Kemeruduman Bola Sepak di Malaysia: Salah Warga?

Kita juga tahu bahawa warga merupakan antara penyumbang utama dana sesebuah pasukan. Tetapi dalam keadaan sebegini, apakah perkara ini dapat dijana? Tampaknya, jawapan untuk soalan tersebut begitu mudah untuk dijawab. Dan mungkin slogan ‘football without fans is nothing’ itu sangat tepat bidikannya, khususnya dalam konteks bola sepak tanah air. Kita hanya memiliki peminat (fans), tetapi tidak penyokong (supporters).

Bahagian pertama esei sebelum ini (Bola Sepak di Malaysia: Mencari Punca Kemeruduman, 18 Ogos 2020) diakhiri dengan satu soalan yang peri penting untuk kita dirungkai. Soalan tersebut mempertanyakan apakah episod kegagalan bola sepak tanah air perlu disandarkan sepenuhnya kepada institusi dan apakah penyokong bola sepak tanah air terlepas daripada bebanan tersebut? Untuk menjawap soalan ini, ada baiknya jika kita kembali untuk melihat dua konsep utama dalam aspek kepenyokongan iaitu peminat (fans) dan juga penyokong (supporters).

Di Eropah dan Amerika Selatan, penelitian mengenai kepenyokongan bukanlah asing. Ramai dalam kalangan sarjana sukan terkenal seperti Taylor (1971) Critcher (1979), Giulianotti (2002), dan Cronin (2014) berdebat antara satu sama lain, khususnya dalam meneliti perubahan serta perkembangan identiti kepenyokongan dari masa ke semasa. Namun begitu, dalam usaha mengkategorikan dua konsep utama seperti yang dinyatakan, penulis lebih cenderung untuk mengaplikasikan konsep yang dibangun oleh Giulianotti (2002).

Giulianotti memecahkan identiti kepenyokongan kepada empat iaitu penyokong (supporters), pengikut (followers), peminat (fans), dan juga flanuer. Namun begitu, rencana ini hanya mengulas dua daripada empat identiti yang terbentuk iaitu penyokong (supporters) dan peminat (fans).

Penyokong atau supporters dikategorikan sebagai kelompok kepenyokongan klasik. Lazimnya, setiap individu atau kelompok penonton yang digelarkan sebagai penyokong memiliki pertalian sejarah dan pertaruhan emosi antara dirinya dengan kawasan atau kelab. Bagi seorang penyokong, pertaruhan emosi merupakan satu pelaburan yang bernilai. Malah, adalah menjadi satu kewajiban untuk penyokong hadir ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan yang dianggap representasi kepada kawasan tersebut. Biasanya, penyokong merupakan anak jati yang dilahirkan dan dibesarkan di kawasan di mana kelab yang disokongnya itu tumbuh. Kelompok penyokong tidak memikirkan mengenai keputusan perlawanan, tetapi lebih cenderung untuk mengangkat solidariti dan budaya setempat sebagai taruhan.

Berbeza dengan kelompok penyokong, kelompok peminat atau fans dikategorikan sebagai kelompok kepenyokongan moden. Antara ciri-ciri kelompok peminat adalah seperti memiliki sikap solidariti yang sederhana, tidak memiliki hubungan peribadi terhadap kelab, menyokong kelab berdasarkan permintaan pasaran, dan menyokong kelab berdasarkan produk yang digunakan oleh kelab. Tidak seperti kelompok penyokong, kelompok peminat bukanlah individu atau komuniti yang menyatakan sokongan mereka atas kapasiti kelab, tetapi menyandarkan perkara tersebut atas kapasiti individu, jurulatih, kejayaan yang pernah diraih, serta mengikut trend semasa. Kecintaan kepada kelab tidak terbentuk secara organik, tetapi dibentuk berdasarkan konsumerisme produk yang dimiliki oleh kelab seperti jersi dan sebagainya. Maka disebabkan itulah sesebuah pasukan dikehendaki untuk mempamerkan aksi bertenaga agar kemenangan dapat diraih.

