Tiga Tahun di Singapura (4/4)

Adapun satu daripada tujuan2 saya menulis cerita “Tiga Tahun di Singapura” ini hendak mengingatkan orang ramai kita bahawasanya dunia sekarang bukan sahaja sedang berperang tetapi sedang melalui perubahan2 yang besar.

Oleh Ishak Haji Muhammad

(Utusan Zaman 26 Oktober 1940)

KEJADIAN2 YANG BERLAKU SEBELUM UTUSAN MELAYU TERBIT

Dalam keluaran yang lalu, saya telah katakan bahawasanya fitnah2 dan perkhabaran2 yang karut berkenaan dengan kaum Islam Singapura berpecah-belah itu semuanya tidak benar dan sesungguhnya perhubungan kaum Islam berbagai2 bangsa di sini belum pernah begitu rapat dan mesra seperti sekarang. Maka begitulah juga halnya kaum Islam di Melaka, di Pulau Pinang dan di negeri2 Melayu amnya.

Akan tetapi, fitnah2 yang demikian itu bukanlah mudah boleh hilang dan akan tersiar lagi hingga beberapa lama dalam masa yang akan datang dengan lafaz2 yang baharu, rupa, gaya, keadaan dan perkara2 yang baharu kerana adat dunia memang begitu. Tambahan pula di dalam Semenanjung Tanah Melayu ini memang banyak orang2 yang sentiasa bekerja melagakan bangsa Melayu di antara sebuah negeri dengan negeri2 yang lain, di antara satu puak dengan puak yang lain2.

Kebanyakan orang2 yang khianat dan bacul itu ialah orang yang bukan bangsa Melayu tetapi mengaku bangsa Melayu dengan alasan songkok yang dipakainya, bahasa yang dituturkannya, agama dan adat resam yang diikutinya. Tetapi tukang2 fitnah daripada Melayu Jati itulah yang lebih besar bahayanya.

Bagaimanapun bisanya, pedihnya, mudaratnya, bahayanya dan kesannya fitnah2 itu sudah banyak kurang kerana umat Melayu ilmu semakin hari bertambah cerdik, celik dan sedar. Akan tetapi, orang2 yang berniat hendak menjatuhkan bangsa Melayu akan mencari pula jalan2, kaedah2 dan peluang yang baharu. Perkumpulan itu memang banyak wangnya dan kakitangannya. Senjata yang besar sekali dan tajam sekali yang ada di tangannya ialah “agama”.

Saya telah bayangkan satu dua sebabnya mengapa kaum Melayu Singapura tidak mahu lagi berketua atau berkepalakan orang2 yang bukan bangsa Melayu dalam pergerakan2nya. Kejadian2 yang besar seperti menahan lelaki menonton riadah gadis, mencerca pergerakan2 kebangsaan Melayu dan sebagainya itu tidak mudah dilupakan oleh kaum Melayu.

Kerana saya ini berasal dari Tanah Melayu maka pada mulanya amatlah payah saya hendak mengerti mengapa kaum Melayu di Singapura teristimewa puak yang mudanya, memandang rendah dan kurang menghormatikan orang2 Islam yang bukan bangsa Melayu padahal mereka itu kebanyakannya kaya, berpangkat dan mempunyai gelarannya yang berjela2 panjangnya.

Tetapi setelah dua tahun lebih saya di Singapura masuk ke dalam pergaulan mereka itu, menghadiri majlis2 dan temasya atau keraian2 yang diadakan oleh mereka itu seperti keraian menyambut Maulud Nabi maka perlahan2 mengertilah saya apa dan bagaimana boleh jadi demikian itu.

Beberapa kali nama bangsa Melayu telah jadi hina disebabkan oleh pekerti orang2 Islam yang bukan bangsa Melayu. Dalam surat2 khabar Inggeris, bukan sekali dua telah tersiar perkhabaran yang bunyinya menghinakan bangsa Melayu. Misalnya Si Anu bin Si Anu, seorang Melayu, telah dihukum tiga bulan jel, atau denda seratus ringgit kerana kesalahan itu dan ini tetapi apabila disiasat maka orang yang dikatakan “seorang Melayu” itu yang sebenarnya bukan Melayu tetapi dikatakan Melayu sebab ia memakai songkok Melayu dan bertutur Bahasa Melayu, padahal kulitnya, rupanya, mata hidungnya, baunya semuanya menunjukkan yang ia itu bukan bangsa Melayu.

Ada banyak lagi contoh2 dan kejadian2 yang saya boleh sebutkan bagaimana bangsa Melayu telah terhina disebabkan oleh budi pekerti dan pesona bangsa2 lain yang bukan bangsa Melayu. Tetapi hal ini tidak berguna dipanjang2 dan disebut2 lagi.

Utusan Melayu

Ura2 hendak menerbitkan surat khabar Melayu betul di bandar Singapura ini bukanlah suatu perkara yang baharu tetapi sebagaimana yang sedia maklum, mengadakan pakatan di antara bangsa Melayu memang bukan mudah.

Sepanjang pengetahuan saya, cadangan hendak mengeluarkan surat khabar Utusan Melayu ini telah mula didengar risik2nya di dalam tahun 1936. Tetapi saya mula2 dapat tahu dengan sah pada akhir tahun 1938 iaitu dewasa saya masih bekerja dengan Warta Malaya. Nama2 orang yang berusaha menjalankan cadangan itu tiadalah payah saya sebutkan tetapi cadangan itu mendapat galakan yang baik daripada beberapa orang penganjur2 dan hartawan2 Melayu.

Sungguhpun begitu, bantahan2 atau rintangan2 tidak pula kurang. Setengah orang2 kita Melayu apabila ditanya fikirannya berkenaan cadangan itu cuma mengatakan “Bagus! Bagus!”. Ada pula yang bertanya: Di mana mahu cari modal? Manakala yang lain2 pula mengatakan apalah gunanya diterbitkan sebuah lagi surat khabar Melayu kerana yang sedia ada telah memadai.

Ada juga orang2 yang bertanya siapa yang akan menjadi pengarang2nya jika surat khabar itu diterbitkan. Siapa yang boleh menjadi managernya?

Ada pula orang2 yang melemahkan cadangan itu dengan berkata orang Melayu takkan boleh menerbitkan surat khabarnya sendiri, orang Melayu tak boleh berniaga dan sebagainya.

I. Abdul Rahim Kajai dan saya telah ditanya oleh seorang daripada pengasas2 Utusan Melayu apa fikiran kami berkenaan dengan cadangan itu dan adakah kami bersedia menyokongnya. Kami telah diberitahu bahawa modal hendak mengeluarkan surat khabar itu tidak berapa payah dikumpulkan dan ikhtiar menubuhkan syarikat telah dijalankan.

Selama enam bulan lebih kami berunding dengan sulit mengatur langkahan2 yang baharu, menyiasat dan menyelidiki hal ehwal yang bersangkut-paut dengan ura2 itu.

I. Abdul Rahim Kajai telah mengaku dengan gembira bahkan ia telah memberi sebesar2 galakan supaya cadangan itu diteruskan.

Saya juga telah berjanji akan berhenti daripada syarikat Warta Malaya kerana berkhidmat dalam syarikat Melayu betul biarpun dengan gaji yang kurang daripada yang saya dapat pada masa itu.

Ada dua tiga perkara yang besar yang sangat membimbangkan pada masa itu. Yang pertamanya, bolehkah Utusan Melayu berlawan (berlawan di sini bukan bermakna bermusuh2 tetapi berlawan berniaga, merebut pasar atas-mengatas dengan kepandaian dan jalan2 yang halal) dengan surat2 khabar yang sedia ada dan yang sudah kuat perdiriannya dan termasyhur namanya pada masa itu?

Yang keduanya, adakah suratkhabar yang baharu ini akan disokong oleh orang ramai Melayu dengan serta merta kerana pada masa itu sungguhpun perasaan kebangsaan dan kesedaran umat Melayu sudah terzahir tetapi belum cukup kuat dan luas.

Yang ketiganya, adakah raja2 Melayu, orang2 besarnya dan kaum Melayu yang berpelajaran mengerti bagaimana mustahaknya dan besar gunanya surat2 khabar dan majalah2 Melayu Jati, yang terbebas daripada kuasa atau pengaruh lain2 bangsa kepada bangsa Melayu?

Sebenarnya, pada masa itu jika ditilik kepada makalah2 atau tulisan2 yang menyeru kaum, menyeru kepada kemajuan, menyatakan lintasan fikiran dan perasaan umat Melayu maka sudah boleh dikatakan masanya sudah tiba bagi mengeluarkan surat khabar yang berdasarkan kebangsaan. Tetapi hakikatnya tidak begitu. Bilangan orang2 yang sebenarnya sedar akan nasib dan penanggungan kaum bangsanya, hal ehwal pemerintahan dan siasah kerajaan negerinya hanya ada sedikit jua. Kebanyakannya masih tergagau2, teraba2 dan tidak tetap perasaannya.

Umpamanya seorang muda Melayu yang berpelajaran kerana tidak dapat pekerjaan (makan gaji) yang memuaskan hatinya menulis membayangkan perasaannya, memberi buah fikiran berkenaan hal ehwal negeri, menyokong pergerakan persatuan Melayu tetapi apabila ia dapat sesuatu pekerjaan yang memuaskan hatinya maka diamlah ia dan terlupalah ia membayar yuran persatuannya.

Kebanyakan orang2 Melayu yang membeli dan membaca surat khabar Melayu hanya akan kekal membeli dan membaca akan dia sekiranya ada perkhabaran2 berkenaan hal dirinya, hal saudara maranya dan hal negeri atau kampungnya biarpun perkhabaran2 itu kecil dan tiada mustahak kepada ilmu seperti “Kambing Tergelek oleh Motokar”, “Tok Imam Tidak Datang Masjid Sebab Pening Kepala” dan seumpamanya.

Setelah beberapa bulan berunding—kadang2 pada tiap malam hingga larut ke pagi—maka dapatlah ketetapan iaitu masanya sudah sampai mengeluarkan Utusan Melayu dan dipercayai sokongan orang ramai akan didapati beransur2 kerana kesedaran umat Melayu dan perasaannya diperhatikan tidak berkurangan melainkan bertambah2. Makin sehari bertambah kuat dan bertambah luas merebaknya.

Pada awal tahun 1939, syarikat Utusan Melayu Press Limited telah sempurna ditubuhkan, jentera2 dan alat2 perkakas cetak telah dipesan dan ditempah di England tetapi rundingan2 kami hendak berhenti daripada Warta Malaya belum lagi tetap dan putus. Orang ramai tentulah hingga sekarangpun tidak tahu bagaimana payahnya kami hendak berhenti daripada jawatan kami pada masa itu. Pertamanya, surat khabar Warta Malaya ialah yang utama sekali dalam Semenanjung Tanah Melayu pada masa itu. Majalah2 Warta Ahad dan Warta Jenaka termasyhur dan maju benar. Yang keduanya, bekerja dengan syarikat itu cukup sedap kerana gaji besar, rumah tempat tinggal dapat percuma, aturan2 bekerja bagus, rakan2 sejawat dalam pejabat itu baik2 belaka dan tuan penguasa agung seorang yang baik budi bahasanya dan elok timbang rasanya. Perasaan kasih mesra dengannya dan rakan2 sejawat yang lain sudah terikat sangat teguh sekira2 tidak boleh terhurai oleh sesuatu perkara yang kecil.

Tetapi kuasa tuhan—Allah yang maha kuasa, tidak boleh dielak lagi. Maka dalam bulan Mac tahun 1939, saya telah berhenti daripada syarikat Warta Malaya, beredar dari kota Singapura balik ke kampung tempat asal saya di Temerloh, Pahang.

Apabila ayahanda bonda saya mendengar saya telah berhenti daripada Warta Malaya, maka keduanya cuma bertanya apa pula haluan saya?

Dengan ini sudah tiga kalilah awak berhenti membuangkan pekerjaan2 yang bagus. Tetapi saya tidak mahu mengganggu lagi sebab awak sudah cukup besar dan boleh berfikir sendiri. Tetapi dahulu awak kata mahu bekerja dengan surat khabar, sekarang mengapa berhenti pulak? Kata orang tua saya.

Abah jangan khuatir. Saya mahu buka surat khabar baharu di Singapura—itulah sahaja jawab saya dan tiga empat hari di belakang tatkala kami berdua menjala ikan di sungai, saya ceritakanlah apa yang sebenarnya langkahan dan cadangan di hadapan saya.

Abah mendoakan apa juga pekerjaan yang elok awak hendak buat—katanya lagi sambil memberi nasihat dan galakan2 yang baik.

Setelah sepuluh hari lamanya saya berehat di kampung maka saya pun beredar pula menjajah jajahan2 negeri Pahang lalu ke Kelantan dan Terengganu mencanangkan perihal Utusan Melayu.

Di setengah2 tempat, ura2 menerbitkan surat khabar Melayu yang baharu itu telah disambut dengan gembira tetapi di tempat2 yang lain pula di-Cih-kan sahaja.

Saya diutuskan melawat Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan tujuan menyelidiki bagaimana perasaan orang ramai terhadap kepada cadangan hendak menerbitkan surat khabar yang baharu. Apabila balik ke Singapura, saya dikehendaki membuat suatu penyata bagaimana fikiran dan sambutan orang ramai kepada cadangan itu.

Lawatan saya itu mengambil masa kurang tiga hari sebulan dan memakan belanja lebih dua ratus ringgit.

Di hujung bulan April, saya telah tiba balik di Singapura dan menyatakan bahawa antara orang2 muda dalam negeri2 Pahang, Kelantan dan Terengganu, cadangan mengeluarkan Utusan Melayu diterima dengan baik. Saya telah mendapat sebaik2 galakan di negeri Kelantan dan Pahang tetapi di Terengganu pergerakan itu dipandang dengan bena tak bena sahaja.

Bagaimanapun, penyata saya itu telah diterima dengan baik dan tetaplah Utusan Melayu akan terbit selewat2 dalam bulan Mei. Tambahan pula, pejabatnya telah siap, jentera2nya telah dipasang dan lain2nya persediaan sudah ada.

Dalam bulan April, I. Zaitun (Zainal Abidin bin Haji Ilyas) telah berhenti pula daripada Warta Malaya dan ia telah balik ke Muar sambil memerhatikan bagaimana pula sambutan pembaca2 surat khabar Melayu dalam Johor terhadap kepada ura2 yang tersebut itu.

Sementara itu, I. Abdul Rahim Kajai telah pergi pula ke Kuala Lumpur dengan maksud memerhatikan gerak-geri orang ramai di Selangor berkenaan dengan ura2 menerbitkan Utusan tetapi pada masa itu, ia belum lagi bercerai dengan Warta Malaya.

