Membaca Wabak

Mengambil hikmah daripada falsafah Absurd yang dikemukakan Camus dalam The Plague dan juga buku yang bertajuk Bumi Manusia karya agung daripada Pramodeya Anta Toer, di mana intipatinya penting untuk dihayati khususnya mengenai kesombongan serta kejahatan yang menindas.

Ketidaktentuan yang berlaku akibat pandemik COVID19 sebenarnya telah ditonjolkan menerusi dialektik dan pensejarahan panjang oleh wabak-wabak yang berlaku sebelum ini.

Perkara ini dapat diungkap menerusi peristiwa wabak terbesar yang berlaku di Marseille (The Great Plague of Marseille), Perancis antara tahun 1720 hingga 1723. Jangka masa wabak ini berpanjangan biarpun kerajaan Perancis ketika itu mengenakan kuarantin pada awal perebakan krisis dengan menghantar pakar-pakar serta doktor yang terbaik untuk mengatasi ancaman ini.

Namun jelas penulis Jean-Noel (1972), mengenai krisis ini ada dua perkara yang menjadi wabak ini semakin menggila.

Pertamanya ialah ketidaktentuan panik orang awam. Kedua ialah kapal pedagang yang tujuannya menjalankan ekonomi yang berlabuh di Marseille tidak jujur dengan anak kapal yang dijangkiti virus dan mati sepanjang perjalanan. Namun selepas pulih, perjalanan ekonomi, sosial dikawal baik menerusi strategi dan campur tangan yang lebih sistematik daripada kerajaan Perancis.

Peristiwa yang kedua ialah Spanish Flu pada tahun 1918-1920, di mana pandemik ini melanda masyarakat global dan ini tidak terkecuali dengan Malaya ketika itu yang juga terkesan dengan pemulihan ekonomi pasca perang dunia pertama 1914-1918.

Berdasarkan artikel yang ditulis Kai Khiun Liew (2007), laporan daripada Kementerian Kesihatan (United Kingdom) tahun 1918-1919 mencatatkan jumlah kematian penduduk Malaya akibat pandemik ini adalah sebanyak 34, 644 orang ataupun hampir 1% daripada keseluruhan populasi Malaya ketika itu yang berjumlah 3, 584, 761. 

Jelas Kai Khiun Liew wabak ini mula merebak secara serentak apabila kebanyakan pelabuhan-pelabuhan untuk tujuan perdagangan dan barangan ekonomi menjadi sesak dengan manusia di saat pandemik.

Tambahan, perebakan wabak ini jelas Kai Khiun Liew (2007) hanya berlaku di kawasan tumpuan pelabuhan dan nisbah kematian di luar bandar adalah jauh lebih besar berbanding bandar yang sesak dan kotor. Hal ini berlaku sama seperti wabak di Marseille, di mana manusia yang dijangkiti menerusi pelabuhan membawa masuk virus sehingga merebak ke kawasan luar bandar.

Wabak ini berjaya diatasi menerusi infrastruktur kesihatan yang disediakan British kepada negara koloni dan kesedaran oleh media ketika itu menerusi surat khabar. Namun Kelemahan yang paling diingati ialah kegagalan kepimpinan British Malaya ketika itu untuk menyediakan keselarasan makro yang berkesan untuk melegakan wabak.

Selepas wabak Spanish Flu, apakah yang berlaku kepada dunia dan rakyat Malaya?

Muncul Krisis Kemurungan Ekonomi Terbesar Dunia tahun 1930 dan menjejaskan Malaya kerana di bawah koloni British, di samping penindasan berlaku dan juga wujudnya gerakan-gerakan nasionalis untuk menuntut kemerdekaan.

Selepas merdeka, Malaysia dan dunia ekonomi kapitalisme berkembang baik tetapi menghadapi kitaran krisis ekonomi dalam setiap tempoh 10-20 tahun biarpun pelan pemulihan dan strategi telah diatur. Dari segi ilmu kesihatan virus dan awam juga berkembang baik tetapi ia kadang-kadang menjadi sesuatu yang tidak jelas biarpun adanya pakar-pakar yang berpengalaman.

Contohnya, Malaysia telah diuji pada tahun 1997-1998 dengan krisis ekonomi dan setahun selepas itu tahun 1999 wabak virus Nipah mula melanda.

Dua kejayaan yang diperoleh Malaysia pertamanya apabila strategi menambat mata wang RM berjaya memulihkan ekonomi dan keduanya ialah Dr. Chua Kaw Bing yang ketika itu masih belum diiktiraf sebagai pakar atau berpengalaman telah berjaya menemui penyelesaian bahawa virus nipah bukan daripada nyamuk tetapi adalah khinzir, dan membuahkan hasil.

