagamaan di Malaysia dengan lebih baik. Pada pendapat saya, keunikan Malaysia merupakan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Lebih-lebih lagi, saya bersetuju dengan perbincangan mengenai jalan keluar yang dikemukakan oleh ahli-ahli panel antaranya, perlembagaan tidak difahami sepenuhnya oleh rakyat Malaysia termasuklah ahli intelek dan ahli politik serta pelaksanaan serius dalam pendidikan kewarganegaraan kepada generasi muda supaya isu politik kaum dan keagamaan dapat ‘diselesaikan’ dengan baik. Pendek kata, semua institusi- kerajaan, swasta, awam, kultural dan individu perlulah lebih tegas dan memainkan peranannya dalam menangani isu politik kaum dan keagamaan di Malaysia.

Daim dan Homo Economicus: Suatu Bacaan Intim terhadap Teks “Naratif Malaysia”

Konteks yang melatari kelahiran teks Tun Daim ini menjadi keprihatinan beliau untuk mengajukan pandangan-pandangan yang bukan sahaja mencabar minda Melayu tapi turut mengundang jawapan balas.

Pendahuluan

Tulisan saya ini merupakan sebuah kritik terhadap teks Tun Daim Zainuddin yang beliau sampaikan di Seminar Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional pada 19 Mac 2019 bertempat di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor. Terdapat dua teks yang menjadi rujukan saya. Satu, teks ucaptama Tun Daim yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan dan kedua, teks transkripsi penuh sesi soal-jawab bersama Tun Daim selepas habis ucaptama beliau. Kedua-dua teks ini boleh diperolehi di laman rasmi Naratif Malaysia di alamat http://naratifmalaysia.com.

Kritik yang saya lakukan ini adalah melalui kaedah yang dipanggil bacaan intim. 

Teks dan Konteks

Membaca teks secara intim adalah antara kaedah yang boleh digunakan untuk menggali pemikiran seseorang tokoh. Tapi teks tanpa konteks adalah penyembunyian. Menyembunyikan latar, keadaan, suasana, peristiwa yang melahirkan teks tersebut. Penyembunyian ini akan mencacatkan tafsiran dan pemahaman yang lebih jitu terhadap teks kerana teks tidak lahir dalam hampawa.

Begitu juga halnya dengan teks daripada Tun Daim yang muncul bukan dari hampawa tapi ada konteks yang melatarinya. Justeru, soalan yang selanjutnya ialah apa konteksnya?

Konteks, kadangkala boleh ditemui di dalam teks itu sendiri dan menjadi tugas penyelidik kemudiannya untuk memetakan penemuan tersebut dengan suasana, keadaan dan peristiwa di luar teks. Pada masa yang sama konteks mungkin saja tidak ditemui di dalam teks tapi memerlukan penelitian terhadap suasana yang sedang berlaku di dalam tempoh masa teks itu dihasilkan.

Di awal teks ucapan Tun Daim, beliau sudah pun memberikan tanda yang jelas dengan ayat – “untuk memahami iklim politik semasa kita pada hari ini”.

Tentunya ini merujuk kepada suasana politik yang sedang berlaku sekarang.

Tun Daim tidak memperincikan dengan jelas apa yang beliau maksudkan dengan “iklim politik semasa pada hari ini” kecuali dengan merujuk pertamanya kepada peristiwa kemarahan orang Melayu terhadap pelantikan bukan Melayu ke jawatan-jawatan tinggi dalam kerajaan dan keduanya, peristiwa beberapa individu yang menghantar mesej berupa penghinaan terhadap nabi Muhammad.

Tapi rujukan Tun Daim terhadap dua peristiwa tersebut adalah lebih sebagai kaedah untuk mengkritik-balas orang Melayu dan orang Islam yang dianggap oleh beliau mudah merasa marah dan terancam sedangkan menurut Tun Daim, “tiada kemarahan yang sama ditunjukkan apabila berhadapan dengan pemimpin Melayu yang terlibat dalam rasuah dan kleptokrasi”  dan hakikat bahawa “agama tidak mungkin terhina, hanya manusia yang merasa terhina”.

Melayu Terancam

Dan tema rasa terancam dan rasa tidak selamat Melayu inilah yang menjadi konteks serta latar kepada teks Tun Daim. Pasca PRU14 yang lepas telah memperlihatkan kebangkitan politik identiti khususnya di kalangan orang Melayu dan Islam.

Peluahan rasa keterancaman dan tidak selamat itu dicerminkan dengan pelbagai cara – petisyen yang menolak UiTM dari dibuka kepada bukan bumiputera misalnya mencecah ratusan ribu sokongan hanya dalam tempoh 24 jam. Begitu juga dengan puluhan ribu orang Melayu dan Islam dari seluruh Malaysia yang turun ke jalan dalam demonstrasi anti-ICERD adalah antara contoh manifestasi rasa keterancaman dan tidak selamat. Beralihnya sokongan orang Melayu khususnya dalam PRK Semenyih yang baru lepas turut memberi latar dan konteks kepada teks Tun Daim.

Konteks rasa keterancaman Melayu yang dimanifestasikan oleh tindakan-tindakan politik mereka baik secara individu atau kolektif melalui parti politik dan pertubuhan masyarakat sivil menjadi latar utama kepada teks Tun Daim ini kerana berulangkali Tun Daim membuat penegasan melalui ayat berbentuk kata suruhan supaya orang Melayu “jangan takut”.

Audien Sasaran Teks

Dari konteks politik identiti yang memanas pada hari ini dan rasa keterancaman Melayu yang wujud dalam masyarakat, jelas kepada kita sasaran audien utama Tun Daim adalah orang Melayu. Malahan istilah “Melayu” itu sendiri disebut sebanyak 174 kali berbanding dengan istilah “Malaysia” yang hanya disebut sebanyak 43 kali sahaja.

Audien Sasarannya Melayu Teksnya Bahasa Inggeris

Tapi ironinya ialah teks ucapan beliau itu dibuat di dalam Bahasa Inggeris. Walaupun sasaran audiennya adalah orang Melayu tapi bahasa yang digunakan adalah bahasa Inggeris sehingga mengundang cemuhan di ruang komen facebook. Namun begitu mujurnya sesi soal-jawab adalah dalam bahasa kebangsaan.

Andaian yang boleh dibuat tentang kenapa teks ucapan beliau itu dibuat dalam bahasa Inggeris ialah mungkin kerana acara tersebut diadakan di universiti yang dianggap sebagai ruang terpelajar dan tiada masalah untuk mereka memahami Bahasa Inggeris. Jika ini yang menjadi sebab, apa yang boleh dirumuskan ialah terdapatnya ketidakyakinan di dalam pemikiran Tun Daim khususnya dan elit-elit Melayu lainnya tentang keupayaan bahasa kebangsaan kita sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan bahasa wacana tingkat tinggi.