Daripada pertengahan bulan April hingga ke akhir bulan Mei 1939, kaum yang membaca surat khabar Melayu—yang berjumlah berbelas ribu orang lelaki dan perempuan—telah tergempar mendegarkan sebuah surat khabar Melayu yang baharu akan terbit. Khabar2 angin bertiup merata2 dan fitnah pesona pun mulai terdengar di sini sana. Ada orang yang mengatakan I. Abdul Rahim Kajai mustahil boleh meninggalkan Warta Malaya kerana ia bukannya seorang yang bodoh. Ada banyak juga orang mengatakan saya telah membuat suatu kekhilafan yang besar dan kononnya telah dikecek orang meninggalkan pekerjaan yang begitu bagus.

Sungguhpun begitu, galakan2 yang baik tidak juga kurang. Ahli2 kalam yakni pengarang2 Melayu banyak yang menyatakan mereka sedia membantu surat khabar yang baharu itu. Seorang daripadanya ialah I. Harun bin Muhammad Amin, sekarang nazir sekolah2 Melayu Brunei.

Pembaca2 pula bukan sedikit yang mengaku akan berlanggan Utusan Melayu apabila terbit kelak. Kaum Melayu Singapura yang sudah mengerti betul apa sebabnya Utusan Melayu hendak diterbitkan memang sedang berdebar2 hendak menyambut akan dia.

Dipendekkan sahaja ceritanya maka pada 29 haribulan Mei 1939 dengan istiadat yang sempurna maka Utusan Melayu bilangan yang pertama telah selamat zahir ke dunia, disambut dengan baik oleh rakan2 sejawatnya yang lain dan diterima dengan baik oleh kaum yang berpelajaran di seluruh Malaya.

Orang2 Melayu Singapura berdahuluan2 menghantarkan wang yurannya—ada yang selama tiga bulan, empat bulan dan enam bulan. Dari Tanah Melayu, orang yang memberi galakan yang besar dan dahulu sekali ialah I. Hashim bin Haji Talib. Ia telah mengirim $25 kerana yuran selama satu tahun dan hingga sekarang ia masih tetap berlanggan dengannya.

Kerana hendakkan dekat dengan pejabat di Queen Street maka saya telah menyewa sebuah bilik di Prinsep Street. Sungguhpun pada masa itu tuan Abdul Rahim Kajai masih bekerja dengan Warta Malaya tetapi di sebelah petang ia datang ke pejabat Utusan Melayu membantu saya dan rakan saya I. Zaitun dengan makalah2 pengarang dan lain2 pekerjaan yang mustahak. Demikianlah dibuatnya pada tiap2 hari hingga ia berhenti daripada Warta Malaya bersekutu dengan Utusan Melayu menjadi ketua pengarangnya dalam bulan Julai 1939. Demikianlah sedikit daripada kejadian2 yang berlaku sebelum abang majalah ini zahir ke dunia.

Sekarang mudah-mudahan umur Utusan Melayu sudah setahun lebih. Ia telah merempuh berbagai2 dugaan dan sebelum umurnya cukup setahun, ia telah merempuh pula peperangan besar dunia. Alhamdulillah dengan sokongan orang ramai dalam Tanah Melayu, bantuan pihak2 yang berkuasa, kerjasama penganjur2 Melayu maka surat khabar kebangsaan Melayu sudahlah boleh berjalan dengan selamat.

Sungguhpun begitu, pesona kaum yang bukan bangsa Melayu dan kesamaran setengah2 orang Melayu berkenaan dengan Utusan Melayu masih lagi belum habis dan tersiar juga dari suatu ke suatu masa.

Ada orang yang mengatakan dengan niat yang tiada baik kononnya Utusan Melayu menjadi lidah Kesatuan Melayu iaitu suatu pergerakan yang memakai takrif yang memecah2 Islam dan tidak sukakan pergerakan Islam.

Ada orang yang mengatakan kononnya Utusan Melayu itu suatu pendiayah persatuan2 Melayu dalam Tanah Melayu yang bertujuan menyatukan umat Melayu dan kemudian bergerak menjatuhkan raja2 Melayu sehingga ada yang mengesyorkan supaya kerajaan menahan Utusan Melayu supaya jangan masuk ke dalam negeri2 Melayu.

Tetapi sebagaimana yang saya telah katakan dalam bahagian yang ketiga maka fitnah dan pesona itu semata2 karut jua. Tentang kesamaran yakni kurang faham setengah orang2 Melayu yang berkenaan dengan pergerakan kesatuan2 dan persatuan2 Melayu dan juga takrif Melayu maka suratkhabar ini serta rakan2 sejawatnya Majlis, Al-Hikmah dan Sahabat telah menerangkan sedikit sebanyak dan harus sedia menerangkan lagi jika ada pihak2 yang bertanya dengan hormat.

Selain daripada itu, pembuka2 persatuan2 Melayu sedia menerangkan satu persatu jika ditanya apa tujuannya persatuan2 Melayu ditubuhkan.

Setelah diterangkan berturut2 kali dengan tulisan, dengan syarahan dan dengan soal jawab maka ada juga orang2 yang tiada mengerti maka hal yang demikian tiadalah boleh dihairankan kerana di dalam dunia ini memang ada orang2 yang tiada boleh diberi faham atau bersahaja tiada mahu mengerti.

Sebenarnya tidaklah dinafikan bahawa surat khabar Utusan banyak mengambil bahagian mendiayahkan atau menggalakkan pergerakan2 Melayu teristimewa persatuan2 Melayu tetapi dasarnya memang berkhidmat kerana kebangsaan Melayu.

Sekarang sampailah pula masanya bagi saya menceritakan sedikit daripada pengalaman2 saya semenjak bekerja dengan suratkhabar Utusan Melayu dan majalah Utusan Zaman.

Saya telah berjumpa lagi dengan contoh2 yang lebih terang bagaimana orang2 bangsa yang bukan Melayu menyamar diri menjadi Melayu dengan memakai songkok Melayu dan dengan maksud hendak menghinakan Melayu atau mendapat faedah daripada nama Melayu.

Dewasa saya tinggal di Prinsep Street, saya telah bersua dengan beberapa orang Ceylon yang menyewa bilik tempat saya tinggal itu. Waktu malam, ramai mereka itu berkumpul main judi dan saya perhatikan semuanya memakai songkok Melayu. Padahalnya waktu siang mereka itu bergondol dan sembahyang di tokong Hindu. Apa tujuannya mereka memakai songkok Melayu waktu malam dan pada masa main judi itu tuan2 bolehlah agak sendiri.

Barangkali tentu sekali tidak salah jikalau kita tuduhkan mereka bersahaja bertopengkan songkok kerana hendak melindungkan kecemaran bangsa mereka supaya kecemaran itu terpulang kepada Melayu jua. Saya belum lupa lagi pada suatu malam di akhir tahun 1938, saya dan beberapa orang rakan saya tatkala duduk di dalam tempat menari dengan tiba2 orang2 yang ramai itu telah tergempar melihat dua tiga orang yang mabuk membuat kelakuan tidak senonoh. Kami telah mendengar orang2 di situ bertempik mengatakan “orang Melayu kurang ajar, orang Melayu celaka dan lain2 sebagainya” padahal orang2 yang mabuk itu bukanlah sekali2 bangsa Melayu. Bangsa mereka dari langit xx. Mereka ada memakai songkok. Kerana itu bolehlah kita nampak betapa besarnya faedah songkok kepada orang lain tetapi betapa pula bencananya kepada bangsa Melayu dengan tiada semena2 menerima kata nista padahal jikalau orang2 ini memakai serban atau tarbus tentu sekali kecemaran itu tiada tertimpa atas bangsa Melayu.

Ini dia satu lagi contohnya yang menunjukkan bagaimana tohornya fahaman setengah orang2 yang bukan Melayu terhadap kepada Utusan Melayu. Pada malam 20 haribulan Julai 1940, tatkala saya bersama dengan seorang sahabat saya dari Seremban sedang duduk makan dalam xx Islam di Middle Road maka sepucuk surat kecil telah disampaikan oleh pelayan kedai itu kepada saya. Surat itu dalam Bahasa Inggeris dan tulis pensel sahaja. Bunyinya adalah seperti di bawah ini:—

“Kita akan suka mengetahui apakah sebab2nya maka surat khabar engkau mencerca kaum kita padahal menggunakan huruf2 Arab”.

Surat itu saya tunjukkan kepada sahabat saya. Ia dengan serta merta naik marah padam dan mengetap giginya dan menggenggam bukunya.

Tetapi saya terangkan kepadanya bahawa surat itu barangkali telah ditulis oleh seorang yang tiada berketanggungan atau tiada berapa siuman fikirannya dan tidak berguna diambil berat. Lagipun jika dilayan2 hal seperti itu nescaya jadi gaduh dan apakah gunanya kita berkelahi sesama Islam. Apa nanti lain2 bangsa fikir.

Setelah saya terangkan dan pujuk dengan lemah lembut baharulah tenang ia. Saya nyatakan dalam misal yang seumpama ini lebih baik kita buat bodoh dan penakut sahaja kerana jika diturutkan perintah orang yang begitu nescaya besar bencananya. Lagipun kata saya, fahaman si penulis surat kecil itu tidak betul. Surat khabar Utusan Melayu tidak pernah mencerca kaum Arab yang dihormati dan dimuliakan oleh orang Melayu. Apa yang telah dikatakan oleh Utusan berkenaan orang2 yang mengaku Melayu, takrif Melayu, budi pekerti setengah orang2 Islam yang bukan bangsa Melayu itu semuanya perkara yang benar dan yang hak belaka.

Alhamdulillah sebagaimana yang saya telah katakan terdahulu daripada ini maka perhubungan antara kaum Islam yang berbagai2 bangsa dalam Singapura ini tidak pernah begitu rapat seperti sekarang kerana masing2 sudah mengerti akan hal ehwalnya dan mengerti akan pergerakan2nya yang dijalankan oleh satu2 bangsa itu. Yang sebenarnya xx fitnah sudah banyak berkurangan di Singapura ini tetapi di Pulau Pinang nampaknya daripada kandungan surat khabar Saudara masih kembang biak lagi tetapi itupun saya percaya tidak lama dan tidak mudarat kerana fahaman orang ramai berkenaan dengan pergerakan kebangsaan Melayu semakin lama semakin terang dan ternampak mereka itu akan kebenarannya.

Sementang begitupun harus ada pula seorang berdua yang akan mengorbankan harta benda dan wangnya yang dan masanya yang berharga kerana melaga2 bangsa Melayu dan memecah2 kaum Islam. Tetapi saya yakin kaum bangsa saya tiada mudah terpedaya lagi. Barangkali ada juga anak2 muda Melayu yang akan terpedaya oleh wang yang banyak hingga redha ia bekerja menghina dan mencerca bangsanya sendiri menjadi perkakas orang lain. Orang2 yang begitu hanya patut dikasihankan, jangan dimarahkan kerana mereka yang sebenarnya lemah semangat. Tetapi perasaan kebangsaan anak2 muda kita dan semangatnya sudah cukup keras.

Satu contoh yang baharu sekali yang boleh saya sebutkan ialah berkenaan I. Abdullah Thani Raja Kechil yang dahulunya bekerja dengan Warta Kinta.

Tatkala hendak diadakan perjumpaan KWMS (Kesatuan Wartawan Melayu Se-Malaya) di Kuala Lumpur, kononnya tuan punya Warta Kinta telah memberi amaran kepada orang2 yang bekerja dengannya jangan pergi ke Kuala Lumpur menghadiri perjumpaan KWMS. Jika dilanggar amaran itu hukumnya buang kerja. Wartawan Abdullah Thani enggan kena belenggu seperti itu. Ia menyatakan mahu berhenti dan ia telah menghadiri perjumpaan KWMS.

Sekarang dengan sukacita disebutkan bahawa wartawan Abdullah Thani ada bekerja dengan Utusan Melayu dan ada tinggal bersama2 dengan saya.

Semenjak Utusan Melayu terbit ini, sudah empat orang anak2 muda Melayu berlatih menjadi penulis surat khabar. Waktu mula2 dahulu, I. Abdul Majid bin Dato’ Syahbandar Abdul Rahman telah berlatih selama sebulan. Lepas itu I. Muhammad al-Azam xx (murid xx xx al-Firdaus) berlatih selama tiga bulan lebih.

Dengan keluaran ini, tamatlah cerita saya “Tiga Tahun di Singapura” tetapi sebelum sampai ke hujungnya, mestilah saya nyatakan bahawa ini hanyalah satu bahagian yang sedikit daripada pengalaman2 saya yang banyak, perkara2 yang saya telah lihat, tempuh, rasa dan dengar selama tiga tahun di Singapura ini.

Saya agak tentulah ada di antara orang2 yang membaca cerita ini yang hendak bertanya iaitu apakah satu perkara yang menyukakan hati saya bekerja dalam pejabat surat khabar Melayu? Sekiranya ada pertanyaan yang demikian, nescaya saya jawab dengan mudah iaitu yang sangat menyukakan saya ialah menerima bermacam2 surat pada tiap2 hari daripada berbagai2 peringkat orang ramai yang saya kenal dan tidak kenal. Surat2 itu membayangkan perasaan orang kita Melayu sekarang terutama kuat yang muda. Kandungan surat2 itu sentiasa menarik perhatian kerana ada terbayang daripadanya bagaimana perasaan orang kita terhadap kepada negerinya, bangsanya, raja2 dan pembesar2nya.

Sekiranya surat2 itu dijadikan buku maka akan jadilah sebuah kitab pelajaran yang amat berguna, yang akan menggelikan hati, menghairankan dan menggerunkan perasaan. Setengah daripada surat2 itu ada saya simpan hingga sekarang.

Ada satu perkara yang saya boleh sebutkan di sini berkenaan dengan surat2 itu iaitu perasaan hendak bersatu dan bekerjasama sedang hidup dengan subur dalam hati kebanyakan anak2 muda kita zaman sekarang tetapi di setengah2 negeri pergerakan bersatu belum tertaja kerana tidak ada penganjur atau kepalanya ataupun xx fitnah orang2 yang bukan Melayu masih kuat atau lain2 sebab juga.

Dalam negeri2 melayu yang belum ada persatuan2 Melayu seperti Kedah, Perlis dan Terengganu maka janganlah disangkakan semangat bersatu belum ada. Cuba baca sepucuk daripada beberapa pucuk surat daripada anak2 muda Melayu Terengganu yang saya telah terima:—

xx sahabat saya I. Ishak bin Haji Muhammad

dengan ingat kesejahteraannya.

Sahabat saya yang budiman,

Berhubung dengan surat saya bertarikh 7 Julai saya sukacita menyatakan iaitu perjumpaan saya dengan setiausaha Kelab Pantai itu mendapat sebaik2 natijah. Rupanya uraian saya berkenaan pergerakan2 persekutuan itu betul memberi kepada xx xx kerana keesokan harinya ia telah mendapatkan I. Su Dato’ Amar kepada siapa ia telah menanya sama ada sebenarkah atau tidak bagaimana kata2 saya yang ia hendak menubuhkan persekutuan Melayu itu dan setahu saya ia telah mendapat jawapan yang mengiyakan seperti kata2 saya kepadanya. Dengan jawapan itu ia telah menawarkan pula dirinya bagi perkhidmatan itu dan katanya lagi kiranya persekutuan yang ada sekarang (Majlis Kampung Pantai Club) ini dijadikan persekutuan Melayu sangatlah eloknya dengan ditukar namanya dan undang2nya sahaja. Dan ia telah menyatakan juga iaitu Yang di-Pertua yang ada sekarang (seorang anak raja yang kebilangan) telah memohon berhenti dan gantinya haruslah jatuh kepada Tengku xx ataupun Dato’ xx pada masa itu adalah sebesar peluang bagi menjalankan perkara yang tersebut.

