Cita-cita Politik

Pensejarahan itu mustahak. Bagi pembinaan mana² negara dan masyarakatnya yang progresif, penghayatan dan gelanggang sejarah menjadi satu sumber intelektual dan budaya yang kritikal.

Pensejarahan itu mustahak. Bagi pembinaan mana² negara dan masyarakatnya yang progresif, penghayatan dan gelanggang sejarah menjadi satu sumber intelektual dan budaya yang kritikal.

Namun, kecenderungan untuk bergantung kepada sejarah sebagai rujukan untuk garis² visi dan tatanan masyarakat mempunyai masalahnya. Mungkinnya sahaja kita akan terbawa dengan soalan² lama. Juga ada keadaannya apabila kita terperangkap dengan kaedah² lama untuk menjawab dan menyelesaikan soalan² lama. Akhirnya kita kerap terpenjara dalam kegelapan bayang² masa dan ruang lampau.

Ini adalah fenomena kemiskinan pemikiran, dan juga politik.

Politik tidak merujuk kepada parti politik, pilihanraya, praktik dan mekanisme politik dan dasar² awam sahaja. Ini adalah gerak kerja sekitar perebutan dan pelaksanaan kuasa. Takrifan sebegini lebih sempit. Walau bagaimanapun, politik teknis dan kuasa ini telah membentuk bayangan dominan masyarakat Malaysia untuk sekian lama.

Bagi kita, lambang dan erti politik adalah arus gagasan yang lebih besar, dan mendalam dan ada geloranya. Politik adalah satu proses dan lapangan untuk membina dan mengartikulasikan pandangan sosial bagi membentuk suatu tatanan masyarakat. Politik, dan perspektif² dan naratif² yang menjadi asasnya, tentunya adalah berwarna-warni dan majmuk.  

Sebelum, atau berangkali seiring dengan, perbincangan persoalan dan projek pembinaan negara bangsa ataupun bangsa adalah perbahasan erti dan wawasan politik.

Apakah nilai² politik, atau idea² politik yang harus diajukan dan diangkat?

Bagaimana nilai dan idea politik ini dapat membentuk satu tatanan sosial masyarakat yang baik dan luas?

Tugas mezahirkan dan menilai negara bangsa membawa bebanan yang berat dan terlalu langsung ke depan. Sebaiknya, adalah dan perlunya penelitian bentuk² dan cita² politik mendahului tumpuan agenda dan keinginan mendirikan negara bangsa.

Makanya, persoalan politik juga adalah persoalan pengilhaman dan pembentukan masyarakat politik. Ia membawa kepada pertanyaan dan perbahasan sifat dan ciri dan struktur masyarakat yang kita inginkan serta kongsi bersama. Di sininya, dibincangkan prinsip² moral dan etika.

Kebuntuan kita, dan permasalahan yang sering berlingkaran dan menempuhi masyarakat Malaysia berpunca daripada kurangnya dan langkanya pembangunan cita² politik dalam dan untuk masyarakat.

Pada masa sama, tambahan kepada takrif politik sempit yang melemahkan daya masyarakat, adalah orientasi dan pandangan kehidupan yang kecil dan terbatas lagi menyempit. Posisi dan tingkah laku sebegini bermasalah dan membahayakan kerana menekan dan mengecualikan kumpulan² dan kelas² sosial tertentu daripada terlibat sama dalam perwacanaan cita² politik yang menjadi tapak kepada pembinaan dan pengstrukturan masyarakat politik, dan seterusnya, wadah dan inti kerangka negara bangsa.

Defisit dan korupsi ekonomi dan belanjawan adalah masalah yang mendesak dan genting. Namun, defisit cita² politik, serta naratif² politik yang mendasarinya, adalah kemiskinan yang lebih zalim. Hasilnya masyarakat yang fakir jiwanya, tandus budayanya, dan rapuh pemikirannya.

Masyarakat yang sebegini ada dan terjadinya, tiada teras etika-moral.

Laporan Siri Syarahan Negara Idaman oleh Chandra Muzaffar

Chandra Muzaffar usulkan konsep yang disebut “konsep insan” yang mempertimbang aspek kemuliaan manusia dengan tumpuan terhadap aspek kebertanggungjawaban sebagai seorang warganegara Malaysia—termasuklah tanggungjawab menghargai sejarah negara.