Agak malang jika Tun Daim berfikiran sebegitu kerana teks di dalam bahasa Inggeris tersebut telah pun diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan dengan agak mudah. Ini memberi makna tiada keperluan sebenarnya untuk berucap di dalam bahasa Inggeris kerana teksnya boleh sahaja ditulis dalam bahasa kebangsaan. Malahan pula hampir semua peserta seminar yang datang mendengar adalah orang Malaysia.

Menggunakan bahasa Inggeris dari sudut strateginya pula tentulah tidak tepat kerana sasaran audien teks itu ditujukan kepada orang Melayu. Malahan penggunaan bahasa Inggeris kemungkinan besar telah menyebabkan capaian khalayaknya juga terhad hanya kepada mereka yang berbahasa Inggeris sahaja berbanding jika Tun Daim menggunakan bahasa kebangsaan.

Pemilihan bahasa itu sendiri adalah cerminan kepada pemikiran dan sikap elit-elit Melayu yang memandang rendah terhadap keupayaan bahasa kebangsaan kita sendiri.

Kerana itu juga tidak menghairankan jika sekiranya tumpuan utama teks Tun Daim ini adalah berkaitan dengan hal-hal yang bersifat ekonomi dan material manakala hal-hal yang bersifat perasaan, budaya, bahasa, keperibadian dan identiti kebangsaan langsung tidak disentuh oleh beliau.

Ekonomi Sebagai Pusat Naratif Utama Tun Daim

Pusat kepada naratif Malaysia Tun Daim sebahagian besarnya terfokus kepada ekonomi. Secara khususnya perniagaan. Membaca teks penuh Tun Daim dan juga transkripsi soal-jawab bersama beliau menemukan kita dengan perkataan ‘niaga’ dan ‘dagang’ sebanyak 82 kali iaitu 73 kali kata ‘niaga’ dan 9 kali kata ‘dagang’. Perkataan ‘ekonomi’ pula sebanyak 27 kali. Manakala kata ‘akal’ disebut sebanyak 14 kali.

Jumlah kata yang dikutip ini bukan hanya sekadar nombor tapi juga adalah cerminan permikiran seorang Tun Daim Zainuddin. Ini mungkin kerana sejarah hidup beliau sendiri yang puluhan tahun terlibat dalam perniagaan. Malahan apabila beliau dilantik menjadi Menteri penuh pada tahun 1984 oleh Tun Mahathir, portfolio yang dipegangnya juga adalah di Kementerian Kewangan.

Namun begitu persoalan ekonomi dan perniagaan yang menjadi pusat kepada naratif Malaysia Tun Daim in adalah khusus ditujukan kepada orang Melayu.

Melayu Bangsa Emosi

Di sebalik penyenaraian tokoh-tokoh Melayu yang berjaya, terselit kerisauan dan kegusaran Tun Daim terhadap tingkahlaku, kecenderungan dan sikap Melayu yang dianggap oleh Daim mudah “marah”, “sensitif”, “mencari salah orang lain”, “mengkambing-hitamkan yang lain”, “cepat mengamok”, “berfikir dengan emosi”. Perkataan “emosi” sahaja sebanyak 6 kali disebut oleh Tun Daim dalam memperihalkan keperibadian Melayu.

Penggunaan istilah-istilah kata sifat dan kata kerja yang kemudiannya digunakan untuk mencirikan Melayu, terasa seolah-olah seperti membaca buku-buku tulisan pentadbir kolonial – Winstedt, Swettenham, Wilkinson, Raffles, Skeat, Maxwell dan seumpamanya – yang cenderung melakukan pemerihalan berbentuk pukul-rata, memperkecil dan memperemeh Melayu hanya kepada objek jajahan yang perlu diatur, ditertibkan dan ditamadunkan.

Kalau sekiranya kaedah pukul-rata, memperkecil dan memperemeh Melayu digunakan oleh penjajah sebagai alat penundukan dan kekuasaan yang memberikan mereka semacam justifikasi moral untuk menjajah, teks Tun Daim pula menggunakan kaedah yang sama sebagai suatu bentuk strategi retorika untuk membuat gesaan yang selanjutnya supaya orang Melayu tidak lagi menurut emosi sebaliknya menggunakan akal, logik dan fikiran rasional.

Perniagaan Aktiviti Paling Logikal

Dan buat Tun Daim tidak ada aktiviti yang lebih tinggi penggunaan akal, logik dan rasional kecuali dalam bidang perniagaan sehinggakan beliau menyarankan supaya sebelum seseorang itu menyertai politik, bidang perniagaan adalah sekolah terbaik buat seorang politikus kerana “selepas itu dia akan boleh berfikir secara logik”.

Bagi Tun Daim soal kemungkinan berlakunya konflik kepentingan buat seorang ahli perniagaan yang menceburi bidang politik tidak timbul. Mungkin Tun Daim melihat pengalaman dirinya – seorang peniaga yang berjaya yang kemudiannya menceburi bidang politik sebagai contoh yang perlu diikuti. Tapi apakah Tun Daim bersih dari sebarang konflik kepentingan dan tidak pernah menggunakan kedudukannya sebagai ahli politik untuk meraih kepentingan perniagaan sama ada buat dirinya atau pun jaringan perniagaannya – hanya beliau sendiri yang boleh menjawab.

Dalam keghairahan Tun Daim menyarankan rakyat Malaysia “supaya berjaya dahulu dalam bidang perniagaan sebelum menceburi politik” kerana seorang peniaga yang berjaya bagi beliau akan senantiasa berfikir secara logik, rasional dan tidak emosional, mungkin beliau terlepas pandang tentang sosok Donald Trump seorang ahli perniagaan berjaya yang kini menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Nilai Kejayaan

Dan nilai kejayaan bagi Tun Daim diukur melalui kepemilikan material iaitu kaya. Matlamat akhir kejayaan bagi Tun Daim adalah untuk menjadi kaya seperti mana yang beliau nyatakan:

Anda hendak bermain bola pun, mainlah. Tapi mesti jadi nombor satu. Jadilah macam Messi, Ronaldo. Baru kaya. Anda hendak bermain tennis, mainlah. Tapi akhirnya jadilah macam Nadal, Federer. Kaya. Itu yang kita mahu. Hendak menjadi penyanyi pun tidak mengapa – orang Melayu, orang Cina semua – nyanyilah. Asalkan akhirnya menjadi kaya. Tapi kejayaan yang penting dahulu. Setiap perkara yang kita mahu lakukan, mesti berjaya terlebih dahulu. Kejayaan akan membawa kekayaan.”

Dan istilah “kaya/kekayaan” disebut sebanyak 21 kali dalam teks Tun Daim ini.