Fikiran saya kiranya xx saya ini menurut maka haruslah tidak berapa lama lagi Terengganu akan mempunyai kesatuan Melayu-nya bagaimana lain2 negeri juga. Dan kiranya kemudahan daripada pihak sahabat tolong mengirim sebuah undang2 KMS. Makin lagi kiriman itu dialamatkan terus kepada I. Su, mudah-mudahan menarik lagi kegemarannya pada menubuhkan bersegera. Alamatnya seperti berikut:—

A. Su bin Dato’ Amar

Pejabat Menteri Besar

Kuala Terengganu

Dan kiriman itu seeloknya pula biarlah daripada Yang di-Pertua ataupun Setiausaha Kesatuan Melayu Singapura. Sekiranya terkena bayaran di atas undang2 itu sila beritahu saya dan akan saya mengirimkan bayarannya.

Nampaknya kebanyakan orang Melayu di sini hendak kena dipujuk betul2. Maka biarlah untuk maslahat kita memujukkan dahulu dan apabila mereka telah mengerti kelak baharulah kita jalankan apa2 yang patut dengan terus-terang.

Demikianlah salam jua adanya.

Barangkali ada pula di antara tuan2 yang membaca cerita ini suka hendak mengetahui apa sebabnya maka saya ceritakan sebahagian yang kecil sahaja daripada pengalaman saya selama tiga tahun di Singapura.

Sekiranya ada pertanyaan yang demikian itu nescaya saya jawab bahawa masa ini masa peperangan dan kerana banyak sekatan2 yang diadakan maka amatlah susahnya bagi saya hendak menyiarkan susulan dalam majalah yang kecil ini.

Tetapi dengan empat keluaran ini saya fikir sudah cukup bagi membayangkan perasaan orang ramai kita, pergerakan dan menolak kekeliruan fitnah yang mengatakan kononnya kaum Islam di Singapura berpecah-belah, Kesatuan Melayu membawa kebinasaan dan sebagainya.

Adapun satu daripada tujuan2 saya menulis cerita “Tiga Tahun di Singapura” ini hendak mengingatkan orang ramai kita bahawasanya dunia sekarang bukan sahaja sedang berperang tetapi sedang melalui perubahan2 yang besar. Apa dia perubahan2 itu tiada dapat saya terangkan tetapi saya percaya dalam perjalanan perubahan2 itu kita akan menempuh berbagai2 dugaan yang pelik, yang ngeri dan susah tetapi saya percaya akhirnya akan timbul semula keamanan dan ketenangan kerana lazimnya lepas daripada hujan dan ribut yang besar itu timbullah udara yang tenang dan bersih. Lagi satu, sebelum tiba fajar subuh maka ketika itulah malam terlalu gelap.

Bagaimanapun sekiranya kita sekalian tidak bekerja keras, bersatu dengan lebih kukuh dan bergerak lebih pantas menggunakan peluang2 yang sedang terbuka sekarang, nescaya sakit dan susahlah kita.

Kita tiada mengetahui apa yang ada di hadapan kita tetapi jikalau kita bersatu dan menghadap perubahan2 yang akan datang maka ada harapan kita mendapat bahagia dan faedah daripadanya.

TAMAT

Tiga Tahun di Singapura (3/4)

Saya sudah tiga tahun lebih tinggal di bandar yang besar ini dan sebagai seorang wartawan saya boleh mengaku ada mengetahui hal ehwal pergaulan, perhubungan dan persaudaraan kaum Islam berbagai2 bangsa di sini.

Oleh Ishak Haji Muhammad

(Utusan Zaman 19 Oktober 1940)

ADAKAH SEBENARNYA KAUM ISLAM SINGAPURA BERPECAH2?

Pada masa sekarang, bukan sedikit orang2 Melayu dan orang Islam yang bukan Melayu di luar Singapura yang terpedaya oleh fitnah atau perkhabaran2 yang karut yang mengatakan kononnya kaum Islam dalam Singapura mudah berpecah-belah disebabkan oleh Kesatuan Melayu, pergerakan kebangsaan Melayu dan surat khabar yang dikeluarkan oleh orang Melayu.

Orang2 yang terpedaya itu bukannya sahaja orang2 yang bodoh dungu, budak2 sekolah atau perempuan2 tua tetapi tuan2 haji, imam, kadi, guru2 sekolah, pegawai2, tuan2 Syed dan Syeikh.

Kononnya orang2 Arab tidak bertegur dengan orang2 Melayu, kaum Indian Islam tidak campur dengan kaum Arab dan Melayu.

Kononnya lagi Kesatuan Melayu memecah2 Islam, pergerakan kebangsaan Melayu membawa kebinasaan.

Tetapi adakah benar kepercayaan yang demikian itu? Adakah sebenarnya kaum Islam di Singapura berpecah-belah? Adakah betul pergerakan kebangsaan Melayu membawa kepada kebinasaan sebagaimana yang dikatakan oleh satu dua surat khabar yang tertentu itu? Adakah betul Kesatuan Melayu Singapura menyebabkan kaum Islam dalam Singapura berpuak2? Jawabnya—satupun tidak benar. Semuanya bohong semata2 fitnah yang sehabis2 karut. Cakap2 yang demikian itu dusta dan lebih merbahaya daripada diayah2 dan seribu bom Nazi.

Dalil2nya atau alasan2 maka saya katakan begitu banyak dan boleh disaksikan pada tiap2 hari, pada sebilang waktu jikalau mata seseorang itu digunakan bagi memandang dan memerhatikan perkara2 yang suci lagi benar.

Betapa boleh dinafikan! Dalam mana2 masjid dan surau pada tiap2 hari siang dan malam, pada sebilang waktu orang2 Islam daripada berbagai2 bangsa, rupa dan warna ada bersama2 menyembah tuhan yang esa.

Di tengah jalan, dalam bas, dalam lorong di mana2 juapun orang2 Islam berjumpa di antara satu dengan lain mengangkat salam dan berjabat salam dengan kasih mesra seperti biasa juga.

Di majlis2 kenduri atau jamuan—sama ada diadakan oleh orang2 Melayu atau orang2 Arab atau orang2 Indian maka adalah orang2 Islam berbagai2 bangsa bercampur gaul dengan baik dan mesra.

Di majlis2 perkahwinan adalah tuan2 Syed, Syeikh, Wan, Tengku, Sharifah, Melayu dan Arab menghadirinya.

Jikalau ada orang Arab bersyarah di mana2 masjid, persekutuan atau dewan adalah beratus2 orang Melayu yang mendengarnya.

Surat2 khabar Melayu yang dikeluarkan oleh saudagar2 Arab maka orang2 Melayu-lah yang membacanya, yang mengarangkannya dan melakukannya. Begitu juga ada orang2 Arab dan India yang membaca suratkhabar Utusan Melayu, Majlis, Utusan Zaman yang diterbitkan oleh orang2 Melayu sendiri.

Dalam sekolah2 Arab, anak2 bangsa Melayu-lah yang banyak mengaji. Di kedai2 Arab tidak kurang disinggahi oleh orang2 Melayu yang membeli kain, minyak sapi dan lain2 lagi.

Joget2 Melayu masih lagi dipajak oleh hartawan2 Arab dan Indian atau persekutuan2nya.

Jikalau ada gambar2 Arab maka siapakah yang banyak sekali menontonnya selain daripada orang2 Melayu lelaki perempuan, tua dan muda.

Jikalau seorang Arab atau Indian mati maka siapakah yang lebih ramai mengiring jenazahnya?

Tiadalah bicara saya adakah tulisan dan perkataan2 saya ini dipercayai oleh orang2 yang membacanya sama ada Arab, Melayu atau Jawi Pekan.

Tetapi manakah satu dalil, tanda atau saksi yang menunjukkan kaum Islam dalam Singapura telah berpecah dan berpuak2 disebabkan oleh Kesatuan Melayu atau pergerakan kebangsaan Melayu?

Saya sudah tiga tahun lebih tinggal di bandar yang besar ini dan sebagai seorang wartawan saya boleh mengaku ada mengetahui hal ehwal pergaulan, perhubungan dan persaudaraan kaum Islam berbagai2 bangsa di sini.

Yang sebenarnya, perhubungan di antara kaum Islam dalam Singapura tidak pernah dapat seperti sekarang, bahkan persaudaraan mereka itu bertambah2 mesra dan pergaulannya makin baik dari sehari ke sehari.

Habis jikalau sudah begitu, tuan2 harus pula bertanya iaitu bagaimana timbulnya fitnah atau kepercayaan seperti ini?

Jawabnya mudah sangat. Di antara orang2 Islam yang bukan bangsa Melayu dan juga di antara orang2 Islam bangsa Melayu ada banyak yang tidak berkenankan pergerakan kebangsaan, yang cemburu kepada Kesatuan Melayu Singapura dan persatuan2 Melayu yang lain.

Adapun sebab2nya mereka itu tidak sukakan pergerakan kebangsaan Melayu dan cemburukan Kesatuan Melayu dan persatuan2 Melayu tiadalah payah saya terangkan.

Saya cuma mahu katakan bahawasanya adat dunia memang begitu. Nasib bangsa melayu memang begitu. Apabila mahu bangun ditekan orang, apabila mahu bergerak disekat orang. Sudah empat ratus tahun lamanya mereka itu merasa tanggungan yang demikian itu didesak2, ditipu, dikecek, dibelit, diperdaya, disesatkan dan dianiayakan oleh orang2 yang bukan bangsa Melayu.

Tetapi bak kata seorang pendeta: Perasaan sesuatu bangsa itu berkeadaan seperti spring. Makin kuat ditindih atau ditekan akan dia, maka bertambah kuat ia akan melambung.

Sifat bangsa Melayu pula seperti emas. Makin dibakar, dilayur dan disepuh maka bertambah halus ia. Bahkan besi yang keras pejal itu tidak akan didapati melainkan setelah dititik dan kuat oleh tukul yang besar.

Perasaan kebangsaan umat Cina tidakkan terserlah dan pergerakan kebangsaannya tidak terbit terang seperti sekarang jika negerinya tidak diserang oleh Jepun. Demikianlah juga lain2 bangsa dan begitulah juga yang sedang berlaku kepada umat bangsa Melayu.

Saya katakan sekali lagi bahawasanya kaum Islam di Singapura tidak berpecah-belah dan tidak berpuak2.

Hanya ada seperkara yang sebenarnya luar biasa telah berlaku di Singapura semenjak tiga empat tahun yang lalu iaitu kaum Melayu Singapura tidak mahu berkepalakan atau berketuakan orang2 yang bukan Melayu dalam apa pergerakannya juapun.

Adapun sebab2nya maka kaum Melayu berbuat begitu ada banyak. Saya dapat ketahui setengah daripada sebab2nya itu semenjak saya tinggal di Singapura. Yang telah terjadi terdahulu daripada itu seperti dalam masa menyambut hari kemahkotaan baginda King dan sebagainya itu tak payah saya sebutkan.

Daripada cerita pengalaman2 saya selama tiga tahun di Singapura, tuan2 akan dapat mengetahui setengah daripada sebab2nya maka kaum Melayu tidak mahu berketuakan atau berkepalakan orang2 Islam yang bukan Melayu dalam pergerakan2 ilmu berkenaan dengan kaum Islam. Satu daripadanya ialah orang2 Islam yang bukan Melayu mendahulukan pujian2 dan pangkat daripada pekerjaan yang dibuatnya. Mereka berebut2 mencari nama.

Setelah enam tujuh bulan lamanya saya di Singapura, maka banyaklah orang2 Melayu yang saya kenal. Beberapa orang muda Melayu yang sebaya dengan saya telah menjadi kawan2 yang baik. Orang2 muda ini kerap kali berbahasa “Habib atau Tengku” kepada saya.

Mulanya saya tidak faham apa maksud mereka itu dan saya menyangka mereka itu tersalah.

Tetapi tidak berapa lama lepas itu saya mengertilah iaitu maksudnya menyindir2 atau mengejek2 sebab saya bekerja dengan Arab. Bahkan pada suatu masa seorang daripadanya telah menghadiahkan saya sebutir songkok tarbus.

Saya bertanya mengapa kawan2 saya itu nampaknya tidak sukakan Arab.

“Kita bukan tidak sukakan Arab sahaja tetapi juga D.K.K.” kata seorang daripadanya.

D.K.K. | Apa itu D.K.K.? Bertanya saya dengan pelik.

Darah Keturunan Keling—jawab mereka itu. Itulah kali yang pertama saya mengetahui makna D.K.K. iaitu kira2 dalam bulan Mei tahun 1938. Pada masa sekarang, makna D.K.K. itu dierti oleh orang Melayu di serata Malaya hatta budak2 pun.

Saya telah berusaha bertanya apa sebab2nya maka anak2 muda Melayu Singapura tidak sukakan Arab. Mereka itu telah menerangkan dan menunjukkan sebab2nya.

Di sini tidak payah disebutkan satu persatu kerana pada masa sekarang boleh dikatakan semua orang Melayu Jati yang bersemangat dan berperasaan kebangsaan sudah mengetahuinya. Tetapi satu daripadanya ialah orang2 Arab atau D.K.K. suka memandai-mandai dalam hal orang Melayu dan mencari nama daripada jasa orang Melayu. Satu daripada contohnya ada terbayang dalam cerita yang benar berkenaan dua orang gadis Islam yang saya siarkan semula di bawah ini:—

Cemas Kahwin

Dalam bulan Julai tahun 1938, kaum Islam Singapura telah tergempar disebabkan oleh dua orang gadis Islam (bangsa Melayu) yang kononnya telah masuk Serani yakni agama Kristian.

Bunyi siaran yang pertama dalam Warta Malaya berkenaan dengan hal itu adalah seperti berikut:—

“Di antara seorang Arab berjalan balik ke rumahnya melalui Geylang Road pada pukul satu malam, kedengaranlah kepadanya suara bertengkar di antara dua gadis dengan seorang Cina beca, lalu ia mendapatkan mereka yang bertengkar supaya mengetahui halnya. Maka dilihatnya salah seorang gadis itu memberi kepada Cina itu sebiji kancing bajunya yang agak berharga mahal jadi tambang beca tetapi Cina itu enggan menerima kerana ia berkehendakkan dua butir kancing gadis itu.

Maka orang Arab itu bertanya: Apa halnya ini. Lalu salah seorang gadis itu menjawab bahawa keduanya telah lari dari sebuah sekolah Kristian ketika sekolah itu alpa dan sekolah itu me-Nasrani-kan sesiapa yang mengaji dan diam di sekolah itu lalu dikhabarkannya pula halnya dengan Cina beca itu. Maka orang Arab itu dengan serta merta mengeluarkan duit memberikan tambang beca itu dengan secukupnya dan kedua2 gadis itu dibawanya balik ke rumahnya hingga pagi.