Tarikh: 8 Ogos 2019
Masa: 10.00 pagi – 12.30 tengahari
Tempat: Bilik Mesyuarat IKMAS, UKM
Jumlah Peserta: 20 orang

Pendahuluan

Syarahan Negara Idaman adalah merupakan salah satu program yang dijalankan oleh pihak Naratif Malaysia (NM). Program ini bertujuan untuk merungkaikan persoalan yang menjadi intipati kepada cita-cita Negara Idaman iaitu tentang identiti kebangsaan – siapa dan bagaimana menjadi orang Malaysia. Program syarahan anjuran bersama IKMAS, Naratif Malaysia (NM) dan Penang Institute (PI) ini bakal melibatkan pelbagai tokoh. Untuk siri kali ini pihak penganjur telah berjaya menampilkan seorang sosok intelektual yang tidak asing lagi dalam perbincangan negara-bangsa iaitu Dr. Chandra Muzaffar. Beliau membawa tajuk “Setelah 9 Mei 2018: Masa Depan Bangsa Malaysia”. Malah, menurut saudara Ruhan Shahrir yang merupakan pemudahcara bagi syarahan kali ini, Dr Chandra Muzaffar merupakan seorang sosok intelektual-aktivis memandangkan penglibatan beliau secara aktif dalam organisasi-organisasi bukan kerajaan yang banyak memperjuangkan agenda hak asasi manusia, keadilan sejagat, kebebasan dan perpaduan. Beliau sekarang adalah merupakan Presiden JUST (International Movement for a Just World) yang merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan. Organisasi ini bertujuan untuk membangkitkan kesedaran berpandukan ilmu pengetahuan dan asas intelektual bagi mewujudkan sebuah dunia dengan sistem tatakelola yang adil.

Pengisian Syarahan

Syarahan kali ini dimudahcara oleh saudara Ruhan Shahrir Abdul Halim yang merupakan seorang felo penyelidik di Institut Kajian Etnik (KITA) UKM. Beliau memulakan majlis dengan memperkenalkan kepada para hadirin tentang latar belakang penceramah pada kali ini yang bukan sahaja seorang bekas ahli akademik di USM dan UM bahkan pernah bertanding dalam pilihan raya umum tahun 1999 di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak mewakili Parti Keadilan Rakyat. Beliau juga sempat berkongsi tentang salah satu karya Dr Chandra yang berupaya memberikan kesan dalam membentuk pandangannya terutama dalam membincangkan perkembangan Islam di Malaysia iaitu buku yang berjudul “Islamic Resurgence in Malaysia”. Kemudian, moderator memberikan peluang kepada Pengarah IKMAS, Profesor Dr. Sufian Jusoh untuk memberikan kata-kata aluan seterusnya merasmikan majlis syarahan pada hari tersebut. Beliau menzahirkan rasa bersyukur atas inisiatif yang dijalankan serta dalam masa yang sama mengalu-alukan kedatangan Dr. Chandra Muzaffar selaku tetamu istimewa pada program tersebut.

Syarahan Negara Idaman dimulakan oleh Dr Chandra dengan beliau terlebih dahulu memberikan penghargaan kepada pihak penganjur kerana menjemput beliau untuk membincangkan sebuah tajuk yang sehingga hari ini belum mampu diselesaikan secara tuntas dalam negara masyarakat majmuk di Malaysia. Oleh sebab itu, beliau menyatakan mana-mana perbincangan tentang Bangsa Malaysia dalam konteks perpaduan dan keharmonian adalah merupakan tajuk yang begitu dekat dengan hati sanubari beliau memandangkan ianya adalah sebahagian daripada perjuangan beliau selama ini. Hal ini boleh kita lihat menerusi usaha beliau samada melalui idea-idea yang dicurahkan dalam bentuk penulisan serta penglibatan dalam organisasi masyarakat warga (civil society) yang bertujuan untuk merealisasi cita-cita perpaduan dan keharmonian masyarakat di Malaysia.

Perbahasan tentang persoalan Bangsa Malaysia mula dibincangkan secara lebih serius terutamanya pada era Perdana Menteri Keempat apabila beliau telah meletakkan idea Bangsa Malaysia sebagai salah satu daripada sembilan cabaran yang perlu digalas dalam Wawasan 2020. Agenda pemodenan Malaysia yang ingin dicapai melalui Wawasan 2020 mempunyai dua tujuan iaitu tujuan dari sudut ekonomi melalui program industrialisasi dan tujuan dari sudut politik melalui idea tentang Bangsa Malaysia – identiti kebangsaan yang sepunya bagi rakyat Malaysia. Namun, apa yang menjadi masalah tentang idea Bangsa Malaysia dalam Wawasan 2020 ini adalah ketiadaan perincian tentang bagaimana bentuk atau model Bangsa Malaysia yang ingin dicapai. Hal ini menyebabkan apabila idea Bangsa Malaysia yang sifatnya masih terlalu umum dilontarkan ke dalam minda masyarakat khususnya dalam perbincangan ruang awam, telah menghasilkan pelbagai tafsiran tentang konsep Bangsa Malaysia dalam kalangan masyarakat.

