Naratif Malaysia: Merangkul Masa Kini Mendakap Masa Silam

Untuk saya, jalan keluarnya bukannya memilih salah satu daripada dua pola tersebut. Jalan keluarnya ialah dengan merangkul dan mendakap kedua-duanya: yakni merangkul masa kini dan memperakui masa silam.

Wacana mengenai gagasan Naratif Malaysia telah mulai menampakkan jurang yang ketara. Khaled Nordin daripada UMNO dan Edry Faizal daripada DAP telah membawa dua naratif yang berbeza di dalam tulisan mereka. Kedua-dua tulisan tersebut berada di dua pola ekstrim yang bertentangan. Malah, tulisan mereka tersebut sudahpun dikritik oleh para pembaca The Malaysian Insight (TMI). Dalam hal ini, tulisan Edry disanggah oleh Azharuddin Aziz manakala tulisan Khaled Nordin pula telah dibidas oleh Muhammad Hafez Darwis. Namun sehingga kini, baik Khaled mahu pun Edry, kedua-duanya masih belum memberi sebarang maklum-balas terhadap kedua-dua tulisan tersebut.

Apakah Khaled dan Edry masing-masing enggan bertolak-ansur di dalam mempertahankan pendirian mereka itu? Apakah pendirian kedua-dua mereka itu tidak boleh diubah? Apakah kedua-dua pendirian itu takkan dapat mencari suatu titik temu?

Khaled dalam tulisannya yang berjudul Naratif Malaysia Tidak Boleh Tolak Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 mengajukan gagasan ‘naratif Malaysia’ harus berpandukan kepada tiga prinsip yang terkandung dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan budaya Melayu dan Islam.

Walau bagaimanapun, Muhammad Hafez Darwis dalam sanggahannya yang termuat di ‘Dasar Kebudayaan Kebangsaan Bukan Sakral’ telah memperincikan kenapa Dasar Kebudayaan tersebut bermasalah untuk dijadikan teras kepada persoalan kebudayaan kebangsaan.

Hujah Hafez menumpukan kepada persoalan proses pembuatan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang tidak cukup terangkum serta kegagalan untuk mengambil-kira kebudayaan bumiputera bukan Islam yang juga merupakan masyarakat pribumi di Malaysia sebagai unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.

Menjejaki sejarah idea yang melahirkan kebudayaan kebangsaan, Hafez menemukan perubahan pemikiran tentang kebudayaan kebangsaan di kalangan intelektual yang mewakili Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1990 yang mengajukan suatu formulasi kebudayaan kebangsaan yang berbeza daripada Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1973 itu.

Hemat Hafez, persoalan kebudayaan bukanlah sesuatu yang bersifat statik tetapi berubah mengikut kondisi sosial masyarakat. Malahan tidaklah menjadi suatu kesalahan pada Hafez untuk mengkritik, menilai dan membincangkan semula Dasar Kebudayaan Kebangsaan agar suatu penyelesaian yang lebih terangkum dan adil dapat dicari.

Edry pula menukilkan buah fikirannya di tulisan yang berjudul ‘Bangsa Malaysia atau Rakyat Malaysia?’. Tulisan Edry ini merupakan suatu kritik terhadap tulisan Khaled tentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang melihat bahawa tidak wujud ‘Bangsa Malaysia’ tetapi yang wujud hanyalah ‘Rakyat Malaysia’ yang berbilang etnik, agama dan bahasa.

Edry sebaliknya mengusulkan konsep ‘Bangsa Malaysia’ sebagai suatu projek yang mulia dan seharusnyalah menurut Edry disokong oleh semua orang termasuklah Khaled. Selain itu, Edry juga mengajukan supaya sejarah Malaysia dilihat pada waktu penubuhan Malaysia dan bukan mengambil dari zaman silam supaya dapat difahami nilai-nilai yang terkandung di dalam Malaysianisme.

Apakah itu ‘Malaysianisme’ dan apakah rupa-bentuk, identiti, ciri-ciri dan nilai-nilai yang seharusnya terkandung dalam ‘Malaysianisme” tidak pula Edry jelaskan.

Tulisan Edry itu kemudiannya dibidas oleh Azharuddin Aziz dalam ‘Malaysia Bukan Lahir Dalam Vakum’ yang mengkritik pemahaman Edry yang dilihat gagal memahami proses kelahiran sesuatu ‘bangsa’ itu yang bersifat rencam dan pelbagai mengikut konteks sejarah, ekonomi, politik, sosio-budaya dan struktur sesebuah masyarakat. Azharuddin berhujah tidak semua masyarakat dunia mengalami proses kesedaran berbangsa dalam bentuk yang sama.

Edry juga didakwa Azharuddin sebagai bukan sahaja gagal untuk memberikan takrifan ‘bangsa’ yang jelas tetapi juga keliru apabila Edry mencampur adukkan antara konsep ‘bangsa’ dan ‘ras’.