Tentunya tidak salah untuk sesiapa pun yang bercita-cita mahu menjadi kaya. Sistem kapitalisme yang beroperasi di dalam kehidupan kita pada hari ini sangat berpengaruh dalam membentuk berahi dan keinginan untuk menjadi kaya. Namun begitu persoalannya bukan tentang cita-cita mahu menjadi kaya tetapi bagaimana kekayaan itu diperolehi? Inilah yang tidak diperincikan oleh Tun Daim.

Bagaimana dengan kekayaan yang diperolehi melalui jalan rasuah dan penipuan? Bagaimana dengan kekayaan yang diperolehi  melalui eksploitasi pekerja yang dibayar gaji murah dan dilayan secara tidak manusiawi? Bagaimana kekayaan yang diperolehi dengan cara memperhambakan buruh-buruh migran? Bagaimana kekayaan yang diperolehi melalui pencemaran dan pemusnahan alam sekitar? Bagaimana dengan kekayaan yang diperolehi melalui persaingan yang tidak adil? Bagaimana kekayaan yang diperolehi dengan bantuan “tongkat”? Bagaimana pula kekayaan yang diperolehi dengan menggunakan kedudukan, jaringan dan hubungan politik untuk mendapatkan projek dan kontrak? 

Ini semua nampaknya tidak mendapat jawapan yang jelas dan tuntas dalam naratif Malaysia Tun Daim, sekurang-kurangnya dari apa yang dibekalkan oleh teks beliau itu.

Melayu dan Tongkat

Memang teks beliau mengkritik pemberian keistimewaan kepada orang Melayu yang beliau istilahkan sebagai “tongkat” yang telah menjadi alat membatasi keupayaan orang Melayu untuk bersaing, sehinggakan wujud kebergantungan terhadap “tongkat” tersebut. Malahan Tun Daim melihat pemberian tongkat ini menjadikan orang Melayu semakin berasa tidak selamat.

Kemenangan Tanpa Tongkat

Beliau memetik sejarah penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union 1946 sebagai suatu peristiwa kemenangan besar yang diperolehi tanpa bantuan “tongkat”.

Dan selanjutnya beliau mengajukan soalan retorik – “Apakah kerana ketika kita tidak dibekalkan dengan ‘tongkat’, maka kita punya maruah dan harga diri, dan ini menjadikan orang Melayu merasakan kedudukan mereka lebih selamat di dalam negara ini?

Pertanyaan ini tentunya bersifat retorikal. Ini adalah kerana penentangan terhadap Malayan Union pada tahun 1946 itu faktanya bukan kerana orang Melayu rasa selamat, tetapi ianya lahir daripada rasa tidak selamat khususnya berhubung dengan soal pemberian kewarganegaraan berdasarkan jus soli kepada bukan Melayu.

Mengulang Sejarah UMNO

Malahan memetik sejarah penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union mengukuhkan lagi naratif sakral UMNO ini. Tidak dinafikan bahawa Malayan Union 1946 adalah detik penting dalam sejarah UMNO. Tapi sejarah UMNO bukanlah satu-satunya sejarah bangsa Melayu. Sejarah UMNO hanya sebahagian daripada gerakan nasionalisme Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan.

Mengangkat penentangan terhadap Malayan Union oleh orang Melayu yang berpayung di bawah UMNO tentunya wajar sahaja tapi jangan sampai mengetepikan sejarah perjuangan kemerdekaan oleh kumpulan-kumpulan nasionalis Melayu yang lain seperti KMM, PKMM, API, AWAS, SEDAR, BATAS, PKM, Hizbul Muslimin, PAS, Kesatuan-Kesatuan Sekerja dan organisasi-organisasi Melayu serta bukan Melayu yang lain yang turut menyumbang kepada kemerdekaan negara kita.

Naratif Sejarah Terpilih

Begitu juga dengan naratif kegemilangan kerajaan Melaka yang Tun Daim gunakan untuk menunjukkan betapa orang Melayu “pandai berniaga” dahulunya sebelum dipinggirkan melalui penjajahan, telah diambil secara tidak kritis. Naratif kegemilangan Melaka ini adalah artifak budaya yang sering digunakan oleh nasionalis Melayu secara terpilih dan tersaring. Hanya yang gilang-gemilang sahaja yang ditonjolkan. Sedangkan sisi-sisi kekejaman feudal, korupsi dan rasuah jarang diketengahkan.

Mungkin tidak ramai yang tahu betapa amalan rasuah yang dipanggil dengan istilah “sorong” sudah pun wujud dalam teks Sulalatus Salatin (yang dinamakan secara salah oleh Raffles sebagai Sejarah Melayu) – sebuah manuskrip tahun 1612. Dan perbuatan “menyorong” ini melibatkan persekongkolan di antara golongan saudagar/peniaga dan elit kepimpinan tertinggi Melayu di Melaka.

Hal-hal yang sebeginilah yang menyebabkan pemerihalan sejarah dalam teks Tun Daim ini terasa seperti naratif sejarah UMNO yang biasa kita baca dan dengar.

Namun begitu, Tun Daim sedikit melangkaui naratif sejarah UMNO apabila beliau mengajukan naratif sejarah kerajaan-kerajaan Melayu sebelum Islam yang beragama Hindu sebagai sebahagian daripada sejarah bangsa Melayu.

Tujuan Teks

Sejarah menjadi sarana penting buat Tun Daim untuk menyampaikan mesej dan tujuan utama teks beliau, iaitu – “Melayu, jangan takut”.

Di dalam teks, Tun Daim berulang-ulang kali membuat seruan supaya orang Melayu jangan berasa takut. Untuk meyakinkan orang Melayu, sejarah menjadi sarana utama beliau. Kalau kegemilangan Melaka diangkat sebagai bukti bahawa Melayu dahulu pernah “pandai berniaga”, tokoh-tokoh sejarah silam dan kontemporari yang Tun Daim istilahkan sebagai ‘hero’ diangkat pula untuk meyakinkan Melayu bahawa mereka juga mampu untuk berjaya.

Hero-Hero Melayu

Seramai 21 orang hero Melayu Johor, lelaki dan perempuan disebut oleh Tun Daim dalam teks beliau itu. Hero-hero Melayu ini adalah nama-nama ulung yang telah menyumbangkan bakti dan jasa besar terhadap negara. Dengan membariskan tokoh-tokoh besar dari bangsa Melayu ini, Tun Daim mengharapkan ianya akan memberi inspirasi kepada orang Melayu yang lain bahawa mereka juga mampu untuk berjaya seperti mana tokoh-tokoh tersebut.

Setelah menyenaraikan nama-nama hero Melayu, lelaki dan perempuan, berserta kejayaan-kejayaan yang telah mereka capai dan sumbangkan kepada bangsa dan negara, Tun Daim sekali lagi mengemukakan soalan retorik – “kenapa perlu kita merasa tidak selamat sedangkan kita mempunyai legasi kejayaan Melayu seperti yang telah saya bentangkan di atas?” 