Dalam syarahan kali ini, Dr. Chandra hanya memfokuskan kepada dua tafsiran yang muncul dalam dua kelompok utama rakyat Malaysia iaitu tafsiran daripada kelompok Melayu dan kelompok bukan Melayu. Pendekatan yang diambil oleh Dr Chandra dalam menghuraikan dua tafsiran ini adalah dengan menggunakan kaedah “historical sociology” yang melihat sesebuah fenomena sosial dalam hubungan pembentukannya dengan faktor sejarah. Tafsiran terhadap konsep Bangsa Malaysia yang pertama adalah tafsiran yang muncul dalam kelompok bukan Melayu. Konsep Bangsa Malaysia yang dilancarkan pada tahun 1991 boleh kita andaikan disambut baik oleh kelompok bukan Melayu apabila menunjukkan pola sokongan yang baik dalam keputusan pilihan raya umum 1995 kepada kerajaan Barisan Nasional yang memerintah waktu itu.  Hal ini menurut Dr. Chandra adalah kerana kelompok ini melihat gagasan ataupun idea tentang Bangsa Malaysia yang ingin diwujudkan sebagai suatu usaha yang berupaya untuk membuka jalan kepada pelaksanaan agenda kesamarataan kepada seluruh rakyat Malaysia. Bagi kelompok ini, mereka merasakan persoalan kedudukan istimewa orang Melayu, Bahasa Melayu dan agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan telah menjadi penghalang selama ini kepada idea kesamarataan.

Menerusi ulasan yang disampaikan oleh Dr. Chandra, tafsiran yang diberikan oleh kelompok ini ada kebenarannya juga, namun pendekatan yang diambil oleh mereka dalam beberapa keadaan agak bermasalah kerana tidak mengambilkira faktor realiti di lapangan yang berbeza-beza dan tidak menghubungkan permasalahan realiti hari ini dengan proses sejarah pembentukannya yang panjang. Sebagai contoh dari sudut sosioekonomi, beliau membayangkan dua situasi yang berbeza di antara golongan miskin (B40) di pedalaman Sarawak dengan golongan kelas menengah atasan di Selangor memerlukan dua pelaksanaan polisi yang berbeza dengan mengambilkira faktor persekitaran masing-masing yang juga turut berbeza. Hal inilah yang membawa kepada hujah beliau tentang idea kesamarataan yang diperjuangkan oleh kelompok bukan Melayu tadi sangat berkait rapat dengan soal keadilan supaya setiap kelompok masyarakat mendapat layanan yang setimpal dan mampu menyelesaikan masalah dunia sosial mereka. Dari sudut sosiobudaya pula, Dr. Chandra membangkitkan tentang persoalan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang diutamakan mengatasi bahasa-bahasa lain yang wujud di Malaysia terutamanya Bahasa Cina dan Tamil. Menurut beliau, inilah yang dikatakan pendekatan mereka yang agak bermasalah kerana tidak mengambilkira konteks khususnya dari aspek sejarah dan perkembangan sejarah yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantara (lingua franca) di benua nusantara ini.

Manakala, tafsiran terhadap konsep Bangsa Malaysia yang kedua adalah yang datang daripada pandangan kelompok orang Melayu. Menurut Dr. Chandra, terdapat sebahagian daripada kelompok orang Melayu ini yang merasakan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Melayu atau dalam istilah sejarahnya sebagai Tanah Melayu. Dalam menghuraikan tafsiran yang kedua ini, beliau berpandangan bahawa ianya juga adalah agak bermasalah khususnya dalam rangka untuk mencapainya kerana tidak melihat dengan serius kepada proses pensejarahan terutamanya sejarah bagaimana kemasukan kelompok bukan Melayu ke dalam Tanah Melayu yang kemudiannya adalah Malaysia. Malahan, beliau juga sempat menyinggung Bangsa Melayu sebagai bangsa yang rugi kerana perjuangan nasionalisme Melayu dalam sejarah ternyata tidak berupaya untuk mewujudkan negara Melayu sebagaimana yang berlaku di negara-negara lain seperti Indonesia. Natijahnya, yang wujud adalah negara Malaysia yang sifatnya pelbagai kaum di mana bangsa Melayu turut termasuk menjadi kaum Melayu daripada pelbagai kaum yang wujud di Malaysia. Dari aspek sejarah kemasukan bukan Melayu tadi, beliau membahagikan sejarah tersebut kepada dua tempoh masa iaitu sebelum kemasukan penjajah dan selepas kemasukan penjajah. Semasa tempoh sebelum kemasukan penjajah, penghijrahan dan proses mastautin yang berlaku adalah secara semulajadi (natural migration) yang tidak membawa masalah-masalah yang besar kepada masyarakat setempat pada masa itu memandangkan jumlah peratusannya juga yang agak kecil. Namun, yang menjadi masalah adalah pada tempoh selepas kemasukan penjajah kerana proses yang berlaku bukan lagi proses yang disebut natural migration. Menurut beliau, ada dua sebab kenapa proses ini bermasalah adalah kerana peratusan migrasi yang besar dan peranan kepimpinan peribumi yang tidak berupaya menghalang keputusan penjajah yang bertindak mengawal penuh terhadap proses migrasi ini.

