Sejarah Sains Sosial di Malaysia: Wawancara bersama Abdul Halim Ali

Namun pada awal 1990-an, timbul satu kritik hebat —kritik yang konstruktif— apabila dikatakan kebanyakan daripada kajian sains sosial di sini tidak lain daripada tompokan serbuk gergaji, “saw dusts.” Apabila ditiup angin, terbang dan hilang. Jadi itu sesuatu yang serius yang dilontarkan oleh dua orang ahli sains sosial dari ANSOS UKM. Pandangan saya sendiri secara peribadi, ada asasnya. Kerana yang dikatakan karya-karya itu serbuk gergaji kerana diri mereka tidak ada “point of view.”

NM: Salam sejahtera dan selamat tengah hari semua. Siri Audiosiar Naratif Malaysia merupakan suatu usaha untuk membincangkan pembangunan dan perkembangan sains sosial di Malaysia bersama ahli-ahli akademik dan sarjana yang pernah terlibat dan berperanan dalam membangunkan lapangan sains sosial di Malaysia. Bersama kita pada hari ini ialah Prof Abdul Halim Ali. Bagi mereka di sekitar UKM dan bangi, nama beliau mungkin tidak asing lagi. Sedikit perkongsian tentang anda. Prof dulunya sangat berpengalaman dan terlibat di jabatan sosiologi dan antropologi di UKM. Prof Halim juga pernah memegang kerusi Nusantara di Institut Kajian Asia Timur di UNIMAS. Pada hari ini, kita ingin membincangkan berkenaan lapangan sains sosial bersama Prof Abdul Halim. Terima kasih kerana sudi bersama kami.

Mungkin kita boleh bermula dengan beberapa perbincangan umum. Jadi kita melihat suasana Malaysia pada hari ini, begitu banyak yang berlaku. Saya ingin melontarkan pertanyaan. Pada pandangan anda, apakah satu fenomena sosial yang kita harus ambil tahu dan beri perhatian pada masa sekarang?

AHA: Saya rasa ada dua isu yang harus kita beri perhatian. Salah satu itu berkaitan dengan ketaksamaan ekonomi, ketaksamaan pendapatan, yang sendiri-sendirinya adalah suatu yang serius, tetapi ia menjadi lebih serius lagi sekiranya ketidaksamaan pendapatan tadi hadir pada satu titik sama dengan etnik. Itu menjadi lebih parah/berbisa. Tapi antara dua itu kita harus sentiasa membezakan. Satu itu soal kelas, satu lagi soal etnik. Dan hubungan antara etnik dan kelas itu adalah hubungan dialektik. Ertinya pada satu-satu ketika, kelas itu lebih penting; tapi ada ketika-ketikanya etnik menjadi penting. Jadi tugas sains sosial ialah mencari imbangan dialektik antara dua itu, dan tidak hanya pergi/tertumpu kepada kelas atau etnik semata-mata.

Yang kedua ini berkaitan dengan persoalan nasional/national question. Apakah yang dimaksudkan dengan bangsa Malaysia. Masalah ini kerana perkataan bangsa itu banyak erti. Bangsa boleh bererti satu darjat sosial. Dari bangsa yang baik, bahasa menunjukkan bangsa… Ertinya bahasa itu bukannya language tetapi tatacara/kelakuan/pekerti yang menunjukkan darjat sosial. Dan bangsa dalam bahasa pasar dipakai sebagai kategori/jenis. Kereta itu bangsa apa. Buatan Jepun. Seperti begitu ya. Tapi bangsa di sini mempunyai erti yang lain iaitu nation. Jadi kalau itu menjadi masalah… Ada yang mengusulkan pakai saja perkataan nasion–kerana kitapun sudah menggunapakai nasional, nasionalisme… Dari asalnya nasion juga ya. Jadi itu saya katakan tadi persoalan nasional yang tidak selesai. Sekarang ini menurut seorang sarjana, ada enam gagasan atau wawasan tentang bangsa Malaysia. Antara enam itu, mereka berselisihan antara satu sama lain dan belum ada usaha yang gigih untuk menyelesaikannya. Kita harus ada satu gagasan saja, tapi ada enam yang bersaing sekarang ini. Jadi ini yang perlu kita selesaikan. Dan bersama-sama dengan ketaksamaan ekonomi tadi, yang hadir pada titik yang sama dengan etnik tadi, dan juga wawasan bangsa tadi. Ini adalah tugas sains sosial yang penting, yang harus digemblengkan oleh generasi baru ahli sains sosial.

NM: Saya fikir ini memang persoalan yang sangat penting iaitu titik pertemuan antara ketaksamaan ekonomi bersama etnik, dan tambah pula soal bangsa/nasional. Pada pandangan anda, ada atau tidak kerangka atau teori sains sosial yang boleh membantu kita memahami atau sekurang-kurangnya untuk menjelaskan mengapa fenomena ini berlaku?

AHA: Salah satu caranya adalah perekayasaan sosial/social engineering. Dan ini dimulakan pada 1971 di bawah program Dasar Ekonomi Baru (DEB). DEB itu pada sejarahnya diambil dari istilah yang dipakai oleh Vladimir Lenin yang pada waktu itu walaupun, di Rusia, ekonomi umumnya adalah sosial tetapi diizinkan melalui “DEB”nya itu aktiviti-aktiviti pasar. Jadi di sini ia diterbalikkan. Dalam sistem kapitalis, maka diusulkan ada juga unsur-unsur sosialis. Jadi penyelesaian ini adalah penyelesaian yang struktural–kerana ia memerlukan satu penyelesaian struktural–dan penyelesaian struktural yang terbaik adalah perekayasaan sosial pada ketika itu.

NM: Ini pada ketika itu. Kalau ke depan bagaimana? Atau sejak daripada itu?

AHA: Sebenarnya Pakatan Harapan telah melakukan satu sumbangan yang bagus sekali dengan memperkenalkan WKB 2030. Itu satu wawasan yang cukup baik, yang melihat kekurangan DEB itu. Dan saya fikir itu satu projek PH. Tapi sekarang sudah berpindah–ada perubahan pemerintahan.. Dan saya fikir ini boleh menjadi jambatan antara PH dengan PN. Kita tumpu soal ekonomi. Kerana saya fikir yang menjadi persoalan yang asas itu adalah ekonomi dan kalau mereka dapat bersatu tentang WKB2030, dengan dukungan sains sosial, saya fikir… Saya optimis. Ada sinar…

NM: Kalau keadaan ini dibiarkan, barangkali akan menjadi lebih teruk dan masyarakat lebih terpolarisasi dengan lebih teruk.

AHA: Pokoknya, argumen saya, ekonomi itu adalah asas.

NM: Anda sememangnya berpengalaman dan melihat banyak perubahan. Anda terlibat sejak di jabatan ANSOS UKM dan kemudiannya dengan beberapa gerakan akademik dan sosial. Bagaimana anda melihat peranan dan idea anda termasuklah karya-karya anda dalam pembangunan atau pertumbuhan sains sosial di Malaysia? Sebagai renungan kembali mungkin.

AHA: Sains sosial itu adalah antara disiplin akademik yang paling lambat dikembangkan, malah terdapat resistance dari pihak universiti sama ada dari Singapura atau Malaysia sendiri tentang penuibuhan…. Kerana kebimbangan mereka adalah sains sosial ini akan mengakibatkan apa. Jadi terdapat kebimbangan mereka, umumnya pada waktu itu. Kerana gagasan-gagasan, idea-idea yang dibawa oleh sains sosial itu adalah perubahan masyarakat/sosial. Dan ini ditakuti oleh pemerintah pada waktu itu. Dan kerana itu kita lihat tertubuhnya hanya pada 1970. Kembali kepada sejarah Universiti Malaysia, dari mulai di Singapura tahun 40-an, hanya tahun 70-an baru ditubuhkan sains sosial. Ini membayangkan suatu ketidaktentuan/kesenjangan/kekosongan… dan nasib sains sosial ini dideritai juga oleh disiplin falsafah. Falsafah itu dielak, bahkan sehingga sekarang. Tetapi untungnya USM pada 1969 sudah ada sains sosial. UM yang tertua hanya pada 1970. Ini perlu dibuat penyelidikan mengapa begitu–ada kekosongan sebegitu. Adakah itu resistance sosial/intelektual atau politik.

NM: Anda menimbulkan tentang tumpuan sains sosial untuk transformasi masyarakat. Jadi kalau boleh kita sebutkan tentang kajian anda sendiri, apakah aspek-aspek kajian anda yang menitikberatkan atau mempunyai hubungan dengan masyarakat ini? Dalam bidang apa atau bentuk apa yang anda lihat kajian sains sosial ini berdasarkan minat anda?