Perbezaan antara dua kelompok kepenyokongan ini jelas ditandai dengan penyataan sikap terhadap sesebuah pasukan. Di Malaysia, penggunaan frasa ‘peminat’ lebih merajai dada media berbanding frasa penyokong. Malah terkadang pengarang dan pengulas sukan tanah air sendiri menghadapi kekeliruan dalam meletakkan identiti kelompok kepenyokongan dan ia kemudiannya menjadi ikutan para warga. Perkara ini bukanlah sesuatu yang menghairankan memandangkan kajian mengenai kepenyokongan di Malaysia kurang mendapat tempat dalam kalangan ahli akademik mahupun pengamal media, selain ia merupakan cabang baharu dalam dunia akademik. Bahkan jika ditelusuri dengan lebih mendalam, kajian di Malaysia lebih tertumpu kepada aspek sains sukan, yang mana pada akhirnya, ia terarah kepada aspek keputusan akhir; iaitu jaya-tidaknya meraih gelaran.

Tetapi apakah kita tidak pernah mempersoalkan kenapa aspek sains sukan begitu serius ditekankan? Hal ini sebetulnya tidak hanya berkait tentang persoalan saintifik tetapi juga berkaitrapat dengan warga. Dengan penekanan sains sukan, warga percaya bahawa usaha tersebut mampu meningkatkan prestasi atlet untuk bersaing diperingkat yang lebih tinggi. Apabila bertanding diperingkat yang lebih tinggi, ia sekaligus akan membuka minat para warga untuk hadir memberi sokongan kepada atlet tersebut.

Jika kita mengikuti trend kepenyokongan di Malaysia khususnya dalam kancah perlawanan antarabangsa, kita akan mendapati bahawa sikap turun-naik kehadiran warga ke stadium bergantung kepada siapa lawan pasukan kebangsaan. Sebagai contoh, perlawanan menentang Indonesia dan Thailand baru-baru ini memperlihatkan duyunan warga turun untuk menyaksikan perlawanan. Duyunan kehadiran warga ini mungkin disebabkan suntikan media yang menyatakan bahawa perlawanan ini seolah-olah perebutan jaguh Asia Tenggara, selain daripada lipatan sejarah perlawanan antara kedua-dua negara yang disifatkan sebagai ‘rival’.

Alasan seperti ini boleh difahami. Tetapi, bagaimana pula dengan perlawanan antara pasukan kebangsaan dengan pasukan negara yang lebih kerdil seperti Maldives, Laos, Kemboja, dan Timor Leste yang mana kadar kehadiran warga tidak mencatatkan angka yang memberangsangkan seperti perlawanan yang digelar rival? Apakah kerana keputusannya sudahpun dijangka oleh warga?

Situasi ini juga sebenarnya tidak hanya berlaku diperingkat antarabangsa, tetapi juga turut berlaku di lapangan liga tempatan dan ia bukanlah perkara yang baharu lagi mengejutkan. Jika kita lihat 20 tahun belakangan ini, stadium-stadium yang berkapasiti 20,000 – 30,000 penonton lekang daripada kunjungan warga. Apakah perkara ini adalah disebabkan kurangnya kecintaan warga terhadap negeri? Tidak, ia bukanlah persoalan kecintaan kepada negeri, tetapi persoalan keputusan akhir.

Jika sesebuah pasukan negeri berada di papan atas dalam carta liga, atau mungkin, merupakan pesaing utama untuk merebut kejuaraan, senario tersebut mungkin berbeza. Lihat sahaja pasukan negeri yang berada di papas atas, warga yang berasal dari negeri tersebut sama-sama turun ke venue untuk menyatakan sokongan kepada negeri kelahirannya dan ia berbeza dengan pasukan negeri yang menghuni papan bawah liga. Tetapi apakah kedua-dua senario ini kekal?

Jawapannya adalah tidak. Mengapa?

Kerana dalam situasi kala ini, yang mana jaringan digital semakin berkembang, berlaku pertentangan antara liga bola sepak tempatan dengan liga bola sepak luar negara, khususnya di England. Harus diakui bahawa benua Asia merupakan antara penggemar bola sepak Inggeris. Hasil daripada tinjauan YouGov yang merupakan sebuah agensi penyelidikan pasaran global, sejak pertukaran jadual waktu bermain mengikut waktu Asia – Asian Prime Time – peratusan penggemar Liga Perdana Inggeris meningkat sebanyak 51 peratus. Perkembangan ini tidak semena-mena telah mewujudkan kelompok kepenyokongan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris seperti The Kopites Malaysia, The Gunners Malaysia dan sebagainya.