Bagi pandangan Dr. Chandra, dua tafsiran yang dibentangkan ini adalah merupakan antara penghalang kepada perpaduan nasional yang ingin dicapai. Di akhir sesi syarahan kali ini, beliau telah mengusulkan suatu jalan penyelesaian kepada masalah yang telah dibincangkan iaitu melalui jalan perlembagaan dan pendidikan. Di antara rahmat atau keberuntungan yang besar bagi Malaysia adalah pada struktur perlembagaan Malaysia yang telah digubal yang cuba untuk mencantumkan kelompok-kelompok yang ada dalam erti kata ingin mencapai keseimbangan. Sebagai contoh, walaupun Perkara 153 secara jelas menyebut tentang kedudukan orang Melayu dan bumiputera namun dalam masa yang sama turut menetapkan tentang hak bukan Melayu juga akan terjamin. Begitu juga hal dan keadaannya dalam perkara bahasa dan agama. Melalui jalan perlembagaan, aspek yang terpenting di dalamnya adalah tentang aspek kewarganegaraan. Daripada aspek kewarganegaraan kemudiannya akan timbul pula dua hal yang utama iaitu persoalan hak dan persoalan tanggungjawab. Dalam realiti dunia moden pada hari ini, persoalan hak menurut beliau sudah jelas termaktub dalam perlembagaan namun persoalan tentang tanggungjawab masih kurang diberi perhatian untuk diterapkan kepada setiap warganegara. Justeru itu, beliau mengusulkan di hujung sesi suatu konsep yang disebut “konsep insan” dari sudut kemuliaan dan kehormatannya yang harus diberikan pendidikan tentang elemen tanggungjawab sebagai seorang warganegara Malaysia dan salah satu daripadanya adalah tanggungjawab untuk memahami dan menghargai sejarah.

Penutup

Syarahan kali ini disudahi dengan ucapan penutup oleh saudara Ruhan Shahrir yang membuat kesimpulan ringkas terhadap syarahan yang telah disampaikan oleh Dr Chandra. Beliau menegaskan bahawa perbahasan tentang persoalan Bangsa Malaysia adalah merupakan sebuah proses yang akan terus berjalan dan memerlukan penglibatan semua pihak untuk turut sama menjayakannya. Beliau juga turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada para hadirin yang terdiri daripada pelbagai pihak atas kehadiran dan penyertaan yang diberikan sepanjang perbincangan berlangsung.

Keterpendaman Melayu: Unsur-unsur Nasionalisme Melayu (Bahagian 4/5)

Justeru, persoalan seterusnya ialah bagaimana untuk membina sebuah nasionalisme yang lebih berketerangkuman dan pada masa yang sama mengimbangi cita-cita nasionalisme Melayu agar dapat pula menangani permasalahan yang dibawa oleh ‘keterpendaman Melayu’ itu?

Terdapat pelbagai unsur yang membentuk nasionalisme Melayu. Unsur mana yang diangkat sebagai fokus perjuangan sesuatu kelompok itu bergantung kepada jalur ideologi pemikiran politik masing-masing.

Justeru, nasionalisme Melayu tidak bersifat tunggal. Sebaliknya pelbagai. Tapi disebalik kepelbagaian bentuk itu terdapat cita-cita dan aspirasi yang sama iaitu – cita, aspirasi dan keinginan untuk memastikan rupa-bentuk, identiti dan keperibadian Melayu menjadi teras utama kepada wajah politi yang dinamakan Malaysia.