Pada keesokan paginya, orang Arab itupun pergi ke rumah pasung mengadukan hal itu lalu pihak polis bertalipon kepada sekolah Kristian yang gadis2 itu tadi lari daripadanya itu. Maka dengan segera ketua atau pengelola sekolah itu datang ke rumah pasung meminta supaya kedua2 gadis itu diserahkan kepadanya padahal kedua2 gadis itu sentiasa menangis berhamburan air mata boleh jadi takut dipulangkan semula kepada sekolah me-Nasrani-kan itu. Setelah bertengkar panjang di antara orang Islam itu dengan ketua sekolah itu berkuat hendak melepaskan kedua2 gadis itu juga tetapi ketua itu enggan melepaskan dengan mengatakan kedua2nya belum cukup umur menurut undang2 dalam sangkaannya dan ia sedia melepaskan apabila seorang Islam mengaku berkahwin dan memelihara gadis2 itu. Maka orang Arab itupun sanggup berkahwin lalu membuat surat akuan berkahwin dengan gadis yang berumur lebih itu dan dengan jalan ini telah dapatlah ia melepaskan gadis yang besar itu daripada dibawa balik ke sekolah tadi.

Adapun gadis yang kecil itu telah dibawa balik ke sekolah itu kemudian kedengaran pula gadis kecil itu dihantar ke rumah sakit kononnya oleh kena teruk.

Di sini fikirlah entah kena belasah di sana sebab lari itu agaknya bagaimana terlebih dahulunya kononnya ia telah lari dan telah dibawa balik ke sekolah itu dan ditutup di tempat gelap.

Perihal ini telah diketahui oleh Yang Mulia xx Syed Muhammad bin Ahmad Alkaff, Yang Berhormat Captain Nur Muhammad Hashim, Yang Mulia ustaz Syed Abdullah bin Yahya dan Yang Berbahagia Haji xx Shah. Lalu tuan2 yang berbudi itu mengambil berat hal ini dan beberapa kali telah berjumpa dengan pihak sekolah seruan Kristian dan berjumpa sendiri dengan gadis ini di rumah sakit kerajaan dan setelah berbahas dengan panjang lebar, maka pihak sekolah itu suka menyerahkan gadis itu jika dengan timbangan pihak yang berkuasa dan Yang Mulia xx Syed Muhammad Alkaff mengaku membawanya diam di rumahnya yang permai itu.

Yang demikian penganjur2 Islam yang terbilang itu sekarang sedang sibuk dengan bersungguh2 supaya berjaya gadis itu dikeluarkan dari rumah sakit, dilepaskan daripada sekolah Kristian dan dikekalkan di tangan orang Islam dan dalam belaan Islam dengan cukup belaan.

Demikianlah rupanya lembaga2 Kristian itu sentiasa berusaha dengan berbagai2 tadbir dan helah dengan tujuan menarik orang2 dan anak2 kita Islam kepada agama Kristian dan disyukurkan atas jasa dan khidmat Islam daripada Jami’at al-Dakwah al-Islamiyyah dan penganjur2 Islam yang terbilang itu.”

Perkhabaran di atas ini sepanjang ingatan saya telah diterima daripada seorang Arab, disusun dan disiarkan oleh salah seorang pengarang2 Warta Malaya yang tertua sebelum disiasatnya lebih dahulu.

Sebagaimana yang saya telah katakan di atas tadi bahawa perkhabaran itu bukan sahaja menggemparkan kaum Islam tetapi juga menimbulkan berbagai2 pertanyaan dan sungutan.

Saya telah pergi menyiasat perkara itu, mengambil keterangan daripada orang2 yang mengetahui di daerah Geylang, pergi ke rumah Salvation Army di River Valley Road, ke Po Leung Kuk dan berjumpa tuan pengawal budak2 dan gadis2 di xx.

Seorang daripada dua gadis itu bernama Puteh binti Muhammad telah berkahwin dengan I. Usman bin Muhammad, seorang muda bangsa Melayu. I. Usman inilah yang telah menolong kedua2 orang gadis itu bukannya seorang Arab sebagaimana yang tersiar pada mulanya.

Gadis yang seorang lagi itu bernama Salmah. Ia telah dihantar oleh pihak2 yang berkuasa ke Po Leung Kuk. Saya dengan I. Yusof bin Ishak (pada masa itu Setiausaha Kesatuan Melayu dan sekarang manager Utusan Melayu Press Limited) telah pergi menyiasat hal gadis itu dari suatu punca ke suatu punca hingga dapat keterangan2 yang memuaskan hati. Kerana cerita itu benar, pelik, sedih dan mengandungi pelajaran yang baik maka eloklah saya perturunkan semula dan saya percaya pembaca2 tentu tiada akan meluat membacanya sekali lagi—demikian bunyinya:—

“Berkenaan dengan kisah dua orang gadis Islam yang di-Nasrani-kan itu sebagaimana yang telah tersiar di dalam Warta Malaya keluaran 13 dan 16 Julai maka seorang daripadanya bernama Puteh binti Muhammad telah berkahwin dengan seorang muda Melayu bernama Usman bin Muhammad.

Berkenaan dengan yang seorang lagi itu yang dikatakan bernama Salmah maka wakil khas kita bersama2 dengan seorang pegawai Kesatuan Melayu Singapura telah menyiasat sekali lagi dan telah didapati perkhabaran2 yang lebih panjang lagi terang seperti yang tersebut di bawah ini.

Wakil2 khas kita telah pergi ke River Valley Road ke sebuah rumah tempat tinggal gadis2 yang tiada mempunyai sanak saudara atau penjaga yang dikelolakan oleh Salvation Army Bahagian Perempuan.

Mengikut kenyataan yang diberi oleh misi yang menjaga tempat itu kononnya Salmah ialah seorang gadis kacukan, bapanya seorang Keling dan ibunya seorang perempuan Melayu.

Dari kecil hingga berumur lebih kurang tujuh tahun maka Salmah tinggal bersama2 dengan ibunya di Johor Road, Singapura. Kemudian daripada itu Salmah telah diberikan oleh ibunya kepada seorang perempuan Jawa bernama Umi.

Umi kononnya telah menjualkan Salmah kepada seorang Cina bagi persundalan maka kononnya Cina itu telah menyeksa dan memukul akan Salmah.

Barangkali kerana tak deritakan azab sengsara maka Salmah telah lari daripada kawalan Cina itu lalu melara melarat merata2 bandar Singapura. Kononnya telah berjumpa dengan seorang Arab lalu meminta pertolongan daripadanya tetapi kononnya Arab itu telah merosakkan maruah gadis yang malang itu.

Mengikut ceritanya kemudian daripada itu, maka Salmah pun dibawa ke Rumah Sakit Besar berubat dan setelah ia sihat maka dibawa oleh pihak yang berkuasa (xx) ke Po Leung Kuk hingga ia berumur lima belas tahun lebih kurang. Tetapi disebabkan dalam Po Leung Kuk itu kebanyakannya gadis2 Cina maka Salmah telah dipindahkan ke rumah gadis2 miskin di bawah jagaan Salvation Army Bahagian Perempuan di River Valley Road kira2 pada awal bulan Februari tahun ini.

Mengikut kata misi yang menjaga rumah gadis2 miskin itu maka Salmah dan Puteh binti Muhammad telah lari daripada rumah itu pada akhir bulan Jun.

Sebagaimana yang telah termaklum maka Puteh binti Muhammad telah berkahwin tetapi Salmah telah dibawa balik ke rumah gadis2 miskin itu.

Pada 7 haribulan ini (Julai 1938) kerana barangkali ditakuti Salmah akan lari sekali lagi, maka ia telah dipindahkan semula ke Po Leung Kuk. Misi itu mengatakan juga Salmah telah tinggal di rumah gadis miskin itu di bawah jagaannya selama lebih kurang lima bulan dan ia telah diajarkan ilmu jahitan2, merenda dan menekat dengan tujuan supaya ia mendapat sesuatu pekerjaan bagi penghidupannya.

Kedua2 gadis Islam yang dikatakan telah di-Nasrani-kan itu mengikut kenyataan misi yang menjaganya itu jahil di dalam pengetahuan sebarang apa agama jua dan telah diajarkan ilmu agama Kristian.

Wakil khas kita telah pergi ke Po Leung Kuk di York Hill bersama2 dengan rakannya seorang pegawai Kesatuan Melayu tetapi kerana tiada mempunyai surat kebenaran masuk daripada pihak yang berkuasa maka wakil khas kita tidak dapat masuk berjumpa dengan Salmah.

Mengikut kata orang yang menjaga pintu Po Leung Kuk (xx bangsa Jawa) maka tiadalah seorang penganjur atau ketua Islam yang telah melawat berjumpa dengan Salmah padahal perkhabaran2 berkenaan dengannya telah xx dan heboh dalam Singapura.

Meskipun begitu maka pada petang ini wakil khas kita akan berjumpa dengan tuan Bingham(?), penolong pengawal Cina, meminta kebenaran daripadanya melawat ke Po Leung Kuk berjumpa dengan Salmah dan berjaya maka kisah yang xx panjang berkenaan dengan azab sengsara kehidupan gadis Islam itu”.

Demikianlah lagi perkhabaran dan berita2 berkenaan dengan gadis Islam itu terbit daripada penyiasatan saya. Bersama2 dengan A. Yusof bin Ishak juga saya telah berjumpa dengan tuan R. P. Bingham(?) kerana meminta kebenaran masuk ke Po Leung Kuk bertemu dengan gadis Salmah.

Dengan lemah lembut, tuan itu telah menolak permintaan kami tetapi kerana kuat hendak berjumpa dengan Salmah maka saya telah menawarkan diri saya suka hendak berkahwin dengan gadis itu.

Setelah disiasatnya hal diri saya, berapa gaji dan umur saya maka tuan Bingham(?) telah mengatakan bahawa ia percaya gadis Salmah akan sukakan saya lalu ia mengatakan bolehlah kami berjumpa lagi dengannya dua minggu di belakang.

Hala balik dari pejabat xx, rakan saya telah tergelak besar serta bertanya sungguhkah saya mahu berkahwin dengan gadis itu.

Saya menjawab mengatakan sesungguhnya—bukan olok2. Bahkan pada masa itu hati saya telah berdebar2 kerana sangka saya tentulah betul2 tuhan hendak jodohkan saya dengan gadis itu.

Tetapi alangkah kecewanya saya apabila mendengarkan lebih kurang sepuluh hari kemudian daripada itu gadis Salmah telah berkahwin dengan orang lain. Bagaimanapun saya berbaik2 mengucap syukur kepada tuhan kerana kedua2 gadis itu telah selamat hingga sekarang. Maka itulah kali yang pertamanya saya cemas2 jadi mempelai di Singapura. Kemudian itu daripada tiga kali lagi saya hampir2 berkahwin di Singapura iaitu yang keduanya dengan seorang penjual atau pelayan kedai di Pasar Melayu, kali yang ketiganya dengan seorang guru sekolah Melayu. Tetapi hingga sekarang saya masih bujang juga. Jodoh belum ada apa boleh buat.

Kemudian daripada menyiasat kejadian dua orang gadis Islam itu saya telah diperkenankan masuk Kesatuan Melayu Singapura.

Semenjak saya masuk Kesatuan Melayu di akhir tahun 1938 maka makin banyaklah orang2 Melayu yang saya kenali kerana saya beberapa kali telah dibawa oleh ahli2 jawatankuasa Kesatuan Melayu melawat kampung2 Melayu, menghadiri majlis2 syarahan yang diatur olehnya, melawat ke Pulau Sudong, tempat askar Melayu Changi dan lain2 lagi.

Dalam tahun 1939, saya telah dilantik menjadi seorang ahli jawatankuasa Kesatuan Melayu dan pergaulan saya dengan kaum Melayu Singapura bertambah2 rapat.

Saya telah mendapat berbagai2 pengalaman yang baharu, pelajaran dan latihan2 yang baik daripada percampuran saya dengan ahli2 dan pegawai2 Kesatuan Melayu. Dalam majlis2 mesyuarat jawatankuasa Kesatuan, saya jarang2 bercakap kerana saya lebih suka memerhatikan ahli2 yang lain bercakap memberi buah fikiran, mendatangkan sesuatu syor dan berbahas di antara satu dengan lain.

Perhatian dan pandangan2 saya berkenaan dengan pertubuhan dan perjalanan Kesatuan Melayu tiada elok disiarkan di sini kerana saya bercadang hendak menyusunkannya jadikan kandungan buku.

Di awal tahun ini dalam Mesyuarat Agung Kesatuan Melayu Singapura, kerana tidak ada seorangpun daripada anak2 muda Melayu Singapura yang sanggup menjadi Setiausaha, maka saya dengan malangnya telah dipilih menjadi Setiausaha yang Kehormat padahal ahli2 KMS sekaliannya cukup tahu bagaimana beratnya tanggungan2 saya yang sedia ada sebagai seorang sidang pengarang Utusan Melayu akan tetapi apa boleh buat, mahu tak mahu terpaksalah saya terima juga dan hingga sekarang.

Bagaimanapun saya syukur kepada tuhan kerana semenjak saya menjawat pekerjaan Setiausaha KMS ini, berbagai2 pelajaran dan pengetahuan lagi saya telah dapat. Pelajaran dan pengetahuan itu amat berguna bagi saya dalam pergerakan2 kebangsaan yang akan datang.

[Dalam sambungan yang akan datang, saya akan ceritakan apa yang telah berlaku sebelum Utusan Melayu diterbitkan. Bagaimana saya dan rakan2 saya berunding, mengatur langkahan2 baharu].

Tiga Tahun di Singapura (2/4)

Tuan Abdul Rahim Kajai bukannya sahaja seorang guru kepada saya dan rakan2 sejawat saya tetapi ketua yang sangat ditaati. Di luar pejabat dia menjadi seorang kawan yang boleh dilawan berbual2 dan berjenaka.

Oleh Ishak Haji Muhammad

(Utusan Zaman 12 Oktober 1940)

KALI YANG PERTAMA SAYA MENGHADIRI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN

Pada hari yang pertama saya mula bekerja di pejabat Warta Malaya, tuan Abdul Rahim Kajai tidak ada di Singapura, ia ada di Kuala Lumpur tetapi saya telah dikenalkan kepada rakan2 sejawat yang ada iaitu Yang Mulia Dato’ Ghazali, I. Hashim bin Yunos, I. Zaitun bin Haji Ilyas, I. Adnan bin Ismail dan Raja Shafiq—kedua yang akhir itu ialah juru2 tulis.

Dengan I. Zaitun, saya memang telah kenal lama dan dialah yang menunjukkan meja tempat duduk saya dan juga kaedah2 pekerjaan di pejabat itu.