Pertukaran jadual waktu bermain ini seakan-akan memberi sinar kepada penggemar bola sepak Inggeris kerana warga dapat menyaksikan perlawanan tersebut secara langsung lewat kaca televisyen setiap hujung minggu, iaitu pada hari Sabtu dan Ahad. Lazimnya, Liga Perdana Inggeris memulakan sepak mula seawal pukul 8.00 malam sehingga 1.30 pagi waktu Malaysia. Kemeriahan dan keraian ini dapat disaksikan dengan jelas sekiranya kita berkunjung ke restoran-restoran yang menyajikan skrin besar untuk tatapan pengunjung. Malah yang lebih mengiurkan, terdapatnya restoran-restoran yang diidentikkan dengan kelab Liga Inggeris, yang mana menjadi ‘melting port’ kepada para penggemar sesebuah kelab.

Pada satu sisi, ia dilihat sebagai satu anugerah kepada penggemar sukan bola sepak kerana dapat melampiaskan obses mereka terhadap sukan bola sepak yang berkualiti. Tetapi pada satu sisi yang lain pula, ia memberi tamparan hebat kepada liga bola sepak tempatan. Hal ini kerana jadual liga bola sepak tempatan juga tidak jauh berbeza dengan jadual liga perdana Inggeris. Ia menimbulkan kecelaruan terhadap warga, yang pada akhirnya, memilih untuk menyaksikan liga yang jauh di seberang lautan berbanding liga yang berada di depan mata. Keadaan ini sebenarnya tidak hanya berlaku di Malaysia, tetapi ia juga berlaku di negara-negara lain yang pasukan kebangsaan dan liga bola sepaknya kurang berseri.

Kita tahu, sukan bola sepak memerlukan peranan warga untuk memaknai sukan tersebut. Kita juga tahu bahawa warga merupakan antara penyumbang utama dana sesebuah pasukan. Tetapi dalam keadaan sebegini, apakah perkara ini dapat dijana? Tampaknya, jawapan untuk soalan tersebut begitu mudah untuk dijawab. Dan mungkin slogan ‘football without fans is nothing’ itu sangat tepat bidikannya, khususnya dalam konteks bola sepak tanah air.

Kita hanya memiliki peminat (fans), tetapi tidak penyokong (supporters).


Rujukan

Chris. J. 2016. The English Premier League rules Asia: here’s why. https://www.linkedin.com/pulse/english-premier-league-rules-asia-heres-why-chris-j-reed-black

Critcher, C., 1979. “Football since the war”. In J. Clarke, C. Critcher, and R. Johnson (eds.), Working class culture: Studies in history and theory, London: Hutchinson, pp. 161-184.

Cronin. M. 2014. Sport: A very short Introduction. Oxford University Press.

Giulianotti. R. 2002. Supporters, followers, fans, and flaneurs: A taxonomy of spectator identities in football. Journal of sport and social issues. Sage Publication, pp. 25-46.

Syafiq Aznan. 2019. Tiket perlawanan Malaysia-Indonesia hampir habis. https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/11/629292/tiket-perlawanan-malaysia-indonesia-hampir-habis [17 November 2019]

Taylor, I., 1971a. “Football mad: A speculative sociology of football hooliganism.” In E. Dunning (ed.), The sociology of sport: A selection of readings, London: Frank Cass, pp. 352 – 377.

Laporan Siri Syarahan Negara Idaman oleh Chandra Muzaffar

Chandra Muzaffar usulkan konsep yang disebut “konsep insan” yang mempertimbang aspek kemuliaan manusia dengan tumpuan terhadap aspek kebertanggungjawaban sebagai seorang warganegara Malaysia—termasuklah tanggungjawab menghargai sejarah negara.