Penzahiran wajah politi yang berunsurkan keMelayuan ini penting dalam upaya untuk ia membezakan dirinya dengan politi-politi lain yang wujud dalam dunia ini. Dan hal ini adalah sesuatu yang lazim dan wajar sahaja bagi mana-mana komuniti nasional – yakni kecenderungan untuk menjadikan diri nasional (national-self) berkeperibadian khas dan unik dirinya sendiri berbeza daripada komuniti nasional yang lain; atau dalam istilah bahasa Latinnya sui-generis.

Terdapat tujuh unsur nasionalisme Melayu yang menjadi sumber kepada ‘keterpendaman Melayu’ ini.

Cita-Cita Politik

Unsur yang pertama adalah cita-cita politik – yakni keinginan untuk memastikan kepimpinan politik kepada politi Malaysia ini kekal di tangan Melayu.

Kepimpinan politik ini bukan hanya semata-mata jawatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri sahaja tetapi juga kedudukan dan jawatan penting yang strategik di dalam Kabinet Menteri, Jabatan-jabatan Kerajaan dan juga Perkhidmatan Awam.

Dalam ‘keterpendaman Melayu’ ini, unsur politik adalah yang dianggap paling penting kerana ia dipercayai sebagai kunci yang membolehkan unsur-unsur nasionalisme yang lain ditegakkan dan dilaksanakan.

Cita-Cita Ekonomi

Unsur yang kedua adalah cita-cita ekonomi – yakni keinginan untuk memastikan agihan kekayaan negara Malaysia ini turut dapat dinikmati dengan lebih adil dan saksama di mana kemiskinan Melayu dapat dihapuskan dan jurang kekayaan antara Melayu dan bukan Melayu dapat dikurangkan.

Cita-cita ekonomi ini berakar-umbi dari sejarah kolonial pecah dan perintah yang sebahagiannya telah meminggirkan penglibatan Melayu dalam sistem kapitalis ekonomi pasar (capitalist market-economy) sehinggakan di awal tahun-tahun kemerdekaan komuniti Melayu adalah antara komuniti paling miskin dan terkebelakang dari sudut ekonomi.

Cita nasionalisme ekonomi Melayu ini berterusan sehinggalah sekarang dan pencapaian kolektifnya masih lagi dilihat oleh ramai orang Melayu sebagai gagal. Cita-cita ekonomi ini saling bertaut dengan cita-cita politik nasionalisme Melayu.

Ini adalah kerana cita-cita ekonomi dipercayai hanya boleh ditegakkan dan dilaksanakan jika sekiranya Melayu mempunyai kuasa politik. Kehilangan kuasa politik cenderung diyakini sebagai hambatan dan penghalang untuk merealisasikan cita-cita ekonomi.

Kerana itu jugalah perlantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan misalnya, menjadi satu polemik dalam masyarakat Melayu dan dipropagandakan sebagai sesuatu yang negatif buat masa depan ekonomi bangsa Melayu. 

Disebabkan oleh cita-cita ekonomi yang terkandung dalam nasionalisme Melayu ini jugalah makanya Mahathir Mohamad mewujudkan satu portfolio baru iaitu Menteri Hal-Ehwal Ekonomi dan melantik Azmin Ali untuk menerajuinya walau pun Lim Guan Eng sudah pun memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan. Ini tentunya dilakukan atas pertimbangan cita-cita ekonomi nasionalisme Melayu yang terpendam.

Cita-cita ekonomi adalah unsur nasionalisme Melayu yang sangat penting buat manusia Melayu dan sering kali menjadi agenda utama parti-parti politik Melayu tidak kira samada yang di sebelah pemerintah, mahu pun pembangkang.

Kenyataan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, yang mengatakan bahawa agenda memperkasakan ekonomi bumiputera perlu dilaksanakan dengan lebih gigih tanpa perlu meminta maaf, selepas kekalahan PH di PRK Semenyih misalnya, adalah penzahiran kepada unsur cita-cita ekonomi yang terkandung di dalam nasionalisme Melayu ini.

Cita-Cita Agama

Ketiga, unsur cita-cita agama – yakni keinginan untuk meletakkan Islam di kedudukan yang paling tinggi berbanding agama-agama lain. Kedudukan tinggi ini bukan hanya dicitakan dalam bentuk perlembagaan atau undang-undang semata-mata tetapi juga sebagai suatu sistem kepemerintahan yang perlu menjadi teras utama pengaturan hidup bernegara dan bermasyarakat.