Hero Melayu Kelas Bangsawan

Membuat penelitian kritis ke atas nama-nama hero Melayu yang disenaraikan oleh Tun Daim itu satu rumusan umum yang boleh dibuat ialah mereka semua berjaya sebahagiannya adalah kerana dibantu oleh kedudukan keluarga mereka di dalam struktur sosial yang wujud dalam masyarakat Melayu. Dengan kata yang lebih mudah – kedudukan mereka sebagai keluarga dari kelas bangsawan dan kelas menegah sedikit-sebanyak pasti membantu mereka untuk berjaya dan mencapai kedudukan seperti mana yang diperikan oleh Tun Daim.

Dari sini, tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa dalam menyenaraikan hero-hero Melayu ini, Tun Daim kurang mempertimbangkan faktor struktur sosial yang turut mempengaruhi kejayaan mereka. Begitu juga perkahwinan yang berlaku antara sesama kelas bangsawan ini seperti mana yang diceritakan oleh Tun Daim sendiri turut memperkukuhkan struktur kelas dalam masyarakat Melayu.

Justeru, kejayaan hero-hero Melayu ini tidak dinafikan tentu juga hasil daripada usaha dan kebolehan individu yang mereka punyai, tetapi kita tidak boleh menolak faktor kelas, jaringan atau modal sosial yang mereka miliki hasil daripada kedudukan mereka di dalam kelas tersebut turut sama membantu mereka mencapai kejayaan.

Kapitalisme Tanpa Kritik

Pemfokusan kepada pencapaian individu tanpa mempertimbangkan struktur sosial yang wujud dalam masyarakat cenderung melahirkan analisa yang kurang menyeluruh dan tidak memberikan gambaran yang lebih adil.

Persoalan struktur ini hampir tidak disentuh oleh Tun Daim. Malahan daripada teks, beliau menerima sepenuhnya kesenjangan atau ketaksamaan yang terhasil daripada sistem ekonomi kapitalisme bila beliau menyatakan:

Yang kaya, tetap kaya. Yang miskin, masih miskin. Dalam masyarakat kapitalis keadaan ini memang akan berlaku. Ianya tidak boleh dielakkan melainkan kita mahu menukar sistem kita kepada komunisme. Di dalam sistem ekonomi pasaran bebas sesiapa yang berjaya akan menjadi kaya. Jadi, dalam sistem sebegini, pekerja akan masih menjadi pekerja. Kesenjangan dalam masyarakat akan menjadi lebih luas. Dalam sistem kapitalis satu dunia sebegitu.”

Dasar Ekonomi Baru Adalah Masalah Perlaksanaan

Untuk menangani masalah kesenjangan atau ketaksamaan antara kaya dan miskin ini, penyelesaian yang ditawarkan oleh Tun Daim sebenarnya tetap sama dengan regim Barisan Nasional sebelumnya iaitu melalui tindakan afirmatif – Dasar Ekonomi Baru. Merujuk kepada masalah kesenjangan yang wujud dalam masyarakat Tun Daim menyatakan:

Kerana itulah kita perkenalkan Dasar Ekonomi Baru untuk menolong mereka yang kurang bernasib baik. Membantu mereka yang miskin. Bukan hanya orang Melayu sahaja yang miskin – orang Cina, India, Dayak, Dusun, Kadazan dan dalam semua komuniti akan ada mereka yang masih miskin. Yang kaya, terus kaya. Yang miskin, terus miskin. Kita mahu mengurangkan jurang antara yang kaya dan yang miskin ini. Itu tujuan kita.

Buat Tun Daim Dasar Ekonomi Baru bukanlah suatu masalah. Yang bermasalah adalah perlaksanaannya dan juga cara bagaimana ianya diagihkan. Sepertimana yang dinyatakan beliau di dalam teks:

Dasar Ekonomi Baru itu sememangnya adalah suatu mekanisme yang bagus. Yang menjadi masalahnya ialah perlaksanaan. Yang gagal itu perlaksanaan dasar tersebut. Dulu, perlaksanaannya memberi keutamaan kepada orang UMNO. Kalau ada orang UMNO yang datang meminta (projek), maka diberi kepada mereka. Sama ada mereka itu boleh membuat kerja atau tidak boleh membuat kerja – ianya tidak dpedulikan. Yang penting ialah dari pemberian tersebut, sokongan politik akan diperolehi. Melalui jalan lobi-melobi politik, maka mereka pun mendapat projek. Tapi sekarang kita nyatakan – kalau hendak pertolongan atau bantuan daripada kerajaan, pertamanya mesti dikenalpasti terlebih dahulu perniagaan apa yang ingin dilakukan. Selepas itu kita mahu melihat cash flow atau aliran tunai daripada perniagaan yang ingin dijalankan itu. Perniagaan itu mesti jelas aliran tunainya.”

Penyelesaian kepada perlaksanaan DEB yang gagal kerana dulunya ia dijadikan alat untuk meraih sokongan politik, kini cara untuk memperbetulkannya menurut Tun Daim hanyalah dengan menghentikan agihan berbentuk politik, mengenalpasti jenis perniagaan yang sesuai dan penyediaan pelan aliran tunai yang lengkap. Mudah sungguh.

Kemungkinan mekanisme penyelesaiannya jauh lebih rumit daripada apa yang dinyatakan oleh Tun Daim di atas. Dan tentu saja Tun Daim sebagai ahli perniagaan dan bekas Menteri Kewangan Malaysia yang berjaya jauh lebih tahu bagaimana untuk mengatasi masalah kegagalan perlaksanaan DEB.

Pembinaan Bangsa Sebagai Bingkai Besar

Justeru, kritik saya bukanlah tentang cara yang kelihatannya terlalu mudah itu tetapi lebih kepada melihat bingkai permasalahan yang lebih besar iaitu persoalan nasional yang merangkumi pembinaan negara-bangsa Malaysia yang terhambat oleh struktur ekonomi mengikut garis kaum. Kerangka tujuan keseluruhan DEB yang ramai terlepas pandang ialah tentang pembinaan negara bangsa dan perpaduan nasional.

Teks Tun Daim sepertimana yang telah saya bentangkan di atas lebih memfokuskan kepada persoalan ekonomi, perniagaan, rasa tidak selamat Melayu dan bagaimana untuk melahirkan Melayu yang lebih yakin diri dan mampu bersaing. Hampir tidak ada perbahasan tentang pembinaan bangsa dan perpaduan nasional. Walau pun Tun Daim menyentuh tentang DEB tetapi kelihatannya matlamat besar DEB yang merangkumi persoalan pembinaan bangsa dan perpaduan nasional tidak menjadi fokus kepada naratif Malaysia Tun Daim.

Andaian saya kemungkinan besar pihak penganjur Seminar Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional, telah pun menetapkan bingkai yang khusus untuk dibentangkan oleh Tun Daim dan kerana itu persoalan membina bangsa dan perpaduan nasional tidak menjadi subjek utama dalam teks Tun Daim.