Saya telah dikenalkan dengan Dato’ Ghazali bagi kali yang pertamanya hari itu tetapi kerana ia sangat peramah maka lekas saya mesra dengan dia. Terdahulu daripada itu, saya telah berjumpa dengan abangnya iaitu I. Adnan di Kota Bharu, Kelantan tetapi rupanya tidak serupa, iras2nya pun tak ada dengan Dato’ Ghazali. I. Adnan ialah pengarang buku “Tikaman Bahasa” dan penulis yang terkenal dengan nama kalamnya “xx”.

I. Hashim Yunos juga seorang yang peramah dan baik tegur sapanya. Ia ini seorang tua – bukan umurnya bahkan keadaannya kerana ia tidak memakai seluar xx, collar necknya seperti orang2 lain di pejabat itu dan juga saya perhatikan ia menghisap rokok daun sahaja, terkadang2 paip. Kebetulan ia seorang yang alim lagi soleh sekali2 tiada berfikiran moden.

Perhatian saya pada hari yang pertama itu atas tuan Syed Hussein ialah seorang yang lemah lembut tingkah lakunya, halus dan tertib bahasanya. Ia seorang Arab yang moden memakai pakaian cara Eropah dan bersongkok Melayu tidak seperti orang2 Arab yang saya telah lihat dan jumpa terdahulu daripada itu—berjubah dan berserban keras.

Dua tiga hari yang pertama itu tidaklah berapa lepas laku saya. Maklumlah orang baru, tetapi seminggu lepas itu saya sudah tidak tersipu2 atau tergamam2 lagi dengan pekerjaan2 saya. Tambahan pula yang sebenarnya pekerjaan yang diuntukkan bagi saya tidak banyak dan tidak berapa berat atau susah.

Tuan penguasa agung dan rakan2 saya bertanya kiranya saya sudah biasa di Singapura. Jawab saya bahkan—terdahulu daripada ini saya telah acap kali datang ke Singapura makan angin. Tujuan mereka itu sekiranya saya tidak biasa maka mereka itu hendak membawa saya berjalan2 menunjukkan tempat2 dan selok-belok kota Singapura.

Akan tetapi, saya berasa malu hendak mengaku yang saya tidak biasa dan kerana “kesombongan” saya itu maka pada suatu hari—sebulan lebih kurang kemudian daripada itu—saya telah sesat, tersalah naik trem hingga sampai ke xx Road. Puas saya cari2 Cecil Street dan pejabat Warta Malaya tidak berjumpa hingga berjam2 lamanya. Hari itu saya tidak datang ke pejabat dan keesokan harinya apabila ditanya mengapa saya tidak datang maka saya berdalih mengatakan sakit kepala.

Dengan kemurahan tuan penguasa agung, saya diberi dengan percuma sebuah rumah yang besar yang terletak di hadapan rumah pasung Geylang sementara saya dapat menyewa rumah lain. Tetapi sungguhpun rumah itu cukup lengkap dengan alat2 perhiasannya yang cantik, bersih dan lapang, saya berasa terlalu risau dan sunyi duduk seorang diri teristimewa pada waktu petang kerana saya telah biasa hidup berkawan2 ramai. Umpamanya di Kemaman kalau waktu petang saya pergi ke pasar memerhatikan orang2 tawar-menawar berduyun2 lelaki dan perempuan. Kadang2 duduk di tepi sungai melihat kapal masuk ke kuala, perahu2 nelayan balik dari tengah lautan dengan layarnya terkembang xx mudik seolah2nya seperti burung2 melayang daunan. Kadang2 saya berbual2 di kedai kopi dengan orang2 kebanyakan di sana ataupun duduk di kedai billiard memerhatikan hal kelakuan mereka itu. Waktu malam pula hawa di sana lazimnya sangat bagus, angin sentiasa bersepoi2 dan hiburan jarang2 yang putus, kadang2 ada makyong, wayang kulit atau xx iaitu jenis nyanyian yang dilakukan oleh budak2 beramai2.

Tetapi di sini—wah! Bukan main bising. Bunyi trem, motokar2 dan bas lalu-lalang tidak putus2 bersambut dengan loceng basikal2, terompah dan kasut orang2 yang xx xx ke hilir ke hulu bergopoh-gapah lakunya.

Dalam seminggu sahaja saya sudah terasa rindu hendak melihat burung2 liar terbang, mendengar ayam berketuk atau berkokok, kambing mengembek tetapi tidak ada. Di sini bukannya kampung melainkan sebuah bandar yang besar. Tetapi apa hendak dikatakan, sudah nasib untung badan saya. Mahu tak mahu mestilah diterima.

Pada petang 6 haribulan Oktober 1937, saya telah dibawa melawat tempat binatang2 liar di Punggol. Hati saya sukalah sedikit kerana telah melihat beberapa ekor monyet, beruk dan kera, bermacam2 burung, ular, buaya dan lain2 lagi. Tetapi suka saya sekejap sahaja dan lepas itu timbullah belas kasihan kerana binatang2 itu kebanyakannya terkurung di dalam tempat2 yang berpagar dengan besi. Saya musykil melihat monyet2 di situ tersipu2 dalam keluasannya yang sedikit kerana saya telah melihat monyet2 yang bebas di dalam hutan, bagaimana sukanya mereka itu terlompat2 dari sepohon kayu ke pohon kayu dengan anak2 dan betina2nya sambil bersorak2 dengan aman dan merdeka. Saya kasihan melihatkan dua ekor buaya yang terkurung di dalam lopak yang berpagar padahal laut yang luas ada terbentang di hadapannya. Pada fikiran saya, kedua Sang Rangkak itu bercita2 hendak bebas semula. Lepas itu tidak pernah saya pergi ke sana lagi hingga sekarang.

Pada masa saya baharu2 sampai di Singapura, peperangan China-Jepun sedang hebat berlaku. Dalam Singapura ketika itu, perasaan bencikan Jepun sedang timbul di antara kaum Cina yang ramai di sini dan pergerakan memulaukan atau memboikot barang2 Jepun dijalankan.

Rakan2 saya mengingatkan supaya berjaga2 jikalau saya berjalan dalam bandar kerana rupa saya kata salah seorang daripadanya ala gaya2 orang Jepun. Saya ingatkan pesanan mereka itu dan bila saya berjalan bersiar2 dalam bandar, saya sentiasa membawa senjata. Tetapi tuan2 jangan salah faham kerana senjata yang saya bawa itu bukannya pistol, pisau ataupun keris melainkan ialah sebutir songkok Melayu.

Bagaimanapun, saya telah kecemasan juga iaitu tatkala saya bercukur dalam sebuah kedai gunting Cina di North Bridge Road. Waktu saya masuk kedai itu tidak memakai songkok tetapi songkok saya ada dalam poket seluar. xx telah saya sedang bersandar, saya terdengar dan tersedar tukang2 gunting lelaki dan perempuan bercakap2 pandang-memandang dan menjeling akan saya.

Nyonya yang mencukur saya itu lemah lembut dan elok parasnya dan saya tidak fikir dia sampai hati hendak mengerat leher saya tetapi saya sudah rasanya. Pisaunya yang tajam itu geli rasanya melalui dagu lalu ke halkum saya. Dengan perlahan2 saya tarik keluar songkok saya dan tidak berapa lama lepas itu saya perhatikan orang2 Cina itu terdiam semula.

Hari ini tatkala saya membaca semula ingatan dalam buku diari saya maka sekali lagi geli-geleman saya memikirkan kejadian itu.

Sekarang perasaan orang2 Cina dan Jepun mujurnya sudah sejuk dan hampir2 pulih seperti sediakala tidak sebagaimana dua tiga tahun dahulu.

Belumpun sebulan saya bekerja maka saya telah dihantar keluar mencari atau mengambil perkhabaran2. Pada hari Isnin 25 haribulan Oktober 1937, saya menghadiri Persidangan Mesyuarat Kerajaan Negeri2 Selat atau Legislative Council. Hingga hari ini saya masih ingat bagaimana perasaan dan kegembiraan saya pada masa itu kerana itulah satu lagi pengalaman yang besar yang saya dapat sebagai wartawan.

Meja2 mesyuarat itu diatur seakan2 potong telur sekerat. Kerusi tuan Gabenor terletak di tengah2. Di kanannya duduk tuan Pemerintah Agung Bala Tentera Malaya dan di kirinya tuan Colonial Secretary. Di hadapannya di celah lingkungan meja mesyuarat itu ialah kerani mesyuarat dan di belakang kerani mesyuarat itulah terletak meja2 bagi wakil surat2 khabar yakni kita orang2 surat khabar menghadap betul tuan Gabenor.

Duduknya wakil2 akhbar itu mengikut susunan umur dan keutamaan surat2 khabar. Wakil2 surat khabar Strait Times dan xx Press di hadapan sekali kemudian surat khabar Malaya Tribune dan di belakang itu ialah wakil2 surat2 khabar Cina dan Melayu dan juga surat2 khabar di utara Malaya.

Maka itulah kali yang pertamanya saya hadir dan menyaksikan persidangan majlis mesyuarat kerajaan. Hati saya bukan main megah pada waktu itu kerana saya perhatikan sayalah seorang sahaja wartawan Melayu di antara wartawan2 yang baik itu.

Maka di situlah saya telah melihat tuan Gabenor Sir Shenton Thomas dari dekat. Hal keadaan majlis mesyuarat itu saya boleh tuliskan dengan panjang di sini tetapi harus tidak menggemarkan tuan2 pembaca.

Selang tidak beberapa bulan lepas itu saya telah dapat pula menghadiri Persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor dan itupun tidak kurang mendatangkan pengalaman2 yang baharu dan pelajaran kepada saya.

Perkara yang pertama sekali menarik perhatian saya tatkala mula menghadiri majlis mesyuarat kerajaan Johor ialah beberapa keping papan yang tertulis dengan surat2 Cina yang besar2—ada setengahnya dengan air mas—tergantung atau terpaku pada tiang2 dewan mesyuarat itu. Maka hingga sekarang saya tidak mengetahui apakah gerangan maknanya tulisan2 itu ataupun apa maksudnya.

Akan sekarang setelah beberapa kali saya menghadiri majlis2 mesyuarat kedua buah negeri itu semenjak dua tiga tahun yang lalu maka sangatlah ingin pula saya hendak melihat hal keadaan majlis mesyuarat negeri2 Melayu yang lain seperti Kedah, Kelantan, Terengganu, dan lain2 lagi. Mudah-mudahan tuhan menunaikan cita2 saya ini.

Terlanjurkan saya telah menyebut perihal majlis mesyuarat kerajaan Johor maka eloklah saya nyatakan satu perkara yang seyogia menyukakan orang2 kita Melayu di negeri2 yang lain iaitu bahasa yang diutamakan dalam majlis mesyuarat itu ialah Bahasa Melayu tetapi Bahasa Inggeris dipakai juga. Sekiranya seseorang ahli mesyuarat hendak memberi ucapan dalam Bahasa Inggeris maka hendaklah ia meminta izin lebih dahulu daripada Yang di-Pertua Majlis Mesyuarat. Segala surat2 kenyataan mesyuarat, rang undang2 dan sebagainya adalah tertulis dalam dua bahasa iaitu Melayu dan Inggeris.

Demikian juga ahli2 mesyuarat yang rasmi apabila menerangkan suatu perkara lazimnya menggunakan kedua2 bahasa yang tersebut tetapi ada kalanya Melayu didahulukan dan adakalanya Inggeris didahulukan.

Pada 27 haribulan Oktober 1937 bersamaan dengan 21 haribulan Sya’ban 1356 saya telah pergi ke Sekolah Gadis Melayu Rochoh bagi kali yang pertamanya kerana mengambil perkhabaran dan menyaksikan majlis menyampaikan hadiah2, permainan dan pertunjukan kuih2 dan masakan2 murid2 sekolah itu.

Maka di situlah mulanya saya melihat rupa dan gaya perempuan2 Melayu Singapura. Tingkah laku dan sopan santun mereka itu tidak jauh bezanya dengan perempuan2 Melayu di lain2 negeri iaitu lemah lembut dan pemalu. Tentang pakaian dan kebersihannya, nyatalah mereka itu lebih daripada perawan2 sebangsa dengannya di sebelah utara. Setengahnya sudah berambut pendek atau bob hair. Perhiasan2 yang kasar seperti gelang kaki dan kerongsang2 sudah ditinggalkan oleh perawan2 di sini. Pakaian mereka itu pada pandangan saya sangat elok iaitu baju kurung putih labuh singkat lutut, tudung kepala putih dan kain hijau.

Mengarang Cerita

Daripada tahun 1937 hingga sekarang, saya telah mengarangkan tidak kurang dua puluh lima cerita pendek yang disiarkan bersambung2 dalam Warta Ahad dan Utusan Zaman sekarang.

Kebanyakan cerita2 saya itu semata2 rekaan jua tetapi ada juga yang berasaskan kejadian2 yang sebenarnya telah berlaku. Umpamanya cerita yang bernama “Anak Luar” berasaskan kepada suatu kejadian dalam Kemaman, Terengganu. Beberapa orang hartawan Melayu di sana pada suatu masa telah memohon sekeping tanah bijih lebih kurang 300 ekar luas di suatu tempat yang bernama Bukit Pintu Gerbang. Permintaan itu tidak diluluskan oleh pihak yang berkuasa kepada hartawan2 Melayu itu tetapi tidak berapa lama lepas itu terdengar berita bahawa tanah itu telah didapati oleh seorang taukeh Cina. Dua tahun lepas itu maka taukeh Cina itu telah mati dalam keadaan yang malang.

Ada dua tiga sebabnya yang khas maka saya berusaha mengarang cerita2 pendek. Pertamanya daripada bilangan pembaca majalah2 dan surat2 khabar Melayu yang banyak dan bertambah2 banyak dari suatu hari ke suatu hari maka saya dapati sebilangan besar daripadanya lebih suka membaca cerita2 yang mudah difaham berkenaan dengan perkara2 dan hal keadaan yang sebenar2nya ada berlaku di keliling mereka itu hari2 daripada membaca makalah2 yang tinggi dan meleret2 bahasanya berkenaan dengan perkara2 yang payah dan yang jarang2 didengar oleh mereka itu seperti ilmu iktisad sains, politik dan sebagainya.

Yang keduanya, contoh teladan atau maksud tujuan yang disulamkan di dalam cerita2 itu lebih memberi kesan daripada makalah yang melambung2 dan berdegar2 bunyinya.

Ketiganya, mereka dan mengarang cerita2 pendek memang kesukaan saya. Oleh sebab itu saya bercita2 hendak mengarang lagi beberapa cerita yang pendek dan yang panjang selagi ada nyawa dalam badan saya.

Meskipun saya boleh katakan bahawa banyak orang yang gemar membaca cerita2 karangan saya itu dan ada yang menulis surat menyatakan kegemarannya tetapi saya berasa malu sangat hendak menerima pujian2 itu kerana pada perasaan saya, cerita2 yang saya telah karangkan itu sangat rendah darjahnya baik pada tentang susunan bahasa, gubahan dan aturannya mahupun tentang jalan ceritanya.

