Wawasan Penyelidik Muda

Para penyelidik seharusnya mengeluarkan kajian yang digarab dengan sepenuh hati agar dapat menghasilkan kajian yang berkualiti. Selain itu, perlu diingat juga bahawa walau sejauh manapun kita pergi jadilah ibarat resmi padi di mana semakin berisi semakin menunduk. Ertinya, setinggi manapun pangkat dan darjat, interaksi dengan pelbagai peringkat masyarakat harus diteruskan.

Assalamualaikum, Salam Sejahtera.

Pertama-tamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur Program Naratif Malaysia (NM) yang sudi menjemput saya menyampaikan sepatah-dua kata sempena Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda ini. Dengan adanya bengkel sebegini, saya berpendapat ianya berupaya memberi harapan agar penyelidikan Sains Sosial dapat terus berkembang dan terutamanya di kalangan penyelidik muda pada hari ini.

Penyelidik semestinya mempunyai peranan yang besar dan ianya harus difahami dari tiga aspek iaitu peranan sebagai individu, ahli dalam sesuatu organisasi dan kepada negara. Oleh itu, terdapat sejkurang-kurangnya tiga peringkat yang mana mana setiap penyelidik Sains Sosial itu boleh memainkan peranannya yang tersendiri. Situasinya sering kali dilihat dalam konteks pendidikan, penyelidikan dan khidmat. Peranan sebagai seseorang individu adalah amat penting kerana pemahaman dalam bidang yang diceburi haruslah mantap.

Saya sendiri telah menceburi tiga bidang yang berbeza di mana, ijazah pertama saya adalah dalam bidang kimia kerana sistem pendidikan ketika itu hanya ada dua pilihan sahaja iaitu sama ada Sains atau Sastera. Manakala, di peringkat Ijazah Sarjana (Masters) saya mengambil bidang Perniagaan dan kemudiannya barulah saya menceburi bidang Sains Sosial. Pada setiap peringkat pembelajaran, ilmu tentang penyelidikan adalah berbeza iaitu dari tahap yang cetek, menjadi lebih mendalam dan dari ruang yang sempit, menjadi semakin luas. Sebagai individu, kita haruslah meningkatkan kepakaran peyelidikan untuk membina kepimpinan akademik (academic leadership).  Kekuatan serta penguasaan ilmu itu amat penting walau dalam apa jua bidang sekalipun. Dalam konteks ini juga ia bermaksud ilmu dari penyelidkan yang kita jalankan itu perlu disalurkan dalam pengajaran dan seterusnya dalam sebarang perkhidmatan yang kita berikan kepada masyarakat dan negara.

Kita perlu mendalami kaedah penyelidikan dengan baik. Ini adalah cara untuk penggali data primer dan sekunder. Kadang kala, kita terlalu banyak menggunakan sumber sekunder berbanding sumber primer. Oleh itu, dengan menjalankan penyelidikan, para penyelidik memperoleh data-data primer dan apabila bercakap menggunakan data-data tersebut, ia akan menguatkan lagi keyakinan tehadap dapatan kajian kita. Sebagai penyelidik, kita perlu akur dengan etika penyeliidkan terutamanya dalam menyenaraikan rujukan yang digunakan.

Setiap topik penyelidikan akan menjurus pada sesuatu bidang. Sebagai contoh, apabila sesebuah kajian itu berkaitan dengan politik Islam dan tidak menyebut nama Prof. Norani Othman maka tidak sah kajian tersebut. Begitu juga, dengan kajian pembangunan sosiologi umpama tidak sah kajian tersebut sekiranya tidak menyebut tentang Prof. Abdul Halim Ali dan Prof. Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman Embong. Hal ini kerana, pembaca luar akan mencari nama-nama ini dahulu dan sekiranya nama-nama ini tiada dalam kajian anda, ertinya ada jurang atau kekurangan dalam penulisan tersebut. Inilah yang saya katakan tadi pentingnya ada ketelitian dalam penyelidikan kearah membina kepimpinan akademik kerana suatu hari nanti anda juga bakal menjadi rujukan kepada masyarakat.