Tarikh: 8 Ogos 2019
Masa: 10.00 pagi – 12.30 tengahari
Tempat: Bilik Mesyuarat IKMAS, UKM
Jumlah Peserta: 20 orang

Pendahuluan

Syarahan Negara Idaman adalah merupakan salah satu program yang dijalankan oleh pihak Naratif Malaysia (NM). Program ini bertujuan untuk merungkaikan persoalan yang menjadi intipati kepada cita-cita Negara Idaman iaitu tentang identiti kebangsaan – siapa dan bagaimana menjadi orang Malaysia. Program syarahan anjuran bersama IKMAS, Naratif Malaysia (NM) dan Penang Institute (PI) ini bakal melibatkan pelbagai tokoh. Untuk siri kali ini pihak penganjur telah berjaya menampilkan seorang sosok intelektual yang tidak asing lagi dalam perbincangan negara-bangsa iaitu Dr. Chandra Muzaffar. Beliau membawa tajuk “Setelah 9 Mei 2018: Masa Depan Bangsa Malaysia”. Malah, menurut saudara Ruhan Shahrir yang merupakan pemudahcara bagi syarahan kali ini, Dr Chandra Muzaffar merupakan seorang sosok intelektual-aktivis memandangkan penglibatan beliau secara aktif dalam organisasi-organisasi bukan kerajaan yang banyak memperjuangkan agenda hak asasi manusia, keadilan sejagat, kebebasan dan perpaduan. Beliau sekarang adalah merupakan Presiden JUST (International Movement for a Just World) yang merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan. Organisasi ini bertujuan untuk membangkitkan kesedaran berpandukan ilmu pengetahuan dan asas intelektual bagi mewujudkan sebuah dunia dengan sistem tatakelola yang adil.

Pengisian Syarahan

Syarahan kali ini dimudahcara oleh saudara Ruhan Shahrir Abdul Halim yang merupakan seorang felo penyelidik di Institut Kajian Etnik (KITA) UKM. Beliau memulakan majlis dengan memperkenalkan kepada para hadirin tentang latar belakang penceramah pada kali ini yang bukan sahaja seorang bekas ahli akademik di USM dan UM bahkan pernah bertanding dalam pilihan raya umum tahun 1999 di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak mewakili Parti Keadilan Rakyat. Beliau juga sempat berkongsi tentang salah satu karya Dr Chandra yang berupaya memberikan kesan dalam membentuk pandangannya terutama dalam membincangkan perkembangan Islam di Malaysia iaitu buku yang berjudul “Islamic Resurgence in Malaysia”. Kemudian, moderator memberikan peluang kepada Pengarah IKMAS, Profesor Dr. Sufian Jusoh untuk memberikan kata-kata aluan seterusnya merasmikan majlis syarahan pada hari tersebut. Beliau menzahirkan rasa bersyukur atas inisiatif yang dijalankan serta dalam masa yang sama mengalu-alukan kedatangan Dr. Chandra Muzaffar selaku tetamu istimewa pada program tersebut.

Syarahan Negara Idaman dimulakan oleh Dr Chandra dengan beliau terlebih dahulu memberikan penghargaan kepada pihak penganjur kerana menjemput beliau untuk membincangkan sebuah tajuk yang sehingga hari ini belum mampu diselesaikan secara tuntas dalam negara masyarakat majmuk di Malaysia. Oleh sebab itu, beliau menyatakan mana-mana perbincangan tentang Bangsa Malaysia dalam konteks perpaduan dan keharmonian adalah merupakan tajuk yang begitu dekat dengan hati sanubari beliau memandangkan ianya adalah sebahagian daripada perjuangan beliau selama ini. Hal ini boleh kita lihat menerusi usaha beliau samada melalui idea-idea yang dicurahkan dalam bentuk penulisan serta penglibatan dalam organisasi masyarakat warga (civil society) yang bertujuan untuk merealisasi cita-cita perpaduan dan keharmonian masyarakat di Malaysia.