Struktur Kaum Dalam Ekonomi Malaysia

Namun begitu di dalam membincangkan tentang Melayu dalam persoalan ekonomi nasional kita tidak dapat lari daripada membahaskan struktur ekonomi Malaysia yang umumnya masih berdasarkan kepada kaum.

Struktur kaum ini turut disentuh oleh Tun Daim bila beliau menghuraikan tentang perniagaan Cina:

Dan dalam perniagaan, mereka akan bangunkan pertubuhan atau kesatuan perniagaan seperti dewan perniagaan atau business chambers. Fungsinya adalah untuk menolong antara satu sama lain. Kalau orang Hokkien, mereka ada persatuan perniagaan mereka sendiri dan jenis perniagaan yang tertentu yang menjadi tumpuan mereka. Kalau orang Teochew akan ada persatuan dan perniagaannya yang khusus. Begitulah juga dengan orang Kantonis. Masing-masing ada persatuan dan perniagaan khusus mereka. Tapi di dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan bersama yang memerlukan sokongan semua bangsa Cina, mereka bersatu di bawah Dewan Perniagaan Cina atau Chinese Chambers of Commerce. Ini yang penting.

Tun Daim pastinya mengetahui dengan lebih mendalam bagaimana perniagaan Cina bergerak. Dari teks ini juga boleh dikutip bahawa Tun Daim menginginkan sikap dan cara yang sama turut ada pada orang Melayu. Ayat – “ini yang penting” di baris terakhir itu jelas ditujukan kepada orang Melayu, yang sebelumnya Tun Daim kritik sebagai berperangai seperti “ketam kalau ada yang berjaya naik ke peringkat yang lebih tinggi, ketam-ketam yang lain akan menariknya turun ke bawah.”

Jika, sekiranya ini yang dimahukan oleh Tun Daim – peniaga Melayu bersatu di bawah satu Dewan Perniagaan yang akan mempertahankan, melindungi dan memperjuangkan kepentingan ekonomi kaum mereka seperti mana cara peniaga Cina beroperasi – bukankah ini hanya akan mengukuhkan lagi struktur masyarakat yang terpisah-pisah mengikut garis kaum, agama dan bahasa?

Proses sejarah kolonial yang kita lalui berabad lamanya telah menjadikan struktur masyarakat Malaysia terpisah-pisah mengikut garis kaum. Daripada tadika, sekolah, institusi pengajian tinggi hinggalah ke kawasan penempatan, persatuan-persatuan masyarakat dan parti-parti politik, terdapat pemisahan kaum yang ketara.

Akan tetapi pemisahan yang lebih mempengaruhi hubungan antara kaum ialah pemisahan ekonomi apabila wujudnya syarikat-syarikat, persatuan-persatuan dan dewan-dewan perniagaan yang mewakili kepentingan kaumnya sahaja.

Asas kepada kehidupan manusia adalah aktiviti ekonomi. Tapi jika ruang ekonomi yang merupakan ruang asas untuk manusia mencari makan dan meneruskan kelangsungan (survival) hidupnya itu dipisah-pisahkan mengikut kaum, apa yang akan berlaku ialah persaingan dan perebutan sumber-sumber ekonomi akan turut juga mengikut garis kaum.

Persaingan dan perebutan ini tidak nampak ketara jika sekira sumber ekonominya mencukupi buat semua. Ia wujud tapi terpendam. Oleh kerana sumber-sumber ekonomi masih mencukupi maka keterpendaman itu tidak dimanifestasikan. Namun apabila sumber-sumber ekonomi semakin kurang, dengan wujudnya struktur ekonomi yang terpisah-pisah mengikut kaum, keterpendaman yang akan muncul di permukaan mungkin dalam bentuk konflik perkauman dan ianya akan mudah pula dipicu melalui aparatus politik.

Jika bangunan asas atau tapak kepada sebuah rumah itu terpisah mengikut kaum, maka dinding dan atap rumah juga akan turut mengikut garis kaum.

Justeru, bukankah dengan saranan daripada Tun Daim supaya orang Melayu bergerak di dalam perniagaan seperti mana orang Cina bergerak – ianya akan mengental dan mengeraskan identiti kaum masing-masing khususnya apabila pertembungan dan persaingan itu berlaku di ruang ekonomi yang merupakan ruang kelangsungan (survival) hidup? 

Membina Bangsa Malaysia

Mungkin permasalahan struktur ekonomi Malaysia yang terpisah mengikut kaum melalui kewujudan syarikat-syarikat perdagangan, persatuan-persatuan ekonomi, pertubuhan-pertubuhan dan dewan-dewan perniagaan mengikut kaum ini lebih strategik jika dibingkaikan bukan dari kaca mata ekonomi tetapi yang lebih penting dari perspektif pembinaan Bangsa Malaysia.

Dan pembinaan Bangsa Malaysia ini tidak memerlukan untuk kita menghilangkan identiti kaum masing-masing tetapi mencari suatu kesepakatan bersama untuk mengenalpasti unsur-unsur terangkum yang boleh kita jadikan semacam pengikat kepada sebuah identiti kebangsaan Malaysia supaya intensiti perkauman dapat dilunakkan dan rasa kebangsaan Malaysia dapat diperkukuhkan.

Persoalan-persoalan inilah pada hemat saya tidak diberi tumpuan oleh teks Tun Daim walaupun tema besar seminar ini adalah tentang naratif Malaysia. Dan naratif Malaysia tentunya tak dapat menghindari persoalan-persoalan yang berkaitan dengan pembinaan bangsa.

Diam Adalah Teks

Membaca teks secara intim bukan hanya menumpukan kepada apa yang diucapkan di dalam teks. Tetapi turut menjadi analisa ialah apa yang tidak diucapkan atau apa yang didiamkan. Yang tidak ada dalam teks adalah suatu bentuk tanda diam. Tapi diam tidak semestinya tiada makna. Diam adalah juga suatu manifestasi sebuah pemikiran khususnya apabila wujud soalan tetapi tiada jawapan yang diberikan.

Di bahagian akhir teks Tun Daim, terdapat satu soalan yang tidak dijawab beliau. Soalan yang dikemukakan oleh salah seorang dari peserta Seminar Naratif Malaysia ini memang boleh ditafsirkan sebagai soalan tempatan – yang bermaksud soalan berkenaan hal yang terjadi khas di Johor. Justeru itu, yang menjawabnya ialah Dato’Osman Sapian bukan Tun Daim.