Apa yang berlaku selepas itu?

Kerajaan terus langsung campur tangan dalam ekonomi dan fasiliti kesihatan dipertingkatkan dan sekali lagi berjaya memulihkan Malaysia daripada krisis.

Menjengah era Milenia, wabak dan krisis ekonomi acap berlaku dan silih berganti dalam kitaran yang tertentu. Malaysia juga antara yang terkesan dengan SARS tahun 2003, dan empat tahun selepas itu krisis ekonomi global 2008. Belum selesai krisis 2008, muncul H1N1 tahun 2009, kemudian MERSCOV 2012 dan Ebola 2014-2016.

Kemudian Krisis ekonomi Global 2008 membadai dunia dan menyaksikan beberapa negara-negara di bawah Kesatuan Eropah tersungkur seperti Greece yang jatuh muflis.

Dalam keadaan tersebut, dasar fiskal dan langkah pemulihan juga menunjukkan pendekatan kerajaan ketika itu banyak melindungi pasaran dan amalkan campur tangan yang tinggi dalam perniagaan yang juga menyebabkan pembenaman kleptokrat.

Hari ini COVID19, menyerang Malaysia pada awal tahun 2020. Biarpun virus ini bermula di China pada penghujung tahun 2019, tetapi di Malaysia ia bermula pada suku pertama tahun 2020. Tatkala itu muncul krisis kemelesetan ekonomi global. Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan -2.0% – 4.5%, biarpun ada pakar-pakar yang mengatakan ekonomi Malaysia akan pulih dengan cepat tahun hadapan.

Walau bagaimanapun, menerusi pengalaman sebelum ini ia mungkin lebih lewat dan ini juga masih tidak jelas kerana krisis ekonomi ini disertakan dengan impak pandemik ke atas sosial yang mana secara tidak langsung memberi kesan kepada sosioekonomi.

Justeru, pandemik Covid19 dan krisis ekonomi global dalam penulisan ini berpendapat ia boleh digelarkan sebagai krisis sandwich. Hal ini kerana putaran pandemik ekonomi dan pandemik kesihatan telah menghimpit segala bentuk norma manusia seperti sandwich dan menyebabkan intinya terburai.

Inti yang terburai tersebut telah mendesak manusia memilih untuk hidup dalam bentuk norma baharu khususnya dalam aspek sosial dan perjalanan ekonomi. Namun sejauh mana norma baharu ini melantun boleh ditinjau kepada dialektik sejarah wabak ini, yang mana tempohnya tidak berkekalan dan sementara sifatnya. 

Perkara ini adalah penting untuk para pengkaji sains sosial menelusuri daripada sudut amalan penjarakan sosial dalam interaksi sosial, pendidikan, kesemua bentuk ekonomi dan ini termasuk dengan ketahanan PKS dan usahawan mikro dalam memanfaatkan penggunaan secara digital. Kesemua pemboleh ubah di atas perlu dilihat unit analisisnya di peringkat negara.

Hal ini kerana di dalam apa jua bentuk krisis yang mendatang, peranan negara adalah penting untuk melegakan tekanan yang menghimpit seperti mana yang dijelaskan mengenai krisis sandwich.

Secara ringkasnya, sejarah dunia telah memberi pengalaman kepada manusia bahawa krisis tidak pernah tidak akan berlaku selagi manusia masih itu wujud.

Mengambil hikmah daripada falsafah Absurd yang dikemukakan Camus dalam The Plague dan juga buku yang bertajuk Bumi Manusia karya agung daripada Pramodeya Anta Toer, di mana intipatinya penting untuk dihayati khususnya mengenai kesombongan serta kejahatan yang menindas.

Maksudnya di sini ialah, meskipun nilai budaya dan tatacara kemurnian itu dipupuk, kecenderungan untuk melakukan sesuatu yang tidak rasional masih lagi ada terutama dalam tempoh melawan COVID19 dan adaptasi norma baharu.

Rujukan:

Jean Noel, B. 1972. Certain Demographic Characteristics of the Plague Epidemic in France, 1720-1722. Dlm. Glass, D. V. & Revelle (pnyt.), Population and Social Change, hlm. 233-241. London: Edward Arnold.

Kai Khiun Liew. 2007. Terribly Severe Though Mercifully Short: The Episode of the 1918 Influenza in British Malaya. Modern Asia Studies. 41(2): 221-252

Design a site like this with WordPress.com
Get started