Kerjasama rasmi yang dijalin antara UMNO dan PAS misalnya adalah sebahagian daripada cita-cita agama yang terkandung di dalam nasionalisme Melayu. Kenyataan dari pemangku jawatan presiden UMNO, Datuk Seri Mohammad Hassan yang menganggap bahawa kerjasama antara UMNO dan PAS sebagai suatu langkah ke arah ‘penyatuan ummah’ adalah contoh cita-cita agama yang ada di dalam nasionalisme Melayu.

Begitu juga dengan kenyataan daripada Menteri Hal-Ehwal Agama Islam, Mujahid Yusof Rawa yang mengatakan bahawa kerajaan PH tidak akan memberi sebarang pengiktirafan kepada gaya hidup dan amalan LGBT di negara Malaysia, adalah satu lagi contoh cita-cita agama yang terkandung di dalam nasionalisme Melayu yang terpendam ini.

Unsur cita-cita Islam dalam nasionalisme Melayu ini wujud dan hadir dalam setiap tubuh parti-parti Melayu samada parti pemerintah mahu pun pembangkang tapi dalam bentuk dan intensiti yang berbeza-beza.

Dari sudut sejarah awal perkembangannya, cita-cita Islam ini bukanlah unsur yang paling dominan dalam nasionalisme Melayu. Akan tetapi mutakhir ini khususnya sejak dari zaman kebangkitan Islam di tahun-tahun 1970an, sehinggalah ke hari ini, Islam telah menjadi unsur yang semakin penting dan berpengaruh di dalam menggembeling sentimen nasionalisme Melayu.

Cita-Cita Budaya

Keempat, unsur cita-cita budaya – yakni keinginan untuk menempatkan budaya Melayu sebagai budaya teras yang mencirikan rupa-bentuk Malaysia.

Budaya dalam erti-kata yang luas termasuklah tatacara pengelolaan kehidupan, nilai kolektif, pandangan dunia, tingkah-laku, adat-istiadat, warisan, tradisi dan juga artifak-artifak budaya dalam bentuk kesenian, kesusasteraan, senibina, pakaian, makanan dan simbol-simbol keMelayuan yang terjelma darinya.

Memandangkan budaya sifatnya adalah anjal, berubah dan tidak statik – maka unsur ini senantiasa tertakluk kepada perubahan, khususnya yang diakibatkan oleh perubahan struktur dalam masyarakat.

Justeru, tumpuan cita-cita budaya ini umumnya akan difokuskan kepada keinginan untuk menempatkan artifak-artifak budaya keMelayuan yang ketara dan boleh dipegang (tangible)khususnya dalam bentuk kesenian, kesusasteraan, pakaian, makanan, senibina, tradisi dan adat-istiadat sebagai suatu bentuk simbol, perwakilan dan perlambangan utama kepada politi Malaysia.

Cita-Cita Bahasa

Kelima, unsur cita-cita bahasa – yakni keinginan untuk mengangkat bahasa kebangsaan Malaysia iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa utama masyarakat Malaysia dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama yang digunakan seharian secara meluas.

Cita bahasa ini bukan hanya mahukan bahasa kebangsaan digunakan di sekolah kebangsaan tetapi juga di segenap ruang kehidupan awam baik di bidang politik, ekonomi, pendidikan, sosio-budaya, wacana keilmuan, universiti, undang-undang, ruang masyarakat sivil dan juga aktiviti-aktiviti awam yang lain.

Dari sudut sejarah perkembangan awalnya, cita bahasa ini adalah antara cita yang menjadi fokus penting buat nasionalisme Melayu dari jalur pemikiran kiri dan sering menjadi isu yang diangkat oleh tokoh-tokoh kiri seperti Ibrahim Yaakob, Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam, Usman Awang, tokoh-tokoh dalam Gerakan ASAS 50 dan nasionalis-nasionalis Melayu kiri yang lainnya.

Namun di perkembangan sejarah cita bahasa ini yang selanjutnya, ia seperti kehilangan pengaruh akibat dari pemenjaraan tokoh-tokoh politiknya, kooptasi oleh negara ke atas pejuang-pejuangnya yang diserap masuk ke dalam struktur institusi dan birokrasi negara, keengganan sebahagian besar daripada bukan Melayu khususnya masyarakat Cina untuk menerima sepenuhnya cita bahasa kebangsaan, permintaan dari pasaran pekerjaan yang memberi keutamaan kepada bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin, kewujudan pelbagai aliran sekolah yang menggunakan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, dasar kerajaan sendiri yang memperlemahkan penggunaan bahasa kebangsaan, kelas intelektual Malaysia yang lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris dan ada di antara mereka yang tiada kefasihan berwacana dalam bahasa kebangsaan, dan juga perubahan struktural sosio-ekonomi dan mobiliti sosial masyarakat yang telah berlaku dengan pesatnya di Malaysia.