AHA: Minat saya itu dalam konteks yang luas iaitu perkembangan sains sosial di UKM. Jabatan ANSOS UKM itu tertubuh pada 18 mei 1970. Dan pada permulaannya, sangat didominasi–pada pengamatan saya–oleh aliran konservatif sains sosial. Fungsionalisme menjadi suatu yang utama. Talcott parsons menjadi dewanya. Itu pengaruh yang diambil dari UM dan dibawa ke UKM. Pada 1974, dianjurkan satu konferensi tentang orientasi. Sudah melihat, kita tidak ada orientasi yang sesuai untuk masyarakat kita pada waktu itu. 1974 diadakan satu konferensi untuk mencari mata angin, mencari matlamat sains sosial pada waktu itu. Jadi pada 1974, tidak disebutkan mata angin tadi tetapi ia menolak satu doktrin yang dominan dalam sains sosial pada waktu itu iaitu doktrin dari Max Weber. Max Weber seorang sarjana Jerman menyatakan bahawa sosiologi itu harus bebas nilai. Jadi ini didapati tidak cocok dengan keadaan di Malaysia. Jadi ada satu usul dan diterima dalam konferensi iaitu kita perlu ada satu sosiologi yang komited kepada masyarakat. Socially committed sociology pada waktu itu. Jadi itu hanya satu deklarasi.

NM: Kemudiannya berkembang?

AHA: Perkembangannya lambat juga. Hanya kira-kira 8 tahun kemudian baru timbul kesedaran di ANSOS UKM untuk memberi fokus kepada satu sektor dalam masyarakat iaitu masyarakat tani/peasant. Jadi peasantry studies itu dikembangkan pada waktu itu. Ada rancangan program kajian yang cukup banyak pada waktu itu–secara proporsionalnya banyak–tentang kajian golongan tani. Dan rangkanya pada waktu itu adanya development studies. Jadi kajian tani itu dimasukkan dalam rangka kajian pembangunan. [kemudiannya ada sains pembangunan]. Pada saya, itu adalah jawapan kepada tuntutan sosiologi komited tadi. Selepas itu ia berkembang. Dari kajian pembangunan itu timbul dua aliran pada waktu itu. Satu aliran fungsionalisme. Ini tradisi dari Talcott Parsons, dewa sosiologi. Dan satu lagi bermirip Neo-Marxis. Gagasan oleh Andre Gunder-Frank. Dengan teori kebergantungannya (dependency theory) – pusat/metropolis dan periphery/pinggir di mana pusat itu negara kapitalis/emperialis dan pinggir itu negara yang dijajah. Jadi pada waktu itu ada aliran seperti itu—Neo-Marxis. Tetapi ada juga minoriti yang cukup kecil yang melihat itu dari segi Classical Marxism. Malah Classical Marxism itu menjadi-jadi dengan adanya aliran artikulasi mode produksi. Ertinya cara produksi ekonomi lama dan baru itu terjadi pada satu ketika (serentak). Jadi ini satu teori yang dikembangkan oleh Hamza Alavi dari Universiti Manchester. Jadi itulah pada waktu itu. Tapi yang dominan itu saya fikir… Tidak ada yang dominan. Kerana pada waktu itu difikirkan coexistence antara aliran-aliran itu penting. Jadi semua wujud dengan aman dan damai, tapi senyap-senyap secara rahsia saling mengkritik.

NM: Menarik apabila anda menyebut tentang sains sosial komited. Mungkin itu adalah satu kritik terhadap apa yang anda sebutkan tadi sebagai mainstream social science. Siapakah yang terlibat dalam aliran itu? Siapa yang dikatakan socially committed social scientist? Juga mereka yang menganjurkan aliran-aliran yang anda sebutkan tadi.

AHA: Pada 1974 itu, watak yang memainkan peranan penting adalah Abdul Rahman Embong. Dia yang menyediakan kertas kerja ke arah committed sociology tadi. Dan perkembangan dari itu adalah… Itu di prakarsakan oleh HM Dahlan. Yang menggunakan teori dependency Gunder-Frank tadi. Secara peribadinya, saya memakai Marxisme ortodoks sebagai sains sosial waktu itu yang melihat analisis kelas sebagai fundamental kepada pentafsiran dan pemahaman masyarakat. Dan Wan Hashim Wan Teh pula memakai teori Neo-Marxis yang dipelopori Hamza Alavi.

NM: Anda sendiripun kemudiannya terlibat dalam pembangunan dan perbincangan sains sosial di Sarawak. Jadi bagaimana anda melihat kerangka ini sesuai atau kemudiannya digunakan dalam kajian anda sendiri tentang masyarakat atau komuniti yang ada di Sarawak? Mungkin anda boleh berkongsi sedikit tentang hubungan dan pembangunan atau perjalanan sains sosial di Sarawak.

AHA: Di Sarawak terdapat kekhususan juga. Pada ketika yang sama, Edmund Leach dari London University telah sampai di Sarawak dan membuat kajian. Antara sumbangannya yang baik itu adalah mengasing-asingkan karya sains sosial daripada karya popular. Kerana sekian lama ya karya-karya popular yang ditulis oleh pegawai-pegawai kolonial dan juga penulis biasa itu sebenarnya bukan sains sosial katanya. Sains sains itu ada cirinya, maka itu dijadikan sains. Yang lain itu katanya tidak. Jadi saya fikir sumbangan Edmund Leach kepada perkembangan sains sosial di Sarawak itu besar sekali. Dia menentukan satu garis apakah kajian sains sosial dan apakah kajian yang bukan sains sosial seperti penceritaan atau dokumentasi misalnya.

NM: Saya percaya bahawa anda tergolong dalam satu pandangan bahawa sains sosial itu harus punya tujuan dan komited pada masyarakat dan tentunya perubahan masayarakat. Justeru bagaimana anda lihat, pada waktu ini dan dulu lagi, peranan sains sosial dalam perubahan atau untuk mendorong perubahan masyarakat. Apakah kepentingan peranan sains sosial? Dan sejak kebelakangan ini, ada perspektif yang melihat perspektif sains sosial ini begitu kurang dititikberatkan. Bagaimana pandangan anda terhadap perkembangan ini? Dan saranan anda?

AHA: Sains sosial itu berkembang di akademia, di universiti-universiti. Kalau kita lihat sejarah universiti, sudah mulai pada 1980-an dikenakan dari kerajaan ke atas universiti itu apa yang saya pakai istilah etos birokrasi. Ertinya cara-cara melakukan penyelidikan sekalipun ditentukan oleh etos birokrasi. Dan saya fikir itu satu kekangan kepada perkembangan sains sosial. Kemudian pada 1990-an, etos birokrasi tadi masih ada di sana,. Simbol gangguan daripada institusi-institusi supranasional, ertinya institusi-institusi yang tinggi darjatnya daripada negara seperti World Bank. World Bank dengan dasarnya pula memasuki satu etos tambahan iaitu etos korporat (corporatisation) pada waktu itu. Malah istilah-istilah di satu universiti itu ditukar kepada manager. Pada 1990-an juga, terjadinya globalisasi. Ada dua aspek dari globalisasi. Satu globalisasi yang bagus iaitu kita dapat berinteraksi dengan bahagian dunia lain kerana dunia ini makin mengecil. Tetapi dari segi yang lain, globalisasi itu sentiasa diiringi malah digiringi oleh ekonomi ideologi neoliberal. Dan ekonomi neoliberal tadi juga memasuki universiti. Jadi anda bayangkan tiga serangan bertubi-tubi. Setelah itu, kalau mulai 1974 itu terdapat satu persaingan paradigma iaitu teori-teori yang bertentangan tetapi berkoeksistensi, tidak berperang cuma mengikut masing-masing. Pada 1989, Tembok Berlin runtuh dan itu menandakan kejatuhan state socialism. Sosialisme hanya kalah tetapi tidak mati. State socialism saya fikir sudah mati tapi sosialisme tidak. Jadi di sini terjadi satu kesimpang-siuran intelektual dan dirasai juga oleh ahli-ahli sains sosial di Malaysia. Yang dulu pemikiran progresif itu sudah menyerah–sudah tertawan–dengan keadaan yang baru tadi dan tidak lagi mahu melihat sains sosial itu dari perspektif teori yang kritikal. Jadi bayangkan, gabungkan semua ini, lalu sains sosial menjadi lemah. Tapi sekarang sudah ada satu angkatan sarjana muda yang ingin mengembalikan pencapaian sains sosial pada 1970-an lagi untuk manfaat sosial masyarakat Malaysia. Dan itu saya rasa satu sinaran harapan.

NM: Sebagai rumusan, adakah apa-apa pandangan atau perkongsian dari anda untuk sarjana-sarjana muda yang terlibat dalam praktik dan kajian sains sosial? Apakah ideal atau nilai yang harus kita lihat kembali dan sentiasa perlu cuba dikedepankan?