Seterusnya, peranan sebagai individu ini akan dibawa ke dalam organisasi yang kita ada seperti jabatan kerajaan, universiti dan NGO. Dengan adanya kesarjanaan, makan anda boleh memberi kepimpinan akademik. Seterusnya, ia boleh boleh digandingkan dengan kepimpinan pentadbiran (administrative leadership). Kepimpinan akademik dan pentadbiran perlu bergerak seiring. Sebagai seorang penyelidik dan dalam masa yang sama memegang jawatan dalam organisasi perlu kita seimbangkan dari segi peranan kepimpinan akademik mahupun kepimpinan pentadbiran. Di samping kita memainkan peranan yang sewajarnya, inilah masa yang tepat untuk kita memantapkan jaringan serta bekerjasama dalam organisasi.  Usaha ini dapat dinilai sebagai sumbangan kepada negara kerana dengan jaringan yang ada, kita dapat salurkan khidmat kepakaran dalam bentuk dasar dan program untuk kumpulan sasar tertentu. Selain itu, kita juga boleh berperanan melalui badan bukan kerajaan seperti persatuan-persatuan yang mewakili komuniti setempat. Jaringan itu penting kerana kepakaran kita boleh dimanfaatkan dengan lebih meluas lagi. Jaringan ini juga boleh membantu para penyelidik untuk mendapatkan geran penyelidikan bukan sahaja dalam negara bahkan di luar negara juga.

Bagi para penyelidik Sains Sosial, anda boleh menjadi ahli Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM).  PSSM adalah satu persatuan bukan kerajaan yang berteraskan akademik gugusan Sains Sosial. Dua teras   utama PSSM adalah pendidikan dan advokasi.  Dalam teras penyelidikan program flagship adalah program International Malaysian Studies Conference (MSC) yang dijalankan dua tahun sekali.  Dalam aspek advokasi pula, PSSM sedar bahawa  bidang Sains Sosial agak kurang menerima geran berbanding bidang Sains. Kita juga mengakui bahawa penyelidikan Sains Sosial tidak memerlukan mesin yang besar dan berteknologi tinggi serta makmal.  Sebaliknya, “the world is our lab”. Seringkali bidang sains Sosial tidak memerlukan dana yang banyak tetapi impak dapatan kajian yang dihasilkan adalah besar.  PSSM berusaha untuk mempengaruhi pihak berwajib untuk meningkatkan peruntukan bagi penyelidik Sains Sosial.

Satu perkara lagi yang perlu difikirkan oleh semua penyelidik muda; pembinaan sebuah kerjaya setiap individu perlu lah bersifat vocation iaitu satu panggilan. Identiti yang bersifat seruan ataupun panggilan adalah penting kerana ianya akan meningkatkan semangat untuk mengembangkan bidang Sains Sosial. Seterusnya, perlu difikirkan juga sejauh mana minat anda dalam bidang ini kerana pekara ini melibatkan kelangsungan usaha untuk jangka masa panjang.  Minat dan semangat yang dibawa ini hendaklah berterusan. Para penyelidik seharusnya mengeluarkan kajian yang digarab dengan sepenuh hati agar dapat menghasilkan kajian yang berkualiti. Selain itu, perlu diingat juga bahawa walau sejauh manapun kita pergi jadilah ibarat resmi padi di mana semakin berisi semakin menunduk.

Akhir sekali, saya juga ingin kongsikan peribahasa yang sentiasa saya pegang ialah ular menyusur akar takkan hilang bisanya. Ertinya, setinggi manapun pangkat dan darjat, interaksi dengan pelbagai peringkat masyarakat harus diteruskan. Dalam hal ini, kita perlu berkongsi hasil penyelidikan kita dengan masyarakat. Saya ucapkan selamat menjalankan penyelidikan, selamat menulis dan selamat maju jaya.

Teks ini merupakan transkripsi ucapan Prof. Dato’ Dr. Rashila Ramli, yang merupakan Presiden Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) merangkap Felo Utama, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ucapan ini dilakukan semasa Bengkel Pembangunan Kapasiti Penyelidik Muda (Pembentangan Abstrak) pada 24-26 Julai 2020 di Hotel Dorsett, Putrajaya. Bengkel ini adalah anjuran Naratif Malaysia (NM) dengan kerjasama IKMAS, UKM, MARI, USAID dan Kedutaan Amerika.

Design a site like this with WordPress.com
Get started