Kesemua ini mempengaruhi cita-cita bahasa yang terkandung di dalam nasionalisme Melayu sehinggakan intesitinya menjadi luntur. Namun begitu ia tetap ada dan tak pernah padam. Malah dalam beberapa situasi punya keupayaan untuk diseru semula sebagai sebahagian daripada sumber penggembelingan sentimen ‘keterpendaman Melayu’.

Cita-Cita Sejarah

Keenam, unsur cita-cita sejarah – yakni keinginan untuk terus mempertahankan dan meletakkan naratif sejarah khususnya sejarah awal Malaysia sebagai bermula dari politi-politi awal keRAJAan Melayu tradisional dan bangsa Melayu sebagai satu-satunya komuniti bumiputera – dari sekian banyak komuniti bumiputera lain – yang memulakan sistem pemeritahan berkeRAJAan di wilayah politik yang dinamakan Malaysia ini.

Dalam erti kata lain cita-cita sejarah ini mahukan naratif sejarah Malaysia memberi keutamaan kepada sejarah bangsa Melayu manakala komuniti lain diberi peranan sampingan. Dalam cita-cita sejarah ini juga Melayu diangkat sebagai bangsa pentakrif kepada rupa-bentuk dan identiti Malaysia berdasarkan kepada dalil hujah bahawa bangsa Melayu adalah pemula kepada sistem kepemerintahan yang bercorak keRAJAan yang institusinya kekal sehingga kini.

Bangsa Melayu menurut cita sejarah ini pernah mengecapi zaman keagungan dan kegemilangannya sebelum mengalami kejatuhan dan kemerosotan akibat dijajah oleh kuasa-kuasa imperial Eropah. Kemerdekaan yang diperolehi setelah dijajah selama beratus tahun dianggap sebagai satu peluang yang perlu digunakan untuk membetulkan kembali kesalahan-kesalahan penjajah dan mengembalikan semula kegemilangan bangsa.

Walau pun terdapat perbezaan cita-cita sejarah yang terkandung dalam unsur nasionalisme Melayu ini dari sudut – sama ada yang mahu mengangkat zaman keRAJAan-keRAJAan yang rajanya menganut agama Hindu-Buddha atau membatasinya kepada keRAJAan-keRAJAan yang rajanya menganut agama Islam sahaja – tapi yang nyata, kedua-duanya sepakat dalam cita sejarah bersama iaitu kewujudan Malaysia adalah hasil daripada kesinambungan sejarah keRAJAan-keRAJAan Melayu silam – tidak kira yang beragama Hindu-Buddha atau Islam.

Cita sejarah ini juga adalah antara sumber utama yang dijadikan hujah sandaran untuk mengabsahkan kebumiputeraan bangsa Melayu di Malaysia ini.

Cita-Cita Beraja

Ketujuh, unsur cita-cita beraja – yakni keinginan untuk terus melindungi dan mempertahankan institusi Raja-raja Melayu.

Unsur nasionalisme Melayu ini pada hemat saya adalah unsur yang sebenarnya telah pun dibatasi oleh Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Malaysia berkonsepkan Raja Berperlembagaan di mana kuasa Raja-Raja Melayu bukanlah mutlak seperti mana zaman silam tetapi dihadkan oleh undang-undang Perlembagaan hanya kepada urusan agama islam dan adat-istiadat Melayu sahaja.

Fungsi institusi Raja-raja Melayu dalam kehidupan bernegara pula lebih kepada bersifat simbolik dan keupacaraan (ceremonial). Namun begitu ia merupakan institusi yang cukup berpengaruh dan sering pula digunakan untuk memastikan beberapa unsur lain yang terkandung dalam nasionalisme Melayu terus diperjuangkan.

Terpendam Tapi Tak Pernah Padam

Tujuh unsur nasionalisme Melayu ini tidak semestinya menyatu dan padu. Pada masa yang sama pemisahan antara satu unsur dengan unsur yang lain itu tidaklah pula bersifat ketara atau beku. Terdapat kecairan dan juga saling bertindan-lapis antara satu unsur dengan unsur yang lain.

Ada kumpulan Melayu yang akan hanya memberi tumpuan kepada beberapa unsur tertentu sahaja dan ada yang akan memberi fokus kepada unsur-unsur lain yang ingin diperjuangkan dan ditegakkan. Ada pula yang melihat seluruh unsur itu perlu diberi tumpuan dan diperjuangkan. Kesemua ini bergantung kepada jalur pemikiran politik masing-masing kumpulan.