AHA: Belakangan ini, sudah ada satu kumpulan yang saya tahu–mungkin ada lagi kumpulan di tempat lain–yang menyedari pentingnya sains sosial dalam upaya memanfaatkan masyarakat. Saya cukup mendukung upaya dan usaha mereka itu. Dan untuk kita mengetahui apakah cabaran kita, ertinya kita andaikan kita di persimpangan jalan. Kalau di persimpangan jalan, kita harus berhenti sebentar dan menanyakan bagaimana kita boleh sampai ke titik persimpangan ini. Sama ada untuk kita menentukan ke mana harus kita tuju kemudiannya atau bahkan kembali semula ke titik-titik sebelumnya. Dan ini memerlukan pertanyaan: dari mana datangnya kita? Dan sudah ada usaha itu sekarang di IKMAS UKM oleh persatuan ini untuk melihat, menjejak sejarah sains sosial di sini bagi menentukan apakah orientasi kita. Bagi maksud ini, kita lihat dan meneliti kembali kritikan-kritikan. Kita lihat secara kronologi ya kerana ia sejarah. Pada 1970-an mereka melihat dominannya value free sociology, maka diubahnya menjadi committed sociology. Committed sociology pada 1980-an terus terdiri satu fakulti development science pada waktu itu. Kalau kita lihat, itu juga adalah satu ekspresi daripada kemahuan committed sociology tadi. Dari peasantry studies kepada development studies, daripada bahagian department terus menjadi satu fakulti untuk maksud interdisciplinary. Itu ertinya komited betul; jadi sudah ada komitmen di situ.

Namun pada awal 1990-an, timbul satu kritik hebat –kritik yang konstruktif– apabila dikatakan kebanyakan daripada kajian sains sosial di sini tidak lain daripada tompokan serbuk gergaji, saw dusts. Apabila ditiup angin, terbang dan hilang. Jadi itu sesuatu yang serius yang dilontarkan oleh dua orang ahli sains sosial dari ANSOS UKM. Pandangan saya sendiri secara peribadi, ada asasnya. Kerana yang dikatakan karya-karya itu serbuk gergaji kerana diri mereka tidak ada point of view. Ertinya tidak ada komitmen tadi. Committed sociology deklarasi 1974 sudah hilang. Kemudian tidak ada teori sebagai rangka, jadi terlalu empiris. Yang saya panggil mereka itu factologist–mereka himpun fakta, dan ada juga yang memanggil mereka itu butterflies’ collectors. Walaupun ia jelek, tapi itu gurauan semata-mata di kalangan kawan-kawan. Itu pada 1990an. Artikel itu saya fikir… Tapi sayang sekali tak ada debat. Hanya satu dekad kemudian timbul satu ucapan presidential/presidential address dari PSSM oleh Abdul Rahman Embong menyatakan sains sosial di Malaysia ini memerlukan mereka yang theoretically informed. Itu adalah sokongan kepada saranan awal yang dilakukan 10 tahun lalu. Ertinya debat tidak terjadi. Dan dalam pidato itu juga dikatakan/disarankan supaya keluar dari batasan politik nasion dan menjadi internasional dalam aspek kajian. Kemudian pada waktu yang sama, Anthony Giddens menyatakan juga bahawa… rupa-rupanya Anthony Giddens dari University of Cambridge tahun 1996 waktu itu menyatakan kebanyakan penyelidikan sosial di Amerika telah merosot menjadi empirisisme murni (pure empiricism) sehingga tidak lagi terpandukan perspektif teori yang memanfaatkan. Dan kita kembali kepada Malaysia. Pada 2019, Hans Dieter Evans membuat satu kenyataan yang juga keras. Lebih tepat, beliau buat dua kenyataan keras. Satu katanya ketiadaan satu tradisi yang kukuh dalam kajian sains sosial di Malaysia. Jadi itu sealiran dengan pemikiran tompok gergaji tadi, kertas 20 tahun sebelum itu. Dia mengkonfirmasi apa yang diperhatikan oleh dua ahli sosiologi dari ANSOS UKM pada waktu itu. Dia juga mengesahkan Anthony Giddens tentang Amerika pada 1996. Menyambung kenyataan oleh Hans tadi, katanya kebanyakan kajian yang dihasilkan di Malaysia cenderung bercorak empirikal dan deskriptif serta kurangnya berpandukan teori. Jadi kalau kita lihat, sejak tahun 1990, sudah 30 tahun pandangan tersebut. Dan ini adalah satu cabaran bagi sarjana muda sekarang ini, angkatan anda, untuk mempertimbangkan kritikan-kritikan konstruktif ini dan memajukan sains sosial kita.

Tanggapan terhadap Naratif Malaysia: Penerus Sains Sosial yang Komited

Menurut saya, usaha dan cita-cita luhur Naratif Malaysia ini merupakan satu cerminan daripada hasrat untuk mencari penyelesaian kepada krisis intelektual yang kita hadapi pada hari ini. Saya perhatikan, usaha ini adalah satu cita-cita luhur dari kelompok sarjana muda yang mahu mengemukakan pertanyaan baru dan menginginkan jawapan baru bagi soalan tersebut. Saya merasakan demikian kerana Malaysia sedang menghadapi krisis intelektual.

Pertama-tamanya saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Naratif Malaysia yang menjemput saya untuk mengisi ruang bual bicara dalam Bengkel Pembangunan Kapasiti Penyelidik Muda (Pembentangan Abstrak) ini. Harapan saya, ruang yang diberikan ini akan sedikit sebanyak dapat membantu dalam mengukuhkan tujuan gerakan intelektual yang dimulakan oleh Naratif Malaysia ini.

Menurut saya, usaha dan cita-cita luhur Naratif Malaysia ini merupakan satu cerminan daripada hasrat untuk mencari penyelesaian kepada krisis intelektual yang kita hadapi pada hari ini. Saya perhatikan, usaha ini adalah satu cita-cita luhur dari kelompok sarjana muda yang mahu mengemukakan pertanyaan baru dan menginginkan jawapan baru bagi soalan tersebut. Saya merasakan demikian kerana Malaysia sedang menghadapi krisis intelektual dan sering dikatakan umpama berada di persimpangan perjalanan sejarah Sains Sosial.

Justeru itu, pada persimpangan inilah kita perlu membuat keputusan ke manakah haluan yang sebenarnya. Adakah perlu bergerak lurus? Adakah perlu belok ke kiri atau ke kanan? Ataupun perlu mundur seketika kerana ada gaung di hadapan, tetapi dengan maksud untuk melompat kijang setelah mundur selangkah. Semua ini adalah upaya untuk mencari orientasi baru dalam Sains Sosial yang cuba diusahakan oleh Naratif Malaysia.

Mengapa baru? Ini boleh kita bincangkan.

Namun, inilah cita-cita sama daripada kelompok sarjana muda sebelum ini. Pada tahun 1975, cita-citra yang sama ini pernah berkumandang di Jabatan Antropologi & Sosiologi, UKM. Namun, berbeza dengan generasi sebelumnya, upaya generasi muda ini dilaksanakan dalam konteks baharu yang disuasanai dengan cabaran dan persekitaran baharu.

Berangkat daripada titik bersejarah gerakan terdahulu, maka kita disarankan untuk bertanya bagaimanakah kita boleh sampai ke titik pada hari ini. Sebelum menentukan hala tuju bagi masa hadapan, kita harus mengenal dari mana datangnya kita. Dalam konteks ini, kita perlu cekap membaca landasan sejarah yang telahpun tergaris. Hanya dengan pendekatan ini, akan dapat membantu kita untuk lebih memahami ilmu Sains Sosial itu sendiri.

Kerana itu saya sangat menyambut baik usaha golongan aktivis sarjana (scholar activist) daripada Naratif Malaysia ini, yang ingin menanggapi intipati penting yang terkandung dalam bidang Sains Sosial pada hari ini. Apatah lagi, kumpulan memperoleh bimbingan dari Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong yang telahpun menyampaikan kuliah mengenai revolusi Sains Sosial pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa serta turut disokong juga dengan beberapa himpunan bacaan Sains Sosial sejak tahun 1991—yang mana semua ini membantu dalam menerangkan tentang situasi Sains Sosial di Malaysia. Berdasarkan latar belakang ini, maka saya dapat melihat keistimewaan dan kebitaraan kumpulan Naratif Malaysia yang memilih mata angin kompas yang tepat dalam menempuh perjuangan intelektual generasi baru pada hari ini.

Sebenarnya, perjalanan isu Sains Sosial secara aktivisme yang aktif bermula sejak tahun 1991 lagi. Kemudiannya, timbul lagi pada 1999 di peringkat global (menerusi beberapa isu global seperti kewangan, politik dan sebagainya) dan pada tahun 2001 terdapat kegiatan dan tanggapan dari Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) terhadap beberapa isu tersebut. Setelah itu, timbul lagi isu yang lebih kurang sama pada 2006 dan 2019. Oleh itu, perkara yang agak sama berlaku sejak 1991 sehingga 2019 dilihat sebagai satu lingkaran cabaran intelektual yang membawa kepada penghasilan inisiatif Naratif Malaysia ini.

