Keterpendaman Melayu: UMNO bersama PAS (Bahagian 3/5)

Justeru itu, untuk menangani ledakan ‘keterpendaman Melayu’ dan menghentikannya dari terus merebak, maka unsur-unsur yang membentuk nasionalisme Melayu yang terpendam ini perlulah dikenalpasti dan difahami.

Oleh: Muhammad Hafez Darwis

Dari data PRK Semenyih yang telah saya bentangkan pada bahagian pertama, jelas bahawa undi Melayu baik yang di kawasan kampung dan pinggir bandar mahu pun kawasan taman perumahan di bandar, majoriti daripada mereka memberikan sokongan kepada UMNO.

Kenaikan peratus sokongan undi Melayu kepada UMNO sebanyak hampir 24% adalah suatu bentuk penzahiran ‘keterpendaman Melayu’ oleh sebahagian besar pengundi-pengundi Melayu di Semenyih.

Setelah sembilan bulan PH memerintah, majoriti pengundi-pengundi Melayu di Semenyih telah menzahirkan penolakan mereka terhadap PH dengan jelas. Apakah sebab kepada penolakan tersebut adalah kerana isu-isu ekonomi seperti kos hidup yang tinggi, harga barang yang masih belum turun, kutipan tol yang gagal dimansuhkan atau yang seumpamanya?

Sokongan Daripada Penyokong PAS

Sebab-sebab ekonomi tentunya turut menyumbang tapi pada masa yang sama dari data yang saya kemukakan dalam tulisan di bahagian pertama didapati pengundi-pengundi kelas menengah Melayu di kawasan supermajority Melayu di Bukit Mahkota dan Kantan Permai misalnya, telah mengalihkan sokongan mereka kepada UMNO.

Malahan dari data yang dilaporkan oleh Malaysiakini itu juga menunjukkan peralihan sokongan kelas menengah Melayu melibatkan jumlah yang cukup signifikan iaitu sebanyak 10.4% di Bukit Mahkota dan 12.3% di Kantan Permai.  Memandang mereka datang dari kelas menengah, kemungkinan faktor ekonomi bukan menjadi sebab utama kepada peralihan sokongan, tidak boleh diketepikan.

Peralihan sokongan kelas menengah Melayu ini tentunya boleh juga diandaikan sebagai dukungan yang diberikan oleh penyokong-penyokong PAS kepada calon UMNO memandangkan PAS tidak bertanding di PRK Semenyih.

Walau apa pun andaian yang dibuat, berdasarkan data yang dikutip menunjukkan sebahagian besar kelas menengah Melayu di Semenyih telah menolak PH, dan penyokong-penyokong PAS di Semenyih pula telah memberikan kesanggupan untuk turut mengundi parti UMNO, yang dulunya merupakan musuh ketat mereka.

‘Keterpendaman Melayu’ Punca Sokongan

Persoalan selanjutnya ialah apakah yang menyebabkan peralihan sokongan majoriti pengundi Melayu khususnya kelas menengah Melayu untuk menolak PH dan apakah yang mendorong kesanggupan penyokong PAS untuk sama-sama memberi sokongan kepada UMNO di PRK Semenyih ini?

Jawapan untuk kedua-dua soalan ini seperti mana yang telah saya nyatakan di bahagian kedua ialah ‘keterpendaman Melayu’.

‘Keterpendaman Melayu’ ini jugalah yang mendorong PAS untuk sanggup berkerjasama dan ‘berkahwin’ secara rasmi dengan musuh ketatnya sebelum ini, UMNO. ‘Keterpendaman Melayu’ ini juga turut mempengaruhi penyokong-penyokong PAS di akar umbi untuk memberi undi mereka kepada UMNO dalam PRK Semenyih yang lepas.

Terkandung di dalam ‘keterpendaman Melayu’ ini adalah cita-cita dan aspirasi nasionalisme Melayu. Walau pun kedua-dua parti Melayu ini membawa dua unsur nasionalisme Melayu yang berbeza tapi di peringkat ini, keinginan untuk menyatu itu kelihatannya kuat, sekurang-kurangnya di kalangan pimpinan kedua-dua parti.

‘Keterpendaman Melayu’ yang dimiliki oleh kepimpinan kedua-dua parti ini akhirnya dizahirkan melalui ‘perkahwinan’ UMNO-PAS yang telah pun dimateraikan secara rasmi pada 5 March 2019 yang lepas.

