Mengambil iktibar daripada beberapa buah negara membangun lain yang mengalami proses pendemokrasian, maka wujud keperluan untuk mengolah citra kebangsaan yang lebih terangkum yang mana ini menjadi tujuan kepada acara ini.
![nm4](https://naratifmalaysia.wordpress.com/wp-content/uploads/2019/04/nm4.jpg)
Majlis Perasmian & Ucaptama
Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional
Tarikh: 19 Mac 2019
Masa: 7:30 malam – 10.00 malam
Tempat: Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai
Abstrak Program
Mengambil iktibar
daripada beberapa buah negara membangun lain yang mengalami proses
pendemokrasian, maka wujud keperluan untuk mengolah citra kebangsaan yang lebih
inklusif dengan mengetengahkan teras kebudayaan Melayu yang progresif. Usaha
ini adalah penting bagi menangani banyak persoalan nasional yang tidak pernah selesai.
Malah, persoalan nasional ini semakin meruncing dalam perkembangan negara yang kini
sedang merundingkan kembali peranannya dalam pembangunan bangsa dan negara.
Justeru itu, sebagai
usaha mula kepada hasrat ini, Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa
(IKMAS) dengan Kerajaan Negeri Johor melalui Pejabat Jawatankuasa Penerangan,
Pembangunan Keusahawanan, Koperasi Dan Ekonomi Kreatif Negeri Johor serta kerjasama
dengan Pejabat Menteri Besar Negeri Johor telah menggerakkan usaha untuk
membahaskan kembali letak duduk Melayu dalam agenda pembangunan Malaysia baharu
ini.
Sehubungan dengan itu, empat tema utama daripada keseluruhan Siri Seminar Naratif Malaysia ini—politik, agama, ekonomi dan budaya—adalah untuk memastikan wacana tentang kemalaysiaan dan kemelayuan mutakhir tidak lagi terperangkap dalam fahaman etno-nasionalisme. Sebaliknya, seminar ini berusaha memaparkan betapa kebudayaan Melayu, pada hakikatnya, berupaya untuk berdepan dengan keterbukaan dunia tanpa perlu mencagarkan identitinya sendiri.
Prakata
Institut Kajian
Malaysia & Antarabangsa (IKMAS) ingin merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor, khususnya kepada Pejabat Menteri
Besar Negeri Johor dan Pejabat Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan
Keusahawanan, Koperasi Dan Ekonomi Kreatif Negeri Johor yang telah memastikan acara
sulung Siri Seminar Naratif Malaysia ini dapat diadakan bagi tahun 2019 ini.
IKMAS sebagai
sebuah institut kajian Malaysia yang memberi penekanan khusus kepada
pembangunan inklusif bahawa pembinaan negara bangsa adalah agenda yang
memerlukan perhatian nasional. Penganjuran Siri Seminar ini adalah bukti
sokongan kerajaan, khususnya Kerajaan Negeri Johor kepada agenda pembinaan
negara bangsa yang inklusif dan deliberatif.
Sepanjang tahun
2019 ini, IKMAS akan menganjurkan empat siri Seminar Naratif Malaysia yang
tertumpu kepada empat tema utama; ekonomi, politik, budaya dan agama. Bagi setiap
siri, para pembentang yang akan dijemput merupakan sarjana-sarjana terkemuka
dalam kajian Malaysia baik dari dalam negara mahupun dari luar negara. IKMAS
berharap agar hasil daripada siri Seminar Naratif Malaysia ini akan dapat
dibukukan menjelang hujung tahun ini untuk disebarluaskan wacananya.
IKMAS sekali lagi
mengucapkan terima kasih atas sokongan Kerajaan Negeri Johor terhadap
penganjuran seminar ini.
Prof. Dr. Sufian Jusoh
Pengarah
Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS)
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Ucapan Alu-Aluan
Susulan daripada Piliharanya Umum ke-14, perbincangan mengenai hubungan
antara kaum dan agama semakin hangat. Polemik ini menunjukkan adanya suatu
kelompongan perspektif mengenai kedudukan Melayu pasca-PRU14 dalam persoalan
nasional. Mengisi kelompongan ini merupakan usaha mendesak kerana dapat
membendung keresahan sosial dan politik yang sedang melanda kaum Melayu mutakhir
ini. Sikap baharu ini perlulah direncana secara tersusun agar kaum Melayu bukan
sahaja tidak segan terhadap sejarahnya sendiri, akan tetapi juga dapat memberi
sumbangan yang bermakna seiring dengan perubahan struktur politik pasca-PRU14. Lebih
penting lagi, adalah usaha mengharmonikan agenda Melayu ini dalam pembinaan
negara bangsa yang lebih inklusif.
Justeru itu,
apabila IKMAS mengajukan pengajuran siri Seminar Naratif Malaysia ini, saya
berbesar hati untuk sama-sama menjayakan program ini dan usaha ini kemudiannya
mendapat maklum balas positif daripada Pejabat Menteri Besar sendiri. Saya
percaya Kerajaan Negeri Johor sentiasa menyokong kepada idea pembinaan negara
bangsa yang inklusif tanpa mengabaikan sumbangan mana-mana kumpulan.
Sebagai sebahagian
daripada jawatankuasa penganjuran majlis perasmian Siri Seminar Naratif
Malaysia ini, saya ingin merakamkan penghargaan atas kesudian YAB Dato’ Haji
Osman Haji Sapian merasmikan acara ini dan pastinya penghargaan istimewa juga
ditujukan kepada YABhg. Tun Daim Zainuddin atas Ucaptamanya.
Sheikh ’Umar Bagharib Bin Ali
Pengerusi
Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi Dan Ekonomi Kreatif,
Kerajaan Negeri Johor
Aturcara Program
Masa
07.30 malam : Pendaftaran
08:30 malam : Ketibaan YABhg Tun Abdul Daim bin Zainuddin
08:35 malam : Ketibaan YAB Dato’ Haji Osman Bin Haji Sapian
08:40 malam :Bacaan Doa
08.45 malam :
Ucapan alu-aluan oleh Profesor Dr. Sufian Jusoh, Pengarah Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Ucapan Perasmian olehYAB Dato’ Haji Osman Bin Haji Sapian, Menteri Besar Johor
Ucaptama Naratif Malaysia oleh YABhg. Tun Daim Zainuddin, Mantan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan
Sesi soal jawab dipengerusikan oleh YB Tuan Sheikh ’Umar Bagharib Bin Ali, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif, Negeri Johor
Sesi penyampaian cenderahati & bergambar
10:00 malam : Majlis bersurai