Perbahasan tentang persoalan Bangsa Malaysia mula dibincangkan secara lebih serius terutamanya pada era Perdana Menteri Keempat apabila beliau telah meletakkan idea Bangsa Malaysia sebagai salah satu daripada sembilan cabaran yang perlu digalas dalam Wawasan 2020. Agenda pemodenan Malaysia yang ingin dicapai melalui Wawasan 2020 mempunyai dua tujuan iaitu tujuan dari sudut ekonomi melalui program industrialisasi dan tujuan dari sudut politik melalui idea tentang Bangsa Malaysia – identiti kebangsaan yang sepunya bagi rakyat Malaysia. Namun, apa yang menjadi masalah tentang idea Bangsa Malaysia dalam Wawasan 2020 ini adalah ketiadaan perincian tentang bagaimana bentuk atau model Bangsa Malaysia yang ingin dicapai. Hal ini menyebabkan apabila idea Bangsa Malaysia yang sifatnya masih terlalu umum dilontarkan ke dalam minda masyarakat khususnya dalam perbincangan ruang awam, telah menghasilkan pelbagai tafsiran tentang konsep Bangsa Malaysia dalam kalangan masyarakat.

Dalam syarahan kali ini, Dr. Chandra hanya memfokuskan kepada dua tafsiran yang muncul dalam dua kelompok utama rakyat Malaysia iaitu tafsiran daripada kelompok Melayu dan kelompok bukan Melayu. Pendekatan yang diambil oleh Dr Chandra dalam menghuraikan dua tafsiran ini adalah dengan menggunakan kaedah “historical sociology” yang melihat sesebuah fenomena sosial dalam hubungan pembentukannya dengan faktor sejarah. Tafsiran terhadap konsep Bangsa Malaysia yang pertama adalah tafsiran yang muncul dalam kelompok bukan Melayu. Konsep Bangsa Malaysia yang dilancarkan pada tahun 1991 boleh kita andaikan disambut baik oleh kelompok bukan Melayu apabila menunjukkan pola sokongan yang baik dalam keputusan pilihan raya umum 1995 kepada kerajaan Barisan Nasional yang memerintah waktu itu.  Hal ini menurut Dr. Chandra adalah kerana kelompok ini melihat gagasan ataupun idea tentang Bangsa Malaysia yang ingin diwujudkan sebagai suatu usaha yang berupaya untuk membuka jalan kepada pelaksanaan agenda kesamarataan kepada seluruh rakyat Malaysia. Bagi kelompok ini, mereka merasakan persoalan kedudukan istimewa orang Melayu, Bahasa Melayu dan agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan telah menjadi penghalang selama ini kepada idea kesamarataan.

Menerusi ulasan yang disampaikan oleh Dr. Chandra, tafsiran yang diberikan oleh kelompok ini ada kebenarannya juga, namun pendekatan yang diambil oleh mereka dalam beberapa keadaan agak bermasalah kerana tidak mengambilkira faktor realiti di lapangan yang berbeza-beza dan tidak menghubungkan permasalahan realiti hari ini dengan proses sejarah pembentukannya yang panjang. Sebagai contoh dari sudut sosioekonomi, beliau membayangkan dua situasi yang berbeza di antara golongan miskin (B40) di pedalaman Sarawak dengan golongan kelas menengah atasan di Selangor memerlukan dua pelaksanaan polisi yang berbeza dengan mengambilkira faktor persekitaran masing-masing yang juga turut berbeza. Hal inilah yang membawa kepada hujah beliau tentang idea kesamarataan yang diperjuangkan oleh kelompok bukan Melayu tadi sangat berkait rapat dengan soal keadilan supaya setiap kelompok masyarakat mendapat layanan yang setimpal dan mampu menyelesaikan masalah dunia sosial mereka. Dari sudut sosiobudaya pula, Dr. Chandra membangkitkan tentang persoalan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang diutamakan mengatasi bahasa-bahasa lain yang wujud di Malaysia terutamanya Bahasa Cina dan Tamil. Menurut beliau, inilah yang dikatakan pendekatan mereka yang agak bermasalah kerana tidak mengambilkira konteks khususnya dari aspek sejarah dan perkembangan sejarah yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantara (lingua franca) di benua nusantara ini.