Ada orang yang mengatakan cerita yang bernama “Nyonya Bergelang Kaki” itulah yang sangat menarik dan kena gaya rekaannya dan ada pula yang mengatakan cerita “Menuba Ikan” dan “Siti Muhibah” itulah yang cantik kandungannya. Sememangnya terserah kepada orang ramai menghakimkan yang mana elok dan yang mana tak bagus tetapi saya berasa belum lagi saya dapat mengarangkan suatu cerita yang seyogia mendapat pujian dan kerana itulah saya makin kuat bercita2 berusaha lagi.

Kepada orang2 yang gemar memerhatikan kekayaan tuhan, keindahan alam, keganjilan hidup, adat resam, pekerjaan, tingkah laku dan pergaulan berbagai2 bangsa manusia yang bermacam2 rupa, bahasa, pakaian dan berlainan2 agama maka kota Singapura ini ialah suatu ladang yang penuh dengan berbagai2 tumbuh2an dan bunga2an dan2 benda2 yang ajaib, cantik, buruk perangai dan menghairankan.

Kepada orang2 yang rajin menulis maka kota Singapura ini penuh dengan berjenis2 alat perkakas dan rampaian2 karangan. Walau di mana2 pun—di dalam trem, di dalam bas, di taman2 hiburan, di gudang2 yang besar, di pelabuhan yang berserak dengan kapal2, tongkang dan perahu, di tengah2 lorong, di padang, di kampung—memang ada terbentang ramuan2 cerita.

Tetapi Singapura ini terlampau bising, terlalu sibuk, hawanya panas, kesat dan berdebu. Maka amatlah payah hendak berfikir dengan tenang dan menggubah cerita dengan aman dalam tempat yang begini kelam-kabut.

Pada masa sekarang, hampir2 semuanya surat2 khabar dan majalah2 Melayu dalam Tanah Melayu ini ada menyiarkan cerita2 pendek yang bersambung2 dan sekirang saya boleh memberi fikiran berkenaan dengan cerita2 itu, maka saya katakanlah dengan tulus ikhlas bahawa cerita2 yang disiarkan oleh majalah Al-Hikmah Kelantan itulah yang lebih tinggi darjahnya.

Bahawa sesungguhnya mengarang cerita pendek bagi bacaan ilmu dan untuk siaran dalam majalah2 makin sehari bertambah susah dan mesti mengambil masa yang panjang serta fikiran yang banyak kerana darjah pembaca2 sudah tinggi dan bertambah tinggi. Jikalau tidak, maksud atau tujuan cerita2 itu haruslah tidak sampai dan tidak berkesan ia pada menggerakkan perasaan dan membukakan mata orang2 kita yang membacanya ataupun tidak dibacanya langsung.

Sebelum saya berhenti menulis fasal cerita2 pendek maka eloklah saya perturunkan xx sepucuk surat yang saya terima berkenaan dengan cerita2 saya yang telah tersiar. Surat2 ini adakalanya mencerca, adakalanya mengulas memberi fikiran dan nasihat dan adakalanya memuji tetapi semuanya mendatangkan galakan.

“xx, saya telah menjadi suka hati dapat membaca satu cerita yang telah disiarkan dalam Warta Ahad bilangan 135 bertarikh 31.11.28 pada muka 19 yang berkepalakan “Jalan Hiburan” yang menggambarkan suatu kejadian yang berlaku di Kemaman.

Sangatlah terperanjat pihak pegawai2 Pejabat Agama dan Mahkamah Kadi di Terengganu pada memikirkan perkara yang telah terjadi itu dan sudahlah saya bawakan kepada pengetahuan Haji Wan Muhammad Mokhtar, Pemangku Setiausaha Pejabat Agama”—demikianlah berisinya sepucuk surat yang saya telah terima daripada seorang anak raja Terengganu tetapi nama anak raja itu tiada boleh saya sebutkan di sini.

Jenaka, Kelakar, Kias Ibarat dan Siasah

Dalam tahun 1937, surat khabar Warta Malaya dan majalah Warta Ahad sudah termasyhur ke serata Tanah Melayu hingga ke gugusan pulau2 Melayu. Pada masa itu, surat khabar Melayu harian yang utama sekali dalam Semenanjung ini Warta Malaya-lah. Dan lagi perdiriannya, peraturannya dan kandungannya sudah cukup sempurna pada masa itu.

Warta Ahad semenjak itu boleh dikatakan sebuah majalah mingguan yang sama keadaannya dengan majalah2 Inggeris kerana kandungannya ada cukup serba-serbi—gambar2 yang terang, makalah2 yang bernas, peraduan silang kata, cerita pendek, jenaka, kelawak, kelakar, makalah2 berkenaan dengan agama, adabiah dan lain2 lagi.

Setengah daripada penulis2 yang terkenal menulis dalam Warta Ahad pada masa itu ialah I. Harun bin Muhammad Amin, Abdul Hamid Fadhil al-Muari (sekarang pengarang Bintang Malaya), xx Darul Takzim (sekarang pengarang Semangat Malaya), Haji Abdullah Helmi, xx dan lain2 lagi.

Jenaka dan kelawak2 pada masa itu sangat digemari oleh segenap peringkat pembaca dan harus kerana itulah juga barangkali telah menyebabkan syarikat Warta Malaya mengeluarkan sebuah majalah lagi yang dinamakan “Warta Jenaka”.

Setengah daripada nama2 penulis yang terkenal pada masa itu memenuhi ruangan2 jenaka dalam Warta Jenaka ialah Pak Lacok, Awang Kutai, Si Ketubah(?), Wak Mugik dan Pak Sampok. Surat2 khabar dan majalah2 yang lain ada juga mempunyai ruangan2 jenaka iaitu seperti Halaman Pak Belalang dalam majalah Pengasuh, Si Luncai di Majlis, Pak Pandai dalam Lembaga Malaya, Abu Nawas dalam Saudara dan lain2 lagi.

Tatkala saya baharu2 masuk bekerja di WartaMalaya maka majalah Warta Jenaka baharu berumur tiga bulan lebih kurang. Saya telah diminta mengadakan dua bahagian yang baharu dalam majalah itu—satu muka jenaka dan satu hingga dua muka berkenaan siasah (politik).

Sungguhpun pada masa itu kandungan Warta Jenaka sudah cukup lengkap dan ruangan2 kelakarnya penuh dengan kandungan2 yang gamat, berguna dan menggelikan hati.

Kemudian daripada beberapa hari saya memikirkan hal itu mencari nama yang munasabah untuk ruangan2 yang diuntukkan bagi saya itu maka dapatlah yang sesuainya iaitu yang pertama dengan nama “Ini—Itu—Dan Lain2” di bawah nama kalam “Hantu Raya” dan “Bayangan2 Siasah daripada Kejadian Timur dan Barat” dengan nama saya sendiri.

Sekarang “Bayangan2 Siasah daripada Kejadian Timur dan Barat” masih ada lagi dalam Warta Jenaka tetapi ruangan “Hantu Raya” telah berpindah ke dalam Utusan Zaman.

Pada suatu masa, ruangan “Hantu Raya” ada menyiarkan perihal temasya menyabung lembu dan kerbau di negeri Kelantan serta menyindir pihak2 yang berkuasa di sana.

Sinidiran itu telah mendapat bangkangan yang keras daripada tuan Penasihat British tetapi dapat diselesaikan dengan baik.

Kemudian daripada itu kandungan Warta Jenaka dihiasi pula dengan karikatur2 yang dilukis oleh I. Muhammad Salih bin Ali. Karikatur2 itu kebanyakannya berkenaan dengan siasah kerajaan dalam negeri dan kadang2 berkenaan dengan siasah dan kejadian2 di luar negeri. Maka dengan tambahan itu majalah yang tersebut bertambah2 maju.

Pada permulaan tahun 1937, tuan Abdul Rahim Kajai sebelum berpindah ke Singapura dari Kuala Lumpur pada pertengahan tahun 1938, kandungan Warta Jenaka ditambah lagi iaitu diadakan cerita pendek sebulan sekali yang dikarang oleh tuan Abdul Rahim Kajai. Di hujung cerita itu direka empat rangkap syair yang diputus2kan dan syair itulah dijadikan peraduan Tamat Kata yang sangat2 digemari oleh pembaca2nya yang bertambah2 pula masa itu.

Memeriksa jawapan2 peraduan Tamat Kata—yang berjumlah sampai enam tujuh ribu pada tiap2 bulan—kadang2 sangat menyukakan hati kerana orang2 yang menjawabnya ada bermacam2 gaya.

Pernah juga orang2 yang menjawab peraduan itu menulis surat yang khas memohon jawapannya dibetulkan serta berjanji memberi sebahagian daripada wang hadiah yang akan didapatinya kelak. Acap kali orang2 perempuan yang menjawab syair itu menaruh air wangi pada kertas2 jawapannya itu dengan maksud hendak memujuk hati tukang2 periksa peraduan itu—barangkali.

Pada masa ini Pak Lacok, Si Ketubah(?), Awang Kutai (ruangan Awang Kutai sangat digemari pada masa itu kerana jenaka dan kelakar2nya pedas, bernas, lengkap dan sentiasa boleh menggelikan hati) semuanya sudah tidak ada lagi.

Semenjak tuan Abdul Rahim Kajai pindah ke Singapura maka saya telah mendapat pengalaman2 dan pelajaran yang baharu pada tiap2 hari kerana ia sentiasa sedia menunjuk ajar, menegur dan memberi berbagai2 petua berkenaan dengan pekerjaan wartawan.

Ia telah melatih saya bagaimana hendak mengarang rencana pengarang, membuat kepala2 perkhabaran, mengambil berita majlis keraian, permainan, syarahan, pertunjukan dan sebagainya.

Dalam ilmu terjemah-menterjemah juga saya mendapat banyak bantuan daripadanya kerana ia sungguhpun tidak bersekolah Inggeris tetapi fahamannya dalam bahasa itu ada lebih daripada saya. Kepada rakan2 sejawat yang lain juga saya banyak terhutang budi kerana masing2 tidak sayangkan ilmunya.

Tuan Abdul Rahim Kajai bukannya sahaja seorang guru kepada saya dan rakan2 sejawat saya tetapi ketua yang sangat ditaati. Di luar pejabat dia menjadi seorang kawan yang boleh dilawan berbual2 dan berjenaka. Kadang2 ia bersifat seperti bapa kepada kami sekalian—memberi nasihat2 yang baik dan menyukakan hati kita.

Sesungguhnya saya syukur kepada tuhan yang maha kuasa kerana saya hingga sekarang masih lagi bekerja bersama2 dengannya, di bawah ketuaan, panduan dan ajarannya. Mudah-mudahan berkekalan hingga beberapa lama lagi bersama2 dengannya kerana dialah seorang wartawan Melayu yang jati dan yang kanan sekali dalam Malaya ini.

Seperkara yang menyebabkan suka dan sedap bekerja bersama2 dengan dia ialah kami sekalian mendapat sepenuh2 kebebasan kerana ia cukup mengerti akan kemahuan dan kesukaan orang2 yang dibawahnya. Tetapi di sini bukanlah tempatnya hendak menuliskan perihal hidup, jasa, khidmat dan kelebihan2 “Bapa Wartawan2 Melayu” Malaya ini. Tiada syak lagi pada suatu masa kelak ada orang yang akan menyusun riwayat hidupnya untuk dijadikan buku bacaan ilmu dan kenang2an atas seorang yang begitu termasyhur dalam masa yang akan datang.

Dalam tempoh lima enam bulan saya baharu2 di Singapura ini, maka saya tidak bercampur-gaul sangat dengan orang2 Melayu, belum mengetahui hal ehwal kaum Melayu, pergaulannya, kampung2 dan hal ehwal kehidupan mereka itu. Dalam masa itu, saya hanya kenal dengan empat lima orang guru2 sekolah sahaja dan jarang2 mendengar perihal Kesatuan Melayu Singapura.

Demikian juga pada masa itu saya tidak mengetahui banyak perihal kaum Islam dalam Singapura. Bagaimana hal keadaan orang2 Arab, orang2 India dan lain2 bangsa. Tetapi saya sentiasa ada memerhatikan hal ehwal dan pergerakan2 mereka itu kerana pekerjaan seseorang wartawan—teristimewa dalam bandar yang besar seperti Singapura ini—sentiasa menyebabkan ia berjumpa dengan orang2 berbagai2 bangsa dan bermacam2 peringkat2, melihat berjenis2 kejadian, menghadiri temasya2 dan majlis besar dan kecil dan bersua dengan berbagai2 perkara.

[Dalam sambungan yang akan datang, saya akan ceritakan bagaimana mulanya saya bersekutu dengan Kesatuan Melayu dan pengalaman2 saya di antara kaum Melayu, kaum Islam dan lain2 lagi].

Tiga Tahun di Singapura (1/4)

Cerita saya menjadi wartawan kembali balik kepada tahun 1928 iaitu lebih kurang dua belas tahun dahulu. Dewasa itu, saya masih mengaji di sekolah Inggeris Kuala Lipis dalam darjah lapan (junior).

Oleh Ishak Haji Muhammad

(Utusan Zaman 5 Oktober 1940)

BEBERAPA PERKARA YANG MENYEBABKAN SAYA JADI WARTAWAN

Pendahuluan

Cerita saya menjadi wartawan kembali balik kepada tahun 1928 iaitu lebih kurang dua belas tahun dahulu. Dewasa itu, saya masih mengaji di sekolah Inggeris Kuala Lipis dalam darjah lapan (junior).

Kawan2 sedarjah dengan saya kerap kali sangat menyatakan angan2 mereka itu apabila lepas sekolah. Ada yang mengatakan mahu jadi police inspector, high inspector, xx officer. Ada pula yang bercita2 hendak jadi kerani sahaja.

Angan2 dan bualan2 mereka itu telah menyebabkan saya menulis suatu rencana dalam surat khabar Warta Negeri dalam tahun 1929 di bawah tajuk “Membesarkan Angan2”.

Dalam tahun 1931 tatkala saya di Malay College Kuala Kangsar, saya telah mencuba menterjemahkan suatu rencana berkenaan tawarikh Melayu daripada majalah Royal Asiatic Society cawangan Malaya dengan kebenaran pihak Society atau persekutuan itu. Cubaan itu tidak berjaya kerana tidak habis terjemahannya. Meskipun begitu, sebahagian daripadanya dapat disiarkan dalam suratkhabar Bahtera yang terbit di Pulau Pinang. Dewasa itu, saya dapat juga menulis satu dua rencana bagi surat2 khabar Pulau Pinang.

Keluar daripada Kolej Kuala Kangsar, saya mulai bekerja sebagai pelatih pegawai Melayu dalam Pejabat Tanah Temerloh, Pahang, iaitu di akhir tahun 1932. Dewasa itu, sungguhpun saya boleh dikatakan sibuk dengan pekerjaan kerajaan tetapi kegemaran saya kepada surat khabar Melayu bertambah. Surat2 khabar yang saya sangat suka membaca pada masa itu ialah Majlis terutama sekali makalah2 yang ditulis oleh “Abhi”.