‘Keterpendaman Melayu’ Sebagai Survival Mode

Dan seperti mana yang telah saya huraikan dalam tulisan di bahagian kedua, penzahiran ‘keterpendaman Melayu’ boleh berlaku apabila situasi tersudut, tergugat atau terancam muncul, maka di kala itulah akan dizahirkan rasa ‘keterpendaman’ yang disembunyikan sebelumnya.

Penzahiran ‘keterpendaman Melayu’ ini juga boleh dianggap sebagai satu bentuk survival mode. Suatu mekanisme yang digunakan ketika menghadapi gugatan atau ancaman yang dinilai sebagai merbahaya bagi survival sesuatu komuniti atau pertubuhan itu.

Kedua-dua pertubuhan politik terbesar Melayu dan Islam ini sememangnya dalam situasi yang terdesak dengan pelbagai dakwaan mahkamah yang melibatkan rasuah dan juga tuduhan berbohong serta menipu dari masyarakat awam. Justeru, ‘keterpendaman Melayu’ yang terbentuk daripada cita-cita nasionalisme Melayu itu boleh diseru, dibangkitkan dan dipropagandakan sebagai terancam.

Cita-cita nasionalisme Melayu yang sedang diancam adalah sumber sedia ada yang paling berkesan untuk digunakan sebagai alat penggembeling sokongan bagi melindungi pertubuhan masing-masing dan juga menyelamatkan diri pemimpin mereka sendiri.

Apatah lagi bila institusi politik yang dilihat mengancam itu sebahagian besarnya datang daripada DAP, sebuah parti yang dikuasai oleh kaum Cina yang dari sudut ideologi, tradisi dan sejarahnya, menolak cita-cita dan aspirasi nasionalisme Melayu.

Rasa keterancaman itu tentulah diperkukuhkan lagi apabila parti yang dilihat menolak aspirasi nasionalisme Melayu ini telah pula menjadi sebahagian daripada kerajaan yang memerintah dan kini mempunyai akses kuasa yang lebih luas dalam membuat keputusan pemerintahan negara.

Bahan Propaganda Datang Dari PH Sendiri

Cita-cita nasionalisme Melayu yang terancam ini sebenarnya tidak susah untuk dipropagandakan bagi memicu sentimen dan perasaan manusia-manusia Melayu. Bahan untuk dipropagandakan datang daripada tindakan politik parti-parti dalam PH dan kenyataan yang keluar dari mulut kepimpinan PH serta tingkah laku penyokong-penyokong PH sendiri – misalnya isu pelantikan jawatan Menteri Kewangan dan Peguam Negara, cadangan untuk meratifikasi ICERD, rusuhan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman Seafield, tuntutan untuk mengiktiraf Sijil UEC, pemberian dana jutaan ringgit kepada sekolah-sekolah dan kolej-kolej Cina, kenyataan Kulasegaran Menteri dari DAP yang mendakwa Melayu bangsa pendatang, kes penghinaan terhadap Nabi Muhammad dan isteri beliau Aisyah, dakwaan dari kenyataan awal Lim Guan Eng sebelum beliau menarik balik tentang kerjasama antara UMNO-PAS sebagai perisytiharan perang tehadap bukan Muslim, kenyataan ADUN Mengkibol dari DAP tentang pembunuhan umat Islam di masjid Christchurch New Zealand serta berbagai-bagai lagi insiden lain yang telah dipropagandakan sebagai usaha untuk memadamkan unsur-unsur yang ada dalam nasionalisme Melayu.

Semua kejadian ini dengan taktik dan strategi propaganda yang berkesan serta berterusan, saya percaya tentunya telah menimbulkan sedikit sebanyak rasa resah dan terancam yang bertumpuk-tumpuk buat sebahagian besar daripada manusia-manusia Melayu sejak daripada PRU14 sembilan bulan yang lalu. 

Menangani Ledakan ‘Keterpendaman Melayu’

Rasa resah dan terancam yang menumpuk ini tentulah ada batasnya. Lama-kelamaan sentimen nasionalisme Melayu yang terpendam itu pasti meledak dan dizahirkan. Ledakan ‘keterpendaman Melayu’ yang bermula di perhimpunan anti-ICERD itu nampaknya diteruskan penzahirannya sehingga ke PRK Semenyih dan kemungkinan besar akan turut menjangkiti PRK DUN Rantau, pada bulan April 2019 nanti.

Justeru itu, untuk menangani ledakan ‘keterpendaman Melayu’ dan menghentikannya dari terus merebak, maka unsur-unsur yang membentuk nasionalisme Melayu yang terpendam ini perlulah dikenalpasti dan difahami.