Manakala, tafsiran terhadap konsep Bangsa Malaysia yang kedua adalah yang datang daripada pandangan kelompok orang Melayu. Menurut Dr. Chandra, terdapat sebahagian daripada kelompok orang Melayu ini yang merasakan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Melayu atau dalam istilah sejarahnya sebagai Tanah Melayu. Dalam menghuraikan tafsiran yang kedua ini, beliau berpandangan bahawa ianya juga adalah agak bermasalah khususnya dalam rangka untuk mencapainya kerana tidak melihat dengan serius kepada proses pensejarahan terutamanya sejarah bagaimana kemasukan kelompok bukan Melayu ke dalam Tanah Melayu yang kemudiannya adalah Malaysia. Malahan, beliau juga sempat menyinggung Bangsa Melayu sebagai bangsa yang rugi kerana perjuangan nasionalisme Melayu dalam sejarah ternyata tidak berupaya untuk mewujudkan negara Melayu sebagaimana yang berlaku di negara-negara lain seperti Indonesia. Natijahnya, yang wujud adalah negara Malaysia yang sifatnya pelbagai kaum di mana bangsa Melayu turut termasuk menjadi kaum Melayu daripada pelbagai kaum yang wujud di Malaysia. Dari aspek sejarah kemasukan bukan Melayu tadi, beliau membahagikan sejarah tersebut kepada dua tempoh masa iaitu sebelum kemasukan penjajah dan selepas kemasukan penjajah. Semasa tempoh sebelum kemasukan penjajah, penghijrahan dan proses mastautin yang berlaku adalah secara semulajadi (natural migration) yang tidak membawa masalah-masalah yang besar kepada masyarakat setempat pada masa itu memandangkan jumlah peratusannya juga yang agak kecil. Namun, yang menjadi masalah adalah pada tempoh selepas kemasukan penjajah kerana proses yang berlaku bukan lagi proses yang disebut natural migration. Menurut beliau, ada dua sebab kenapa proses ini bermasalah adalah kerana peratusan migrasi yang besar dan peranan kepimpinan peribumi yang tidak berupaya menghalang keputusan penjajah yang bertindak mengawal penuh terhadap proses migrasi ini.

Bagi pandangan Dr. Chandra, dua tafsiran yang dibentangkan ini adalah merupakan antara penghalang kepada perpaduan nasional yang ingin dicapai. Di akhir sesi syarahan kali ini, beliau telah mengusulkan suatu jalan penyelesaian kepada masalah yang telah dibincangkan iaitu melalui jalan perlembagaan dan pendidikan. Di antara rahmat atau keberuntungan yang besar bagi Malaysia adalah pada struktur perlembagaan Malaysia yang telah digubal yang cuba untuk mencantumkan kelompok-kelompok yang ada dalam erti kata ingin mencapai keseimbangan. Sebagai contoh, walaupun Perkara 153 secara jelas menyebut tentang kedudukan orang Melayu dan bumiputera namun dalam masa yang sama turut menetapkan tentang hak bukan Melayu juga akan terjamin. Begitu juga hal dan keadaannya dalam perkara bahasa dan agama. Melalui jalan perlembagaan, aspek yang terpenting di dalamnya adalah tentang aspek kewarganegaraan. Daripada aspek kewarganegaraan kemudiannya akan timbul pula dua hal yang utama iaitu persoalan hak dan persoalan tanggungjawab. Dalam realiti dunia moden pada hari ini, persoalan hak menurut beliau sudah jelas termaktub dalam perlembagaan namun persoalan tentang tanggungjawab masih kurang diberi perhatian untuk diterapkan kepada setiap warganegara. Justeru itu, beliau mengusulkan di hujung sesi suatu konsep yang disebut “konsep insan” dari sudut kemuliaan dan kehormatannya yang harus diberikan pendidikan tentang elemen tanggungjawab sebagai seorang warganegara Malaysia dan salah satu daripadanya adalah tanggungjawab untuk memahami dan menghargai sejarah.

Penutup

Syarahan kali ini disudahi dengan ucapan penutup oleh saudara Ruhan Shahrir yang membuat kesimpulan ringkas terhadap syarahan yang telah disampaikan oleh Dr Chandra. Beliau menegaskan bahawa perbahasan tentang persoalan Bangsa Malaysia adalah merupakan sebuah proses yang akan terus berjalan dan memerlukan penglibatan semua pihak untuk turut sama menjayakannya. Beliau juga turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada para hadirin yang terdiri daripada pelbagai pihak atas kehadiran dan penyertaan yang diberikan sepanjang perbincangan berlangsung.

Design a site like this with WordPress.com
Get started