Saya pernah juga menulis dan karangan2 saya itu disiarkan oleh Majlis. Pada suatu masa, saya telah berbahas dengan tuan Abhi fasal main ronggeng. Pada masa itu, yang sebenarnya saya belum kenal dengan Abhi tetapi lama2 saya dapat tahu rupanya Abhi itu ialah Ibrahim bin Haji Yaacob, seorang guru sekolah yang mengajar di Sekolah Melayu Bentong iaitu suatu bandar yang jauhnya lebih kurang 50 batu daripada Temerloh tempat saya bekerja.

Semenjak itulah saya bersahabat baik dengan I. Ibrahim dan beberapa kali kami berdua bermesyuarat panjang atas berbagai2 perkara. Kami telah bersumpah itu pada suatu masa kelak kami kedua akan berhenti daripada jawatan kerajaan dan akan mengeluarkan surat khabar ataupun majalah bersama2.

Tetapi cerita saya daripada tahun 1928 hingga kepada tahun 1937 itu sebelum saya bekerja dengan Warta Malaya itu tiadalah dapat disiarkan di sini kerana terlalu panjang. Insya-Allah dalam masa akan datang apabila dunia sudah aman semula, saya harap dapat menyusunkannya.

Sekarang silalah sudikan membaca perihal pengalaman2 saya sebagai seorang wartawan selama tiga tahun di Singapura.

Surat2 dari Warta Malaya

Perhubungan saya dengan Warta Malaya yang sebenarnya dimulakan pada tahun 1936 iaitu dewasa saya mengembara di negeri Kelantan kemudian daripada setahun lebih saya dalam negeri Johor menjadi guru Inggeris di Madrasah Haji Taib dan menjadi pembantu pengarang majalah “Masa(?)” dengan nama pujaan saya iaitu Ahmad Baharuddin xx.

Maka dari tahun itulah saya menulis beberapa makalah yang disiarkan dalam Warta Ahad. Setengah daripada makalah2 saya yang tersiar ialah (1) Huru-Hara Sedunia Sedang xx – Warta Ahad 27 September 1936; (2) Kejadian2 xx – Kepada Melayu xx Warta Ahad 4 Oktober 1936; (3) Peluang yang Keemasan Warta Ahad 25 Oktober 1936; Taraf Pegawai2 Melayu dan lain2 lagi.

xx saya menjelajah negeri Kelantan maka berpindah pula saya kepada negeri Terengganu melihat dan memerihalkan hal keadaan di sana.

Pada akhir bulan Oktober 1936 tatkala saya di Kuala Terengganu maka saya telah menerima sepucuk surat yang panjang daripada penguasa syarikat Warta Malaya mengatakan bahawa makalah2 saya ada mendapat pandangan yang baik serta meminta saya menulis lagi bukan sahaja untuk Warta Ahad tetapi juga Warta Jenaka yang baharu diterbitkan dan ketika itu baharu berumur sebulan lebih sedikit.

Dari Kuala Terengganu saya berpindah pula ke jajahan2 yang lain iaitu Dungun, xx dan Kemaman xx ke dalam tahun 1937.

Di Kemaman, saya tinggal lama kerana di awal tahun 1937 saya telah dapat kebenaran jadi peguam atau lawyer di sana. Berbetulan pula pada masa itu seorang saudara saya ada bekerja di sana dan ia menahan saya jangan berpindah ke mana2 lagi.

Saya telah mengadakan suatu pejabat yang besar kerana pekerjaan peguam dan saya xx juga menjadi commission agent. Maka mulai dari xx itu saya menjadi penulis khas Warta Malaya bagi jajahan Kemaman, Terengganu dan juga kawasan Pahang kerana kedua2 tempat itu tidak berjauhan antara satu dengan lain meskipun jalannya satu sahaja iaitu ikut laut dengan xx.

Dalam bulan Mac 1937 tatkala saya di bandar Kuantan maka nelayan2 Melayu di Kuantan telah mogok enggan bekerja kerana Cina2 peraih ikan di sana bersubahat membeli ikan2 yang ditangkap oleh mereka itu dengan sehabis2 murah. Mendengarkan kejadian itu dan setelah menyiasat benarkah atau tidak maka dengan tidak berlengah lagi saya mengutus sepucuk kawat ke Warta Malaya memberitakan hal itu.

Keesokannya apabila cerita itu tersiar, saya telah pergi ke kampung nelayan2 Melayu, mengumpulkan beberapa orang daripadanya lalu saya bacakan perkhabaran itu dan juga ulasan pengarang Warta Malaya dan lain2 yang mendengarnya sangat berkenan. Saya menuturkan—barangkali lebih munasabah dikatakan menghasut mereka itu—supaya mengadakan tempat jualan yang berasing daripada tempat Cina. Dua tiga bulan di belakang, syor itu berjaya. Tempat jualan ikan yang berasing diadakan xx sampai sekarang.

Surat Kajai

Dua tiga hari kemudian daripada kejadian itu tatkala saya sudah balik ke Kemaman, maka sepucuk surat telah sampai daripada tuan Abdul Rahim Kajai, pengarang Warta Malaya. Surat itu bertarikh 31 Mac tahun 1937 dan bunyinya adalah seperti di bawah ini:—

xx rakan sejawat saya Inche’ Ishak Haji Muhammad xx.

Tuan – terlebih dahulu terimalah ucapan selamat sejahtera daripada rakan tuan yang barangkali tuan belum lupa kepada saya, Abdul Rahim Kajai iaitu yang menulis surat ini. Sesungguhnya saya ucapkan selamat bekerja kepada tuan dan juga mudah-mudahan berpanjangan tali kita menjadi rakan sejawat sama2 bekerja bagi warta2 kita yang tiga itu di bawah xx tuan Syed Hussein bin Ali al-Sagoff. Saya ucapkan kegembiraan saya bagi pihak sekian rakan2 taulan di pejabat Warta Malaya termasuk Syed Hussein bin Ali al-Sagoff atas perkhidmatan tuan mengirim kawat hari ini berkenaan dengan pakatan xx bekerja yang dijanakan oleh kaum xx Melayu di Kuantan itu dan juga bagi kawat tuan yang kedua kerana menunaikan kehendak Warta Malaya. Berita itu disiarkan hari ini dan dibalas dengan suatu makalah dalam keluaran esok. Pejabat tuan sedang menanti2 perkhabaran yang tuan kirimkan di dalam xx surat itu.

Benarkanlah saya berkata dengan ikhlas kepada tuan. Jika boleh kiranya moleklah tuan kirim kawat dengan Bahasa Melayu sahaja supaya menjadi kesenangan kepada rakan2 tuan pada masa yang akan datang.

Dan lagi perkara merisau kesihatan xx ikan orang2 Melayu itu hendaklah tuan selidiki betul2 supaya kita belakan bangsa kita dengan jalan kalam kita. Kemudian diharaplah tuan berjumpa dengan tuan District Officer dan juga dengan tuan High Officer sebagai perjumpaan wartawan (interview). Buah butirnya barangkali berguna xx jikalau xx dikirim dengan kawat pun. Kita mesti berkhidmat kepada kaum bangsa kita maka janganlah kita redha jika kaum kita yang lemah2 itu dicucuk orang hidungnya dan ikannya xx orang pula.

Inilah sahaja saya umumkan. Saya harap tuan terima dengan suci hati. Jika sekiranya tuan berfikir boleh menulis suatu rencana xx berkenaan dengan hal kaum nelayan itu, silalah gunakan pena tuan berkhidmat kepada kaum. Makalah saya tentu sekali tiada akan menjadi begitu bernas kerana saya tiada begitu faham—Wassalam.

Daripada rakan sejawat tuan

Abdul Rahim Kajai.

Surat itu sangat menggembira dan menggalakkan hati saya kerana didalamnya ada mengandung beberapa perkara yang menyegarkan perasaan batin teristimewa seruan2 berkhidmat kepada kaum bangsa.

Ketika itu saya teringat kepada tuan Abdul Rahim Kajai kerana dewasa saya di Kuala Lumpur di dalam tahun 1934 dan 1935 masa ia menjadi pengarang Majlis, saya ada berjumpa dengannya dua tiga kali—di pejabatnya, di rumah Yang Mulia Tengku Ismail dan di rumah Captain Hashim tatkala menyambut Doctor xx xx yang melawat Malaya. Pada masa itu saya masih bekerja dengan kerajaan jadi magistrate yang ketika di Kuala Lumpur satu pejabat dengan Yang Mulia Tengku Ismail.

Bagaimanapun permintaan2 tuan Abdul Rahim Kajai supaya saya berjumpa dengan tuan District Officer dan High Officer itu tidak saya tunaikan kerana pertamanya perkara itu saya sudah ketahui diambil berat oleh pihak2 yang berkuasa di Kuantan, yang keduanya saya sudah balik ke Kemaman sibuk dengan pekerjaan2 saya sebagai seorang peguam.

Suratnya itu saya simpan baik2 dan saya baca dari suatu masa ke suatu masa sebagai perangsang hingga sampai sekarang masih ada putih bersih dalam fail saya.

Fasal Masjid

Selang tidak berapa hari lepas saya menerima surat Abdul Rahim Kajai itu maka beberapa orang2 tua di Kemaman termasuk tuan imam Masjid Besar di bandar itu telah datang ke pejabat saya meminta saya buatkan sepucuk surat rayuan kepada pihak yang berkuasa supaya didirikan tembok batu ataupun kayu di keliling masjid itu.

Sebabpun dikehendaki suatu tembok ialah pada masa itu rumah2 kedai yang baharu sedang hendak didirikan di hadapan masjid itu membelakang kepada masjid yakni jamban2 rumah2 kedai itu kelak apabila siap akan terletak dekat muka masjid.

Beberapa orang daripadanya termasuk tuan imam telah meminta juga supaya masukkan hal itu dalam surat khabar.

Permintaan mereka itu saya tunaikan kedua2nya. Surat rayuan itu saya buatkan dan makalah kepada surat khabar itupun saya karang dan hantarkan.

Pada 8 haribulan April 1937, saya telah menerima sepucuk surat daripada pejabat Warta Malaya berkenaan dengan masjid itu. Demikian bunyinya:—

xx A. Ishak bin Haji Muhammad,

Kemaman, Terengganu, dengan kesejahteraannya.

Tuan,

Dengan hormatnya dimaklumkan perkhabaran yang berkepalakan “Perihal Masjid Besar Kemaman” kiriman tuan itu telah disiarkan di dalam Warta Malayabilangan 78 keluaran 5 April ini dan disokong di dalam makalah kita dalam WM keluaran 6 April ini—harap dalam maklum tuan.

2. Oleh sebab di dalam rencana itu ada tersebut menyatakan masjid itu telah buruk, dari itu besarlah harapan kita kiranya dapat tuan mengambil dua tiga gambar yang menunjukkan tentang keburukan bangunan masjid itu terutama tentang kayu2 yang bertimbun2 dan batu2 yang berlonggok di bangunan masjid itu bagi siaran WM untuk pandangan pembaca2 dan sekalian yang berkenaan.

3. Begitu juga di akhir perkhabaran itu ada menyebutkan bahawa sepucuk surat rayuan kepada pihak yang berkuasa sedang diderafkan. Kiranya surat itu telah siap dan disembahkan. Tolonglah beritahu kita serta tolong hantarkan satu copy kepada kita serta dengan tarikhnya dan apa2 juapun dari pihak yang berkuasa (jika ada).

Diringkaskan dengan ucapan selamat bekerjasama dan terima kasih. Wassalam daripada rakan tuan.

Abdul Rahim Kajai.

Perihal Masjid Besar Kemaman yang tersiar itu sangat membukakan hati saya kerana pada ketika itu saya berasa telah membuat suatu jasa, satu khidmat kepada perkara yang berkenaan dengan orang ramai. Orang2 tua yang telah meminta saya menulis perkara itu juga menyatakan mereka itu puas hati dengan siaran yang tersebut.

Tetapi kesukaan saya itu lepas beberapa hari sahaja telah bertukar dengan terkejut yang amat besar kerana perkhabaran2 angin telah tiba pula daripada Kuala Terengganu mengatakan pihak2 yang berkuasa di sana sangat tidak berkenankan siaran itu. Suatu perkhabaran mengatakan saya akan dihalau keluar daripada negeri Terengganu dan satu lagi mengatakan saya tidak akan dibenarkan lagi menjadi peguam dalam negeri Terengganu.

Mulanya saya tidak percaya akan perkhabaran2 itu dan sekali2 xx pula saya memikirkannya mengapa siaran itu tidak disukai padahalnya ada kena-mengena dengan masalah awam?

Khabar2 angin itu sudah sampai juga kepada orang2 tua yang meminta siarkan perkara itu dan mereka itu semuanya menunjukkan ketakutan. Dua tiga minggu di belakang apabila hal itu diperiksa semuanya tidak mengaku.

Perkhabaran2 angin itu rupanya bukannya angin tetapi sebetulnya kerana tidak berapa lama lepas itu saya telah menerima sepucuk surat daripada tuan Pesuruhjaya Keadilan Terengganu mengatakan kebenaran menjadi peguam kepada saya tidak dapat dilanjutkan dan wang bayaran lesen sebanyak $25 kerana enam bulan dikembalikan kepada saya.

Pada masa itu pendapatan saya daripada pekerjaan2 peguam berjumlah tidak kurang daripada $150 sebulan. Kerana itu saya berasa sangatlah tidak adil bagi Pejabat Keadilan menahan lesen saya sebab menulis suatu makalah berkenaan dengan masjid tetapi apakan daya!

Pada 7 haribulan Jun iaitu kira2 sebulan daripada itu saya telah terkejut sekali menerima sepucuk surat daripada Warta Malaya bertarikh 4 Jun 1937 ditandatangani oleh Syed Hussein bin Ali al-Sagoff menyatakan pihaknya tidak dapat menerima saya lagi menjadi penulis khasnya, mengucapkan dukacita, meminta saya menerima hal itu dengan perasaan yang baik serta memuji2 akan perkhidmatan saya.

“Tolonglah hantarkan balik card penulis dengan segera”—demikianlah kata surat itu dihujungnya.

Saya bertambah2 pelik dan timbul pula marah di dalam hati saya. Saya terkecewa—kerana satu “kesalahan” saya sudah kena dua hukuman—sudah jatuh ditimpa tangga pula.

Hal keadaan saya pada masa itu betullah seperti kata peribahasa kita: ayam sabung menang, kampung tergadai dan tangan bergelumang dengan tahi. Saya tidak dapat memikirkan bagaimana boleh jadi begitu tetapi ikhtiar2 saya tidak kurang. Saya telah menulis kepada kawan saya yang akrab di Kuala Terengganu minta ia siasat dan risik2 rahsia perkara saya itu.

Dalam pejabat Warta Malaya juga pada masa itu ada dua tiga orang rakan saya yang boleh diharap dan kepadanya saya telah meminta sedikit kenyataan mengapa saya diberhentikan menjadi penulis khas.