Kritikan Azharuddin yang paling lantang ialah apabila Edry dituding sebagai polos sejarah (ahistorical) apabila Edry mengajukan supaya sejarah Malaysia dilihat pada waktu penubuhan Malaysia dan bukan daripada sejarah silam sebelum wujudnya Malaysia.

Memandangkan kritikan-kritikan yang dilemparkan kepada tulisan Khaled dan Edry belum lagi dibalas oleh mereka berdua, maka kita tidak dapat untuk mengetahui dengan pasti apa  sebenarnya jawapan mereka terhadap persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan oleh Muhammad Hafez Darwis dan Azharuddin Aziz itu.

Tulisan saya ini pula adalah suatu kesinambungan kepada tulisan-tulisan di atas selepas saya meneliti hujah-hujah yang dikemukakan oleh mereka. Ianya adalah suatu usaha sederhana daripada diri saya untuk cuba mempertemukan kepelbagaian naratif yang terkandung dalam tulisan-tulisan tersebut pada satu titik yang boleh diperkongsikan bersama.

Tulisan Khaled umumnya boleh dipetakan sebagai suatu naratif yang mengidamkan Malaysia yang berkeperibadian dan beridentiti Melayu-Islam sebagai teras kebangsaannya. Khaled tentunya tidak menafikan peranan daripada etnik lain dalam pembentukan kebangsaan Malaysia ini. Tapi terasnya adalah berpaksikan kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang diajukan oleh Khaled. Malaysia sebagai suatu idea bagi Khaled adalah berasal dari Tanah Melayu dan kerana itu teras kebudayaan Melayu-Islam harus kekal menjadi panduan utama di dalam kehidupan berbangsa dan bernegara.

Manakala tulisan Edry pula adalah suatu tulisan yang mengidamkan kepada kelahiran sebuah bangsa yang dikonsepkan sebagai Bangsa Malaysia yang pembentukannya menurut Edry harus diambil dari sejarah penubuhan Malaysia itu sendiri dan bukannya ditarik dari zaman silam. Edry tentunya tidak menafikan hakikat sejarah bahawa sebelum Malaysia wujud, yang terlebih dahulu wujud adalah Persekutuan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957.

Namun begitu Edry melihat dengan kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 telah mengubah bentuk, keperibadian dan identiti kebangsaan Malaysia. Justeru itu menurut Edry sewajarnyalah sejarah Malaysia dimulai pada waktu penubuhan Malaysia dan bukan dari zaman sebelumnya.

Terdapat dua pola ekstrim yang terkandung di dalam kedua-dua konsep Malaysia yang diidamkan oleh kedua-dua sosok ini. Dua pola pandangan yang berbeza ini kemungkinan besar tidak hanya mewakili pendapat peribadi masing-masing, tetapi juga turut dikongsi oleh organisasi yang mereka wakili dan juga sebahagian daripada masyarakat Malaysia yang lainnya. Perbezaan konsep Malaysia yang diidamkan ini wajar saja memandangkan hakikat kepelbagaian yang wujud dalam negara kita yang melahirkan cita dan aspirasi yang juga rencam.

Persoalannya ialah bagaimana untuk mencari suatu titik temu di dalam kepelbagaian dan kerencaman idaman yang ingin dijadikan realiti itu?

Mungkin perkara pertama yang harus difahami ialah bangsa sebagai suatu fenomena sosial adalah sebuah proses. Menjadi bangsa bukanlah sesuatu yang semulajadi. Terdapat proses-proses yang tertentu yang perlu dilalui untuk melahirkan kesedaran sebagai suatu bangsa. Dan tidak semua bangsa-bangsa di dunia ini melalui proses yang sama. Proses yang dilalui sehingga terbentuknya sesuatu bangsa itu berbeza di setiap wilayah dan dipengaruhi pula oleh kekhasan sejarah dan juga proses sosial, politik dan ekonomi yang melatari perjalanan sesuatu komuniti itu untuk menjadi bangsa.

Dan tentunya bangsa tidak lahir dalam tempoh setahun atau dua tahun, bahkan sepuluh tahun. Menjadi bangsa dalah suatu proses yang panjang. Bangsa, dalam hal ini, tidak terjadi dalam hampawa (vakum). Terdapat proses-proses yang tertentu yang panjang dan lama (mungkin beratus tahun) sebelum kesedaran berbangsa itu wujud. Dan bangsa bukanlah suatu fenomena yang statik tetapi sentiasa bergerak, dinamik dan terus bergulir dalam proses kemenjadian (becoming) yang berterusan.

Kalau kita punya kefahaman bahawa bangsa adalah sebuah proses, maka kita tidak akan mudah untuk terus menidakkan idea tentang Bangsa Malaysia.

Memandangkan bangsa adalah sebuah proses, maka memahami proses-prosesnya inilah yang akan membantu kita untuk melahirkan bangsa Malaysia. Dan sebahagian daripada proses ini adalah tentang masa silam dan masa kini. Memperakui sejarah silam dan menerima sepenuh hati hakikat masa kini adalah sebahagian daripada langkah awal ke arah mencari titik temu kepada dua pandangan berbeza yang terkandung di dalam tulisan Khaled dan Edry ini.