Misalnya, seingat saya, pada tahun 1991, telah diterbitkan satu artikel yang berjudul, “The Social Sciences in Malaysia: A Critical Scenario,” tulisan Rustam A. Sani dan Norani Othman. Mereka mendapati bahawa hanya sedikit sahaja berlaku perubahan dalam Sains Sosial. Perubahan yang sedikit ini bertitik tolak daripada deklarasi 1975 oleh Jabatan Antropologi dan Sosiologi berkenaan kepentingan Sains Sosial yang komited dan relevan kepada masyarakat. Seterusnya, ada juga respon setelah adanya pengajian Antropologi dan Sosiologi dan kemudiannya berkembang menjadi satu Fakulti Sains Pembangunan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Namun, semua ini hanyalah sebahagian kecil atau bersifat umum, yang mana ini tidak mencetus perubahan yang besar dalam gerakan keintelektualan di Malaysia. Lantas hal ini barangkali yang mendorong kepada terbitnya satu makalah pada 1991 tersebut yang bersifat provokatif tetapi ianya adalah satu kebenaran yang sukar untuk dinafikan. Menurut petikan dari ayat dalam artikel tersebut berbunyi:

“Landskap Sains Sosial di Malaysia pada 1991 sangat sarat dengan tompokan-tompokan habuk gergaji yang berukuran kecil dan besar. Habuk gergaji itu fizikalnya apabila ditiup angin akan hilang dan apabila terkena air akan mengecil.”

Berdasarkan penegasan ini, maka saya fikir perkara ini wajar diberikan perhatian yang sewajarnya. Lima tahun kemudian, pada 1996 ahli sosiologi dari Universiti Cambridge terkenal, Anthony Giddens juga membuat kenyataan yang agak provokatif yang menyatakan bahawa kebanyakan penyelidikan sosial telah merosot menjadi empirisisme murni (pure empiricism) sehingga sains sosial itu tidak lagi berpedomankan perspektif teori yang bermanfaat. Sebab itu, pada tahun 2001, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong selaku Presiden PSSM ketika itu pernah menggunakan istilah theoretically informed dalam kajian Sains Sosial. Istilah ini memberi isyarat betapa pentingnya dimensi teori dalam kajian Sains Sosial, lebih-lebih lagi di Malaysia.

Kesannya, kita dapat lihat pada tahun 2006, sama di peringkat tempatan oleh para sarjana sosiologi di bawah PSSM mahupun diperingkat global, Sains Sosial disarankan agar intipatinya mestilah berbentuk sarat teori dan bukannya neutral teori. Ini secara tidak langsung dapat menimbulkan kesedaran betapa pentingnya kesimbangan antara teori dan praxis dalam bidang sosiologi, sekaligus tidak bersifat bebas nilai. Malah, ini juga membawa kita kembali kepada deklarasi 1975 yang mengkritik rasionalisasi dan modenisasi oleh Max Weber.

Sementara pada 2019, perlu saya catatkan di sini, ahli sosiologi German yang rapat dengan penyelidikan di Malaysia, Hans Dieter Evers telah menyebut satu kenyataan yang agak provokatif dan mengatakan bahawa ketiadaan tradisi teori yang kukuh dalam kajian Sains Sosial di Malaysia. Dengan kata lain, beliau mengatakan di Malaysia tidak ada budaya kajian teori yang kukuh dan perkara ini ada dicatatkan dalam beberapa buku terbitan UKM. Tambahannya lagi, kebanyakan kajian yang dihasilkan di Malaysia lebih cenderung bercorak empirikal, keperihalan (descriptive) dan kurang berpandukan teori. Ertinya, ini merupakan satu cabaran kepada generasi muda, terutamanya kumpulan Naratif Malaysia ini untuk mendirikan tradisi berdasarkan sejarah perkembangan Sains Sosial di Malaysia.

Akhir kata, Naratif Malaysia bukanlah usaha baharu. Ianya hanya baharu dalam dalam aspek terpaksa menempuh persekitaran baharu dengan cabaran yang berbeza dan mungkin lebih rumit. Sungguhpun bukan suatu usaha baharu, Naratif Malaysia boleh menjadi mata rantai yang penting dalam menyambung sejarah intelektual penyelidikan sains sosial di Malaysia. Saya fikir, dengan menyimbangkan antara dunia akademik dengan dunia aktivisme, antara dunia teori dengan dunia praktis, kumpulan ini boleh berjaya, setidak-tidaknya ini semua dapat memberi tekanan baharu kepada kebekuan gerakan aktivisme-intelektualisme di Malaysia dewasa ini. Harapan kita, usaha ini bukan sahaja dapat memperkukuhkan gerakan Naratif Malaysia, tetapi juga memperkukuhkan tradisi sains sosial yang komited sifatnya.

Teks ini merupakan transkripsi ucapan Abdul Halim Ali, mantan profesor sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ucapan ini dilakukan semasa Bengkel Pembangunan Kapasiti Penyelidik Muda (Pembentangan Abstrak) pada 24-26 Julai 2020 di Hotel Dorsett, Putrajaya. Bengkel ini adalah anjuran Naratif Malaysia (NM) dengan kerjasama IKMAS, UKM, MARI, USAID dan Kedutaan Amerika.

Kajian Wanita di Malaysia: Perspektif Sains Sosial Mandiri

Pelbagai tuntutan telah dikemukakan dalam siri kuliah Naratif Malaysia, bagi memenuhi agenda Sains Sosial Malaysia. Antara semua itu, pembinaan Sains Sosial mandirilah yang saya anggap sebagai agenda grandiose antara sekian banyak lontaran dan jentikan idea sepanjang siri kuliah.

Pelbagai tuntutan telah dikemukakan dalam siri kuliah Naratif Malaysia, bagi memenuhi agenda Sains Sosial Malaysia. Antara semua itu, pembinaan Sains Sosial mandirilah yang saya anggap sebagai agenda grandiose antara sekian banyak lontaran dan jentikan idea sepanjang siri kuliah. Maka, dalam ruangan kecil ini, saya ingin membuat cubaan untuk mengemukakan komentar berkenaan Sains Sosial mandiri, khusus daripada sudut kajian gerakan hak wanita Malaysia yang saya akui masih terlalu baru diselami.

Sejarah Gerakan Hak Wanita Perlu Terus Ditulis (Semula)

Kumari Jayawardena menamatkan Feminism and Nationalism in the Third World (1986) dengan kesimpulan yang ironi tentang sejarah gerakan wanita Asia atau wanita di Dunia Ketiga iaitu, “…This is the history that remains to be written…”. Hal ini kerana dominasi lelaki ke atas wanita masih berlaku, berdasarkan kesatuan pelbagai faktor seperti kelas, ras, kumpulan etnik dan komuniti yang tidak memihak kepada wanita. Ia bersilangan dan bertindan, sehingga penindasan itu tidak mungkin dapat difahami dengan mengabaikan mana-mana faktor. Jaringan subordinasi dan penindasan ini malahan menjadi lebih kukuh menerusi struktur sosial. Namun demikian, subordinasi dan penindasan terhadap wanita bukan satu-satunya titik tumpu feminisme—meskipun itulah kebimbangannya—bahkan peningkatan taraf wanita yang dicapai atas faktor-faktor yang disebutkan tadi juga perlu dilihat sebagai titik tumpu feminisme.

Penulisan sejarah feminisme bukan sahaja diteruskan untuk ‘menyempurnakan’ cerita, tetapi perlu ditulis semula. Cerita itu perlu disempurnakan dengan sumber baharu yang memberikan kedalaman pandangan seperti sumber daripada memoir, biografi dan autobiografi wanita. Ia masih boleh dicungkil daripada rekod di arkib seperti fail rasmi, laporan mesyuarat, surat, dan diari peribadi. Dalam hal ini, perlu disedari, hanya ‘suara wanita’ segolongan sahaja yang akan kedengaran iaitu wanita elit dan berpendidikan, wanita dalam parti politik dan pertubuhan, manakala wanita yang selebihnya, daripada strata sosial bawahan masyarakat menjadi golongan subaltern yang ‘dibisukan’ dalam sejarah wanita—bukan wanita sahaja, malahan lelaki golongan rakyat dan hamba dalam stratifikasi sosial sebenarnya sama-sama ‘dibisukan’.

Sejarah Feminisme Konvensional dan Keperluan Penulisan Semula

Metode konvensional penulisan sejarah feminisme ialah gelombang pertama (akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20); gelombang kedua (1960-an-1980-an); dan gelombang ketiga (1990-an-seterusnya). Setiap gelombang mempunyai konteks sejarah dan agendanya. Gelombang pertama feminisme mengisahkan perjuangan tuntutan hak pengundian wanita seperti aktivis Elizabeth Cady Stanton (1815-1902) di Amerika Syarikat, dan Emmeline Pankhurst (1858-1928) di United Kingdom. Gelombang kedua feminisme menumpukan kisah perjuangan hak wanita pada era gerakan sosial baharu yang menuntut pembebasan wanita melalui Women’s Liberation yang bersolidariti dengan aktivisme anti perang dan pelajar, serta pembentukan National Organization for Women (NOW) oleh penulis The Feminine Mystique (1963), Betty Friedan (1921-2006), di Amerika Syarikat. Sekitar awal dekad 1990-an, muncul gelombang ketiga feminisme yang dipengaruhi pascamodenis untuk meruntuhkan naratif agung, khususnya kenyataan sejagat wanita yang secara tidak langsung meminggirkan perbezaan pengalaman wanita Dunia Ketiga. Dengan trajektori gelombang feminisme, persoalan perbezaan dan keunikan pengalaman golongan wanita bukan Barat dikesampingkan. Sejarah feminisme sedemikian jelas bersifat condong ke arah pengalaman Barat, justeru memerlukan ia ‘ditulis semula’.