Apakah unsur-unsur nasionalisme Melayu yang ada dalam ‘keterpendaman Melayu’ ini? Pada pandangan saya terdapat tujuh unsur utama dalam nasionalisme Melayu yang membentuk rasa ‘keterpendaman’ dalam jiwa manusia-manusia Melayu. Tujuh unsur nasionalisme Melayu yang terpendam ini akan saya perincikan di bahagian keempat nanti.

Keterpendaman Melayu: Bibit-bibit dari Semenyih (Bahagian 1/5)

Daripada kutipan data-data di atas terang lagi bersuluh menunjukkan terdapat perubahan pola pengundian yang ketara di kalangan pengundi-pengundi Melayu di DUN Semenyih. Persoalan seterusnya ialah kenapa ia berlaku?

Bangsa Melayu sedang berhadapan dengan krisis moral yang cukup besar. Ini yang berlegar dalam fikiran saya setelah meneliti sepintas lalu keputusan Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih (PRK Semenyih) yang baru sahaja usai pada 2 March 2019 dan kerjasama yang secara rasminya telah termaterai di antara UMNO dan PAS, tiga hari selepas itu pada 5 March 2019.

Di waktu UMNO dan PAS terpalit dengan isu-isu rasuah, korupsi, pembohongan dan penipuan, pengundi-pengundi Melayu dan Muslim masih tetap memberikan sokongan dan dukungan mereka buat kedua-dua parti terbesar bangsa Melayu dan umat Islam ini.

Buktinya majoriti pengundi-pengundi Melayu di DUN Semenyih memberikan undi mereka kepada UMNO. Tentunya yang turut memberi sokongan kepada UMNO dalam PRK Semenyih ini adalah penyokong parti PAS.

Pada hemat saya ini adalah suatu krisis moral yang dasyat buat bangsa Melayu. Krisis moral ini pada pandangan saya berkait rapat dengan persoalan ‘keterpendaman Melayu’.

Sebelum saya menghuraikan faham saya tentang ‘keterpendaman Melayu’ ini, elok kiranya kita mencermati dahulu data-data yang saya kutip daripada beberapa laporan portal berita atas talian tentang keputusan PRK DUN Semenyih yang baru lepas.

Membaca data walau pun renyah tapi penting supaya penghujahan yang dilakukan dapat dimunasabahkan berdasarkan pembuktian yang impirikal (nyata). Dan fokus data saya adalah pengundi Melayu.

Demografi dan Struktur Penempatan Di Semenyih

DUN Semenyih berlatarkan demografi pengundi yang terdiri daripada Melayu (67.71%), Cina (16.69%) India (13.73%) dan komuniti lain (1.86%).

Ciri demografi dan juga struktur pembandaran di Semenyih kurang lebih hampir sama dengan banyak kawasan separa-bandar yang lain di Malaysia. Cumanya penempatan komuniti India di Semenyih relatifnya agak besar. Ini adalah kerana faktor sejarah kolonial di mana dahulunya Semenyih adalah antara kawasan perladangan getah yang utama di Selangor.

Struktur lainnya seperti konsentrasi penempatan komuniti Cina di kawasan pekan dan bandar, manakala tumpuan penempatan komuniti Melayu di kampung-kampung dan kawasan taman perumahan pinggir bandar adalah ciri yang umumnya turut dapat dilihat di banyak deretan penempatan-penempatan lain di sepanjang Pantai Barat Semenanjung Malaysia.  

Perbandingan Antara PRU14 dan PRK Semenyih

Pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu, DUN Semenyih dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti sebanyak 8,964 undi.

Menurut laporan portal berita Malaysia Dateline, pada PRU14 yang lalu, daripada 23 Pusat Daerah Mengundi (PDM), PH memenangi 13 daripadanya. Namun pada PRK DUN Semenyih yang baru lepas, bukan sahaja PH tewas dengan majoriti sebanyak 1,914 tetapi PH juga kalah di dua puluh PDM yang lain.

PH hanya menang di PDM Tarun, Semenyih Indah dan Bandar Rincing Seksyen 1-4 sahaja. Ketiga-tiga kawasan daerah mengundi ini pula majoriti pengundinya adalah terdiri daripada bukan Melayu.

Menurut laporan daripada pasukan wartawan Malaysiakini pula, dianggarkan PH hanya mendapat 37.73% sahaja undi Melayu, yakni turun sebanyak 6.52% berbanding dengan jumlah undi Melayu sebanyak 44.25% yang diperolehi oleh PH pada PRU14 yang lepas.

Tapi data di atas tidaklah mengejutkan. Penurunan undi Melayu sebanyak 6.5% dengan jumlah keluar mengundi seramai 73.3% berbanding 88% pada PRU14 adalah sesuatu yang boleh dijangka.