Menamakan Ruang

Namun jika diteliti inti yang terkandung dalam soalan tersebut ia jelas merupakan suatu persoalan nasional. Bukan hanya persoalan khas negeri Johor. Persoalan yang diangkat oleh peserta tersebut sebahagiannya adalah menyentuh tentang identiti, rupa-bentuk, wajah dan keperibadian yang bagaimanakah yang seharusnya diangkat dan ditampilkan kepada khalayak awam. Terpendam di bawah soalan ini bukan hanya tentang kegusaran ekonomi tetapi juga kegusaran tentang budaya, bahasa dan identiti nasional.

Inti kepada soalan tersebut adalah tentang mengubah nama ruang. Peserta yang bernama Ahmad Yazid Bin Ramli daripada Kluang mengajukan soalan seperti berikut:

Saya agak terkesan dengan apa yang berlaku di bandar Kluang atas sebab penjenamaan semula Pekan Rabu Kluang kepada Kluang Junction. Sedangkan Pekan Rabu adalah satu branding bangunan perniagaan bumiputera yang kita kenal sepertimana Pekan Rabu Alor Setar, Pasar Payang, Pasar Besar Siti Khadijah. Kita gunakan nama dagangan tersebut sebagai Pekan Rabu di Kluang dan dijadikan manifesto pada PRU13 dan sekarang bangunan Pekan Rabu itu telah ditukar namanya kepada Kluang Junction dan dimasuki tycoon perniagaan yang kita kenali sebagail Songmart, yang dimiliki oleh peniaga Cina. Saya suarakan perkara ini sejak daripada 22 Januari 2018, tarikh di mana berlakunya penjenamaan semula Pekan Rabu yang dibuat tanpa perbincangan dengan penduduk setempat. Dan saya isukan juga perkara ini pada 13 Mei selepas kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 yang lepas di mana pada 13hb Mei itu adalah pengumuman pembukaan Songmart di dalam bangunan bumiputera di Kluang. Apa usaha daripada kerajaan negeri Johor dalam memberi keutamaan kepada Melayu dalam persoalan nasional dari segi ekonomi khususnya tentang bangunan Pekan Rabu tersebut?

Malangnya seperti mana yang saya nyatakan Tun Daim tidak menjawab. Soalan ini adalah tentang suatu kes yang terjadi khas di Kluang, Johor. Tapi bagi yang cakna kepada isu-isu nasional yang berlaku dalam masyarakat dan peka kepada denyut nadi dan jantung masyarakat Melayu khususnya, tentu sudah sedia maklum isu pengubahan nama tempatan kepada nama asing khususnya dalam bahasa Inggeris di kota-kota dan bandar-bandar besar adalah isu terpendam tapi mencengkam sensitiviti Melayu.

Daim Yang Diam

Kenapa Tun Daim memilih untuk tidak menjawab soalan ini tidak pula diketahui dengan jelas. Apakah kerana beliau tidak faham tentang soalan yang dikemukakan atau apakah kerana persoalan budaya, bahasa, rupa-wajah, identiti dan keperibadian nasional bukanlah tumpuan utama naratif Malaysia buat Tun Daim. Naratif Malaysia yang paling utama buat Tun Daim adalah ekonomi dan perniagaan kerana bagi beliau ia adalah merupakan ruang yang paling logik dan rasional.   

Logik Homo Economicus

Tapi menyempitkan manusia hanya kepada homo economicus  adalah melawan hakikat sifat manusia yang turut terkandung di dalam wujudnya unsur-unsur emosi, perasaan, psikologi, seksualiti dan rohani. Dan mengubah nama tempat dari nama tempatan kepada nama dalam bahasa asing adalah satu tindakan yang telah pun menyentuh emosi si penanya, Ahmad Yazid Bin Ramli.

Logik seorang homo economicus mungkin berkisar kepada mencari nama yang boleh diperlihatkan sebagai boleh membawa keuntungan. Nama “Pekan Rabu” mungkin tidak cukup hipster atau classy dan tidak dapat untuk menarik ramai pelanggan berbanding dengan nama “Kluang Junction”.

Cara berfikir yang hanya memfokuskan kepada keuntungan memperlihatkan bahawa mereka yang terlibat di dalam usaha memadamkan nama tempatan yang lama dan mengubahnya kepada nama asing yang baru tidak punya keprihatinan, kepekaan dan kehalusan sejarah.

Menamakan Adalah Memadamkan

Pada mereka ruang hanyalah sekadar tempat, bukan sejarah. Sejarah ruang bagi mereka tidak penting. Yang penting apakah tempat tersebut boleh membawa keuntungan atau pun tidak. Nilai sejarah, ingatan, budaya, bahasa, identiti serta keperibadian yang terkandung dalam ruang tersebut tidak pernah menjadi pertimbangan mereka. Nama bagi mereka juga hanya punya satu tujuan iaitu keuntungan. Nama tidak mencerminkan apa-apa nilai buat mereka kecuali nilai ekonomi.

Agak malang sekali apabila mereka yang terlibat di dalam pengubahan nama tempatan kepada nama dalam bahasa asing ini tidak menyedari bahawa tindakan mengubah nama adalah juga tindakan memadamkan sejarah, ingatan, identititi dan keperibadian ruang tersebut.

Menamakan adalah juga memadamkan. Dengan menamakan ruang tersebut dengan nama baru, penama mengisytiharkan kepemilikan beliau terhadap ruang tersebut dan pada masa yang sama melupuskan kepemilikan lama, dan sejarah lama terpadam dengan kemunculan sejarah baru yang ditandai dengan nama baru. Justeru, mengubah nama tempat adalah suatu tindakan perampasan sejarah, ingatan, identiti dan budaya yang paling licik dan jahat.

Mentamadunkan Ruang

Dan nama yang dipilih pula bukan nama dalam bahasa tempatan tetapi suatu bahasa asing dari wilayah budaya yang asing pula yang tiada berpijak kepada akar sejarah dan budaya tempatan. MengInggeriskan nama adalah cerminan kepada sikap dan pemikiran mereka yang terlibat di dalam proses pengubahan tersebut yang melihat bahasa tempatan sebagai rendah dan tidak cukup canggih dan maju untuk dinamakan.

Oleh kerana itu nama dalam bahasa tempatan perlu dilupuskan. Melupuskan bahasa adalah juga melupuskan makna, sejarah, ingatan, budaya dan identiti bangsa. Mungkin disebalik pemikiran sebegitu tersembunyi pandangan bahawa ruang hanya boleh dimodenkan dan ditamadunkan dengan bahasa Inggeris. Bahasa kebangsaan dilihat tidak cukup kuat untuk menjadi cerminan kepada ketamadunan bangsa dan negara.

PengInggerisan nama ruang adalah suatu bentuk perisytiharan budaya baru melalui pelupusan budaya lama. Di sini penama mengangkat, mengisytihar dan mempertegaskan kedudukan dirinya dan komunitinya sebagai pemula sejarah baru di atas pemadaman sejarah lama.