Di Malaysia penulisan sejarah feminisme atau gerakan hak wanita diusahakan dengan merangka fasa-fasa sejarahnya, dengan penerapan unsur teoritis. Terdapat empat fasa yang dituliskan oleh para akademik dan akademik-aktivis di Malaysia, berdasarkan perspektif Cecilia Ng, Maznah Mohamad dan Tan Beng Hui dalam Feminism and the Women’s Movement in Malaysia (2006), dan Nik Safiah Karim bersama Rokiah Talib dalam Pergerakan Wanita dalam Memperjuangkan Hak (2016). Umumnya, fasa-fasa tersebut merangkumi sela masa (i) pra merdeka, (ii) 1957-1960-an, (iii) 1970-an-1980-an, dan (iv) 1990-an hingga awal abad ke-21. Terdapat pembezaan dari satu tahap ke satu tahap selanjutnya. Sehubungan itu, penulisan sejarah feminisme di Malaysia setakat ini, tampak sesuai diusahakan tahap demi tahap, dan dicirikan dengan terapan teoritis, yang akhirnya membentuk naratif sejarah feminisme di Malaysia.

Feminisme di Malaysia dalam Kerangka Sains Sosial Mandiri

Dalam siri kuliah Sains Sosial Malaysia Abad ke-21: Meneruskan Tradisi Intelektual, Menanggapi Transformasi Masyarakat anjuran Naratif Malaysia, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong memberikan penekanan untuk membina Sains Sosial mandiri. Keperluan Sains Sosial mandiri ini antara lain agendanya adalah untuk membina karakter Sains Sosial Malaysia yang tersendiri—pada masa sama, tidak menolak secara total teori-teori dari luar, khususnya Barat, tetapi menyesuaikannya setakat perlu dengan melakukan kritikan terhadap asas yang boleh merosakkan karakter Sains Sosial tempatan. Sudah tentu penulisan feminisme di Malaysia yang dibicarakan dalam bahagian di atas mempunyai kaitan dengan pembinaan Sains Sosial yang mandiri.

Persoalannya, bagaimanakah feminisme di Malaysia harus ditulis bagi memenuhi agenda besar Sains Sosial mandiri? Apakah posisi yang perlu diambil dalam penulisan tersebut?

Di sini, saya ingin melontarkan pandangan tentang posisi dan tindakan yang mungkin boleh diambil bagi menulis sejarah gerakan hak wanita atau feminisme di Malaysia. Pertama, penulisannya mestilah mengambil kira teori-teori feminisme dari luar, seperti feminisme liberal, feminisme Marxist dan feminisme radikal, kerana ia perlu bertaut dengan korpus ilmu sedia ada, sekali gus melakukan kritikan terhadap teori-teori tersebut. Kedua, teori feminisme yang dibangunkan dalam konteks hampir serupa dengan Malaysia mestilah diutamakan, justeru meletakkan aliran feminisme Dunia Ketiga. Maka, karya Kumari Jayawardena tersebut menunjukkan kerelevanannya. Ketiga, perlunya garis dasar pengetahuan mengenai feminisme; baik daripada ilmu kolonial, karya sastera, bahkan dokumen rasmi kerajaan, dokumen pertubuhan, memoir, biografi, travelog, teks ucapan, majalah dan laporan akhbar.

Akhirnya, karya bertemakan feminisme dan gerakan hak wanita adalah antara yang terendah bilangannya dalam himpunan kajian wanita di Malaysia. Selain penolakan penggunaan istilah ‘feminisme’ itu sendiri oleh para akademia kerana konotasi buruknya, ketiadaan bukti empirikal yang kukuh, pengabaian penggunaan teori atau perbincangan teoritis menjadi punca mengapa kajian feminisme terhad daripada segi kuantiti. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan bidang Sains Sosial Malaysia yang dikatakan terlalu kurang perbincangan pada paras teori. Maka, ia memerlukan usaha berterusan, khususnya dalam kalangan penyelidik muda, dengan bimbingan para penyelidik generasi terdahulu supaya penulisan feminisme di Malaysia dapat direalisasikan menerusi agenda besar Sains Sosial tempatan yang mandiri sifatnya.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                            

[Pendaftaran] Siri Kuliah Sains Sosial Malaysia oleh Abdul Rahman Embong

Bagi menyambung tradisi intelektual sains sosial ini, usaha yang dirintis sebelum ini harus ditekuni dan dihubungkan dengan realiti semasa bagi memberikan konteks terkini. Justeru, bengkel ini cuba untuk mengambil tugas ini.

Sains Sosial Malaysia Abad 21: Menerus Tradisi Intelektual, Menanggap Transformasi Masyarakat

Kerangka Program

Dunia abad ke-21  menyaksikan perubahan besar. Pertamanya berhubung dengan mega trend dunia yang merangkumi arus konvergen, arus divergen serta arus berlawanan. Antaranya seperti kebangkitan semula globalisasi oriental, peningkatan perasaan kebangsaan sempit yang cenderung kepada penolakan multiculturalism, perubahan teknologi yang exponential serta kemunculan ancaman-keselamatan-bukan-konvensional rentas negara seperti pandemik kesihatan, jaminan keselamatan makanan dan alam sekitar. Perubahan besar kedua pula berhubung dengan perkembangan dalam negara seperti transisi politik negara, hubungan antara kaum dan agama serta agenda pendemokrasian. Perkembangan di peringkat antarabangsa dan dalam negara ini pastinya saling berkait dan tentu sekali menuntut perhatian ramai lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang prihatin kepada isu dan persoalan sains sosial. Hal ini kerana perubahan ini telah memberi kesan kepada cara hidup kita bernegara dan bermasyarakat  baik daripada segi politik, sosial mahupun ekonomi. Kesemua ini  memerlukan perbahasan dan artikulasi baharu bagi menjelaskan fenomena ini sama ada di peringkat epistemologi, ontologi, metodologi dan secara empiris. Hal ini adalah penting dalam mengemukakan idea, konsep, teori dan tindakan baharu bagi menanganinya serta  mengubah kehidupan masyarakat.

Meskipun tradisi sains sosial di Malaysia boleh ditelusuri seawal tahun-tahun tiga puluhan dan empat puluhan pada abad ke-19 melalui karya-karya Abdullah Munshi, namun akhir tahun 1960-an dan 1970-an merupakan titik peralihan penting dalam sejarah sains sosial di Malaysia dengan berkembangnya universiti di negara ini bersama pembangunan pesat dalam banyak sektor lain sehingga membawa kepada perbahasan mengenai peranan dan orientasi sains sosial ketika itu. Pada ketika itu, antara teras perbahasannya adalah berkaitan pembinaan orientasi sains sosial yang lebih menepati keperluan negara membangun sebagaimana Malaysia ketika itu agar dapat keluar daripada perspektif sains sosial yang sarat Eropah (Euro-centrism). Maka, setelah lebih 50 tahun, bersama dengan perkembangan masyarakat, perbahasan ini harus diteruskan dan diulang fikir.

Bagi menyambung tradisi intelektual sains sosial ini, usaha yang dirintis sebelum ini harus ditekuni dan dihubungkan dengan realiti semasa bagi memberikan konteks yang lebih luas kepada generasi penyelidik kini. Apakah cabaran masa kini kepada sains sosial dan bagaimana harus ditanggapi? Salah seorang pendahulu sains sosial Malaysia yang masih aktif ialah Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong, Presiden Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) (2000-2010) dan Penasihat Khas PSSM (2010 hingga kini). Projek ini melantik beliau selaku pakar dan mentor yang berpengalaman luas untuk  memberi bimbingan kepada para peserta projek ini dari awal sampai akhir. 