Peratusan Keluar Mengundi

Namun begitu jumlah keluar mengundi sebanyak 73.3% itu adalah yang paling tinggi berbanding dengan lima PRK yang lepas – Sungai Kandis (49.4%), Balakong (43%), Seri Setia (44%), Port Dickson (58.3%) dan Cameron Highlands (68.79%).

Malahan jumlah keluar mengundi sebanyak 73.3% itu melebihi jangkaan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sendiri yang hanya mensasarkan sebanyak 70% sahaja keluar mengundi. Data ini sendiri – peningkatan jumlah pengundi Melayu yang keluar mengundi – sebenarnya cukup menarik untuk ditimbulkan persoalan, apakah ianya juga suatu penzahiran ‘keterpendaman Melayu’?

Sebelum saya menghuraikan dengan lebih rinci tentang ‘keterpendaman Melayu’ ini, ada baiknya dibentangkan beberapa data lagi supaya dapat dilihat dengan lebih jelas perubahan pola pengundian Melayu yang berlaku di PRK Semenyih.

Undi Melayu

Data yang paling menyerlah dalam PRK Semenyih ialah penambahan undi Melayu yang berjaya dikaut oleh UMNO. Dalam PRU14 yang lepas, laporan daripada Malaysiakini mencatatkan bahawa UMNO hanya memperolehi 35.33% sahaja undi Melayu. Namun pada PRK Semenyih ini UMNO telah berjaya mengutip sebanyak 59% undi Melayu, iaitu penambahan undi sebanyak hampir 24%.

Andaian yang boleh dibuat untuk memahami penambahan peratusan yang relatifnya besar ini ialah undi Melayu yang dulunya diberikan kepada PAS kini beralih kepada UMNO memandangkan PAS tidak bertanding dalam PRK Semenyih. Data tentang sokongan yang diberikan oleh penyokong PAS kepada UMNO ini juga menarik untuk memahami “keterpendaman” Melayu yang akan saya bahaskan nanti.

Undi Kelas Menengah Melayu

Menurut laporan daripada pasukan wartawan Malaysiakini juga, kawasan daerah mengundi yang paling jelas menunjukkan peralihan pola pengundian Melayu ialah di PDM Bukit Mahkota dan Kantan Permai yang merupakan kawasan taman perumahan yang majoriti pengundinya adalah terdiri daripada kelas menengah Melayu.

Dianggarkan 8% daripada undi kelas menegah Melayu di kedua-dua kawasan tersebut telah beralih kepada UMNO. Data menunjukkan di PDM Bukit Mahkota, PH mencatat penurunan peratus sokongan undi sebanyak 10.4% manakala di PDM Kantan Permai sokongan undi kepada PH merosot sebanyak 12.3%.

Memandangkan mereka ini majoritinya adalah dari kelas menengah Melayu, andaian awal yang boleh dibuat ialah persoalan ekonomi seperti kos hidup yang meningkat dan harga barang yang belum turun mungkin bukan faktor utama yang mempengaruhi keputusan mereka untuk menolak PH.

Laporan Malaysiakini juga turut mencatat penurunan peratusan keluar mengundi di kedua-dua kawasan tersebut sebanyak 3% lebih rendah daripada PRU14.

Selain daripada menyuluh kepada peralihan undi kelas menengah Melayu yang relatifnya besar, data di atas juga menunjukkan bahawa motivasi untuk keluar mengundi di kalangan kelas menengah Melayu di Semenyih juga rendah.

Undi Di Kawasan Supermajority Melayu

Laporan Malaysiakini turut membentangkan data-data jumlah undi yang diperolehi oleh PH di semua PDM yang bermajoriti besar (supermajority) Melayu – iaitu kawasan di mana pengundi Melayu berdaftar berjumlah antara 75% – 99%.

PH tewas teruk di 15 PDM supermajority Melayu ini. Selain daripada itu, terdapat tujuh PDM yang mana PH memperolehi undi kurang daripada 30%. Di PDM Sesapan Kelubi misalnya, PH hanya memperolehi kira-kira 25% undi sahaja.

Daripada kutipan data-data di atas terang lagi bersuluh menunjukkan terdapat perubahan pola pengundian yang ketara di kalangan pengundi-pengundi Melayu di DUN Semenyih.

Persoalan seterusnya ialah kenapa ia berlaku? Pada hemat saya faktor yang terselindung yang menyumbang kepada peralihan sokongan ini ialah ‘keterpendaman Melayu’.

Untuk memahami apa itu ‘keterpendaman Melayu’, sila ikuti bahagian kedua.

Design a site like this with WordPress.com
Get started