Malaysia pada hari ini bukan lagi Tanah Melayu. Hakikat bahawa Malaysia bukan lagi Tanah Melayu ini adalah akibat daripada proses sejarah yang dilaluinya yang telah mengubah struktur demografi dengan kehadiran pelbagai etnik, agama, bahasa dan budaya kelompok-kelompok manusia yang kini menjadi sebahagian daripada warganegaranya. Penyertaan Sabah dan Sarawak pada tahun 1963 ke dalam Persekutuan Malaysia bukan sahaja menambahkan lagi kerencaman dan kepelbagaian etnik, agama, bahasa dan budaya tetapi juga menukar nama wilayah politik kita daripada Persekutuan Tanah Melayu kepada Persekutuan Malaysia.

Namun begitu, perubahan daripada Tanah Melayu kepada Malaysia tidak bererti berkuburnya sejarah silam. Sejarah lampau sebelum Malaysia tetap ada. Malahan sejarah sebelum adanya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 juga akan masih terus wujud dan diingati. Adalah menjadi suatu ketidakadilan dan kezaliman sejarah jika sekiranya yang lampau itu dipadamkan dari ingatan. Kita sebahagiannya adalah ingatan-ingatan lampau. Memadamkan ingatan lampau adalah menafikan wujudiah diri kita pada hari ini.

Persoalan seterusnya apakah sejarah lampau Malaysia hanya berhenti sebatas Melaka semata-mata? Apakah sebelum Melaka tiada langsung wujud sejarah politi-politi Melayu tua? Teks Tun Daim Zainuddin di Seminar Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional (yang disampaikan di UTM Skudai pada 19 Mac 2019) misalnya, mengajukan penerokaan sejarah politi-politi Melayu tua jauh melangkaui batas empayar Melaka. Malahan dalam sesi soal jawab di seminar yang sama Tun Daim turut mengungkapkan tentang Lembah Bujang di Kedah sebagai pemula kepada peradaban Melayu.

Walau pun kemudiannya teks ucapan Tun Daim ini mendapat kritikan daripada beberapa felo Naratif Malaysia sendiri. Ini kerana menurut mereka, teks tersebut gagal melihat masalah pendidikan negara (yang ditulis oleh Haris Zuan), selain penafian terhadap fungsi emosi manusia (yang ditulis oleh Ramze Endut) serta tumpuan yang berlebihan terhadap ekonomi (yang ditulis oleh Ruhan Shahrir) sehingga mengabaikan aspek-aspek bahasa, budaya dan identiti kebangsaan. Sunggupun begitu, perlu disebutkan juga bahawa Tun Daim dalam pada masa yang sama telah membuka wacana sejarah yang merentasi zaman Melayu-Islam yang ditandai oleh empayar Melaka.

Natijahnya, membuka wacana sejarah bererti membuka kembali wajah-wajah kita yang lampau. Wujud kita seperti mana pada hari ini adalah kesan dan akibat daripada proses-proses sejarah yang kita jalani sebagai sebuah komuniti di masa lampau. Tetapi yang lampau itu kemudiannya melalui proses-proses sejarahnya yang khas yang kemudiannya melahirkan pula wajah-wajah kita yang baru. Wajah kita pada hari ini adalah suatu proses kemenjadian (becoming) yang senantiasa bergulir dan terus bergulir dari garis masa silam sehinggalah kini. Manakala wajah kita pada masa hadapan pula adalah bergantung kepada sejauh mana kita memperakui masa silam dan menerima hakikat masa kini.

Masa silam wilayah yang kita namakan Malaysia ini ditandai oleh kewujudan politi-politi Melayu tua yang hibrid (dipengaruhi oleh kosmologi pemikiran Melayu-Hindu-Buddha) yang kemudiannya berubah menjadi politi-politi kesultanan Melayu-Islam sebelum bertukar menjadi Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya berubah menjadi Malaysia dengan sistem politi raja berperlembagaan yang kita kenali sekarang ini.

Justeru, apakah Khaled bersedia untuk menerima hakikat bahawa Malaysia kini bukan lagi Tanah Melayu? Juga, apakah Edry pula sanggup untuk mengiktiraf bahawa Malaysia bukan suatu entiti polos sejarah yang terbatas di tahun 1963 semata-mata, sebaliknya lahir dan berevolusi dari sejarah politi dan peradaban Melayu silam? Tidak memberi sikap terhadap persoalan boleh memberi makna bahawa kedua-dua mereka ini tidak serius untuk memperdalamkan perbincangan yang mendesak mengenai identiti kebangsaan.

Untuk saya, jalan keluarnya bukannya memilih salah satu daripada dua pola tersebut. Jalan keluarnya ialah dengan merangkul dan mendakap kedua-duanya. Yakni menerima dan merangkul hakikat masa kini dan memperakui serta mendakap masa silam adalah langkah pertama ke arah proses melahirkan naratif Malaysia yang lebih adil dan terangkum.

Design a site like this with WordPress.com
Get started