Teks Sebagai Sejarah Pergulatan Pemikiran Bangsa

Teks Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional yang diajukan oleh Tun Daim ini pada hemat saya adalah suatu dokumen sejarah penting di era Malaysia Baru ini. Ia adalah sebuah cerminan sejarah idea dan pergulatan pemikiran seorang tokoh Melayu yang sudah teruji dan telah pun menempa kejayaan baik di bidang ekonomi mahu pun politik tetapi masih tetap sahaja aktif untuk terus menyumbangkan jasa dan bakti beliau kepada Malaysia dan khazanah sejarah pemikiran bangsa.

Konteks yang melatari kelahiran teks Tun Daim ini menjadi keprihatinan beliau untuk mengajukan pandangan-pandangan yang bukan sahaja mencabar minda Melayu tapi turut merangsang penyelidik seperti saya untuk memberi jawapan balas.

Saya berharap akan menyusul pula selepas ini kritik-kritik terhadap teks saya dan juga teks-teks kawan-kawan lain yang telah disumbangkan di dalam Seminar Menjawab Tun Daim ini supaya pergulatan idea terus rancak dalam usaha dan upaya kita untuk melahirkan naratif Malaysia yang benar-benar adil, saksama, manusiawi dan terangkum.


[1] Homo Economicus adalah istilah bahasa latin yang membawa maksud ‘manusia ekonomi’. Konsep ‘Manusia ekonomi’ ini muncul buat pertama kali dalam sejarah idea pada penghujung abad ke-19 apabila ahli falsafah Inggeris, John Stuart Mill menakrifkannya sebagai ‘manusia yang pastinya akan mendapatkan keperluan, keselesaan dan kemewahan yang paling maksima dengan tenaga kerja yang paling minima yang boleh diperolehinya”. Untuk tulisan ini istilah homo economicus merujuk kepada suatu bentuk pemikiran yang melihat manusia sebagai makhluk rasional yang mengejar kekayaan, kesenangan, keuntungan dan keselesaan hidup untuk kepentingan dirinya sendiri dan berupaya membuat pertimbangan-pertimbangan rasional di dalam mencapai keinginan, kehendak dan matlamat hidupnya.

Makalah ini dibentangkan pertama kali di Seminar Menjawab Tun Daim yang diadakan di IKMAS, UKM pada 3 April 2019.

Laporan Seminar Menjawab Tun Daim

Seminar Menjawab Tun Daim anjuran IKMAS ini bertujuan untuk membincangkan teks ucaptama oleh YABhg Tun Daim Zainuddin yang disampaikan sewaktu majlis Perasmian Siri Seminar Naratif Malaysia pada 19 Mac 2019 bertempat di UTM, Skudai.

Tarikh : 3 April 2019
Masa : 9.00 pagi – 5.00 petang
Tempat : IKMAS, UKM
Jumlah Peserta : 20

Pendahuluan

Seminar Menjawab Tun Daim anjuran IKMAS ini bertujuan untuk membincangkan teks ucaptama oleh YABhg Tun Daim Zainuddin yang disampaikan sewaktu majlis Perasmian Siri Seminar Naratif Malaysia pada 19 Mac 2019 bertempat di UTM, Skudai, Johor. Teks yang bertemakan, “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional” telah membangkitkan beberapa persoalan yang melibatkan kedudukan orang Melayu dalam konteks kebangsaan. Antara tumpuan utama yang disentuh dalam teks tersebut ialah mengenai ekonomi, politik, budaya serta cara berfikir orang Melayu. Selain itu, kesemua aspek ini dikupas berdasarkan perkembangan politik dan ekonomi tanahair dewasa ini, apatah lagi sesudah peristiwa bersejarah yang berlaku pada 9 Mei 2018 yang menyaksikan pertama kalinya perubahan parti politik yang menerajui kerajaan. Atas semangat untuk mengisi kemenangan inilah, maka teks ucaptama tersebut mengariskan langkah-langkah yang bersifat strategik dan efektif dalam memastikan setiap perubahan bukan sahaja berjalan lancar malahan dapat menghasilkan perubahan yang bermakna.

Pendaftaran dan Kehadiran Peserta

Seminar Menjawab Tun Daim tersebut telahpun dihadiri sebanyak 20 peserta yang rata-ratanya terdiri daripada golongan pelajar pascasiswazah dan aktivis sosial. Kebanyakan peserta yang hadir merupakan mereka yang telahpun mendaftar lebih awal menerusi laman sesawang www.naratifmalaysia.com. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian daripada peserta yang mendaftar ketika seminar dimulakan. Seminar sehari penuh ini dirasmukan oleh Pengarah IKMAS, UKM,  Profesor Dr. Sufian Jusoh. Beliau menyatakan rasa gembiranya kerana pihak penganjur telah menyambut teks ucaptama dengan semangat akademik. Apatah lagi, YABhg Tun Daim Zainuddin merupakan penaja utama kerusi Pok Rafeah yang diterajui oleh IKMAS. Pengarah IKMAS mengharapkan seminar ini bukan sahaja membuahkan perbincangan yang mendalam, akan tetapi, beliau ingin melihat hasil daripada seminar ini dapat dibukukan bagiu menunjukkan tahap kesungguhan kita dalam mengangkat kembali suaut naratif Malaysia yang bersifat terangkum dan adil.

Pengisian Seminar

Pembentang pertama seminar ini disampaikan oleh Dr. Mazlan Ali, yang merupakan pensyarah UTM Kuala Lumpur. Sebagai seorang yang berkecimpung dalam bidang pilihanraya dan kedudukan orang Melayu dan Islam dalam politik kebangsaan, Dr. Mazlan menyampaikan tajuk yang sangat sesuai dengan latar belakangnya, yakni “Naratif Melayu-Islam Pasca PRU-14 dalam Garis Kaum dan Agama: Wajarkah?” Dalam pembentangannya, Dr. Mazlan membangkitkan kebimbangannya mengenai hubungan antara kaum dan etnik pasca PRU-14. Dengan menyedari bahawa terdapatnya peningkatan bahang politik perkauman dan agama, Dr. Mazlan melihat persoalan ini bukan sahaja dalam konteks politik, lebih daripada itu, beliau turut menganalisa dalam konteks budaya dan amalan serta cara berfikir orang Melayu. Dalam hal ini beliau bersetuju dengan YABhg Tun Daim bahawa isu orang Melayu tidak boleh ditangani menerusi persoalan kaum semata-mata, sebaliknya, perlu dilihat juga dalam persoalan agama.