Tugasan Peserta

TUGASAN 1:

Penghasilan dan pembentangan abstrak untuk suatu bab dalam buku. Abstrak ini dihasilkan berdasarkan kepada lima tema utama yang bebas dipilih (namun agihan tema akan dimuktamadkan kemudian bagi peserta yang terpilih), yakni:

  • Tema 1: Membina naratif Malaysia bersama
  • Tema 2: Menerus tradisi intelektual dan cabarannya
  • Tema 3: Menanggap Transformasi Masyarakat: Idea Negara Pembangunan & Perbahasannya
  • Tema 4: Menanggap Transformasi Masyarakat: Negara Bangsa & Kepelbagaian Budaya
  • Tema 5: Menanggap Transformasi Masyarakat: Kerencaman Identiti Sosial & Politik

Perincian tema akan dihebahkan dalam modul peserta kelak. Berikut adalah maklumat penting untuk tugasan ini:

  • Tarikh penyerahan abstrak sebelum/pada: 13 Julai 2020
  • Tarikh pembentangan abstrak: 13-27 Julai 2020 (jadual yang lebih khusus akan dihebahkan kemudian)
  • Jumlah perkataan untuk abstrak: Tidak lebih daripada 300 patah perkataan

TUGASAN 2:

Mengikuti penuh 6 Siri Kuliah Cabaran Sains Sosial Abad 21 oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong, Penasihat Khas Persatuan Sains Sosial Malaysia. Kuliah ini merangkumi:

  • 22 Jun 2020 (Isnin) – Kuliah 1: Mega Trend: Kebangkitan Kembali Globalisasi Oriental  pada Abad ke-21
  • 25 Jun 2020 (Khamis) – Kuliah 2: Mega Trend: Impak ke atas Malaysia
  • 29 Jun 2020 (Isnin) – Kuliah 3: Sejarah Perkembangan Sains Sosial Malaysia
  • 2 Julai 2020 (Khamis) – Kuliah 4: Peranan dan Orientasi Sains Sosial di Malaysia
  • 6 Julai 2020 (Isnin) – Kuliah 5: Penerusan Tradisi dan Pembinaan Sains Sosial yang Mandiri
  • 9 Julai 2020 (Khamis) – Kuliah 6: Pengungkapan Naratif Malaysia

Masa/Tempat untuk semua Siri Kuliah adalah seperti di bawah:

  • Masa: 10:30 pagi – 12:00 tengahari (1 jam kuliah, 30 minit perbincangan)
  • Tempat: Bilik Mesyuarat IKMAS/LESTARI dan Google Meet/Zoom (pautan akan diberikan)

TUGASAN 3:

Penghasilan dan pembentangan bab dalam buku oleh peserta. Tema penulisan boleh disesuaikan dengan tema pemilihan abstrak. Berikut adalah maklumat penting untuk tugasan ini:

  • Tarikh penyerahan manuskrip sebelum/pada: 25 September 2020
  • Tarikh pembentangan manuskrip pada: 12/13 Oktober 2020
  • Tarikh penghantaran manuskrip pasca-pembentangan: 12 November 2020
  • Jumlah perkataan untuk manuskrip: Sekitar 6000 patah perkataan (bahasa Melayu)

Kata Pengantar buku ini akan diberikan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong. Manakala buku ini akan diterbitkan oleh Penerbit Universiti atau yang setaraf dengannya.

TUGASAN 4:

Penghasilan 2 penulisan popular untuk terbitan laman web Naratif Malaysia. Esei boleh ditulis sama ada dalam bahasa Melayu mahupun Inggeris. Berikut adalah maklumat penting untuk tugasan ini:

  • Tarikh penyerahan Esei 1: Sebelum/pada 27 Julai 2020
  • Tarikh penyerahan Esei 2: Sebelum/pada 15 Ogos 2020
  • Jumlah perkataan untuk setiap esei: 800-1000 patah perkataan

Keseluruhan program ini adalah PERCUMA untuk mereka yang boleh memberi komitmen penuh terhadap tugasan yang diberikan. Tempat TERHAD untuk 20 peserta sahaja. Walau bagaimanapun, peserta tambahan boleh dipertimbangkan. Sekiranya berminat, boleh daftar menerusi borang di bawah. Manakala tarikh tutup penyertaan Siri Kuliah ini pada 15 Jun 2020.

Borang Pendaftaran

Adakah anda boleh memberi komitmen penuh untuk 4 tugasan program ini?(required)

Tema abstrak (required)

Lokasi IKMAS/UKM

Alamat perhubungan Naratif Malaysia

Projek Penyelidikan Naratif Malaysia
Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS),
43600 Universiti Kebangsaan Malaysia
Bandar Baru Bangi
Selangor

Emel: naratifmalaysia@gmail.com
Web: naratifmalaysia.com

Keseluruhan program ini ditaja oleh MARI, USAID dan US Embassy.

Estet Budaya-sosial dan Garisannya

Masyarakat Malaysia turut ada tradisi dan gerakan yang mengajukan wacana² sebegini, yang berusaha membangun naratif² dan idea² politik. Cuma dan bezanya, pada ketika ini suatu estet yang baru yang berbeza komposisi dan nilai dan metodnya mungkin diperlukan.

Ketika membicarakan tentang politik dan idea, tentunya nama dan imaginasi negara² seperti Indonesia, Russia dan Iran tidak jauh daripada perhatian kita. Dalam setiap korpus sejarah idea, sosiologi atau pemikiran intelektual, atau sejarah pemikiran politik semestinya merangkumi penelitian perkembangan budaya dan masyarakat ketiga² negara ini.

Dan kita akan mendapati bahawa tema atau ciri yang mengikat setiap daripadanya adalah fokus dan gemarnya mereka kepada nilai² dan teori² besar, abstrak dan total. Mungkin ini antara sebabnya perubahan sosial yang drastik dan intens pernah berlaku dalam sejarah ketiga²nya. Cenderungnya kita menerima kemungkinan ini kerana untuk menggerakkan perubahan dan menyinarkan imaginasi, memerlukan idea² yang megajukan tatanan sosial yang berbeza dan visi yang memberikan harapan dan menjanjikan masa depan yang lebih baik, sama ada di dunia ini, atau yang selepasnya.

Berbanding dengan Malaysia, tiadanya tradisi sebegini atau cinta yang diluahkan yang sebentuk rupa. Barangkali ada yang sudah mengetahui, atau boleh menjangkakan bahawa kasih dan hubungan masyarakat Malaysia kepada idea², dan di sini boleh kita lanjutkan kepada naratif² besar, disebabkan oleh sejarah penjajahannya oleh British. Tradisi pembinaan idea dan teori tidak berlaku dan tidak dibenarkan. Keadaan sebaliknya dalam medan pentadbiran dan ekonomi. Kedua² ini lebih maju, dan antara tinggalan paling utama penjajahan British. Selepas merdeka, Malaysia mempunyai struktur negara atau daulat yang stabil bersama birokrasi dan mekanismenya untuk melaksanakan dasar bagi golongan elit politik dan pemerintahan yang ekstensif dan cekap.

Langsung daripada trajektori demikian, hari ini, orientasinya tetap sama dan mewarnai lanskap sosial dan politik Malaysia kontemporari. Fokusnya masih terhadap pembentukan dan pelaksanaan dasar, dan penekanan terhadap berlangsungnya dengan teratur institusi² negara dan pemerintahan terutamanya yang berkait dengan ekonomi dan perundangan. Golongan elit politik dan ekonomi di bucu tertinggi, diikuti teknokrat2 dan pengurus² ekonomi, perundangan dan pentadbiran di bawah.

Negara dan masyarakat tetap berkembang, dan keperluan material dan harian masyarakat dapat dikekalkan dan dipenuhi, kalau tidak lebih dan selesa, mungkin sekurang²nya pada tahap minima. Tetapi pembangunan naratif dan wawasan idea² dan politik tetap langsing. Dan pada jangka masa panjang, kelompongan pembangunan citra budaya dan nilai masyarakat juga akan mempengaruhi dan menghakis bekal-upaya material dan rutin.

Kalau sebelum ini, parti² politik dan ahli politik dilihat dapat mengartikulasi naratif politik dan idea yang dapat menghala masyarakat Malaysia ke landasan yang lebih progresif, mungkin anggapan ini perlu berubah. Ataupun cara pandang ini tidak seharusnya dibayangkan memang dari awal lagi.

Apapun, pada keadaan kini, jelas bahawa parti politik dan ahli politik perlu diasingkan dan dipisahkan daripada pembangunan idea² politik. Ertinya, organisasi dan pengamal politik tidak lagi boleh disandarkan atau dijadikan sumber untuk wacana dan projek pengolahan dan pengajuan naratif² dan nilai² politik. Pemisahan ini bukan satu hukum yang mutlak, saintifik ataupun merupakan kebenaran. Namun, mengikut lanskap dan pergerakan politik Malaysia semasa, perkara ini perlu diterima, atau paling tidak diandaikan.

Persoalan yang timbul, dan harus kita bertanya, adalah jika bukan estet politik, siapa yang menduduki posisi yang sesuai atau perlu mengambil inisiatif untuk menyokong dan menilai lapangan idea² politk dan seterusnya naratif² sosial dan budaya masyarakat Malaysia?

Barangkali, kumpulan penulis, wartawan, budayawan dan pelajar. Namun, bukan senang untuk mendirikan estet budaya-sosial yang berdaya tahan, progresif dan demokratik. Kumpulan yang sebelumnya, mungkin kita boleh namakan sebagai generasi 2018, merupakan satu jaringan dan ikatan sosial yang besar dan terangkum yang mengambil berdekad² untuk terbentuk. Menuju ke depan, kita memikirkan bagaimana, dan adakah kita memiliki masa yang cukup, untuk mempercepatkan dan melahirkan kumpulan dan estet pasca 2018, yang mempunyai kesedaran dan idea² yang lebih seiring dengan sentimen, persoalan, dan keperluan masyarakat Malaysia kontemporari?

Persoalan ini kritikal dan mendahagakan pengisian kerana dua sebab. Yang pertamanya, tanpa estet sedemikian sukar dan perlahan untuk perbahasan dan wacana yang mendalami idea², naratif² dan teori² politik dan sosial untuk mengakar dalam masyarakat, dan memacu kematangannya. Keduanya, dengan ketiadaan estet budaya-sosial dan seterusnya naratif² membangun dan membina, masyarakat akan sentiasa terbeban dan terbawa dengan isu² yang picisan serta tidak fundamental. Fenomena ini boleh dijangka dan pasti berlangsung, kerana khabar² sampingan ini tidak memerlukan pemikiran dan penghujahan. Yang diperlukan dan diguna hanya retorik² dan emosi perasaan dan personaliti atau sosok seakan juara atau hero semata².