Tidak berapa lama lepas itu saya sudah mengetahui rahsia besarnya. Pihak2 yang berkuasa di Kuala Terengganu rupanya telah “mengugut” Warta Malaya iaitu jika saya tidak diberhentikan maka Warta2 harus tiada akan dibenarkan masuk ke dalam negeri Terengganu.

Dengan pengetahuan itu saya sangat puas hati dan suka kerana kesannya siaran fasal masjid itu sangat kuat hingga sebuah kerajaan yang besar bergegar dan sebuah syarikat yang terkenal bergoncang.

Daripada hari itu hati saya makin kuat hendak jadi wartawan, jadi pengarang kerana sudah sahlah bahawasanya kalam itu lebih tajam daripada pedang.

Pada masa itu saya sedang mengarangkan satu cerita untuk dijadikan buku yang saya namakan dia “Hilang di Mata” dan kemudian ditukarkan kepada nama “Putera Gunung Tahan”.

[Buku itu telah dicap di Jamiliah(?) Press Muar dan keluar dalam tahun 1938. Saya hanya dapat $7 sahaja daripada buku itu tetapi saya puas hati kerana saya dapati banyak orang2 membacanya].

Dalam masa mengarang cerita Putera Gunung Tahan itu saya sambil2kan juga mengarang satu cerita pendek bernama “Nyonya Bergelang Kaki” yang telah tersiar dalam bulan Jun atau Julai 1937 di Warta Malaya.

Peluang yang Baik

Dalam bulan Ogos 1937 tatkala saya di Kuantan maka sepucuk surat daripada kawan saya di Warta Malaya telah tiba. Demikian bunyinya:—

“Apabila adinda terpandang dan terbaca akan buah fikiran kekanda dalam ruangan Surat Kiriman Warta Malaya keluaran hari ini maka ketika itu dengan serta merta teringatlah adinda akan masa kita sama2 di xx Jamil tempoh hari. Bahkan terbayang2lah di ruangan mata adinda akan wajah kekanda yang sentiasa mengandungi senyum manis itu dan ketika itu terlintaslah di fikiran adinda kiranya ditakdirkan tuhan dapatlah agaknya kekanda bekerja di Singapura. Pada masa ini tak dapatlah adinda hendak perikan betapa besar dan sukanya hati adinda—tuhan sahaja yang mengetahuinya.

Apa kata kalau2 ditakdirkan ada peluang kekanda bekerja di pejabat pengarang Warta Malaya Press Limited sebagai seorang sidang pengarang ataupun penterjemah—adinda percaya dengan sepenuh2 kepercayaan bahawa tentulah permintaan kekanda akan disambut dengan baik bahkan diterima oleh tuan penguasa agung dermawan itu. Sementelahnya pula kekanda pun memang seorang wartawan yang kerap kali menulis dan menaburkan berbagai2 buah fikiran di halaman Warta2 ketiga2nya.

Adinda mengerti pihak yang menguasakan Warta Malaya Press telah memesan sebuah lagi jentera cetak baharu dari Eropah dengan cita2 hendak meluaskan lagi perusahaannya. Maka percayalah adinda mereka berkehendakkan seorang lagi di dalam jabatan pengarang dan itulah sebabnya adinda bayangkan kepada kekanda. Sekiranya dapat kekanda turun ke Singapura berjumpa dengan tuan penguasa sebaik2nya kerana senang berunding dengan tenang dan jasa adanya. Berharap mendapat jawab dengan mel yang akan datang.”

Surat itu saya jawab sambil bertanyakan hal keadaan Singapura, tempat tinggal dan sebagainya.

Di dalam surat2nya yang terkemudian daripada itu, kawan saya yang tersebut ada menyatakan bahawa yang sebenarnya orang2 di Warta Malaya sudah bertanya2kan perihal saya—bagaimana rupa saya, muda atau tuakah orangnya? Pendeknya daripada surat2 itu saya dapat tahu bahawa pihak2 Warta Malaya memang berhajatkan saya tetapi saya terpaksa berfikir panjang kerana beberapa sebab yang tiada dapat saya nyatakan di sini.

Akhirnya saya mendapat satu xx yang kuat iaitu mahu bekerja dengan Warta Malaya menggunakan peluang yang baik yang terbuka kepada saya dengan sebab2nya seperti di bawah ini:—

(1) Saya telah berhenti daripada jawatan kerajaan yang bagus dengan niat dan tujuan hendak jadi pengarang atau wartawan dan saya berasa wajib diteruskan tujuan itu dengan tidak mengira2kan apa yang telah berlaku dan akan berlaku lagi kepada diri saya.

(2) Saya sedar bahawa saya masih muda dan ilmu kekurangan dalam serba serbi. Oleh sebab itu wajib saya belajar. Maka pada masa itu saya dapati tidaklah ada satu tempat belajar yang lebih bagus daripada pejabat Warta Malaya kerana pengarangnya tuan Abdul Rahim Kajai seorang wartawan yang terkenal dan telah menggalakkan saya. Perkataan2 dalam suratnya bertarikh 31 Mac 1937—“Kita mesti berkhidmat kepada kaum bangsa kita makan janganlah kita redha jika kaum kita yang lemah2 itu dicucuk orang hidungnya”—itu masih berdengung2 dalam telinga saya.

(3) Saya telah puas mengembara dari sebuah negeri Melayu ke sebuah negeri Melayu, masuk kampung keluar kampung memerhatikan dan menyiasat beberapa perkara yang wajib menjadi bekalan2 atau modal pekerjaan saya. Maka inginlah saya hendak melihat hal keadaan dalam bandar yang besar seperti Singapura.

(4) Saya mahu tunjukkan kepada pihak2 yang telah menyebabkan pekerjaan saya sebagai peguam dalam negeri Terengganu itu telah terhenti bahawasanya perbuatan itu tidak menyakitkan saya dan lain2 sebab lagi yang tiada dapat disebutkan.

Mula Bekerja

Pada 12 haribulan September 1937 saya telah menerima sepucuk surat daripada penguasa agung Warta Malaya. Didalamnya ada diterangkan juga mengapa saya telah diberhentikan daripada jawatan penulis khasnya kemudian daripada tersiar berita perihal Masjid Besar Kemaman itu seperti yang telah disebutkan tadi.

Bunyi surat itu yang bertarikh 11 September 1937 adalah seperti di bawah ini:—

xx. A. Ishak bin Haji Muhammad

xx dengan kesejahteraan.

Tuan,

Sukacita sungguh saya mendengar daripada I. Zaitun bahawa tuan suka bekerja di dalam pejabat Warta Malaya Press Limited di dalam bahagian karang-mengarang dan terjemah. Kiranya ada peluang dan yang demikian sukalah saya menyatakan bahawa pihak kita di sini sedia menerima tuan sebagai seorang kakitangan kita di dalam pejabat kita di sini sekiranya tuan bersetuju dengan peraturan pekerjaan kita dan anggaran gaji.

Kita sedia menawarkan tuan permulaan gaji sebanyak $50 kiranya tuan sedia menyempurnakan pekerjaan2 yang kelak ditanggungkan di atas diri tuan pada julung2 masanya iaitu menterjemah sekadar dua tiga muka perkhabaran atau makalah2 dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu bagi siaran di dalam Warta Malayatiap2 hari sambil menulis dua cerita pendek mengandungi teladan yang baik pada tiap2 bulan dan dua tiga makalah pada tiap minggu bagi siaran di dalam sebuah Warta2 kita.

Seyogialah disebutkan dengan tulus ikhlas dan terus-terang bahawa sebarang tulisan kakitangan pejabat itu hendaklah diserahkan bagi tadbir ketua pejabat sama ada disiarkan bulat2 atau dengan pindaan menurut apa juga yang difikirnya mustahak atau munasabah. Rencana itu boleh disiarkan sama ada di bawah tandatangan wakil khas kita ataupun dijadikan sebagai rencana pengarang maka itupun hendaklah terserah kepada tadbir ketua pejabat.

Atas apa2 halpun seyogialah digalakkan perasaan bekerjasama dan bantu-membantu antara satu dengan lain oleh kerana dengan jalan inilah boleh perusahaan itu bertambah2 mara dan disukai ramai.

Adapun punca yang telah mensiakan pejabat Warta Malaya Press Limited kepada tiada dapat menerima bantuan tuan sebagai penulis khasnya di Terengganu itu iaitu tidak sekali2 dengan sebab sesuatu kekurangan atau kesalahan tuan kepada pejabat Warta Malaya Press Limited itu. Bahkan dengan semata2 sebab pejabat itu tiada mendapat helah dan daya upaya lagi hendak menggunakan bantuan dan khidmat tuan yang berharga itu ialah sekiranya digunakan juga, difahamkan tutup akhbar2 keluaran pejabat ini, terlarang daripada dibawa masuk ke sebuah negeri Melayu yang diharapkan siarannya yang berbilangan xx di sana. Maka sementara memperhatikan pergerakan2 negeri itu dan mencari jalan yang patut diikut bagi maslahat di antara dua pihak tuan dengan saya dahulu itu pihak pejabat yang tersebut tadi berpanjangan juga dengan keadaan tiada berdaya. Dari itu dimaklumkan kepada tuan hal tiada berdaya ini bagaimana di dalam sepucuk surat kepada tuan dewasa itu. Dari itu saya percaya tuan dengan puas hati beriktikad bahawa berputus tuan dengan pihak saya pada hari itu hanya zahirnya sahaja tetapi batinnya berhubung bagaimana selama-lamanya dengan xx dan elok. Wassalam.

Tandatangan: Hussein bin Ali al-Sagoff.


Seminggu kemudian daripada itu, saya telah tiba di Singapura dan pada hari Sabtu 25 haribulan September 1937, saya mulai bekerja di pejabat Warta Malaya. Demikianlah permulaan perhubungan saya dengan Warta2 Malaya, Ahad dan Jenaka.

Peringatan yang Baik

Apabila saya telah bekerja dengan Warta Malaya itu baharulah saya tahu apa yang sebenar2nya berlaku disebabkan oleh makalah saya berkepalakan “Perihal Masjid Besar Kemaman” yang tersebut di atas. Utus-mengutus telah berlaku di antara Penasihat British Terengganu dengan penguasa Warta Malaya. Saya dapat membaca surat2 itu tetapi tidak ada perkara mengugut hendak menahan Warta Malaya daripada masuk ke Terengganu meskipun Warta Malaya sendiri bimbang kalau2 terjadi begitu tetapi cuma sangka2 sahaja.

Dari masa itu hingga dua tahun di belakang pada sangka saya, saya telah kena aniaya. Saya berbuat baik, dapat balasan yang jahat. Lesen saya menjadi peguam tiada dapat disambung lagi. Kebetulan kerajaan Terengganu boleh menolak atau memotong lesen2 peguam dengan tiada pejabat memberi sebab. Saya tiada boleh mengadu atau bertanya lagi tetapi setelah lalu masa yang panjang atas saya di Singapura ini, saya fikir2 balik kejadian itu sudah lorongan tuhan hendak menyebabkan saya betul2 jadi wartawan. Kerana itu sayapun mulai syukur kepada Allah hingga sampai sekarang kerana pertama2 “aniaya” itu telah menjadi peluang yang baik kepada saya dan kedua “aniaya” itu berlaku sebab saya terburu2 mendahulukan makalah di dalam akhbar berkenaan dengan Masjid Kemaman itu.

Jika ditakdirkan saya buatkan surat2 rayuan (petition) menggunakan perkataan2 yang baik kepada yang berwajib kemudian dikirimkan setelah ditandatangani oleh pegawai2 masjid dan oleh orang2 tua xx itu nescaya tiadalah terjadi apa yang telah terjadi itu. Jikalaupun saya kirimkan beritanya ke dalam Warta Malaya tetapi tentu sekali lesen saya tidak akan terpotong, orang2 yang mengadukan hal itu tiada akan mungkir dan saya harus masih di Terengganu lagi pada masa ini. Bahawasanya inilah suatu perkara yang patut juga menjadi ingatan kepada penulis muda di zaman sekarang.

Pastinya berkenaan dengan masjid itu tiada jadi dihantar bahkan dikarangpun belum tetapi tadbir2 yang baik ada dijalankan oleh yang berwajib memelihara kehormatan Masjid Kemaman itu.

Apakah hal saya di belakang itu: tunggulah sambungannya di belakang.

Tiga Tahun di Singapura (Prolog)

Semenjak itu hingga sekarang, genaplah tiga tahun saya tinggal di kota yang indah, kubu British Empire yang termasyhur ke seluruh dunia.

Oleh Ishak Haji Muhammad

(Utusan Zaman 28 September 1940)

Dalam bulan September 1937, saya telah tiba di Singapura dan mulai bekerja dalam pejabat surat khabar Melayu iaitu Warta Malaya.

Semenjak itu hingga sekarang, genaplah tiga tahun saya tinggal di kota yang indah, kubu British Empire yang termasyhur ke seluruh dunia.

Dalam masa tiga tahun itu, berbagai2 perkara telah berlaku, berbagai2 perubahan telah jadi. Dunia sedang berperang, kota London diserang siang malam oleh Nazi, negeri-negeri Holland, Belgium dan Perancis jatuh dan ditaklukkan oleh Jerman.

Sedang dalam Tanah Melayu inipun tidak kurang menerima berbagai2 kejadian dan perubahan. Persatuan2 dan kesatuan2 Melayu ditubuhkan lepas di sebuah negeri di sebuah negeri pula.

Saya dan beberapa orang rakan sejawat saya telah berhenti daripada syarikat surat khabar yang terkenal kerana berkhidmat dalam syarikat Melayu Jati dan menjayakan surat khabar dan majalah yang berdasarkan Kebangsaan Melayu.

Oleh sebab itu saya terfikir harus ada gunanya jika saya ceritakan pengalaman2, perhatian dan pandangan2 saya sebagai seorang wartawan dalam masa tiga tahun yang lalu itu.

Mulanya saya bercadang hendak menyusun kisah pengalaman2 saya itu dijadikan buku tetapi apabila saya fikirkan semula baik2 maka saya dapati lebih munasabah disiarkan berturut2 dalam majalah ini sahaja supaya dapat dibaca oleh beribu2 pembacanya sebelum terlewat masanya kerana jika dijadikan buku, harus terlambat keluarnya dan harus pula sedikit sahaja orang2 yang dapat membacanya sebab barangkali mahal harganya.

Tambahan pula, ketua pengarang majalah ini bersetuju dengan cadangan saya kerana sementara itu bolehlah saya mengatur dan mengarangkan suatu cerita rekaan2 baharu untuk bacaan tuan2 sekalian.

Dengan seboleh2nya, saya akan susunkan kisah ini dengan ringkas dan tiada menyebutkan perkara2 yang tiada kena-mengena dengan ilmu.

Dalam bahagian yang pertama, saya akan salinkan setengah daripada surat2 daripada Warta Malaya kepada saya dan pengalaman2 saya ketika baharu2 tiba di Singapura.

Tunggu minggu akan datang!

Design a site like this with WordPress.com
Get started