Setelah itu, pembentang berikutnya, Encik Ramze Endut, Felo Penyelidik IKMAS telah memanjangkan perbincangan yang bersifat politik kepartian dan pilihanraya kepada perbincangan yang bersifat sosiologi dan falsafah. Beliau membangkitkan dua kritikan terhadap teks ucaptama Tun Daim Zainuddin berkenaan sejarah dan emosi. Pada hemat Encik Ramze, Tun Daim telah khilaf dengan mengandaikan bahawa setiap sejarah adalah bersifat fakta serta orang Melayu dikaitkan sebagai golongan yang beremosi. Bagi Encik Ramze, sejarah bukan sahaja fakta akan tetapi merupakan juga penafsiran. Begitu juga emosi tidak boleh berdiri sendiri, sebaliknya, ia turut berdampingan dengan logik. Membuat pemisahan salah satu antaranya bukanlah suatu konsep yang baik dalam menjelaskan kerumitan masyarakat, kaum, etnik dan agama.

Lanjutan daripada pembentangan sebelumnya, Mariam Mokhtar, seorang penulis dan kolumnis tersohor sepatutnya hadir membentangkan makalahnya yang berjudul, “Tun Daim on Success, Crutches and Emotion.” Walau bagaimanapun, beliau hanya dapat mengirimkan teks pembentangannya sahaja. Justeru itu, sesi berikutnya diteruskan oleh Dr. Hew Wai Weng yang juga merupakan Felo Penyelidik IKMAS. Beliau telah membincangkan mengenai “What Daim Really Meant.” Bagi Dr. Hew, Tun Daim gagal melihat kedudukan orang Melayu secara komprehensif. Ini kerana, Tun Daim tidak melihat kerumitan yang terdapat berikutan perkaitan antara agama dan kaum dalam konteks orang Melayu. Malah, beliau turut bersetuju dengan Encik Ramze bahawa adalah salah sama sekali untuk memisahkan antara emosi dan logic kerana golongan yang dianggap sebagai konservatif turut mempunyai logiknya yang tersendiri.

Setelah Dr. Hew, Encik Ruhan Shahrir Abdul Halim, telah menyambut perbahasan mengenai Tun Daim dengan menyifatkannya sebagai seorang Homo Economicus. Felo Penyelidik KITA yang akrab dengan pendekataan bacaan intim ini telah menganalisa hampir setiap baris teks ucaptama Tun Daim tersebut. Lebih daripada itu, beliau turut menghitung perkataan yang ditekankan oleh Tun Daim seperti istilah niaga, yang ini sekaligus menunjukkan betapa Tun Daim sangat menekankan mengenai kedudukan ekonomi orang Melayu secara khususnya dan rakyat Malaysia secara umumnya. Penekanan terhadap ekonomi ini menyebabkan cara berfikir Tun Daim, menurut pandangan Encik Ruhan, menjadi setiap idea Tun Daim sangat bercorak mekanistik, ekonomistik dan materialistik. Selain sifat-sifat di atas, Encik Ruhan turut mengkritik penggunaan Bahasa Inggeris dalam teks ucaptama Tun Daim yang mana ini tidak melambangkan keselarasan antara tema yang dibincangkan dan tindakan yang dilakukan.

Akhir sekali, Encik Hishamuddin Rais, seorang penulis aktivis sosial terkenal tanahair turut mengambil bahagian. Meskipun beliau tidak menyediakan teks, akan tetapi, hasil daripada bacaan beliau terhadap teks ucaptama Tun Daim Zainuddin tersebut telah memaparkan betapa ada persoalan nasional yang belum selesai. Bersetuju dengan Encik Ruhan, beliau telah menunjukkan betapa persoalan bahasa adalah antara persoalan nasional yang belum selesai. Pemilihan Bahasa Inggeris dalam teks ucaptama tersebut memberi gambaran bahawa bahasa Melayu masih belum berjaya menjadi bahasa pemersatu dalam tanahair. Sebagai antara individu yang sekian lama berpendapat bahawa bahasa Melayu perlu menjadi bahasa strategik dalam perubahan, Encik Hishamuddin mencadangkan agar bukunya, “Surah-surah Terlarang: Persoalan Nasional” turut dibaca bersamaan dengan teks ucaptama “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional.”

Penutup

Seminar ini disudahi dengan ucapan penutup oleh Encik Hariszuan Jaharuddin, yang juga merupakan Felo IKMAS, Beliau mengucapkan terima kaseh kepada semua pembentang dan para peserta yang sejak daripada awal telah terlibat aktif dalam perbincangan. Hasil daripada seminar ini, beliau mengharapkan setiap makalah dapat diperbaiki dan akhirnya dapat diterbitkan sekurang-kurangnya dalam bentuk naskah monograf. Beliau juga tidak lupa mengucapkan jutaan terima kaseh kepada pihak IKMAS yang sudi menawarkan tempat kepada seminar ini.

[Pendaftaran] Seminar Menjawab Tun Daim

Seminar ini merupakan reaksi balas beberapa pembentang terhadap ucapan YABhg Tun Daim Zainuddin dalam acara Perasmian Siri Seminar “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional” yang telah diadakan pada 19 Mac 2019.

Seminar ini merupakan reaksi balas beberapa pembentang terhadap ucapan YABhg Tun Daim Zainuddin dalam acara Perasmian Siri Seminar “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional” yang telah diadakan pada 19 Mac 2019.

Seminar “Menjawab Tun Daim”
3 April 2019 (Rabu)
9 pagi – 5 petang
IKMAS, UKM

Pendaftaran Percuma (Untuk 20 peserta pertama sahaja)

Teks ucapan YABhg. Tun Daim Zainuddin boleh diperoleh di sini (klik, versi English) dan (klik, versi Bahasa Melayu)

Tentatif

09:30 — 10:00 : Pembentangan I, Dr. Mazlan Ali, UTM, “Naratif Melayu-Islam Pasca PRU-14 dalam Garis Kaum dan Agama: Wajarkah?”
10:00 — 10:30 : Sesi Perbincangan

10:30 —10:45 : Minum pagi

10:45 — 11:15 : Pembentangan II, Ramze Endut, IKMAS, “Sebalik Sejarah dan Emosi: Tanggapan terhadap Teks Ucaptama Naratif Malaysia”
11:15 — 11:45 : Sesi Perbincangan

11:45 — 12:15 : Pembentangan III, Mariam Mokhtar,
“Tun Daim Zainuddin on Success, Crutches and Emotion”
12:15 — 12:45 : Sesi Perbincangan

12:45 — 14:00 : Makan Tengahari

14:00 — 14:30 : Pembentangan IV, Dr.Hew Wai Weng, IKMAS, “What Tun Daim Really Meant “
14:30 — 15:00 : Sesi Perbincangan

15:00 — 15:30 : Pembentangan V, Ruhan Shahrir, KITA,
“Menjawab Tun Daim Zainuddin: Sang Homo Economicus”
15:30 — 16:00 : Sesi Perbincangan

16:00 — 16:30 : Pembentangan VI, Hishamuddin Rais, “Daim dan Persoalan-persoalan Nasional yang Belum Selesai”
16:30 — 17:00 : Sesi Perbincangan

17:00 — 17:15 : Minum Petang

Pendaftaran:

Design a site like this with WordPress.com
Get started