Teori² dan idea² besar dan abstrak ada kelemahannya. Tetapi, untuk membawa dan menolak masyarakat ke tahap yang lebih tinggi lagi elemen² demikian sangat perlu. Berbicara tentang posisi dan hubungan agama kepada masyarakat, wacana berkait permilikan harta awam dan persendirian, erti kemiskinan dan kekayaan, perbezaan dan pertentangan antara golongan berharta dan tidak berharta, atau antara yang kaya dan miskin adalah signifikan. Juga interaksi dan kesan antara pegangan nilai etika-moral individu dan masyarakat dengan bentuk struktur ekonomi masih menjadi tema dan persoalan penting. Ada juga perbincangan tentang hubungan antara agama dan kuasa, dan bagaimana agama boleh menjadi asas kepada pemusatan kuasa dan sistem sentralisasi kuasa. Ini yang dibincangkan oleh Mahmud Taleqani dan Husayn Naini di Iran suatu ketika dulu. Atau bagaimana sastera dan bahasa boleh dan perlu jadi wadah untuk tumbuhnya dan artikulasi nilai² keadilan, pembebasan dan bermasyarakat seperti yang dikedepankan oleh Pramoedya dan budayawan² seangkatannya di Indonesia. Bahkan juga bagaimana penulisan dan sastera dapat menjadi medan dan ekspresi untuk mendefinisi, membahaskan dan mengajukan erti dan bentuk idea negara dan semangat bernegara serta hubungannya dengan budaya seperti yang dibicarakan dengan sengit sekali oleh Chaadaev dan kumpulan penulis² Russia.

Wacana² membincangkan tema² ini membawa asas dan menuju kepada pembinaan naratif dan nilai² etika-moral dan persaudaraan. Bukan untuk memecahkan dan membahagikan masyarakat kepada kumpulan² yang lebih kecil dan berantagonasi khususnya mengikut identiti seperti di Malaysia.

Masyarakat Malaysia turut ada tradisi dan gerakan yang mengajukan wacana² sebegini, yang berusaha membangun naratif² dan idea² politik. Cuma dan bezanya, pada ketika ini suatu estet yang baru yang berbeza komposisi dan nilai dan metodnya mungkin diperlukan. Golongan yang tidak terbatas dan terbeban dengan generasi 2018, dan pada masa sama berupaya berpihak kepada dan mengerjakan dan memperbaharui wacana politik dan idea yang sudah sekian lama ada dan kini sedia wujud, di Malaysia dan tempat² lainnya.

Kelas Sosial dan Diskurs Politik

Kini, penting untuk kita membina diskurs² yang dapat menyaingi dan membatasi diskurs² yang sempit dan dogmatik serta tidak mendorong kepada pembinaan masyarakat Malaysia yang lebih adil, demokratik dan berkesatuan.

Buku Intellectuals in Developing Societies yang terbit pada tahun 1977, dikarang sosiologis dan intelektual Syed Hussein Alatas, membincangkan bagaimana sebuah kelas intelektual yang kritikal dan menganjurkan nilai² etika-moral perlu untuk mendirikan sebuah masyarakat yang progresif dan ensani.

Ide² yang diperhalusi oleh Alatas dalam karyanya sehingga ke hari ini masih relevan. Namun, tema intelektual ini boleh kita kembangkan dan dalamkan lagi untuk membincangkan tentang persoalan nilai² politik dan diskurs politik di negara kita. Seiring dengan Alatas, kita boleh menambah bahawa bukan sahaja sebuah kelas intelektual itu penting, tetapi lebih perlu lagi adalah sebuah kelas penulis² dan penggerak² masyarakat yang mengangkat dan membicarakan ide² dan prinsip² politik untuk pembentukan sebuah masyarakat.

Perubahan dalam pertuturan dan pentadbiran nasional di Malaysia pada hari ini signifikan. Dengan berubahnya konstituen kerajaan kini dengan sebuah gabungan politik yang baru dan berbeza, ada langkah² dan usaha² yang diambil untuk membentuk dan mempraktikan dasar² ekonomi, perundangan dan sosial yang difikirkan lebih baik dan lengkap.

Cumanya, satu lapangan yang tidak berubah dengan lebih intens dan matang adalah diskurs politik di kalangan masyarakat Malaysia. Tanggungjawab siapa, atau siapa yang salah, seperti persoalan yang pernah mendakap sebuah buku lain yang ditulis Alatas, mungkin terlalu kompleks dan panjang untuk kita membincangkan di sini. Negara kita, negara Malaysia, seperti tidak mempunyai sebuah kelas penulis yang berada di depan memimpin dan menentukan agenda dan diskurs pembangunan erti masyarakat. Atau boleh dikatakan bahawa terdapat kumpulan², sepanjang sejarah moden Malaysia, yang mengisi kekosongan ini, tetapi selalu diketepikan atau dihukum pemerintahan yang mentadbir.

Mengapa persoalan ini tetap berterusan, harus kita mengajukan dan membincangkan dengan lebih bermakna lagi. Pemerintahan yang ada sekarang nampaknya tidak dapat menampung beban ini. Dan mereka tidak ada kemampuan atau ketajaman, untuk membicarakan diskurs politik di tahap yang lebih progresif ke depan.

Walaupun begitu, adanya satu perkara ataupun faktor yang jelas menyumbang kepada ketumpulan ini. Penggunaan sosial media atau infrastruktur dan komunikasi jaringan internet menghilangkan keinginan dan kebolehan ahli² politik dan pemimpin serta pegawai² pemerintahan untuk membincangkan masalah² dan isu² masyarakat dengan lebih fokus dan dalam.

Kelas sosial ini lebih gemar bergambar, dan membuat pengumuman² awam, dan berbicara pendek menggunakan medium seperti Facebook dan Twitter. Ertinya proses pemikiran mereka pendek. Kemampuan mereka untuk membaca, berfikir dan memproses maklumat dan realiti juga pendek.

Fenomena ini bukan sahaja mempengaruhi kelas politik dan pemerintahan, tetapi juga kelas dan kerabat feudal.

Jarang dan kurang sekali, kita lihat terdapat individu² politik dan pemerintahan utama yang mengarang tulisan di medium sosial material dan maya yang merencanakan kondisi sosial masyarakat Malaysia dengan baik dan kaitannya dengan diskurs ide² dan nilai² politik.

Kelas ahli² politik dan memerintah di Malaysia bukan kelompok menulis. Mereka lebih terlibat dalam pertuturan sosial, menghadiri majlis² dan menjalankan kerja² pentadbiran dan dasar. Kesannya, masyarakat Malaysia kekurangan satu ruang sosial awam yang mana wujudnya diskurs yang dianjurkan dan dibincangkan golongan ini. Kerana dengan adanya diskurs progresif yang luas, masyarakat dapat dipandu untuk cenderung ke arah nilai² dan perspektif² politik yang lebih membina.

Berpolitik dan menulis ide² politik yang  sivil dan etika-moral, di Malaysia, tidak bergabung bersama dalam satu kelas sosial.

Di sisi lain, komuniti pendidik dan pelajar di universiti² dan institusi² lain antaranya, perlu mengambil peranan dan mengisi kekosongan suatu kelas penulis dan penggerak. Juga tetapi, kelompok sebegini masih tidak berkembang untuk mengambil alih sebagai pendorong citra dan cita politik. Kita telah sampai ke satu keadaan di mana perubahan bukan lagi menjadi satu permasalahan, tetapi bagaimana hendak memandu perubahan ini, dan jenis² diskurs yang perlu mengisi asas²nya.

Kesedaran ini penting, kerana seperti yang telah berlaku di negara² lain, perubahan cenderung untuk menelan idealisme dan visinya.

Dalam konteks teori sosial, kita memahami bahawa kuasa dan diskurs tidak dapat dipisahkan. Dan keinginan kita bukan untuk mengasingkannya. Tetapi, pada masa kini, terlalu penting untuk kita perlu membina diskurs² yang dapat menyaingi dan membatasi diskurs² yang sempit dan dogmatik, dan kuasa institusi² dan pemerintahan yang menyokong diskurs² yang tidak mendorong kepada pembinaan masyarakat Malaysia yang lebih adil, demokratik dan berkesatuan, tidak mengambil kira agama, gender, kaum, lokasi geografi dan bahasa.

Reformasi 1998: Satu Momentum Gerakan Sosial

Namun sebalik kejayaan historik gerakan 5 September 1998 ini, terdapat kekurangannya. Reformasi tidak menggembang dan menjadi matang sebagai cita-cita luhur. Konteks ini tidak diselidiki. Ringkasnya, cita-cita luhur tidak hadir.