Tetapi yang pasti ianya ada dan hadir di dalam jiwa dan perasaan sebahagian besar daripada manusia-manusia Melayu.

Begitu juga dengan kekuatan setiap unsur itu bergantung kepada konteks zaman dan situasi semasa serta perubahan-perubahan sosial yang berlaku dalam masyarakat yang akan mempengaruhi darjah kekuatan atau intensiti sesuatu unsur tersebut.

Secara umum, pola intensiti sentimen ‘keterpendaman Melayu’ ini berkait rapat dengan tindakan politik, ekonomi, sosial dan budaya yang dilakukan oleh bukan Melayu. Ia terbit sebagai satu bentuk reaksi tindak-balas yang bersifat timbal-balik. Tindakan politik, ekonomi, sosial dan budaya yang dilihat sebagai mengancam atau menggugat cita-cita nasionalisme Melayu akan diberi reaksi dan dibalas sebagai suatu upaya untuk mempertahankannya.

Walau apa pun pola atau darjah intensiti unsur-unsur nasionalisme Melayu itu, yang perlu disedari ialah ianya wujud di dalam perasaan dan masih terus membara sehingga kini. Dan kemungkinan besar takkan padam-padam kerana ia sudah pun tersulam kejap ke dalam sosio-psikologi dan perasaan khususnya dalam persekitaran masyarakat Malaysia yang struktur sosial dan kehidupan hariannya masih lagi terpisah-pisah mengikut garis etnik, agama dan bahasa dan masih gagal terintegrasi dengan baik.

Kalau tidak semua pun unsur-unsur nasionalisme Melayu itu diperjuangkan, saya yakin sebahagian atau sekurang-kurang satu daripadanya akan masih diangkat untuk ditegakkan oleh sebahagian besar daripada manusia-manusia Melayu dengan berbagai bentuk dan cara.

Komuniti Lain Dalam Cita-Cita Nasionalisme Melayu

Sementara itu kedudukan komuniti-komuniti bukan Melayu, khususnya yang bukan bumiputera dalam cita-cita nasionalisme Melayu ini bergantung kepada sejauh mana intensiti sentimen dan bentuk nasionalisme yang diperjuangkan oleh masing-masing kumpulan Melayu.

Pada umumnya komuniti bukan Melayu akan dilibatkan sekali di dalam perkongsian Malaysia melalui jalinan kerjasama yang akan dirundingkan oleh elit-elit yang mewakili kumpulan-kumpulan Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak serta bukan Melayu.  Penglibatan bukan Melayu dalam perkongsian Malaysia adalah sesuatu yang sudah menjadi tradisi dalam pemerintahan politi Malaya sejak kemerdekaan 1957 dan pembentukan Persekutuan Malaysia 1963.

Cita-cita yang terkandung dalam nasionalisme Melayu biasanya akan dilunakkan untuk menyesuaikan dan mengakomodasi hakikat kerencaman serta kepelbagaian suku-kaum, agama, budaya dan bahasa yang wujud di Malaysia ini.

Akan tetapi sentimen nasionalisme Melayu yang dipegang oleh sebahagian besar daripada manusia Melayu umumnya punya kecenderungan untuk memastikan tujuh unsur-unsur yang terkandung di dalamnya itu terus diperjuangkan dan ditegakkan.

Unsur-unsur Melayu dan keMelayuan dicita-citakan sebagai simbol dan teras utama yang melambangkan Malaysia, manakala unsur-unsur bumiputera yang lain dan bukan bumiputera umumnya akan diposisikan sebagai pendamping atau pendukung kepada unsur teras, yakni Melayu. Begitu juga dengan dasar-dasar negara, keutamaan umumnya akan diberikan kepada Melayu dan bumiputera yang lain. 

Kecenderungan dan keutamaan ini tentunya dilihat oleh bukan bumiputera sebagai suatu bentuk diskriminasi dan ketidakadilan dalam kehidupan bernegara dan ianya cenderung membuatkan bukan bumiputera merasa tidak dirangkumkan dan tersisih daripada naratif yang diangkat dan diperjuangkan oleh nasionalisme Melayu.

Nasionalisme Terangkum

Justeru, persoalan seterusnya ialah bagaimana untuk membina sebuah nasionalisme yang lebih berketerangkuman dan pada masa yang sama mengimbangi cita-cita nasionalisme Melayu agar dapat pula menangani permasalahan yang dibawa oleh ‘keterpendaman Melayu’ itu? Ikuti huraian pembentangan cadangannya di bahagian terakhir siri rencana ini.

Design a site like this with WordPress.com
Get started