Reformasi 1998 tercetus di Malaysia pada 5 September 1998 setelah Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 3 September tahun yang sama. Setahun sebelumnya gerakan sama meletup di Indonesia yang menuntut reformasi struktur politik-ekonomi di sana untuk maksud menggantikan “3K”- Korupsi, Kronisme dan Nepotisme. 

Terdapat pelbagai perspektif yang menghuraikan menculnya Reformasi 1998. Antaranya ia terjadi dalam rangka kontradiksi antara dua faksi/ pecahan modal. Satu faksi modal mendukung Anwar sementara faksi modal lain menyokong Mahathir. 

Kebiasaannya pergeseran faksi modal besar seperti ini di damaikan negara (state), tetapi dalam hal ini tidak begitu. Maka kontradiksi dua faksi tersebut itu berterusan sehingga faksi yang mendukung Anwar ditundukkan. 

Pemecatan Anwar Ibrahim pada 3 September 1998 

Pada 3 September 1998, Anwar tertohok oleh Mahathir. Lalu, oleh Anwar dua hari kemudian dipalunya genderang perang dengan teriakan tempurnya: Lawan Tetap Lawan. Semangat juang pun membara dan setelah itu memuncak. Maka, perang di isytiharkan. Susunan perang diuruskan dengan garis depan tempurnya ABIM dan PAS yang pada ketika itu dipimpim Fadhil Nor. Para anggota ABIM yang menyertai UMNO sebelum itu memacu gerakan Reformasi september lima itu. 

Hal diatas penting dalam upaya menyusurgalurkan asal muasalnya-genesisnya-gerakan Reformasi Malaysia. Cara begini, mungkin dapat dimengerti lagi tiga hal tentang gerakan itu- konteksnya, sifatnya dan isinya. 

Pada dasarnya, ‘Reform’ bererti perubahan kepada sistem sosial agar menjadi lebih baik sambil membetulkan kesalahan dalam sistem tersebut. Ertinya, tidak termasuk menggantikan sistem seadanya. Antara September 5, 1998 hingga terdaftarnya Parti Keadilan Malaysia pada 1999, Gerakan Reformasi tersebut longgar organisasinya. Tidak jelas matlamat akhirnya. 

Pemersatuan Anwar Ibrahim sebagai sang protagonis sementara Mahathir sang antogonis. Jadi gerakan tersebut dapat dihitung sebagai gerakan populis. Hal ini bermaksud satu gerakan politik yang kecewa dengan parti politik biasa. Maka yang diinginkannya adalah mengembalikan kuasa politik kepada rakyat. 

Tugas utamanya menggerakkan para individu untuk melawan institusi negara (state) atas nama demokrasi. Umumnya, perjuangan populis berkisar pada isu tunggal pada satu-satu masa. Contoh populisme ialah gerakan ‘Jaket Kuning’ (Gilet Jaune) di perancis yang dimulakan 2018 

sampai sekarang. Juga 51 tahun lampau gerakan ‘Kejadian Paris’ pada Mei 1968 di Universiti Paris. 

Theo-Democracy Ala Maududi 

Dari satu sudut, roh ‘Theo-Democracy’ ciptaan ala Maududi ternyata hadir di kalangan para pemula Reformasi 1998 kerana luasnya pengaruh ideologi tersebut sejak pertengahan 1960-an lagi. Maududi memakai kaedah SEL iaitu pembentukan kelompok-kelompok kecil yang fungsinya sebagai bagian daripada organisasi yang lebih besar. 

Infiltrasi atau penyusupan adalah tekniknya yang seringkali dilaksanakan secara rahsia. Begitulah caranya parti Maududi-Jumaat Islam-meninfiltrasi perkhidmatan awam di negeri itu- Pakistan. Ideologi ‘Theo-Democracy’ tersebut adalah gabungan reformasi Islam dengan Demokrasi. Tetapi maknanya berbeza sekali dengan ‘Theocracy’. 

Reformasi 98 sebagai Gerakan Massa 

Keberhasilan upaya gerakan Reformasi 1998 sebagai kuasa gerakan massa jelas dan kerana itu signifikan, malah historic. Para siswa, mahasiswa, anggota perkhidmatan awam, kelas proletar melayu generasi kedua menyertai atau sekurang-kurangnya menjadi simpatisan. Keberjayaannya tiada tandingannya dalam sejarah protes sosial tanah air. Dampak sosialnya, sekalipun terjadi dalam konteks populisme, signifikan. Ia menunjukkan potensi golongan B40 menjadi gerakan massa pada era kini dan mendatang. 

Kelemahan Reformasi 1998 

Namun sebalik kejayaan historik gerakan 5 September 1998 ini, terdapat kekurangannya. Reformasi tidak menggembang dan menjadi matang sebagai cita-cita luhur. Konteks ini tidak diselidiki. Sifatnya terlepas pandang. Substansinya tidak diletakkan dalam skema sejarah, ekonomi dan sosiologi Malaysia. Ringkasnya, cita-cita luhur tidak hadir. 

Menurut penggerak masa pada abad ke-20, dalam sejarah pergerakan begitu, para pemimpinnya sentiasa memiliki pengetahuan dan kebolehan melukiskan cita-cita yang kalau didukung membawa manfaat. Para Nabi, pemimpin dan ahli teori politik, pejuang sosial memiliki kebolehan menggambarkan cita-cita perjuangan. 

Setelah itu, pelukis cita-cita juga perlu memberikan kepada massa satu rasa cita-cita tersebut dapat dicapai. Akhirnya setelah ditanam keyakinan cita-cita itu dapat dicapai, pemimpin tersebut harus juga memiliki kebolehan menggerakkan massa. Reformasi 1998, pada pengamatan saya hanya memiliki hal ketiga. Oleh kerana yang pertama itu tiada- gambar besar cita-cita- maka, hal kedua itu menjadi tidak seberapa. 

Konsep Reformasi tidak disusun, tidak diolah, tidak dilakarkan asas falsafahnya, tidak seperti bagaimana Pancasila dan Marhenisme dilukiskan cita-citanya. Pada 3 Ogos 2003, Parti Rakyat Malaysia menyertainya, lalu menjadi Parti Kedilan Rakyat. Kata ‘Rakyat’ mencerminkan satu aliran pemikiran sosial daripada tradisi politik kiri. Maka bermulalah, pada pengamatan saya, aliran-aliran reformis agama dan kiri disitu. 

Nasionalisme paling mundur dalam kombinasi itu kerana faktor Amerika. Ketidaktenangan menjadi, lalu dilanda arus lintas, atus bawah dan arus balik. Dalam pusaran begitu, kelihatannya aliran tradisi politik kiri ditumpulkan, dimanjalkan pada ketika ini. 

Neo-Liberalisme 

Apakah perintang besar kepada penggembangan idea Reformasi 1998? Apakah situasi politik-ekonomi waktu itu? Persekitaran politik dan ekonomi global dan lokal sewaktu meletupnya reformasi ditandai oleh gelombang globalisasi yang diiringi ideologi neo-liberalisme. Ideologi tersebut dominan dalam demorkasi barat dan juga menjadi acuan sistem kapitalis. 

Ideologi neo-liberalisme di dasarkan institusi pasar dan campur tangan negara minimal sekali. Spektrum/ jangkauannya luas- dari yang menghampiri konservatisme hingga yang mendekati sosialisme. 

Pada permulaan reformasi, gerakan itu mendapat dukungan kuat Naib Presiden Amerika, Al Gore. juga daripada pemimpin Bank Dunia- kedua-duanya pendukung dan jaguh Neo-Liberalisme. Itulah penghalang utama pada waktu itu. Namun, keadaan kini berubah. 

Apabila Parti Keadilan Malaysia terdaftar pada 1999, maka gerakan Reformasi 1998 yang asalnya populis terlembaga menjadi sebahagian parti politik. Ertinya, gerakan tersebut terikat oleh perlembagaan organisasi formal, oleh prinsip organisasi, oleh struktur parti, oleh strategi dan taktik parti. 

Kehadiran elemen-elemen ABIM dan beberapa NGO yang liberal didalam Parti Keadilan menunjukkan parti itu telah lintas batas dari konservatisme kepada liberalisme- mungkin kearah ‘Right of Centre’. 

Kesimpulan 

Pada pendapat saya, elemen-elemen progresif dan patriotik dari golongan Nasionalis, agama dan dari tradisi politik kiri harus digemblengkan daya intelektual masing-masing. Serta upaya sosial dan politik mereka memantapkan konsep Reformasi yang pernah berhasil sebagai daya gerak agar menjadi pedoman yang progresif untuk kini dan mendatang. 

Sesungguhnya, upaya demikian memerlukan pertimbangan falsafah, perhitungan kekhususan sejarah dan sosiologi Malaysia. Persoalannya, dalam konteks ilmu politik, kearah liberal kanan? Liberal kiri? Atau melintas batas kearah demokrasi-sosial? 

Perjuangan sekadar berdasarkan program politik semata, sesungguhnya terbatas jangkauannya sekiranya tanpa teori. 

Abdul Halim Ali
23 Mei 2019
Mimbar Gerakbudaya Petaling Jaya. 

Design a site like this with WordPress.com
Get started